Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Polis cadang memperluaskan sistem E-Reporting

    Polis cadang memperluaskan sistem E-Reporting

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memohon pihak penguam negara bagi mengkaji penggunaan sistem E-Reporting yang lebih meluas. Sistem ini adalah laporan polis secara dalam talian bagi kes jenayah dan trafik, laporan Bernama.

    “Buat masa ini sistem E-Reporting tidak dapat dilaksanakan terhadap laporan kes jenayah dan trafik kerana ia melibatkan implikasi undang-undang, saya harap implikasi undang-undang ini dapat diselesaikan dengan segera dan kemudahan ini akan dinikmati oleh semua masyarakat,” ujar Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar kepada pemberita semalam.

    Khalid berkata penggunaan sistem itu akan diperluas ke seluruh negara dalam masa terdekat sebaik infrastruktur dinaik taraf secara berperingkat.

    Pada 10 Mac lepas, Khalid melancarkan sistem E-Reporting yang hanya boleh diguna pakai di Kuala Lumpur bagi warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun ke atas, manakala kes yang dilaporkan tidak membabitkan kes jenayah atau yang tidak memerlukan siasatan lanjut polis.

    Jenis aduan yang boleh dibuat menerusi E-Reporting adalah kes hilang atau tercicir kad pengenalan, lesen memandu, pasport, kad kredit atau kad ATM, hilang telefon bimbit, komputer riba, cukai jalan dan kes pembantu rumah lari daripada majikan.

     
     
  • Britain larang penjualan model petrol, diesel pada 2040

    Britain larang penjualan model petrol, diesel pada 2040

    Awal tahun ini, Perancis telah mengumumkan bahawa negara itu telah menetapkan untuk melarang penjualan kenderaan petrol dan diesel menjelang 2040. Kini, Britain pula menyatakan hasrat untuk mengikut langkah yang sama, lapor akhbar Guardian.

    Keputusan itu, yang diumumkan melalui sebuah kenyataan yang diterbitkan oleh jabatan alam sekitar di sana (DEFRA), khabarnya tidak akan melibatkan kenderaan hibrid dan plug-in hybrid, dan cuma akan melibatkan kenderaan dengan enjin konvensional sahaja.

    Prihatin tentang tahap nitrogen oksida yang semakin meningkat disebabkan oleh pertambahan jumlah kenderaan telah membawa kepada keputusan itu. Menurut pemerintah kerajaan British, ia langkah yang perlu kerana kesan udara yang tercemar kini mula memberi kesan terhadap kesihatan orang awam.

    Menuju ke arah jangka masa dua dekad yang ditetapkan, kerajaan British menyatakan mereka bersungguh untuk mengambil tindakan tegas dalam masa yang paling singkat, dengan beberapa langkah baru akan dilaksanakan.

    Antara perancangannya termasuk memlihat semula kepada bas dan perkhidmatan awam yang lain, memetakan semula laluan jalan raya dan bulatan, bonggol had laju serta memprogramkan semula lampu isyarat. Walaupun masih belum diperincikan, skim pelupusan juga dijangka turut akan disertakan di dalam perancangan ini.

    Laporan itu juga menambah, dana sebanyak £255 juta akan diperuntukkan untuk mempercepat pembangunan setempat yang dirancang itu; jumlah itu adalah sebahagian daripada £3 bilion untuk usaha membersihkan kembali udara di negara itu.

    Pakej kualiti udara itu termasuk £1 bilion untuk kenderaan beremisi rendah, termasuk pelaburan hampir £100 juta bagi prasarana mengecas di negara itu. Wang juga akan disalurkan ke arah mewujudkan teksi dan bas dengan emisi rendah. Langkah sama juga turut diumumkan oleh beberapa negara lain, termasuk Norway.

     
     
  • PSA akan bina hab ASEAN di Vietnam menjelang 2018

    PSA akan bina hab ASEAN di Vietnam menjelang 2018

    Groupe PSA mempunyai perancangan yang besar untuk pasaran ASEAN, dan ia akan melibatkan penghasilan lebih banyak produk berasaskan SUV. Syarikat automotif Perancis ini telah menandatangani perjanjian kerjasama untuk tahun ini, dengan operasi kilang di Vietnam akan bermula pada tahun 2018.

    Sebelum ini, pada tahun 2015 kami pernah melaporkan bahawa syarikat Dongfeng Peugeot-Citroen Automobile Limited (DPCA), iaitu hasil kerjasama PSA dan Dongfeng akan memulakan pengeluaran kenderaan di Vietnam. Pada masa itu, menurut kenyataan daripada Dongfeng-PSA, ia dikatakan mempunyai sasaran jualan sebanyak 70,000 unit pada tahun 2020.

    Melihat kembali pula pada tahun 2010, Peugeot telah menjadikan Malaysia hab pengeluaran kenderaan panduan belah kanan melalui rakan kongsinya, Naza, dan membina kilang di Gurun, Kedah untuk pemasangan model seperti Peugeot 408. Kenyataan baru kemasukan syarikat itu ke Vietnam boleh membawa makna kilang di Gurun dipindah ke sana.

    Sebelum ini juga, PSA Group pernah berusaha untuk mengadakan kerjasama strategik dengan Proton, dan ia adalah satu langkah yang menandakan pengeluar itu boleh mendapatkan akses kepada kilang Proton di Tanjung Malim. Sekiranya berjaya, PSA bercadang menggunakan kilang Proton tersebut sebagai tapak pengeluaran dan eksport kenderaan mereka ke ASEAN. Namun, akhirnya Proton memilih Zhejiang Geely dari China sebagai rakan kerjasama strategik.

     
     
  • Pulihkan disiplin pengguna jalan raya – MIROS

    Pulihkan disiplin pengguna jalan raya – MIROS

    Tibalah masanya untuk memulihkan kembali disiplin pengguna jalan raya, dan tiada kompromi untuk mereka yang cuai memandu dan melanggar peraturan yang ditetapkan, ujar pengerusi Institut Kajian Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) Tan Sri Lee Lam Thye. Katanya lagi, penambahan tujuh unit kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) adalah pada masa yang tepat, laporan The Star.

    “Tiada siapa yang suka disaman, dan tiada siapa yang suka terpaksa membayar denda. Namun tindakan pemandu yang mengingkari peraturan termasuk yang memandu secara melulu, bukan sahaja membahayakan diri mereka sendiri, bahkan boleh mendatangkan risiko terhadap pemandu yang lebih berhemah,” ujar Lee yang percaya negara akan lebih berjaya sekiranya dapat mengurangkan kemalangan jalan raya apabila semua pemandu sama-sama mengamalkan keselamatan jalan raya.

