Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • MAA: Jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Ogos 2018 berjumlah 65,551 unit, turun berbanding Julai

    MAA: Jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Ogos 2018 berjumlah 65,551 unit, turun berbanding Julai

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengumumkan jumlah pengeluaran serta jualan kenderaan di Malaysia bagi bulan Ogos 2018, dan kedua-duanya menunjukkan sedikit penurunan berbanding bulan Julai 2018. Keseluruhan pengeluaran dan jualan yang dicatat adalah masing-masing 47,387 unit dan 65,551 unit.

    Melihat kepada jumlah jualan, penurunan jualan bulanan yang dicatat bersamaan dengan 4.26%, di mana pada bulan Julai, jumlah jualan adalah 68,465 unit (+2,914 unit). Namun, apabila dibandingkan jumlah jualan pada bulan Ogos 2018 ini dengan bulan Ogos 2017, ia adalah lebih tinggi dengan perbezaan 13,835 unit (jualan Ogos 2017 adalah 51,716).

    MAA menjangkakan penurunan jumlah jualan bulanan akan berterusan pada bulan September kerana ini adalah bulan pertama cukai SST dikenakan semula dan kebanyakan pengguna telah melakukan pembelian semasa tempoh ‘cuti cukai’ selama beberapa bulan sebelum ini.

    Melihat pula kepada jumlah jualan keseluruhan dari awal tahun sehinggalah bulan Ogos ini, ia berjumlah 423,730 unit, dan apabila dibandingkan dengan tahun 2017, ia masih lebih tinggi dengan perbezaan sebanyak 39,008 unit, bersamaan 10.14%.

     
     
  • Mazda CX-5 2019 akan dapat enjin 2.5 liter turbo baru?

    Mazda CX-5 2019 akan dapat enjin 2.5 liter turbo baru?

    Mazda mendedahkan model CX-5 generasi kedua ketika Los Angeles Auto Show 2016 dulu, dan kelihatannya seperti model terbabit akan menerima kemaskini penting bagi model tahun 2019. Ini termasuk penggunaan enjin 2.5 liter empat-silinder yang ketika ini hanya ditawarkan bagi model Mazda 6 dan CX-9.

    Di dalam satu post di Reddit, seorang daripada ahli forum terbabit mendakwa ditunjukkan senarai kemaskini bagi model 2019 itu ketika beliau berkunjung ke sebuah pengedar Mazda di Kanada. Enjin SkuActiv-G T pada model Mazda 6 sedan menghasilkan 250 hp dan 420 Nm, tetapi tidak dinyatakan sama ada angka janaan akan sama bagi model SUV itu nanti.

    Apa pun, ia sepatutnya akan lebih tinggi berbanding kuasa dari enjin 2.5 liter SkyActive-G NA, yang hadir dengan 192 hp dan 257 Nm. Transmisi automatik enam kelajuan kemungkinan akan digunakan. Di Kanada, model paling asas dikatakan akan turut datang dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Tapi untuk Malaysia, enjin baru ini mungkin tidak ditawarkan; model Mazda 6 versi facelift sebelum ini pun tidak didatangkan dengan pilihan enjin berkenaan untuk pasaran tempatan ketika dilancarkan Ogos lalu.

    Mazda CX-5 2019 akan dapat enjin 2.5 liter turbo baru?

    Dokumen itu juga menunjukkan model itu nanti turut dilengkapi dengan G-Vectoring Control Plus (GVC+). Bagi CX-5, sistem G-Vectoring Control (GVC) yang standard akan memberikan mempelbagaikan tork enjin sebagai maklumbalas kepada input stereng, membolehkannya mengawal secara tidak ketara daya lateral dan longitud untuk memberikan pergerakan kenderaan yang lebih selesa.

    Selain itu, CX-5 yang diperbaharui itu nanti didakwa akan menerima sentuhan penggayaan baru, dengan rim 17 atau 19-inci, kluster instrumen yang direka semula, dengan turut menempatkan paparan skrin tujuh-inci, cermin sisi lipatan automatik dan keselesaan tempat duduk belakang yang dengan diberikan rekaan baru.

    Kemaskini kelengkapan antaranya dijangka akan melibatkan tempat duduk depan dengan liang udara, servis radio satelit serta sambungan Apple CarPlay dan Android Auto bagi sistem infotainmen MZD – semua ini tentunya berbeza-beza dan bergantung kepada pasaran mana ia akan dijual.

     
     
  • Proton lancar pusat 3S yang dinaiktaraf di Klang

    Proton lancar pusat 3S yang dinaiktaraf di Klang

    Terbaru, Proton telah pun melancarkan pusat 3S yang dinaiktaraf, terletak di Klang, Selangor dan dikendalikan oleh SAG Wira Sdn Bhd. Penaiktarafan ini adalah untuk memenuhi standard bagi sebuah cawangan Proton. Pusat 3S ini terletak di Lot 1713, Persiaran Raja Muda Musa yang merupakan jalan utama di situ, kawasan komersil yang dikelilingi oleh komuniti penduduk yang padat.

    Dengan melibatkan kos penaiktarafan sebanyak RM500,000, ia merangkumi kemudahan tambahan seperti ruang penyerahan kereta serta bilik perbincangan, selain fasiliti sedia ada termasuk ruang menunggu, enam petak penyelenggaraan dan lima servis pengangkat. Selain itu juga, pelanggan turut disediakan dengan kemudahan seperti WIFI percuma, komputer riba, ruang mengecas telefon bimbit dan parkir yang luas.

