Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Suzuki V-Strom 250 SX dipertonton – bakal dilancar hujung tahun ini, harga anggaran bawah RM20k

    Suzuki V-Strom 250 SX dipertonton – bakal dilancar hujung tahun ini, harga anggaran bawah RM20k

    Suzuki Malaysia membawa beberapa model baru untuk pra tonton awal ke Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) yang bermula hari ini, dengan salah satunya adalah V-Strom 250 SX. Unit pameran ini menggunakan warna kuning bersama rim hitam dan jalur biru.

    Tarikh pelancaran serta harga sebenar model kembara permulaan ini masih belum disiarkan secara rasmi, tetapi menurut maklumat yang kami dapat, ia mungkin dapat dijual ke pasaran pada hujung tahun ini, dengan harga antara RM18k ke RM20k.

    Menggerakkan V-Strom 250 SX adalah enjin satu silinder 249 cc SOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api, dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 26.5 PS pada 9,300 rpm dan 22.2 Nm tork pada 7,300 rpm.

    Sebagai sebuah motosikal yang boleh digunakan bukan sahaja di atas jalan biasa, tetapi juga offroad ringan, V-Strom 250 SX diberikan dengan rim aluminium yang bersaiz 19 inci di hadapan dengan tayar 100/90, dan 17 inci dengan tayar 140/70 di belakang.

    Suspensi biasa yang terdiri daripada fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang digunakan pada motosikal ini, menghasilkan kelegaan dari tanah 205 mm dan tinggi tempat duduk 835 mm. Berat keseluruhannya adalah 167 kg.

    Melihat kepada pasaran lain yang sudah menerima model ini, ia didatangkan secara standard dengan penghadang tangan, tangki bahan api 12 liter, lampu hadapan dan belakang LED, soket pengecas USB, panel meter digital, brek cakera depan dan belakang dengan fungsi ABS, pelindung bawah enjin, peletak kaki dengan alas getah serta tapak beg barangan yang sudah tersedia di belakang.

     
     
  • CFMoto 800NK tiba di Malaysia – 799 cc, RM38,888

    CFMoto 800NK tiba di Malaysia – 799 cc, RM38,888

    Selain hadir ke Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 dengan pameran pelbagai model motosikal, CFMoto turut melancarkan sebuah model baru iaitu 800NK. Ia ditawarkan dalam pilihan dua warna, iaitu Zircon Black dan Nebula
    White, pada harga RM38,888 tidak termasuk insurans.

    Hadir dengan bentuk naked, 800NK diberikan dengan kelengkapan berteknologi seperti lampu LED hadapan dengan fungsi automatik dan DRL, sistem kunci pintar serta skrin TFT lapan inci dengan fungsi sambungan kepada telefon pintar melalui bluetooth.

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin dua silinder DOHC berkapasiti 799 cc, yang dipadankan bersama transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slipper, mampu menghasilkan kuasa 99 hp pada 9,500 rpm dan tork 81 Nm pada 8,000 rpm.

    Rim 17 inci 800NK dipegang oleh suspensi daripada Kayaba, terdiri daripada unit fork USD boleh laras di hadapan dan monoshock boleh laras di belakang. Tugas membrek pula dijalankan oleh unit cakera berkembar 320 mm dengan angkup J Juan empat piston di hadapan dan cakera 260 mm tunggal dengan angkup J Juan satu piston di belakang.

    Kelengkapan lain yang disediakan pada 800NK adalah termasuk quickshifter, tiga mod tunggangan, tayar Maxxis saiz 120/60 di hadapan dan 180/55 di belakang, tangki bahan api 15 liter, brek ABS dual-channel, cruise control serta berat keseluruhan 186 kg.

     
     
  • Mercedes buka Autohaus Langkawi melalui Asbenz

    Mercedes buka Autohaus Langkawi melalui Asbenz

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) dan Asbenz kini membuka bilik pameran Autohaus terbaru di Langkawi. Premis di pulau bebas cukai itu menampilkan standard imej mewah terbaru jenama berkenaan.

    “Autohaus terbaru di Langkawi menjadi bukti terhadap dedikasi bersama kami dengan rakan niaga, Asbenz, untuk memberikan pengalaman yang luar biasa kepada pelanggan. Perhatian terperinci terhadap rekaan dan fungsi yang ada di Autohaus ini mencerminkan komitmen Mercedes-Benz untuk kemewahan dan inovasi,” ujar Amanda Zhang, Presiden dan CEO baru MBM.

    “Asbenz dengan konsisten telah menunjukkan kemampuan untuk mewujudkan ruang yang menawarkan bukan hanya kenderaan, tetapi juga gaya hidup. Dengan tambahan terbaru ini, pelanggan di Langkawi akan mengenali dunia mewah Mercedes-Benz, di mana kecanggihan, teknologi dan servis terperinci diberikan untuk membawa pengalaman mereka ke tahap yang lain,” tambah beliau.

    Mercedes buka Autohaus Langkawi melalui Asbenz

    Terletak di Kampung Batu Asah, Kuah, Autohaus ini melibatkan keluasan 15,696 kaki persegi di atas tanah seluas 38,323 kaki persegi. Ia menawarkan banyak kemudahan seperti Star Lounge dan ruang pamer barangan gaya hidup Mercedes-Benz. Ada juga pengecas untuk pelanggan Mercedes-EQ, Express Service 2.0, servis dari pintu ke pintu, Drop & Go dan tempahan online.

    Asbenz merupakan nama yang tidak asing lagi untuk pemilik kenderaan Mercedes-Benz di Utara dan Timur Semenanjung Malaysia, yang mengendalikan empat Autohaus di Kedah, Pahang dan Terengganu. Setakat ini, kumpulan pengedar itu telah melaburkan sebanyak RM15 juta, termasuk RM2 juta untuk Langkawi Autohaus.

     
     
  • Tesla Supercharger dipasang oleh tenaga tempatan dari EV Connection, selesai dalam tempoh dua minggu

    Tesla Supercharger dipasang oleh tenaga tempatan dari EV Connection, selesai dalam tempoh dua minggu

    Kemudahan Tesla Supercharger yang telah dibuka di Pavilion Kuala Lumpur menyaksikan ramai tenaga tempatan dari EV Connection, sebuah syarikat penyedia perkhidmatan pemasangan stesen pengecas EV, yang terlibat dalam pemasangannya.

