Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • C70 enjin 600 cc hadiah cabutan bertuah AOS 2018

    C70 enjin 600 cc hadiah cabutan bertuah AOS 2018

    Kalau tahun lepas seorang pengunjung bertuah Art Of Speed berjaya membawa pulang Yamaha RXZ Twin Boss, tahun ini perkara sama akan dilakukan oleh penganjur acara tersebut, tetapi dengan hadiah yang berbeza. Untuk tahun ini, penganjurnya menyediakan sebuah Honda C70 yang diubah suai secara radikal dengan enjin 600 cc daripada model XR600R.

    Jentera istimewa ini dibina oleh orang sama yang membuat RXZ Twin Boss, iaitu Mohamad Irwann bin Mohd Azlan atau lebih dikenali sebagai Cheng daripada FNG Works, Ipoh. Beliau yang berumur 27 tahun mempunyai kelulusan dalam bidang kejuruteraan mekanikal dan mendapat kepercayaan pengasas AOS, Asep Ahmad untuk melakukan projek yang susah diterima akal orang biasa ini.

    Menurut Cheng, projek ini agak sukar kerana selain perlu memuatkan enjin yang besar tersebut, beliau juga masih perlu mengekalkan identiti C70. Hampir keseluruhan bahagian kerangka diubah suai, manakala bahagian lengan ayun pula diambil daripada model Honda Wave dan dipanjangkan.

    Enjin satu silinder 600 cc empat strok yang digunakan kemudiannya dipadankan bersama sistem bahan api karburetor Keihin PWK 39 mm dan sistem pendawaiannya dibuat semula khas untuk motosikal ini. Walaupun nampak agak rendah (mungkin kerana enjin yang berat), Cheng memberitahu motosikal ini tidak direndahkan dan masih menggunakan suspensi asal yang sudah diperbaiki semula di hadapan dan penyerap 300 mm di belakang.

    Banyak lagi bahagian lain motosikal ini turut diubah suai oleh Cheng bagi memastikan enjin itu dapat disokong pada badan asalnya yang kecil. Tangki bahan api dikecilkan supaya dapat mempunyai besi sokongan di bawahnya, manakala penukar gear juga adalah unit binaan khas yang kini mempunyai penukaran seperti GP Shift.

    Seperti yang anda boleh lihat, Honda C600R yang turut digelar sebagai ‘Papa Jahat’ ini masih lagi belum siap sepenuhnya dan Cheng akan meneruskan kerja untuk memastikan ia lengkap untuk dibawa ke AOS 2018 pada 28 dan 29 Julai ini. Pada hari terakhir acara itu, seorang pengunjung bertuah akan dipilih untuk membawa pulang projek yang sudah menelan belanja hampir RM45,000 ini.

    Dan bagi yang masih belum faham, motosikal ini hanyalah satu projek cabaran untuk menunjukkan kemampuan kejuruteraan, dan memang tidak halal untuk digunakan atas jalan biasa.

     
     
  • Projek LRT3 diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak 47%, hanya RM16.63b – Lim Guan Eng

    Projek LRT3 diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak 47%, hanya RM16.63b – Lim Guan Eng

    Selepas menangguhkan dua projek mega yang melibatkan sistem pengangkutan awam iaitu MRT3 dan HSR, kabinet memutuskan untuk meneruskan projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3). Walau bagaimana pun, projek LRT3 akan diteruskan dengan pengurangan kos sebanyak 47% iaitu RM16.63 bilion berbanding kos asal sebanyak RM31.65 bilion.

    Menurut Menteri Kewangan, Lim Guang Eng, penjimatan sebanyak RM15.02 bilion ini bukan setakat dapat mengurangkan hutang negara, malah ia juga menjimatkan wang rakyat. “Walau bagaimana pun, kos keseluruhan itu termasuk tetapi tidak terhad kepada kos Pakej Kontrak Kerja (WPC), pengambilan tanah, pengurusan projek, fi perundingan, kos operasi, kos overhead, faedah pinjaman semasa pembinaan (IDC) dan kos lain yang berkaitan,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian.

    Malah, proses perundingan semula yang menyeluruh dan pelan rasionalisasi pelaksanaan projek LRT3 sudah diadakan dengan semua pihak yang terbabit termasuk Prasarana Malaysia,MRCB-George Kent (MRCB-GK JV), iaitu Rakan Pelaksana Projek (PDP) dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

    Buat masa ini, integrasi jajaran LRT3 sepanjang 37 km iaitu dari Johan Setia, Klang ke Bandar Utama, Petaling Jaya perlu dikekalkan. Di samping itu, isu keselamatan, kekerapan jadual perjalanan dan kualiti perkhidmatan mestilah memenuhi segala syarat keperluan pengawal selia.

    Katanya lagi, antara langkah utama yang diambil untuk mengurangkan dan merasionalisasi kos projek ini termasuk mengurangkan jumlah tempahan daripada 42 set kereta api 6-koc kepada 22 set kereta api 3-koc. “Ia sudah memadai untuk menampung jumlah penumpang yang dijangkakan menggunakan perkhidmatan ini sehingga tahun 2035, sebelum sebarang penambahan jumlah set kereta api 3-koc dilaksanakan,” jelasnya.

    Selain itu, saiz pembinaan pangkalan tren LRT juga dikurangkan dan mengikut piawaian jajaran LRT Kelana Jaya, dan bukannya saiz stesen MRT yang lebih besar. Walau bagaimana pun, terdapat beberapa pembinaan stesen yang akan dibatalkan iaitu di Lien Hoe, Temasya, SIRIM, Bukit Raja dan Bandar Botanic. Bukan itu saja, pembinaan terowong sepanjang dua kilometer untuk laluan LRT dan stesen LRT bawah tanah di Persiaran Hishamuddin, Shah Alam turut dibatalkan.

    Selain itu katanya, langkah turut diambil dengan melanjutkan tempoh masa untuk menyiapkan projek LRT3 dari tahun 2020 ke 2024 untuk mengurangkan lagi kos pembinaan yang asalnya dinaikkan untuk mempercepatkan tempoh siap projek itu.

     
     
  • Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    Agak lama juga kemelut antara teksi dan e-hailing melanda, namun penetapan undang-undang baharu bagi kedua-dua perkhidmatan itu seakan tergendala untuk dilaksanakan. Namun akhirnya Kementerian Pengangkutan di bawah pimpinan kerajaan baharu ini telah memuktamadkan untuk mengawal selia sepenuhnya perkhidmatan e-hailing melalui Akta Pengangkutan Awam Darat (Pindaan) 2017 dan Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) (Pindaan) 2017, berkuatkuasa hari ini.

