Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan Skyline GT-R R34 yang dipandu Paul Walker dalam Fast and Furious 4 terjual pada harga RM6 juta

    Nissan Skyline GT-R R34 yang dipandu Paul Walker dalam Fast and Furious 4 terjual pada harga RM6 juta

    Dalam sembilan filem dari franchais The Fast and The Furious, bagi penulis sendiri antara jentera terbaik pernah muncul adalah Nissan Skyline GT-R R34 berwarna biru, dipandu oleh watak Brian O’Conner (lakonan mendiang Paul Walker) dalam Fast and Furious 4 yang ditayangkan pada 2009.

    Ini kerana ia adalah kereta dengan JDM paling asli, tanpa kit aero dan grafik badan mengarut, bersama bahagian kokpit seperti sebuah kereta lumba sebenar yang pernah ditampilkan dalam siri filem tersebut. Kereta sebenar yang digunakan dalam filem itu juga sebenarnya telah di lelong oleh Bonhams baru-baru ini, dan ia terjual pada harga USD1.18 juta (sekitar RM5.25 juta), atau USD1.357 juta (sekitar RM6 juta) termasuk bayaran lain yang dikenakan!

    Ini bermakna R34 GT-R ini direkodkan sebagai Skyline GT-R paling mahal pernah dijual setakat ini, mengatasi rekod Nissan Skyline GT-R R33 Nismo 400R yang terjual pada harga 130 juta yen (sekitar USD1 juta atau RM4.3 juta) di Jepun awal tahun ini.

    Nissan Skyline GT-R R34 yang dipandu Paul Walker dalam Fast and Furious 4 terjual pada harga RM6 juta

    Unit GT-R R34 sebenar yang dipandu oleh Paul Walker ini dikenali dengan nombor casis ‘BNR34-400109’. Untuk tampil dalam filem berkenaan, ia terlebih dahulu diubahsuai oleh Kaizo Industries. Unit tersebut sebenarnya dibeli sendiri oleh Kaizo Industries di Jepun dan di bawa ke Amerika Syarikat tanpa enjin.

    Ia diisytihar sebagai ‘kit car’ dengan enjin berasingan dan bukan kereta sebenar bagi membolehkan ia sah berada jalan di atas jalan raya, kerana ketika itu R34 masih lagi tidak dibenarkan untuk diimport masuk ke AS kerana ia tidak dibawa secara rasmi ke sana oleh Nissan, dan belum cukup 25-tahun untuk dibawa masuk secara sah sebagai kereta klasik.

    Selepas ia didaftarkan secara sah pada 2002, Kaizo membina semula R34 tersebut mengikut spesifikasi yang dimahukan oleh Paul Walker. Pada sebelah luar, R34 ini tampil dengan warna ikonik Bayside Blue, dan ubahsuai yang dibuat hanyalah pemadanan bampar hadapan dan skirt sisi dari Nismo, bonet hadapan dari East Bear serta diberikan set rim 19-inci Volk Racing RE30.

    Dalam kabin, Paul mahukan skrin paparan konsol tengah MFD Xenarc Display bersaiz besar bagi menggantikan skrin asal GT-R R34 yang didakwa berharga hampir GBP8,500 (sekitar RM46k), serta roll cage yang dibuat khas, tempat duduk belakang dicabut, serta pemadanan sepasang tempat duduk bucket OMP lengkap dengan tali pinggang perlumbaan lima-poin di hadapan.

    Selain itu, ia turut menerima roda stereng Momo Sport balutan Alcantara, set pedal Nismo V-Spec, serta skrin untuk pemain audio utama dari Sony.

    Enjin RB26DETT yang disumbat masuk ke dalam badan R34 ini juga menerima sentuhan semula dari Kaizo. Ia membabitkan pemadanan unit intercooler lebih besar dari Turbonetics, sistem ekzos Nismo NE-1 serta tekanan boost turbo yang ditingkatkan bagi membolehkan ia bernafas dengan 550 hp.

    Sistem brek turut dipertingkat dengan angkup enam omboh dan empat omboh di belakang dari Rotora. Manakala untuk pengendalian pula ditambah baik menerusi penukaran spring suspensi asal kepada komponen dari Nismo serta strut brace titanium dari ARC.

    Malangnya, kereta ini dirampas oleh Pihak Berkuasa Sempadan Amerika Syarikat setelah tamat penggambaran filem tersebut kerana dakwaan salah laku berkaitan bagaimana ia dibawa ke negara berkenaan. Ia kemudiannya dilepaskan dari rampasan tersebut pada tahun 2012, dan kemudian dieksport ke Jerman.

    Kereta tersebut tidak banyak berjalan ketika di Jerman, dan ia lebih banyak dipamerkan di Munich Motorworld. Ia kemudiannya dilelong oleh Bonhams, dan sesi lelongan tersebut telah tamatkan pada 5 Mei lalu.

     
     
  • Bermaz cari jenama EV China untuk di bawa ke M’sia, dilapor berbincang dengan Xpeng, Geely & Dongfeng

    Bermaz cari jenama EV China untuk di bawa ke M’sia, dilapor berbincang dengan Xpeng, Geely & Dongfeng

    Bermaz Auto (BAuto), pengedar rasmi untuk jenama Mazda dan Kia di Malaysia dilaporkan sedang merancang untuk mengembangkan portfolionya dalam pasaran kenderaan elektrik penuh (EV) dengan mencari jenama EV dari China ke pasaran tempatan.

