Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Chery Omoda 5 H diberi rebat RM13k, varian asas C dapat pilihan warna Bloodstone Red, Vanilla Blue

    Chery Omoda 5 H diberi rebat RM13k, varian asas C dapat pilihan warna Bloodstone Red, Vanilla Blue

    Tidak keterlaluan rasanya untuk kita kata bahawa Omoda 5 adalah model yang menaikkan kembali nama Chery apabila ia masuk semula ke pasaran negara kita tahun lepas. Banyak yang sudah berada di atas jalan, terutamanya di Lembah Kelang, dan menurut data JPJ, lebih 7,200 unit didaftarkan dari Januari ke November tahun ini.

    Model Chery paling popular ini menggunakan enjin empat silinder 1.5 liter turbo dan transmisi CVT dengan sembilan gear maya. Sejak tiba, ia terus dipasang dalam negara (CKD) dan membawa gaya rekaan unik serta bahagian dalam mewah dengan skrin bercantum serta konsol tengah yang tinggi.

    Jika itu semua masih tidak dapat meyakinkan anda, sekarang Chery Malaysia sedang memberikan rebat sehingga RM13,000 untuk varian paling tinggi, H. Ini bermakna, dengan harga hanya sedikit melebihi RM100k, anda akan mendapat kemasan merah pada gril bawah, cermin sisi, bawah pintu, spoiler belakang serta rim, tempat duduk balutan kulit tiruan, bumbung suria, lapan pembesar suara Sony, tempat duduk dengan larasan kuasa dan liang udara, kamera 360 darjah, penunjuk arah sequential serta pintu but bukaan kuasa.

    Kelengkapan yang disebutkan tadi tiada pada varian asas C, yang dijual pada harga RM99,800. Buat masa ini, ia tidak disediakan dengan sebarang tawaran, tetapi anda boleh mendapatkan warna baru iaitu Bloodstone Red atau Vanilla Blue body yang dibuat terhad 150 unit. Walaupun kekurangan berbanding H, ia masih datang dengan dua skrin 10.25 inci dengan sambungan Apple CarPlay/Android Auto, pengecas telefon tanpa wayar, lampu suasana serta pakej ADAS.

    Secara terus, Chery Omoda 5 datang dengan jaminan tujuh tahun/150,000 km dan upah servis berselang percuma selama lima tahun. Tetapi, ia boleh ditingkatkan menjadi 10 tahun/1,000,000 km untuk waranti enjin dengan bayaran tambahan RM2,000, ataupun RM11,600 untuk menambahnya lagi dengan pakej servis Extra Peace of Mind selama tujuh tahun.

    Tidak lupa juga, sekarang ini Chery Malaysia sedang mengadakan promosi ‘Great Year-End Lucky Draw’, yang menawarkan hadiah bernillai lebih RM150,000 berserta hadiah utama sebuah Omoda 5 baru untuk pembeli yang mendaftarkan kenderaan baru mereka dalam bulan ini.

    GALERI: Chery Omoda 5 H

    GALERI: Chery Omoda 5 H Vanilla Blue

    GALERI: Chery Omoda 5 H Bloodstone Red

     
     
  • Dekati Perodua eMO-II Concept melalui cara AR

    Dekati Perodua eMO-II Concept melalui cara AR

    Adakah anda antara orang yang dapat melihat Perodua eMO-II secara langsung di Kuala Lumpur International Mobility Show (KLIMS) 2024 baru-baru ini? Jika tidak pun tidak mengapa, kerana Perodua ada menyediakan cara lain untuk lebih ramai memerhati kereta konsep mereka yang paling penting dan hebat ini.

    Imbas kod QR di atas, ikut arahan yang diberi dan seterusnya anda boleh melihat eMO-II Concept dalam bentuk Augmented Reality (AR). Bukan setakat luaran, anda juga boleh melihat bahagian dalam kereta yang memberi petunjuk kepada EV produksi yang akan dikeluarkan tahun hadapan ini.

    Untuk pengetahuan, Perodua bukan sengaja suka-suka mahu memulakan projek ini. Ia adalah bagi memenuhi hasrat kerajaan yang meletakkan tarikh akhir untuk Perodua mengeluarkan sebuah EV. Tidak seperti Proton, Perodua perlu membangunkannya dari kosong kerana rakan kongsi Jepun mereka, Daihatsu tidak mempunyai kereta yang sesuai untuk digunakan sebagai asas.

    Projek ini bagaimanapun nampak berjalan baik dan ditunjukkan melalui model konsep yang dipanggil sebagai “Episod 2” ini. Kita boleh menjangkakan penggunaan bateri LFP daripada CATL, jarak gerak 400 km dan harga antara RM50k-RM90k bagi versi produksi nanti.

    Perodua percaya, EV mereka nanti akan menjadi yang paling murah dalam pasaran, termasuk pada waktu apabila harga lantai RM100k bagi EV CBU telah dimansuhkan. Syarikat ini juga sedar, tidak mudah untuk membawa rakyat Malaysia bertukar daripada ICE ke EV, dan mereka akan cuba mengatasi masalah seperti tempat mengecas dan lain-lain.

     
     
  • Polis Melaka beri 50% diskaun saman trafik pada 14 Dis 2024 di Jalan Merdeka, Dataran Pahlawan

    Polis Melaka beri 50% diskaun saman trafik pada 14 Dis 2024 di Jalan Merdeka, Dataran Pahlawan

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka telah mengumumkan pengurangan bayaran saman trafik sehingga 50% bagi kesalahan terpilih yang ditawarkan esok, 14 Disember 2024. Ia adalah sempena dengan program PDRM bersama Kerajaan Negeri Melaka.

    Kaunter pembayaran saman berserta diskaun ini akan dibuka di hadapan Restoran Mc Donalds, Jalan Merdeka, Dataran Pahlawan dari jam 8.30 pagi hingga 9 malam. Walau bagaimana pun, anda dinasihatkan agar membuat semakan awal melalui portal https://mybayar.rmp.gov.my dan aplikasi MyBayar PDRM bagi melancarkan proses pembayaran saman nanti.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya, saman memotong di garisan kembar, saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman berstatus Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Melaka, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Sila lunaskan tunggakan saman yang ada bagi mengelakkan nama disenarai hitam atau disekat untuk pembaharuan cukai jalan atau lesen memandu.

     
     
  • Perlu permit khas untuk beli diesel lebih had – KPDN

    Perlu permit khas untuk beli diesel lebih had – KPDN

    Individu, syarikat berskala kecil atau organisasi yang layak boleh memohon permit khas untuk membeli diesel melebihi had standard, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali, menurut laporan Bernama.