    Menurut menterinya Anthony Loke, syarikat-syarikat e-hailing wajib berdaftar dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) sebagai Perniagaan Pengantaraan dan perlu membayar fi sebanyak RM115 sekali setahun, sama seperti ditetapkan kepada pemandu teksi, laporan Bernama.

    Untuk itu, SPAD juga telah merangka perundangan dan syarat-syarat yang akan dikenakan kepada Perniagaan Pengantaraan dan pemandu e-hailing. Di mana penguatkuasaan bagi memberi kesaksamaan kepada industri teksi itu menetapkan empat syarat utama yang perlu dipatuhi industri e-hailing meliputi kelayakan permohohan lesen, kenderaan, kelayakan pemandu dan syarat operasi.

    “Untuk permohonan lesen, syarikat e-hailing perlu berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) manakala bagi pemandu, permohonan adalah sama dengan syarat permohonan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan ditambah baik dengan saringan rekod jenayah.

    Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    “Bagi kenderaan pula, ia terbuka kepada semua jenama yang mempunyai sekurang-kurangnya taraf tiga bintang tahap piawaian Program Penilaian Kereta Baharu Asia Tenggara (ASEAN NCAP) atau setara, menjalani pemeriksaan berkala di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sekali setahun apabila kenderaan melebihi usia tiga tahun dari tarikh didaftarkan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ),” ujar Loke.

    Tambahnya lagi, untuk pengoperasian pula, syarikat e-hailing perlu menyediakan perlindungan insurans bagi pemandu, kenderaan, penumpang dan pihak ketiga, dan ini adalah selari dengan apa yang dikenakan terhadap industri teksi.

    “Tempoh moratorium setahun dari tarikh kuat kuasa diberi kepada Perniagaan Pengantaraan untuk memenuhi semua syarat yang ditetapkan bagi mendapatkan Lesen Perniagaan Pengantaraan. Walaupun tempoh itu agak panjang tetapi pemantauan rapi akan dibuat bagi memastikan pihak berkenaan tidak sewenang-wenangnya mengabaikan penguatkuasaan tersebut dan sebarang pelanggaran boleh menyebabkan lesen atau permohonan syarikat e-hailing dibatalkan,” tegasnya lagi.

    Katanya keputusan itu juga dibuat susulan pertemuan beliau dengan persatuan teksi baru-baru ini. Malahan kaji selidik telah dijalankan SPAD ke atas 46,000 responden, dengan 70% memilih perkhidmatan e-hailing dikawal selia oleh kerajaan dan 52% penumpang memilih menggunakan e-hailing untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.

    Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    Mengenai kesaksamaan lain yang bakal dilaksanakan, Loke berkata pemeriksaan meter bagi kelas lesen teksi akan dilakukan satu kali setahun berbanding dua kali setahun sebelum ini dan latihan pemandu menggunakan modul latihan yang mengambil masa enam jam sahaja dengan fi RM300 seorang.

    Katanya modul latihan itu boleh dilaksanakan oleh mana-mana Perniagaan Pengantaraan, syarikat teksi, institut memandu atau syarikat penyedia latihan yang ditauliahkan oleh SPAD.

    Berhubung rungutan pemandu e-hailing berkaitan ketidakadilan syarikat e-hailing yang menekan pemandu dengan mengenakan kadar komisen tinggi sehingga 25%, Loke berkata kerajaan cuba menanganinya melalui empat kaedah yang ditetapkan dalam syarat lesen.

    Katanya kaedah tersebut meliputi kadar komisen maksimum sebanyak 10% bagi perkhidmatan e-hailing yang dijalankan oleh pemandu teksi, kadar komisen maksimum 20% bagi perkhidmatan yang dijalankan kenderaan persendirian dan kadar surcaj sebanyak dua kali ganda daripada harga tambang sahaja.

    Kerajaan kawal selia perkhidmatan e-hailing mulai hari ini – syarat dan penguatkuasaan sama seperti teksi

    Loke berkata SPAD juga telah mengarahkan setiap aplikasi e-hailing sama ada aplikasi pemandu atau penumpang perlu mempunyai fungsi kecemasan 999 bagi melaporkan sebarang kecemasan semasa perkhidmatan diberikan bagi mengelak kejadian seperti kes pemandu Grab dibunuh baru-baru ini.

    “Dalam aspek kebajikan pemandu e-hailing, syarat lesen juga memerlukan syarikat e-hailing menyediakan Kod Tatakelakuan dan Garis Panduan Rungutan Pemandu yang boleh diaudit pihak kerajaan dengan lesen syarikat boleh ditarik jika keperluan itu tidak dipenuhi. Untuk keselamatan pemandu e-hailing, penumpang juga dikehendaki memuat naik kad pengenalan atau pasport yang sah semasa pendaftaran menggunakan aplikasi telefon pintar, katanya.

    Loke berkata kerajaan juga sedang mengkaji risiko monopoli perkhidmatan e-hailing selepas penggabungan Grab dan Uber pada Mac lepas melalui Suruhanjaya Anti Persaingan (MyCC). Dan bagi pemandu teksi sedia ada yang ingin menyertai industri e-hailing akan diberikan bantuan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan baharu atau terpakai.

    Pada masa sama, pemandu teksi yang telah tamat tempoh kontrak pajak dengan syarikat teksi juga akan diberikan Geran Tunai Kerajaan sebanyak RM5,000 untuk membeli kenderaan teksi baharu jika berhasrat untuk kekal menjadi pemandu teksi dengan menggunakan lesen teksi individu, katanya.

     
     
  • Pusat 3S Proton Kapar baharu milik Pantai Bharu ganti fasiliti 1S+2S sebelum ini, beroperasi secara rasmi

    Pusat 3S Proton Kapar baharu milik Pantai Bharu ganti fasiliti 1S+2S sebelum ini, beroperasi secara rasmi

    Setelah pusat 4S Proton yang pertama dinaik taraf secara rasmi dibuka bulan lalu, hari ini sebuah lagi pusat 3S baharu dibuka, yang ditingkat taraf dari dua buah pusat 1S dan 2S sebelum ini. Fasiliti baharu milik pengedar Pantai Bharu Corporation Sdn. Bhd berkenaan terletak di Jalan Kapar, Klang, dan akan memberikan khidmat jualan dan servis kepada pemilik Proton sekitarnya.

    Perasmian pembukaan berkenaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong disertai oleh Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Abdul Rashid Musa, Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar dan barisan pengurusan kanan Proton.