    Katanta lagi, sebagai contoh, di Australia, anda boleh dipenjara kerana melanggar undang-undang jalan raya. Tetapi di negara kita, hanya saman sehingga RM300 sahaja yang dikeluarkan, malah ada juga kompaun trafik yang diberikan diskaun. “Kini tibalah masanya untuk kita melaksanakan pelbagai penguatkuasaan agar dapat memulihkan kembali disiplin pengguna jalan raya,” ujarnya lagi.

    Baru-baru ini, lebih 21 kesalahan telah ditambah dalam senarai sistem Kejara, menjadikannya sebanyak 23 kesalahan trafik, termasuklah menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu, tidak memakai tali pinggang keledar, menggunakan lorong kecemasan, memandu di bawah pengaruh dadah/alkohol dan kenderaan komersil lebih muatan.

     
     
  • Kenstomoto Ju – Kawasaki ZX-10R sedia bertempur

    Kenstomoto Ju – Kawasaki ZX-10R sedia bertempur

    Hasil kerja terbaru Kenstomoto ini mempunyai kisahnya yang tersendiri. Ia dinamakan sebagai Kenstomoto Ju (bermaksud 10 dalam bahasa Jepun), dan asalnya adalah sebuah Kawasaki ZX-10R tahun 2004. Seperti yang anda ketahui, ini adalah sebuah motosikal sports, dan itulah yang dilakukan oleh pemiliknya sebelum ini – aktif dalam sesi di litar.

    Sedihnya, pemilik telah meninggal dunia akibat perlanggaran dengan sebuah lagi motosikal, dan sejak itu, motosikal tersebut tersadai sahaja. Oleh itu, adik pemilik, yang juga adalah kawan kepada pemilik Kenstomoto iaitu Kenny Yeoh menghantar motosikal tersebut untuk diubah suai. Yeoh bersetuju.

    Walaupun sudah pernah menghasilkan beberapa motosikal unik seperti Demolisher, P650R, BOBR dan MechaStallion, Yeoh masih mendapati projek ini agak mencabar. Beliau memulakan kerja dengan ‘membogelkan’ motosikal yang sudah berusia hampir 13 tahun ini.

    Menggunakan asas daripada rekaan asal untuk MechaStallion, Yeoh melakukan kerja ubah suai rangka Ju dan selepas itu, ia mengalami tujuh kali rujukan semula rekaan. Bagi mendapatkan gaya tempat duduk tunggal yang sudah menjadi tanda unik motosikal Kenstomoto tetapi mengekalkan ergonomik penunggang, Yeoh telah membuang keseluruhan bahagian belakang ZX-10R dan diganti dengan alas punggung nipis dan panel baru.

    Pada bahagian hadapan, boleh dilihat fairing penuh ZX-10R ditanggalkan dan diganti dengan panel kecil di tepi radiator dan menutupi fork hadapan, manakala lampu hadapan pula menggunakan unit LED. Dua unit utama lampu projector terletak di tepi radiator manakala empat lampu LED yang lebih kecil diletakkan di hadapan fork. Perumah lampu yang mempunyai rekaan honeycomb itu sebenarnya adalah saluran udara.

    Kebanyakan panel badan dan bahagian lain yang diubah suai oleh Yeoh dihasilkan melalui proses cetakan 3D, manakala tangkinya masih adalah unit daripada ZX-10R. Memandangkan ia adalah sebuah motosikal sports, Yeoh meletakkan tayar slick lumba di hadapan, manakala di belakang, kerana tiada stok, ia menggunakan tayar prestasi yang boleh didapati dalam pasaran.

    Kenstomoto Ju – Kawasaki ZX-10R sedia bertempur

    Bahagian enjin motosikal ini turut dibaik pulih, dan kini menggunakan sistem pendawaian lumba. Untuk lampu belakang, Yeoh masih belum siap memasangnya, dan ia akan menggunakan empat unit LED yang diletakkan sebaris. Ekzos pula menggunakan unit daripada AHM keluaran tempatan.

    Yeoh masih belum berpuas hati dengan apa yang telah dilakukan pada motosikal ini, dan beliau akan menyambung kerjanya dalam masa terdekat. Walaubagaimanapun, anda masih boleh menyaksikan secara langsung motosikal ini semasa acara Art Of Speed di MAEPS, Serdang hujung minggu ini kerana Yeoh akan mempamerkannya di sana.

     
     
  • SPAD, PLUS akan lebih giat pantau pengguna

    SPAD, PLUS akan lebih giat pantau pengguna

    Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mempergiatkan pemantauan bagi memastikan pengguna mematuhi peratusan lebuhraya.

    Menurut Pengurus Besar Kanan Bahagian Penguatkuasa SPAD Datuk Che Hasni Che Ahmad, ini termasuklah pemantauan kenderaan menerusi kamera litar tertutup (CCTV) milik PLUS., laporan Bernama.

    “Kerjasama ini adalah untuk memantau perilaku pengguna lebuh raya khususnya pemandu lori dan bas yang memandu secara berbahaya,” katanya kepada pemberita semalam.

    Beliau berkata kerjasama dengan PLUS sudah lama bermula, namun pada tahun ini ia ditingkatkan secara lebih sistematik.

    Sehubungan itu, Che Hasni meminta pengguna jalan raya supaya menjadi ‘mata dan telinga’ SPAD dengan menyalurkan sebarang kesalahan bagi mengekang kemalangan, sekali gus membolehkan tindakan tegas diambil terhadap pemandu yang melakukan kesalahan.

     
     
  • Toyota C-HR dibuka untuk pelanggan daftarkan minat

    Toyota C-HR dibuka untuk pelanggan daftarkan minat

    UMW Toyota Motor telah mendedahkan perincian awal bagi model C-HR dengan pengenalan laman pendaftaran kepada yang berminat (registration of interest) di laman web utamanya. Toyota C-HR menjadi antara model yang ditunggu-tunggu pengenalannya di Malaysia, dan akan bersaing dengan Honda HR-V serta Mazda CX-3.

