Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Belanjawan 2024: Subsidi bersasar diesel dilaksana berperingkat, harga semasa RM3.75 seliter

    Belanjawan 2024: Subsidi bersasar diesel dilaksana berperingkat, harga semasa RM3.75 seliter

    Antara perkara awal berkaitan automotif yang disentuh dalam pembentangan Belanjawan 2024 ialah bahan api diesel — yang antara lain berdepan dengan masalah ketirisan yang serius sejak dulu lagi. Ketika ini, harga subsidi yang ditetapkan untuk diesel ialah RM2.15 seliter berbanding harga pasaran semasa RM3.75 seliter untuk pengguna persendirian.

    Dalam keadaan ini, kerajaan menanggung sebanyak RM1.60 seliter subsidi, dan sekitar RM1.5 bilion ringgit secara keseluruhannya. Apa yang menjadi masalah, menurut PMX ialah, ketirisan kerana subsidi berkenaan bukannya dinikmati oleh pihak dan kelompok yang sepatutnya.

    “Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus. Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah,” ujar PMX dalam pembentangannya.

    “Bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan, Kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa. Secara konsepnya, harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan. Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat,” tambahnya.

     
     
  • smart #1 tiba di Malaysia, sedia dilancar dan diserah

    smart #1 tiba di Malaysia, sedia dilancar dan diserah

    Ini bukan lagi rahsia: smart #1 bakal dilancarkan di Malaysia, dengan perkembangan terkini seperti yang dapat dilihat, perkara itu semakin hampir. Kelompok pertama EV berkenaan kini sudahpun tiba di Malaysia dan dalam persiapan akhir untuk pelancaran dan serahan kepada pelanggan.

    smart #1 awalnya tampil untuk khalayak umum pada Julai lalu ketika acara EVx 2023. Ia sejak itu mula ditunjukkan bahagian luarannya, dan disusuli pula bahagian dalamannya pada Ogos. Untuk pasaran tempatan, akan ada dua varian yang diperkenalkan, smart #1 Premium dan versi Brabus, yang baru sahaja didedahkan minggu lalu.

    Bagi varian Premium, ia dilengkapi dengan motor elektrik di belakang dengan janaan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork yang memacu roda belakang. Pecutan 0-100 km/j boleh dicapai dalam masa 6.7 saat. Varian paling tinggu pula Brabus, hadir dengan tambahan motor kedua di depan, menjadikannya pacuan AWD dengan kuasa 428 PS (315 kW) dan 543 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 3.9 saat.

    EV ini menggunakan bateri lithium nickel manganese cobalt oxide (NMC) 66-kWh yang menyediakan jarak perjalanan 440 km dalam kitaran WLTP. Kadar pengecasan maksimumnya ialah 150 kW DC: dengan pengecas yang serasi, kadar bateri dari 10-80% boleh dicapai dalam masa 30 minit.

    Walaupun DC adalah pilihan yang paling ideal untuk mana-mana EV, sumber utama untuk pengecasan sebenarnya adalah melalui AC, dan smart #1 turut ada kelebihan dengan 22 kW AC berbanding kebanyakan model biasa yang hanya menyediakan kemampuan 11 kW.

    Bagi harga pula, smart #1 dianggarkan akan dijual pada harga sekitar RM200k, kedua-duanya sudah boleh ditempah melalui aplikasi Hello dengan yura sebanyak RM1,000.

     
     
  • Belanjawan 2024: Kemaskini secara langsung bagi hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan

    Belanjawan 2024: Kemaskini secara langsung bagi hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan

    Belanjawan 2024 bakal dibentangkan petang ini bermula jam 4pm oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim di parlimen. Kami akan membuat liputan dan menumpukan perhatian terhadap hal-hal berkaitan automotif dan pengangkutan yang terangkum di dalamnya.

    Pembentangan tahun lalu menyaksikan beberapa perkara telah diberi perhatian oleh kerajaan. Sebagai contoh berkaitan lesen motosikal B2 percuma, lesen PSV untuk pemandu e-hailing, dan beberpaa hal lagi tentang infrastruktur pengangkutan awam dan jalan raya seluruh negara.

    Dan jangkaan kali ini tentulah lebih menyeluruh: jika belanjawan tahun lalu merupakan lanjutan dan kesinambungan daripada pembentangan oleh kerajaan yang sebelumnya kerena PMX waktu itu baru saja mengambil alih tampuk pemerintahan negara, belanjawan tahun ini akan ditanggapi lebih kritis kerana merupakan yang “pertama” di bawah Kerajaan Madani, dan akan menunjukkan hala tujunya untuk Malaysia ke hadapan.

    Seperti biasa, perkembangan berkaitan EV juga sentiasa menjadi tumpuan, dengan perkembangan yang banyak berlaku kebelakangan ini — antaranya berkaitan Tesla dan juga percambahan banyak jenama dan model EV yang semakin banyak dalam pasaran tempatan — serta tumpuan berkaitan subsidi minyak antara yang menarik perhatian.

