Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kurangkan penggunaan motosikal mampu elak peningkatan kemalangan maut – KP JKJR

    Motorcyclist

    Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) menyeru supaya orang ramai mengurangkan penggunaan motosikal termasuk untuk bersiar-siar bagi mengelakkan kemalangan maut yang semakin meningkat.

    Menurut Ketua Pengarah JKJR Abd Ghafar Yusof, sebanyak 62% daripada 6,706 jumlah kes kemalangan yang berlaku pada tahun lalu adalah membabitkan motosikal, laporan Bernama.

    “JKJR mahu perkara ini diberi perhatian khusus kerana jika kita berjaya mengurangkan penggunaan motosikal sebanyak 10%, dijangka dapat menyelamatkan 400 nyawa setahun.

    “Walau bagaimana pun, penggunaan motosikal bukanlah dihalang kerana ada keluarga yang tidak memiliki pilihan lain selain motosikal sahaja. Tetapi kami nasihatkan, gunakan ia sekiranya perlu dan terdesak sahaja bagi mengelakkan risiko kemalangan,” ujarnya selepas merasmikan Program Advokasi Khas Keselamatan Jalan Raya semalam.

    Dalam masa yang sama, beliau turut menegaskan, ibu bapa perlu memastikan anak-anak kecil memakai topi keledar yang mempunyai tahap keselamatan yang dibenarkan bagi mengelak ia pecah ketika kemalangan berlaku.

    Katanya lagi, “Kami juga menasihati ibu bapa supaya melarang anak-anak mereka menunggang motosikal tanpa lesen yang sah.”

     
     
  • Volvo S60 T6 Drive-E secara rasminya diperkenalkan di Malaysia – berkuasa 306 hp/400 Nm, RM280,888

    2016-Volvo-S60-T6-Drive-E-1_BM

    Volvo Malaysia hari ini secara rasminya memperkenalkan Volvo S60 T6 baharu, menampilkan enjin baharu binaan Volvo sendiri iaitu enjin petrol Drive-E. Enjin baharu ini akan menggantikan enjin GTDi yang dibina dengan kerjasama Ford pada S60 varian T4 dan T5 sedia ada di Malaysia.

    Enjin baharu ini dilengkapi dengan dua sistem induksi paksaan iaitu turbo dan supercharge (untuk takat rpm rendah), membolehkan enjin petrol 2.0 liter empat-silinder ini mengekstrak kuasa keseluruhan 306 hp pada takat 5,700 rpm dan tork maksima 400 Nm bermula 2,100 sehingga 4,800 rpm.

    Kesemua kuasa dari enjin ini memacu kedua-dua roda hadapan menerusi kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Aisin, dan dilengkapi dengan penukar gear pada roda stereng. Gabungan tersebut membolehkan sedan ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 5.9 saat dengan kelajuan maksima 230 km/j.

    Rupa keseluruhan model ini adalah seiras dengan S60 facelift yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia pada Mac 2015. Varian terbaharu ini turut dilengkapi dengan roda aloi ‘Sadia’ berdiameter 17-inci, dibaluti tayar bersaiz 235/45R17.

    Untuk keselamatan, S60 T6 Drive-E dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik bandar (yang berfungsi pada kelajuan sehingga 50 km/j), Sistem Informasi Titik Buta (BLIS) yang beroperasi menggunakan radar, Amaran Lintasan Trafik (CTA), Amaran Pelanggaran dengan Brek Automatik Sepenuhnya. Kawalan Kelajuan Adaptif (ACC), Bantuan Kekal Laluan (LKA), Pengesan Pejalan Kaki dan Penunggang Basikal serta Informasi Tanda Jalan (RSI) turut ditawarkan secara standard.

    Volvo Malaysia turut mengumumkan pengenalan varian T6 Drive-E dalam barisan model S60 ini secara rasminya menghentikan terus jualan untuk varian T4 dan T5. Varian T4 dan T5 sebelum ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM221,888 dan RM268,888.

    Varian T6 terbaharu ini pula kini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM280,888. Setiap pembelian didatangkan standard dengan waranti lima-tahun tanpa had perbatuan serta pakej bantuan tepi jalan Volvo On Call secara percuma juga selama lima tahun.

