Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Transmisi CVT pada Honda Civic bakal digantikan dengan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan?

    Transmisi CVT pada Honda Civic bakal digantikan dengan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan?

    Bagi mereka yang mengharapkan agar enjin 1.5 liter VTEC Turbo pada Civic FC digandingkan dengan kotak gear lebih responsif, ini mungkin berita yang menggembirakan anda. Dalam acara Honda Meeting 2017, jenama berkenaan telah mendedahkan unit prototaip digelar “Dynamic Study,” yang dibina dalam bentuk Civic sedan generasi kesepuluh.

    Menurut Honda, unit prototaip berkenaan adalah berlainan dari Civic sedia ada dalam pasaran di mana transmisi CVT pada enjin turbo 1.5 liter berkenaan telah digantikan dengan kotak gear klac berkembar (DCT) lapan kelajuan.

    Padanan tersebut adalah serupa dengan apa yang terdapat pada Acura CDX khas untuk pasaran China di mana enjin L15B9 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 182 hp/240 Nm (5 hp/14 Nm lebih berkuasa dari Civic) pada SUV berkenaan diberikan transmisi DCT klac basah lapan-kelajuan, yang turut dilengkapi bersama torque converter.

    Menurut sebuah penerbitan Jepun, Car Watch, transmisi DCT lapan-kelajuan berkenaan dibina dalam saiz kompak – hanya sama besar dengan kotak gear automatik konvensional lima-kelajuan. Selain itu, ia juga menjanjikan penghantaran kuasa 15% lebih baik serta kecekapan bahan api ditingkatkan sebanyak 8%.

    Selain dari perubahan pada sistem transmisi, unit prototaip “Dynamic Study” ini juga menampilkan casis yang dipertingkat dari segi tindak balas dan juga kestabilan. Perubahan berkenaan dilakukan menerusi pemadanan subframe belakang yang lebih tegar dan juga lantai yang lebih keras sebanyak 57%, manakala ketegaran torsi ditingkatkan lagi sebanyak 25%.

    Transmisi CVT pada Honda Civic bakal digantikan dengan kotak gear klac berkembar lapan-kelajuan?

    Unit prototaip ini turut menampilkan talaan suspensi hadapan dan belakang baharu, badan yang lebih aerodinamik (pekali seretan dikurangkan 14%), dan juga tindak balas stereng berkuasa elektrik serta brek yang dipertingkat.

    Untuk pengetahuan anda, Honda telah pun menghentikan penjualan Civic di Jepun pada tahun 2010 berikutan permintaan kurang untuk sedan berbanding MPV pada pasaran negara matahari terbit berkenaan. Namun, awal tahun ini Honda telah mengumumkan untuk membawa semula Civic ke pasaran Jepun bagi menaikkan semula imej sporty jenama tersebut.

    Walau bagaimanapun, Civic generasi kesepuluh ini masih lagi belum diperkenalkan di Jepun, dan dijangka hanya akan dilancarkan pada hujung bulan hadapan. Menurut pendedahan oleh presiden dan CEO Honda, Civic di Jepun akan diperkenalkan dalam versi model 2018. Jadi, boleh dijangka tingkat taraf yang dilakukan pada unit prototaip “Dynamic Study” ini akan diperkenalkan pada Civic JDM yang akan diperkenalkan hujung bulan hadapan, manakala untuk pasaran lain termasuk Malaysia, ia mungkin akan ditampilkan pada Civic versi tingkat taraf.

    Pasaran Malaysia buat masa ini baharu sahaja menerima transmisi DCT klac kering tujuh-kelajuan yang diperkenalkan menerusi Honda Jazz Sports Hybrid i-DCD, dilancarkan pada minggu lalu. Pada acara Honda Meeting 2017 berkenaan juga, Honda turut mengumumkan Honda Accord 2018 pasaran Amerika Syarikat bakal menerima kotak gear automatik 10-kelajuan, dipadankan pada enjin 2.0 liter DOHC VTEC Turbo diambil dari Honda Civic Type-R.

     
     
  • Perodua Myvi sudah capai satu juta unit produksi

    Perodua Myvi sudah capai satu juta unit produksi

    Seperti yang pernah dimaklumkan pada akhir Mei lalu, kini Perodua Myvi telah pun mencapai satu juta unit produksi yang dicatatkan hujung minggu lalu.

    Diperkenalkan pada Mei 2005 dan menjadi model kereta nombor satu di Malaysia sehingga akhir tahun 2014, setakat ini Myvi masih menjadi antara model terhangat yang mendapat jumlah jualan yang memberangsangkan di negara ini.

    “Perodua Myvi telah menetapkan standard baru bagi kami dengan menawarkan sesuatu yang diingini oleh para pelanggan dan ia menjadi penanda aras bagi semua model akan datang kami,” ujar Presiden dan CEO Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh.

    Majlis meraikan kejayaan ini telah pun dilangsungkan di fasiliti pengeluaran di Sungai Choh, Rawang, yang dirasmikan oleh Presiden Perodua Corporation Sdn Bhd (PCSB) Masanori Takahashi dan Timbalan Presiden PCSB, Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Perodua Myvi sudah capai satu juta unit produksi

    Menurut Aminar lagi, berdasarkan pengiraan dalaman, semua model Perodua termasuk Alza, Axia dan Bezza menjadi model kenderaan yang digemari dalam segmen masing-masing.

    Untuk lima bulan pertama tahun ini, Perodua telah menjual 81,900 unit kenderaannya iaitu meningkat sebanyak 5.9% berbanding 77,300 unit dalam tempoh yang sama pada tahun 2016.

    “Kami menjangkakan jumlah keseluruhan industri bagi lima bulan pertama tahun ini mampu mencapai 233,700 unit. Berdasarkan angka ini, pengkongsian pasaran bagi tahun ini mampu mencecah 35%. Malah kami cukup optimis mampu mencapai sasaran jualan sebantyak 202,000 unit bagi tahun ini biarpun berhadapan dengan situasi yang mencabar dalam industri ini,” ujar Aminar.

    Sehingga kini, Myvi telah dijual di tujuh buah negara termasuk Sri Lanka, Mauritius, Brunei, Singapura, United Kingdom, Fiji dan Nepal di bawah jenama Perodua. Malah Indonesia pula merupakan pasaran eksport terbesar bagi Myvi tetapi di bawah jenama Daihatsu Sirion, mencapai hampir 31,000 unit jualan sejak tahun 2007. Secara keseluruhan, Perodua telah mengeksport 35,400 unit Myvi/Sirion sejak 2006 di beberapa pasaran yang disebut.

     
     
  • PLUS tutup lorong tambah nilai di semua plaza tol mulai 22 Jun-2 Julai untuk kurangkan kesesakan

    PLUS tutup lorong tambah nilai di semua plaza tol mulai 22 Jun-2 Julai untuk kurangkan kesesakan

    Bagi membantu melancarkan lagi pergerakan trafik pada cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan menutup semua Lorong Tambah Nilai di plaza tol. Langkah ini juga bertujuan untuk mengurangkan kesesakan yang disebabkan oleh orang ramai beratur di lorong tambah nilai di plaza tol.

    Kesemua 134 LorongTambah Nilai di plaza tol di lebuh raya PLUS akan ditutup kepada orang ramai mulai 22 Jun hingga 2 Julai yang akan datang.

    Justeru, PLUS mengingatkan orang ramai supaya memastikan kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go mereka mempunyai baki yang mencukupi menjelang cuti perayaan Aidilfitri yang akan datang.

    PLUS juga menasihatkan orang ramai supaya menambah nilai kad masing-masing di kira-kira 9,200 lokasi tambah nilai lain di seluruh negara. Ia termasuklah di mesin ATM, kedai serbaneka 24-jam, stesen-stesen minyak dan lain-lain lagi.

