Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

    GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

    Minggu lalu, rakan penulis kami dari paultan.org bahasa inggeris, Danny Tan, telah berpeluang ke litar EuroSpeedway Lausitz, Jerman untuk menghadiri sesi media untuk Honda Civic Type-R Eropah. Dalam acara berkenaan, Honda bukan sahaja membawa model generasi baharu FK8, malah mereka turut membawa Civic Type-R versi Eropah generasi-generasi sebelum ini iaitu EP3, FN2, dan juga FK2.

    Mengapa EK9 dan FD2R tidak disertakan sekali pada sesi kali ini? Seperti yang telah dikupas pada artikel sempena 25 tahun legasi Honda Type-R sebelum ini, bukan hanya Honda Jepun yang menghasilkan model-model Type-R, malah Honda UK turut membina versi mereka di kilang Swindon, UK bermula dengan Honda Accord Type-R (CH-1) pada tahun 1999.

    Keempat-empat Civic Type-R yang dipertemukan pada sesi kali ini mempunyai persamaan antara mereka, iaitu memulakan hayat masing-masing juga di kilang Swindon, manakala EK9 dan FD2R adalah model khas JDM yang dibina oleh Honda Jepun.

    GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

    Setelah berjaya menghasilkan Accord Type-R, Honda UK diberi peluang pula untuk membina Civic Type-R versi mereka pada tahun 2001. Untuk membezakan keluarannya dengan Honda Jepun, Civic Type-R berkenaan menggunakan kerangka Civic versi khas untuk pasaran Eropah sahaja iaitu Civic generasi ketujuh hatchback siri EP (ketika ini pasaran Malaysia/Asia hanya menerima Civic generasi ketujuh versi sedan empat-pintu dari siri ES).

    Civic Type-R EP3 menampilkan bentuk cermin tingkap sisi (hadapan dan belakang) yang diinspirasikan dari Civic ‘bullet’ iaitu Civic hatchback generasi kelima (EG). Model ini dikuasakan oleh enjin DOHC i-VTEC Honda generasi baharu K20A 2.0 liter berkuasa 197 hp pada takat 7,400 rpm dan tork maksima 196 Nm pada takat 5,900 rpm.

    Enjin tersebut dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual dengan short-shifter. Tetapi, kotak gear pada Civic Type-R UK ini tidak menerima unit LSD heliks, malah ia turut tidak diberikan dengan tempat duduk dari Recaro (ia tetap diberikan tempat duduk bucket dan kemasan-kemasan dalaman lain berwarna merah.

    Walau bagaimanapun, kilang Swindon ada menghasilkan Civic Type-R EP3 yang dikhaskan untuk dieksport kembali ke Jepun dalam jumlah terhad. Model berkenaan diberikan enjin K20A yang lebih berkuasa, menjana 212 hp dan turut dilengkapi LSD heliks, tempat duduk Recaro serta perincian-perincian lain yang lebih premium.

    Honda UK kembali membina Civic Type-R baharu menggunakan kerangka Civic hatchback Eropah generasi kelapan iaitu dari siri FN di kilang Swindon. Model ini masih menggunakan enjin 2.0 liter DOHC i-VTEC K20A berkuasa 198 hp/193 Nm dan juga kotak gear manual enam-kelajuan lengkap dengan LSD heliks.

    Walau bagaimanapun, prestasi Civic Type-R FN2 ini kurang memberangsangkan berbanding model terdahulu kerana asas Civic Eropah itu sendiri yang dibina berdasarkan platform yang agak seiras dengan Honda Jazz, menampilkan suspensi torsion beam pada bahagian belakang (berbanding sistem bebas multilink pada EP3) serta tangki minyak yang ditempatkan di bawah tempat duduk hadapan.

    Walaupun FN2 mendapat kritikan di Eropah, perkara sebaliknya berlaku di Jepun. Honda Jepun turut menghasilkan Civic Type-R generasi baharu versi mereka, menggunakan kerangka Civic sedan empat pintu generasi kelapan iaitu FD2. Asas Civic FD itu sendiri merupakan Civic paling sempurna pernah dihasilkan pada ketika itu, menampilkan bukan sahaja rupa yang sporty dan dan juga futuristik, ia turut diberikan sistem suspensi yang bagus dan juga kerangka yang lebih dinamik.

    Honda Civic Type-R FD2 antara model Type-R terbaik pernah dihasilkan oleh Honda Jepun, malangnya, kereta berkenaan merupakan model Type-R terakhir yang dikeluarkan oleh mereka. Model ini juga merupakan satu-satunya Type-R yang dibawa masuk ke negara kita secara rasmi oleh Honda Malaysia (dan juga satu-satunya pasaran luar Jepun yang menerimanya), dijual pada harga RM200k ketika itu.

    Pengumuman Honda untuk menghentikan pembinaan model-model Type-R sebelum ini ternyata hanya berkuatkuasa untuk Honda Jepun, tetapi tidak melibatkan Honda UK. Pada 2014, Honda UK mengesahkan Civic Type-R generasi baharu akan dibina di kilang Swindon mereka.

    Model berkenaan akhirnya didedahkan secara rasmi di Geneva Motor Show 2015, bersama Honda NSX generasi kedua. Type-R baharu ini diasaskan dari Civic hatchback lima-pintu pasaran Eropah, yang turut membawa sekali sistem suspensi torsion beam pada bahagian belakang.

    Namun apa yang menjadi perhatian pada model baharu ini adalah enjinnya, di mana ia dikuasakan oleh enjin K20C 2.0 liter empat silinder VTEC Turbo suntikan bahan api terus yang mampu menjana 306 hp pada takat 6,500 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Ini menjadikan FK2R ini sebagai Civic Type-R paling berkuasa dalam sejarah ketika itu dan juga Type-R pertama diberikan pengecas turbo.

    Kuasa liar berkenaan disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan manual lengkap dengan LSD heliks, membolehkan ia mencatatkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 285 km/j. Honda turut memadankan butang R+ pada model ini yang meningkatkan respon casis, pendikit dan juga enjin bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih mengujakan.

    GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

    Kehadiran Civic FK2R ini dalam pasaran seolah-olah Honda ‘melancarkan serangan’ ke atas model-model hot-hatch pacuan roda hadapan di Eropah termasuk Renault Megane RS, Volkswagen Golf GTI dan juga Ford Focus ST.

    Setahun sebelum Civic ini diperkenalkan, Renault Megane RS 275 Trophy-R telah dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan paling pantas di litar Nurburgring dengan catatan masa 7 minit 54.36 saat. Rekod berkenaan kemudiannya dipecahkan pula oleh Honda Civic Type-R dengan catatan masa 7 minit 50.63 saat. Walau bagaimanapun, rekod tersebut telah dipecahkan sekali lagi pada tahun lalu oleh Volkswagen Golf GTI Clubsport S dengan catatan masa 7 minit 49.21 saat.

    GALERI: Honda Civic Type-R 2017 FK8 bersama hatchback generasi terdahulu – EP3, FN2, dan FK2

    Namun seperti dijangka, selepas pengenalan Civic Type-R generasi baharu (dikenali dengan kod casis FK8), rekod berkenaan sekali lagi bakal dirampas kembali oleh Honda. FK8 masih dikuasakan enjin yang sama dari FK2, cuma kuasa dapat diekstrak hanya lebih 10 PS dari sebelum itu manakala angka tork maksimanya masih kekal 400 Nm.

