Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

    TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

    Assalamualaikum dan salam sejahtera semua, pagi ini kami bersiaran terus dari Makuhari Messe, hari pertama Tokyo Auto Salon 2020 berlangsung, dan berita pembukaan untuk anda adalah ini – cicit kepada jentera rali jalanraya dihasilkan dari Kejohanan Rali Dunia (WRC) Toyota Celica GT-4 iaitu Toyota GR Yaris telah membuat kemunculan global pertamanya hari ini!

    Kenapa Celica? Bukan Yaris ini generasi baharu untuk Starlet ke? Tuan-tuan dan puan-puan, kewujudan GR Yaris ini bukan semata-mata Toyota mahu menjual sebuah hot-hatch, ia sebenarnya dihasilkan dari permintaan prinsipal pasukan rali dunia Toyota Gazoo Racing dan juga juara WRC empat kali, Tommi Makinnen bagi mendapatkan sebuah model asas homologasi yang jauh lebih kuat dari pengeluar lain, untuk memastikan sebuah jentera WRC sebenar yang jauh lebih hebat untuk musim 2021 nanti.

    GR Yaris ini juga menerima sistem pacuan semua roda sepenuh masa yang digelar sebagai ‘GR-Four’ sempena nama ‘GT-Four’ pada Celica, malah hari ini Toyota turut membawa Celica GT-Four sebenar dari generasi ST165 – model versi produksi dan versi WRC 1988 Group A dengan livery merah-putih Marlboro – dipamerkan bersama GR Yaris ini.

    Untuk pasaran Jepun, hari ini Yaris diperkenalkan dalam edisi khas 1st Edition dijual dalam dua varian di sini iaitu versi asas RZ dan model penuh High Performance. Ia dijual pada harga bermula 3.96 juta yen (RM148k) hingga 4.56 juta yen (RM170k)

    TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

    Yaris yang jauh lebih liar ini masih dihasilkan dari platform TNGA-B yang sama seperti Yaris generasi baharu (tidak sama dengan Yaris ‘Vios Hatchback’ pada pasaran kita) yang baharu sahaja diperkenalkan tahun lepas. Malah jarak rodanya juga masih lagi sama, tetapi apa yang berbeza adalah ia hadir dalam bentuk badan tiga-pintu berbanding lima-pintu pada versi standard.

    Bukan sahaja pintunya yang kurang, Tommi Makinnen juga mahukan bumbung GR Yaris ini dihasilkan lebih landai di belakang, 91 mm lebih rendah dari Yaris biasa. Ini bakal membolehkan jentera WRC baharu Toyota untuk musim 2021 nanti menerima kelengkapan aerodinamik yang lebih ekstrem – berita buruk untuk pengeluar lain seperti Hyundai i20, kerana kerangka asas mereka adalah dari sebuah hatchback segmen-B biasa, sementera Yaris pula berasal dari sebuah model hot-hatch sebenar dengan bentuk badan dan asas aerodinamik yang jauh lebih baik, dihasilkan secara bespoke.

    Menurut Toyota lagi, walaupun kerangka kosong GR Yaris ini lebih teguh, ia sebenarnya 38 kg lebih ringan dari Yaris standard kerana pelbagai panel logam telah diganti dengan material lebih ringan seperti bumbung yang diperbuat dari plastik diperkuat gentian-karbon (CFRP) dan juga penutup bonet hadapan dan belakang aluminium. Ini membolehkan kereta ini mencapai berat hanya 1,280 kg walaupun dengan sistem 4WD!

    TAS2020: Toyota GR Yaris – jelmaan semula roh Celica GT-4; 1.6L turbo 272 PS/370 Nm, sistem AWD GR-Four!

    Walaupun FIA tidak mensyaratkan enjin sistem transmisi dan penghantaran produksi perlu digunakan untuk jentera WRC sebenar seperti pada era Group A, Toyota tidak memandang mudah perkara ini. Yaris GR-4 dibekalkan dengan enjin G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter turbo, menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm, yang bukan sahaja akan ‘menyusahkan’ hot-hatch segmen-C lebih besar seperti Renault Megane RS, malah ia juga adalah enjin 1.6 liter produksi paling berkuasa dan paling ringan pernah dihasilkan di dunia!

    Toyota turut memposisikan enjin berkenaan 21 mm lebih kebelakang berbanding Yaris standard bagi mendapatkan nisbah berat depan-belakang yang lebih baik dan seimbang. Enjin tersebut digandingkan dengan hanya pilihan kotak gear enam-kelajuan manual. Nak auto? Anda bukan pemilik yang GR Yaris cari.

    Dengan kuasa, sistem transmisi dan juga sistem GR-Four berkenaan, GR Yaris mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa kurang dari 5.5 saat, sebelum mencapai kelajuan maksima 230 km/j yang dihadkan secara elektronik.

    Tidak seperti model-model rali jalan raya sebelum ini seperti Mitsubishi Lancer Evo dan Subaru Impreza WRX STi yang diberikan tiga LSD termasuk pada bahagian tengah, GR Yaris hanya dibekalkan dengan dua LSD; pada gandar hadapan dan belakang bagi mengagihkan tork pada roda kanan dan kiri. Untuk versi High Performance, LSD biasa berkenaan digantikan dengan unit LSD jenis Torsen.

    Model High Performance ini juga hadir dengan rim BBS 18-inci yang lebih ringan bersama tayar Michelin Pilot Sport 4S bersaiz 225/40ZR18. Model RZ pula diberikan roda dengan saiz sama, tetapi rim dari Enkei bersama tayar Dunlop SP Sport Maxx.

