Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • AD: Tender bagi siri nombor plat ‘UUU’ dibuka 8 Ogos

    AD: Tender bagi siri nombor plat ‘UUU’ dibuka 8 Ogos

    Bukan selalu kita akan melihat nombor plat pendaftaran kenderaan yang terdiri daripada tiga huruf sama yang berturutan (AAA, BBB, MMM, dll). Jika anda memang sudah lama menunggu peluang untuk siri nombor seperti itu, ini berita baik untuk anda. Bidaan bagi siri nombor plat eksklusif “UUU” akan dibuka tidak lama lagi; hanya melalui satu saluran, iaitu Kurnia Bumitek sahaja.

    Siri nombor plat ini akan ditawarkan bermula “UUU 1” hingga “UUU 9999” dan dikeluarkan oleh Yayasan Kemajuan Usahawan Malaysia dengan kebenaran sepenuhnya dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Mana saja nombor yang anda pilih, itu tak menjadi masalah kerana anda tahu semuanya adalah nombor istimewa dan tersendiri yang unik untuk kenderaan anda.

    Hasil jualan siri nombor plat ini akan digunakan untuk membantu usahawan Malaysia, untuk menggalakkan penyertaan belia dalam pertanian serta industri asas tani, membangunkan program untuk meningkatkan pendapatan desa, serta memperkenalkan teknologi kepada mereka yang berkerja di dalam sektor pertanian.

    Tarikh tender bagi siri nombor plat “UUU” ini ialah pada 8 Ogos 2018, dan akan berakhir pada 23 Ogos. Pihak yang berminat boleh juga menghantar borang permohonan mereka kepada Kurnia Bumitek Sdn Bhd, Connaught Avenue, 38, Jalan 9, Taman Bukit Cheras, Batu 9 Cheras, 56000, Willayah Persekutuan Kuala Lumpur atau No 11-A, Pejabat (JPJ Wangsa Maju) Jalan Genting Kelang Bt 4 1/2 53300 Setapak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

    Satu lagi cara yang lebih mudah untuk membida bagi siri nombor plat “UUU” ini ialah melalui sistem web yang dibangunkan oleh Everworks Solutions, yang akan memastikan keseluruhan proses bidaan berjalan dengan sah dan terbuka. Jika anda ingin menghantarkan bidaan anda, layari laman rasmi siri nombor plat “UUU” di sini.

    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi individu berikut:

  • Lydia: +6016-9239666
  • JR: +6018-3993666
  • Tham: +6010-7777837
  • Kelvin: +6016-9655555
  •  
     
  • Lebuhraya MEX ditutup sementara pada 12 Ogos ini

    Lebuhraya MEX ditutup sementara pada 12 Ogos ini

    Pengendali Lebuhraya MEX, Maju Expressway Sdn Bhd telah memaklumkan penutupan sementara lebuhraya terbabit dari jam 5 pagi hingga 12 tengahari pada 12 Ogos ini. Ia adalah bagi menjayakan acara MEX Ride 2018.

    Penutupan itu melibatkan 17 laluan susur masuk dan keluar di enam persimpangan Lebuhraya MEX iaitu persimpangan Bulatan Kampung Pandan, (persimpangan) Salak Selatan, (persimpangan) Kuchai Lama, (persimpangan) Bukit Jalil, (persimpangan) Seri Kembangan dan Persimpangan Putrajaya.

    Menurut kenyataan itu lagi, pengguna jalan raya dari Kuala Lumpur yang ingin ke Putrajaya dan KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur) adalah dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif dan begitu juga sebaliknya. Sila rancang perjalanan anda dengan baik dan patuhi arahan papan tanda jalan dengan berhemah.

    Untuk maklumat terkini mengenai penutupan ini, bolehlah mendapatkannya menerusi Twitter (@MexTraffic) dan Facebook (Mex Traffic) atau hubungi MEX di talian 03-83159111.

     
     
  • Harga petrol RON 97 9-15 Ogos – turun sedikit

    Harga petrol RON 97 9-15 Ogos – turun sedikit

    Selepas turun sebanyak 10 sen minggu lalu, harga petrol RON 97 bagi minggu 9 hingga 15 Ogos akan turun pula sebanyak 3 sen, menjadikan harga runcit terbarunya ialah RM2.61 seliter.

    Harga bahan api lain pula masih kekal sama disebabkan diberikan subsidi sehingga hujung tahun ini. Untuk itu, harga petrol RON 95 dijual pada RM2.20 seliter, manakala diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 pula RM2.28 seliter.

