Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ bimbang masih ramai anggap ambil lesen remeh

    JPJ bimbang masih ramai anggap ambil lesen remeh

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Perak menyuarakan kebimbangan terhadap stigma segelintir masyarakat yang menganggap mengambil lesen memandu adalah remeh dan tidak penting.

    Menurut Pengarahnya Mohd Zawawi Zakaria kepada Sinar Harian, kesedaran orang ramai khususnya penunggang motosikal bagi keperluan memiliki lesen adalah masih rendah.

    Katanya, berdasarkan operasi khas motosikal yang dijalankan ketika Tahun Baharu Cina yang lalu, kesalahan paling banyak dikesan adalah tidak memiliki lesen dan tidak mempunyai cukai jalan.

    “Saya pun tak pasti kenapa (meningkat), mungkin lebih kepada kesedaran. Sekarang pun di kalangan pelajar sekolah kalau kita tahan pun macam tak ada rasa bersalah walaupun tahu tak ada lesen. Seolah-olah kepentingan untuk ada lesen itu macam perkara remeh. Begitu juga yang melanggar lampu isyarat. Dah tak ikut warna bila tengok tak ada kereta kiri kanan terus jalan,” katanya.

    Mengenai Program MyPrihatin JPJ, beliau berkata, ia program kerjasama antara JPJ dan institut memandu sebagai salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

    “Melalui program ini juga kita mahu mengubah persepsi masyarakat supaya tidak takut dengan JPJ, malah kami akan tetap meneruskan operasi malah meletakkan pegawai dan anggota berpakaian biasa di lokasi tertentu,” ujarnya lagi.

     
     
  • Mahindra Roxor dilancar di AS – enjin 2.5L turbo diesel

    Mahindra Roxor dilancar di AS – enjin 2.5L turbo diesel

    Di negara asal mereka iaitu India, Mahindra sememangnya terkenal dengan penghasilan kenderaan lasak. Kini, syarikat itu telah membawa satu lagi produk terbaru mereka ke pasaran Amerika Syarikat, iaitu model Roxor. Istimewanya, model ini cuma dipasang dan akan dijual di Amerika Syarikat sahaja.

    Seperti yang boleh dilihat, kenderaan lasak yang hanya menggunakan bumbung kain ini mempunyai rekaan yang menyerupai model Jeep CJ-7 dan ini memang sengaja dilakukan oleh Mahindra bagi menyatakan mereka juga mempunyai sejarah dengan Jeep, di mana 70 tahun dulu, mereka adalah pemasang diiktiraf untuk kenderaan Jeep Willy.

    Walaubagaimanapun, bagi mengelakkan masalah bila tiba di pasaran Amerika Syarikat, Mahindra telah mengubah beberapa bahagian termasuk gril hadapannya. Selain daripada itu, Roxor ini menggunakan rekaan sebuah kenderaan yang ringkas – hanya dua tempat duduk, tiada bumbung keras atau pintu dan bahagian dalam yang asas.

    Mahindra Roxor dilancar di AS – enjin 2.5L turbo diesel

    Apa yang lebih mahu diketengahkan pada model ini adalah kemampuannya di atas jalan lasak, dan disebabkan itu, Mahindra menggunakan suspensi jenis leaf spring di depan dan belakang, kerangka besi, gandar tegar, transfer case dua kelajuan, jarak dari tanah 228.6 mm dan rim 16 inci dengan tayar tebal. Laju maksimumnya pula cuma 72 km/j.

    Kenderaan ini menawarkan pemanduan yang berkuasa di atas jalan offroad, kerana badannya kecil, tetapi digerakkan enjin empat silinder 2.5 liter turbo diesel dengan kuasa maksimum 62 hp dan 195 Nm tork. Berat Roxor hanya 1,376 kg dan ia mampu menarik berat sehingga 1,583 kg.

    Harga jualan Mahindra Roxor di Amerika Syarikat masih lagi belum disiarkan, tetapi dinyatakan tidak boleh dibawa atas jalan biasa. Penawarannya adalah untuk menjadi alternatif kepada kenderaan jenis UTV yang bersaiz dan menggunakan enjin lebih kecil, semetara Roxor mempunyai kelebihan dalam dua aspek itu.

     
     
  • BMW perkenal kunci digital – guna telefon pintar Samsung menerusi Near Field Communication (NFC)

    BMW perkenal kunci digital – guna telefon pintar Samsung menerusi <em>Near Field Communication</em> (NFC)

    Pada 2015, BMW telah membuat kejutan dalam industri automotif dengan memperkenalkan Display Key iaitu kunci yang turut mempunyai skrin kawalan fungsi. Tetapi sesuatu yang lebih menarik didedahkan oleh pembuat automotif dari Jerman ini pada acara Mobile World Congress (MWC) yang berlangsung Barcelona – BMW kini memperkenalkan pula sistem Digital Key iaitu kunci digital dengan hanya menggunakan telefon pintar.

