Seperti biasa, Jumaat merupakan hari untuk harga minyak mingguan kita. Bagi tempoh seminggu ke hadapan, hanya petrol RON 97 yang akan menyaksikan perubahan harga.
Bermula esok, RON 97 akan dijual pada harga RM2.43 seliter, naik lima sen berbanding harga minggu lalu. Bagi petrol RON 95 pula, ia akan kekal pada harga RM2.08 seliter, selepas pengumuman had harga maksima bahan api berkenaan yang diturunkan daripada RM2.20 kepada RM2.08 seliter.
Harga bahan api diesel pula tidak berubah, dijual pada harga RM2.18 seliter bagi Euro 2M manakala diesel Euro 5 pula pada harga RM2.28 seliter. Kerajaan menjelaskan, harga bahan api diproses ketika ini semakin naik di pasaran dunia; harga RON 95 sebenar ketika ini ialah RM2.13 seliter dan diesel pula RM2.38 seliter.
Harga baru ini akan bermula tengah malam nanti, dan sah sehingga Jumaat depan, 8 Mac 2019.
Subaru telah mengeluarkan panggilan semula untuk model Forester tahun 2014 hingga 2016, WRX (empat pintu) 2011-2014, Impreza 2008-2016 dan XV 2012-2017. Ini adalah disebabkan terdapat potensi masalah berkenaan suis lampu brek pada semua model kenderaan yang disebutkan.
Menurut pengeluarnya, dalam keadaan tertentu, gas silikon daripada produk konsumer tertentu mungkin boleh meresap masuk ke dalam perumah suis lampu brek dan memberi kesan kepada operasi litarnya. Akibatnya, fungsi berkenaan dengan suis lampu brek (lampu brek, interlock transmisi, interlock penghidup enjin, Vehicle Dynamics Control dan sistem EyeSights) mungkin boleh gagal beroperasi.
Sekiranya perkara ini berlaku, Subaru memberitahu kegagalan lampu brek ini akan menyebabkan pengguna jalan raya lain tidak perasan keinginan pemandu untuk memberhentikan kenderaan, seterusnya meningkatkan risiko perlanggaran secara tidak sengaja.
Menurut Motor Image, panggilan semula ini melibatkan model kenderaan di Hong Kong, Malaysia, Filipina, Singapura, Taiwan, Thailand dan Vietnam. Pemilik semua model yang terlibat ini akan diberitahu berkenaannya dan Motor Image akan mengatur sesi penukaran bahagian yang terlibat secara percuma.
Saya bukanlah seorang yang sudah cukup berumur untuk bercerita tentang sejarah Ducati atau pengalaman yang berkenaannya dalam dekad-dekad yang terdahulu. Tetapi, apa yang saya tahu, syarikat yang berasal dari Itali ini sudah berjaya meletakkan jenamanya dalam kedudukan yang tersendiri.
Pada zaman majalah motosikal datang dengan poster di bahagian tengah, ia sentiasa dicari untuk digantung dalam bilik dan apabila menatapnya, ia seakan memberikan rasa yang unik. Walaupun cuma adalah mesin, ia boleh mewujudkan penampilan seksi dan dijadikan idaman anak muda.
Bukan setakat itu, Ducati juga terkenal dengan pembangunan teknologi, yang biasanya diserapkan pada model sport. Sekarang ini, sudah tentu, saingan adalah lebih sengit dan pengeluar semakin berlumba-lumba untuk menyediakan produk terbaik bagi pengguna.
Jenis motosikal juga sudah semakin banyak, sehinggakan kadang-kadang boleh muncul kategori baru yang menyatakan tujuan sesebuah model tersebut dibangunkan dan apa kegunaannya. Kalau ditanya kepada diri sendiri, saya suka semua jenis motosikal mengikut tujuan ia dihasilkan.
Contohnya, saya suka skuter kerana ia memudahkan, saya suka superbike kerana cukup berprestasi dalam litar dan saya suka model adventure untuk perjalanan jauh dan mengembara. Tapi apabila betul-betul mahu membuat pilihan untuk membeli, saya akan pergi kepada model yang kedudukan menunggangnya tegak dan cukup berkuasa untuk saya melampiaskan ketagihan adrenalin pada waktu-waktu tertentu.
Minggu lalu, Geely telah mendedahkan gambar rasmi pertama sedan elektrik penuh mereka, yang menggunakan nama kod GE11, dan baru-baru ini pula, kereta tersebut telah dipertontonkan di Muzium Himalaya di Shanghai, sekaligus mendedahkan lebih perincian dan gambar, termasuk buat pertama kalinya, gambar bahagian dalam.
Menurut Geely, GE11 telah direka untuk mengetengahkan statusnya sebagai kenderaan tanpa emisi, berdasarkan konsep baru bagi kenderaan elektrik yang “pelbagai dimensi, boleh ubah dan hidup” – meskipun kereta itu masih menggunakan identiti rekaan ‘expanding cosmos‘ jenama itu. Bahagian depan yang tidak menggunakan gril ini juga seperti mendapat pengaruh daripada Concept Icon.
Lampu utama yang nipis pada GE11 dikatakan memanjang seperti “garisan cahaya,” dan penjurunya menjangkau sehingga bahagian tepi kereta. Garis tepi badan kenderaan ini juga kelihatan berbeza berbanding model Geely yang lain, manakala di atas terdapat bumbung panoramik yang luas dan di tepi ia menggunakan pembuka pintu sama rata dengan permukaan (boleh keluar sendiri apabila pengguna datang dekat).