     
     
  • BMW memperluaskan pemasangan PHEV tempatan di Thailand – kos pelaburan sebanyak RM85.9 juta

    BMW memperluaskan pemasangan PHEV tempatan di Thailand – kos pelaburan sebanyak RM85.9 juta

    BMW akan memperluaskan pemasangan kenderaan elektrik hibrid (PHEV) tempatan di Thailand berikutan pemberian keistimewaan pelaburan kepada pembuat kereta oleh Lembaga Pelaburan (BoI) negara, laporan Bangkok Post.

    Projek yang diluluskan oleh BoI ini melibatkan pelaburan sebanyak 700 juta baht (RM85.9 juta) bagi memperluaskan kilang pemasangan sedia ada kendalian BMW Group Manufacturing Thailand yang terletak di Kawasan Perindustrian Amata City di daerah Rayong. Buat masa ini, model PHEV yang dipasang di negara berkenaan termasuklah 330e, 530e, X5 xDrive40e dan 740Le.

    “Manfaat daripada BoI ini adalah untuk kereta yang telah siap dan persediaan untuk pemasangan bateri yang akan dilaksanakan pada tahun 2019. Pada masa ini, kami mempunyai pasukan untuk mengendalikannya, termasuk aplikasi lain untuk EV dan pemasangan bateri, walau bagaimana pun, BMW belum mengumumkan apa-apa rancangan sehingga kami membuat keputusan,” ujar presiden BMW Group Thailand, Christian Wiedmann.

    Beliau menambah bahawa pemasangan pek bateri sedang dikaji kerana pembuat kereta itu terus mencari rakan kongsi lain sebagai pembekal tempatan untuk versi PHEV, tetapi turut berkata syarikat itu komited untuk menyelesaikan projek itu pada pertengahan 2019, selaras dengan garis masa yang dilaporkan awal tahun ini. Buat masa ini, bateri PHEV diimport dari Eropah.

    Bukanlah suatu perkara yang mengejutkan jika para pembuat kereta memantapkan inisiatif hibrid dan PHEV di Thailand. Pada tahun 2017, BoI meluluskan keistimewaan promosi untuk pengilang kereta hijau termasuk hibrid, plug-in hybrid (PHEV) dan kenderaan elektrik penuh (EV), dengan insentif termasuk tidak dikenakan cukai antara lima hingga lapan tahun.

    Penjualan BMW PHEV iPerformance dilaporkan meningkat pada tahun lalu di Thailand – dengan kenaikan jualan sebanyak 269% kepada 10,020 unit, mewakili 13% daripada semua model BMW yang dijual di negara tersebut.

     
     
  • Touch ‘n Go mula tempoh percubaan RFID September ini – jualan SmartTag pula dihentikan serta-merta

    Touch ‘n Go mula tempoh percubaan RFID September ini – jualan SmartTag pula dihentikan serta-merta

    Ini ada perkembangan terbaru berkaitan pembayaran tol melalui peranti Radio Frequency Identification (RFID) yang sebelum ini dimaklumkan akan dilaksana sejak awal tahun 2018, tetapi masih tertangguh.

    Pihak Touch ‘n Go telah pun mengumumkan bahawa ujian percubaan bagi peranti ini akan bermula pada 3 September nanti. Dan, sekiranya anda berminat untuk terlibat di dalam fasa awal percubaan ini, anda boleh mendaftarkan minat anda pada pautan ini. Touch ‘n Go akan berhubung dengan anda nanti untuk tindakan lanjut.

    Ujian percubaan ini akan melibatkan lebuhraya-lebuhraya di sekitar Lembah Klang terlebih dahulu, dan hanya terbuka kepada mereka yang menggunakan kenderaan pendaftaran persendirian dalam Kelas 1 sahaja. Jenis-jenis kenderaan dalam kelas lain tidak termasuk dalam percubaan ini.

    RFID akan menjadi kaedah baru pembayaran tol secara elektronik selepas ini. Ia menggunakan pelekat/tag RFID yang mempunyai chip frekuensi radio khas dan dipasang sama ada pada cermin depan atau bahagian lampu utama kenderaan, dan setiap satunya hanya khusus untuk kegunaan satu kenderaan.