    Menurut Michael Lee Yeeng Cheong, Pengarah Automotif SAG Wira Sdn Bhd, penambahbaikan ini penting kerana ia akan menunjukkan imej jenama korporat yang lebih kukuh serta menguatkan keyakinan pelanggan. “Kekuatan Proton ada pada sejarahnya yang terdahulu sebagai kereta nasional dan pelanggan mempunyai sentimen nostalgia bersama jenama Proton. Kami sudah melihat penerimaan yang positif dari pasaran selepas pengumuman mengenai tempahan model X70, dan pelancarannya menjelang akhir tahun ini.”

    Pusat 3S Proton di Persiaran Raja Muda Musa ini beroperasi pada jam 8.30 pagi hingga 7 malam pada setiap Isnin hingga Sabtu, manakala Ahad dan cuti umum pula darijam 10 pagi hingga 6 petang, untuk bahagian jualan. Bagi bahagian servis pula, ia beroperasi dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang setiap hari dan ditutup pada Ahad dan cuti umum.

     
     
  • Toyota Supra A90 – Pasukan jurutera Toyota tidak lagi berhubung dengan jurutera BMW Z4 sejak 2014

    Toyota Supra A90 – Pasukan jurutera Toyota tidak lagi berhubung dengan jurutera BMW Z4 sejak 2014

    Tentu ramai yang membuat persepsi awal bahawa Toyota Supra A90 bukanlah Supra yang sebenar kerana ia adalah model yang dibina berasaskan platform yang sama dengan roadster BMW Z4 generasi baharu. Namun kedua-dua pihak, Toyota dan BMW sudah berberapa kali menyatakan bahawa kedua-dua kereta sport tersebut memasuki fasa akhir yang tidak sama, menjadikan ia dua buah kereta dengan karekteristik berbeza.

    Sejauh mana perbezaan pembangunan antara Supra dan Z4? Menurut pembantu ketua jurutera untuk projek Supra Masayuki Kai dalam laporan CNET, pasukannya langsung tidak berkomunikasi dengan BMW sejak tahun 2014, dua tahun selepas projek kedua-dua kereta sport tersebut bermula.

    “Kami setuju dengan pakejnya. Seperti di mana kedudukan pinggang pemandu, apa jarak rodanya, lebarnya, di mana kedudukan tangki bahan api, di mana tiang-A, ini semua pada sekitar pertengahan 2014… Kemudian kami adalah dua pasukan yang berbeza. Selepas itu, langsung tiada komunikasi antara satu sama lain,” kata Kai.

    Toyota Supra A90 – Pasukan jurutera Toyota tidak lagi berhubung dengan jurutera BMW Z4 sejak 2014

    Ini membuatkan Kai sendiri tidak tahu berapa banyak komponen yang akan dikongsi antara kedua-dua model berkenaan. “Secara asasnya, platform adalah sama… jadi kami rasa kami menggunakan komponen yang sama, tetapi seperti yang saya nyatakan, kami tak pasti adakah mereka akan menggunakan komponen yang sama,” jelas Kai.

    Faktor persamaan komponen ini juga tidak akan menjadikan kedua-dua kereta tersebut mempunyai sifat yang sama, kerana Supra dan Z4 di tala oleh dua pasukan yang berbeza. Menurut Kai, pasukannya bekerja keras bagi menala suspensi adpatif, enjin dan transmisi pada Supra tersebut bagi memberikan rasa yang Toyota mahukan.

    “Talaan untuk penukaran gear, berberapa kejutan tukaran gear, kelajuan tukaran gear, semua ini adalah direka khas untuk Supra… Untuk enjin, kami talanya bagi memberikan respon pendikit lebih baik dan juga lebih sporty,” terang Kai.

    Dalam laporan sebelum ini, Kai sudah pun menjelaskan mengapa Toyota perlu bekerjasama dengan BMW bagi menghasilkan Supra generasi baharu ini. Beliau menyatakan bahawa model berprestasi tinggi yang mempunyai pasaran yang niche dan kecil bukanlah mudah untuk dihasilkan dalam situasi sekarang.

    “Kereta Sport semakin mahal untuk dibangunkan. Jadi sebuah syarikat tidak mampu untuk melabur untuk kesemuanya dalam perkakasan menghasilkan bahagian dan komponen, kerana jumlah penghasilan untuk kereta sport adalah sedikit. Kereta sport memerlukan banyak komponen yang spesifik yang anda tak boleh berkongsi dengan kereta lain. Komponen yang kami gunakan pada Supra, tidak boleh digunakan pada sedan seperti Camry dan Corolla. Dan seperti yang anda tahu, isu homologasi juga menjadi semakin rumit dan sukar,” kata Kai.

    “Saya pasti jika kami tidak menjalinkan kerjasama seperti ini, BMW tidak mampu untuk membawa semula Z4 ke pasaran secara bersendirian. Dan tanpa kerjasama dari mereka, kami juga tidak mampu untuk membawa kembali Supra. Jadi ia jelas untuk kami, kami perlukan kerjasama ini,” jelas jurutera berkenaan lagi.

     
     
  • Marshal konvoi tiada kuasa lencongkan trafik – PDRM

    Marshal konvoi tiada kuasa lencongkan trafik – PDRM

    Menerusi laman Facebook rasmi Polis DiRaja Malaysia (PDRM), satu kenyataan telah dikeluarkan sebagai amaran; semua pengiring atau marshal tidak dibenarkan sama sekali mengawal lalu lintas sesuka hati. Menurut kenyataan itu lagi, penggunaan marshal dalam sesuatu pertandingan, konvoi atau apa juga program mestilah dihadiri oleh polis trafik.

    Orang awam atau pengguna jalan raya berhak untuk mengingkari perintah marshal ini sekiranya mereka melakukan tugas-tugas trafik seperti meminta anda memberikan laluan, memberhentikan kenderaan di persimpangan jalan, melencongkan kenderaan anda dan pelbagai lagi.

