Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kia Tasman 2025 – rupa dengan pelekat penyamaran didedahkan; lawan Toyota Hilux, overfender petak

    Kia Tasman 2025 – rupa dengan pelekat penyamaran didedahkan; lawan Toyota Hilux, <em>overfender</em> petak

    Selepas mengumumkan nama rasminya minggu lalu, Kia kini mendedahkan pula rupa sebenar trak pikap Kia Tasman, tetapi masih dibalut oleh pelekat penyamaran. Seperti yang diberitahu sebelum ini, nama ‘Tasman’ berkenaan diambil sempena nama Pulau Tasmania yang terletak di bahagian paling selatan Australia.

    Menerusi imej terbaharu yang didedahkan ini, dapat dilihat rekaan ‘berkotak’ Kia Tasman berkenaan bukan hanya pada bahagian-bahagian utama badannya, malah panel overfender yang biasanya berbentuk bulat pada trak pikap lain turut direka berkotak pada Tasman.

    Bagi overfender hadapan, ia nampaknya bersambung terus pada bahagian muka dan menjadi sebahagian panel bagi menempatkan jalur LED dan juga lampu hadapan. Antara perincian lain yang turut dapat dilihat adalah bahagian cermin hadapan yang direka dengan saiz yang agak besar.

    Kia Tasman 2025 – rupa dengan pelekat penyamaran didedahkan; lawan Toyota Hilux, <em>overfender</em> petak

    Kia menyifatkan Tasman ini sebagai ‘trak pikap segmen-C’, namun ia bukanlah kembar kepada trak pikap Hyundai Santa Cruz yang kini dijual di pasaran Amerika Utara. Ini kerana Tasman adalah trak pikap dengan casis ladder frame sebenar bagi berhadapan dengan pesaing seperti Ford Ranger, Toyota Hilux dan Mitsubishi Triton, berbanding Santa Cruz yang dihasilkan dari kerangka monocoque seperti SUV.

    Namun berbeza dari pesaing-pesaing yang kebanyakkannya dibangunkan di Thailand, Tasman yang juga merupakan trak pikap dual cab pertama jenama tersebut dibangunkan oleh Kia di Korea Selatan dengan bantuan dari Kia Australia. Ia bakal dilancarkan pada 2025 di pasaran-pasaran utama termasuk Korea Selatan, Australia, Afrika serta Timur Tengah.

    Laporan sebelum ini menyebut Tasman akan menerima enjin turbodiesel 2.2 liter ketika dilancarkan di Australia kelak. Perincian berkenaan enjin tersebut masih belum diumum, namun ia berkemungkinan adalah unit yang sama seperti pada SUV Sorento dan MPV Carnival, iaitu enjin Smartstream 2.2 liter turbodiesel empat-silinder sebaris berkuasa 202 PS (199 hp) dan tork maksima 440 Nm.

    Menurut Kia, pelekat penyamaran yang membalut badan Tasman ini dihasilkan oleh artis New Zealand, Richard Boyd-Dunlop dengan bertemakan ‘Jalan yang tidak pernah dilalui’, bagi menggambarkan semangat Tasman untuk mengembara merentas Australia. Panjang lebar sebenarnya cerita Kia berkenaan grafik tersebut, kalau anda berminat nak tahu, ada video rasminya kami letakkan di bawah.



     
     
  • GALERI: Audi RS4 Avant 2024 di M’sia – 2.9L biturbo V6; 450 PS, 0-100 km/j dalam 4.1s; harga dari RM763k

    GALERI: Audi RS4 Avant 2024 di M’sia –  2.9L biturbo V6; 450 PS, 0-100 km/j dalam 4.1s; harga dari RM763k

    Audi RS4 Avant 2024 telah pun berada di pasaran Malaysia dan kami bawakan galeri foto penuhnya untuk tatapan anda. Dijual pada harga bermula RM762,990, yang turut didatangkan dengan Audi Assurance Package (AAP) yang merangkumi waranti lima-tahun dan tiga-tahun penyelenggaraan percuma. Tanpa AAP, hanya diberikan waranti dua-tahun tetapi harganya menjadi RM752,990.

    Diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2022, RS4 Avant djanakan enjin 2.9 liter biturbo V6 petrol yang mampu menghamburkan kuasa 450 PS (444 hp) dari 5,700-6,700 rpm dan tork 600 Nm of tork dari 1,900-5,000 rpm. Kuasannya disalurkan ke semua roda menerusi kotak gear automatik tiptronic lapan-kelajuan dan sistem pacuan semua roda dengan sports differential.

    Ia membolehkan jentera mewah ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.1 saat dan kelajuan maksimum cecah 280 km/j. Ia juga digandingkan dengan RS sports suspension Plus bersama kawalan pengendalian dinamik serta sistem ekzos RS sports.

