Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Huawei patenkan sistem bolehkan kereta buat laporan terus kepada polis jika dipandu pemandu mabuk

    Huawei patenkan sistem bolehkan kereta buat laporan terus kepada polis jika dipandu pemandu mabuk

    Pembuat gajet elektronik dari China, Huawei telah mempatenkan teknologi yang membolehkan kereta pemanduan sendiri membuat laporan terus kepada polis sekiranya mengesan pemandu yang memandunya dalam keadaan mabuk, lapor AutoExpress.

    Dalam dokumen yang difailkan di Pejabat Paten Eropah tersebut mendedahkan bahawa teknologi ini juga mampu untuk memantau keadaan pemandu bagi memastikan mereka cukup sihat bagi memandu secara manual, mengambil alih kawalan dari pemanduan automatik.

    Sekiranya ia mengesan pemandu berada dalam keadaan mabuk, ia akan membuat keputusan sendiri termasuk memberikan amaran kepada penumpang lain, menyahaktifkan kawalan manual dan juga terus menghubungi polis jika perlu.

    Huawei patenkan sistem bolehkan kereta buat laporan terus kepada polis jika dipandu pemandu mabuk

    Kamera pemantau pemandu yang dihasilkan Volvo

    Menurut paten tersebut lagi, sistem ini akan beroperasi dengan “pelbagai penderia bagi mengesan imej” dan ia bukan sahaja direka untuk mengesan alkohol, malah telefon yang digunakan untuk menghantar mesej ketika memandu, dadah dan juga senjata. Ia juga boleh mengenalpasti sama ada pemandu tersebut memandu dalam keadaan terganggu, tertekan atau mengantuk.

    Tiada perincian bagaimana Huawei akan memproduksi sistem berkenaan. Sehingga kini tiada lagi laporan bahawa Huawei akan mengikut jejak langkah Apple bagi menghasilkan kereta sendiri. Jadi berkemungkinan besar teknologi berkenaan akan dijual kepada pengeluar-pengeluar automotif.

    Ia juga mungkin hampir sama dengan sistem dibangunkan oleh Volvo yang akan mula diimplementasi tahun ini. Sistem dari pengeluar kereta Sweden tersebut menggunakan kamera bagi mengesan kesihatan pemandu, dan akan menghubungi hospital dan ahli kenalan terdekat sekiranya pemandu dikesan mempunyai masalah kesihatan.

     
     
  • DRB-Hicom ada sebab kukuh untuk pertahankan diri dalam kes saman Proton-Lotus-Goldstar – laporan

    DRB-Hicom ada sebab kukuh untuk pertahankan diri dalam kes  saman Proton-Lotus-Goldstar – laporan

    Ingat lagi laporan berkaitan saman bernilai RM523 juta yang dikeluarkan oleh Goldstar Heavy Industrial kepada Proton Automobiles China Ltd (PACL) minggu lepas? Dalam perkembangan terbaru seperti dilaporkan The Egde, DRB-Hicom mungkin memiliki peluang baik untuk mempertahankan dirinya terhadap saman sivil berkenaan.

    Sedikit tentang latar perkara ini; PACL dimiliki sepenuhnya oleh Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PONSB), yang merupakan 100% anak syarikat Proton Holdings Berhad (PHB). Ketika ini, DRB-Hicom memiliki 50.1% kepentingan dalam PHB.

    Di dalam saman yang difailkan, DRB-Hicom sebelum ini menjelaskan dakwaan itu adalah bersabit dengan kontrak yang melibatkan PHB, Lotus Group International Limited (LGIL) dan Goldstar, bertujuan untuk mewujudkan sebuah syarikat usaha sama dengan nama Goldstar Lotus Automobile (GLAC) – bertujuan untuk mengeluarkan kereta, enjin, alatan, komponen dan aksesori lain Lotus di China.

    Bagaimanapun, selepas gagal untuk mendapatkan lesen pengilangan yang diperlukan selepas tarikh akhir tempoh lanjutan pada 31 Disember 2017, kontrak berkenaan dibatalkan pada 22 Januari tahun lalu, dan GLAC tidak dapat memulakan perniagaannya.

    Kegagalan syarikat usahasama yang ditubuhkan itu mendapat lesen pengilangan mengikut masa yang ditetapkan akan menjadi hujah pembelaan yang kukuh bagi pihak DRB-Hicom, memandangkan perkara itu menjadi syarat utama untuk membolehkan perjanjian berkenaan diteruskan.

    DRB-Hicom ada sebab kukuh untuk pertahankan diri dalam kes  saman Proton-Lotus-Goldstar – laporan

    Saman sivil itu dibuat selepas setahun daripada tarikh pembatalan berkenaan, kemungkinan besar disebabkan oleh kegagalan kedua-dua pihak untuk mencapai kata sepakat. Menurut pengumuman awal Bursa bertarikh 27 April 2015, sekiranya berlaku pembatalan usahasama itu, pihak terlibat boleh menuntut nilai kapital yang didaftarkan oleh pihak yang satu lagi melalui penilai bebas.

    GLAC ditubuhkan pada 25 September 2015, dengan jumlah semasa yang serta modal awal dimiliki ialah RM180 juta. Pihak berkepentingan di dalam GLAC adalah seperti berikut; PHB (40%), LGIL (10%) dan Goldstar (50%).

    Sekiranya tidak berhasil diteruskan, Proton sepatutnya dibenarkan untuk memindah bahagian kapital yang didaftarkan miliknya kepada pihak ketiga. Sekiranya kedua-dua pilihan itu berjaya diteruskan, usahasama berkenaan boleh meneruskan untuk mencairkan dananya.

    Memandangkan Lotus telah dijual kepada Zhejiang Geely Holding (ZGH) Group oleh Proton pada September 2017, pilihan ketiga saja yang tinggal – disebabkan itu saman sivil dikeluarkan untuk mendapatkan semula kos yang ditanggung Goldstar.

     
     
  • VIDEO: Ford Ranger Wildtrak Eropah tarik 20-karavan

    Kita dan pasaran ASEAN lain telah pun menerima Ford Ranger 2019 dengan enjin turbodiesel 2.0 liter Ecoblue baharu tahun lalu. Namun untuk pasaran Eropah, mereka hanya akan menerima versi ini bermula sekitar pertengahan tahun ini. Sebelum trak pikap yang disegarkan dengan unit penjana baharu itu dilancarkan, Ford telah menyiarkan satu video iklan baharu bagi menunjukkan kebolehannya.

