Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW 3 Series 2023 facelift dilihat di Malaysia — G20 LCI bakal dilancarkan, dan terus jadi model CKD?

    BMW 3 Series 2023 <em>facelift</em> dilihat di Malaysia — G20 LCI bakal dilancarkan, dan terus jadi model CKD?

    BMW Malaysia nampaknya seperti sedang bersiap untuk memperkenalkan model 3 Series G20 facelift yang terbaru (atau LCI). Ini kerana, sebuah unit contoh sedan berkenaan telah dilihat sedang diuji oleh seorang pembaca paultan.org, Syamil Yusri di Kulim, Kedah.

    Kulim ialah lokasi kilang Inokom yang membuat pemasangan tempatan kereta BMW, dan ini sekaligus mencadangkan 3 Series facelift itu akan hadir dalam versi CKD ketika pelancarannya nanti. Ini berbeza dengan model semasanya, yang tiba di sini dalam versi CBU terlebih dahulu, sebelum versi CKD diperkenalkan beberapa bulan setelah itu dengan harga yang lebih rendah.

    Varian dan padanan enjin yang bakal ditawarkan bagaimanapun belum diketahui, tetapi ia mengenakan kit M Sport dan roda juga seperti dalam saiz 18-inci dengan rim Style 848 M. Ia juga menampakkan penggunaan bampar depan yang lebih sporty, dengan bukaan udara lebih besar di bawahnya.

    BMW 3 Series 2023 <em>facelift</em> dilihat di Malaysia — G20 LCI bakal dilancarkan, dan terus jadi model CKD?

    Pakej luaran pula termasuklah rekaan “kidney grille” dalam bentuk yang diperkemas dalam rekaan oktagonal dan dua palang melintang. Lampu utama juga lebih tirus berbanding versi sebelumnya, dan kini datang dengan DRL bentuk L.

    Tiada gambar bahagian belakang yang boleh ditinjau. Tetapi kit M Sport yang ada turut hadir dengan bampar baru dengan elemen ala diffuser yang besar yang bersambung dengan pemantul vertikal di sisi. Yang kekal sama adalah lampu belakang dengan bentuk-L terbalik yang khas seperti sebelum ini.

    Perubahan lain untuk model facelift ini ada di dalam. Antaranya, BMW 3 Series LCI ini menggunakan juga BMW Curved Display yang sama ada pada model i4. Ini ciri standard bagi model berkenaan, dan menampilkan kluster instrumen digital 12.3-inci yang ditempatkan bersebelahan skrin sentuh 14-9-inci di tengah. Kedua-duanya dikuasakan oleh BMW Operating System 8.

    BMW 3 Series 2023 <em>facelift</em> dilihat di Malaysia — G20 LCI bakal dilancarkan, dan terus jadi model CKD?

    Dalam penawaran semasa sebelum ini, 3 Series didatangkan dalam empat varian normal: 320i Sport dengan harga RM241,680 (atas jalan tidak termasuk insuran), 330i M Sport pada harga RM283,680, 330e M Sport pada harga RM260,680 dan M340i xDrive dengan harga RM363,680 — semua varian ini akan ada juga untuk model facelift nanti.

    Versi jarak antara roda yang lebih panjang juga ada, melalui 330Li M Sport yang dijual pada harga RM289,680. Semua lima pilihan ini ditawarkan sebagai CKD, dan dengan itu agak jelas yang model facelift ini nanti juga akan datang dalam versi CKD juga.

     
     
  • Hyundai Kona 2023 didedah – rekaan serba baru, saiz lebih besar, direka sebagai EV, ICE dan HEV menyusul

    Hyundai Kona 2023 didedah – rekaan serba baru, saiz lebih besar, direka sebagai EV, ICE dan HEV menyusul

    Hyundai Kona diperkenalkan kali pertama pada tahun 2017 dan memasuki tahun 2020, ia diberikan facelift. Kini sebelum tahun 2022 berakhir, pengeluar Korea tersebut memberikan kita gambaran awal untuk Kona generasi kedua, yang menerima perubahan rekaan besar serta menunjukkan komitmen mereka terhadap kenderaan mesra alam.

    Seperti yang dijelaskan oleh Hyundai, Kona serba baru ini direka mulanya sebagai kenderaan elektrik, sebelum digunakan untuk varian lain. Versi EV tersebut kemudiannya akan disertai oleh versi enjin pembakaran dalaman (ICE), elektrik hibrid (HEV) serta N Line – semuanya dengan asas sama tetapi penggayaan khas untuk setiap satunya.

    Perkara pertama yang dapat dilihat pada rekaan Kona baru ini adalah ia mendapat inspirasi daripada model-model terkini Hyundai seperti Staria dan Grandeur, terutamanya jalur lampu sepanjang bahagian hadapan. Perhatikan lebih terperinci pada model EV, anda akan nampak bahagian tengah lampu tersebut seperti berbintik (dipanggil sebagai Pixelated Seamless Horizon Lamp), sama seperti model konsep Seven yang ditunjuk tahun lepas.

    Tema bintik-bintik (pixelated) Parametric Pixel ini adalah khas untuk varian EV (dikenali sebagai Kona Electric) dan turut digunakan pada bahagian gril bawah, bampar belakang, rim 19 inci serta lampu belakangnya. Bagi Kona biasa dengan enjin ICE dan HEV, ia mendapat kemasan lengkuk roda warna hitam serta bampar dan skid plate yang lebih ranggi.

    Sementara itu, Kona N Line pula menggunakan bampar hadapan dan belakang yang lebih sporty, rim 19 inci khas, skirting tepi warna perak, spoiler jenis bersayap, dua muncung ekzos serta cermin sisi dan bumbung warna hitam yang disediakan sebagai pilihan.