    Orang ramai juga boleh menambah nilai kad mereka di stesen-stesen minyak yang beroperasi di kawasan-kawasan rehat (R&R) di sepanjang lebih raya.

    Selain itu, pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS akan dibuka di antara jam 7 pagi hingga 10 malam setiap hari (termasuk Sabtu, Ahad dan Cuti Umum) untuk membolehkan orang ramai membuat urusan tambah nilai di plaza-plaza tol terpilih.

    PLUS menjangkakan trafik yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan bersempena dengan cuti perayaan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang meningkat kepada 21% berbanding hari-hari biasa.

     
     
  • DBKL guna minyak diesel B10 sejak 2014, tiada masalah selepas 3 juta km pada 50 kenderaan/jentera

    DBKL guna minyak diesel B10 sejak 2014, tiada masalah selepas 3 juta km pada 50 kenderaan/jentera

    Dalam usaha untuk menyumbang kepada persekitaran yang lebih sihat, Malaysia kini sedang dalam proses untuk beralih kepada diesel B10, daripada B7 sekarang. Namun, sebelum dilaksanakan, pelbagai ujian dilakukan dan antara yang awal terlibat adalah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, iaitu sejak tahun 2014 lagi, dengan menggunakannya pada 50 kenderaan syarikat termasuk trak pikap, lori, van dan jentera berat lain.

    Kini, selepas lebih tiga setengah tahun, DBKL telah menggunakan diesel B10 untuk jarak terkumpul sejauh 3 juta kilometer, dan tiada sebarang masalah yang berkaitan dengan minyak terjadi sepanjang tempoh itu. Secara purata, setiap kenderaan ini mencatat sekitar 60,000 hingga 70,000 km jarak perjalanan, tetapi satu daripada lori lima tan mereka sudah mencatat sehingga 200,000 km.

    DBKL guna minyak diesel B10 sejak 2014, tiada masalah selepas 3 juta km pada 50 kenderaan/jentera

    Selepas daripada ini, dua kenderaan yang menggunakan diesel B10 tersebut, iaitu trak pikap Nissan Navara dan sebuah lori lima tan akan diperiksa secara teliti, termasuk membuka enjinnya, dan ia dijangka dilaksanakan bersama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Nissan Japan dan Tan Chong Motor Holdings.

    Daripada maklum balas yang didapati daripada mereka yang memandu dan mengendali jentera yang menggunakan diesel B10 ini, mereka memberitahu bahawa ia lebih menjimatkan, kelihatan kurang asap, manakala kuasanya pula, jika dibandingkan dengan diesel biasa, tidak banyak beza.

    Bagi yang masih kurang mengetahui tentang diesel B10 dan pelaksanaannya di Malaysia, anda boleh membaca temu ramah kami dengan ketua penyelidik MPOB di sini, dan baca juga tentang pengalaman kami memandu trak pikap yang diisi dengan diesel B10, dari Sarawak ke Sabah sejauh lebih 1,000 km di sini.

     
     
  • Toyota Harrier facelift muncul di Jepun, enjin 2.0 turbo; akan dilancar secara rasmi di S’pura, diikuti Malaysia?

    Toyota Harrier facelift muncul di Jepun, enjin 2.0 turbo; akan dilancar secara rasmi di S’pura, diikuti Malaysia?

    Walaupun tidak dijual secara rasmi di Malaysia, Toyota Harrier tetap popular di kalangan pengguna, dan kini, model terkininya diberikan facelift dan sudah mula dijual di Jepun. Harrier generasi terkini ini masih kelihatan bergaya, jadi Toyota hanya memberikan sedikit perubahan sahaja.

    ‘Mukanya’, yang mengekalkan tanda unik gril tertutup, kini lebih agresif. Gril yang terletak di bahagian bawah pula kini lebih lebar, dan terdapat lampu kabus LED di bucu luarnya. Sebelum ini, ia terletak di penjuru bampar, dan kini tempat asalnya digantikan dengan lampu siang LED. Lampu utama jenis LED kenderaan ini juga nampak lebih tajam. Bahagian lip hadapan pula diwarnakan hitam.

    Pada bahagian belakang pula, lampu LED dengan cermin lutsinar sebelum ini ditambah dengan garisan light guide merah apabila lampu dinyalakan, dan garisan merah kecil menyambungkan pula dua lampu ini dengan lambang Toyota di tengah. Harrier ini juga mendapat rekaan rim baru, dengan varian yang lebih tinggi mendapat rekaan seperti turbin.

    Toyota Harrier facelift muncul di Jepun, enjin 2.0 turbo; akan dilancar secara rasmi di S’pura, diikuti Malaysia?

    Satu berita utama berkenaan enjin Harrier adalah ia kemasukan pilihan unit 2.0 liter turbo 8AR-FTS, yang sebelum ini digunakan pertama kali pada Lexus NX pada tahun 2014, dan kini menguasakan kebanyakan model Lexus. Enjin dengan teknologi VVT-iW twin-scroll turbo ini berkemampuan 231 PS dan 350 Nm tork antara 1,650 hingga 4,000 rpm.

    Ia kemudiannya dipadankan dengan transmisi automatik enam kelajuan, bersama mod manual, dan bagi versi 2WD, ia dikata boleh mencatat penggunaan bahan api 13 km/l manakala versi 4WD pula 12.8 km/l. Varian enjin turbo ini mendapat penyerap prestasi di depan dan belakang untuk meningkatkan ketegaran dan mengurangkan olengan.

    Dua lagi enjin yang disediakan untuk Harrier adalah unit 2.0 liter NA 3ZR-FAE Valvematic Dual VVT-i dengan 151 PS/ 193 Nm tork yang dipadankan dengan kotak gear automatik CVT (2WD 15.2 km/l, 4WD 16.0 km/l), dan hibrid yang menggabungkan enjin 2.5 liter berkuasa 152 PS/ 206 Nm dengan dua motor elektrik (143 PS/ 270 Nm di hadapan, 68 PS/ 139 Nm di belakang), dengan penggunaan bahan api 21.4 km/l.

    Toyota Harrier facelift muncul di Jepun, enjin 2.0 turbo; akan dilancar secara rasmi di S’pura, diikuti Malaysia?

    Antara kelengkapan yang disediakan pada kenderaan ini adalah pintu but yang mempunyai memori, sistem kemasukan dengan lampu, lampu puddle dengan logo Harrier, tempat duduk berserta liang dan pemanas, kamera 360 darjah, lampu penunjuk arah LED sequential, dan sistem keselamatan Toyota Safety Sense P.

    Menjadikan lebih menarik adalah Harrier turut ditawarkan dengan beberapa pakej penggayaan termasuk tiga daripada Toyota sendiri, dua daripada Modellista dan dua lagi daripada TRD.

    Sama seperti Malaysia, Harrier juga sebelum ini banyak dijual di Singapura oleh pengimport persendirian. Tetapi bagi model facelift baru ini, pengedar rasmi kenderaan Toyota di sana iaitu Borneo Motors menyatakan bahawa mereka akan melancarkan Harrier ini bulan hadapan. Yang pastinya, unit yang ditawarkan oleh Borneo Motors ini mempunyai radio, serta semua fungsi lain dalam Bahasa Inggeris dan bukannya Bahasa Jepun.

    Memandangkan unit seperti ini sudah tiba begitu hampir, UMW Toyota (UMWT) selaku pengedar kenderaan Toyota di Malaysia juga mungkin patut melihat kepada penawarannya di Malaysia. Seperti yang diketahui, sebelum ini kebanyakan kereta JDM hanya dijual oleh pengimport persendirian.



