Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya pada Jun 2023; 19 set tren baru beroperasi mulai Ogos hadapan

    LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya pada Jun 2023; 19 set tren baru beroperasi mulai Ogos hadapan

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, menggesa Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) agar segera membaikpulih masalah teknikal dan dalam masa yang sama menaiktaraf perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya.

    Menurut Loke, pada ketika ini hanya 38 set tren untuk Laluan Kelana Jaya yang dapat terus beroperasi berbanding jumlah keseluruhan yang sepatutnya mencecah 56 set.

    “Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya merupakan laluan tren yang paling sibuk dan sesak di antara keseluruhan laluan tren yang ada di Lembah Klang. Terdapat lebih kurang 200,000 penumpang setiap hari. Pada waktu puncak pastinya berlaku kesesakan kerana kapasiti penumpang yang terlalu ramai. Perkara ini memang tidak menyenangkan buat pengguna perkhidmatan ini, apatah lagi kekerapan tren kini menjadi minimum lima minit, berbanding tiga minit yang sepatutnya.

    LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya pada Jun 2023; 19 set tren baru beroperasi mulai Ogos hadapan

    “Walau bagaimana pun, saya dimaklumkan oleh pihak Prasarana, 18 set tren sedang diselenggara dan tidak dapat beroperasi. Justeru, hanya tinggal 38 set tren sahaja yang beroperasi ketika ini. Oleh kerana set tren yang berkurangan, menyebabkan waktu kekerapannya juga bertambah. Untuk mencapai tiga minit, kita perlukan 48 set tren untuk beroperasi.

    “Jadi, saya telah berbincang dengan Prasarana supaya mempercepatkan proses penyelenggaran tren dan beransur-ansur menambah bilangan tren untuk mmeningkatkan kekerapannya,” kata Loke dalam sidang media selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Prasarana bagi membincangkan isu LRT yang kian meruncing ini.

    Loke turut berkata, prasarana memberi jaminan bahawa semua tren yang sedang diselenggara itu dijangka akan siap menjelang suku ketiga tahun 2023.

    LRT Kelana Jaya dijangka pulih sepenuhnya pada Jun 2023; 19 set tren baru beroperasi mulai Ogos hadapan

    Jelasnya lagi, Prasarana juga telah membeli 19 set tren empat gerabak baharu di mana set pertama akan beroperasi mulai Ogos 2023. Namun buat masa ini, Prasarana sedang berusaha untuk memastikan segala masalah teknikal dapat diatasi, termasuk membuat penyelenggaran menyeluruh untuk sistem. Ia perlu dilakukan untuk memastikan perkhidmatan ini lebih lancar dan selamat.

    “Dalam tempoh ini, kita tahu perkhidmatan ini banyak masalah teknikal, kadang-kadang ada gangguan sistem termasuk power trip dan sebagainya. Saya akui perkhidmatan ini masih belum stabil. Justeru, saya memohon maaf pada semua pengguna kerana mengalami kesulitan disebabkan isu ini.

    “Dalam masa yang sama, saya minta pihak pengurusan untuk bertindak lebih serius bagi meminimumkan masalah. Saya berharap perkhidmatan ini akan lebih stabil dan selamat mulai Jun 2023. Saya akan memantau isu ini secara peribadi dari semasa ke semasa,” katanya lagi.

    Pada 5 Disember lalu, Loke mengambil kesempatan menaiki LRT Laluan Kelana Jaya pada waktu puncak. Tindakan secara spotcheck itu membuka peluang untuknya meninjau sendiri keadaan di stesen dan di dalam tren.

     
     
  • BYD akan labur RM500j di Malaysia – pusat pameran pertama dibuka di KL bulan ini, 20 lagi tahun depan

    BYD akan labur RM500j di Malaysia – pusat pameran pertama dibuka di KL bulan ini, 20 lagi tahun depan

    Semasa pelancaran SUV elektrik BYD Atto 3 sebentar tadi, syarikat dari China itu juga memberitahu akan melabur RM500 juta ke arah pembangunan rangkaian pusat pameran serta insfrastruktur mengecas di seluruh Malaysia dalam masa dua tahun akan datang.

    Pusat pameran BYD yang pertama akan dibuka bulan ini di TREC, Kuala Lumpur, sementara tiga lagi akan dibuka di Ara Damansara, Pulau Pinang dan Johor pada separuh pertama tahun 2023, dengan kebanyakannya adalah 3S. Menjelang hujung tahun depan, jenama itu, bersama Sime Darby Motors meletakkan sasaran jumlah rangkaian sebanyak 20 pengedar di seluruh Malaysia. Jumlah ini kemudiannya akan digandakan pada tahun 2024.

    “Selari dengan sasaran kami untuk menjadi pendahulu (segmen EV) dan berkehendak memacu aspirasi EV Malaysia, kami teruja untuk memulakan babak baru bersama BYD, mengikuti kejayaan kami di Singapura. Dengan separuh bilion ringgit sedia untuk dilabur, ini akan menyokong rancangan pengembangan agresif untuk jenama ini di Malaysia, dan menunjukkan kepercayaan kami kepada tarikan universal jenama ini,” kata pengarah urusan Sime Darby Motors, Andreq Basham.