    Kit kelengkapannya termasuk logo dan lencana hitam berkilat, pakej penampilan hitam berkilat, lampu utama
    Matrix LED, lampu isyarat membelok dinamik, roda aloi evo lima-jejari 20-inci dengan kemasan matte titanium, upholstery kulit Nappa, Audi drive select, kokpit maya Audi, paparan utama, sistem bunyi Bang & Olufsen, infotainmen dan navigasi MMI, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan fungsi memori dan tailgate kuasa bebas-tangan.

    Untuk sistem bantuan pemandu, RS4 Avant didatangkan dengan pra-penderia Audi, kawalan kelajuan adaptif, amaran menukar lorong dan amaran ketibaan lorong. Ia juga diberikan lapan beg udara dan sistem pemantauan tekanan tayar secara standard.

     
     
  • PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

    PANDU UJI: Honda CR-V 2024 — 2.0L e:HEV RS hibrid atau 1.5T V AWD lebih seronok? Mana lagi senyap?

    Memang ada banyak perkara yang menjadikan Honda CR-V 2024 generasi keenam — model yang terbaru dalam pasaran tempatan ketika ini — berbanding model generasi terdahulunya dan juga pesaing lain dalam segmen yang sama. Begitu juga, masih ada kekurangan yang dirasakan sepatutnya sudah diatasi bagi model generasi baru SUV paling popular di Malaysia ini.

    Honda CR-V mempunyai sejarah panjang di sini. Ia sudah diperkenalkan untuk pasaran tempatan — termasuk menjadi antara model CKD terawal Honda Malaysia — untuk pasaran tempatan sejak tahun 2002, ketika itu melalui model generasi kedua. Itu satu tempoh yang sudah melebihi dua dekad, dan tentunya sudah banyak yang dilakukan terhadap CR-V.

    20 tahun bukanlah satu masa yang singkat. Ia cukup lama untuk menjadi tempoh matang bagi sesebuah model dalam sesebuah pasaran. Dan, tentu ada sebab mengapa CR-V mampu bertahan begitu lama dalam pasaran tempatan; tidak seperti model-model yang banyak kita pernah lihat yang tidak mempunyai kelangsungan hayat penawarannya di sini.

    Baca lanjut

     
     
  • Lebuhraya Dash – Susur keluar ke Persiaran Mokhtar Dahari ditutup pada 23 April, 12 t/malam-5 pagi

    Lebuhraya Dash – Susur keluar ke Persiaran Mokhtar Dahari ditutup pada 23 April, 12 t/malam-5 pagi

    Prolintas selaku syarikat konsesi Lebuhraya Damansara-Shah Alam (Dash) memaklumkan terdapat penutupan sementara sepenuhnya bagi susur keluar lebuhraya terbabit ke Persiaran Mokhtar Dahari pada lewat malam ini, 23 April 2024, dari jam 12 tengahmalam hingga 5 pagi.

    Penutupan susur berkenaan melibatkan laluan Ramp 1C ke arah Puncak Alam dan Ramp 1D ke arah Shah Alam, bertujuan bagi kelancaran kerja-kerja penyelenggaraan.

    “Pengguna dinasihatkan untuk keluar di susur Pulau Angsa dan membuat pusingan-U di Cahaya SPK bagi perjalanan ke Persiaran Mokhtar Dahari arah Puncak Alam,” kata Prolintas.

    Bagi pengguna yang terbabit, sila pandu lebih berhati-hati dan patuhi papan tanda serta arahan petugas di lokasi. Kalau tersilap atau terlepas susur, jangan pula memandu menentang arus dan sila cari laluan yang selamat untuk membuat pusingan-U.

     
     
  • Banjir kilat dilaporkan di Subang, PJ, Gombak, KL – rancang perjalanan anda, tangguh jika perlu

    Banjir kilat dilaporkan di Subang, PJ, Gombak, KL – rancang perjalanan anda, tangguh jika perlu

    Dilaporkan banjir kilat berlaku pada petang ini, 22 April, di beberapa kawasan di sekitar Lembah Klang, menurut Jabatan Penerangan WPKL.

    Lokasi yang dinaiki air banjir termasuklah di Subang, Petaling Jaya (PJ), Gombak dan Kuala Lumpur (KL) susulan hujan lebat beberapa jam dan keadaan trafik turut dilaporkan sesak.

    Selain itu, laluan yang turut dilaporkan dinaiki air ialah lorong kiri di Jalan Damansara menghala ke Jalan Istana, menyebabkan kesesakan teruk berlaku dari Terowong Duta, menurut jabatan terbabit.

    Untuk yang perlu melalui lokasi yang terlibat, jika boleh, tangguhkan perjalanan anda, tetapi jika terpaksa, rancanglah perjalanan anda sewajarnya termasuk mencari laluan alternatif bagi mengelakkan anda terperangkap dalam kesesakan trafik yang teruk dan elakkan meredah laluan yang ditenggelami air banjir kerana kita tidak tahu risiko yang menanti.

    Mungkin banjir tersebut boleh menyebabkan kerosakan pada kenderaan anda, bahkan jika hujan lebat berserta dengan angin kuat, takut pula ada pokok yang tumbang dan terkena kenderaan anda. Ini juga memberikan bahaya terhadap keselamataan anda sendiri.