    Ketika melalui tol, pengimbas akan membaca frekuensi radio dari pelekat RFID berkenaan untuk mengenakan bayaran tol serta mengangkat palang. Pelekat berkenaan akan dihubungkan kepada Touch ‘n Go eWallet (bagi aplikasi IOS dan Android) yang bertindak sebagai penyimpan nilai semasa wang pengguna bagi tujuan ini.

    Bagi mereka yang ingin terlibat dalam fasa percubaan ini, yuran bagi RFID akan dimansuhkan. Tetapi pengguna perlu menambah nilai Touch ‘n Go eWallet mereka untuk membolehkan pembayaran kadar tol dilakukan seperti biasa.

    Dalam perkembangan yang sama, pengenalan RFID ini bermakna berakhirnya jualan peranti SmartTag. Tumpuan selepas ini akan diberikan untuk membuat persiapan penggunaan teknologi RFID ini di semua lebuhraya di Malaysia. Pemberhentian jualan peranti SmartTag adalah serta-merta. Tetapi, jika anda masih ingin menggunakan peranti berkenaan, jangan risau. Ia masih boleh digunakan seperti biasa.

    Untuk keterangan lanjut berkaitan hal ini, anda boleh ikuti senarai FAQ yang disediakan ini. Kepada yang berminat untuk menjadi orang terawal menggunakan sistem RFID ini, jangan lupa untuk mendaftar segera.

     
     
  • Mitsubishi Motors tingkat pengeluaran MPV Xpander

    Mitsubishi Motors tingkat pengeluaran MPV Xpander

    Model MPV kecil tujuh tempat duduk Mitsubishi Xpander pertama kali ditunjukkan kepada dunia Ogos tahun lalu semasa pameran GIIAS 2017, dan sejak daripada itu, ia telah diterima baik oleh pasaran. Keunikan utama model ini tentunya adalah penampilan kerana ia direka begitu futuristik seperti model konsep yang menunjukkan rekaan awalnya.

    Semasa pelancaran satu tahun yang lalu, kilang Mitsubishi Motor Co. (MMC) di Bekasi, Jawa Barat yang mengeluarkan Xpander ini cuma mampu menghasilkan 80,000 unit setahun, tetapi disebabkan permintaan yang tinggi, ia telah ditingkatkan kepada 100,000 unit bagi tahun 2018.

    Walaubagaimanapun, itu masih tidak mencukupi kerana bermula April tahun ini, kilang tersebut telah memulakan langkah eksport Xpander ke negara lain, dan kini syarikat itu mahu meningkatkan 20% lagi pengeluaran kepada 120,000 unit setahun.

    Untuk menyokong langkah ini, Mitsubishi Motors Krama Yudha Indoneisa (MMKI) telah meletakkan pelaburan tambahan kepada bahagian kimpalan dan perkhidmatan pemasangan, dan menjelang tahun 2019, pengeluaran disasarkan dapat mencecah tahap 150,000 unit setahun.

    Di Indonesia, Xpander ditawarkan dalam lima varian, dengan harga antara Rp 189,050,000 (RM60,843) hingga Rp 245,350,000 (RM78,968). Kesemua varian ini masih dikuasakan enjin sama iaitu unit petrol NA 1.5 liter empat silinder MIVEC, menghasilkan kuasa 103 hp dan 141 Nm.

    Ia juga pernah dilapor akan tiba di Malaysia tahun ini, namun masih belum ada kenyataan selanjutnya daripada Mitsubishi Motors Malaysia. Antara kelengkapan yang ada pada Xpander adalah termasuk brek ABS, EBD, BA, ESC dan HSA untuk varian tertinggi, serta sistem kunci pintar.

    GALERI: Mitsubishi Xpander di GIIAS 2017

     
     
  • Honda Wave 125i 2018 masuk pasaran Thailand

    Sementara Honda Wave 125i yang berada di pasaran kita sekarang adalah sebuah model yang dilancarkan sejak April tahun lalu, Thailand telah menerima model terkini yang baru sahaja dilancarkan. Perubahan utama bagi model baru Honda Wave 125i ini adalah pada penampilannya.

    Bermula pada bahagian lampu utama, jika sebelum ini ia kelihatan seperti mempunyai pembahagi di tengah, Wave 125i baru ini sekarang menggunakan satu unit tunggal dan ia terdiri daripada sistem LED yang dikatakan lebih terang. Kemudiannya di bahagian panel bawah, lampu penunjuk arahnya dijadikan lebih panjang ke bawah. Selain daripada itu, warna lampu panel meter turut diubah kepada kuning.