    “Melihat kepada rekod Sime Darby Motors, serta kemampuannya sebagai pemain serantau dalam industri automotif, terutamanya rangkaian pengedar yang meluas di Malaysia, digabungkan pula dengan teknologi dan kepakaran BYD, kami akan berusaha untuk memberi kenderaan inovatif kami kepada pelanggan Malaysia dan menyokong hasrat pengurangan karbon negara,” kata pengurus kanan bahagian jualan kenderaan Asia Pasifik BYD, Liu Xueliang.

    Ketibaan jenama ini ke Malaysia dilancarkan bersama model SUV elektrik penuh Atto 3, yang diletakkan pada harga RM149,800 untuk varian Standard Range, dan meningkat sehingga RM167,800 untuk Extended Range. Ia kemudiannya akan disertai pula oleh model e6, sementara Seal (Atto 4) dan Dolphin (EA1) akan memasuki pasaran Malaysia pada suku keempat 2023.

     
     
  • Toyota Hilux GR-Sport kini di Indonesia – RM206k, 2.8L Turbodiesel, 204 PS/500 Nm, 6AT, Toyota Safety Sense

    Toyota Hilux GR-Sport kini di Indonesia – RM206k, 2.8L Turbodiesel, 204 PS/500 Nm, 6AT, Toyota Safety Sense

    PT Toyota Astra Motor (TAM) kini secara rasminya telah pun mula menjual model paling sporty untuk Toyota Hilux di Indonesia iaitu Hilux GR-Sport yang sebelum ini dipamerkan di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2022 yang berlangsung pada bulan lalu.

    Model ini bukan sahaja tampil dengan rupa yang lebih agresif, malah ia kini merupakan Hilux paling berkuasa yang ditawarkan di Indonesia. Pada bahagian luaran, trak pikap dengan lencana GR-Sport ini menerima gril hadapan tanpa logo Toyota, tetapi digantikan dengan skrip ‘Toyota’ seperti Land Cruiser GR Sport baharu.

    Skid plate hadapan juga kini menerima kemasan-hitam warna badan, manakala lampu kabus pula LED menerima perumah lebih besar dalam kemasan hitam berkilat. Ia juga diberikan sports bar belakang berwarna hitam, rim aloi 18-inci kemasan hitam dan juga logo-logo GR diletakkan pada bahagian hadapan, sisi, dan belakang. Secara ringkasnya, Hilux GR-Sport pasaran Indonesia ini adalah seiras dengan Hilux GR-Sport versi High Rider pasaran Thailand.

    Toyota Hilux GR-Sport kini di Indonesia – RM206k, 2.8L Turbodiesel, 204 PS/500 Nm, 6AT, Toyota Safety Sense

    Begitu juga bahagian dalaman, Hilux GR-Sport di Indonesia ini kelihatan sama dengan model pasaran Thai, menampilkan perincian seperti roda stereng balutan kulit dengan penanda pukul 12 berwarna merah, panel-panel kemasan kelabu gelap, pedal aloi, uphosteri kulit-sued hitam dengan sulaman logo GR, butang penghidup enjin dengan logo GR, serta paparan meter dengan skrin pemula juga berlogo GR.

    Perincian lain yang turut diberikan termasuk lampu hadapan LED, bampar belakang dengan Tailgate Assist, skrin sesentuh utama bersaiz 8-inci, pemantau pandangan panaromik, dan juga sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense bersama bantuan titik buta dan amaran lintasan trafik belakang.

    Toyota Hilux GR-Sport ini dijana oleh enjin 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel yang menghasilkan kuasa 204 PS dan tork maksima 500 Nm bermula 1,600 hingga 2,800 rpm. Model ini hanya ditawarkan dengan kotak gear automatik enam-kelajuan dengan pedal penukar gear, digandingkan dengan sistem 4WD bersama unit differential lock pada gandar belakang.

    Untuk kita di Malaysia tiada apa yang istimewa berkenaan enjin tersebut sudah pun berada pada model 2.8L Rouge di sini dengan angka kuasa yang sama. Namun di Indonesia, enjin tersebut membuatkan Hilux GR-Sport ini sebagai Hilux paling berkuasa yang ditawarkan kerana varian lain hanya diberikan enjin turbodiesel 2GD-FTV 2.4 liter berkuasa 150 PS/400 Nm dan hanya hadir dengan kotak gear manual enam-kelajuan.

    Tiada sebarang perubahan pada sistem suspensi diumumkan, dan ia masih dipadankan dengan cakera brek 16-inci di hadapan bersama dram di belakang. Namun Hilux GR-Sport ini diberikan angkup brek hadapan berwarna merah dengan logo GR.

    Hanya dua warna badan ditawarkan untuk Toyota Hilux GR-Sport ini iaitu Platinum White Pearl Mica dan Emotional Red. Ia dijual pada harga 731.4 juta rupiah (RM206k) – sebagai perbandingan, model 2.4L MT dalam varian paling tinggi dijual pada harga 464 juta rupiah (RM131k).

     
     
  • BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

    BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

    Jenama BYD kini dengan rasminya diperkenalkan di Malaysia, dan pengeluar EV dari China ini sedang mengadakan aktiviti dan pandu uji di Bandar Malaysia, Kuala Lumpur hujung minggu ini. Model pertama yang dilancarkan di sini ialah BYD Atto 3, sebuah crossover elektrik sepenuhnya.