    Video berdurasi 1 minit 15 saat bertajuk “Tarik sahaja apa yang anda mahu” berkenaan memaparkan Ranger pasaran Eropah mampu untuk menarik 20-karavan serentak tanpa masalah, dengan beban menunda sekitar 20-tan, dakwa Ford. Ia secara tidak langsung membentuk satu konvoi sepanjang 100-meter dan hanya ditarik oleh sebuah trak pikap.

    Namun menurut Ford, video ini sebenarnya bukanlah dilakukan dijalan raya awam, sebaliknya dibuat di litar ujian mereka, Millbrook Proving Ground di UK. Ia juga dijayakan oleh pemandu aksi stunt, Paul Swift.

    “Ini merupakan stunt yang paling perlahan pernah saya buat- tetapi juga yang paling sukar. Cuba untuk memastikan karavan bergerak lurus pada laluan sempit sambil membolehkan kereta memotong merupakan cabaran yang sukar, dan ia benar-benar mendemostrasikan kebolehan Ranger,” kata Swift.

    Ranger pasaran Eropah ini akan menerima enjin baharu berkenaan dalam tiga talaan kuasa berbeza. Model asas dan pertengahan dengan pengecas turbo tunggal menghasilkan kuasa 132 PS/340 Nm dan 173 PS/420 Nm. Manakala versi tertinggi Wildtrak (yang digunakan pada video ini) diberikan dua pengecas turbo menghasilkan 213 PS/500 Nm. Kesemua varian digandingkan dengan kotak gear automatik 10-kelajuan baharu.

    Berbanding pasaran Malaysia, kita masih lagi ditawarkan dengan enjin lama 2.2 liter berkuasa 160 PS/385 Nm untuk versi asas XL dan XLT. Manakala untuk Wildtrak, pasaran tempatan menerima enjin diesel baharu Ecoblue 2.0 liter Si-Turbo berkuasa 180 PS/420 Nm. Apa yang istimewa, Malaysia turut ditawarkan dengan versi berprestasi tinggi Ranger Raptor yang dilengkapi badan lebih lebar, suspensi Fox Racing dan enjin diesel 2.0 liter turbo berkembar berkuasa 213 PS/500 Nm.

    GALERI: Ford Ranger Wildtrak 2019 pasaran Eropah

     
     
  • Kadar saman trafik yang ditular adalah palsu – JPJ

    Kadar saman trafik yang ditular adalah palsu – JPJ

    Sejak beberapa hari kebelakangan ini, tular di laman media sosial dan mesej berantai menerusi Whatsapp yang menyatakan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal mengenakan kadar bayaran saman trafik baharu (seperti foto di atas) mulai Februari ini.

    Walau bagaimana pun, JPJ telah mengesahkan maklumat tersebut adalah tidak sahih, malah mengatakan bahawa ia tidak pernah mengeluarkan kenyataan mengenai kadar bayaran saman dan jenis kesalahan seperti yang ditularkan.

    Menerusi mesej yang dimuat naik di laman Facebook rasmi JPJ, pihak tersebut berkata, “Jabatan Pengangkutan Jalan ingin merujuk kepada mesej berkenaan Sebelum Duit Anda Melayang yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp. JPJ ingin menegaskan bahasa mesej atau kenyataan tersebut adalah TIDAK BENAR dan TIDAK PERNAH DIKELUARKAN oleh JPJ serta ingin menasihatkan orang ramai agar tidak mudah mempercayai sebarang mesej melalui aplikasi Whatsapp yang tidak mempunyai sumber sahih dan kemudian menyebarkannya sebelum pengesahan dilakukan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia.”

     
     
  • PLUS akan buka lorong kecemasan di dua lokasi kritikal di Lebuhraya Utara Selatan sempena TBC ini

    PLUS akan buka lorong kecemasan di dua lokasi kritikal di Lebuhraya Utara Selatan sempena TBC ini

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan lorong kecemasan akan di buka di dua lokasi kritikal di Lebuhraya Utara Selatan sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) iaitu pada 5 Februari ini. Ia adalah untuk membolehkan orang ramai bergerak dengan lebih selesa ketika perjalanan pada waktu puncak.

    Dua lokasi itu yang terletak di negeri Perak, ialah Simpang Pulai hingga Gopeng iaitu sejauh tujuh kilometer di KM287 hingga KM295.1 dan di Slim River hingga Sungkai, juga sejauh tujuh kilometer di KM 367.6 hingga KM360.5.

    Menurut PLUS, berdasarkan kajian dan rekod pihaknya, pada musim-musim perayaan yang lepas, kesesakan trafik amat teruk di kedua-dua lokasi berkenaan. Berdasarkan rekod, perjalanan di antara Slim River dan Sungkai sejauh 19 kilometer.

    Menurut PLUS, pembukaan dua lokasi di lebuh raya itu dikhususkan pada hari jumlah trafik tinggi dan kesesakan trafik adalah amat kritikal agar laluan lebih lancar dan mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan. Lorong kecemasan itu dibuka apabila mendapat persetujuan daripada pihak polis dan penggunaan lorong ini juga akan dihentikan sekiranya keadaan keselamatan di lokasi tergugat pada bila-bila masa.

    Malah langkah itu juga merupakan peringkat percubaan bagi membantu PLUS menilai keberkesanannya tanpa mengabaikan keselamatan para pengguna lebuh raya.

    PLUS turut menjangkakan 1.9 juta kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan setiap hari pada musim perayaan hari ini berbanding 1.45 juta pada hari-hari biasa, dengan peningkatan sebanyak 24%.

     
     
  • Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina – JPJ

    Kenderaan berat dilarang berada di jalan raya sepanjang tempoh sambutan Tahun Baharu Cina – JPJ

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan kenyataan berhubung larangan kenderaan berat menggunakan jalan raya sepanjang tempoh perayaan Tahun Baru Cina. Ia bakal dilaksanakan sepanjang tempoh lima hari iaitu 2, 3, 4, 9 dan 10 Februari ini.

    Menerusi satu kenyataan yang dihantar, kenderaan berat ini dikategorikan kepada tiga iaitu trak tunda yang muatannya melebihi 7,500 Kilogram (kg), lori kontena dan kren bergerak serta lori pembancuh simen. Bagi setiap kategori ini, ia mempunyai masa yang dihadkan penggunaannya. Bagi kategori satu iaitu lori pembawa kenderaan, trak tunda ketika tidak menunda kenderaan motor dan lori jongket (tipper) yang berat dengan muatan (BDM) melebihi 7,500 kg.

