Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Singapura di tangga kedua dunia – dan no. 1 di Asia – bersedia untuk prasarana kenderaan autonomous

    Singapura di tangga kedua dunia – dan no. 1 di Asia – bersedia untuk prasarana kenderaan autonomous

    Bagi tahun kedua, sebuah kajian menunjukkan Singapura kekal menjadi negara nombor satu di Asia sebagai negara yang bersedia ke arah teknologi kenderaan autonomous (AV). Indeks Kesediaan Kenderaan Autonomous oleh KPMG, yang menilai tahap persediaan negara-negara di dunia terhadap teknologi AV, menamakan Singapura di tempat kedua selepas Belanda.

    Indeks berkenaan menilai sebanyak 25 buah negara semuanya, dari empat aspek penting isu berkaitan; dasar dan perundangan, teknologi dan inovasi serta prasarana dan penerimaan pengguna. Lima negara juga baru ditambah dalam kajian terbaru berkenaan – terdiri daripada Republik Czech, Hungary, Finland, Israel dan Norway.

    Singapura mencatatkan kedudukan teratas bagi dua daripada empat teras berkenaan, iaitu dasar dan perundangan serta penerimaan pengguna. Dari sudut prasarana, negara jiran itu berada di belakang Belanda. Bagi teknologi dan inovasi, Singapura ditangga ke-15.

    Namun, menurut Satya Ramamurthy, Ketua Prasarana, Kerajaan dan Kesihatan KPMG di Singapura, kekurangan pengilangan automotif konvensional di negara itu menjadi kelebihan bagi pembangunan kenderaan elektrik dan AV, memandangkan kenderaan jenis ini menggunakan set komponen yang kebanyakannya sangat berbeza.

    Singapura telah banyak memberi tumpuan terhadap pembangunan AV. Ia membuka Pusat Kecemerlangan bagi Ujian dan Kaji Selidik Kenderaan Autonomous (Cetran) di Universiti Teknologi Nanyang pada 2017. Melalui pusat ini, mereka mempunyai sebuah “bandar ujian” bagi kenderaan tanpa pemandu dengan lampu isyarat, hentian bas, bangunan tinggi dan mesin penghasil hujan sebagai menyediakan persekitaran ujian yang realistik.

    Mereka juga merancang ujian nyata bagi bas tanpa pemandu di tiga daerah – Punggol, Tengah dan Jurong) menjelang 2022, dan sedang berkerjasama dengan Belanda untuk menetapkan piawaian antabangsa bagi AV.

    “Kerajaan sangat proaktif dalam memikirkan hal-hal berkaitan mobiliti masa depan. Mereka sangat serius mengenalpasti kemungkinan serta menyediakan persekitaran dengan kawal selia yang akan membantu ke arah masa depan dengan teknologi autonomous,” ujar Ramamurthy.

     
     
  • Harga minyak 16-22 Februari – petrol naik, diesel kekal

    Harga minyak 16-22 Februari – petrol naik, diesel kekal

    Harga minyak dari 16-22 Februari 2019 ada sedikit perubahan berbanding minggu lalu. Harga bahan api petrol akan naik satu sen seliter, manakala harga diesel pula kekal sama seperti sedia ada.

    Ini menjadikan harga jualan bagi petrol RON 95 bagi tempoh seminggu ke hadapan ialah RM1.98 seliter, sementara bagi RON 97 pula pada harga RM2.28 seliter.

    Bagi diesel pula, harganya untuk seminggu ke depan kekal seperti minggu lalu. Diesel Euro 2M akan dijual pada harga RM2.18 seliter, manakala diesel Euro 5 akan dijual pada harga 10 sen lebih tinggi seperti biasa, menjadi RM2.28 seliter.

    Semua harga ini akan kekal sehingga Jumaat, 22 Februari 2019 nanti.

