Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Jetour pamer SUV tujuh-tempat duduk keluarannya di Malaysia – 1.5T 156 PS/230 Nm, DCT enam-kelajuan

    Jetour pamer SUV tujuh-tempat duduk keluarannya di Malaysia – 1.5T 156 PS/230 Nm, DCT enam-kelajuan

    Selain model Dashing, Jetour turut mempamerkan satu lagi SUV keluarannya, menerusi Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung di Maeps, Serdang. SUV segmen-D tujuh tempat-duduk ini dijangka mampu memberikan persaingan buat Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro.

    Bakal dilancarkan pada separuh pertama tahun ini, seperti Dashing, SUV Jetour tujuh-tempat duduk ini akan ditawarkan dengan dua varian iaitu Prime dan Signature. SUV ini berukuran 4,724 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm. Manakala ground clearance cecah 144 mm.

    Hanya satu enjin sahaja ditawarkan untuk Malaysia iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder yang mampu menghamburkan kuasa 150 PS pada 5,500 rpm dan tork 230 Nm antara 1,750 hingga 4,000 rpm. Penjana kuasa ini sama seperti yang diberikan kepada Chery Omoda 5, dan ia dipadankan dengan transmisi dwi-klac basah enam-kelajuan berbanding CVT.

    Jetour pamer SUV tujuh-tempat duduk keluarannya di Malaysia – 1.5T 156 PS/230 Nm, DCT enam-kelajuan

    Untuk pengetahuan, SUV Jetour tujuh-tempat duduk ini sebenarnya model lama, yang telah berada dalam barisan Jetour sejak tahun 2018. Walau bagaimana pun versi Plus ini boleh dianggap sebagai facelift yang komprehensif (bukan yang terkini seperti yang ditunjuk di Beijing bulan lalu) dan ditambah dengan lampu utama yang lebih menarik, gril haksagon yang lebih besar, sekeliling tingkap dengan kemasan krom penuh, lampu utama lebar sepenuhnya dan dua paip ekzos (palsu). Kedua-dua model ini juga didatangkan lampu utama LED automatik, serlahan luaran merah, rel bumbung dan roda aloi dua-tona 19-inci.

    Di dalamnya, kelihatan panel widescreen ala-Mercedes dengan paparan berkembar 10.25-inci, di samping skrin berasingan untuk pendingin hawa. Ciri standard yang turut diberikan termasuklah kemasukan pintar, butang penghidup enjin, pedal penukar gear, kawalan kelajuan, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengan enam-cara, upholstery kulit, Apple CarPlay dan Android Auto, pengecas tanpa wayar WI 50-wat, empat-pembesar suara, sistem kamera 360-darjah dan tailgate kuasa.

    Jetour pamer SUV tujuh-tempat duduk keluarannya di Malaysia – 1.5T 156 PS/230 Nm, DCT enam-kelajuan

    Ciri tambahan diberikan untuk varian Signature iaitu bumbung suria kaca panoramik, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori dan pedal metal. Bagi aspek keselamatan, Prime diberikan empat beg udaga dan brek kecemasan autonomous, sementara Signature ditambah beg udara tirai (kesemuanya enam beg udara), pemantauan titik buta, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan amaran membuka pintu.

    Sebelum ini wakil Jetour ada memaklumkan kemungkinan besar SUV keluarannya ini akan diberikan nama lain untuk pasaran Malaysia, namun hingga kini tiada pengesahan mengenainya.

     
     
  • Honda ADV350 dilancarkan di Malaysia – RM33,999

    Honda ADV350 dilancarkan di Malaysia – RM33,999

    Sudah beberapa tahun di pasaran luar, Honda ADV350 kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM33,999 tidak termasuk insurans. Tiga warna disediakan iaitu Mat Gun Powder Black Metallic, Pearl Smoky Gray dan Mat Candy Tulip Red. Jaminan yang diberi adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Membawa gaya ala motosikal adventure, tetapi pada sebuah skuter, ADV350 ini mengikuti konsep rekaan sama seperti X-ADV 750 dan ADV150, dengan mencatat tinggi tempat duduk 795 mm dan jarak kelegaan dari tanah 145 mm.

    Menggerakannya adalah enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-Fi 330 cc, bersama transmisi automatik CVT dan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan kuasa 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.8 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Pada bahagian roda, ADV350 menggunakan rim jenis aloi bersaiz 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, masing-masing dibalut tayar 120/70 dan 140/70. Memegangnya kepada casis adalah fork USD 37 mm di hadapan dan dua penyerap hentak denan tabung di belakang. Brek terdiri daripada tetapan cakera 256 mm di hadapan (tunggal) dan 240 mm di belakang (dengan ABS two-channel secara standard).

    Walaupun datang dengan konsep lasak, ADV350 masih lagi menyediakan kemudahan seperti kebanyakan skuter dengan terdapat ruang simpanan 48 liter di bawah tempat duduk (boleh memuatkan dua helmet), pengecas USB serta penghadang angin hadapan yang boleh dilaras. Menjadikan ia lebih canggih, ADV350 turut didatangkan dengan sistem kunci pintar serta panel paparan LCD.

    Perincian lain skuter ini adalah termasuk berat keseluruhan 186 kg, lampu depan dan belakang LED, tangki bahan api 11.7 liter dan sistem keselamatan Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang disediakan dalam pilihan dua mod atau boleh ditutup terus.

     
     
  • BMW R1300GS dilancarkan di Malaysia – dari RM140k

    BMW R1300GS dilancarkan di Malaysia – dari RM140k

    Didedahkan kali pertama September tahun lalu, BMW R1300 GS kini akhirnya dilancarkan untuk pasaran Malaysia dengan harga RM140,000 tidak termasuk insurans. Turut disediakan adalah versi Option 719, Tramuntana, yang dijual pada harga RM149,500.