    Selain itu, lori pengangkut rendah, treler tiang, treler pelantar, lori balak, jentera berat beroda, traktor, pengangkut simen, besi keluli, batu pasir, tanah dan bahan binaan lain seperti bijih timah dan arang batu turut berada dalam kategori satu yang mana tempoh larangannya ialah sepanjang lima hari berkenaan.

    Bagi kategori kedua pula, tempoh larangannya bermula jam 12 tengah malam hingga 6 pagi membabitkan kenderaan lori kontena yang mengangkut barangan selain lori kontena yang mengangkut barangan dari pelabuhan atau lapangan terbang ke kawasan industri dalam negeri sama dan sebaliknya.

    Seterusnya bagi kategori ketiga membabitkan kren bergerak dan lori pembancuh simen, tempoh larangannya bermula jam 6 petang hingga 6 pagi dalam jarak 25 km dari tapak pembinaan tertakluk kepada had masa operasi yang dibenarkan di jalan tertentu.

     
     
  • Yamaha R25 2019 tiba di M’sia – harga diumum Mac

    Yamaha R25 2019 tiba di M’sia – harga diumum Mac

    Selain Tracer 900 GT yang dilancarkan hari ini, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) Sdn Bhd turut membuat pra tonton awal sebuah lagi model baru iaitu YZF-R25 facelift. Ia hanya akan berada di pasaran pada bulan Mac (harga juga akan diumumkan pada waktu itu) dan adalah model sama yang sebelum ini dilancarkan secara serentak di Indonesia, Thailand dan Amerika Syarikat Oktober tahun lalu.

    Melalui model baru ini, sudah tentu, penampilannya disegarkan lagi berbanding model sebelum ini dan kini mempunyai lebih banyak bahagian yang mirip seperti R1. Kemudiannya, ciri aerodinamik juga diperbaiki, seterusnya membantu motosikal ini untuk mendapat kelajuan maksimum yang lebih tinggi (lebih 8 km/j). Lampu depan dan belakang motosikal ini menggunakan unit LED.

    Untuk bahagian enjin R25, tiada perubahan berbanding model sebelum ini (model sekarang dijual pada harga RM19,463) dan ia masih lagi menggunakan unit dua silinder selari suntikan bahan api 249 cc DOHC penyejukan cecair serta kotak gear enam kelajuan yang sama dengan kuasa 35.5 hp pada 12,000 rpm dan 22.6 Nm tork pada 10,000 rpm.

    Perubahan yang lebih utama adalah pada bahagian suspensi, di mana sekarang R25 baru menggunakan fork USD berwarna emas di hadapan, manakala di belakang, monoshock yang digunakan ditala semula untuk memberikan lebih ciri sporty. Kedudukan pemegang motosikal ini juga lebih rendah 22 mm berbanding model sebelumnya.

    Reka bentuk tangki (kapasiti 14 liter) juga telah diubah, dan menurut Yamaha, semua perubahan ini memberikan peluang kepada pemilik untuk menikmati asas tunggangan motosikal berciri sporty. Untuk panel instrumen, model baru R25 menggunakan unit LCD digital penuh lengkap dengan lampu shift light.

    Model yang dipertonton di Malaysia ini tidak dilengkapi dengan ABS, dan mempunyai berat 166 kg, rim 17 inci, tayar 110/70 di hadapan dan 140/70 di belakang, brek cakera depan dan belakang dan lampu kecemasan (hazard light). Bagi yang tertanya mungkinkah akan ada versi VVA bagi R25 ini, salah seorang wakil Yamaha yang berada di majlis pelancarannya di Indonesia pernah memberitahu bahawa R25 sudah mempunyai kuasa yang cukup dan tidak akan dilengkapi dengan VVA.

     
     
  • Yamaha Tracer 900 GT dilancar di M’sia – RM58,888

    Yamaha Tracer 900 GT dilancar di M’sia – RM58,888

    Seperti yang sudah dijangka, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd hari ini telah melancarkan sebuah model baru untuk pasaran Malaysia iaitu Tracer 900 GT. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu kelabu dan juga biru, dengan harga RM58,888 termasuk SST tetapi tanpa insurans (tiada beg barangan).

    Model jelajah ini menggunakan asas daripada Tracer 900 baru yang dilancarkan buat pertama kali di dunia pada November 2017, dan ia mempunyai pelbagai peningkatan daripada Tracer generasi pertama, termasuk pada bahagian ergonomik, keselesaan serta fungsi yang memudahkan bagi pengguna.

    Kemudiannya, model yang dilancarkan untuk pasaran Malaysia ini adalah model GT, yang bermaksud ia dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan prestasi seperti quickshifter, cruise control, suspensi yang boleh dilaras sepenuhnya, pemanas tangan serta panel instrumen TFT yang dibangunkan daripada superbike YZF-R1.

    Pada bahagian enjin, Tracer 900 GT masih menggunakan enjin tiga silinder 847 cc sama seperti MT-09, dengan padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa sebanyak 115 PS pada 10,000 rpm dan 87.5 Nm tork pada 8,500 rpm. Untuk brek, di hadapan ia menggunakan set cakera berkembar 298 mm manakala di belakang menggunakan cakera 245 mm.

    Kelengkapan lain yang datang terus dengan Tracer 900 GT adalah rim 17 inci, tangki bahan api 18.7 liter, klac jenis slip & assist, brek ABS, dua tahap kawalan cengkaman dan boleh ditutup, tiga mod tunggangan (A, B dan Standard) dan penghadang angin hadapan yang boleh dilaras secara manual.

    Semua kelengkapan Yamaha Tracer 900 GT untuk pasaran Malaysia ini datang terus dari Jepun tetapi pemasangannya dilakukan di kilang HLYM di Sungai Buloh. Untuk model ini sahaja, HLYM mensasarkan penjualan 500 ke 600 unit bagi tahun 2019, dan ia didatangkan dengan jaminan satu tahun atau 10,000 km.

     
     
  • AWAS: 39,311 pesalah trafik disenarai hitam dan dikenakan waran tangkap setakat Disember 2018

    AWAS: 39,311 pesalah trafik disenarai hitam dan dikenakan waran tangkap setakat Disember 2018

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesahkan, dari September hingga Disember tahun lalu, sebanyak 39,311 pesalah trafik yang dirakam menerusi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) di seluruh negara disenarai hitam dan dikenakan waran tangkap berikutan gagal melunaskan saman, laporan Berita Harian.

    Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, sejak pihaknya mengambil alih operasi kamera berkenaan pada 1 September 2018, hingga 21 Januari ini, sebanyak 95,850 notis saman dikeluarkan menerusi 45 kamera AWAS di seluruh negara.

    “Daripada jumlah itu, hanya 10,876 saman sudah diselesaikan manakala 84,974 saman lagi belum dilunaskan oleh pesalah trafik. Malah sehingga Disember 2018, sebanyak 39,358 saman dibawa untuk pendakwaan di mahkamah, namun hanya 45 pesalah trafik saja yang hadir. Berikutan itu, JPJ menyenarai hitam dan mengenakan waran tangkap kepada 39,311 pesalah trafik yang gagal menyelesaikan saman dalam tempoh ditetapkan,” katanya.

    AWAS: 39,311 pesalah trafik disenarai hitam dan dikenakan waran tangkap setakat Disember 2018

    Shaharuddin berkata, JPJ menyelaraskan 17 lokasi operasi AWAS di kawasan lebuh raya bagi merakam kesalahan pemandu kenderaan yang memandu melebihi had kelajuan 110 kilometer sejam (km/j) yang ditetapkan.

    “Sejak kita ambil alih bermula 1 September 2018, kita menarik semula had laju di bawah 110 km/j seperti tiga lokasi sebelum ini di mana had lajunya 90 km/j iaitu dua di Putrajaya dan satu di Kajang. Bagaimanpun, akan ada had laju 80 km/j selepas empat kamera AWAS dipasang berhampiran di kedua-dua arah Terowong Menora selepas perayaan Tahun Baru Cina ini, yang disifatkan lokasi kerap berlaku kemalangan,” katanya.

    Katanya, setakat ini pihaknya masih lagi mengadakan perbincangan bersama jawatankuasa khas membabitkan PLUS dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) bagi menentukan lokasi pemasangan kamera berkenaan iaitu kawasan sebelum dan selepas terowong.

     
     
  • Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!

    Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!

    Siapa tak kenal Toyota Corolla? Model paling popular dari Toyota ini sudahpun sebati dengan imej sebuah kereta keluarga yang sangat boleh diharap sejak kemunculan pertamanya pada 1966. Namun disebalik sebuah kereta ‘ayah-ayah’, Toyota sebenarnya telah menghasilkan Corolla versi lebih sporty untuk pilihan pelanggan yang lebih muda. Dan apa yang lebih menarik, model berkenaan dihasilkan dengan dua ‘watak’ berbeza dikenali sebagai pasangan kembar Corolla Levin dan Sprinter Trueno.

    Versi Corolla lebih ‘muda’ ini sebenarnya telah muncul sejak dari generasi pertama Corolla E10. Dengan bentuk belakang fastback dan hanya mempunyai dua pintu, model tersebut dikenali sebagai Toyota Sprinter dengan kod casis KE15/KE17, berbanding versi normal Corolla sedan empat- dan dua-pintu diberikan kod casis KE10/KE11.

    Untuk pengetahuan anda juga, di Jepun Toyota mempunyai tiga jaringan pengedar yang berbeza iaitu Toyota Store, Toyota Corolla Store dan Toyota Netz (sebelum itu dikenali sebagai Toyota Vista Store bermula 1980 dan Toyota Auto Store bermula 1967) – kesemuanya mempunyai kuota jualan dan ada model-model tertentu hanya dikhaskan untuk jualan jaringan-jaringan tertentu.

    Toyota Corolla KE10 (kiri) dan Toyota Sprinter KE15 (kanan)

    Ketika era Corolla generasi pertama ini, model sedan Corolla hanya boleh dibeli di jaringan Toyota Corolla Store, manakala Toyota Sprinter pula hanya dijual di bilik-bilik pameran Toyota Auto Store. Walaupun hadir dengan dua bentuk badan berbeza dan sedikit kelainan pada muka, Corolla dan Sprinter berkongsi platform, sistem mekanikal seperti suspensi dan brek, serta sistem janakuasa dengan pilihan enjin siri ‘K’ – 1.0 liter 2K dan 1.2 liter 3K – yang sama.

    Adik-beradik Levin dan Trueno hanya muncul menerusi Toyota Corolla generasi kedua dengan kod casis E20 pada tahun 1972. Seperti juga Corolla dan Sprinter sebelum ini, versi istimewa ini masih menggunakan platform dan konfigurasi suspensi yang sama dengan Corolla normal. Namun berbanding KE20 yang banyak terdapat di negara kita, badan adik-beradik yang Levin-Trueno ini menerima tiang-C yang lebih landai, memberikan rupa lebih sporty sekaligus diberikan nama samaran sebagai ‘Mango’ kerana bentuknya yang seperti buah mangga.

    Sebelum kita pergi lebih jauh, anda tahu apa maksud Levin dan Trueno? Menurut kamus Oxford, Levin adalah bahasa Inggeris lama yang bermaksud ‘kilat’, manakala Trueno pula dalam bahasa Sepanyol bermaksud ‘guruh’. Jadi kembar Levin dan Trueno ini adalah pasangan adik-beradik ‘Kilat dan Guruh’ – sangat cool bukan?

    Toyota Corolla Levin TE27

    Levin dan Trueno E20 dihasilkan dalam pelbagai varian janakuasa. Model tertinggi untuk generasi ini dikenali dengan kod casis TE27. Sekiranya anda menjumpai Levin atau Trueno dengan kod casis ini, sudah tentu ketika diproduksi di kilang, ia diberikan enjin 2T-G bersama kotak gear manual lima-kelajuan.

    Enjin 2T-G berkenaan diambil terus dari kereta sport flagship Toyota pada era yang sama iaitu Toyota Celica 1600GT TA22. Enjin berkapasiti 1.6 liter ini walaupun ia hanya mempunyai 8 injap, kepala selindernya menempatkan dua batang aci sesondol (DOHC) membolehkan setiap injap direka dengan saiz yang agak besar dari biasa.

    Tidak cukup dengan itu, enjin ini didatangkan standard bersama dua buah karburator perlumbaan jenis side draught dari Mikuni, membolehkan kuasa setinggi 115 PS pada takat 6,400 rpm dihasilkan. Dengan berat badan kereta yang tidak sampai 1,000 kg, tenaga yang dijana mampu untuk membuat Levin dan Trueno TE27 ini mencapai kelajuan maksima 190 km/j – sesuatu yang sangat radikal untuk sebuah Corolla pada era 1970’an!