    Harga menarik yang ditawarkan untuk sedan berkuasa 306 hp ini adalah kerana S60 kini dipasang secara CKD di kilang Swedish Motor Assemblies Shah Alam, yang sudah mula beroperasi sejak tahun 1967.

    GALERI: Gambar rasmi Volvo S60 T6 Drive-E

     
     
  • Honda Civic 2016 dapat pilihan Black Pack di Australia

    Honda-Civic-Black-Pack-1-e1463535186937

    Honda Australia telah mula menerima pra-tempahan bagi Honda Civic 2016 ini. Di mana model generasi ke-10 ini dijangka bakal dipasarkan di sana mulai Jun ini. Malah ia turut ditawarkan dengan pilihan Black Pack, iaitu pek aksesori tulen Honda (seakan seperti Modulo).

    Pek tersebut akan ditawarkan untuk kesemua lima varian Civic di pasaran Australia, termasuk 1.8 liter VTi dan VTi-S, dan 1.5 liter pengecas turbo VTi-L, RS dan VTi-LX. Untuk semua varian kecuali RS, Black Pack ini akan ditawarkan pada harga AUD$2,998 (RM8,796), manakala bagi RS pula berharga AUD$2,298 (RM6,746).

    Untuk Black Pack ini, ia mengandungi rim 17-inci, semestinya dengan warna hitam, di mana pembeli perlu membayar kos tambahan untuk tayar. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan lip spoiler bagi bampar hadapan, skirt sisi, perumah cermin sisi, lid spoiler untuk but dan gril, yang kesemuanya dengan kekemasan hitam. Bagi varian RS, ia sudah pun mempunyai kekemasan hitam (pada gril) yang tersendiri, jadi sebab itulah terdapat perbezaan pada harganya.

    Honda-Civic-Black-Pack-2-e1463535202673

    Buat masa ini, Honda Australia telah menerima 200 pra-tempahan bagi Civic dan dijangka akan meningkat sehingga 300 unit pada penghujung bulan ini. Civic bagi pasaran Australia dipasang di kilang Honda yang terletak di Prachinburi, Thailand.

    Kita di Malaysia juga pastinya tidak sabar menantikan kehadiran Civic FC ini di pasaran (dijangka pada Q2 2016). Baru-baru ini, kami ternampak Civic spesifikasi tempatan sedang menjalani penggambaran video di Putrajaya dan kami juga telah memandu uji Civic spesifikasi Thailand di Chiang Mai dua minggu yang lalu.

    Malah Honda Malaysia akan mempertontonkan Civic 2016 ini buat pertamanya di Malaysia untuk tatapan umum di My Auto Fest 2016 yang bakal berlangsung pada 20 hingga 22 Mei ini (jam 10 pagi hingga 9 malam) di Pusat Pameran Antarabangsa dan Konvensyen Mines (MIECC).

    GALERI: Honda Civic 1.5 Turbo RS, Spesifikasi Thai

     
     
  • LRT catat 99.7% perkhidmatan cekap – CEO

    LRT-rail-pix-Bernama_PT_BM

    Pasarana Malaysia Berhad telah mengesahkan perkhidmatan Transit Laju Ringan (LRT) kini berada pada tahap kecekapan 99.7% dan sedang berusaha untuk menambah baik lagi sistem tersebut, laporan Bernama.

    Menurut CEO Prasarana Datuk Azmi Abdul Aziz, kelewatan perkhidmatan yang dihadapi hanya sekitar kira-kira 0.3% dan pihaknya sedang berusaha untuk menambah baik sistem demi kepuasan pengguna.

    “Masalah itu adalah akibat kerja-kerja menaiktaraf dengan mengintegrasi set-set baharu tren ke dalam sistem. Kami perlu menyelaras tren-tren baharu ke dalam laluan perkhidmatan sedia ada tanpa banyak gangguan,” kata Azmi kepada Bernama di Perhimpunan Persatuan Pengangkutan Awam Antarabangsa ke-16 semalam.