    Sedikit tentang maklumat mekanikal bagi varian yang akan di tawarkan di sini nanti. Ia akan menerima enjin 1.8 liter petrol, seperti yang dedahkan oleh laman berkenaan. Enjin berkenaan akan dipadankan dengan transmisi CVT automatik. Namun, tidak dinyatakan sama ada model itu nanti adalah dari versi hibrid atau biasa. Jika dengan enjin petrol biasa, C-HR akan menjadi pesaing terus bagi Honda HR-V dengan kapasiti enjin yang sama.

    Dalam pasaran lain, C-HR turut ditawarkan dengan enjin 8NR-FTS 1.2 liter turbo empat-silinder dan juga enjin 2.0 liter N/A empat-silinder. Pilihan hibrid pula sama seperti Prius, dengan enjin 1.8 liter VVT-i kitaran Atkinson empat-silinder, sepasang motor elektrik dan kotak gear CVT.

    Dari segi kelengkapan lainnya, C-HR akan dilengkapi lampu utama Follow-Me-Home serta ciri-ciri keselamatan menyeluruh, termasuk amaran lintasan trafik di belakang. Pelanggan boleh memilih dari enam warna yang ditawarkan; White Pearl CS, Metal Stream Metallic dan Attitude Black Mica selain pilihan berbumbung hitam dengan gandingan warna Red Mica, Radiant Green Metallic serta Blue Metallic.

    Toyota C-HR akan membuat penampilan sekali lagi pada Ogos ketika acara Toyota Gazoo Racing (TGR) Racing Festival pada 12-13 Ogos di Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang.

     
     
  • Ferrari perkenal program waranti tambahan New Power15 – perlindungan pengeluar sehingga 15 tahun

    Ferrari perkenal program waranti tambahan New Power15 – perlindungan pengeluar sehingga 15 tahun

    Ferrari telah memperkenalkan program waranti tambahan untuk pelanggan-pelanggan sedia ada digelar New Power15, yang memberikan perlindungan sehingga 15 tahun bermula dari tarikh kereta tersebut didaftarkan.

    Program ini sebenarnya merupakan lanjutan program waranti tambahan sedia ada yang telah pun diperkenalkan pada tahun 2014, yang memberikan perlindungan sehingga 12 tahun. Dengan New Power15 ini, pelanggan bakal menikmati pakej yang lebih baik dan memberikan lebih ketenangan minda.

    Untuk setiap kereta baharu dari Ferrari, ia hadir dengan waranti pengeluar standard selama tiga-tahun bersama pakej servis percuma selama tujuh-tahun. Pelanggan boleh menambah perlindungan waranti pengeluar untuk tempoh lagi dua tahun, manakala untuk tahun keenam hingga ke-12, mereka boleh memilih pakej waranti New Power yang memberikan perlindungan untuk semua komponen utama.

    Komponen-komponen tersebut termasuk enjin, kotak gear, unit pindahan kuasa (PTU), suspensi dan juga stereng. Perlindungan untuk tempoh tambahan baharu ini diberikan selama 12 bulan dan ia boleh diperbaharui setiap tahun selama tiga tahun.

    Pakej perlindungan tempoh waranti tambahan ini bukan sahaja boleh dinikmati oleh pembeli Ferrari baharu, malah turut sah untuk Ferrari terpakai – tetapi memerlukan ia lulus pemeriksaan teknikal tertentu terlebih dahulu. Pakej New Power15 ini juga ditawarkan untuk mereka yang tidak memilih untuk menyambung tempoh waranti pengeluar, atau kereta yang sudah pun tidak lagi dilindungi waranti, menjadikan ia pakej paling fleksibel pernah ditawarkan.

     
     
  • Prestasi jualan kenderaan di Malaysia – beza antara 1H 2017 dan 1H 2016; Honda catat peningkatan tertinggi

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia – beza antara 1H 2017 dan 1H 2016; Honda catat peningkatan tertinggi

    Dengan berakhirnya separuh pertama (1H) 2017, bagaimana pula cerminan terhadap prestasi jualan kenderaan di Malaysia? Berdasarkan data yang disediakan oleh MAA, mari kita lihat perbezaannya berbanding tempoh sama tahun lalu.

    Secara keseluruhannya, jumlah jualan kenderaan sepanjang 1H 2017 mencatatkan peningkatan sebanyak 9,002 unit atau 3.27% kenderaan dijual; menjadi 284,461 unit berbanding 275,459 unit bagi 1H 2016. Jika dilihat kepada jenama dan pemain industri pula, Perodua terus mendahului dengan angka jualan 99,675 unit bagi separuh tahun ini; ini juga mewakili 2.3% peningkatan berbanding tempoh sama tahun lalu. Walaupun begitu, syarikat itu tetap mengalami sedikit penurunan perkongsian pasaran sebanyak 0.3%, kini dengan pegangan 35% dalam pasaran.

    Sementara itu, prestasi Honda bagi 1H 2017 sangat menggalakkan. Syarikat itu mencatatkan sebanyak 52,527 unit berbanding 39,654 unit bagi tempoh sama tahun lalu. Ini merekodkan peningkatan 32.4%, serta perkongsian pasarannya juga tumbuh kepada 18.5% daripada 14.4%.

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia – beza antara 1H 2017 dan 1H 2016; Honda catat peningkatan tertinggi

    Di kedudukan berikutnya, Proton dan Toyota turut menyaksikan peningkatan dalam jualan bagi 1H 2017; Proton dengan 39,393 unit (+10.26%) manakala Toyota 33,723 unit (+23.76%). Kedua-duanya juga catat peningkatan bagi perkongsian pasaran; Proton 13.8% (+0.8%) dan Toyota 11.9% (+2%).

    Bagi Mercedes-Benz, walaupun dengan jualan yang sediki menurun, jenama itu tetap menduduki tangga keenam dengan 6,034 unit kenderaan terjual; kurang 60 unit berbanding 1H 2016.Jenama lain yang turut mencatat pertumbuhan ialah BMW dengan 4,816 unit (+21.49%), Kia dengan 2,305 unit (+14.45%), Subaru dengan 2,291 unit (+39.19%) dan Renault dengan 295 unit (+30.53%).

    Namun begitu, ada jenama-jenama yang tidak mencatatkan prestasi jualan yang positif. Antaranya termasuk Nissan, Volkswagen Mitsubishi dan Mazda – semuanya mencatatkan penurunan jualan lebih daripada 30% bagi tempoh ini. Sebaga kesannya, perkongsian pasaran jenama-jenama ini juga menurun.