    Teruskan bersama kami dalam artikel ini yang akan dikemaskini secara langsung dan dari semasa ke semasa untuk rujukan semua. Senarai perkara terbabit adalah seperti berikut:

      Subsidi minyak

    • Subsisi bersasar bagi diesel akan diperkenalkan secara berperingkat. Harga pasaran ketika ini ialah RM3.75 seliter untuk pengguna persendirian. Subsidi antaranya akan diberikan kepada penyedia perkhidmatan logistik. Ini dilakukan bagi mengelakkan kerugian akibat ketirisan dan penyeludupan diesel.
    • Jalan raya

    • Peruntukan sebanyak RM8.2 bilion disediakan bertujuan untuk memperbaiki semua kerosakan jalan di seluruh negara. Daripada jumlah ini, RM5.4 bilion adalah untuk jalan-jalan negeri, dan RM2.8 bilion untuk jalan-jalan persekutuan.
    • RM100 juta juga diperuntukkan untuk menukar lampu jalan kepada jenis LED.
    • RM50 juta untuk majlis tempatan untuk berbuat perkara sama.
    • RM50 juta untuk menjadikan kawasan yang kerap kemalangan, lebih selamat. Dan memasang lampu isyarat pintar agar aliran lebih lancar.
    • Berkaitan kenderaan elektrik

    • TNB, Gentari dan Tesla akan labur lebih RM170 juta untuk memasang 180 pengecas EV.
    • Rebat sehingga RM2,400 untuk beli motosikal elektrik.
    • Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk pengecas EV dilanjutkan hingga 2027.
    • Prasarana akan membeli 150 bas elektrik untuk menyokong operasi LRT3 dengan perbelanjaan RM600 juta.
    • Kerajaan Persekutuan akan mula menggunakan kenderaan elektrik sebagai kenderaan rasmi.
    • Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM2,500 untuk kelengkapan EV dilanjutkan hingga 2027.
    • Pengecualian cukai bagi kos sewaan EV untuk dua tahun.
    • Putrajaya jadi model bandar rendah karbon di Malaysia.
    • Panel solar untuk bumbung bagi bangunan kerajaan dengan kerjasama TNB, Gentari.
    • Pendapatan daripada jualan nombor pendaftaran khas akan digunakan untuk bantu rakyat

    • Sebahagian daripada pendapatan daripada jualan nombor pendaftaran khas akan digunakan untuk rakyat yang memerlukan.
    • Kerajaan terus tanggung kos ujian lesen B2, e-hailing, teksi — beri manfaat kepada 40k belia.
    • 100k helmet, termasuk untuk kanak-kanak, akan diedarkan percuma kepada yang perlu.
    • Prasarana luar bandar

    • RM1.63 bilion untuk bina dan naik taraf jalan kampung dan pedalaman.
    • RM134 juta untuk pemasangan 60k lampu jalan, selenggara lebih 500k yang sedia ada.
    • RM57 juta untuk 115 projek termasuk 54 untuk naik taraf/bina jambatan.
    • Jajaran LRT3 terima semula lima stesen

    • Kerajaan meluluskan cadangan untuk menyertakan semula stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini, dengan kos RM5.3 bilion.
    • Stesen yang terlibat ialah Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.
    • Satu-satunya stesen yang tidak disambung semula ialah Persiaran Hishamuddin, Shah Alam.
    • LRT Penang

    • LRT Pulau Pinang ke Seberang Perai — anggaran awal akan memerlukan kos RM10 bilion, seperti dirancang oleh kerajaan negeri.
    • Akan dilaksanakan melalui kerjasama awam-swasta.
     
     
  • Toyota Estima generasi baharu akan muncul pada 2025 sebagai MPV EV, guna platform e-TNGA?

    Toyota Estima generasi baharu akan muncul pada 2025 sebagai MPV EV, guna platform e-TNGA?

    Selain dari kembar Alphard dan Vellfire, Toyota sebelum ini mempunyai satu lagi model MPV besar iaitu Estima (juga dikenali sebagai Previa atau Tarago pada pasaran-pasaran tertentu). Walau bagaimanapun, produksi MPV dengan bentuk unik seperti kepala kereta api laju tersebut telah pun dihentikan pada tahun 2019 selepas dijual dalam tiga generasi bermula 1990.

    Namun ada khabar dari Jepun bertiup bahawa Estima bakal dilahirkan semula, dan akan mula perkenalkan pada 2025, lapor portal automotif Jepun Best Car Web. Berbanding Alphard/Vellfire yang masih menggunakan enjin pembakaran, Best Car mendakwa Estima bakal muncul sebagai MPV elektrik sepenuhnya (EV).

    Portal itu turut memperincikan Estima generasi baharu ini akan diasaskan dari platform e-TNGA, membolehkan ia ditawarkan dalam versi pacuan roda hadapan atau pacuan semua roda, serta menampilkan bateri yang membolehkan ia bergerak sejauh 600 km dengan satu cas penuh.

    Malah Best Car turut mendakwa Toyota Estima EV ini mungkin akan dijual pada harga bermula 6.5 juta hingga 7 juta yen (RM205,500 hingga RM221,300).

    Walau bagaimanapun ini bukan kali pertama Estima didakwa akan dihasilkan semula oleh Toyota. Pada 2021 Best Car Web turut telah melaporkan bahawa Estima akan dihasilkan dalam versi generasi baharu yang dijana elektrik sepenuhnya dan ia akan didedahkan pada tahun ini, tetapi berita berkenaan ternyata tidak benar.