Meskipun Geely masih belum menunjukkan secara penuh bahagian belakang, kita boleh melihat ia menggunakan lampu dengan pencahayaan bergaris mendatar sementara gambar yang didedahkan oleh laman Autohome dari China menunjukkan terdapat jalur krom yang menyambungkan antara lampu kiri dan kanan di tengah. Rim yang digunakan pula dapat menyumbang kepada rintangan angin yang kini menjadi 0.24 Cd.
Konsep ringkas pada kereta ini dibawakan sehingga ke dalam, di mana ia menggunakan papan pemuka bertingkat dan konsol tengah yang tidak simetri. Untuk pemandu, panel instrumen telah dijadikan kecil dan seperti terapung, manakala di tengah terdapat skrin sebesar 12.3 inci. Sistem sesentuh telah mengurangkan jumlah butang kawalan yang ada dan di dalam perehat tangan terdapat tempat mengecas telefon bimbit tanpa wayar.
Menurut Geely lagi, GE11 menepati tahap perlindungan alam sekitar OEKO-TEX Standard 100, menjadikan ia selamat termasuk untuk bayi yang baru lahir. Fabrik mesra alam padanya yang kalis air, tidak akan busuk dan mempunyai liang dikatakan dapat mencegah tempat duduk daripada menerima kesan akibat suhu sekitar, dan masih lembut dan selesa untuk diduduki.
Spesifikasi teknikal masih belum disiar, tetapi ia pernah dilapor akan dikuasakan oleh motor elektrik 130 kW bateri lithium ion, memberikan laju maksimum sehingga 150 km/j. GE11 ini akan menjadi model pertama di bawah jenama baru Geely New Energy, dab boleh dilihat menggunakan logo warna perak.
Ini satu lagi model yang ditunjukkan lebih awal sebelum ke Geneva. Terbaru, Mercedes-Benz mendedahkan model GLC X253 facelift. Ia masih mengekalkan garis rekabentuk yang sama seperti sebelumnya, dengan pembaharuan diberikan pada wajah depannya.
Bahagian depan menampilkan lampu utama dalam bentuk trapezoidal yang lebih kurus, selari dengan bentuk gril yang dijuga diberi rekaan baru. Ini memberikan wajah baru GLC yang mempunyai iras dengan model lebih besar, GLE.
Lampu berkenaan menampilkan teknologi LED sebagai standard, dengan teknologi Multibeam sebagai pilihan. Dengan ciri ini, jalur DRL berada dalam kedudukan selari dengan bahagian atas dan bawah unit lampu utamanya. Selain itu bampar juga menerima sentuhan rekaan baru – dengan pelindung bampar serta tiga lubang besar di tengah.
Lebih banya perubahan ada di belakang; lampunya kini dengan rekaan grafik bentuk gelung yang juga dilihat pada GLE. Bampar juga diberikan rekaan baru, dengan tambahan skid plate krom dan hujung ekzos bersepadu. Pilihan rim pula terdiri daripada empat pilihan, bersaiz antara 17 hingga 19-inci. Turut perkenalkan ialah warna luaran baru, Graphite Grey, dengan pakej AMG Line dengan “diamond grille” untuk menyerlahkan imej bahagian depan.
Bahagian dalaman pula sebahagian besarnya kekal tidak diusik, melainkan kemasan kayu yang digunakan, serta butang penghidup dengan corak “turbin”. Sistem infotainmen bagaimanapun dinaiktaraf sepenuhnya; GLC ini lengkap dengan Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Ini termasuk kawalan suara yang boleh diaktifkan dengan menyebut “Hey Mercedes”.
Selain itu, sistem ini juga boleh dikendalikan melalui touchpad atau skrin sentuh tujuh atau 10.25-inci. Isyarat tangan juga boleh membezakan antara input dari pemandu atau penumpang. Fungsi Augmented Video untuk tunjuk arah turut ada sebagai pilihan.
Sama seperti C-Class, GLC turut menerima dua stereng rekaan baru (normal atau AMG Line dengan bahagian bawah yang rata), kedua-duanya hadir dengan touchpad untuk mengawalpaparan instrumen digital 12.3-inci. Lagi ciri baru termasuk sistem Energizer yang menggunakan pencahayaan kabin, muzik dan kawalan pendingin hawa untuk membuatkan pemandu sentiasa peka ketika perjalanan jauh.
Barisan enjin yang ditawarkan pula semuanya baru, bermula dengan unit petrol M264 turbocaj pada GLC 200 dan GLC 300. Ia menggunakan enjin 2.0L dengan janaan 197 hp dan 280 Nm tork, dan masih mengekalkan sistem mild hybrid EQ Boost 48-volt. Ciri ini menyediakan 10 kW (14 hp) dan 150 Nm lonjakan (boost) ketika memecut.
Untuk lebih kuasa, unit pada GLC 300 menyalurkan 258 hp dan 370 Nm dari enjin yang sama. Model ini juga dilengkapi sistem EQ Boost, ciri yang tidak ditawarkan misalnya pada model C 300 terbaru. Seterusnya, enjin 2.0 liter OM654 yang menggantikan unit 2.2 liter OM651 – datang dengan 163 hp/360 Nm GLC 200 d, 194 hp/400 Nm GLC 220 d dan 245 hp/500 Nm GLC 300 d.