    Model ini melibatkan perubahan yang menyeluruh termasuk bentuknya yang kini nampak lebih langsing serta lampu hadapan LED matriks dengan pencahayaan berbentuk X. Lampu penunjuk arah diletakkan pada penghadang tangan, sementara lampu belakang menggunakan unit bersepadu yang menggabungkan lampu serta penunjuk arah dalam satu unit.

    Pada bahagian enjin, tetapan boxer-twin masih digunakan, tetapi dijadikan lebih kompak dengan kedudukan kotak gear diubah ke bawah enjin dan menggunakan tetapan camshaft baru. Enjin berkapasiti 1,300 cc ini mampu menghasilkan 145 hp pada 7,750 rpm dan tork 145 Nm pada 6,500 rpm, menjadikannya sebagai enjin boxer BMW paling berkuasa setakat ini.

    Berat R1300 GS adalah 12 kg lebih ringan berbanding R1250 GS, dengan mencatat jumlah keseluruhan 237 kg berbanding 249 kg bagi R1250 GS. Antara yang menjadi penyumbang kepada pengurangan berat ini adalah tangki bahan api aluminium serta rekaan suspensi serba baru.

    Di hadapan, R1300 GS menggunakan tetapan suspensi Evo Telelever, sementara di belakang pula Evo Paralever. Apabila digabungkan dengan kerangka yang lebih tegar dan rekaan aluminium tempa menggantikan trellis bagi subframe belakang, stabiliti serta pengendalian GS baru ini menjadi lebih baik.

    Sistem suspensi elektronik Dynamic Suspension Adjustment (DSA) disediakan sebagai pilihan tambahan, dan dengannya, penunggang boleh menikmati pelarasan dinamik serapan hadapan dan belakang bersama pelarasan kadar spring. Pelarasan ini dapat dilakukan secara automatik sepanjang masa, termasuk apabila motosikal ditunggang sendirian, berdua ataupun dengan barang.

    BMW R1300GS dilancarkan di Malaysia – dari RM140k

    Terdapat empat mod tunggangan pada R1300 GS, iaitu Road, Rain, Eco dan Enduro. Penyampaian kuasa setiap mod adalah berbeza, dengan Road dan Rain adalah lebih lembut, Eco lebih ke arah penjimatan bahan api sementara Enduro menghasilkan penyampaian kuasa paling optium untuk tunggangan offroad.

    Sistem bantuan tunggangan yang dipanggil sebagai Riding Assistant pada motosikal ini juga agak lengkap dengan termasuk Active Cruise Control (ACC), Front Collision Warning (FCW) serta Lane Change Warning (SWW). Kelengkapan lain yang diberi adalah termasuk tempat mengecas telefon dengan soket USB dan soket 12V, sistem kunci pintar Keyless Ride, cruise control dan bateri lithium ion.

     
     
  • Jetour Dashing diperkenalkan di Malaysia – SUV 5-tempat duduk dengan 1.5T 156 PS; CKD; dua varian

    Jetour Dashing diperkenalkan di Malaysia – SUV 5-tempat duduk dengan 1.5T 156 PS; CKD; dua varian

    Pengeluar kereta China, Jetour, telah mengambil kesempatan menerusi penganjuran Malaysia Autoshow 2024 dengan mempamerkan model Dashing, selain SUV 7-tempat duduk keluarannya. Kedua-dua model SUV ini akan diproduksi secara tempatan (CKD) untuk pasaran Malaysia.

    Dashing merupakan SUV lima-tempat yang dibangunkan dengan senibina Kunlun, dengan saiz antara Honda CR-V (4,691 mm panjang) dan Toyota Corolla Cross (4,460 mm panjang), iaitu berukuran 4,590 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,685 mm tinggi dan jarak roda 2,720 mm.

    Dua varian ditawarkan, iaitu Prime dan Signature, kedua-duanya dijanakan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu memghamburkan kuasa 156 PS (154 hp) pada 5,500 rpm adan tork 230 Nm dari 1,750 hingga 4,000 rpm.

    Jetour Dashing diperkenalkan di Malaysia – SUV 5-tempat duduk dengan 1.5T 156 PS; CKD; dua varian

    Pacuannya disalurkan ke roda hadapan menerusi transmisi dwi-klac enam-kelajuan dan pemandu boleh memilih tiga mod pemanduan (Economy, Comfort, Sport) untuk kesesuaian pemanduan. Bagi varian asas Prime, ia diberikan roda 18-inci (tayar profil 235/60), sementara model spesifikasi tertinggi ditampilkan dengan unit 19-inci (tayar profil 235/55).

    Bagi ciri kelengkapan standard yang lain, Prime menerima lampu utama LED, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, tailgate kuasa, kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin, remote engine start, upholstery tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, kluster instrumen digital 25-inci, skrin sesentuh infotainmen 10.25-inci, sokongan Android Auto dan Apple CarPlay, pad pengecas tanpa wayar 50W, empat pembesar suara dan pendingin hawa automatik dengan corong di belakang dan penapis CN95.

    Untuk sistem bantuan pemandu dan keselamatan, varian asas menerima kawalan kelajuan pasif, kamera undur, ABS, EBD, bantuan brek, ESC, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX, amaran terlebih kelajuan dan empat penderia undur.

