Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • JPJ eBid: Siri nombor BRG sudah boleh dibida

    JPJ eBid: Siri nombor BRG sudah boleh dibida

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengumumkan satu lagi siri plat nombor pendaftaran baharu iaitu BRG. Bidaan dilakukan secara dalam talian iaitu menerusi JPJ eBid.

    Siri nombor plat terkini dari Selangor, BRG ini mula dibuka bidaan hari ini, 4 Januari 2023. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid adalah selama lima hari, dan berakhir jam 10 malam pada 8 Januari. Seperti biasa, keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 9 Januari 2023. Kini keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima sebarang perkhabaran (sama ada baik atau sebaliknya) menerusi e-mel.

    Sekarang ni lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Anthony Loke bayangkan pelekat cukai jalan lebih berkualiti akan diperkenalkan JPJ tahun ini

    Anthony Loke bayangkan pelekat cukai jalan lebih berkualiti akan diperkenalkan JPJ tahun ini

    Menteri Pengangkutan Anthony Loke memberikan bayangan bahawa kementeriannya kini sedang berusaha untuk memperkenalkan pelekat cukai jalan yang lebih berkualiti bagi menggantikan pelekat sedia ada yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) buat masa sekarang.

    Beliau menyatakan perkara tersebut dalam hantaran yang dibuat pada akaun Facebook rasminya semalam selepas mengadakan mesyuarat dengan pengurusan tertinggi JPJ dan mendapat taklimat berkenaan perancangan jabatan berkenaan untuk tahun 2023.

    “Antara agenda utama JPJ tahun ini ialah melaksanakan digitalisasi dalam perkhidmatan teras kepada rakyat seperti pelesenan kenderaan dan pemandu selain memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang jalanraya.

    Anthony Loke bayangkan pelekat cukai jalan lebih berkualiti akan diperkenalkan JPJ tahun ini

    “Saya tahu ramai orang mengadu berkenaan sticker cukai jalan yang kurang berkualiti. Perkara itu memang dalam perhatian kami dan satu perubahan besar bakal dilaksanakan dalam tahun ini”, katanya.

    Beliau menjelaskan sebarang pelaksanaan inisiatif baru akan dirancang dengan rapi dan saya akan membuat pengumuman apabila persediaan sepenuhnya telah dibuat.

    “Agenda utama kita ialah mempermudahkan urusan rakyat dan saya tak ingin melihat orang ramai beratur panjang di pejabat-pejabat JPJ yang menyusahkan mereka,” tambahnya lagi.

     
     
  • Pemandu lori lawan arus di Johor disahkan mabuk

    Pemandu lori lawan arus di Johor disahkan mabuk

    Semalam tular video di media sosial memaparkan sebuah lori dipandu melawan arus di lebuhraya yang kemudiannya menyebabkan kemalangan. Insiden berkenaan kemudiannya disahkan polis bahawa pemandu lori tersebut memandu di bawah pengaruh alkohol.

    Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin dalam laporan Astro Awani, kejadian tersebut berlaku lebih kurang jam 4.30 petang semalam di Kilometer 5.5 Lebuhraya Linkedua, dekat Iskandar Puteri, Johor.

    Pemandu lori berusia 41 tahun yang memandu secara lawan arus sehingga menyebabkan kemalangan dengan dua buah kereta tersebut didapati berada di bawah pengaruh alkohol. Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu lori terbabit dalam perjalanan dari Kulai menghala ke Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP).

    “Apabila tiba kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gelang Patah menghala ke selatan, pemandu lori terlepas susur ke PTP.

    “Pemandu lori itu kemudian memandu melawan arus untuk masuk semula ke susur PTP sebelum merempuh dua kereta iaitu Mercedes Benz dan Nissan Almera yang berada di laluan terbabit,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.

    Rahmat juga mengesahkan pemandu Mercedes Benz mengalami kecederaan pada bahagian leher dan kaki dibawa ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) bagi mendapatkan rawatan.