     
     
  • Geely bakal jadikan M’sia sebagai hab pemasangan rantau ASEAN untuk Volvo menjelang 2022 – menteri

    Geely bakal jadikan M’sia sebagai hab pemasangan rantau ASEAN untuk Volvo menjelang 2022 – menteri

    Lagi susulan berkenaan Zhejiang Geely yang kini sah sebagai rakan strategik luar (FSP) untuk Proton, laporan The Star menyebut menteri perdagangan dan industri kedua, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, Geely bakal menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran kereta jenama Sweden miliknya iaitu Volvo untuk pasaran rantau ASEAN menjelang 2022.

    Menurut Ong, walaupun kereta-kereta Volvo buat masa ini sudahpun dijual di Malaysia, Geely masih lagi belum ada kilang dengan teknologi termaju di negara ini bagi memproduksinya.

    “Mereka merancang untuk melakukakannya secara besar-besaran – ASEAN mempunyai populasi sekitar 620 juta dan ia merupakan pasaran yang besar,” katanya dan menambah langkah untuk memasang kereta di Malaysia kemudian memasarkannya pada pasaran yang luas merupakan strategi yang baik.

    Geely bakal jadikan M’sia sebagai hab pemasangan rantau ASEAN untuk Volvo menjelang 2022 – menteri

    Beliau juga mendedahkan bahawa Geely bakal memproduksi kereta di Tanjung Malim, pada kilang Proton sedia ada. “Mereka perlu menyediakan kilang berkenaan dalam masa lima tahun. Ia akan dilakukan secara berperingkat. Mereka buat masa sekarang dalam proses penempatan semula operasi. Mereka bakal mula membina kilang tahun hadapan,” jelasnya.

    Semasa termeterainya FSP Proton-Geely, Geely dibayangkan bakal menggunakan kilang Proton di Tanjung Malim untuk memasang Volvo dan akan membayar yuran produksi. Walau bagaimanapun, DRB-Hicom tidak mendedahkan sama ada akan wujud perubahan kepada pemasangan tempatan kereta-kereta Volvo, dan menjelaskan lebih perincian bakal didedahkan semasa perjanjian muktamad yang bakal berlangsung pada akhir Julai nanti.

    Walau bagaimanapun, Volvo sebenarnya sudahpun bertapak di Malaysia hampir 50 tahun, dan kilang jenama berkenaan yang dikenali sebagai Swedish Motor Assemblies (SMA) yang terletak di Shah Alam merupakan kilang kereta pertama di Malaysia – telah wujud sejak 1967 hingga awal 2010.

    2016-Volvo-S60-T6-Drive-E-1_BM

    Kilang tersebut yang kini dikenali sebagai Volvo Car Manufacturing Malaysia (VCM) – syarikat subsidiari Volvo Car (dimiliki oleh Geely) sendiri buat masa sekarang memproduksi model S60, V40, V60, XC60 dan juga XC90. Kilang berkenaan juga kini memasang SUV flagship Volvo iaitu XC90 T8 Twin Engine – menjadikan ia sebagai satu-satunya kilang di luar Sweden yang memasang SUV dengan teknologi tertinggi Volvo berkenaan.

    VCM menghasilkan kenderaan sekitar 1,500 unit setahun buat masa sekarang, tetapi awal tahun lalu syarikat tersebut telah mengumumkan penstrukturan bernilai RM20 juta telah dilaburkan pada kilang Shah Alam tersebut, membolehkan sejumlah 5,000 kenderaan dapat diproduksi dalam masa setahun. Ia juga dijangka bakal meningkatkan kapasitinya sebanyak 50% pada tahun ini, diikuti 50% lagi untuk tahun hadapan.

    Kereta-kereta yang dihasilkan pada kilang di Shah Alam berkenaan sebahagiannya telah dieksport ke Thailand, dan ia mensasarkan lima lagi pasaran baharu pada masa akan datang – termasuk Vietnam, Myanmar, Filipina, Indonesia dan Taiwan.

    Mengikut perancangan VCM tersebut, jelas kilang mereka di Shah Alam sudah cukup canggih serta sebenarnya telahpun mempunyai perancangan untuk pasaran ASEAN – mungkin Ong tidak menyedari kewujudan VCM di Malaysia. Mungkin juga Ong kenyataan terbaharu Ong ini merujuk kepada pelan untuk mengembangkan lagi pemasangan kereta Volvo di Malaysia.

     
     
  • Lambretta V Special dipertonton pertama kali di Itali

    Lambretta V Special dipertonton pertama kali di Itali

    Desas-desus berkenaan model ini sudah tersebar lama, tapi kali ini barulah Lambretta mendedahkan secara rasmi model V Special untuk tontonan awam di satu majlis perkumpulan menyambut ulang tahun Lambretta yang ke 70 di Itali. Motosikal ini menggunakan rekaan lebih moden yang dihasilkan oleh KISKA (sebuah syarikat rekaan di Austria), namun masih mengekalkan tanda unik Lambretta seperti garis badannya.

    Enjin Lambretta V Special ini tidak lagi menggunakan unit dua lejang, sebaliknya empat lejang yang dikata akan ditawarkan dalam beberapa kapasiti iaitu 50 cc, 125 cc dan 200 cc. Sesuai untuk pasaran kini, enjin baru ini juga melepasi tahap emisi Euro 4. Selain daripada itu, Lambretta juga memberitahu, pada tahun 2018, mereka akan memperkenalkan sebuah lagi versi V Special, yang menggunakan kuasa elektrik.

    Enjin ini dilekatkan pada kerangka jenis semi-monocoque, menggunakan tiub besi setebal 1.2 mm, yang melintang di atas kerangka berbentuk Y dalam satu unit dari hadapan hingga belakang. Kerangka ini dihasilkan dengan kerjasama pengeluar skuter terbesar Taiwan iaitu SYM.

    Melalui model ini, Lambretta berharap dapat menarik kembali peminatnya, dan mungkin menarik penggemar baru, serta kembali memberi saingan kepada Vespa dan Scomadi. Walaupun begitu, keadaan mungkin agak sukar kerana kini sudah terdapat lambakan skuter dari pelbagai pengeluar lain, dan Lambretta ini tidak mempunyai banyak keistimewaan, selain namanya. Saksikan di bawah ini reaksi peminat Lambretta terhadap model baru ini.


     
     
  • Mitsubishi mungkin akan kembalikan jenama ‘Evolution’ pada tahun 2023, tetapi dalam bentuk SUV

    Mitsubishi mungkin akan kembalikan jenama ‘Evolution’ pada tahun 2023, tetapi dalam bentuk SUV

    2015 Lancer Evolution Final Edition

    Sebelum ini, Mitsubishi telah mengesahkan bahawa sedan segmen-C mereka iaitu Lancer tidak akan diteruskan untuk generasi-generasi seterusnya setelah jenama berkenaan menetapkan haluan untuk menumpukan terhadap penghasilan SUV. Pengumuman berkenaan seterusnya turut mengesahkan legasi sedan berpretasi tinggi yang diasaskan menerusi penyertaan Mitsubishi dalam kancah WRC – Lancer Evolution – berakhir pada model Exo X.

    Namun laporan terbaharu dari portal Australia, Motoring, menyatakan bahawa jenama dari Jepun ini bakal membawa semula lencana Evolution ke pasaran dalam masa enam tahun lagi. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh ketua global Mitsubishi, Trevor Mann, menjelaskan bahawa model berprestasi tinggi baharu merupakan antara perkara yang dirancang oleh jenama Jepun berkenaan.

    “Dari sudut jenama, saya rasa agak menarik untuk membawa semula sesuatu yang agak sporty pada masa hadapan. Anda perlu tunggu dan lihat apa dia sebenarnya,” kata Mann.