    Buat masa sekarang BAuto sudahpun mempunyai beberapa model EV dari jenama Mazda dan Kia yang dibawa ke Malaysia. Namun menurut laporan dari Affin Hwang Investment Bank (AHIB), sasaran BAuto kali ini adalah untuk mencari jenama yang boleh menjadi jenama utama EV dalam barisan portfolionya dan sedang berbincang dengan beberapa jenama EV dari China seperti Xpeng, Dongfeng dan Geely.

    Laporan itu menyebut strategi BAuto untuk bekerjasama dengan jenama EV sepenuhnya dari China sebagai jenama EV utama merupakan langkah yang betul, namun ia masih belum memuktamadkan sebarang perjanjian.

    “Sebarang kerjasama yang berjaya dengan mana-mana pemain EV China yang lebih besar ini akan menjadi nilai tambah bagi BAuto, tetapi pemain automotif sedia ada di negara ini juga mungkin sedang membuat rancangan strategik yang sama, dan oleh itu agak mencabar (untuk BAuto), terutamanya untuk berhadapan dengan saingan yang lebih besar dengan kedudukan kewangan dan rangkaian pengedaran yang lebih kukuh,” kata laporan itu.

    Bermaz cari jenama EV China untuk di bawa ke M’sia, dilapor berbincang dengan Xpeng, Geely & Dongfeng

    AHIB turut menyatakan sekiranya langkah ini dapat dilaksanakan, ia akan difokuskan untuk merendahkan harga dalam segmen tersebut bagi memberikan ruang lebih besar kepada BAuto untuk bergerak.

    “Namun begitu, dengan pilihan jenama EV China yang luas, jenama EV mampu milik seperti Hozon atau Wuling boleh memenuhi permintaan golongan berpendapatan rendah hingga sederhana dan paling penting menjadi pemacu volum bagi segmen EV syarikat tersebut. Ini boleh menjadi sudut yang menarik, pada pandangan kami,” kata laporan itu lagi.

    Walau bagaimanapun, Hozon sebenarnya sudah pun berada di pasaran Malaysia. Ia dibawa oleh GoAuto menerusi anak syarikatnya, Intro Synergy dengan memperkenalkan crossover EV Neta V secara rasmi ketika berlangsungnya Malaysia Autoshow 2023 minggu lalu.

    Manakala untuk Wuling, model Mini EV yang telah pun dijual di pasaran Indonesia dengan nama Wuling Air sebelum ini telah dilihat berada di Malaysia. Jenama tersebut belum lagi dirasmikan di pasaran tempatan, namun sebelum ini Tan Chong Motor Holdings (TCMH) dilaporkan bakal menjadi pengedar rasmi Wuling di Malaysia.

     
     
  • Toyota Vios terbabas di Langkawi, dipandu kanak-kanak berusia tiga dan enam tahun untuk ke kedai

    Tular pagi ini beberapa video yang memaparkan satu insiden berlaku di Pulau Langkawi, di mana sebuah Toyota Vios terbabas dan didapati ia dipandu oleh sepasang adik beradik lelaki yang masing-masing baru berumur tiga dan enam tahun.

    Menerusi video-video tersebut, kejadian itu dipercayai berlaku malam tadi di mana kedua-dua beradik tersebut memandu kereta berkenaan untuk ke kedai, dan ia dipandu dengan cara abangnya mengawal roda stereng sementara adiknya pula mengawal pedal pendikit.

    Vios tersebut dilihat mengalami kerosakan yang agak teruk pada bahagian hadapan sebelah kiri susulan kejadian itu. Mujur tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa berlaku ketika kereta tersebut terbabas. Sehingga kini belum ada sebarang kenyataan rasmi diumumkan oleh pihak berkuasa berkenaan kejadian ini.

    Berdasarkan kejadian-kejadian yang hampir serupa berlaku sebelum ini, ibu bapa atau waris kanak-kanak ini boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 39(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membenarkan pemandu bawah umur, memandu/menunggang kenderaan bermotor.

    Jadi sama-sama kita beringat, jangan lalai atau membenarkan kanak-kanak di bawah umur ini memandu atau menunggang kenderaan. Kita mungkin boleh sahaja membayar saman sekiranya didapati bersalah, tetapi bagaimana pula jika berlakunya sebarang kehilangan nyawa?

    Nasib baik Allah lindung… Allahmdulillah selamat, semoga lepas nie Semua kena hati2 takut terjadi lagi sebegini.. Budak…

    Posted by Honeyzone Langkawi on Tuesday, 9 May 2023

     
     
  • Yamaha panggil balik model R25 dan MT-25 di Msia

    Yamaha panggil balik model R25 dan MT-25 di Msia

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini telah mengeluarkan notis panggilan semula untuk model YZF-R25 dan MT-25 keluaran September 2022 hingga Mac 2023. Sekiranya anda memiliki model yang disebutkan ini, anda boleh pergi ke laman web HLYM untuk memastikan sama ada motosikal anda terlibat atau tidak.

    Dalam notis yang dikeluarkan, HLYM memberitahu, panggilan balik ini dibuat bagi melakukan pemeriksaan terhadap laluan hos sistem brek motosikal tersebut, sama ada ia mengikuti spesifikasi standard yang sepatutnya ataupun tidak.

    HLYM juga akan menghantar notis kepada semua pemilik motosikal yang terlibat bermula minggu kedua bulan Mei 2023, dan mereka yang menerimanya disarankan terus menghubungi pengedar atau pusat servis berdaftar HLYM untuk membuat temu janji berkaitan panggilan balik ini.