    Kalau dari gambar sahaja anda sudah nampak model baru ini lebih besar, itu memang benar. Hyundai memberitahu, mereka mahu menyediakan “ruang hidup” maksima untuk pelanggan, jadi ia telah dibesarkan dengan ukuran panjang 4,355 mm (+150 mm), lebar 1,825 mm (+25 mm) dan jarak roda 2,660 mm (+60 mm).

    Hyundai Kona 2023 didedah – rekaan serba baru, saiz lebih besar, direka sebagai EV, ICE dan HEV menyusul

    Bahagian kabin Kona baru ini seperti mendapat inspirasi daripada Ioniq 5, dengan rekaan yang lebih ringkas dan moden. Corong pendingin hawa kini menggunakan bentuk petak, sementara di tengah terdapat skrin infotainmen 12.3 inci yang bersambung dengan satu lagi skrin untuk instrumen bersaiz sama.

    Meskipun bahagian atas papan pemuka ini kelihatan sama seperti Kona, bahagian tengahnya pula berbeza kerana terdapat banyak butang kawalan untuk media dan pendingin hawa, serta pemilih mod panduan dan tempat mengecas. Tiada tombol gear pada kereta ini kerana ia telah ditukar kepada unit shift-by-wire yang menggunakan tangkai di belakang stereng.

    Perincian selanjutnya bagi Kona generasi kedua ini hanya akan didedah dalam masa beberapa bulan akan datang. Ada khabar angin mengatakan varian EV akan menggunakan asas daripada Niro EV, sementara versi ICE dan HEV pula menggunakan tetapan sama seperti sekarang. Betul atau tidak, kita perlu menunggu informasi rasmi daripada Hyundai sendiri.

     
     
  • Chery Malaysia akan lancar jenama pada pertengahan tahun 2023 – 30 outlet, HQ R&D model panduan kanan

    Chery Malaysia akan lancar jenama pada pertengahan tahun 2023 – 30 outlet, HQ R&D model panduan kanan

    Chery Malaysia telah mendedahkan bahawa jenama China itu akan dilancarkan secara rasmi di negara kita pada pertengahan tahun 2023, dengan lebih 30 pusat khidmat akan dibuka. Seperti yang kami laporkan sebelum ini, beberapa model telah disahkan untuk pasaran Malaysia, termasuk Tiggo 7 Pro, Tiggo 8 Pro dan Omoda 5, dengan semuanya telah dipertonton di sini dua bulan lalu.

    Memandangkan semua model ini dilancarkan di China sebagai kenderaan panduan sebelah kiri, ia perlu diubah suai untuk Malaysia, bagi menjadikannya pemanduan sebelah kanan. Syarikat itu memberitahu bahawa buat masa sekarang, kerja R&D untuk perkara itu sedang dibuat di China, tetapi pada masa hadapan, ia akan dipindah ke Malaysia.

    Ini akan menyaksikan pengeluar tersebut membina satu ibu pejabat ASEAN untuk R&D di Malaysia sebagai sebahagian daripada pelan pelaburan awal mereka berjumlah RM170 juta. Kami diberitahu, Chery memilih Malaysia berbanding Thailand kerana terdapat penerimaan yang lebih baik terhadap jenama kenderaan China di sini, dimulakan oleh kerjasama antara Proton dan Geely.

    Syarikat itu menambah meskipun Thailand juga mempunyai banyak jenama kenderaan China, kebanyakannya adalah kenderaan elektrik (EV), yang masih merupakan segmen yang sedang membangun. Chery mahukan jumlah jualan tinggi datang daripada model enjin pembakaran dalaman sebagai permulaan.

    Satu lagi sebab Chery memilih Malaysia adalah kuasa membeli pelanggan yang boleh dikatakan tinggi di sini. Ia dibantu dengan insentif diberikan kerajaan, yang sangat mengalu-alukan pelaburan baru daripada syarikat luar negara.

    Model Chery akan terus tiba di sini sebagai model pemasangan tempatan (CKD). Menurut syarikat itu, mereka juga akan membawa beberapa unit model import sepenuhnya (CBU), tetapi itu hanya untuk kegunaan pusat pameran. Kereta yang akan diterima oleh pelanggan semuanya adalah CKD.

    Berkenaan operasi CKD mereka di sini pula, Chery Malaysia memberitahu bahawa mereka akan mempunyai kapasiti pengeluaran 20,000 unit satu tahun, dengan pasaran domestik menjadi keutamaan – eksport akan diambil kira pada masa hadapan, dengan jumlah barangan tempatan yang mencukupi.

    Berdasarkan laporan The Edge, Inokom dikatakan bakal menjadi rakan kongsi Chery untuk CKD, namun masih menunggu keputusan daripada kerajaan. Anak syarikat Sime Darby ini berpusat di Kulim, Kedan dan sekarang beroperasi untuk pemasangan/pengeluaran pelbagai model CKD termasuk dari jenama BMW, MINI, Hyundai, Mazda, Kia dan Porsche.

     
     
  • Chery pasang model EV dan PHEV di M’sia menjelang 2024 – CKD EV Omoda 5, PHEV Tiggo 8 Pro?

    Chery pasang model EV dan PHEV di M’sia menjelang 2024 – CKD EV Omoda 5, PHEV Tiggo 8 Pro?

    Pengeluar kereta China, Chery, yang kembali ke pasaran Malaysia, yang mahu menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi rantau ASEAN dan model pacuan sebelah-kanan (RHD), turut merancang untuk memasang model elektrik penuh dan plug-in hybrid (PHEV) di sini menjelang tahun 2024.