    Bahagian belakang juga melibatkan perubahan rekaan apabila lampunya diubah kepada unit yang nampak lebih kemas dan elegan (sebelum ini menggunakan unit yang juga seperti lampu hadapan, terbelah di tengah). Spoiler di atas lampu itu pula dicat dengan warna hitam untuk semua lima pilihan warna yang disediakan.

    Selain daripada penampilan, tiada perubahan lain yang dilakukan pada Wave 125i ini, dan ia masih lagi menggunakan unit enjin satu silinder SOHC suntikan bahan api PGM-FI 124.89 cc bersama padanan kotak gear empat kelajuan. Walaupun menyediakan pilihan sama ada rim sport atau lidi, kedua-duanya masih lagi menggunakan padanan brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang.

    Antara keistimewaan lain Wave 125i yang masih lagi dikekalkan untuk model baru ini adalah ruang simpanan bawah tempat duduk 17 liter, tangki bahan api 5.4 liter, tayar 70/90 di hadapan, 80/90 di belakang, pemula enjin elektrik dan tendang, fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang.

     
     
  • KPDNHEP digesa pantau ejen penarik kereta

    KPDNHEP digesa pantau ejen penarik kereta

    Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa agar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mengkaji semula keberkesanan pengeluaran permin Ejen Pemilikan Semula (EPS). Ini kerana kebanyakan ejen penarik kereta didakwa gagak untuk mempamerkan permit EPS mereka dan surat lantikan rasmi dari bank yang mengarahkan mereka menarik kenderaan pelanggan, laporan Bernama.

    Menurut ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, individu terbabit yang seolah-olah tidak mengendahkan kepentingan permit itu menunjukkan kegagalan KPDNHEP menguatkuasakan undang-undang membabitkan penarikan kereta secara menyeluruh.

    Mengikut semakan PPIM, katanya kriteria pemilikan permit juga didapati tidak ketat termasuk tidak perlu hadir untuk sesi temuduga.

    “Permit itu boleh dimohon menerusi sistem dalam talian, daripada permohonan itu kementerian akan buat saringan untuk mengetahui rekod jenayah individu terbabit. Banyak kelonggaran di situ. Mereka tidak tahu tahap pendidikan pemohon yang mana kita berpendapat sangat penting dalam hal ini. Kita mahu mereka yang menarik kereta mempunyai pengetahuan dan memahami selok-belok prosedur menarik kereta, bukan sekadar ‘tangkap muat’,” katanya kepada pemberita, hari ini.

    Malah beliau turut meminta kementerian terbabit untuk mengesahkan statistik mengenai pemegang permit EPS terkini dan perincian mengenai ahli penarik kereta terbabit sebagai panduan untuk para pengguna. “Buat masa ini, kita tidak tahu berapa jumlah sebenar pemegang permit EPS atau sesetengah dari mereka menyalahgunakan permit,” ujarnya.

     
     
  • Kerajaan negeri digesa mansuhkan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang demi kebajikan rakyat

    Kerajaan negeri digesa mansuhkan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang demi kebajikan rakyat

    Kerajaan Negeri Pulau Pinang digesa tunaikan salah satu janji dalam manifesto Pilihanraya Umum-14 (PRU14) iaitu memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang.

    Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) berkata cadangan itu adalah demi kebajikan rakyat negeri tersebut, malah ia selaras dengan hasrat Yang Dipertua Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas yang mahukan Kerajaan Negeri memberikan pembelaan kepada golongan itu, laporan Bernama.

    “Sebagai menghargai mereka, apa salahnya jika tol tidak dikenakan kepada penunggang motosikal kerana majoriti mereka adalah golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang menggunakan laluan itu untuk mencari rezeki menyara keluarga,” katanya ketika membahaskan ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang pada persidangan Dewan Undangan Negeri semalam.

    Beliau berkata berdasarkan maklumat, pihak konsesi secara keseluruhannya mengutip bayaran sebanyak RM667,788 sebulan daripada penunggang motosikal manakala lebih RM10 juta untuk tempoh sama bagi pengguna kereta.

    “Saya harap cadangan ini dipertimbangkan untuk kesejahteraan rakyat pengguna motosikal Jambatan Pulau Pinang,” katanya.

    Sebelum PRU14 bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berjanji untuk memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pulau Pinang, sekiranya berjaya menawan negeri ini manakala PH Pulau Pinang pada masa sama berjanji untuk memansuhkan tol Jambatan Pulau Pinang, sekiranya terus diberi mandat untuk mentadbir negeri ini.