    Syarikat itu memaklumkan, pasukan dari EV Connection bersama dengan Tesla telah menyelesaikan pemasangan kemudahan itu dalam tempoh dua minggu. Penyedia penyelesaian tenaga, Gentari memiliki 33.52% kepentingan dalam EV Connection, sementara ACO Group memegang 6.98% saham melalui ACO Holdings, menurut The Edge.

    Dipasang di lokasi berkenaan sebelum pengenalan rasmi jenama Tesla di Malaysia, stesen Tesla Supercharger terdiri daripada lapan unit Supercharger, yang mampu memberikan output maksimum pengecasan sehingga 250 kW.

    Tesla Supercharger dipasang oleh tenaga tempatan dari EV Connection, selesai dalam tempoh dua minggu

    Minggu ini juga, berita tentang Tesla Supercharger mula beroperasi di Pavilion Kuala Lumpur mula kedengaran, dengan kadar bayaran yang dikenakan ialah RM1.25 per kWh dengan bayaran membiarkan kenderaan di ruang itu sebanyak RM4 seminit — ini bagi mengelakkan ruang berkenaan disalah guna untuk tujuan lain selain pengecasan.

    Bayaran membiarkan kenderaan yang di parkir itu akan dibatalkan sekiranya kenderaan dialihkan dalam tempoh lima minit selepas sesi pengecasan tamat, dan akan dikenakan dua kali ganda sekiranya stesen Supercharger sedang dalam kapasiti penuh.

    Buat masa ini, kemudahan Supercharger ini hanya untuk dimanfaatkan oleh kenderaan Tesla sahaja, walaupun ada lokasi lain nanti yang akan membolehkan EV jenama lain turut menggunakannya, selari dengan syarat BEV Global Leaders Programme oleh MITI.

     
     
  • SYM Tuscany 150 tiba di Malaysia – harga RM8,888

    SYM Tuscany 150 tiba di Malaysia – harga RM8,888

    Hari pertama Kuala Lumpur Bike Show (KLBS) 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menyaksikan SYM Tuscany 150 dilancarkan untuk pasaran Malaysia pada harga RM8,888 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu merah, kelabu dan putih.

    Datang dari Vietnam, Tuscany 150 ini mengikuti rekaan klasik skuter Itali, dan diberikan dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km. Menggerakkannya adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, penyejukan udara berkapasiti 149 cc, mampu menghasilkan kuasa 14.74 hp pada 8,000 rpm dan tork 11.4 Nm pada 5,500 rpm.

    Sebagai sebuah skuter, kuasa daripada enjin dihantar kepada roda belakang melalui transmisi automatik CVT dan sistem tali sawat. Kedua-dua rim skuter ini menggunakan unit 12 inci, dibalut tayar 110/70 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Brek skuter ini menggunakan unit cakera di hadapan dan belakang, dengan saiz masing-masing 226 mm dan 220 mm, dan didatangkan dengan sistem Combined Brake System. Memegang rodanya adalah fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

    Informasi penting skuter ini dipaparkan pada panel digital di hadapan penunggang, sementara tangki bahan apinya pula berkapasiti 5.7 liter. Berat keseluruhan Tuscany 150 adalah 150 kg dan semua lampunya adalah unit LED.

     
     
  • Penutupan lorong, pengaktifan aliran kontra di KM14.9 dan KM16.2 di NKVE – 26-28 Ogos, 11 malam-5 pagi

    Penutupan lorong, pengaktifan aliran kontra di KM14.9 dan KM16.2 di NKVE – 26-28 Ogos, 11 malam-5 pagi

    Setia Utama LRT 3, selaku kontraktor utama projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3), telah mengumumkan terdapat penutupan lorong dan pengaktifan aliran kontra di Lebuhraya Baharu Lembah Klang (NKVE) bagi kelancaran kerja-kerja pembinaan LRT3 di lokasi berkenaan.

    Ia dijadualkan bakal dilaksanakan pada Sabtu ini (26 Ogos 2023) sehingga Isnin (28 Ogos 2023), antara jam 11 malam hingga 5 pagi yang melibatkan lalaun di KM14.9 hingga KM16.2 di NKVE.

    Bagi yang datang dari arah Shah Alam/Subang menghala ke Kuala Lumpur/Sungai Buloh, akan dilencongkan di laluan bertentangan di NKVE menerusi trafik aliran kontra. Terdapat tiga lorong akan disediakan untuk pemandu yang bergerak ke arah bertentangan dari Kuala Lumpur/Sungai Buloh menuju ke Shah Alam/Subang.

    Penutupan lorong, pengaktifan aliran kontra di KM14.9 dan KM16.2 di NKVE – 26-28 Ogos, 11 malam-5 pagi

    Sementara itu, pengguna lebuhraya yang datang dari arah Shah Alam/Subang menghala ke stesen Petronas dan Shell, akan dilencongkan ke lorong paling kanan berhampiran Apartment Vista Subang. Sekiranya anda menuju ke Kuala Lumpur/Sungai Buloh dari stesen Petronas, anda juga akan dilencongkan ke lorong paling kiri dan memasuki semula NKVE.

    Bagi pengguna yang datang dari arah Kuala Lumpur/Sungai Buloh melalui lorong paling kanan akan dilencongkan ke lorong tengah di NKVE apabila menghampiri petugas kawalan di aliran kontra berkenaan. Dalam kenyataan rasmi yang dikeluarkan itu, Setia Utama LRT 3 turut memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi oleh para pengguna NKVE sepanjang pelaksanaan penutupan lorong dan pengaktifan aliran kontra berkenaan.

     
     
  • Persimpangan masuk Bentong Barat di LPT ditutup hingga 25 Ogos 2023 untuk kerja penyelenggaran

    Persimpangan masuk Bentong Barat di LPT ditutup hingga 25 Ogos 2023 untuk kerja penyelenggaran

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Pantai Timur (LPT) telah mengumumkan persimpangan masuk Bentong Barat ditutup hari ini dan esok (24-25 Ogos 2023).

    Penutupan persimpangan tersebut bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaran di laluan berkenaan. Oleh itu, para pengguna LPT diminta menggunakan laluan alternatif untuk memasuki Bentong iaitu di persimpangan Bentong Timur, tidak jauh dari persimpangan Bentong Barat.

    Dalam masa yang sama, ANIH turut memaklumkan pengaktifan laluan alternatif di KM124.5 hingga KM123.5 arah barat (Temerloh-Lanchang) sedang dilaksanakan sehingga jam 5 petang ini. Ia juga bagi memberi laluan untuk kerja-kerja penyelenggaran.