    Mana-mana individu atau kumpulan yang menjalankan tugas trafik tanpa anggota trafik boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 21 Akta Polis 1967 atau Seksyen 79(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Senario seperti ini selalu dilihat sama ada di lebuhraya mahu pun jalan biasa di Malaysia, apabila ada marshal membunyikan hon dan ada yang turut menggunakan strobe light untuk ‘memaksa’ pengguna jalan raya yang lain ketepi dan memberikan laluan kepada peserta konvoi.

    Malah, beberapa tahun yang lalu penulis sendiri pernah berhadapan dengan situasi sebegini bila mana memilih untuk tidak memberikan laluan kepada mereka dan ini menimbulkan kemarahan marshal terbabit (pakej kena maki hamun dan hon secara berjemaah bila mereka selisih dengan penulis. Agak biadap tindakan mereka itu).

    Kami berharap dengan kenyataan rasmi dari PDRM polis ini, tiada lagi insiden yang membabitkan konvoi termasuk kes membuli pengguna jalan raya yang lain dan juga menyebabkan trafik menjadi sesak atau terhalang disebabkan ‘sikap raja jalanan’ segelintir dari peserta konvoi ini. Mahu berseronok berkonvoi memang tidak dihalang, tetapi jangan sampai mengganggu kelancaran trafik melainkan dengan kawalan daripada polis trafik sendiri.

     
     
  • Jaguar F-Type 2.0L Ingenium kini di Malaysia, RM576k

    Jaguar F-Type 2.0L Ingenium kini di Malaysia, RM576k

    Jaguar Land Rover Malaysia telah memperkenalkan model Jaguar F-Type Coupe 2018 di negara ini. Peningkatan kecil telah dilakukan pada bahagian luaran dan dalaman, serta turut memperkenalkan varian 2.0 liter pengecas turbo Ingenium di pasaran tempatan.

    Semakan luaran yang dilakukan termasuklah lampu utama LED baharu dan bampar hadapan yang direka semula, sementara di bahagian belakang pula kini menampilkan lampu yang turut diberi sentuhan lain dan kemasan corong ekzos tunggal baharu. Melengkapi peningkatan ini termasuklah roda 18-inci rekaan baharu dan juga warna luaran baharu iaitu Silicon Silver.

    Bagi dalamannya pula, F-Type kini dilengkapi dengan tempat duduk slim-line yang ringan, dengan menggunakan aloi magnesium die-cast sebagai kerangka tempat duduk bagi penjimatan berat sekitar l8 kg berbanding sebelum ini.

    Kemasan baharu juga kelihatan pada dua-tempat duduk dengan sentuhan krom dan aluminium, dan skema warna luaran bagi F-Type turut dipertingkatkan lagi dan kini kulit Siena Tan didatangkan sebagai pilihan.

    Elemen standard yang turut ditampilkan kini termasuklah sistem infotainmen Touch Pro dengan skrin sesentuh 10-inci. Sistem ini menampilkan prosesor quad-core yang lebih berkuasa, 60 GB solid-state drive (SSD) berkelajuan tinggi dan rangkaian Ethernet pantas, termasuk lain-lain kelengkapan.

    Bagi mekanikalnya, enjin 2.0 liter suntikan-terus petrol ditampilkan dan menawarkan 300 PS pada 5,500 rpm dan tork 400 Nm dari 1,500 hingga 4,500 rpm. Ia juga dipadankan dengan transmisi automatik lapan-kelakuan yang dipacu ke roda belakang. Angka prestasi termasuk pacuan 0-100 km/j dalam hanya 5.7 saat dan kelajuan maksimum mencecah 250 km/j.

    Pengenalan enjin terbabit juga membuatkan kereta ini lebih ringan, dan ia juga terlibat dengan perubahan kadar gegelung, di mana ia mampu mengurangkan sebanyak 4% di hadapan dan 3% di belakang bagi pengurangan pada berat selekoh. Selain itu, ia turut didatangkan dengan program F-Type SVR, peredam monotube yang diolah semula untuk meningkatkan keseimbangan dan pengendalian.

    Terakhir, harganya – F-Type 2.0L Ingenium 2018 ditawarkan pada harga RM575,800 (tidak termasuk cukai jalan, pendaftaran dan insurans), dan turutu didatangkan dengan program ‘Jaguar Care’ bersama waranti lima-tahun/150,000 km dan penyelenggaraan lima-tahun/65,000 km (yang mana tiba terlebih dahulu) dan juga program bantuan tepi jalan selama tiga-tahun.

     
     
  • Lexus RX300 Special Edition tiba di M’sia – RM434k

    Lexus RX300 Special Edition tiba di M’sia – RM434k

    Lexus Malaysia telah memperkenalkan model RX300 Special Edition, yang merupakan sebuah model menggunakan asas RX300 Luxury, tetapi diberikan lebih banyak aksesori. Harga yang ditetapkan untuk model ini adalah RM434,000, menjadikannya lebih RM10,000 berbanding RX300 Luxury.

    SUV mewah ini dipasang dengan beberapa aksesori asli Lexus, bermula dengan bahagian lip bawah bampar hadapan untuk lebih perlindungan dan kemasan di bawah pintu. Turut diberi adalah pemijak tepi bersepadu yang dapat membantu pengguna keluar dan masuk ke dalam kenderaan, terutamanya kanak-kanak dan orang berumur.

    Selain daripada itu, RX300 Special Edition turut didatangkan dengan visor tepi pintu bersama kemasan krom, serta plet di atas bampar. Ini dapat mengelakkan permukaan tersebut daripada tercalar apabila memasuk dan mengeluarkan barang. Aksesori lain yang ada pada kenderaan ini termasuk lampu di pintu (yang mempunyai tulisan Lexus dan logonya), pembaca dan transmitter Touch ‘n Go (bukan untuk RFID) dan perakam video (DVR, dashcam).