    “Pemandu lori ditahan dan didapati di bawah pengaruh alkohol ketika kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 44 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,”katanya.

     
     
  • Nissan Ariya di PJ – pelancaran EV semakin hampir?

    Nissan Ariya di PJ – pelancaran EV semakin hampir?

    Sudah pernah ditemui di Malaysia sewaktu diangkut atas lori di Segambut Ogos lalu, Nissan Ariya kini dijumpai lagi sedang dipandu atas jalan di kawasan Damansara Uptown oleh pembaca kami, Silver Low. SUV elektrik yang menggunakan warna Akatsuki Copper ini mungkin adalah unit yang sama seperti sebelum ini, dan nombor pendaftarannya memberi bayangan ia adalah milik Edaran Tan Chong Motor (ETCM).

    Ketibaan Ariya ke dalam pasaran Malaysia pernah diberitahu secara tidak langsung apabila ia muncul dalam satu video Tahun Baru Cina ETCM Februari tahun lalu. Memandangkan sekarang kita sudah memasuki tahun yang baru, mungkinkah pelancarannya semakin hampir?

    Mempunyai ukuran panjang 4,595 mm, lebar 1,850 mm, tinggi 1,655 mm dan jarak roda 2,775 mm, Ariya adalah sedikit lebih pendek dan rendah berbanding X-Trail, tetapi lebih lebar dan mempunyai jarak roda yang lebih panjang.

    Kita masih perlu menunggu varian apa sebenarnya yang akan dilancarkan oleh ETCM, tetapi jika melihat ke pasaran antarabangsa, ia ada ditawarkan dalam versi 2WD (satu motor elektrik, pacuan roda hadapan), atau AWD (dua motor, pacuan semua roda). Kapasiti bateri untuk keduanya juga adalah berbeza, iaitu masing-masing 66 kWh dan 91 kWh

    Seperti yang dinyatakan sebelum ini, versi 2WD dihasilkan lebih untuk penjimatan dan jarak perjalanan jauh, dengan versi 91 kWh (2WD) boleh memberikan jarak gerak sehingga 610 km dengan sekali cas. Motor elektriknya juga adalah lebih berkuasa, dengan kemampuan 178 kW, berbanding 160 kW bagi varian 66 kWh (2WD). Versi AWD 66 kWh pula mampu memberikan jarak gerak sehingga 430 km, manakala versi 91 kWh boleh mencapai 580 km.

    GALERI: Nissan Ariya EV

     
     
  • Honda Wave Alpha 2023 tiba di M’sia – enjin 109 cc suntikan bahan api, tangki minyak lebih besar, RM5.2k

    Honda Wave Alpha 2023 tiba di M’sia – enjin 109 cc suntikan bahan api, tangki minyak lebih besar, RM5.2k

    Boon Siew Honda Sdn Bhd hari ini melancarkan Honda Wave Alpha baru untuk pasaran Malaysia, dengan ditawarkan dalam tiga warna iaitu Pearl Nightfall Blue, Vivacity Red dan Clipper Yellow, pada harga RM5,179 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km.

    Peningkatan paling utama pada model ini berbanding model yang dilancarkan pada tahun 2017 adalah di bahagian enjin, di mana unit satu silinder SOHC 109.2 cc padanya kini mendapat sistem suntikan bahan api PGM-Fi dan penarafan emisi Euro 4.

    Digabungkan bersama transmisi empat kelajuan tanpa tuil klac tangan, enjin ini mampu menghasilkan kuasa 8.7 hp pada 7,500 rpm dan tork 8.7 Nm pada 5,500 rpm. Menurut Honda, semasa ujian WMTC, enjin ini boleh memberikan penggunaan bahan api sehingga 70.8 km/l, iaitu 12.3 km/l lebih baik berbanding enjin karburator sebelum ini.

    Penampilan motosikal ini turut diubah, dengan melihatkan rekaan panel tepi, lampu belakang, meter serta besi pemegang belakang (spoiler) yang baru. Tangki bahan api juga dijadikan lebih besar, menjadi 4.1 liter, manakala ruang simpanan bawah tempat duduk kini menjadi 7.3 liter (hampir dua kali lebih besar berbanding sebelum ini).

