Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PANDU UJI: Haval H2 – ketelitian buatan kemas dan bertambah baik, aspek kendalian perlu dipertingkatkan

    PANDU UJI: Haval H2 – ketelitian buatan kemas dan bertambah baik, aspek kendalian perlu dipertingkatkan

    Haval H2 mungkin sebuah model yang jarang-jarang dapat dilihat di atas jalan. Sebelum membicarakan dengan lebih panjang tentang pengeluar ini serta pengedarnya di Malaysia, anda jangan terkeliru. Sebelum ini, jenama berkenaan dikenali dengan nama Great Wall Motors (GWM), sama dengan nama asalnya untuk pasaran di China. Haval untuk pasaran di sana merujuk kepada model SUV yang dikeluarkan.

    Kemudian, pengedarnya di Malaysia, GO Auto Sales Sdn Bhd melakukan penyelarasan semula terhadap jenama ini, dan beralih kepada nama Haval sebagai pengenalan jenama utamanya, diikuti nama siri atau model yang dimaksudkan.

    Di dalam konteks laporan ini, kita akan memberi perhatian terhadap model SUV lima tempat duduk Haval H2. Selain H2, ada sebuah lagi model yang turut dipasarkan kini, SUV kompak Haval M4 yang kemudiannya sejak Januari lalu ditukar pengenalannya kepada Haval H1.

    Haval H2 berada dalam penawaran yang lebih tinggi berbanding H1, dengan reka bentuk dan ruang kabinnya lebih dekat dengan kenderaan SUV dari segmen kompak lainnya. Agar lebih jelas, model SUV kompak yang paling hampir dengannya adalah seperti Mitsubishi ASX, atau mungkin Renault Captur serta yang paling popular, Honda HR-V – itu pun sekiranya kita ingin meluaskan skop jenis kenderaan yang berada dalam pakej penawaran yang mirip dengannya.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • Harga bahan api mingguan bolehkan pengguna fahami trend runcit semasa – elak perubahan harga drastik

    Harga bahan api mingguan bolehkan pengguna fahami trend runcit semasa – elak perubahan harga drastik

    Pengenalan harga siling mingguan bagi bahan api petrol dan diesel akan memberikan pengguna kefahaman yang lebih baik terhadap trend runcit bahan itu berbanding sistem harga yang diumumkan setiap bulan seperti yang dilakukan sebelum ini.

    Bernama melaporkan, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pengenalan mekanisme baru itu turut berupaya mengelakkan perubahan medadak harga bahan api disebabkan tempoh kiraan harganya kini lebih singkat, dan setiap perubahan adalah berperingkat.

    “Jika kita tunggu sebulan, kadang-kadang harga bahan api akan naik ketara sehingga 25 sen seliter. Jika ia naik sebanyak itu, agak sukar untuk melakukan penyelarasan dan kerajaan terpaksa menyerap sebahagian daripadanya sebagai subsidi,” ujar beliau.

    Johari juga menambah, walaupun kerajaan menetapkan harg siling bagi bahan api, ia terserah kepada pengeluar minyak jika ingin memasarkannya lebih rendah daripada harga berkenaan.

     
     
  • KTM akan keluarkan model enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api, pengenalan pada bulan Mei 2017

    KTM akan keluarkan model enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api, pengenalan pada bulan Mei 2017

    Kewujudan model produksi yang menggunakan enjin dua lejang (two stroke) suntikan bahan api (fuel injection) kini semakin hampir apabila pengeluar motosikal dari Austria, KTM mendedahkan enjin teknologi tersebut – yang akan digunakan untuk dua model tahun 2018 iaitu 250 EXC TPI dan 300 EXC TPI.

    Dua model ini adalah model enduro, dan KTM masih belum mengeluarkan kenyataan bahawa enjin dua lejang suntikan bahan api ini akan digunakan pada model SX, iaitu model yang tidak boleh didaftar dan dibawa atas jalan biasa.

    KTM akan keluarkan model enduro berenjin dua lejang suntikan bahan api, pengenalan pada bulan Mei 2017

    Kelebihan enjin dua lejang suntikan bahan api Transfer Port Injection (TPI) oleh KTM ini adalah ia tidak lagi memerlukan campuran petrol dan minyak 2T, lebih mesra alam dan menjimatkan bahan api. Bagi aspek kuasa pula, KTM mendakwa rasanya lebih ‘garing’, tidak teragak-agak dan tidak lagi memerlukan pelarasan jetting. Enjin ini juga menepati tahap emisi Euro 4.