    Tetapi dengan suspensi multilink yang mengambil alih tempat suspensi torsion beam sebelum ini, dan juga kit aerodinamik yang lebih agresif, FK8 berjaya mencatatkan masa 7 minit 43.8 saat – 6.83 saat lebih pantas dari FK2 dan 3.39 lebih laju dari Golf GTI Clubsport S – membolehkan ia dinobatkan sebagai kereta pacuan hadapan paling pantas di litar “The Green Hell” tersebut.

    GALERI: Honda Civic Type-R EP3

    GALERI: Honda Civic Type-R FN2

    GALERI: Honda Civic Type-R FK2

     
     
  • VIDEO: Mercedes-Benz S-Class W222 facelift 2018 diuji keluar dari baris produksi kilang tanpa pemandu

    Mercedes-Benz S-Class W222 facelift 2018 telah pun membuat kemunculan sulungnya pada April lalu di Auto Shanghai 2017, manakala produksinya kini telah pun bermula di kilang Mercedes di Sindelfingen, Jerman.

    Model versi kemaskini berkenaan bakal masuk kepasaran bermula bulan ini, dan sebagai ujian permulaan, kereta tersebut akan keluar dari barisan produksi ke kawasan penyimpanan kilang secara automatik, tanpa pemandu. Dalam video di atas dapat disaksikan S 560 4Matic berwarna Obsidian Black Metallic bergerak sendiri dalam jarak sekitar 1.5 km melalui kawasan sempit di dalam kilang.

    Unit berkenaan diberikan peralatan tambahan yang diletakkan pada sisi bumbung bahagian pemandu, manakala penentuan laluan di dalam kilang tersebut masih menggunakan kamera, radar dan juga penderia ultrasonic yang sememangnya telah dipadankan secara standard pada sedan ini. Ia turut diberikan perisian baharu yang sangat berkuasa yang mampu memecut dan menghentikan S-Class ini tanpa bantuan manusia ketika melalui laluan sempit kilang tersebut.

    Program ujian permulaan ini dilakukan untuk meninjau kemungkinan sistem tersebut boleh digunakan untuk menggantikan sistem sedia ada pada kilang itu yang masih menggunakan manusia bagi memandu keluar kereta yang sudah siap dari barisan produksi ke kawasan penyimpanan. Buat masa sekarang, pekerja yang, menghantar kereta-kereta yang telah siap tersebut perlu menggunakan servis kenderaan shuttle untuk pulang semula ke kilang setelah menyelesaikan tugas tersebut, dan ia jelas memakan masa.

     
     
  • Volkswagen Gen.E concept – prebiu Golf akan datang?

    Volkswagen Gen.E concept – prebiu Golf akan datang?

    Dalam acara Future Mobility Days di Jerman baru-baru ini, Volkswagen telah mendedahkan model Gen.E, kenderaan yang sedang diuji untuk pelan elektrifikasi jenama itu.

    Daripada sudut penggayaannya, Gen.E kelihatan seperti model Golf tiga-pintu yang tampil dengan imej futuristik, termasuk ukiran bentuk badannya, tingkap belakang yang bersisir, kamera menggantikan cermin sisi dan lampu utama yang lebih langsing. Model prototaip ini turut menampilkan lampu berbentuk-C dan kamera yang dipasang di bawah, memungkinkan ia mempunyai sokongan fungsi pemanduan sendiri.

    Selain itu, pintu gullwing dan pemegang pintu yang seperti terpasak ke dalam, turut memberikan kesan aerodinamik pada model ini. Manakala bahagian dalamannya dikatakan lebih konvensional. Dengan segala penampilan itu, adakah ia memberikan gambaran atau prebiu bagi model Golf yang akan datang? Tunggu dan lihat.

    Volkswagen Gen.E concept – prebiu Golf akan datang?

    Volkswagen turut mendedahkan Gen.E “memberikan kecekapan bagi mobiliti jarak jauh yang lebih menjimatkan dengan jarak melebihi 400 km.” Seperti salah satu gambar yang didedahkan ini, Gen.E turut didatangkan dengan soket pengecasan hadapan, yang dikatakan mampu dipasang pada pengecas tiga fasa di stesen pengecasan awam.

    Walau bagaimana pun, pengeluar kenderaan ini belum bersedia mendedahkan penjana kuasa elektrik bagi model konsep ini, namun digambarkan pek baterinya yang memiliki sel lithium-ion yang lebih maju dan mampu menyalurkan kuasa lebih optimum pada motor elektriknya. Malahan, Volkswagen turut berkata robot pengecasan bergerak sedang dibangunkan untuk kegunaan pengecasan yang lebih mudah.

    Bukan itu sahaja, model prototaip ini juga dibangunkan dengan binaan yang lebih ringan serta “direka bagi memaksimumkan keselamatan pelanggaran.” Ia digambarkan untuk platform Volkswagen Modular Electrification Toolkit (MEB), yang turut ditampilkan pada model konsep I.D.

     
     
  • Husqvarna Vitpilen 401 dan Svartpilen 401 2018 akan dikeluarkan di India melalui KTM dan Bajaj Auto

    Motosikal naked Husqvarna Vitpilen dan Svartpilen dilancarkan tahun lalu, dengan membawa hala tuju baru bagi syarikat pengeluar motosikal dari Sweden tersebut. Terbaru, dua motosikal ini diberitahu akan dikeluarkan di India menjelang tahun 2018, melalui kerjasama dengan KTM dan juga Bajaj Auto.

    Langkah ini adalah salah satu strategi untuk membawa Husqvarna ke peringkat global dan mengikuti arus perdana, di mana pengeluaran globalnya akan dipindah ke pusat pengeluaran Bajaj di Chakan, India. Walaupun begitu, ia hanya akan dilakukan pada tahun 2018, iaitu selepas pengeluaran awal dilakukan di kilang KTM di Mattighofen, Austria pada tahun ini.

    Ketua pegawai eksekutif KTM, Stefan Pierer dan pengarah urusan Bajaj, Rajiv Bajaj kedua-dua bersetuju untuk melakukan perkara ini demi meningkatkan skala ekonomi jenama Husqvarna dan membawa ia ke tahap yang lebih tinggi. Husqvarna terkenal dengan penawaran jentera enduro dan motocross yang hebat, dengan mempunyai reputasi baik termasuk dalam siri perlumbaan.

    Kedua-dua Vitpilen dan Svartpilen akan berkongsi enjin yang sama, iaitu unit satu silinder 373 cc yang diambil daripada model KTM Duke/RC 390, dan ia boleh menghasilkan 43 hp dan 37 Nm tork. Casisnya juga adalah daripada Duke 390, tetapi dipasang dengan panel badan yang berbeza – Vitpilen menjadi seperti cafe racer dan Svartpilen bergaya scrambler.

    Bajaj mensasarkan peningkatan jualan motosikal jenama Husqvarna untuk menyamai motosikal KTM di pasaran seperti India dan Indonesia. Kilangnya pada masa ini mengeluarkan 100,000 motosikal setahun, dan Bajaj menjangka jumlah ini boleh berganda, dengan penyertaan Husqvarna.