    Honda Wave Alpha 2023 ini cuma ditawarkan dalam versi yang menggunakan rim sport aluminium 17 inci tanpa tiub, dengan tayar 70/90 di hadapan dan 80/90 di belakang, dan dilengkapi brek cakera di hadapan dan brek dram di belakang. Enjinnya boleh dihidupkan dengan pemula elektrik ataupun penendang kaki.

     
     
  • Pemilik premis perniagaan yang cop parkir kawasan parkir berkupon boleh didenda RM500 – MBJB

    Pemilik premis perniagaan yang cop parkir kawasan parkir berkupon boleh didenda RM500 – MBJB

    Pemilik-pemilik premis di sekitar Bandaraya Johor Bahru yang ‘cop’ parkir untuk kegunaan peribadi dengan meletakkan baldi, kerusi dan alat pemadam api di tempat letak kereta berkupon diberi amaran bakal berdepan kompaun sebanyak RM500 sekiranya dikesan melakukakan kesalahan tersebut.

    Menurut Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman dalam laporan Berita Harian semalam, tindakan saman tersebut dibuat mengikut undang-undang kerana menimbulkan halangan di bawah Seksyen 46 Akta 133 Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, dan ia sebagai usaha Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) untuk mengatasi kesesakan dan isu tempat letak kereta.

    “MBJB sedia maklum mengenai isu ‘cop’ parkir terutama membabitkan pengusaha spa, refleksologi, kedai aksesori kereta, restoran dan beberapa premis lain.

    “Sepatutnya semua premis yang hendak menempah petak parkir berkupon boleh memohon terus kepada MBJB dengan bayaran RM150 sebulan, tetapi tidak ramai pengusaha premis yang memohon.

    Pemilik premis perniagaan yang cop parkir kawasan parkir berkupon boleh didenda RM500 – MBJB

    “Kalau letak kerusi atau upah orang untuk jaga parkir berkupon di depan premis, dari sudut perundangan sebenarnya tidak boleh dan salah terutama dalam tempoh kupon,” katanya.

    Beliau turut menyatakan bahawa isu ini juga boleh menimbulkan ketegangan antara pemilik premis dan orang awam yang ingin parkir kereta.

    “Kita kesan memang ramai yang degil (cop parkir). Pengguna berhak meletakkan kereta yang mana sahaja sekiranya terdapat petak kereta yang kosong.

    Pemilik premis perniagaan yang cop parkir kawasan parkir berkupon boleh didenda RM500 – MBJB

    “Dari sudut itu pengguna boleh menghubungi penguat kuasa dan ambil tindakan, kita juga kerap buat rondaan dan operasi bersepadu dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta PDRM.

    “Kita juga sedang menambah baik prosedur sebelum tindakan menarik kenderaan dibuat, dengan membunyikan siren, memberitahu menggunakan pembesar suara dan menunggu beberapa minit sebelum kenderaan yang diletakkan di tempat yang tidak sepatutnya ditarik,” katanya.

    Beliau turut menggesa orang ramai untuk terus membuat aduan dan laporan kepada MBJB menerusi talian hotline 1-300-88-0146 atau unit aduan 019-7788212 (WhatsApp) sekiranya mengesan aktiviti tersebut agar penguatkuasaan dapat dilaksanakan.

     
     
  • BMW Malaysia dedah harga baru tahun 2023 — hingga RM24k lagi mahal; 218i naik RM7k, 5 Series naik RM8k

    BMW Malaysia dedah harga baru tahun 2023 — hingga RM24k lagi mahal; 218i naik RM7k, 5 Series naik RM8k

    BMW Malaysia telah mengemaskini senarai harga bagi model tahun 2023 seperti yang boleh dilihat melalui konfigurator dalam taliannya, melibatkan beberapa peningkatan harga. Ketika ini, hanya harga atas jalan dengan lanjutan tempoh jaminan dan pakej servis ditunjukkan — harga dengan jaminan standard dua tahun akan disertakan kemudian.