    Walaupun dinamakan sebagai model tahun 2018, KTM akan melakukan pelancaran media untuk model yang menggunakan enjin dua lejang suntikan bahan api ini pada 15 Mei 2017, dan lebih banyak informasi dan spesifikasi berkenaannya akan didapati pada waktu tersebut.

     
     
  • Kia Grand Carnival akan dilancarkan pada Q1 tahun ini

    Kia Grand Carnival akan dilancarkan pada Q1 tahun ini

    Sudah hampir tiga bulan sejak Naza Kia mendedahkan spesifikasi penuh, berserta harga untuk Kia Grand Carnival, tetapi sampai sekarang ia masih belum dilancarkan secara rasmi. Namun, berita terbaru yang kami terima, kereta ini akan dilancarkan dalam suku pertama (Q1) tahun 2017, dan tempoh itu hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi.

    Naza Kia mendakwa bahawa pengenalan Grand Carnival akan melonjakkan jumlah jualan jenama itu dalam tahun ini, selepas waktu sukar yang dihadapi pada tahun 2016. “Untuk tahun 2017,, kami telah meletak jangkaan sasaran jumlah jualan untuk meningkat sebanyak 25% dan Grand Carnival akan memainkan peranan penting untuk mencapai jumlah ini,” kata ketua pegawai operasi kumpulan automotif Naza, Datuk Samson Anand George.

    Untuk pasaran Malaysia, dua varian enjin diesel akan diperkenalkan, dengan harga atas jalan (termasuk insurans) sekitar RM153,888 untuk model asas dan RM181,888 untuk varian paling tinggi, seperti yang diberitahu oleh wakil pengedarnya. Jaminan lima tahun tanpa had batuan juga akan diberi, bersama skim Value 5 baru Naza Kia.

    Kelengkapan standard pada Grand Carnival adalah termasuk lampu halogen dengan lampu siang LED, lampu kabus depan dan belakang, lampu belakang LED dan rim aloi 18 inci. Di dalam, terdapat tempat duduk fabrik larasan manual, dengan fungsi sokongan belakang elektrik, pintu jenis gelungsur manual, panel meter Supervision dengan paparan monochrome OLED 3.5 inci, skrin hiburan dan informasi sesentuh 4.3 inci, kamera undur dan enam pembesar suara.

    Untuk model GS, anda akan diberi gril hitam dan krom, sistem kemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, pintu gelungsur kuasa elektrik, balutan kulit, pengawal suhu automatik tiga zon dan pintu but belakang elektrik.

    Untuk aspek keselamatan, kedua-dua model datang dengan enam beg udara, brek ABS, EBD dan BA, pengawal kestabilan, hill-start assist, pengesan jarak depan dan belakang, serta cagak ISOFIX untuk tempat duduk baris kedua dan ketiga. Unit Malaysia juga akan mempunyai tali pinggang keledar tiga penjuru pada semua tempat duduk, dan bukannya sekadar untuk di pinggang sahaja seperti dalam gambar.

    Kuasa pacuan kenderaan ini datang daripada enjin 2.2 liter CRDi empat silinder turbodiesel, berkemampuan 193 PS pada 3,800 rpm dan 440 Nm tork pada 1,750 rpm hingga 2,750 rpm. Semua kuasa ini dihantar ke tayar hadapan melalui transmisi automatik enam kelajuan.

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D

    GALERI: Kia Grand Carnival 2.2D GS

     
     
  • Acura MDX Sport Hybrid – varian paling tinggi, 321 hp

    Acura MDX Sport Hybrid – varian paling tinggi, 321 hp

    Satu tahun selepas Acura MDX facelift ditampilkan di New York, cabang jenama mewah Honda tersebut memperkenalkan pula varian paling tinggi Sport Hybrid. Seperti yang dapat dilihat pada namanya, SUV premium ini menggunakan sistem Sport Hybrid Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) tiga motor, yang juga dipakai pada model NSX dan RLX/Honda Legend.

    Bahagian utama enjin hibrid ini adalah enjin 3.0 liter N/A SOHC i-VTEC V6, dengan sistem start/stop automatik, berkemampuan 257 hp pada 6,300 rpm dan 296 Nm pada 5,000 rpm. Enjin pembakaran dalaman ini kemudiannya dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan, dan di antaranya terdapat motor elektrik yang memberi kuasa segera dan bertindak sebagai pengganti kepada torque converter.

