Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Harga minyak 23 Feb-1 Mac – petrol naik, diesel kekal

    Harga minyak 23 Feb-1 Mac – petrol naik, diesel kekal

    Harga minyak bagi minggu bertarikh 23 Februari hingga 1 Mac ini dilaporkan ada peningkatan untuk petrol RON95 dan RON97. Di mana masing-masing melibatkan peningkatan sebanyak 10 sen, iaitu RM2.08 seliter untuk RON95 dan RM2.38 seliter bagi RON97. Bermakna ini masuk minggu ketiga berturut-turut harga runcit bagi petrol dilaporkan naik.

    Manakala harga runcit untuk diesel masih kekal dengan Euro 2M akan dijual pada harga RM2.18 seliter, manakala Euro 5 akan dijual pada harga 10 sen lebih tinggi seperti biasa, menjadi RM2.28 seliter.

    Semua harga ini akan kekal sehingga 1 Mac 2019.

     
     
  • Perodua Aruz dalam imej render – Kembara baharu?

    Perodua Aruz dalam imej render – Kembara baharu?

    Mungkin ada di antara anda yang beranggapan Perodua Aruz terlalu besar atau panjang untuk dipandu setiap hari, mungkin versi lima-tempat duduk dan yang lebih kecil lebih menarik perhatian bukan? Tapi sukar untuk berimaginasi Aruz yang lebih kecil, bukan?

    Tidak juga, khas untuk anda, ini hasil karya render dari Theophilus Chin. Aruz kuning menyala ini digambarkan mempunyai overhang belakang yang lebih pendek, mengingatkan pada zaman kegemilangan Kembara, tapi ketepikan gambaran tempat penyimpanan tayar ganti di belakangnya lah.

    Perkadaran yang lebih pendek kelihatan lebih sesuai, ditambah dengan bampar hadapan yang disemak semula dengan perumah lampu kabus yang lebih besar dan dilengkapi gril radiator yang lebih nipis. Di bahagian belakanya, kemasan hitam dihantikan dengan yang berwarna, dengan lampu berbentuk bulat bersama reflektor bersepadu dan diffuser kelabu.

    Perodua Aruz dalam imej render – Kembara baharu?

    Sekarang, apa pendapat anda mengenai Perodua Aruz lima-tempat duduk ini? Dengan logam yang kurang, badan SUV ini menjadi lebih ringan, yang diterjemahkan kepada nisbah kuasa ke berat yang lebih baik. BUat masa ini, Aruz dijanakan oleh enjin 2NR-VE 1.5 liter naturally-aspirated empat-silinder yang mampu memberikan kuasa 105 PS pada 6,000 rpm dan tork 136 Nm pada 4,200 rpm.

    Kuasanya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik empat-kelajuan, dengan fungsi Eco Idle dan mula-berhenti, Perodua mendakwa Kenderaan cekap Tenaga (EEV) ini mampu memberikan penjimatan bahan api sehingga 15.6 km/l. Adakah anda kepingin mahu melihat Kembara kembali menggegarkan industri?

     
     
  • Kia keluarkan teaser kereta elektrik konsep baharu

    Kia keluarkan teaser kereta elektrik konsep baharu

    Geneva Motor Show hanya akan membuka tirai awal bulan hadapan, dan sudah semakin banyak pengeluar cuba menunjukkan apa yang akan dibawa ke sana. Terbaru adalah daripada Kia, yang mengeluarkan teaser satu gambar kereta elektrik konsep baru.

    Tiada informasi lanjut yang disiarkan berkenaan kereta ini, tetapi ia diberitahu direka di pusat rekaan syarikat itu di Frankfurt, dan merupakan petunjuk kepada kemahuan mereka untuk pergi ke hadapan dalam dunia elektrifikasi yang mengujakan.

    Daripada gambar ini, kita boleh melihat kereta tersebut mempunyai bentuk yang tegap dengan lengkuk roda yang lebar, menggunakan kamera sebagai pengganti kepada cermin sisi dan turut menunjukkan lambang baru tulisan Kia. Walaubagaimanapun, kita masih belum tahu sama ada ia sebuah sedan, hatchback ataupun crossover.

    “Kami cuba bayangkan mereka sebuah kereta elektrik penuh yang bukan sahaja menjawab persoalan pengguna tentang jarak gerak, prestasi, rangkaian mengecas dan dinamik pemanduan, tetapi juga mampu membuatkan bulu roma anda naik apabila melihat dan memandunya,” kata timbalan presiden bahagian rekaan Kia Motors Europe, Gregory Guillaume.

     
     
  • Proton X50 dalam imej render, gril Infinite Weave

    Proton X50 dalam imej <em>render</em>, gril Infinite Weave

    Proton nampaknya tak nak buang banyak masa untuk menambah barisan kenderaan baru yang bakal diperkenalkan. Semalam, sebuah unit ujian lengkap dengan pelekat samaran Geely Binyue (SX11), sebuah SUV lima-tempat duduk segmen B dilihat di sini. Adakah ini bermaksud Proton sedang membuat persediaan untuk memperkenalkan SUV kedua selepas X70?