    Bagi model yang tidak melibatkan sebarang perubahan, semua varian 3 Series G20 kekal dengan harga yang sama seperti 2022: tidak mengejutkan kerana model facelift terbarunya bakal diperkenalkan tidak lama lagi. Begitu juga dengan barisan X1 G01, yang dijangka akan digantikan dengan X1 U11 yang membuat penampilan globalnya tahun lalu.

    Model elektrik iX3 juga kekal sama, dengan harganya terakhirnya yang dikemaskini pada April tahun lalu — RM322,800 bagi varian Inspiring dan RM343,800 bagi varian Impressive yang paling tinggi. Tidak ketinggalan, model M850i xDrive MY Edition yang dilancarkan September lalu kekal dengan harga RM1,102,800. Bagi barisan M3 dan M4, tiada harga baru dalam konfigurator berkenaan, dan pelanggan akan dihalakan ke halaman tempahan.

    Model lain semuanya menyaksikan kenaikan harga antara RM2,583 dan RM24,000. Bagi 218i Gran Coupe M Sport, ia kini RM7,000 lebih mahal pada RM235,800. 5 Series G30 juga meningkat harganya sebanyak RM2,583 bagi 530e M Sport plug-in hybrid dan naik RM8,000 bagi 530i M Sport. M5 dan M5 Competition pula masing-masing naik RM5,000.

    BMW Malaysia dedah harga baru tahun 2023 — hingga RM24k lagi mahal; 218i naik RM7k, 5 Series naik RM8k

    Beralih kepada 630i Gran Turismo M Sport, ia kini dijual pada harga RM442,800 (+RM12,000); 740Le xDrive M Sport pada RM642,800 (+RM9,000); M135i xDrive pada RM379,800 (+RM4,000) dan Z4 sDrive30i M Sport pada RM508,800 (+RM16,000).

    Bagi model Sports Activity Vehicles BMW pula, barisan X3 kini naik sehingga RM14,000 — X4 xDrive30i M Sport kini berharga RM417,800 (+RM19,000); X5 xDrive45e M Sport PHEV kini berharga RM491,800 (+RM11,000) dan X6 xDrive40i M Sport kini berharga RM748,800 (+RM12,000). Kedua-dua versi X7 xDrive40i — Pure Excellence dan M Sport — naik sehingga RM16,000.

    Barisan kereta elektrik BMW pula, iX xDrive50 baru saja ditambah dan menyertai model xDrive40 dan xDrive40 Sport dengan harga masing-masing dinaikkan sekitar RM22,000 menjadi RM403,800 dan RM447,800. Barisan i4 juga lebih mahal, dengan eDrive40 M Sport kini dijual pada harga RM399,800 (+RM10,000) dan versi M50 pada RM445,800 (+RM15,000).

     
     
  • Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Jan 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom keluarkan jadual unit pemeriksaan bergerak Jan 2023 – termasuk luar kawasan di Sabah/Sarawak

    Puspakom telah mengeluarkan jadual Januari 2023 bagi bagi unit pemeriksaan bergerak untuk Semenanjung Malaysia dan juga ujian luar kawasan di Sabah dan Sarawak.

    Trak unit pemeriksaan bergerak itu bakal ke Perak, Johor, Terengganu, Kelantan, Pahang dan Negeri Sembilan. Tujuan bagi insiatif ini adalah untuk mereka yang tinggal jauh dari cawangan Puspakom. Perkhidmatan yang ditawarkan termasuklah rutin pemeriksaan, tukar nama hakmilik, dan banyak lagi.