    Jetour Dashing diperkenalkan di Malaysia – SUV 5-tempat duduk dengan 1.5T 156 PS; CKD; dua varian

    Manakala varian Signature diberikan ciri kelengkapan tambahan termasuk bumbung suria panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-cara, pencahayaan ambien, bantuan tukar lorong, pemantauan titik buta, amaran tukar lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan pemantau pendangan sekeliling 360-darjah.

    Tetapi tidak pula dinyatakan tentang brek kecemasan autonomous menerusi risalah spesifikasi yang diberikan kepada kami. Walau bagaimana pun, terdapat lima warna luaran yang ditawarkan iaitu Vanilla Blue, Khaki White, Star Black, Phantom Grey dan Tech Grey.

    Untuk harganya juga tidak dikongsikan buat masa ini. Kena nantikan pelancarannya yang dijangka akan berlangsung pada separuh kedua tahun ini.

     
     
  • Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

    Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) hari ini telah melancarkan beberapa varian tambahan bagi EV Mercedes-Benz EQE pada pasaran tempatan. Ia termasuk dua dalam versi SUV iaitu Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line dan juga Mercedes-Benz EQE350+ SUV AMG Line 2024.

    Kedua-dua versi ini merupakan varian yang hanya dilengkapi satu motor elektrik yang memacu roda belakang, berbanding varian tertinggi EQE 500 4Matic dengan dua motor elektrik pacuan semua roda yang telahpun dilancarkan di sini pada Disember tahun lalu.

    Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line dijual pada harga RM398,888, manakala EQE 350+ SUV AMG Line pula dijual pada harga RM448,888. Kesemua angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran.

    Mercedes-Benz EQE350+ SUV Electric Art Line / AMG Line 2024 EV dilancarkan di Malaysia;RM399k-RM449k

    Dengan berkongsi lencana EQE 350+ yang sama, kedua-dua varian ini dilengkapi motor elektrik yang serupa menghasilkan 292 PS (288 hp atau 215 kW) dan tork maksima 565 Nm, menerima bekalan kuasa elektrik dari bateri litium-ion 400-volt dengan kapasiti 90.56 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 596 km dengan satu cas penuh dalam kitaran WLTP.

    Prestasi kedua-dua SUV EV pacuan roda belakang ini juga serupa dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 6.7 saat, sebelum mencatatkan kelajuan maksima 210 km/j.

    Dengan bateri yang sama, kedua-dua model ini boleh dicas semula dengan pengecas AC 22 kW yang mengambil masa empat jam 45 minit untuk dipenuhkan dari 0%. Ia juga boleh menerima pengecas pantas DC sehingga 170 kW dengan penyambung CCS2, di mana cas dari 10% hingga 80% dapat dicapai dalam masa 32 minit.

    Papan pemuka Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line (kiri) dan AMG Line (kanan)

    Untuk pecahan perincian mengikut varian, model Electric Art Line menerima pakej penggayaan luaran Electric Art, lampu hadapan Digital Light dengan Adaptive Highbeam Assist Plus serta rim aloi ringan lima jejari 20-inci. Manakala dalam kabin, ia juga menerima pakej penggayaan Electric Art dengan upholsteri kulit sintetik Neotex/Artico kemasan hitam dan space grey, dan juga perapi laser-cut dengan hiasan logo bintang tiga penjuru Mercedes-Benz.

    Ia juga diberikan lampu suasana kabin aktif, konsol tengah kemasan hitam, pelapik bumbung fabrik hitam, tempat duduk comfort, karpet kaki velour, roda stereng balutan kulit, sistem penghawa dingin pelbagai zon Thermotronic, pad pengecas telefon pintar tanpa wayar dan juga suspensi Comfort.

    Kabin SUV ini juga diberikan sistem Mercedes-Benz User Experience (MBUX) yang menggandingkan paparan instrument digital dengan skrin 12.3-inci dan skrin sesentuh utama OLED 17.7-inci. Sistem infotainmen ini turut menampilkan audio Advanced Sound System, pengimbas cap jari untuk akses segera ke profil pengguna, sistem navigasi dengan teknologi AR, serta sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Manakala bagi EQE 350+ SUV AMG Line, ia dilengkapi dengan rim aloi ringan AMG lima-jejari berdiameter 20-inci, serta kelengkapan lain yang dikongsi bersama EQE 500 SUV seperti bumbung panaromik, suspensi Airmatic, stereng gandar belakang (dengan sudut putaran 10 darjah), sistem bunyi surround Burmester 3D dan tempat duduk Sports.

    Ia juga diberikan pemijak sisi yang kelihatan seperti aluminium dan diberikan stad getah, upholsteri kulit, paparan head-up, karpet kaki AMG, pakken Energising, pakej Air Balance, pakej Acoustic Comfort dan juga roda stereng yang dibalut kulit Nappa.

    Perapi kemasan dalaman pada EQE 350+ AMG Line ini juga serupa dengan EQE 500 menampilkan kemasan kayu magnolia dengan motif paten logo Mercedes-Benz aluminium.

    Kedua-dua varian EQE 350+ SUV ini datang standard dengan pakej Driving Assistance Plus, menampilkan fungsi seperti brek kecemasan automatik, Active Distance Assist Distronic (cruise control adaptif) dengan tambahan pemula automatik dalam kesesakan trafik, Active Lane Keeping Assist, Active Steering Assist, Evasive Manoeuvre Support dan Pre-Safe Impulse Side.

    Penghantaran kepada pelanggan bagi kedua-dua Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line dan Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line ini akan bermula Jun nanti.