    Bagaimana pula agaknya rupa yang akan ditampilkan? Di sini kami ada imej render yang Proton ‘X50’, bolehlah dijadikan sebagai bayangan kepada model sebenar nanti, seperti biasa merupakan hasil oleh Theophilus Chin. Seperti yang dapat dilihat, perbezaan utama antara Geely Binyue dan versi Proton X50 ialah penggunaan gril “Infinite Weave” serta kemasan krom pada pintu ruangan belakang – dengan nama Proton menggantikan Geely.

    Selain daripada itu, semuanya sama seperti apa yang terdapat pada Binyue. Tapi, sudah tentu unit yang akan diperkenalkan nanti bakal memperlihatkan lebih banyak kelainan antara keduanya, terutama dari segi rekaan dan kelengkapan lain yang lebih sesuai untuk pasaran di sini. Ada sumber menyatakan, terdapat dua versi Binyue yang sedang diuji ketika ini; satu standard dan satu lagi varian Sports.

    Proton X50 dalam imej <em>render</em>, gril Infinite Weave

    Dari sudut prestasi, Binyue untuk pasaran China ditawarkan dengan dua enjin turbo suntikan terus, tiga-silinder petrol. Yang pertama, enjin yang dibangunkan bersama Volvo, 1.5 liter (174 hp dan 255 Nm) yang dipadankan dengan transmisi klac berkembar tujuh kelajuan. Pilihan kedua pula ialah enjin lebih kecil, 1.0 liter (134 hp dan 205 Nm) dengan transmisi manual enam-kelajuan.

    Kelengkapan lain termasuk ciri pemanduan autonomous Tahap 2 dengan ciri termasuk kawalan cruise adaptif dan bantuan parkir, sistem GKUI, brek kecemasan automatik, panel instrumen LCD tujuh-inci serta paparan utama 10.25-inci. Harga di sana pula dari 78,800 yuan (RM47,858) hingga 118,800 yuan (RM71,151).

    Proton pula ketika ini sedang dalam proses menaiktaraf kemudahan di Tanjung Malim untuk menampung proses pengeluaran X70, serta model-model akan datang dari Proton, termasuk model berasal dari Binyue ini. SUV segmen B ini menggunakan platform Modular Architecture (BMA), maka boleh diandaikan pelaburan RM1.2 bilion Proton itu adalah termasuk pembinaan platform ini.

    Sebelum ini, Proton juga sudah mendapatkan hak untuk mengilangkan dan menjual tiga model Geely – Boyue, Binyue dan MPV Jiaji (VF11). Jalan kehadapan yang menarik untuk Proton?

     
     
  • Pengumuman berkaitan kutipan tol lebuh raya akan dibuat dalam masa terdekat – Muhyiddin Yassin

    Pengumuman berkaitan kutipan tol lebuh raya akan dibuat dalam masa terdekat – Muhyiddin Yassin

    Rakyat Malaysia memang ternanti-nanti keputusan muktamad mengenai tol sejak Kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk kepimpinan pentadbiran negara ini. Walau bagaimana pun, ternyata ia bukan suatu keputusan yang mudah untuk dilakukan oleh kerajaan, apatah lagi umum mengetahui Malaysia menanggung hutang yang cukup banyak.

    Namun semalam Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan akan membuat satu pengumuman penting berkaitan kutipan tol lebuh raya dalam masa terdekat, laporan Bernama.

    “Kita baru berbincang dalam Kabinet…mungkin dalam sehari dua ini akan ada kenyataan berkaitan tol yang akan diumumkan menteri berkaitan,” katanya yang berkata demikian ketika menyentuh mengenai manifesto Pakatan Harapan, yang mana parti itu berjanji akan mengkaji semula perjanjian dengan syarikat konsesi lebuh raya, berusaha mencari jalan mengurangkan kadar tol dan memansuhkan kutipan tol jika boleh, sekiranya mereka menang pilihan raya umum lepas.

    Walau bagaimana pun, beliau tidak memperincikan mengenai perkara tersebut. Jadi, kenalah kita nantikan pengumuman tersebut yang mungkin bakal dilakukan dalam masa sehari dua ini. Harap-harap keputusan ini memihak kepada rakyat marhaen.

     
     
  • AD: Nak jual kereta anda? MUV Marketplace akan bantu tentukan nilainya dan jual pada harga menarik!

    AD: Nak jual kereta anda? MUV Marketplace akan bantu tentukan nilainya dan jual pada harga menarik!

    Anda mempunyai kereta yang tak digunakan lagi? Pernah terfikir untuk menjualnya dan beli kereta baru, atau mungkin untuk mendapatkan sedikit wang tunai? Kalau begitu, MUV boleh membantu anda untuk memenuhi tujuan itu – MUV mahukan kereta anda dan akan bayar dalam jumlah yang berpatutan.