     
     
  • Pembinaan LPT3 akan diumum ketika Belanjawan 2019

    Pembinaan LPT3 akan diumum ketika Belanjawan 2019

    Keputusan sama ada untuk meneruskan pembinaan fasa tiga Lebuhraya Pantai Timur (LPT) yang menghubungkan Kuala Terengganu ke Pangkalan Kubur di Kelantan akan dibuat tidak lama lagi, dan keputusan berkenaan akan diumumkan di dalam pembentangan belanjawan 2019 November nanti, lapor Bernama.

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Mohd Tahir, kerajaan akan menilai sama ada pembinaan lebuhraya sepanjang 147 km yang dicadangkan dalam Rancangan Malaysia ke-11 pada tahun 2015 lalu boleh dilaksanakan atau tidak, bergantung kepada keadaan kewangan semasa negara ketika ini.

    “Kerajaan sebelum ini telah menunda projek ini. Bagi pihak kerajaan PH ketika ini pula, kami akan menilai sama ada apa yang kerajaan terdahulu tidak lunaskan boleh dilaksanakan kini atau sebaliknya,” jelas beliau, menjawab satu soalan di Dewan Rakyat.

    “Memang bukan mudah. Kami perlu lihat dulu kemampuan kewangan negara ketika ini, dan ia bukanlah keputusan kementerian semata-mata. Kami juga perlu dapatkan pandangan ahli kabinet dan kementerian lain,” tambah beliau.

    Selain itu, soalan daripada Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dari PAS berkaitan sama ada kerajaan ada perancangan untuk hapuskan tol yang menyebabkan kesesakan, seperti di Karak dan Bentong. Anuar menjelaskan, kerajaan memberikan perhatian terhadap perkara itu. “Kami ambil maklum dan kerajaan dalam usaha untuk mengenal pasti struktur penghapusan tol seperti yang saya nyatakan sebelum ini. Ia akan dilakukan bila keadaan mengizinkan,” jelas beliau.

     
     
  • LEKAS ditutup bagi acara RHB Shimano Ride 2018

    LEKAS ditutup bagi acara RHB Shimano Ride 2018

    Ini untuk makluman bagi mereka-mereka yang kerap menggunakan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS). Laluan E21 ini akan ditutup untuk semua lalu lintas kenderaan bermotor bermula dari 5 pm, 18 Ogos hingga 4 pagi 19 Ogos bagi penganjuran acara RHB Shimano Highway Ride @ LEKAS 2018, lapor Bernama.

    Menurut COO LEKAS, Wan Salwani Wan Yusoff, terdapat 19 susur keluar/masuk dari Kajang Selatan hingga Paroi akan ditutup bagi tujuan itu, yang dijangka akan menarik penyertaan seramai 4,000 orang pengayuh tahun ini. Perlumbaan dengan jarak 105 km itu akan bermula dan berakhir di plaza tol Kajang Selatan.

    Pihak berkaitan mencadangkan kepada pengguna agar menggunaan jalan alternatif lain seperti Jalan 1 Persekutuan atau Lebuhraya Utara-Selatan sepanjang tempoh itu. Penutupan ini dijangka bakal menyaksikan pengurangan sehingga 55,000 kenderaan bagi lebuhraya berkenaan.

     
     
  • Geely Binrui – enjin turbo suntikan terus, pelbagai ciri keselamatan aktif, Preve generasi seterusnya?

    Geely Binrui – enjin turbo suntikan terus, pelbagai ciri keselamatan aktif, Preve generasi seterusnya?

    Minggu lalu Geely telah mendedahkan sebahagian maklumat dan foto berkenaan sedan segmen-C terbaharunya iaitu Geely Binrui. Terbaharu, kami menerima lagi lebih perincian mengenai model yang dilaporkan akan mula menerjah pasaran China bermula suku ketiga tahun ini.

    Selain dari SUV segmen-B SX11 yang turut didedahkan, sedan Binrui ini juga perlu diambil perhatian oleh rakyat Malaysia kerana ia diasaskan dari platform baharu yang sama digelar B-Segment Modular Architecture (BMA), yang sebelum ini telah diumumkan oleh Geely sendiri akan dipasarkan ke Asia Tenggara – petanda awal bahawa teknologi ini akan disalurkan kepada Proton dan mungkin ia akan dijelmakan sebagai Preve generasi selepas ini?