     
     
  • Volkswagen buka pusat 3S pertama Sabah di Inanam

    Volkswagen buka pusat 3S pertama Sabah di Inanam

    Volkswagen Passenger Cars Malaysia (VPCM) telah pun melancarkan pusat 3S pertama di Sabah yang terletak di daerah Inanam. Dikendalikan oleh Kota Bumi Sdn Bhd, pusat 3S Volkswagen Kota Bumi bermatlamat untuk memberi khidmat kepada pemilik kenderaan Volkswagen di Inanam, Menggatal, Lintas, Kolombong, Kota Kinabalu, Tuaran dan Sepanggar. Ia juga merupakan satu-satunya pengedar sah Volkswagen di Sabah. Sekali gus menjadi pusat 3S Volkswagen ke-18 di seluruh negara.

    Ia menyediakan khidmat jualan dan selepas jualan, termasuklah diagnosis, pembaikan dan penyelenggaraan, dengan bangunan setinggi tiga tingkat yang turut menempatkan bilik pameran yang mampu mempamerkan dua unit kereta. Manakala kawasan selepas jualan mempunyai empat ruang servis yang dikendalikan oleh tiga orang kakitangan selepas jualan berpengalaman serta boleh menyelenggara sehingga 16 buah kereta sehari.

    Perkhidmatan lain yang ditawarkan termasuklah insurans, tukar beli kenderaan, memperbaharui cukai jalan, pembaikan enjin dan bantuan tepi jalan 24 jam. Bagi memberi perkhidmatan tambahan, pusat servis itu juga menyediakan servis ambil dan hantar (bergantung kepada permintaan) serta membasuh kereta secara percuma.

    Ketua Pengedar Kota Bumi Sdn. Bhd., Carlwin Yee berkata mereka komited untuk memastikan pengalaman pemilikan yang positif dalam kalangan pelanggan Volkswagen di Sabah.

    “Kami bermula sebagai sebuah pusat servis 2S. Memandangkan permintaan ke atas kenderaan Volkswagen semakin meningkat, kami ingin merebut peluang itu dengan mengembang dan membina jenama Volkswagen di rantau ini. Kami juga telah berpindah ke lokasi baru yang lebih strategik untuk memenuhi keperluan ini dan memberi perkhidmatan lebih baik kepada para pelanggan sedia ada kami.”

    Sementara Pengarah Urusan VPCM, Erik Winter pula berkata, “Memastikan pengalaman pemilikan yang menyeronokkan menjadi keutamaan kami dan kunci kepada perkara ini adalah kepuasan pelanggan. Kami percaya ia hanya boleh dicapai menerusi sokongan padu daripada rakan-rakan pengedar. Jadi, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kota Bumi atas komitmen mereka membina jenama Volkswagen di Sabah.”

    Pusat 3S Volkswagen Kota Bumi beroperasi dari Isnin hingga Sabtu dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan ditutup pada Ahad.

     
     
  • Bentley Bentayga Speed diperkenalkan sebagai SUV paling laju di dunia – mampu cecah hingga 306 km/j!

    Bentley Bentayga Speed diperkenalkan sebagai SUV paling laju di dunia – mampu cecah hingga 306 km/j!

    Bentley telah pun mendedahkan Bentayga Speed baharu, yang didakwa sebagai SUV mewah paling laju di dunia. Ia dikatakan mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 306 km/j.

    Ia memiliki lebih satu km/j berbanding SUV paling pantas di dunia sebelum ini iaitu Lamborghini Urus (305 km/j). Ia agak menguja bila mana berat kasar Bentayga mencapai 2,491 kg berbanding Urus yang hanya 2,200 kg.

    Prestasi luar biasa ini didorong oleh enjin 6.0 liter turbo-berkembar V12 yang mampu menghamburkan kuasa sehingga 635 PS dan tork 900 Nm, di mana ia mengatasi angka bagi Bentayga biasa (608 PS/900 Nm).

    Bentley Bentayga Speed diperkenalkan sebagai SUV paling laju di dunia – mampu cecah hingga 306 km/j!

    Dengan enjin yang dilengkapi kotak gear automatik lapan-kelajuan dan pacuan semua-roda, membolehkan SUV ini dipacu dari 0-100 km/j dalam 3.9 saat berbanding versi standard 4.1 saat. Sebagai perbandingan, Urus mengambil masa 3.6 saat untuk jarak pacuan yang sama.