    “Untuk berjaya, kita perlu bergerak seiring dengan perubahan masa dan kekal relevan. Keadaan pasaran sentiasa berubah. Apa yang laku pada hari ini, mungkin tidak akan laku hari esok. Justeru, tujuan berpindah ke kawasan baharu adalah untuk menawarkan pengalaman pelanggan yang lebih baik. Kawasan yang baharu ini akan menyediakan kemudahan sebagai pusat sehenti bagi jualan, servis dan alat ganti kepada pelanggan”, Dato’ Shamshudin Nor, pemilik dan pemegang saham Pantai Bharu.

    Menurutnya lagi, Pusat 3S Proton milik syarikatnya itu dilengkapi dengan 12 petak penyelenggaraan, lapan pengangkat, ruangan yang mampu menempatkan sebanyak 35 tempat duduk pelanggan, tiga ruang penyerahan kereta dan 70 petak tempat letak kereta pelanggan. Di samping itu, fasiliti ini juga menyediakan ruangan bagi kanak-kanak untuk bermain, ruangan minuman dan untuk mengecas telefon serta komputer riba dan juga Wifi percuma untuk pelanggan.

    “Kami yakin dapat menarik lebih ramai pelanggan ke bilik pameran kami dengan penampilan yang baharu dan segar ini, pencahayaan yang lebih terang dan suasana dalaman dan luaran yang lebih harmoni. Ini sekaligus akan mendorong kepada tahap jualan dan perkhidmatan yang meningkat. Kami menjangkakan peningkatan 100% dalam jualan dan servis pada permulaan penambahbaikan ini”, tambah Dato’ Shamshudin lagi.

    Sehingga 30 Jun, Proton mempunyai 87 cawangan yang telah bersedia untuk menaiktaraf kepada 3S dan 4S, lebih cepat daripada yang dijangkakan dalam masa dua bulan. Ini adalah pencapaian 80% berbanding sasaran 109 cawangan, yang akan siap pada Oktober tahun ini. Di samping itu, Proton juga mencatatkan jualan lebih daripada 50% berbanding Mei 2018 dan ini menyumbang kepada penguasaan pasaran sebanyak kira-kira 10%, dengan Saga dan Persona mendahului jumlah jualan, dengan peningkatan sebanyak 70% dan 56% berbanding bulan sebelumnya.

     
     
  • Harga RON 97 naik lagi satu sen minggu ini – RM2.59

    Harga RON 97 naik lagi satu sen minggu ini – RM2.59

    Selepas naik lapan sen minggu lalu, harga bahan RON 97 yang ditetapkan secara apungan sekali lagi menunjukkan peningkatan untuk minggu bermula 12 Julai hingga 18 Julai 2018. Bermula tengah malam ini, harga untuk bahan api tersebut akan ditetapkan kepada RM2.59 seliter (naik 1 sen).

    Bagi harga bahan api lain, ia masih dikekalkan kerana kerajaan telah memutuskan pemberian subsidi sehingga hujung tahun ini. RON 95 kini dijual RM2.20 seliter, diesel Euro 2M RM2.18 seliter dan diesel Euro 5 RM2.28 seliter.

    Untuk subsidi bahan api RON 95 dan diesel ini, hujung bulan lalu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah mengeluarkan kenyataan bahawa ia akan dikekalkan, iaitu sebanyak RM3 bilion untuk sehingga hujung tahun ini. Bergantung kepada harga bahan api dunia, jumlah ini walaubagaimanapun boleh berubah.

     
     
  • Ford Everest facelift diperkenalkan di Thailand – kini dengan 2.0L EcoBlue turbodiesel, 10-kelajuan auto

    Ford Everest facelift diperkenalkan di Thailand – kini dengan 2.0L EcoBlue turbodiesel, 10-kelajuan auto

    Ford Everest facelift, yang pertama kali didedahkan pada Mei lalu, kini telah pun diperkenalkan di Thailand. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, SUV berasaskan Ranger telah menerima sedikit perubahan gaya luaran dan didatangkan dengan ciri tambahan.

    Terdapat juga perubahan bagi penjana kuasan gearnya, dengan memperkenalkan enjin diesel baharu 2.0 liter EcoBlue – yang ditampilkan pada Ranger Raptor – dan juga kotak gear Getrag 10R60 automatik 10-kelajuan untuk facelift ini. Bangkok Post melaporkan penjana kuasa baharu Panther ini menggantikan enjin 2.2 liter empat-silinder dan 3.2 liter lima-silinder dalam barisan terdahulu.

    Penjana kuasa baharu ini didatangkan dengan dua output talaan, dengan 180 hp bagi turbo-tunggal dan 213 hp untuk turbo-berkembar, serta versi 180 hp untuk pacuan roda-belakang dan 213 hp bagi pacuan empat-roda.

    terdapat empat varian yang akan ditawarkan di Thailand, dengan tiga daripadanya menampilkan talaan output yang rendah. Harganya bermula 1.299 juta baht (RM157,110) untuk model asas hingga 1.599 juta baht (RM193,340) bagi tiga varian tertinggi untuk 180 hp, dan varian turbo-berkembar pula berharga 1.799 juta baht (RM217,588).

    Ciri luaran baharu termasuklah tiga kepingan gril dan lampu utama xenon dengan lampu nyalaan siang LED, dan di dalam pula, Everest kini didatangkan dengan kemasukan tanpa kunci dan butang penghidup enjin serta sistem infotainmen SYNC 3 secara standard, dengan kawalan suara dalam bahasa English atau Thai untuk pasaran tersebut.

    Elemen tambahan lain yang turut dibawa masuk ialah brek kecemasan sendiri (AEB) dengan pengesan pejalan kaki dan kenderaan, yang beroperasi dari kelajuan melebihi 3.6 km/j – yang turut menyertai ciri sedia ada termasuk kawalan kelajuan adaptif (ACC), sistem kekal lorong (LKS) dan sistem informasi titik buta (BLIS) dengan kepekaan trafik lintasan-belakang di dalam senarai kit keselamatan.

    Laporan turut menambah Ranger T6 juga akan menerima enjin EcoBlue apabila ia menerima peningkatan kelak dan bakal dilancarkan di pasaran tempatan pada bulan ini, tetapi unit tersebut hanya didatangkan dengan varian tertinggi, dengan 2.2 liter sedia ada masih diteruskan setakat ini.

     
     
  • PEKEMA pertahan pelaksanaan AP terbuka, jadikan industri lebih kompetitif dan berharap ia diteruskan

    PEKEMA pertahan pelaksanaan AP terbuka, jadikan industri lebih kompetitif dan berharap ia diteruskan

    Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) telah menyatakan keresahan mereka berikutan desas-desus yang bertiup bahawa kerajaan Pakatan Harapan akan menghapuskan sistem Approved Permit (AP) terbuka. Persatuan itu mempertahankan sistem berkenaan, yang menurut mereka telah banyak membantu menjadikan industri automotif lebih kompetitif, lapor Malay Mail.

