Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda ADV 160 dilancar untuk Malaysia – enjin 157 cc baru, ABS, sistem kawalan cengkaman, RM12,999

    Honda ADV 160 dilancar untuk Malaysia – enjin 157 cc baru, ABS, sistem kawalan cengkaman, RM12,999

    Hampir satu tahun selepas ADV 150 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, kini tiba pula model generasi baru yang akan menggantikannya, iaitu ADV 160 dengan harga RM12,999 tidak termasuk insurans. Dua warna ditawarkan untuk skuter bergaya adventure ini, iaitu Mat Charcoal Gray Metallic dan Vivacity Red.

    Seperti yang boleh diketahui melalui namanya, naik taraf utama pada ADV 160 ini adalah pada bahagian enjin, di mana sekarang ia menggunakan unit satu silinder suntikan bahan api 156.9 cc eSP+ yang dipadankan bersama transmisi CVT untuk menghasilkan kuasa 15.8 PS pada 8,500 rpm dan 14.7 Nm tork pada 6,500 rpm. Kuasa ini adalah sama seperti Vario 160 dan Air Blade 160 yang menggunakan enjin sama.

    Walaupun nampak seakan sama, semua panel badan serta casis skuter ini sebenarnya adalah baru, termasuklah panel yang memegang lampu hadapan, tepi, bawah, pelindung ekzos, penghadang angin (lebih tinggi) dan penghadang lumpur hadapan. Dengan badan yang sudah ditukar ini, ruang simpanan di bawah tempat duduk juga bertambah besar menjadi 30 liter. Lampu hadapan dan belakang LED bagaimanapun masih lagi sama seperti ADV 150.

    Bahagian meter juga telah diperbaharui dengan unit LCD yang rata tanpa sebarang butang, dan di sekelilingnya tidak mempunyai pelindung plastik seperti pada ADV 150. Semua informasi dipaparkan pada skrin ini, termasuklah lampu amaran yang sebelum ini diasingkan pada ADV 150, dan di bawahnya terdapat tiga butang kawalan.

    Model yang diperkenalkan untuk pasaran Malaysia ini, selain dilengkapi brek ABS single-channel, juga diberikan sekali dengan sistem kawalan cengkaman HSTC. Demi memberikan sedikit kepuasan kepada pengguna, sistem kawalan cengkaman ini boleh ditutup dengan menekan butang yang disediakan.

    Kelengkapan lain skuter ini masih lagi sama seperti ADV 150 yang diperkenalkan kali pertama pada tahun 2019, termasuk fork teleskopik di hadapan, dua penyerap hentak Showa di belakang dengan tabung gas, rim 14 inci di hadapan dengan tayar 110/80, rim 13 inci di belakang dengan tayar 130/70, sistem kunci pintar serta sistem start/stop enjin.

     
     
  • BMW CE04 ditunjuk di M’sia — bateri 8.9 kWh, jarak 130 km, 0-50 km/j 2.6 saat, anggaran harga RM60k

    BMW CE04 ditunjuk di M’sia — bateri 8.9 kWh, jarak 130 km, 0-50 km/j 2.6 saat, anggaran harga RM60k

    BMW Motorrad Malaysia telah memperkenalkan model skuter elektrik sulung keluarannya untuk pasaran tempatan, BMW CE 04, dengan harganya akan diumumkan pada Mac nanti, dijangka sekitar RM60,000. Pertama kali ditunjukkan sebagai rekaan konsep dengan nama BMW Motorrad Definition CE 04, model ini menampilkan rekaan futuristik dalam satu pakej yang mempertemukan antara teknologi dan penggayaan yang kompak.

    Dengan kedudukan yang rendah, BMW CE 04 menggunakan rangka utama yang diperbuat daripada tiub keluli yang dipadankan dengan bahagian luaran yang luas dan ringkas. Rekaan unik untuknya adalah tempat duduk terapung yang ditampilkan — dengan penyudah warna Light White dan perincian hitam kesat secara keseluruhannya.

    Bahagian depannya memanfaatkan fork teleskopik, lengkap dengan cakera brek berkembar untuk memastikan daya brek yang mencengkam. Rekaan rim yang ditampilkan juga sejajar dengan imej futuristik yang dibawanya, sementara tongkat sisi juga direka dan diambil kira dalam penggayaan yang sama.

    Tayar pula menggunakan saiz 120/70 R15 67H di depan, sementara di belakang menggunakan saiz 160/60 R15 56H. Bahagian belakang pula menggunakan swing arm tunggal dengan penyerap hentak yang terselindung sepenuhnya.

    BMW CE04 ditunjuk di M’sia — bateri 8.9 kWh, jarak 130 km, 0-50 km/j 2.6 saat, anggaran harga RM60k

    Kelibatnya di atas jalan diserikan oleh penggunaan lampu LED yang menyeluruh. Unit LED yang cerah digunakan untuk lampu utama, lampu belakang dan juga lampu isyarat. Ciri Adaptive Headlight Pro juga didatangkan sebagai standard bersama DRL dan juga lampu untuk aluan “Welcome” dan “Good Bye”.

    Yang menjadi penggerak utamanya adalah motor elektrik magnetik sejukan cecair yang diletak di bahagian bawah kerangka. Berada di antara bateri dan roda belakang, kedudukan ini menyumbang kepada rekaan graviti rendah baru BMW CE 04. Dari segi janaan kuasa, skuter ini menghasilkan output maksimum 31 kW (42 PS) dan 62 Nm tork, membolehkan pecutan 0-50 km/j dalam masa hanya 2.6 saat. Kelajuan maksimumnya pula ditetapkan pada 120 km/j.

    Kapasiti bateri lithium-ion juga besar dengan 8.9 kWh, yang menyediakan jarak perjalanan sehingga 130 km. Pengecasan dilakukan menerusi peranti pengecas bersepadu yang membolehkannya memanfaatkan sama ada soket domestik biasa di rumah, wallbox atau stesen pengecasan umum.