    Selain itu, Bentayga Speed juga meneripa semakan semula untuk suspensi dan talaan khas untuk sistem kawalan olengan aktif elektrik Dynamic Ride. Pelanggan yang inginkan kuasa yang lebih padu boleh juga memilik pakek brek seramik karbon yang 20 kg lebih ringan berbanding brek besi biasa, dan menawarkan tork membrek maksimum pada 6,000 Nm dan ketahanan kepanasan sehingga 1,000 darjah selsius.

    Sementara itu, penggayaan juga disemak semula yang melibatkan roda 22-inci, spoiler belakang yang lebih besar, gril gelap yang lebih menonjol dan Alcantara di bahagian kanin. Sebagai pemilik Bentley yang bukan teruja dengan material, mereka boleh memilih kulit tulen tanpa dikenakan sebarang kos tambahan.

     
     
  • Porsche 718 Cayman SportDesign tiba di Malaysia, terhad 15 unit, kuasa 300 hp dan 380 Nm, RM625k

    Porsche 718 Cayman SportDesign tiba di Malaysia, terhad 15 unit, kuasa 300 hp dan 380 Nm, RM625k

    Pengedar kenderaan Porsche di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) telah memperkenalkan sebuah model edisi terhad, 718 Cayman SportDesign untuk pasaran Malaysia (15 unit sahaja). Ini adalah sebuah model yang menggunakan asas daripada 718 Cayman dan dijual pada harga RM625,000 tidak termasuk insurans.

    Untuk membezakannya dengan model 718 Cayman biasa, model edisi terhad ini dipasang dengan pakej SportDesign, yang termasuk jalur pelekat gentian karbon, apron serta lip depan yang lebih agresif, pemegang pintu warna hitam, serta juga kemasan hitam pada muncung ekzos yang terletak di tengah.

    Barangan lain yang didatangkan standard pada 718 Cayman SportDesign ini adalah termasuk lampu LED Porsche Dynamic Light System Plus dan rim lima cabang dua tona 20 inci. Untuk rim ini, anda juga boleh menaik taraf kepada rekaan lain iaitu Carrera S atau Carrera Sport Wheel.

    Porsche 718 Cayman SportDesign tiba di Malaysia, terhad 15 unit, kuasa 300 hp dan 380 Nm, RM625k

    Masuk ke dalam, konsep naik taraf sport tadi diteruskan, dengan bahagian papan pemuka, panel pintu serta konsol tengah mendapat kemasan gentian karbon berkilat, manakala perehat tangan depan dibalut dengan suede Alcantara. Tempat duduk sports yang dibalut kulit hitam dengan larasan kuasa 14 arah juga diberikan terus.

    Menambahkan lagi ciri premiumnya, kereta ini dipasang dengan sistem bunyi 505 watt, 10 pembesar suara Bose, serta Sport Chrono Package yang memberikan pemanduan lebih sporty. Melalui pakej ini, casis 718 Cayman SportDesign menjadi lebih sporty dan empat mod pemanduannya boleh ditukar menggunakan butang di stereng. Satu lagi mod tambahan adalah Sport Response, di mana ia memberikan prestasi paling pantas, namun terhad hanya untuk 20 saat sahaja.

    Porsche 718 Cayman SportDesign tiba di Malaysia, terhad 15 unit, kuasa 300 hp dan 380 Nm, RM625k

    Berkenaan prestasi, 718 Cayman SportDesign dikuasakan oleh enjin empat silinder mendatar 2.0 liter turbocharged, dan mampu menghasilkan kuasa 300 hp dan 380 Nm tork. Tugas menyampaikan kuasa dari enjin ke roda belakang dilakukan transmisi klac berkembar PDK tujuh kelajuan, dan membolehkan ia memecut 0-100 km/j dalam masa 4.7 saat sebelum mencapai laju maksimum 275 km/j. Porsche Active Suspension Management diberikan secara standard, dan merendahkan lagi kenderaan sebanyak 10 mm.

    Porsche 718 Cayman SportDesign yang terhad 15 unit dan dijual pada harga RM625,000 ini ditawarkan dalam tiga warna iaitu Racing Yellow, Guards Red dan Carrara White Metallic. Setiap unit datang dengan jaminan dan pakej penyelenggaraan percuma empat tahun.