    Presidennya, Datuk Zainuddin Abdul Rahman memaklumkan, sistem berkenaan menghalang pengimport-pengimport lain daripada mengenakan harga yang lebih tinggi bagi kenderaan import. “Mereka tidak boleh menaikkan harga kenderaan import sesuka hati kerana mereka juga perlu menawarkan harga yang kompetitif. Untuk berbuat demikian, mereka perlu menyelaraskan harga berbanding yang ditawarkan oleh pemegang AP,” ujar beliau selepas menghadiri perjumpaan dengan Majlis Penasihat Kerajaan semalam.

    Beliau menekankan pemansuhan sistem itu, sekiranya berlaku, akan bertentangan dengan Artikel 153 Perlembangaan Persekutuan yang menjamin hak istimewa orang Melayu dan pribumi Sabah dan Sarawak.

    “Tun Daim kata ramai yang ingin melihat sistem ini dimansuhkan, tetapi saya maklumkan beliau untuk mempertimbangkan segala kos yang terpaksa kami tanggung selama ini. Saya sendiri telah belanjakan RM20 juta untuk bilik pameran dan tanah. Tidak adil untuk kerajaan memansuhkan sistem ini begitu sahaja. Mengapa perlu mansuhkan sistem yang memang terang-terangan telah disebut di dalam perlembagaan? Ini tidak adil,” ujar beliau.

    Zainuddin juga menggesa agar kerajaan dapat menghentikan bayaran levi RM10,000 yang dikenakan terhadap pemegang AP terbuka, sama seperti yang pernah mereka suarakan sebelum ini. Persatuan itu sendiri tidak pernah menerima pulangan seperti yang dijanjikan oleh kerajaan sebelum ini, walaupun jumlah terkumpul hasil daripada kutipan itu sudah mencecah RM2.7 bilion, sejak 2010 hingga 2017.

    “Terdapat kira-kira 800 jenis AP di Malaysia, dan hanya AP terbuka yang dikenakan yuran. Mudah saja untuk kira. Kerajaan kutip RM10,000 daripada setiap 35,000 pemegang AP. Maksudnya dalam setahun jumlah yang terkumpul ialah RM350 juta. Kerajaan sebelum ini berjanji bahawa ahli-ahli Pekema akan dapat 40% daripada jumlah itu untuk tujuan pengembangan perniagaan. Tapi itu tidak pernah berlaku,” tambahnya.

    Zainuddin mendakwa, menteri MITI sebelum ini, Datuk Seri Mustapa Mohamad di dalam satu pertemuan telah berjanji untuk mengagihkan 40% daripada kutipan itu untuk ahli-ahli Pekema, 40% lagi untuk bumiputra yang ingin menyertai industri ini makala baki 20% lagi kepada Institut Automotif Malaysia (MAI). “Tak sampai satu peratus ahli Pekema yang terima agihan itu, bumiputra yang baru nak masuk industri pula tak dapat apa-apa tetapi MAI dapat peruntukan 20% mereka,” ujar beliau.

    Sistem berkenaan sepatutnya ditamatkan pada 31 Disember 2015, di bawah Dasar Automotif Nasional 2009. Tetapi dalam kemaskini dasar sama yang diumumkan pada 2014, tiada tarikh sahih diberikan untuk pemansuhan itu.

     
     
  • Proton sasar no.1 dalam CSI JD Power 3 tahun lagi, umum inisiatif baharu tingkat kualiti produk dan servis

    Proton sasar no.1 dalam CSI JD Power 3 tahun lagi, umum inisiatif baharu tingkat kualiti produk dan servis

    Ketika perasmian pusat 3S terbaharu Proton di Kapar, Klang pagi tadi, Proton mengumumkan mereka kini sedang giat menjalankan inisiatif kualiti secara keseluruhan yang merangkumi rangkaian nilai perniagaannya iaitu reka bentuk, pembekal, perkilangan dan servis selepas jualan. Menurut jenama automotif dari Malaysia tersebut, inisiatif ini bukan sahaja memastikan kesempurnaan produk berterusan dan penambahbaikan proses kualiti, malah turut mensasarkan untuk menjadi nombor satu dalam kajian Indeks Kepuasan Perkhidmatan Pelanggan (Customer Service Index; CSI) di negara ini pada masa akan datang.

    Bagi inisiatif rekabentuk, Proton kini menubuhkan Jabatan Kualiti Kejuruteraan (EQD) untuk memberikan maklumat mengenai Kritikal kepada Kualiti (CTQ) bagi pereka dan jurutera, sementara input utama untuk penambahbaikkan bagi jabatan berkenaan adalah diambil terus dari penanda aras, pengajaran dan Kajian Inisiatif Kualiti JD Power sendiri.

    Proton juga kini mengenakan kawalan yang ketat bagi Kualiti Sistem Baharu dan Audit Sistem Jaminan Kualiti Baharu (QASA) bagi memantau kualiti yang diberikan oleh pembekal mereka. Manakala untuk perkilangan, indikator kepada Kecacatan setiap Unit (DPU) akan digunakan bagi mengukur konsistensi kualiti kilang dan audit.

    Proton sasar no.1 dalam CSI JD Power 3 tahun lagi, umum inisiatif baharu tingkat kualiti produk dan servis

    Menurut pengeluar automotif nasional itu lagi, mereka kini menggunakan Audit Produk Pelanggan Global (GCPA) sebagai penanda aras untuk melakukan audit pada kualiti produknya – sama dengan kereta-kereta Geely dan Volvo, selaras dengan standard global. Sistem audit akan memberikan skor kepada isu-isu yang dikenalpasti pada barisan pengeluaran berdasarkan kepada permasalahan masing-masing.

    Semasa audit dilakukan, mata sebanyak 300, 100, 50 dan 30 diberikan, di mana markah yang lebih tinggi akan diberikan kepada isu-isu yang lebih teruk, manakala mana-mana isu dengan markah 300 sebagai cukup kritikal untuk menghentikan pengeluaran sementara langkah-langkah tindak balas dilaksanakan. Semakin rendah skor yang diperoleh, bermakna peningkatan kualiti adalah lebih baik. Proton mensasarkan untuk mencapai skor 1,500 mata dalam GCPA menjelang akhir tahun ini, dan sehingga Jun 2018, skor yang dicapai adalah 1,763 mata.

    Untuk memastikan kualiti produk setanding dengan kereta-kereta yang dikeluarkan dari China, Proton telah melabur bagi membina kilang baharu yang kini sedang dibina, dilengkapi dengan teknologi terkini di Tanjung Malim. Kilang tersebut dibina mengikut jadual dan setelah siap kelak ia akan memproduksi SUV pertama Proton yang diasaskan dari Geely Boyue.

