Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • VinFast akan tunjukkan model SUV dan sedan di Paris

    VinFast akan tunjukkan model SUV dan sedan di Paris

    Syarikat pengeluar kenderaan baru dari Vietnam iaitu VinFast akan menunjukkan buat pertama kalinya model sedan dan SUV keluarannya semasa Paris Motor Show Oktober nanti. Dua kenderaan ini turut dibangunkan bersama dengan syarikat pereka terkenal dari Itali iaitu Pininfarina.

    Menurut VinFast, dua kenderaan mereka ini telah dibangunkan untuk menepati tahap antarabangsa dan ia menggabungkan semangat Vietnam, rekaan Itali dan kejuruteraan Jerman. Versi produksi dua kenderaan ini akan mula dipasarkan di Vietnam pada September 2019.

    Selain daripada itu, VinFast juga sedang giat membangunkan model lain, dan mempunyai perancangan untuk mengeksport kenderaan mereka ke negara lain pada tahun-tahun yang mendatang. Kerjasama mereka dengan syarikat automotif terkenal juga dikata menjanjikan produk yang menepati tahap antarabangsa dan memenuhi jangkaan pengguna.

    VinFast akan tunjukkan model SUV dan sedan di Paris

    Buat masa ini, pembinaan kilang khas VinFast di atas tanah seluas 335 hektar di Hai Phong, Vietnam masih lagi berjalan lancar sejak dimulakan pada September tahun lepas, dan ia merupakan antara projek industri terbesar di Vietnam.

    Untuk memastikan syarikat automotif baru mereka dapat menjadi berjaya dalam masa singkat, VinFast juga telah mengambil eksekutif atasan daripada syarikat automatif terkenal lain sebagai pekerja dan ini dianggap sebagai satu pelaburan yang berharga.

     
     
  • BMW Malaysia catat peningkatan jualan sebanyak 11%, manakala MINI naik 18% bagi separuh pertama 2018

    BMW Malaysia catat peningkatan jualan sebanyak 11%, manakala MINI naik 18% bagi separuh pertama 2018

    Sewaktu memperkenalkan BMW Concept X7 iPerformance dalam acara BMW X Range Roadshow di Pusat membeli-belah Bangsar hari ini, BMW Group Malaysia turut mengambil kesempatan bagi mengumumkan prestasi jualan bagi separuh pertama 2018.

    Bagi enam bulan pertama tahun ini, BMW Group Malaysia telah menghantar lebih 6,400 kenderaan BMW, MINI dan motosikal BMW Motorrad, iaitu meningkat sebanyak 11% berbanding tempoh yang sama pada 2017. Secara individual, jualan jenama BMW meningkat sebanyak 11% iaitu terjual melebihi 5,300 kereta, begitu juga dengan jualan MINI yang turut melonjak sebanyak 18% dengan sebanyak 550 unit terjual, diikuti dengan jualan BMW Motorrad yang juga naik sebanyak 8% dengan melebihi 540 unit terjual.

    Keputusan yang positif di Malaysia ini senada dengan jualan BMW Group di seantero dunia, yang menyaksikan pertumbuhan jualan suku ke-35 berturut-turut dan separuh pertama jualan tahun yang terbaik dengan jumlah 1,242,507 unit yang dihantar. Ini termasuk kereta BMW, MINI dan Rolls-Royce. Syarikat ini telah menghantar sebanyak 60,660 unit bagi kereta elektrifikasi BMW dan MINI.

    Di pasaran tempatan, jualan bagi plug-in hybrid BMW Group Malaysia telah menyumbang lebih separuh daripada jumlah keseluruhan kenderaan yang dihantar iaitu merangkumi 56%, dengan lebih 3,200 unit. Perkongsian pasaran bagi model elektrifikasi pula mencecah 52.7% selepas empat bulan pertama bagi 2018, dan ia menunjukkan peningkatan.

    Adakah momentum ini mampu berterusan bagi separuh kedua 2018, seperti mana prestasi jualan keseluruhan 2017, dengan menyaksikan lonjakan sebanyak 16% (12,680 unit) berbanding tahun 2016.

     
     
  • SPYSHOT: Honda Civic Type R FK8 dikesan sedang diuji dengan spoiler belakang yang jauh lebih kecil

    SPYSHOT: Honda Civic Type R FK8 dikesan sedang diuji dengan <em>spoiler</em> belakang yang jauh lebih kecil

    Baru setahun lebih Honda Civic Type R FK8 membuat kemunculan rasminya, namun kini nampaknya Honda bakal muncul dengan Type R FK8 dengan versi yang dikemaskini. Menerusi set gambar intipan terbaharu ini, nampaknya CTR akan diberikan rombakan dari segi rupa.

    Bampar hadapan versi baharu ini mungkin berubah dengan penambahan pembahagi pada liang udara disamping sedikit perubahan juga turut akan diberikan pada lampu utama. Rombakan turut mungkin dibuat pada bahagian sama pada bampar belakang. Apa yang menarik, Honda nampaknya menguji Civic Type R yang mengenakan spoiler lebih kecil dari versi sedia ada.