Ini digandingkan dnegan transmisi 9G-tronic sembilan-kelajuan automatik dan sistem pacuan 4Matic (kedua-duanya standard bagi model diesel). Tetapi, untuk pertama kali, sistem penyerap hentak Body Control turut diperkenalkan.
Selebihnya, GLC baru ini akan datang dengan pakej keselamatan lengkap Driving Assistance Package. Ia terdiri antaranya daripada ciri-ciri seperti kawalan cruise aktif Distronic, Active Steer Assist dengan Active Emergency Stop Assist, Active Lane Change Assist, Active Speed Limit Assist, Evasive Steering Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Blind Spot Assist dan Active Brake Assist dengan fungsi pengesan lintasan trafik.
Honda Malaysia telah mengumumkan tempahan bagi HR-V baharu kini telah mencecah lebih 8,500 unit. Dilancarkan pada Januari lalu, jualan yang pada mulanya disasarkan untuk tempoh tiga bulan, bagaimana pun, berjaya dicapai dalam tempoh sebulan iaitu menghampir angka 4,000 unit tempahan. Malah sejak dilancarkan, Honda Malaysia mengesahkan telah menghantar lebih 3,000 unit HR-V baharu kepada pelanggannya.
Rekod ini membuatkan HR-V baharu berjaya mendominasi pasaran perkongsian sebanyak 87% bagi segmen SUV kompak, mengekalkan kedudukannya No.1 dalam pendahulu segmen. Malah berdasarkan rekod jualan mengikut bahagian, Lembah Klang mencatatkan sumbangan tertinggi iaitu sebanyak 47%, diikuti dengan bahagian selatan dan utara iaitu masing-masing 18%.
Manakala Passion Red Pearl yang merupakan pilihan warna baharu yang ditawarkan oleh Honda Malaysia dan HR-V baharu menjadi model pertama menampilkan warna ini, menjadi pilihan tertinggi dalam keseluruhan jualan iaitu mencecah 28%.
Pengarah Urusan dan CEO Honda Malaysia Toichi Ishiyama berkata, “HR-V semakin meningkat popular sejak dilancarkan pada tahun 2015. Kini barisan terkininya turut menampilkan varian baharu iaitu HR-V RS yang turut menerima sambutan yang menggalakkan di sini.”
Barisan HR-V baharu ini menawarkan empat varian dengan harga antara RM109k-RM121k, di mana tiga daripadanya adalah unit petrol biasa- bermula dengan varian asas Grade E, diikuti dengan Grade V, dan yang tertinggi RS yang dipertontonkan tahun lalu. Manakala varian keempat ialah HR-V Hybrid turut pertama kali diperkenalkan di Malaysia.
Tiada perubahan untuk penjana kuasa bagi versi petrol, ia masih mengekalkan enjin 1.8 liter SOHC i-VTEC dengan kuasa 142 PS pada 6,500 rpm dan tork 172 Nm pada 4,300 rpm, serta dipadankan dengan transmisi CVT bersama pedal penukar gear. Spesifik untuk model RS ia kini hadir dengan sistem stereng Variable Gear Ratio (VGR) baharu.
HR-V hybrid menampilkan penjana kuasa Sport Hybrid i-DCD (intelligent dual-clutch drive) seperti Jazz Hybrid. Ia menggabungkan enjin 1.5 liter twin-cam i-VTEC Atkinson-cycle dan motor elektrik 22 kW (30 PS)/160 Nm, yang dikuasakan oleh bateri lithium-ion Blue Energy, dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan.
Kuasa dari penjana kuasa itu meningkat berbanding Jazz, dengan 132 PS pada 6,600 rpm dan tork 156 Nm pada 4,600 rpm. Hasil kombinasi dari motor elektrik, sistem tersebut dapat menghasilkan 152 PS dan tork 190 Nm, sedikit tinggi berbanding model janaan petrol.
Ferrari telah mendedahkan imej rasmi bagi model terbaharunya, FB Tributo, menjelang penampilannya di Geneva minggu hadapan. Mid-rear-engined baharu ditawarkan bagi menggantikan 488 GTB dalam barisan jentera pengeluar tersebut dan ia dijanjikan peningkatan yang lebih optimum, daripada pengendalian dan dinamik pemanduan hinggalah keselesaan di dalamnya.
Dengan dimensi 4,611 mm panjang, 1,979 mm lebar dan 1,206 mm tinggi, menjadikannya lebih panjang (+43 mm), lebih lebar (+27 mm) dan lebih rendah (-7 mm) berbanding 488 GTB, dan ia juga lebih ringan – kurang 40 kg daripada 488 GTB, Ferrari berkata pilihan untuk beratnya sekitar 1,330 kg, iaitu 55 kg lebih ringan dari 488 Pista (1,385 kg).
Bentuk luarannya juga lebih tegang berbanding Tipo F142M, dan Ferrari berkata penggayaan ini adalah bahasa rekaan baharu yang bakal digunakan untuk masa hadapan. Perubahan bukan setakat pada rekaan, tetapi juga melibatkan peningkatan keupayaan aero, dengan menambahbaik 100% penjimatan aero dinamik berbanding 488.