     
     
  • Oliver Solberg, 17-tahun, kini berlumba untuk Subaru Rally Team USA dengan livery biru-kuning klasik!

    Oliver Solberg, 17-tahun, kini berlumba untuk Subaru Rally Team USA dengan <em>livery</em> biru-kuning klasik!

    Anak kepada juara Rali Dunia (WRC) 2003 Petter Solberg, kini sah akan bertanding sepanjang musim 2019 dalam kejuaraan American Rally Association (ARA), bernaung di bawah pasukan Subaru Rally Team USA. Apa yang lebih mengharukan, Subaru WRX dipandu Oliver yang kini hanya berusia 17-tahun turut akan mengenakan livery perlumbaan klasik Subaru – Sonic Blue dan logo Subaru berwarna kuning – sama seperti Subaru Impreza WRCar 2003 yang dipandu ayahnya ketika dinobatkan sebagai juara dunia 16 tahun dahulu.

    Oliver Solberg akan dibantu oleh juruarah dari Britain, Aaron Johnston dan pasangan ini akan membawa cabaran Subaru Rally Team USA dengan dua lagi pemandu sensasi – bintang Nitro Circus dan bintang X-Games Travis Pastrana, serta juara Rally America tujuh-kali berasal dari Isle of Mann, David Higgins.

    “Saya tidak fikir sesiapa mula untuk faham apa yang penting akan perkara ini pada saya. Saya hanya berumur dua tahun ketika ayah saya merupakan juara dunia WRC, dan saya masih ingat dengan jelas betapa bangganya saya Ayah memakai baju biru dan kuning serta memandu kereta dengan warna sama. Sehingga sekarang saya masih ada sarung tilam Subaru,” kata Oliver.

    Oliver Solberg, 17-tahun, kini berlumba untuk Subaru Rally Team USA dengan <em>livery</em> biru-kuning klasik!

    “Bagi saya mendapat peluang untuk memakai warna yang sama dan memandu untuk jenama yang sama adalah satu perkara yang sukar untuk dipercayai. Saya perlu sangat berterima kasih kepada Subaru Motorsport USA untuk peluang ini,” tambahnya lagi.

    Sebelum diberikan kontrak oleh Subaru, Oliver Solberg bermula dengan perlumbaan Crosskart dan menjadi pelumba termuda berlumba dalam World Rallycross Supercar serta merangkul gelaran juara RallyX Nordic dalam kelas Supercar untuk musim 2018. Solberg dan Johnston bakal memulakan musim pertama mereka dalam kejohanan ARA ini di Missouri Rally in 100 Acre Wood pada 15 hingga 16 Mac ini

     
     
  • Polestar 2 tunjuk bentuk rekaan lampu LED belakang

    Polestar 2 tunjuk bentuk rekaan lampu LED belakang

    Polestar 2, model yang bakal diperkenalkan secara rasmi 27 Februari nanti terus “diselak” dan ditunjukkan sedikit demi sedikit oleh pengeluarnya. Terbaru, satu lagi teaser bagi rekaan lampunya ditunjukkan; satu sisi penuh bagi bahagian lampu yang melintang di belakang.

    Sama seperti model Polestar 1 dan barisan semasa model-model keluaran Volvo, Polestar 2 juga menggunakan rekaan lampu bentuk “C” dan dihubungkan kedua-dua sisinya dengan satu jalur lampu yang panjang di tengah-tengahnya. Turut dapat dilihat ialah kedudukan logo Polestar warna putih, yang ditempatkan pada panel berlekuk.

    Polestar 2 tunjuk bentuk rekaan lampu LED belakang

    Lain-lain perincian yang ada ditunjukkan dalam aplikasi web Polestar termasuk DRL Thor’s Hammer, rim aloi lapan jejari, bumbung kaca dan sebuah bentuk sedan konvensional. Imej ruang dalaman pula termasuk bahagian konsol tengah yang lebih tinggi dan kerusi sport.