    Prestasi jualan kenderaan di Malaysia – beza antara 1H 2017 dan 1H 2016; Honda catat peningkatan tertinggi

     
     
  • Great Wall bakal bawa trak pikap dengan pilihan kuasa hibrid untuk berhadapan Ford Ranger di Australia

    Great Wall bakal bawa trak pikap dengan pilihan kuasa hibrid untuk berhadapan Ford Ranger di Australia

    Pengeluar automotif dari China yang juga pemilik jenama SUV Haval, Great Wall, mengumumkan bakal membawa trak pikap yang mampu bersaing dengan Ford Ranger dan juga Volkswagen Amarok pada pasaran Australia menjelang penghujung dekad ini kelak, lapor CarAdvice.

    Andrew Ellis, pegawai perhubungan dan pakar produk untuk Great Wall Motors dan Haval di Australia mendedahkan, trak pikap yang masih belum diberi nama berkenaan bakal di bina lebih besar dan lebih boleh diharap, bakal di bawa ke pasaran Australia sekitar 2019 hingga 2020 nanti.

    Great Wall bakal bawa trak pikap dengan pilihan kuasa hibrid untuk berhadapan Ford Ranger di Australia

    Eliis mendakwa, trak pikap tersebut bakal diberikan pelbagai ciri yang bakal memberikan saingan sengit kepada model-model popular di Australia buat masa ini seperti Toyota Hilux dan Ford Ranger. Ia termasuk kemampuan menunda sehingga 3,000 kg, pilihan sistem 4×2 dan 4×4, sistem bantuan pemanduan seperti sistem brek kecemasan automatik (AEB), transmisi automatik lapan-kelajuan, dan juga paling menarik pilihan janakuasa hibrid – pertama seumpanya untuk segmen trak pikap.

    Menurut CarAdvice, Great Wall telah menunjukkan lakaran awal rekaan trak pikap berkenaan yang dilihat lebih garang dan agresif berbanding trak pikap siri Steed (dikenali sebagai Wingle di Malaysia) sedia ada, tetapi ia masih lagi belum boleh disiarkan kepada umum.

     
     
  • Waze kini boleh diguna melalui aplikasi Android Auto

    Waze kini boleh diguna melalui aplikasi Android Auto

    Penyedia perkhidmatan tunjuk arah Waze telah mengumumkan pengenalan perkhidmatan aplikasi itu bagi versi Android Auto yang boleh digunakan di dalam kenderaan. Aplikasi ini boleh dikendalikan melalui sistem kawalan sedia ada serta paparan skrin yang lebih besar pada mana-mana kenderaan yang dilengkapi aplikasi berkenaan.

    Untuk menggunakannya, apa yang perlu dilakukan ialah dengan menyambung telefon pintar yang mempunyai aplikasi itu dengan wayar ke port USB dalam kenderaan yang dilengkapi ciri Android Auto. Ini akan membolehkan paparan Waze muncul pada skrin kenderaan. Dengan ini, pengguna antara lain boleh mendapat panduan arah melalui hanya satu sentuhan sahaja bagi laluan Home, Work atau Favorites.

    Selain itu, ia juga boleh dikendali menggunakan suara dengan pernyataan “Ok, Goole” diikuti dengan alamat atau destinasi yang ingin dituju. Untuk menikmati kemaskini terbaru ini, pengguna hanya perlu memastikan aplikasi Waze di dalam telefon adalah dari versi yang terkini. Kemudian, sambungkannya menggunakan wayar ke dalam kereta yang menyokong ciri Android Auto dan pilih tunjuk arah Waze ia bersedia untuk digunakan.

    Bagi ciri arahan suara pula, butang mikrofon pada kawalan stereng perlu ditekan terlebih dahulu untuk mengaktifkan mikrofon Android Auto. Waze menyatakan bahawa ini satu perkembangan lagi yang dapat mereka tawarkan untuk memudahkan pengguna dalam usaha mereka untuk memberikan pengalaman pemanduan dan di jalan raya yang lebih baik untuk komuniti.

     
     
  • Mercedes-Benz E-Class Coupe kini dilancarkan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM436k

    Mercedes-Benz E-Class Coupe kini dilancarkan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM436k

    April lalu, model sedan E-Class dengan empat varian iaitu E 200 Avantgarde, E 250 Avantgarde, E 250 Exclusive dan E 300 telah dilancarkan di Malaysia. Kali ini tiba pula giliran E-Class Coupe baharu dilancarkan untuk pasaran tempatan, yang bakal menyertai barisan model Dream Car Collection.

    Walau bagaimana pun ternyata barisan E-Class Coupe lebih menguja, dengan penampilannya yang mengiurkan, malah harganya juga lebih tinggi berbanding model sedan dalam famili E-Class. Hadir dengan dua varian iaitu E 200 Coupe AMG Line dan E 300 Coupe AMG Line yang turut didatangkan dengan satu lagi varian eksklusif iaitu E 300 Coupe Edition 1 yang terhad 500 unit sahaja.

    Seperti mana yang dinyatakan, harganya dikategorikan sebagai tinggi tetapi setanding dengan imej, kualiti dan prestasinya. Bagi E 200 Coupe AMG Line ditawarkan pada harga RM435,888, manakala E 300 Coupe AMG pula RM499,888 dan RM534,888 bagi memiliki E 300 Coupe Edition 1. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan (berserta GST) dan tanpa insurans.

    Mercedes-Benz E-Class Coupe kini dilancarkan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM436k

    Menampilkan imej yang serba mewah, sofistikated, maskulin, elegan dan moden, barisan E-Class Coupe ternyata sesuai untuk mereka yang bercitarasa tinggi (dan pastinya berkemampuan dari segi wang Ringgit). Bahagian luarannya ternyata lebih menggoda dengan padanan kit luaran AMG Line bagi varian E 200 Coupe dan E 300 Coupe, manakala kit Edition 1 tampil lebih ekslusif buat varian E 300 Coupe Edition 1 serta turut didatangkan dengan Night Package dengan perincian kekemasan berwarna hitam berkilat. Kit luaran ini termasuklah padanan gril radiator berlian dan gril sport yang diposisikan sedikit bawah bersama logo bintangnya yang menampakkan ciri lebih berkarakteristik pada E-Class Coupe baharu ini.