    Yamaha panggil balik model R25 dan MT-25 di Msia

    Dalam notis tersebut dinyatakan bahawa pemilik masih boleh menunggang motosikal seperti biasa sambil mengikut penjagaan seperti di dalam buku manual sementara menunggu temu janji dengan pusat servis, tetapi jika mereka merasakan motosikal mereka tidak selamat, mereka boleh menghantarnya ke pusat servis.

    Sportsbike R25 kali terakhir diberikan pembaharuan warna adalah pada bulan Mac yang lalu, dengan harga terkininya adalah RM22,998 tidak termasuk insurans, sementara MT-25 pula kali terakhir diberikan pembaharuan warna pada bulan September tahun lepas, dengan harganya pada waktu itu adalah RM21,500.

     
     
  • Toyota Hilux dinaikkan harga di M’sia – GR Sport naik RM9.2k, Rogue naik RM6k; Fortuner juga naik RM5k

    Toyota Hilux dinaikkan harga di M’sia – GR Sport naik RM9.2k, Rogue naik RM6k; Fortuner juga naik RM5k

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah menyemak semula harga bagi Hilux dan Fortuner di Malaysia, di mana ia melibatkan kenaikan harga bagi sesetengah varian untuk kedua-dua model berkenaan.

    Bermula dengan Hilus, varian 2.4 Single Cab 4×4 MT kini ditawarkan pada harga RM103,880, di mana ia melibatkan kenaikan sebanyak RM5,000 berbanding yang kami laporkan pada Januari lalu. Bagi varian manual dan automatik 2.4E 4×4 juga, naik harga sehingga RM5,000, kini masing-masing berharga RM117,880 dan RM119,880.

    Toyota Hilux dinaikkan harga di M’sia – GR Sport naik RM9.2k, Rogue naik RM6k; Fortuner juga naik RM5k

    Manakala kenaikan harga sebanyak RM6,000 melibatkan varian 2.4V 4×4 AT yang kini dijual pada harga RM145,880, begitu juga dengan 2.8 Rogue 4×4 AT yang kini berharga RM158,880. Untuk Hilux GR Sport yang dilancarkan pada Februari lalu dan menduduki varian tertinggi dalam barisan Hilux, mengalami kenaikan harga paling besar iaitu RM9,200, kini dijual pada harga RM169,080.

    Bagi barisan Fortuner pula, varian 2.4 AT 4×4 dan 2.8 VRZ AT 4×4 kini dinaikkan harga sebanyak RM5,000, iaitu masing-masing kini berharga RM189,880 dan RM230,880. Walau bagaimana pun varian janaan petrol 2.7 SRZ AT 4×4 dikekalkan harganya pada RM191,880.

    Toyota Hilux dinaikkan harga di M’sia – GR Sport naik RM9.2k, Rogue naik RM6k; Fortuner juga naik RM5k

    Toyota Hilux dinaikkan harga di M’sia – GR Sport naik RM9.2k, Rogue naik RM6k; Fortuner juga naik RM5k

     
     
  • GWM Haval Jolion Hybrid dipertonton di M’sia — pesaing X50 dan HR-V; 190 PS/375 Nm; tiba tahun ini

    GWM Haval Jolion Hybrid dipertonton di M’sia — pesaing X50 dan HR-V; 190 PS/375 Nm; tiba tahun ini

    Selain Haval H6, Great Wall Motor juga akan memperkenalkan Haval Jolion untuk pasaran Malaysia tahun ini, menurut wakil rasminya. Model ini merupakan SUV segmen B dan dipertontonkan di sini dalam versi hibrid dengan output 190 PS dan 375 Nm tork.

    Sistem janaannya terdiri daripada enjin 1.5 liter NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 95 PS pada 6,000 rpm dan 125 Nm dari 4,400-5,200 rpm. Enjin ini digandingkan pula dengan transmisi klac berkembar tujuh-kelajuan pacuan roda depan, dengan motor elektrik 156 PS (115 kW) dan 250 Nm.

    GWM Haval Jolion Hybrid dipertonton di M’sia — pesaing X50 dan HR-V; 190 PS/375 Nm; tiba tahun ini

    Dari segi ukuran, Jolion hadir dengan 4,472 mm panjang, 1,841 mm lebar, 1,619 mm tinggi dan jarak antara roda 2,700 mm. Ini menjadikannya lebih besar berbandung SUV segmen B lain seperti X50 (4,330 mm panjang, 1,800 mm lebar, 1,609 mm tinggi, 2,600 mm jarak roda) serta Honda HR-V (4,330 hingga 4,385 mm panjang, 1,790 mm lebar, 1,590 mm tinggi, 2,610 mm jarak roda).

    Spesifikasi akhir untuk pasaran tempatan belum didedahkan, tetapi unit yang dipamerkan ini lengkap dengan lampu utama LED dengan DRL yang menyerlah, rim 18-inci (saiz tayar 225/55), lampu belakang LED dan sunroof.

    GWM Haval Jolion Hybrid dipertonton di M’sia — pesaing X50 dan HR-V; 190 PS/375 Nm; tiba tahun ini

    Ruang dalaman pula menampilkan kluster instrumen digital tujuh-inci, sistem infotainmen dengan skrin sentuh 10.25-inci, kerusi balutan kulit, pendingin automatik, brek parkir elektronik (dengan Auto Brake Hold) dan dashcam. Radar penderia di depan dan kawalan pada stereng juga mencadangkan unit ini datang dengan sistem bantuan pemandu aktif seperti kawalan melayar adaptif dan AEB.