    Walaupun tidak mempunyai LSD tengah, GR Yaris dibekalkan dengan sistem Torque Vectoring, membolehkan agihan tork antara tayar hadapan dan belakang dapat diberikan menerusi tiga mod pemanduan berbeza; Normal dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; Sport 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; Track 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Untuk suspensi pula, bahagian hadapan masih lagi menggunakan konfigurasi sistem topang McPherson. Namun di belakang, sistem torsion beam pada Yaris standard telah dibuang, bagi digantikan dengan sistem double wishbone yang bukan sahaja lebih jitu, malah untuk menempatkan gandar bagi sistem pacuan semua roda.

    Dari segi rupa, GR Yaris ini masih menggunakan lampu hadapan yang hampir sama dengan Yaris normal. Tetapi ia diberikan bampar lebih garang dengan rekaan signatur Gazoo Racing, menampilkan apron lebih agresif dan juga liang udara sisi yang lebih besar dan bersegi.

    Lampu belakang juga masih kelihatan sama, tetapi disebabkan sistem suspensi yang lebih kompleks bersama gandar belakang sistem AWD serta set roda yang lebih besar, trek belakang kereta ini menjadi lebih jauh, secara tidak langsung ia menerima punggung yang labih lebar. Bampar juga diberikan diffuser agresif, yang turut menempatkan sepasang tip ekzos bulat.

    Dengan kelengkapan yang diberikan, GR Yaris ini bukan sahaja boleh dijelmakan jentera WRC atau R5, malah ia juga berpotensi dihasilkan sebagai sebuah jentera rali seakan Group N untuk kejohanan-kejohanan rali peringkat nasional dengan kos lebih murah – pasangkan rollcage dan tukar suspensi, ia terus boleh berlumba dalam SS rali – dan ia telah dibuktikan dengan sebuah GR Yaris yang telah dihasilkan dalam bentuk sedemikian ketika pendedahan ini.

    Tidak seperti Toyota Yaris GRMN sebelum ini yang dihasilkan dalam jumlah yang sangat terhad, hanya untuk pasaran Eropah dan Jepun (Vitz GRMN), GR Yaris ini tidak akan dihadkan pengeluarannya untuk pasaran seluruh dunia.

    Ini bermakna ada harapan untuk GR Yaris ini dibawa masuk secara rasmi oleh UMW Toyota (UMWT). Sebelum ini, UMWT telah melantik lima pengedar di Malaysia sebagai pengendali GR-Garage yang berperanan untuk menjual segala produk di bawah jenama Gazoo Racing (GR), termasuk barisan kereta berprestasi Toyota GR, dengan produk pertama mereka Toyota GR Supra yang dilancarkan tahun lalu. Takkan GR-Garage ni nak jual Supra je kan?

     
     
  • BMW 320i Sport G20 kini di Malaysia – harga RM244k

    BMW 320i Sport G20 kini di Malaysia – harga RM244k

    BMW Malaysia kini memperkenalkan model 320i Sport G20 pemasangan tempatan pada harga RM243,800. Termasuk di dalam harga berkenaan ialah jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dengan servis berjadual percuma, jaminan 24-bulan untuk run flat tyre, BMW Roadside Assistance, BMW White Card, dan BMW Service Online.

    Ia menggunakan enjin B48 2.0 liter empat-silinder petrol BMW TwinPower Turbo yang menghasilkan 184 hp pada 5,000 hingga 6,500 rpm dan 300 Nm dari 1,350 hingga 4,000 rpm. Ini dilengkapi dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF, dengan kepantasan 0-100 km/j dalam 7.1 saat. Laju maksimum ialah 235 km/j, dengan gabungan kadar penggunaan bahan api 6.3 liter bagi setiap 100 km.

    Sebagai perbandingan, enjin sama yang digunakan pada 330i M Sport menghasilkan 258 hp pada 5,000 rpm dan 400 Nm pada 1,550 rpm. Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 5.8 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Gabungan kadar penggunaan petrol pula ialah 6.4 liter bagi setiap 100 km. Harga 330i M Sport pula RM45k lebih tinggi.

    BMW 320i Sport G20 kini di Malaysia – harga RM244k

    320i Sport ini menerima ciri lampu utama LED adaptif yang sama seperti 330i, tetapi bahagian bawah bampar depan dan belakang kurang garang dan lebih ringkas. Rim pula menggunakan saiz 18-inci Style 780 dengan profil tayar 225/45 (run flat). Pilihan warna pula terdiri daripada Mediterranean Blue, Black Sapphire, Alpine White, Mineral Grey dan Sunset Orange.

    Dalam kabin pula menggunakan kemasan kulit Vernasca sebagai standard, dengan perincian aluminium “mesh effect”. Stereng juga baru, tiga jejari balutan kulit dengan paddle shifter serta perubahan paling ketara ialah tiada lagi panel instrumen digital 12.3-inci bagi pakej BMW Live Cockpit Professional. Sebaliknya 320i Sport menerima BMW Live Cockpit Plus, dengan paparan 5.7-inci. Paparan skrin sentuh di tengah juga lebih kecil; menjadi 8.8-inci daripada 10.25-inci pada BMW Live Cockpit Professional.

    Bagaimanapun, Operating System 7.0 BMW tidak ditawarkan. Head unit yang lebih kecil itu hanya menggunakan Operating System 6.0 dan disambung kepada sistem audio 100 watt dengan enam-pembesar suara. Pengecas Qi ada disediakan, dengan sistem pendingin hawa tiga-zon, 11 talaan lampu suasana serta bukaan but tanpa sentuh.

    BMW 320i Sport G20 kini di Malaysia – harga RM244k

    Ciri keselamatan, antaranya terdapat enam beg-udara dan Isofix pada tempat duduk belakang. Ia juga turut hadir dengan ciri lain seperti Attentiveness Assistant, kawalan melayar pasif dengan fungsi brek, bantuan parkir serta kamera undur. Kereta ini juga lengkap dengan servis BMW ConnectedDrive; terdiri di dalamnya Intelligent Emergency Call, Teleservices, BMW Digital Key, lampu aluan.