    Dalam situasi sebegini, sudah pasti insurans kerosakan akibat banjir atau bencana alam (special perils) untuk kenderaan adalah sangat penting. Dengannya, kita boleh merasa sedikit tenang jika dalam keadaan tidak disangka, kereta tenggelam akibat banjir atau bencana alam lain.

    Kami juga pernah kumpulkan informasi mengenai bayaran insurans bencana alam ini, daripada beberapa penyedia insurans utama Malaysia, termasuk AIA, AIG, Allianz, AXA, Etiqa, Kurnia, MPI Generali, MSIG, RHB, Takaful dan Tokio Marine. Kadarnya adalah antara 0.15% hingga 0.5% daripada jumlah keseluruhan perlindungan kenderaan anda. Anda juga boleh membeli atau memperbaharui insurans kenderaan anda dengan kami menerusi PAUTAN INI.

    Adalah lebih baik mengambil insurans bencana alam berbanding terpaksa menghabiskan beribu-ribu ringgit apabila kenderaan anda rosak akibat banjir, kan? Sekurang-kurangnya ia mampu meringankan beban kewangan anda sekiranya kenderaan anda mengalami kerosakan akibat banjir.

     
     
  • Penutupan lorong di Line M, CH 1.1-CH 1.9 arah Jambatan P.Pinang, Georgetown pada 23-24 April

    Penutupan lorong di Line M, CH 1.1-CH 1.9 arah Jambatan P.Pinang, Georgetown pada 23-24 April

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) mengumumkan pelaksanaaan penutupan semua lorong di Line M, CH 1.1 – CH 1.9 (arah ke Jambatan Pulau Pinang) serta lorong kanan dan lorong tengah (arah ke Georgetown) pada 23 hingga 24 April ini, jam 10 malam hingga 5 pagi.

    Penutupan lorong di lokasi berkenaan adalah bagi kelancararan kerja-kerja pembinaan oleh IJM Corporation Berhad sepanjang tempoh berkenaan.

    “Laluan kontra diaktifkan menghala ke Jambatan Pulau Pinang. Justeru, pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya memandu berhati-hati dan mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan kerja terbabit yang dikeluarkan oleh pihak IJM,” kata PLUS.

    Bagi anda yang melalui lokasi berkenaan, diharap dapat mempertingkatkan fokus pemanduan, lebih berhati-hati dan bertimbang rasa. Sentiasa amalkan pemanduan berhemah.

     
     
  • Model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual esok pada harga RM9.90, hanya ada di Malaysia!

    Model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual esok pada harga RM9.90, hanya ada di Malaysia!

    Ada sesiapa yang tertunggu-tunggu bila sebenarnya model edisi terhad HotWheels Proton Saga akan mula dijual? HotWheels Malaysia baru sahaja memberitahu kami sebentar tadi bahawa anda boleh mula untuk membeli model ini di gedung-gedung beli-belah utama, kedai-kedai mainan, kedai serbaneka dan juga di kedai-kedai stesen minyak seluruh negara bermula esok, 23 April 2024!

    Sekiranya anda berjaya mendapatkan model ini di outlet-outlet yang disebutkan tadi, bermakna anda boleh membeli sebuah Proton Saga HotWheels edisi terhad ini pada harga runcit yang disarankan RM9.90 sahaja. Walaupun ia dijual pada harga yang sama dengan versi mainline, kami difahamkan versi edisi terhad ini tidak terkandung dalam mana-mana kumpulan Dash/Case mainline 2024 dan ia hanya dijual di pasaran Malaysia sahaja.

    Seperti yang disebut sebelum ini, model edisi terhad ini masih menampilkan Proton Saga generasi pertama skala 1/64 seperti versi mainline Hot Wheels yang sudahpun mula dijual bermula Oktober tahun lalu. Saga berkenaan datang dalam kemasan badan berwarna merah, diberikan grafik logo asli ‘Saga’ bagi model 1985 pada pintu belakang dan logo HotWheels pada pintu hadapan, serta set roda plastik AeroDisc.

    Namun untuk versi edisi terhad ini ia akan menggunakan pakej kad blister istimewa rekaan kanak-kanak perempuan berumur sembilan tahun, Saw Jane Harn dari Pulau Pinang telah menjadi pemenang pertama pertandingan Hot Wheels x Proton Kids Design Competition tahun lalu.

    Hern menghasilkan rekaan berkenaan dengan hanya lukisan tangan menampilkan unsur-unsur Malaysia seperti Menara Berkembar Petronas, Bunga Raya, Harimau Malaya dan Burung Kenyalang pada kad blister tersebut. Hasil karya Hern dan peserta-peserta yang menyertai pertandingan ini turut dinilai oleh Azlan Othman, ketua pereka Proton yang dilantik sebagai salah seorang juri.

    Nama dan perincian rekaan yang dihasilkan oleh Hern juga nampaknya diabadikan oleh HotWheels menerusi perincian yang ditulis pada bahagian belakang kad blister berkenaan. Ini pastinya bakal memberikan kenangan yang cukup manis buat Hern bukan?