    GALERI: Husqvarna Svartpilen 401 2018

    GALERI: Husqvarna Vitpilen 401 2018

     
     
  • Replika Mercedes-AMG G63 6×6 dari Suzuki Jimny oleh pelajar Nihon Automotive Technology School

    Sekali pandang, jentera 6×6 ini memang sebuah Mercedes-AMG G63 6×6 seperti yang dimiliki oleh Tunku Mahkota Johor (berharga lebih dari RM2 juta), tetapi mengapa saiznya kelihatan jauh lebih kecil? Sebenarnya, ia bukan G63 asli, tetapi sebuah replika yang dihasilkan dari SUV 4WD kecil Suzuki Jimny JA11 klasik oleh pelajar-pelajar Nihon Automotive Technology School (NATS), Jepun.

    Jika anda biasa membaca berkenaan laporan-laporan dari Tokyo Auto Salon (TAS), nama NATS tentunya tidak asing kerana kolej berkenaan merupakan peserta tetap yang menghantar hasil karya mereka ke TAS setiap tahun.

    Berbalik pada trak replika ini, pelajar-pelajar NATS telah menggabungkan dua buah Suzuki Jimny untuk menghasilkan sebuah Mercedes-AMG G63 versi enam roda. Gabungan tersebut dilakukan pada bahagian belakang, di mana ia telah dipotong kemudian disambungkan untuk menjadi lebih panjang, serta gandar belakang yang lengkap dengan sistem brek turut diletakkan dibelakang unit sedia ada.

    Replika Mercedes-AMG G63 6×6 dari Suzuki Jimny oleh pelajar Nihon Automotive Technology School

    Walau bagaimanapun, gandar tambahan berkenaan tidak disambungkan dengan sistem transmisi, bermaksud trak ini sebenarnya masih lagi sebuah jentera 4×4, cuma diberikan dengan dua lagi tayar belakang menjadikan enam tayar secara keseluruhan. Jimny ini juga masih dijana oleh enjin asalnya (tidak disebutkan enjin dari varian mana, tetapi memandangkan ia versi JDM, berkemungkinan dijana enjin tiga silinder 657cc).

    Bagi memberikan rupa yang sangat seiras dengan G63, pelajar-pelajar berkenaan memadankan gril hadapan, lampu hadapan, serta lampu belakang asli dari Mercedes. Jimny ini juga menerima bampar hadapan asli G63, tetapi terpaksa dikecilkan bagi membolehkan ia sesuai dengan saiznya.

    Mercedes-AMG G63 asli menampilkan kayu asli pada lantai ruang kargo belakang. Replika ini sebaliknya tidak menggunakan bahan dari kayu, tetapi lantai pada bahagian berkenaan telah diberikan semburan air brush dengan corak menyerupai elemen kayu sebenar. Ia turut menerima roll bar unik bagi menyerlahkan bahagian tersebut. Pintu tailgate Jimny ini juga direka semula agar ia kelihatan dan berfungsi sama seperti G63 asli.

    Menurut ketua guru Kursus Customize di NATS, Yoshihisha Takayama, kolejnya mempunyai 750 orang pelajar yang menuntut dalam empat jenis kursus. Secara asas, kesemua pelajar perlu mengambil Kursus Penyelenggaraan selama dua tahun bagi melayakkan mereka diiktiraf sebagai mekanik kelas 2 di Jepun. Kemudian, mereka boleh memilih untuk menyambung pengajian dalam tiga kursus berbeza iaitu Sukan Permotoran (setahun), Customize (setahun) atau Penyelidikan (dua tahun).

    Projek replika G63 6×6 ini merupakan salah satu projek pelajar-pelajar dari kursus Customize yang telahpun dibawa ke TAS. Seperti juga projek-projek lain, ia dimulakan pada bulan Julai (kursus asas bermula bulan April dan berakhir pada Jun) dan mereka mempunyai masa selama setengah tahun sebelum TAS berlangsung pada Januari tahun berikutnya.

    Selepas dipamerkan di TAS, kenderaan ini akan menjalani ujian yang diselia oleh jabatan pengangkutan jalan negara berkenaan. Setelah diluluskan untuk digunakan secara sah di atas jalan raya, pelajar-pelajar berkenaan perlu mengujinya pada jalan raya sebenar yang digelar “Test Run Caravan”. Lengkap kesemua proses ini, barulah mereka diiktiraf lulus dan boleh menamatkan pengajian di NATS.

     
     
  • Audi A8 2018 punya tempat duduk belakang istimewa

    Setelah membuat penampilan rasmi, tetapi masih menggunakan pelekat camouflage sewaktu tayangan perdana filem Spider-Man terbaru, Audi A8 2018 kini ditampilkan lagi dalam sebuah video teaser sebelum diperkenalkan secara rasmi pada 11 Julai ini di Barcelona.

    Kali ini, bahagian dalam kenderaan tersebut boleh dilihat, terutamanya bahagian belakang, iaitu tempat di mana kebanyakan pembeli model ini akan duduk. Bagi memastikan keselesaan penumpang yang terbaik, selain tempat duduk yang empuk, ia juga akan dilengkapi dengan tempat duduk yang mempunyai fungsi mengurut kaki.

    Dalam video berkonsepkan Spider-Man ini, pelakonnya yang diikat dilihat menekan skrin sesentuh yang terdapat di konsol tengah untuk mengeluarkan tempat rehat kaki tersebut, dan ia juga mempunyai pelbagai fungsi yang lain. Selain daripada itu, kami juga menjangka tempat duduk ini akan mempunyai fungsi mengurut bahagian belakang badan.

    Sebelum ini juga Audi telah mengeluarkan beberapa buah video teaser lain untuk Audi A8, yang menunjukkan sistem suspensi aktif, sistem pemanduan autonomous, sistem elektrikal 48-volt dan kerangka Audi Space Frame yang digunakan padanya.

     
     
  • VIDEO: BMW i8 Roadster muncul buat kali pertama

    BMW telah memperkenalkan buat pertama kalinya secara rasmi model i8 dengan bumbung boleh buka dalam sebuah video teaser pendek, seterusnya memberitahu bahawa ia tidak akan dikenali sebagai Spyder, tetapi i8 Roadster.

    Video ini tidak menunjukkan begitu banyak tentang ahli ketiga dalam keluarga model i BMW ini memandangkan ia masih menggunakan pelekat camouflage seperti waktu ia ditemui menjalani ujian jalanan dan musim sejuk awal tahun ini. BMW turut menyatakan bahawa kereta ini sedang menjalani ujian akhir dan akan tiba di pasaran pada tahun 2018.

    BMW i8 Roadster dijangka menggunakan sistem eDrive seperti i8 Coupe, tetapi mempunyai versi yang dinaik taraf, disebabkan model bumbung tegar tersebut sudahpun hampir tiba waktu untuk diperbaharui, berkemungkinan hujung tahun ini.

    Laporan sebelum ini menyatakan, selain perubahan casis, kedua-dua motor elektrik i8, dan enjin tiga silinder turbo 1.5 liter padanya akan diberi naik taraf teknikal dan menawarkan kuasa yang lebih. Turut boleh dijangka adalah perisian baru untuk transmisi automatik enam kelajuan dan pek baterinya.