    Semua pengguna LPT yang melalui lokasi terbabit diminta untuk memandu dengan lebih berhati-hati dan patuhi isyarat papan tanda sementara serta arahan petugas.

     
     
  • Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

    Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

    Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Sarawak Metro Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), telah memulakan ujian pemanduan trem pintar prototaip Transit Aliran Autonomi (ART) yang diberi nama Bulan di Kuching Isthmus sejak semalam. Ia merupakan latihan kejuruteraan yang akan dilaksanakan sehingga 31 Oktober 2023.

    Trem ART tiga gerabak berkuasa hidrogen ini adalah untuk kegunaan projek Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) yang bernilai RM6 bilion bagi menangani masalah kesesakan lalu lintas di kawasan Kuching dan Samarahan.

    Dalam masa yang sama, kerja-kerja pembinaan laluan untuk trem terbabit sedang giat dijalankan dengan Laluan Biru sepanjang 27.6 km menghubungkan Rembus di Kota Samarahan ke stesen pertukaran Hikmah di pusat bandar raya. Manakala Laluan Merah sepanjang 12.3 km pula bagi perjalanan dari Kuching Sentral ke Pending manakala Laluan Hijau sepanjang 30km bagi perjalanan dari Pending ke Damai di Santubong.

    Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

    TRem ART ini dibangunkan oleh China Railway Rolling Stock Corporation (CRRC) Zhuzhou Electric Locomotive Research Institute Co Ltd. Ia merupakan trem pertama yang menggunakan sistem kuasa tenaga hidrogen.

    Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Seri Lee Kim Shin berkata prototaip itu telah dipasang sepenuhnya dalam tempoh dua minggu selepas tiba di Terminal Senari di sini pada 5 Ogos dari Pelabuhan Shanghai. Tambahnya, trem pintar itu akan menjalani latihan kejuruteraan dari 4 September hingga 31 Oktober di satu lingkaran di Jalan Keruing yang melepasi Menara LCDA, Menara SEDC, Menara Sarawak Energy dan Pusat Konvensyen Borneo Kuching.

    Tambahnya lagi, kenderaan prototaip itu akan diletakkan di Terminal Pending Lembaga Pelabuhan Kuching sehingga tamat tempoh latihan kejuruteraan pada Oktober. Pada November, kenderaan prototaip itu akan dipindahkan ke Kota Samarahan untuk latihan POC selama sebulan di lorong khusus tetap sepanjang tiga kilometer di Kuching-Samarahan Expressway, laporan Borneo Post.

    Sarawak mula laksana ujian pemanduan trem pintar prototaip ART berkuasa hidrogen pertama di dunia

    Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, menamakan trem tersebut sebagai ‘Bulan’, sempena dengan nama keretapi pertama Sarawak yang beroperasi mulai 1841 hingga 1946, sebelum perkhidmatannya ditamatkan ketika zaman penjajahan Jepun.

    Sarawak Metro telah memaklumkan bagi menyajayakan latihan kejuruteraan prototaip ART ini, beberapa jalan di sekitar Ishtmus Kuching akan ditutup hingga 31 Oktober ini. Sehubungan itu, Sarawak Metro menasihatkan pengguna jalan raya supaya berhati-hati semasa memandu di dalam kawasan Isthmus, selain mematuhi semua arahan pengurusan trafik sepanjang tempoh prototaip kejuruteraan ART dijalankan untuk memastikan keselamatan masing-masing.

     
     
  • Polis Selangor tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 26 Ogos di tapak karnival Stadium Shah Alam

    Polis Selangor tawar 50% diskaun saman trafik terpilih pada 26 Ogos di tapak karnival Stadium Shah Alam

    Sempena dengan acara PDRM Selangor Merdeka Ride, Ibu Pejabat Polis Kontijen Selangor bakal menawarkan pengurangan saman trafik terpilih sebanyak 50% pada Sabtu ini, 26 Ogos 2023. Program berkenaan akan berlangsung di tapak karnival Stadium Shah Alam, dari jam 8 pagi hingga 4 petang.

    Walau bagaimana pun, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Shah Alam atau daerah sekitarnya, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih. Jangan peram lama saman trafik yang diterima itu, jadilah rakyat yang lebih bertanggungjawab.

     
     
  • Harga minyak 24-30 Ogos – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 24-30 Ogos – Semuanya dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 24 hingga 30 Ogos 2023, Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bahawa tiada perubahan harga runcit bagi ketiga-tiga bahan api iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel.

    Untuk itu, petrol RON 97 kekal pada harga RM3.37 seliter. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Pada akhir Mei lalu, kerajaan telah mengumumkan bahawa Pangkalan Data Utama (PADU) dijangka siap menjelang akhir hujung tahun ini, dan ia akan diguna pakai untuk pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON 95 dan diesel tahun depan.

     
     
  • Pemandu brek mengejut hingga penunggang motosikal terjatuh dipenjara dua hari, denda RM6,000

    Pemandu brek mengejut hingga penunggang motosikal terjatuh dipenjara dua hari, denda RM6,000

    Seorang lelaki yang memandu secara melulu hingga membahayakan pengguna jalan raya telah dijatuhkan hukuman penjara dua hari dan denda RM6,000 oleh Majistret Fatin Dayana Jalil hari ini. Lelaki terbabit, Lim Ching Hong berusia 26 tahun, telah mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Mahkamah juga mengarahkan tertuduh dipenjara tiga bulan jika gagal membayar denda berkenaan, selain lesen memandu digantung selama lima tahun dan kesalahan akan dimasukkan pada lesen terbabit.

    Mengikut pertuduhan, Ching Hong didakwa memandu kenderaan jenis Lexus berwarna perak dengan nombor pendaftaran BQA 1188, secara berbahaya di Jalan Syed Putra, Kuala Lumpur pada jam 9.19 pagi Ahad lalu, laporan News Strait Times.

    Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum di bawah akta sama jika disabitkan kesalahan. Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda hingga RM15,000, selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu minimum lima tahun, lesen memandu percubaan dibatalkan serta kesalahan akan dimasukkan pada lesen memandu.

    Ketika prosiding, pegawai pendakwa, Inspektor Mohd Nor Hafiz Mohd Wazir, memohon hukuman maksimum atas kesalahan membahayakan pengguna jalan raya, manakala tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu denda minimum kerana tiada pekerjaan tetap dan perlu menanggung keluarga.