    Pengedar rasminya, BYD SD Motors Malaysia (BYD SDM, sebahagian daripada Sime Darby Motors) menawarkan dua varian Atto 3 di sini: Standard Range (SR) dengan bateri 49.92 kWh yang memberikan jarak perjalanan 410 km (NEDC, 345 km WLTP), dan Extended Range (ER) dengan bateri 60.48 kWh, dengan jarak 480 km (NEDC, 420 km WLTP).

    Varian SR ini dijual pada harga RM149,800 sementara varian ER pula pada harga RM167,800. Harga bagi EV ini dikecualikan daripada duti, dan merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans. Harga akhir ini juga sebenarnya tidak lari jauh daripada jangkaan awal untuk tempahan sebelum ini, iaitu sekitar RM150k-RM170k.

    BYD Atto 3 mempunyai ukuran dimensi yang lebih besar daripada Proton X50. Dengan 4,455 mm panjang dan 1,875 mm lebar, EV BYD ini 125 mm lebih panjang daripada X50, dan 75 mm lebih lebar. Jarak antara rodanya pula ialah 2,720 mm, 120 mm lebih panjang berbanding X50. Ruang butnya pula ialah 440L, 110L lebih besar daripada X50.

    Di luar, Atto 3 dilengkapi dengan lampu LED dengan fungsi “Follow Me Home” serta lampu depan adaptif, lampu belakang LED, dengan ciri lampu suasana warna tunggal atau pelbagai mengikut varian. Kelengkapan dalamannya — dengan rekaan futuristik yang menarik — pula terdiri antaranya daripada skrin pintar boleh pusing bersaiz 12.8-inci, Apple CarPlay sambungan wayar dan Android Auto sambungan tanpa wayar, penegcas telefon tanpa wayar dan sistem pintar tanpa kunci.

    Keduanya menggunakan bateri Blade EV oleh BYD sendiri, yang disambung kepada sebuah motor elektrik di depan dengan janaan 204 PS/310 Nm. Atto 3 boleh dicas menggunakan pengecasan AC (Type 2) sehingga 7 kW dan juga pengecasan pantas DC (CCS2), dengan kadar maksimum antara 70 kW atau 80 kW, mengikut kapasiti baterinya. Dengan input lebih tinggi, kadar pengecasan 0-80% boleh dicapai dalam masa 45 minit.

    BYD Atto 3 EV kini di Malaysia — 49.92 kWh atau 60.48 kWh, capai jarak hingga 480 km, harga dari RM149,800

    Atto 3 menggunakan tetapan suspensi MacPherson strut di depan, dan jenis multilink di belakang untuk lebih keselesaan. Bagi varian SR, ia menggunakan rim aloi 17-inci dengan saiz tayar 215/60, manakala varian ER pula dengan saiz rim 18-inci dengan profil tayar 215/55 R18.

    Dari segi keselamatan juga Atto 3 tampil agak lengkap. Ia hadir dengan tujuh beg udara, brek parkir elektrik, enam sensor parkir, sistem pengesan tekanan tayar, ABS dan kawalan kestabilan, sistem kawalan cengkaman, EBD, kawalan menuruni curam, kawalan melayar adaptif kelajuan penuh dengan Stop & Go, brek kecemasan autonomous (AEB), amaran perlanggaran belakang (RCW), pengesan titik buta (BSD), amaran buka pintu (DOW) dan amaran lintasan trafik di belakang.

    Ketika ini, pesaing lain bagi EV penuh peringkat kemasukan seperti ini ialah Hyundai Kona Electric (RM156k-RM208k) dan mungkin juga Hyundai Ioniq 5 versi Lite 58 kWh (RM270k). Selain itu, GWM Ora Good Cat juga sudah dilancarkan bulan lalu, dan dijual pada harga dari RM139,800 hingga RM169,800. Lain-lain EV yang pernah dijual di sini termasuklah Renault Zoe (RM163k) dan juga Nissan Leaf.

    Atto 3 didatangkan dalam lima pilihan warna — Ski White, Boulder Grey, Forest Green, Parkour Red dan Surf Blue. Crossover ini didatangkan dengan jaminan selama enam tahun atau 150,000 km, dengan jaminan bateri pula selama lapan tahun atau 160,000 km.

    Acara BYD di Bandar Malaysia ini terbuka kepada orang awam bermula esok hingga Ahad nanti. Jadi, luangkan masa dan berkunjung ke sana untuk melihat sendiri Atto 3 ini, serta pameran teknologi lain daripada BYD.


     
     
  • Polis beri amaran buat pesalah lawan arus – penjara 5 tahun, denda minima RM5k jika disabit kesalahan

    Polis beri amaran buat pesalah lawan arus – penjara 5 tahun, denda minima RM5k jika disabit kesalahan

    Polsi DiRaja Malaysia (PDRM) sekali lagi mengulangi amaran buat mana-mana pemandu atau penunggang motosikal yang melakukan kesalahan melawan arus trafik, bersedialah untuk berhadapan hukuman penjara dan denda jika disabit kesalahan.