     
     
  • Honda Malaysia lancar Program Bantuan Banjir, tawar diskaun sehingga 50% untuk alat ganti tulen

    Honda-Flood-Relief_BM

    Berikutan banjir kilat yang melanda Lembah Klang minggu lalu, Honda Malaysia (HM) kini mengumumkan Program Bantuan Banjir mereka untuk kenderaan-kenderaan Honda yang terjejas dalam bencana alam berkenaan.

    Program yang bermula semalam sehingga 10 Julai akan datang ini menawarkan diskaun sehingga 50% untuk alat ganti Honda tulen kepada pemilik Honda. Pelanggan yang mahu mendapatkan pakej bantuan ini perlulah membuat laporan polis terlebih dahulu dan kemudian bawa polisi insuran ke pusat servis Honda bertauliah dalam tempoh masa program ini berjalan.

    Walau bagimanapun, tawaran ini hanya sah untuk kenderaan yang dibeli dari pengedar-pengedar sah Honda Malaysia sahaja dan hanya alat ganti yang rosak kerana banjir sahaja diberikan diskaun 50% tersebut. Diskaun tersebut juga tidak diberikan kepada mereka yang menggunakan perlindungan insuran untuk memperbaiki kerosakan. Semua alat ganti tulen yang ditukar turut diberikan waranti enam bulan atau 10,000 km (yang mana sampai dahulu).

    Anda juga dinasihatkan untuk tidak cuba menghidupkan kenderaan anda, buka pintu secara manual, elakkan dari menggunakan alat kawalan jauh atau peralatan elektrikal lain dalam kenderaan jika terperangkap di dalam banjir. Kemudian, cabut terminal negatif bateri kenderaan anda. Buat laporan polis terlebih dahulu dan hubungi syarikat insuran anda sebelum menunda kereta ke bengkel.

    Selain Honda, Nissan dan Perodua juga menawarkan pakej bantuan khas untuk pemilik jenama-jenama berkenaan yang terjejas dalam banjir kilat ini.

     
     
  • Kia Sorento serba baharu bakal dilancarkan di M’sia pada 25 Mei ini- Harga jangkaan bermula RM158k

    All-New Sorento

    Naza Kia Malaysia telah mengesahkan pelancaran bagi Kia Sorento generasi ketiga akan dilangsungkan pada 25 Mei ini. Semalam tempahan bagi SUV tujuh-tempat duduk ini telah pun mula dibuka.

    Ia dikatakan bakal dilancarkan dengan tiga varian bagi enjin petrol dan diesel. Manakala harga atas jalan yang dijangka ialah bermula RM158k (tanpa insurans) dengan waranti lima tahun tanpa had perbatuan.

    Dengan imej yang lebih segar, rekaan Sorento serba baharu ini ditampilkan dengan profil yang lebih melunjur ke belakang dan permukaan yang lebih mendalam. Malah ia turut mempersembahkan imej yang lebih sofistikated termasuk menampilkan ruang dalaman yang lebih luas.

    SUV ini memiliki ukuran 4,780 mm panjang, 1,890 mm lebar dan jarak roda keseluruhan 1,890 mm.

    Malah Sorento serba baharu ini juga lebih banyak menampilkan elemen yang berinovatif termasuk pintu tailgate dengan kuasa pintar, sistem parkir pintar, sistem pemantuan tekanan tayar dan tirai pelindung matahari di belakang.

    Selain itu, ia turut tidak berkompromi soal keselamatan dengan menampilkan enam beg udara, pengurusan kestabilan kenderaan (VSM), kawalan kestabilan elektronik (ECS), ABS, bantuan mula mendaki (HAC) dan banyak lagi.

    GALERI: Kia Sorento 2016 yang diuji oleh Paultan.org di Jordan

     
     
  • Hyundai Ioniq akan dipamerkan di Malaysia buat pertama kali, di My Auto Fest 2016 bermula 20 Mei ini

    Hyundai-Ioniq-Hybrid-6_BM

    Hyundai Ioniq, kereta hijau buatan Korea yang membuat kemunculan sulung di Geneva Motor Show 2016 Mac lalu, diumumkan akan dipamerkan di Malaysia buat pertama kali. Sedan mesra alam dengan tiga varian unit janakuasa berbeza tersebut akan membuat kemunculan pada My Auto Fest 2016 yang bermula pada 20 hingga 22 Mei ini bertempat di Pusat Pameran dan Konvensyen Antarabangsa Mines (MIECC).