    Sejak Ahad lepas video berdurasi 24 saat yang dirakam menerusi dashcam kenderaan pengguna jalan raya yang lain tular di laman media sosial. Video berkenaan memaparkan sebuah kereta memberhentikan kenderaannya secara mengejut di hadapan penunggang motosikal. Kereta yang dipandu oleh tertuduh didapati mengubah haluan ke lorong kedua dan membrek secara mengejut sebelum penunggang motosikal berkenaan gagal mengawal motosikalnya lalu melanggar belakang kereta terbabit dan terjatuh.

     
     
  • Video Proton X90 terbakar – bateri hibrid 48V tidak meletup, Proton sedang siasat punca kebakaran

    Video Proton X90 terbakar – bateri hibrid 48V tidak meletup, Proton sedang siasat punca kebakaran

    Berhubung video yang tular baru-baru ini menunjukkan sebuah Proton X90 dilihat mengalami kebakaran pada sebelah dalam kabin, Proton hari ini mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkenaan insiden tersebut.

    Menurut Proton pihaknya telah mengambil maklum selepas video berkenaan tular di media-media sosial, dan unit yang terbakar berkenaan kini berada dalam simpanan syarikat automotif nasional tersebut. Buat masa sekarang Proton menyatakan siasatan teliti terhadapan insiden itu sedang dijalankan dan pihaknya akan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan punca kejadian.

    Walau bagaimanapun, Proton menegaskan tiada sebarang insiden letupan dari bateri sistem hibrid ringan 48v yang dibekalkan pada X90 berkenaan.

    “Kami memahami kebimbangan orang ramai dan memohon kerjasama untuk mengelak daripada terlibat dalam perbincangan spekulatif dan ingin menekankan bahawa siasatan masih diteruskan,” kata Proton dalam kenyataan itu.

    “Di Proton, kualiti dan keselamatan produk adalah keutamaan kami dan oleh itu, kami ingin memberi keyakinan kepada pengguna semua model Proton bahawa kenderaan mereka dihasilkan untuk memenuhi piawaian tertinggi. Setiap unit akan menjalani pemeriksaan kualiti dan keselamatan yang ketat sebelum dihantar kepada pelanggan kami yang dihargai,” tambah Proton lagi.

     
     
  • Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

    Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

    Toyota Hilux GR Sport 2023 diperkenalkan untuk pasaran tempatan pada Februari lalu, dan menjadi varian Hilux paling mahal yang ditawarkan di sini. Ia menggunakan asas daripada model CKD Hilux Double Cab 2.8 Rogue 4X4.

    Trak pikap Hilux GR Sport 2023 ini menampilkan banyak perbezaan berbanding varian Rogue tersebut: misalnya gril baharu yang nampak sama seperti Hilux GR Sport pasaran Thailand. Semua overfender menerima kemasan warna badan, manakala perumah lampu kabus hadapan, cermin sisi dan juga sports bar pada bed belakang disudahkan dengan warna hitam berkilat.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

    Bagi melengkapkan rupa Hilux GR Sport ini, ia menerima rim aloi 18-inci dengan rekaan eksklusif serta diberikan kemasan hitam berkilat, dibalut dengan tayar Highway Terrain (HT) bersaiz 265/60R18. Angkup brek model ini dalam warna merah dan turut menampilkan logo GR.

    Perincian lain yang dibawa dari Hilux Rouge ke GR Sport termasuklah lampu projektor bi-LED automatik bersama lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, serta lampu isyarat membelok pada cermin sisi kawalan elektrik.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

    Untuk enjin, sama seperti Rogue, Hilux GR Sport ini dijana oleh enjin 1G-FTV 2.8L empat silinder turbodiesel yang menghasilkan kuasa 204 PS pada 3,400 rpm dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 rpm hingga 2,800 rpm. Tiada talaan kuasa sehingga 224 PS/550 Nm seperti yang diterima pada Hilux GR Sport pasaran Afrika Selatan dan Australia diberikan.

    Kuasa juga masih dihantar melalui kotak gear enam-kelajuan automatik dengan fungsi manual sequential, serta sistem 4WD yang boleh diaktif dan dinyahaktifkan ketika bergerak dengan menggunakan suis putar. Manakala gandar belakang dilengkapkan dengan LSD automatik, dan sistem pacuan ini turut berintegrasi dengan sistem Active Traction Control dan Diff Lock bagi memberikan kebolehan meredah laluan off-road yang lebih baik.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

    Hilux GR Sport 2023 untuk pasaran Malaysia bagaimanapun masih diberikan talaan suspensi yang lebih sporty menerusi pemadanan penyerap hentak tiub tunggal dan pegas gegelung yang berbeza dari Hilux Rouge.

    Untuk bahagian kabin, Hilux paling sporty ini menampilkan gaya lazim sebuah model GR dan GR Sport iaitu tema berwarna hitam bersama serlahan-serlahan panel dan jahitan benang merah. Ia hadir dengan tempat duduk yang berbeza dari Rouge, menampilkan struktur bagi memberikan rasa lebih sporty, balutan kombinasi kulit dan suede serta sulaman logo GR pada perehat kepala.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

    Pemandu menerima butang penghidup enjin GR, roda stereng GR dan buat pertama kali Hilux pasaran Malaysia diberikan pedal penukar gear, set pedal kaki aluminium serta paparan instrumen dengan meter Optitron bersama skrin pelbagai info TFT berwarna 4.2-inci yang memberikan animasi selamat datang GR.

    Aspek keselamatan Hilux GR Sport pula ada tujuh-beg udara, sistem kestabilan elektronik (VSC), cagak tempat duduk keselamatan kanak-kanak Isofix serta pemantau titik buta bersama amaran lintasan trafik belakang.

    Toyota Hilux GR Sport 2023 di Malaysia — RM169k

    Sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) dari Rouge juga terus ditawarkan untuk Hilux GR Sport ini, memberikan fungsi yang terdiri dari Pre-Collision System (PCS), Dynamic Radar Cruise Control (DRCC) dan Lane Departure Alert (LDA) dengan Yaw Assist.

    Mei lalu, harga Toyota Hilux 2023 dinaikkan sedikit berbanding ketika pengenalan rasminya, menjadikan versi GR Sport ini dijual dengan harga RM169,080, melibatkan peningkatan sebanyak RM6,900.

     
     
  • Nissan Ariya dilihat di KL — akan dilancarkan di sini?

    Nissan Ariya dilihat di KL — akan dilancarkan di sini?