    Namun, dengan ketiadaan Lancer generasi baharu mahupun sedan-sedan atau model coupe Mitsubishi lain, bagaimana untuk membawa semula Evolution ke pasaran? Menurut Mann lagi, ia tidak semestinya muncul dalam bentuk sedan di mana Evolution generasi baharu ini berkemungkinan besar dibina dalam bentuk SUV.

    Mitsubishi mungkin akan kembalikan jenama ‘Evolution’ pada tahun 2023, tetapi dalam bentuk SUV

    Sebenarnya, jika perkara ini benar-benar terjadi, ia bukan SUV Evolution pertama keluaran Mitsubishi di mana mereka pernah tampil dengan model Pajero Evolution pada tahun 1997. Seperti juga ‘LanEvo’, ‘PajEvo’ ini dibina sebagai homologasi rali FIA bagi membolehkan jentera berkenaan bertanding dalam Rali Dakar dalam kelas T2. Dikuasakan dengan enjin V6 3.5 liter menjana 276 hp/348 Nm, Pajero radikal berkenaan turut diberikan tempat duduk Recaro, badan lebih lebar, dan pelbagai lagi.

    Walau bagaimanapun, untuk model Evolution generasi baharu nanti mungkin akan diasaskan dari model lain kerana Mann menyatakan Pajero Sport bakal dijadikan model halo untuk Mitsubishi tetapi tidak disasarkan untuk menerapkan konsep prestasi tinggi.

    “Saya rasa berberapa jenama telah mencipta kereta halo mereka sendiri yang bukan dari model berprestasi tinggi, ambil Volkswagen Golf sebagai contoh. Di Eropah ia merupakan kenderaan yang memberikan aspirasi untuk kebanyakkan orang,” kata Mann.

    Mitsubishi mungkin akan kembalikan jenama ‘Evolution’ pada tahun 2023, tetapi dalam bentuk SUV

    Mann juga menyatakan kemunculan model berprestasi tinggi baharu ini bakal muncul dalam tempoh antara tiga ke enam tahun. “Boleh saya nyatakan [model berprestasi tinggi baharu] ini merupakan projek jangka panjang dan bukan jangka sederhana,” kata Mann dan menjelaskan jangka sederhana sebagai tiga tahun dan jangka masa panjang adalah enam tahun.

    Walau bagaimanapun, boss Mitsubishi berkenaan masih lagi belum membuat keputusan adakah Mitsubishi bakal kembali semula ke arena sukan permotoran dengan kapasiti penuh setelah jenama berkenaan menarik diri dari WRC pada tahun 2006, manakala sayap perlumbaannya iaitu Ralliart ‘tutup kedai’ pada tahun 2010.

    “Sukan permotoran merupakan sesuatu yang banyak kami perkatakan akhir-akhir ini, dan ia sesuatu yang perlu kami pertimbangkan kerana ia adalah warisan kami,” jelas Mann dan menambah, “Ia selari dengan jenama kami dan ia sesuatu yang kami ada teknologinya serta jurutera kami tahu apa yang hendak dibuat. Ia merupakan sesuatu yang perlu kami pertimbangkan semula.”

     
     
  • MPV mampu milik tujuh-tempat duduk Mitsubishi Expander bakal di ‘rebadge’ sebagai Nissan – laporan

    Mitsubishi_XMConcept-2

    MPV mampu milik Mitsubishi untuk pasaran Indonesia yang bakal dihasilkan dari model konsep XM, bakal di rebadge juga dengan jenama Nissan pada pasaran republik berkenaan, lapor Just Auto.

    MPV yang direka seakan SUV dan dikhabarkan bakal diberi nama Mitsubishi Expander tersebut bakal dihasilkan dalam konfigurasi tujuh-tempat duduk untuk kedua-dua versi jenama, Mitsubishi dan Nissan, menurut laporan itu lagi. Ia juga dikhabarkan bakal membuat penampilan sulungnya pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017 Ogos ini.

    Model konsep XM muncul buat pertama kali pada GIIAS 2016 Ogos lalu, dan versi produksinya dijangka bakal memberikan tentangan sengit kepada Honda BR-V. Ia menampilkan muka signatur ‘Dynamic Shield’ Mitsubishi, bersama lampu hadapan tirus, gril besar dengan elemen-X berwarna hitam, serta bampar hadapan yang agak agresif. Setiap ruang roda diberikan elemen flare bagi menampakkan imej gagah seakan sebuah SUV. Bahagian berwarna hitam dibelakang pula direka menyamai eX Concept yang muncul di Tokyo 2015.

    Prototaip MPV tersebut dilihat mula diuji di atas jalan raya Indonesia pada awal tahun ini. Walau bagaimanapun, imej versi prototaip tersebut dilihat tidak begitu dramatik seperti model konsepnya, namun masih mengekalkan banyak ciri-ciri yang sama. Mukanya masih lagi diberikan lampu hadapan tirus dan juga bampar bersegi, serta rekaan pada fender hadapan masih kelihatan bersama garisan signturnya.

    Juga dilaporkan sebelum ini, ‘Expander’ bakal dihasilkan dalam sembilan varian dan ia turut dirancang untuk dieksport ke pasaran Eropah. MPV berkenaan akan diproduksi di kilang baharu Mitsubishi Indonesia yang terletak di Bekasi, Jawa Barat bermula Oktober ini.

    Kilang yang turut membina model Pajero Sport untuk pasaran tempatan tersebut mempunyai kapasiti pengeluaran 160,000 unit setahun dan ia merupakan kilang kedua terbesar jenama berkenaan di rantau ini.

    GALERI:Mitsubishi XM Concept di GIIAS 2016

     
     
  • PLUS tawar rebat tol 30%, saran pengguna lebuhraya rujuk TTA bagi rancang perjalanan sempena Aidilfitri

    PLUS tawar rebat tol 30%, saran pengguna lebuhraya rujuk TTA bagi rancang perjalanan sempena Aidilfitri

    Sempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan rebat tol sehingga 30% kepada pengguna lebuhrayanya.

    “Rebat tol 30% tersebut ditawarkan sepanjang hari selama enam hari iaitu 19 hingga 21 Jun, 28 hingga 29 Jun dan 3 Julai. Ia merupakan sebahagian daripada langkah PLUS untuk mengagihkan trafik pada musim perayaan dan pada masa yang sama, menghargai sokongan orang ramai terhadap perkhidmatan lebuhraya PLUS,” kata Pengarah Urusan, Datuk Azman Ismail.

    Katanya lagi, ia juga bertepatan dengan pelaksanaan transaksi tol 100% elektronik yang telah dilaksanakan di semua lebuh raya kendalian syarikat ini sejak 26 April lalu.

    Sementara itu, pengguna kad Touch ‘n Go pula berpeluang menikmati rebat tol sebanyak 10% pada tarikh-tarikh tersebut.

    PLUS tawar rebat tol 30%, saran pengguna lebuhraya rujuk TTA bagi rancang perjalanan sempena Aidilfitri

    “Penawaran rebat 30% untuk transaksi menerusi kad PLUSMiles adalah untuk menghargai kesetiaan dan sokongan pemegang kad PLUSMiles. Manakala, rebat 10% tersebut diberikan untuk semua transaksi elektronik lain di lebuh raya PLUS,” jelas Azman.

    Rebat tol pada kali ini diberikan bagi perjalanan kenderaan Kelas 1 melebihi 100 kilometer yang membuat transaksi tol di plaza-plaza tol di semua lebuhraya kendalian PLUS. Ia ditawarkan sepanjang haripada tarikh-tarikh tersebut.

    Pada tarikh-tarikh tersebut, orang ramai masih perlu membayar tol dengan kadar biasa. Rebat tol 30% dan 10% tersebut akan dimasukkan ke dalam kad PLUSMiles atau kad Touch ‘n Go (dalam bentukTambah Nilai) apabila orang ramai menambah nilai kad mereka di pusat-pusat khidmat pelanggan PLUS di antara 15 Julai hingga 14 Oktober yang akan datang.