    Ioniq merupakan kereta mesra alam pertama di dunia yang menggunakan model dan nama yang sama untuk tiga varian janakuasa berbeza iaitu Ioniq Hybrid, Plug-In Hybrid dan juga Electric yang menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya.

    Ioniq Hybrid, pencabar terus Toyota Prius, dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI empat-silinder berkuasa 105 PS dan tork maksima 147 Nm. Ia digabungkan dengan motor elektrik berkuasa 43 PS dan tork maksima 170 Nm, menerima tenaga dari bateri polimer litium ion berkuasa 1.56 kWh yang ditempatkan di bawah tempt duduk belakang.

    Secara keseluruhan, Ioniq Hybrid mampu menghasilkan kuasa gabungan 141 PS dan tork maksima 265 Nm dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 185 km/j. Kesemua kuasa ini dialirkan ke roda hadapan melalui kotak gear klac berkembar enam-kelajuan.

    Ioniq Electric (yang kini sudahpun dijual di Korea) dijana sepenuhnya dengan motor elektrik berkuasa 120 PS dan tork segera 295 Nm dan dilengkapi dengan sistem transmisi single-speed reducer. Kuasa dibekalkan dari bateri polimer litium ion berkuasa 28 kWh dan mampu untuk membawa kereta ini sejauh lebih dari 250 km dengan kelajuan maksima dicatatkan pada 165 km/j.

    Hyundai Ioniq Plug-In Hybrid turut dijana oleh enjin petrol 1.6 liter Kappa GDI. Enjin tersebut digabungkan dengan motor elektrik yang lebih besar berkuasa 61 PS, dijana oleh bateri berkuasa 8.9 kWh yang mampu membawa kereta ini dengan pacuan motor elektrik sepenuhnya dalam jarak lebih 50 km.

    Kesemua varian Ioniq menerima paparan instrumen TFT tujuh inci dengan Android Auto dan Apple CarPlay pada bahagian dalaman. Untuk sistem keselamatan pula, kesemua Ioniq dilengkapi dengan sistem brek kecemasan automatik, bantuan kekal laluan, pengesan titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan kawalan kelajuan pintar.

     
     
  • Proton bakal dibantu Matrade untuk luaskan eksport

    Proton-LHD-Preve-to-Chile-8

    Proton yang dilihat memiliki prospek yang baik bagi melonjakkan eksport ke pasaran luar negara, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bersedia menjalinkan kerjasama erat dengan pengeluar kereta nasional utama itu.

    Menurut CEO Matrade, Datuk Dzulkifli Mahmud, Matrade akan menyediakan bantuan maklumat pasaran mengenai negara berpotensi bagi tujuan itu, laporan Bernama.

    Antara negara yang dilihat memiliki prospek ini ialah Asia Barat, negara Afrika, Amerika Latin, Asia dan lain-lain negara yang mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan Malaysia.

    “Proton mahu memperluaskan perniagaannya dan berpeluang memasuki semula pasaran Chile dengan 100 unit model Preve baru-baru ini, selepas 16 tahun terhenti. Justeru, Matrade komited untuk membantu Proton,” ujar Dzulkifli.

    Katanya lagi, Proton juga dilihat berpotensi menerokai segmen kereta elektronik atau hibrid.

    Beliau turut berkongsi pengalaman misi perdagangan ke Tehran, Iran baru-baru ini dan mendapati model Proton yang dieksport ke sana seperti Gen2 masih mencatat prestasi kukuh, sekali gus membuktikan kebolehpercayaan jenama tersebut.

    “Malah Iran juga mengharapkan Proton bersedia membawa masuk lebih banyak unit kenderaannya ke pasaran sana,” ujarnya lagi.