    BMW 320i Sport dijual pada harga RM243,800 dan boleh dibeli menggunakan Balloon Financing Plan yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pada kadar RM2,788 sebulan (berdasarkan 80% daripada jumlah pinjaman bagi tempoh lima-tahun).

     
     
  • Volvo bakal buka pusat 3S terbaru di Ara Damansara – empat tingkat, 14 ruang servis serta studio realiti maya

    Volvo bakal buka pusat 3S terbaru di Ara Damansara – empat tingkat, 14 ruang servis serta studio realiti maya

    Volvo Car Malaysia, dengan kerjasama pengedar-rakan kongsi yang baru dilantik, Sime Darby Swedish Auto telah mendedahkan pusat 3S baru untuk jenama itu yang bertempat di Sime Darby Motors City, Ara Damansara. Premis empat-tingkat itu dibina mengikut piawaian Volvo Retail Experience, dan turut menampilkan studio realiti maya (VR).

    Direka untuk memberikan pengalaman mewah kontemporari, bilik pameran kenderaan terletak pada tingkat bawah premis berkenaan, sementara pusat servis dan kecantikan kenderaan pula menempati ruang ditingkat kedua dan ketiga. Ruang untuk jajaran dan imbangan tayar pula terletak ditingkat empat.

    Bila dibuka nanti, kemudahan ini akan menjadi yang pertama tampil dengan penghawa dingin sepenuhnya, dikendalikan oleh 18 juruteknik bertauliah. Terdapat 14 ruang servis, dua di antaranya khusus untuk ruangan RATC (Reception At The Counter). Juga, semua tempat letak kereta pelanggan akan disediakan dengan pengecas individual.

    Volvo bakal buka pusat 3S terbaru di Ara Damansara – empat tingkat, 14 ruang servis serta studio realiti maya

    Volvo Ara Damasara terletak di Blok 6, Sime Darby Motors City, 6 Jalan PJU 1A/7, 47301 Petaling Jaya, Selangor. Bilik pamerannya dibuka dari 8.30 pagi hingga 6 petang setiap hari, dan pada Sabtu waktu operasinya ialah dari 9 pagi hingga 6 petang. Manakala pada Ahad dan cuti umum, ia mula dibuka pada 10 pagi hingga 6 petang.

    Waktu operasi pusat servis pula adalah dari 8.30 pagi hingga 5.30 pm setiap hari berkerja, manakala pada Sabtu dari 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, hubungi talian 03-76233200. Pusat 3S terbaru ini akan dilancarkan secara rasmi pada 20 Februari 2020.

     
     
  • Subaru XV bakal terima head unit Panasonic, kamera 360-darjah – facelift dengan EyeSight penghujung 2020

    Subaru XV bakal terima <em>head unit</em> Panasonic, kamera 360-darjah – <em>facelift</em> dengan EyeSight penghujung 2020

    Sedikit berita dari wakil kami yang mengikuti rombongan media Subaru yang ketika ini berada di Singapura. Ketika sesi bersama Pengarah Urusan Tan Chong International (TCIL), Glenn Tan, ada didedahkan bahawa model Subaru XV untuk pasaran Malaysia akan menerima kemaskini bagi tahun 2020 ini.

    Antaranya, model crossover berkenaan bakal dilengkapi dengan head unit baru bersaiz lapan-inci yang dibangunkan oleh Panasonic. Walaupun saiznya tidaklah berbeza dengan unit sedia ada, namun peningkatan terbaru itu nanti akan turut merangkumi penawaran ciri Android Auto dan Apple CarPlay.

    Ini bagaimanapun bakal menyaksikan ciri tunjuk arah seperti yang ada pada unit semasa terpaksa digugurkan, namum menurut Subaru ia suatu langkah yang wajar, mengambil kira jumlah pengguna bagi kemaskini dua aplikasi yang akan ditambah itu.

    Selain itu, sistem baru itu nanti akan turut menampilkan ciri kamera peninjau 360-darjah yang sebelum ini tidak ditawarkan pada XV. SUV Forester juga dijangka akan menerima peningkatan yang sama bagi head unit dan sistem kamera berkeanan – yang ketika ini ditawarkan sebagai pilihan kepada pengguna secara berasingan.

    Perubahan yang lebih penting akan tiba di penghujung 2020; XV akan diberi facelift terbaru dengan pertambahan ciri keselamatan EyeSight. Ini selari dengan pengumuman sebelum ini bahawa XV akan menjadi model ketiga Subaru di Malaysia yang datang dengan ciri berkenaan, selepas Outback dan Forester. Dan, anda boleh jangkakan ada peningkatan harga pada XV selepas ini, untuk semua kemaskini yang akan diberikan itu.

     
     
  • Subaru Forester GT Edition 2020 dilancar di S’pura

    Subaru Forester GT Edition 2020 dilancar di S’pura

    Motor Image telah melancarkan Subaru Forester GT Edition baharu di Singapore Motor Show 2020, di mana ia merupakan model kedua bagi GT Edition yang dilancarkan selepas XV GT Edition dilancarkan di Malaysia. Memandangkan XV versi berkenaan ada di pasaran negara kita, maka tidak mustahil, Forester GT Edition ini juga akan diperkenalkan di sini.

    Model ini pertama kali dipertontonkan pada November tahun lalu dan ia dihasilkan dengan kerjasama antara syarikat jurutera Giken Co.Ltd., dan bekas Ketua Pereka Subaru Corporation, Masahiko “Jack” Kobayashi, yang bertanggungjawab menghasilkan rekaan luaran untuk lebih 12 model produksi Subaru termasuklah WRX STI.