Jentera ini juga menerima lampu utama melintang yang lebih kompak, yang disambungkan ke corong penyejukan brek baharu – dengan kombinasi pada luar bampar ini membolehkan pengaliran udara ditambah baik merentangi keseluruhan gerbang roda, juga tidak melibatkan peningkatan saiz untuk sistem brek bagi sealiran dengan kelajuan kereta yang dipertingkatkan.
Selain itu, S-Duct, yang diperkenalkan pada Pista, telah direka semula, dan kini menambah 15% keseluruhan peningkatan untuk downforce berbanding 488 GTB. Lain-lain elemen untuk pakej aero yang diadaptasi dari rekaan Pista turut membantu menguruskan kepanasan enjin – termasuk radiator hadapan rearward-angled dan corong udara enjin dinamik, yang diposisikan di sisi spoiler berbanding flank belakang.
F8 turut menampilkan skrin belakang Lexan besar, untuk meningkatkan visual ke bahagian enjin, dan ia kelihatan lebih moden serta menonjol.
Menerusinya, udara panas dapat diekstrakkan dari bahagian enjin tampa memberi kesan terhadap kecekapan blown spoiler, yang telah direka semula untuk meningkatkan downforce belakang. Lain-lain elemen baharu termasuklah kluster lampu berkembar klasik, dan juga bahagian belakang yang sama warna dengan badannya.
F8 masih menggunakan enjin F154 dalam variasi CD, seperti 488 Pista. Kuasa dari 3.9 liter V8 juga sama seperti Pista iaitu 710 hp (720 PS) pada 8,000 rpm dan 77- Nm pada 3,250 rpm.
Penambahbaikan mekanikal lain didatangkan dari versi terkini bagi Side Slip Angle Control, kini dengan versi 6.1, dan versi baharu bagi Ferrari Dynamic Enhancer (FDE+), yang boleh diaktifkan dalam posisi Race untuk pertama kalinya.
Imej luaran yang diberi turut mendedahkan kabin dengan kehadiran rekaan papan pemuka baharu, termasuk panel pintu dan konsol tengah yang disemak semula. Roda stereng baharu yang lebih kecil turut ditampilkan, bersama paparan skrin sesentuh penumpang 7.0-inci baharu.
F8 Tributo bukan satu-satunya sportcar yang diperkenalkan oleh syarikat ini pada 2019 – sebelum ini ada laporan menyebut supercar hibrid V8 enjin-pertengahan juga akan diperkenalkan pada tahun ini. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai F8 Tributo kena nantikan pengenalan rasminya di Geneva.
Seperti yang anda tahu, Januari lalu, UMW Toyota memperkenalkan model crossover Toyota C-HR dengan versi penambahbaikan bagi tahun 2019. Model tersebut kini ditampilkan dengan kemaskini kosmetik yang lebih segar, begitu juga dengan penawaran aerokit khusus yang dibangunkan oleh TRD.
Perbezaan paling jelas ialah C-HR kini datang dengan rim 17-inci dwi-tona rekaan baru. Kemasan jalur pada bampar depan dan belakang, serta tambahan kemasan dan bentuk pada bahagian sisi menyuntik kelainan bagi penampilan luarannya.
Di samping itu, aerokit TRD yang direka khusus untuk model ini turut ditawarkan sebagai pilihan – antara bahagian tambahan yang ada bagi kit ini ialah pada bawah bampar depan dan belakang dengan penyudah metalik, serta bahagian lengkuk ruang tayar yang memberikan sentuhan lebih menonjol pada C-HR. Bahagian tambahan ini dibangunkan oleh TRD sendiri, dengan kualiti yang tinggi untuk melengkapkan lagi pakej kualiti CBU pada C-HR. Peralatan berkenaan juga turut datang dengan tempoh jaminan berasingan.
Bagi pilihan warna pula, ada satu tambahan terbaru untuk 2019, iaitu warna Radiant Green Metallic, seperti yang dilihat pada unit dalam gambar ini. Lima lagi pilihan warna sebelum ini bagaimanapun masih dikekalkan; Metal Stream Metallic, White Pearl, Blue Metallic, Attitude Black dan Red Mica. Bagi pelanggan yang memilih satu daripada tiga warna ini – Blue Metallic, Radiant Green Metallic dan Red Mica – kenderaan mereka akan dipadankan dengan bumbung berwarna hitam.
Bagi ruang dalaman pula, ia melibatkan naik taraf sistem infotainmen, yang kini hadir dengan paparan skrin sentuh 6.75-inci, serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto. Ini memberikan ruang untuk aplikasi-aplikasi yang ada dalam telefon pintar pengguna dicapai melalui skrin sentuh berkenaan. Ciri Voice Recognition juga memudahkan lagi pemanduan.
Toyota C-HR dikuasakan oleh enjin 2ZR-FBE 1.8 liter petrol dan menjana sebanyak 140 PS dan 171 Nm tork maksimum. Unit ini dipadankan pula dengan sistem transmisi Super ECT 7-kelajuan automatik dengan Shiftmatic. Mengiringinya ialah tiga mod pemanduan – Eco, Normal dan Sport. Tiada perubahan harga bagi C-HR; RM150,000 bagi pendaftaran persendirian, sama seperti harga selepas SST yang diumumkan tahun lalu.