    GALERI: Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line 2024

    GALERI: Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line 2024

    Gambar rasmi Mercedes-Benz EQE 350+ SUV Electric Art Line 2024

    Gambar rasmi Mercedes-Benz EQE 350+ SUV AMG Line 2024

     
     
  • Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 23-26 Mei sempena Minggu Perpaduan 2024 di Angsana JB

    Polis beri 50% diskaun saman trafik pada 23-26 Mei sempena Minggu Perpaduan 2024 di Angsana JB

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menawarkan diskaun saman trafik sebanyak 50% pada 23 hingga 26 Mei 2024. Ia adalah sempena penganjuran acara Minggu Perpaduan 2024 peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Angsana Johor Bahru Mall, Johor bermula hari ini. Di mana kaunter saman trafik berkenaan dibuka di Tapak Akasia Ruang Pameran Agensi Keselamatan dari 10 pagi hingga 5 petang.

    Seperti amalan sebelum ini, pemberian diskaun saman ini tidak ditawarkan untuk kesalahan seperti saman lampu isyarat merah, saman menggunakan lorong kecemasan, saman memotong secara berbahaya dan saman memotong di garisan kembar

    Ini termasuk juga dengan saman Kemalangan, saman Non Compund (NC), saman bicara mahkamah, saman melibatkan lori, saman ubahsuai ekzos dan saman Ops Selamat tahun semasa.

    Jadi, jika anda berada di Johor Bahru atau kawasan sekitarnya pada tarikh berkenaan, jangan lupa ambil peluang ini untuk mendapatkan kadar diskaun bagi saman trafik terpilih.

     
     
  • BYD Bao 5 dipamer di Malaysia – SUV off-road PHEV

    BYD Bao 5 dipamer di Malaysia – SUV off-road PHEV

    BYD membuat kejutan dengan mempamerkan BYD Bao 5 di Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung di Maeps, Serdang. Penampilan SUV off-road PHEV di sini selepas ia dipamerkan di Thailand pada bulan lalu menerusi Bangkok International Motor Show (BIMS), dan ia merupakan unit pemanduan sebelah-kiri.

    Turut dikenali sebagai Leopard 5, Bao 5 ini berukuran 4,890 mm panjang, 1,970 mm lebar dan 1,920 mm tinggi menampilkan penjana kuasa plug-in hybrid yang mampu menghamburkan output sehingga 687 PS (677 hp atau 505 kW) dan tork 760 Nm. Membolehkan ia dipecut dari 0-100 km/j dalam 4.8 saat.

    Dengan enjin pembakaran dalaman (ICE) pula, ia diberikan dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol dengan hamburan kuasa 194 PS (192 hp atau 143 kW) dan tork 273 Nm, dipadankan bersama CVT elektronik.

    Ia juga diberikan dua motor elektrik, setiap satunya diletakkan di hadapan dan belakang, mendorong lebih ledakan kuasa. Dengan motor hadapan menawarkan kuasa 272 PS (268 hp atau 200 kW) dan 360 Nm, sementara di belakang menyalurkan 387 PS (382 hp atau 285 kW) dan 400 Nm.

    Motor elektrik terbabit dijanakan oleh bateri Blade lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti tenaga 31.8 kWh. Ia mampu memberikan Bao 5 jarak gerak elektrik-sahaja hingga 125 km (mengikut standard CLTC).

    Bagi aspek pengecasan, bateri ini menyokong pengecasan pantas DC dengan kadar maksimum 100 kW, di mana tahap pengecasan antara 30% hingga 80% boleh dicapai dalam 16 minit. Ia juga mempunyai sistem vehicle-to-load (V2L) yang membolehkannya membekalkan hingga 6 kW untuk aksesori dan peranti elektronik.

    Serlahan dalaman yang ditampilkan termasuklah tiga skrin paparan, iaitu kluster instrumen digital 12.3-inci, skrin sesentuh bahagian penumpang 12.3-inci dan skrin sesentuh sentral 15.6-inci. Larasan tiga-skrin ini adalah standard untuk varian tertinggi yang dijual di China, bersama paparan utama dengan kawasan projection merentangi 50-inci.

    Setakat ini, belum dipastikan bila atau adakah Bao 5 ini akan diproduksi untuk versi pemanduan sebelah-kanan (RHD), tetapi memandangkan SUV ini ditampilkan di Thailand dan di sini, maka mungkin juga ia dalam perancangan. Di pasaran China, Bao 5 ditawarkan dengan tiga varian, dengan harga dari 289,900 hingga 352,800 yuan (sekitar RM188k to RM229k).

     
     
  • Harga minyak 23-29 Mei – Tiada perubahan

    Harga minyak 23-29 Mei – Tiada perubahan

    Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa untuk minggu bertarikh 23 hingga 29 Mei 2024, harga runcit ketiga-tiga bahan api utama iaitu petrol RON 97, RON 95 dan diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023.

    Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Begitu juga dengan diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel. Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

    Anwar turut menjelaskan bahawa melalui usaha penyasaran subsidi diesel tersebut, jumlah penjimatan kepada kerajaan secara kasar adalah dijangka sekitar RM4 bilion setahun.

     
     
  • Jemaah menteri setuju laksana subsidi bersasar ke atas diesel bermula di Semenanjung – PM Anwar

    Jemaah menteri setuju laksana subsidi bersasar ke atas diesel bermula di Semenanjung – PM Anwar

    Dalam Perutusan Negara yang disiarkan secara langsung di semua saluran media tempatan malam ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa jemaah menteri telah bersetuju melaksanakan penyasaran subsidi untuk bahan api diesel.

    Menurut beliau, sebagai permulaan, penyasaran tersebut hanya melibatkan pengguna bagi kawasan Semenanjung dan tidak melibatkan Sabah serta Sarawak.