    Chery telah mengesahkan bakal melancarkan Omoda 5 dan Tiggo 8 Pro di Malaysia pada suku kedua tahun hadapan, yang akan tiba dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD) dan versi RHD. Sebelum ini, kedua-dua SUV terbabit pernah dipertontonkan di Malaysia bersama Tiggo 4 Pro dan Tiggo 7 Pro.

    Dengan perancangan Chery untuk menjadikan Malaysia sebagai pusat operasi serantau, model elektrik penuh dan PHEV yang dijangka dipasang di sini mungkin Omoda 5 EV, yang menawarkan jarak gerak 450 km mengikut kitaran WLTP, yang diberima motor elektrik berkuasa 204 PS/400 Nm yang dijanakan oleh bateri 64 kWh. Status pengecasan pantas didakwa dari 0-80% dalam 40 minit.

    Chery pasang model EV dan PHEV di M’sia menjelang 2024 – CKD EV Omoda 5, PHEV Tiggo 8 Pro?

    Bagi model plug-in hybrid pula, dijangkakan model Tiggo 8 Pro PHEV yang merupakan SUV tujuh-tempat duduk. Bagi versi PHEV, Chery Tiggo 8 menampilkan enjin 1.5 liter turbo dengan dedicated hybrid transmission (DHT) dan dwi motor yang mampu memberikan kuasa hingga 241 hp dan tork 510 Nm. Ia membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 8.2 saat dan jarak gerak cecah 80 km.

    Untuk pilihan enjin pembakaran dalaman, Tiggo 8 Pro dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TGDi dengan janaan 254 hp dan tork 390 Nm, dan dipadankan dengan transmisi 7DCT. Turut ditawarkan untuk pasaran lain ialah versi 1.6 liter turbo petrol dengan 194 hp/290 Nm, sama seperti salah satu versi bagi Omoda 5.

    Tiggo 7 Pro dan Tiggo 4 Pro pernah dipertontonkan di Malaysia

    Sebagai sebahagian daripada pelancaran semula jenama ini pada pertengahan 2023, Chery bakal membangunkan lebih 30 cawangan di seluruh negara, dan turut mewujudkan pusat kajian dan pembangunan bagi pusat operasi rantau ASEAN di Malaysia dengan pelaburan awal sebanyak RM170 juta.

    Berkenaan dengan pemilihan Malaysia sebagai pusat operasi di rantau ini, berbanding Thailand, Chery berkata pihaknya mendapati penerimaan pasaran bagi jenama yang berasal dari China adalah tinggi berikutan penggabungan Geely-Proton, termasuk jualan yang begitu memberangsangkan dicatatkan oleh Proton X70 dan X50.

    Di samping itu, Chery juga berpendapat bahawa pasaran Malaysia mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi, selain pelbagai insentif kerajaan juga menjadikannya kondusif untuk Chery mengendalikan pangkalan serantaunya di Malaysia, di mana negara ini juga sangat mengalu-alukan pelaburan baharu dari syarikat luar.

     
     
  • Hyundai Creta 2022 dapat lima-bintang, Stargazer 2022 terima empat-bintang dalam ujian ASEAN NCAP

    Hyundai Creta 2022 dapat lima-bintang, Stargazer 2022 terima empat-bintang dalam ujian ASEAN NCAP

    Program Penilaian Kereta Baharu untuk negara Asia Tenggara, atau ASEAN NCAP telah mengeluarkan keputusan bagi SUV Hyundai Creta 2022 dan Hyundai Stargazer 2022, yang kedua-duanya merupakan model 2022 yang diproduksi di Indonesia untuk beberapa pasaran di rantau ASEAN.

    SUV segmen-B Creta merupakan SUV Hyundai yang pertama diuji di bawah protokol ASEAN NCAP 2021-2025, dan disertai oleh Stargazer, yang merupakan MPV Hyundai pertama di bawah protokol yang sama. Kedua-dua model terbabit menjalani ujian di pusat ujian pelanggaran PC3 milik Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) yang terletak di Melaka.

    Dengan jumlah markah terkumpul sebanyak 75.78 mata, Creta diberikan penarafan lima-bintang dari ASEAN NCAP, sementara Stargazer pula menerima empat-bintang dengan jumlah markah 66.48 mata.

    Hyundai Creta 2022 dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP dan ujian intra-urban AEB

    Creta menerima markah yang lebih tinggi berbanding Stargazer bagi kesemua aspek penilaian, dengan 34.762 mara untuk kategori pelindungan penumpang dewasa (AOP), 15.56 mata bagi kategori pelindungan penumpang kanak-kanak (COP), 14.08 mata dalam kategori sistem bantuan keselamatan dan 11.42 mata untuk kategori keselamatan penunggang motosikal.

    Sebagai perbandingan, MPV Stargazer memperoleh 31.21 mata untuk AOP, 14.48 mata bagi COP, 12.04 mata dalam sistem bantuan keselamatan dan 8.75 mata untuk keselamatan penunggang motosikal.

    Ciri kelengkapan untuk kesemua varian bagi Hyundai Creta termasuklah minimum dua beg udara, walau bagaimana pun hampir kebanyakan pasaran antara Asia Tenggara memberikan enam beg udara secara standard. Bagi keselamatan aktif, Creta menerima kawalan kestabilan elektronik, ABS, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar untuk penumpang hadapan, cagak Isofix bagi tempat duduk kanak-kanak dan teknologi pelindungan pejalan kaki secara standard.

    Hyundai Stargazer 2022 dalam ujian pelanggaran ASEAN NCAP dan ujian intra-urban AEB

    Sementara itu, teknologi bantuan keselamatan bagi Creta termasuk AEB City, AEB Inter-Urban, AEB Pedestrian, amaran pelanggaran hadapan, bantuan kekal lorong, amaran ketibaan lorong, lampu tinggi automatik dan pengesan titik buta, pengesan kehadiran kanak-kanak, dan bantuan pengelak pelanggaran trafik lintasan belakang (RCCA) untuk pengesan motosikal.