Dipertontonkan pertama kali tahun lalu, Honda Accord serba baru akan diperkenalkan secara rasmi di Thailand bulan depan ketika Bangkok International Motor Show 2019 yang akan bermula 27 Mac nanti, memetik laporan Headlightmag.
Generasi kesepuluh sedan segmen D popular itu akan ditawarkan dengan dua pilihan enjin – 1.5 liter VTEC Turbo atau 2.0 liter hibrid. Kedua-duanya bakal menggantikan unit lama sebelum ini, unit 2.0L dan 2.4L.
Accord merupakan model ketiga di Thailand yang menerima enjin 1.5L turbo Honda selepas Civic dan CR-V. Lebih berkuasa dari enjin berkapasiti 2.4L dan lebih menjimatkan bahan api berbanding unit 2.0L, enjin baru dengan kapasiti lebih kecil itu menghasilkan 192 hp pada 5,500 rpm dan 260 Nm tork dari 1,500 hingga 5,000 rpm. Transmisi automatik CVT juga akan menggantikan transmisi automatik lima-kelajuan yang lama.
Sebagai rujukan, untuk pasaran Malaysia, enjin 1.5L turbo berkenaan menghasilkan 193/243 Nm pada CR-V dan 173 PS/220 Nm pada Civic FC. Jadi, penampilan terbaru pada Accord di sana merupakan talaan yang paling berkuasa pernah ditawarkan Honda setakan ini. Pasaran ASEAN juga nampaknya tidak akan menerima enjin 2.0L turbo dengan 252 hp dan automatik 10-kelajuan seperti di Amerika Syarikat.
Accord Hybrid baru dengan sistem Intelligent Multi-Mode Drive pula menggabungkan enjin 2.0 liter i-VTEC dengan dua motor elektrik. Enjin konvensional dengan kitaran Atkinson itu menghasilkan 145 hp/175 Nm, sementara motor elektrik itu pula hadir dengan 184 hp/315 Nm. Output keseluruhan sistem ini ialah 215 hp pada 6,200 rpm, disalurkan melalui transmisi CVT automatik. Bateri lithium-ion yang lebih kompak ditempatkan di bawah lantai belakang, berbanding di ruang barangan sebelum ini.
Honda Accord 2019 bakal tampil dengan rekaan baru yang lebih segar. Dengan dimensi 4,920 mm panjang dan 1,860 mm lebar, sedan baru ini 10 mm lebih pendek dan 10 mm lebih lebar dari yang sebelumnya. Garis bumbungnya juga 15 mm lebih rendah, sementara jarak antara roda pula bertambah 55 mm menjadi 2,830 mm. Pusat titik gravitinya pula 10 mm lebih rendah.
Honda Accord 2019 di Thailand akan dilengkapi dengan pakej keselematan Honda Sensing penuh, termasuk di dalamnya ciri seperti Collision Mitigation Braking System, Lane Departure Warning, Road Departure Mitigation dan Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow. Pilihan warna pula ada empat, putih mutiara, perak, kelabu dan hitam.
Persoalannya kini, setelah pengenalan pesaing rapatnya, Toyota Camry 2019 untuk pasaran di sini, bila agaknya Honda Accord terbaru ini akan menjengah Malaysia?
Jenama kenderaan elektrik baru Volvo yang kini sudah bergerak sendiri, iaitu Polestar telah mendedahkan kereta elektrik penuh pertama mereka, dipanggil sebagai Polestar 2. Apabila masuk ke dalam pasaran nanti, kereta kompak lima pintu ini akan bersaing dengan Tesla Model 3, dengan prestasi keduanya hampir sama.
Sama seperti coupePolestar 1, Polestar 2 ini juga adalah versi produksi bagi satu lagi kereta konsep Volvo, iaitu 40.2 yang pernah ditunjukkan pada tahun 2016. Banyak perincian daripada kereta konsep ini dikekalkan, seperti bentuk badan kompak, perincian yang tajam, ketinggian hampir seperti SUV dan kemasan plastik hitam.
Pada bahagian depan, Polestar 2 menggunakan rekaan lampu depan “Thor’s Hammer”, dilengkapi dengan teknologi Pixel LED baru, yang boleh menutup bahagian tertentu waktu lampu tinggi supaya tidak menyilaukan pengguna lain. Lampu ini kemudiannya disambungkan kepada gril dengan perincian berpetak.
Walaupun sekarang ini sudah muncul banyak kenderaan yang menggunakan kamera sebagai pengganti kepada cermin sisi, Polestar 2 masih lagi menggunakan cermin sisi biasa, tetapi dengan sedikit perubahan. Cermin sisi tersebut mempunyai saiz 30% lebih kecil dan aerodinamik kerana tidak mempunyai rangka. Keseluruhan perumah cermin sisi itu akan bergerak apabila dilaras, dan bukannya bahagian cermin sahaja seperti cermin sisi biasa.
Pada bahagian belakang, anda boleh melihat lampu berbentuk C yang bersambung di tengah dengan jalur cahaya penuh yang terdiri daripada 280 LED. Satu lagi perkara menarik, kereta ini boleh mengesan telefon pintar anda menggunakan Bluetooth dari jarak 1.5 meter, dan apabila anda menarik sahaja pembuka pintu, kunci kereta akan dibuka secara automatik.