    Video ini turut mendedahkan beberapa nombor penting lain – enjin pada i8 Roadster ini boleh menghasilkan penggunaan bahan api bercampur 2.0 liter bagi setiap 100 km, serta penggunaan tenaga bateri 15.4 kWh bagi setiap 100 km.

    GALERI: BMW i8 Roadster sewaktu menjalani ujian

     
     
  • Proton Exora 2017 kini di pasaran – hanya Turbo CVT, beg udara sisi ditiadakan, RM67,800 hingga RM75,800

    Proton Exora 2017 kini di pasaran – hanya Turbo CVT, beg udara sisi ditiadakan, RM67,800 hingga RM75,800

    Spesifikasi dan harga bagi Proton Exora 2017 telah pun didedahkan di laman web Proton Edar. Menurut sumber Proton yang mengesahkan, MPV tujuh-tempat duduk yang dipertingkatkan ini telah pun mula berada di pasaran.

    Hanya dua varian ditawarkan setakat ini, kedua-duanya dijanakan oleh enjin 1.6 liter CamPro Turbo dengan kuasa 138 hp dan 205 Nm, dipadankan bersama CVT. Harganya bermula RM67,800 untuk model Executive, meningkat sehingga RM75,800 untuk Executive Plus. Manakala varian tertinggi Premium dan Super Premium telah digugurkan dari barisan, sama seperti model asas Standard.

    Perubahan kosmetik dilihat agak ketara bagi model berusia lapan tahun ini, di mana kesemua modelnya kini menerima padanan aloi 16-inci secara standard, dengan varian Executive tampil dengan rim berwarna perak 10-jejari seperti mana varian premium dan Super Premium yang terdahulu. Manakala Executive Plus pula dipadankan dengan rim dua-tona seperti Inspira. Pilihan warna baharu Red Ruby seperti Perdana juga telah ditambah.

    Proton Exora 2017 kini di pasaran – hanya Turbo CVT, beg udara sisi ditiadakan, RM67,800 hingga RM75,800

    Lain-lain penambaikan termasulkan logo Proton yang baharu, lampu utama yang sedikit gelap, gril hadapan hitam berkilat dan jaluran pada pintu belakang bagi model Executive. Manakala bagi Executive Plus pula tampil dengan perumah cermin sisi, bumbung, spoiler belakang dan pintu belakang dengan kekemasan hitam berkilat, lampu nyalaan siang LED, kit badan kelabu gelap, jaluran pada pintu, hiasan hitam pada tiang dan lampu kabus belakang.

    Di bahagian dalamnya, kelihatan kekemasan plastik dengan paten baharu pada konsol tengah dan sekeliling tuil gear, bersama jaluran tengah yang baharu pada upholstery kulit, kedua-duanya eksklusif untuk Executive Plus. Kit standard termasuk tempat duduk fabrik, pemain CD/radio dengan sambungan Bluetooth, empat-pembesar suara, kamera undur, corong udara untuk tempat duduk barisan-kedua dan ketiga serta port USB baharu.

    Proton Exora 2017 kini di pasaran – hanya Turbo CVT, beg udara sisi ditiadakan, RM67,800 hingga RM75,800

    Walau bagaimana pun, varian Executive Plus menerima elemen tambahan termasuk cermin sisi larasan berkuasa, tempat duduk balutan kulit, roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit, perehat tangan hadapan, kawalan kelajuan, pemainn DVD di belakang dengan skrin paparan sembilan-indi dan lapisan pelindung cermin.

    Bagi aspek keselamatan, kesemua model menerima dua beg udara dan ABS dengan EBD, bagi model Executive Plus menerima kawalan kestabilan. Walau bagaimana pun, beg udara sisi yang sebelum ini ditawarkan pada model Premium dan Super Premium, kini telah ditiadakan untuk barisan Exora baharu.

     
     
  • iRAP beri penarafan 3-bintang untuk 95.4% jalan di 4 lebuhraya di M’sia, penilaian bakal diperluaskan – Liow

    iRAP beri penarafan 3-bintang untuk 95.4% jalan di 4 lebuhraya di M’sia, penilaian bakal diperluaskan – Liow

    Program Penilaian Jalan Raya (iRAP) yang menilai lebuhraya di Malaysia mendapati 95.4% jalan raya di empat lebuhraya layak menerima penarafan tiga-bintang.

    Menurut Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai, sejumlah 2,370 kilometer (km) jalan di kedua-dua arah di empat lebuh raya ‘inter-urban’ di Semenanjung Malaysia iaitu Kuala Lumpur-Bukit Kayu Hitam (929.4 km), Kuala Lumpur-Johor Bahru (621.8 km), Kuala Lumpur-Kuantan (454.5 km) dan Kuantan-Terengganu (364.5 km) dinilai dengan menggunakan iRAP Star Rating Protocol Version 3 untuk laporan iRAP Malaysia yang pertama, laporan Bernama.

    Beliau berkata penilaian awal mendapati hanya 52.4% di lebuh raya itu mendapat penarafan tiga-bintang, namun, selepas enam bulan penambahbaikan seperti pemasangan penghadang di lokasi berisiko kemalangan, ia meningkat kepada 95.4%.

    “Laporan iRAP Malaysia yang pertama ini menunjukkan hasil positif penambahbaikan yang dijalankan dengan usaha sama merentasi pelbagai sektor. Ini merupakan petanda bahawa negara sedang berkembang secara baik dalam mencapai 75% perjalanan di jalan tiga-bintang ke atas pada 2020,” katanya kepada pihak pemberita.

    Liow berkata MIROS akan memperluas penilaian iRAP itu di lebuh raya bandar, jalan persekutuan dan jalan negeri termasuk di Sabah dan Sarawak yang sejauh lebih 4,000 km, bermula tahun ini.

    Beliau berkata penilaian iRAP di Sarawak dijangka dilakukan pada Ogos ini dan di Sabah pada tahun depan.

    “Penilaian dan penarafan bintang bagi lebuh raya dan jalan persekutuan serta negeri yang menepati piawaian dan aspek keselamatan akan mengurangkan kadar kemalangan dalam negara dan menyelamatkan nyawa,” katanya.

    Menurutnya dengan adanya laporan iRAP, pihak berkaitan seperti Jabatan Kerja Raya, pengusaha lebuhraya dan jalan raya boleh menambah baik jalan demi keselamatan pengguna manakala pengguna boleh membuat pemilihan jalan yang selamat untuk perjalanan yang lebih selesa

     
     
  • Honda Malaysia teruskan usaha panggil semula semua kenderaannya yang terjejas oleh beg udara Takata

    Honda Malaysia teruskan usaha panggil semula semua kenderaannya yang terjejas oleh beg udara Takata

    Honda masih lagi berusaha untuk memastikan semua kenderaan keluarannya di Malaysia yang terjejas dengan isu inflator beg udara Takata dapat dipanggil semula dan komponen yang bermasalah berkenaan dapat ditukar dengan unit yang baharu bagi memastikan keselamatan penggunanya.