    Projek bagi menjelmakan Proton Saga generasi pertama ini diumumkan secara rasmi pada Disember 2022. Ia merupakan kerjasama rasmi pertama antara Proton dan HotWheels sempena ulangtahun ke-40 Mattel Malaysia (anak syarikat Mattel Inc), juga untuk menyambut ulangtahun Proton ke-40 tahun lalu.

    Kilang pertama Mattel di Malaysia yang tarletak di Pulau Pinang mula dibuka pada tahun 1981, dan buat masa sekarang kilang tersebut sememangnya kilang HotWheels terbesar di dunia dan memproduksi model-model mainline Hotwheels untuk pasaran global. Ia mampu menghasilkan sekitar 900,000 unit kereta mainan HotWheels seminggu, dengan tenaga kerja seramai 3,900 orang.

    Mattel bercadang untuk membesarkan lagi fasiliti tersebut bagi membolehkan jumlah pekerjanya naik 10% kepada hampir 4,300 orang. Pembesaran tersebut turut akan memanfaatkan Mattel Development and Tooling Sdn. Bhd. (MDT), iaitu kilang kedua Mattel di sini yang dibuka pada 1985, yang juga merupakan fasiliti untuk pembangunan produk, penghasilan model digital, rekaan acuan dan juga pengilangan.

     
     
  • Rumah Terbuka Hari Raya Porsche Approved berlangsung bulan ini – tambahan jaminan satu tahun

    Rumah Terbuka Hari Raya Porsche Approved berlangsung bulan ini – tambahan jaminan satu tahun

    Semangat yang dibawa oleh Porsche tidak pernah akan lapuk. Bagi penggemarnya, tiada istilah Porsche lama, dan yang ada cuma pemilik baru. Jika anda antara orang yang sedang mensasarkan sebuah Porsche sendiri, sekarang adalah masa sesuai kerana Porsche Pre-Owned Cars Day akan berlangsung di Porsche Centre sekitar Malaysia bulan ini.

    Melalui program Porsche Approved, anda boleh merasa lega apabila mengetahui akan mendapat kereta sports berkualiti tinggi dan mampu memberikan prestasi seperti sebuah kereta baru. Demi memberi ketenangan minda ini, setiap model Porsche Pre-Owned akan datang dengan dokumen sejarah penuh masing-masing.

    Kenderaan Porsche Approved perlu melalui pemeriksaan 111 bahagian dan disiapkan secara profesional oleh juruteknik bertauliah, bersama penggunaan Porsche Genuine Parts sebelum dibenarkan bertemu dengan bakal pemiliknya. Tidak cukup dengan itu, kenderaan Porsche Approved juga diberikan dengan jaminan selama dua tahun.

    Raikan Hari Raya di Porsche Pre-Owned Cars Day dan puaskan diri anda dengan pilihan pelbagai kereta sports Porsche, dari 911 yang sudah menjadi satu ikon hinggalah elektrik penuh seperti Taycan. Dengan gaya yang memukau serta prestasi padan sebagai kereta sports elektrik jenama itu, Taycan menjadi bukti kepada komitmen Porsche untuk sentiasa menjangkau batas pada apa yang boleh dilakukan secara teknologi pada sesebuah kereta. Anda perlu merasai pengalaman bersamanya sendiri.

    Apabila membuat tempahan model Porsche Approved di acara ini, anda akan menerima jaminan tambahan Porsche Approved satu tahun lagi untuk memberikan pengalaman pemilikan yang lebih menenangkan, serta beg kembara Porsche Design*. Untuk masa yang terhad, nikmati penjimatan tambahan untuk model Porsche Taycan bersama keahlian Shell Recharge Platinum selama tiga tahun secara percuma.

    Bagi menjadikan pengalaman pemiikan Porsche lebih lancar, anda boleh membuat temu janji untuk penilaian dan menjual kembali kenderaan sedia ada anda. Urusan jual beli yang berjaya akan dihadiahkan dengan baucar Porsche Lifestyle sebanyak RM1,000.

    Porsche Centre Pulau Pinang dan Johor Bahru pula akan menganjurkan Porsche Pre-Owned Car Day pada 27 dan 28 April 2024, dari jam 9am hingga 5pm. Banyak tawaran disediakan dan ini adalah satu acara yang tidak patut anda lepaskan jika mahu menjadi ahli keluarga Porsche.

    *Sah untuk model Porsche Approved berikut: Taycan, Macan, Cayenne dan Panamera.

     
     
  • smart #3 muncul di KL Car Free Morning hujung minggu lalu; bakal dijual di Malaysia tak lama lagi?

    smart #3 muncul di KL Car Free Morning hujung minggu lalu; bakal dijual di Malaysia tak lama lagi?

    smart Malaysia yang diuruskan oleh anak syarikat Proton iaitu Pro-Net telah membawa model EV kedua jenama berkenaan, smart #3 ke Dataran DBKL semalam sempena Program KL Car Free Morning. Walau bagaimanapun unit yang didedahkan kepada umum tersebut masih lagi di’sembunyi’kan dengan pelekat penyamaran, tanpa sebarang perincian rasmi.