    Jolion sudah dilancarkan di Thailand, dengan pilihan tiga varian Tech, Pro dan Ultra. Buat masa ini, laman web GWM Thailand hanya memuatkan harga bagi Ultra pada 999,000 baht (RM131,688). Perincian lanjut untuk pasaran tempatan akan diketahui menjelang pelancaran rasminya kelak.

     
     
  • Proton jual 9,415 unit pada April 2023, naik 6.5% — YTD hampir 50k unit, naik 39.8% berbanding tahun lalu

    Proton jual 9,415 unit pada April 2023, naik 6.5% — YTD hampir 50k unit, naik 39.8% berbanding tahun lalu

    Proton menjual sebanyak 9,415 unit kenderaan sepanjang April 2023, menjadikannya bulan keempat berturut-turut syarikat itu mencatatkan pertumbuhan jualan, berbanding tempoh sama tahun lalu. Jumlah berkenaan — termasuk untuk eksport — adalah 6.5% lebih tinggi berbanding April 2022, walaupun tempoh bekerja lebih pendek disebabkan Hari Raya Aidilfitri.

    Ini menjadikan jualan semasa bagi 2023 setakat ini (YTD) ialah 49,702 unit, naik 39.8% lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu. Proton mendakwa syarikat itu menjadi satu-satunya daripada lima jenama teratas di Malaysia yang mencatatkan pertumbuhan bagi April, yang telah menyumbang menjadikan perkongsian pasarannya sekitar 20.4%.

    April merupakan bulan yang perlahan untuk industri. Tempoh kerja yang pendek, serta menjadi pengakhiran kepada pesanan yang dibuat ketika skim pengecualian cukai Penjana antara perkara yang menjadi faktor.

    Proton jual 9,415 unit pada April 2023, naik 6.5% — YTD hampir 50k unit, naik 39.8% berbanding tahun lalu

    Proton memaklumkan yang model X50 menjadi model terlaris SUV segmen B dengan 2,644 unit dijual pada April. Proton juga mendakwa menjadi pendahulu segmen bagi sedan segmen B melalui Persona dengan 1,263 unit dan MPV segmen C melalui Exora dengan 465 unit. Selebihnya, Saga dijual sebanyak 3,949 unit, X70 sebanyak 756 unit dan Iriz dengan 338 unit.

    Untuk eksport, Proton mencatat jumlah terbaik tahun ini pada April dengan 187 unit dihantar. Jumlah eksport semasa tahun ini ialah 603 unit dan sebahagian besar daripada jumlah itu disumbangkan oleh Saga, diikuti X50 dan X70.

    “Jumlah eksport Proton bagi 2023 agak perlahan untuk mencapai sasaran disebabkan beberapa faktor ekonomi global. Bagaimanapun, kami kekal positif tentang pasaran luar tahun ini dan sedang bekerja bersama rakan niaga untuk meningkatkan lagi profil jenama serta untuk mempromosi produk,” jelas Timbalan CEO Proton, Roslan Abdullah.

    Ahad lalu, Proton menyambut ulang tahun ke-40 dan melancarkan model terbaru X90.

     
     
  • Proton X90 terima 5 bintang dalam ujian ASEAN NCAP

    Proton X90 terima 5 bintang dalam ujian ASEAN NCAP

    Proton X90 2023 telah pun diuji dalam ujian pelanggaran Program Penilaian Kereta Baharu ASEAN (ASEAN NCAP) dan menerima markah keseluruhan 83.75 mata. Ia sekaligus mengesahkan bahawa SUV segmen-D dengan tiga baris tempat duduk berkenaan menerima penarafan lima-bintang dalam ujian tersebut.

    Ujian berkenaan dibuat menggunakan protokol penilaian 2021-2025 terkini ASEAN NCAP di makmal CATARC di China bulan lepas, dan ia diuji dalam empat kategori iaitu perlindungan penumpang dewasa (AOP), perlindungan penumpang kanak-kanak (COP), Bantuan Keselamatan (SA) dan juga Keselamatan Penunggang Motosikal (MS).

    Bagi kategori AOP, Proton X90 menerima markah 37.75 mata dari 40 mata keseluruhan. Manakala kategori COP pula ia menerima 17.79 mata dari 20 mata penuh, kategori SA diberikan 15.71 mata dari 20 mata penuh dan kategori MS pula diberikan 12.50 mata dari 20 mata penuh.

    X90 dipasarkan di Malaysia dalam empat varian berbeza iaitu Standard, Executive, Premium dan Flagship. Kesemua empat varian ini datang dengan enam-beg udara (hadapan, sisi dan tirai), serta perincian keselamatan asas termasuk brek ABS/EBD/BA dan kawalan kestabilan elektronik (ESC).

    Semua varian SUV ini juga menerima sistem keselamatan aktif seperti bantuan tukar lorong (pemantau titik buta), amaran lintasan trafik belakang (RCTA), dan juga sistem amaran bukaan pintu belakang serta amaran pelanggaran belakang yang akan memberikan amaran apabila ada kereta yang datang dari belakang dalam kelajuan tinggi, serta akan memberikan nyalaan lampu hazard.

    Sistem Bantuan Pemanduan Termaju (ADAS) turut dipadankan pada X90, namun ia hanya diberikan untuk varian Premium dan Flagship. Ini bermakna model Standard dan Executive tidak menerima sistem seperti brek kecemasan automatik, amaran pelanggaran hadapan, cruise control adaptif dengan Stop & Go, amaran keluar lorong, kawalan kekal lorong dan bantuan kekal lorong kecemasan.