    SPYSHOT: Honda Civic Type R FK8 dikesan sedang diuji dengan <em>spoiler</em> belakang yang jauh lebih kecil

    Laporan sebelum ini menyebut bahawa Honda akan menghasilkan berberapa varian lain untuk Type R FK8. Jadi sama ada model dengan spoiler kecil ini adalah versi lebih fokus kepada litar (seperti Subaru Impreza WRX STI Spec C?), versi dengan harga lebih rendah atau versi untuk mereka yang tidak mahukan spoiler ‘tiang gol’ yang begitu menonjol masih lagi belum diketahui.

    Tetapi apa yang boleh dijangka, model berkenaan masih lagi dijana enjin 2.0 liter VTEC DOHC turbo, digandingkan bersama kotak gear manual enam-kelajuan memacu roda hadapan. Buat masa sekarang, enjin tersebut menghasilkan kuasa 320 PS dan tork maksima 400 Nm. Kuasa berkenaan berkemungkinan akan ditambah sekiranya model lebih hardcore tersebut benar-benar dihasilkan oleh Honda.

     
     
  • Kita tak perlu lagi projek kereta nasional – Aishah

    Kita tak perlu lagi projek kereta nasional – Aishah

    Presiden Persatuan Automotif Malaysia, Datuk Aishah Ahmad berpendapat bahawa industri automotif di Malaysia tidak perlu satu lagi projek kereta nasional seperti yang dicadangkan oleh Perdana Menteri Malaysia Tun Dr Mahathir Mohamed.

    Menurut Aishah, industri automotif Malaysia sekarang sudah matang dan tenaga-tenaga kerja dalam bidang kejuruteraan berkenaan kini sudahpun mempunyai tempat mereka di mana vendor-vendor dalam negara bukan sahaja membekalkan komponen kepada jenama-jenama tempatan, malah turut menjadi penyumbang kepada jenama asing.

    “Apa yang boleh saya katakan adalah seperti ini. Ketika kita mulakan kereta nasional pertama kita Proton, pada masa itu pembangunan vendor kita masih belum ada, kejuruteraan juga tiada, dan dalam tempoh itu ia (Proton) benar-benar membantu industri terutamanya dalam memberi sokongan bagi mengembangkan industri. Tetapi sekarang, kita bukan sahaja mempunyai jenama kedua, kita mempunyai Proton, kita mempunyai Perodua dan industri sudahpun membangun,” jelas Aishah ketika majlis pembentangan prestasi jualan industri automotif Malaysia bagi separuh pertama 2018 pagi tadi.

    Kita tak perlu lagi projek kereta nasional – Aishah

    “Selain itu, jenama lain juga menggunakan vendor-vendor tempatan dan saya juga ingin menyatakan bahawa jika anda lihat negara lain dalam ASEAN, mereka langsung tiada kereta nasional,” tambahnya lagi.

    Aishah turut menjelaskan walaupun negara ASEAN lain tiada kereta nasional, industri automotif mereka tetap rancak, dan Malaysia masih tidak mempunyai skala ekonomi industri yang cukup bagi melahirkan projek kereta nasional tanpa bantuan negara asing.

    “Dan lihat bagaimana bagusnya apa yang Thailand lakukan dan bagaimana bagusnya Indonesia lakukan. Industri mereka sudahpun berusia empat dekad. Dan kita juga tidak mempunyai skala ekonomi di mana industri kita hanya menjual 585,000 (unit kenderaan), jadi untuk membuat projek kereta nasional anda perlu bekerjasama dengan pengeluar bertaraf antarabangsa dan mereka mesti sanggup bekerja dan melabur di Malaysia,” jelasnya lagi.

    Kita tak perlu lagi projek kereta nasional – Aishah

    Menurut Aishah, vendor-vendor dalam negara sekarang sudahpun cukup untuk memacu industri automotif tempatan. “Buat masa sekarang kita mempunyai lebih dari 500 vendor di sini bagi membantu dan melonjakkan keperluan industri automotif dalam aspek pembekalan. Jadi pada saya, saya rasa kita tak perlu kereta nasional kedua atau ketiga lagi.”

    Minggu ini, Tun Dr Mahathir sekali lagi melahirkan kekesalannya kerana idea untuk melahirkan satu lagi projek kereta nasional tidak mendapat sambutan. Menurutnya, setelah Proton kini bekerjasama dengan Geely, tiada lagi industri automotif sebenar Malaysia dan Wawasan 2020 tidak akan dapat dicapai.

    “Akhirnya Proton dijual kepada orang asing. Tidak ada kereta nasional lagi. Tidak ada industri automotif lagi. Pekerja, engineer, pengurus pun tidak punyai kerja lagi. Segala-galanya merosot. Malaysia menjadi negara pengguna, negara penanam padi, pemancing ikan. Tak mengapalah. Ini yang kita mahu dan ini yang kita dapat. Lupakanlah sahaja Wawasan 2020,” kata Perdana Menteri dalam catatan di blog peribadinya.