    Bagi Stargazer pula, MPV ini menerima dua beg udara hadapan secara standard, sementara bantuan keselamatan merangkumi ABS, pengingatan pemakaian tali pinggang keledar, cagak Isofix, dan teknologi pelindungan pejalan kaki. Bagi keselamatan aktif pula, Stargazer diberikan kawalan kestabilan elektronik (ESC), amaran ketibaan lorong, amaran pelanggaran hadapan dan bantuan kekal lorong sebagai kelengkapan standard atau pilihan, dengan unit di Thailand menerima ESC secara standard.

    Bagi teknologi bantuan keselamatan, Stargazer menerima AEB City, AEB Inter-Urban, AEB Pedestrian, pengesan titik buta dan lampu tinggi automatik sebagai ciri pilihan untuk semua varian.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia pada Q2 2023 — SUV flagship 7-seater, CKD, 2.0L turbo dan 7DCT

    Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia pada Q2 2023 — SUV <em>flagship</em> 7-<em>seater</em>, CKD, 2.0L turbo dan 7DCT

    Barisan kenderaan terbaru Chery sebelum ini pernah dipertontonkan untuk pasaran Malaysia Oktober lalu, walaupun jenama itu belum lagi diperkenalkan secara rasmi di sini. Jenama ini bakal memasuki pasaran tempatan secara rasmi jangkaannya pada pertengahan tahun hadapan. Namun, persiapan ke arah kehadiran tersebut sedang giat dijalankan.

    Selain Omoda 5 yang menjadi tumpuan, sebuah SUV flagship Tiggo 8 Pro juga adakan dilancarkan. Kini, garis masa bagi pengenalan itu telah pun diberikan, iaitu dalam tempoh suku kedua 2023, dan ia akan terus diperkenalkan dalam bentuk pemasangan tempatan (CKD).

    Chery Tiggo 8 Pro ialah sebuah SUV tujuh-tempat duduk yang dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TGDi dengan janaan 254 hp dan 390 Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi 7DCT. Ciri AWD juga khabarnya akan ditawarkan. Hasil janaan enjin 2.0 liter berkenaan juga sebenarnya agak tinggi. Sebagai perbandingan, enjin 2.5 liter turbo Mazda menjana sebanyak 228 hp/420 Nm. Turut dijangkakan adalah versi PHEV bagi SUV ini.

    Chery Tiggo 8 Pro bakal dilancar di M’sia pada Q2 2023 — SUV <em>flagship</em> 7-<em>seater</em>, CKD, 2.0L turbo dan 7DCT

    Di dalam, papan pemuka Tiggo 8 Pro didatangkan dengan material lebih mahal yang digunakan di lebih banyak tempat. Kerusi mungkin yang paling ketara, dengan balutan kulit lebih lembut. Skrin kawalan pendingin juga berbeza antara keduanya — Tiggo 8 Pro dengan skrin berwarna.

    Bagi model PHEV pula, bukaan corong pendinginnya bersambung, dan panel instrumen bersambung dengan skrin infotainmen (lebar penuh 24.6 inci). Konsol tengah juga ada menempatkan panel sentuh bagi fungsi berkaitan hibrid dan pemilih 4WD — unit yang ditunjuk ini adalah dari pemanduan sebelah kiri.

    Dari segi kelengkapan, SUV flagship Chery ini menerima semua yang ada pada SUV yang lebih kecil Tiggo 7, dengan tambahan lainnya. Ini termasuk lampu LED penuh dengan teknologi Matrix, DRL LED, roda 18-inci, sunroof panoramik kuasa elektrik, panel instrumen digital 12.3-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Sony dengan lapan pembesar suara, pengecas tanpa wayar, kawalan pendingin dua zon, balutan kulit dua tona warna. Kerusi pemandu turut ada fungsi sokongan lumbar dan memori.

     
     
  • Chery Omoda 5 dilancar di M’sia pada Q2 2023 – CKD dari mula, bakal jadi model RHD pertama di pasaran

    Chery Omoda 5 dilancar di M’sia pada Q2 2023 – CKD dari mula, bakal jadi model RHD pertama di pasaran

    Chery Omoda 5 dijangka dilancarkan di pasaran Malaysia pada suku kedua (Q2) tahun hadapan, dan SUV ini akan didatangkan dalam bentuk pemasangan tempatan. Sekaligus menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama unit pacuan sebelah-kanan (RHD) bagi Omoda 5, menurut kenyataan yang disahkan oleh timbalan presiden Chery International, Shawn Xu, yang juga merupakan presiden bagi pasaran ASEAN untuk jenama ini.

    Dipertontonkan di Malaysia pada Oktober lalu, Omoda 5 menjadi antara SUV dari Chery yang bakal dibawa masuk ke pasaran Malaysia, bersama barisan SUV lain termasuk Tiggo 7 Pro and Tiggo 8 Pro.

    Dalam majlis rasmi pertama sekembalinya ke pasaran malaysia, Chery turut mempertontonkan SUV ini selepas pengeluar kereta dari China ini pernah mengumumkan keputusannya untuk melancarkan semula jenama tersebut di sini.

    Chery Omoda 5 dilancar di M’sia pada Q2 2023 – CKD dari mula, bakal jadi model RHD pertama di pasaran

    Pada masa ini, semua kerja kajian dan pembangunan untuk model Chery pacuan sebelah-kanan dilakukan di luar China, dan telah ditetapkan untuk dilaksanakan di Malaysia serta menjadikan negara ini sebagai pusat operasi bagi rantau ASEAN serta pasaran pacuan sebelah-kanan. Pelaksanaan ini turut melibatkan pelan pelaburan awal bernilai RM170 juta, ujar syarikat tersebut kepada paultan.org.