    Polestar 2 akan turut menampilkan sistem infotainmen baru berasaskan Android, yang termasuk di dalamnya ciri Google Assistant versi kereta. Kereta elektrik ini nanti akan memberikan jarak perjalanan 438 km bagi satu cas penuh, dengan 400 hp kuasa. Pengeluarannya akan dimulakan selepas Polestar 1 mula dipasang tahun ini, dan ia akan bersaing dengan Tesla Model 3.

     
     
  • Bakal disenarai hitam jika elak sekatan jalan raya – JPJ

    Bakal disenarai hitam jika elak sekatan jalan raya – JPJ

    Penunggang motosikal yang lari daripada sekatan jalan raya adalah perkara biasa, ada yang sampai sanggup melawan arus asalkan tidak dicekup dek pihak berkuasa biar pun bahaya mungkin menanti.

    Walau bagaimana pun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka memaklumkan, mana-mana pengguna jalan raya khususnya penunggang motosikal yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan disenarai hitamkan.

    Menurut pengarahnya Muhammad Firdaus Shariff, pengguna jalan raya yang didapati melakukan kesalahan itu terlebih dulu diberi notis sebelum tindakan senarai hitam diambil mengikut Seksyen 55 Akta Pengangkutan Jalan 1987, laporan Harian Metro.

    Tambahnya lagi, dalam setiap operasi dilakukan akan ada anggota JPJ yang merakam gelagat pengguna jalan raya yang sengaja mengelak.

    “Selepas kenderaan itu dikenal pasti JPJ akan mengeluarkan Notis 114 untuk pemilik hadir dalam tempoh 21 hari. Jika mereka gagal hadir untuk temu siasat, kompaun RM150 dikenakan serta akan disenarai hitam daripada memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan,” katanya.

    Sementara itu, Muhammad Firdaus berkata, sepanjang Ops TBC 2019 bermula 29 Januari hingga 12 Februari lalu, 1,236 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dicatatkan di sekitar Melaka.

    “Daripada jumlah itu, motosikal merekodkan bilangan terbanyak diambil tindakan dengan 329 dan kesalahan tertinggi membabitkan pelesenan kenderaan 355,” katanya.

     
     
  • SPYSHOT: MINI JCW GP 2020 – tampil rupa buas

    SPYSHOT: MINI JCW GP 2020 – tampil rupa buas

    Awal minggu ini, MINI telah mengumumkan bahawa versi paling berkuasa untuk generasi F56 – John Cooper Works GP – bakal membuat kemunculan pada tahun hadapan. Macam mana rupa model berkenaan? Nampaknya jurugambar intipan kami berjaya mendapatkan imej MINI JCW GP tersebut.

    Model produksi ini nampaknya menerapkan banyak ciri dari model konsepnya yang muncul di Frankfurt Motorshow 2017. Berbanding MINI standard, JCW GP ini hadir dengan badan lebih lebar, tayar dan rim lebih besar serta spoiler belakang juga jauh lebih besar. Bampar hadapan turut menerima spoiler lebih menyerlah, manakala dibelakang dipadankan dengan tip ekzos berkembar lebih besar.\

    SPYSHOT: MINI JCW GP 2020 – tampil rupa buas

    MINI mengesahkan bahawa model ini akan bernafas dengan kuasa lebih dari 300 hp, tetapi tidak memberikan perincian lebih lanjut. Berkemungkinan enjin B48 2.0 liter turbo masih lagi menghuni perut kereta ini, tetapi ditala semula seperti unit yang sama pada BMW X2 M35i yang menjana 306 hp/450 Nm.

    Model ini juga berkemungkinan turut tidak mempunyai tempat duduk belakang seperti JCW GP generasi sebelum ini bagi mengurangkan beratnya. Ia juga sah akan dihasilkan terhad 3,000 unit berbanding hanya 2,000 unit untuk model sebelumnya.

    GALERI: Mini John Cooper Works GP Concept

     
     
  • F1 kembali ke Sepang perlu pertimbangan lanjut – SIC

    F1 kembali ke Sepang perlu pertimbangan lanjut – SIC

    Banyak maklum balas yang diterima berkaitan hasrat Tun M yang ingin melihat perlumbaan F1 kembali dianjurkan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC). Ada yang sokong, ada juga yang sebaliknya. Terbaru, CEO SIC sendiri, Datuk Razlan Razali turut menyuarakan pandangannya.