    Pada bahagian belakang kenderaan ini, terletak pula Twin Motor Unit (TMU) – sama seperti yang terdapat di bahagian depan NSX – yang boleh memberikan tork negatif dan positif kepada kedua-dua tayar belakang supaya lebih bersesuaian. Secara keseluruhannya, MDX Sport Hybrid boleh menghasilkan 321 hp dan 329 Nm tork.

    Walaupun mempunyai 31 hp lebih berbanding model V6 3.5 liter biasa – menjadikannya SUV Acura paling berkuasa – MDX Sport Hybrid mempunyai catatan penggunaan bahan api bercampur EPA 2.5 L/100 km lebih baik, iaitu pada tahap 8.7 L/100 km. Pemandu juga boleh memilih empat mod yang disediakan iaitu Comfort, Normal, Sport dan Sport+ untuk mengubah karekter prestasi sistem Sport Hybrid SH-AWD yang digunakan.

    Untuk aspek keselamatan, semua model MDX mendapat sistem bantuan pemandu AcuraWatch, termasuk Collision Mitigation Braking System (CMBS), Lane Departure Warning (LDW), Forward Collision Warning (FCW), Lane Keeping Assist (LKAS), Adaptive Cruise Control (ACC) dengan ciri mengikut di kelajuan rendah dan Road Departure Mitigation (RDM).

    Turut didatangkan secara standard adalah kamera undur, manakala model paling tinggi dilengkapi pula dengan pengesan titik buta, pengesan jarak depan dan belakang, Rear Cross Traffic Monitor dan lampu tinggi automatik.

     
     
  • Volkswagen anjur jelajah ‘Vento Turbocharged Tour’

    Volkswagen anjur jelajah ‘Vento Turbocharged Tour’

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) bakal menganjurkan siri jelajah “Vento Turbocharged” yang akan berlangsung di 11 lokasi diseluruh negara. Siri jelajah ini akan memberi peluang kepada pelanggan dan pengunjung untuk mencuba sendiri model Vento dengan merasakan kuasa dari enjin turbocajnya, serta penerangan tentang keselamatan kenderaan serta kemahiran memandu.

    Tiga lokasi pertama jelajah ini, yang akan bermula hujung minggu ini, akan mengambil tempat di Aeon Bukit Tinggi Klang pada 18-19 Mac. Ia akan diteruskan pula pada 13-14 Mei nanti, bertempat di Mydin Air Keroh, Melaka dan seterusnya akan bertandang ke Stadium Darul Makmur, Kuantan pada 29-20 Julai nanti. Ia terbuka kepada semua dan masuk adalah percuma. Pengunjung hanya perlu membawa lesen memandu sah untuk sesi pandu uji berkenaan.

    Volkswagen anjur jelajah ‘Vento Turbocharged Tour’

    Volkswagen Vento dilengkapi enjin 1.2 liter TSI turbocaj suntikan terus dan digandingkan dnegan kotak gear automatik DSG tujuh-kelajuan. Ini membolehkannya memberikan pengalaman pemanduan yang lebih baik. Model ini juga menerima penarafan lima-bintang bagi Asean NCAP, disumbangkan oleh senarai teknologi keselamatan yang melengkapinya – termasuk kawalan kestabilan ESC.

    Model-model kenderaan keluaran Volkswagen yang lain turut akan disediakan kepada pengunjung yang berminat untuk memandu uji. Bagi yang ingin membuat tempahan terhadap model-model yang ada ketika siri jelajah ini nanti, tawaran istimewa turut akan menanti anda.

     
     
  • Subaru Exiga Crossover7 dapat versi X-Break ranggi

    Subaru Exiga Crossover7 dapat versi X-Break ranggi

    Subaru telah menambah variasi X-Break untuk Exiga Crossover7, direka untuk menjadikan wagon tinggi tujuh tempat duduk ini lebih ranggi dan bergaya. Pada varian baru ini, kenderaan tersebut mendapat beberapa perubahan luar dan dalam, serta kelengkapan yang lebih tahan lasak.

    Antara perkara yang membezakan X-Break dengan model standard adalah kemasan bawah pintu plastik berwarna hitam, cermin sisi hitam, rim 17 inci kelabu gelap baru dan lencana X-Break ada bahagian tepi dan belakang.