    Januari lalu, Nissan Ariya pernah dilihat di Petaling Jaya, dan daripada plat pendaftaran yang digunakan itu, ia nampaknya dibawa masuk menerusi saluran rasmi. Unit yang sama, dengan warna luar Akatsuki Copper tersebut juga kelihatan sama dengan sebuah lagi unit di atas pengangkut Ogos tahun lalu.

    Penampilan model EV terbabit dalam video iklan CNY 2022 oleh pengedar Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor juga mencadangkan yang ia akan memasuki pasaran tempatan. Malangnya, tiada berita lain yang kedengaran selepas itu — selepas kelibatnya dilihat Januari lalu, Ariya terus menyepi.

    Sehinggalah kini, apabila seorang pembaca, Wemms Chin mengesan Ariya yang diletakkan di The Waterfront di Desa ParkCity hari ini, dalam warna putih pula seperti yang dilihat dalam gambar. Memandangkan belum ada kepastian bila EV ini akan diperkenalkan secara rasmi (atau adakah ia akan tiba nanti?), unit yang dilihat ini tentunya dari pengimport persendirian.

    Nissan Ariya dilihat di KL — akan dilancarkan di sini?

    Ketika ini, masih belum disahkan bahawa varian Ariya yang mana akan ditawarkan di sini sekiranya model terbabit akan diperkenalkan di Malaysia. Ariya ditawarkan dalam versi 2WD (motor tunggal, pacuan roda depan) dan dwi-motor AWD, kedua-duanya dengan pilihan bateru lithium-ion yang berbeza — sama ada dengan 66 kWh (63 kWh boleh diguna) atau 91 kWh (87 kWh boleh diguna).

    Dengan bateri 66 kWh, versi 2WD menawarkan jarak perjalanan 450 km (WLTP), dengan janaan output motornya ialah 160 Kw (215 hp) dan 300 Nm. Motor untuk versi AWD pula menyediakan janaan 250 kW (335 hp) dan 560 Nm, tetapi dengan jarak perjalanan yang lebih pendek: 430 km.

    Bagi varian yang dilengkapi dengan bateri 91 kWh pula, versi 2WD dengan janaan sedikit lebih tinggi iaitu 178 kW (239 hp) memberikan jarak 610 km, jarak yang paling tinggi di antara semua varian yang ditawarkan. Dengan janaan 290 kW (389 hp) dan 600 Nm versi AWD pula hadir dengan janaan paling tinggi, dengan jarak perjalanan 580 km.

    Jadi, rasanya Nissan Ariya ini akan masuk ke pasaran Malaysia atau tidak?

     
     
  • Subaru Forester 2023 turun harga RM10k di M’sia; dari RM164k untuk 2.0i-L, hingga RM186k bagi GT Edition

    Subaru Forester 2023 turun harga RM10k di M’sia; dari RM164k untuk 2.0i-L, hingga RM186k bagi GT Edition

    Harga bagi barisan Subaru Forester facelift 2023 untuk Malaysia telah pun dikemaskini, di mana ia ditawarkan dengan empat varian bagi pasaran tempatan.

    Mulai 16 Ogos lalu, Forester facelift ditawarkan pada harga RM164,288 untuk 2.0i-L EyeSight,
    RM170,288 bagi GT Lite Edition EyeSight, RM174,288 untuk 2.0i-S EyeSight dan RM186,288 untuk GT Edition EyeSight. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans untuk Semenanjung Malaysia, dan kenderaan yang dijual menerusi Subaru Malaysia didatangkan dengan waranti lima-tahun/100,000 km.

    Harga yang dikemaskinikan ini ternyata menunjukkan penurunan sebanyaj RM10,000 berbanding sewaktu ia diumumkan dalam pelancaran kesemua varian SUV generasi kelima ini pada Mei lalu. Walau bagaimana pun, difahamkan, biar pun harganya diturunkan, namun tiada perubahan senarai kelengkapan bagi kesemua varian terbabit.


    Risalah harga untuk Subaru Forester facelift 2023, efektif 16 Ogos – klik untuk besarkan

    Pakej Subaru Connex turut ditawarkan bagi barisan Forester 2023 ini, bernilai RM1,900, yang merangkumi automatic crash response, enhanced breakdown assistance, VIP Assist dan banyak lagi.

    Barisan Forester facelift 2023 ini turut menerima tiga ciri baharu bagi fungsi EyeSight 4.0 yang merangkumi Innovative Stereo Camera, Adaptive Cruise Control dengan Lane Centering Function, dan Lane Departure Warning & Prevention. Manakala Pre-Collision Braking sedia ada telah dipertingkatkan dan ciri yang masih dikekalkan termasuk Lane Sway Warning, Lead Vehicle Start Alert dan Pre-Collision Throttle Management.

    Walau bagaimana pun, hanya varian 2.0i-S EyeSight yang dilengkapi ciri tambahan Autonomous Emergency Steering (AES). Manakala ciri keselamatan lain yang masih dikekalkan untuk kesemua varian termasuklah tujuh beg udara, ABS dengan EBD, Penvektoran Tork Aktif, brek parkir elektronik, dan Berhenti Kecemasan.

    Kesemua varian dijanakan oleh enjin 2.0 liter naturally-aspirated empat-silinder boxer dengan hamburan kuasa 156 PS pada 6,000 rpm dan tork 196 Nm pada 4,000 rpm, dengan Lineartronic CVT bersama mod manual tujuh-kelajuan (dan pedal penukar gear di belakang stereng) dan sistem Subaru symmetrical AWD. Dua model tertinggi 2.0i-S EyeSight dan 2.0i-S GT Edition EyeSight menampilkan Dual Function X-Mode, sementara dua varian bawahnya hanya diberikan X-Mode.

    GALERI: Subaru Forester facelift 2023 dilancar di Malaysia

    GALERI: Subaru Forester facelift 2023, Eyesight GT Edition

     
     
  • Aktor Azhar Sulaiman mahu jual plat nombor MAF14 – bidaan bermula RM1.85j, tarikh tutup 24 Ogos 2023

    Aktor Azhar Sulaiman mahu jual plat nombor MAF14 – bidaan bermula RM1.85j, tarikh tutup 24 Ogos 2023

    Jika anda merupakan peminat aktor tempatan terkenal, Azhar Sulaiman, atau lebih mesra dengan panggilan ‘Behar’ sudah pasti menyedari beliau memiliki nombor plat pendaftaran yang boleh dianggap unik iaitu ‘MAF 14’ (atau MAFIA).