    Pada bahagian mekanikal, tiada perubahan yang diberi, bermakna ia masih lagi menggunakan enjin empat silinder petrol 2.0 liter 8AR-FTS yang disokong pengecas turbo dan boleh menghasilkan kuasa sebanyak 235 PS dan 350 Nm tork. Kuasa ini disampaikan kepada semua empat tayar melalui transmisi automatik enam kelajuan ECT.

    Seperti biasa, RX300 Special Edition yang merupakan model import sepenuhnya (CBU) ini didatangkan bersama jaminan pengilang lima tahun tanpa had batuan. Semua aksesori pula dipasang oleh pekerja terlatih di pusat aksesori UMW Toyota Motor di Bukit Raja, Selangor.

     
     
  • Peugeot e-Legend ambil inspirasi daripada model 504 Coupe, guna kuasa elektrik 456 hp, 800 Nm tork, 4WD

    Peugeot e-Legend ambil inspirasi daripada model 504 Coupe, guna kuasa elektrik 456 hp, 800 Nm tork, 4WD

    Pada tahun 60-an dulu, Peugeot mempunyai model yang cukup terkenal kerana bentuk serta ketahanannya iaitu 504 Coupe. Kini, syarikat itu telah menghasilkan sebuah model konsep dikenali sebagai e-Legend yang mengambil inspirasi daripada 504 Coupe, tetapi dijadikan lebih moden pada segenap aspek. Ia akan ditunjukkan di khalayak ramai semasa Paris Motor Show bulan hadapan.

    Ukuran Peugeot e-Legend adalah 4,650 mm panjang, 1,930 mm lebar, 1,370 mm tinggi, dengan jarak roda 2,690 mm dan dikuasakan sepenuhnya oleh elektrik. Kuasa ini datang daripada bateri 100 kWh, dengan jumlah maksimum sebanyak 340 kW (456 hp) dan 800 Nm tork dapat disampaikan ke semua roda (4WD). Dengan kuasa sebanyak ini, ia boleh memecut 0-100 km/j dalam masa bawah empat saat sebelum mencapai laju maksimum 220 km/j.

    Melalui protokol ujian WLTP, e-Legend boleh digunakan sejauh 600 km dengan satu cas penuh, dan dengan menggunakan pengecas pantas, baterinya boleh dicas kembali untuk memberikan jarak 500 km dalam masa 25 minit sahaja. Turut ditawarkan adalah pengecas induksi tanpa wayar.

    Peugeot e-Legend ambil inspirasi daripada model 504 Coupe, guna kuasa elektrik 456 hp, 800 Nm tork, 4WD

    Menurut Peugeot, e-Legend mempunyai kemampuan pemanduan autonomous 100%, dengan dua mod disediakan iaitu Soft dan Sharp. Dalam mod autonomous Soft yang lebih mengutamakan keselesaan, segala informasi pada skrin digital akan diletak pada tahap minimum manakala dalam mod autonomous Sharp, ia akan menyediakan sambungan kepada aktiviti digital secara maksimum.

    Walaupun begitu, dalam kedua-dua mod ini stereng akan dilipat masuk ke dalam seterusnya menyediakan paparan skrin digital 49 inci, tempat duduk akan disandarkan ke belakang, perehat tangan keluar secara automatik untuk menjadi tempat mengecas telefon tanpa wayar dan kawalan kenderaan lain disediakan pada konsol yang bersepadu dengan tempat duduk pemandu.

    Jika tidak mahu kenderaan bergerak sendiri, pengguna boleh memandu e-Legend dan disediakan dengan dua mod iaitu Legend untuk pemanduan santai dengan terdapat butang kawalan seperti 504 Coupe dan paparan digital permukaan seperti kayu, dan satu lagi mod iaitu Boost disediakan untuk pemanduan dinamik, dengan paparan penuh keadaan jalan.

    Bagi Peugeot, e-Legend ini bukan sekadar manifesto kemampuan teknologi mereka, malah adalah visi untuk jenama Peugeot itu sendiri yang sentiasa fokus kepada masa hadapan yang optimis. Mereka juga mahu menjadikan kereta autonomous dan elektrik sesuatu yang penuh sensasi.

    Disebabkan itu, selain bahagian luar yang moden, dalamnya juga dipenuhi pelbagai kelengkapan antaranya teknologi kawalan suara AI dan bahan berkualiti tinggi seperti sutera velvet dan kemasan kayu Paldao. Secara keseluruhannya, terdapat 16 skrin berbeza saiz dalam kenderaan ini, dan selain untuk memaparkan informasi dan kawalan, ia juga digunakan untuk menghasilkan visual khas tertentu.

     
     
  • Toyota mungkin lahirkan kembali Celica GT-Four dengan sistem AWD, cabar semula Subaru WRX STI?

    Toyota mungkin lahirkan kembali Celica GT-Four dengan sistem AWD, cabar semula Subaru WRX STI?

    Lagi perkembangan penghasilan barisan kereta sport ‘Tiga Beradik’ Toyota – nampaknya sama ada Celica atau MR2 yang akan dilahirkan semula untuk menyertai Toyota 86 dan Supra generasi baharu masih lagi belum diputuskan, lapor Road & Track.

    “Kami mahukan Celica kembali, kami mahukan MR2 kembali,” kata pembantu ketua jurutera dalam projek Supra Masayuki Kai. “Paling besar adalah Supra. Supra adalah nombor satu, permintaan paling tinggi dalam pasaran. Sekarang kami sudah bawa Supra untuk kembali, apa yang akan di bawa semula selepas ini adalah bergantung kepada permintaan pasaran,” jelas Kai lagi.