    Menurut perkongsian menerusi Facebook rasminya, PDRM berkata, mana-mana pemandu dan penunggang yang melakukan kesalahan melawan arus trafik termasuk yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain, boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42(1), Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

    “Sekiranya didapati bersalah, pengguna jalan raya boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 serta tidak melebihi RM15,000. Seseorang yang disabitkan di bawah seksyen ini juga hilang kelayakan daripada memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun dari tarikh sabitan,” kata kenyataan yang dikeluarkan.

    Apa jua tindakan anda sewaktu berada di jalan raya, jangan fikir nak ‘lepaskan’ diri sendiri sahaja. Tolong fikirkan sekali keselamatan orang lain. Jangan disebabkan kealpaan anda, orang lain yang menerima padah.

     
     
  • Tesla kini di Thailand secara rasmi – Model 3 & Model Y bermula RM220k; jaringan Supercharger Q1 2023

    Tesla kini di Thailand secara rasmi – Model 3 & Model Y bermula RM220k; jaringan Supercharger Q1 2023

    Selepas bertapak di Singapura tahun lalu, jenama kenderaan elektrik dari Amerika Syarikat, Tesla secara rasminya kini sudah masuk ke pasaran Thailand. Untuk permulaan, dua model telah dilancarkan di Thailand iaitu Model 3 dan Model Y.

    Bagi Model 3, tiga varian ditawarkan pada pasaran berkenaan, bermula dengan varian Rear Wheel Drive dijual pada harga 1.7 juta baht (RM220k), diikuti Long Range AWD bermula 1.9 juta baht (RM250k) dan Performance bermula 2.3 juta baht (RM289k).

    Varian Rear Wheel Drive digerakkan dengan hanya satu motor elektrik yang diletak pada gandar belakang, berkuasa 347 PS dan tork maksima 420 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan mencapai kelajuan maksima 225 km/j. Motor berkenaan menerima bekalan kuasa dari bateri berkapasiti 57.5 kWj, membolehkan ia bergerak sejauh 559 km (kitaran NEDC) dengan satu cas penuh. Ia menyokong pengecas AC 7.6 kW dan juga pengecas pantas DC sehingga 250 kW.

    Tesla kini di Thailand secara rasmi – Model 3 & Model Y bermula RM220k; jaringan Supercharger Q1 2023

    Untuk model Long Range AWD, ia menerima dua buah motor elektrik di mana sebuah lagi diletakkan pada gandar hadapan, membolehkan ia menjadi sebuah model pacuan semua roda. Secara keseluruhan kedua-dua motor berkenaan memberikan kuasa 514 PS dan tork maksima 493 Nm, membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.4 saat serta mencapai kelajuan maksima 233 km/j.

    Model ini diberikan bateri berkapasiti lebih besar iaitu 75 kWj, membolehkan ia dipandu sejauh 681 km (kitaran NEDC). Ia menyokong pengecas AC 11.5 kW dan pengecas pantas DC sehingga 250 kW.

    Manakala varian tertinggi untuk Model 3 iaitu Performance pula, ia juga menerima dua buah motor elektrik serta pek bateri 75 kW yang membolehkan ia bergerak sejauh 608 km untuk satu cas penuh. Ia menyokong pengecas AC 11.5 kW dan pengecas pantas DC sehingga 250 kW. Untuk prestasi, Model 3 Performance ini mampu memecut dari 0-100 km.j dalam masa 3.3 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 261 km/j.

    Varian paling mahal ini juga diberikan perincian seperti rim aloi Uberturbine bersaiz 20-inci, sistem Performance Brake, spoiler belakang gentian karbon dan set pedal aluminium. Model pasaran Thailand ini datang dengan perincian standard seperti rim 18-inci dan skrin sesentuh 15-inci untuk mengawal pelbagai fungsi kereta ini termasuk sistem Tesla Autopilot.

    Untuk Tesla Model Y, ia turut hadir dengan pilihan tiga varian yang sama. Model Y Rear Wheel Drive dijual pada harga bermula 1.9 juta baht (RM245k), varian Long Range AWD bermula 2.2 juta baht (RM283k) dan varian tertinggi Performance dijual pada harga bermula 2.5 juta baht (RM314k).

    Bagi Model Y Rear Wheel Drive, motor tunggal pada gandar belakang memberikan kuasa 347 PS dan tork maksima 420 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.9 saat dan mencapai kelajuan maksima 217 km/j. Bekalan kuasa diterima dari bateri lithium-ion berkapasiti 57.5 kWj membolehkan ia bergerak sejauh 510 km (kitaran NEDC). Untuk mengecas, ia menyokong pengecas AC sehingga 7.6 kW dan pengecas pantas DC 250 kW.

    Seperti Model 3 Long Range, Model Y Long Range juga menerima dua buah motor elektrik, membolehkan ia memberikan pacuan semua roda dan kuasa keseluruhan 514 PS dan tork maksima 493 Nm. Ini membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 5 saat, dan kelajuan maksima dicatat pada 217 km/j.

    Tesla kini di Thailand secara rasmi – Model 3 & Model Y bermula RM220k; jaringan Supercharger Q1 2023

    Tesla kini di Thailand secara rasmi – Model 3 & Model Y bermula RM220k; jaringan Supercharger Q1 2023

    Bagi Model Y Performance pula, ia juga diberikan konfigurasi motor elektrik dan jumlah tork yang sama tetapi dibekalkan dengan kuasa lebih tinggi iaitu 534 PS. Ini membolehkan model varian paling tinggi ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.7 saat dan mencatatkan kelajuan maksima 250 km/j.