    Di dalam pula, terdapat hiasan kulit berwarna hitam dan coklat pada papan pemuka, bahagian penumpang, bersama tempat duduk yang dibalut dengan fabrik kalis air dan kulit sintetik. terdapat juga lapik lantai yang boleh diterbalikkan dan disiram air, sekaligus menjadikannya lebih mudah dicuci, sebagai contoh apabila terkena lumpur atau membawa barang yang basah.

    Bagi yang kurang kenal, Crossover7 adalah satu model berorientasikan offroad bagi Exiga yang sudah dijual sejak tahun 2007. Perubahan yang diberi berbanding model standard adalah termasuk kemasan plastik pada keliling kereta, skid plate di hadapan dan belakang, gril lebih besar, lampu penanda LED dan rim aloi 17 inci.

    Bahagian dalam juga mempunyai peningkatan, seperti jahitan biru-hijau pada kulit yang digunakan serta panel hiasan hitam-perak. Penggunaan suede dan kulit sebenar pada tempat duduk dan beberapa bahagian lain juga disediakan sebagai pilihan. Tempat duduknya didatangkan secara standard dengan pelarasan elektronik lapan arah, bersama ciri pemanas. Untuk aspek keselamatan, Crossover7 mendapat enam beg udara dan sistem bantuan pemandu Eyesight versi kedua secara standard.

    Kuasa kenderaan ini datang daripada enjin empat silinder 2.5 liter N/A yang berkemampuan 173 PS dan 235 Nm, dipadankan bersama transmisi CVT Lineartronic dan sistem pacuan Symmetrical All-Wheel Drive Subaru. Penggunaan bahan api berada pada tahap 13.2 km/l berdasarkan kitaran JC08. Bahagian suspensi kenderaan ini turut dinaikkan sebanyak 20 mm untuk memberikan kelegaan dari tanah 170 mm.

     
     
  • Toyota GT86 ‘Tiger’ – hanya ada 30 unit untuk Jerman

    Toyota GT86 ‘Tiger’ – hanya ada 30 unit untuk Jerman

    Awal minggu ini, model khusus untuk pasaran Amerika Syarikat, Toyota 86 860 Special Edition diumumkan. Terbaru, khusus untuk pasaran Jerman pula, Toyota GT86 ‘Tiger’ pula diperkenalkan.

    Tiada perubahan mekanikal, jadi prestasi yang dijana oleh versi ini tidak ada apa-apa pertambahan berbanding model biasanya. Bagaimanapun, rupanya lebih garang, dengan warna ‘Tiger Orange’ dengan kemasan pelekat hitam sebagai membangkitkan kontrasnya. Spoiler belakang juga dalam warna hitam, manakala rim 17 inci juga mengikut tema yang sama. Ia menggunakan penyerap hentak oleh Sachs.

    Di dalam, versi ini menggunakan pembalut kerusi dari material Alcantara dan suede pada bahagian pintu dan papan pemuka. Seperti dijangkakan, jahitan warna oren turut digunakan sebagai padanan terhadap imej keseluruhannya. Lambang “GT86 Tiger” juga ada sebagai tanda versi ini berbeza berbanding yang biasa, ditawarkan hanya dalam jumlah terhad – hanya 30 unit akan dibuat.

     
     
  • VIDEO: Volkswagen Arteon – sporty dan menawan

    Selepas diperkenalkan ketika pameran permotoran Geneva minggu lalu, Volkswagen di dalam sebuah video terbaru kini menampilkan model Arteon di atas jalan dengan tumpuan diberikan terhadap kelengkapan ciri-ciri menariknya.

    Sebuah kereta sedan yang lebih mirip ke arah rekaan coupe, yang diposisikan di antara Passat B8 dan Phideon (hanya di China) menampilkan penggayaan yang diambil kebanyakannya daripada Sport Coupe Concept GTE yang dipertontonkan dua tahun lalu.

    Ketika pengenalannya, Arteon akan ditawarkan dalam tiga pilihan kemasan; baseline, Elegance dan R-Line. Bagi enjin pula, pilihan dari dua enjin petrol dan satu enjin diesel dengan output berbeza. Ini menjadikan jumlah varian keseluruhannya ada enam pilihan.