    Malah pada 2021 ketika pengerusi Toyota, Akio Toyota mendedahkan 16 model-model konsep EV Toyota yang dirancang untuk diproduksi pada masa akan datang, tiada satu pun model yang bakal dihasilkan sebagai MPV tujuh-tempat duduk. Walau bagaimanapun sekiranya Estima EV ini menjadi kenyataan, ia mungkin menjadi MPV pertama Toyota yang dijana oleh kuasa elektrik sepenuhnya.

     
     
  • Yamaha YZF-R15M Monster Energy Edition diperkenal untuk pasaran Malaysia – terhad 600 unit, RM14,998

    Yamaha YZF-R15M Monster Energy Edition diperkenal untuk pasaran Malaysia – terhad 600 unit, RM14,998

    Setelah lebih satu tahun YZF-R15M dilancarkan untuk pasaran Malaysia, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini memperkenalkan warna baru untuk model sports permulaan tersebut, yang dipanggil sebagai Monster Energy Edition. Ia sebagai tambahan pilihan kepada warna perak yang diperkenalkan sebelum ini.

    YZF-R15M Monster Energy Edition ini bagaimanapun hanya akan ditawarkan dalam jumlah yang terhad, iaitu 600 unit sahaja, dengan harga jualan RM14,998 tidak termasuk insurans. Harga ini adalah sama seperti YZF-R15M warna perak yang diperkenalkan sebelum ini.

    Bahagian lain motosikal ini masih lagi sama, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, menghasilkan 19 hp pada 10,000 rpm dan 14.7 Nm tork pada 7,500 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal versi prestasi, R15M didatangkan terus dengan quickshifter, sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup), ABS two-channel serta panel paparan LCD yang boleh disambungkan kepada telefon pintar melalui aplikasi Y-Connect.

    Meter LCD ini juga menyediakan dua pilihan paparan, iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar. Beberapa kemasan unik turut diberikan pada R15M, termasuk lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas serta angkup brek Bybre warna emas.

    Kelengkapan lain pada R15 V4 ini adalah sama seperti R15 sebelumnya, termasuklah fork USD di hadapan, monoshock, brek cakera 282 mm di hadapan dan 220 mm di belakang, tangki bahan api 11 liter, berat 140 kg dan lengan ayun aluminium.

     
     
  • Isuzu D-Max facelift 2023 – gaya lebih rugged, meter digital, enjin sama, RM98k-RM161k di Thailand

    Isuzu D-Max facelift 2023 – gaya lebih rugged, meter digital, enjin sama, RM98k-RM161k di Thailand

    Isuzu D-Max generasi ketiga telah pun menerima kemaskini di Thailand, di mana trak pikap yang ditawarkan dengan varian Hi-Lander dan V-Cross untuk versi single-cab dua-pintu dan double-cab empat-pintu. Di Malaysia, D-Max telah dipertingkatkan pada awal tahun ini, menampakkan lampu utama dan lampu nyalaan siangnya agak mirip dengan versi yang diperkenalkan di sana.

    Di Thailand, barisan facelift ini bermula dengan D-Max Hi-Lander 1.9 L 6MT ditawarkan pada harga bermula 758,000 baht (RM97,693) sehinggaD-Max Hi-Lander 1.9 ZP 6AT berharga 928,000 baht (RM119,580) untuk single-cab dua-pintu. Manakala bagi versi double-cab empat-pintu pula, ia bermula dengan D-Max Hi-Lander 1.9 L DA 6MT berharga 865,000 baht (RM111,462), hingga D-Max Hi-lander 1.9 ZP 6AT pada harga 1,040,000 baht (RM134,049).

    Manakala tiga lagi varian bagi barisan Hi-Lander dengan enjin yang lebih besar berkapasiti 3.0 liter, bermula dengan D-Max Hi-lander 3.0 ZP 6MT berharga 1,036,000 baht (RM133,522), diikuti dengan D-Max Hi-lander 3.0 M 6AT yang ditawarkan pada harga 1,144,000 baht (RM147,441).

    Model facelift ini juga disertai oleh barisan V-Cross dengan kapasiti enjin 3.0 liter diesel, yang ditawarkan pada harga bermula 917,000 baht (RM117,755) untuk single-cab dua-pintu, serta versi 3.0 Z 6MT 4×4 dengan harga 1,257,000 baht (RM161,447) untuk varian V-Cross Double Cab 3.0 ZP 6AT 4×4. Dengan peningkatan bagi model facelift ini, harga D-Max di Thailand telah meningkat antara 30,000 hingga 40,000 baht (RM3,888 hingga RM5,185), menurut Headlight Magazine.

    Untuk penjana kuasanya, D-Max V-Cross masih terus menggunakan unit 4JJ3-TCX 3.0 liter empat-silinder sebaris turbodiesel dengan hamburan kuasa 190 hp pada 4,500 rpm dan tork 450 Nm dari 1,600 rpm hingga 2,600 rpm. Transmisi sama ada automatik enam-kelajuan dengan sequential manual override atau manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Sementara itu, bagi D-Max Hi-Lander di Thailand menerima enjin 1.9 liter RZ4E-TC empat-silinder sebaris turbodiesel dengan hamburan kuasa 150 hp pada 3,600 rpm dan tork 350 Nm dari 1,800 rpm hingga 2,600 rpm. Juga digandingkan dengan transmisi sama ada automatik enam-kelajuan dengan sequential manual override atau manual enam-kelajuan dan pacuan semua-roda.