    Berkenaan dengan arah pemasaran ASEAN bagi jenama ini, paultan.org difahamkan bahawa Chery memilih Malaysia sebagai pusat operasi ASEAN berbanding Thailand disebabkan beberapa alasan.

    Pembuat kereta tersebut mendapati penerimaan pasaran bagi jenama yang berasal dari China adalah tinggi berikutan penggabungan Geely-Proton, di samping itu pasaran Malaysia mempunyai kuasa membeli yang agak tinggi.

    Chery Omoda 5 dilancar di M’sia pada Q2 2023 – CKD dari mula, bakal jadi model RHD pertama di pasaran

    Selain itu, pelbagai insentif kerajaan juga menjadikannya kondusif untuk Chery mengendalikan pangkalan serantaunya di Malaysia, di mana syarikat ini mendapati ia sangat mengalu-alukan pelaburan baharu.

    Chery Omoda 5 merupakan SUV segmen-B yang bakal bersaing dengan Honda HR-V dan Proton X50. Berukuran 4,400 mm panjang dan 1,830 mm lebar menjadikan Omoda 5 ini lebih panjang sebanyak 15 mm dan 40 mm lebih lebar berbanding HR-V. Walau bagaimana pun, Omoda 5 berketinggian 1,585 mm atau kuran 5 mm berbanding HR-V, tetapi dengan jarak roda yang lebih penjang sebanyak 20 mm iaitu 2,630 mm.

    Di China, sebanyak tujuh varian dilancarkan, termasuklah dengan enjin 1,6 liter turbo petrol (194 hp/290 Nm) dengan DCT tujuh-kelajuan dan unit 2WD 1.5 liter turbo petrol yang dipadankan dengan CVT untuk model pembakaran dalaman. Selain itu, versi elektrik sepenuhnya turut ditawarkan, dan ini mungkin bakal diperkenalkan di Malaysia, susulan perancangan Chery untuk mengeluarkan model pemasangan tempatan (CKD) bagi versi plug-in hybrid dan elektrik sepenuhnya.

    GALERI: Chery Omoda 5 dipertonton di Malaysia

     
     
  • Aksesori Suzuki Jimny kini di Malaysia — tiga pakej berbeza, dari RM1.5k tidak termasuk kos pemasangan

    Aksesori Suzuki Jimny kini di Malaysia — tiga pakej berbeza, dari RM1.5k tidak termasuk kos pemasangan

    Suzuki Cars Malaysia, yang dikendalikan oleh Naa Eastern Motors, telah mengumumkan ketersediaan beberapa aksesori untuk model Jimny, yang ditawarkan dalam tiga pakej menarik, bukan hanya sekadar untuk mengubah estetika atau penampilan luarannya sahaja, tetapi juga dengan tujuan penggunaan.

    Yang pertama, Urban Package yang terdiri daripada kemasan bampar depan, kemasan sisi, visor pintu serta pelindung gril baru. Pakej ini dijual pada harga RM5,820 tidak termasuk pemasangan, yang dikenakan tambahan RM180.

    Yang kedua ialah Professional Package pada harga RM1,500 (pemasangan perlu tambahan RM117) yang menukar warna pemegang pintu dan perumah cermin sisi dari warna badan kepada kemasan krom.

    Yang ketiga pula ialah Protection Package yang ditawarkan pada harga RM4,000, yang melibatkan tambahan pelindung lumpur depan dan belakang, serta pelindung logam bagi dua differential yang ada pada Jimny. Upah pemasangan untuk pakej ini juga sama, RM117.

    Suzuki Jimny dijual pada harga semasa RM174,900 atas jalan tidak termasuk insuran. Harga ini RM6,000 lebih mahal berbanding harga ketika pelancarannya iaitu RM168,900, walaupun ketika itu harga yang lebih rendah itu disebabkan oleh rebat 50% bagi cukai SST.

    Jimny diimport sepenuhnya dari Jepun dan ditawarkan dalam empat pilihan warna, termasuk Jungle Green dan Medium Grey yang tidak memerlukan tambahan kos. Jika ingin versi dua warna, Kinetic Yellow dan bumbung Bluish Black Pearl 3, ini melibatkan pertambahan RM2,500. Sementara itu, warna Bluish Black Pearl 3 pula memerlukan tambahan RM1,500.

    Jimny menggunakan enjin K15B 1.5 liter VVT NA empat-silinder petrol yang menghasilkan 100 hp pada 6,000 rpm dan 130 Nm tork pada 4,000 rpm. Ini digandingkan pula dengan kotak gear automatik empat-kelajuan dan sistem pacuan empat roda separuh masa dengan low-range transfer box.

     
     
  • Tindakan ‘cop’ parkir salah disisi undang-undang; denda hingga RM2,000 atau penjara enam bulan

    Tindakan ‘cop’ parkir salah disisi undang-undang; denda hingga RM2,000 atau penjara enam bulan

    Masalah parkir memang sering kali menjadi dilema para pemandu waima di kawasan perumahan, premis perniagaan mahu pun pusat membeli-belah. Terutamanya jika di waktu puncak, masalah ini sering kali terjadi, puaslah kita memandu ‘tawaf’ tempat berkenaan untuk mencari petak parkir kosong. Dan hati menjadi lebih sebal bila ada individu yang sengaja berdiri di dalam petak parkir kosong semata-mata hendak ‘cop’ parkir berkenaan.