    Kedua-dua varian Model Y Long Range dan Peformance ini juga diberikan bateri berkapasiti 75 kWj yang sama, dengan menyokong pengecas AC 11.5 kW dan pengecas pantas DC sehingga 250 kW. Dengan satu cas penuh bateri, varian Long Range boleh bergerak sejauh 623 km manakala varian Performance pula sejauh 582 km; kedua-duanya dalam kitaran NEDC.

    Ketika pelancaran kedua-dua model ini, Tesla mengumumkan bahawa stesen Supercharger pertamanya di Thailand akan dibuka pada suku pertama 2023, dan sekurang-kurangnya 10 stesen akan dibina di sana sepanjang 2023. Dengan fasiliti Supercharger berkenaan, Tesla mendakwa model-model EV keluarannya boleh dicas selama 15 minit untuk mendapatkan jarak gerak sejauh 275 km.

    Tesla belum lagi bertapak secara rasmi di Malaysia, dan buat masa sekarang model-modelnya yang boleh dilihat di sini dibawa dan dijual oleh pengimport-pengimport persendirian dengan stok di bawa dari UK, Hong Kong dan Australia. Kerajaan sebelum ini sudahpun mengumumkan insentif EV dalam bentuk penegecualian duti import dan eksais untuk EV CBU, membuatkan pelbagai jenama telah mula membawa model-model EV mereka ke pasaran tempatan. Adakah Tesla juga akan tertarik dengan insentif yang sedang ditawarkan di sini?

     
     
  • Jambatan Pulau Pinang ditutup dari jam 12am-10am pada 11 Dis untuk acara marathon antarabangsa

    Jambatan Pulau Pinang ditutup dari jam 12am-10am pada 11 Dis untuk acara marathon antarabangsa

    PLUS Malaysia (PLUS) telah mengumumkan Jambatan Pulau Pinang akan ditutup sementara dari jam 12.01 tengahmalam hingga 10 pagi pada 11 Disember 2022 sempena dengan penganjuran Penang Bridge International Marathon.

    Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, syarikat konsesi lebuhraya tersebut memaklumkan jambatan terbabit akan dibuka mulai jam 10 pagi selepas acara berkenaan tamat sepenuhnya. Penang Bridge International Marathon dianjurkan semula selepas dua tahun ‘direhatkan’ dan kali ini, dua kategori yang dipertandingkan iaitu full marathon (42.195 km) dan half marathon (21 km) akan berlepas dari ruang parkir terbuka Queensbay Mall pada awal pagi tersebut. Acara larian ini akan melibatkan laluan di Persiaran Bayan Indah, Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, selain Jambatan Pulau Pinang.

    Dalam masa yang sama, Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Fisol Salleh pula berkata, beberapa laluan di negeri terbabit juga akan ditutup secara berperingkat bermula jam 11 malam pada 10 Disember hingga jam 10 pagi keesokan harinya. Di mana jalan yang ditutup dan dilencongkan melibatkan beberapa jalan utama di Timur Laut dan Barat Daya.

    Jambatan Pulau Pinang ditutup dari jam 12am-10am pada 11 Dis untuk acara marathon antarabangsa

    “Pengguna jalan raya boleh menggunakan laluan alternatif seperti di Jalan Sungai Pinang, Jalan Jelutong, Jalan Bukit Gambir, Jalan Sultan Azlan Shah, Taman Tun Sardon, Jalan Yap Chor Ee dan Jalan Tun Dr Awang untuk ke pusat bandar atau Bayan Lepas.

    “Manakala bagi Barat Daya, pengguna disaran menggunakan Jalan Sultan Azlan Shah, Jalan Hilir Sungai Kluang dan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang untuk ke Seberang Perai.

    “Laluan bagi kenderaan dari Seberang Perai yang mahu masuk ke bahagian pulau pula akan dilencongkan ke Jambatan Kedua Pulau Pinang dari plaza tol Juru,” katanya.

    Tambah beliau, orang ramai juga dilarang meletakkan kenderaan di sepanjang jalan yang terbabit dengan laluan peserta larian.

     
     
  • Yamaha Y15ZR dalam pilihan warna baru – RM8,998

    Yamaha Y15ZR dalam pilihan warna baru – RM8,998

    Hong Leong Yamaha Motor (HYLYM) hari ini memperkenalkan empat pilihan warna baru bagi Y15ZR, bagi menyegarkannya kembali dalam pasaran. Ini adalah kali ketiga Y15ZR diberi pembaharuan grafik, sejak ia diperkenalkan pertama kali pada tahun 2019, dan harga yang ditetapkan adalah RM8,998 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Kelengkapan lain Y15ZR V2 ini masih tidak berubah, bermula dengan enjin yang menggunakan unit satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc suntikan bahan api yang digandingkan bersama kotak gear lima kelajuan untuk menghasilkan kuasa 15.5 PS pada 8,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Ia datang dengan brek cakera depan dan belakang, manakala tangki bahan api pula berkapasiti 4.2 liter.