    “Pemohon hendaklah mengemukakan surat pengesahan daripada agensi berkaitan dan memohon melalui Sistem Permit Khas yang terdapat di portal KPDN (kementerian perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup).

    “Ini termasuklah bagi kegunaan pertanian dan penternakan dengan had kuantiti tidak melebihi 200 liter sehari bagi pembelian di stesen minyak,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 bagi kementeriannya di Dewan Negara semalam.

    Beliau berkata kemudahan itu telah terkandung dalam Garis Panduan Permohonan Permit Barang Kawalan Berjadual dan Permit Khas yang ditadbir di bawah punca kuasa Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021.

    Perlu permit khas untuk beli diesel lebih had – KPDN

    Rasionalisasi subsidi diesel bermula pada 10 Jun lalu dengan kaedah mengapungkan harga bahan api tersebut di Semenanjung Malaysia (kini RM2.95 seliter). Diesel bersubsidi disediakan kepada kenderaan logistik yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, yang melayakkan pengendali mendapat harga RM2.15 seliter.

    Skim SKDS 1.0 diperkenalkan adalah untuk pengangkutan awam darat, termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba yang dikekalkan harganya pada RM1.88 seliter, manakala diesel bersubsidi untuk nelayan kekal pada RM1.65 seliter.

    Sementara itu, program Budi Madani (untuk pemilik kenderaan diesel persendirian dan pekebun kecil pertanian; SKDS adalah untuk syarikat, anda tidak boleh memiliki kedua-duanya) menyalurkan bantuan kepada pemohon yang berjaya dengan subsidi berjumlah RM200 sebulan untuk menampung atau mengimbangi kos diesel mereka.

     
     
  • Ford Escort MK1 RS2000 diproduksi semula oleh Boreham Motorworks – RM1.6 juta, hanya 150 unit!

    Ford Escort MK1 RS2000 diproduksi semula oleh Boreham Motorworks – RM1.6 juta, hanya 150 unit!

    Selepas diumumkan pada Jun lalu, kini Boreham Motorworks telahpun mendedahkan model kelahiran semula untuk jentera rali jalan raya ikonik British iaitu Ford Escort Mk1 RS2000. Ini bukan model yang direstorasi semula, tetapi ia adalah baharu sepenuhnya dan mendapat lesen rasmi dari Ford. Hanya 150 unit dibina oleh Boreham Motorworks dengan menepati blueprint asal dari Ford dan menampilkan nombor casis yang disambung dari unit terakhir Escort Mk1 yang keluar dari kilang pada 1975.

    Ketika zaman kegemilangannya Ford menawarkan Escort Mk1 ini dalam pelbagai varian, dan untuk model yang diproduksi semula oleh Boreham Motorworks ini adalah dari varian RS2000 dan diinspirasikan dari kereta lumba Group 5 Alan Mann Racing yang mendominasi perlumbaan British Saloon Car Championship pada tahun 1968.

    Jadi Escort Mk1 RS2000 Boreham Motorworks ini tampil dengan lampu hadapan empat segi, tanpa sebarang bampar hadapan dan belakang, diberikan slot penyejuk pada bahagian bawah panel hadapan, dan juga bubble arch pada setiap ruang roda memberikan badan yang lebih lebar dan ‘berotot’ dari Escort biasa.

    Ford Escort MK1 RS2000 diproduksi semula oleh Boreham Motorworks – RM1.6 juta, hanya 150 unit!

    Manakala badan kereta ini menggunakan material logam yang lebih maju dari Escort asal, memberikan badan yang lebih tegar, dan ia turut menerima panel-panel badan dari gentian karbon seperti penutup bonet hadapan dan but belakang. Boreham Motorworks mensasarkan agar Escort Mk1 RS2000 yang diproduksi semula ini menampilkan berat hanya sekitar 800 kg.

    Untuk unit rangkaian kuasa, kereta ini ditawarkan dengan dua jenis enjin yang boleh dipilih oleh pembeli, namun Boreham tidak memperincikan dengan jelas berkenaan siri enjin yang digunakan. Untuk pilihan pertama, ia menampilkan enjin Twin Cam berkapasiti 1,845 cc berkuasa yang diinspirasikan dari enjin asal RS2000.

    Enjin berkenaan diberikan sistem suntikan bahan api dan mampu menghasilkan 185 PS, dan digandingkan dengan transmisi manual empat-kelajuan “Ford Bullet” menampilkan gigi gear jenis straight-cut.

    Manakala untuk pembeli yang mahukan lebih kuasa, Boreham turut menawarkan pilihan enjin 2.1 liter yang menghasilkan kuasa 300 PS, serta boleh menjerit sehingga 10,000 rpm. Enjin berkenaan ditala untuk jalan raya, menampilkan komponen dalaman seperti rod penghubung logam forged, aci engkol billet dan sistem ekzos titanium.

    Ia bukan sahaja menjadikan enjin tersebut lebih tahan dan berkuasa, malah enjin berkenaan ditimbang dengan berat tidak sampai 85 kg. Ia turut disuap dengan sistem suntikan bahan api serta sistem pendikit yang dikawal oleh elektronik. Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dengan susunan kedudukan gear jenis dogleg.

    Tak kira anda pilih enjin yang mana, kedua-duanya akan mengalirkan kuasa ke roda belakang menerusi gandar jenis ‘fully floating’ yang lebih ringan diperbuat dari material aluminium dan titanium, serta disumbat dengan LSD ATB. Tidak seperti Escort asal yang menggunakan spring dedaun di belakang, RS2000 dari Boreham ini telah pun menampilkan penyerap hentak bersama spring gegelung yang boleh dilaras.

    Ford Escort MK1 RS2000 diproduksi semula oleh Boreham Motorworks – RM1.6 juta, hanya 150 unit!

    Suspensi hadapan masih lagi menampilkan konfigurasi topang McPherson bersama titik-titik utama (hard point) pada casis Escort ini masih lagi dikekalkan. Namum Boreham telahpun mengoptimakan geometri pada suspensi berkenaan bagi mendapatkan cengkaman hadapan dan respon stereng lebih baik. Secara keseluruhan model yang dilahirkan semula ini menampilkan nisbah agihan berat hadapan dan belakang pada tahap 55:45.

    Untuk roda, Boreham memadan kan set rim empat-jejari dengan rekaan yang sama seperti rim RS2000 asal. Ia dihasilkan semula dengan diameter 15-inci, menampilkan lebar 7-inci di hadapan dibalut dengan tayar 205/50R15 dan lebar 8-inci di belakang dibalut tayar 225/50R15. Bagi sistem brek pula, model ini diberikan cakera berliang 260 mm di hadapan yang dicengkam dengan angkup empat omboh, manakala di belakang ia diberikan cakera solid 264 mm dengan angkup dua omboh.