    Proton X90 terima 5 bintang dalam ujian ASEAN NCAP

    Dua varian paling tinggi berkenaan juga hadir dengan sistem informasi tanda trafik (TSI), iaitu sistem yang mampu membaca tanda-tanda jalan dan ia telah diadaptasi untuk membaca tanda-tanda jalan di Malaysia. Tiga perincian iaitu RCTA, RCW dan TSI merupakan fungsi yang diperkenalkan buat pertama kali oleh Proton pada model keluarannnya.

    Sistem keselamatan lain yang turut dibekalkan termasuk lampu tinggi automatik (Premium dan Flagship sahaja), pemantau tekanan tayar (kecuali Standard), dan kamera 360-darjah dengan pandangan 3D (Executive, Premium dan Flagship sahaja, Standard diberikan kamera undur biasa). Hanya model Flagship datang dengan dashcam.

    Proton X90 dijual pada harga bermula RM123,800 untuk Standard, diikuti RM130,800 untuk Executive dan RM144,800 untuk Premium. Model Flagship pula dijual pada harga RM152,800. Anda boleh baca spesifikasi lengkap berkaitan X90 pada PAUTAN INI dan juga laporan pandu uji kami pada PAUTAN INI.

    Proton X90 1.5L Flagship 2023

    Proton X90 1.5L Premium 2023

     
     
  • MForce Bike Holdings Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar rasmi motosikal elektrik Yadea di Malaysia

    MForce Bike Holdings Sdn Bhd dilantik sebagai pengedar rasmi motosikal elektrik Yadea di Malaysia

    Selain mempunyai kawasan pameran untuk WMoto dan CFMoto di acara Malaysia Autoshow 2023 hujung minggu lalu, MForce Bike Holdings Sdn Bhd juga telah membuka satu kawasan pameran khas untuk jenama motosikal baru iaitu Yadea.

    Ini kerana MForce telah dilantik sebagai pengedar rasmi motosikal elektrik Yadea di Malaysia dan juga beberapa negara ASEAN lain, dengan memorandum persefahaman di antara kedua belah pihak telah ditandatangani sewaktu acara tersebut.

    Yadea adalah sebuah syarikat dari China yang sudah berpengalaman selama 20 tahun dalam bidang penyelidikan, pengeluaran dan jualan penggerak dua roda elektrik termasuk basikal dan motosikal, bersama komponen serta aksesorinya.

    Syarikat ini mempunyai tujuh pusat pengeluaran di China, dan satu di Hanoi, Vietnam, manakala rangkaian jualannya pula mencecah sehingga 83 negara di seluruh dunia. Pada tahun 2020, Yadea menjadi syarikat pengeluar penggerak dua roda elektrik pertama yang mencecah jualan global 10 juta unit.

    Semasa acara Malaysia Autoshow, beberapa model Yadea telah dibawa untuk pameran, termasuk Keeness, Voltguard, Fierider, E8S Pro, X1, Tiker, G5S, Y1S Pro dan C1S Pro. Menurut wakil MForce, model ini akan diperkenalkan secara berperingkat ke pasaran Malaysia dan fasa pertama akan melibatkan 400 unit, dan dirancang dilaksanakan pada bulan Jun tahun ini.

     
     
  • Ital Auto kini pengedar baharu Ferrari di Malaysia

    Ital Auto kini pengedar baharu Ferrari di Malaysia

    Pada awal Mac lalu, dilaporkan bahawa hubungan kerjasama perniagaan antara Ferrari dan Naza Italia, yang telah bermula sejak tahun 2008, telah pun berakhir mulai 8 April 2023. Kini, selepas sebulan pembubaran kerjasama berkenaan, Ferrari telah mendedahkan identiti rakan kerjasama baharunya untuk pasaran Malaysia.

    Dalam kenyataan yang diedarkan kepada para pelanggannya, pengeluar kereta Itali berkenaan telah mengumumkan bahawa Ital Auto Malaysia telah dilantik sebagai pengimport bertauliah secara rasminya untuk pasaran Malaysia, bermula 5 Mei 2023.

    “Ital Auto telah menjadi pengimport dan pengedar rasmi Ferrari di Singapura sejak 2009, dan telah terbukti sebagai rakan kongsi yang efektif dan boleh dipercayai dengan menyampaikan pengalaman pelanggan yang luar biasa dan perkhidmatan berkualiti kepada pelanggan kami. Kami yakin bahawa pangkalan pelanggan kami di Malaysia dan rantau ini akan terus menerima layanan terbaik,” kata Ketua Pegawai Komersil dan Pemasaran Ferrari Enrico Calliera dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Ital Auto kini pengedar baharu Ferrari di Malaysia

    Syarikat itu turut menambah Ital Auto Malaysia akan mengambil alih tempahan dan deposit pelanggan sedia ada untuk kenderaan Ferrari. Ital Auto yang merupakan sebahagian daripada multi-francias Kumpulan Komoco yang dimiliki oleh billionair Malaysia yang berpangkalan di Singapura, Ong Beng Seng. Selain Ferrari, Komoco turut mengendalikan beberapa jenama automotif lain di republik berkenaan, termasuk Hyundai dan Maserati.

    Walau bagaimana pun, tidak didedahkan bilakah bilik pameran Ferrari baharu kendalian Ital Auto ini akan mula beroperasi. Namun difahamkan, bilik pameran yang terletak di Glenmarie itu sedang dalam proses pembinaan.