    Platform jual kenderaan atas talian MUV Marketplace ditubuhkan pada Julai 2013 dengan matlamat menyediakan perkhidmatan menentukan nilai kenderaan secara profesional dan membantu pelanggan melupuskan kenderaan mereka dengan mudah. Syarikat ini juga mempunyai hab penilaian kenderaan di seluruh negara yang terletak di Seri Kembangan, Butterworth, Johor Jaya dan Petaling Jaya.

    Atas permintaan yang semakin meningkat untuk mendapatkan perkhidmatan berkenaan, bermula Januari tahun ini, MUV telah melebarkan lagi sayapnya ke tiga lokasi baharu – Menglembu, Ipoh; George Town, Pulau Pinang dan Cheng, Melaka. Dengan berkongsi kemudahan bersama Tan Chong Express Auto Service (TCEAS), pelanggan kini boleh mendapatkan penilaian yang profesional dan lebih menyeluruh – secara percuma – yang dilakukan oleh penilai MUV yang bertauliah.

    AD: Nak jual kereta anda? MUV Marketplace akan bantu tentukan nilainya dan jual pada harga menarik!

    Proses keseluruhan untuk menjual kereta anda hanya melibatkan tiga langkah:

    • 1. Periksa harga anggaran dan tempah satu sesi penilaian kereta secara percuma melalui laman web MUV
    • 2. Datang ke hab MUV mengikut masa yang anda pilih dan petugas akan menjalankan penilaian
    • 3. Ketahui harga jualan kereta anda serta-merta dan jualnya kepada MUV melalui “Direct Sell”, atau menerusi platform “Auction and Futures” yang diadakan setiap minggu.

    Penilai MUV akan melakukan pemeriksaan dalaman dan luaran kereta anda dalam masa 30 minit, termasuk memandu ujinya. Ketika proses berkenaan, pelanggan boleh menggunakan ruang menunggu yang dilengkapi dengan tempat duduk yang mencukupi dan selesa. Sehingga 30 April ini, MUV akan menawarkan perkhidmatan Grab percuma bernilai RM60 kepada pelanggan yang melakukan penilaian kereta di tiga hab penilaian baru di Menglembu, Ipoh; George Town, Pulau Pinang dan Cheng, Melaka.

    Mempunyai lebih 700 pembeli di seluruh negara yang berdaftar dengan MUV, pasti akan ada yang berminat untuk membeli kereta terpakai anda pada harga yang berpatutan. Untuk maklumat lanjut, layari laman web MUV atau hubungi talian 018-311 8089 atau 018-361 8088.

    Cawangan baru MUV berada di:

    MUV Georgetown
    127, Jalan Patani,
    10150 George Town, Pulau Pinang.
    Dapatkan tunjuk arah.

    MUV Ipoh
    1A, Laluan Perusahaan Menglembu 8,
    Kawasan Perindustrian Bandar Baru Menglembu,
    31450 Ipoh, Perak.
    Dapatkan tunjuk arah.

    MUV Melaka
    32, Jalan TTC 30,
    Taman Teknologi Cheng,
    75250 Melaka.
    Dapatkan tunjuk arah.

     
     
  • PANDU UJI: Ford Ranger Raptor – adakah prestasi tinggi dan ketangkasannya sepadan dengan harga?

    PANDU UJI: Ford Ranger Raptor – adakah prestasi tinggi dan ketangkasannya sepadan dengan harga?

    Kalau anda pernah terserempak dengan Ford Ranger Raptor di atas jalan sebelum ini, adakah mudah untuk membezakannya dengan model Ranger biasa? Ada yang kata ia nampak tak terlalu berbeza dari varian Ranger yang lain, cuma hadir dengan sedikit kelainan dari segi kit badan dan tambahan logo “Raptor”.

    Ada juga yang menyatakan, kalau betul-betul minat Ranger, varian Wildtrak 2.0L bi-turbo 4×4 yang berada satu tahap di bawah versi Raptor ini sudah memadai, dan boleh jimat banyak duit berbanding sekiranya membeli Raptor. Adakah kedua-dua varian berkenaan datang dengan penawaran yang mirip dan boleh untuk dijadikan pengganti antara satu sama lain?

    Tentang harga, memang tidak dinafikan. Harga Ranger Raptor agak tinggi dari versi biasa. Ketika pelancarannya November tahun lalu, Ranger Raptor dijual pada harga bermula RM199,888. Jika dibandingkan pula dengan varian paling tinggi satu tingkat di bawahnya, iaitu Ford Ranger Wildtrak 2.0L 4×4 pula dijual pada harga RM144,888 – menjadikan perbezaan di antara keduanya kurang lebih RM55k.

    Sebetulnya, Ranger Raptor merupakan model yang sama sekali berbeza jika dibandingkan dengan varian Ranger yang lain. Ia bukan sekadar melibatkan pemasangan beberapa kit badan untuk membolehkannya membawa imej “Raptor” yang lebih garang. Ini merupakan sebuah versi Raptor yang sebenar; menjadi trak pikap berprestasi tinggi yang kedua dari Ford selepas model besar F-150 Raptor yang terkenal di pasaran Amerika Syarikat. Jadi senang kata, ini Raptor tulen, bukan “celup” punya.