    Binrui menampilkan rekaan seakan sedan flagship Geely iaitu Borui, dengan bentuk badan seakan fastback. Ia dihasilkan dengan panjang keseluruhan 4,680 mm manakala jarak rodanya pula 2,670 mm. Foto terbaharu yang disiarkan ini juga mendedahkan rekaan yang tidak pernah ditunjukkan sebelum ini iaitu bahagian belakang dan dalaman.

    Geely Binrui – enjin turbo suntikan terus, pelbagai ciri keselamatan aktif, Preve generasi seterusnya?

    Di belakang, Binrui masih diinspirasikan dari rekaan Abang Longnya dengan diberikan lampu LED dihubungkan antara kedua-dua sisi menerusi kemasan bar krom, dan turut diberikan dua perumah tip ekzos berbentuk heksagon.

    Masuk ke kabin pula, sedan ini menerima papan pemuka tipikal Geely yang direka ringkas seakan dihasilkan dengan prinsipal sama seperti Volvo. Ia turut dilengkapi dengan roda stereng dengan suis pelbagai fungsi balutan kulit, paparan instrumen digital sepenuhnya dan butang penghidup enjin.

    Sistem infotainmen kereta ini pula dibintangi oleh skrin sesentuh bersaiz 10.25-inci, dan memberikan fungsi hubungan kepada telefon pintar, Wi-Fi 4G, navigasi GPS, kawalan menggunakan suara serta paparan kamera undur. Selain itu, Binrui turut dilengkapkan sistem penghawa dingin dua-zon serta tombol gear dan perehat tangan balutan kulit.

    Untuk unit janakuasa pula, Binrui akan dijana oleh dua pilihan enjin petrol turbo. Pilihan pertama adalah enjin 1.0 liter tiga-silinder dengan sistem suntikan terus, berupaya menjana 134 hp dan tork maksima 180 Nm bermula 2,000 hingga 3,000 rpm. Manakala plihan kedua adalah enjin 1.4 liter dengan sistem suntikan elektronik yang mampu menghasilkan 131 hp dan tork maksima 215 Nm bermula 2,000 hingga 4,000 rpm. Penggunaan petrol pula adalah 4.9L/100 km untuk enjin 1.0L dan 5.7L/100 km untuk enjin 1.4L.

    Menurut Geely, platform BMA ini turut direka bagi membolehkan ia menerima enjin 1.5 liter turbo dengan sistem suntikan terus yang dihasilkan bersama Volvo. Ia juga turut dihasilkan bagi disesuaikan dengan sistem pemanduan autonomous Level 2 dan Level 3 dan juga fungsi-fungsi keselamatan aktif terkini.

    Oleh itu, Binrui diberikan dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan keselamatan seperti Cruise Control Adaptif, sistem Brek Kecemasan Automatik (AEB) dengan pengesan pejalan kaki, sistem Bantuan Kekal Laluan, Amaran Keluar Lorong, Sistem Panduan Pintar (sistem separa-autonomi) dan lampu tinggi automatik.

     
     
  • Persatuan lori M’sia bantah pelaksanaan biodiesel B10

    Persatuan lori M’sia bantah pelaksanaan biodiesel B10

    Isu pelaksanaan biodiesel B10 di Malaysia kini muncul kembali selepas ia senyap buat seketika. Walaupun sudah lebih lima tahun perkara ini diutarakan, ia masih lagi mendapat tentangan dan yang terbaru, daripada Persatuan Pemilik Lori Pan-Malaysia 1987 (PMLOA), yang telah mengeluarkan kenyataan bersama senarai kenapa mereka rasa keberatan untuk mengikut standard bahan api baru ini.

    Menurut persatuan itu, kebanyakan pemilik telah pun menyatakan kepada Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (MPIC) bahawa lori yang digunakan di Malaysia cuma boleh menggunakan biodiesel B7 untuk formulasi paling tinggi, dan banyak peralatan pengawal emisi seperti penapis diesel (DPF) dan sistem pengitaran semula gas ekzos (EGR) tidak akan dapat berfungsi dengan jumlah biodiesel yang lebih tinggi daripada tujuh peratus.