     
     
  • GWM Haval H6 Hybrid dipertonton di Malaysia – enjin 1.5T hibrid 243 PS, transmisi DCT, lancar Q4 2023

    GWM Haval H6 Hybrid dipertonton di Malaysia – enjin 1.5T hibrid 243 PS, transmisi DCT, lancar Q4 2023

    Haval H6 telah dipertontonkan secara rasmi di Malaysia, sebelum ia dijangka dilancarkan pada suku keempat tahun ini. Ia merupakan satu daripada dua model Haval yang telah disahkan memasuki pasaran Malaysia secara rasmi oleh Great Wall Motor, sementara satu lagi adalah Jolion, yang juga hadir di acara Malaysia Autoshow 2023.

    Lencana HEV pada model yang dipamerkan ini menandakan ia adalah varian hibrid bagi H6, yang menggunakan enjin petrol empat silinder 1.5 liter berkuasa 167 PS dan 285 Nm, dipadankan bersama transmisi klac berkembar tujuh kelajuan serta motor elektrik 177 PS (130 kW) untuk menghasilkan kuasa keseluruhan 243 PS dan tork 530 Nm.

    Menurut wakil Great Wall Motor, spesifikasi H6 ini masih belum ditetapkan lagi, tetapi kenderaan yang dipamerkan dilihat mempunyai lampu utama LED, rim 19 inci (tayar 225/55), pintu but boleh buka secara elektrik serta lampu belakang LED bersama jalur yang bersambung di tengah.

    Pada bahagian dalam terdapat panel instrumen digital 10.25 inci, skrin sesentuh 12.3 inci untuk sistem infotainmen, pengecas tanpa wayar, tempat duduk hadapan larasan kuasa, bumbung suria boleh buka, tempat duduk balutan kulit/fabrik serta pendingin hawa automatik dengan corong di belakang. Pengesan radar yang berada di bampar hadapan juga memberi petunjuk ia akan mempunyai sistem bantuan pemandu tambahan.

    Berkenaan saiz, H6 mencatat ukuran panjang 4,683 mm, lebar 1,886 mm, tinggi 1,724 mm dan jarak roda 2,738 mm. Jika dibandingkan dengan SUV segmen C yang lain, Haval mempunyai jarak roda lebih panjang dengan mengatasi Proton X70 (2,670 mm), Honda CR-V (2,660 mm) dan Mazda CX-5 (2,700 mm).

    Meskipun H6 Hybrid ini masih belum dilancarkan di negara kita, ia sebenarnya sudah dijual di Thailand pada harga 1.349 juta baht (RM177,551) untuk varian Ultra. Bila tiba di Malaysia nanti anda rasa berapa harganya?

     
     
  • Toyota Yaris 2023 terima tingkat taraf kecil untuk pasaran Malaysia – tiada varian J, RM84k-RM88k

    Toyota Yaris 2023 terima tingkat taraf kecil untuk pasaran Malaysia – tiada varian J, RM84k-RM88k

    Toyota Yaris 1.5G 2021

    Mac lalu, Toyota Yaris untuk pasaran ASEAN telah pun menerima satu lagi versi facelift yang diperkenalkan di Thailand – tiada model serba baharu yang diasaskan dari Vios generasi terkini menggunakan asas Daihatsu New Global Architecture (DNGA). Nampaknya Malaysia juga menerima versi kemaskini Yaris untuk 2023 ini, namun tiada perubahan rupa diberikan, sebaliknya ia menerima beberapa tingkat taraf dari segi perincian.

    Untuk model tahun 2023 ini, UMW Toyota sudah tidak lagi menawarkan Yaris dalam varian paling asas J, sama seperti yang dibuat pada Vios. Jadi pembeli hanya boleh memilih sama ada Yaris 1.5 E yang dijual pada harga bermula RM83,300 dan juga varian tertinggi Yaris 1.5 G yang dijual pada harga RM87,600.

    Harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tanpa insuran. Ia juga masih menerima perlindungan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan. Jika anda rujuk balik dengan harga yang UMWT tawarkan selepas kemaskini pengenalan semula cukai jualan tahun lalu, harga untuk kedua-dua varian ini sebenarnya masih kekal sama.

    Seperti yang disebut tadi, tiada sebarang perubahan diberikan jika anda lihat Yaris 2023 ini pada sebelah luar, berbanding model pasaran Thailand yang kini menerima lampu dan bampar hadapan yang mungkin tidak sesuai dengan selera kita di Malaysia.

    Toyota Yaris 2023 terima tingkat taraf kecil untuk pasaran Malaysia – tiada varian J, RM84k-RM88k

    Kedua-dua varian masih datang dengan perincian seperti lampu hadapan LED bersama fungsi follow-me-home, lampu nyalaan siang dan lampu kabus LED, lampu belakang LED, lampu kabus belakang halogen, cermin sisi auto-lipat, rim aloi 16-inci dan cermin hadapan akustik.

    Yaris E kekal diberikan pembuka pintu dengan warna badan, manakala Yaris G juga kekal dengan pembuka pintu dalam kemasan krom. Satu-satunya perincian baharu yang boleh anda lihat pada sebelah luar adalah Yaris 2023 kini datang standard dengan tag RFID.

    Jika anda masuk ke dalam kabin pula, dapat dilihat kedua-dua varian Yaris 2023 ini diberikan meter Optitron baharu yang menampilkan tema merah-hitam berbanding biru sebelum ini, sementara skrin pelbagai info 4.2-inci masih dikekalkan. Istimewa untuk varian tertinggi Yaris G, pemandu akan turut menerima roda stereng yang dibalut dengan kulit lebih lembut, dan buat pertama kali menerima pedal penukar gear di belakang roda stereng berkenaan.