    Sistem baharu ini akan muncul dipasaran pada Julai 2018. Dengan menggunakan Near Field Communication (NFC) dan untuk peringkat awal hanya boleh digunakan pada semua telefon pintar Samsung, pengguna boleh mengunci/membuka kunci kereta mereka dengan hanya menggunakan telefon, selain boleh dicas tanpa wayar menerusi pad pengecas Qi.

    Pemilik kenderaan BMW yang menggunakan sistem ini juga boleh berkongsi ‘kunci’ digital ini dengan lima pengguna lain yang dipilih, bagi membolehkan mereka menggunakan kereta tersebut. Fungsi kunci ini dibuat menerusi aplikasi BMW Connected, dan jenama tersebut berjanji lebih banyak ciri dan servis akan ditawarkan pada aplikasi tersebut untuk perisian yang dikemaskini kelak. Antara ciri lain yang berkemungkinan termasuk Remote Control Parking, yang kini sudahpun disertakan pada sistem Display Key sedia ada.

    BMW perkenal kunci digital – guna telefon pintar Samsung menerusi <em>Near Field Communication</em> (NFC)

    Pada acara berkenaan, BMW turut menunjukkan sebuah i3 yang dilengkapi dengan sistem pemanduan sendiri dengan kebolehan Tahap 5 – ia dapat beroperasi sepenuhnya tanpa pemandu. Kebolehan BMW i3 ini diprebiu dengan menunjukkan ia boleh datang sendiri ke pengguna pada tempat yang telah ditetapkan, kemudian menyapa mereka menggunakan paparan pada bahagian luar. Pengguna perlu menggunakan telefon pintar mereka untuk tujuan pengesahan.

    Apabila penguna telah duduk di tempat duduk belakang, mereka boleh memberi arahan perjalanan menggunakan sistem hiburan pada bahagian tersebut, manakala kereta akan bergerak tanpa pemandu pada tempat duduk hadapan. Selain itu, sistem pada bahagian belakang berkenaan juga membolehkan pengguna mengawal fungsi lain seperti hon, lampu tinggi, kunci pintu, serta kereta tersebut mampu untuk memarkir sendiri setelah tiba di destinasi.

    BMW turut menunjukkan fungsi tambahan pada kad eSIM sedia ada. Menerusi tingkat taraf tersebut, ia bukan sahaja boleh menukar penyedia talian, malah membolehkan servis BMW Connected Drive digunakan pada negara-negara lain. Kad kedua pula membolehkan kereta dihubungkan menerusi kontrak sistem mudah alih sedia ada pemiliknya, jadi pengguna boleh membuat panggilan menerusi aerial kereta bagi mendapatkan talian yang lebih baik.

    BMW perkenal kunci digital – guna telefon pintar Samsung menerusi <em>Near Field Communication</em> (NFC)

    Fungsi ini juga membolehkan kereta berkenaan menggunakan data pada talian komunikasi pengguna untuk dijadikan WiFi Hotspot, dan juga servis-servis lain yang ditawarkan pada kontrak.

    Turut diumumkan ketika acara tersebut, BMW akan menambah ciri baharu kepada sistem komunikasi kereta-ke-infrastruktur atau Cooperative Intelligent Transport Systems (C-ITS). Tambahan itu termasuk informasi tentang kerja-kerja pembaikan jalan, permintaan untuk mengosongkan kawasan pada jalan untuk kenderaan kecemasan, dan amaran berkenaan had kelajuan dinamik.

    BMW turut sedang membangunkan teknologi Selular Kereta-ke-Semua perkara (C-VTX) membolehkan komunikasi kereta-ke-kereta, iaitu teknologi penting untuk visi perhubungan dan kerjasama pemanduan sendiri BMW.

     
     
  • Nissan Terra – SUV asas dari Navara terdedah di China

    Nissan Terra – SUV asas dari Navara terdedah di China

    Sebelum ini, Nissan sudah mengeluarkan beberapa gambar teaser untuk SUV tujuh tempat duduk yang menggunakan asas daripada trak pikap Navara NP300. Kali ini, beberapa gambar SUV tersebut di atas jalan di China tersebar, dan dijumpai lebih awal sebelum penampilan rasminya di Beijing Auto Show bulan hadapan.

    Disebabkan kita sudah melihat beberapa gambar sebelum ini, tiada yang baru pada gambar ini. Tetapi, melaluinya kita dapat melihat secara langsung bahagian dalam SUV ini, dengan konsol tengah yang membonjol dan unit kawalan sistem hiburannya. Kami juga dapat melihat tempat duduk kulit dengan jahitan kontras, kemasan kayu berkilat serta beberapa bahagian panel warna perak biasa. Turut boleh dilihat adalah bahagian kargo apabila tempat duduk baris ketiga dilipat rata.

    Laman web China yang menyiarkan gambar ini turut menyatakan beberapa perincian. Munurut mereka, Terra akan dikuasakan oleh enjin 2.5 liter NA di China, dengan kuasa sebanyak 181 hp dan 251 Nm tork. Enjin petrol ini boleh dipadankan bersama transmisi manual enam kelajuan atau automatik yang menggunakan torque converter.