    Walau bagaimana pun, rebat ini tidak meliputi transaksi tol di plaza tol Bukit Kayu Hitam, Bangunan Sultan Iskandar, Tanjung Kupang dan Jambatan Pulau Pinang.

    PLUS tawar rebat tol 30%, saran pengguna lebuhraya rujuk TTA bagi rancang perjalanan sempena Aidilfitri

    Dalam masa yang sama, PLUS turut mengeluarkan Jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) untuk perjalanan di Lebuhraya Utara-Selatan pada Hari-Hari Puncak iaitu di antara 21 Jun hingga 3 Julai ini.

    TTA merupakan pendekatan PLUS untuk mengagihkan trafik dan mengurangkan kesesakan di laluan-laluan utama lebuh raya, plaza tol dan kawasan rehat. Ia adalah berdasarkan kajian PLUS terhadap pola perjalanan orang ramai pada musim-musim perayaan yang lalu.

    Jadual tersebut berperanan mengelakkan orang ramai daripada memasuki lebuh raya secara serentak dan menyumbang kepada kesesakan.

    Menurut Azman, “TTA memainkan peranan yang penting dalam mengagihkan trafik di lebuh raya. Berdasarkan kajian kami, apabila ramai mematuhi jadual perjalanan ini, ia dapat mengelakkan kenderaan yang menuju pelbagai destinasi bertembung di satu-satu lokasi di lebuh raya pada masa yang sama. Oleh itu, perjalanan menjadi lebih lancar dan lebih selesa.”

    PLUS tawar rebat tol 30%, saran pengguna lebuhraya rujuk TTA bagi rancang perjalanan sempena Aidilfitri

    “Lonjakan jumlah kenderaan di lokasi dan pada masa yang sama sering menyumbang kepada kesesakan lalulintas pada musim perayaan dan waktu-waktu puncak. Justeru itu, kami menasihatkan orang ramai yang menggunakan Lebuhraya Utara-Selatan pada Hari-hari Puncak supaya mengikuti TTA.”

    Berdasarkan TTA yang dikeluarkan oleh PLUS, orang ramai dari Lembah Klang yang menuju ke destinasi yang lebih jauh seperti Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor disarankan supaya memulakanperjalanan dan memasuki Lebuhraya Utara-Selatan sebelum jam 10:00 pagi. Manakala, orang ramai yang menuju ke lain-lain negeri dinasihatkan memasuki lebuhraya selepas jam 10:00 pagi.

    “Apabila saranan ini dipatuhi, kumpulan kenderaan yang bergerak ke Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak (Utara) dan Johor tidak akan bertembung dengan kumpulan yang bergerak ke negeri-negeri lain di Perak (Tengah), Perak (Selatan), Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka di lebuh raya. Sebaliknya, mereka akan berada di pelbagai lokasi berlainan sepanjang lebuh raya. Ini seterusnya boleh menjadikan perjalanan pulang ke kampung halaman dengan lebih lancar,” katanya.

    PLUS menjangkakan sebanyak 1.7 juta kenderaan akanmenggunakan Lebuhraya Utara-Selatan setiap hari pada hari-hari puncak bersempena dengan perayaan Aidilfitri. Ia merupakan peningkatan sebanyak 21% berbanding 1.4 juta kenderaan pada hari-hari biasa.

     
     
  • JPJ diminta kaji semula penguatkuasaan had bilangan penumpang bagi kenderaan persendirian – Aziz

    JPJ diminta kaji semula penguatkuasaan had bilangan penumpang bagi kenderaan persendirian – Aziz

    Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Ab Aziz Kaprawi telah meminta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) supaya mengkaji semula penguatkuasaan had bilangan penumpang bagi kenderaan persendirian.

    Menurutnya, buat masa ini had bilangan penumpang kenderaan persendirian belum dikuatkuasakan. Malahan seandainya kenderaan persendirian terbabit terlibat dalam kemalangan, penguatkuasaan ini dilihat mampu memastikan bilangan mangsa yang maut dapat dikawal, laporan Bernama.

    “Sudah sampai masanya JPJ melihat semula perkara ini supaya dapat menjamin keselamatan penumpang,” katanya kepada malam tadi bagi mengulas mengenai kemalangan yang meragut lapan nyawa di Jempol, Negeri Sembilan dua hari lalu.

    JPJ diminta kaji semula penguatkuasaan had bilangan penumpang bagi kenderaan persendirian – Aziz

    Dalam masa yang sama, kementerian juga telah mengarahkan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) menjalankan siasatan terhadap punca kemalangan itu.

    Ab Aziz berkata siasatan merangkumi semua aspek termasuk keperluan pelaksanaan Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) jika terbukti lokasi kemalangan itu di kawasan berisiko tinggi.

    Sementara itu, beliau berkata kerajaan akan melancarkan kempen keselamatan jalan raya sempena musim perayaan Aidilfitri pada Khamis ini dalam usaha memberi kesedaran keselamatan jalan raya kepada pemandu.

    “Sistem Awas juga akan dikuatkuasakan sepenuhnya sepanjang kempen keselamatan musim perayaan bagi memgurangkan kadar kemalangan jalan raya,” katanya.

     
     
  • Honda CR-V 1.5 VTEC Turbo 2017 dipamer di Malaysia

    Honda CR-V 1.5 VTEC Turbo 2017 dipamer di Malaysia

    Honda CR-V 2017 kini sedang dipertonton awal di seluruh Malaysia, dengan hentian terbaru di Kota Kinabalu, menampilkan varian 1.5 VTEC Turbo AWD bagi model generasi kelima yang akan dilancarkan tersebut. Sebelum ini, kita sudah menyaksikan varian 2.0 i-VTEC 2WD yang dipamerkan di Pulau Pinang hujung minggu lalu.

    Kereta pameran berwarna perak ini menampilkan lampu utama LED penuh, lampu kabus LED dan lampu belakang LED seperti yang dilihat pada model 2.0L 2WD, tetapi mempunyai rim 18 inci dwi tona dan muncung ekzos berkembar. Ciri Lanewatch dan Honda Sensing masih tiada pada model ini – tiada kamera monokular di bahagian atas cermin hadapan atau radar gelombang milimeter pada grilnya.

    Dengan demikian, nampaknya akan ada satu lagi varian yang lebih tinggi berbanding unit pameran ini – berkemungkinan adalah 1.5 VTEC Turbo AWD Premium seperti barisan model Civic. Pakej keselamatan aktif Honda Sensing akan merangkumi Adaptive Cruise Control (ACC) dengan ciri gerak-henti Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM)

    Varian turbo pada kenderaan ini menggunakan enjin 1.5 liter direct injection turbocharged, dengan kuasa sebanyak 193 PS dan 243 Nm tork di antara 2,000 hingga 5,000 rpm, manakala model asas akan mengekalkan enjin NA 2.0 liter sama, dengan kuasa 155 PS dan 190 Nm. Kedua-dua model mendapat transmisi CVT Earth Dream daripada Honda sendiri, menggantikan unit automatik lima kelajuan sebelum ini.

    Honda CR-V baru berukuran 4,584 mm panjang, 1,855 lebar dan 1,679 mm tinggi (1,689 mm bagi AWD), bermakna ia 55 mm lebih panjang, 35 mm lebih lebar dan 6 mm lebih rendah berbanding sebelum ini. Ia juga mempunyai kelegaan dari tanah lebih tinggi iaitu 199 mm (209 mm bagi AWD), berbanding 170 mm pada model sebelum ini.