    BMW CE04 ditunjuk di M’sia — bateri 8.9 kWh, jarak 130 km, 0-50 km/j 2.6 saat, anggaran harga RM60k

    Dari keadaan kosong, bateri ini memerlukan masa 4 jam 20 minit untuk dicas AC, melalui output standard 2.3 kW. Dengan pengecasan pantas berkapasiti 6.9 kW, masa yang diperlukan hanya satu jam 40 minit. Penunggang juga mempunyai pilihan mod tunggangan — ECO, Rain dan Road, serta Dynamic. Untuk menjamin keselamatan dan kendalian berkesan, ciri BMW Motorrad Integral ABS Pro ditawarkan secara standard.

    Kelengkapan lain pada BMW CE 04 ini antaranya ialah paparan berwarna 10.25-inci TFT dengan Integrated Map Navigation, serta keterhubungan menyeluruh melalui BMW Motorrad Connected App. Melaluinya, penunggang boleh mengakses sistem tunjuk arah, serta status dan statistik kenderaan.

    Skrin tersebut juga boleh memaparkan peta tunjuk arah, tanpa memerlukan paparan tambahan dan boleh dikendali melalui multi-controller. Slot USB, ruang simpanan dengan pengecas USB, soket 12V, ruang simpanan helmet, sistem tanpa kunci dan bantuan mengundur juga termasuk sebagai ciri standard.

     
     
  • Sedan EV gergasi BMW i7 sekali lagi dilihat di Malaysia

    Sedan EV gergasi BMW i7 sekali lagi dilihat di Malaysia

    Belum lagi dilancarkan secara rasmi, tetapi sedan elektrik penuh bersaiz besar, BMW i7 telah beberapa kali dilihat di Malaysia. Yang terbaharu, ia dilihat pagi tadi ketika berlangsungnya BMW Group Malaysia 2023 Business Briefing di Kuala Lumpur. Berdasarkan nombor pendaftarannya, ia merupakan unit yang sama dilihat sebelum ini dengan warna badan Oxide Grey Metallic.

    Sehingga sekarang BMW Malaysia masih belum mengumumkan bila model ini akan dilancarkan secara rasmi pada pasaran tempatan. Namun pendaftaran minat untuk BMW i7 ini sebenarnya telah dibuka pada April lalu, diikuti dengan majlis prebiu yang dibuat secara tertutup pada bulan Julai 2022 dengan menampilkan model dalam versi pemanduan sebelah kiri.

    Bagi unit yang dilihat pagi tadi ini, ia dilihat mengenakan rim berdiameter 20-inci bersama tayar bersaiz 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang. Selain dari bahagian luarannya yang kelihatan jelas, kami turut sempat untuk mengintai bahagian dalam i7 tersebut.

    Sedan EV gergasi BMW i7 sekali lagi dilihat di Malaysia

    Antara perincian kabih yang dapat dilihat termasuk roda stereng tiga jejai berbanding unit dua-jejari pada model yang membuat kemunculan sulung global, perapi kayu dengan kemasan lebih gelap pada papan pemuka yang dilengkapi dua skrin lebar, bersama upholsteri kulit dalam kemasan Cognac.

    Sebelum ini BMW ada menyatakan bahawa i7 akan ditawarkan dalam varian xDrive60 terlebih dahulu. Versi tersebut menampilkan dua motor elektrik bagi memacu keempat-empat roda sedan ini dengan kuasa keseluruhan 544 PS dan tork maksima 745.

    Ini membolehkan gergasi i7 xDrive60 tersebut memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.7 saat dengan kelajuan maksima dihadkan secara elektronik pada 240 km/j.

    Motor-motor elektrik berkenaan menerima kuasa dari bateri lithium-ion berkapasiti 101.7-kWj yang diletakkan pada bahagian lantai, membolehkan ia bergerak sejauh 625 km dengan sau cas penuh menerusi kitaran ujian lebih realistik WLTP.

    Bateri tersebut boleh dicas semula menerusi Combine Charging Unit (CCU) yang membolehkan cas AC dibuat sehingga 11 kW menggunakan penyambung Type 2, memerlukan masa selama 9.5 jam untuk dicas penuh. Ia juga menyokong pengecas pantas DC sehingga 195 kW menerusi penyambung CCS2, membolehkan cas 10-80% dipenuhkan dalam masa 34 minit.

    Di United Kingdom, BMW i7 xDrive60 ini dijual pada harga bermula 110,000 pound sterling, atau sekitar RM585k. Dengan insentif pengecualian duti dan eksais bagi EV yang diimport sepenuhnya (CBU), agaknya berapa harga sedan EV gergasi ini jika dilancarkan di Malaysia kelak?

     
     
  • BMW 3 Series 2023 G20 facelift kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    BMW 3 Series 2023 G20 <em>facelift</em> kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    BMW Malaysia hari ini melancarkan model BMW 3 Series facelift 2023 untuk pasaran Malaysia. Merupakan model pemasangan tempatan, ia ditawarkan dalam tiga varian: 320i M Sport, BMW 330i M Sport dan BMW 330e M Sport, dengan harga jualan masing-masing RM263,600 (RM283,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis), RM297,600 (RM317,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis) dan RM278,600 (RM298,800 dengan pakej lanjutan jaminan dan servis) harga atas jalan dan tidak termasuk insuran. Selain daripada tiga varian ini, akan ada dua lagi varian BMW 3 Series terbaru ini yang akan diperkenalkan pada Mac nanti, dijangka varian M340i dan 330Li.

    BMW 3 Series 2023 ini menyerlahkan lagi imej ikonik dengan rekaan luaran yang sporty dan penampilan dinamiknya ke tahap yang baru. Bahagian depan terus dihiasi dengan rekaan “kidney grille” yang baru, menampakkannya lebih besar dan muscular.