    “Bezanya, Sabah dan Sarawak hampir setiap keluarga menggunakan diesel untuk kegunaan kenderaan, jadi kita menangguhkan sebarang tindakan kerana membebankan kebanyakan rakyat.

    “Di Semenanjung, bagi membendung kenaikan mendadak harga barang, kerajaan berikan subsidi diesel kepada pengguna komersial melibatkan 10 jenis kenderaan pengangkutan awam dan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

    “Ini termasuk pengusaha bas dan teksi. Kerajaan juga akan terus memberi subsidi diesel kepada kategori nelayan tertentu,” katanya.

    Anwar turut menjelaskan bahawa melalui usaha penyasaran subsidi diesel tersebut, jumlah penjimatan kepada kerajaan secara kasar adalah dijangka sekitar RM4 bilion setahun.

    “Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan tunai kepada pemilik individu kenderaan diesel yang layak termasuk petani kecil, pesawah dan peniaga kecil.

    “Bantuan tunai ini pastinya tidak memanfaatkan golongan T20,” katanya lagi. Walau bagaimanapun, bila tarikh sebenar perlaksanaan subsidi bersasar untuk bahan api diesel ini masih belum diumumkan.

     
     
  • GAC Aion Y Plus di Malaysia — dua varian, bateri 63.2 kWh, jarak perjalanan 490 km; harga bermula RM120k

    GAC Aion Y Plus di Malaysia — dua varian, bateri 63.2 kWh, jarak perjalanan 490 km; harga bermula RM120k

    WTC Automotif (M) Sdn Bhd (WTCA) hari ini memperkenalkan secara rasmi buat pertama kali model GAC Aion Y Plus 2024, sebuah crossover elektrik untuk pasaran Malaysia. WTCA merupakan anak syarikat Warisan TC Holdings Bhd dan merupakan pengedar tunggal bagi kenderaan elektrik GAC Aion di sini.

    Untuk pasaran tempatan, GAC Aion ditawarkan dalam dua varian, iaitu Elite (RM119,800) dan Premium (RM135,800). Tujuh pilihan warna diberikan dan lima warna ruang dalaman disediakan, menjadikan 35 kombinasi kesemuanya yang boleh dipilih oleh pelanggan.

    Pakej lepas jualan dengan jaminan komprehensif juga disediakan, termasuklah jaminan lapan tahun/160,000 km bagi kenderaan, dan juga jaminan lapan tahun/200,000 km bagi bateri EV, motor elektrik dan kawalan elektriknya.

    GAC Aion Y Plus di Malaysia — dua varian, bateri 63.2 kWh, jarak perjalanan 490 km; harga bermula RM120k

    Sempena dengan pengenalan ini, WTCA juga menawarkan 200 pelanggan terawal yang membuat tempahan bagi GAC Aion Y Plus ini pengecas wallbox 7 kW di rumah secara percuma (yang bernilai RM3,500) serta kredit pengecasan JomCharge percuma bernilai RM1,000.

    Dari segi rekaan luaran, Aion Y Plus menggabungkan elemen dari SUV dan juga imej canggih. Antaranya termasuk lampu utama LED Angel Wing, lampu belakang LED Skyline, pemegang pintu tersorok, bumbung panoramik bagi kedua-dua varian serta rim 17-inci bagi Elite dan 18-inci bagi Premium.

    Model ini dilengkapi dengan bateri Magazine 63.2 kWh 2.0 dari jenis lithium iron phosphate (LFP). Dengan kitaran NEDC akan memberikan jarak perjalanan sejauh 490 km. Untuk pengecasan pula, kedua-duanya hadir dengan pengecas dalaman AC 6.6 kW (Type 2) yang turut boleh menampung sehingga 80 kW pengecasan pantas DC (CCS2).

    GAC Aion Y Plus di Malaysia — dua varian, bateri 63.2 kWh, jarak perjalanan 490 km; harga bermula RM120k

    Kedua-dua varian ini menggunakan sebuah motor elektrik pacuan depan yang menjana sebanyak 150 kW (204 PS) dan 225 Nm. Ini membolehkan kereta ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.5 saat. Ia juga hadir dengan fungsi pemanduan pedal tunggal i-Pedal.

    Ruang kabinnya luas, dengan kerusi larasan kuasa enam-arah untuk pemandu, skrin kluster instrumen 10.25-inci digital, sistem tanpa kunci, kawalan pendingin automatik dengan corong di belakang termasuk penapis udara PM2.5 sedia ada serta skrin sentuh 14.6-inci untuk infotainmen dengan sambungan Apple CarPlay.

    Khusus untuk varian Premium, ada tambahan kerusi berliang, kerusi penumpang depan larasan kuasa, pengecas telefon tanpa wayar serta lampu ambient 32-warna. Ruang barangan yang tersedia pula ialah 405 liter, dan boleh dilanjutkan menjadi 1,200 liter, dengan varian Premium dilengkapi ciri pintu barangan berkuasa bebas kendalian tangan.

    Bagi aspek keselamatan pula, GAC Aion Y Plus datang dengan enam beg udara, serta ciri umum lain seperti ABS, kawalan kestabilan, Hill Hold Control, peninjau 360-darjah dan sistem pemantau tekanan tayar — ini untuk kedua-dua varian.

    Selebihnya, Premium turut dilenkapi dengan barisan ciri keselamatan aktif ADAS pemanduan autonomous Tahap 2, yang terdiri antaranya daripada Adaptive Cruise Control (ACC) dengan fungsi Stop & Go dan Intelligent Cruise Assist, Forward Collision Warning (FCW), Autonomous Emergency Braking (AEB), Lane-Departure Warning (LDW) dengan Lane-Keeping Assist (LKA), serta Traffic Jam Assist (TJA).