     
     
  • Aston Martin Volante Vision Concept – pesawat udara yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak

    Aston Martin Volante Vision Concept – pesawat udara yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak

    Memikirkan cabaran pengangkutan yang bakal dihadapi pada masa hadapan, Aston Martin telah menunjukkan satu projek khas yang dijalankan bersama Cranfield University, Cranfield Aerospace Solutions dan Rolls-Royce, iaitu Volante Vision Concept. Ia adalah sebuah pesawat persendirian tiga tempat duduk yang boleh berlepas dan mendarat secara menegak.

    Pesawat ini diberitahu akan menggunakan teknologi penggerak hibrid-elektrik berprestasi tinggi, namun tiada sebarang perincian lanjut yang didedahkan, selain gambar bentuk keseluruhannya. Apa yang boleh dilihat, pesawat ini mempunyai tiga set bilah kipas seperti dron – dua di hadapan dan satu lagi yang lebih besar berada di bahagian tengah belakang.

    “Dengan populasi di kawasan urban yang semakin bertambah, kesesakan dalam bandar akan menjadi lebih teruk. Kami perlu melihat kepada penyelesaian alternatif untuk mengurangkan kesesakan dan pencemaran, dan dalam masa sama meningkatkan mobiliti. Perjalanan melalui udara akan menjadi bahagian penting dalam masa depan pengangkutan, dan Volante Vision Concept adalah penyelesaian mobiliti yang mewah,” kata Presiden dan CEO Aston Martin, Dr Andy Palmer.

    Beliau turut menyatakan dengan penggunaan pesawat ini, pemiliknya boleh tinggal lebih jauh dari tempat kerja dan tidak mengganggu waktu perjalanan kerana ia lebih pantas. Sekaligus, ia juga dapat membantu membangunkan kawasan luar bandar.

    “Pengenalan teknologi penggerak elektrik autonomous pada rekaan pesawat adalah sesuatu yang tidak dapat dielak dan sangat mencabar. Sebagai syarikat pengeluar dan pereka pesawat SME utama di United Kingdom, kami sangat teruja untuk menggalas tugas utama dalam pembangunan Volante Vision Concept dan seterusnya menjadi pelopor kepada revolusi aeroangkasa ini,” kata CEO Cranfield Aerospace Solutions (CAeS), Paul Hutton.

     
     
  • Indonesia turut berminat untuk menjayakan projek kereta ASEAN dengan kerjasama Malaysia – Jokowi

    Indonesia turut berminat untuk menjayakan projek kereta ASEAN dengan kerjasama Malaysia – Jokowi

    Indonesia telah menunjukkan minat terhadap kerjasama dengan Malaysia bagi projek kereta ASEAN seperti mana yang diusulkan semula oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada hujung bulan lalu.

    Menurut Presiden Indonesia, Joko Widodo, atau lebih mesra dengan panggilan Jokowi berkata, sudah wujud minat di dalaman syarikat swasta di negaranya untuk menjayakan projek tersebut. Malahan beliau turut memaklumkan, beberapa perbincangan dengan Tun Mahathir berhubung perkara berkenaan juga telah dilaksanakan, laporan Berita Harian.

    “Itu adalah idea besar yang bagus, akan kita kaji dan rancang. Lebih baik ia dilakukan secara business to business (B to B) kerana pasaran ASEAN besar. Saya kira di Indonesia ada banyak syarikat (yang berminat). Saya berpendapat, banyak kerjasama ‘B to B’ boleh dilakukan,” kata beliau dalam wawancara eksklusif dengan rangkaian media dan berita Media Prima di Palembang.

    Menyifatkan projek itu sebagai ‘idea besar’ yang boleh memberi kebaikan ekonomi kepada negaranya dan Malaysia, beliau turut menjelaskan secara rasional mengenai projek berkenaan dengan merujuk kepada pertumbuhan sektor automotif Indonesia yang mencapai 4% pada 2017, manakala eksport mencecah 14%.

    Mengenai tempoh masa yang disasarkan untuk melancarkan kereta itu, Jokowi berkata, “Arahan sudah dikeluarkan kepada menteri saya untuk meneliti semua perkara mengenai penghasilan kereta Malaysia dan Indonesia. Bagi saya, jika sudah dikaji dan dihitung, lebih cepat lebih baik.”

     
     
  • Honda CR-V di Eropah dapat pilihan tujuh tempat duduk, transmisi manual bagi padanan enjin 1.5L turbo

    Honda CR-V di Eropah dapat pilihan tujuh tempat duduk, transmisi manual bagi padanan enjin 1.5L turbo

    Selepas hanya beberapa bulan dipertontonkan kali pertama waktu pameran Geneva Motor Show, Honda telah melancarkan CR-V 2018 di Eropah. Di Malaysia sendiri, CR-V terbaru dilancarkan Julai tahun lepas dalam pilihan empat varian dan dua pilihan enjin.