    Nissan Terra – SUV asas dari Navara terdedah di China

    Turut dikongsi adalah dimensi Terra. Ia mencatat 4,882 mm panjang dan 1,850 mm lebar, sekaligus menjadikan ia 87 mm lebih panjang dan kurang 5 mm pada lebarnya berbanding pesaing terdekat, Toyota Fortuner. Tinggi Terra 1,835 mm menjadikan ia sama dengan Fortuner, tetapi jarak roda 2,850 mm adalah 105 mm lebih panjang. Jarak kelegaan dari tanah pula adalah 220 mm.

    Nissan Terra akan dibuat dan juga dijual di Thailand, selain dijangka dilancarkan di sana pada separuh kedua tahun ini. Kita juga boleh menjangka negara ASEAN akan menerima Terra yang dikuasakan oleh enjin diesel turbo 2.5 liter daripada Navara tetapi Nissan juga boleh menyediakannya dengan enjin diesel 2.3 liter twin turbo yang digunakan pada model di negara barat.

     
     
  • Tan Chong rancang lancar Nissan Kicks baharu di Malaysia, bersama Serena S-Hybrid dan Leaf – laporan

    Tan Chong rancang lancar Nissan Kicks baharu di Malaysia, bersama Serena S-Hybrid dan Leaf – laporan

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) rancang untuk melancarkan beberapa model baharu pada separuh pertama 2018 dan 2019, dan salah satunya ialah Nissan Kicks. Crossover segmen-B itu bakal menjadi salah satu daripada model yang dijadualkan bakal diperkenalkan di Malaysia, menurut laporan The Edge.

    Laporan tersebut walaubagaiman pun tidak memaklumkan jangkaan pelancaran bagi Kicks, namun ia bakal memberikan persaingan sengit buat Honda HR-V, Mazda CX-3 dan akan datang Toyota C-HR. Dua lagi model yang bakal dilancarkan di negara ini ialah Nissan Leaf yang telah disahkan bakal tiba di pasaran tempatan pada suku ke-empat tahun ini, serta Serena Hybrid generasi kelima baharu, tidak lama lagi. MPV tersebut juga berpotensi untuk memperkenalkan teknologi Nissan e-Power di sini, namun rasanya versi itu lama lagi akan sampai.

    Model-model baharu tersebut dilihat mampu menambah barisan sedia ada model ETCM, setelah beberapa tahun syarikat ini tidak memperkenalkan model baharu Nissan di pasaran tempatan.

    Berdasarkan data daripada laporan analisis, syarikat tersebut dijangka akan mengekalkan jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi perkongsian pasaran di Malaysia sekitar 5% (7% pada 2016). Jualan bagi operasi kumpulan tempatan Tan Chong bagi tahun kewangan 2017 menyusut sebanyak 32% berbanding tahun sebelumnya, ke 28,640 unit.

    Secara individual, jualan Nissan menurun sebanyak 27,154 unit (-33%), UD Trucks ke 865 unit (-11%), Renault ke 592 unit (-1%) dan Infiniti ke 29 unit (-75%).

    Kejatuhan prestasi tempatan telah disejajarkan dengan prestasi yang lebih baik di Indochina (Myanmar, Thailand, Laos, Cambodia dan Vietnam), yang menunjukkan peningkatan jualan kenderaan sebanyak 34% hingga 6,913 unit.

    Pasaran menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 14% ke 5,489 unit, dengan perkembangan yang banyak datangnya dari Laos (dengan 384 unit, +47%), Kemboja dengan 219 unit (lebih 100%) dan Myanmar dengan 821 unit (kurang daripada 100%). Ia berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap model Nissan Sunny dan X-Trail.

    Laporan tersebut turut menambah syarikat berkenaan sedang mensasarkan untuk mengembangkan lagi operasi di Indochina, hasil dari perkembangan pasaran yang positif dan juga sumbangan pendapatan yang tinggi dari rantau.

     
     
  • Mercedes-AMG ‘GT4’ empat-pintu – foto rasmi bocor

    Mercedes-AMG ‘GT4’ empat-pintu – foto rasmi bocor

    Sekeping imej Mercedes-AMG ‘GT4’ empat-pintu sedang bertebaran menerusi atas talian, dan imej resolusi rendah yang muncul itu nampak gayanya sahih. Kereta produksi dijangka akan diperkenalkan di Geneva Motor Show 2018 minggu ini.

    Nampaknya kereta di dalam gambar ini sepadan dengan beberapa teaser rasmi dan spyshot yang pernah kami lihat sebelum ini Walau bagaimana pun, dibandingkan dengan teaser rasmi terkini dari AMG di bawah, kita akan dapat lihat perbezaannya, di mana model yang diatas dari versi prestasi atau mungkin “Edition 1”. Ia telah ditampilkan dengan wing belakang, rim tujuh jejari-berkembar (berbanding pelbagai-jejari) dan flic tambahan pada bampar hadapan.