    Lampu utama LED juga telah diberikan rekaan baru yang menampakkan kereta ini lebih lebar, termasuk di dalamnya lampu DRL dalam bentuk L terbalik. Bahagian apron juga diberi sentuhan baru, dengan masih menempatkan bukaan tirai udara yang menjadi ciri khas BMW — mengapit bukaan tengah yang hadir dengan corak honeycomb dari pakej M Sport yang ditawarkan standard untuk semua varian.

    BMW 3 Series 2023 G20 <em>facelift</em> kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    Dilihat dari sisi, BMW 3 Series 2023 facelift ini terserlah dengan imej dan garis sporty yang diperkemas. Jarak antara rodanya panjang, begitu juga dengan bonet dan bahagian overhang yang pendek. Rim pula menggunakan saiz 18-inci M jejari berkembar Style 848 M Bicolour. Logo M turut menghiasi bahagian sisinya, dan dilengkapi juga dengan M Sport Suspension bagi varian petrol, sementara varian BMW 330e M Sport memanfaatkan Adaptive M Suspension.

    Bahagian belakang sedan ini tampil lebih menarik dan segar dengan penggayaan sporty, ditonjolkan antaranya dengan dua corong ekzos yang ditambah menjadi 100 mm diameternya, disertai juga bahagian diffuser yang tambah mengemaskan penampilannya. Pakej M Aerodinamic dan M High-gloss Shadowline melengkapkan lagi sisi ranggi berkenaan, kedua-duanya datang sekali bersama M Sport Package.

    Di dalam, pengenalan ciri BMW Curved Display menyuntik tahap kecanggihan dan pendigitalan baru kepada BMW 3 Series ini. Dengan paparan maklumat 12.3-inci dan paparan kawalan skrin sentuh 14.9-inci disepadukan dalam satu rekaan tanpa bingkai yang menawan.

    BMW 3 Series 2023 G20 <em>facelift</em> kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    Walaupun BMW Curved Display menempatkan pelbagai kawalan, fungsi keselamatan serta yang kerap digunakan masih boleh di kawal melalui butang kawalan fizikal — yang direka untuk memudahkan pemandu, dan terletak di bawah corong pendingin. Rekaan yang ditampilkan ringkas, dan lebih mementingkan fungsi kepenggunaan. Semua varian juga hadir dengan paddle shifter.

    BMW 3 Series 2023 ini meneruskan tradisi sedia ada dengan menawarkan agihan berat depan/belakang dalam nisbah 50:50, jejak yang lebar, badan teguh, pusat graviti rendah dan teknologi casis yang cemerlang bagi menjamin dinamik pemanduan yang mantap.

    BMW 320i M Sport terbaru ini menggunakan enjin 2.0L empat-silinder sebaris yang menghasilkan sebanyak 184 hp (135 kW) dan 300 Nm tork, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa hanya 7.4 saat dengan laju maksimum dihadkan kepada 235 km/j.

    BMW 3 Series 2023 G20 <em>facelift</em> kini di Malaysia — tiga varian M Sport bagi 320i, 330i, 330e; dari RM264k

    Bagi BMW 330i M Sport, enjin 2.0L empat-silinder sebarisnya menghantar kuasa maksimum 258 hp (190 kW) dan 400 Nm tork, dengan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam 5.8 saat sementara laju maksimum dihad kepada 250 km/j.

    Sistem pacuan plug-in hybrid pada BMW 330e M Sport terbaru ini pula memberikan output gabungan 292 hp (215 kW) dan 420 Nm tork, dari enjin 2.0L, dengan motor elektrik yang menyediakan 109 hp (80 kW) dan 265 Nm tork, dengan 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat juga.

    Ini membolehkan pecutan 0-100 km/j dicapai dalam masa 5.8 saat, dengan laju maksimum dihadkan kepada 230 km/j (laju maksimum untuk pacuan elektrik adalah 140 km/j). Sebagai penawaran standard, semua varian BMW 3 Series ini dipadankan dengan transmisi Steptronic Sport lapan-kelajuan.

    Kelengkapan lain pada model ini termasuklah BMW Live Cockpit Professional, yang dikuasakan oleh versi terkini BMW Operating System 8. Terdapat juga beberapa cara intuitif untuk berinteraksi dengan kenderaan — bahasa melalui BMW Intelligent Personal Assistant, operasi skrin sentuh menggunakan Control Display, BMW iDrive Controller dan akses kawalan langsung melalui sentuhan. Live Cockpit Professional dengan BMW Head-Up Display juga tersedia.

    Lain-lain ciri digital pada model ini termasuk Comfort Access, Remote Software Update dan BMW ID. Bagi Connected Package Professional, yang termasuk perkhidmatan digital seperti Remote Services, Apple CarPlay® dan Android Auto juga ditawarkan dengan BMW 3 Series baru ini — sebuah penawaran standard bagi model BMW bermula 2023. Melalui My BMW App, pemandu juga boleh mengakses fungsi sokongan lain untuk pengalaman mobiliti yang lebih mudah.

    BMW 3 Series 2023 juga didatangkan dengan jaminan menyeluruh daripada BMW Group Malaysia, termasuk jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan dengan program servis berjadual percuma; bantuan tepi jalan dan hotline kemalangan; BMW Group Loyalty+ Mobile App — BMW Privileges Card; dan BMW Service Online.

    BMW 320i M Sport 2023

    BMW 330e M Sport 2023


    BMW 330i M Sport 2023

     
     
  • Selangor bakal turap jalan secara besar-besaran pada Mac ini dengan kos peruntukan cecah RM50 juta

    Selangor bakal turap jalan secara besar-besaran pada Mac ini dengan kos peruntukan cecah RM50 juta

    Kerajaan Selangor telah memperuntukan sejumlah RM50 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penurapan jalan secara besar-besaran di negeri ini pada Mac 2023. Perkara ini disahkan oleh Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor Izham Hashim, yang berkata projek ini membabitkan jalan di bawah pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini kecuali Jalan Persekutuan, laporan Harian Metro.