    Proton juga akan memperkenalkan Sistem Kualiti Visual (VQS) di kilang baharu berkenaan di mana ianya adalah merupakan sistem kualiti produk yang sama digunakan oleh Geely di China. Ini akan membantu kami memastikan setiap kereta yang dihasilkan memenuhi standard kualiti yang diperlukan, seterusnya memberi manfaat kepada semua pelanggan Proton.

    Bagi memastikan sasaran kualiti kekal, CFT Peningkatan Kualiti akan berjumpa pada setiap minggu untuk membincangkan isu-isu pelaksanaan dan menepati tarikh akhir. Pencapaian dicatatkan apabila sasaran dicapai agar kekal fokus untuk matlamat akhir. Proton juga akan menghantar juruaudit ke Geely di China untuk membina kemahiran mereka dan membiasakan mereka dengan kualiti GCPA, produk, selepas jualan dan pembekal yang akan memberikan manfaat dalam jangka panjang untuk mencapai dan mengekalkan skor tinggi yang disasarkan oleh syarikat.

    Bagi servis selepas jualan juga mempunyai pelbagai inisiatif bagi menaikkan kedudukan CSI mereka. Pertama, pasukan petugas ditubuhkan untuk mengenalpasti isu harian di pasaran bagi memastikan usaha dilakukan bagi mengurangkan tuntutan waranti. Sehingga Jun 2018, tuntutan waranti ini telah berjaya dikurangkan sebanyak 37%.

    Proton sasar no.1 dalam CSI JD Power 3 tahun lagi, umum inisiatif baharu tingkat kualiti produk dan servis

    Antara usaha lain yang dijalankan Proton bagi mencapai misi ini adalah menaiktaraf cawangan kepada 3S/4S sebagai pusat sehenti untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan, mencipta langkah untuk memahami pelanggan dengan lebih baik dan sentiasa konsisten dengan tahap perkhidmatan kami kepada pelanggan.

    Bahagian servis selepas jualan juga kini dipertingkatkan dengan lapan inisiatif bagi menyediakan pengalaman secara menyeluruh kepada pelanggan. Langkah tersebut adalah melaksanakan temu janji bagi servis secara aktif dengan kadar 80%, aktiviti penambahbaikan SSP (Pengamalan Standard Servis) dan CSI, menetapkan standard penasihat servis untuk memastikan pelanggan mendapat perhatian dan servis yang diperlukan, memaksimakan produktiviti juruteknik, tenaga kerja yang mencukupi selaras dengan kualiti yang diperlukan, mematuhi amalan 4M dan 5S, memastikan kadar isian alat ganti adalah lebih 90% dengan merujuk kepada kuantiti permintaan purata bulanan serta memaklumkan kepada pelanggan tentang status kes Kenderaan Rosak di Jalanan (VOR) setiap hari.

    Dengan kesemua inisiatif yang dilakukan ini, Proton mengumumkan bahawa mereka mensasarkan untuk menjadi jenama nombor satu dalam kajian CSI JD Power dalam masa tiga tahun akan datang.

     
     
  • MSF pusingan ketiga tunjuk aksi perlumbaan sengit

    MSF pusingan ketiga tunjuk aksi perlumbaan sengit

    Hujung minggu lalu telah berlangsungnya pusingan ketiga bagi siri perlumbaan Malaysia Speed Festival (MSF) di Litar Antarabangsa Sepang, dengan menyaksikan penyertaan hampir 190 buah kereta, yang bersamaan hampir 300 orang pelumba. Penonton yang hadir pula mencecah sehingga 3200 orang membuktikan ia mendapat sokongan peminat sukan permotoran negara.

    Melihat kepada salah satu kategori yang dipertandingkan, iaitu Super Street, terdapat seorang pelumba profesional iaitu Boy Wong yang menjadi sasaran semua peserta lain. Walaubagaimanapun, beliau yang memandu Honda Civic EG6 menunjukkan aksi baik sehingga sukar dicabar oleh Raja Imran yang memandu Proton Satria Evo3 dan Azlan Malik yang juga memandu Honda Civic EG6.

    Dalam perlumbaan pertama, Imran dan Azlan saling bertukar-tukar tempat kedua dan ketiga, namun akhirnya Imran terpaksa mengalah kerana berhadapan masalah suspensi, dan sekadar berpuas hati di tempat ketiga. Masuk ke perlumbaan kedua dengan kereta yang sudah dibaiki, Imran cuba memberi saingan sengit kepada Boy tetapi masih gagal kerana Boy lebih laju di selekoh. Apabila perlumbaan berakhir, Imran kekal di tempat kedua dan Azlan mengikuti di belakang.

    MSF pusingan ketiga tunjuk aksi perlumbaan sengit

    Pergi kepada kategori Racecars Open yang melibatkan penyertaan kereta lebih ganas, perhatian banyak tertumpu kepada peserta dari Thailand, Deerakarj Dokchan yang membawa jentera Mitsubishi Evolution 9. Dalam perlumbaan pertama, tiga pelumba tempatan iaitu Azlan Malik, Shazull Hisham dan Faidzil Alang awalnya berjaya duduk di depan Deerakarj namun tidak bertahan lama.

    Belum sampai pun pusingan pertama, Faidzil terpaksa berhenti kerana terdapat masalah pada Honda Civic EG6 Turbo yang dipandu. Tidak lama selepas itu, Shazull juga mengalami masalah kerana penapis minyak tercabut, seterusnya meninggalkan saingan utama kepada Azlan dan Deerakarj. Dalam salah satu pusingan, Deerakarj terbabas disebabkan tumpahan minyak dan memberi peluang kepada Azlan memintas. Namun, dalam pusingan akhir Deerakarj telah dapat memotong kembali Azlan, seterusnya membolot tempat pertama.

    MSF pusingan ketiga tunjuk aksi perlumbaan sengit

    Masuk ke perlumbaan kedua, Faidzil pula menunjukkan taring apabila berjaya duduk paling hadapan selepas beberapa pusingan. Di awal perlumbaan, perebutan tempat kedua berlaku sengit antara Azlan dan Shamir Aizan, sementara Deerakarj mempunyai strategi tersendiri di belakang mereka. Setelah memotong Azlan, Deerakarj kemudiannya mensasarkan Shamir, yang akhirnya terpaksa akur apabila jentera beliau mengalami sedikit masalah. Apabila perlumbaan berakhir, tempat pertama dibolot Faidzil, diikuti Deerakarj dan seterusnya Shamir.