    Menurut Autocar, Mercedes-AMG empat-pintu yang akan dilancarkan dengan enjin 4.0 liter turbo-berkembar V8 (612 PS/850 Nm), terkini dari E63S 4Matic, bersama kotak gear automatik sembilan-kelajuan dan sistem pacuan empat-roda.

    Majalah UK itu turut menambah sumber rasmi Mercedes berkata mereka mempunyai perancangan untuk penjana kuasa hibrid dari tahun 2019, dan spekulasi menyatakan e-motor terbabit mampu mencapai 800 hp jika ditampilkan pada model R, seperti GT R coupe. Malah model tertinggi juga akan memberi jarak 50 km bagi motor elektrik. Bukan itu sahaja, varian hibrid dengan kuasa yang sedikit rendah juga boleh dibangunkan, bergantung pada size bateri.

    Sumber tersebut turut melaporkan penjana kuasa hibrid terdiri daripada enjin AMG 4.0 liter turbo-berkembar V8 dan e-motor yang bersambung dengan gandar belakang. Sementara enjin menyalurkan kuasa ke hadapan dan belakang, motor pula membekalkan outpun pada roda belakang. Sistem ini juga bersifat modular dan mungkin boleh dipadankan pada model AMG GT dua-pintu akan datang.

    Apa pun kena nantikan perkembangan selanjutnya bagi persaing Porsche Panamera ini.

     
     
  • Williams FW-EVX – platform baru kenderaan elektrik

    Williams FW-EVX – platform baru kenderaan elektrik

    Williams Adavanced Engineering telah mendedahkan perincian untuk FW-EVX, iaitu satu platform baru kenderaan elektrik serba ringan yang akan dipertontonkan semasa acara JEC World 2018 di Paris. Platform ini pertama kali ditunjuk dalam satu acara tahun lepas, dan diterapkan dengan teknologi yang ditimba oleh syarikat itu dalam perlumbaan Formula One dan Formula E.

    Menurut Williams, platform FW-EVX ini sedia mengikut skala yang diperlukan untuk kenderaan segmen C dan D, dan melibatkan inovasi maju sistem penyejukan, komponen serba ringan dan proses pemasangan.

    Pada aspek penyejukan, modul tengah komposit karbon dan lapisan aluminium pada platform FW-EVX juga mempunyai rel tepi casis yang boleh menyampaikan udara sejuk ke bahagian pek bateri, serta bertindak sebagai zon remuk untuk menyerap hentakan sekiranya berlaku perlanggaran.

    Udara ini dikumpul melalui salur yang terdapat pada bahagian hadapan kenderaan, yang kemudiannya melalui bahagian radiator, sebelum keluar di belakang melalui diffuser aerodinamik. Cara ini bukan sahaja dapat meningkatkan daya seretan aerodinamik, tetapi juga dapat memberikan daya tolakan ke bawah tambahan kepada kenderaan.

    Demi meningkatkan lagi kecekapan sistem penyejukan ini, modul bateri FW-EVX menggunakan tapak plet aluminium yang dilekatkan pada lantai konduktif haba, sekaligus bertindak sebagai penyerap haba. “Tahap tinggi integrasi menghasilkan kitaran berpusing, di mana setiap peningkatan pada berat dan fungsi kenderaan membawa kepada manfaat tambahan,” kata pengarah teknikal Williams Advanced Engineering, Paul McNamara.

    Untuk bahagian bateri itu sendiri, Williams telah membangunkan satu cara baru untuk menghasilkan engsel dalam satu bentuk komposit, yang dapat membenarkan struktur 3D dibina daripada bahan 2D, kemudiannya dilipat apabila perlu. Mereka memanggilnya sebagai proses 223, dan digunakan untuk pembinaan modul bateri yang rendah dan nipis.

    Williams FW-EVX – platform baru kenderaan elektrik

    Platform FW-EVX juga menggunakan bahan komposit ringan untuk mengurangkan beratnya, seperti pada wishbone suspensi – menggunakan 80% komposit karbon kitar semula, yang 40% lebih ringan berbanding aluminium forged, dan tidak mempunyai kos pengeluaran yang jauh berbeza.

    Bagi digunakan pada kenderaan segmen C biasa, platform ini boleh mencatat berat cuma 955 kg, dan ini termasuk semua suspensi wishbone, sehingga empat motor elektrik (satu di setiap roda), transmisi 4WD, sistem stereng dan pek bateri lithium ion 80 kWh seberat 350 kg.

    Williams mensasarkan dua set pelanggan untuk FW-EVX iaitu pengeluar kenderaan yang mencari platform kenderaan elektrik generasi seterusnya yang dapat memberikan banyak kelebihan pada rekaan bersepadu, dan mereka yang mencari teknologi bahagian spesifik tertentu untuk platform mereka sendiri.

     
     
  • BMW M5 F90 sah akan masuk ke M’sia tidak lama lagi

    BMW Malaysia telah menyiarkan video teaser model M5 generasi F90 terbaharu di laman Facebook rasmi mereka, menandakan sedan besar berprestasi tinggi berkenaan akan mendarat di pasaran Malaysia tidak lama lagi. M5 baharu ini telah didedahkan untuk peringkat global pada Ogos tahun lalu dan sudahpun tiba di Thai, namun untuk pasaran Malaysia, tarikh sebenar pelancarannya masih lagi belum diumumkan.