     
     
  • LTA Singapura siasat kenderaan Hyundai kerana kes pecutan mengejut atas faktor mekanikal atau kecuaian

    2016-hyundai-tucson-driven-2.0-executive- 013

    Beberapa kemalangan yang melibatkan teksi yang menggunakan kenderaan Hyundai di Singapura dilaporkan berlaku baru-baru ini. Ia dikatakan berpunca daripada pecutan yang ‘tidak dirancang’ (SUA) dan ini mendorong Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) negara berkenaan menyiasatnya.

    Menurut laporan yang disiarkan oleh The Strait Times, kejadian yang dirakamkan oleh kamera kereta menunjukkan teksi Hyundai kendalian ComfortDelGo mengalami kemalangan dramatik di mana pemandunya tidak dalam kawalan kenderaan mereka pada masa itu.

    Dalam salah satu rakaman video, teksi terbabit didapati berundur dengan pantas dan telah melanggar kenderaan yang diletakkan di kawasan parkir kereta HDB. Ia kemudian bergerak ke hadapan, tetapi berundur semula dan menaiki bebendul jalan lalu terus melanggar sebuah blok flat.

    Manakala terdapat satu lagi video menunjukkan sebuah teksi berundur dan melanggar sebuah kenderaan, kemudnai memecut ke hadapan dan bertembung dengan lebih daripada sebuah kenderana.

    LTA turut berkata perkara ini sedang disiasat kerana ia dilaporkan kenderaan Hyundai terbabit mengalami pecutan tidak dirancang semasa dalam gear undur. Walau bagaimana pun, ia masih terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan buat masa ini.

    Buat masa ini, pengendali syarikat teksi ComfortDelGro dan pengedar Hyundai di Singapura, Komoco, enggan mengulas mengenai kes ini.

    Di Seoul, portal berita BusinessKorea pernah melaporkan, sebanyak 417 kes kemalangan antara tahun 2010 dan 2014 disyaki disebabkan oleh masalah yang sama. Di mana hampir 60% daripada kes ini melibatkan model Hyundai dan Kia.

    Namun kebanyakan kes sebegini tidak semua yang boleh dibuktikan berpunca daripada masalah mekanikal. Ada yang mengaitkan dengan kecuaian pemandu yang tersilap memijak pedal pendikit dan bukannya pedal brek.

     
     
  • Global NCAP uji lima model baharu di India – semua kosong-bintang kerana kurang/tiada beg udara

    unnamed

    Global NCAP telah pun mengeluarkan keputusan ujian pelanggaran di India yang dilakukan di New Delhi, dengan keputusan yang mengecewakan bagi semua lima model yang diuji. Renault Kwid, Maruti Suzuki Celerio, Maruti Suzuki Eeco, Mahindra Scorpio dan Hyundai Eon yang diuji mendapat ‘kosong-bintang’ menunjukkan tahap yang rendah bagi perlindungan penumpang dewasa.

    Renault Kwid diuji secara tiga versi, termasuk satu dengan beg udara tetapi setiap satunya tetap menerima kosong-bintang bagi keselamatan dewasa, manakala dua-bintang bagi perlindungan penumpang kanak-kanak.

    Begitu juga dengan Mahindra Scorpio yang menerima keputusan yang sama. Dengan struktur kerangka yang kurang utuh, di samping kekurangan beg udara mampu memberikan risiko kecederaan sekurang-kurangnya pada seorang penumpang dewasa.

    unnamed-2

    Tiada beg udara juga menyebabkan Suzuki Maruti Eeco mendapat kosong-bintang bagi perlindungan penumpang dewasa dan satu-bintang bagi perlindungan penumpang kanak-kanak. Manakala Hyundai Eon yang ditawarkan dengan spesifikasi standard juga tidak dilengkapi dengan beg udara. Tiada bintang untuk perlindungan penumpang dewasa tetapi Eon menerima dua-bintang bagi perlindungan penumpang kanak-kanak.

    Manakala perkara yang sama dialami oleh Maruti Suzuki Celerio, dengan kosong bintang bagi perlindungan penumpang dewasa dan hanya satu-bintang untuk perlindungan penumpang kanak-kanak, atas alasan yang sama iaitu tiada beg udara dan struktur kerangka yang kurang utuh dan berisiko tinggi jika terbabit dengan kemalangan.