    Teknologi terkini pastinya menjadi pilihan bagi barisan E-Class Coupe ini dengan menampilkan lampu utama MULTIBEAM LED beresolusi tinggi, di mana lampu ini mampu menyuluh dengan lebih terang tanpa menyilaukan pandangan pengguna kenderaan yang lain. Selain itu, Adaptive Highbeam Assist Plus turut ditampilkan bagi model E-Class Coupe baharu ini.

    Menampakkan lagi imbasan sporty, varian E 2000 Coupe ditampilkan dengan rim aloi-ringan lima-jejari AMG 18-inci, sementara rim aloi-ringan pelbagai-jejari dengan kekemasan hitam berkilat 20-inci dipadankan buat E 300 Coupe dan E 300 Coupe Edition 1. Malah kedua-dua varian tertinggi ini juga turut ditampilkan dengan bumbung matahari gelangsar panoramik bagi menyerlahkan lagi gayanya. Untuk bahagian belakangnya pula, ia turut dipadankan dengan lampu LED dan dengan teknologi optik kristal yang bersifat inovatif, lampu belakang ini juga menampilkan kesan pencahayaan yang lebih terang dan menyeluruh tanpa menyilaukan pandangan pemandu di sekitarnya.

    Mercedes-Benz E-Class Coupe kini dilancarkan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM436k

    Menjengah bahagian kabinnya, aura penuh kemewahan dengan gaya kontemporari dan sofistikated menjadi bancuhan utama. Ketiga-tiga varian dilengkapi rekaan dalaman AMG Line termasuk papan pemuka dengan balutan ARTICO sentuhan lembut (kekemasan kulit Nappa bagi E 300 Edition 1). Selain itu, ia turut dilengkapi dengan roda stereng sport pelbagai-fungsi dengan balutan kulit Nappa berwarna hitam (gabungan gentian mikro DINAMICA untuk E 300 Edition 1), jam analog, pencahayaan ambien dengan 64 warna, panel ambang pintu iluminasi dengan perkataan Mercedes-Benz.

    Bagi konsol tengah, varian E 200 Coupe memilih kekemasan kayuan hitam pekat, manakala bagi E 300 Coupe dan E 300 Coupe Edition 1 pula dipadankan dengan kekamasan hitam berkilat. Sementara bagi alas lantai AMG dengan perkataan “AMG” di atasnya pula untuk varian E 200 Coupe dan E 300 Coupe, manakala pakej Edition 1 untuk E 300 Edition 1. Malah ketiga-tiga varian turut menampilkan tempat duduk balutan kulit upholstery nappa dua-tona dengan pelarasan elektronik dan fungsi memori untuk tempat duduk hadapan.

    Menariknya, ia turut menampilkan paparan 12.3-inci dengan resolusi tinggi, unik di dalam segmennya. Di mana ia diletakkan di bawah kanta tunggal untuk menghasilkan Widescreen Cockpit yang muncul bagai imej terapung. Bagi kluster instrumen pula, ia dipaparkan dengan tiga gaya berbeza iaitu “Classic”, “Sport” dan “Progressive”.

    Mercedes-Benz E-Class Coupe kini dilancarkan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM436k

    Manakala butang kawalan pada roda stereng pula membolehkan pemandu mengawal kluster instrumen dan sistem multimedia menggunakan geseran jari tanpa perlu melepaskan tangan daripada roda stereng. Kawalan tambahan terletak pada pad sesentuh dengan kawalan pada konsol tengah, yang boleh mengesan tulisan tangan, termasuk sistem kawalan suara LINGUATRONIC.

    Selain itu, ia turut dilengkapi kawalan suhu automatik THERMOTRONIC, pakej KEYLESS-GO, tirai matahari berkuasa untuk tingkap belakang, kamera Pandangan Sekeliling, pakej parkir dengan Parking Pilot dan PARKTRONIC, kawalan kelajuan, cermin luaran dan dalaman dengan fungsi anti-silau automatik dan akses bebas-tangan. Malah turut dipadankan dengan COMAND Online, pad sesentuh dengan kawalan, sambungan Apple CarPlay dan Android Auto serta sistem pengecasan tanpa wayar bagi peranti termasuk telefon pintar. Tambahan untuk varian E 300 Coupe dan Edition 1, dilengkapi paparan Head-up, sistem bunyi sekeliling Burmester dan pakej AIR-BALANCE .

    Dengan dimensi 4,826 mm (+123 mm) panjang, selebar 1,860 mm (+74 mm) dan ketinggian 1,430 mm (+33 mm), E-Class Coupe baharu ini lebih menyerlah berbanding model terdahulu. Sekaligus turut memberikan ruang dalaman yang lebih luas dan selesa untuk penumpangnya.

    Mercedes-Benz E-Class Coupe kini dilancarkan di Malaysia – tiga varian, harga dari RM436k

    Bagi mekanikalnya, E 200 Coupe dijanakan oleh enjin 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 184 hp dan tork 300 Nm. Bagi pacuan 0-100 km/j mampu dicapai dalam 7.8 saat dan kelajuan maksimum mencecah 240 km/j. Penggunaan bahan apinya pula sekitar 6.0 liter per km.

    Bagi varian E 300 Coupe dan E 300 Coupe Edition 1 pula, dikuasakan oleh enjin yang sama namun memiliki hamburan output yang lebih tinggi iaitu mencapai 245 hp dan tork 370 Nm. Dalam hanya 6.4 saat bagi pacuan 0-100 km/j dan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j. Penggunaan bahan apinya pula dianggarkan sekitar 6.4 liter per km.

    Kesemua varian dilengkapi dengan sistem suspensi yang lebih tegar bagi memberikan pengendalian yang lebih mantap. Varian Coupe ini turut didatangkan dengan suspensi AGILITY CONTROL secara standard dengan perendam selektif dan pasif. Bagi menampilkan rupa yang lebih sporty, suspensinya telah direndahkan sebanyak 15 mm berbanding model Saloon dan ditala untuk lebih keselasaan dengan sistem amplitude-dependent damping.

    Bukan itu sahaja, sistem DYNAMIC SELECT turut ditampilkan termasuk bagi respon pendikit, fungsi ECO start/stop, titik penukaran bagi transmisi automatik dan banyak lagi. Malah ia turut menampilkan mod transmisi; Comfort, ECO, Sport, Sport + dan Individual.