    M5 F90 ini dijana enjin 4.4 liter V8 dengan suapan dua pengecas turbo membolehkan ia menghasilkan kuasa 600 hp/750 Nm. Enjin berkenaan dipadankan dengan kotak gear ZF lapan-kelajuan automatik dan dihubungkan pada gandar belakang yang dilengkapi unit differential aktif BMW M. Model ini juga merupakan M5 pertama dalam sejarah yang menerima sistem pacuan semua roda dengan pemadanan sistem M xDrive.

    Namun sistem berkenaan masih memberikan karekter sebenar sebuah M5 sejati kerana ia boleh memberikan tork hanya pada gandar belakang untuk melakukan aksi drift – kebolehan tersebut terbukti apabila model ini baharu sahaja mencatatkan rekod drift paling jauh di dunia.

    Gabungan kesemua sistem ni juga membolehkan BMW M5 F90 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.4 saat. Ia juga mampu mencatatkan kelajuan maksima yang dihadkan pada 250 km/j. Jika pembeli memilih pakej pilihan M Driver, ‘hijab’ kelajuan maksima berkenaan dibuka bagi membolehkan ia mencapai 305 km/j.

    Dengan kehadiran M5 ini ke pasaran Malaysia kelak, Mercedes-AMG E 63 S 4Matic+ W213 yang telah dilancarkan oleh Mercedes-Benz Malaysia tahun lalu bakal bertemu lawan sebenarnya. Harga bagi M5 ini masih lagi belum diketahui, tetapi lawan senegaranya itu dijual pada harga RM998,888.

    GALERI: BMW M5 F90

     
     
  • Yamaha Tenere 700 World Raid Edition – prototaip buat penampilan, seperti sudah bersedia untuk produksi

    Yamaha Tenere 700 World Raid Edition – prototaip buat penampilan, seperti sudah bersedia untuk produksi

    Nama Yamaha Tenere terkenal sebagai model yang cukup berkemampuan dalam segmen motosikal dual-purpose pertengahan. Kini, Yamaha telah menunjukkan model prototaip, yang boleh dianggap memberi petunjuk kepada Tenere generasi baru. Model yang dinamakan sebagai Tenere 700 World Raid Edition ini kelihatan seperti sudah sedia untuk produksi dan ditunjuk semasa satu acara perlumbaan offroad di Australia.

    Motosikal ini sebenarnya mempunyai asas sama seperti model konsep T7 yang pernah ditunjuk dua tahun lepas di pameran EICMA, dengan menggunakan enjin CP2 700 cc dua silinder sebaris daripada model MT-07 yang berkuasa 74 hp dan ia diletakkan pada kerangka baru untuk bertahan dengan tunggangan offroad.

    Menurut Yamaha, model baru ini seperti mengikut kembali identiti model pertama Tenere iaitu XT600, dan ia mempunyai lebih kemampuan di atas jalan offroad berbanding motosikal jelajah biasa. Enjin Crossplane padanya juga telah diubah untuk memberikan lebih banyak kuasa di tahap rpm rendah.

    Yamaha Tenere 700 World Raid Edition – prototaip buat penampilan, seperti sudah bersedia untuk produksi

    Bentuk keseluruhan Tenere 700 masih lagi sama seperti T7 Concept, tapi ia seperti semakin dekat dengan produksi di mana kini sudah mempunyai lampu iaitu jenis projector di hadapan, hampir seperti yang digunakan pada motosikal lumba Dakar. Walaubagaimanapun, masih ada beberapa bahagian gentian karbon, yang kami rasa tidak akan diguna pada motosikal produksi.

    Di bahagian hadapan motosikal ini terdapat fork USD dengan rim 21 inci manakala di belakang menggunakan monoshock dan rim 18 inci. Yamaha akan membawa model ini dalam satu acara jelajah seluruh dunia yang akan melibatkan negara Amerika, Australia, Afrika dan Eropah.

     
     
  • Sebastien Loeb berlumba semula di WRC – bakal tampil di Rali Mexico yang berlangsung minggu ini

    Juara dunia sembilan-kali dalam kejohanan rali dunia (WRC), Sebastien Loeb akan berlumba semula dalam kejohanan itu bermula pada Rali Mexico 2018 yang dijadualkan akan bermula 8 Mac ini. Namun penyertaan Loeb tersebut bukanlah penampilan untuk merebut semula gelaran dari juara musim lalu, Sebastien Ogier, sebaliknya hanya program khas yang dijalankan Citroen, membolehkan Loeb memandu untuk tiga pusingan rali pada musim 2018 ini.