    Melihat kepada spesifikasi, CR-V Eropah ini dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder 1.5 liter VTEC Turbo dan ia boleh menghasilkan kuasa sehingga 173 PS dan 220 Nm untuk versi transmisi manual, dan 193 PS dan 243 Nm apabila digandingkan bersama transmisi CVT. Untuk versi CVT, pacuan semua roda datang secara standard, tapi untuk versi manual dijadikan sebagai pilihan tambahan kepada pacuan roda hadapan yang asal.

    Pada aspek prestasi, CR-V CVT AWD boleh pergi sehingga kelajuan 200 km/j, dan masa 10 saat diperlukan untuk melakukan pecutan 0-100 km/j. Melalui versi manual pula, ia boleh pergi sehingga 210 km/j (FWD) dan 208 km/j (AWD), manakala pecutan 0-100 km/j dapat dilakukan dalam masa sekitar 9.2 hingga 9.8 saat.

    Selain daripada transmisi manual, pelanggan di Eropah juga boleh mendapatkan CR-V baru ini dengan tetapan tujuh tempat duduk – juga ditawarkan di Thailand tetapi tidak di negara kita. Walaupun begitu, pilihan ini hanya disediakan untuk model AWD petrol sahaja.

    Varian CR-V ini yang lebih tinggi akan mendapat lebih ciri keselamatan melalui pakej Honda Sensing lebih lengkap, yang termasuk Collision Mitigation Braking System, Forward Collision Warning, Lane Departure Warning, Lane Keeping Assist System dan Adaptive Cruise Control.

    Kemudian nanti, enjin hibrid yang menggunakan asas sistem Intelligent Multi-Mode Drive (i-MMD) akan diperkenalkan pula kepada CR-V Eropah ini. Tetapan yang digunakan pada versi hibrid ini dikatakan sama seperti Accord Hybrid, dan akan menggunakan enjin petrol 2.0 liter i-VTEC kitaran Atkinson serta dua motor elektrik.

     
     
  • BMW Concept X7 iPerformance buat penampilan di M’sia – bakal dilancarkan di pasaran global pada 2019

    BMW Concept X7 iPerformance buat penampilan di M’sia – bakal dilancarkan di pasaran global pada 2019

    Malaysia antara negara di rantau Asia Tenggara yang sering menjadi pilihan untuk dijadikan lokasi tontonan model terkini atau pun konsep. Malah hari ini, BMW Group Malaysia buat pertama kalinya mempertontonkan BMW Concept X7 iPerformance, sebuah ikon baharu yang mencontohi pendefinisian BMW mengenai mobiliti bervisi dan kemewahan progresif, berlokasi di Pusat Membeli-belah Bangsar. Malah ini juga merupakan penampilan julung kalinya di rantau Asia Tenggara. BMW Concept X7 iPerformance dikategorikan sebagai Sports Activity BMW (SAV) berkelas mewah jelas terserlah.

    Bahagian hadapan SAV ini diserlahkan dengan gril kidney menegak yang menonjol, ia melambangkan satu-satunya jenama kenderaan premium yang unik, iaitu BMW. Bingkai gril serta bar menegak yang digunakan merupakan kepingan-tunggal dan terdiri daripada reka bentuk yang padu. Gril yang menawan dan corong udaranya memberikan visual yang gah, dengan gilapan dari setiap segi kenderaan tersebut serta lapisan permukaan matte menonjolkan kontras yang memberi nuansa kepada bahasa reka bentuk yang mengagumkan ini.

    Selain itu, ia turut menampilkan lampu hadapan berkembar yang langsing dan memanjang pada kenderaan ini didatangkan dengan pencahayaan laser BMW yang bersambung pada gril kidney. Pencahayaan signatur X berwarna biru yang dipancarkan oleh laser BMW ini menonjolkan keyakinan BMW Concept X7 iPerformance yang mewakili famili BMW SAV. Satu bar pada gril kidney diunjurkan menjangkaui kelebaran apron hadapan yang terletak di paras yang lebih rendah, sebelum dinaikkan secara menegak untuk membingkaikan ruang pemasukan udara luaran pada bahagian atas.

    BMW Concept X7 iPerformance buat penampilan di M’sia – bakal dilancarkan di pasaran global pada 2019

    Jaluran krom yang ketara pada ambang pintu memberikan penekanan terhadap penampilan garisan bahu kereta ini yang memanjang dan diunjurkan serta permukaan yang penuh sofistikasi di bahagian bawah. Sama seperti elemen kemasan yang terdapat pada bahagian hadapan kenderaan ini, jaluran krom yang terletak di kedua-dua sisi kenderaan tersebut juga membingkaikan Air Breathers dengan penggayaan menegak, sebelum diunjurkan dengan lurus ke bahagian belakang.

    Manakala bahagian belakangnya ditampilkan dengan aero lips menegak serta under guard yang dipadankan dengan warna badan kenderaan ini membentuk sebuah bingkai yang menarik pada bahagian belakang. Siluetnya pula didatangkan dengan lampu belakang yang langsing dengan bentuk-L tiga dimensinya, dan dihubungkan dengan bar krom yang menawan, lalu memberikan jentera ini sebuah penampilan yang teknikal dan berkualiti tinggi pada bahagian belakang.