Sama juga apabila anda masuk ke dalam kenderaan. Tiada kunci yang diperlukan kerana ia boleh mengesan sekiranya anda sudah duduk atas kerusi pemandu, dan kereta akan terus dihidupkan dan bersedia untuk bergerak.
Paling menonjol pada bahagian dalam kereta ini adalah skrin sesentuh 11 inci yang diletakkan secara menegak di tengah papan pemuka, dan mempunyai sambungan kepada sistem infotainmen baru berasaskan Android. Ia dibangunkan bersama dengan Google dan dilengkapi dengan ciri seperti kawalan suara Google Assistant, navigasi Google Maps (termasuk tanda tempat mengecas) dan Google Play Store. Bawahnya pula, di konsol tengah, terdapat tombol gear yang kecil dan beberapa butang lain.
Menurut Polestar, kereta elektrik mereka ini akan ditawarkan dengan penggunaan bahan vegan di dalam secara standard, sekaligus tidak memerlukan lagi bahan kulit. Pembeli juga mempunyai pilihan kemasan fabrik dan bahan Weave Tech baru yang dikatakan mendapat inspirasi daripada sut penyelam (kalis air dan kotoran), atau juga kulit Nappa. Untuk kemasan lain, terdapat beberapa pilihan termasuk polikarbonat 3D dan kayu hitam.
Perincian untuk varian Polestar 2 ini masih belum didedahkan, tetapi syarikat dari Sweden itu ada menyiarkan spesifikasi teknikal awal untuk versi paling tinggi dengan kuasa paling banyak dan jarak gerak paling jauh. Dua motor elektrik digunakan, dengan setiap satunya mampu menghasilkan 150 kW (204 hp) dan 330 Nm tork, diletakkan pada setiap gandar untuk mewujudkan pacuan semua roda. Secara keseluruhan, kuasanya adalah 300 kW (408 hp) dan 660 Nm tork.
Diletakkan sebagai perbandingan, jumlah kuasa ini adalah sama seperti model plug-in hybrid T8 Twin Engine Volvo, tetapi untuk tork, ia mempunyai lebihan 20 Nm, sekaligus membenarkan Polestar 2 memecut 0-100 km/j dalam masa bawah lima saat. Dengan penggunaan bateri 78 kWh, Polestar mensasarkan jarak gerak 500 km mengikut kitaran WLTP.
Polestar 2 dibina atas platform Compact Modular Architecture (CMA) sama seperti Volvo XC40 dan Lynk & Co 01, 02 dan 03, dan pek bateri 27 modul padanya disepadukan pada lantai kenderaan, menyumbang kepada casis yang lebih tegar. Ia juga dapat mengurangkan kadar NVH, dengan kebisingan jalan dikatakan 3.7 dB lebih rendah berbanding casis kereta biasa.
Untuk Polestar 2 ini juga, pembeli boleh mendapatkan pakej Performance Pack, yang menambah penyerap Ohlins, brek Brembo, rim aloi forged 20 inci, serta perincian keemasan pada tali pinggang, angkup brek dan penutup injap angin roda. Pengeluaran Polestar 2 akan bermula di China Februari tahun depan dan harga untuk 12 bulan pertama bermula daripada €39,900 (RM184,800), dan pergi sehingga €59,900 (RM277,400).
Minggu lalu Kia telah mendedahkan satu gambar bahagian depan kenderaan elektrik konsep baru mereka, yang akan didedahkan buat pertama kali di Geneva Motor Show minggu depan. Daripada gambar itu, kita boleh melihat gril ‘tiger nose‘ unik Kia telah diserapkan dengan konsep rekaan lampu baru ‘tiger mask’.
Kini, dua lagi gambar didedahkan, iaitu bahagian muncung depan dari tepi dan juga bahagian dalam, menampakkan papan pemukanya. Melalui gambar ini pula, anda boleh melihat terdapat bukaan udara di bucu bampar yang seakan bersirip dan rim cetakan 3D dengan permukaan seperti permata.
Lebih menarik sebenarnya adalah bahagian papan pemuka kereta konsep ini. Dari jauh ia kelihatan seperti sirip, tapi sebenarnya terdiri daripada 21 skrin resolusi tinggi yang disusun secara melengkung dan dikatakan oleh Kia sebagai “kasual dan tersusun”.
Selain daripada gambar ini, Kia turut mendedahkan satu lagi perincian kenderaan konsep sedan empat pintu elektrik ini, iaitu bahagian bumbung serta cermin hadapannya menggunakan satu unit kaca yang bersambung, sekaligus mewujudkan seperti lelangit kaca yang luas.
Perkara lain berkenaan kereta ini hanya akan diketahui apabila ia didedahkan sepenuhnya nanti, tetapi apa yang diketahui, Kia mahukan degup jantung orang melihat kereta ini bertambah kencang, dan tidak membosankan walaupun ia adalah kereta elektrik.
Fi Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan barangan yang didaftarkan dan beroperasi di Sabah dan Sarawak akan diseragamkan menggunakan kriteria Berat Tanpa Muatan (BTM) bermula 1 April ini, laporan Bernama.
Menurut Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook, perkara itu dipersetujui oleh jemaah menteri hari ini bagi mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang adil dan kompetitif antara pemilik-pemilik kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak.