    Baca selanjutnya di sini

     
     
  • 508 Peugeot Sport Engineered Concept – permulaan baru bagi kenderaan elektrik dengan ciri prestasi

    508 Peugeot Sport Engineered Concept – permulaan baru bagi kenderaan elektrik dengan ciri prestasi

    Peugeot tidak mahu kenderaan dengan kuasa elektrik jadi membosankan, jadi mereka telah memberitahu akan mengeluarkan kenderaan elektrik produksi berprestasi tinggi. Sebagai permulaan kepada barisan produk baru ini, Peugeot telah menunjukkan 508 Peugeot Sport Engineered Concept, dan ia akan dibawa ke Geneva Motor Show.

    Pakar daripada Peugeot Sport telah dibawa masuk untuk membangunkan kenderaan ini, dan mereke menggunakan kembali pengalaman yang ditimba melalui pembangunan dua model elektrik konsep sebelum ini iaitu 208 HYbrid FE (2013) dan 308 R HYbrid Concept (2015). Sudah tentu, Peugeot Sport juga mempunyai pengalaman luas berkenaan kenderaan prestasi, melalui penglibatan mereka dalam dunia perlumbaan dan juga kenderaan prestasi seperti siri GT, GTi, Hybrid dan Hybrid4.

    Potensi daripada tiga enjin digunakan untuk kenderaan ini iaitu PureTech 200, enjin elektrik 110 hp di hadapan dan enjin 200 hp di belakang (pacuan semua roda). Apabila digabungkan, tork keseluruhannya adalah 500 Nm dan ini boleh dikira sama dengan sebuah enjin pambakaran dalaman 400 hp. Antara catatan prestasi yang didedah adalah 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat dan laju maksimum 250 km/j. Emisi pula cuma 49 g/km.

    Dengan kuasa sebegini, bahagian lain juga diberi peningkatan prestasi, termasuk brek hadapan yang menggunakan cakera 380 mm berliang serta angkup empat piston, casis yang lebih rendah, jarak roda lebih lebar, tindak balas stereng lebih tepat dan tayar prestasi Michelin Pilot Sport 4S saiz 245/35 R20.

    Melihat kepada penampilan, rekaan yang diguna bukan sahaja untuk menjadikan kereta ini menarik, tetapi ada fungsi terutamanya aerodinamik dan sistem penyejukan. Bukan setakat pada badan kenderaan, rim 20 inci kereta ini juga direka khas supaya dapat memberikan pengudaraan baik pada roda.

    Masuk ke dalam, Peugeot i-Cockpit yang digunakan kini diberikan lebih penekanan kepada ciri prestasi dan anda boleh lihat terdapat banyak bahagian yang sama ada dibalut dengan Alcantara, dibuat daripada gentian karbon ataupun dihias dengan jahitan benang hijau terang.

     
     
  • Citroen Ami One Concept – boleh bawa tanpa lesen

    Citroen Ami One Concept – boleh bawa tanpa lesen

    Semasa Geneva Motor Show nanti, Citroen akan membawa sebuah model konsep menarik dinamakan sebagai Ami One Concept. Ini bukanlah sebuah kenderaan elektrik biasa, kerana syarikat itu mendakwa ia boleh digunakan oleh sesiapa sahaja yang berumur atas daripada 16 tahun dan tidak memerlukan lesen.

    Sebabnya, Ami One Concept dicipta untuk menjadi alternatif kepada pengangkutan awam dan pengangkutan individu lain seperti basikal atau skuter elektrik. Saiznya cuma 2.5m panjang dan 1.5m lebar, dengan berat 425 kg dan boleh dicas di rumah menggunakan soket kuasa biasa serta wayar penyambung (extension cable).

    Kuasa yang menggerakkan kenderaan ini datang daripada bateri lithium ion (elektrik penuh) yang terletak di bawah lantai, dan ia boleh dicas penuh dalam masa dua jam, dan membawa penumpang sehingga jarak 100 km dan laju maksimum 45 km/j.

    Melihat kepada bentuknya, Ami One Concept menggunakan konsep rekaan yang ringkas, dengan beberapa bahagian seperti pintu (kiri dan kanan) dan bampar (depan dan belakang) mempunyai bentuk yang sama. Kemudiannya, di pintu cuma terdapat tali getah yang digunakan sebagai penarik dan juga pengimbas untuk membuka pintu menggunakan telefon pintar.

    Bahagian dalam kenderaan ini juga adalah ringkas. Operasi utamanya adalah melalui telefon pintar, dan apabila ia sudah diletakkan pada pengecas tanpa wayar di hadapan pemandu dan menggunakan aplikasi tertentu, informasi berkenaan kenderaan akan terpapar seperti head up display dan pemandu boleh mengawalnya menggunakan butang pada stereng (untuk arahan suara dan memilih aplikasi).

    Ada dua tempat duduk yang disediakan dalam Ami One Concept, tetapi hanya bahagian pemandu sahaja yang boleh dilaras. Di belakangnya masih terdapat ruang untuk meletakkan barang dan bumbung kanvasnya juga boleh dibuka untuk menikmati suasana.