    Rupa asal kabin Ford Escort ini juga masih dikekalkan, tetapi ia kini digandingkan dengan kemasan-kemasan serta fungsi yang lebih moden. Boreham membina semula papan pemuka Escort ini menggunakan material karbon yang lebih tahan dan ringan. Kemudian papan instrumen dan juga panel-panel suis pada konsol tengah turut telah direka semula dengan rupa lebih moden, tetapi masih kekal nampak seperti model klasik.

    Ia hadir dengan sistem penghawa dingin dan juga pemanas, serta diberikan sistem audio dengan pemain utama menampilkan skrin bersaiz kecil. Pemandu diberikan roda stereng tiga-jejari jenis deep dish, manakala tempat duduk hadapan diberikan kerusi jenis bucket. Kemudian kabin Escort ini menerima kemasan balutan kulit asli dan Alcantara yang banyak termasuk pada papan pemuka, panel pintu dan sebagainya.

    Kabin Escort RS2000 Boreham Motorworks ini juga datang dengan rollcage secara standard, dengan bar yang mudah dibuka dan juga tali pinggang perlumbaan empat point, bersama ruang untuk menyimpan helmet yang diperbuat dari gentian karbon pada kabin belakang, seperti sebuah kereta rali sebenar.

    Jika pada eranya Ford Escort Mk1 merupakan kereta biasa dengan harga marhaen, Escort Mk1 RS200 dari Boreham Motorworks nampaknya sudahpun menjadi model yang boleh diklasifikasikan sebagai eksotik. Ia dijual pada harga bermula £295,000, atau sekitar RM1.6 juta, dan Boreham memberikan waranti pengeluar seperti kereta baharu iaitu selama dua tahun atau 20,000 batu.

     
     
  • RM312 juta diperlukan perbaiki jalan rosak akibat banjir di seluruh negara — Kementerian Kerja Raya

    RM312 juta diperlukan perbaiki jalan rosak akibat banjir di seluruh negara — Kementerian Kerja Raya

    Kejadian banjir yang banyak berlaku kebelakangan ini di seluruh negara tidak hanya mengakibatkan kerosakan harta benda peribadi dan pemindahan mangsa banjir ke tempat selamat, tetapi turut juga membawa banyak kerosakan terhada prasarana jalan raya di kawasan terlibat.

    Untuk itu, menurut Kementerian Kerja Raya, kos baik pulih keseluruhan jaringan jalan raya yang rosak akibat banjir di seluruh negara ketika ini adalah dianggarkan sebanyak RM312.1 juta setakat 11 Disember.

    Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan jumlah berkenaan terdiri daripada RM247 juta yang diperlukan untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan, RM40.3 juta untuk baik pulih kawasan cerun Persekutuan dan RM24.8 juta untuk jalan negeri. Bagaimanapun, kos akhir masih lagi belum ditentukan dan kementeriannya masih menilai tahap kerosakan dan kos baik pulih semua yang terlibat, lapor Bernama.

    “Kos akhir akan diserahkan dalam masa terdekat. Pasukan saya sedang bertungkus-lumus di lapangan untuk membantu mereka yang terkesan oleh banjir. Sebelum ini kami telah mengaktifkan operasi bencana banjir di tahap kementerian, dan bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan akibat bencana itu tahun ini,” ujarnya.

     
     
  • Lorong kecemasan dan lorong perlahan di KM 9.3 arah utara di Lebuhraya LEKAS ditutup akibat cerun runtuh

    Pengendali Lebuhraya Kajang Seremban (LEKAS) mengumumkan lorong kecemasan dan lorong perlahan di KM 9.3 (arah utara) lebuhraya terbabit sedang ditutup buat sementara waktu sejak kelmarin atas faktor-faktor keselamatan. Di mana ia melibatkan laluan dari Eco Majestic ke Semenyih.

    Ia dalah susulan kejadian cerun runtuh dan penutupan kedua-dua lorong terbabit bagi memberi laluan kepada kerja-kerja membaik pulih kawasan terjejas dilaksanakan.

    “Pengguna lebuhraya dinasihatkan sentiasa mematuhi arahan papan tanda amaran/trafik. Pandu dengan perlahan dan hati-hati memandu semasa menghampiri lokasi kejadian. Pihak LEKAS memohon maaf di atas segala kesulitan dan kerjasama daripada pengguna lebuh raya amatlah kami hargai demi keselamatan dan keselesaan semua,” kata LEKAS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Kerajaan sedang kaji perketatkan lagi undang-undang sedia ada berhubung isu mat rempit – MoT

    Kerajaan sedang kaji perketatkan lagi undang-undang sedia ada berhubung isu mat rempit – MoT

    Timbalan Menteri Pengangkutan (MoT) Datuk Hasbi Habibollah mengesahkan kerajaan sedang memuktamadkan Rang Undang-Undang Pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) bagi mewujudkan tafsiran jelas berhubung isu mat rempit merangkumi kesalahan menunggang motosikal secara melulu, membahayakan atau perlumbaan haram di jalan raya, laporan Harian Metro.

    Jelas beliau, pindaan itu bertujuan menjadi bentuk pencegahan kepada pihak yang terbabit dalam aktiviti berkenaan, selain tidak menolak memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram. Selain itu, ia juga bertujuan memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi bentuk pencegahan kepada pelaku.

    “Kerajaan sedang mengkaji untuk mengetatkan lagi undang-undang sedia ada dengan memperkenalkan hukuman lebih berat bagi kesalahan berkaitan aksi berbahaya dan lumba haram. Draf pindaan membabitkan Akta 333 ini dibawa ke peringkat Jabatan Peguam Negara.

    “Langkah ini diambil bagi memastikan hukuman yang dikenakan dapat menjadi satu bentuk pencegahan kepada pelaku,” katanya semasa pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Pang Hok Liong (PH-Labis) mengenai tindakan paling berkesan boleh diambil terhadap kumpulan mat rempit yang sering melakukan aksi berani di lebuh raya yang sentiasa mengancam keselamatan pengguna jalan raya lain.

    Kerajaan sedang kaji perketatkan lagi undang-undang sedia ada berhubung isu mat rempit – MoT

    Hasbi berkata, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bekerjasama melaksanakan aktiviti penguatkuasaan bersepadu, membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan dan pihak berkuasa tempatan bagi menangani permasalahan sama. Malahan JPJ dan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) PDRM juga sedang meningkatkan pemantauan terhadap kumpulan dan individu terbabit secara aktif dalam gejala mat rempit.