    Namun dalam masa yang sama, Kai turut memberikan petunjuk bahawa sekiranya Celica di bangunkan semula, ia bukanlah seperti model generasi pertama yang menampilkan pacuan roda belakang atau model generasi terakhir Celica GT pacuan roda hadapan, tetapi sebagai sebuah jentera pacuan semua roda kompak seperti zaman kegemilangan Celica GT-Four yang bertanding dalam kejohanan rali dunia (WRC), menentang musuh senegara – Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.

    Walau bagaimanapun menurut Kai, model baharu dalam barisan tiga beradik tersebut nanti tidak semestinya Celica atau MR2. “Mungkin boleh jadi model baharu sepenuhnya. Kita perlu tunggu dan lihat,” jelas Kai.

    Tetapi apa yang pasti, Kai menyatakan model berprestasi tinggi yang mempunyai pasaran yang niche dan kecil bukanlah mudah untuk dihasilkan dalam situasi sekarang, sebab itu mengapa 86 dibina bersama Subaru manakala Supra pula bersama BMW.

    Toyota mungkin lahirkan kembali Celica GT-Four dengan sistem AWD, cabar semula Subaru WRX STI?

    “Kereta Sport semakin mahal untuk dibangunkan. Jadi sebuah syarikat tidak mampu untuk melabur untuk kesemuanya dalam perkakasan menghasilkan bahagian dan komponen, kerana jumlah penghasilan untuk kereta sport adalah sedikit. Kereta sport memerlukan banyak komponen yang spesifik yang anda tak boleh berkongsi dengan kereta lain. Komponen yang kami gunakan pada Supra, tidak boleh digunakan pada sedan seperti Camry dan Corolla. Dan seperti yang anda tahu, isu homologasi juga menjadi semakin rumit dan sukar,” kata Kai.

    “Saya pasti jika kami tidak menjalinkan kerjasama seperti ini, BMW tidak mampu untuk membawa semula Z4 ke pasaran secara bersendirian. Dan tanpa kerjasama dari mereka, kami juga tidak mampu untuk membawa kembali Supra. Jadi ia jelas untuk kami, kami perlukan kerjasama ini,” jelas jurutera berkenaan lagi.

     
     
  • Toyota Yaris, 86 GR daftar trademark untuk Eropah

    Toyota Yaris, 86 GR daftar <em>trademark</em> untuk Eropah

    Toyota dikhabarkan telah memfailkan tanda dagang (trademark) bagi model GRMN dan GR Sport untuk kegunaan pasaran Eropah. Autocar melaporkan buat permulaan nama Yaris dan 86 GR akan digunakan di pasaran sana, memberikan petanda ia menghampiri pelancaran.

    Nama yang diambil dari unit perlumbaan Toyotan, Gazoo Racing, jenama GR sinonim dengan beberapa peralatan talaan termasuk kit badan asas dan peningkatan suspensi GR Sport. Di Jepun, Yaris GR (dengan logo Vitz GR di sana) menerima roda aloi 17-inci, tayar Bridgestone Potenza RE050A, roda stereng diameter-kecil dari 86 dan mod transmisi 10-kelajuan untuk model CVT.

    Sementara, 86 GR pula meneruma aloi Rays 17-inci, tempat duduk Recaro, Torsen limited-slip differential dan brek Brembo dengan enam-omboh di hadapan dan empat-omboh di belakang. Selain yang ditawarkan oleh GR Sport, ia juga dilengkapi dengan kit badan, peredam Sachs dan beberapa elemen mekanikal lain. Model GR dan GR Sport ini tidak didatangkan dengan kuasa tambahan – yang hanya untuk versi GRMN.

    Toyota Yaris, 86 GR daftar <em>trademark</em> untuk Eropah

    Di Eropah, Yaris GR Sport hanya ditawarkan dalam versi hibrid lima-pintu, dengan menggunakan enjin Prius C 1NZ-FXE 1.5 liter VVT-i (74 PS/111 Nm) dan motor elektrik (61 PS/169 Nm) untuk menghasilkan keseluruhan output sebanyak 100 PS. Dijangkana versi GR juga akan dilengkapi dengan penjana kuasa dan gaya badan yang sama.

    Manakala bagi 86 GR pula, ia akan dilengkapi dengan elemen seperti model standard termasuk enjin 2.0 liter empat-silinder (205 PS) dengan pilihan transmisi manual dan automatik enam-kelajuan.

    GALERI: Toyota Yaris, 86 GR di Jepun

     
     
  • Driven Movie Night – menangi 20 pas percuma Venom!

    Driven Movie Night – menangi 20 pas percuma Venom!

    Sekali lagi, kami bawakan kepada anda Driven Movie Night! Bagi meraikan penayangan filem Venom di pawagam-pawagam seluruh negara bermula 4 Oktober ini, kami ingin mengajak anda untuk menontonnya lebih awal bersama kami, dengan ehsan dari Sony Pictures Entertainment Malaysia. Pemenang-pemenang yang bertuah akan menyertai kami untuk tayangan perdana pada Selasa, 2 Oktober pada 8.30 malam bertempat di GSC One Utama, Petaling Jaya.

    10 pasang tiket ditawarkan, maksudnya ada 20 keping pas percuma untuk direbut. Apa yang perlu anda lakukan hanyalah menonton sedutan filem ini yang ditampilkan ini dan jawab dua soalan mudah. Tambah menjadikannya menarik, kami juga akan berikan cenderahati eksklusif #Venom kepada pemenang yang terpilih! Tapi, anda perlu lekas, kerana tarikh tutupnya ialah pada 28 September ini.