    Nombor plat pendaftaran berkenaan telah lama dimiliki sejak lebih sedekad yang lalu dan sebelum ini dipadankan dengan Nissan Murano rona hitam pekat miliknya.

    Walau bagaimana pun, baru-baru ini, Behar berhajat untuk menjual nombor plat berkenaan dan membuka bidaan dengan harga bermula RM1.85 juta! Perkara ini dihebahkannya menerusi laman media sosial Facebook dan Instagram rasminya sendiri.

    Aktor Azhar Sulaiman mahu jual plat nombor MAF14 – bidaan bermula RM1.85j, tarikh tutup 24 Ogos 2023

    “Harap Maklum Malaysian Mafias…..Bidding for ownership akan ditutup pada 12am 24th August 2023
    Good luck to All Mafia Applicants,” katanya yang juga merupakan seorang arkitek terkenal.

    Tidak berkongsi sebarang alasan utama beliau menjual ‘MAF14’ itu, namun menerusi ruangan komen di FB, beliau ada berseloroh, “Duit boleh digunakan untuk persediaan Behar untuk mati dengan tenang tanpa hutang dan tanggungjawab yang masih tak tertunai.”

    Sehingga semalam, difahamkan sudah ada tiga orang pembida yang berminat untuk mendapatkan ‘MAF14’. Bagi yang berminat dan berkemampuan untuk mendapatkan nombor pendaftaran berkenaan, bolehlah menghubungi nombor telefon yang turut tertera menerusi entri di FB dan IG aktor ini.

     
     
  • Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Selepas membuat kemunculan sulung globalnya di Goodwood Festival of Speed Julai lalu, kini Lotus Emira dalam versi yang dijana oleh enjin 2.0L empat-silinder turbo yang dibekalkan oleh Mercedes-AMG, digelar sebagai Emira i4 diumumkan sudahpun boleh ditempah di Malaysia!

    Menurut Lotus Cars Malaysia, Emira i4 akan dibawa dalam versi First Edition 2023 terlebih dahulu, dan ia akan dijual pada harga atas jalan termasuk cukai tetapi tanpa insuran RM998,800. Bagi model selepas itu iaitu model unit yang bukan tahun 2023, Emira i4 akan dijual pada harga sebenar RM1,095,000 di Semenanjung Malaysia dan RM509,000 di pulau bebas cukai Langkawi.

    Pelanggan terawal yang menempah Lotus Emira i4 ini dijangka bakal menerima kereta mereka pada November ini, dan semua pembelian adalah dilindungi waranti pengeluar selama tiga-tahun tanpa had perbatuan.

    Seperti diketahui, Emira merupakan model terakhir yang dijana oleh enjin pembakaran dalaman dari Lotus kerana selepas ini jenama kereta sport British itu hanya akan menghasilkan model-model yang dijana oleh unit rangkaian kuasa elektrik sepenuhnya.

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Emira sudahpun ditawarkan dalam versi enjin Toyota 2GR-FE 3.5 liter V6 yang disuap dengan supercharger Edelbrock 1740 tahun lalu, dan model i4 ini merupakan model pertama dari Lotus yang menerima enjin dibekalkan oleh Mercedes-AMG. Secara spesifiknya, enjin AMG yang digunakan untuk Emira ini adalah unit M139 yang sama digunakan pada model-model ’45’ Mercedes-AMG seperti A45, GLA45 dan CLA45, iaitu enjin produksi empat-silinder paling berkuasa di dunia buat masa sekarang.

    Walau bagaimanapun, unit M139 yang disumbat pada bahagian tengah casis Emira ini ditala bagi menghasilkan 365 PS pada takat 6,600rpm dan tork maksima 430 Nm bermula 3,000 hingga 5,500 rpm, berbanding model-model 45 AMG yang menerima lencana S menghasilkan 421 PS dan tork maksima 500 Nm.

    Tidak seperti versi V6 yang ditawarkan sama ada dengan kotak gear manual enam-kelajuan atau automtik enam-kelajuan, Emira i4 hanya ditawarkan dengan satu pilihan transmisi iaitu kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan 8 DCT dengan mod Launch Control.

    Gandingan ini cukup untuk membolehkan Lotus Emira i4 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 290 km/j. Oleh itu berbanding Emira 3.5 liter V6 berharga RM1.13 juta di Malaysia yang memecut dari pegun hingga 100 km/j dalam masa 4.3 saat, model dengan enjin lebih kecil ini hanya lambat 0.1 saat dalam pecutan yang sama.

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    “Sebagai model terakhir Lotus yang dikuasakan oleh enjin petrol, Emira ialah sebuah model klasik masa depan. Berprestasi tinggi, dinamik luar biasa, suspensi yang ringan dan ditala penuh teliti, sistem stereng inovatif, bahagian luaran yang direka agar aerodinamik dam ruang kabin yang fokus kepada pemandu, semua ini digabungkan untuk memberikan pengalaman memandu sebuah kereta sports sebenar yang boleh diharapkan daripada sebuah Lotus,” kata Pengarah Urusan Lotus Cars Malaysia, Jack Zaal.

    Berbanding generasi Elise dan Exige sebelum ini yang tampil ‘kosong’ dan hardcore kerana mementingkan aspek ringan untuk kelajuan, Emira adalah visi generasi baharu Lotus yang turut menawarkan ciri-ciri mewah dan mudah untuk dipandu setiap hari seperti Porsche Cayman.

    Kereta sport generasi baharu ini diasaskan dari platform Lotus Sports Car Architecture (atau digelar sebagai Elemental oleh pihak dalaman Lotus), yang dihasilkan dengan struktur aluminium terekstrud seperti diperkenalkan pertama kali pada Elise. Menurut Lotus, dengan enjin lebih kecil, model dengan enjin empat-silinder sebaris ini adalah 12 kg lebih ringan berbanding Emira yang dijana oleh V6.

    Kedua-dua versi ini menerima konfigurasi suspensi yang sama iaitu jenis double wishbone tempaan aluminium di hadapan dan belakang. Namun untuk subframe baharu bagi menempatkan enjin M139 ini, rekaan suspensi belakang untuk Emira i4 direka berbeza berbanding versi V6.

    Ia menggunakan penyerap hentak bertekanan tinggi dari Bilstein dan dipadankan dengan Spring Eibach, telah ditala dengan teliti bersama empat tetapan berbeza untuk pilihan chasis Tour dan Sport.