    Ada beberapa isu yang diutarakan oleh PMLOA, termasuk kebimbangan tentang jumlah oksigen dan air yang berkemungkinan menyebabkan tangki bahan api berkarat dan penghakisan pada hos getah laluan bahan api yang seterusnya dapat menyebabkan kebocoran minyak. Ia juga menyatakan kelikatan tinggi biodiesel boleh memberi tekanan kepada pam minyak dan injector. Ini akan menjejaskan prestasi, menaikkan emisi dan penggunaan bahan api, dan kemudiannya menyebabkan kegagalan komponen.

    Sebagai tambahan, PMLOA juga memberitahu bahawa pelaksanaan biodiesel B10 akan memerlukan modifikasi enjin yang banyak seperti penukaran hos minyak, tangki, injector dan penapis. Kos ubah suai ini, menurut PMLOA boleh melibatkan kos yang tinggi untuk pengusaha lori apabila biodiesel B10 dilaksanakan nanti.

    Persatuan lori M’sia bantah pelaksanaan biodiesel B10

    Bahan api ini juga boleh memberi kesan kepada penyelenggaraan. Kemajuan dalam teknologi bendalir telah membolehkan lori beroperasi dalam tempoh yang lebih lama sebelum penukaran minyak pelincir diperlukan – daripada 10,000 km kepada 60,000 km – hasil daripada minyak pelincir dengan formulasi khas. Menurut PMLOA, ini telah meningkatkan penggunaan lori dan mengurangkan pembaziran minyak serta penapisnya.

    Persatuan itu juga memberitahu bahawa minyak bio methyl ester kelapa sawit dalam biodiesel boleh mencairkan pelincir dan boleh menjadikan ia berasid, seterusnya menyebabkan karat dalam enjin dan secara keseluruhannya meningkatkan kos operasi. Ia juga memetik kajian yang menunjukkan penggunaan biodiesel meningkatkan pengeluaran nitrogen dioksida yang boleh membahayakan kesihatan orang ramai.

    Akhir sekali, PMLOA menyatakan keraguan sekiranya syarikat petroleum dapat mengawal kandungan air dalam bahan api itu untuk mengikut tahap 200 ppm yang diberitahu, dan memeriksa kestabilan oksigen selepas dicampur. Ia juga menyatakan isu berkenaan tanggungjawab sekiranya ada kekurangan pada biodiesel ini.

    Persatuan lori M’sia bantah pelaksanaan biodiesel B10

    Tambah persatu ini lagi, Indonesia telah menerima maklum balas yang negatif berkenaan pelaksanaan biodiesel B20 dengan laporan berkenaan isu injector dan penapis yang tersumbat. Menurut persatuan ini, pelaksanaan biodiesel B10 masih belum sesuai, sehinggalah masalah yang dibangkitkan telah berjaya diatasi, terutama sekali apabila sekarang ini kajian yang ada berkenaan kesan penggunaan biodiesel B10 tidak cukup telus dan boleh diharap.

    Untuk pengetahuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ini telah berjaya melengkapkan ujian tempoh panjang menggunakan biodiesel B10 dengan kerjasama Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) tahun lepas. DBKl telah menggunakan biodiesel B10 pada 50 kenderaan pelbagai jenis dan saiz milik mereka dan mencatat jarak lebih tiga juta kilometer tanpa sebarang kerosakan.

    Selain daripada itu, pengesahan juga telah dibuat sekiranya biodiesel B10 diperkenalkan di Malaysia, ia akan hanya terhad untuk diesel Euro 2M, manakala diesel Euro 5 dan diesel yang dijual di tempat tinggi seperti Cameron Highland masih lagi akan menggunakan formulasi B7.

     
     
  • M’sia mahu dapatkan bantuan syarikat Jepun seperti Nissan, Toyota untuk projek kereta nasional ketiga

    Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Malaysia akan mendapatkan bantuan daripada pengeluar kereta Jepun berhubung hasrat bagi melaksanakan projek kereta nasional ketiga. Ini termasuklah bantuan daripada Nissan dan Toyota, laporan Nikkei Asian Review.

    Bercakap kepada pemberita di Fukuoka dalam lawatan kerja selama empat hari di Jepun, Tun Mahathir berkata mengakses kepakaran automotif Jepun adalah “penting” untuk menghasilkan kereta dengan piawaian moden. “Beberapa anggota delegasi saya akan melawat Daihatsu, tetapi kami mempunyai satu syarikat yang telah menyuarakan hasrat ini kepada Nissan dan Toyota untuk mendapatkan kerjasama mereka,” jelasnya, walau pun tidak menyatakan nama syarikat tempatan terbabit.