    Model ini juga dilengkapi dengan meter jenis LCD digital manakala lampu utama hadapan pula adalah unit LED. Rim adalah bersaiz 17 inci, dengan tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang.

    Perincian lain Y15ZR V2 adalah termasuk berat keseluruhan 117 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, fork teleskopik hadapan, monoshock di belakang, pemula enjin elektrik, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch).

    Harga yang dinyatakan di atas adalah harga cadangan pengeluar, dan setiap pembelian diberikan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek yang bernilai RM100 secara percuma.

     
     
  • Subaru WRX 2023 di M’sia – sedan, gaya badan wagon; 2.4T 4-silinder flat; 6MT, CVT; dari RM285k

    Subaru WRX 2023 di M’sia – sedan, gaya badan wagon; 2.4T 4-silinder flat; 6MT, CVT; dari RM285k

    Subaru WRX generasi kelima (yang kedua dari WRX tanpa Impreza) telah pun berada di Malaysia, dengan model berwarna merah ini sedang dipamerkan di bilik pameran Motor Image Malaysia, Petaling Jaya.

    Pertama kali didedahkan di peringkat global pada September lalu, WRX terbaharu ini kini dibina dengan Subaru Global Platform (SGP) dan dijanakan oleh unit FA24F 2.4 liter turbo empat-silinder flat petrol dengan hamburan kuasa 275 PS (271 hp atau 202 kW) pada 5,600 rpm dan tork 375 Nm dari 2,000 hingga 5,200 rpm.

    Jika dibandingkan dengan WRX terdahulu, ia dipadankan dengan enjin FA20F 2.0 liter berkuasa 272 PS (268 hp atau 202 kW) dan 350 Nm. Ternyata penjana kuasanya telah dipertingkatkan untuk WRX terbaharu ini. Walau apa pun, jangan jangkakan versi STI akan ditampilkan kerana Subaru telah pun menegaskan ia tidak akan berlaku.

    Subaru WRX 2023 di M’sia – sedan, gaya badan wagon; 2.4T 4-silinder flat; 6MT, CVT; dari RM285k

    Dua sistem yang dibangunkan oleh Subaru iaitu Symmetrical All-Wheel Drive dan Active Torque Vectoring dipadankan secara standard untuk FA24F, bersama transmisi manual enam-kelajuan. WRX juga diberikan pilihan versi CVT yang disemak semula, Subaru Performance Transmission, yang didakwa kini menawarkan 30% peningkatan gear dan 50% penurunan gear lebih pantas di antara gear maya kedua dan ketiga.

    Bagi aspek rekaannya, WRX nampaknya banyak dipengaruhi oleh Viziv Performance Concept dari 2017, dengan beberapa elemen termasuk balutan badan berwarna hitam yang memberikannya gaya ala SUV tetapi sebenarnya bertujuan untuk aerodinamik – corong yang ada juga membantu memindahkan udara dari roda.

    Serlahan lain termasuklah gril berbentuk hexagon (segi enam), bampar hadapan lebih agresif, lampu utama yang lebih tajam, lampu belakang berbentuk-C, bonnet scoop dan elemen seperti diffuser yang merupakan sebahagian dari apron belakang. Untuk dalamnya pula, WRX mengikut jejak langkah Outback dengan menampilkan skrin sesentuh yang lebih besar bersaiz 11.6-inci untuk sistem infotainmen Starlink dan turut menyokong fungsi Android Auto dan Apple CarPlay.

    Subaru WRX 2023 di M’sia – sedan, gaya badan wagon; 2.4T 4-silinder flat; 6MT, CVT; dari RM285k

    Papan pemukanya juga lebih ringkas berbanding sebelum ini, tanpa lapisan bertingkat untuk menempatkan skrin kedua untuk paparan status kenderaan. Selain itu, kawalan fizikal juga dikurangkan, dengan kawalan suhu dua-zon kini disepadukan dengan paparan infotainmen.

    Untuk kelengkapan lain pula, WRX terbaharu ini didatangkan dengan roda 18-inci, lampu utama LED dengan maklumbalas stereng, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, lampu kabus LED, paparan pelbagai-info 4.2-inci, tujuh beg udara, sistem keselamatan pasif, kemasukan tanpa kunci dan penghidup enjin, tempat duduk larasan manual serta roda stereng sport balutan kulit.

    Berkenaan harganya pula, WRX dengan transmisi manual ditawarkan pada RM286,245 atas jalan tanpa insurans, yang termasuk dengan waranti lima-tahun/100,000 km. Terdapat dua lagi versi WRX yang belum kami rakamkan fotonya, iaitu WRX dengan CVT dan WRX Wagon atau lebih dikenali sebagai WRX Sportwagon dan pada dasarnya merupakan Levorg terkini dengan penjana kuasa WRX.

    WRX dengan CVT ditawarkan dengan harga yang lebih tinggi iaitu RM296,245, yang turut menerima tambahan ciri berbanding manual, termasuk brek parkir elektronik dengan penahan auto, tempat duduk pemandu larasan kuasa dengn 10-hala, SI-Drive (mod pemanduan Sport Sharp, Sport dan Intelligent) dan corong udara belakang.