    Sehingga 29 Jun 2017, Honda Malaysia telah melengkapkan penukaran terhadap inflator beg udara bahagian pemandu dengan kadar 80.2%, manakala untuk inflator bahagian penumpang hadapan pula telah lengkap ditukar pada kadar 55.9% dari jumlah keseluruhan kenderaan yang terjejas.

    Untuk bulan Julai ini, usaha berkenaan bakal dipertingkatkan dengan memperkenalkan lebih banyak hub penukaran bergerak di pusat-pusat membeli-belah seluruh negara serta pelbagai roadshow jualan bergerak di pusat-pusat membeli-belah terpilih pada setiap hujung minggu (rujuk jadual di bawah). Hub-hub tambahan ini disediakan bagi mempercepatkan lagi usaha untuk melengkapkan panggilan semula ini, selain menerusi pusat-pusat servis bertauliah Honda, serta stesen-stesen Petronas terpilih di seluruh negara.


    Klik untuk besarkan

    Bagi mereka yang mahu menukar inflator beg udara tersebut di pusat servis Honda bertauliah, anda terlebih dahulu perlu membuat temu janji bagi mengelakkan kelewatan berlaku untuk proses penukaran. Manakala untuk mereka memilih untuk menukarnya di hab-hab bergerak pusat membeli-belah dan stesen-stesen Petronas terpilih, tiada sebarang temu janji perlu dilakukan (Untuk pemilik Civic Type-R FD2R, anda perlu membuat temu janji di pusat servis).

    Setakat Jun 2017, stok alat ganti untuk inflator beg udara Takata bahagian pemandu dan juga bahagian penumpang hadapan berada pada tahap 100%. Honda Malaysia juga kini komited untuk mengambil langkah-langkah tambahan bagi menambah baik nisbah lengkap untuk penukaran inflator antara bahagian pemandu dan penumpang hadapan.

    Jika anda ragu-ragu sama ada kenderaan Honda anda terlibat atau tidak dengan panggilan semula ini, anda boleh lawati laman web khas yang disediakan DI SINI, dan masukkkan nombor pengenalan kenderaan (VIN) atau dikenali juga sebagai nombor casis kereta anda DI LAMAN TERSEBUT. Anda juga boleh memeriksa status kereta anda atau untuk mengetahui dengan lebih lanjut berkenaan apa-apa juga tentang isu ini dengan menghubungi talian 1800-88-2020 atau kunjungi mana-mana pengedar sah Honda.

     
     
  • Zaqhwan Zaidi akan berlumba dalam Suzuka 8 Hours

    Zaqhwan Zaidi akan berlumba dalam Suzuka 8 Hours

    Perlumbaan Suzuka 8 Hours adalah cukup terkenal dalam dunia perlumbaan motosikal dan telah dianjurkan sejak tahun 1978 lagi. Dalam pusingan seterusnya yang akan berlangsung pada 30 Julai ini, pelumba dari Malaysia iaitu Zaqhwan Zaidi diberikan peluang untuk menunjukkan kemampuan berlumba dalam acara tersebut.

    Perlumbaan akan dijalankan selama lapan jam tanpa henti, dan Zaqhwan yang berlumba melalui pasukan Satu HATI. Honda Team Asia akan disertai dengan dua lagi rakan sepasukan iaitu Dimas Ekky Pratama dari Indonesia dan Ratthapong Wilairot dari Thailand.

    Penyertaan Honda kali ini dalam Suzuka 8 Hours boleh dikatakan berskala besar dengan lebih lapan kumpulan dan 24 pelumba, disokong secara rasmi oleh Honda Racing Corporation menggunakan jentera CBR1000RR SP2. Jumlah ini tidak termasuk pasukan persenidiran lain yang turut menggunakan motosikal Honda.

    Pasukan Satu HATI. Honda Team Asia telah menyertai Suzuka 8 Hours enam tahun berturut-turut dan tahun lepas, ia adalah pasukan Honda terbaik dengan berada di tempat ke lapan secara keseluruhan. Pasukan tiga orang pelumba Asia kali ini akan menggunakan jentera CBR1000RR berenjin empat silinder sebaris 999.8 cc yang berkemampuan 189 hp pada 13,000 rpm dan 116 Nm pada 11,000 rpm.

     
     
  • JPJ Perak buka bidaan plat nombor ‘AKU 8055’

    JPJ Perak buka bidaan plat nombor ‘AKU 8055’

    Jika anda tercari-cari plat nombor pendaftaran bagi kenderaan yang ‘unik’ atau ‘ada makna tersirat’, mungkin anda perlu melabur sedikit wang ringgit untk membida nombor dari siri ‘AKU’ yang telah pun dibuka oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak mulai hari ini. Antara nombor pendaftaran yang dijangka bakal menerima sambutan ialah ‘AKU 805’, ‘AKU 8055’ dan ‘AKU 1305’ yang dikatakan membawa erti ‘AKU BOSS’.

    Menurut Pengarahnya Mohd Zawawi Zakaria, nombor siri yang bermula dari nombor 1 hingga 9999 ditawarkan kepada orang ramai mengikut nombor pilihan masing-masing dengan pendaftaran sebanyak RM10. Nombor siri yang ditawarkan terbahagi kepada tiga kategori iaitu Nombor Bernilai Utama iaitu 1 hingga 10, Nombor Menarik antaranya 2222, 4444, 11, 12 dan 14, dan Nombor Popular seperti 9090, 7070, 2266 dan 4400, laporan Bernama.

    Manakala bagi Nombor Bernilai Utama, harga minimum RM10,000, Nombor Menarik minimum RM2,000 manakala Nombor Popular harga minimum RM300. Tempoh bidaan adalah bermula hari ini dan berakhir pada 18 Julai 2017.

    Mohd Zawawi berkata, ada beberapa nombor pendaftaran yang tidak termasuk dalam kategori nombor pilihan namun menjadi pilihan ramai termasuk selebriti turut dimasukkan dalam tender dan dikategorikan sebagai Nombor Popular seperti 8055, 1305 dan 805.

    “Kita tidak boleh jangka berapa nilai bidaan tertinggi bagi nombor tersebut, ramai yang memilih nombor itu kerana ia seperti perkataan “AKU BOSS”, katanya sambil menambah keputusan bagi permohonan dijangka diperoleh dua hingga tiga minggu selepas tarikh tamat permohonan.

     
     
  • Honda dan Hitachi tubuh syarikat motor elektrik EV

    Honda dan Hitachi tubuh syarikat motor elektrik EV

    Honda dan Hitachi Automotive Systems hari ini mengumumkan penubuhan sebuah syarikat kerjasama untuk pembangunan, pengeluaran dan penjualan motor untuk kenderaan elektrik. Dua syarikat ini telah mengeluarkan perancangan untuk menubuhkan syarikat ini awal Februari lalu, dan perjanjiannya telah ditanda tangani pada bulan Mac.

    Syarikat baru yang dinamakan sebagai Hitachi Automotive Electric Motor Systems ini akan berpusat di pejabat Hitachi Automotive Systems di Hitachinaka-shi, wilayah Ibaraki, Jepun, dengan 51% pegangannya dimiliki oleh Hitachi manakala 49% selebihnya adalah milik Honda.