    Toyota Sprinter Trueno TE27

    Selain dari model tertinggi tersebut, Levin dan Trueno turut dijual dalam versi lebih rendah dengan kod casis KE25. Model ini menampilkan bentuk badan yang sama, tetapi tidak diberikan fender flare serta hanya dijana oleh enjin 3K 1.2 liter. Ketika ini juga sudah bermula di mana Levin hanya dijual secara ekslusif di Toyota Corolla Store, manakala Sprinter Trueno pula hanya boleh dibeli di Toyota Auto Store.

    Susur galur Levin Trueno menjadi lebih rumit apabila masuk ke Corolla generasi ketiga E30. Pada tahun 1974, Toyota Corolla Levin TE37 diperkenalkan dalam bentuk badan Hardtop, juga seperti Mango, model ini diberi kelainan pada tiang-C berbanding model KE30 biasa.

    Ia bukan sekadar direka dengan dua pintu, malah pintu berkenaan turut direka tanpa kerangka tingkap (frameless). Model tertinggi TE37 juga masih dijana enjin 2T-G yang sama dan juga berkuasa 115 PS. Model Levin Hardtop lebih rendah KE35/TE35 hadir dengan berberapa pilihan enjin seperti 3K 1.2 liter dan 2T 1.6 liter single cam.

    Toyota Corolla Levin TE37

    Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!

    Toyota Sprinter TE66

    Model Hardtop ini tidak hadir dengan versi penuh Sprinter Trueno, tetapi hanya ditawarkan dalam versi Sprinter dengan enjin paling berkuasa 2T 1.6 liter single cam. Kod casisnya juga berbeza di mana ia dikenali sebagai TE60/TE66 walaupun menggunakan casis yang sama.

    Pada tahun 1977, versi dua pintu Corolla generasi ketiga diberikan bentuk badan serta muka berbeza dari versi asal, dan ia turut menampilkan model tertinggi Levin dan Trueno. Versi baharu ini menampilkan bentuk yang lebih bersegi dan kelihatan seperti kereta-kereta dari Amerika Syarikat.

    Model Levin pada versi ini dikenali dengan kod casis TE55, dipadankan dengan enjin 2T-GEU. Secara asasnya, enjin ini adalah sama dengan enjin 2T-G seperti pada TE37, tetapi sistem karburator berkembar telah digantikan dengan sistem suntikan bahan api Bosch K-Jetronic. Sistem ini secara tidak langsung merendahkan kuasa kudanya dari 115 PS kepada hanya 110 PS, tetapi ia terpaksa dilakukan kerana karburator berkembar berkenaan tidak lagi mampu untuk mematuhi undang-undang pencemaran udara yang semakin ketat.

    Toyota Corolla Levin TE55

    Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!

    Toyota Sprinter Trueno TE47

    Model Trueno pula dikenali dengan kod casis TE47. Trueno diberikan muka yang lebih tajam berbanding Levin, bersama lampu belakang yang sedikit berbeza. Manakala dari segi bentuk badan, sistem mekanikal dan juga enjin, Sprinter Trueno TE47 ini masih sama seperti kembarnya Levin TE55.

    Masuk ke model generasi keempat 1979, Corolla ditawarkan dengan lebih banyak variasi bentuk badan. Untuk model sporty sahaja, Toyota Corolla dan Sprinter E70 ditawarkan dalam tiga jenis bentuk badan iaitu Coupe Hardtop dua-pintu, Coupe tiga-pintu, dan juga Liftback tiga-pintu. Tetapi untuk versi Levin dan Sprinter Trueno, ia hadir hanya dalam bentuk badan Coupe tiga-pintu.

    Levin dan Sprinter Trueno untuk generasi ini dikenali dengan kod casis TE71. Levin menampilkan muka yang hampir sama dengan KE70 empat-pintu standard yang banyak dijumpai di Malaysia, manakala Trueno pula hadir dengan muka yang lebih tajam dan lampu belakang sedikit berbeza. Dari segi mekanikal pula, Levin dan Trueno TE71 masih dijana enjin 2T-GEU berkuasa 110 PS bersama kotak gear manual lima-kelajuan memacu roda belakang.

    Toyota Corolla Levin TE71 (kiri) dan Toyota Sprinter Trueno TE71 (kanan)

    Model dengan spesifikasi lebih rendah turut ditawarkan. Dengan bentuk badan dan muka yang sama dengan TE71, Levin dan Trueno versi kurang berkuasa ini hadir dengan dua jenis enjin iaitu model 1.3L dijana enjin 4K dengan kod casis KE70 dan model 1.5L dijana enjin 3A dengan kod casis AE70.

    Model paling popular tentulah Levin dan Trueno dari generasi kelima iaitu AE86, di mana kereta ini telah mencapai ‘cult status’ setelah menjadi hero dalam siri manga dan anime Initial D. Sebenarnya untuk Corolla biasa generasi ini, Toyota sudahpun mula menghasilkan model dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan (FF) pada model AE80 (Corolla LE). Tetapi untuk Levin dan Sprinter Trueno, ia masih dibina dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR).

    Platform dan juga kerangka badan model baharu ini sebenarnya dibina dengan mengambil banyak ciri dari Corolla E70, dan sebab itulah kebanyakkan komponen mekanikal AE86 seperti komponen suspensi, transmisi dan juga sistem stereng banyak boleh dipadankan secara plug and play pada KE70 biasa.

    Toyota Corolla Levin AE86 Liftback tiga-pintu

    Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!
    Toyota Corolla Levin AE86 Coupe dua-pintu

    Seperti biasa Levin akan tampil dengan muka yang hampir sama dengan Corolla biasa. Manakala pada generasi ini, Sprinter Trueno sudah mula diberikan lampu jenis retractable – membolehkan ia disembunyikan sekiranya tidak digunakan. Dengan rekaan ini, Sprinter Trueno dapat direka lebih aerodinamik memandangkan bahagian hadapannya yang lebih ‘nipis’ dan tajam.

    Levin dan Trueno generasi ini juga tampil dengan dua bentuk badan berbeza iaitu Liftback tiga-pintu dan juga Coupe dua-pintu. Model spesifikasi kuasa tertinggi GT-Apex dan GT-V dijana oleh enjin yang lebih moden dari 2T-GEU iaitu 4A-GE. Enjin baharu ini masih bersesaran 1.6 liter tetapi diberikan rekaan kepala yang jauh lebih moden.