Pada masa ini, kriteria bagi perkiraan fi LKM kenderaan perdagangan di Sabah dan Sarawak adalah berbeza iaitu perkiraan LKM di Sabah menggunakan asas Berat Dengan Muatan (BDM) manakala perkiraan LKM di Sarawak pula menggunakan asas BTM.
“Penyeragaman tersebut akan melibatkan 14 kategori atau kod kegunaan kenderaan barangan yang terdapat di Sabah. Ia juga turut dilakukan di Sarawak bertujuan untuk mengurangkan ketirisan hasil kepada kerajaan susulan proses pendaftaran kenderaan perdagangan.
“Berdasarkan data 2009 hingga 2014, dianggarkan ketirisan hasil daripada aktiviti pendaftaran kenderaan bermotor di negeri itu berjumlah RM64 juta, justeru penyeragaman tersebut akan memudahkan kawalan dan pemantauan ke atas kutipan hasil kerajaan,” katanya.
Tambahnya lagi, pada masa ini perkiraan fi LKM di Sabah menggunakan kriteria Berat Dengan Muatan (BDM) manakala di Sarawak dengan BTM yang jauh lebih murah. Oleh itu katanya, semua transaksi permohonan baharu atau pembaharuan LKM kenderaan perdagangan di Sabah akan menikmati kadar serupa di Sarawak bermula tarikh tersebut.
Tahun ini, sekali lagi Malaysia Autoshow akan dianjurkan untuk penggemar automotif, iaitu pada 11 hingga 14 April, di Malaysia Agro Exposition Park Serdang (MAEPS), Serdang. Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mensasarkan kehadiran 350,000 pengunjung ke acara ini dan pelbagai aktiviti telah dirancang.
Seperti biasa, pelbagai model baru, dijangkakan sebanyak 100 buah daripada pelbagai jenama akan dipamerkan dalam Dewan A, termasuk model cekap tenaga EEV. Dalam Dewan D pula, MARii akan membawakan buat pertama kalinya, kenderaan ubah suai pelbagai genre.
Kemudiannya dalam Dewan D, ia akan dijadikan sebagai dewan mobiliti, di mana pengunjung dapat melihat rangkaian ekosistem sektor automotif, bermula dari rekaan, kejuruteraan, pengeluaran dan pelbagai lagi. Selain daripada itu, pengunjung juga boleh menyertai pelbagai aktiviti seperti bengkel robotik, AR, VR dan pertandingan kemahiran.
Sepanjang acara berlangsung, pelbagai lagi aktiviti telah dirancang termasuk pelancaran kenderaan baru, peluang memenangi pelbagai hadiah termasuk kereta, pengalaman ‘taxi ride‘, pandu uji pelbagai model dan bermacam lagi.
Pelancaran awal Malaysia Autoshow kepada para media telah berlangsung dalam majlis sama dengan pertemuan bulanan MITI bersama agensi di Cyberjaya, di mana tetamu yang hadir telah berpeluang menyaksikan pelbagai teknologi yang dibangunkan oleh MARii serta pelancaran beberapa perkara seperti aplikasi khas untuk mereka yang berkepentingan (stakeholder) serta pembantu robotik yang dinamakan sebagai MiMi.
Pagi ini, Proton telah mempertontonkan secara eksklusif model hatchback Iriz 2019 yang hadir dengan banyak pembaharuan dan perubahan. Iriz 2019 telah ditampilkan dengan gaya yang lebih sporty dengan suntikan rekaan yang lebih segar, penuh bergaya dan sofistikated. Ia ditawarkan dengan lima varian; Standard 1.3L MT, Standard 1.3L CVT, Executive 1.3L CVT, Executive 1.6L CVT dan Premium 1.6L CVT.
Kehadiran bampar dan gril baharu yang diilhamkan dari rekaan SUV X70 dengan menjadikan busur panah sebagai sumber inspirasi, melahirkan karakter yang lebih ranggi dan teguh. Ia dipadankan dengan lampu utama yang lebih langsing bersama lampu nyalaan siang (DRL) LED baharu yang menyerlahkan lagi wajahnya.
Pada pandangan sisinya, garisan penuh berkarakter untuk memberikan kesan terhadap aerodinamik dan pandangan mata tertancap pada rekaan roda aloi pelbagai-jejari yang diinspirasikan dari rotor blade bersaiz 14-inci untuk model asas Standard 1.3L MT dan 15-inci bagi empat model atasnya.
Melewati bahagian belakangnya pula, perkataan ‘Proton’ dalam rekaan 3D cukup menarik pandangan. Selain itu, lampu belakang dengan grafik baharu yang menurut Proton memberikan rupa yang lebih lebar pada kereta ini. Bukan itu sahaja, bampar belakang turut ditukar, kali ini menampilkan bahagian kelihatan seperti diffuser yang lebih menyerlah, bersama sepasang liang udara menegak pada kedua-dua sisi. Kecuali model asas, semua varian turut dilengkapi dengan spoiler dan antena sirip jerung baharu.
Menjengah bahagian kabinnya pula, ambien yang lebih gelap menampilkan sisi yang lebih sporty. Beberapa elemen baharu telah ditampilkan, ini termasuklah paparan pelbagai-info LCD, tombol gear (untuk varian MT) dan pastinya tiga varian tettinggi lebih menarik dengan kehadiran paparan sesentuh tujuh-inci, paparan pelbagai-info TFT, kamera pandang belakang dengan Dynamic Line, dan ketersambungan telefon pintar.