    GAC Aion Y Plus Premium

     
     
  • Leapmotor C10 – SUV EV ‘mampu milik’ dari Stellantis bakal dilancarkan di Malaysia suku ke-empat 2024

    Leapmotor C10 – SUV EV ‘mampu milik’ dari Stellantis bakal dilancarkan di Malaysia suku ke-empat 2024

    Jenama EV mampu milik dari Stellantis iaitu Leapmotor bakal melancarkan model pertamanya ke pasaran Malaysia pada suku ke-4 tahun ini, menerusi sebuah SUV yang dikenali sebagai Leapmotor C10. Sebelum dilancarkan, model berkenaan didedahkan terdahulu kepada orang ramai di acara Malaysia Autoshow 2024 yang sedang berlangsung di MAEPS Serdang bermula hari ini.

    Model ini baru sahaja dipamerkan di Auto China 2024 yang berlangsung di Beijing baru-baru ini, bersama beberapa barisan model Leapmotor yang lain termasuk C11, C16 dan hatchback T03.

    C10 bukanlah model paling mampu milik dalam barisan EV dari Leapmotor. Namun mengapa Stellantis mengambil keputusan untuk menjadikan C10 sebagai model pengenalan berbanding hatchback T03 yang lebih murah?

    Leapmotor C10 – SUV EV ‘mampu milik’ dari Stellantis bakal dilancarkan di Malaysia suku ke-empat 2024

    Menurut pengarah urusan Stellantis Malaysia, Jamie Morais kepada paultan.org, ini kerana sasaran pembeli EV di Malaysia adalah tertumpu kepada segmen lebih premium dan kurang dipengaruhi oleh harga, jadi adalah lebih logik bagi Stellantis untuk memperkenalkan model yang lebih besar.

    Stellantis Malaysia juga belum mendedahkan harga untuk model ini di pasaran tempatan, tetapi Morais memberikan bayangan bahawa ia akan dijual pada julat lebih kurant sama dengan “model EV paling popular di Malaysia buat masa sekarang”.

    Leapmotor C10 ini dihasilkan dengan saiz yang agak besar seperti SUV segmen-D, dengan dimensi 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar, 1,680 mm tinggi dan jarak roda sejauh 2,285 mm. Jadi ia mungkin akan diposisikan lebih tinggi dari BYD Atto 3 iaitu SUV EV segmen-C yang dilihat sangat popular di pasaran tempatan, dijual pada harga bermula RM130k.

    Leapmotor C10 – SUV EV ‘mampu milik’ dari Stellantis bakal dilancarkan di Malaysia suku ke-empat 2024

    Spesifikasi penuh bagi model ini masih belum didedahkan, namun menurut pengarah dan CEO Leapmotor Jiangming Zhu ketika pengumuman kerjasama formal Leapmotor International bulan ini, C10 bakal dilengkapi dengan bateri yang membolehkan ia bergerak sejauh 420 km dalam kitaran WLTP untuk satu cas penuh.

    C10 merupakan salah satu antara dua model yang disenaraikan sebagai produk permulaan Leapmotor bagi pasaran global, dan ia akan disertai oleh satu lagi SUV tahun hadapan. Leapmotor juga akan memperkenalkan dua lagi hatchback yang akan dijadikan model global pada 2026, diikuti satu lagi SUV pada 2027.

     
     
  • MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    BMW Group Malaysia hari ini turut memperkenalkan MINI Countryman U25 serba baru di Malaysia. Dengan saiz yang lebih besar berbanding model generasi kedua F60 yang terdahulu, ia ditawarkan dalam janaan enjin petrol dan untuk pertama kali, versi elektrik sepenuhnya.

    Varian yang ditawarkan terdiri daripada Countryman SE All4 elektrik, dengan harga anggaran RM260,000 — ini RM26,000 lebih murah berbanding BMW iX1 xDrive30. Varian petrol pula diwakili oleh John Cooper Works Countryman, yang dijual dengan harga RM399,000. Serahan dijangka akan dilakukan pada suku ketiga tahun ini.

    MINI Countryman SE All4

    Bagi model SE, All4 merupakan konfigurasi dengan dua motor elektrik, yang secara keseluruhannya menjana 313 PS (230 kW) dan 494 Nm. Ini angka janaan yang sama dengan iX1 xDrive30, dan membolehkannya mencapai pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.6 saat (0.1 saat lebih pantas berbanding model BMW tersebut), dengan laju maksimum 180 km/j.

    Model ini dilengkapi dengan bateri 66.5 kWh, dengan jarak perjalanan 432 km mengikut kitaran WLTP. Untuk pengecasan, Countryman memanfaatkan pengecas pantas DC 130 kW (bateri 10-80% dalam masa 30 minit), dengan input pengecasan AC 22 kW. Menggunakan UKL2 platform yang sama dengan iX1, Countryman baru ini lebih besar dengan 130 lebih panjang dan jarak roda bertambah 22 mm berbanding model sebelumnya.

    MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    Antara kelengkapan yang ada termasuklah lampu utama LED berpetak dengan DRL, gril depan besar, kemasan fender besar, pemegang pintu unik dan lampu belakang LED “matrix” boleh kustom. Spesifikasi untuk Malaysia adalah dengan kemasan Favoured, yang hadir dengan tambaran kemasan luar hitam berkilat, skid plate hiasan serta pilihan antara bumbung warna Piano Black atau Vibrant Silver. Ini dilengkapi dengan rim Windmill Spoke 20-inci dua-tona.