    Bagi aspek keselamatannya, ia turut didatangkan dengan Bantuan Brek Aktif secara standard, selain kawalan kestabilan, sistem PRE-SAFE, ABS dengan EBD, sistem Perlindungan anti-kecurian, ISOFIX, amaran perlanggaran, sistem pemantauan tekanan tayar, sistem pemantauan dalaman dan enam beg udara.

    Mercedes-Benz Malaysia turut menawarkan Agility Financing untuk barisan Mercedes-Benz Dream Car. Di mana pelanggan boleh menikmati bayaran bulanan bagi E 200 Coupe baharu pada RM4,358*, E 300 Coupé pada RM4,998* dan E 300 Coupé Edition 1 pada RM5,348* sebulan dengan tempoh pegangan Agility Financing selama tiga-tahun, berbanding ansuran bulan konversional. Tertakluk pada terma dan syarat.

    Untuk mengetahui lebih lanjut perincian dan spesifikasi penuh bagi E-Class Coupe baharu ini, sila layari CarBase.my.

    GALERI: Mercedes-Benz E 200 Coupe AMG LINE

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 Coupe AMG LINE

    GALERI: Mercedes-Benz E 300 Coupe Edition 1

     
     
  • Pagani Zonda Fantasma Evo – hidup kembali dengan 760 hp, kotak gear manual selepas kemalangan teruk

    Pagani Zonda Fantasma Evo – hidup kembali dengan 760 hp, kotak gear manual selepas kemalangan teruk

    Fantasma dalam bahasa Itali membawa maksud hantu, dan Pagani Zonda Fantasma Evo ini ada sebab tersendiri menggunakan nama Fantasma itu. Semasa keluar dari kilang pada tahun 2005, ia asalnya adalah sebuah Zonda F dengan transmisi manual dan stereng di sebelah kanan.

    Namun, ia terlibat dalam kemalangan teruk di Hong Kong, dan pemiliknya menghantar sisa kenderaan yang ada kepada Pagani untuk dibaik pulih. Pemiliknya melihat ini sebagai peluang untuk menaik taraf Zonda yang dimiliki – spesifikasi teknikal mengikut Zonda 760, manakala panel badan gentian karbon terbuka pula daripada model Cinque dan Zonda R.

    Pagani Zonda Fantasma Evo – hidup kembali dengan 760 hp, kotak gear manual selepas kemalangan teruk

    Masuk tahun 2017, ia diberi peningkatan baru iaitu kotak gear manual, menggantikan unit sequential yang ada sebelum ini. Enjin pula adalah unit V12 NA 7.3 liter yang diambil daripada AMG dan menyampaikan kuasa sehingga 760 hp kepada roda belakang sahaja.

    Walaupun sekarang Pagani lebih memberi fokus kepada Huayra, pemilik ini membuktikan tiada yang dapat menggantikan Zonda dan enjin naturally aspirated (NA). Mungkinkah nanti Pagani akan menghidupkan kembali model Zonda nanti?

     
     
  • Toyota sedang membina bateri cas cepat untuk kereta elektrik – penuh dalam masa hanya berberapa minit

    Toyota sedang membina bateri cas cepat untuk kereta elektrik – penuh dalam masa hanya berberapa minit

    Toyota kini sedang membina bateri pepejal-sepenuhnya baharu yang mampu memberikan jarak perjalanan lebih jauh dan tempoh cas lebih cepat untuk kereta elektrik sepenuhnya, menurut laporan akhbar Jepun Chunichi Shimbun. Syarikat berkenaan mensasarkan untuk mengkomersialkan bateri-pepejal berkenaan pada awal 2020 kelak, dan ia dibina bagi membolehkan cas penuh diperolehi dalam masa hanya berberapa minit.

    Toyota berharap usaha ini bakal mendekatkan jurangnya dengan Nissan dan juga Tesla dalam pasaran kenderaan elektrik sepenuhnya, walaupun jenama berkenaan masih lagi tidak dapat memastikan sama ada mereka boleh atau tidak untuk mendahului pesaing utama dalam pasaran tersebut kerana proses produksi yang memerlukan kawalan kualiti yang lebih ketat.

    “Jarak antara ujian makmal dan pengeluaran agak jauh. Tahun 2022 masih lagi jauh, dan banyak perubahan akan berlaku dalam masa tersebut,” kata penganalisis automotif CLSA, Christopher Ritcher kepada Reuters. Bateri pepejal juga bakal memberikan kelebihan dari segi keselamatan berbanding bateri lithium-ion konvensional, kerana binaan elektrolit pepejal adalah bertentangan dengan elektrolit cecair yang mempunyai risiko tertumpah jika ia terlibat dalam kemalangan.

    Berberapa syarikat lain turut dilaporkan sedang berusaha untuk membawa bateri pepejal ke dalam pasaran, seperti bateri pepejal Sakti3 yang dibangunkan oleh Dyson, syarikat yang berpengkalan di Michigan, Amerika SYarikat, yang kini masih lagi belum menjadi kenyataan, menurut Electrek. Bosch juga sedang membangunkan bateri sedemikian, yang dipercayai dalam bentuk pek bateri 50 kWh dengan berat tidak sampai 200 kg.

    Dalam masa yang sama, Toyota kini sedang berusaha untuk menghasilkan kereta elektrik sepenuhnya bagi diperkenalkan dalam pasaran. Tahun lalu, gergasi automotif Jepun tersebut mewujudkan syarikat dalaman untuk menghasilkan kereta elektrik yang dianggotai oleh Toyota Industries Corp, Aisin Seiki, Denso dan TMC.

     
     
  • Moto Guzzi V9 Bobber 2017 tiba di M’sia – RM74,900

    Moto Guzzi V9 Bobber 2017 tiba di M’sia – RM74,900

    Pusat pameran Moto Guzzi di The Gasket Alley, Petaling Jaya hari ini menerima ketibaan sebuah lagi model baru iaitu V9 Bobber 2017 dan ia dijual pada harga RM74,900 termasuk GST, tetapi tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan. Motosikal yang diimport dari Itali ini menyertai model V9 Roamer, yang dijual pada harga RM73,900.

    V9 Bobber menggunakan enjin dua silinder V 853 cc rekaan baru, yang mampu menghasilkan 55 hp pada 6,250 rpm dan 62 Nm tork pada 3,000 rpm. Kuasa ini disampaikan kepada tayar belakang melalui kotak gear enam kelajuan dan sistem syaf. Rimnya bersaiz 16 inci, dibalut dengan tayar Continental Milestone.