    Enjin petrol pertama, 1.5 liter TSI Evo dengan janaan 150 PS turut ada digunakan bagi model Golf Mk 7 facelift, diikuti oleh enjin 2.0 liter TSI dengan dua janaan output; 190 PS dan 280 PS. Enjin 2.0 liter TDI pula dalam pilihan janaan kuasa 150 PS, 190 PS dan 240 PS. Bagi transmisi, baseline dilengkapi kotak gear manual enam-kelajuan, manakala varian yang lebih tinggi datang dengan kotak gear DSG tujuh-kelajuan.

    Dengan rekaan seperti ini, tidak hairan jika Volkswagen akan memasarkannya disemua pasaran yang relevan dengan segmen berkenaan. Arteon, yang akan dipasang di kilang pengeluarnya di Emden, akan mula dijual di Jerman Jun ini.

     
     
  • VIDEO: Hyundai i30 N – kereta prestasi pertama Hyundai diuji atas salji oleh Thierry Neuville; dipuji

    VIDEO: Hyundai i30 N – kereta prestasi pertama Hyundai diuji atas salji oleh Thierry Neuville; dipuji

    Dalam tahun ini, Hyundai akan mengeluarkan model prestasi mereka yang pertama, digelar sebagai i30 N, dan ia adalah ahli ketiga dalam barisan kenderaan model i30 (selepas i30 lima pintu dan i30 Wagon). Model ini sudah dilihat diuji di atas jalan raya biasa, namun dalam video terbaru yang dikeluarkan sendiri oleh Hyundai, ia diuji atas salji oleh pelumba rali WRC, Thierry Neuville.

    Di dalam video tersebut, aksi menggelungsur i30 N boleh dilihat sambil mengeluarkan bunyi yang menggiurkan manakala Neuville memuji kerja jurutera Hyundai dalam menghasilkan kenderaan prestasi yang mudah dikawal dan dapat memberi rasa sebenar kereta lumba kepada orang ramai.

    Ujian ini dilakukan di Arjeplog, Sweden, di mana selain itu, Hyundai juga ingin memperelok dan membuat talaan terhadap ciri dinamik kenderaan itu. Bahagian lain seperti Electronic Stability Control, Limited Slip Differential, stereng, penyerap hentakan, suspensi dan tayar juga semuanya diuji dalam keadaan cuaca ekstrem, dengan suhu boleh mencecah -30 darjah celsius.

    VIDEO: Hyundai i30 N – kereta prestasi pertama Hyundai diuji atas salji oleh Thierry Neuville; dipuji

    Informasi yang didapati sebelum ini menjangka i30 N akan dikuasakan oleh enjin empat silinder 2.0 turbo, dan akan ditawarkan dalam dua varian – standard 250 hp dan dilengkapi dengan pakej prestasi, 275 hp. Selaku sebuah hatchback prestasi, i30 N akan memberi saingan terus kepada model seperti Volkswagen Golf GTi, Ford Focus ST dan Peugeot 308 GTI.

    Selain itu, i30 N juga akan dibekalkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan dan kemudiannya turut ditawarkan dengan transmisi klac berkembar lapan-kelajuan jenis klac basah.Apa yang menarik lagi, i30 N bakal dilengkapkan dengan LSD mekanikal pintar kawalan elektronik digelar E-LSD, pertama seumpamanya dari Hyundai.

    Menurut ketua bahagian ujian dan pembangunan kenderaan prestasi di pusat teknikal Hyundai Motor Europe iaitu Alexander Eichler, objektif i30 N adalah seperti berikut: “Sasaran utama kami adalah untuk menjamin kepuasan memandu. Logo ‘N’ yang membawa simbol chicane selekoh itu juga menjurus kepada aspek itu – sebuah kenderaan yang lincah dan seronok untuk dipandu.

     
     
  • DBKL wujudkan zon khas motosikal di lampu isyarat

    DBKL wujudkan zon khas motosikal di lampu isyarat

    Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan akan melaksanakan penstrukturan trafik yang baharu di ibu kota dengan mewujudkan zon keutamaan motosikal di beberapa lokasi lampu isyarat, laporan Bernama.

    Menurut Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mhd Amin Nordin Abd Aziz, zon tersebut yang dicat warna merah dan putih akan menjadi penanda kepada setiap penunggang motosikal untuk berhenti di dalam petak khas sementara menunggu lampu isyarat dan tidak lagi dibenarkan memberhenti kenderaan di luar petak tersebut.