    Seperti juga smart #1 yang telah dilancarkan ke pasaran tempatan pada akhir tahun lalu, smart #3 ini merupakan EV yang direka oleh pemilik jenama tersebut iaitu Mercedes-Benz, dan kemudian dibina oleh Geely menggunakan platform Sustainable Experience Architecture (SEA).

    Namun smart #3 ini hadir dengan saiz lebih besar menampilkan dimensi 4,440 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,600 mm tinggi, bersama jarak roda sejauh 2,785 mm. Jika dibandingkan dengan smart #1, model ini adalah 170 mm lebih panjang dan 36 mm lebih tinggi, serta jarak roda 35 mm lebih jauh. Bukan sahaja saiz lebih besar, dengan rekaan seperti coupe pada SUV ini juga membuatkan ia nampak lebih sporty dan agresif, kurang aspek ‘camel’ seperti pada #1.

    smart #3 muncul di KL Car Free Morning hujung minggu lalu; bakal dijual di Malaysia tak lama lagi?

    Ketika didedahkan, model ini dikatakan mampu bergerak sejauh 440 km dalam kitaran WLTP yang lebih realistik. Untuk bentangan unit rangkaian kuasa pula adalah sama seperti yang ditawarkan pada #1 dimana versi asas hanya memacu roda belakang dengan motor tunggal 272 PS (268 hp atau 200 kW), manakala varian paling berkuasa dengan lencana Brabus dibekalkan dengan dua motor elektrik membolehkan ia memacu semua roda, bersama bekalan kuasa penuh berjumlah 428 PS (422 hp atau 315 kW).

    Menurut smart Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan, pihaknya bangga berdiri sebagai penyokong utama inisiatif Program KL Car Free Morning berkenaan dengan mempamerkan kenderaan smart #1 dan #3 ketika ia berlangsung, yang turut membuktikan komitmen smart dalam mempromosikan kehidupan bandar lestari.

    “Selaras dengan Strategi Kelestarian smart Global, kerjasama kami dengan DBKL mewakili satu langkah penting ke hadapan dalam mempromosikan pembangunan lestari secara kolaboratif untuk masyarakat dan alam sekitar. Dengan mempamerkan kenderaan smart #1 dan #3, kami berhasrat untuk meningkatkan kesedaran tentang alternatif pengangkutan mesra alam dan menekankan kepentingan mengurangkan pelepasan karbon dalam melindungi alam sekitar. Selain itu, pemberian anak pokok ini dapat menambahkan sentuhan yang menyeronokkan kepada usaha kami dalam menyebarkan kesedaran”, kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif smart Malaysia.

    Dalam acara tersebut smart Malaysia telah menyumbangkan pokok untuk diberikan kepada peserta-peserta larian, sebagai simbol untuk ke arah gaya hidup yang lebih sihat.

    “Langkah ini bukan sahaja menekankan dedikasi smart Malaysia dalam mempromosikan inisiatif hijau, malah memupuk hubungan yang lebih mendalam antara individu dan alam sekitar, meningkatkan kesejahteraan dan daya hidup secara keseluruhan,” kata smart Malaysia dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    “Di samping itu, inisiatif ini bertujuan sebagai penyelesaian untuk mencapai bandar lestari dan bebas karbon menjelang tahun 2030. Sebagai pengedar kereta elektrik (EV), smart Malaysia berada di barisan hadapan dalam peralihan ini untuk mengubah mentaliti ke arah memiliki kenderaan elektrik,” tambahnya lagi.

    Berbalik kepada smart #3 yang didedahkan dalam program tersebut, ia mungkin menjadi petanda bahawa model berkenaan bakal dilancarkan pada pasaran tahun ini. Namun jangkaan sebenar tarikh pelancarannya masih belum dapat diagak.

    GALERI: smart #3

     
     
  • Beberapa stesen Shell di Lebuhraya PLUS ditutup berperingkat hingga 30 April untuk diselenggara

    Beberapa stesen Shell di Lebuhraya PLUS ditutup berperingkat hingga 30 April untuk diselenggara

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah memaklumkan bahawa beberapa stesen minyak Shell di sepanjang lebuhrayanya ditutup sementara antara 22 sehingga 30 April 2024.

    Stesen Shell yang terlibat ialah KM17 di Restoran Jejantas Penanti arah barat (22 April), KM145.6 di Plaza Tol Juru arah utara (23 April), KM132.6 di Permatang Pauh Sungai Dua arah selatan (24 April), KM158 di Hentian Sebelah Sungai Bakap arah selatan (25 April), KM17 di Restoran Jejantas Penanti arah timur (29 April), KM132.6 di Permatang Pauh Sungai Dua arah utara (30 April) dan KM141.9 di Hentian Sebelah Juru arah selatan (30 April).

    “Penutupan sementara Stesen Minyak SHELL di beberapa lokasi berikut dari jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi, bagi membolehkan kerja-kerja penyelenggaraan dijalankan.