     
     
  • SPYSHOT: Geely Binyue dilihat diuji oleh Proton – sedia dijelmakan sebagai ‘X50’ tidak lama lagi?

    SPYSHOT: Geely Binyue dilihat diuji oleh Proton – sedia dijelmakan sebagai ‘X50’ tidak lama lagi?

    September tahun lalu, Proton telah disahkan menerima lesen untuk membina tiga buah model Geely iaitu Boyue, MPV VF11 atau Geely Jiaji dan crossover segmen-B Geely Binyue. Boyue sudah selamat dilancarkan sebagai Proton X70, dan nampaknya Binyue pula akan menyusul selepas ini setelah ia dilihat sedang diuji di atas jalan raya Malaysia.

    Binyue baharu sahaja diperkenalkan secara rasmi di pasaran China pada November tahun lalu, dan selepas itu keluar satu gambar crossover tersebut di laman Instagram dengan nama Geely Auto (tetapi ia bukan akaun sebenar milik Geely) bahawa ia akan dijelmakan dalam versi Proton dengan nama ‘X50’.

    Gambar Binyue yang sedang diuji ini pula disiarkan pada laman Facebook The Ajerul, yang menyatakan bahawa ia ditemui sedang diuji di Melaka. Walaupun diberikan pelekat penyamaran penuh, bentuk muka hadapan dengan gril “expanding cosmos” dan garis badan sisi masih menyerlahkan rupa Bin Yue berkenaan. Model yang diuji ini juga masih kekal versi pemanduan sebelah kiri, berkemungkinan masih belum ada lagi proses transformasi berat dari Geely ke versi Proton sebenar.

    Apa yang menarik lagi, bukan hanya sebuah tetapi dua buah Bin Yue dilihat diuji serentak, dimana kedua-duanya menampilkan sedikit ciri-ciri berbeza, berkemungkinan satu dari model dari varian tinggi dan satu lagi varian lebih rendah. Untuk varian tinggi, ia dilihat mengenakan rim dengan elemen turbin pelbagai jejari, bersama sama spoiler bumbung besar. Manakala versi lebih rendah dilihat diberikan rim turbin lima jejari serta spoiler bumbung dengan saiz lebih kecil.

    Untuk pasaran China, Bin Yue hadir dalam dua versi janaan berbeza. Varian rendah dijana oleh enjin 1.0 liter turbo berkuasa 135 hp/205 Nm dipadankan dengan kotak gear enam-kelajuan manual. Manakala model paling berkuasa menerima enjin empat-silinder 1.5 liter turbo dengan suntikan bahan api terus berkuasa dibangunkan bersama Volvo berkuasa 174 hp/255 Nm, dipadankan bersama kotak gear klac berkembar automatik tujuh-kelajuan.

    Geely Binyue dihasilkan dengan dimensi 4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar dan 1,609 mm tinggi, manakala jarak rodanya pula adalah 2,600 mm. Menurut Geely, platform BMA ini direka bagi membolehkan ruang dalaman dioptimakan dan membantu Binyue mencapai kadar penggunaan jarak roda 68.7% untuk kabin.

    SPYSHOT: Geely Binyue dilihat diuji oleh Proton – sedia dijelmakan sebagai ‘X50’ tidak lama lagi?

    SUV ini diberikan pelbagai sistem bantuan pemanduan yang membolehkan ia diiktiraf dilengkapkan dengan sistem pemanduan automatik tahap 2. Kelengkapan tersebut termasuk Cruise Control Pintar yang menggunakan kombinasi radar gelombang-milimeter dan kamera berdefinasi tinggi, membolehkan ia mengikut aliran trafik di hadapan pada kelajuan hingga 150 km/j, serta mampu menukar lorong sendiri.

    Ia turut dilengkapi dengan Bantuan Parkir Automatik, kawalan kestabilan elektronik, brek kecemasan automatik bersama pengesan pejalan kaki, pengesan titik buta, sistem pemantau tekanan dan suhu tayar, sistem pemantau 360-darjah HD, dashcam HD, dan banyak lagi.

    Bagi sistem infotainmen pula, Binyue menerima sistem GKUI Geely Smart Ecosystem yang membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti mudah alih menerusi kereta berkenaan. Menurut Geely, pengguna boleh “terus bercakap kepada kereta mereka” menggunakan arahan suara, dan mereka boleh terus berhubung dengan kereta mereka menerusi telefon pintar walaupun berada jauh dari kereta tersebut.

    Paparan instrumen digital untuk pemandu dihasilkan dari skrin LCD bersiaz tujuh-inci, dan turut memberikan informasi seperti telefon, multimedia, navigasi dan bantuan pemanduan. Bahagian tengah pula diletakkan skrin ‘terapung’ definasi tinggi (1920 x 720) bersaiz 10.25-inci, dengan nisbah aspek skrin lebar 8:3 yang unik.

    Kelengkapan lain yang turut dibekalkan adalah tempat duduk hadapan kawalan elektrik, penghawa dingin dua-zon dengan sistem pengurusan kualiti udara, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, tiga mod pemanduan (Normal, Eco and Sport), brek parkir elektronik dengan fungsi penahan, upholsteri kulit, pedal penukar gear dan enam-pembesar suara.