    Klik untuk besarkan jadual

    Walau pun tidak menampilkan trak besar seperti di Malaysia Timur, namun Puspakom tetap tidak melupakan pelanggan di pekan kecil di sekitar Sabah dan Sarawak. Walau bagaimana pun unit bergerak itu tetap akan membawa kelengkapan yang diperlukan untuk pemeriksaan kenderaan. Antara daerah yang bakal dikunjungi termasuk Ranau, Kota Belud, Semporna, Kunak, Kapit, Limbang, Lawas dan Marudi. Walau bagaimana pun, kali ini Kudat tidak berada dalam senarai, jadi, untuk yang berada di sana, boleh ke Kota Marudu tapi kena buat temujanji terlebih dahulu menerusi MyPuspakom.

    Puspakom berkata pelanggan boleh terus ke lokasi yang disenaraikan pada tarikh yang disediakan, tanpa perlu membuat temujanji secara dalam talian, seperti yang diamalkan di cawangan Puspakom lain. Unit pemeriksaan bergerak ini beroperasi dari jam 8 pagi hingga 6 petang, dan ada sesetengah lokasi, ia bermula dari jam 8 pagi hingga 1 tengahari. Sila semak dahulu jadual yang diberikan sebelum anda ‘menyerbu’ unit pemeriksaan bergerak Puspakom ini.

     
     
  • BMW K1600B 2023 tiba di Malaysia – RM173,500

    BMW K1600B 2023 tiba di Malaysia – RM173,500

    BMW Motorrad Malaysia menyambut tahun baru dengan pelancaran K1600B Tourer 2023 untuk pasaran Malaysia, dijual pada harga RM173,500 tidak termasuk insurans. Bersama motosikal ini, pemilik akan diberi jaminan tiga tahun serta program bantuan tepi jalan tiga tahun.

    K1600B adalah sebuah motosikal touring dengan gaya “bagger“, yang mempunyai bahagian belakang rendah dan datang sekali bersama kotak barangan tepi secara standard. Ia adalah model bagger kedua terbesar BMW Motorrad, selepas R18B Bagger yang dijual pada harga RM186,500.

    Menggerakkan K1600B adalah enjin enam silinder sebaris berkapasiti 1,649 cc, yang digabungkan bersama tranmisi enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa maksimum 160 hp pada 6,750 rpm dan tork 180 Nm pada 5,250 rpm. Dari transmisi, kuasa dihantar ke roda belakang menggunakan sistem syaf.

    Memberikan keselesaan kepada pengguna, K1600B dipasang dengan suspensi jenis Duolever dengan spring tengah di hadapan, manakala belakang pula menggunakan Paralever yang disambung kepada lengan ayun single-sided. Dipadankan bersama Dynamic ESA, suspensi ini boleh dilaras secara elektronik dan boleh melaras keseimbangan tinggi antara hadapan dan belakang secara automatik mengikut berat.

    Brek terdiri daripada set cakera berkembar 320 mm dan angkup empat piston di hadapan, sementara di belakang menggunakan cakera 320 mm dengan angkup dua piston. Sistem ABS Pro datang secara standard, sementara sistem bantuan lain yang diberi adalah seperti Dynamic Traction Control (DTC), Engine Braking Control serta tiga mod tunggangan.

    Tinggi tempat duduk K1600B cuma 750 mm dan berat keseluruhannya adalah 344 kg, dengan di hadapan terdapat tangki bahan api 26.5 liter. Informasi penting motosikal dipaparkan pada skrin TFT 10.25 inci di hadapan penunggang, dan ia boleh disambung kepada telefon pintar serta mempunyai sistem navigasi binaan dalaman.

    BMW K1600B 2023 tiba di Malaysia – RM173,500

    Motosikal ini juga datang dengan pelbagai kemudahan lain seperti Hill Assist Control, pemerhati tekanan angin tayar, pengecas telefon USB-C, bantuan mengundur, serta pemanas tangan dan tempat duduk. Turut diberikan terus adalah semua lampu jenis LED, bersama lampu membelok adaptif.

    Di Malaysia, K1600B datang terus dengan pakej Comfort, yang memberikan sistem tanpa kunci, quickshifter serta penggera anti kecurian. Ia kemudiannya digabungkan dengan pakej Tour, yang memberikan sistem audio, lampu hadapan tambahan serta besi pelindung enjin.