    Berbanding enjin 2T-G yang hanya mempunyai 8 injap, 4A-G direka dengan 16-injap membolehkan aliran kemasukan campuran udara bahan api yang lebih eifisien. Sistem suntikan bahan api mekanikal K-Jetronic pula telah digantikan dengan sistem suntikan elektronik sepenuhnya (EFI) yang lebih canggih.

    Toyota Sprinter Trueno AE86 Liftback tiga-pintu
    Retromotif: Toyota Corolla Levin dan Sprinter Trueno – hikayat adik beradik kembar ‘Kilat dan Guruh’!
    Toyota Sprinter Trueno AE86 Coupe dua-pintu

    4A-GE pada AE86 ini juga dilengkapi dengan sistem Toyota Variable Intake System (T-VIS) iaitu sistem yang menampilkan manifold kemasukan unik dengan dua rongga setiap silinder – hanya satu rongga dibuka ketika enjin beroperasi pada beban rendah, dan dibuka kedua-duanya ketika pedal pendikit ditekan agresif. Dengan cara ini, enjin akan sentiasa dibekalkan dengan aliran udara yang laju dalam apa jua jenis pemanduan, membolehkan kuasa diberikan sentiasa responsif dan mendapat penggunaan bahan api yang lebih ekonomi.

    Enjin berkenaan menghasilkan kuasa 130 PS dan tork maksima 149 Nm. Kuasa dialirkan ke kotak gear T50 manual lima kelajuan, dan model spesifikasi penuh turut hadir dengan unit LSD dilengkapkan pada gandar belakang. Jangan tak percaya, AE86 juga sebenarnya ada ditawarkan dengan kotak gear automatik empat-kelajuan.

    Selain dari versi paling berkuasa ini, Levin dan Trueno juga ditawarkan dengan enjin kurang bertenaga. Versi ini hanya dijana oleh enjin 3A 1.5 liter karburator, dan diberikan kod casis AE85. Walaupun dengan enjin yang tidak begitu mengujakan, Toyota tetap menawarkan Levin dan Trueno AE85 ini dalam bentuk badan Liftback dan Coupe sama dengan AE86.

    Toyota Corolla Levin AE85 Coupe dua-pintu (kiri) dan Toyota Corolla Levin AE85 Liftback tiga-pintu (kanan)
    Toyota Sprinter Trueno AE85 Coupe dua-pintu (kiri) dan Toyota Sprinter Trueno AE85 Liftback tiga-pintu (kanan)

    Tetapi jika anda perhatikan dengan teliti, AE85 ini hanya dibekalkan dengan rim 13-inci, tiada tempat duduk separa-bucket dan hanya diberikan roda stereng dua jejari yang lebih kurus tanpa balutan kulit.

    Masuk Corolla generasi keenam pada 1987, Levin dan Trueno kembali menggunakan paltform yang sama. Ini bermakna adik beradik ini menggunakan asas yang sama dengan Corolla E90, iaitu dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan hadapan. Bukan itu sahaja, enjin 1.6 liter Twin Cam 16V pada model dengan kod casis AE92 ini mampu menjana kuasa dan tork yang lebih besar dengan pengunaan supercharger pada enjin dengan kod 4A-GZE.

    Varian tertinggi Levin dan Trueno AE92 ini dikenali sebagai GT-Z. Enjin 4A berkenaan disumbatkan dengan supercharger jenis roots SC12 bersama uniti intercooler yang terletak diatas enjin – sebab itulah Levin/Trueno GT-Z ini diberikan skup udara pada bonet. Enjin berkenaan mampu menghasilkan kuasa setinggi 165 PS dan tork maksima 205 Nm, digandingkan dengan kotak gear manual lima-kelajuan.

    Toyota Corolla Levin AE92 GT-Z (kiri) dan Toyota Sprinter Trueno AE92 GT-Z (kanan)

    Untuk rupa pula, seperti biasa Levin mempunyai muka hampir sama dengan Corolla SE biasa, manakala Sprinter Trueno masih menggunakan lampu jenis retactable. Tiada bentuk badan lain selain coupe dua-pintu ditawarkan, tetapi ia masih mempunyai varian lebih rendah dengan enjin 4A-GE tanpa supercharger dalam versi GT dan GT-Apex.

    Untuk Corolla generasi ketujuh, model Levin dan Sprinter Trueno bukan sekadar menampilkan bentuk badan dua-pintu, malah kedua-dua adik beradik ini direka dengan bentuk yang tersendiri seolah-olah tiada kaitan langsung dengan Corolla AE100 SEG 1991. Namun hakikatnya, ia masih dibina dengan platform yang sama.

    Levin hadir dengan lampu hadapan lebih besar bersambung dengan gril bahagian atas. Sprinter Trueno pula tidak lagi diberikan lampu retractable, tetapi mengenakan lampu lebih kecil, tanpa gril atas dan juga bampar seakan model Trueno AE86 dan AE92. Model supercharger GT-Z dengan enjin 4A-GZE masih lagi dikekalkan, tetapi untuk model GT dan GT-Apex, ia diberikan enjin NA 1.6 liter 4A-GE yang diberikan peningkatan ketara.

    Toyota Corolla Levin AE100 GT-Z (kiri) dan Toyota Sprinter Trueno AE100 GT-Apex (kanan)

    Berbanding enjin lama, enjin baharu yang dikenali dengan nama samaran ‘Silvertop’ (kerana rocker cover yang berwarna perak) ini mempunyai sistem VVT-i dan juga lima injap untuk setiap silinder, atau 20 injap secara secara keseluruhan. Bukan itu sahaja, ia juga diberikan sistem ‘4 Throttle’ iaitu satu throttle body untuk setiap silinder persis enjin perlumbaan sebenar. Ini membolehkan enjin 1.6 liter NA berkenaan mampu menjana sehingga 160 PS!

    Corolla generasi ketujuh dengan kod casis AE111 adalah generasi terakhir hadir dengan versi Levin dan Trueno. Sekali lagi pasangan adik-beradik ini menampilkan rupa yang jauh berbeza dari Corolla SEG empat-pintu. Dan buat pertama kalinya, Levin dan Trueno menampilkan rupa yang hampir sama.