    “MoT melalui JPJ juga akan melaksanakan kerjasama berterusan dengan agensi berkaitan seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi mengekang aktiviti penjualan dan pengubahsuaian motosikal tidak mengikut spesifikasi.

    “Mengenai kuasa melupuskan kenderaan disita, JPJ melakukan tindakan penguatkuasaan bagi kesalahan modifikasi secara ekstrem dan rempit atau lumba haram. Pelupusan kenderaan disita atas alasan modifikasi motosikal akan memberi kesedaran kepada pengguna motosikal lain. Ini kerana kebanyakan mat rempit tidak gentar dengan tindakan sita yang dikenakan memandangkan mereka tahu segala barangan disita akan dipulangkan semula,” katanya.

     
     
  • Kerajaan sedia peruntukan RM463 juta untuk tambah baik pengangkutan awam, atasi masalah kesesakan

    Kerajaan sedia peruntukan RM463 juta untuk tambah baik pengangkutan awam, atasi masalah kesesakan

    Kerajaan, melalui Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya (JKMKKJR) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM463 juta untuk memperbaiki servis pengangkutan awam. Menurut timbalan perdana menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, peruntukan itu adalah mengikut seperti mana yang telah diumumkan semasa bajet 2025, sebagai salah satu persediaan negara untuk menganjurkan Kepengerusian ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia 2026.

    Dalam satu kenyataan, Zahid memberitahu bahawa pertemuan oleh jawatan kuasa untuk meluluskan peruntukan tersebut turut membincangkan beberapa isu lain yang berkaitan keselamatan dan kesesakan jalan raya, serta formula untuk inisiatif penyelesaian komprehensif yang mensasarkan penggunaan lebih pengangkutan awam lebih meluas di Lembah Kelang serta negeri-negeri di utara.

    Antaranya adalah seperti pelaksanaan lorong khas bas berterusan, yang terbukti berjaya meningkatkan jumlah pengguna harian, mengurangkan masa perjalanan dan memperbaiki kelajuan komersial sejak ia diperkenalkan di Kuala Lumpur Julai tahun lalu, seperti dilaporkan oleh Bernama.

    Sejak dari waktu itu, program tersebut dilaksanakan pula di kawasan lain di Lembah Kelang, Pulau Pinang dan tambahan jalan lain di Kuala Lumpur bermula November 2024, termasuk Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak, dengan peruntukan RM10 juta khas untuk perluasan ini.

    Kerajaan sedia peruntukan RM463 juta untuk tambah baik pengangkutan awam, atasi masalah kesesakan

    Sebagai tambahan, servis Demand Responsive Transit (DRT) oleh Prasarana Malaysia yang diperkenalkan Jun lalu untuk memperbaiki hubungan batuan akhir telah mengurangkan waktu menunggu daripada 40 minit ke 13 minit. Pada masa ini, DRT mempunyai 20 van yang beroperasi, tetapi ada perancangan untuk menambah jumlahnya kepada 300 unit di masa hadapan.

    Dalam pertemuan itu Zahid turut membuat keputusan untuk mewajibkan semua bas bawah kategori Completely Knocked Down (CKD) untuk dipasang dengan alat pengehad kelajuan bermula 1 Januari 2026, di bawah prosedur kelulusan jenis kenderaan (VTA). Menurut beliau, ini dapat meningkatkan kepatuhan kepada had laju yang ditetapkan dan mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan kenderaan komersial.

    Zahid juga menambah bahawa persetujuan telah diperoleh untuk menguatkan kerjasama antara agensi dengan melaksanakan satu kajian menyeluruh, diketuai oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), termasuk perkongsian data dan sesi perjumpaan untuk mengenal pasti langkah yang lebih cekap untuk mengatasi masalah keselamatan dan kesesakan jalan raya.

     
     
  • Tayar celup yang tidak patuhi standard mandatori tidak boleh digunakan oleh pengguna jalan raya – Loke

    Tayar celup yang tidak patuhi standard mandatori tidak boleh digunakan oleh pengguna jalan raya – Loke

    Kementerian Pengangkutan (MOT) menegaskan bahawa penggunaan tayar celup yang tidak mematuhi standard mandatori adalah tidak dibenarkan di kalangan pengguna jalan raya kerana ciri-ciri pembinaannya tidak ditentusahkan dan aktiviti pengujian tayar tersebut tidak dilaksanakan dengan sewajarnya.

    Di mana tayar celup yang mematuhi standard adalah tayar yang telah diuji daripada aspek ketahanan dan prestasi penggunaan di mana ia telah terbukti selamat untuk digunakan di atas jalan raya.

    Menteri MOT, Anthony Loke berkata, berdasarkan kepada ketetapan di bawah Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan & Penggunaan) 1959, hanya tayar celup mempunyai persijilan pematuhan terhadap standard mandatori sahaja dibenarkan digunakan oleh kenderaan di atas jalan raya.

    Di mana terdapat tiga standard mandatori membabitkan tayar celup yang dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) iaitu Malaysian Standard (MS) 224, Specification for Retreading of Pneumatic Rubber Tyres for Passenger Car and Commercial Vehicle, Peraturan United Nation (UN) R108, Retreaded Pneumatic Tyres dan Peraturan United Nation (UN) R109, Retreaded Pneumatic Tyres for Commercial Vehicles.

    Tayar celup yang tidak patuhi standard mandatori tidak boleh digunakan oleh pengguna jalan raya – Loke

    Beliau berkata demikian menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat di Parlimen, semalam bagi menjawab pertanyaan Mohd Nazri Abu Hassan (PN-Merbok) mengenai mekanisme kawal selia tayar celup digunakan kenderaan perdagangan dalam mengurangkan kemalangan akibat cebisan tayar atas jalan raya yang boleh menyebabkan kerosakan serius hingga meragut nyawa.

    Loke turut berkata, penentusahkan terhadap ciri-ciri pembinaan dan aktiviti pengujian terhadap sesebuah tayar amat penting untuk dilaksanakan berdasarkan kepada piawaian atau standard yang telah dikuatkuasakan bagi mengurangkan risiko kegagalan tayar khususnya berkaitan dengan tayar kenderaan yang meletup yang boleh menggugat keselamatan pengguna jalan raya.

    “Sehubungan itu, JPJ akan sentiasa melaksanakan penguatkuasaan secara berterusan melalui penguatkuasaan di jalan raya atau melalui pemeriksaan berkala di Puspakom bagi memastikan kenderaan perdagangan sentiasa menggunakan tayar yang mematuhi standard mandatori yang telah ditetapkan,” tambahnya.