    Toyota Yaris 2023 terima tingkat taraf kecil untuk pasaran Malaysia – tiada varian J, RM84k-RM88k

    Toyota Yaris 1.5G 2021

    Selain itu, kedua-dua varian Yaris 2023 ini menerima tingkat taraf port USB type C untuk penumpang belakang dan corak tempat duduk baharu. Manakala unit kamera perakam digital (dashcam) hadapan yang dipadankan secara standard untuk kedua-dua varian kini diberikan fungsi untuk dihubungkan kepada telefon pintar.

    Bagi perincian lain, kedua-dua varian ini masih mengekalkan ciri yang sama termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, mod pemandua Sport dan Eco, scuff plate bernyala, Sistem Telematik Kenderaan (VTS), kunci automatik berdasarkan penderia kelajuan, tujuh-beg udara, penderia parkir belakang, VSC, Traction Control, sistem brek ABS dan EBD serta BA, dan bantuan mula mendaki.

    Pakej bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS) juga masih diberikan pada kedua-dua varian Yaris 2023 ini menampilkan sistem seperti sistem pra-pelanggaran (PCS) dengan brek kecemasan automatik, amaran keluar laluan (LDA), pemantau titik buta dengan amaran lintasan trafik belakang serta kamera pemantau panaromik 360-darjah.

    Toyota Yaris 2023 terima tingkat taraf kecil untuk pasaran Malaysia – tiada varian J, RM84k-RM88k

    Toyota Yaris 1.5G 2021

    Bagi pecahan perincian setiap varian, Yaris E dibekalkan dengan roda stereng dan tombol gear urethane, sistem pendingin hawa manual serta empat pembesar suara. Manakala Yaris G pula menerima roda stereng dan tombol gear balutan kulit, pendingin hawa automatik, enam pembesar suara, cermin pandang belakang elektrokromik dan juga tambahan penderia parkir hadapan.

    Tiada perubahan juga diberikan pada aspek mekanikal. Kedua-dua varian Yaris 2023 ini masih dijana enjin Dual VVT-i 2NR-FE 1.5 liter empat silinder berkuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear CVT automatik yang diberikan mod manual menampilkan tujuh-kelajuan maya.

    Empat warna badan masih ditawarkan untuk Yaris 2023 ini termasuk Red Mica Metallic, Platinum White Pearl dan Silver Metallic. Pembeli juga boleh memilih barisan aksesori asli seperti dashcam belakang berharga RM380, pengecas telefon tanpa wayar berharga RM490 serta kit badan berharga RM2,500.

     
     
  • Laluan motosikal di Plaza Tol Juru arah utara dilencongkan sementara pada 10-26 Mei – PLUS

    Laluan motosikal di Plaza Tol Juru arah utara dilencongkan sementara pada 10-26 Mei – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan lorong motosikal di laluan keluar Plaza Tol Juru (menghala ke utara/Sungai Dua) akan ditutup sementara selama tiga minggu mulai 10 hingga 26 Mei 2023, Ia adalah bagi kelancaran kerja pembaikan turapan lorong motosikal dan kerja berkaitan perabot jalan secara berperingkat di Plaza Tol Juru di Lebuhraya Utara-Selatan.

    “Kerja-kerja tersebut akan dilaksanakan melalui tiga fasa pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang tempoh tersebut. Walau bagaimanapun, lorong motosikal di lokasi tersebut dibuka seperti biasa pada hari Sabtu dan Ahad.

    “Sehubungan itu, pengguna motosikal di laluan tersebut akan dilencongkan di laluan keluar paling kiri di Plaza Tol Juru sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut dijalankan. Pengguna lebuh raya juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Sambung PLUS lagi, pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya merancang perjalanan atau mendapatkan maklumat trafik dengan menggunakan Aplikasi PLUS atau menerusi Chatbot PUTRI. Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi PLUSLine di 1800-88-0000 sekiranya ingin mendapatkan bantuan apabila berlaku kecemasan.

     
     
  • Sime Darby Motors buka pusat 3S BYD baharu di Lembah Klang – Ara Damansara, Glenmarie, Cheras

    Sime Darby Motors buka pusat 3S BYD baharu di Lembah Klang – Ara Damansara, Glenmarie, Cheras

    Sime Darby Motors (SDM) telah mengumumkan pelancaran pusat 3S BYD baharu di Lembah Klang. Yang pertama, terletak di Ara Damansara, dan dikendalikan oleh anak syarikat SDM iaitu Sime Darby Beyond Auto (SDBA).

    Dibangunkan dengan kos sekitar RM11 juta, pusat 3S ini terletak di kawasan seluas 19,375 kaki persegi, dilengkapi dengan kemudahan dan konsep peruncitan terkini yang senada dengan identiti jenama BYD. Fasiliti ini dikendalikan oleh 48 kakitangan, memiliki sejumlah emoat petak penyelenggaran yang mampu menyelenggara sehingga 270 kenderaan dalam sebulan.

    Pusat 3S BYD kedua pula terletak di Glenmarie, dan dikendalikan oleh BYD Sisma Auto. Dengan keluasan 21,527 kaki persegi, fasiliti ini menempatkan bilik pameran yang boleh mempamerkan sehingga sembilan unit kenderaan dan bahagian penyelenggaran pula dilengkapi 10 petak penyelenggaran. Bagi pusat 3S BYD ketiga pula, ia bertempat di Cheras dan dikendalikan oleh Millenium Autobeyond. Dengan kawasan fasiliti seluas 21,323 kaki persegi, ia turut menempatkan bilik pameran yang mampu mempamerkan empat unit kenderaan dan dilengkapi dengan lima petak penyelenggaran.