Manakala ciri tambahan baharu untuk varian tertinggi didatangkan dengan Online Navigation, cermin pandang belakang tanpa bingkai, tombol gear, sambungan 4G & Wifi dan Arahan Suara seperti yang ditampilkan buat pertama kalinya pada SUV X70. Malah Iriz merupakan model hatchback segmen-B pertama yang ditampilkan dengan fungsi Arahan Suara ini.
Ciri-ciri lain yang masih dikekalkan termasuklah dua port pengecas USB, ECO Drive Assist, dan untuk tiga varian tertinggi tetap dipadankan dengan butang penghidup enjin (kunci manual untuk model asas Standard 1.3L MT & Standard 1.3L CVT), roda stereng balutan kulit dan tempat duduk separa kulit untuk varian tertinggi.
Untuk bahagian mekanikalnya pula, Iriz masih kekal dengan dua pilihan enjin iaitu 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp/150 Nm dan juga 1.3 liter VVT berkuasa 94 hp/120 Nm. Kedua-duanya dipadankan dengan kotak gear CVT automatik, dan lima-kelajuan manual hanya untuk model 1.3 liter.
Walau pun tiada perubahan untuk enjin dan transmisi, untuk Iriz 2019 ini, Proton mendakwa telah menambah baik prestasi brek, NVH Rating, dan juga lebih menjimatkan bahan api. Bukan itu sahaja, kualitinya telah dipertingkatkan berdasarkan standard penilaian yang dikenali sebagai GCPA Rating, yang ditetapkan oleh Geely.
Aspek keselamatan juga tiada perubahan, masih kekal dengan dua beg udara (enam beg udara untuk varian tertinggi), ABS dan EBD, Kawalan Kestabilan dan cagak Isofix. Buat masa ini, Proton masih belum memaklumkan tentang harga dan bilakah Iriz 2019 ini akan dilancarkan di pasaran.
Namun, Proton telah mengumumkan tempahan secara dalam talian bakal dibuka bermula 1-22 Mac ini. Paling menarik, hanya dengan RM9.90, anda sudah boleh menempah Iriz 2019 ini. Berminat? Untuk menempahnya, anda boleh KLIK DI SINI.
KEMASKINI: Tempahan atas talian Persona 2019 juga kini telah dibuka. Kedua-dua Iriz dan Persona bakal dilancarkan serentak bulan ini.
Satu lagi jenama baru tiba di Malaysia, iaitu Zontes Motorcycle dengan pelancaran empat model pertamanya iaitu ZT310-T, ZT310-R, ZT310-X dan ZT310-X GP. Semua motosikal ini mempunyai asas casis serta enjin yang sama tetapi menawarkan penggunaan yang berbeza kepada orang ramai melalui bentuknya.
Zontes adalah satu jenama yang berada di bawah syarikat Guangdong Tayo Motorcycle Technology Co., Ltd, yang berpusat di China dan sudah wujud sejak tahun 2003. Bukan setakat di negara asalnya, motosikal Zontes juga telah dijual di beberapa negara lain termasuk Eropah.
Empat model yang baru tiba di Malaysia ini dikuasakan oleh enjin empat strok satu silinder 312 cc suntikan bahan api, dengan kuasa 34.9 hp pada 9,500 rpm dan 30 Nm tork pada 7,500 rpm. Enjin ini dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan dikatakan dapat mencapai kelajuan maksimum 160 km/j. Sebagai perbandingan, model BMW G310R yang menggunakan enjin 313 cc mampu menghasilkan 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm pada 7,500 rpm.
Kebanyakan barang yang ada pada semua model ini adalah sama, termasuk panel instrumen TFT, semua lampu jenis LED, brek ABS dual-channel dari Bosch (boleh ditutup), fork USD, monoshock nitrogen, lengan ayun aluminium, bateri lithium ion, sistem kunci pintar, soket pengecas USB, kunci tempat duduk dan tangki bahan api kawalan elektrik, brek cakera depan dan belakang, rim 17 inci dan tangki bahan api 15 liter.
Seperti yang dikatakan tadi, yang membezakan semua model ini cuma bentuknya, iaitu ZT310-R dijadikan sebagai sebuah model naked dengan panel badan yang minimal dan rekaan agresif, manakala ZT310-T pula adalah sebuah model adventure dengan kedudukan pemegang yang tinggi, penghadang angin boleh laras secara elektronik, penghadang tangan dan besi pelindung di bahagian tepi. Pembeli awal ZT310-T juga akan diberi beg barangan belakang serta tepi secara percuma.
Pergi kepada ZT310-X, ini adalah sebuah model touring sports, yang mempunyai fairing penuh, tetapi pemegangnya lebih tinggi berbanding ZT310-R supaya menjadi lebih selesa. Ia juga didatangkan dengan satu lagi pilihan yang mempunyai grafik lebih sporty, dinamakan sebagai ZT310-X GP.
Harga semua model baru Zontes ini adalah RM19,800 untuk ZT310-R, RM22,800 untuk ZT310-T, RM20,800 untuk ZT310-X dan RM21,600 untuk ZT310-X GP. Semua harga ini adalah tidak termasuk insurans serta kos pendaftaran lain, dan ia didatangkan dengan jaminan selama dua tahun atau 20,000 km.