    Bercakap mengenai keputusan ujian terkini ini, David Ward selaku Setiausaha Agong Global NCAP berkata, “Keputusan terkini SaferCarsforIndia menunjukkan betapa pentingkan kerangka kenderaan yang boleh kekal stabil ketika kemalangan. Malah perlindungan penumpang juga lebih terjamin dengan adanya sekurang-kurangnya beg udara hadapan.

    “Sangat mengejutkan apabila pengeluar seperti Renault yang memperkenalkan Kwid ini tidak menampilkan ciri tersebut. Global NCAP percaya tiada satu pun pengeluar kenderaan di dunia ini yang membangunkan model baharu tanpa standard yang diperlukan. Justeru, mereka harus memastikan setiap model baharu menepati sekurang-kurangnya minimum bagi peraturan ujian perlanggaran UN termasuk adanya beg udara,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

    Kata Ward lagi, keputusan ini sangat penting bagi kerajaan India yang membuat keputusan untuk memandatkan ujian impak kemalangan hadapan dan sisi mulai Oktober 2017. Ia diperlukan bagi memastikan tahap paling minimum bagi perlindungan penumpang seperti mana yang dicadangkan oleh United Nations bagi memberikan jaminan kepada para pengguna di India.

    “Walau bagaimana pun, para pengeluar kenderaan untuk tidak menantikan peraturan baharu ini dilaksanakan dan digesa supaya mempertingkatkan kualiti mereka bagi mengelakkan kosong bintang bagi kenderaan yang dikeluarkan.

    “Malah Global NCAP turut mengalu-alukan Program Penilaian Kereta Baharu Bharat yang dilihat mampu membantu membina pasaran bagi kenderaan yang lebih selamat di India.”

     
     
  • MoU projek HSR antara Malaysia dan Singapura dijangka akan ditandatangani Julai ini – PM

    Hitachi Super Express

    Malaysia dan Singapura dijangka akan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk projek Rel Berkelajuan Tinggi (HSR) Julai ini, lapor New Straits Times.

    Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan projek rel berkelajuan tinggi yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura itu telah merangsang keterujaan di seluruh dunia. “Kita jangkakan MoU dengan Singapura akan ditandatangani Julai ini. Itu sasarannya. Ini merupakan perubahan besar pada sistem pengangkutan negara. Ia bermaksud perjalanan dari Singapura ke Kuala Lumpur hanya mengambil masa satu setengah jam, ” kata beliau.

    HSR-stations-proposed

    Najib juga menyatakan projek HSR tersebut termasuk dalam salah satu projek yang dijalankan di Malaysia untuk meningkatkan infrastruktur dalam negara dan menjana ekonomi selain dari projek Lebuhraya Pan-Borneo.

    NST juga melaporkan tiada lagi perincian penuh dari PM berkenaan majlis menandatangani MoU projek tersebut. Beliau dan rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong dijangka akan menyaksikan majlis berkenaan di Kuala Lumpur, namun tarikh sebenar masih lagi belum diumumkan. MoU berkenaan juga akan memperincikan rundingan perjanjian utama untuk perancangan, pembangunan, pelaksanaan dan operasi HSR antara dua ibu negara.

     
     
  • Pencuri mampu godam sistem immobiliser, larikan kenderaan dalam masa kurang dua minit – JPJ

    honda-civic-stolen

    Satu sindiket terancang yang mensasarkan kenderaan tertentu seperti Toyota Alphard, Toyota Camry, Honda Civic dan Honda City, mampu untuk menggodam sistem immobiliser kenderaan terbabit dengan mengesetnya semula agar ia lumpuh dalam masa kurang dua minit, lapor Harian Metro.

    Menurut pengarah bahagian kejuruteraan automotif Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Mohamed Dalib, kenderaan yang dilengkapi dengan sistem immobiliser akan mematikan enjin kereta apabila ia mengesan kuncinya tiada pada jarak tertentu.