     
     
  • Chery Great Year-End Lucky Draw – hadiah lebih RM150k untuk rebutan, penjimatan sehingga RM15k

    Chery Great Year-End Lucky Draw – hadiah lebih RM150k untuk rebutan, penjimatan sehingga RM15k

    Chery Malaysia kini sedang mengadakan promosi ‘Great Year-End Lucky Draw’, yang menawarkan hadiah bernillai lebih RM150,000 berserta hadiah utama sebuah Omoda 5 baru untuk pembeli yang mendaftarkan kenderaan baru mereka dalam bulan ini. Hadiah lain yang disediakan adalah seperti kelengkapan elektrik rumah, konsol permainan video serta baucar beli-belah.

    “Ramai yang menunggu bulan Disember untuk beli-belah dan meluangkan masa cuti bersama kawan dan keluarga. Di Chery, kami mahu menambah keterujaan kepada percutian hujung tahun mereka dengan memperkenalkan cabutan bertuah ini,” kata timbalan presiden Chery Auto Malaysia, Michael Chew.

    Selain daripada itu, anda juga boleh mendapat penjimatan sehingga RM15,000 untuk Tiggo 8 Pro, RM13,000 untuk Omoda 5, RM11,000 untuk Omoda E5 EV dan RM4,000 untuk Tiggo 7 Pro.

    Khas untuk EV Omoda E5, ia didatangkan dengan pakej jaminan yang termasuk tujuh tahun/150,000 untuk kenderaan, lapan tahun/160,000 km untuk bateri dan lapan tahun/160,000 km untuk penggeraknya (termasuk motor, unit pengawal motor, sistem pengurusan bateri dan unit kawalan kenderaan).

    Bukan setakat itu, jika tahap bateri menurun menjadi bawah 70% sewaktu dalam tempoh jaminan, Chery Malaysia akan menukar kereta tersebut dengan kereta baru. Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro dan Omoda 5 enjin biasa pula datang dengan jaminan tujuh tahun/150,000 km serta upah servis percuma lima tahun.

    Dekat kenderaan Chery yang dsebut tadi di semua wakil pengedarnya di seluruh Malaysia, atau kunjungi pameran yang dibuat dari 4 ke 15 Disember ini di 1 Utama.

    GALERI: Pusat pameran Chery

    GALERI: Chery Omoda 5



    GALERI: Chery Omoda E5

    GALERI: Chery Tiggo 7 Pro

    GALERI: Chery Tiggo 8 Pro

     
     
  • Proton ProCare Smart Plan ditawar untuk Saga, X90, X70 2025 – pra-bayar untuk servis, jimat hingga RM670

    Proton telah memperkenalkan pakej servis pra-bayar ProCare Smart Plan (PSP), yang boleh dibeli untuk kenderaan baharu atau sedia ada. Pakej ini pada asasnya anda membayar pendahuluan untuk servis, mengehadkan kos operasi anda, dan Proton berkata ia akan memberikan penjimatan buat anda sehingga 15%, atau sebanyak RM670, berbanding pakej servis biasa.

    Malah pakej ini juga boleh dipindah milik kepada pemilik seterusnya. PSP hanya tersedia untuk Saga, X90 dan X70 2025 buat masa ini, tetapi Proton bercadang untuk memanjangkannya kepada semua model dalam masa terdekat.

    Proton ProCare Smart Plan ditawar untuk Saga, X90, X70 2025 – pra-bayar untuk servis, jimat hingga RM670

    Pembeli kereta baharu boleh memilih sama ada pakej tiga atau lima tahun, masing-masing meliputi sehingga 60,000 dan 100,000 km perbatuan. Pemilik sedia ada boleh membelinya juga, walaupun mereka terhad kepada selang dua tahun, meliputi Tahun 2-3 (30,000-60,000 km), Tahun 3-4 (50,000-80,000 km) dan Tahun 4-5 (70,000-100,000 km).

    Ia juga boleh dibiayai, dengan pelan pembayaran tetap sehingga 24 bulan tersedia melalui kad kredit Affin Avance Proton atau pelan ansuran sehingga 12 bulan melalui Direct Lending – rakan kongsi platform pinjaman digital patuh syariah. Secara tidak rasmi, ini boleh digunakan sebagai alat untuk menaikkan harga pembelian bagi mendapatkan pinjaman penuh, sama seperti aksesori GearUp Perodua.

    Proton ProCare Smart Plan ditawar untuk Saga, X90, X70 2025 – pra-bayar untuk servis, jimat hingga RM670

    “Proton kekal fokus dalam membuat penambah baik terhadap produk dan perkhidmatan yang ditawarkan
    kepada pelangan kami, dan ProCare Smart Plan adalah contoh terkini usaha ini. Pakej ini menggabungkan perkhidmatan selepas jualan yang terkemuka di cawangan-cawangan Proton dengan jaminan kepada pelanggan, yang mengetahui bahawa kos penyelenggaraan berkala untuk kenderaan mereka dihadkan kepada tiga atau lima tahun akan datang.

    “Ini bukan sahaja membantu dalam pengurusan bajet yang lebih baik, tetapi juga membantu meningkatkan nilai kenderaan, kata Edmund Lim, Naib Presiden Jualan dan Selepas Jualan, Proton Edar.

     
     
  • Mitsubishi Triton 2024 — semua varian kini dengan servis percuma dua-tahun, ganjaran masa terhad

    Mitsubishi Triton 2024 — semua varian kini dengan servis percuma dua-tahun, ganjaran masa terhad

    Mitsubishi Triton 2024 yang baru saja dilancarkan pada Oktober lalu kini ditawarkan dengan servis percuma selama dua tahun serta ganjaran minyak untuk masa terhad, selagi stok masih ada. Ini adalah tawaran tambahan kepada hadiah percuma beg simpanan boleh lipat bernilai RM450 untuk 500 pelanggan yang membuat tempahan terawal secara dalam talian yang diberikan sejak pelancarannya.

    Baru saja dinobatkan anugerah Rekaan Kereta Tahunan Terbaik Jepun 2024-2025, Triton terbaru ini tampil dengan imej yang lebih ranggi dan segar luar dan dalam berbanding model terdahulu. Pasaran menerima lima varian semuanya: Single Cab (RM101,980), MT GL (RM114,980), AT GL (RM116,980), AT Premium (RM145,980) dan yang paling lengkap Athlete (RM165,980).

    Bagi Athelete, ia dilengkapi dengan enjin baru Hyperpower 4N16 2.4 liter turbodiesel yang menjana sebanyak 204 PS dan 470 Nm. Untuk varian lain, enjinnya menghasilkan 184 PS dan 430 Nm. Semua menggunakan kotak gear enam-kelajuan, manual atau automatik bergantung varian.