    GALERI: Geely Binyue pasaran China

     
     
  • Honda Malaysia lancar Jazz Mugen dan BR-V Special Edition – unit terhad, masing-masing hanya 300 unit

    Honda Malaysia lancar Jazz Mugen dan BR-V Special Edition – unit terhad, masing-masing hanya 300 unit

    Setelah dipamerkan di Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) tahun lalu, Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan bahawa Honda Jazz Mugen telahpun secara rasmi dilancarkan untuk pasaran Malaysia. Bukan hanya hatchback segmen-B ini, malah HM turut melancarkan sekali model istimewa SUV MPV tujuh-tempat duduk Honda BR-V Special Edition yang hadir dengan rupa lebih sporty. Kalau anda berminat dengan kedua-dua model ini, jangan berlengah kerana setiap satu model berkenaan hanya dibina terhad kepada 300 unit sahaja.

    Untuk Jazz Mugen, model ini diasaskan dari versi tertinggi gred V dan diberikan set lengkap kit badan Mugen Aero, berbeza dari kit Mugen yang diperkenalkan pada versi sebelumya. Ia hadir dengan bampar hadapan yang lebih seperti kapal angkasa, menampilkan lampu kabus LED bulat dan juga sepasang lubang kembar tiga pada bahagian bawah – dua daripadanya menempatkan lampu nyalaan siang LED. Muka model ini turut dilengkapkn dengan gril hadapan lengkap dengan emblem Mugen dan juga spoiler di bawah bampar.

    Bahagian sisi, Jazz lebih sporty ini menerima skirt sisi dengan spoiler pada bahagian bawah. Manakala di belakang, kemasan lebih labuh seakan diffuser bersama perumah untuk lampu kabus tengah (lampu sebenar tidak disertakan). Dua spoiler belakang diberikan untuk Jazz Mugen ini iaitu spoiler bumbung bersaiz besar, dan satu lagi terletak di bawah cermin belakang dengan kemasan hitam.

    Honda Malaysia lancar Jazz Mugen dan BR-V Special Edition – unit terhad, masing-masing hanya 300 unit

    Walau bagaimanapun, model produksi ini tidak hadir sekali dengan set rim 17-inci Mugen seperti model konsep yang muncul di KLIMS 2018, sebaliknya hanya diberikan rim aloi 16-inci biasa sama seperti Jazz V standard. Juga, warna Passion Red Pearl tidak ditawarkan untuk model ini tetapi anda diberikan dua warna badan dengan dua warna berbeza – Modern Steel Metallic berharga RM88,600, manakala White Orchid Pearl pula dijual pada harga RM88,720.

    Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran, dan untuk perbandingan versi standard Jazz V dijual pada harga RM83,633. Dengan harga ini, pembeli akan menerima semua ciri dari model spesifikasi penuh Jazz V termasuk skrin sesentuh 6.8-inci, panel sesentuh untuk kawalan penghawa dingin, upholsteri kulit dan enam-beg udara. Ia juga masih dijana enjin 1.5 liter empat silinder i-VTEC SOHC berkuasa 120 PS/145 Nm digandingkan dengan kotak gear CVT automatik.

    Manakala untuk BR-V Special Edition pula, ia turut diasaskan dari model spesifkasi penuh gred V. Dijual pada harga RM90,700, model istimewa ini menerima pelbagai ciri tambahan.

    Honda Malaysia lancar Jazz Mugen dan BR-V Special Edition – unit terhad, masing-masing hanya 300 unit

    Pada bahagian sisi, BR-V Special Edition didatangkan standard dengan Running Board dan kemasan pada bendul pintu. Manakala di belakang, ia hadir dengan spoiler bumbung pada pintu tailgate. Pembeli ditawarkan dengan warna Passion Red Pearl pada BR-V ini yang menggantikan warna Dark Ruby Red Pearl sebelumnya. Jika anda mahukan warna putih istimewa White Orchid Pearl, bayaran tambahan sebanyak RM300 perlu disediakan.

    Masuk ke kabin, BR-V Special Edition menerima skrin sesentuh bersaiz 6.8-inci, berbanding hanya 6.1-inci pada model V standard. Walaupun mempunyai saiz yang sama dengan skrin pada Jazz dan City, skrin 6.8-inci pada BR-V menampilkan paparan yang berbeza.

    Untuk ciri-ciri lain, versi Special Edition ini masih berkongsi dengan model gred V, termasuk rim aloi 16-inci, upholsteri kulit, penghawa dingin automatik dengan unit untuk kabin belakang, dua-beg udara, sistem kunci pintar dengan suis penghidup enjin, kamera under dan sistem VSA. Unit janakuasa juga tidak berubah dengan enjin 1.5 liter i-VTEC berkuasa 120 PS/145 Nm, bersama kotak gear CVT automatik memacu roda hadapan.