    Forester GT Edition ini menampilkan beberapa ciri peningkatan estetika bagi memberikan imej yang lebih sporty untuk SUV generasi kelima ini, termasuklah kit aero yang lengkap dengan sambungan bumper lip hadapan dan belakang, skirt sisi dan juga spoiler bumbung.

    Ciri lain yang turut ditambah termasuklah roda aloi 18-inci unik dengan penutup roda “GT”, tempat duduk kulit upholstery rekaan istimewa, sistem infotainmen dengan skrin sesentuh Panasonic lapan-inci (dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay) dan sistem Paparan Pandangan Sekeliling 360-darjah (AVM). Walau pun mengalami sedikit perubahan luaran dan dalaman, ciri mekanikalnya masih dikekalkan.

    Pakej Forester GT EDition ini ditawarkan pada harga SG$2,888 (RM8,751), tetapi boleh ditempah bersama dengan mana-mana varian Forester sedia ada yang dijual di Singapura – 2.0i-L EyeSight, 2.0i-S EyeSight dan 2.0i-S EyeSight Hybrid.

     
     
  • Kemalangan sedekad catat 70,953 kematian, 62% libatkan motosikal – KMSB anjur kempen keselamatan

    Kemalangan sedekad catat 70,953 kematian, 62% libatkan motosikal – KMSB anjur kempen keselamatan

    Kawasaki Motors (M) Sdn Bhd (KMSB) hari ini menganjurkan kempen keselamatan dan pemeriksaan motosikal secara percuma sempena Tahun Baru Cina 2020 dengan kerjasama Persatuan Pengedar Motosikal dan Skuter Malaysia (MMSDA).

    Dengan tema “Utamakan Keselamatan, Elakkan Mengguna Telefon Bimbit Semasa Menunggang”, penganjuran bagi tahun keempat di lokasi sama berkenaan, bertempat di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan, merupakan komitmen berterusan syarikat untuk meningkatkan kesedaran penunggang terhadap keselematan di jalanraya.

    KMSB mengambil langkah ini sebagai satu daripada cara bagi menjalankan tanggungjawab sosial korperat syarikat itu. Ini kerana, jika melihat statistik PDRM bagi tempoh 2009-2019, jumlah kematian dijalanraya negara ini mencatatkan angka yang masih tinggi, iaitu 70,953 kematian.

    Kemalangan sedekad catat 70,953 kematian, 62% libatkan motosikal – KMSB anjur kempen keselamatan

    Daripada jumlah berkenaan, sebanyak 62% atau 44,071 kematian adalah melibatkan penunggang atau pembonceng motosikal. Statistik juga menunjukkan, 80% daripada kemalangan yang berlaku itu adalah berpunca daripada kecuaian atau kesalahan manusia.

    Untuk itu, KMSB mengambil langkah untuk terus menganjurkan kempen kesedaran dengan matlamat untuk mendidik pengguna dan berharap akan dapat menyumbang untuk menurunkan angka kemalangan dan kematian berkenaan. Turut disediakan ialah pemeriksaan percuma 16-perkara bagi motosikal, serta program penukaran helmet lama untuk digantikan dengan yang baru serta agihan jaket warna cerah untuk penunggang.

    Majlis perasmian kempen ini disempuranakan oleh Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamarudin Jaffar dan disertai oleh wakil-wakil agensi lainnya seperti dari MIROS, JPJ dan JKJR.

     
     
  • Kerajaan bekukan kenaikan tol untuk tahun ini – Lim

    Kerajaan bekukan kenaikan tol untuk tahun ini – Lim

    Kerajaan Pakatan Harapan (PH) telah mengumumkan keputusan membekukan kadar kenaikan tol untuk tahun ini, yang membabitkan semua lebuhraya di seluruh negara.

    Menurut Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, keputusan itu diambil sebagaimana yang dilakukan tahun lalu iaitu tiada kenaikan kadar tol dengan objektif untuk mengurangkan beban rakyat.

    “Sungguhpun kerajaan telah membekukan kenaikan kadar tol tahun ini, rakyat perlu ingat bahawa apabila kadar tol dibekukan maka kerajaan perlu bayar ganti rugi (pampasan). Ini bukan satu angka yang kecil, tentu lagi banyak (wang) kerana kadar (tol) meningkat,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Namun katanya, langkah itu perlu dibuat dalam usaha mengurangkan kos sara hidup, sekali gus membantu rakyat.

    “Rakyat kini masih boleh menikmati kadar lama di semua lebuh raya, yang mana tol biasanya mengalami kenaikan pada setiap awal tahun. Usaha itu akan dikekalkan selagi PH kekal memerintah,” tambahnya lagi.

    Beliau turut menzahirkan kekesalan kerana kurangnya liputan berhubung keputusan kerajaan mengekalkan keputusan membekukan kenaikan kadar tol yang memberikan impak besar kepada rakyat berbanding isu lain.

    Pada 2019, kerajaan membekukan kenaikan kadar tol di 21 lebuh raya di seluruh negara bagi semua kelas kenderaan, berdasarkan kepada rasa tanggungjawab kerajaan PH untuk meringankan beban sara hidup yang dipikul rakyat.

     
     
  • Mazda MX-5 GT Sport Tech di UK – aloi BBS, tempat duduk kulit Burgundy Nappa, keselamatan dinaiktaraf

    Mazda MX-5 GT Sport Tech di UK – aloi BBS, tempat duduk kulit <em>Burgundy Nappa</em>, keselamatan dinaiktaraf

    Mazda telah memperkenalkan model MX-5 GT Sport Tech di UK, menampilkan set unik roda aloi BBS 17-inci dan tempat duduk kulit Burgundy Nappa. Turut diperkenalkan tona Polymetal Grey Metallic yang kini ditawarkan untuk semua barisan MX-5. Harganya bermula dari £23,795 (RM128k).