    Itulah yang diluahkan oleh aktres tempatan, Elvina Mohamad, yang berhadapan dengan situasi tersebut baru-baru ini, laporan The Sun. Beliau telah memuat naik klip video pendek menerusi akaun TikTok rasminya baru-baru ini, yang merakamkan aksi seorang wanita berdiri di dalam petak parkir kosong sementara menanti rakannya tiba bagi membolehkan mereka parkir di ruang berkenaan.

    “Kami memandu berpusing-pusing tiga ke empat kali untuk cari parkir, dan wanita tersebut (berdiri) di situ, nak cop parkir untuk kawan dia,” kata Elvina. Wanita yang berdiri di petak parkir tersebut mendakwa telah berdiri di situ lama, tetapi Elvina berkata dia telah lama menunggu untuk parkir di situ selepas kereta lain keluar dari petak parkir tersebut.

    Menerusi video yang dikongsikan, wanita terbabit enggan memperdulikan Elvina dan memberikan bantuan untuk rakannya parkir di situ, sebuah Perodua Bezza berwarna biru, yang turut dibantu oleh seorang individu lain yang dipercayai rakannya.

    Tindakan ‘cop’ parkir salah disisi undang-undang; denda hingga RM2,000 atau penjara enam bulan

    Untuk pengetahuan anda, tindakan ‘mengecop’ petak parkir adalah suatu kesalahan dalam undang-undang trafik. Pada tahun 2018, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa tindakan tersebut adalah tidak dibenarkan, dan mana-mana individu yang berbuat demikian boleh didakwa di bawah Seksyen 50 (3) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

    “Jika mana-mana orang melainkan dengan kuasa yang sah, berada di atas mana-mana jalan atau di mana-mana tempat letak kereta bagi maksud mendesak mana-mana orang lain berkenaan dengan penjagaan atau pencucian sesuatu kenderaan motor, atau bagi maksud mengarahkan mana-mana pemandu sesuatu kenderaan motor berkenaan dengan meletakkan kereta di atas jalan atau di tempat itu, dia melakukan suatu kesalahan,” tegas PDRM.

    Di bawah Seksyen 119, penalti untuk kesalahan ini adalah denda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga enam bulan untuk kesalahan pertama. Bagi kesalahan kedua dan seterusnya selepas disabit kesalahan, denda akan meningkat sehingga RM4,000, atau penjara sehingga 12 bulan.

    @elvinamohamad

    Tak sangka eh masih ada orang buat macam ni, nak COP2 PARKING! Kita ni punya laa 3 4 kali round cari and tunggu parking. Lepas tu senang2 dia je dia berdiri situ nak cop parking untuk kawan dia. Lepas tu menipu cakap dah berdiri lama padahal kami dari awal memang dah tunggu nak park situ lepas kereta lain keluar dr parking. Ikut kan hati je nak maki! Haihhh geramm rasa!

    ? original sound – Elvina Mohamad

     
     
  • Toyota Yaris Cross GR Sport masuk pasaran Australia – 1.5L hibrid 2WD 116 PS, suspensi ditala semula

    Toyota Yaris Cross GR Sport masuk pasaran Australia – 1.5L hibrid 2WD 116 PS, suspensi ditala semula

    Selepas diperkenalkan untuk pasaran Eropah September lalu, Toyota Yaris Cross GR Sport kini memasuki pula pasaran Australia dengan harga bermula AUD$35,840 (RM106,353). Menurut Toyota, model pasaran Australia ini menggunakan spesifikasi varian GXL 2WD sebagai asas dan ditambah dengan elemen penggayaan daripada GR.

    Menggerakkan crossover ini adalah gabungan enjin petrol tiga silinder hibrid 1.5 liter berkuasa 91 PS/120 Nm bersama motor elektrik pada gandar hadapan, untuk menghasilkan kuasa keseluruhan sebanyak 116 PS.

    Meskipun bahagian enjin tidak ada beza dengan model standard, versi GR Sport ini mendapat talaan suspensi khas untuk memberikan pengendalian lebih baik serta rasa yang lebih tepat. Menurut Toyota, antara yang diubah adalah kadar spring, ketegaran control arm serta bound stopper.

    Bahagian casis turut diperkuat dengan pendakap di bawah lantai serta di bahagian crossmember belakang. Kemudiannya, kedudukan Yaris Cross GR Sport ini direndahkan 10 mm berbanding Yaris Cross biasa.

    Membezakan bahagian luar Yaris Cross GR Sport ini adalah ia dilengkapi dengan rim 18 inci lima cabang, angkup brek warna merah dengan logo GR di hadapan, penutup cermin sisi warna hitam serta lencana GR di beberapa tempat.

    Di bahagian dalam model ini mendapat roda stereng balutan kulit, unit multimedia tujuh inci dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, navigasi satelit, kamera panoramik, Toyota Connected Services serta pakej keselamatan Toyota Safety Sense.

    GALERI: Toyota Yaris Cross GR Sport pasaran Eropah

     
     
  • Pengendali poin pengecasan EV disaran dapatkan lesen Sistem Pengecasan EV sebelum 31 Mac 2023

    EV charge point operators recommended to get EV charging system licenses before March 31, 2023 – EC

    Pengendali poin pengecasan EV disaran dapatkan lesen Sistem Pengecasan EV sebelum 31 Mac 2023

    Suruhanjaya Tenaga telah mencadangkan pengendali poin pengecasan yang terlibat dalam pembangunan prasarana pengecasan kenderaan elektrik agar mendapatkan lesen agihan tenaga umum yang sah segera bagi pemasangan sistem pengecasan EV sebelum 31 Mac 2023, lapor Bernama.