    Di dalam, ruangnya juga lebih luas — ruang barangan misalnya boleh dipertingkat dari 460 liter menjadi 1,350 liter dengan kerusi belakang dilipat. Rekaan papan pemuka balutan fabrik Dark Petrol, stereng sport tiga jejari, corong pendingin menegak dan konsol tengah lebar dengan banyak ruang simpanan.

    Skrin sentuh OLED di tengan bersaiz 9.4-inci dengan perisian MINI Operating System 9 berasaskan Android, dengan sistem kawalan suara “Hey MINI”. Kluster instrumen pula diganti oleh head-up display. Turut tersedia ialah MINI Digital Key Plus untuk telefon pintar, MINI Driving Sounds dan sistem kamera 360-darjah dengan Remote 3D View. Suis di bawah skrin diringkaskan menjadi dua — untuk pemilih gear dan juga mod pemanduan, serta ada tombol pembesar suara, butang brek parkir dan tombol penghidup yang unik.

    MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    Kemasan Favoured melibatkan tambahan kerusi sport JCW yang diperbuat daripada kulit buatan Vescin Beading dalam warna Vintage Brown atau Dark Petrol. Selain itu, ada juga ciri kerusi depan larasan kuasa dengan fungsi memori dan urut, pelapik bumbung hitam dan sistem bunyi Harman Kardon dengan 12-pembesar suara.

    Dari segi kelengkapan, kereta ini datang standard dengan pakej Driving Assistant Plus, yang hadir dengan tambahan AEB, kawalan melayar adaptif dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, bantuan stereng evasif, peninjau titik buta dan pengesan papan tanda trafik. Selain itu turut dipasang ciri Parking Assistant Professional — terdiri daripada bantuan parkir jarak jauh melalui telefon pintar, Manoeuvring Assistant dan Reversing Assistant.

    MINI John Cooper Works Countryman All4

    MINI Countryman 2024 di Malaysia — EV U25 SE jarak hingga 432 km, JCW dengan 300 PS, dari RM260k

    Walaupun sebagai model prestasi, versi JCW mempunyai kuasa yang kurang berbanding varian EV. Enjin B48 2.0 liter turbocas empat-silindernya menghasilkan 300 PS dan 400 Nm tork. Digandingkan bersama transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan dan pacuan semua roda, model ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5.4 saat, dengan laju maksimum 250 km/j. Penyerap hentak adaptif juga disediakan.

    Membezakan versi JCW daripada SE ialah pakej luaran lengkap yang datang dengan bampar depan lebih agresif, rekaan diffuser besar dengan empat muncung ekzos serat bumbung dan perumah cermin warna merah. Rim pula 21-inci JCW Flag Spoke dengan tayar Pirelli P Zero, serta kaliper brek JCW Performance merah.

    Di dalam, yang berbeza ialah stereng JCW, kemasan fabrik dalaman khusus JCW dalam warna merah-hitam, kerusi balutan kulit buatan JCW Black Vecsin. Ruang butnya juga lebih besar dengan 505 liter dan boleh dilanjutkan menjadi 1,530 liter dengan kerusi dilipat.

    MINI Countryman SE All4

    MINI John Cooper Works Countryman All4

     
     
  • Perodua catat jualan terbaik sepanjang masa pada 2023 dengan 330,325 unit, meningkat sebanyak 17.1%

    Perodua catat jualan terbaik sepanjang masa pada 2023 dengan 330,325 unit, meningkat sebanyak 17.1%

    Perodua mencatatkan jualan terbaik sepanjang masa pada tahun lalu dan ia diumumkan oleh Presiden dan CEO Perodua Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad dalam ucapannya menerusi acara Malaysia Autoshow 2024.

    Di mana pada tahun lalu, Perodua berjaya merekodkan jualan sebanyak 330,325 unit, iaitu kenaikan sebanyak 17.1% berbanding 282,019 unit yang didaftarkan pada tahun 2022. Apa pun, jualan yang dicatatkan pada tahun 2022 merupakan peningkatan yang begitu ketara iaitu sekitar 48.2% berbanding 190,291 unit yang dijual pada 2021.

    Pada November 2023, Perodua telah menyemak semula sasaran jualan iaitu dinaikkan ke 325,000 unit berbanding sasaran awal 314,000 unit yang diumumkan pada Januari. Sasaran baharu itu dilakukan kerana Perodua berjaya meningkatkan pengeluaran mereka, dengan Bezza menjadi model keluarannya yang paling popular.

    Perodua catat jualan terbaik sepanjang masa pada 2023 dengan 330,325 unit, meningkat sebanyak 17.1%

    Untuk tahun ini, Perodua menyasarkan untuk mengekalkan jualan pada 330,000 unit. Ia boleh disifatkan sebagai sasaran yang optimis, apatah lagi suku pertama tahun ini bermula dengan baik di mana Perodua mencatatkan jualan cecah 112,845 kenderaan, meningkat sebanyak 15.8% berbanding 97,438 unit yang terjual antara Januari hingga April 2023.

    Seperti biasa, jualan yang dicatatkan adalah sepadan dengan pengeluaran, yang menyaksikan peningkatan sebanyak 15% kepada 118,547 unit dari Januari hingga April 2024, meningkat daripada 103,041 unit yang dilancarkan pada suku pertama 2023. Berkenaan dengan tempoh waktu menunggu pula, Perodua berkata kini disasarkan antara satu hingga lima berbulan, berbanding lapan hingga 10 bulan tempoh menunggu pada tahun lalu.