    “Saya sudah berbincang dengan menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenai kaedah untuk memastikan jalan persekutuan termasuk lebuh raya dalam keadaan baik. Penyelenggaraan yang begitu longgar menyebabkan banyak aduan diterima mengenai jalan persekutuan yang memerlukan bajet khas untuk dibaiki,” katanya.

    Pada akhir November lalu, kerajaan Selangor mengumumkan peruntukan RM145 juta untuk meningkatkan sistem jaringan jalan raya tahun ini bagi memberi keselesaan kepada pengguna yang semakin bertambah. Menerusi pembantangan Bajet 2023 Negeri Selangor oleh Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari, sebanyak RM40.98 juta diagihkan kepada JKR untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi.

    Selangor bakal turap jalan secara besar-besaran pada Mac ini dengan kos peruntukan cecah RM50 juta

    Menurut Amirudin, sebanyak RM40.98 juta bakal diagihkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melaksanakan pembinaan jalan baharu di beberapa lokasi. Kawasan yang terlibat adalah Kampung Sri Indah A ke Hospital Sungai Buloh, jalan sambungan Sungai Kelambu-Genting Sanyen dan Kampung Ulu Chuchuh ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

    Selain itu, sejumlah RM65.3 juta turut diperuntukan bagi menaik taraf beberapa laluan utama termasuk di Jalan Bukit Rimau di Klang, Jalan Reko di Hulu Langat, simpang tiga Jalan Rahidin, Shah Alam, persimpangan Jalan Kampung Bukit Dugang di Sepang, jalan ke Sekolah Menengah Kebangsaan Tiram Jaya di Kuala Selangor, dan Jalan Sungai Panjang dari simpang Jalan Kuala Selangor-Teluk Intan ke Parit Empat Timur.

    Beberapa projek infrastruktur lain di serata negeri Selangor turut disediakan sejumlah peruntukan iaitu bagi pembinaan jambatan dan jejantas (RM11.8 juta), pemasangan lampu jalan jenis diod pemancar cahaya atau LED (RM3 juta), kerja warta jalan negeri (RM1.5 juta) dan program warta laluan negeri (RM2 juta).

     
     
  • KLIA Ekspres kembali dengan perkhidmatan tanpa-henti, tidak lagi gabung bersama KLIA Transit

    Klik untuk besarkan imej

    Bagi yang menggunakan KLIA Ekspres untuk ke/dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dimaklumkan bahawa perkhidmatan tren berkenaan telah disambung semula.

    Ini bermakna perkhidmatan tren tanpa-henti dari KL Sentral ke KLIA dan KLIA 2 kembali beroperasi seperti sedia kala, dengan kedua-dua perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit, tanpa digabungkan. Sepanjang tempoh pandemik, tren bandar-ke-lapangan terbang itu digantung atau kemudian digabungkan disebabkan lockdown dan permintaan yang rendah.

    Kini KLIA Ekspres diaktifkan semula dan bergerak setiap 20 minit pada waktu puncak pagi dan petang. Manakala kekerapan bagi KLIA Transit pula turut dikemaskini dengan pergerakan setiap 15 minit sepanjang waktu puncak pada hari biasa, dengan operasinya dilanjutkan ke 8 malam (berbanding 7 malam sebelum ini) bagi kemudahan penumpang.

    Pada waktu puncak, sepanjang tujuh tren berkhidmat setiap jam. Kedua-dua tren KLIA Ekspres dan Transit bergerak selang 30 minit sepanjang tempoh bukan-puncak. Di KL Sentral, KLIA Ekspres akan bergerak dari platform balai pelepasan asalnya. Perjalanan mengambil masa sekitar 28 minit atau 33 minit ke/dari KLIA2.

     
     
  • Wanita maut dilanggar lori kontena ketika berhenti di bahu Lebuhraya PLUS kerana kereta rosak pagi tadi

    Wanita maut dilanggar lori kontena ketika berhenti di bahu Lebuhraya PLUS kerana kereta rosak pagi tadi

    Seorang wanita dilaporkan meninggal dunia dilanggar oleh sebuah lori kontena pagi tadi di kilometer (KM) 235.6 arah utara, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

    Menurut Ketua Operasi anggota bertugas Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar PBK II Saiful Hanif bin Mahmad Ayub, wanita berkenaan dilanggar ketika berhenti di bahu lebuhraya tersebut kerana kereta Honda Civic yang dipandunya rosak.

    Saiful turut menjelaskan lori berkenaan melanggar bahagian sisi Honda Civic tersebut bersama mangsa yang turut berada di sisi keretanya ketika itu. Gambar yang disiarkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perak menunjukkan lori kontena yang melanggar kereta berkenaan turut terbabas dan separa terbalik di tepi jalan.

    Anggota bertugas BBP Kuala Kangsar telah ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 5.23 pagi. Mangsa disahkan telah meninggal dunia oleh pegawai perubatan KKM. Manakala 3 orang lagi mangsa termasuk pemandu lori terselamat.

    “Anggota Bomba bertindak melakukan pemantauan di lokasi kejadian bagi memastikan tiada lagi mangsa lain yang terlibat. Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya. Setelah memastikan keadaan di lokasi benar selamat, operasi ditamatkan pada jam 6.02 pagi,” tulis kenyataan yang dikeluarkan oleh JBPM Negeri Perak.

    Ini bukan pertama kali kejadian seperti ini berlaku. Jadi sekiranya anda berhadapan dalam situasi yang sama, mungkin beberapa langkah pencegahan boleh dibuat. Jangan terlalu yakin bahawa semua pemandu jalan raya peka dengan keadaan sekeliling dan nampak kereta anda rosak di tepi jalan.