    Versi Tour dioptimumkan untuk kegunaan di atas jalan biasa dengan spring dan penyerap hentak lebih lembut. Manakala casis Sport pula fokus kepada kegunaan di litar dengan sudut camber dan sudut toe ditingkatkan untuk memaksimumkan cengkaman. Ketegaran bar anti-oleng turut dihasilkan khas untuk Emira ini bersama komponen pada gandar hadapan yang kini lebih ringan.

    Untuk sistem stereng, Emira menerima sistem bantuan kuasa elektro-hidraulik yang didakwa “menawarkan rasa pemanduan sebenar yang sememangnya menjadi asas kepada DNA kereta Lotus”.

    Emira i4 hadir dengan pilihan set roda yang dibangunkan khas untuk maklum balas stereng dan cengkaman, menampilkan rim aloi forged 20-inci ultra ringan dengan kemasan potongan berlian berwarna perak atau hitam berkilat, bersama tayar bersaiz 245/35/R20 di hadapan dan 295/30/R20 belakang.

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Pembeli yang memilih casis Tour menerima tayar Goodyear Eagle F1 Supersport. Manakala untuk casis Sport, ia datang standard dengan tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang lebih hardcore untuk pemanduan litar, namun pembeli untuk model ini turut ditawarkan dengan opsyen untuk menggunakan tayar Goodyear Eagle F1 Supersport.

    Menurut Lotus, kedua-dua jenis tayar berkenaan mempunyai tulisan ‘LTS’ pada dinding tepi, menunjukkan ia adalah tayar khas yang dihasilkan bagi memenuhi spesifikasi Lotus.

    Emira i4 turut menerima sistem brek yang lebih sesuai dengan jumlah penghasilan kuasa dari enjin yang sudah tentu tidak sama seperti model V6. Model ini diberikan cakera berkembar ringan, berliang dan dipadankan bersama angkup empat omboh untuk bahagian hadapan hadapan. Pembeli boleh memilih angkup tersebut dalam empat warna berbeza tanpa kos tambahan.

    Bagi perincian dalaman, Emira i4 menerima paparan instrumen digital dengan skrin TFT 12.3-inci, skrin infotainmen bersaiz 10.25 inci yang menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay tanpa wayar, sistem bunyi 560W 10 saluran yang aspek akustiknya telah dioptimumkan, bersama enam unit pembesar suara dibangunkan dengan KEF dan teknologi Uni-QTM, serta tempat duduk yang boleh dilaras secara elektrik 12 hala dengan ciri pemanas.

    Lotus Emira i4 First Edition sudah boleh ditempah di M’sia – enjin Mercedes-AMG 2.0L Turbo, RM998,800!

    Untuk upholsteri, Emira i4 ditawarkan dengan kulit Nappa yang hadir dalam pilihan warna hitam, merah, kelabu, tan atau Alcantara hitam, bersama pilihan jahitan kontras benang berwarna kuning, merah atau kelabu. Pelanggan juga boleh memilih kulit Nappa yang sama pada stereng dengan jahitan jalur tanda pukul 12 dalam warna kuning, merah atau kelabu.

    Kabin kereta sport ini juga menampilkan material Alcantara hitam pada bumbung, bersama perapi-perapi dalam kemasan satin krom, lampu suasana dalaman berwarna putih dan juga plat kaki jenama Lotus. Jika anda mahu memulakan perjalanan jauh dengan dengan kereta berenjin tengah ini, perlu diingat kapasiti storan yang diberikan adalah ruang 208 liter di belakang tempat duduk dan juga tambahan 151 liter di ruang kargo belakang.

    Secara asasnya, Emira i4 ditawarkan dengan 13 warna badan iaitu Hethel Yellow, Magma Red, Vivid Red, Dark Verdant, Seneca Blue, Atlantis Blue, Meridian Blue, Osmium Silver, Nimbus Grey, Shadow Grey, Zinc Grey, Mist White dan Cosmos Black.

    Selain itu Emira i4 First Edition ini turut hadir dengan empat pek pilihan sebagai ciri standard. Salah satu daripadanya ialah Lower Black Pack yang merangkumi kemasan hitam berkilat pada bumbung, bingkai bumbung, perumah cermin sisi dan emblem Lotus pada bahagian belakang. Kemasan pada ekzos pula berwarna hitam satin.

    Ia juga datang dengan Design Pack melibatkan penambahan satu kaca privasi, pedal sports, kemasan bumbung Alcantara dan karpet lantai Emira. Untuk Convenience Pack yang dijuga ditambah secara standard datang dengan penderia parkir hadapan, kamera undur, penderia pada pengelap cermin utama bersama bilah aero, cermin malap secara automatik dan jaring pada ruang penyimpanan belakang.

    Akhir sekali ialah Lotus Drivers Pack yang memberi pilihan suspensi Tour atau Sports kepada pelanggan. Tidak kira pilihan mana yang diambil, ia dilengkapi ciri Track Mode ESP dengan mode Track baharu dipaparkan pada skrin instrumen TFT yang mengutamakan maklumat diperlukan untuk pemanduan berprestasi tinggi.

    Bagi yang berminat untuk melihat Emira i4 ini dengan lebih dekat, Lotus Cars Malaysia menjemput anda untuk datang ke ke Lotus Store di Level 3, Pavilion Kuala Lumpur. Walau bagaimanapun unit yang dipamerkan tersebut adalah dari versi V6, tetapi mempunyai penampilan luaran dan dalaman sama seperti model Emira i4.

    Fasiliti berkenaan dibuka bermula 10 pagi hingga 10 malam setiap hari dan akan ada pakar Lotus yang sentiasa bersiap sedia dengan konfigurator bagi membolehkan pelanggan menetapkan spesifikasi Lotus Emira i4 mereka sendiri.

    GALERI: Lotus Emira di Lotus Store Pavillion KL

     
     
  • GALERI: Yamaha Y15ZR SE dengan kit aerodinamik – harga RM9,498, penampilan istimewa biru dan emas

    GALERI: Yamaha Y15ZR SE dengan kit aerodinamik – harga RM9,498, penampilan istimewa biru dan emas

    Minggu lepas, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) telah memperkenalkan Y15ZR Special Edition (SE) untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM9,498 tidak termasuk insurans. Setelah melihat gambar studio yang diberi, sekarang kami bawakan pula gambar motosikal sebenar yang berada di GenBlu Lifestyle Station, Sungai Buloh.