    Kepada anda semua yang mahu menyaksikan sendiri kehebatan pelumba-pelumba ini, pusingan keempat MSF akan berlangsung di Litar Sepang 31 Ogos nanti dan selain kereta, juga akan melibatkan perlumbaan motosikal.

     
     
  • Undang-undang terhadap pemandu mabuk akan diperketatkan sekiranya ada keperluan – Anthony Loke

    Undang-undang terhadap pemandu mabuk akan diperketatkan sekiranya ada keperluan – Anthony Loke

    Pada Ahad lalu, empat lelaki maut dan seorang lagi cedera akibat dirempuh sebuah Toyota Vios yang dipercayai dipandu oleh seorang wanita dalam keadaan mabuk. Kejadian yang berlaku di Tawau, Sabah, itu turut menjadi tular di laman media sosial.

    Susulan daripada kejadian itu, Kementerian Pengangkutan akan memperketatkan undang undang terhadap individu yang memandu dalam keadaan mabuk sekiranya mempunyai keperluan.

    Menurut menterinya Anthony Loke, pihaknya akan melihat keberkesanan undang undang sedia ada untuk menyelesaikan isu terbabit sama ada hukuman sedia ada setimpal atau sebaliknya, laporan Berita Harian.

    “Saya amat kesal, dukacita dan sedih dengan kemalangan terbabit. Saya mengambil berat dan akan mencari jalan sekiranya undang-undang sedia ada tidak cukup ketat, kita akan memperketatkan,” katanya sambil menambah kementerian akan mencari langkah terbaik supaya kejadian sebegitu tidak berulang lagi.

    Sehingga kini, undang undang memperuntukkan individu yang memandu dalam keadaan mabuk boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 45A (1), Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang mengenakan hukuman denda tidak kurang RM1,000 dan tidak lebih RM6,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan.

    Bagi kesalahan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian pula, pesalah boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman denda maksimum RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan.

     
     
  • KLIMS 2018 – pengeluar aksesori turut sertai pameran

    KLIMS 2018 – pengeluar aksesori turut sertai pameran

    Kuala Lumpur International Motor Show (KLIMS) bakal kembali dianjurkan pada 2018 selepas lima tahun ia menyepi, dan menurut penganjurnya Persatuan Automotif Malaysia (MAA) selain syarikat pengeluar kenderaan, pameran kali ini juga akan turut disertai pengeluar aksesori dan penjagaan kereta.

    “Pemain industri automotif Malaysia telah melangkaui pengilang-pengilang kenderaan, pemegang francais dan pengedar. Pasaran akhir termasuk bahagian-bahagian, aksesori dan produk penjagaan terdiri daripada sektor utama di Malaysia. Pengunjung boleh mengetahui pelbagai jenis produk automotif termasuk penambahbaikan dan pengubahsuaian kenderaan, serta melihat ke arah teknologi masa depan dan penggayaan kereta, “kata presiden MAA, Datuk Aishah Ahmad.

    Penganjur juga mendakwa pasaran aksesori kereta global juga sedang didorong oleh minat yang semakin meningkat dalam pengubahsuaian, dan permintaan itu telah merebak di negara-negara ASEAN khususnya – terutamanya di kalangan generasi muda. Pengeluar utama dari Jepun, Amerika Utara dan Eropah dikatakan menunjukkan minat yang lebih tinggi di rantau ini, dan akan mempamerkan barangan mereka di KLIMS untuk meningkatkan jualan dan bahagian pasaran.

    Peserta pameran biasa termasuk 3M juga akan turut mengambil bahagian pada tahun ini dan akan mempamerkan produk solusi untuk keselamatan, estetika, prestasi dan tenaga. Diskaun untuk produk seperti 3M AutoFilm, 3M Car Wrap dan 3M Car Care Solutions dijangka akan ditawarkan.

    KLIMS 2018 – pengeluar aksesori turut sertai pameran

    “3M merupakan syarikat sains global yang tak pernah berhenti dalam penciptaan. Kami adalah penyokong kuat bagi keselamatan kenderaan dan jalan raya. Teknologi kami juga membantu meningkatkan estetika kenderaan, dan membolehkan pemilik kenderaan untuk menyerlahkan kreativiti dan sesuai dengan produk inovatif kami.

    “Tahun ini, kami mahu mempamerkan kepakaran 3M yang lebih mendalam di KLIMS ’18 dan kami mensasarkan pelanggan yang teruja dengan solusi inovatif kami,” ujar pengurus kanan 3M Malaysia untuk kumpulan perniagaan keselamatan dan grafik GT Lim.

    Juga bakal mengambil bahagian pada tahun ini ialah Kakimotor, yang akan mempromosikan produk seperti kitZerONe coilover dan kit brek. “Penyertaan kami dalam KLIMS adalah buat kali yang kedua dan kami menggunakan platform ini untuk memberikan kesedaran berhubung produk syarikat kami. Kami dapati KLIMS mampu menjadi medan untuk menyampaikan maklumat dan penjelasan kepada para pelanggan mengenai produk kami,” ujar pengurus Kakimotor Alex Lim.

    Lain-lain peserta pameran yang mengambil bahagian termasuk V-Kool, OSRAM, PG Perma Glass, PG Pro QPlus, Motul, Elite Looks, Be Pure, GetF1, NGK Spark Plugs, NTK Oxygen Sensors, STP, Armor All, Kaki Motor, Ravenol dan Ottoman. Acara ini akan berlangsung dari 23 November hingga 2 Disember di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC).

     
     
  • Bugatti Divo baharu muncul 24 Ogos ini – 40 unit, €5j

    Bugatti Divo baharu muncul 24 Ogos ini – 40 unit, €5j

    Bugatti memang agresif memperkenalkan jentera terpantas, termahal dan… ekstrem! Selepas model Chiron Sport yang baru saja dipertontonkan di Malaysia pada minggu lalu, ini ada satu lagi jentera yang lebih superb yang bakal diperkenalkan di peringkat global pada 24 Ogos ini di California.

    Model baharu ini dinamakan sempena dengan Albert Dino (gambar di bawah), pelumba Perancis yang memenangi perlumbaan ternama Targa Florio di litar pergunungan di Sicily untuk Bugatti sebanyak dua kali pada akhir 1920s. Bugatti berkata Divo akan “menjadi cahaya dan semangat yang memberikan kuasa untuk downforce dan g-force“.

    Hypercar ini mempunyai pengendalian yang lebih menyerlah di samping karakter yang lebih berdinamik dengan bahasa rekaan yang utuh, tambah syarikat Perancis itu.