    Sekiranya kereta anda masih mempunyai perlindungan bantuan tepi jalan sama ada dari pengeluar mahupun pihak insuran, atau paling kurang peronda keselamatan lebuhraya seperti PLUSRonda, ada baiknya anda menghubungi mereka dan jauhkan diri anda dari jalan raya sementara menunggu bantuan tersebut sampai.

     
     
  • Hyundai Ioniq 5 dengan sistem e-Corner diperkenal – boleh gerak seperti ketam, serong, pusing setempat

    Hyundai Ioniq 5 dengan sistem e-Corner diperkenal – boleh gerak seperti ketam, serong, pusing setempat

    Hyundai Mobis (MObility Beyond Integrated Solution) adalah sebuah syarikat yang bertanggungjawab membangunkan teknologi baru untuk Hyundai Motor Group, dan pada tahun 2021, ia telah menunjukkan sistem e-Corner melalui model konsep M.Vision Pop dan M.Vision 2Go.

    Tahun ini di pameran Consumer Electronics Show (CES), syarikat itu memperkenalkan pula model konsep M.Vision To dan M.Vision Hi, yang turut dipasang dengan sistem e-Corner, membolehkan ia membuat pergerakan seperti ketam (crab walk), berpusing setempat (zero turn), bergerak menyerong (diagonal driving) dan bahagian belakang sahaja yang berpusing (pivot turn). Untuk memahami lebih lanjut anda boleh tonton video di bawah.

    Bukan setakat pada dua model konsep ini sahaja, Hyundai Mobis juga telah memasang sistem e-Corner pada Ioniq 5. Seperti yang boleh anda lihat dalam video di bawah, sistem dapat meningkatkan pengendalian kenderaan elektrik tersebut, dan boleh bergerak ke pelbagai arah.

    Menurut syarikat itu lagi, sistem e-Corner direka untuk kenderaan elektrik hibrid (HEV), elektrik bateri (BEV) dan elektrik fuel cell (FCEV). Sistem ini menggunakan motor yang terletak pada roda, dan turut mempunyai sistem brek dan membelok by wire, dan juga penyerap elektrik yang digabungkan dalam satu pakej. Ia boleh dipasang pada kenderaan tanpa memerlukan enjin pembakaran dalaman, rekaan casis biasa atau kolum stereng.

    Setiap roda boleh bergerak, brek dan belok secara sendiri, sekaligus membenarkan pacuan empat roda sebenar, yang boleh dipasang pada pelbagai jenis kenderaan seperti SUV, saiz sederhana ataupun kompak. Perincian teknikalnya anda boleh lihat melalui video di bawah.

     
     
  • Wanita pandu Mercedes-Benz A-Class ‘kantoi’ 45 kali culas bayar tol bernilai RM275.65 di AKLEH

    Wanita pandu Mercedes-Benz A-Class ‘kantoi’ 45 kali culas bayar tol bernilai RM275.65 di AKLEH

    Seorang wanita yang memandu Mercedes Benz A-Class W176 berwarna hitam di tahan di plaza tol Lebuhraya Bertingkat Ampang–Kuala Lumpur (AKLEH) kerana didapati culas membayar tol sebanyak 45 kali.

    Perkara ini dilaporkan dalam ciapan akaun Twitter pengendali lebuhraya berkenaan iaitu PROLINTAS AKLEH. Menurut Prolintas, wanita berkenaan kemudiannya diarahkan untuk membayar kesemua bayaran tol tertunggak kerana ‘menceroboh’ lebuhraya berkenaan sebanyak 45 kali tersebut yang berjumlah RM275.65.

    Bayaran berkenaan kemudiannya dilangsaikan serta merta oleh pemandu tersebut. Prolintas turut berpesan kepada orang ramai agar mengambil iktibar dari insiden ini dengan tidak meniru aksi tidak bermoral seperti ini.

    “Anda bukan saja menceroboh, perbuatan ini juga membahayakan kenderaan lain,” kata PROLINTAS AKLEH dalam ciapan berkenaan.

     
     
  • Volvo Car Malaysia jual 3,194 buah kenderaan pada 2022 – peningkatan 43% berbanding tahun 2021

    Volvo Car Malaysia jual 3,194 buah kenderaan pada 2022 – peningkatan 43% berbanding tahun 2021

    Secara keseluruhannya, Volvo Car Malaysia telah menjual 3,194 buah kenderaan pada tahun lepas, yang mana bersamaan dengan peningkatan 43% berbanding tahun 2021. Ini adalah satu catatan rekod baru bagi syarikat itu, dan menandakan tahun ketujuh berturut-turut ia dapat mencatat peningkatan jualan di dalam negara.

    Syarikat itu juga memberitahu dalam siaran akhbar bahawa bulan terbaik bagi 2022 adalah Disember, di mana mereka berjaya menjual lebih 395 buah kenderaan. Pelancaran XC40 Recharge Pure Electric dan C40 Recharge Pure Electric diberitahu membantu meningkatkan lagi jumlah jualan.

    Kedua-dua model ini dipasang di Shah Alam (CKD), dan berjaya memenuhi permintaan pasaran untuknya. XC40 EV diperkenalkan pada bulan Mac tahun lepas, dan menjelang bulan Jun, ia telah habis dijual. Menurut VCM, sehingga kini mereka masih sedang mengusahakan penghantaran kenderaan sementara tempahan yang diterima untuk 2023 juga adalah baik.

    Volvo Car Malaysia jual 3,194 buah kenderaan pada 2022 – peningkatan 43% berbanding tahun 2021

    Melihat kepada C40 pula, model yang mula dijual pada bulan lepas ini sudah menerima lebih 100 tempahan di atas talian, iaitu hanya 10 hari selepas pelancarannya. Menurut VCM, syarikat mensasarkan 75% daripada jualan adalah untuk barisan model Recharge Pure Electric mejelang 2025 dan petunjuk diberi bahawa model EX90 juga bakal tiba ke dalam negara.