    Kelihatan seperti Honda Malaysia telah memilih untuk menawarkan hanya versi lima tempat duduk, sementara negara jiran seperti Thailand dan Indonesia mendapat pilihan tempat duduk baris ketiga untuk menjadikannya 5+2. Kapasiti barangan maksimum dengan tempat duduk baris kedua dilipat rata pada kenderaan ini adalah 1,084 liter.

    Semua varian CR-V baru mendapat enam beg udara dan Vehicle Stability Assist (VSA) secara standard. Juga boleh didapati pada semua varian adalah kelengkapan seperti sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin dan kamera undur. Kita akan dapat mengetahui lebih lanjut apabila kereta ini dilancarkan kelak.

    GALERI: Honda CR-V 1.5L Turbo AWD 2017 di Malaysia

    GALERI: Honda CR-V 2.0L 2WD 2017 di Malaysia

     
     
  • Honda Accord 2018 – 1.5 turbo 6MT/CVT, 2.0 turbo 6MT/10AT dan 2.0 Hybrid eCVT sah untuk Amerika

    Honda Accord 2018 – 1.5 turbo 6MT/CVT, 2.0 turbo 6MT/10AT dan 2.0 Hybrid eCVT sah untuk Amerika

    Next Generation Honda Accord

    Sebelum ini, Honda menerusi presiden dan CEOnya Takahiro Hachigo telah mengesahkan bahawa Honda Accord generasi baharu akan membuat penampilan sulungnya tahun ini. Terbaharu, model generasi ke-10 yang disifatkan sebagai Accord paling bergaya dan paling seronok dipandu tersebut diumumkan bakal menerima tiga pilihan enjin untuk pasaran Amerika Syarikat tahun ini.

    Seperti dijangka, enjin NA 2.4 liter sedia ada akan disingkirkan dan digantikan dengan enjin 1.5 liter VTEC Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus, digandingkan bersama pilihan transmisi sama ada manual enam-kelajuan atau CVT automatik. Tiada perincian berkenaan kuasa kuda diumumkan, tetapi boleh diagak ia akan menggunakan talaan yang sama pada CR-V baharu dengan janaan 190 hp/243 Nm.

    Apa yang menarik dan tidak diduga, enjin NA 3.5 liter V6 bakal digantikan dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo dengan sistem suntikan bahan api terus yang diambil dari Honda Civic Type-R. Juga tiada angka kuasa kuda rasmi diumumkan, tetapi ia dijangka bakal menjana kuasa sekitar 278 hp (kuasa enjin V6 sedia ada) hingga 316 hp iaitu kuasa yang dijana enjin Civic Type-R sekarang.

    Accord Hybrid turut bakal menyertai barisan model generasi baharu ini sebagai pilihan lebih mesra alam. Ia bakal menampilkan teknologi hibrid baharu Honda dengan enjin 2.0 liter petrol dan juga sepasang motor elektrik memacu roda hadapan, menerusi transmisi CVT elektronik yang dikenali sebagai eCVT.

    GALERI: Spyshot Honda Accord generasi kesepuluh

     
     
  • VIDEO: Perbandingan Honda CR-V gen-4 vs gen-5

    Selepas melancarkan Honda Jazz 2017 pada 6 Jun yang lalu, Honda Malaysia juga bakal melancarkan model generasi kelima bagi SUV CR-V, jika tiada aral melintang, bakal berlangsung dalam sebulan akan datang.

    Hujung minggu lalu, kami telah berkunjung ke Gurney Paragon, Pulau Pinang bagi mendekati model CR-V 2017 untuk mengetahui serba sedikit pembaharuan yang dilakukan. Hanya bahagian luaran didedahkan, manakala ruang kabin masih belum didedahkan.

    Semalam pula, Honda Malaysia telah mendedahkan perbandingan antara model generasi keempat dengan generasi kelima menerusi paparan video ringkas.

    Seperti mana yang pernah kami nyatakan sebelum ini, bagi pasaran Malaysia, selain varian 2.0L i-VTEC, CR-V 2017 juga akan ditawarkan dengan model 1.5L VTEC Turbo. Honda Malaysia turut mengesahkan, enjin 1.5L Turbo berkenaan menghasilkan 193 PS dan 243 Nm tork – melebihi janaan kuasa enjin sama yang ada pada Civic 1.5L Turbo dan CR-V 2.4L sebelum ini. Model asas dengan enjin 2.0L pula mampu menjana 155 PS/190 Nm tork. Kedua-duanya akan digandingkan dengan transmisi CVT Honda Earth Dreams.

    Buat pertama kali, varian 1.5L VTEC Turbo juga akan dilengkapi dengan ciri keselamatan aktif Honda Sensing. Ia akan ditawarkan pada varian paling tinggi. Ini adalah termasuk ciri-ciri seperti Adaptive Cruise Control (ACC) dengan Low Speed Follow (LSF), Collision Mitigation Braking System (CMBS) dengan Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist System (LKAS), Lane Departure Warning (LDW) dan Road Departure Mitigation (RDM).

    Sistem ACC dan LSF akan berfungsi untuk memudahkan pemandu untuk memandu secara cruising. Kedua-dua sistem ini membolehkan CR-V 2017 membrek dan memecut kembali pada kelajuan yang telah ditetapkan pada sistem Cruise Control secara automatik dan ia boleh berfungsi bermula dari keadaan trafik berhenti dan bergerak, sehingga pada kelajuan 180 km/j.

    Untuk sistem FCW dan CMBS pula, ia akan membantu pemandu mengelakkan kemalangan yang akan berlaku pada bahagian hadapan. Sistem FCW akan mengeluarkan amaran sekiranya kenderaan dikesan ada potensi berlakunya pertembungan kerana jarak dengan kereta depan yang semakin hampir, manakala CMBS pula akan bertindak membrek kenderaan secara automatik sekiranya pemandu tidak memberikan tindak balas sepatutnya dalam keadaan berisiko untuk perlanggaran.

    VIDEO: Perbandingan Honda CR-V gen-4 vs gen-5

    Selain dari bahagian hadapan, pakej Honda Sensing juga turut memberikan perhatian terhadap keselamatan bahagian sisi kenderaan. Oleh itu sistem LKAS, RDM dan LDW dipadankan bagi meminimakan risiko kemalangan yang akan berlaku pada bahagian sisi. Sistem LDW dibina untuk mengesan garisan jalan pada kedua-dua sisi kenderaan, dan ia akan memberikan amaran kepada pemandu secara memberikan amaran visual serta getaran pada stereng sekiranya kenderaan dikesan melewati garis jalan tanpa memberikan lampu isyarat membelok terlebih dahulu.

    Untuk sistem LKAS pula, ia akan melaras semula arah stereng (menerusi sistem stereng kuasa bantuan elektrik) untuk memastikan kenderaan kekal pada lorongnya. Sistem ini menggunakan kamera yang diletakkan pada sisi kenderaan bagi mengesan tanda-tanda pada permukaan jalan raya sebagai penderia untuk mengesahkan kedudukannya.

    Sistem RDM pula beroperasi ketika kenderaan dipandu pada kelajuan 72 km/j hingga 180 km/j. Ia akan diaktifkan sekiranya kenderaan menghampiri sisi jalan; roda stereng akan bergetar untuk untuk memberikan amaran kepada pemandu agar mengekalkan kedudukan kenderaan pada lorong. Sekiranya pemandu tidak membuat sebarang tindakan dan kereta mula keluar dari lorong, sistem VSA akan diaktifkan untuk mengembalikan kenderaan pada kedudukannya.

    VIDEO: Perbandingan Honda CR-V gen-4 vs gen-5

    Honda CR-V gen-4 (kiri) & CR-V gen-5 (kanan)

    Menerusi video yang dipaparkan di Facebook rasmi Honda Malaysia itu juga, mendedahkan varian 1.5L VTEC Turbo bagi CR-V 2017 dilengkapi dengan lampu utama LED dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan LED, rekaan baharu bagi rim aloi 18-inci, lampu belakang dan lampu brek LED serta pengesan untuk mengunci pintu dengan hanya sentuhan mudah.