    Jelas beliau, untuk perkara itu berlaku, banyak faktor yang perlu diperhalusi dan dipertimbangkan terlebih dahulu, seperti yang dilaporkan oleh New Straits Times. SIC telah menganjurkan perlumbaan berprestij itu sejak 1999 lagi – semuanya sebanyak 19 kali sehingga perlumbaan terakhir pada 2017.

    Menurut Razlan, sekiranya cadangan itu serius, tempoh masa lima tahun diperlukan – selepas perlumbaan terakhir – sebelum ia boleh dipertimbangkan semula. Ketika ini, Malaysia baru memasuki tahun kedua selepas ia diberhentikan pada 2017.

    Beliau menambah, cadangan itu juga perlu dikaji agar ia menerima sokongan meluas sebelum dilaksanakan. “Jika sampai masanya kita bawa kembali penganjuran F1 ke Sepang, dan kerajaan juga menyokong, kami akan pertimbangkan. Kajian menyeluruh akan dibuat, dan ia akan melibatkan sokongan daripada pelbagai kementerian yang terlibat dan perlu dijayakan dengan cara yang lebih baik daripada sebelumnya,” tambah Razlan.

    F1 kembali ke Sepang perlu pertimbangan lanjut – SIC

    Komen dari Tun M itu diberikan selepas beliau dinobat sebagai penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat bagi acara Petronas SIC Motorsports Association of Malaysia (MAM) Awards 2018 yang berlangsung minggu ini.

    “Semuanya bermula dengan F1, dan SIC juga wujud kerana F1,” jelas Razlan. “Tapi saya fikir kita telah melangkau lebih daripada F1 ketika ini. Banyak kejayaan yang telah dicapai. Kita ada ramai pelumba yang bersaing di dalam kejuaraan dunia, tetapi bukan F1,” tambah beliau.

    Litar SIC ketika ini menjadi tuan rumah kepada kejuaraan seperti MotoGP, begitu juga dengan perlumbaan FIM Endurance World Championship (EWC) untuk motosikal dan World Touring Car Cup (WTCR) buat kali pertama hujung tahun nanti. Super GT juga akan kembali ke sini pada 2020.

    Sebab utama yang menjadi faktor penghalang kepada penganjuran F1 di SIC ialah kos yang terlalu tinggi.

     
     
  • Volkswagen T-Roc R – teaser di siar, muncul di Geneva

    Volkswagen T-Roc R – teaser di siar, muncul di Geneva

    Tahun lalu, Volkswagen memperkenalkan SUV yang lebih kompak dan sporty dari Tiguan, dikenali dengan nama T-Roc. Sebulan kemudian, ia hadir dengan versi yang nampak lebih agresif digelar T-Roc R-Line. Pada Geneva Motor Show tahun ini, versi berprestasi tinggi sebenar T-Roc R bakal membuat kemunculannya sulungnya secara rasmi.

    Pengumuman berkenaan dibuat oleh Volkswagen dengan menyiarkan lakaran digital SUV kompak lebih buas tersebut. Menerusi lakaran itu, dapat dilihat ia hadir dengan bampar bersama liang kemasukan udara lebih besar dan juga logo R serta liang tirus pada fender hadapan. Dijangkakan, kit badan luaran pada T-Roc R ini tidak jauh berbeza dengan T-Roc R-Line, Sama seperti Golf R-Line dan Golf R sebenar.

    Sebelum ini juga unit prototaip T-Roc R berkenaan telah dikesan sedang diuji, yang turut mendedahkan rekaan belakangnya. Pada bahagian tersebut, T-Roc R itu dilihat mengenakan bampar lebih labuh bersama empat tip ekzos. SUV ini juga tampil dengan stance lebih rendah bersama sistem brek yang kelihatan lebih besar.

    Volkswagen belum mendedahkan sebarang butiran unit janakuasa untuk T-Roc R. Namun berkemungkinan besar model ini bakal menerima unit penjana yang sama dengan Golf R iaitu enjin 2.0 liter turbo TSI berkuasa 310 PS/400 Nm, mengalirkan kuasa ke kesemua roda menerusi kotak gear klac berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan dan sistem AWD 4Motion.