     
     
  • MINI Malaysia kemaskini harga untuk 2023 – model EV Cooper SE naik sehingga RM7.9k menjadi RM194k

    MINI Malaysia kemaskini harga untuk 2023 – model EV Cooper SE naik sehingga RM7.9k menjadi RM194k

    MINI Malaysia telah mengemaskini senarai harga kenderaan mereka untuk tahun 2023, menyaksikan peningkatan bagi semua model dengan peratusan yang berbeza. Berdasarkan kira-kira kami, perubahan harga yang berlaku adalah antara 0.03% hingga 4.25% lebih tinggi.

    Bermula dengan barisan model 3 Door, Cooper S kini dijual pada harga RM264,388 atas jalan tidak termasuk insurans, atau RM160 lebih tinggi berbanding harga yang dikeluakan pada Julai 2022. Harga ini (bersama harga lain yang akan kami nyatakan di bawah) adalah termasuk dengan jaminan biasa dua tahun, tetapi pelanggan mempunyai pilihan untuk mengambil tambahan jaminan empat tahun serta pakej servis.

    Sementara itu, Cooper SE pula menyaksikan peningkatan harga RM7,900, dengan kini dijual pada harga RM193,834. Model elektrik penuh ini sekarang boleh ditempah tanpa head-up display, yang mengurangkan harganya sebanyak RM2,288, menjadi RM191,546.


    Klik untuk besarkan

    Untuk varian Cooper S bagi model Convertible dan 5 Door, kedua-duanya kini menyaksikan peningkatan harga RM160, menjadi masing-masing RM290,388 dan RM271,388. Peningkatan sama juga berlaku pada Cooper S Clubman, yang kini dijual pada harga RM303,388.

    Semua varian John Cooper Works bagi 3 Door (RM315,558), Clubman (RM350,558) dan Countryman (RM389,558) meningkat sebanyak RM130, manakala Cooper S Countryman 2022 pula dimasukkan dalam senarai dengan harga yang tidak berubah, iaitu RM246,228.

     
     
  • Ken Block meninggal dunia pada usia 55 tahun selepas terlibat kemalangan dalam aktiviti snowmobile

    Ken Block meninggal dunia pada usia 55 tahun selepas terlibat kemalangan dalam aktiviti snowmobile

    Ini berita yang sangat mengejutkan hari ini – bintang rali Amerika Syarikat yang terkenal dalam siri video Gymkhana di Youtube, Ken Block dilaporkan baru sahaja meninggal dunia. Block yang berumur 55-tahun menghembuskan nafas terakhir selepas terlibat dalam kemalangan ketika melakukan aktiviti snowmobile di Utah.

    “Dengan rasa yang sangat kesal, kami mengesahkan bahawa Ken Block telah meninggal dunia dalam kemalangan snowmobile hari ini. Ken ialah seorang yang berwawasan, perintis dan ikon. Dan yang paling penting, seorang ayah dan suami. Dia akan sangat dirindui,” tulis hantaran pada akaun Instagram The Hoonigan.

    Block bukan sahaja dikenali dalam sukan rali, malah beliau juga merupakan pengasas bersama jenama kasut papan luncur, DC Shoes yang ditubuhkan pada 1994.

    Beliau menamatkan musim penuh Kejohanan Rali Nasional Amerika Syarikat ARA 2022 tahun lalu di kedudukan kedua dengan memandu Hyundai i20 WRC pasukan Hoonigan, tewas kepada juara Brandon Semenuk dari pasukan Subaru tetapi berjaya mengalahkan Travis Pastrana juga memandu Subaru yang berada di tempat ketiga.

     
     
  • JPJ raih RM4.89 bilion sepanjang tahun 2022, melebihi sasaran RM4.12 bilion yang ditetapkan pada awalnya

    JPJ raih RM4.89 bilion sepanjang tahun 2022, melebihi sasaran RM4.12 bilion yang ditetapkan pada awalnya

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah umumkan bahawa jabatan itu telah mengumpul sebanyak RM4.89 bilion pendapatan sepanjang tahun 2022 menerusi beberapa saluran, termasuk dari cukai jalan dan pembaharuan lesen memandu. Jumlah itu melebihi sasaran awal RM4.12 bilion yang ditetapkan, yang melepasi tahap itu pada September, menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim.