     
     
  • Enam stesen MRT dikenalpasti sebagai hotspot jenayah, polis bantuan akan memantau – Loke

    Enam stesen MRT dikenalpasti sebagai hotspot jenayah, polis bantuan akan memantau – Loke

    Minggu lalu, berlakunya kes jenayah di sebuah lif di stesen MRT Taman Mutiara, Cheras, apabila seorang wanita dibelasah dan disamun oleh seorang lelaki. Suspek melarikan dompet mangsa yang mengandungi kad pengenalan, kad pengeluaran wang automatik (ATM) dan wang tunai berjumlah RM400.

    Ekoran insiden ini yang turut mendapat perhatian Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, yang telah mengesahkan sebanyak enam stesen Transit Aliran Massa (MRT) dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ kejadian jenayah paling kerap.

    Menurutnya, enam stesen itu adalah Taman Mutiara Cheras, Batu 11 Cheras, Bukit Bintang, Maluri, Kajang dan Taman Pertama, Cheras, laporan Bernama.

    Enam stesen MRT dikenalpasti sebagai hotspot jenayah, polis bantuan akan memantau – Loke

    “Justeru, kami memutuskan untuk mewujudkan satu pasukan khas yang ditugaskan untuk memantau enam stesen MRT terbabit, bagi meningkatkan aspek keselamatan para penumpang. Petugas khas terlibat yang terdiri daripada 1,300 polis bantuan berperanan untuk melakukan pemantauan di stesen dengan berpakaian biasa pada setiap masa. Kita juga telah memastikan jika pengguna MRT memerlukan khidmat pengiring untuk ke kawasan parkir, mereka boleh meminta bantuan daripada polis bantuan,” ujarnya kepada pemberita semalam.

    Loke berkata insiden itu dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet semalam, apabila Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meminta meningkatkan aspek keselamatan di semua 115 stesen MRT dan perhentian bas.

    Katanya, pihak Prasarana juga akan menambah baik sistem lampu, dan kamera litar tertutup (CCTV) di semua stesen MRT serta kawasan sekitarnya bagi mengembalikan semula keyakinan penumpang wanita di stesen-stesen MRT.

    “Semua rondaan di stesen akan menjadi lebih kerap khususnya di kawasan terbabit. Kita akan terus bekerjasama dengan pihak penguatkuasaan dan polis untuk meningkatkan keselamatan bagi menangani isu jenayah,” katanya.

     
     
  • Alfa Romeo lancar “sesuatu yang baharu” di Geneva

    Alfa Romeo lancar “sesuatu yang baharu” di Geneva

    Sejak memperkenalkan Giulia dan Stelvio SUV, agak lama juga Alfa Romeo berdiam diri tanpa sebarang produk baharu. Walau bagaimana pun, dengar ceritanya, sesi mendiamkan diri itu bakal tamat di Geneva Motor Show yang dijadual berlangsung bulan hadapan, kerana pengeluar kereta Itali ini akan melancarkan model baharu.

    Jurucakap syarikat Berj Alexania memberitahu Roadshow: “Alfa Romeo akan berada di Geneva Motor Show untuk mempamerkan barisan model yang memenangi anugerah dan juga sesuatu yang baharu. Kami sangat teruja untuk menunjukkan kepada semua orang untuk “sesuatu yang baharu” dalam dunia prestasi dan kemewahan Itali ini. Ia dijangka berlangsung pada 5 Mac ini untuk menyaksikan bab seterusnya bagi kisah legenda Alfa Romeo.”

    Setakat ini, tiada perincian lanjut didedahkan. Walau bagaimana pun, ada laporan menjangkakan kemungkinan ia adalah crossover yang lebih kecil yang diposisikan di bawah Stelvio. Alfa Romeo juga dalam perancangan untuk memperkenalkan SUV yang lebih besar untuk bersaing dengan Audi Q7, BMW X5 dan Mercedes-Benz GLE, tetapi kemungkinan ia tidak akan dipamerkan di Geneva.

    Jika ia mengambil keputuan untuk memperkenalkan crossover kecil, mungkin juga ia adalah GTV Coupe. Alfa Romeo mendakwa, GTV yang merupakan jentera prestasi, mampu meledakkan pengagihan berat 50:50 serta mempunyai empat tempat duduk. Ia dijanakan oleh enjin 2.9 liter turbo-berkembar V6 (sama seperti enjin yang menjanakan Giulia Quadrifoglio) dan dipadankan dengan e-booster (pengecas turbo elektrik) untuk mendapatkan kuasa berjumlah 600 hp. Sistem pemanduan semua-roda dengan penvektoran tork juga akan ditampilkan.

    Selain itu, model baharu tersebut mungkin akan menggunakan platform ‘Giorgio’ yang berkongsi dengan Giulia dan Stelvio. Model akan datang Alfa Romeo juga akan ditawarkan dengan penjana kuasa plug-in hybrid, pemanduan sendiri Tahap 3 dan sistem ketersambungan.