    Untuk penganjuran Malaysia Autoshow 2024 ini, Perodua turut mempamerkan kenderaan elektrik konsep Myvi yang digelar emo-1 dan juga model konsep Aruz X-Cape yang sesuai untuk aktiviti luar termasuk perkhemahan.

     
     
  • Masak mee segera di stesen minyak Genting Highland: Empat individu didenda RM500 atau penjara tiga hari

    Masak mee segera di stesen minyak Genting Highland: Empat individu didenda RM500 atau penjara tiga hari

    Mahkamah Majistret Bentong menetapkan denda RM500 atau penjara tiga hari terhadap empat individu yang didapati bersalah memasak mi segera di kawasan stesen minyak di Genting Highlands pada minggu lalu, laporan Harian Metro.

    Majistret Nadhratun Naiem Zainan menjatuhkan hukuman itu ke atas peniaga kedai makan Fadhli Zil Ikram Sazalin Isran Ji, 24, pegawai perkhidmatan pelanggan Nurfatin Irdina Shahrulnizam, 24, pembantu pergigian Nur Anis Salleh, 24, dan ejen hartanah Nur Azira Azman, 23, selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan itu.

    Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama memasak menggunakan dapur gas mudah alih dalam kawasan stesen minyak Taman Cendawan, Genting Highlands kira-kira jam 1.30 pagi pada 12 Mei lalu. Pendakwaan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM500 atau kedua-duanya.

    Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Zamharir Muhammad Zuhid memohon hukuman denda maksimum terhadap kesemua tertuduh bagi memberi pengajaran selain mengambil kira kesalahan serius sehingga menimbulkan persepsi dan kontroversi negatif dalam kalangan masyarakat.

    “Tertuduh melakukan kesalahan dengan perbuatan gopoh iaitu memasak dengan menggunakan dapur gas di kawasan larangan dan memuat naik video sehingga tular di media sosial. Perbuatan tertuduh melakukan aktiviti memasak di kawasan berkenaan boleh menimbulkan bahaya dan kecelakaan bukan hanya kepada tertuduh tetapi juga orang sekeliling di kawasan stesen minyak berkenaan,” katanya.

    Sebelum ini klip video berkenaan dimuat naik pada 13 Mei sebelum tular di laman sosial X dan Polis Daerah Bentong telah menerima laporan kejadian terbabit pada keesokan harinya dan mengesahkan seramai 15 individu telah ditahan.

     
     
  • Nissan Kicks e-Power ditunjuk di Malaysia – 900 km untuk 1 tangki penuh petrol, bakal dilancar tahun ini

    Nissan Kicks e-Power ditunjuk di Malaysia – 900 km untuk 1 tangki penuh petrol, bakal dilancar tahun ini

    Pelbagai model baharu yang belum dilancarkan ditayangkan di Malaysia Autoshow 2024 berlangsung MAEPS Serdang, yang bermula hari ini. Untuk Nissan, jenama yang diwakili oleh Edaran Tan Chong Motor (ETCM) tersebut membawakan SUV segmen-B Nissan Kicks e-Power yang dipamerkan secara rasmi buat pertama kali di Malaysia.

    Kicks telah didedahkan buat pertama kali sejak 2016, namun unit rangkaian kuasa e-Power hanya ditawarkan bermula versi facelift yang membuat kemunculan sulung globalnya di Thailand pada pada 2020. Ia menggunakan sistem hibrid elektrik jenis range extender di mana tayar hadapan dipacu sepenuhnya menggunakan motor elektrik, sementara enjin petrol hanya berfungsi untuk mengecas bateri.

    Unit rangkaian kuasa e-Power pada Kicks ini terdiri dari enjin pembakaran dalaman petrol tiga silinder 1.2 liter HR12DE berkuasa 79 PS pada 5,400 rpm dan tork maksima 103 Nm untuk mengecas bateri 1.57 kWj yang diletakkan di bawah tempat duduk hadapan. Kuasa elektrik dari bateri berkenaan kemudiannya akan memacu motor elektrik EM57 berkuasa 129 PS (95 kW) dan 260 Nm bagi menggerakkan SUV ini.

    Nissan Kicks e-Power ditunjuk di Malaysia – 900 km untuk 1 tangki penuh petrol, bakal dilancar tahun ini

    Ini menjadikan pemanduan model hibrid ini benar-benar seperti kenderaan elektrik (EV) sebenar, termasuk tork puncak seawal 0 rpm dan menyediakan fungsi pemanduan One-pedal seperti Nissan Leaf, di mana pecutan dan brek semuanya boleh dikawal menggunakan satu pedal sahaja. Tiga mod pemanduan diberikan iaitu Smart, Eco, Normal dan EV.

    Dengan sistem ini juga pengguna tidak perlu mengecas bateri seperti model-model EV atau plug-in hybrid (PHEV), dan dengan satu tangki petrol penuh ia mampu bergerak sejauh 900 km. Dengan bateri yang terletak di bawah tempat duduk hadapan, ia tidak mengganggu ruang simpanan but dengan kapasiti 432 liter.

    ETCM menyatakan model ini bakal dilancarkan pada pasaran Malaysia menjelang hujung tahun ini. Ura-ura pelancaran Kicks ke pasaran tempatan sebenarnya sudah disebut sejak 2018, manakala model facelift dengan unit rangkaian kuasa e-Power ini telahpun muncul dalam iklan Tahun Baharu China ETCM pada 2022. Malah pada Kuala Lumpur International Auto Show (KLIMS) ETCM turut pernah mempamerkan Nissan Note yang turut menggunakan sistem e-Power untuk mendapatkan respon orang ramai terhadap teknologi berkenaan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025