     
     
  • Mazda bakal tampilkan 2 SUV baharu di USA – laporan

    Mazda bakal tampilkan 2 SUV baharu di USA – laporan

    Nampak gayanya Mazda makin memperkukuhkan lagi barisan crossover yang kian mendapat sambutan di pasaran dunia. Buat setakat ini, ia bukan setakat menumpulkan tiga model teras – CX-3, CX-5 dan CX-9 – bahkan juga SUV tujuh-tempat duduk CX-8 dan untuk pasaran China iaitu CX-4 “coupe”.Terkini, syarikat ini dikhabarkan bakal memperkenalkan lagi dua model SUV, dan kedua-keduanya adalah untuk pasaran USA, menurut Automotive News.

    Menurut penerbitan terbabut, salah satunya akan diperkenalkan di Geneva Motor Show bulan hadapan dan terdapat desas-desus menyatakan ia adalah CX-3 generasi akan datang. Dua lagi adalah model serba baharu yang dipasang di kilang baharu Mazda di Huntsville, Alabama, yang masih dalam pembinaan.

    CEO Operasi Amerika Utara Mazda Masahiro Moro tidak mendedahkan perincian mengenai model kedua, namun hanya memberitahu pemberita di Chicago Auto Show minggu lalu, ia merupakan “SUV crossoverbaha ru yang direka eksklusif untuk pasaran Amerika Utara.” Buat masa ini, Mazda masih memuktamadkan lagi kenderaan konsepnya, tambahnya.

    Moro turut berkata produksi di fasiliti Alabama akan bermula pada pertengahan tahun 2021, dengan menambah 150,000 unit crossover pada kapasiti Mazda. Penerbitan industri berkata penambahan bagi dua crossover ini mampu melonjakkan lagi pasaran di SUA, apabila CX-5 berjaya menguasai separuh daripada jualan jenama tersebut. SUV saiz sederhana ini telah didaftarkan sebanyak 150,622 unit pada tahun lalu, dengan jumlah keseluruhan jualan mencecah 300,325 unit.

     
     
  • Vespa Notte Edition untuk dua model pasaran Malaysia

    Vespa Notte Edition untuk dua model pasaran Malaysia

    Naza Premira Sdn Bhd hari ini melancarkan Vespa Notte Edition bagi dua model sedia ada sebelum ini; Vespa GTS Super 300 ABS dan Sprint 150 i-GET ABS. Sesuai dengan imej “notte” atau terjemahannya “malam” yang ditonjolkan, ini merupakan edisi serba hitam bagi dua model berkenaan.

    Dijual pada harga masing-masing bermula RM17,700 (Sprint 150) dan RM29,000 (GTS 300) – naik dari RM1k hingga RM2k, kedua-duanya mula berada di bilik pameran rasmi Vespa di seluruh negara. Tampil hanya dalam warna hitam, membesakannya daripada versi biasa model sama ialah penggunaan kemasan hitam berkilat bagi menggantikan kebanyakan kemasan krom yang digunakan sebelum ini.

    Antara bahagian yang terlibat ialah cermin sisi dan lengannya, “tali leher” pada wajah depan, palang pemegang penumpang belakang, rim, meter serta bingkai lampu utama, terutama bagi model Sprint 150. Sama seperti sebelumnya, model dengan enjin i-Get ini juga datang dengan lampu utama dan DRL LED, manakala GTS 300 kekal dengan lampu biasa.

    Tiada perubahan dari segi spesifikasi mekanikal; Vespa Notte GTS Super menggunakan enjin Quasar 273 cc silinder tunggal, dengan janaan kuasa sebanyak 15.6kW pada 7,750 rpm dan 22 Nm tork pada 5,000 rpm. Ciri lain yang menjadi kelebihannya ialah sistem kawalan cengkaman ASR dan juga ABS (2-saluran).

    Bagi Vespa Notte Sprint 150 pula, ia menggunakan unit 150 cc i-get dengan janaan kuasa 9.5 kW pada 7,750 rpm dan 12.8 Nm tork pada 6,500 rpm. Transmisi kedua-dua model ini menggunakan transmisi automatik CVT.