    Dengan ini, sindiket tersebut menggunakan beberapa teknik termasuk menggunakan alat penyesak untuk mematikan sistem immobiliser sebelum menyembunyikan kenderaan yang dicuri pada lokasi tertentu. Untuk immobiliser yang dilengkapi sistem pemantauan satelit pula, Dalib berkata, “pencuri akan menggodam alat tersebut dalam masa lima ke sepuluh minit untuk membuang baterinya bagi mengelakkan ia dikesan.”

    Menurut Dalib lagi, kenderaan yang dicuri dalam negara akan diseludup ke negara-negara Afrika seperti Kenya dan Uganda.

     
     
  • Mitsubishi Triton Knight Edition diperkenalkan – terhad kepada 120 unit, dijual pada harga RM122k

    Triton-Knight-Edition-04_BM

    Seperti yang dilaporkan semalam, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) hari ini secara rasmi mengumumkan edisi terhad Triton. Diberi nama Mitsubishi Trition Knight Edition, model edisi terhad tersebut kini menyambung legasi dari Triton Phantom Edition. Jika Phantom dengan tema warna hitam dikeluarkan hanya 200 unit, edisi Knight dengan tema warna putih kali ini lebih eksklusif kerana dihasilkan terhad hanya 120 unit.

    Seperti juga Phantom, Triton Knight Edition diasaskan dari varian tertinggi Triton VGT Adventure yang dijana oleh enjin turbo diesel VGT (178 PS/400 Nm) dan dilengkapi dengan lebih ciri tambahan. Trak pikap edisi terhad ini hanya ditawarkan dengan warna Putih Mutiara dan dipadankan dengan roda aloi matte black 17-inci serta gril dan bampar belakang matte black.

    Triton-Knight-Edition-02_BM

    Turut dipadankan pada Knight Edition ini ialah pemanjang bampar hadapan, bar sport dengan penutup dan juga pelekat badan. Perkataan ‘KNIGHT’ turut ditampal pada bahagian atas gril hadapan dan juga di pintu tailgate belakang. Kesemua tempat duduk dibalut dengan kulit berwarna hitam manakala perkataan ‘Knight’ turut disulam pada tempat duduk hadapan.

    Semua ciri pada Triton VGT Adventure kekal pada edisi terhad ini yang terdiri daripada lampu hadapan LED penuh dengan lampu nyalaan siang LED, sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, stereng teleskopik boleh laras, mod manual dengan penukar gear pada stereng, unit pemain audio utama 2-DIN berserta kamera undur, lampu dan penggilap cermin automatik serta penghawa dingin automatik dua zon.

    Mitsubishi Triton Knight Edition dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM122,487. MMM turut menawarkan servis berkala percuma sepenuhnya selama dua tahun dengan rebat tunai RM2,000 atau kos upah servis percuma dengan rebat tunai RM4,000. Setiap pembelian trak pikap ini juga turut disertakan dengan waranti pengeluar selama tiga tahun atau 100,000 km, yang mana sampai dahulu.

    GALERI: Mitsubishi Triton VGT Adventure

     
     
  • Pusat 1S terbaharu Toyota dibuka di Seri Kembangan

    UMW-toyota-seri-kembangan-branch_BM

    UMW Toyota secara rasminya mengumumkan pembukaan pusat jualan terbaharu mereka di Seri Kembangan, Selangor. Outlet 1S pebagai aras berkenaan diuruskan oleh 15 orang staf, dan mempunyai bilik pameran yang moden dan luas serta ruang khas untuk penyerahan kereta baharu kepada pelanggan.

    Fasiliti berbilang tingkat berkenaan menggantikan outlet jualan sebelum ini, yang sudah beroperasi sejak tahun 1995, dan telah dipindahkan sejauh lima kilometer dari lokasi asalnya. UMW Toyota mengatakan dengan pembangunan pesat di Seri Kembangan sejak satu dekad lalu, akses ke lokasi bangunan lama dan kecil berkenaan menjadi lebih tidak selesa kerana kesesakan trafik yang berlaku.

    Outlet baharu itu juga turut akan mengendalikan pelanggan di daerah lain pada bahagian selatan Selangor dan Kuala Lumpur. Dengan pembukaan pusat jualan baharu di Seri Kembangan ini, UMW Toyota kini mempunyai 97 buah outlet jualan dan selepas jualan, termasuk pengedar sah, di seluruh negara.