    Kedua-dua model ini menampilkan rupa lampu hadapan bersama lampu kabus bulat bersaiz besar yang sama. Yang berbeza hanyalah rekaan bampar di mana Trueno tidak mempunyai liang udara pada bahagian atas, sementara Levin pula diberikan liang udara nipis pada bahagian gril. Manakala bahagian belakang kedua-duanya menerima spoiler dan kluster lampu yang sama, cuma dibezakan dengan rekaan grafik dalam lampu.

    Toyota Corolla Levin BZ-R AE111
    Toyota Sprinter Trueno BZ-R AE111

    Tiada lagi varian dengan nama GT, GT-Apex dan GT-Z pada model ini, tetapi digantikan dengan varian BZ-V, BZ-G dan BZ-R. Model dengan enjin supercharger juga sudah tiada, tetapi enjin NA 1.6 liter 4A-GE 20V 4 throttle berkenaan diberikan sedikit lagi rombakan.

    Enjin kali ini digelar Blacktop (lagi sekali, kerana rocker cover enjin tersebut kini berwarna hitam). Toyota telah menggantikan air flow meter pada sistem EFI dengan MAP Sensor bagi memberikan respon pendikit yang lebih tajam. Manakala diameter setiap throttle body dibesarkan dari 43 mm kepada 45 mm, serta nisbah mampatannya naik dari 10.5:1 kepada 11:1.

    Ini membuatkan enjin Blacktop berkenaan sebagai enjin 4A-GE NA produksi paling berkuasa dihasilkan, mampu mengekstrak sejumlah 165 PS dan tork maksima 162 Nm. Satu lagi perkara yang menarik, kuasa kini disampaikan ke roda hadapan menerusi kotak gear enam-kelajuan manual!

    Tom’s Toyota Corolla Sport (kiri) dan Blitz Toyota Corolla Sport (kanan)

    Selepas dari AE111, tiada lagi versi berprestasi tinggi dihasilkan oleh Toyota yang diasaskan dari Corolla. Sedikit demi sedikit, nama Corolla itu lebih dikenali sebagai kereta keluarga tanpa ‘semangat kesukanan’. Nama Sprinter Trueno terus lenyap, manakala Levin pula digunakan untuk Corolla pasaran China yang diberikan rupa yang sedikit lebih sporty dari model standard.

    Namun sedikit harapan mungkin akan muncul tidak lama lagi menerusi Toyota Corolla Hatchback generasi ke-12. Kereta ini bukan sahaja direka lebih sporty, malah ia dibina berasaskan platform Toyota New Global Architecture (TNGA) yang mempunyai titik graviti rendah, menyebabkan sayap perlumbaan rasmi Toyota iaitu Gazoo Racing berminat untuk menghasilkan versi berprestasi tinggi.

    Ia jelas mempunyai potensi untuk dimodifikasi di mana kami sendiri telah melihat dua buah Corolla generasi baharu yang diubahsuai di Tokyo Auto Salon 2019. Kereta berkenaan adalah Tom’s Corolla Sport yang menerima ubahsuai ringan, manakala Blitz Corolla Sport menerima kit pengecas turbo!

     
     
  • JPJ lancar OPS TBC 2019 mulai 29 Jan hingga 12 Feb

    JPJ lancar OPS TBC 2019 mulai 29 Jan hingga 12 Feb

    Bersempena dengan musim perayaan Tahun Baru Cina (TBC) yang akan datang tidak lama lagi, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) akan melancarkan Operasi Penguatkuasaan Sempena Musim Perayaan Tahun Baru Cina (OPS TBC) 2019. Tempoh OPS TBC 2019 adalah selama dua minggu iaitu dari 29 Januari hingga 12 Februari 2019, tetapi tidak termasuk dua hari cuti umum perayaan Tahun Baru Cina pada 5-6 Februari 2019.

    Bagi tempoh dua minggu ini JPJ akan meletakkan secara statik kenderaan agensi itu di lorong kecemasan dan mana-mana kenderaan yang menggunakan lorong itu selain daripada sebab kecemasan akan disaman.

    Menurut kenyataan yang dihantar, JPJ memaklumkan, objektif penguatkuasaan ini ialah untuk untuk memberi keselesaan dan kesejahteraan kepada pengguna jalan raya agar “ Pandu Cermat dan Sentiasa Selamat Sampai ” ke destinasi. Selain itu, ia turut akan memberi tumpuan untuk mengurangkan statistik kemalangan jalan raya.

    Di samping itu, ia juga untuk mempertingkatkan Perception Of Being Caught (POBC) kepada semua pengguna jalan raya, membudayakan pemanduan berhemah dan pematuhan undang-undang lalu lintas oleh semua pengguna jalan raya dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang tidak mematuhi peraturan lalu lintas dengan tumpuan terhadap tujuh kesalahan utama semasa tempoh penguatkuasaan ini dijalankan.

    Selain itu, untuk memastikan keselamatan jalan raya terpelihara, JPJ telah mensasarkan kemalangan dan kematian sifar di semua lebuh raya. Malah JPJ turut memaklumkan berusaha untuk menurunkan statistik kematian pengguna motosikal akibat kemalangan jalan raya sebanyak 60%. Justeru, JPJ akan melipatgandakan penguatkuasaan di semua laluan utama dan lebuhraya bagi mengelakkan berlakunya kemalangan dan kesesakan lalu lintas di musim perayaan.

     
     
  • MITI sedang pertimbang untuk kurangkan kadar duti eksais, supaya harga kenderaan dapat diturunkan

    MITI sedang pertimbang untuk kurangkan kadar duti eksais, supaya harga kenderaan dapat diturunkan

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memaklumkan pihaknya sedang mempertimbangkan untuk menurunkan duti eksais kenderaan untuk membolehkan harga kereta menjadi lebih rendah. Langkah berkenaan bermaksud akan berlaku pengurangan pendapatan kerajaan, tetapi boleh di atasi dengan kaedah mempertingkat kecekapan kutipan cukai daripada jumlah jualan yang semakin bertambah. Perkara ini disuarakan oleh timbalan menteri MITI, Ong Kian Ming, seperti dilaporkan The Star.

    Beliau menjelaskan, pendekatan itu akan memberi banyak manfaat kepada pengguna, pemain industri serta kerajaan sendiri. “Sudah tentu, ini soal kos dan manfaat terlibat, dalam maksud anda akan menikmati pengurangan cukai dari duti eksais. Kerajaan mungkin mengutip jumlah cukai yang kurang bagi satu unit kenderaan berbanding sebelum ini, tetapi pendapatan yang hilang itu boleh diraih semula dari jumlah jualan yang bertambah kerana harga kenderaan menjadi lebih rendah,” ujar beliau.