    Perubahan gaya untuk D-Max ini melibatkan kemasan pada V-Cross yang kini diberikan gril hadapan, bampar hadapan dan lampu utama baharu, bersama lampu belakang dan tailgate baharu. Ia juga menerima dua rekaan baharu bagi roda untuk saiz 18-inci, serta warna jingga baharu yang dinamakan sebagai Namibu Orange Mica.

    Di dalamnya, panel instrumen juga diberikan rekaan baharu, disepadukan dengan paparan pelbagai-informasi tujuh-inci dan roda stereng juga kini diberikan pedal penukar gear. Upholstery dalaman menampilkan kulit sintetik Coolmax, sama ada dengan pilihan warna hitam atau coklat dan hitam.

    Bagi aspek keselamatan, D-Max V-Cross menerima kelengkapan ADAS yang merangkumi lampu tinggi automatik, kawalan kelajuan adaptif kelajuan penuh, amaran pelanggaran hadapan, AEB, brek kecemasan pelbagai-pelanggaran dan amaran ketibaan lorong.

    Turut diberikan amaran trafik-lintasan belakang, AEB undur, amaran titik buta, bantuan mula mendaki, kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, ABS, cagak ISOFIX pada tempat duduk belakangm amaran pemakaian tali pinggang keledar penumpang hadapan dan tali pinggang keledar tiga-poin untuk tempat duduk belakang.

    Di Thailand, Isuzu D-Max yang dinaiktaraf ini boleh didapati dengan pilihan warna Bohemian Silver Metallic, Gray Ilay Opec, Namibu Orange Mica, Bavarian Black Mica, dan Dolomite Pearl White (dengan kos tambahan 7,000 baht).

     
     
  • Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup sempena Hari Sukan Negara 2023, mulai 6 petang 13 Okt-15 Okt

    Beberapa jalan utama di Putrajaya ditutup sempena Hari Sukan Negara 2023, mulai 6 petang 13 Okt-15 Okt

    Sempena sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2023 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Putrajaya hujung minggu ini, terdapat beberapa jalan akan ditutup mulai 6 petang ini (13 Oktober) sehingga jam 11.59 tengah malam pada 15 Oktober 2023.

    Jalan-jalan yang terlibat ialah Dataran Putrajaya, Simpang Menara IKhlas hinggga Menara KBS, Jalan Kemerdekaan, Simpang Tun Hussein hingga Persiaran Perdana, Lebuh Setia, dan Jalan Tun Hussein hingga Persiaran Perdana.

    Justeru, anda dinasihati untuk rancang perjalanan bagi melancarkan pergerakan trafik dan sila patuhi arahan polis trafik dan petugas acara.

    Untuk yang mengambil bahagian dalam acara dan aktiviti yang disediakan, beberapa kawasan parkir awam terbuka juga ada berhampiran dengan lokasi utama HSN yang berlangsung di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya. Antara kawasan parkir tersebut ialah berhampiran Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin (atau lebih dikenali sebagai Masjid Besi), dan tapak pasar malam/bazaar Ramadan berhampiran Hotel Dorsett.

    HSN 2923 akan dilancarkan secara rasminya oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pagi esok. Banyak acara menarik disediakan termasuklah Fit Malaysia larian dan berbasikal, acara berjalan kaki, Mega Aerobic Challenge, jualan barangan sukan, memanah, sukan tradional dan banyak lagi.

    Kalau nak tengok perlawanan bola sepak antara pasukan Malaysia menentang India sempena Piala Merdeka malam ni pun boleh kerana ada skrin besar akan disediakan untuk menayang siaran secara langsung perlawanan terbabit.

     
     
  • Penyambung jalan dan keadaan licin jadi punca penunggang motosikal jatuh di jejambat Kg Pandan

    Penyambung jalan dan keadaan licin jadi punca penunggang motosikal jatuh di jejambat Kg Pandan

    Seorang pengguna laman sosial X (dulunya dikenali sebagai Twitter), Ts Rezza Danial berkongsi pengalaman beliau melihat beberapa buah motosikal jatuh di hadapan mata sewaktu melalui satu bahagian di atas jejambat Kampung Pandan, berhampiran susur masuk ke lebuh raya MEX di MyTown.

    Beberapa video dimuat naik oleh Rezza, yang ketika itu sedang berteduh daripada hujan di bawah jejambat yang disebutkan, dan menurut beliau, dalam masa tidak sampai lima minit pun, tiga orang penunggang motosikal sudah terjatuh di kawasan itu.

    Penyebab yang diberitahu adalah penyambung jalan, yang dikatakan bukan sahaja sangat licin pada waktu hujan, tetapi dalam waktu kering juga adalah sama. Ini mengakibatkan tayar motosikal hilang cengkaman dan jatuh meskipun tidak ditunggang laju.

    Penyambung jalan seperti ini dipanggil sebagai expansion joint, dan ia memang satu rekaan biasa bagi sesebuah jambatan, bagi membolehkan penguncupan dan pengembangan permukaan apabila suhu berubah. Ia juga kerap digunakan bagi bahagian jalan yang diperbuat daripada konkrit bersambung.