    Ia merupakan kisah satu daripada watak paling kompleks dari Marvel – Eddie Brock (yang dilakonkan oleh Tom Hardy) telah menjadi hos kepada alien asing yang sebati di dalam tubuhnya. Merupakan seorang wartawan, beliau ingin menjatuhkan pengasas Life Foundation yang jahat, Carlton Drake (Riz Ahmed) – obsesi itu telah menghancurkan kerjaya serta hubungannya dengan teman wanita, Anne Weying (Michelle Williams).

    Ketika menyiasat eksperimen yang dijalankan oleh Drake, alien Venom telah meresap ke dalam tubuh Eddie, dan secara tiba-tiba beliau mendapatkan kuasa yang menakjubkan, serta peluang untuk berbuat apa saja yang diinginkan.

    Keliru, kelam dan sukar dijangkakan serta diselubungi rasa marah, Venom menyebabkan Eddie terpaksa bergelut untuk mengawal kemampuannya yang merbahaya sekiranya disalah guna. Dalam kedua-dua Eddie dan Venom saling memerlukan antara satu sama lain untuk mendapatkan apa yang mereka inginkan, mereka penguasaan antara mereka menjadi semakin berselirat – di manakah hubungan Eddie dan Venom bermula? Untuk tahu bagaimana kisah lanjut dalam filem ini, sertai peraduan ini sekarang.

    *Peraduan ini berakhir pada Jumaat, 28 September 2018. Senarai pemenang akan diumumkan di laman web paultan.org dan akan dimaklumkan melalui emel dan SMS pada Isnin, 1 Oktober 2018. Keputusan adalah muktamad, sebarang bantahan tidak akan dilayan. Tayangan akan berlangsung pada hari Selasa, 2 Oktober 2018 di GSC One Utama di Petaling Jaya. Pemenang perlu mengambil pas mereka pada tarikh dan lokasi yang dinyatakan ini sejam sebelum tayangan bermula. Disebabkan lokasi tayangannya, peraduan ini hanya terbuka kepada mereka yang berada di Lembah Klang sahaja.

     
     
  • Mercedes-AMG Project One: “spyshot” rasmi didedah

    Mercedes-AMG Project One:  “spyshot” rasmi didedah

    Mercedes-AMG telah mempertontonkan model konsep Project One di Frankfurt Motor Show tahun lalu. Selepas setahun berlalu dan Affalterbach masih bekerja keras untuk membawakan hypercar yang berenjinkan jentera Formula One untuk ke pasaran, namun sebelum ini memilih menyebarkan spyshot rasminya terlebih dahulu.

    Syarikat ini berkata telah menghabiskan ratusan jam untuk mendapatkan penjana kuasa hibrid spesifikasi perlumbaan untuk membuatnya mampu dipacu di jalan raya, malah telah stimulasi di trek yang paling sukar dalam dunia bagi dynos bahagian High Performance Powertrains (HPP) di Brixworth – syarikat yang sama yang membina enjin yang memenangi kejuaraan pasukan F1.

    Sejak itu, unit kuasa telah dipasang pada prototaip pertama, di mana ia kini diuji di “litar ujian rahsia” di England (nampak macam di Millbrook Proving Ground). Jentera ini dilihat tanpa lampu dan beberapa elemen – terutamanya “bargeboards” di belakang roda hadapan – tetapi masih kelihatan slung bodywork yang rendah dengan corong udara hadapan yang besar dan dorsal fin gaya-LMP seperti yang pernah ditunjukkan pada model konsep yang dipamerkan.

    Angka dan faktanya masih kekal rahsia buat masa ini, namun apa yang kami tahu, di bawah hudnya terletak enjin 1.6 liter pengecas turbo dan suntikan-terus V6 yang diambil dari jentera F1 (dalam perkara ini, ia adalah F1 W07 Hybrid 2016 yang memberikan Nico Rosberg memenangi juara dunia) dengan gegelung injap pneumatic yang boleh mencecah sehingga 11,000 rpm.

    Mercedes-AMG Project One:  “spyshot” rasmi didedah

    Apabila ia dibuat untuk kegunaan di jalan raya, hadnya telah direndahkan berbanding 15,000 rpm bagi jentera perlumbaan, untuk memanjangkan jangka hayat enjin dan membolehkan ia menggunakan bahan api komersil RON 98. Juga elemen dari jentera F1 ialah pengecas turbo yang menempatkan turbin dan pemampat pada hujung bertentangan enjin, disambungkan pada aci, dan ini membolehkan udara termampat menjadi sejuk kerana ia dipisahkan dari ekzos panas.

    Ia dipasang ke enjin dengan dua unit motor elektrik. MGU-H (untuk kepanasan), yang mampu menghasilkan sekitar 90 kW (120 hp), memecahkan tenaga dari ekzos untuk memacu pemampat, bagu mengurangkan turbo lag – Mercedes-AMG mendakwa enjin ini memiliki respon yag lebih baik berbanding naturally-aspirated V8.

    Motor kedua pula, MGU-K (untuk kinetik), yang disambungkan pada crankshaft dan memulihkan sehingga 80& tenaga kinetik jentera semasa membrek. Apabila berlaku, ia menghantar 120 kW (160 hp) kuasa ekstra, melonjakkan lagi output do roda belakang melebihi 670 hp – dipacukan menerusi kotak gear manual automatik laman-kelajuan baharu. Kecekapan terma enjin mampu melebihi 40% berbanding rekod pengeluaran yang ditetapkan oleh Toyota Prius terbaharu.

    Mercedes-AMG Project One:  “spyshot” rasmi didedah

    Bukan itu sahaja, sepasang lagi motor elektrik 120 kW ditempatkan di hadapan bayi menyalurkan pacuan semua-roda dan penvektoran tork pada gandar hadapan. Secara keseluruhan, angka kuasa mampu mencecah lebih 1,000 hp, berkeupayaan memacu Project One dari sifar ke 200 km/j di bawah enam saat dan kelajuan tertinggi melebihi 350 km/j.