    “Pengeluar OEM akan dapat menjual lebih banyak kenderaan, pengguna dapat menikmati harga kenderaan yang lebih rendah dan Kementerian Kewangan juga mendapat kelebihan, apabila ia mengutip lebih banyak cukai disebabkan jumlah jualan kenderaan yang semakin bertambah. Ini merupakan perkara yang ingin kami pertimbangkan bagi semua model kenderaan,” tambah beliau.

    Ong juga berkata, pemain industri akan menyediakan jangkaan peningkatan jualan kenderaan mereka kepada kerajaan sebagai sebahagian keperluan pengurangan duti eksais berkenaan. Beliau menambah, vendor dan pembekal tempatan juga akan mendapat manfaat, kerana ini akan merancakkan lagi aktiviti CKD kenderaan.

    Namun, ada pemerhati dan penganalisis industri pula ada yang bersetuju dengan langkah berkenaan, dan ada juga yang mencadangkan pendekatan lain. Ada yang berpendapat pengurangan duti eksais tidak akan memberi kesan kepada jumlah jualan kenderaan atau membantu menambah pendapatan kerajaan. Jika ada pun, kesannya mungkin terlalu kecil. “Harga kenderaan Perodua dan Proton mungkin tidak akan turun dengan ketara daripada langkah ini, tetapi ia mungkin lebih dirasai bagi jenama Jepun lain,” ujar sumber berkenaan.

    Apa pula pandangan anda dalam hal ini? Adakah wajar dikurangkan duti eksais untuk mengurangkan harga kenderaan?

     
     
  • Harga minyak 26 Jan – 1 Feb 2019 – diesel naik 1 sen

    Harga minyak 26 Jan – 1 Feb 2019 – diesel naik 1 sen

    Bagi minggu terakhir Januari 2019, harga bahan api bagi petrol akan dikekalkan untuk tempoh seminggu kehadapan – selepas harganya naik enam sen minggu lalu. Ini bermakna, harga jualan bagi RON 95 kekal pada RM1.98 seliter, manakala bagi RON 97 juga sama, kekal pada harga RM2.28 seliter.

    Bagaimanapun, bagi bahan apu diesel, ada berlaku sedikit peribahan. Harga bahan api diesel akan naik lagi satu sen bagi tempoh seminggu ke depan. Ini menjadikan harga diesel Euro 2M akan dijual pada RM2.18 seliter, sementara diesel Euro 5 menjadi RM2.28 seliter.

    Harga runcit baru ini akan berkuatkuasa tengah malam nanti, dan digunapakai sehingga Jumaat depan, 1 Februari 2019.

     
     
  • Subaru Malaysia umum bertukar ke pelincir Motul

    Subaru Malaysia umum bertukar ke pelincir Motul

    Motor Image telah mengumumkan rakan kerjasama baharu dengan Motul untuk membangun dan membekalkan produk pelincir ke cawangan Subaru di lapan buah negara termasuk Malaysia. Minyak ini akan digunakan di kesemua pusat servis dan selepas jualan mulai Januari 2019.

    “Subaru sekian lama bekerjasama dengan Motul sejak terlibat dengan sukan permotoran, dan Motul juga sangat dekat dengan jenama STI. Di Motor Image, kami telah menjalinkan hubungan lebih 10 tahun,” ujar Glenn Tan, pengarah urusan dan timbalan pengerusi Tan Chong International.

    Subaru Malaysia umum bertukar ke pelincir Motul

    “Motul secara khusus merumuskan pelincir untuk kereta Subaru, dengan mengambil kira cuaca dan keadaan lain ketika kami mengambil bahagian dalam Kejohanan Rali Asia Pasifik. Kami berasa gembira dapat bekerjasama sekali lagi dengan Motul, dan mewujudkan hubungan jangka panjang untuk menyediakan produk berkualiti terbaik buat para pelanggan Subaru kami,” tambahnya lagi.

    Barisan produk pelincir Motur pertama untuk kenderaan Subaru adalah minyak sintetik penuh terdapat dalam gred kelikatan berikut – 0W20 dan 5W30.

     
     
  • Malaysia dan Qatar intai peluang kerjasama dalam terokai projek kereta nasional ketiga – MITI

    Malaysia dan Qatar intai peluang kerjasama dalam terokai projek kereta nasional ketiga – MITI

    Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mengesahkan Malaysia dan Qatar sedang meneroka kemungkinan menjalin usaha sama dalam projek kereta nasional ketiga untuk Malaysia. Ini bertujuan memanfaatkan pelaburan Qatar dalam Volkswagen dan Audi.

    Menurut MITI, baru-baru ini, menterinya, Datuk Darell Leiking, telah membincangkan potensi usaha sama itu pada mesyuarat dua hala dengan Menteri Perdagangan dan Industri Qatar, Ali Ahmed Al-Kuwari dan ketua pegawai eksekutif Qatar Investment Authority, Mansoor Ebrahim al-Mahmoud, di Davos, laporan Bernama.

    Menurut kenyataan itu lagi, mesyuarat tersebut menyusul selepas kunjungan kehormat Perdana Menteri Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al- Thani terhadap Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 6 Disember lalu

    Malaysia dan Qatar intai peluang kerjasama dalam terokai projek kereta nasional ketiga – MITI

    Malah MITI turut menjelaskan, objektif utama mesyuarat berkenaan ialah untuk meneroka potensi penyertaan Qatar dalam projek kereta nasional ketiga negara. Ia bertujuan untuk memanfaatkan pelaburan Qatar dalam automobil Volkswagen dan Audi yang mana Qatar juga secara positif mengalu-alukan idea itu dan mengulangi keperluannya untuk membincangkan butiran projek pembuatan bersama.

    Darell juga menekankan bahawa Qatar meneliti kemungkinan bekerjasama dengan malaysia dalam sektor automobil lain seperti pelaburan dalam komponen automotif atau pengeluaran kereta elektrik.

    Dalam masa yang sama, Qatar pula mengambil peluang menjelaskan kepada Malaysia terutama pembaharuan pelaburan termasuk kelonggaran pemilikan pelaburan asing yang mana pemilikan asing 100 peratus dibenarkan di Qatar dalam pelbagai sektor ketika ini. Bahkan Qatar menyatakan hasrat bahawa supaya lebih banyak syarikat Malaysia melabur di negara tersebut.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (+0.03)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.08 (+0.03)
Last Updated Aug 28, 2025