    Beliau memaklumkan pengumpulan itu direkodkan melalui bayaran di kaunter di 15 ibupejabat JPJ dan 66 cawangan selain daripada 22 cawangan lain di UTC, serta kaunter mudah alih dan kiosk JPJ.

    Bulan lalu, ketika pendapatan mencecah RM4.6 bilion pada 11 Disember, Zailani mendedahkan tentang jumlah RM12 juta yang dikutip setiap hari oleh jabatan itu, dengan pendapatan tertinggi dijana oleh cukai jalan, dengan RM2.63 bilion diperoleh untuk ini sehingga Oktober.

    Ini diikuti pula oleh lesen memandu (RM483 juta), sistem bidaan elektornik nombor plat JPJ eBID (RM421 juta), yuran pendaftaran kenderaan (RM134 juta) dan yuran penyelesaian tanpa perbicaraan (RM119 juta).

    Pada 2021, JPJ mengutip sebanyak RM4.004 bilion pendapatan, sementara pada 2020 adalah sebanyak RM4.1 bilion.

     
     
  • Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan operasi hingga 12.30 t/malam ini sempena Piala AFF 2022 M’sia VS S’pura

    Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan operasi hingga 12.30 t/malam ini sempena Piala AFF 2022 M’sia VS S’pura

    Sempena dengan perlawanan bola sepak kelayakan bagi Kumpulan B untuk Piala AFF 2022 Mitsubishi Electric di antara Malaysia menentang Singapura yang bakal berlangsung malam ini di Stadium Nasional Bukit Jalil, Rapid KL telah mengumumkan operasi Stesen LRT Bukit Jalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam.

    “Ayuh Malaysia kita turun beramai-ramai ke Stadium Nasional Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada Pasukan #HarimauMalaya pada 3 Januari (malam ini). Operasi Stesen LRT BukitJalil akan dilanjutkan sehingga jam 12.30 tengah malam.

    “(Walau bagaimana pun) stesen-stesen lain akan ditutup seperti biasa, namun penumpang boleh meneruskan perjalanan ke laluan lain dan keluar di stesen,” kata Rapid KL menerusi pengumuman yang dipaparkan di Facebook rasminya.

    Stesen LRT Bukit Jalil dilanjutkan operasi hingga 12.30 t/malam ini sempena Piala AFF 2022 M’sia VS S’pura

    Jangan lupa pakai facemask ya!

    Rapid KL turut berkata, para penumpang disarankan menggunakan kad Touch ‘n Go (TnG) dan pastikan baki kad tersebut mencukupi untuk kelancaran perjalanan.

    Selain itu, pemakaian pelitup muka (facemask) diwajibkan pada setiap masa ketika menggunakan pengangkutan awam. “Tanpa pelitup muka, anda tidak dibenarkan masuk ke stesen pengangkutan awam,” tegas Rapid KL.

    Agak-agak berapa gol yang bakal disumbangkan oleh pasukan Harimau Malaya? Cuma, harap-harap pengadil kontroversi dari Jepun, Ryuji Sato, tak terlibatlah dalam perlawanan malam ini.

     
     
  • Hyundai… sebut betul-betul… Hyundai!

    Kebanyakan orang di United Kingdom menyebut Hyundai sebagai “High un Dye”, dan sebab itulah Hyundai ingin memperbetulkannya sebutan berkenaan. Menerusi iklan yang turut menampilkan model paling terkenal Hyundai buat masa ini, kenderaan elektrik ioniq 5, klip video pendek ini mengajar orang ramai bagaimana untuk menyebut perkataan Hyundai secara betul.