    Manakala kenderaan lain perlu memberhentikan kenderaan masing-masing di belakang petak itu. Setakat ini DBKL menyediakan zon motosikal di tiga lokasi merangkumi Jalan Raja Laut, Jalan Tunku Abdul Rahman dan Jalan Tun Perak.

    Malah pihaknya juga mengenal pasti beberapa lokasi lain untuk mewujudkan kemudahan itu antaranya di Jalan Tunku Abdul Rahman.

    Katanya lagi, penstrukturan trafik ini adalah bagi menjamin keselamatan pejalan kaki untuk melintas dan memberi kemudahan kepada pengguna motosikal berhenti dalam keadaan selamat.

    “Dalam usaha ini, saya harap agar ia dapat mengurangkan kes jenayah yang sering berlaku di jalan raya seperti masalah ragut dan pecah cermin kereta,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

    Menurut Mhd Amin lagi, satu zon motosikal akan diwujudkan pada setiap bulan di lokasi yang menjadi tumpuan pengguna motosikal, setiap zon yang berkeluasan 6.096 meter mampu memuatkan lebih 20 motosikal dalam satu-satu masa.

    Walau bagaimana pun, pada peringkat awal ini, DBKL akan memberi tempoh percubaan selama tiga bulan bermula bulan ini kepada pengguna jalan raya untuk membiasakan diri kepada penstrukturan trafik yang baharu itu.

    Selepas tempoh percubaan itu, Mhd Amin Nordin berkata pengguna jalan raya yang gagal mematuhi arahan itu akan dikenakan kompaun antara RM50 hingga RM100.

     
     
  • Penutupan Terowong Genting Sempah dilanjutkan sehingga akhir Mei ini – laluan kontra dibuka

    Penutupan Terowong Genting Sempah dilanjutkan sehingga akhir Mei ini – laluan kontra dibuka

    Fasa kedua kerja-krja penyelenggaraan Terowong Genting Sempah bakal bermula akhir Mac ini sehingga hujung bulan Mei depan. Naib Presiden Kanan dan Ketua Pengurusan Aset ANIH Berhad Radzimah Mohd Radzi berkata ia akan melibatkan penutupan terowong tersebut dan dilanjutkan dari fasa pertama yang sepatutnya berakhir 22 Mac ini.

    Katanya lagi, penutupan untuk fasa dua dijangka mengambil masa enam minggu bermula akhir Mac ini sehingga akhir Mei depan. Walau bagaimana pun, laluan kontra akan diaktifkan di terowong berkenaan sama seperti semasa penutupan fasa pertama, laporan Bernama.

    “Untuk fasa pertama, penutupan jalan dibuat dari hari Isnin sehingga Khamis dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang, dan untuk fasa dua pula penutupan masih dilakukan bermula Isnin sehingga Khamis dan dibuka Jumaat, Sabtu serta Ahad, katanya.

    Menurutnya kerja penyelenggaraan akan dihentikan pada cuti umum Hari Pekerja dan Hari Wesak bagi melicinkan aliran trafik dari Kuala Lumpur ke Pantai Timur dan sebaliknya.

    “Pengguna lebuh raya ini tidak perlu bimbang kerana penutupan ini dijangka tidak akan menimbulkan masalah kesesakan trafik dan petugas ANIH Berhad sentiasa memastikan aliran trafik di terowong berkenaan berjalan lancar,” katanya.

     
     
  • Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

    Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

    Honda CR-V 2017 direncanakan bakal dilancar secara rasmi di Thailand pada 24 Mac ini. Tetapi, belum pun tiba ke tarikh itu, wakil media Thailand diberikan peluang awal untuk mendekati model berkenaan dalam satu sesi pandu uji di litar Buriram.

    Portal automotif di sana, Headlight Magazine telah pun menerbitkan pengalaman awal pandu uji bagi model Honda CR-V 1.6 i-DTEC Diesel Turbo 9AT. Laporan berkenaan antara lain mendedahkan beberapa perincian lain pada model SUV generasi kelima itu.

    Sekali pandang, ia hampir serupa dengan model yang diperkenalkan untuk pasaran Amerika Syarikat. Antarnya, pilihan lampu utama LED, yang dipadankan sekali dengan rekaan Solid Wing Face oleh Honda. Selain itu, lengkung tayar yang menonjol, D-pillar dengan tingkap kecil serta lampu LED di belakang dengan rekaan bentuk L. Rim 18 inci sama juga kelihatan; model lebih rendah datang dengan rim 17 inci.

    Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

    Perbezaan yang lebih ketara dapat dilihat pada bahagian dalam. Senireka umumnya kekal sama, dengan bahagian tengah yang “terapung”, paparan skrin TFT LCD dan stereng tiga-jejari seperti Civic antara yang mirip dengan model pasaran US.

    Kelainan paling utama tentunya kerusi barisan ketiga, menjadikannya hadir dengan tujuh-tempat duduk. Baris kedua dan ketiga boleh diturunkan; barisan kedua juga turut boleh dianjakkan ke depan dan belakang seperti biasa. Corong pendingin hawa sendiri juga ada untuk barisan kedua dan pada bahagian bumbung untuk barisan ketiga.

    Untuk pasaran Thailand, dua pilihan enjin ditawarkan. Varian paling rendah menggunakan enjin 2.4 liter K24 DOHC i-VTEC empat-silinder petrol yang menghasilkan 175 hp pada 6,200 rpm dan 225 Nm pada 4,000 rpm. Transmisi pula dari jenis CVT Earth Dreams.

    Honda CR-V 2017 dengan spesifikasi untuk pasaran Thailand didedah sebelum pelancaran rasmi 24 Mac ini

    Varian paling tinggi pula dilengkapi enjin 1.6 liter N16 DOHC i-DTEC turbodiesel, dengan janaan kuasa 160 hp pada 4,000 rpm dan 350 Nm pada 2,000 rpm. Menariknya, varian ini menggunakan padanan transmisi sembilan-kelajuan automatik dari ZF. Sistem pacuan 4WD pula turut ditawarkan bagi kedua-dua varian.

    Keseluruhannya, CR-V 2017 di sana merangkumi empat model; 2.4 E 2WD, 1.6 Turbo E 2WD, 2.4 EL 4WD dan 1.6 Turbo EL 4WD. Ia turut disertakan antaranya dengan lampu kabus LED, masukan tanpa kunci dengan ciri Walk Away Auto Lock, butang Push Start, kemasan kayu, kemasan kulit bagi tempat duduk serta kawalan pendingin dual-zon. Ia turut disertakan dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bagi ciri keselmatan, ia antaranya hadir bersama ABS dengan EBD, brake assist, kawalan kestabilan (VSA) dan Agile Handling Assist (AHA). Warna yang ditawarkan termasuk Dark Olive Metallic, Lunar Silver Metallic, Modern Steel Metallic, Orchid White Pearl dan Crystal Black Pearl. Perincian lanjut mungkin akan diketahui pada hari pelancarannya kelak.

     
     
  • Volvo bangunkan model elektrik dengan jarak 400 km

    Volvo bangunkan model elektrik dengan jarak 400 km

    Model kenderaan elektrik sepenuhnya yang pertama oleh Volvo akan menawarkan jarak perjalanan 400 km ketika ia tiba untuk pasaran Amerika Syarikat pada 2019 nanti. Ia akan dijual pada harga sekitar US$35,000-$40,000 (RM155,786-RM178,042), dan memang direka sedemikian untuk membolehkannya bersaing dalam pasaran itu. Ini antara perkara yang dimaklumkan oleh CEO Volvo Car USA, Lex Kerssemakers seperti dilaporkan Automotive News.

    “Itu apa yang saya tetapkan sebagai syarat untuk pasaran Amerika Syarikat. Jika (Volvo) ingin membuktikan sesuati, dan jika model itu ingin dijual dalam jumlah yang banyak, itu perkara yang saya yakini perlu dilakukan,” tambah Kerssemakers.

    Volvo bangunkan model elektrik dengan jarak 400 km

    Masih belum ada pengesahan rasmi terhadap model-model masa depan yang akan menerima sistem EV sepenuhnya bagi jenama itu. Bagaimanapun, teknologi berkenaan akan dibangunkan dalam bentuk pek bateri modular, yang boleh digunakan bagi mana-mana model yang dibangun menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) dan Scalable Product Architecture (SPA) oleh Volvo sendiri.

    Platform CMA akan digunakan bagi model seperti XC40, yang direncanakan keluar tahun ini. Sementara platform SPA pula adalah asas bagi model-model seperti XC90, S90/V90 dan XC60 yang baru dilancarkan. Untuk mendapatkan jarak yang lebih jauh berbanding apa yang diperlukan pengguna, bateri 100 kWh akan melengkapi model elektrik itu nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025