    “Kepada pengguna lebuh raya dinasihatkan untuk merancang perjalanan anda bagi menjaga keselamatan dan keselesaan semua pengguna lebuh raya. Hati-hati memandu dan harap maklum,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikongsi di Facebook rasminya.

     
     
  • Tesla turunkan harga jualan di beberapa pasaran

    Tesla turunkan harga jualan di beberapa pasaran

    Menurut satu laporan yang dikeluarkan oleh The Guardian, Tesla telah menurunkan harga jualan kenderaannya di beberapa pasaran termasuk Amerika Syarikat (AS), China dan Jerman.

    Untuk di AS, Tesla mengumumkan harga Model Y kini menjadi US$42,990 (RM205,641), manakala model yang lebih besar, iaitu Model S dan Model X masing-masing dijual pada harga US$72,990 (RM349,155) dan US$77,990 (RM373,073). Perlu diketahui, Model S dan Model X bagaimanapun sudah tidak dijual di pasaran panduan sebelah kanan.

    Selepas penurunan harga kenderaan di AS ini diumumkan Jumaat lalu, Tesla kemudiannya turut menurunkan harga pakej ADAS Full Self Driving dari US$12,000 (RM57,406) ke US$8,000 (RM38,271), dan kemudiannya menghentikan jualan Enhanced Autopilot dan meninggalkan cuma pilihan Full Self Driving.

    Tesla turunkan harga jualan di beberapa pasaran

    Perkara sama turut berlaku di China, dengan harga Model 3 di sana telah menurun 14,000 yuan (RM9,246), menjadi 231,900 yuan (RM153,159), manakala di Jerman, Model 3 RWD turun harga dari 42,990 euro (RM219,349) ke 40,990 euro (RM 209,157).

    The Guardian turut memetik kata-kata daripada jurucakap Tesla yang memberitahu penurunan harga juga berlaku di beberapa negara lain di Eropah, Timur Tengah dan Afrika, dan ini terjadi selepas pengeluar EV tersebut mengalami penurunan jumlah penghantaran kepada pelanggan buat pertama kali dalam empat tahun, pada suku pertama tahun ini.

     
     
  • Suzuki Jimny 5-Door dibuka untuk tempahan di M’sia

    Suzuki Jimny 5-Door dibuka untuk tempahan di M’sia

    Naza Eastern Motors melalui laman media sosial mereka telah menyiarkan teaser ketibaan Jimny 5-Door di Malaysia. Model yang lebih praktikal dengan diberikan pintu belakang dan badan lebih panjang berbanding versi 3-Door ini sekarang sudah boleh ditempah.

    Perincian untuk model pasaran Malaysia masih belum didedah, tetapi kita tahu bahawa Jimny 5-Door adalah 505 mm lebih panjang berbanding 3-Door, dengan jarak roda 340 mm lebih jauh serta catatan dimensi 3,985 mm panjang, 1,645 mm lebar, 1,720 mm tinggi dan jarak roda 2,590 mm.

    Ini menjadikan ruang kaki penumpang belakang lebih luas, manakala ruang barangan belakang pula bertambah besar menjadi 211 liter (85 liter pada 3-Door) dan tempat duduk belakang boleh dilipat 50:50 apabila perlu.

    Reka bentuk luaran 4×4 ini secara asasnya masih sama, dengan lampu LED bulat, kemasan fender lebar, lampu belakang pada bampar, rim 15 inci serta tayar ganti pada pintu ruang barangan yang dibuka ke tepi. Di dalam, rekaan papan pemuka juga serta bahagian lain juga sama, tetapi versi 5-Door dinaik taraf dengan skrin sesentuh infotainmen yang lebih besar (sembilan inci).

    Tiada perbezaan pada bahagian mekanikal 5-Door ini berbanding 3-Door, dan ia masih digerakkan oleh enjin K15B 1.5 liter empat-silinder petrol-NA berkuasa 105 PS (103 hp atau 77 kW) dan tork maksima 134 Nm. Kotak gear disediakan dalam pilihan unit manual lima-kelajuan atau automatik empat-kelajuan, dengan sistem pacuan empat roda AllGrip Pro 4WD Suzuki secara standard.

    GALERI: Suzuki Jimny 5-Door di Singapura

     
     
  • Aurobay kini rakan teknikal pasukan Lynk & Co Cyan Racing dalam perlumbaan FIA TCR World Tour 2024

    Aurobay kini rakan teknikal pasukan Lynk & Co Cyan Racing dalam perlumbaan FIA TCR World Tour 2024

    Pasukan lumba Lynk & Co Cyan Racing mengumumkan bahawa ia kini bekerjasama dengan pembekal global untuk sistem rangkaian kuasa lengkap, termasuk enjin pembakaran dalam generasi baharu, transmisi dan juga sistem hibrid, Aurobay untuk perlumbaan FIA TCR World Tour bermula musim 2024 ini.