    “Pelancaran dua model elektrik pemasangan tempatan pertama kami telah menjadi pemangkin kepada jualan bulanan. Dengan peningkatan perkongsian pasaran kenderaan elektrik kami secara global, kami optimis perkara sama akan berlaku di Malaysia,” kata pengarah urusan VCM, Charles Frump.

     
     
  • BMW i Vision Dee diperkenal – EV boleh bertukar warna dengan HUD besar, petunjuk Neue Klasse baru

    BMW i Vision Dee diperkenal – EV boleh bertukar warna dengan HUD besar, petunjuk Neue Klasse baru

    Bulan lepas, akaun media sosial BMW menunjukkan seakan-akan ia telah diambil alih oleh orang lain dengan beberapa muatan misteri oleh ‘sesuatu’ yang dipanggil sebagai Dee. Rupanya, itu memang rancangan pemasaran BMW, dan akaun mereka bukannya diceroboh, sebaliknya adalah pemanas suasana bagi sebuah kereta konsep bernama Dee (Digital Emotional Experience) yang baru mereka perkenalkan di Las Vegas.

    BMW i Vision Dee dihasilkan bertujuan untuk mempamerkan beberapa teknologi baru yang mungkin akan dibawa oleh BMW kepada kenderaan elektrik (EV) generasi terkini – Neue Klasse – bermula tahun 2025. Menurut BMW lagi, fokus utamanya adalah untuk memberikan pengalaman digital unik kedua-dua di luar dan dalam kereta.

    Antara teknologi yang ditunjukkan melalui Dee adalah BMW Mixed Reality Slider, yang beroperasi bersama dengan unit head-up display serba çanggih. Ini adalah pusat kawalan utama Dee dan mempunyai satu panel sesentuh pada papan pemuka di mana pemandu boleh memilih berapa banyak fungsi digital yang mereka mahu lihat di depan.

    BMW i Vision Dee diperkenal – EV boleh bertukar warna dengan HUD besar, petunjuk Neue Klasse baru

    Lima mod yang disediakan bermula dari jenis analog hinggalah informasi berkaitan pemanduan, dan juga kandungan sistem komunikasi, paparan Augmented Reality (AR), serta Virtual Reality (VR). Akhir sekali, BMW memberitahu, pada kereta ini juga terdapat cermin yang boleh memadamkan pandangan sebenar sedikit demi sedikit dan mencipta dimensi pengalaman memandu yang baru bagi pengguna.

    Mod VR pada Dee adalah satu evolusi bagi sistem yang pernah BMW tunjukkan pada M2 sebelum ini, tetapi pengguna tidak perlu memakai sebarang peralatan VR di kepala. Meskipun kita tidak akan melihat fungsi ini pada kenderaan produksi pada masa terdekat, BMW mengesahkan bahawa kenderaan Neue Klasse mereka nanti akan dipasang dengan variasi head-up display Dee, yang boleh memaparkan informasi pada keseluruhan cermin hadapan apabila diaktifkan.

    Pada bahagian dalam kenderaan ini, tiada lagi sistem iDrive BMW dan pelbagai butang kawalan lain kerana kebanyakan fungsi diakses melalui pad sesentuh di stereng ataupun melalui bantuan kawalan suara.

    Bahagian luar juga menggunakan rekaan minimalis yang seakan membawa kepada rasa retro dan masih mengekalkan tanda unik BMW seperti lengkuk Hofmeister pada panel dan tingkap belakang. Gril kidney di bahagian hadapan serta lampunya mempunyai permukaan rata dipanggil oleh BMW sebagai phygital (gabungan fizikal dan digital), dan ia boleh memaparkan ‘ekspresi muka’ yang berbeza.

    Itu baru sedikit, dan Dee juga boleh memaparkan imej pemandu pada cermin sisi sebagai fungsi alu-aluan dan juga teknologi E Ink (ditunjukkan kali pertama melalui iX Flow tahun lepas) yang boleh menukar penampilan kenderaan menggunakan pelbagai kombinasi daripada 32 warna yang disediakan.

    Dengan kenderaan EV Neue Klasse bakal diperkenalkan bermula tahun 2025, Dee ini mungkin menjadi petunjuk pertama bagi 3 Series generasi baru, yang mana bakal menjadi dua model saiz sederhana pengenalan pertama bagi Neue Klasse. Satu lagi model katanya adalah SUV bersaiz seperti X3.

     
     
  • BYD T3 bakal dipasang di Tanjung Malim oleh CSH Alliance – model CBU van EV ini dijual sebelum CKD

    BYD T3 bakal dipasang di Tanjung Malim oleh CSH Alliance – model CBU van EV ini dijual sebelum CKD

    Alliance EV (AEV), anak syarikat milik penuh CSH Alliance, telah mendapat lesen pengeluaran bagi pemasangan van elektrik BYD T3. Menurut yang difailkan bersama Bursa Malaysia, T3 akan dikeluarkan secara model pemasangan tempatan (CKD) di kilang yang terletak di Tanjung Malim, Perak.

    Dokumen tersebut turut menyebut AEV buat masa ini sedang memohon permit kelulusan (AP) daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta kelulusan lain daripada pihak berkuasa yang berkaitan untuk membawa masuk unit T3 yang diimport sepenuhnya (CBU) ke dalam negara untuk tujuan pengedaran sebelum permulaan operasi CKD.

    Dalam kenyataan berasingan yang dilaporkan Bernama, CSH Alliance berkata berkata kilang itu akan ditempatkan secara khusus di Automotive Hi-Tech Valley (AHTV) milik DRB-Hicom. Sebelum ini, syarikat berkenaan telah mengumumkan perolehan tiga plot tanah perindustrian seluas 55.3186 ekar di kawasan itu.