    Objektif syarikat ini adalah untuk mengembangkan lagi bekalan global motor elektrik, untuk Honda dan juga pengeluar kenderaan lain. Wakil syarikat tersebut turut menyatakan bahawa pasaran kenderaan elektrik dijangka akan terus berkembang, kerjasama ini dapat mengukuhkan kelebihan bersaing serta asas perniagaan untuk pembangunan motor.

    Sebelum ini juga pernah dilaporkan bahawa cabang operasi syarikat kerjasama baru ini sedang dirancang untuk Amerika Syarikat dan China, dengan pusat pengeluaran dan jualan di sana.

     
     
  • Honda Civic Type R sedia ke Australia – AU$50,990

    Honda Civic Type R sedia ke Australia – AU$50,990

    Honda Civic Type R sudah pun bersedia untuk mendarat di pasaran Australia, malah harga dan spesifikasinya juga telah diumumkan. Civic Type R generasi ke-lima ini bakal ditawarkan dengan spesifikasi tunggal, pada harga AU$50,990 (RM168,145).

    Dengan harga yang diumumkan itu meletakkan jentera ini di antara Volkswagen Golf R dan Ford Focus RS, di bawah Mercedes-AMG A 45, dalam pasaran.

    Type R seberat 1,393 kg ini dijanakan oleh enjin 2.0 liter VTEC Turbo, dan dipadankan dengan transmisi manual enam-kelajuan dengan fungsi rev-matching. Untuk Australia, penjana kuasa ini menawarkan 306 hp pada 6,500 rpm dan tork 400 Nm antara 2,500-4,500 rpm, dengan menggunakan petrol RON 95. Kuasa yang dihamburkan ini lebih rendah daripada spesifikasi yang ditawarkan di UK, iaitu dengan 316 hp (atau 320 PS).

    Elemen standard untuk jentera ini, yang dipadankan bersama rim aloi hitam Berlina 20-inci dibaluti tayar Cotinental SportContact 6 245/30, termasuk peredam adaptif dengan tiga mod pemanduan (Comfort, Sport dan R+), pakej brek Brembo dengan pengaliran 350 mm untuk hadapan dan 305 mm cakera solid di belakang serta nombor plat unik Type R.

    Model spesifikasi Australia juga bakal dilengkapi dengan LaneWatch termasuk aspek keselamatan Honda Sensing, sistem Advanced Display Audio dengan skrin sesentuh tujuh-inci dan sokongan Apple CarPlay/Android Auto serta kemasukan pintar bersama butang penghidup enjin.

    Ia turut ditawarkan dengan lima pilihan warna dalaman – Championship White, Rally Red, Brilliant Sporty Blue dan dua rona bebayang mutiara termasuk Crystal Black dan Sonic Grey.

    Sejak tempahannya dibuka pada Mei lalu, Honda Australia berkata buat setakat ini pihaknya telah menerima 250 tempahan dan lebih 5,000 pendaftaran yang berminat untuk membeli Type R ini.

    Malah model prestasi ini juga bakal menjelma di pasaran negara kita tidak lama lagi, menjadi salah satu daripada enam model yang dibawa masuk oleh Honda Malaysia pada tahun ini.

     
     
  • Nissan Leaf 2018 bakal diperkenalkan 6 Sept ini

    Nissan Leaf 2018 bakal diperkenalkan 6 Sept ini

    Nissan telah mengumumkan pengenalan rasmi bagi serba baharu model Leaf 2018 bakal berlangsung pada 6 September ini. Berikutan pengumuman ini, Nissan turut menyebarkan imej teaser baharu bagi kenderaan elektrik (EV) tersebut.

    Melihat sedikit bahagian hadapan yang didedahkan ini, ternyata Leaf 2018 ini ditampilkan dengan gril V-motion yang nampak lebih menyerlah. Dipadankan pula dengan lampu utama yang lebih tajam. Malahan imej model baharu ini dikatakan sangat berbeza dengan yang sebelumnya. Leaf serba baharu ini dikatakan banyak mengambil ilham rekaan luaran daripada model Micra, dengan sebahagiannya dari IDS Concept.

    Selain itu, Leaf 2018 ini juga bakal mengadaptasi teknologi bantuan-pemanduan Nissan ProPILOT Assist yang membolehkan kereta ini dipandu sendiri ketika merentasi pemanduan lorong tunggal

    GALERI: Foto spyshot Nissan Leaf 2018

     
     
  • Tesla Model S dan Model X diberi peningkatan prestasi

    Tesla Model S dan Model X diberi peningkatan prestasi

    Tesla telah mengumumkan beberapa peningkatan prestasi bagi Model S dan Model X, hasil daripada penukaran beberapa peralatan dan perisian. Menurut Electrek, hanya kenderaan yang baru dibuat sahaja akan menerima peningkatan ini, dan bukannya yang telah dibina sebelum ini.

    Bagi Model S, versi asas Model S 75 dan Model S 75D yang mempunyai dua motor kini boleh memecut dari 0 ke 96 km/j (60 mph) dengan lebih pantas berbanding sebelum ini. Model S baru yang dikeluarkan boleh mencatat masa 4.3 saat (berbanding 5.5 saat sebelum ini) manakala Model S 75D boleh melakukannya dalam masa 4.2 saat (sebelum ini 5.2 saat).

    Model S 110D turut menerima sedikit penambahbaikan dalam kemampuan memecut, apabila ia kini boleh mencatat masa 4.1 saat, iaitu 0.1 saat lebih pantas berbanding sebelum ini.

    Tesla Model S dan Model X diberi peningkatan prestasi

    Seterusnya, bagi Model X dua motor, peningkatan prestasinya lebih jelas apabila ia kini boleh memecut 0-96 km/j dalam masa 4.9 saat, berbanding sebelum ini 6.0 saat. Model X 100D pula boleh mencatat masa 4.7 saat (sebelum ini 5.2 saat).

    SUV elektrik Tesla ini juga mendapat konfigurasi tujuh tempat duduk baru, di mana tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilipat sehingga menjadi rata. Ia boleh didapati dengan tambahan USD3,000.

     
     
  • Porsche 911 GT2 RS – 911 paling berkuasa, 700 hp

    Porsche 911 GT2 RS – 911 paling berkuasa, 700 hp

    Porsche telah mengeluarkan 911 versi yang lebih berkuasa semasa acara Goodwood Festival of Speed yang berlangsung hujung minggu lalu. Model yang dinamakan sebagai 911 GT2 RS ini dibina dengan formula yang didapati daripada model sebelum ini tetapi ditambah dengan lebih kuasa.

    Keseluruhannya, 700 hp dan 750 Nm tork boleh didapati daripada enjin enam silinder 3.8 liter twin-turbo yang digunakan, dan enjin ini asasnya diambil daripada model Turbo S, tetapi diletakkan dengan pengecas turbo yang lebih besar dan sistem penyejukan tambahan. Sistem ini boleh menyemburkan air untuk menyejukkan udara pada suhu tinggi, seperti M4 GTS. Hasilnya, kuasa 911 GT2 RS adalah 80 hp dan 50 Nm lebih berbanding model 997 yang menggunakan enjin 3.6 liter.