    Selain dari sangat berkuasa, kereta ini juga mampu dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya pada jarak 25 km menggunakan motor-motor pada gandar hadapan, motor MGU-K dan juga suapan kuasa dari pek bateri lithium-ion yang terletak dibelakang roda hadapan. Bateri berkenaan menggunakan sel yang sama serta diletakkan pada posisi serupa seperti konfigurasi pada kereta F1 sebenar, tetapi ia dibina lebih besar bagi memberikan kuasa yang lebih untuk digunakan di jalan raya biasa.

    Secara keseluruhan, sistem elektrikal pada Project One masih lagi menggunakan sistem tradisional 12-volt, tetapi unit janakuasa hibridnya beroperasi dengan 800 volt berbanding hanya 400 volt pada kenderaan hibrid biasa.

    Bukan sahaja unit janakuasa diambil dari F1, malah kerangka Project One ini turut menerapkan kejuruteraan dari mesin perlumbaan berkenaan. Jentera ini menampilkan kerangka monocoque yang dibina dari gentian karbon yang menampung enjin dan transmisi. Suspensi multilink kereta ini pula menampilkan penyerap hentak yang dipasang secara melintang bagi mengurangkan olengan pada kadar paling sedikit walaupun semasa pertukaran haluan secara drastik, serta mengelakkan ketidakselesaan semasa situasi berkenaan. Brek karbon seramik juga dilengkapkan sebagai ciri standard.

    Bagi melengkapkan jentera ini, ia diberikan rim aloi forged pelbagai jejari dengan penutup sisi gentian karbon bersaiz 19-inci di hadapan (dengan tayar 285/35) dan 20-inci di belakang (dengan tayar 335/20), di mana kesemuanya dibaluti tayar Michelin Pilot Sport Cup 2 yang direka khas hanya untuk Project One ini.

    Dengan keseluruhan prestasi ini, boss besar AMG Tobias Moers berkata, “adalah munasabah untuk membuat spekulasi” bahawa syarikat mampu mensasarkan rekod pusingan, tidak seperti cabaran yang dicipta oleh Porsche dengan catatan 5 minit 19.6 saat bersama jentera 919 Hybrid Evo. Ini kerana ia mensasarkan mampu mencapai rekod seperti Porsche 911 GT2 RS dengan catatan 6 minit 47 saat.

    Model produksi dijangka akan dikeluarkan sebanyak 275 unit – dan desas-desus menyatakan ia bakal dijual pada harga (RM10.9 juta) dan dilaporkan kesemuanya telah habis dijual.

     
     
  • Volkswagen I.D. Buzz Cargo – van pengangkut pintar

    Volkswagen I.D. Buzz Cargo – van pengangkut pintar

    Sebelum ini, untuk kenderaan elektrik generasi baru I.D, Volkswagen telah memperkenalkan model I.D. Buzz Concept di mana ia adalah sebuah van penumpang, dan kali ini, syarikat yang mahu memberi lebih fokus kepada kenderaan elektrik itu memperkenalkan pula I.D. Buzz Cargo yang boleh digunakan untuk mengangkat barang atau termasuk dalam kategori kenderaan komersial ringan.

    Penampilan I.D. Buzz Cargo ini hampir sama dengan I.D. Buzz, dengan logo VW yang besar, jalur berbentuk V serta lampu dengan permukaan yang licin di hadapan, tetapi ia tidak mempunyai cermin untuk bahagian belakang dan pintu untuk mengakses ruang barangan terbelah di tengah dan dibuka ke tepi. Ini kerana I.D. Buzz Cargo adalah sebuah van panel yang bakal meneruskan generasi model Transporter dan direka untuk mengangkut barang.

    Setakat ini masih belum ada sebarang gambar bahagian dalam yang dikeluarkan secara rasmi, tetapi menurut Volkswagen, I.D. Buzz Cargo ini dapat melakukan tugas penghantaran barang dengan lebih cekap dan tersusun kerana menggunakan sistem berasaskan “Internet of Things”. Pengendali hanya perlu melihat kepada tablet dan boleh mengetahui segala informasi tentang barang yang ada di belakang dan seterusnya merancang perjalanan.

    Pada bahagian hadapan, terdapat satu tempat duduk untuk pemandu dan di sebelahnya terletak tempat duduk jenis bangku (bersambung di tengah). Tetapi, bahagian tengah itu boleh dilipat jika tidak digunakan, dan seterusnya memberikan ruang kerja berserta komputer bersepadu untuk kegunaan pemandu. Ini juga boleh dilakukan semasa bergerak kerana I.D. Buzz Cargo dilengkapi dengan sistem pemanduan autonomous Level 4.

    Volkswagen I.D. Buzz Cargo – van pengangkut pintar

    Dengan penggunaan platform Modular Electric Drive Kit (MEB), I.D. Buzz Cargo boleh didapati dengan pakej bateri yang pelbagai, bergantung kepada penggunaan dan bajet pemiliknya. Jika ia lebih banyak digunakan secara biasa dalam bandar, anda boleh mendapatkan pakej bateri lithium-ion 48 kWh, tetapi jika banyak digunakan untuk jarak lebih jauh, pakej bateri 111 kWh disarankan. Jarak pergerakan pula adalah antara 320 km hingga 550 km.