    Penyambung ini biasanya dijadikan sama rata dengan jalan dan disalut dengan lapisan anti gelincir. Walaubagaimanapun apabila sudah lama, ia boleh hilang dan mendedahkan permukaan besi yang licin – itulah keadaan yang dilihat berlaku di kawasan ini. Ia juga pernah dilihat boleh menjadi lebih teruk sehingga menyebabkan lubang yang besar.

    Bukan setakat Rezza, pengguna lain turut berkongsi perkara yang sama, dengan salah seorang daripadanya, iaitu Boy Flow mengatakan seorang penunggang sudah pun terkorban di jalan itu 9 September tahun lalu.

    Seorang lagi pengguna dengan nama Syamel pula mengatakan beliau sudah membuat laporan kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkenaan jalan tersebut, tetapi ia masih belum selesai dan mempersoalkan adakah mereka mahu menunggu sehingga ada anak menteri yang terjatuh barulah mahu mengambil tindakan.

    Bagi penunggang motosikal, tambahkan waspada anda apatah lagi sekarang sudah musim hujan. Penyambung jalan seperti ini ada di merata tempat dan sentiasa amalkan cara tunggangan yang berhati-hati. Dalam masa sama, pastikan juga keadaan motosikal anda baik, terutamanya bahagian tayar dan brek, dan cari tempat yang selamat untuk berteduh sewaktu hujan.

     
     
  • Piala Merdeka Malaysia vs India – operasi LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30am

    Piala Merdeka Malaysia vs India – operasi LRT Bukit Jalil dilanjutkan hingga 12.30am

    Rapid KL telah mengumumkan bahawa operasi stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam ini. Ia adalah sempena dengan perlawanan bola sepak Piala Merdeka di antara pasukan Harimau Malaya menentang India yang bakal berlangsung malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.

    “Tren tambahan akan disediakan sejurus tamat perlawanan bola sepak terbabit,” kata Rapid KL menerusi Facebook rasminya.

    Walau bagaimana pun, para penumpang diingatkan untuk menggunakan kad Touch ‘n Go bagi memudahkan perjalanan. Sila pastikan baki tambah nilai di dalam kad berkenaan mencukupi.

     
     
  • Proton tamatkan produksi enjin Campro CFE Turbo; produksi Proton Exora juga akan berhenti selepas ini

    Proton tamatkan produksi enjin Campro CFE Turbo; produksi Proton Exora juga akan berhenti selepas ini

    Proton nampaknya telah menamatkan penghasilan enjin Campro 1.6 liter empat silinder Turbo (dikenali juga dengan nama Charged Fuel Efficiency atau CFE) dengan produksi unit terakhir dikeluarkan dari barisan produksinya di Tanjong Malim semalam.

    Tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh Proton berkenaan perkara ini, namun ia dapat disahkan menerusi satu video pendek disiarkan oleh akaun TikTok Kelab Pemilik Exora Malaysia (EOCM) yang memaparkan satu ‘upacara’ ringkas dibuat di kilang tersebut bagi memperingati unit terakhir enjin berkenaan.

    Buat masa sekarang satu-satunya model Proton yang masih menggunakan enjin CFE ini adalah MPV tujuh-tempat duduk Proton Exora. Proton sebelum ini sudah mengesahkan bahawa salah satu modelnya yang sedang dijual dalam pasaran akan ditamatkan produksi menjelang akhir tahun ini, dan dengan pemberhentian pengeluaran enjin CFE ini sudah dapat dipastikan bahawa Exora adalah model yang dimaksudkan.

    @eocmalaysia_official Selepas 12 tahun, enjin CFE kini secara rasmi telah ditamatkan pengeluarannya pada hari ini. #onthisday #camprocfe #protonexora #mediaeocm #eocmalaysiaofficial #fyp ♬ original sound – @K_AZ

    Enjin CFE ini merupakan enjin Campro 1.6L dalam versi yang disuap dengan pengecas turbo, diperkenalkan buat pertama kali menerusi Proton Exora Bold pada akhir 2011. Ia kemudiannya turut dipadankan pada sedan segmen-C Proton Preve yang diperkenalkan pada tahun 2012, diikuti versi hatchbacknya iaitu Suprima S pada tahun berikutnya.

    Ia ditala bagi menghasilkan 140 PS pada takat 5,000 rpm dan tork maksima 205 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm. Walaupun prestasinya agak mengujakan, enjin ini dihambat dengan masalah hos penyejuk minyak pelincir (OCH) yang selalu pecah, serta agak kuat ‘menelan’ petrol.

    Sebelum ini Proton sudahpun menyatakan sebarang pembangunan lanjutan untuk enjin CFE ini sudahpun ditamatkan, dan syarikat berkenaan kini menumpukan perhatian terhadap enjin 1.5 liter tiga-silinder yang dibangunkan oleh Geely dan Volvo bagi model-model baharunya kelak.

    Enjin 1.5 liter tersebut sudahpun diproduksi secara tempatan sejak tahun lalu, dan ia kini berada dalam perut model-model seperti Proton X50, X70 dan X90. Sedan baharu Proton yang akan menggantikan tempat Preve yang akan dilancarkan bulan hadapan turut dijangka akan menerima enjin 1.5 liter Turbo tersebut walaupun model asasnya di China iaitu Geely Emgrand hanya menerima enjin 1.5 liter NA.