    Semua kuasa ini disampaikan kepada tayar belakang melalui transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan, membolehkan ia memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat – 0.1 saat lebih pantas berbanding Turbo S pacuan semua roda. Laju maksimumnya adalah 340 km/j.

    Bagi membantu cengkaman atas jalan, GT2 RS dilengkapi dengan rear-wheel steering, dan dipasang kepada casis inspirasi kereta lumba. Tayar yang digunakan pula adalah bersaiz 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang, dengan masing-masing mempunyai tayar prestasi Ultra High Performance (UHP) 265/35 dan 325/30. Di sebalik rim tersebut terdapat brek seramik karbon.

    Sepadan dengan prestasi yang mampu dihasilkan, penampilan luar kereta ini juga dijadikan ganas, dengan terdapat bukaan udara serta splitter yang besar di hadapan, dan lubang udara NACA di atas bonet. Pada bahagian belakang, penutup enjin menampilkan dua salur udara, yang bertindak menghasilkan kesan ram-air, bersama dua paip besar yang pergi ke sistem ekzos titanium – 7 kg lebih ringan berbanding model Turbo.

    Banyak barangan gentian karbon yang diberikan secara standard pada kenderaan ini termasuk bonet, fender, pelapik cermin sisi, salur udara di tepi dan beberapa bahagian lain di belakang. Bumbung pula dibuat daripada magnesium. Untuk mengurangkan lagi berat, pembeli ditawarkan dengan Weissach Package yang menambah bumbung gentian karbon, anti-roll bar, coupling rod di semua empat bucu, rim magnesium serta jalur di tengah. Pakej ini 30 kg lebih ringan.

    Di dalam, kebanyakan bahagian dibalut dengan kulit berwarna hitam, bersama Alcantara merah (termasuk bumbung), bersama kemasan gentian karbon. Kereta ini juga didatangkan dengan roda stereng sport bersama penukar gear di stereng, serta aplikasi Porsche Track Precision yang boleh memaparkan data pemanduan pada telefon pintar. Turut boleh dipilih adalah Chrono Package.

     
     
  • Rekaan berkotak jentera rali Proton Iriz R5 – adakah ia sesuatu yang pelik dan ‘syok sendiri’ ?

    Rekaan berkotak jentera rali Proton Iriz R5 – adakah ia sesuatu yang pelik dan ‘syok sendiri’ ?

    Berita berkenaan pembinaan jentera rali Proton Iriz R5 telah dihidu oleh kami pada tahun lalu, apabila pembinanya iaitu Mellors Elliot Motorsport (MEM) menerusi media rasminya, Chicane Media menyiarkan imej teaser jentera berkenaan di laman Facebook mereka. Kemudian, kami telah mengesan pula imej penuh kereta rali berkenaan di laman instagram Furancho Racing, tujuh bulan sebelum didedahkan secara rasmi oleh MEM.

    Sebelum mengetahui apa yang telah ‘disumbat’ di dalam badan Iriz berkenaan, antara komen-komen permulaan oleh netizen tentulah pada penampilan luaran. Seperti juga produk-produk dengan lencana Proton lain, ia tidak boleh lari dari kecaman negatif dari netizen.

    Proton Iriz R5 bukanlah dibina oleh Proton sendiri atau divisi perlumbaannya iaitu Proton R3, sebaliknya ia adalah projek dari MEM. Program yang dijalankan oleh MEM ini adalah saling tak tumpah seperti yang dilakukan oleh M Sport yang membina Ford Fiesta R5 – M Sport tidak ada kaitan terus dengan Ford, dan jentera R5 mereka bukan sahaja untuk kegunaan pasukan sendiri, malah ia turut dijual dan disewakan kepada pasukan-pasukan rali persendirian untuk bertanding pada mana-mana rali kelas R5 yang dipantau oleh Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA).

    Untuk pengetahuan anda juga, ini bukan kali pertama MEM bekerjasama dengan Proton. Sebelum ini, MEM juga bertanggungjawab membina Satria Neo S2000 yang bertanding di kejohanan Intercontinental Rally Challenge (IRC), S-WRC, dan juga dinobatkan sebagai juara APRC 2011.

    Lagenda rali tanah air ‘The Flying Sikh’ Karamjit Singh turut menggunakan Proton PERT Evo VI yang dibina oleh MEM untuk pusingan-pusingan WRC di Eropah pada tahun 2002 dan akhirnya dinobatkan sebagai Juara Dunia kategori Production Car (PWRC) musim berkenaan.

    Adakah dengan kehadiran MEM menunjukkan Proton tidak tahu untuk membina kereta rali mereka sendiri? Era 80’an dan 90’an dahulu, Proton PERT yang rata-rata dianggotai oleh bakat-bakat tempatan – dari juruteknik hingga pelumba utama – yang menerima sokongan teknikal dari Mitsubishi Ralliart dan diterajui oleh Datuk Razak Dawood telah membuktikan mereka mampu melahirkan pelbagai ‘monster’ yang digeruni, antaranya Proton Iswara 4WD Turbo Group S berkuasa 300 bhp serta jentera-jentera lain yang mendominasi Rali Malaysia serta APRC.


    Ford Fiesta WRC 2017

    Namun, untuk lebih strategik, adalah lebih mudah untuk PERT mendapatkan kereta yang dibina oleh pembina kereta rali Eropah semasa berlangsungnya perlumbaan-perlumbaan yang disertai oleh Karamjit Singh di benua berkenaan. Ketika itulah khidmat MEM diperlukan, kemudian ia diteruskan sehingga ke Satria Neo S2000.

    Kerjasama seperti ini tidak pelik dalam kejohanan rali. Sebagai contoh, Pasukan Rali Dunia Subaru (SWRT) tidak dikendalikan oleh orang Jepun, sebaliknya ia menggunakan khidmat Prodrive yang berpengkalan di UK, sejak kemunculan sulungnya pada 1989 hingga menarik diri dari WRC pada tahun 2008 – mengambilkira pengetahuan Prodrive dalam rali yang dilihat dapat membantu mereka untuk terjun ke kancah perlumbaan berkenaan.

    Berbalik pada persoalan adakah rekaan kit aerodinamik Iriz R5 ini pelik dan jurutera-jurutera di MEM ‘syok sendiri’ serta tidak cukup berseni seperti Kei Miura yang menghasilkan kit badan Rocket Bunny? Jika dibandingkan dengan Fiesta R5 dan Fabia R5, Iriz R5 mungkin dilihat agak keterlaluan.


    Toyota Yaris WRC 2017

    Tetapi sebenarnya, rekaan berkotak Iriz ini agak mendahului pesaing sekelasnya kerana ia telah mengadaptasi rekaan jentera-jentera yang bertanding pada kelas WRC. Ya, kereta-kereta pada kelas paling tinggi WRC seperti Ford Fiesta WRC, Toyota Yaris WRC dan juga Hyundai i20 kini menerapkan rekaan berkotak yang sama seperti Iriz R5, tetapi dalam bentuk jauh lebih radikal.