    “Kami gembira untuk mengalu-alukan Aurobay sebagai rakan kongsi yang bernilai kepada pasukan. Pembangunan unit rangkaian kuasa adalah bahagian penting dalam sukan permotoran dan kami berharap untuk membuat pertukaran maklumat yang lebih mendalam dan meneruskan legasi kami dalam memindahkan pengetahuan dari litar ke jalan raya,” kata Fredrik Wahlén, Pasukan Pengurus Cyan Racing.

    Bagi musim ini Cyan Racing akan terus menggunakan jentera Lynk & Co 03 TCR. Ia diasaskan dari versi jalan raya Lynk & Co 03 yang dibina menggunakan platform Compact Modular Architecture (CMA) dan dijana oleh enjin 2.0 liter empat-silinder turbo, kedua-duanya dibangunkan oleh Volvo sebelum ini, tetapi enjin berkenaan kini dikilangkan oleh Aurobay.

    “Enjin kereta jalan raya dari Aurobay mematuhi sasaran kadar efisien penggunaan bahan api dan emisi yang sukar, dengan prestasi yang bagus – faktor utama untuk keadaan yang ekstrim dalam perlumbaan FIA TCR World Tour”, kata pasukan itu pula dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Aurobay kini rakan teknikal pasukan Lynk & Co Cyan Racing dalam perlumbaan FIA TCR World Tour 2024

    Aurobay telah ditubuhkan bersama oleh Volvo dan Geely pada 2021, dengan Volvo memindahkan kesemua aset ke dalam subsidiari milik mereka sepenuhnya, Powertrain Engineering Sweden termasuk kilang enjin Skövde di Sweden bersama pasukan R&D berkaitan. Ini membolehkan Volvo menumpukan perhatian terhadap pembangunan EV, manakala Aurobay membangunkan unit rangkaian kuasa pembakaran dalaman untuk dibekalkan kepada jenama lain di bawah kumpulan Geely.

    “Di Aurobay, kami berkongsi komitmen Lynk & Co Cyan Racing untuk melangkaui sempadan pembangunan dan usaha untuk beraksi di peringkat terkemuka dunia. Sukan permotoran meletakkan semua komponen unit rangkaian kuasa ke tahap yang ekstrim dan kerjasama kami akan memberikan data penting untuk kedua-dua pihak dan mempercepatkan pembangunan. Kami sangat gembira untuk menyertai pasukan dalam usaha mereka untuk satu lagi gelaran dunia dan kami mengharapkan perkongsian yang berjaya,” kata Michael Fleiss, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Aurobay.

    Seperti musim-musim sebelumnya, Lynk & Co Cyan Racing akan terus mempertaruhkan empat jentera lumba bagi bersaing dalam musim penuh FIA TCR World Tour tahun ini. Jentera berkenaan sebelum ini telah pun membolehkan pasukan tersebut meraih gelaran juara dunia untuk kategori pengeluar bagi musim 2019, 2020, 2021 dań 2023.

    Perlumbaan pertama untuk FIA TCR World Tour 2024 telahpun bermula hujung minggu lalu dengan pusingan pertama berlangsung di Autodromo Vallelunga Piero Taruffi, Itali pada 20 hingga 21 April.

     
     
  • Honda City Hatchback 2024 dibuka tempahan di M’sia – lancar pada Q2, semua varian dapat ciri Sensing

    Honda City Hatchback 2024 dibuka tempahan di M’sia – lancar pada Q2, semua varian dapat ciri Sensing

    Tempahan bagi Honda City Hatchback facelift baharu kini telah pun dibuka untuk pasaran Malaysia, dengan model segmen-B ini dijadualkan bakal dilancarkan pada suku kedua (Q2) 2024. Barisan City Hatchback akan terus disertai oleh varian e:HEV RS, seperti foto yang dipaparkan di sini dengan beberapa perubahan rekaan.

    Hatchback (dalam varian RS) yang diberikan sentuhan yang lebih segar menampilkan palang hitam yang lebih nipis pada sudut atas gril, di mana rekaannya berbeza berbanding versi sedan yang menerima kemaskini pada Ogos lalu. Selain itu, bampar baharunya kini didatangkan dengan kemasan lampu kabus yang lebih tajam mengapit jejaring honeycomb pada corong intake dengan tambahan saluran udara.

    Walau bagaimana pun, foto untuk bahagian belakang tidak disertakan, namun dijangkakan mirip dengan model facelift di Thailand yang telah pun mula dijual. Juga dijangka terdapat elemen ala-diffuser yang dikemaskini pada apron bawah dengan roda aloi Berlina Black 16-inci yang lebih sporty.

    Honda City Hatchback 2024 dibuka tempahan di M’sia – lancar pada Q2, semua varian dapat ciri Sensing

    Bagi penjana kuasanya, e:HEV dilengkapi dengan sistem hibrid Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) yang sama, dengan roda hadapannya dipacukan oleh motor elektrik berkuasa 109 PS (107 hp atau 80 kW) dan tork 253 Nm. Motor elektrik itu dikuasakan oleh bateri lithium-ion yang dicas oleh motor elektrik kedua yang disambungkan ke enjin 1.5 liter naturally-aspirated DOHC i-VTEC empat-silinder Atkinson.