    Selain itu, peningkatan untuk versi 2020 termasuklah sistem keselamatan yang dipertingkatkan. Di mana varian Sport menerima Smart City Brake Support (hadapan dan belakang), Lane Departure Warning System, Traffic Sign Recognition, dan Driver Attention Alert. Manakala model tertinggi seperti Sport Tech dan GT Sport Tech menerima ciri tambahan termasuk Blind Spot Monitoring System dengan Rear Cross Traffic Alert, lampu utama Adaptive LED dan kamera undur.

    Tiada perubahan untuk unit mekanikal, di mana roadster ini masih digandingkan dengan enjin yang telah ditambahbaik 2.0 liter SkyActic-G empat-silinder yang diperkenalkan pada tahun 2018. Penjana kuasa ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 184 PS pada 7,000 rpm (berbanding 160 PS sebelum ini) dan tork 205 Nm (meningkat 5 Nm) pada 4,000 rpm, hasil gandingan omboh dan con-rod yang lebih ringan, camshaft, injap ekzos, penyuntik bahan api, injap pendikit dan corong pengambilan udara yang dipertingkatkan.

    Malah tujahan rpm juga dipertingkatkan sebanyak 700 rpm menjadi 7,500 rpm. Selain itu, enjin ini kini mampu menerima tekanan bahan api yang lebih tinggi, dan hasilnya mampu memberikan pembakaran yang lebih efisien berbanding versi 160 PS. Bukan itu sahaja, ia turut menerima muffler baharu yang boleh menghasilkan lebih banyak engine note. Dan seperti sebelum ini, varian manual bagi MX-5 menerima topang brace untuk hadapan, limited slip differential dan peredam Bilstein.

    Perubahan lain yang dibuat untuk enjin 1.5 liter ini termasuklah menaiktaraf intake ports, omboh, pengepam dan penyuntik bahan api. Hasilnya ia mampu meningkatkan sedikit kuasa dan tork – 132 PS pada 7,000 rpm dan 156 Nm pada 4,000 rpm – menerusi julat rev, dan kedua-dua enjin turut mematuhi ujian kitaran Worldwide Harmonised Light Vehicle Test Procedure (WLTP) dan Real Driving Emissions (RDE) baharu.

     
     
  • VIDEO: Perodua Bezza facelift 2020 – dari RM35k

    Perodua Bezza 2020 sudah pun diperkenalkan secara rasmi semalam. Model sedan pertama keluaran Perodua ini menerima banyak pembaharuan, bukan sekadar kemaskini wajah depan semata-mata. Ia turut melibatkan pertambahan ciri keselamatan (dengan penawaran keseluruhan yang lebih baik) serta aspek keselesaan yang turut diberikan perhatian.

    Semua sekali terdapat empat varian yang ditawarkan, bermula dari yang paling asas, Bezza 1.0G MT yang dijual pada harga RM34,580; Bezza 1.0G AT pada RM36,580; Bezza 1.3X AT pada harga RM43,980 dan Bezza 1.3AV AT pada harga RM49,980 (atas jalan, tidak termasuk insurans).

    Antara peningkatan penting yang diberikan ialah dari sudut keselamatan, dengan varian paling tinggi kini menerima ciri ASA 2.0 yang di dalamnya turut termasuk ciri brek kecemasan automatik (AEB). Sangat menarik untuk melihat ciri maju seperti ini kini ditawarkan bagi sebuah model sedan dalam segmen A.

    Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, tonton video tinjauan awal yang kami sediakan ini. Baca juga laporan pelancaran Bezza 2020, serta perbandingan senarai spesifikasi antara keempat-empat varian yang ditawarkan.

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.3 AV

     
     
  • Isuzu D-Max baharu tidak dilancarkan di M’sia tahun ini

    Isuzu D-Max baharu tidak dilancarkan di M’sia tahun ini

    Isuzu Malaysia telah memaklumkan, pihaknya tidak akan melancarkan pikap D-Max baharu di Malaysia pada tahun ini. Dalam majlis makan malam bersama media sempena Tahun Baharu Cina semalam, Ketua Pegawai Operasi Isuzu Malaysia, Masayuki Suzuki, berkata, model terbaharu itu buat masa ini hanya dijual di Thailand.

    Walau bagaimana pun, Isuzu merancang untuk melancarkan trak baharu ini secara berperingkat mengikut negara. Berita ini dianggap ‘sebagai munasabah’ memandangkan pasaran kita baru sahaja menerima model facelift kedua bagi generasi kedua yang dilancarkan pada September lalu. Jadi terlalu cepat pula kalau nak bawa masuk model generasi ketiga.

    Sebenarnya model facelift kedua dari generasi kedua ini agak terlambat diperkenalkan di Malaysia. Ia dilancarkan hampir dua tahun selepas diperkenalkan di Thailand, memandangkan Isuzu Malaysia perlu reengineer enjin 1.9 liter Ddi turbodiesel untuk disesuaikan dengan bahan api gred-rendah di pasaran kita.

    Untuk makluman, D-Max baharu telah banyak diberi pembaharuan, termasuk dengan imej yang lebih bergaya dan moden, dengan beberapa ciri baharu ditampilkan termasuk skrin sesentuh infotainmen 9-inci dengan ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ia menggunakan binaan Isuzu Dynamic Platform dengan struktur ladder frame yang lebih tegar, begitu juga dengan suspensi yang telah disemak semula dengan penambahbaikan dua wishbones di hadapan, gegelung leaf baharu di belakang, stereng yang lebih mudah dikendalikan dan juga brek yang lebih besar.