    Menurut Loeb, Citroen telah memberikannya untuk peluang untuk berlumba semula dalam WRC, dan beliau tidak akan mensia-sia peluang ini kerana ingin merasai sendiri kereta WRC generasi baharu – yang kini lebih berkuasa setelah peraturan dirombak semula bermula musim lalu. Dengan restrictor pengecas turbo lebih besar dibenarkan, rata-rata 1.6 liter pada jentera-jentera terkini WRC mampu menghasilkan kuasa sekitar 380 hp.

    Sebastien Loeb mempertahankan gelarannya bermula dari tahun 2004 hingga 2012 bersama pasukan Citroen, dan akhirnya membuat pengumuan untuk bersara dan tidak akan berlumba pada musim 2013. Namun selepas itu, pemandu dari Perancis berkenaan bersetuju untuk berlumba dalam empat pusingan pada musim 2013 iaitu Monte Carlo, Sweden, Argentina dan Perancis.

    Loeb juga kembali ke WRC pada musim 2015 juga bersama Citroen, membuat penampilan hanya pada Rali Monte Carlo – dia tersingkir dari perlumbaan yang sedang didahuluinya kerana kerosakan pada roda.

    Untuk musim WRC 2018, Citroen mengurangkan jumlah jentera yang beraksi untuk kelas tertinggi tersebut kepada hanya dua buah. Pemandu utamanya, Kris Meeke akan bertanding untuk kesemua 13-pusingan musim ini, manakala rakan sepasukannya, Craig Breen tidak akan berlumba dalam tiga rali untuk memberikan laluan kepada Sebastien Loeb.

    Seorang lagi pelumba, Khalid Al-Qassimi pula hanya akan memandu C3 WRC pada pusingan-pusingan tertentu, manakala pelumbu ketiga Citroen musim lalu, Stephane Lefebvre akan berlumba dikelas lebih rendah WRC2 untuk memandu jentera baharu C3 R5.

     
     
  • BMW Individual perkenal warna unik untuk F90 M5

    BMW Individual perkenal warna unik untuk F90 M5

    BMW telah menyebarkan foto baharu yang menunjukkan F90 M5 dalam warna yang sangat menarik. Terdapat empat warna – dibangunkan oleh BMW Individual – yang dinamakan Purple Silk, Java Green, Frozen Black dan Ferrari Red. Malah terdapat juga kekemasan buat model First Edition dalam warna Frozen Dark Red Metallic, tetapi hanya terhad 400 unit secara global.

    Pemilihan warna ini berdasarkan personalisasi kereta buatan Munish ini dan penyesuaiannya sehingga ke dasar. Pembeli yang ingin lebih menonjol berbanding orang lain juga boleh memilih warna bagi bentuk roda dan juga upholstery dalaman. Walau bagaimana pun, ia juga bergantung pada bajet pembeli.

    F90 M5 generasi kelima ini adalah sedan eksekutif yang dijanakan oleh enjin 4.4 liter turbo-berkembar V8 dengan kuasa sehingga 600 hp dari 5,600 hingga 6,700 rpm dan tork 750 Nm antara 1,800 dan 5,600 rpm. Semua kuasa disalurkan ke empat roda (buat pertama kalinya) menerusi kotak gear automatik M Steptronic lapan-kelajuan dengan Drivelogic.

     
     
  • Hyundai sahkan SUV Tucson bakal diberikan versi lebih liar dengan lencana N, setahun dari sekarang

    Hyundai sahkan SUV Tucson bakal diberikan versi lebih liar dengan lencana N, setahun dari sekarang

    Setelah hadir dengan dua hatchback berprestasi tinggi sebenar – i30 N dan Veloster N -, divisi talaan Hyundai yang dikenali sebagai Hyundai N kini mengesahkan mereka akan menghasilkan pula sebuah SUV berasaskan model Tucson, menurut laporan Auto Express.

    “Tucson kini sedang dibangunkan, dan satu lagi model akan hadir selepas itu”, kata ketua jualan global Hyundai, Byung Kwon Rhin, kepada portal berkenaan. Laporan tersebut turut menyebut bahawa SUV itu kini baru dalam peringkat awal pembangunannya dan ia mungkin akan muncul dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun.

    Idea untuk menampilkan Hyundai Tucson dalam versi lebih liar ini sebenarnya telah disuarakan oleh boss Hyundai N sendiri iaitu Albert Biermann pada tahun lalu. Tucson merupakan produk Hyundai yang agak laris pada pasaran UK dan Eropah.

    “Jika anda lihat pada Tucson, ia adalah asas yang kuat jika berbicara dari sudut teknikal, untuk dijadikan Tucson N. Saya suka untuk menghasilkannya,” kata Biermann yang juga bekas naib presiden kejuruteraan BMW M.

    Tiada lagi perincian berkenaan SUV berprestasi tinggi ini, namun boleh diagak Tucson lebih berkuasa ini mungkin akan dijana enjin sama pada i30 N dan Veloster N iaitu enjin 2.0 liter turbo menjana 275 PS/ 353 Nm. Seperti juga dua buah hatchback tersebut, Tucson juga mungkin akan ditala di litar The Green Hell, Nürburgring Nordschleife.