    Antara kelengkapan selamatan yang ada termasuk tujuh-beg udara, Active Stability & Traction Control (ASTC) yang memberikan lebih keyakinan ketika melalui jalan berliku. Ini termasuklah ciri Active Yaw Control, selain Hill Descent Control (HDC) dan Hill Start Assist (HSA).

     
     
  • Jenama kerjasama Geely-Baidu iaitu Jiyue dilapor kecilkan operasi untuk bertahan dalam pasaran

    Jenama kerjasama Geely-Baidu iaitu Jiyue dilapor kecilkan operasi untuk bertahan dalam pasaran

    Kesan dari perang harga model-model EV di China kini sudah mendatangkan kesan terhadap industri automotif di negara berkenaan. Terbaharu, Jiyue iaitu jenama EV kerjasama antara Geely dan Baidu diwujudkan pada 2021 sebagai Jidu Auto, dilaporkan akan mengecilkan operasinya dan mencari modal baharu bagi bertahan dalam persaingan sengit tersebut.

    Dalam laporan South China Morning Post (SCMP), syarikat yang terdiri dari 55% saham Baidu dan 45% milik Geely tersebut mengeluarkan kenyataan semalam menyatakan bahawa ia akan membatalkan projek-projek yang tidak memperbaiki keadaan kewangannya serta menggabungkan beberapa unit perniagaan bagi mengelakkan berlakunya pertindihan.

    “Kami akan berusaha sehabisnya untuk fokus terhadap sasaran kami untuk memperbaiki keberkesanan dalam operasi dan pengurusan. Kesemua langkah akan diambil bagi disesuaikan dengan situasi baharu bagi kelahiran semula syarikat,” tulis kenyataan itu.

    Ada spekulasi di media sosial tempatan China menyebut bahawa Jiyue sedang melihat untuk mencairkan asetnya kerana jualan lembab dicatatkan dalam pasaran domestik. China kini merupakan pasaran EV terbesar di dunia dan mempunyai lebih dari 50 jenama utama yang bersaing.

    Jenama kerjasama Geely-Baidu iaitu Jiyue dilapor kecilkan operasi untuk bertahan dalam pasaran

    Dalam surat kepada pekerja yang telah dilihat oleh SCMP, CEO Jiyue iaitu Xia Yiping mengakui bahawa syarikat itu kini sedang tertekan untuk terus bertahan dan ia perlu segera dirombak.

    “Pihak pengurusan akan melakukan yang terbaik untuk menyelesaikan masalah. Pelan penstrukturan semula telah mendapat pemahaman dan sokongan penuh daripada para pemegang saham,” kata surat dari Xia tersebut, tanpa mendedahkan unit perniagaan mana yang akan ditutup atau bilangan pekerja yang terjejas.

    Menurut SCMP, Jiyue telah menjual sebanyak 2,485 kenderaan di tanah besar China pada November (turun 20% berbanding bulan sebelumnya) dan hanya 14,000 unit terjual untuk 11 bulan pertama tahun ini. Jumlah berkenaan dilihat teruk kerana hanya pengeluar yang mampu untuk menjual 10,000 unit kenderaan sebulan barulah dikira sebagai kuat dalam pasaran tersebut.

    Buat masa sekarang Jiyue hanya menjual satu model iaitu SUV EV 01 yang diperkenalkan sejak 2023. Ia baru sahaja mengumumkan model keduanya iaitu sedan EV 07 pada Ogos lalu.

    Jenama kerjasama Geely-Baidu iaitu Jiyue dilapor kecilkan operasi untuk bertahan dalam pasaran

    Jiyue merupakan pengeluar EV kedua China yang mengambil langkah drastik bulan ini dalam keadaan kedudukan kewangannya yang semakin tenat. Bulan lalu pengasas dan pengerusi Hozon New Energy Automobile (pemilik jenama Neta) Fang Yunzhou memberitahu kaki tangannya menerusi satu surat bahawa syarikat akan menjalani fasa pengoptimuman, penyusunan semula dan usaha untuk meringkaskan struktur pengurusannya.

    Menurut Persatuan Kereta Penumpang China, jualan kereta elektrik penuh dan hibrid plug-in di China menyumbang 65% daripada jumlah jualan global pada separuh pertama 2024.

    Manakala Persatuan Pengilang Automobil China pula menjangkakan jualan EV di negara itu akan melebihi 11 juta unit tahun ini, menyumbang kira-kira 55% daripada jumlah kapasiti pengeluaran EV China sebanyak 20.2 juta unit – hampir tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.

     
     
  • UMW Toyota jual hampir 8,400 unit kenderaan pada Nov 2024 – jualan tahunan kini hampir cecah 90k unit

    UMW Toyota jual hampir 8,400 unit kenderaan pada Nov 2024 – jualan tahunan kini hampir cecah 90k unit

    UMW Toyota hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual ‘hampir 8,400 unit’ kenderaan sepanjang November 2024. Namun tidak seperti kebiasaan pengumuman prestasi jualan yang diumum oleh syarikat itu, kali ini ia tidak memperincikan pecahan jualan antara dua jenama utamanya iaitu Toyota dan Lexus dari jumlah keseluruhan yang diumum tersebut.

    Manakala untuk jumlah jualan tahunan sehingga kini iaitu 11 bulan pertama tahun ini, UMW Toyota mengumumkan bahawa angka jualan tersebut kini berada ‘sekitar 89,500 unit’.

    Untuk November 2024, syarikat itu menyatakan bahawa prestasi jualan berkenaan disumbang oleh ‘prestasi yang kuat’ dari model seperti Vios, Hilux dan Yaris sebagai model-model paling laris. Juga tiada pecahan jelas berkenaan jumlah sebenar jualan model-model tersebut, yang membayangkan prestasi jualan kali ini mungkin menurun.

    Menerusi semakan yang kami buat berdasarkan laporan tahun lalu, UMW Toyota menjual sebanyak 10,263 unit kenderaan pada November 2023, dengan jualan kumulatif tahunan ketika itu telah mencecah 97,795 unit. Jadi berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, prestasi jualan UMW Toyota untuk November tahun ini sebenarnya turun 18.2% (jika kami guna angka 8,400 unit yang diberikan) manakala jualan kumulatif tahunan pula adalah 8.4% lebih rendah.

    Dalam kenyataaan yang sama, UMWT turut mengumumkan bahawa ia baru sahaja memuktamadkan pertandingan kemahiran antara kakitangan Toyota seluruh negara iaitu Toyota Skill Contest 2024 yang berlangsung di ibu pejabatnya di Shah Alam. Pertandingan ini disasarkan untuk menaikkan kepercayaan dan kesetiaan pelanggan dengan mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan dikalangan kakitangan bahagian jualan dan servis pengedar-pengedarnya.