    GALERI: Isuzu D-Max 2020 V-Cross 3.0 Ddi 4×4 M AT Double Cab untuk Thailand

     
     
  • Masih ramai penunggang motosikal tetap berdegil enggan guna laluan khas di lebuhraya – laporan

    Masih ramai penunggang motosikal tetap berdegil enggan guna laluan khas di lebuhraya – laporan

    Melihat penunggang motosikal menggunakan laluan utama di lebuhraya sebenarnya agak mengerikan. Apatah lagi ada di antara mereka yang menunggang secara berkumpulan atau berkonvoi, dan berani memecut laju serta memotong kenderaan lain termasuk lori dan bas. Sebagai pemandu kereta, adakalanya kita perlu lebih bertoleransi dan ‘mengalah’ dengan keadaan ini, demi bimbangkan keselamatan bersama dan enggan berhadapan risiko andai terlanggar dan sebagainya.

    Menurut Bernama yang melakukan tinjuan di Lebuhraya Persekutuan mendapati walaupun kebanyakan penunggang motosikal patuh dan memanfaatkan laluan khas disediakan kerajaan dan syarikat konsesi lebuh raya, masih ramai yang sanggup mempertaruhkan nyawa dengan menggunakan jalan utama.

    Malah di lebuhraya lain termasuk Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), dapat dilihat penunggang motosikal lebih selesa menggunakan jalan utama tanpa menghiraukan risiko walau bersaing dengan kenderaan berat.

    Masih ramai penunggang motosikal tetap berdegil enggan guna laluan khas di lebuhraya – laporan

    Bernama turut melaporkan, walaupun pelbagai peringatan diuar-uarkan pasukan keselamatan termasuk tindakan saman supaya penunggang motosikal menggunakan laluan khas kenderaan itu di beberapa lebuh raya di Lembah Klang, namun ia dilihat umpama ‘mencurah air ke daun keladi’.

    Perkara ini turut diajukan kepada Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, Supt Azman Shari’at yang berkata, pelbagai alasan sering diberikan oleh penunggang motosikal setiap kali penguatkuasaan dilakukan di lebuh raya terbabit.

    “Ada penunggang sengaja tidak mahu menggunakan laluan khas motosikal dengan alasan seperti mahu cepat sampai, jalan motosikal melambatkan pergerakan dan permukaan jalan (motosikal) yang rosak.

    Penguatkuasaan memang ada dan mana-mana penunggang motosikal yang ditahan kerana menggunakan jalan utama, mereka akan disaman. Setakat ini, hanya saman saja boleh dikenakan terhadap golongan ‘degil’ itu,” katanya kepada agensi berita nasional terbabit.

    Masih ramai penunggang motosikal tetap berdegil enggan guna laluan khas di lebuhraya – laporan

    Jelasnya lagi, walaupun polis perlu menguatkuasakan undang-undang, namun pihaknya perlu mengambil kira keselamatan anggota apabila terpaksa ‘mencelah’ di antara kenderaan bergerak yang dilihat sangat berbahaya.

    Azman turut menasihatkan pengguna jenis kenderaan itu supaya sentiasa mematuhi undang-undang, berhemah ketika di jalan raya dan sentiasa menggunakan laluan khas memandangkan kemalangan maut membabitkan motosikal lebih tinggi berbanding kenderaan lain.

    “Jika ada cadangan (daripada mana-mana pihak) yang boleh menangani masalah penunggang motosikal (tidak mematuhi peraturan untuk menggunakan laluan khas), kami bersedia untuk menelitinya kerana buat masa ini polis hanya menguatkuasakan undang-undang sedia ada (saman),” katanya.

     
     
  • Perodua Bezza 2020 – beza ciri antara setiap varian

    Perodua Bezza 2020 – beza ciri antara setiap varian

    Perodua Bezza 2020 merupakan model kenderaan pertama yang dilancarkan untuk tahun 2020. Bahkan, rekaan yang lebih diperkemaskan terutamanya untuk gaya luarannya pantas menjadi bualan ramai, rata-ratanya tertarik dengan kesegaran imej yang dibawakan. Nampak lebih bergaya dan ranggi.

    Hadir dengan empat varian iaitu model asas Bezza 1.0 GX MT (RM34,580), Bezza 1.0 GX AT (RM36,580), Bezza 1.3 X AT (RM43,980) dan model tertinggi Bezza 1.3 AV AT (RM49,980), walau bagaimana pun, barisan Bezza 2020 ini telah menggugurkan versi 1.3 MT. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan ia hadir standard dengan waranti lima tahun/150,000 km (yang mana tiba lebih dahulu).

    Kalau dilihat rekaan luarannya, boleh disifatkan jauh berbeza dengan Bezza terdahulu. Wajahnya kelihatan lebih agresif dengan padanan lampu hadapan LED yang direka lebih nipis dan tajam. Malah padanan bamparnya pula lebih besar dengan kemasan perumah lampu kabus (varian 1.0L tidak disertakan lampu kabus) yang direka lebih bersegi dan ‘berotot’.

    Untuk bahagian sisinya, tiada perubahan garis badan, tetapi di bawahnya dipadankan kemasan skirt sisi yang lebih bersegi dengan dua tona – warna badan dan hitam. Melewati bahagian belakang pula, tiada perubahan pada kluster lampu, tetapi kemasan bar yang merentangi penutup but kini ditampilkan dengan tona krom dan hitam. Paling drastik, bampar belakang telah diperkemaskinikan dengan ‘menghilangkan imej ibarat punggung tonggek’ sebelum ini.