    GALERI: Hyundai i30 N

    GALERI: Hyundai Veloster N

     
     
  • Triumph Bonneville Bobber Black 2018 tiba di Malaysia – harga RM80k, spesifikasi lebih tinggi, lebih garang

    Triumph Bonneville Bobber Black 2018 tiba di Malaysia – harga RM80k, spesifikasi lebih tinggi, lebih garang

    Setelah ketibaan model Bobber menerima sambutan baik di kalangan peminat motosikal negara, pengedar rasmi motosikal Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd melancarkan satu lagi variasi model tersebut yang dikenali sebagai Bobber Black. Model ini dijual pada harga RM79,900 termasuk GST, tanpa insurans.

    Daripada aspek penampilan, rekaan Bobber Black ini masih sama seperti model Bobber biasa, dengan tetapan satu tempat duduk, kedudukan rendah, lampu bulat kecil di hadapan dan dua ekzos bermuncung runcing di tepinya, tetapi ia dijadikan lebih garang dengan hampir keseluruhan bahagian yang menggunakan cat, diwarnakan hitam.

    Selain daripada penampilan, spesifikasi Bobber Black juga lebih tinggi berbanding Bobber biasa kerana ia menggunakan padanan rim 16 inci depan (tayar lebih tebal) dan belakang, fork hadapan Showa lebih gemuk (Showa 47 mm), lampu hadapan LED penuh dengan lampu nyalaan siang, brek Brembo dua piston di hadapan serta ciri auto cruise yang boleh dikawal melalui satu butang.

    Enjin pada model yang dijual dengan tambahan harga RM5,000 berbanding Bobber biasa ini masih lagi sama iaitu unit dua silinder selari SOHC 1,200 cc dengan sistem penyejukan cecair, dan padanan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa sebanyak 77 hp pada 6,100 rpm dan 106 Nm tork pada 4,000 rpm. Sistem penyampaian bahan api enjin ini adalah secara elektronik (EFI) dan kuasa disampaikan ke tayar belakang melalui rantai.

    Bahagian lain Bobber turut dikekalkan untuk model Bobber Black iaitu termasuk pakej brek spesifikasi paling tinggi dalam barisan model klasik moden Bonneville – cakera berkembar 310 mm dengan angkup Brembo dua piston di hadapan dan cakera tunggal 255 mm di belakang serta angkup Nissin dua piston di belakang (lengkap dengan ABS two-channel), monoshock KYB di belakang, panel meter gabungan analog dan LCD, dua mod tunggangan dan sistem kawalan cengkaman.

    Walaupun ini adalah sebuah model khas yang berwarna hitam, orang ramai masih mempunyai pilihan untuk mendapatkan Bobber Black yang menggunakan warna Jet Black berkilat ataupun Matt Jet Black. Pembeliannya juga datang bersama jaminan selama dua tahun tanpa had batuan.

     
     
  • Triumph Bonneville Speedmaster 2018 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM79,900, lebih praktikal

    Triumph Bonneville Speedmaster 2018 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM79,900, lebih praktikal

    Selain Bobber Black, Triumph Motorcycles Malaysia juga hari ini telah melancarkan sebuah lagi model tambahan kepada barisan klasik moden mereka iaitu Bonneville Speedmaster 2018 untuk pasaran Malaysia. Model ini dijual pada harga RM79,900 bersama jaminan dua tahun tanpa had batuan dan dihasilkan dengan gabungan DNA Bonneville dan sifat seperti Bobber.

    Cumanya, Speedmaster adalah lebih praktikal, di mana ia dilengkapi dengan tangki bahan api yang lebih besar, iaitu 12 liter, dan bahagian belakangnya boleh diubah untuk menjadi sama ada satu tempat duduk seperti Bobber, atau dua tempat duduk seperti Bonneville.

    Tetapan ergonomik model ini juga lebih santai, dengan bahagian pemegang yang terentang ke belakang dan tempat letak kaki yang terletak lebih ke hadapan, sekaligus menjadikan ia lebih selesa untuk tunggangan jarak jauh. Rim yang digunakan pula adalah bersaiz sama seperti Bobber Black, iaitu 16 inci depan dan belakang.

    Enjin yang digunakan pada model ini adalah sama seperti model Bonneville T120 dan Bobber, iaitu unit dua silinder penyejukan cecair 1,200 cc HT, bersama padanan kotak gear enam kelajuan, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 77 PS pada 6,100 rpm dan 106 Nm tork pada 4,000 rpm. Jika dibandingkan dengan model Speedmaster tahun 2015, model baru ini mempunyai 42% lebih banyak tork puncak dan 25% lebih banyak kuasa puncak.

    Padan dengan enjin yang berkuasa, bahagian brek juga dipertingkat, dengan melihatkan penggunaan tetapan cakera berkembar 310 mm bersama angkup Brembo dua piston di hadapan serta cakera tunggal 255 mm dan angkup Nissin satu piston di belakang. Seperti juga barisan Bonneville generasi baru yang lain, ia didatangkan terus dengan sistem ABS, dan ditambah dengan Traction Control yang boleh ditutup.