    Bateri ini memberi kuasa kepada motor elektrik 150 kW (201 hp), dan ia disambungkan kepada kotak gear satu kelajuan yang disepadukan di dalam gandar belakang. Kelajuan maksimum dihadkan kepada 160 km/j dan ia juga berkemampuan untuk datang dengan sistem pacuan empat roda seperti I.D. Buzz. Dengan menggunakan pengecas pantas 150 kWh, bateri 48 kWh dapat mencapai tahap penuh dalam masa 15 minit manakala untuk bateri 111 kWh, 30 minit. Walaupun boleh dicas dengan kuasa 2.3 kW daripada soket 230V biasa, Volkswagen mencadangkan pemilik mendapatkan pengecas khas yang mempunyai lebih kuasa, sehingga 11 kW.

    Setakat ini, model I.D. Buzz Cargo masih lagi adalah sebuah konsep tetapi Volkswagen memberitahu, ia boleh dilancarkan untuk pasaran seawal tahun 2021. Bagi I.D. Buzz pula, Volkswagen memberitahu ia bakal memasuki fasa pengeluaran pada tahun 2022.

    GALERI: Volkswagen I.D. Buzz Concept

     
     
  • Toyota Hilux, Fortuner dan Innova dikemaskini – tampil warna badan baharu dan ciri keselamatan tambahan

    Toyota Hilux, Fortuner dan Innova dikemaskini – tampil warna badan baharu dan ciri keselamatan tambahan

    UMW Toyota Motor telah mengumumkan bahawa ketiga-tiga model IMV mereka iaitu trak pikap Toyota Hilux, SUV Toyota Fortuner dan juga MPV Toyota Innova kini diberikan berberapa ciri tambahan sebagai kemaskini terbaharu.

    Anda kini dihidangkan dengan satu warna baharu untuk ketiga-tiga model tersebut iaitu Phantom Brown, selain dari lima warna sedia ada bagi Fortuner dan enam lagi warna badan lain untuk Innova. Lagi berita baik, Toyota Fortuner kini hadir dengan kelengkapan standard Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSC), Bantuan Brek (BA), Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HSAC) dan juga Active Traction Control (A-TRC) untuk kesemua empat variannya.

    Toyota Hilux, Fortuner dan Innova dikemaskini – tampil warna badan baharu dan ciri keselamatan tambahan

    A-TRC merupakan sistem agihan kuasa pada gandar belakang dan hadapan yang akan mengalirkan tork pada tayar yang mula tergelincir bagi memberikan cengkaman yang diperlukan, beroperasi menggunakan modulator ABS. Sistem ini amat membantu ketika kenderaan berkenaan melalui laluan off-road, khususnya kawasan berlumpur.

    Ciri-ciri lain yang turut dibekalkan pada Fortuner dan Innova termasuk sistem kunci pintar bersama suis penghidup enjin, lampu hadapan LED dan juga tempat duduk pemandu larasan berkuasa lapan-hala. Sistem infotaimen untuk model-model ini menampilkan hubungan kepada telefon pintar dan juga hubungan internet. Bagi SUV Fortuner, ia juga diberikan sistem pintu tailgate belakang berkuasa dan juga cruise control.

    Toyota Hilux, Fortuner dan Innova dikemaskini – tampil warna badan baharu dan ciri keselamatan tambahan

    Bagi Hilux pula, tiada ciri tambahan lain diberikan selain dari warna baharu tersebut. Varian 2.8G untuk trak pikap berkenaan juga kini tiada lagi dalam barisan model – sekiranya anda mahukan Hilux dijana enjin 2.8 liter turbodiesel dengan spesifikasi tinggi, anda boleh memilih versi L-Edition.

    Toyota Fortuner dijual pada harga bermula dari RM170,500 hingga RM195,600, manakala Innova boleh dimiliki dengan harga bermula RM107,280 hingga RM132,400. Toyota Hilux pula kini ditawarkan dalam lima varian double-cab dan dijual pada harga bermula RM100,000 hingga RM138,000. Kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan termasuk SST, tanpa insuran.

     
     
  • Berdiri untuk ‘cop’ tempat parkir salah, denda RM2,000

    Kejadian individu-individu tertentu yang berdiri untuk ‘cop’ tempat letak kereta awam bukanlah sesuatu yang baru. Dan, ia nampaknya terus berlarutan. Video-video yang tular tak lama sebelum ini juga menunjukkan bahawa sikap segelintir daripada kita dalam konteks hubungan sivil bermasyarakat masih lagi bermasalah.

    Bagaimana pula dari segi undang-undang, adakah kita mempunyai klausa sedia ada yang menyebut dengan jelas tentang perkara ini? Adakah seseorang itu berhak untuk menahan orang lain yang tiba dengan kenderaan mereka daripada memasuki ruang parkir berkenaan dengan cara berdiri dan menghalang?

    Satu posting di laman Facebook Polis DiRaja Malaysia ada jawapan kepada perkara ini. Dengan jelas perbuatan dan sikap sebegini sebenarnya salah dan bertentangan dengan sedia ada. Di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987, Bahagian “Gangguan dan desakan menyalahi undang-undang“ menyatakan seperti berikut:

    “Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan.”

    Bagaimana pula dengan denda dan hukuman jika sabit kesalahan? Di bawah Seksyen 119, penalti untuk kesalahan ini adalah denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga 6 bulan dan jumlah penalti serta tempoh hukuman penjara akan menjadi lebih bagi kesalahan berikutnya. Jika anda berminat untuk menelaah sendiri, boleh rujuk dokumen Akta Pengangkutan Jalan 1987 di sini.

    Harapnya dengan penjelasan ini kita tidak perlu lagi dihadapkan dengan sikap-sikap jelek dan mementingkan diri seperti itu lagi. Tempat parkir yang kosong adalah untuk mereka yang tiba dahulu di situ dengan kenderaan, bukan untuk di”tempah” dengan cara berdiri dan menghalang orang lain daripada masuk. Pandangan anda pula bagaimana?

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025