     
     
  • Pemandu Uber mungkin dikenakan cukai jika kerajaan tidak boleh memperolehnya dari syarikat berkenaan

    uber-cash-payment

    Berbeza dari pekerja bergaji yang tidak boleh lari dari cukai, syarikat-syarikat besar mempunyai helah untuk mengelak atau tidak membayar langsung cukai dengan mengalihkan keuntungan ke seluruh dunia, mengambil kesempatan keatas kelemahan-kelemahan dalam sistem percukaian tersebut. Itu yang sedang dilakukan oleh Uber sekarang, dan pemandu Uber mungkin akan dikenakan cukai jika kerajaan tidak berjaya mengenakan cukai dari keuntungan yang diperolehi dari perkhidmatan Uber tersebut, lapor The Sun.

    Selama ini, pelan cukai Uber telah berjaya mengelakkan cukai secara sah dari kerajaan-kerajaan seluruh dunia termasuk Australia, Canada, Hungary, UK dan juga Amerika Syarikat. Turut dilaporkan di UK, Uber mengelakkan cukai secara sah di sana dengan memindahkan keuntungannya ke anak syarikat mereka di Netherlands. Juga, kurang daripada 2% keuntungan keseluruhan Uber digunakan untuk membayar cukai kepada kerajaan Amerika Syarikat, menurut laporan tersebut.

    Menurut majalah Fortune, Uber telah mewujudkan subsidiari pada setiap negara yang mereka beroperasi dan juga mewujudkan dua subsidiari di Netherland iaitu Uber International dan Uber BV.

    uber-paris

    Subsidiari pada setiap negara tidak mengambil keuntungan terus dari penumpang, tetapi tambang tersebut dihantar ke Uber BV, seperti yang dicatatkan pada penyata kad kredit anda. Uber akan menghantar 80% dari bayaran tambang tersebut kepada pemandu melalui subsidiari Belanda yang lain dan menyimpan 20% sebagai keuntungan. Majalah tersebut menyebut ini adalah “keuntungan di atas lautan, kerana ia diletakkan pada kawasan yang terapung antara pihak berkuasa percukaian dua negara.”

    Jadi apa tindakan yang bakal diambil kerajaan? Sumber dari pihak dalaman kerajaan memberitahu The Sun pendaftaran yang bakal diwajibkan kepada pemandu Uber dan Grab dalam kaedah “e-hailing” pada masa akan datang akan memainkan peranan penting untuk proses percukaian ini. “Pangkalan data pemandu tersebut penting untuk tujuan memantau, bayaran lesen dan juga percukaian,” kata sumber berkenaan.

    Seorang pegawai senior di LHDN turut dihubungi oleh The Sun, dan dilaporkan berkata pihaknya boleh mengenakan cukai pada kelas khas dari pendapatan Uber Malaysia Sdn Bhd dibawah Seksyen 4A akta berkenaan kerana memindahkan keuntungan tambang kepada bukan-residen.

    RM Credit Card

    Jun lalu, pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) Tan Sri Syed Hamid Albar berkata sistem tanpa tunai Uber tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada negara. “Duit berkenaan mengalir keluar negara dan ringgit kita tidak berlegar dalam negara,” kata beliau. Uber baru-baru ini mula menerima tunai dalam urusniaga mereka.

    Langkah untuk membenarkan dan menyelia operasi aplikasi perkongsian kenderaan seperti Uber dan Grab sedang dilaksanakan. Selepas diluluskan oleh Jawatankuasa Khas Ekonomi (JKE) dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak bulan lalu, SPAD akan membentangkan kertas cadangan kepada Kabinet bulan ini untuk diluluskan untuk peringkat akhir.

    Model “e-hailing” tersebut juga turut memperincikan transformasi industri teksi, keperluan lesen perkhidmatan awam (PSV) untuk pemandu kenderaan persendirian, pemeriksaan kenderaan tahunan dan perlindungan insuran yang komprehensif.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM3.35 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.55 (0.00)
Last Updated Jul 04, 2024