    BYD T3 bakal dipasang di Tanjung Malim oleh CSH Alliance – model CBU van EV ini dijual sebelum CKD

    T3 merupakan kenderaan kompak (untuk kelasnya) yang berukuran 4,460 mm panjang, 1,720 mm lebar dan 1,875 tinggi dengan jarak roda mencecah 2,725 mm. Ia memiliki ruang kargo berkapasiti 3,800 liter, dan kenderaan elektrik (EV) ini dipadankan oleh motor yang dipasang di hadapan berkuasa 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 180 Nm, dengan kelajuan tertinggi 100 km/j.

    Motor elektrik berkenaan dijanakan oleh bateri lithium-ion NCM (nickel-cobalt-manganese) yang dibangunkan sendiri oleh BYD dengan kapasiti tenaga mencecah 50.3 kWH. Ia memberikan jarak gerak sehingga 300 km, dan pengecasan penuh menerusi pengecas AC pada kadar 6.6 kW yang mengambil masa sekitar 7.6 jam, atau pun pengecas pantas DC pada kadar 40 kW yang mengambil masa 1.3 jam.

     
     
  • Tempoh menunggu Honda Civic Type R FL5 di Jepun cecah 2 tahun; 20k tempahan dalam 3 bulan pertama!

    Tempoh menunggu Honda Civic Type R FL5 di Jepun cecah 2 tahun; 20k tempahan dalam 3 bulan pertama!

    Selepas Honda Civic Type R FL5 mula dijual di Jepun pada September tahun lalu, laman automotif Jepun Creative311 melaporkan bahawa sehingga Disember lalu Honda kini menerima tempahan mencecah 20,000 unit hot-hatch berkenaan untuk pasaran domestik, dan ia seterusnya menyebabkan tempoh menunggu kini mencecah dua tahun!

    Dengan tempahan yang begitu banyak ini, Creative311 menyatakan bahawa Honda telah mengeluarkan notis kepada pengedar pada 19 Disember lalu untuk membekukan seketika tempahan Type R FL5 berkenaan bermula pada 19 Januari ini. Honda dijangka bakal mengumumkan secara rasmi langkah untuk menghentikan sementara tempahan untuk Civic Type R berkenaan pada akhir bulan ini.

    Laman berkenaan turut melaporkan bahawa selepas orang ramai mengetahui Honda bakal menghentikan seketika tempahan model itu, semakin ramai pelanggan mula menempah FL5 tersebut lebih dari satu unit terutamanya bagi kegunaan syarikat, malah ada yang mula menempah unit ketiga mereka.

    Tempoh menunggu Honda Civic Type R FL5 di Jepun cecah 2 tahun; 20k tempahan dalam 3 bulan pertama!

    Tidak seperti model FK8 sebelum ini yang diproduksi di kilang Honda Swindon, United Kingdom, FL5 kini diproduksi semula di Jepun. Secara spesifiknya produksi Civic Type R 2023 ini dibuat di kilang Honda Yorii yang berada di Saitama. Ia bukanlah kilang yang sama menghasilkan Civic Type R EK9 dan dan Civic Type R FD2 sebelum ini kerana kedua-dua model berkenaan dihasilkan di kilang Mie Honda yang terletak di Suzuka.

    Laporan Creative311 menyebut bahawa pelanggan yang menempah FL5 pada minggu pertama September hingga minggu pertama Oktober 2022 akan menerima kereta mereka pada tahun ini atau sekitar Januari hingga Mac 2024. Pelanggan yang menempah pada bulan Oktober 2022 pula akan menerima kereta mereka sama ada pada separa pertama atau separa kedua 2024.

    Manakala pelanggan yang menempah Civic Type R FL5 mereka pada November 2022 pula hanya akan menerima kereta mereka sama ada pada separa pertama atau separa kedua 2025.

    Jumlah tempahan yang begitu banyak diterima untuk pasaran Jepun ini juga nampaknya telah menjejaskan bekalan untuk pasaran eksport lain kerana ia hanya dihasilkan oleh satu kilang untuk pasaran seluruh dunia. Di Australia misalnya, pasaran itu hanya menerima 600 unit Type R FL5 untuk tahun pertama, dan kesemuanya habis dijual dalam masa 24 jam, manakala pelanggan yang menempah perlu menunggu selama 18 bulan hingga dua tahun, lapor Drive.com.au.

    Manakala di Kanada, Honda hanya memperuntukkan 546-unit Civic Type R FL5 ini untuk tempoh masa tiga tahun, atau 182-unit setahun. New Zealand pula hanya menerima beberapa ratus unit dalam tempoh masa sama, lapor Drive.com.au lagi.

    Di Jepun, Civic Type R ditawarkan pada harga 4,997,300 yen (RM162,337) atau lebih mahal dari Civic Type R FK8 sebelumnya yang dijual pada harga 4,500,360 yen (RM146,203). Manakala di Australia pula, model ini dijual pada harga AUD72,600 (RM220,049), atau AUD12,000 (RM36,373) lebih mahal berbanding Type R FK8 yang dijual pada harga AUD60,000 (RM166,672).

    Tempoh menunggu Honda Civic Type R FL5 di Jepun cecah 2 tahun; 20k tempahan dalam 3 bulan pertama!

    Honda Civic Type R generasi baharu ini diasaskan dari Civic generasi ke-11 dalam versi hatchback. Ia masih dijana enjin KC20C1 2.0 liter turbo empat-silinder, tetapi menerima kemaskini membolehkan ia menghasilkan kuasa hingga 330 PS dan tork maksima 420 Nm bagi model pasaran Jepun, dan 320 PS untuk pasaran lain – naik 10 PS (9 hp atau 7 kW) dan 20 Nm berbanding Type R FK8.