    Di antara lengkungan roda kenderaan ini, apron belakang dengan pembuka pintu but yang praktikal menyediakan sebuah platform yang kukuh pada struktur bahagian belakang kereta tersebut. Kereta ini juga hadir tanpa sebarang hiasan pada ekor ekzosnya (tailpipe) dan secara tidak langsung dikaitkan dengan identiti plug-in hybrid jentera BMW Concept X7 iPerformance ini. Tambahan lagi, apron belakang dengan pembuka pintu but yang praktikal membentuk struktur belakang kenderaan ini dengan estetika yang kukuh.

    Selain itu, ciri jarak kelegaan tanah mana-mana model kenderaan BMW X serta garisan tetapan tinggi di bahagian kiri dan kanan kenderaan seumpamanya juga memberikan kenderaan ini penampilan atletik, diserlahkan lagi oleh garisan bahu yang memanjang lalu membuahkan kefizikalan kenderaan ini yang tampak beralun. Garisan bahu kenderaan ini memisahkan badan kereta tersebut ke bahagian berkaca (menampakkan ruangan dalaman kenderaan ini yang luas) dan struktur logam yang utuh.

    Lengkungan roda yang membulat – yang pertama bagi siri BMW X – menonjolkan estetika yang penuh sofistikasi pada kedua-dua sisi kenderaan ini. Permukaan kenderaan tersebut lebih menjadi lebih kukuh dan padu semakin kita menganjak ke bahagian belakang kenderaan ini, lantas memberikan jentera ini dinamisme yang samar apabila dilihat dari sisi.

    Bahagian luaran kenderaan ini yang menampilkan warna eksklusif metalik Manhattan menyebatikan permukaan dan bentuk kenderaan ini dalam warna gangsa (olive-bronze) gelap lalu menonjolkan penggayaan yang gah pada bahagian sisi kenderaan ini dengan ciri sofistikasi.

    Keluasan ruangan dalaman BMW Concept X7 iPerformance menterjemahkan keselesaan dengan ambien yang eksklusif dan penuh sofistikasi. Selain itu, bumbung panoramik kenderaan ini yang luas juga memberikan lebih banyak ruang vertikal bagi pemandu dan penumpang kenderaan ini.

    Enam tempat duduk luas yang diseimbangkan di dalam kenderaan ini disusun dengan konfigurasi tiga barisan. Barisan tempat duduk kedua memberikan akses yang mudah ke barisan tempat duduk ketiga, dan bes tempat duduk ini memberikan ruang letak kaki yang lebih luas bagi penumpang di tempat duduk belakang.

    Bumbung panoramik berkaca memenuhi kabin kereta ini dengan ruangan yang luas dan berudara, melalui pencantuman antara bumbung panoramik dan badan kenderaan ini yang mengunjur ke bahagian belakang barisan tempat duduk belakang dalam struktur berbentuk-Y. Tempat duduknya dibaluti kulit Olive Bronze dengan sulaman putih bagi mewujudkan elemen kontras.

    Garisan bahu berwarna gelap yang diunjurkan dari bahagian bawah tingkap melengkapi horizon yang berterusan sepanjang ruang kabin kenderaan ini, ia mewujudkan ketenangan yang menyegarkan ke ruangan dalaman kenderaan tersebut. Penggunaan selektif open-pore ash dalam warna gelap, serta kemasan matte memberikan penyudah kepada pengalaman material natural yang anda boleh rasai.

    Elemen aluminium jenis matte dan yang digilap telah digunakan untuk menambah keanggunan kenderaan tersebut. Keluasan serba mewah yang boleh dialami dari kesemua tempat duduk dibangkitkan lagi secara samar oleh uraian pencahayaan laser pada permukaan bumbung dan ambien dinamik serta pencahayaan kontur.

    Model konsep ini turut ditampilkan dengan panel instrumen yang memfokuskan ciri-ciri asas sahaja, juga estetika moden. Ini termasuklah skrin kluster instrumen bersaiz 12.3-inci dan paparan informasi skrin sentuh sentral terletak berhampiran satu sama lain untuk membolehkan pemaparan canggih yang berterusan. Konsep operasi yang terbaharu membolehkan kedua-dua paparan tersebut digunakan secara interaktif.

    Pada bahagian bawah instrumen ini, iaitu di konsol pusat dan tindanan kefungsian pusat (centre stack), pengelompokan kefungsian melalui kemasan permukaan yang rapi menampilkan pendekatan minimalis. Kaca kristal dengan pencahayaan latar separa yang berwarna gelap silver night mengunjurkan sofistikasi terhadap elemen yang lain seperti tuil pemilih, pengawal iDrive dan butang multifungsi yang terletak di stereng.