     
     
  • Bolehkah memandu kenderaan di Malaysia dengan memakai selipar? Ini jawapan sumber JSPT

    Bolehkah memandu kenderaan di Malaysia dengan memakai selipar? Ini jawapan sumber JSPT

    Adakah di antara anda yang memiliki tabiat memakai selipar sewaktu memandu? Termasuklah kaum wanita yang bergaya dengan kasut tumit tinggi tetapi bila masuk saja dalam kereta, terus tukar selipar. Adakah memandu kenderaan di Malaysia dengan memakai selipar menyalahi undang-undang lalu lintas ?

    Untuk mendapatkan jawapan yang sama, kami mengajukan soalan tersebut kepada sumber kami di Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, dan inilah jawapan beliau. “Jawapannya ialah ya, memakai selipar sewaktu memandu di Malaysia memang menyalahi undang-undang trafik,” katanya.

    Namun beliau kemudiannya menambah, “Tetapi ini hanya terpakai kepada pemandu yang memegang lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV), atau Lesen Penghantaran Barang (GDL),” katanya sambil ketawa.

    Di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, pemandu dengan PSV atau GDL dikehendaki berpakaian mengikut peraturan termasuk memakai kasut. Kegagalan berbuat demikian adalah kesalahan yang boleh dikompaun.

    Ini termasuklah memakai kemeja berkolar untuk pemandu PSV yang dikehendaki mengekalkan “penampilan profesional” semasa bertugas. Sumber kami berkata peraturan ini tidak terpakai kepada pemandu kenderaan persendirian dengan Lesen Memandu Kompeten (CDL) yang bebas berpakaian sesuka hati semasa memandu, termasuk memakai selipar.

    Kemudian kami bertanya soalan sama ada boleh memandu tanpa baju dan sumber kami ketawa, mengatakan itu juga haram dan mengaitkan insiden di awal kerjayanya. “Saya pernah bertugas dalam sekatan jalan raya dan menahan seorang pemandu yang tidak berpakaian langsung.

    Bolehkah memandu kenderaan di Malaysia dengan memakai selipar? Ini jawapan sumber JSPT

    “Saya memandangnya dan saya tidak tahu apa yang perlu saya katakan. Saya tidak mahu meminta lesennya kerana saya takut dari mana dia akan mengeluarkannya (lesen tersebut). Saya hanya mengarahkan dia terus memandu. Sesiapa yang berani memandu dalam keadaan berbogel memang cukup bermasalah, pada pendapat saya,” kata sumber JSPT kami itu sambil ketawa besar.

    Sejujurnya penulis dulu pun suka berselipar ‘Jepun’ ketika memandu termasuk untuk perjalanan jarak jauh. Namun selepas menghadiri satu kursus ‘defensive driving’ yang dikendalikan oleh pelumba rali terkenal, Karamjit Singh, beliau berkongsikan satu kisah, “Ada seorang rakan saya gemar memandu dengan berselipar. Suatu hari, dia mengalami kemalangan sewaktu memandu dan walaupun kemalangan itu tidaklah begitu serius, namun akibatnya, jari serta tapak kakinya mengalami kecederaan parah akibat tersepit di antara lantai kenderaan dengan pedal minyak. Hinggakan doktor terpaksa memotong bahagian kakinya itu.

    “Jadi, seeloknya kita memakai kasut bertutup penuh sewaktu memandu bagi mengurangkan risiko kecederaan di bahagian kaki sekiranya terlibat dalam kemalangan. Untuk pemandu wanita pula, sila elak memakai kasut tumit tinggi sewaktu memandu. Ini kerana risiko jika bahagian tumit kasut anda itu boleh tersangkut pada alas lantai sewaktu anda mahu menekan antara pedal minyak dan brek.” Ya, sejak itu, penulis akan pastikan penulis memakai kasut bertutup penuh (termasuk bukan bertumit tinggi), sewaktu memandu.

     
     
  • Lynk & Co 06 EM-P – kembar Proton X50, 1.5L PHEV 2 motor, 299 hp/568 Nm, jarak gerak elektrik 102 km

    Lynk & Co 06 EM-P – kembar Proton X50, 1.5L PHEV 2 motor, 299 hp/568 Nm, jarak gerak elektrik 102 km

    Di China selain Geely Binyue, Proton X50 ada satu lagi kembar yang dihasilkan dari platform BMA yang sama, iaitu versi divisi mewah Geely iaitu Lynk & Co 06 yang didedahkan secara rasmi pada 2020. Dan yang ini adalah Lynk & Co 06 EM-P, model kemaskini yang bukan sahaja tampil dengan rupa baharu, malah menerima perubahan unit rangkaian kuasa yang menyeluruh.

    Lynk & Co 06 ini masih menerima enjin 1.5 liter turbo seperti X50, namun ia dipadankan dengan sistem plug-in hybrid (PHEV) yang mempunyai dua motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 299 hp dan tork maksima 568 Nm!

    Motor tersebut menerima kuasa elektrik dari bateri berkapasiti 19.09 kWj, membolehkan SUV ini bergerak 100% dengan kuasa elektrik dalam jarak 102 km. Manakala kadar penggunaan bahan api pula dicatatkan pada 4.98 liter untuk setiap 100 km mengikut kitaran ujian CLTC.