    Pertandingan tersebut berlangsung selama dua hari dan ia berasaskan dari Toyota Technical Education Program (T-TEP) yang diterap untuk operasi pengedar-pengedarnya, serta pendekatan pelbagai hala dalam mencapai neutraliti karbon. Secara keseluruhan lebih RM100,000 wang tunai ditawarkan untuk pemenang-pemenang pertandingan tersebut.

     
     
  • Honda Civic facelift 2025 akan dilancar di Malaysia Januari ini, tempahan kini dibuka secara rasmi

    Honda Civic facelift 2025 akan dilancar di Malaysia Januari ini, tempahan kini dibuka secara rasmi

    Honda Malaysia hari ini telah mengumumkan bahawa tempahan untuk versi facelift Honda Civic generasi ke-11 sudahpun dibuka, dan ia akan dilancarkan pada pasaran tempatan pada Januari 2025. Model tersebut mula didedahkan pada peringkat global pada awal tahun ini, dan ia terlebih dahulu sudahpun dilancarkan di Thailand pada Ogos lalu.

    Model ini sepatutnya sudah dilancarkan pada tahun ini sebagai salah sebuah model yang dirancang oleh Honda Malaysia untuk diperkenalkan pada pasaran tempatan bagi 2024. Walaupun pelancarannya sedikit terlewat, namun bagi sebuah versi facelift ia dilihat agak cepat memandangkan Civic FE ini dilancarkan di Malaysia pada Januari 2022.

    Buat masa sekarang Honda Malaysia masih belum mendedahkan varian yang bakal ditawarkan untuk Civic yang dikemaskini tersebut. Namun ia mungkin masih mengekalkan penawaran yang sama bermula varian asas 1.5L E, 1.5L V dan 1.5L RS, serta model dengan sistem elektrifikasi iaitu e:HEV 2.0L RS hybrid.

    Versi facelift ini menerima penyegaran rupa yang menonjol pada bahagian muka. Ia menerima gril hadapan dengan elemen sarang lebah bersama kerangka yang dibina berbeza dengan bahagian muncung lebih tajam dan bawahnya nampak lebih lebar.

    Honda Civic facelift 2025 akan dilancar di Malaysia Januari ini, tempahan kini dibuka secara rasmi

    Elemen sarang lebah yang sama turut dibawa ke gril bampar di bawah yang direka dengan bentuk heksagon, berbanding gril dengan elemen bar melintang dan bentuk trapezium pada model sedia ada. Secara asasnya bahagian belakang masih nampak sama seperti model sebelumnya, tetapi diberikan perubahan pada bahagian grafik lampu.

    Menerusi kenyataan dan gambar rasmi yang disiarkan oleh Honda Malaysia, Civic RS e:HEV turut menerima rim aloi 18-inci pelbagai jejari rekaan baharu dalam kemasan kelabu matte.

    Selain itu Honda Malaysia turut mengesahkan bahawa Civic RS e:HEV facelift pasaran Malaysia masih mengekalkan unit rangkaian kuasa hibrid i-MMD yang sama seperti model sedia ada. Ia menggandingan enjin 2.0 liter empat silinder kitaran Atkinson disuap sistem suntikan bahan api terus berkuasa 141 PS dan tork maksima 182 Nm, bersama dua buah motor elektrik.

    Ia berfungsi sama dengan sistem 1.5L i-MMD pada City dan HR-V hibrid, di mana enjin petrol yang dibekalkan dalam kebanyakkan masa hanya berfungsi sebagai generator untuk mengecas bateri lithium ion. Namun dalam masa tertentu seperti pada kelajuan tinggi, enjin boleh berfungsi bersama motor elektrik bagi memacu roda hadapan menerusi transmisi e-CVT, dan secara keseluruhan kuasa maksima yang dibekalkan adalah 184 PS dan 315 Nm.

    Manakala bagi model petrol sepenuhnya, ia dijangka turut digerakkan enjin sedia ada iaitu unit 1.5 liter VTEC Turbo berkuasa 182 PS dan tork maksima 240 Nm, menggerakkan roda hadapan menerusi transmisi CVT automatik.

    Kelengkapan pada setiap varian juga dijangka masih sama dengan model-model petrol hanya menerima sistem pendingin hawa zon tunggal berbanding dua-zon pada versi hibrid, manakala servis telematik Honda Connect hanya ditawarkan pada varian V ke atas.

    Di Thailand Civic FE facelift ini menerima pelbagai tingkat taraf seperti skrin infotainmen baharu bersaiz sembilan-inci yang menawarkan fungsi Android Auto dan Apple Carplay tanpa wayar, serta model e:HEV RS yang menerima sistem audio Bose 12 pembesar suara berbanding sistem lapan-pembesar suara sebelum itu.

    Adakah semua ini turut akan dipadankan pada model pasaran Malaysia? Tunggu laporan pelancaran dari kami apabila Civic facelift 2025 ini dilancarkan bulan hadapan.

     
     
  • Omoda C9 oleh Jaecoo mulakan produksi di Shah Alam, penghantaran bermula Januari 2025

    Omoda C9 oleh Jaecoo mulakan produksi di Shah Alam, penghantaran bermula Januari 2025

    Unit pertama Omoda C9 oleh Jaecoo telah pun diproduksi di kilang pemasangan Jaecoo di Shah Alam (yang turut memasang Jaecoo J7), dan penghantarannya dijangka bermula bulan hadapan.

    “Kami sangat gembira dengan sambutan yang menggalakkan untuk coupe SUV off-road premium C9 kami dan bersedia untuk memenuhi permintaan pasaran Malaysia. Sebagai jenama yang dilaburkan untuk jangka panjang, kami sama-sama berdedikasi untuk menjaga pelanggan kami sepanjang pemilikan mereka bersama kami,” kata Naib Presiden Jaecoo Malaysia, Emily Lek.

    Tambah beliau, Jaecoo juga akan setiasa memastikan penghantaran kenderaan yang terbaik dalam kelasnya dan perkhidmatan yang bersesuaian dengan kehendak pasaran masa kini.

    Dilancarkan pada minggu lalu, Omoda C9 ditawarkan pada harga RM168,800 (2WD) dan RM188,800 (AWD). Dijual oleh Jaecoo, ia dilengkapi enjin 2.0 liter turbo empat-silinder dengan 261 PS dan tork 400 Nm, digandingkan bersama kotak gear automatik lapan-kelajuan. SUV segmen-D ini memiliki saiz yang lebih kurang sama dengan Chery Tiggo 8 Pro, Leapmotor C10 and Toyota Harrier.