    Penawaran maklumat hibur yang tercanggih juga boleh diakses dengan mudah oleh penumpang di tempat duduk barisan kedua dengan hujung jari mereka melalui skrin sentuh yang terletak di belakang tempat duduk barisan pertama. Kelebihan keterhubungan digital sebagai sebuah kemewahan progresif yang premium direalisasikan oleh BMW Connected, ia membolehkan integrasi maklumat hibur yang lancar antara barisan tempat duduk yang pertama dan kedua.

    Kandungan digital juga boleh dikongsikan dengan individu lain yang turut menaiki kenderaan tersebut. Selain itu, ia turut menampilkan koreografi LED interaktif melalui panel pintu dan panel instrumen membolehkan komunikasi yang lancar antara skrin belakang dan paparan yang terletak di bahagian hadapan kabin.

    BMW X7 yang bakal dikeluarkan terdiri daripada model kenderaan yang paling besar di dalam sejarah bagi pengeluar kenderaan premium ini dan ia dijadualkan untuk dilancarkan pada tahun 2019.

    Menurut Harald Hoelzl, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, “Kemewahan kini mempunyai makna yang baharu. Ia merupakan keupayaan untuk mendefinisikan sebuah pengalaman. Kemewahan aras baharu ini pertama kalinya diperkenalkan di BMW Luxury Excellence Pavilion melalui BMW Concept 8 Series pada awal tahun ini. Kini, kami berbesar hati untuk berkongsi visi kemewahan progresif ini sekali lagi melalui BMW Concept X7 iPerformance.”

    BMW Concept X7 iPerformance mula dipamerkan secara eksklusif di Bangsar Shopping Centre bermula hari ini sehingga 22 Julai 2018 sepanjang berlangsungnya BMW X Range Roadshow.

     
     
  • Didi Resources dilantik sebagai pengedar rasmi Aprilia

    Didi Resources dilantik sebagai pengedar rasmi Aprilia

    Bermula 1 Ogos 2018 ini, Didi Resources akan menggalas tugas sebagai pengedar rasmi motosikal jenama Aprilia di Malaysia. Berita ini diterima selepas semalam Naza Premira mengeluarkan kenyataan kerjasama mereka dengan pengeluar motosikal dari Itali itu telah ditamatkan berkuatkuasa 31 Julai 2018.

    Melalui perlantikan ini, Didi Resources akan menyediakan segala khidmat jualan, selepas jualan, servis dan alat ganti kepada pemilik sedia ada dan akan datang melalui pusat setempat baru di The Gasket Alley, Petaling Jaya. Pusat ini juga menempatkan beberapa jenama lain di bawah Didi Resources seperti Harley-Davidson dan Moto Guzzi.

    Menurut pengerusi Didi Resources, Rewi Hamid Bugo, mereka rasa bangga kerana diberi peluang untuk menguruskan jenama Aprilia, iaitu satu jenama yang berprestij bawah Kumpulan Piaggio di Malaysia. Ia juga melengkapi jenama Moto Guzzi (juga di bawah Kumpulan Piaggio) yang sekarang juga diuruskan oleh Didi Resources.

     
     
  • Monster akan ganti Movistar sebagai penaja utama pasukan MotoGP Yamaha bermula tahun hadapan

    Monster akan ganti Movistar sebagai penaja utama pasukan MotoGP Yamaha bermula tahun hadapan

    Yamaha Motor Co., Ltd. telah mengeluarkan kenyataan bahawa syarikat pengeluar minuman tenaga Monster Energy Company akan menjadi penaja utama (title sponsor) bagi pasukan factory MotoGP mereka bermula tahun 2019. Ini adalah bagi menggantikan syarikat telekomunikasi Movistar yang kontraknya bakal tamat hujung tahun ini.

    Perjanjian penajaan antara dua syarikat ini juga bakal menyaksikan nama pasukan tersebut ditukar kepada Monster Energy Yamaha MotoGP dan berkemungkinan nanti warna utama motosikal yang sekarang berwarna biru ditukar kepada warna lain yang lebih gelap.

    Sebelum ini juga, dua penunggang pasukan factory MotoGP Yamaha iaitu Valentino Rossi dan Maverick Vinales sudah sedia ditaja oleh Monster Energy. Dengan penajaan pasukan pula, orang ramai bakal menyaksikan lambang Monster Energy yang lebih jelas dan besar pada jaket pelumba, motosikal serta aset lain pasukan tersebut.

     
     
  • Naza Premira henti tugas sebagai pengedar Aprilia

    Naza Premira henti tugas sebagai pengedar Aprilia

    Bermula 31 Julai 2018 ini, tamatlah kerjasama antara Naza Premira dan pengeluar motosikal dari Itali, Aprilia. Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, penghentian kerjasama ini adalah sebahagian daripada langkah rasionalisasi jenama yang dilakukan oleh Naza Premira.

    Selain daripada itu, Naza Premira juga memberitahu bahawa langkah ini perlu dilakukan bagi memastikan jenama lain (empat roda dan dua roda) di bawahnya yang menunjukkan prestasi lebih baik dapat dipastikan bertahan serta memberi keuntungan kepada syarikat. Walaupun kerjasama ini ditamatkan hujung bulan ini, Naza Premira masih perlu menyediakan servis jualan, alat ganti dan jaminan sehingga 30 September 2018.