    Varian ini juga didatangkan dengan kelengkapan EyeSight, termasuk brek kecemasan sendiri, stereng kecemasan sendiri, brek automatik mengundur, bantuan lampu tinggi dan pemantauan titik buta.

    Manakala varian yang paling mampu milik ialah Sportwagon yang berharga RM285,245 yang menerima beberapa kelengkapan dan juga penjana kuasa yang sama dengan WRX versi CVT. Tetapi ia juga diberikan beberapa ciri tambahan termasuk tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa lapan-hala, tempat duduk belakang yang boleh dibaringkan dan ruang but yang lebih luas disebabkan rekaan gaya badan wagon.

     
     
  • Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

    Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

    Selepas model generasi baru Mercedes-Benz S-Class W223 diperkenalkan pada September 2020, kini sudah tiba masanya sedan mewah berkenaan muncul dalam versi prestasi tinggi – memperkenalkan Mercedes-AMG S63 E Performance 2023! Dengan “E Performance” di belakang nama model ini, sudah tentu ia turut menerima sistem plug-in hybrid (PHEV) berprestasi tinggi dari Mercedes-AMG. Namun tidak seperti C 63 S E Performance yang kini menggunakan enjin 2.0L empat-silinder, S63 E Performance ini nampaknya masih kekal menggunakan enjin V8!

    Ini menjadikan AMG S 63 generasi baharu ini sebagai S-Class paling berkuasa pernah dihasilkan – menjana 802 PS (791 hp atau 590 kW) tork maksima 1,430 Nm secara keseluruhan, membolehkan sedan besar dengan berat 2,595 kg ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 3.3 saat, dan mencatatkan kelajuan 250 km/j atau 290 km/j sekiranya pembeli memilih ciri opsyen AMG Driver’s Package!

    Sama seperti C 63 S, S 63 E Performance ini juga menggunakan sistem hibrid P3 Mercedes-AMG yang rumit bagi membolehkan sedan empat-pintu ini mengekstrak kuasa lebih besar dari sebuah kereta sport enjin tengah Lamborghini Huracan. Mari sini kami bentangkan bagaimana ia beroperasi.

    Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

    Ia bermula dengan enjin petrol V8 yang dipadankan, atau lebih spesifik enjin V8 4.0 liter dengan dua pengecas turbo jenis twin scroll, berupaya menghasilkan kuasa 612 PS (603 hp atau 450 kW) bermula 5,500 hingga 6,500 rpm serta tork maksima 900 Nm bermula 2,500 hingga 4,500 rpm. Enjin ini dipadankan pada casis menerusi cagak-cagak aktif.

    Enjin V8 tersebut turut menerima unit starter-generator yang dipacu dengan tali sawat (RSG) yang berfungsi untuk menghidupkan enjin dan mengecas semula bateri hibrid, dihubungkan kepada sistem elektrik 400-volt kereta ini. Manakala kuasa dari enjin dipindahkan ke semua roda menerusi kotak gear automatik sembilan-kelajuan AMG Speedshift MCT 9G, dan juga sistem pacuan semua roda dengan agihan tork bervariasi penuh AMG Performance 4Matic+ yang menggunakan klac start-off basah pelbagai lapisan.

    Selain menerima kuasa dari enjin petrol, sistem hibrid P3 ini juga menampilkan satu motor elektrik yang diletak pada gandar belakang. Motor berkenaan menghasilkan kuasa 95 PS (94 hp atau 70 kW) secara berterusan, tetapi mampu memberikan tujahan sebesar 190 PS (188 hp atau 140 kW) dan tork maksima 320 Nm selama 10 saat apabila diperlukan.

    Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

    Motor tersebut bukan terus memacu roda, sebaliknya mempunyai kotak gear dua-kelajuan tersendiri. Kotak gear tersebut akan berfungsi secara automatik, atau secara spesifiknya gear kedua akan digunakan pada bila kelajuan mencecah 140 km/j setelah motor mencapai kelajuan maksima iaitu sekitar 13,500 rpm.

    Walaupun enjin petrol dan motor elektrik ini terpisah, ia sebenarnya masih berhubung menerusi sistem pacuan semua roda menerusi syaf propeller dan klac tambahan yang terletak di belakang kotak gear automatik. Dengan konfigurasi ini, kuasa gabungan dari enjin dan juga motor elektrik turut boleh dialirkan sepenuhnya ke roda hadapan sekiranya diperlukan, contohnya ketika roda belakang langsung tiada cengkaman.

    Motor elektrik pada sistem ini menerima kuasa elektrik dari bateri berprestasi tinggi (HPB) dari AMG yang digelar HPB 150. Bateri berkenaan terdiri dari 1,200 sel untuk membekalkan kuasa berkapasiti 13.1 kWj – lebih berkuasa dari bateri HPB 80 pada model-model E Performance lain yang dibekalkan dengan jumlah sel lebih sedikit serta hanya berkapasiti 6.1 kWj.

    Sel-sel bateri tersebut turut disejukkan secara individu bagi memastikan ia sentiasa berada pada suhu operasi sekitar 45 darjah selsius. Bateri berkenaan boleh dicas semula dengan pengecas AC 3.7 kW (penghubung Type 2) dengan input maksimum 3.7 kW. Walau bagaimanapun, jarak gerak menggunakan kuasa elektrik sepenuhnya tanpa menghidupkan enjin petrol hanyalah sejauh 33 km dengan satu cas penuh bateri.