    “Bersama Divo, kami mahukan orang di seluruh dunia ini menikmati keseronokan. Dengan projek ini, pasukan Bugatti memiliki peluang untuk menyerlahkan DNA jenama dengan lebih tangkas, pengendalian lebih lincah dan signifikan dalam cara yang berorientasikan prestasi,” ujar presiden Bugatti Stephan Winkelmann.

    Dengan Divo, Bugatti sedang menghidupkan kembali tradisi binaan dan pada dekad pertama dalam sejarahnya, jenama mewah Perancis ini mempunyai kejayaan besar dengan produk yang direka sendiri di bawah pimpinan Jean Bugatti dan dipasang pada casis sedia ada.

    Menurut Autocar, Divo dijangka menerima lonjakan kuasa 1,500 PS dan tork 1,600 Nm hasil dari enjin yang sama dengan Chiron iaitu 8.0 liter quad-turbo W16, tetapi dengan pengurangan berat badan, menambah baik downforce bagi bodywork, meningkatkan suspensi dan beberapa lagi perubahan untuk menaiktaraf pengendalian.

    Divo hanya diproduksi sebanyak 40 unit sahaja. Harganya sekiter lima juta euro atau RM23.6 juta. Lebih mahal dari Chiron Sport yang berharga RM12.5 juta.

    GALERI: Bugatti Chiron Sport

     
     
  • Beberapa jalan di Seremban ditutup 12-14 Julai ini

    Beberapa jalan di Seremban ditutup 12-14 Julai ini

    Ketua Polis Daerah Seremban ACP Thiew Hock Poh telah memaklumkan beberapa jalan utama di sekitar bandar tersebut akan ditutup pada 12 hingga 14 Julai ini, iaitu dari jam 7 pagi hingga 12 tengahari. Penutupan jalan tersebut bertujuan untuk sesi raptai dan perbarisan sambutan Hari Anggota Bomba Sedunia Peringkat Kebangsaan 2018 di padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS).

    Menurut laporan Bernama, jalan utama yang terlibat ialah Jalan Yam Tuan, Jalan Berhala (Kuil), Jalan Stesen (Lorong Sebelah), Jalan Datuk Sheikh Ahmad, Jalan Lim Kee Siong, Jalan Datuk Hamzah dan Lorong Khalsa.

    Sepanjang penutupan itu, pengguna jalan raya yang ingin memasuki bandar Seremban pada tarikh tersebut dinasihatkan menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Tuanku Antah, Jalan Sungai Ujong, Jalan Datuk Bandar Tunggal, Jalan Tun Dr Ismail, Jalan Tunku Hassan, Jalan Datuk Malek, Jalan Leftenan Adnan, Jalan Kebun Bunga, Jalan Haji Said dan Jalan Zaaba.

    Manakala pilihan alternatif bagi jalan pinggiran Bandar Seremban adalah seperti Jalan Lingkaran Tengah, Jalan Seremban-Tampin, Jalan Seremban-Kuala Pilah, Jalan Pantai-Jelebu dan Jalan Rasah.

    Bagi pengguna jalan raya yang dari arah Jelebu, Kuala Pilah, Rembau, Tampin, Melaka dan bertujuan untuk menghala ke Kuala Lumpur atau ke utara boleh menggunakan laluan alternatif di Lebuhraya LEKAS atau Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

    Selain itu, pengguna jalan raya dari arah Nilai, Mantin, Sepang, Kajang dan Kuala Lumpur untuk menuju ke arah Melaka atau ke selatan boleh menggunakan kedua-dua lebuh raya berkenaan.

     
     
  • BMW Concept X7 iPerformance tiba di Malaysia – dipamer di Bangsar Shopping Centre dari 18-22 Julai

    BMW Concept X7 iPerformance tiba di Malaysia – dipamer di Bangsar Shopping Centre dari 18-22 Julai

    BMW Malaysia bakal mempamerkan model Concept X7 iPerformance di Bangsar Shopping Centre dari 18-22 Julai ini, selepas beberapa bulan Concept 8 Series dipertontonkan di BMW Luxury Excellence Pavilion.

    Pertama kali diperkenalkan pada September tahun lalu, Concept X7 merupakan SUV yang diposisikan di atas X5. Versi produksi bagi X7 (juga dikenali secara dalaman sebagai G07) akan didedahkan tahun ini, dan pengeluar kereta Jerman ini telah bersedia untuk mengeluarkannya menerusi kilang mereka di Spartanburg, Carolina Selatan.

    Dalam bentuk konsep, SUV ini kelihata besar, dengan menampilkan gril ‘kidney’ yang disambungkan dengan lampu utama laser bersama signatur X biru (juga terdapat pada Concept 8 Series). Malah kelihatan Air Breathers pada bahagian sisi, lampu belakang LED berbentuk-J dan roda 23-inci.

    Concept X7 bersaiz besar ini turut memberikan keluasan ruang dalaman dengan susunan tempat duduk 2-2-2. Dengan campuran material premium, pencahayaan ambien, paparan penuh dan beberapa poin untuk pencahayaan semulajadi yang membantu menambahkan lagi suasana lebih mewah yang disasarkan.

    Mengikut butiran awal, X7 sebenar yang ditetapkan untuk jualan akan memiliki dimensi 5,100 mm panjang, 2,020 mm lebar, 1,800 mm tinggi dan jarak roda 3,010 mm. Ia akan menggunakan platform CLAR (Cluster Architecture) dengan pilihan enjin enam- dan lapan-silinder seperti varian M50d, xDrive40i, xDrive50i and xDrive30d.

     
     
  • Kia Stinger kini dilancarkan di Malaysia – 3.3L V6 GT dan 2.0L GT-Line, harga bermula dari RM239,888

    Kia Stinger kini dilancarkan di Malaysia – 3.3L V6 GT dan 2.0L GT-Line, harga bermula dari RM239,888

    Setelah dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia penghujung tahun lalu, kini Kia Stinger dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan. Bagi Kia, ini bukan sembarangan model. Stinger dihasilkan untuk membawa saingan pengeluar kenderaan Korea Selatan itu di dalam segmen kenderaan sedan sport – dengan memertaruhkan estetika rekaan serta prestasi yang belum pernah dilihat dalam barisan model Kia sebelum ini.

    Dari segi reka bentuk luaran, Kia Stinger tampil menawan dengan pendekatan fastback dan gran turismo yang agresif dan sporty sekali gus. Garis bumbung yang lebih rendah di bahagian belakang, dengan baris bahu yang membuatkannya tampil lebih lebar menyumbang kepada ketegapan atau stance pada model ini.