    Triumph Bonneville Speedmaster 2018 dilancar untuk pasaran Malaysia – harga RM79,900, lebih praktikal

    Kelengkapan lain yang ada pada Speedmaster 2018 adalah semua lampun jenis LED, sistem pendikit ride-by-wire, pilihan mod Road dan Rain, cruise control, klac torque assist, immobiliser, meter gabungan analog dan LCD, besi pemegang di belakang, fork KYB 41 mm di hadapan, monoshock KYB dengan pelarasan pra beban serta berat 245.5 kg.

    Speedmaster juga didatangkan dengan pilihan pelbagai aksesori untuk memadankan ia dengan penggunaan pemilik, tapi bagi memudahkan, pakej inspirasi ‘Highway’ yang lebih banyak barangan jelajah atau ‘Maverick’ yang lebih kepada gaya yang garang turut disediakan.

     
     
  • Triumph Tiger 800 2018 kini di Malaysia – enam varian ditawarkan, harga antara RM56,900 hingga RM81,900

    Triumph Tiger 800 2018 kini di Malaysia – enam varian ditawarkan, harga antara RM56,900 hingga RM81,900

    Turut dilancarkan bersama Bobber Black dan Speedmaster untuk pasaran Malaysia adalah model kembara Tiger 800 yang diperbaharui untuk tahun 2018. Secara keseluruhannya terdapat enam varian untuk Tiger 800 ini iaitu XR, XRx, XRx Low, XRT, XCx dan XCa. Harganya masing-masing termasuk GST, tanpa insurans adalah RM56,900, RM69,900, RM69,900, RM77,900, RM74,900 dan RM81,900.

    Bagi mengetahui perbezaan di antara semua varian Tiger 800 ini, anda pertama sekali perlu mengetahui bahawa ia terbahagi kepada dua iaitu XC yang boleh dibawa offroad dan XR yang lebih kepada penggunaan di atas jalan biasa. Varian XR adalah varian yang paling asas, XRT adalah varian paling tinggi untuk XR dan XCa adalah varian paling tinggi untuk XC. Dalam semua pilihan ini, terdapat satu yang disediakan dengan tempat duduk 50 mm lebih rendah iaitu XRx Low.

    Bagi model baru Tiger 800 ini (semua varian), ia mempunyai lebih 200 bahagian yang dinaik taraf secara keseluruhannya pada casis dan enjin. Enjin asas tiga silinder 800 cc yang sama masih lagi digunakan, tetapi ia dapat memberikan kuasa lebih cepat dan kuasa maksimum sebanyak 95 PS. Tork pula adalah 79 Nm. Turut dipadankan adalah sistem ekzos yang lebih ringan dengan bunyi lebih sport, serta gear satu yang lebih pendek.

    Untuk bahagian badannya, Tiger 800 2018 menggunakan rekaan panel tepi baru, bersama lencana, grafik serta perincian yang lebih berkualiti. Ia kemudiannya disudahi dengan pilihan warna premium baru. Pada aspek ergonomi, ia diperbaiki dengan bahagian pemegang yang ditarik ke belakang sebanyak 10 mm.

    Sebagai sebuah varian asas, Tiger XR tidak mempunyai pilihan mod tunggangan, XRx dan XRx Low mempunyai pilihan empat mod (Road/Off­road/Sport/Track), XRt mempunyai lima mod (Road/Off­road/Sport/Track/Rider-Customisable), XCx lima mod (Road/Off­road/Off-Road Pro/Sport/Track) dan XCa enam mod (Road/Off­road/Off-Road Pro/Sport/Track/Rider-Customisable).

    Triumph Tiger 800 2018 kini di Malaysia – enam varian ditawarkan, harga antara RM56,900 hingga RM81,900

    Bagi semua model XR, ia menggunakan fork Showa 43 mm di hadapan (pelarasan mampatan dan lantunan untuk XRT), monoshock Showa di belakang dengan pelarasan pra beban hidraulik, rim 19 inci di hadapan dan rim 17 inci di belakang. Model XC pula menggunakan fork WP 43 mm dengan pelarasan lantunan dan mampatan, monoshock WP dengan pelarasan pra beban, rim 21 inci di hadapan dan 17 inci di belakang.

    Semua varian Tiger 800 2018 (kecuali XR) ini menggunakan brek cakera berkembar 305 mm dengan angkup Brembo dua piston di hadapan, cakera tunggal 255 mm dan angkup Nissin satu piston di belakang, sistem ABS yang boleh ditutup, panel instrumen TFT warna penuh 5 inci, semua lampu LED, sistem kawalan cengkaman (TC), cruise control, penghadang angin hadapan boleh laras dan tangki bahan api 19 liter.

    GALERI: Tiger 800 XCx 2018


    GALERI: Tiger 800 XC

    GALERI: Tiger 800 XR

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.18 (+0.02)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.13
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (+0.02)
EURO 5 B7 RM3.10 (+0.02)
Last Updated Sep 11, 2025