    Enjin tersebut juga masih hanya menerima transmisi enam-kelajuan lengkap dengan LSD untuk memacu roda hadapan. FL5 tidak lagi menerima rim 20-inci, diganti dengan set berdiameter 19-inci tetapi menerima tayar yang lebih lebar (265/30 berbanding 245/30).

    Antara kelengkapan standard untuk FL5 ini termasuk upholsteri sued hitam dan merah, karpet merah, tombol gear aluminium, sistem data logger untuk litar Honda LogR, kluster instrumen digital 10.2-inci, sistem infotainmen skrin sesentuh 9-inci, penghawa dingin dua zon, pengecas tanpa wayar dan lampu suasana kabin.

    Ia turut menerima pakej bantuan pemanduan keselamatan Honda Sensing yang terdiri dari fungsi brek kecemasan automatik, cruise control adaptif, bantuan kekal lorong, pemantau titik buta, amaran lintasan trafik belakang dan pengenal tanda trafik. Lima warna ditawarkan iaitu Championship White, Rally Red, Sonic Grey, Crystal Black dan juga Boost Blue.

    GALERI: Honda Civic Type R 2023

     
     
  • Puspakom lanjut operasi pada Sabtu ini, 14 Januari

    Puspakom lanjut operasi pada Sabtu ini, 14 Januari

    Puspakom telah mengumumkan bakal membuka beberapa cawangannya di seluruh negara pada Sabtu ini, 14 Januari 2023. Operasi yang dilanjutkan ini dari jam 8 pagi hingga 5 petang. Ia melibatkan sebanyak 15 cawangan untuk operasi yang dilanjutkan ini.

    Semua pelanggan perlu membuat tempahan temujanji menerusi MyPuspakom sebelum pergi ke mana-mana cawangan yang terpilih. Tiada kunjungan secara ‘walk-in’ akan diterima. Berikut merupakan senarai cawangan yang akan dibuka pada Sabtu ini.

      Lembah Klang

    • Wangsa Maju
    • Petaling Jaya
    • Shah Alam
    • Padang Jawa
      Utara

    • Alor Setar
    • Mak Mandin (Penang)
    • Gopeng (Perak)
      Selatan

    • Alor Gajah (Melaka)
    • Johor Bahru
    • Kluang
    • Pasir Gudang

      Pantai Timur

    • Kuantan
    • Kota Bharu
      Malaysia Timur

    • Kota Kinabalu
    • Kuching
     
     
  • Prasarana belanja RM2.8b untuk tambahbaik perkhidmatan tren, bas – kos diberi oleh MOF, MOT

    Prasarana belanja RM2.8b untuk tambahbaik perkhidmatan tren, bas – kos diberi oleh MOF, MOT

    Prasarana Malaysia Bhd telah memaklumkan pihaknya bakal membelanjakan sejumlah RM2.8 bilion bagi menambahbaik keseluruhan perkhidmatannya, termasuk bagi membeli alat ganti tren dan menambah bilangan tren serta bas.

    Kos perbelanjaan yang disediakan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu meliputi keseluruhan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kelolaan Prasarana susulan permintaan tinggi dalam kalangan warga kota, ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah.

    “Jika dilihat penambahbaikan yang diperlukan, kami perlu menggantikan alat-alat secepat mungkin serta menambah bilangan tren yang tidak mencukupi buat masa ini,” katanya.

    Tambah beliau, pandemik COVID-19 menjejaskan rantaian bekalan di peringkat global dan Prasarana tidak terkecuali terkesan dengan masalah ini.

    Prasarana belanja RM2.8b untuk tambahbaik perkhidmatan tren, bas – kos diberi oleh MOF, MOT

    “Buat masa ini, isu yang kami hadapi adalah perkhidmatan perlu dinaik taraf dan bekalan alat gantian yang terjejas. Ini termasuklah alat ganti yang diperlukan bagi tren laluan Kelana Jaya, yang sering mengalami gangguan perkhidmatan, turut menerima kesan isu rantaian bekalan apabila pihak pengendali lewat menerimanya.

    “Pesanan yang kami buat pada awal tahun lalu tidak dapat dihantar pada masa yang ditetapkan. Kami seharusnya menerima alat ganti yang dipesan untuk tren pada Ogos 2022 namun ia hanya akan diterima pada Januari dan Mei tahun ini,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Beliau turut berkata, laluan Kelana Jaya yang berusia hampir 25 tahun itu seharusnya ditambah baik sepenuhnya pada tiga atau empat tahun lepas, namun penambahbaikan hanya dapat dibuat bagi laluan Ampang sahaja.

    “Bagi laluan Kelana Jaya ini pada tiga, empat tahun yang lalu tidak dapat dinaik taraf secara menyeluruh dan (saya) akui terdapat kelemahan daripada aspek penyelenggaraan bagi laluan ini, tetapi penyelesaiannya, saya sudah mendapat kebenaran daripada lembaga pengarah dan Kementerian Kewangan untuk menaik taraf laluan berkenaan secepat mungkin,” katanya.

    Prasarana belanja RM2.8b untuk tambahbaik perkhidmatan tren, bas – kos diberi oleh MOF, MOT

    Beliau berkata, Prasarana memulakan penambahbaikan sejak pandemik bermula pada 2020 bagi meningkatkan jumlah pengguna perkhidmatan awam yang semakin berkurangan.

    Pada 2022, jumlah purata harian adalah 720,000 penumpang dan daripada jumlah itu, 520,000 adalah penumpang perkhidmatan rel manakala hampir 200,000 adalah penumpang bas.

    “Ini masih kurang kalau dibandingkan dengan tempoh sebelum pandemik dengan jumlah penumpang seharian adalah sangat tinggi iaitu 1.2 juta penumpang. Oleh itu, dengan penambahbaikan yang kini sedang giat dijalankan sama ada bagi perkhidmatan rel atau bas, kami menjangkakan dapat meningkatkan jumlah penumpang kepada tahap sebelum pandemik,” katanya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025