    Untuk memudahkan anda mengetahui apa perbezaan setiap varian yang ada ini, sila rujuk pecahan perincian ciri mengikut varian berikut:

    Perodua Bezza 1.0 GX MT – RM34,580
    Perodua Bezza 2020 – beza ciri antara setiap varian

    Kelengkapan standard:

    Mekanikal

    • Enjin 998 cc tiga-silinder naturally aspirated
    • 67 hp pada 6,000 rpm
    • 91 Nm pada 4,400 rpm
    • Transmisi manual lima-kelajuan
    • Cakera brek ventilated (hadapan), drum brake (belakang)
    • Fungsi start-stop automatik

    Luaran

    • Roda aloi 14-inci
    • Lampu utama reflektor LED
    • Lampu belakang kombinasi LED
    • Indikator membelok pada cermin sisi

    Dalaman

    • Larasan manual untuk tempat duduk hadapan
    • Tempat duduk standard balutan fabrik hitam
    • Cermin berkuasa, fungsi naik/turun cermin pada sisi tempat duduk pemandu
    • Ketersambungan Bluetooth
    • Dua tempat letak cawan, di hadapan

    Keselamatan

    • ABS dengan EBD
    • Dua beg udara hadapan
    • Cagak ISOFIX di tempat duduk penumpang belakang
    • Penarafan empat-bintang Asean NCAP

    Perodua Bezza 1.0G AT – RM36,580


    Tambahan:

    Mekanikal

    • Transmisi automatik empat-kelajuan

    Perodua Bezza 1.3 X AT – RM43,980

    Tambahan:

    Mekanikal

    • Enjin 1.3 liter naturally aspirated empat-silinder
    • 94 hp pada 6,000 rpm
    • 121 Nm pada 4,000 rpm
    • Transmisi automatik empat-kelajuan

    Luaran

    • Warna luaran Garnet Red
    • Sensor pada bahagian sudut hadapan
    • Roda aloi 15-inci

    Keselamatan

    • Kawalan kestabilan
    • Bantuan mula mendaki

    Perodua Bezza 1.3 AV AT – RM49,980


    Tambahan:

    Dalaman

    • Balutan kulit palsu berwarna hitam dengan jahitan merah
    • Roda stereng balutan kulit
    • Kawalan audio pada roda stereng
    • Skrin sesentuh dengan navigasi dan Mirrorlink
    • Kamera undur

    Keselamatan

    • Advance Safety Assist (ASA) 2.0 – Pre-Collision Warning (PCW), Pre-Collision Braking (PCB), Front Departure Alert (FDA) dan Pedal Misoperation Control (PMC)
    • Penarafan lima-bintang Asean NCAP

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.3 AV

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.3 X

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 1.0 G Auto

    GALERI: Perodua Bezza facelift 2020 – pilihan warna

     
     
  • Perodua Bezza 2020 – dijangka 5,600 unit dihantar hujung Januari ini, sasar jualan 4,000 unit sebulan

    Perodua Bezza 2020 – dijangka 5,600 unit dihantar hujung Januari ini, sasar jualan 4,000 unit sebulan

    Ketika pelancaran Bezza 2020, Perodua turut memaklumkan sebanyak 5,600 unit sedan yang dinaiktaraf ini dijangka akan dihantar kepada pelanggan yang telah menempahnya, menjelang akhir bulan Januari ini. Malah difahamkan, sejak tempahan Bezza 2020 mula dibuka pada 3 Januari lalu, sehingga hari ini, sebanyak 2,000 unit telah ditempah.

    Bukan itu sahaja, sebanyak 8,000 unit tempahan bagi model pra-facelift yang belum diterima oleh para pelanggan pada hujung tahun lalu, secara automatiknya akan menerima model baharu ini. Secara tidak langsung, jumlah tempahan bagi Bezza 2020 kini mencecah 10,000 unit.

    Perodua turut mengumumkan pihaknya mensasarkan jualan sebanyak 4,000 unit sebulan untuk bulan yang seterusnya. Sasaran angka jualan tersebut ternyata mampu memberikan persaingan yang lebih sengit buat model pencabar terdekatnya, Proton Saga (versi facelift telah pun dilancarkan tahun lalu). Di mana Saga berjaya mencapai jualan sebanyak 3,892 unit pada Disember lalu. Dengan sasaran jualan yang penuh optimis bagi Bezza 2020, adakah ia mampu merampas kedudukan Saga yang kini berada di tangga teratas dalam kategori sedan segmen-A?

    Harus diingat walau pun kedua-dua model terbabit ini dijangka akan diumumkan angka jualan yang lebih kurang sama setiap bulan, namun demikian, kedua-dua pengeluar kereta ini mempunyai angka jualan keseluruhan yang berbeza. Di mana buat masa ini, Perodua masih mengekalkan kedudukannya di tangga pertama dalam kategori kereta-nasional (dan keseluruhan jualan bagi jenama kenderaan yang ada di Malaysia) dan mampu menjual sehingga 20,000 unit kenderaan setiap bulan. Manakala Saga pula dilihat sangat membantu keseluruhan angka jualan Proton yang berjaya mencatat 11,117 unit terjual pada Disember lalu.

    Perodua turut mendedahkan, sebanyak 148,00 unit Bezza telah terjual sejak dilancarkan pada Julai 2016. Malahan model ini turut mencatatkan angka jualan yang konsisten iaitu antara 4,000 hingga 4,500 unit sebulan. Jadi, mari kita tunggu dan lihat, adakah dengan perubahan gaya Bezza 2020, mampukah ia menguasai sedan segmen-A?

     
     
  • MARii, DRB-Hicom, Proton dan CATARC dari Shanghai jalin kerjasama bangunkan pusat ujian automotif

    MARii, DRB-Hicom, Proton dan CATARC dari Shanghai jalin kerjasama bangunkan pusat ujian automotif

    Malaysia Automotive Robotics and IoT Institute (MARii), China Automotive Technology and Research Center (CATARC), DRB-HICOM dan Proton semalam menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) untuk kerjasama strategik bagi membangunkan lagi industri automotif dalam negara seterusnya menjadikan Malaysia sebagai hab kenderaan generasi seterusnya (nxGV) dalam rantau ini.