    Tujuan utama over fender berkotak pada setiap sisi kereta-kereta WRC ini direka bukan bertujuan untuk bergaya atau untuk masuk mana-mana pertandingan autoshow, tetapi direka untuk mendapatkan efek aerodinamik yang benar-benar berkesan, memberikan downforce kepada kereta-kereta ini bagi membolehkan ia mendapatkan cengkaman jalan selain dari hanya bergantung pada suspensi dan tayar – sama seperti sayap-sayap pada kereta F1.

    Unik untuk jentera rali, rekaan pada badan kereta-kereta ini bukan sahaja perlu menitikberatkan hal aerodinamik, namun ia masih lagi perlu mengambil kira faktor permukaan jalan – seperti yang diketahui, rali diadakan pada situasi yang benar-benar lasak dengan permukaan jalan batu kerikil, tanah liat, salji, dan juga kadang kala turut perlu menyeberang anak sungai.


    Audi Quattro S1 Group B

    Rekaan berkotak ini sebenarnya bukan sesuatu yang baharu, tetapi ia telah dimulakan pada era rali Group B pada tahun 1980’an dahulu di mana undang-undang baharu yang ditetapkan oleh FIA tahun ini sememangnya untuk mengembalikan sensasi rali seperti pada zaman Group B tersebut. Pelbagai jentera ikonik telah dilahirkan pada era berkenaan seperti Audi Quattro, Lancia 037, MG Metro 6R4s dan Peugeot 205 T16, yang rata-ratanya dijana enjin berkuasa 400 hingga 500 hp.

    Namun, kerana jentera-jentera yang terlalu berkuasa dan berbahaya, Group B dihentikan pada tahun 1986 dan diharamkan terus untuk musim 1987, setelah pemandu Lancia, Henri Toivonen dan juruarahnya Sergio Cresto maut dalam satu kemalangan di Rali Tour De Corse. Kemalangan melibatkan rempuhan terhadap penonton juga pernah berlaku dalam rali Group B sebelum itu di Rali Portugal, menyebabkan kematian tiga orang penonton.

    GALERI: Kemunculan Sulung Proton Iriz R5 di Goodwood Festival of Speed 2017

    GALERI: Gambar rasmi Proton Iriz R5

     
     
  • Pakej IMPUL untuk Nissan Grand Livina kini ditawarkan di Malaysia, harga bermula dari RM12,800

    Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) mengumumkan kehadiran Nissan Grand Livina dengan pakej IMPUL baharu telah pun berada di pasaran tempatan.

    Tampil dengan gaya yang lebih versatil, sporty dan nampak agresif, Livina versi IMPUL ini telah dipertingkatkan dengan spoiler bampar hadapan baharu, lampu nyalaan Siang (DRL) LED signatur IMPUL, skirting sisi, wing spoiler belakang dan bampar belakang. Malah ia juga lebih menyerlah dengan kehadiran gril hadapan berwarna hitam, tambahan pada arca roda, dan rim aloi IMPUL HS-10 bersaiz 17-inci bersama kemasan krom serta warna hitam berkilat.

    Penambahbaikan itu juga turut melibatkan pemasangan sistem suspensi IMPUL berprestasi tinggi. Terdiri daripada penyerap hendak serta pegas gegelung yang direka untuk merendahkan kenderaan sebanyak 25mm, ia mampu menawarkan pengendalian lebih mantap dan selesa.

    Pakej IMPUL untuk Nissan Grand Livina kini ditawarkan di Malaysia, harga bermula dari RM12,800

    Peredam ekzos tahan karat dengan kemasan berkilat bersama logo IMPUL yang dipasang pada paip ekzos melengkapkan lagi penampilan NISSAN Grand Livina ini.

    NISSAN Grand Livina IMPUL baharu dipasang dari kilang dan ditawarkan dalam dua pakej iaitu IMPUL Complete Package dan IMPUL Premium Package. Semua pakej aksesori ini hadir dengan jaminan selama tiga tahun atau perbatuan sejauh 100,000km (mana-mana tiba dahulu).

    Bagi pemilik Livina sedia ada yang mahu menaiktaraf MPV masing-masing dengan mendapatkan pakej IMPUL ini bolehlah berkunjung ke mana-mana cawangan bilik pameran Nissan terdekat.

     
     
  • VIDEO: Proton Iriz R5 di Goodwood FOS Rally Stage

    Gambar-gambar jentera rali Proton Iriz R5 telah didedahkan sebelum ini, begitu juga dengan imej-imej yang dirakam ketika kemunculan sulungnya di Goodwood Festival of Speed (FOS) minggu lalu. Kini, telah tersebar pula berberapa video jentera rali kompak binaan Mellors Elliot Motorsport (MEM) tersebut ketika beraksi di Rally Stage, FOS 2017.

    Iriz R5 dipandu sendiri oleh Oliver Mellors di FOS, dan ia bertarung dengan jentera-jentera rali lain untuk mencatatkan masa terpantas di Rally Stage acara berkenaan. Menerusi video berkenaan juga dapat didengari bunyi enjin 1.6 liter turbo pada Iriz R5, tipikal seperti bunyi jentera R5 lain seperti Ford Fiesta R5 dan Skoda Fabia R5.

    Iriz yang disuntik steroid ini dijana enjin petrol turbo 4B11T dari Mitsubishi Lancer Evolution X yang telah diturunkan kapasitinya dari 2.0 liter kepada 1.6 liter (bagi membolehkan ia diiktiraf dalam kategori R5 dan bertanding dalam WRC2), digandingkan bersama transmisi dari Xtrac dan juga sistem pacuan semua roda. Untuk suspensi, ia akan diberikan set penyerap hentak dari Reiger, dan turut menerima sistem brek dari Brembo. Seluruh kawalan elektronik jentera ini pula akan menerima peralatan dari Cosworth.

    Pada bahagian luaran, Proton Iriz R5 menampilkan fender hadapan dan ruang roda belakang yang lebih lebar. Panel lebih lebar pada fender hadapan bersambung dengan bampar hadapan yang direka mengekalkan susun atur Iriz versi produksi, serta gril bawah mesh dengan tulisan “IRIZ” yang besar.

    Lampu hadapan serta gril kekal menggunakan rekaan dari Iriz standard, begitu juga dengan penutup bonet enjin, tetapi diberikan sepasang liang udara tambahan pada bahagian atas. Melengkapkan rupa sebuah jentera rali R5 sebenar, ia turut diberikan liang kemasukan udara pada bumbung, cermin sisi gentian-karbon dengan bentuk lebih aerodinamik.

    Namun, pada jentera yang membuat kemunculan sulung di FOS ini, ia menampilkan spoiler belakang yang berbeza dari imej sebelum ini – dengan unit yang lebih besar yang cagaknya berada pada atas dan bawah cermin belakang bersama tulisan ‘PROTON’ besar di bawah bilah sayap, berbanding spoiler bumbung seperti GT-Wing kecil pada penampilan sebelumnya.

    MEM menerusi laporan sebelum ini juga telah mengesahkan Proton Iriz R5 akan mula bertanding pada Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori WRC2 dan juga Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) musim 2018.

    GALERI: Kemunculan Sulung Proton Iriz R5 di Goodwood Festival of Speed 2017

    GALERI: Gambar rasmi Proton Iriz R5

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.72 (0.00)
RON 97 RM4.35 (0.00)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.37 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.57 (-0.30)
Last Updated Jun 17, 2026