    Lesen sistem pengecasan kenderaan elektrik perlu didapatkan oleh pengendali poin pengecasan, termasuk sistem pengecasan EV yang sudah pun beroperasi, sebelum penguatkuasaan dijalankan. Dalam satu kenyataan oleh Suruhanjaya Tenaga, lesen berkenaan perlu dimohon untuk memastikan sistem pengecasan supaya semuanya mengikut piawaian dan selamat digunakan di seluruh negara.

    “Keperluan ini adalah selari dengan Seksyen 9(1)(b) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Pindaan 2015) (Akta A1501), yang menyebut bahawa lesen perli dikeluarkan kepada pengendali poin pengecasan yang membekalkan elektrik bagi kegunaan komersial selama 10 tahun, bergantung kepada lokasi pemasangan,” jelas kenyataan tersebut.

    Bagaimanapun, skop pelesenan Suruhanjaya Tenaga hanya merangkumi aspek keselamatan dan teknikal, dan tidak termasuk dasar kawal selia ekonomi, tambahnya.

    Pengendali poin pengecasan EV disaran dapatkan lesen Sistem Pengecasan EV sebelum 31 Mac 2023

    Pengenali poin pengecasan yang menjalankan pemasangan sistem berkenaan tanpa lesen sah adalah dikira melakukan kesalahan, dan boleh didakwa di bawah Seksyen 37(5) Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447), menurut kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Hab pengecasan Gentari yang dibuka baru-baru ini di Bangi Golf Resort dan di X Park Sunway Serene merupakan tapak pengecasan EV pertama yang menerima lesen Sistem Pengecasan Kenderaan Elektrik (SPKE) daripada Suruhanjaya Tenaga.

    Ketika pembukaan rasminya di Bangi Golf Resort, lokasi berkenaan diserahkan lesen agihan tenaga awam daripada Suruhanjaya Tenaga kepada EV Connection (EVC). Hab pengecasan berkenaan dibangunkan bersama oleh EVC dan Gentari, sebuah anak syarikat Petronas.

     
     
  • BMW R nineT dan R18 100 Years diperkenal – 1,923 unit sahaja untuk pasaran, pelbagai kemasan istimewa

    BMW R nineT dan R18 100 Years diperkenal – 1,923 unit sahaja untuk pasaran, pelbagai kemasan istimewa

    Sebagai menyambut ulang tahunnya yang ke-100, BMW Motorrad telah mengeluarkan dua model istimewa untuk pasaran, iaitu R nineT 100 Years Anniversary dan R18 100 Years Anniversary. Dua model ini masing-masing hanya akan dibuat sebanyak 1,923 unit untuk jualan, dan nombor itu diambil sempena memperingati tahun BMW Motorrad mula mengeluarkan motosikal.

    Enjin boxer-twin ikonik BMW digunakan pada kedua-dua model ini, dengan R nineT mampu menghasilkan 109 hp pada 7,250 rpm dan tork 116 Nm pada 6,000 rpm daripada enjin yang berkapasiti 1,170 cc, sementara R18 pula menggunakan unit 1,802 cc berkemampuan 91 hp pada 4,750 rpm dan tork 158 Nm pada 3,000 rpm.

    Banyak kemasan krom digunakan pada R nineT 100 Years Edition, dan ia digabungkan bersama pakej barangan Option 719 yang termasuk rim spoke hitam 719 Classic. Tangki menggunakan gabungan warna hitam, krom serta jalur pinstripe putih, dengan di tepinya terdapat getah pelapik kaki dan di atas terdapat lencanan “100 Years.”

    Penutup tempat duduk belakang juga mendapat kemasan krom, sementara tempat duduk utama dibalut dengan kulit berwarna hitam/oxblood. Fender hadapan dicat warna hitam, dan turut mendapat jalur pinstripe warna putih. Ia kemudiannya ditambah lagi dengan pakej Option 719 Shadow yang memberikan barangan milled termasuk penutup head, penutup tepi enjin, pemegang tempat duduk serta tempat mengisi minyak enjin.

    Turut diberikan terus pada R nineT 100 Years ini adalah pakej Option 719 Shadow II, iaitu barangan milled untuk tuil serta peletak kaki boleh laras, peletak kaki penumpang, penutup tangki air serta cermin sisi bar end. Melengkapkan senarai barangannya adalah lampu membelok adaptif, serta Comfort Package yang memberikan pemanas tangan, cruise control serta Driving Modes Pro.

    R18 100 Years juga mendapat kemasan yang sama seperti R nineT 100 Years, dengan gabungan warna hitam, krom serta jalur pinstripe putih dan lencana “100 Years.” Konsep warna ini digunakan pada seluruh motosikal termasuk fender hadapan dan belakang, serta panel tepi.

    Kemudiannya ia ditambah dengan tempat duduk Option 719, yang berwarna hitam/oxblood dan mempunyai jahitan timbul bercorak berlian. Bahagian utama enjin diwarnakan hitam Axus Black, sebagai peringatan kepada litar lumba legenda di Berlin, tempat BMW Motorrad pernah mencatat kegemilangan pada zaman dahulu.

    Kemasan krom turut digunakan untuk menyerlahkan motosikal ini, termasuk pada bahagian pemegang, penukar gear, pedal brek, hujung pemegang, cermin sisi, takung minyak brek dan klac, angkup brek, penutup head enjin, penutup enjin utama serta intake manifold.

    Melengkapkan ciri istimewa R18 100 Years ini adalah ekzos Akrapovic dengan hujungnya terdapat penutup yang berbentuk kipas, seperti logo BMW. Barangan standard yang diberi pada motosikal ini adalah termasuk lampu membelok adaptif, pembantu undur, cruise control serta pemanas tangan.