    Melaluinya, beberapa kemudahan akan dibina dalam negara, termasuk pusat ujian Autonomous, Automated and Connected Vehicle (AACV) di Cyberjaya, serta National Automotive Testing Centre (NATC) di Tanjung Malim.

    Menurut ketua pegawai eksekutif MARii, Datuk Madani Sahari, kemudahan ini, berserta beberapa lagi kemudahan lain dijangka akan siap menjelang tahun 2023. Kos pembangunan pula dikongsi oleh kerajaan melalui MARii dan juga syarikat swasta.

    Kedua-dua MARii dan CATARC akan memberi fokus kepada penubuhan standard teknikal dan pembinaan kemudahan ujian NxGV di dalam pusat ujian tersebut, untuk meningkatkan kemampuan domestik dalam pembangunan dan ujian kenderaan dalam rantau ASEAN.

    MARii, DRB-Hicom, Proton dan CATARC dari Shanghai jalin kerjasama bangunkan pusat ujian automotif

    “Memandangkan ujian dan homologasi adalah perkara sensitif dalam pembangunan apa jua jenis kenderaan pun, kami berusaha untuk menawarkan penyelesaian berkaitan ujian secara penuh mengikut pembangunan teknoligi NxGV terkini, selari dengan peraturan keselamatan, polisi serta standard,” kata Madani.

    Kerjasama di antara Proton dan CATARC pula mempunyai sasaran untuk membenarkan pengeluar kenderaan negara tersebut untuk berkolaborasi dan menggunakan kemudahan pembangunan dan penyelidikan CATARC, terutamanya pada aspek aktiviti berkaitan ujian, sekaligus mempercepatkan penglibatannya dalam teknologi baru.

    “Kerjasama ini juga akan membuka akses kepada pasaran ASEAN, sementara kepakaran kami dalam perniagaan, terutamanya aspek ujian dan pensijilan boleh dikongsi kepada Malaysia dan industri automotif ASEAN pada masa hadapan,” kata pengurus kanan CATARC, Zhou Hua.

    Selain daripada perjanjian dengan CATARC, MARii dan dan DRB-HICOM juga menandatangani perjanjian untuk menubuhkan program pembangunan akademik dan sumber manusia, demi mempertingkatkan kemampuan tenaga kerja automotif dalam negara.

     
     
  • Perodua Bezza 2020 – pilihan aksesori GearUp

    Perodua Bezza 2020 – pilihan aksesori GearUp

    Perodua Bezza 2020 telah pun dilancarkan pagi ini dengan penawaran empat varian iaitu model asas Bezza 1.0 GX MT (RM34,580), Bezza 1.0 GX AT (RM36,580), Bezza 1.3 X AT (RM43,980) dan model tertinggi Bezza 1.3 AV AT (RM49,980). Walau bagaimana pun, seperti pelancaran model-model baharunya sebelum ini, Perodua turut memperkenalkan aksesori GearUp sebagai pilihan kepada pembeli yang ingin menambahkan lagi ciri luaran dan dalaman Bezza 2020.

    Untuk menyerlahkan lagi imej luarannya, Bezza 2020 ditawarkan dengan pakej kit badan Dynamic yang merangkumi kit bampar hadapan dengan lampu panduan, kit bampar belakang dan spoiler belakang dengan harga RM2,000. Walau bagaimana pun, menurut Perodua, kit badan Dynamic ini hanya boleh didapati mulai Mac ini.

    Untuk bahagian kabinnya pula, aksesori GearUp untuk Bezza 2020 ini termasuk tempat duduk balutan Dynamic (RM600) dengan material PVC berwarna hitam bersama rekaan premium quilted dan serlahan kelabu. Selain itu, ia turut menawarkan aksesori tambahan yang terdiri daripada pencahayaan lantai (RM240), plat sisi LED (RM260), plat sisi krom (RM140), perehat tangan dengan USB Port (RM220), aksesori extension wire harness (RM40), alas kaki dengan mesh top (RM180), alas kaki (RM140), door visor (RM150), pelindung pintu sisi (RM350) dan kemasan krom untuk tingkap (RM145).

    Bukan itu sahaja, ia turut memberikan pilihan untuk pelapik bahagian barangan (RM140), pelindung tingkap (RM85), pendakap anti-kecurian (RM130), penebat bunyi untuk hud (RM72) dan door comfort (RM450).

    Namun jika pembeli Bezza 2020 ingin membeli aksesori GearUp secara pakej dengan nilai yang lebih menarik, ia ditawarkan dengan tiga pilihan pakej iaitu Stylish (kit badan Dynamic dan pelindung pintu sisi) yang berharga RM2,120, Illumination (pencahayaan lantai dan plat sisi LED) berharga RM450, dan Utility dengan harga RM340 yang terdiri dari penebat bunyi untuk hud, alas lantai, alas bahagian barangan dan kabel booster.

    Untuk aspek keselamatan, tempat duduk keselamatan kanak-kanak ISOFIX GearUp turut disenaraikan dan ditawarkan dengan harga RM975 (untuk kanak-kanak 9 bulan-12 tahun) dan RM785 (untuk bayi 0-18 bulan). Manakala GearUp Smart TPMS untuk Bezza 2020 juga ditawarkan dengan harga RM430; yang merangkumi unit in-car, empat sensor, empat lock nut, satu wrench dan dua bateri AA.

    Melalui aksesori GearUp ini, Perodua bukan sahaja menawarkan pilihan untuk menjadikan kereta lebih bergaya, bahkan ia juga mudah dimiliki (boleh dimasukkan dalam jumlah pinjaman), kos upah yang selaras dan barang yang berkualiti. Harga yang dinyatakan ini adalah untuk Semenanjung Malaysia.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025