    Pelanggan boleh menikmati pelbaga kemudahan yang disediakan di ketiga-tiga pusat 3S BYD baharu ini termasuk ruang menunggu yang selesa, servis WiFi percuma, sudut mengecas peranti dan juga makanan ringan juga secara percuma.

    “Sebagai salah satu pemain utama dalam industri automotif, pembukaan tiga pusat 3S BYD ini adalah bukti komitmen kami ke arah memacu lebih banyak penggunaan kenderaan elektrik (EV) di kalangan rakyat Malaysia sambil kami berusaha untuk menyediakan perkhidmatan jualan dan selepas jualan bertaraf dunia kepada pelanggan BYD kami.

    “Kami berbesar hati dapat menjalin perkongsian yang kukuh dengan rakan kongsi pengedar kami – Sisma Auto dan Millenium Autobeyond – dan kami berharap dapat menawarkan rakyat Malaysia kenderaan dan penyelesaian BYD yang inovatif dan mampan yang memenuhi keperluan mobiliti mereka dan menyumbang kepada masa depan yang lebih hijau,” kata CEO Kumpulan Sime Darby Datuk Jeffri Salim Davidson.

    Menjelang akhir 2023, SDBA mensasarkan untuk mengembangkan lagi rangkaian pengedarnya di seluruh negara, termasuk di wilayah utara dan selatan.

     
     
  • Toyota sudah tarik balik Vios dari pasaran Thailand susulan salah laku ujian pelanggaran oleh Daihatsu

    Toyota sudah tarik balik Vios dari pasaran Thailand susulan salah laku ujian pelanggaran oleh Daihatsu

    Jika anda masuk ke laman sesawang rasmi Toyota Thailand, anda boleh lihat tiada lagi pilihan Yaris Ativ (atau dikenali sebagai Vios di Malaysia dan pelbagai pasaran lain) dipaparkan. Ini bermaksud jualan untuk sedan segmen-B yang dihasilkan bersama Daihatsu tersebut sudah pun ditarik balik dari jualan buat masa sekarang.

    Menurut laporan Reuters, jualan Yaris Ativ yang dihentikan di Thailand tersebut adalah susulan pengakuan yang dibuat oleh Daihatsu akhir bulan lalu menyatakan bahawa ia telah melakukan salah laku dalam ujian pelanggaran di Jepun, melibatkan empat model yang dihasilkan dari platform DNGA.

    Model-model terlibat adalah Vios/Yaris Ativ, Perodua Axia 2023, Toyota Agya dan sebuah lagi model yang akan dilancarkan. Daihatsu mengaku di atas perbuatan tersebut dalam sebuah kenyataan, dan menambah lebih 88,000 unit dari model yang terkesan itu telah dijual di Malaysia, Thailand, Indonesia, Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Mexico setakat ini.

    Toyota sudah tarik balik Vios dari pasaran Thailand susulan salah laku ujian pelanggaran oleh Daihatsu

    Apa yang berlaku adalah dalam ujian berkenaan Daihatsu telah mengubah suai struktur bahagian dalam panel pintu hadapan. Menurut laporan Reuters sebelum ini, ubahsuai tersebut dibuat bagi meminimumkan risiko panel plastik dalaman pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan – namun ia hanya untuk unit-unit yang diuji, dan tidak ada pada model produksi sebenar yang dijual.

    Dalam satu sidang media yang di buat di Bangkok, CEO Toyota untuk rantau Asia Masahiko Maeda berkata bahawa masalah ini mungkin timbul kerana tekanan yang diberikan kepada Daihatsu untuk memendekkan masa pembangunan model berkenaan. Beliau turut menambah bahawa unit-unit yang telah dihantar kepada pengguna buat masa sekarang masih lagi selamat untuk digunakan.

    Laporan dari Reuters turut menyebut ketika ini Toyota sedang bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi menyambung semula jualan Yaris Ativ yang di produksi oleh kilang Toyota yang terletak di wilayah Chachoengsao, dan siasatan lanjut kini sedang dijalankan.

    Toyota sudah tarik balik Vios dari pasaran Thailand susulan salah laku ujian pelanggaran oleh Daihatsu

    “Sekiranya pembangunan dibuat dalam keadaan yang betul, masalah seperti ini sudah tentu tidak akan berlaku,” kata Maeda.

    “Saya fikir hakikat bahawa ia tetap berlaku, bermakna terdapat sedikit tekanan ketika pembangunan,” katanya. Maeda turut menjelaskan bahawa saiz Vios yang besar turut menjadi faktor cabaran buat Daihatsu yang dikenali dengan kepakaran membina kereta dalam saiz lebih kecil.

    Untuk pasaran Malaysia, UMW Toyota dan juga Perodua mengeluarkan kenyataan rasmi yang senada, menyatakan bahawa pensijilan UN-R95 yang diterima untuk Vios dan Axia di Malaysia adalah sah. Ini bermakna kedua-dua syarikat tersebut memberi jaminan bahawa Vios dan Axia masih selamat digunakan di atas jalan raya, justeru tiada panggilan semula akan dibuat dan penghantaran tempahan yang telah dibuat oleh pelanggan akan diteruskan seperti biasa.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025