    Berbanding dengan CR-V generasi ke-empat yang hadir dengan lampu utama HID dengan lampu nyalaan siang LED, lampu kabus hadapan halogen, lampu belakang dan lampu brek halogen, juga rim 18-inci dan butang pengunci pintu.

    Honda CR-V 2017 memiliki panjang 4,584 mm, 1,855 mm lebar dan 1,679 mm (1,689 bagi 4WD) tinggi. Model baru ini 55 mm panjang, 35 mm lebar dan 6 mm lebih rendah berbanding yang sebelumnya. Semua varian CR-V 2017 dilengkapi dengan enam beg udara dan Vehicle Stability Assist (VSA) sebagai ciri standard. Selain itu, masukan tanpa kunci, butang Push Start dan kamera undur (dengan sensor parkir depan dan belakang).

    Seperti mana yang dinyatakan, Honda Malaysia masih belum bersedia mendedahkan perincian yang lebih lanjut terutamanya bagi bahagian kabin CR-V 2017 ini. Tempahan bagi CR-V 2017 ini juga telah pun mula dibuka. Kami akan membawakan sebarang perkembangan lanjut mengenai SUV serba baharu ini sekiranya ada maklumat lain yang boleh dikongsikan bersama.

    GALERI: Honda CR-V 2.0L 2017

     
     
  • Honda EX5 Dream Fi baharu diperkenal – tahap emisi kini Euro 3, pilihan rim sport, harga dari RM4,906

    Honda EX5 Dream Fi baharu diperkenal – tahap emisi kini Euro 3, pilihan rim sport, harga dari RM4,906

    Model kapcai terkenal EX5 mula diperkenalkan di Malaysia pada tahun 1987, dan ini bermakna ia sudah berada di Malaysia selama 30 tahun. Selain gembira menyambut pencapaian itu, Boon Siew Honda (BSH) turut memperkenalkan sebuah model baru iaitu EX5 Dream Fi 2017.

    Ia adalah sebuah model yang dipertingkat daripada model yang diperkenal pada April 2015, tetapi enjin 109 cc suntikan bahan api padanya kini menjadi lebih mesra alam kerana mempunyai penarafan emisi Euro 3. Kuasa enjin ini adalah 8.66 PS dan 8.62 Nm tork. Ia dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan.

    Bagi pengguna, melalui model ini, mereka bukan sahaja dapat menyumbang kepada aspek mesra alam, tetapi juga dapat menikmati penggunaan bahan api lebih baik dan menjimatkan. Selain daripada itu, BSH turut memperkenalkan beberapa ciri baru pada EX5 Dream Fi iaitu rim sport, tayar tanpa tiub, pemegang genggaman krom dan lambang Honda 3D.

    Harga yang disyorkan oleh BSH Honda untuk EX5 Dream Fi baru ini bermula dari RM4,906.74 (pemula tendang, roda jejari), RM5,150.54 (pemula tendang dan elektronik, roda jejari) dan RM5,404.94 (pemula tendang dan elektronik, rim sport). Semua harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans dan pendaftaran. Honda EX5 Dream Fi Baharu ini ditawar dalam tiga warna – ungu metalik, merah metalik, biru metalik dan bagi model yang dilengkapi rim sport, ia turut ditawarkan dalam warna hitam metalik. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

     
     
  • PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

    PANDU UJI: Mitsubishi Triton 2.4L VGT MIVEC – kini lebih ringan dan berkuasa; adakah ia pilihan terbaik?

    Jika bukan kerana saiznya yang agak lebar dan panjang, trak pikap boleh saja menjadi sebuah pilihan kenderaan yang paling praktikal. Dan, jika bukan kerana tahap keselesaannya yang sedikit tidak menyenangkan, ia juga boleh jadi pilihan sebagai kenderaan untuk keluarga.

    Kenderaan jenis trak pikap antara yang telah menerima banyak perubahan saban tahun, dan penawarannya juga tidak lagi disasarkan kepada keupayaan untuk penggunaan tugas berat dan lasak seperti sebelum-sebelumnya. Dengan adanya pilihan bahan api diesel Euro 5 yang jauh lebih bersih kini, agaknya faktor berkenaan juga jadi pemangkin kepada penerimaan meluas pasaran terhadap kenderaan jenis ini.

    Sebab inilah, jika diperhatikan, penawaran pada trak-trak pikap paling tidak sejak lima tahun dahulu sudah mengubah hala tujunya – hampir semua pengeluar yang ingin bersaing merebut bahagian dalam pasaran mengalihkan tumpuan untuk memperkemas dan mempertingkat ciri dan rekaan pada trak pikap masing-masing.

    Ruang kabin lebih nyaman dengan rekaan serta kemasan papan pemuka yang tidak jauh berbeza dari kereta penumpang lainnya. Begitu juga tahap kesenyapan; walaupun enjin diesel yang lazimnya sangat kuat kedengaran, bahkan dibahagian dalam kabin, perkara itu beransur-ansur dipertingkat.

    Baca laporan lanjut di sini

     
     
  • ULASAN VIDEO: Mazda 3 facelift 2017 dengan GVC

    Mazda 3 facelift 2017 dilancarkan pada pasaran Malaysia pada April lalu, dengan sedikit penyegaran diberikan pada rupa luaran dan dalaman. Model versi tingkat taraf ini juga kini diberikan sistem G-Vectoring Control dan hadir dengan tiga varian iaitu Sedan GL (RM110,804), Sedan High (RM125,804) seperti yang ditampilkan pada video ini, dan juga varian tertinggi hatchback (RM128,804).

    Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana semua varian masih lagi dijana enjin petrol 2.0 liter SkyActiv-G berkuasa 162 hp pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 210 Nm pada takat 4,000 rpm. Kuasa dari enjin berkenaan dialirkan ke roda hadapan menerusi kotak gear automatik SkyActiv-Drive enam-kelajuan.

    Model baharu ini turut menampilkan mod Sport untuk sistem transmisi dan juga sistem auto start/stop enjin yang digelar i-Stop. Video ulasan ringkas di atas memaparkan penulis kami, Farid Awaludin menguji kereta ini dan menjelaskan perbezaan yang diberikan oleh sistem G-Vectoring Control, serta penambahan pada ciri-ciri lain.

    Untuk maklumat terperinci berkenaan Mazda 3 facelift 2017, sila layari laman Carbase.my – versi hatchback di sini.

     
     
  • Semua kenderaan Nissan di Amerika bakal dilengkapi brek kecemasan automatik menjelang tahun 2018

    Semua kenderaan Nissan di Amerika bakal dilengkapi brek kecemasan automatik menjelang tahun 2018

    Automatic Emergency Braking (AEB) keeps an eye on your speed and proximity to the vehicle ahead and can apply brakes if a potential forward collision is detected and you fail to respond.

    Nissan mengumumkan semua kenderaan baharunya yang dijual di Amerika Syarikat pada tahun 2018 kelak bakal dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik (AEB) secara standard.

    Langkah untuk memperkenalkan AEB, iaitu salah satu fungsi dalam pakej bantuan pemandua Nissan Intelligent Safety Shield berkenaan akan menjadikan jumlah kenderaan Nissan yang dilengkapi fungsi tersebut meningkat sekali ganda berbanding yang ditawarkan buat masa sekarang.

    Untuk barisan produk 2017, model Nissan yang telah pun dilengkapi AEB termasuk Rouge (X-Trail), Rogue Sport (Qashqai), Altima (Teana), Murano, Pathfinder, Maxima, Sentra (Sylphy) dan kereta elektrik sepenuhnya Leaf, kecuali model-model yang diberikan transmisi manual atau versi Nismo.