    Tugas membrek pada V9 Bobber dijalankan oleh Brembo, dengan cakera tunggal di depan dan belakang. Sistem ABS diberi secara standard, bersama Moto Guzzi Traction Control (MGTC). Sistem kawalan cengkaman dua mod ini beroperasi dengan mengawawal kemajuan pencucuh, menahan tork enjin apabila gelinciran dikesan dan boleh ditutup sekiranya mahu.

    Berat V9 Bobber dicatat pada 199 kg, sama seperti V9 Roamer, dan bahan api boleh dibawa sebanyak 15 liter di dalam tangkinya yang mempunyai lencana burung helang jenama itu. Kadar kelajuan ditunjukkan melalui meter jenis analog sementara informasi lain seperti kitaran rpm, kedudukan gear, odometer dan lampu tahap merah rpm dipaparkan melalui skrin LCD.

    Bagi V9 Bobber, ia boleh dinaiki oleh dua orang, dan tempat duduk belakang boleh ditanggalkan dengan mudah menggunakan spanar kerana ia terasing. Tinggi tempat duduk ini – dalam tetapan tunggal – adalah 785 mm, dan pedal kaki yang lebih ke hadapan ada disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Aksesori pilihan lain yang disediakan untuk motosikal Moto Guzzi siri V9 ini adalah termasuk Moto Guzzi Multimedia Platform (MGMP), yang boleh menyambungkan motosikal dengan aplikasi telefon pintar, seterusnya mengetahui informasi berkenaan motosikal. Terdapat dua warna yang ditawarkan untuk V9 Bobber iaitu Nero Massiccio (kuning) dan Grigio Sport (kelabu).

     
     
  • Harga bahan api minggu akhir Julai – semua naik

    Harga bahan api minggu akhir Julai – semua naik

    Selepas menyaksikan tiada perubahan harga bahan api untuk tempoh 20 hingga 26 Julai, iaitu RON 95 pada kadar RM1.97 seliter, RON 97 RM2.22 seliter, diesel pada harga RM1.96 seliter bagi Euro 2M dan RM2.06 seliter untuk Euro 5M, kini harga terbaru untuk tempoh 27 Julai hingga 2 Ogos diumumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

    Ia menyaksikan peningkatan untuk semua bahan api, menjadi RM2.03 seliter untuk RON 95 (+6 sen), RM2.28 seliter untuk RON 97 (+6 sen), RM1.99 seliter untuk diesel Euro 2M (+3 sen) dan RM2.09 seliter untuk diesel Euro 5M (+3 sen).

    Semua harga tersebut berkuatkuasa tengah malam ini sehingga 2 Ogos 2017, iaitu hari harga baharunya diumumkan kelak. Bagi RON 95, harga baru ini menyaksikan ia pertama kali naik melebihi tahap RM2 sejak kali terakhirnya pada minggu kedua bulan Jun.

     
     
  • Boon Siew Honda umum pengenalan model CBR650F dan CB650F 2017 – peningkatan kuasa, warna baharu

    Boon Siew Honda umum pengenalan model CBR650F dan CB650F 2017 – peningkatan kuasa, warna baharu

    Boon Siew Honda selaku pengedar motosikal Honda di Malaysia mengumumkan model baru bagi Honda CBR650F dan CB650F akan mula dipamer di kedai pengedar sah Impian Honda bermula 1 Ogos nanti.

    Lebih menarik, dua model berkenaan tidak hanya menerima pembaharuan dari sudut penampilan semata-mata; ia juga melibatkan peningkatan kuasa daripada versi sebelumnya, kini dengan 67 kW pada 11,000 rpm. Ini adalah hasil daripada penggunaan kit pengurusan aliran ekzos dan bahagian intake dari muffler yang kini lebih pendek.

    Selain itu, model bagi tahun 2017 ini juga dilengkapi dengan penggunaan lampu utama dan lampu belakang dari jenis LED. Pembaharuan lain termasuk penggunaan fork depan Showa Dual Bending Valve (SDBV) baru serta kaliper brek Nissin yang memperbaiki pengalaman menunggang.

    Imej baru dengan elemen reka bentuk agresif yang ditampilkan juga adalah diwarisi dari model ikonik CBR1000RR Fireblade. Kedua-dua motosikal ini menggunakan enjin 649cc empat-silinder sejukan cecair, DOHC empat-lejang dengan empat injap.

    Boon Siew Honda umum pengenalan model CBR650F dan CB650F 2017 – peningkatan kuasa, warna baharu

    Kuasa yang mampu dihasilkan ialah 67 kW pada 11,000 rpm manakala tork pula ialah 64 Nm pada 8,000 rpm. Kuasa disalurkan menggunakan kotak gear manual enam-kelajuan. CBR650F memiliki berat 213 kg, sementara CB650F pula seberat 208 kg. Kedua-duanya dilengkapi tangki minyak berkapasiti 17.3 liter.

    Honda CBR650F ditawarkan dengan tiga pilihan warna baru; Mat Gun Powder Black (Hitam), Millennium Red (Merah) dan Pearl Metalloid White (Putih). Ia dijual pada harga RM47,115.94. Sementara itu, CB650F pula datang di dalam empat pilihan warna; Mat Gun Powder Black (Hitam), Millennium Red (Merah), Pearl Spencer Blue (Biru), Sword Silver Metallic (Perak) dan dijual pada harga RM44,995.94.

    Harga yang disyorkan termasuk GST tetapi tidak termasuk cukai jalan, insurans dan pendaftaran. Model-model ini juga didatangkan dengan jaminan kilang selama dua tahun atau 20,000 kilometer (yang mana dahulu).

    Honda CBR650F 2017

    Honda CB650F 2017

     
     
  • Honda Malaysia serah Jazz Sport Hybrid i-DCD terkini kepada pemilik pertama untuk pasaran tempatan

    Honda Malaysia serah Jazz Sport Hybrid i-DCD terkini kepada pemilik pertama untuk pasaran tempatan

    Honda Malaysia hari ini meraikan penyerahan pertama model Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD terbaru yang dilancarkan di sini Jun lalu. Setakat ini, Honda telah menjual sebanyak 26,800 unit model kenderaan hibrid di Malaysia. Pemilik pertama model terbaru ini, Aneesa Binti Abdul Rashid menerima serahan unit berkenaan di Honda Global Amity Bangi.