    Penjana kuasa petrol hibrid ini berkadaran 98 PS (97 hp atau 72 kW) dan tork 127 Nm, dan sementara ia bertindak sebagai penjana pada kebanyakan masa, ia berfungsi melalui transimisi satu-kelajuan (digelar E-CVT) untuk memberikan pemanduan terus ke roda pada kelajuan yang lebih tinggi di mana ia adalah paling cekap.

    Varian tanpa-hibrid juga ditawarkan, dan dijanakan oleh enjin 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder sebaris DOHC i-VTEC dengan hamburan kuasa 121 PS (119 hp atau 89 kW) pada 6,600 rpm dan tork 145 Nm pada 4,300 rpm, dengan pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi CVT.

    Untuk sistem bantuan pemandu, semua varian bagi City Hatchback facelift ini akan didatangkan dengan kelengkapan Honda Sensing secara standard, termasuk dengan ciri notifikasi ketibaan kereta hadapan.

    Ciri berkenaan menyertai fungsi sedia ada termasuk brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan kenderaan di hadapan, kawalan kelajuan adaptif, bantuan pemusatan lorong, bantuan kekal lorong dan lampu tinggi automatik. Varian e:HEV RS juga akan menerima ciri tambahan low-speed follow untuk fungsi kawalan kelajuan adaptif.

    Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, Honda Malaysia berkata lebih 28,700 unit City Hatchback telah dijual sejak ia diperkenalkan pada tahun 2021, dengan 10,300 unit telah dihantar kepada pelanggan pada tahun lalu. Di mana varian e:HEV RS telah menyumbangkan 16% jualan untuk keseluruhan model hibrid syarikat tersebut setakat ini.

     
     
  • VinFast VF e34 dikesan di M’sia – 150 PS/242 Nm, jarak gerak 318 km; jenama Vietnam bakal lancar EV di sini?

    VinFast VF e34 dikesan di M’sia – 150 PS/242 Nm, jarak gerak 318 km; jenama Vietnam bakal lancar EV di sini?

    Tahun lalu, Reuters melaporkan pengeluar kereta Vietnam, VinFast, menyasarkan untuk mengembangkan jenamanya di rantau Asia. Jenama ini telah pun memasuki pasaran Indonesia dan merancang untuk membina fasiliti pemasangannya di sana pada tahun 2026. Ketika penganjuran Bangkok International Motor Show (BIMS) baru-baru ini, VinFast telah pun dilancarkan di Thailand dengan model pertamanya, VF e34 bakal dijual bermula Jun ini.

    VF e34 merupakan kenderaan elektrik (EV) pertama yang dibangunkan oleh VinFast, dan didedahkan pada tahun 2021, yang menerima sentuhan rekabentuk crossover segmen-C. Baru-baru ini, Daniel Izham telah memuat naik foto menerusi paultan.org Automotive/Car Discussion Group di Facebook,yang memaparkan model ini tanpa balutan penyamaran dan menggunakan trade plate, yang kebarangkalian Malaysia menjadi sebahagian daripada perancangan VinFast untuk mengembangkan jenamanya ke rantau Asia.

    Bagi aspek spesifikasinya, VF e34 (yang dijual di Indonesia) dilengkapi dengan motor elektrik hadapan yang mampu memberikan kuasa hingga 150 PS (148 hp atau 110 kW) dan tork 242 Nm. Ia dijanakan oleh bateri lithium-ion dengan kapasiti kuasa 42 kWh, memberikannya jarak gerak hingga 318 km mengikut standard NEDC. Menerusi pengecas pantas DC (250 kW), baterinya mampu mencapai status pengecasan 10-70% dalam hanya 27 minit, dan turut menyokong pengecas AC pada 7.5 kW.

    Crossover VinFast ini berukuran 4,300 mm panjang, 1,793 mm lebar, 1,613 mm tinggi dan jarak rodanya 2,611 mm. Sebagai perbandingan, BYD Atto 3 lebih besar iaitu berukuran 4,455 mm panjang, 1,875 mm lebar, 1,615 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm.

    Di negara kelahirannya Vietnam, VF e34 ditawarkan pada harga 830 juta dong (sekitar RM156k) atau 710 juta dong (RM133k). Dengan harga kedua itu disertakan langganan bateri, yang mengurangkan harga dengan mengasingkan kos bateri daripada kenderaan untuk menjadikannya sebagai EV lebih mampu milik untuk pelanggan. Ini juga membantu meredakan kebimbangan pelanggan tentang kemerosotan dan penyelenggaraan bateri, walaupun pemilik perlu membayar jika melebihi jumlah perbatuan yang ditetapkan setiap bulan.

    Jika untuk pasarean Malaysia, ia ditetapkan pada harga sekitar RM156k, VF e34 ini mampu memberikan persaingan buat BYD Atto 3, Chery Omoda E5 dan MG ZS EV. Model EV mana yang lebih menyakinkan dan menjadi pilihan anda?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024