    Lynk & Co 06 EM-P – kembar Proton X50, 1.5L PHEV 2 motor, 299 hp/568 Nm, jarak gerak elektrik 102 km

    Model kemaskini ini menerima elemen rekaan baharu Lynk & Co, menampilkan garis-garis lebih tajam dari versi sebelumnya. Rekaan ‘cakaran’ pada lampu nyalaan siang kini bukan hanya menerusi jalur LED semata-mata, malah ia turut melibatkan kluster lampu tersebut.

    Di belakang, lampu SUV ini direka lebih ringkas di mana bahagian ‘ekor’ kluster lampu berkenaan kini lebih pendek, dan lampu tersebut kini merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang dengan bar lampu penuh yang turut menampilkan logo Lynk & Co bernyala di tengah.

    Pada bahagian dalam, papan pemuka dan konsol tengah Lynk & Co 06 EMP ini nampaknya lebih ringkas dari sebelum ini tanpa butang-butang fizikal dan tombol gear konvensional telah diganti dengan tuil pada kolum stereng ala-Mercedes Benz.

    Lynk & Co 06 EM-P – kembar Proton X50, 1.5L PHEV 2 motor, 299 hp/568 Nm, jarak gerak elektrik 102 km

    Skrin utama ditengah kini lebih besar, manakala liang penghawa dingin pula nampak lebih nipis dan berbeza dari liang biasa. Ruang storan dibawahnya turut bertindak sebagai pad pengecas, manakala perumah paparan instrumen adalah berbeza sepenuhnya dari sebelum ini. Ia turut menampilkan cermin solek bersaiz besar pada pelindung matahari.

    Lynk & Co 06 EM-P ini dijual pada harga bermula sekitar 180,000 yuan (RM116,363) di China, dan ia akan mula dijual bermula tahun ini. Lynk & Co telahpun mendapat kelulusan untuk memulakan produksi untuk SUV ini dari pihak berkuasa negara tersebut, dan ia akan dipasang di kilang Meishan jenama itu.

     
     
  • Pekema dan Dongfeng bakal pasang dan jual Nammi 01 S31 di Malaysia, dieksport ke Asia Tenggara

    Pekema dan Dongfeng bakal pasang dan jual Nammi 01 S31 di Malaysia, dieksport ke Asia Tenggara

    Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) mengumumkan pihaknya telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan pengeluar kenderaan dari China, Dongfeng Motor. Ini bakal menyaksikan pengenalan model EV pertama pemanduan sebelah kanan Dongfeng di Malaysia, dijangka pertengahan tahun depan. Mereka juga akan memasang model terbabti untuk pasaran eksport di Asia Tenggara.

    Model EV yang dimaksudkan ialah Nammi 01 (juga dengan kod nama S31) yang merupakan kereta elektrik kompak yang baru sahaja diperkenalkan di China. Nammi 01 menampilkan sebuah motor elektrik dengan janaan 163 hp dan dikuasai oleh bateri 157 Wh per kg. Model ini disifatkan mampu memberikan 200 km jarak dengan hanya lapan minit pengecasan.

    Pekema dan Dongfeng bakal pasang dan jual Nammi 01 S31 di Malaysia, dieksport ke Asia Tenggara

    Dari segi saiz, Nammi 01 mempunyai saiz 4,030 mm panjang, 1,810 mm lebar dan 1,570 mm tinggi dengan jarak antara roda 2,660 mm. EV berkenaan sempat muncul di laman Facebook Pekema semalam — yang telah di turunkan — yang memberi petunjuk kepada perkembangan yang sama.

    “Kerjasama Pekema dengan DFMIEC (Dongfeng Motor Industry Imp. & Exp. Co.) merupakan langkah penting dalam misi kami untuk memperkenalkan lebih banyak mobiliti hijau di Malaysia. Landskap EV di Malaysia sedang berkembang pesat, dan kerjasama ini meletakkan kami dalam kedudukan penting untuk perubahan ini,” jelas Timbalan Presiden merangkap Pemangku Presiden Pekema, Datuk Hj Mohamed Nazari Bin Noordin.

    Pekema dan Dongfeng bakal pasang dan jual Nammi 01 S31 di Malaysia, dieksport ke Asia Tenggara

    “Rekod cemerlang DFMC dan pengalamannya dalam industri automotif merupakan aset penting bagi kerjasama ini. Dikenali kerana kepelbagaian pengeluaran kenderaan, termasuk EV, mereka teruja untuk membawakan kepakaran mereka ke Malaysia dan menembusi pasaran tempatan. Malaysia juga menawarkan potensi besar bagi EV pemanduan sebelah kanan (RHD),” ujar Nazari.

    “Hari ini, kami ingin membawa model RHD ke Malaysia sebagai perhentian pertama. Ini merupakan keputusan yang telah difikirkan sejak lama, dan dengan sokongan kerajaan Malaysia terhadap NEV dan kesungguhan rakan niaga, kami teruja untuk meneroka potensi ini,” ujar Pengurus Besar DFMIEC, Zhao Xiaojie.