    Sementara gambar rasmi yang diberi menampakkan warna biru serta emas yang lebih terang, model sebenar di depan mata pula nampak lebih gelap dan sedap dipandang. Model ini, jika mengikut harga cadangan yang dikeluarkan, adalah RM500 lebih mahal berbanding Y15ZR biasa yang harganya diletakkan pada RM8,998.

    Keistimewaan utama Y15ZR SE seperti yang boleh dilihat adalah pada penampilannya, menggunakan panel badan berwarna biru gelap berserta jalur hitam, merah dan emas. Rim pula menggunakan warna emas. Kemudiannya, pemilik juga akan menerima kit aero lima keping, yang dipasang pada bahagian panel tepi, belakang serta penghadang angin hadapan.

    Selain daripada itu, ciri Y15ZR ini masih sama seperti versi standard, bermula dengan enjin iaitu unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain Y15ZR V2 adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

     
     
  • Aplikasi MYJalan kini boleh digunakan – memudahkan orang awam membuat aduan kerosakan jalan raya

    Aplikasi MYJalan kini boleh digunakan – memudahkan orang awam membuat aduan kerosakan jalan raya

    Cukup sebal bila terpaksa melalui jalan yang berlubang ni, ada yang dah serupa macam kena bom, tapi tak juga diperbaiki dan diturap. Malah ada juga penunggang motosikal yang terjatuh gara-gara terlanggar lubang di atas jalan raya. Nak mengadu kat ketua kampung, pengerusi JKKK Taman, tok penghulu, YB ADUN, atau Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke? Seberapa pantas aduan tersebut akan diteliti dan seterusnya masalah ini diatasi?

    Apa kata aduan berkenaan terus diadukan kepada Kementerian Kerja Raya (KKR) yang kini telah memperkenalkan aplikasi MYJalan yang merupakan platform aduan setempat bagi memudahkan aduan dibuat.

    Menurut Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, aplikasi itu boleh digunakan sejak minggu lalu untuk menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya dan kemudahan lain termasuk lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih, laporan Bernama.

    Aplikasi MYJalan kini boleh digunakan – memudahkan orang awam membuat aduan kerosakan jalan raya

    Alexander berkata, aplikasi berkenaan akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khamis ini, serentak dengan pelancaran Kempen MYJalan, yang bakal berlangsung di Jeti Tasik Awam, Tasik Banding, Perak.

    MYJalan menerima semua jenis aduan jalan raya yang diselenggara KKR selaras prinsip ‘No Wrong Door Policy’ atau dasar menyalurkan maklumat supaya kerosakan jalan raya, lampu jalan dan lampu isyarat dapat dibaik pulih.

    Memetik rencana khas yang ditulis sendiri oleh Alexander mengenai infrastruktur jalan raya yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 20 Ogos lalu, “Kempen MYJalan dipilih sebagai inisiatif kerajaan dilaksanakan Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memupuk rasa cinta kepada infrastruktur jalan raya yang lama menjadi nadi penggerak rakyat dan ekonomi.

    Aplikasi MYJalan dan advokasi penyenggaraan serta keselamatan jalan raya adalah pengisian utama Kempen MYJalan sebagai langkah memperkenal dan memberi kesedaran kepada rakyat untuk lebih prihatin terhadap aspek penjagaan jalan raya seluruh negara.

    Advokasi ingin dibawa KKR seharusnya membangkitkan kesedaran awam mengenai jenis jalan raya, perbezaan jalan raya, tatacara kerja penyenggaraan dan menggalakkan rakyat melaporkan aduan kerosakan jalan serta perabot jalan melalui saluran aduan betul.

    Ini secara tidak langsung menyumbang kepada perasaan sense of belonging atau sifat kepunyaan di setiap jiwa rakyat. Apabila kesedaran awam ini diperluas menerusi hebahan media sosial dan aktiviti libat urus di beberapa kawasan dan organisasi sudah dikenal pasti, pengguna jalan raya akan lebih mengenali, bertanggungjawab dan menyayangi infrastruktur jalan raya.

    KKR juga menyediakan satu sistem aduan bagi menggalakkan rakyat Malaysia menggunakan sistem itu sebagai antara saluran aduan bagi memastikan kerosakan jalan raya atau perabot jalan dibaik pulih. Pembangunan aplikasi MYJalan bakal menjadi platform aduan setempat bagi memudahkan pengguna membuat aduan walaupun jalan itu bukan diselenggara KKR selaras dengan prinsip No Wrong Door Policy.

    Satu lagi aspek penting Kempen MYJalan ini ialah penumpuan terhadap penambahbaikan sistem pemantauan penyenggaraan jalan ke atas semua syarikat konsesi diberi amanah dan tanggungjawab kontrak menyenggara. Setiap ringgit diperuntukkan kerajaan harus dijelmakan dengan hasil mematuhi spesifikasi dan kualiti penyenggaraan demi keselamatan serta an keselesaan pengguna.”

     
     
  • Polis keluarkan 8,718 saman di seluruh negara pada hari pertama pelaksanaan Op Saman Tembak Laju

    Polis keluarkan 8,718 saman di seluruh negara pada hari pertama pelaksanaan Op Saman Tembak Laju

    Bagi hari pertama pelaksanaan Operasi Saman Tembak Laju di seluruh negara oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT), sebanyak 8,718 saman telah dikeluarkan, laporan Bernama.

    Menurut Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nasri Omar, pemandu kereta mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 8,352 saman manakala penunggang motosikal sebanyak 44 saman. Manakala
    kenderaan perdagangan dan perkhidmatan pula merekodkan sebanyak 322 saman.

    “Notis pemberitahuan saman K170A bagi kesalahan memandu melebihi had laju akan disampaikan kepada pemilik kenderaan mengikut alamat lesen memandu secara pos surat berdaftar. Semua kesalahan memandu melebihi had laju boleh dikompaun dan boleh dijelaskan di mana mana bahagian trafik daerah di seluruh negara,” katanya.

    Tambah beliau, operasi saman tembak laju atau ‘saman ekor’ dijalankan bagi memberi peringatan kepada semua pengguna jalan raya agar mematuhi peraturan yang ditetapkan di dalam negara.

    Dalam operasi berkenaan, JSPT menggunakan kamera tembak laju bagi merakam mana-mana pengguna jalan raya yang melanggar had laju yang ditetapkan dengan saman dan notis saman K170A akan diposkan kemudian.

    Mohd Nasri turut berkata, kesalahan memandu melebihi had laju adalah antara punca utama kemalangan jalan raya di negara ini.