    “Honda Malaysia menjadi pelopor bagi pengenalan model hibrid di sini sejak 2004. Kami juga menjadi syarikat pertama yang melakukan pemasangan tempatan sejak 2012, dan yang ketiga diperingkat global selepas Jepun dan Amerika Syarikat. Sejak itu, kami telah menjual sebanyak 26,800 unit kenderaan hibrid di sini. Melalui penawaran terkini, kami ingin memberikan lebih lagi kepada penggemar hibrid dengan teknologi generasi terbarunya,” ujar CEO Honda Malaysia, Katsuto Hayashi.

    Honda Malaysia serah Jazz Sport Hybrid i-DCD terkini kepada pemilik pertama untuk pasaran tempatan

    Sejak pelancarannya pada Jun lalu, Jazz hibrid ini telah merekodkan lebih daripada 1,300 unit tempahan dalam tempoh hanya dua minggu selepas pengenalannya.

    Jazz dengan teknologi hibrid baharu menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan bekalan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo. Gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter.

    GALERI: Honda Jazz 1.5 Sports Hybrid i-DCD

     
     
  • Mercedes-Benz dan Bosch tunjuk buat kali pertama servis letak kenderaan automatik guna aplikasi telefon

    Mercedes-Benz dan Bosch tunjuk buat kali pertama servis letak kenderaan automatik guna aplikasi telefon

    Mercedes-Benz dan Bosch telah mempertontonkan buat kali pertama satu sistem letak kenderaan valet automatik, yang membenarkan pemandu untuk meletakkan kenderaan mereka di tempatnya tanpa perlu melihat pergerakan kenderaan tersebut.

    Servis letak kenderaan tanpa pemandu ini – operasinya ditunjukkan dalam video menggunakan Mercedes-Benz E-Class W213 – sedang diuji dalam projek pertama di Muzium Mercedes-Benz di Stuttgart. Untuk projek ini, Bosch menyediakan infrastruktur garaj letak kereta dan teknologi komunikasi manakala Mercedes-Benz pula menyediakan lokasi dan kenderaan.

    Sistem yang berasaskan telefon pintar ini membenarkan pemandu meninggalkan kereta mereka di kawasan kaunter valet, memilih petak letak kereta yang diingini melalui aplikasi telefon pintar, buat pesanan dan beredar dari situ.

    Mercedes-Benz dan Bosch tunjuk buat kali pertama servis letak kenderaan automatik guna aplikasi telefon

    Sistem garaj letak kenderaan pintar ini kemudiannya akan mengenal pasti kenderaan, dan membimbing kenderaan tersebut ke petak letak kenderaan. Perkara sama dilakukan untuk menghantar kembali kenderaan kepada pemiliknya.

    Sistem ini beroperasi dengan memadankan komunikasi infrastruktur garaj letak kereta dengan sistem pemanduan automatik pada E-Class, yang menukarkan arahan daripada sistem tersebut kepada pengendalian kereta. Pengesan yang dipasang pada tempat letak kereta mengawasi keadaan sekitar dan setiap lorong sambil membimbing kenderaan, dan sekiranya terdapat sebarang bahaya, ia akan memberhentikan kenderaan.

    Projek pertama ini adalah yang pertama di dunia bagi servis letak kereta automatik yang berasaskan infrastruktur di dalam dunia sebenar. Pengunjung muzium tersebut boleh mengalami sendiri servis ini apabila ia dibuka kepada umum awal tahun 2018 nanti.

     
     
  • Volvo XC40 – sedikit imej belakangnya didedahkan

    A post shared by Marcel P. Kilz (@mkilz) on

    Foto spyshot Volvo XC40 telah disebarkan menerusi Internet. Namun ia masih dibaluti penyamaran, jadi sedikit sukar untuk mengagak elemen yang ada pada bahagian luarannya. Namun akaun Instagram milik Marcel P Kilz ini telah membocorkan sedikit imej belakang SUV baharu ini, yang katanya telah pun disiarkan menerusi laman web Volvo Jerman sebelum ia dipadamkan.

    Jika melihat imej ini, hujung bahagian belakangnya seakan diinspirasikan dari model konsep 40.1 yang dipertontonkan tahun lalu, dengan lampu belakang bentuk-L berkotak, balutan plastik hitam pada badannya dan juga bumbung hitam.

    Sebelum ini, kita telah pun melihat bahagian dalamnya. Di mana kabin XC40 berkongsi banyak persamaan dengan XC60 baharu, berbanding model yang lebih besar XC90. Terutamanya bentuk corong pendingin hawa, yang selari dengan skrin sesentuh format-potret untuk sistem infotainmen Sensus pada bahagian tengahnya.

    XC40 juga dilengkapi dengan pakej R-Design, di mana rekaan roda sterengnya, jejari bawahnya terpisah dua bahagian. Lain-lain elemen yang turut kelihatan termasuklah switchgear tambahan di bawah skrin sesentuh dan bentuk pelantar kompas.

    Walau bagaimana pun, rekaan konsol tengah XC40 ini adalah berbeza daripada XC60. Seperti yang dapat dilihat, ruang storan terpisah pada dua bahagian, dengan tuil gear berada di tengah antara kedua-duanya.

    SUV ini akan dibina dengan menggunakan Compact Modular Architecture (CMA) ciptaan Volvo, dan dijangka bakal dipadankan dengan enjin petrol Drive-E dan diesel sedia ada.

    Model T5 Twin Engine plug-in hybrid juga akan menyertai barisan XC40 ini, bersama enjin 1.5 liter tiga-silider. penjana kuasa Drive-E dengan kuasa 180 hp akan dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan, yang dibantu dengan motor elektrik 55 kW. Motor tersebut dikuasakan oleh bateri 9.7 kWh yang ditempatkan di bahagian tengah.

    Model paling kecil bagi XC ini dikatakan tidak akan berada di pasaran sehingga 2018, menurut bekas ketua R&D Peter Mertens. Walau bagaimana pun, SUV ini ini dijangka bakal menyaingi Mercedes-Benz GLA dan BMW X1, serta dijual pada harga bermula €30,000 (RM149,600).

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
BUDI 95 RM1.99
RON 95 RM3.47 (-0.25)
RON 97 RM4.10 (-0.25)
RON 100 RM6.45
VPR RM7.68
DIESEL
EURO 5 B10 RM4.07 (-0.30)
EURO 5 B7 RM4.27 (-0.30)
Last Updated Jun 25, 2026