    GALERI: BMW R nineT 100 Years Anniversary Edition

    GALERI: BMW R18 100 Years Anniversary Edition

    GALERI: Beg barangan BMW Motorrad 100 Years Annivesary Edition

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Nov 2022 naik 5.58%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Nov 2022 naik 5.58%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan bagi November 2022, mengumumkan sebanyak 64,404 unit kenderaan telah dihantar kepada pembeli pada bulan lalu. Ia menunjukkan kenaikan sebanyak 3,402 unit berbanding 61,002 unit yang terjual pada Oktober 2022, iaitu meningkat sebanyak 5.58%.

    MAA berkata, jumlah yang konsisten (November termasuk dalam empat bulan berturut-turut mencatatkan jumlah jualan melebihi 60k unit) disebabkan syarikat kereta yang terus memenuhi tempahan yang diterima sebelum 30 Jun 2022, apabila pengecualian cukai jualan berakhir.

    Berbanding bulan yang sama pada 2021, November 2022 turut mencatatkan kenaikan sebanyak 7.3% (atau 4,357 unit) jika dibandingkan dengan 60,047 unit yang dicapai tahun lalu. Setakat ini, jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 11 bulan tahun ini, mencatatkan sebanyak 642,306 unit, naik 44.8% (atau 198,670 unit) berbanding 443,636 unit pada tempoh yang sama tahun lalu.

    Persatuan ini menjangkakan jualan bagi Disember 2022 lebih tinggi berbanding November, dengan syarikat kereta dijangka terus memenuhi tempahan kenderaan yang tertangguh yang dibuat ketika tempoh pengecualian cukai jualan. Walau bagaimana pun, ia juga bergantung pada keupayaan pengeluaran.

     
     
  • Cerun runtuh di LPT2: Laluan KM393.4 (U) Bukit Besi-Ajil terhalang, sila guna jalan alternatif yang disaran

    Cerun runtuh di LPT2: Laluan KM393.4 (U) Bukit Besi-Ajil terhalang, sila guna jalan alternatif yang disaran

    Lebuhraya Pantai Timur 2 Sdn Bhd (LPT 2), pengendali lebuh raya bagi Lebuhraya LPT2 memaklumkan laluan di KM393.4 (arah utara) di antara Bukit Besi ke Ajil masih terhalang akibat berlakunya cerun runtuh di lokasi berkenaan semalam. Justeru, pemandu dari Kuala Lumpur yang menghala ke Kuala Terengganu dinasihatkan keluar di Plaza Tol Dungun (Mandatori Exit).

    “Untuk pemandu yang keluar dari Plaza Tol Dungun, anda dinasihatkan untuk menggunakan Jalan Pantai (FT03) untuk menuju ke Kuala Terengganu.

    “Walau bagaimanapun, perjalanan dari Kuala Terengganu menghala ke Kuantan/Kuala Lumpur menggunakan Lebuhraya LPT2 masih boleh dilalui oleh semua kenderaan seperti biasa,” kata kenyataan yang dikongsikan menerusi Facebook rasminya pada jam 11.30 pagi tadi.

    Syarikat konsesi berkenaan berkata, pengaktifab ‘mandatory exit’ berkenaan adalah bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembersihan tapak dan juga mengelakkan dari berlakunya kejadian yang tidak diingini kepada pengguna lebuh raya yang melalui laluan tersebut.

    “Sila rancang perjalanan anda dan patuhi arahan pengawal dan papan tanda yang diletakkan di lokasi berkenaan. Pandu cermat dan terima kasih di atas kerjasama anda,” kata LPT2 lagi.

     
     
  • Pastikan lampu brek ketiga anda berfungsi – denda hingga RM2k atau penjara tidak lebih 6 bulan – PDRM

    Pastikan lampu brek ketiga anda berfungsi – denda hingga RM2k atau penjara tidak lebih 6 bulan – PDRM

    Mungkin ada yang merasakan lampu brek ketiga tidaklah sepenting mana, tetapi tahukah anda, sekiranya lampu ini tidak berfungsi, ia boleh membahayakan pengguna jalan raya yang berada di belakang kereta anda.

    Bagi yang kurang peka, lampu brek ketiga adalah lampu merah yang terletak sama ada di bahagian tengah atas atau bawah pada cermin belakang kereta. Ia berfungsi untuk memaklumkan kepada pemandu di belakang bahawa anda memperlahankan kenderaan dan ia sangat penting terutamanya apabila hujan.

    Justeru, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) menerusi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) telah memberikan pengingatan agar pemilik kenderaan mengambil berat tentang kepentingan lampu brek ketiga.

    “Ketiadaan lampu brek ketiga sering diambil mudah oleh pemilik kenderaan. Sikap tidak bertanggungjawab ini boleh mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya di belakang terutamanya pada waktu malam dan keadaan hujan lebat.

    “Pemilik kenderaan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 119(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi kesalahan am dan penalti. Jika disabitkan kesalahan, boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak lebih daripada enam bulan,” kata polis menerusi kenyataan yang dikeluarkan itu.

    Untuk memeriksa sama ada lampu brek ketiga anda berfungsi atau pun tidak, minta rakan atau ahli keluarga berdiri di belakang kereta anda untuk memerhatikan keadaan lampu berkenaan. Atau pun anda boleh menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan video. Anda perlu masuk ke dalam kereta dan pijak pedal brek, sama ada dalam keadaan kereta bergerak atau pun tidak. Tetapi pastikan ia dilakukan dalam persekitan yang selamat.

    Sekiranya lampu brek ketiga tidak berfungsi, sila tukar unit lampu berkenaan. Bukan setakat untuk mengelak kena saman, tetapi demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain. Jadilah seorang pemandu yang peka dan berhemah.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025