    Pada Jun lalu, Tun Mahathir telah menyuarakan aspirasi untuk memulakan satu lagi projek kereta nasional dalam lawatannya ke Persidangan Nikkei ke-24 di Jepun, dan cadangan tersebut dilihat bakal direalitikan tidak lama lagi. Minggu lalu, menteri pembangunan usahawan, Mohd Redzuan Yusof mendedahkan bahawa projek tersebut sepatutnya ditetapkan untuk dilaksanakan menjelang 2020.

    M’sia mahu dapatkan bantuan syarikat Jepun seperti Nissan, Toyota untuk projek kereta nasional ketiga

    Sebelum ini, Tun Mahathir berkata, projek tersebut akan mendapatkan beberapa kerjasama daripada Jepun. “Seperti kereta nasional yang pertama, ia dimulakan dengan hanya 18% kandungan tempatan dan (kerjasama dari) Mitsubishi Motor, kita dapat menguasai keseluruhan proses mengeluarkan kereta, dari reka bentuk ke model tanah liat dan kereta ujian.”

    “Hari ini, teknologi moden lebih berdasarkan kepada pengesan dan perkara lain. Kita perlu memperolehnya juga. Tetapi untuk permulaan, kita mahu membangunkan kereta terlebih dahulu untuk pasaran Malaysia, dan kemudian barulah menembusi pasaran antarabangsa,” ujarnya.

    Perkara ini turut menjadi topik perbincangan hangat. Awal minggu ini, Naib Presiden Keadilan Rafizi Ramli turut mempersoalkan perlunya projek kereta ini dan menggesa ia perlu dipertimbangkan semula. Malahan banyak sentimen yang sama telah disuarakan oleh pelbagai pihak, yang mengatakan bahawa jualan kenderaa tahunan Malaysia di bawah 600,00 unit dan tidak mewakili skala ekonomi yang diperlukan untuk pengeluaran.

     
     
  • GIIAS 2018: Honda Civic Type R FK8 TCR – jentera perlumbaan sebenar untuk bertanding di WTCR

    GIIAS 2018: Honda Civic Type R FK8 TCR – jentera perlumbaan sebenar untuk bertanding di WTCR

    Selain dari penampilan sulung peringkat global untuk Honda Brio generasi kedua, ruang pameran Honda di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) turut menempatkan sebuah lagi jentera yang pastinya akan menarik perhatian anda iaitu jentera perlumbaan sebenar Honda Civic Type R TCR.

    Kereta ini diperkenalkan buat pertama kali pada Geneva Motor Show Mac lalu, dan ia kini sedang berlumba dalam FIA World Touring Car Cup (WTCR), yang menggantikan perlumbaan World Touring Car Championship (WTCC).

    Civic Type R TCR ini tentunya dibina berdasarkan undang-undang perlumbaan yang akan disertai, untuk kes ini ia memenuhi regulasi teknikal FIA TCR yang diambil dari undang-undang TC1 WTCC. Menurut peraturan tersebut, setiap jentera perlulah dibina dari model sedan atau hatchback, dengan empat atau lima pintu. Ia juga hanya membenarkan pacuan roda hadapan, manakala pengecas turbo dibenarkan pada enjin berkapasiti 1,750 hingga 2,000 cc, menghasilkan kuasa tidak lebih dari 355 hp (350 bhp).

    GIIAS 2018: Honda Civic Type R FK8 TCR – jentera perlumbaan sebenar untuk bertanding di WTCR

    Kereta ini juga diberikan pelbagai perlatan aerodinamik tambahan yang terdiri dari kita badan penuh bersama sayap belakang bersaiz besar. Hampir kesemua kemasan standard bahagian dalaman telah dikeluarkan, dan ia kini diberikan rollcage penuh bagi menguatkan lagi kerangkanya.

    Undang-undang WTCR ini turut mensyaratkan pengeluar tidak dibenarkan untuk menyertai kejohanan ini dengan pasukan rasmi, namun mereka dibenarkan untuk memberikan sokongan teknikal kepada pasukan yang bertanding. Oleh itu, gelaran juara dunia hanya diberikan pemandu dan pasukan, tidak termasuk gelaran untuk pengeluar.

    Dalam kejohanan tersebut, Civic TCR ini berhadapan dengan pelbagai lagi model TCR yang dihasilkan oleh jenama lain, antaranya Hyundai i30 N TCR, Peugeot 308 GTi TCR, VW Golf GTI TCR dan Audi RS3 LMS.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025