    Kia Stinger kini dilancarkan di Malaysia – 3.3L V6 GT dan 2.0L GT-Line, harga bermula dari RM239,888

    Rekaan bahagian belakang juga lebih lebar. Boleh bayangkan model-model pesaing lain untuk mendapatkan gambaran lebih jelas bagi segmen ini, sebagai contoh Audi A5 Sportback. Bahagian depan Stinger diberikan identiti tersendiri melalui penggunaan gril “tiger nose”, dilengkapkan juga oleh penggunaan lampu LED sepenuhnya dengan perincian hitam untuk menjadikan penampilannya lebih premium.

    Ada dua varian yang akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia; Kia Stinger 2.0L GT-Line dan 3.3L V6 GT. Bagi model paling asas, ia dilengkapi enjin 2.0 liter Theta II T-GDi empat-silinder dengan turbo twin-scroll yang menghasilkan sebanyak 251 hp pada 6,200 rpm dengan 353 Nm tork dari 1,400-4,000 rpm. Ini memberikan prestasi pecutan 0-100 km/j dalam masa 6 saat.

    Bagi model dengan prestasi yang lebih mantap pula, enjin yang digunakan ialah 3.3L V6 Lambda T-GDi dengan turbo berkembar, menghasilkan sebanyak 365 hp pada 6,000 rpm dan 510 Nm tork dari 1,300 rpm-4,500 Nm. Daya pecutan 0-100 km/j pula hanya dalam masa 4.9 saat.

    Harga bagi varian Kia Stinger 2.0L GT-Line ialah RM239,888 manakala bagi varian 3.3L V6 GT pula ialah RM309,888. Semua harga ini merupakan harga atas jalan, tidak termasuk insurans.

    Bagi sistem transmisi pula, Stinger dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik yang direka oleh Kia sendiri. Model ini menggunakan sistem pacuan roda belakang. Kotak gear ini juga menampilkan buat pertama kali penggunaan pengubah tork Centrifugal Pendulum Absorber (CPA) pada model 2.0L GT-Line bagi mengurangkan gegaran torsional pada sistem pemacu – sebuah teknologi yang biasanya digunakan dalam industri penerbangan serta aplikasi enjin perlumbaan.

    Dimensi keseluruhan Kia Stinger adalah seperti berikut; jarak antara roda yang panjang dengan 2,905 mm, panjang dengan jarak 4,830 mm manakala kelebarannya pula ialah 1,870 mm. Kapasiti ruang barangan yang tersedia pula ialah 406 liter – paling luas dalam kelas yang sama.

    Ruang dalamannya tampil mewah dan minimal dalam masa yang sama. Dengan ilham dari penggayaan kapal terbang, kemasan berkualiti serta warna menonjol digunakan untuk menyuntik elemen moden. Bagi model paling tinggi 3.3L V6, material kulit Nappa digunakan untuk membalut tempat duduknya, sementara untuk model asas 2.0L pula menggunakan material kulit biasa. Kedua-dua model dilengkapi dengan kerusi 8-larasan untuk pemandu, dengan sokongan lamdar 4-larasan mekanikal.

    Kia Stinger kini dilancarkan di Malaysia – 3.3L V6 GT dan 2.0L GT-Line, harga bermula dari RM239,888

    Rekaan corong pendingn hawa juga diilhamkan dari rekaan yang terdapat pada kapal terbang, bulat dengan kemasan krom satin untuk memberikan sentuhan halus yang menjadikannya lebih peribadi. Begitu juga dengan pancahayaan lembut yang menyambut penumbang ke dalam kabin, semuanya bertujuan untuk memberikan sentuhan yang lebih terperinci.

    Paparan skrin TFT LCD 7-inci yang jelas terletak ditengah kluster meter pemandu, memaparkan maklumat pemanduan seperti G-Force ketika diselekoh, suhu minyak enjin, setting untuk pemandu dan lain-lain. Bagi sistem bunyi, Stinger menggunakan sistem Harman Kardon dengan 15-pembesar suara.

    Casis Kia Stinger menggunakan 55% keluli kukuh termaju. Suspensi depanny pula menggunakan jenis MacPherson dengan diameter penyerap hentak yang besar, bearing roda kukuh serta strut brace diperbuat daripada aluminium. Di belakang pula ia menggunakan suspensi multi-link yang dipasang pada sub-kerangka belakang yang diperkukuh untuk mendapatkan ketahanan yang diperlukan.

    Model ini mewarisi sebahagian rekaannya dari kereta konsep GT, dan dilengkapkan dengan ciri Vehicle Dynamic Control (VDC) yang turut menampilkan sistem Dynamic Torque Vectoring Control. Sistem ini memantau input dari pemandu dan keadaan jalan sebelum mengagihkan kuasa secara automatik dan masa-nyata dalam membantu pemandu mengawal kenderaan dengan yakin – juga membantu mengurangkan risiko understeer.

    Lain-lain ciri penting dan menarik yang melengkapi model ini ialah Electronically-Controlled Suspension (ECS) dan Rack-mounted Motor-Driven Power Steering (R-MDPS). Selain itu, ciri-ciri maju yang biasa ditawarkan juga tidak ketinggalan, seperti Hill-Start Assist Control (HAC), Antilock Braking System (ABS), Traction Control System (TCS) dan Cornering Brake Control (CBC), Blind-spot Collision Warning (BCW), Rear Cross-Traffic Collision Warning dan tujuh beg udara. Kia Stinger menerima penarafan Euro NCAP 5-bintang.

    Model asas 2.0L menggunakan tayar 225/45R-18 dengan rim 18-inci semua musim, manakala versi 3.3L V6 dilengkapi dengan tayar Michelin Pilot Sport 4 bersaiz 225/40R-19 di depan dan 255/35R-19 di belakang yang direka khusus untuk Stinger. Breka pula kedua-duanya menggunakan cakera brek Brembo empat-piston bagi brek depan (cakera 13.8-inci) serta dua-piston bagi brek belakang (cakera 13.4-inci) – dengan angkup aluminum sepenuhnya.

    Lain-lain ciri yang ada pada Stinger adalah seperti Head-Up Display (HUD) berwarna, Dynamic Bending Light (DBL), Around View (AVM) dengan Driving Rear-View (DRM) Monitors, Integrated Memory System (IMS) untuk pemandu, pengecas telefon tanpa wayar dan cermin sisi elektrokromik untuk mengawal silau lampu kenderaan lain.

    Kia Stinger ini ditawarkan di dalam empat plihan warna menarik, terdiri daripada HiChroma Red, Deep Chroma Blue, Panthera Metal dan Aurora Black. Kemasan dalaman model 3.3L V6 hadir dalam pakej merah, sementara model 2.0L GT-Line dalam warna hitam.

    Untuk maklumat lanjut berkaitan Kia Stinger, layari laman web CarBase.my.

    Kia Stinger GT

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025