    GALERI: Omoda C9

    GALERI: Omoda C9 2WD

    GALERI: Omoda C9 AWD

     
     
  • FIA benarkan kereta konsep sertai WRC bermula 2027; kos 50% lebih murah, sasar tarik lebih banyak pasukan

    FIA benarkan kereta konsep sertai WRC bermula 2027; kos 50% lebih murah, sasar tarik lebih banyak pasukan

    Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) telahpun meluluskan Undang-undang Teknikal baharu untuk Kejohanan Rali Dunia (WRC) yang akan digunakan bermula musim 2027. Undang-undang yang dikenali sebagai WRC27 tersebut bakal menggantikan undang-undang Rally1 sedia ada yang telah digunakan sejak 2022, dan ia akan kekal digunakan sekurang-kurangnya dalam tempoh masa 10 tahun bagi memastikan ia menjadi platform yang stabil bagi semua pengeluar dan pasukan yang bertanding bagi membuat pelaburan serta berkembang dalam sukan ini.

    Untuk kereta-kereta WRC27 kelak, semua pasukan masih perlu menggunakan konsep yang sama seperti jentera Rally1 sedia ada iaitu casis space frame di mana ia bermula dari sel keselamatan kabin (rollcage) dengan rekaan asas mengikut blueprint dikeluarkan oleh FIA.

    Namun rekaan luaran untuk jentera-jentera WRC27 adalah lebih bebas – jika sebelum ini WRC hanya disertai oleh hatchback segmen-B (GR Yaris dan Hyundai i20 N) serta SUV segmen-B (Ford Puma), undang-undang baharu kelak akan menampilkan dimensi minimum yang lebih besar membolehkan pasukan-pasukan membina jentera mereka bukan sahaja diinspirasikan model produksi sedan segmen-C, malah turut boleh menggunakan model konsep yang tidak dijual di bilik pameran.

    FIA juga mengumumkan bahawa setiap jentera yang bertanding perlu dibina dengan kos yang dihadkan kepada 345,000 euro (RM1.6 juta), atau separuh dari kos maksimum untuk jentera Rally1 sedia ada. Pengurangan kos tersebut akan dapat dicapai menerusi pengenalan komponen-komponen dengan spesifikasi baharu, dan juga rekaan teknikal pada komponen-komponen tertentu yang boleh bertahan lebih lama dalam kejohanan rali ini.

    Selain itu bagi memastikan setiap pasukan beroperasi dengan kos yang lebih minima, FIA akan menetapkan jumlah maksima lebih rendah kakitangan setiap pasukan, mengurangkan kos logistik pengangkutan, meningkatkan penggunaan fasiliti tempatan dan juga meningkatkan keterhubungan data bagi membantu kerja-kerja kejuruteraan luar kawasan.

    Jadi dengan kos yang lebih murah dan rekaan yang lebih bebas, FIA mengharapkan lebih banyak pengeluar akan menyertai WRC bermula musim 2027 – contohnya Subaru sudah tentu boleh kembali semula ke kejohanan ini dengan model WRX kerana syarat yang membolehkan sedan segmen-C bertanding.

    Selain itu, FIA kini turut sedang melihat potensi untuk membolehkan dua kejohanan rali yang dianjurkan iaitu WRC dan Kejohanan Rallycross Dunia (WRX) menggunakan undang-undang teknikal yang setara bagi membolehkan kereta dari kedua-dua disiplin berbeza berkenaan bertanding merentas kejohanan sesama mereka.

    FIA benarkan kereta konsep sertai WRC bermula 2027; kos 50% lebih murah, sasar tarik lebih banyak pasukan

    Untuk unit rangkaian kuasa, peringkat awal yang bermula pada WRC musim 2027 akan menyaksikan kesemua pasukan perlu menggunakan enjin pembakaran dalaman yang menggunakan bahan api mampan (bukan fosil). Namun selepas itu ia turut akan diperluaskan dimana pasukan yang bertanding boleh memilih untuk memadankan sistem hibrid atau bertukar untuk menggunakan unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

    Untuk jentera Rally1 sedia ada, sejak ia diperkenalkan pada 2022 sehingga berakhir musim tahun ini semua pasukan wajib untuk menggunakan enjin pembakaran dalaman berkapasiti 1.6 liter bersama pengecas turbo dan juga dipadankan dengan modul hibrid elektrik, bagi menghasilkan kuasa keseluruhan sekitar 500 PS. Namun dengan pelbagai masalah yang timbul, modul hibrid elektrik tersebut akan ditanggalkan untuk musim akhir 2026 tahun hadapan.

    Manakala dalam kejohanan WRX, kategori utama Supercars yang menggunakan enjin pembakaran dalaman sejak sekian lama ditukar kepada unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya (EV) bermula pada musim 2022. Tetapi untuk memastikan ia lebih relevan, FIA telah membenarkan semula enjin pembakaran dalaman digunakan pada musim 2024 membolehkan ia menentang pasukan yang masih menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya. Nampaknya WRC juga mungkin akan menggunakan format yang hampir serupa pada masa akan datang.

     
     
  • Lorong kecemasan di KM18.63 di Lebuhraya NKVE ditutup hingga 19 Dis bagi pelaksanaan kerja teknikal

    Lorong kecemasan di KM18.63 di Lebuhraya NKVE ditutup hingga 19 Dis bagi pelaksanaan kerja teknikal

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan bahawa lorong kecemasan di KM18.63 (arah utara) Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), berhampiran Kota Damansara, ditutup sehingga 19 Disember 2024. Ia adalah bagi kelancaran pelaksanaan kerja-kerja pengukuhan struktur pembentung di laluan terbabit.

    “Justeru, pengguna lebuhraya bagi laluan tersebut dinasihatkan supaya merancang perjalanan susulan penutupan lorong sepanjang tempoh tersebut. Pada masa yang sama, sila patuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sila amalkan pemanduan berhemah dan fokus di dalam pemanduan tak kira apa jua situasi. Amalkan sikap bertimbang rasa dan sentiasa bersabar demi kelancaran perjalanan dan keselamatan kita semua.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXQ dan BSD bakal dibuka bidaan

    Bagi yang memerlukan untuk kenderaan baharu, siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Selangor ini bakal membuka bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXQ bakal dibuka bidaan mulai esok, 13 Disember. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 17 Disember. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 18 Disember 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Selangor, BSD, bakal dibuka bidaan mulai 15 Disember 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 19 Disember, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 20 Disember 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.