     
     
  • Yamaha dedah motosikal konsep yang akan dibawa ke Japan Mobility Show – berteknologi AI, gerak sendiri

    Yamaha dedah motosikal konsep yang akan dibawa ke Japan Mobility Show – berteknologi AI, gerak sendiri

    Hujung bulan ini di Tokyo, Jepun akan berlangsung Japan Mobility Show (dulunya dikenali sebagai Tokyo Motor Show) dan syarikat yang menyertainya mula mendedahkan bahan pameran masing-masing. Yamaha tidak terkecuali dan kawasan pameran mereka akan dipenuhi dengan pelbagai kenderaan serta teknologi terkini.

    Bahan pameran mereka akan melibatkan produk daripada pelbagai industri yang dilibati tetapi kami mahu memberikan perhatian kepada jentera beroda yang ada di antaranya akan tampil buat kali pertama di khalayak ramai, sewaktu acara tersebut.

    Sebagai permulaan, Motoroid2. Ini sebenarnya adalah evolusi kepada Motoroid yang diperkenalkan kali pertama pada tahun 2017 dan Yamaha telah memperkemaskan lagi rekaannya dan teknologi sebelum ini ditambah baik.

    Melalui sistem Artificial Intelligence (AI) yang dipasang padanya, motosikal konsep ini boleh mengenali pemiliknya, duduk tegak dan menaikkan tongkat secara sendiri serta bergerak di samping pemilik. Apabila ditunggang, ia akan memberi rasa kesatuan pemilik dengan mesin, seterusnya memberikan lebih kepuasan.

    Seterusnya adalah ELove, sebuah motosikal yang nampak seperti sebuah skuter, dengan pelantar kaki luas di hadapan, dan dipacu oleh kuasa elektrik. Ia dilengkapi dengan teknologi Advanced Motorcycle Stabilization Assist System (AMSAS), yang dapat mengurangkan beban dan kebimbangan penunggang sewaktu mengendali motosikal pada kelajuan sangat rendah dan menjadikan pengalaman menggunakan motosikal lebih selamat dan mudah dinikmati.

    E-FV pula adalah sebuah motosikal elektrik bersaiz mini, yang dihasilkan oleh sekumpulan jurutera muda untuk aktiviti rekreasi keluarga. Menggunakan penggerak elektrik sama seperti motosikal trial TY-E, motosikal ini tidak memerlukan penukaran gear dan boleh menghasilkan bunyi seperti motosikal enjin pembakaran dalaman biasa.

    Yamaha dedah motosikal konsep yang akan dibawa ke Japan Mobility Show – berteknologi AI, gerak sendiri

    Satu lagi yang menarik adalah Tricera. Ia adalah sebuah kenderaan yang mempunyai dua tempat duduk, tiada bumbung dan tiga tayar – dua di hadapan dan satu di belakang. Menurut Yamaha, kenderaan ini bukan setakat dapat memberikan rasa bebas, tetapi juga kepuasan memandu baru bagi penggunanya.

    Bukan setakat roda hadapan, roda belakang juga boleh membelok dan beberapa mod disediakan untuk kegunaan pemandu. Apabila dalam mod manual, pusingan roda belakang boleh dikawal sendiri oleh pemandu dan ia boleh digunakan untuk mencapai dan meneroka kemahiran pengendalian baru.

     
     
  • Alami sendiri Porsche Cayenne baharu di Porsche Centre Pulau Pinang dan Johor Bahru 14-15 Oktober ini

    Alami sendiri Porsche Cayenne baharu di Porsche Centre Pulau Pinang dan Johor Bahru 14-15 Oktober ini

    Ini adalah peluang untuk anda dekati dan alami sendiri Porsche Cayenne baharu yang dilancarkan minggu lepas, serta pelbagai lagi model Porsche yang lain. Jika berada berdekatan, anda boleh datang ke Porsche Centre Pulau Pinang dan Porsche Centre Johor Bahru.

    Kenderaan utiliti sukan (SUV) baharu yang hadir dengan peningkatan ciri standard khas untuk pasaran Malaysia ini akan membuat penampilan pertama di dua Porsche Centre yang disebutkan pada 14 dan 15 Oktober 2023, dari jam 10 pagi hingga 5 petang.

    Bersama dengan spesifikasi tempatan yang ditambah baik, kenderaan sports ikonik yang boleh menempatkan lima orang ini juga diperhalusi untuk memberikan lebih ciri mewah dan prestasi, menampilkan penggunaan panel paparan dan kawalan digital, serta teknologi casis baru.

    Porsche Centre Pulau Pinang dan Porsche Centre Johor Bahru juga akan memberikan tawaran istimewa yang termasuk potongan 30% untuk barangan rasmi Porsche Lifestyle, serta hadiah eksklusif apabila anda membuat tempahan untuk SUV mewah tersebut pada hujung minggu ini.

    Pengunjung juga boleh menikmati pelbagai aktiviti lain untuk seluruh keluarga. Bersaing dengan ahli keluarga atau kawan dalam perlumbaan simulator, atau buat sendiri pewangi kereta anda hujung minggu ini. Tandakan kalendar dan siap sedia untuk pergi lebih jauh bersama dengan Cayenne baharu, 14 dan 15 Oktober ini di Porsche Centre Pulau Pinang dan Porsche Centre Johor Bahru.

    Informasi lanjut berkenaan Cayenne baharu di sini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025