     
     
  • Honda Civic Hatchback, Type R generasi seterusnya mungkin akan diproduksi di Amerika – laporan

    Honda Civic Hatchback, Type R generasi seterusnya mungkin akan diproduksi di Amerika – laporan

    Lanjutan dari berita pengesahan Honda bahawa mereka akan menutup ‘kampung halaman Honda Civic Hatchback dan Type R’ iaitu kilang Swindon UK pada 2021, Honda dikatakan akan memindahkan produksi kedua-dua model tersebut bagi generasi seterusnya ke satu lagi kilangnya di Amerika Syarikat, lapor Autoblog.

    Menurut Honda, mereka berminat untuk memproduksi semula Civic Hatchback di Amerika setelah melihat model tersebut untuk generasi sedia ada agak popular di negara berkenaan. Sehingga kini, hampir 20% jualan Civic di Amerika adalah dari versi hatchback, melangkaui apa yang disasarkan sebelum ini.

    Untuk versi lebih liar, Civic Type R juga dilihat relevan untuk dipasang di Amerika memandangkan enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo sememangnya sedang dipasang di Ohio.

    Honda juga menyatakan kepada portal berkenaan bahawa produksi Civic di Amerika ini tidak akan bermula di Amerika sehinggalah model generasi baharu diperkenalkan, dan ini membayangkan bahawa Honda Civic generasi ke-11 mungkin akan muncul sekitar tahun 2020 atau 2021.

    Honda Civic Hatchback, Type R generasi seterusnya mungkin akan diproduksi di Amerika – laporan

    Kilang Honda Swindon, UK dibina di atas bekas lapangan terbang, yang sebelum itu hanya digunakan untuk membuat pemeriksaan akhir sebelum penghantaran (PDI) pada tahun 1985. Operasi penghasilan enjin bermula pada tahun 1989 dan tiga tahun selepas itu Honda UK mula memasang model lengkap Accord di kilang berkenaan.

    Fasiliti ini juga adalah pusat dimana terhasilnya model-model Type R dari Honda UK seperti Honda Accord Type R, Civic Type R EP3, Civic Type R FN2 dan Civic Type R FK2 – kesemua ini tidak dibuat di Jepun. Malah model Type R terkini iaitu Civic Type R FK8 juga hanya dihasilkan di Swindon dan dieksport keseluruh dunia termasuk Jepun.

    Langkah untuk menutup kilang tersebut bukanlah disebabkan Brexit, tetapi adalah langkah penstrukturan semula jaringan pembuatan global Honda yang akan menumpukan kepada teknologi elektrik.

    Buat masa sekarang, kilang Swindon ini memproduksi 150,000 unit kereta setahun dioperasikan oleh kira-kira 3,500 orang pekerja. Walaupun kilang tersebut akan ditutup, ibu pejabat Honda Eropah masih akan kekal di UK. Jadi Honda menyatakan bahawa rundingan untuk pekerja-pekerja yang mungkin akan terjejas akan bermula sekarang.

     
     
  • Geely GE11 – gambar rasmi awal sedan elektrik disiar

    Geely GE11 – gambar rasmi awal sedan elektrik disiar

    Bulan lalu Geely mengeluarkan teaser, dan kali ini mereka telah pun mendedahkan gambar awal GE11. Tiga gambar yang anda lihat ini muncul Facebook rasmi mereka dengan tajuk “kereta baru, tenaga baru, logo baru, paradigma baru.” Sebelum ini syarikat itu memberitahu GE11 akan didedahkan awal tahun 2019.

    Setakat ini masih belum ada informasi penuh tentang kereta tersebut, tetapi apa yang kami tahu ia adalah sebuah kenderaan elektrik, dan yang pertama bagi Geely sejak pelancaran Emgrand EV pada tahun 2015. Sedan ini adalah sebuah “produk yang dibangunkan secara global” dan akan memacu hasrat syarikat untuk memasuki pasaran luar negara.

    Bahagian depan GE11 menggunakan rekaan tertutup dengan lampunya direka sekitar konsep ‘Yi’, yang dalam Bahasa Cina bermaksud satu. Rekaan ini membenarkan lampu tersebut mencecah dari hadapan ke atas lengkung roda hadapan. Tanpa enjin pembakaran dalaman biasa, ia tidak memerlukan gril hadapan, manakala soket mengecas terdapat di bahagian tepi, kanan, berhampiran roda hadapan.

    Melihat kepada bahagian hud, garisan yang boleh dilihat jelas turut membantu kecekapan rintangan angin sedan empat pintu ini menjadi 0.2375 Cd. Satu lagi bahagian yang menjadikan kereta ini kemas adalah pembuka pintunya disepadukan mengikut bentuk badan kenderaan dan akan keluar apabila pemandu datang dekat.

    Gambar bahagian belakang masih belum disiarkan secara rasmi tetapi daripada gambar yang bocor, ia nampak bersih manakala bahagian kabin mempunyai konsol tengah dan skrin yang besar. Laporan berita di China ada melaporkan penggunaan motor elektrik 177 PS (130 kW) dan laju maksimum 150 km/j untuk sedan ini, dan ia mempunyai ukuran 4,736 mm panjang, 1,804 mm lebar dan jarak roda 2,700 mm.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025