    Melalui pengumuman ini juga, Naza Premira mahu menyatakan mereka masih lagi kekal sebagai wakil rasmi untuk jenama Piaggio dan Vespa di Malaysia. Dijangkakan juga, tidak lama lagi satu pengumuman baru akan dilakukan oleh Aprilia berkenaan pelantikan wakil pengedaran baru jenama itu di Malaysia.

     
     
  • Proton 1-Tank Adventure – Kembara bermula hari ini!

    Proton 1-Tank Adventure – Kembara bermula hari ini!

    hdr

    Pertandingan pemanduan ekonomi, Proton 1-Tank Adventure sudah pun bermula hari ini. Kumpulan pertama peserta yang terdiri dari kalangan ahli kelab pemilik Proton, pengamal media, selebriti dan juga orang awam telah dilepaskan dari Pusat Kecemerlangan Proton Shah Alam pagi tadi.

    Konvoi kali ini meliputi 15-buah kereta yang akan menuju ke Ipoh dan akan kembali semula ke Lembah Klang keesokkan harinya. Sama seperti namanya, pertandingan ini memerlukan peserta untuk mengharungi perjalanan sekitar 600 km dengan hanya menggunakan satu tangki penuh minyak petrol. Pertandingan ini akan bermula sebaik sahaja peserta memenuhkan tangki petrol mereka di stesen minyak yang telah ditetapkan, kemudian penutup tangki berkenaan dilekat dengan pita pelekat.

    Sepanjang perjalanan, penganjur telah menetapkan masa jangkaan pada setiap checkpoint, memerlukan peserta memandu dengan kelajuan sepatutnya sambil mengekalkan ekonomi penggunaan bahan-api bagi memberikan simulasi sebenar penggunaan setiap hari. Pengembaraan ini bukan sahaja berkenaan memandu secara efisien, malah turut disulami dengan pencarian makanan, budaya setempat dan juga tempat-tempat bersejarah.

    Proton telah pun menyediakan hadiah berjumlah lebih dari RM100,000 untuk diberikan kepada pemenang-pemenang bertuah. Sekiranya anda berminat, pastikan dulu anda mempunyai kereta yang layak iaitu Saga 1.3 CVT yang dibuat dari September 2016 hingga sekarang, Iriz 1.3 CVT yang dibuat bermula September 2014 hingga sekarang dan juga Persoana 1.6 CVT yang dibuat bermula Ogos 2016 hingga sekarang.

    Untuk menyertai pertandingan ini, anda perlu memuat naik gambar kenderaan anda ke laman Facebook atau Instagram dengan tajuk “I want to participate!” dan letakkan tag @ProtonCarsOfficial (Facebook) atau @ProtonCars (Instagram). Anda juga perlu meletakkan tag model yang anda mahu sertai serta kawasan untuk pusingan awal. Apabila sudah, hantarkan screenshot status anda itu ke [email protected] bersama perincian diri anda.

    Anda boleh melihat informasi lanjut, terma serta syarat untuk pertandingan ini di laman rasmi Facebook Proton. Namun, penyertaan untuk kawasan Tengah dan Pantai Timur telah pun ditutup; tetapi anda masih lagi berpeluang untuk menyertainya untuk kawasan Malaysia Timur (sebelum 19 Julai), kawasan Selatan (sebelum 24 Julai) dan kawasan Utara (sebelum 26 Julai). Masa penutup adalah pada 5 petang untuk setiap kawasan pada tarikh yang telah dinyatakan.

    Wakil kami, Hafriz Shah hari ini turut menyertai konvoi pertama Proton 1-Tank Adventure berkenaan. Jadi, teruskan bersama kami untuk perkembangan lanjut perjalanan program berkenaan.

     
     
  • Porsche Macan facelift diuji di Afrika sebelum dilancar

    Porsche Macan sudah berada dalam pasaran sejak tahun 2014, dan kini waktu untuk model facelift diperkenalkan sudah tiba. Ia hanya akan diperkenalkan secara rasmi hujung bulan ini di China, tetapi model ujian sudah pernah ditemui, malah dengan hanya sedikit penyamaran sahaja. Terbaru, pengeluar kenderaan dari Jerman itu mengeluarkan sendiri video dan gambar waktu ia diuji di Afrika.

    Ujian ini dilakukan bagi membuktikan kemampuan Macan facelift di atas permukaan jalan yang mencabar, sekaligus menunjukkan ia sememangnya mempunyai sebuah identiti SUV, yang dapat digabungkan bersama karekter kenderaan sports. Bukan setakat jalan tanah merah, kereta ini juga dibawa mendaki bukit tinggi sehingga altitud 3,400 meter dari paras laut di Lesotho.