    Semua kenderaan Nissan di Amerika bakal dilengkapi brek kecemasan automatik menjelang tahun 2018

    Sebelum ini Nissan menggelar sistem berkenaan sebagai Forward Emergency Braking. Ia berfungsi menggunakan teknologi radar untuk memantau jarak antaranya dan kenderaan di hadapan, serta memberikan amaran dalam bentuk audio dan juga paparan visual bagi mengingatkan pemandu agar segera mengurangkan kelajuan sekiranya berpotensi untuk berlakunya pelanggaran hadapan.

    Jika pemandu tidak memperdulikan amaran tersebut, sistem AEB berkenaan akan mengaktifkan brek secara automatik, bagi membantu mengelakkan kemalangan atau mengurangkan impak pelanggaran hadapan dengan mengurangkan kelajuan ketika berlanggar.

    Keputusan Nissan untuk menjadikan AEB sebagai ciri standard ini adalah selari dengan rancangan sebahagian besar pengeluar kenderaan untuk memasang sistem sedemikian standard untuk semua kereta baharu menjelang tahun 2022. Menurut data yang diperolehi dari Pentadbiran Keselamatan Trafik Leburaya Nasional (NHTSA) Amerika Syarikat, satu pertiga kemalangan yang dilaporkan melibatkan pelanggaran pada bahagian belakang, dan agensi berkenaan mengatakan sistem seperti AEB mampu mengurangkan tuntutan insuran kecederaan sehingga 35%.

     
     
  • Hyundai Elantra AD 2017 dilancar di Malaysia – tiga varian, enjin 2.0 NA, 1.6 Turbo, harga dari RM116k

    Hyundai Elantra AD 2017 dilancar di Malaysia – tiga varian, enjin 2.0 NA, 1.6 Turbo, harga dari RM116k

    Sebelum ini Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mempertontonkan Elantra AD 2017, dan kita juga telah melihat lembaran spesifikasinya tersebar. Tapi kini, sedan segmen C terbaru ini secara rasminya dilancarkan untuk pasaran Malaysia, dalam tiga varian iaitu 2.0 Executive, 2.0 Dynamic dan 1.6 Turbo – harga masing-masing adalah RM116,388, RM120,588 dan RM131,488, atas jalan tanpa insurans.

    Barisan model Elantra bermula dengan paling asas adalah model yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter Nu MPI empat silinder yang berkemampuan 152 PS pada 6,200 rpm dan 192 Nm tork pada 4,000 rpm. Enjin ini kemudiannya dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan.

    Duduk di atas adalah model yang menggunakan enjin turbo 1.6 liter Gamma T-GDI, yang berkemampuan 204 PS pada 6,000 rpm dan 265 Nm tork pada antara 1,500 hingga 4,500 rpm. Jika dibandingkan dengan kuasa 173 PS/ 220 Nm yang dihasilkan oleh Honda Civic 1.5 turbo, kuasa daripada Elantra ini adalah lebih 31 PS dan 45 Nm. Selain itu, Elantra juga mempunyai kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan serta penukar gear di stereng, berbanding Civic yang menggunakan CVT.

    Model 2.0 NA dan 1.6 Turbo juga mempunyai perbezaan di bahagian bawah badannya, di mana 2.0 NA menggunakan suspensi belakang torsion beam, manakala 1.6 Turbo menggunakan tetapan multi-link. Kesemuanya menggunakan brek cakera, tetapi 1.6 Turbo mendapat unit yang lebih besar satu inci di hadapan, menjadi 16 inci. Semua Elantra baru ini menggunakan rim 17 inci dan tayar 225/45, tetapi mempunyai rekaan yang berbeza.

    Melihat kepada kelengkapan, kedua-dua varian 2.0 mempunyai barangan yang hampir sama, namun varian Dynamic ditambah dengan kita badan lebih agresif, bersama lampu siang LED. Barangan standard yang boleh didapati adalah banyak, termasuk lampu utama projector halogen automatik, lampu kabus (Executive sahaja) dan rim aloi 17 inci dengan rekaan seperti turbin.

    Turut diberi adalah sistem tanpa kunci, bersama butang pemula enjin, kemasan dalam kulit dan suede, cermin pandang belakang malap automatik, pendingin hawa manual dengan corong di belakang, pengesan undur, sistem hiburan dan informasi dengan skrin sesentuh tujuh inci dan sambungan Bluetooth, CarPlay dan Android Auto, kamera undur dan sistem pemerhati tekanan angin tayar.

    Hyundai Elantra AD 2017 dilancar di Malaysia – tiga varian, enjin 2.0 NA, 1.6 Turbo, harga dari RM116k

    Selain mendapat lebih kuasa dan peningkatan casis, pembeli model 1.6 Turbo juga akan dapat menikmati barangan seperti lampu utama HID, lampu siang LED, tempat duduk kulit sepenuhnya, pendingin hawa dwi zon automatik, pedal penukar gear di stereng, pengelap cermin automatik (pengesan hujan), dan ciri keselamatan seperti pengesan titik buta dan rear cross traffic alert (RCTA).

    Varian Sport juga datang dengan gril unik, bersama lencana Turbo, bampar dengan bukaan udara lebih luas, dan lampu utama dengan rekaan yang lebih kompleks. Di bahagian belakangnya terdapat pula diffuser, muncung ekzos berkembar dan lencana ‘Sport’. Rim untuk model ini juga adalah lain.

    Di dalam, terdapat banyak warna merah digunakan, seperti contoh, tempat duduknya (turut dijahit dengan tulisan ‘Sport’ pada bahagian kerusi hadapan), panel pintu, jahitan pada stereng dan pelapik tombol gear, dan keliling karpet. Stereng model ini adalah sama dengan stereng Ioniq, cuma bahagian yang berwarna biru diganti dengan merah.

    Tujuh warna badan ditawarkan untuk Elantra, dan HSDM memberikan jaminan selama lima tahun atau 300,000 km, bersama pakej servis percuma untuk 50,000 km dan boleh dipakai sehingga tiga tahun sebelum ia luput.

    GALERI: Hyundai Elantra 1.6 Sport T-GDI

    GALERI: Hyundai Elantra 2.0 Executive dan 2.0 Dynamic

     
     
  • Yamaha FZ150i, Lagenda 115Z dalam warna baharu

    Dua motosikal popular yang ditawarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) iaitu FZ150i dan Lagenda 115Z akan ditawarkan dalam warna baharu bermula pertengahan Jun ini. Bagi warna sebelum ini, selepas habis dengan yang ada di pasaran, ia tidak akan dikeluarkan lagi oleh HLYM.

    Bagi FZ150i, iaitu sebuah motosikal yang dikuasakan oleh enjin 150 cc suntikan bahan api, dengan sistem penyejukan cecair dan berkemampuan 16 hp dan 14.5 Nm tork, ia akan ditawarkan dalam warna biru, merah dan kuning yang baru.

    Bagi Lagenda 115Z pula, iaitu sebuah motosikal kapcai yang digerakkan oleh enjin satu silinder 113.7 cc empat strok SOHC berkuasa 10 hp dan 9.9 Nm tork, ia kini ditawarkan dalam warna hitam biru dan merah. Lagenda 115Z ini juga mempunyai enjin suntikan bahan api dan kotak gear lima kelajuan.

    Harga termasuk GST yang dikeluarkan oleh HLYM untuk FZ150i warna baru ini adalah RM9,156.28, manakala untuk Lagenda 115Z pula adalah RM5,683.72. Seperti kebiasaan untuk motosikal kapcai Yamaha, kedua-dua motosikal ini didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000 km.

    GALERI: Yamaha FZ150i 2017

    GALERI: Yamaha Lagenda 115Z 2017

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026