     
     
  • Hyundai i20 N bakal muncul dalam bentuk produksi menjelang tahun 2020, 1.6 T-GDI, 200 hp – laporan

    Hyundai i20 N bakal muncul dalam bentuk produksi menjelang tahun 2020, 1.6 T-GDI, 200 hp – laporan

    Seperti juga jenama lain, Hyundai buat masa sekarang menggunakan hatchback segmen-B mereka iaitu i20 bagi menyahut cabaran Kejuaraan Rali Dunia (WRC). Namun untuk model produksi berprestasi tinggi sebenar, sayap perlumbaannya iaitu Hyundai N mempertaruhkan hatchback segmen-C i30 N sebagai hero utama, manakala i20 kekal sebagai sebuah model dengan enjin 1.0 T-GDI berkuasa hanya 120 hp/172 Nm.

    Tapi nampaknya tak lama lagi i20 lebih buas talaan Hyundai N bakal muncul dibilik pameran – i20 N bakal didedahkan pada awal tahun hadapan, dan bakal menyertai model-model N lain iaitu i30 N hatchback dan i30 N fastback serta Veloster N, kata sumber dalaman jenama Korea tersebut kepada Autocar.

    Talaan casis dan juga enjin pada i20 N berkenaan dikatakan akan menyamai apa yang dibuat pada i30 N, jadi boleh dijangka kereta tersebut bakal diberikan casis dan suspensi lebih keras, brek lebih besar, nisbah stereng lebih pantas, dan juga enjin yang jauh lebih berkuasa.

    Bagi menghadapi lawan sekelas dalam pasaran seperti Ford Fiesta ST, Toyota Yaris GRMN dan Polo GTI, Hyundai i20 N dijangka akan dijana oleh enjin 1.6 liter T-GDI yang diambil dari model-model seperti Hyundai Elantra Sport dan Tucson, menjana kuasa sekitar 200 hp. Selain dari i20 ini, laporan sebelum ini turut ada menyatakan bahawa Hyundai N bakal menghasilkan SUV berprestasi tinggi berasaskan Hyundai Tucson.

     
     
  • Honda dedah papan pemuka EV prototaip akan datang

    Honda dedah papan pemuka EV prototaip akan datang

    Semasa Geneva Motor Show 2019 nanti, Honda akan membawa sebuah kenderaan EV prototaip, dan rupa luarannya telah pun ditunjuk sebelum ini. Terbaru, Honda mendedahkan pula sedikit bahagian dalam kenderaan yang masih belum mempunyai nama ini, atau lebih tepat lagi, bahagian papan pemuka.

    Papan pemuka ini dilihat mendapat inspirasi yang jelas daripada model Urban EV Concept yang pernah ditunjukkan pada tahun 2017, terutamanya pada bahagian skrin yang lebar serta panel rata seakan menggunakan kayu. Kereta ini menggunakan kamera untuk menggantikan cermin sisi, dan gambarannya akan terpapar di skrin tersebut.

    Perkara lain yang boleh dilihat pada gambar ini adalah stereng berbentuk klasik, tetapi mempunyai butang kawalan sistem infotainmen dan adaptive cruise control. Di hujung tuil pengawal pengelap cermin pula terlihat butang bertanda kamera, berkemungkinan untuk pandangan 360 darjah sekeliling kereta.

    Honda dedah papan pemuka EV prototaip akan datang

    Di atas panel kayu itu, terdapat beberapa butang utama untuk mengawal sistem infotainmen, manakala bawah padanya terdapat corong pendingin hawa, butang pemula enjin dan pengawal pendingin hawa. Melihat kepada skrin lebar itu, ia dibahagikan kepada tiga, dan anda boleh berinteraksi dengannya menggunakan sentuhan.

    Daripada menu yang terpapar dalam gambar ini, kita boleh melihat kereta konsep ini dilengkapi dengan Personal Assistant, sambungan telefon pintar dan pelbagai lagi aplikasi. Buat masa sekarang kita masih tidak tahu sama ada kereta ini adalah petunjuk awal untuk sebuah model produksi, dan bersama kita nantikan berita apabila ia didedahkan secara penuh nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025