    Sekali imbas, Macan facelift ini kelihatan sama sahaja dengan Macan yang ada sekarang, tapi sebenarnya perubahan padanya terdapat pada perincian, sebagai contoh, lampu hadapan adalah unit baru dengan sistem LED. Corak di dalam lampu itu juga adalah baru, dan bampar turut diberi sedikit perubahan bersama lampu siang LED nipis.

    Porsche Macan facelift diuji di Afrika sebelum dilancar

    Pergi ke bahagian belakang, Macan facelift ini mungkin akan menerima lampu baru kerana bahagian itu ditutup dengan pelekat yang cukup rapi menyembunyikan rekaan sebenarnya, dan di tengah penutup but pula mungkin akan terdapat satu jalur LED.

    Dalam video ini juga, salah seorang wakil daripada Porsche menyatakan bahawa prestasi Macan facelift dinaik taraf dan ia menggunakan enjin generasi baru. Unit enjin sebenar serta kapasitinya tidak diberitahu tapi nanti mungkin akan ada Macan yang dikuasakan oleh enjin V6 3.0 liter dan V6 2.9 liter biturbo.

     
     
  • Sembang PT #3: Kia Stinger dah sampai Malaysia, cara tunggangan offroad dan Yamaha Y15R GP Edition 2018

    Sembang PT kembali lagi untuk siri ketiga. Dalam video kali ini, Hafiz dan Durrani berbincang tentang tiga perkara seputar hal-hal automotif tempatan yang berlangsung dalam masa terdekat ini. Pertama, tentulah berkaitan sebuah model yang baru saja menjengah pasaran tempatan, apa lagi kalau bukan Kia Stinger.

    Model berkenaan menjadi penawaran penting bagi Kia diperingkat global; ia merupakan model prestasi yang pertama dihasilkan syarikat itu. Harganya di Malaysia juga bermula dari RM240k hingga RM310k – dua varian saja di tawarkan iaitu 2.0L GT-Line dan 3.3L V6 GT. Anda tahu tak sebenarnya ketua jurutera yang terlibat membangunkan Stinger pernah bertugas untuk menghasilkan jentera BMW M?

    Kedua, Durrani berkongsi pengelamannya ketika berhujung minggu di dalam hutan untuk acara Rimba Raid yang baru berlangsung. Macam mana sebetulnya persiapan untuk menunggang di laluan offroad ini? Senang atau susah? Ikuti perkongsiannya dalam video ini.

    Dan, yang terakhir adalah tentang motosikal Yamaha Y15ZR GP Edition 2018. Hong Leong Yamaha dah umumkan sebelum ini, harganya ialah RM8.6k. Tapi, biasanya dengan edisi-edisi khas seperti ini, akan ada pihak yang manipulasi untuk letakkan harga yang lebih tinggi. Berbaloi ke nak beli kalau macam tu keadaannya? Apa pun, tonton video yang kami sediakan ini dan kongsikan juga pandangan anda.

     
     
  • Ducati, Audi bersama bangunkan sistem komunikasi antara kenderaan C-V2X untuk tingkatkan keselamatan

    Ducati, Audi bersama bangunkan sistem komunikasi antara kenderaan C-V2X untuk tingkatkan keselamatan

    Sebagai sebahagian daripada ‘Pelan Rancangan Keselamatan 2025’ yang dirancang, Ducati dan Audi telah bekerjasama untuk membangunkan satu sistem komunikasi antara motosikal dan kenderaan lain yang dinamakan sebagai C-V2X. Selain daripada sistem baru ini, antara pembangunan lain dalam aspek keselamatan yang dilakukan oleh Ducati adalah untuk melengkapkan Cornering ABS kepada lebih banyak model dan pembangunan radar pengesan jarak.

    Untuk C-V2X, ia adalah satu sistem komunikasi tanpa wayar yang boleh digunakan bagi pengguna jalan raya seperti kereta, motosikal, pejalan kaki, basikal, serta juga infrastruktur lain. Sekarang ini penggunaannya dapat ditunjukkan melalui model prototaip yang menggunakan kereta Audi Q7 dan A4, serta motosikal Ducati Multistrada 1200.

    Ducati, Audi bersama bangunkan sistem komunikasi antara kenderaan C-V2X untuk tingkatkan keselamatan

    Ia dapat meningkatkan ciri keselamatan atas jalan raya, dengan antara fungsinya, kenderaan yang menggunakan sistem ini akan mendapat amaran apabila mendekati simpang berdekatan antara satu sama lain (Intersection Collision Warning). Dalam satu lagi keadaan, sistem ini juga boleh memberi amaran apabila kenderaan masuk ke laluan motosikal, melalui fungsi Across Traffic Turn Collision Risk Warning.

    Atas jalan raya, motosikal sememangnya cukup terdedah kepada pelbagai bahaya, dan ini dijadikan lebih teruk apabila pemandu juga semakin ramai yang kurang menumpukan perhatian kerana pelbagai gangguan seperti peranti elektronik. Sekurang-kurangnya dengan ada sistem seperti ini, dapatlah juga ia memberikan sedikit fungsi tambahan untuk keselamatan.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025