    Kalau ditonton menerusi klip video pendek ini, ia memaparkan sebutan salah yang akhirnya ‘membawa’ mereka ke tempat yang salah termasuk ke salun rambut High n Dye, kedai optikal Highland Eye, Hawaiian Tie dan kedai bakeri High End Pie. Tengok macam kelakar, tapi itulah kenyataannya kalau tersalah sebut, pasti ‘ia membawa ke destinasi yang salah’.

    Bagaimana pula anda menyebut Hyundai? Pada durasi ke 20 saat, ia memaparkan sedutan menyebut Hyundai dengan tepat dan betul. Hyun-day dengan sebutan ‘dei’, dan ‘Hyun’ pula lebih didengari seperti ‘un’. Okay, sebut betul-betul….Hyundai!

     
     
  • Daihatsu dikesan patenkan sedan mirip Toyota Vios di Indonesia; bakal dijadikan sedan lebih mampu milik?

    Daihatsu dikesan patenkan sedan mirip Toyota Vios di Indonesia; bakal dijadikan sedan lebih mampu milik?

    Satu ketika dahulu, Daihatsu sememangnya ada menghasilkan model sedan seperti Daihatsu Charmant, Charade Aura sedan dan Charade Ascend. Namun buat masa sekarang, jenama yang sinonim dengan kereta kompak berkenaan hanya menjual hatchback, SUV dan MPV, kecuali sedan segmen-D Daihatsu Altis iaitu model rebadge dari Toyota Camry dan hanya dijual di Jepun.

    Baru-baru ini Daihatsu menerusi Daihatsu Motor Co., LTD (DMC) yang beralamat di Osaka, Jepun telah dikesan memfailkan paten sebuah model sedan di Direktorat Hak Cipta dan Reka Bentuk Perindustrian, Direktorat Jenderal Harta Intelek, Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia, Indonesia.

    Menerusi gambar paten dari fail tersebut, sedan berkenaan menampilkan rupa yang sama dengan Toyota Vios generasi baharu yang sudahpun dilancarkan di Thailand, Laos dan juga Indonesia tahun lalu.

    Toyota Vios 2023 pasaran Indonesia

    Ia tidak mengejutkan kerana Vios berkenaan sememangnya dihasilkan menerusi platform Daihatsu New Global Architecture (DNGA) dan merupakan versi produksi untuk model konsep DN F-Sedan yang didedahkan pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017.

    Adakah Daihatsu bakal memperkenalkan sedan berkenaan di pasaran Indonesia yang bakal menjadi “Vios versi lebih murah?” Menurut pengarah pemasaran dan pengarah perancangan korporat & komunikasi Astra Daihatsu Motor (ADM), Sri Agung Handayani dalam laporan CNN Indonesia, pendaftaran paten yang dibuat oleh syarikat induknya itu merupakan rutin yang dilakukan kerana ia berkaitan dengan hak cipta kenderaan milik Daihatsu.

    “Ini pendaftaran rutin yang dilakukan oleh DMC untuk hak cipta kenderaannya,” kata Agung dan menambah bahawa sehingga kini ADM masih belum ada rancangan untuk memasarkan sedan berkenaan dengan logo Daihatsu di Indonesia.

    Model konsep Daihatsu DN-F Sedan 2017

    Walaupun ADM masih menafikan sebarang niat untuk menjual sedan berkenaan, dengan adanya paten yang sudah didaftarkan ini membolehkan Daihatsu menjual sedan tersebut di Indonesia bila-bila masa. Ini juga menunjukkan ada kemungkinan bahawa Perodua juga boleh menghasilkan sedan berkenaan dan menjualnya sebagai sedan segmen-B (Myvi sedan?) di Malaysia.

    Buat masa sekarang Perodua sudahpun mempunyai dua model yang diasaskan dari platform DNGA iaitu Perodua Ativa dan juga Perodua Alza. Malah Perodua turut memasang kembar kepada Alza iaitu Toyota Veloz di kilangnya yang terletak di Rawang.

    GALERI: Toyota Vios 2023 pasaran Indonesia

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025