    Dengan sistem elektrikal dan mekanikal yang rumit membolehkan model ini menawarkan tujuh mod pemanduan berbeza yang boleh dipilih menerusi sistem AMG Dynamic Select. Ia termasuk mod Electric, Comfort, Battery Hold, Sport, Sport+, Slippery dan Individual. Tak cukup dengan tujuh mod pemanduan ini, anda turut boleh bermain dengan empat tahap pemulihan tenaga (Level 0 hingga 3) dan juga tiga pilihan mod sistem AMG Dynamics (Basic, Advanced dan Pro).

    Dengan berat badan lebih dari 2.5 tan serta kuasa yang mencecah 800 PS, sedan ini diberikan sistem suspensi adaptif dengan penyerap hentak udara AMG Ride Control+, serta sistem stereng untuk gandar belakang bagi membolehkan ia bergerak lincah. Manakala untuk menghentikannnya, ia dibekalkan denam sistem brek komposit berprestasi tinggi AMG yang terdiri dari cakera berdiameter 400 mm bersama angkup enam omboh di hadapan, serta cakera 380 mm dengan angkup omboh tunggal di belakang.

    Mercedes-AMG S63 E Performance 2023 – masih enjin V8, plug-in hybrid, 802 PS/1,430 Nm; 0-100 km/j 3.3s!

    Secara standard, ia diberikan set rim berdiameter 20-inci dengan tayar 255/45R20 di hadapan dan 285/40R20 di belakang. Namun pembeli boleh memilih opsyen set rim 21-inci yang turut ditawarkan. Mercedes-AMG S63 ini juga menerima sistem stereng dengan nisbah geometeri bervariasi tiga peringkat serta sistem anti-oleng aktif AMG Active Control yang berfungsi menggunakan sub-jaringan sistem elektrik 48-volt.

    Struktur badan S63 ini juga turut dihasilkan lebih tegar dari S-Class biasa menerusi penstabil aluminium di bawah enjin, dan juga pendakap silang pada poin-poin cagak suspensi. Satu topang pepenjuru yang diperbuat dari aluminium diletak pada bahagian bawah badan sebelah belakang yang didakwa mampu meningkatkan tahap kejituan pemanduan.

    Bateri HPB untuk sistem hibrid pada S63 ini turut menyumbang kepada ketegaran badan keseluruhan kereta ini kerana ia diletakkan pada perumah di kedudukan beban tertentu dan diperbuat dari gentian diperkuat plastik (FRP) ringan.

    Untuk rupa, sudah tentu S63 ini tampil dengan rupa lebih garang dari S-Class biasa. Ia diberikan gril hadapan AMG dengan jalur menegak serta logo bintang Mercedes di tengah yang besar. Emblem logo bintang pada hujung bonet digantikan dengan emblem AMG dalam kemasan krom perak dan hitam.

    Rupa lebih agresif turut disumbang menerusi bampar hadapan dengan rekaan jet-wing menampilkan liang kemasukan udara sisi yang lebih besar bersama tirai udara yang benar-benar berfungsi. Manakala di belakang, S63 ini ini menerima empat tip ekzos bersama diffuser pada bampar yang lebih menonjol.

    Seperti biasa, kabin model-model AMG akan menampilkan rupa asas yang sama seperti model biasa tetapi diberikan perincian-perincian yang lebih berciri perlumbaan. S63 ini menerima roda stereng AMG Performance, tempat duduk sports, serta paparan instrumen AMG dan juga sistem hibrid yang berfungsi sekali bersama sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX). Selain itu ia turut menerima paparan head-up serta menyokong format bunyi Dolby Atmos.

    Manakala untuk keselamatan, Mercedes-AMG S63 E Performance ini diberikan sistem penuh bantuan pemanduan termasuk sistem Active Distance Assist Distronic, Active Steering Assist, Traffic Sign Assist, Active Lane Keeping Assist, Active Lane Change Assist, Active Emergency Stop Assist, Attention Assist, Active Brake Assist dengan fungsi lintasan trafik, Active Blind Spot Assist, Evasive Steering Assist serta sistem Drive Pilot Level 3 untuk memberikan kebolehan pemanduan autonomi Tahap 3.

     
     
  • Harga minyak 8-14 Disember – RON97 turun 10 sen

    Harga minyak 8-14 Disember – RON97 turun 10 sen

    Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan untuk minggu bertarikh 8 hingga 14 Disember 2022, harga runcit bagi petrol RON 97 akan turun sebanyak 10 sen, dari RM3.85 seliter menjadi RM3.75 seliter. Ia merupakan minggu kedua harga RON 97 diturunkan untuk bulan ini.

    Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan sentiasa memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • UMW Toyota Motor bakal perkenal model hibrid kedua di M’sia tahun depan — MPV Innova Zenix Hybrid?

    UMW Toyota Motor bakal perkenal model hibrid kedua di M’sia tahun depan — MPV Innova Zenix Hybrid?

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah mendedahkan yang syarikat itu akan memperkenalkan model kenderaan hibrid elektrik (HEV) kedua untuk pasaran Malaysia selepas Corolla Cross Hybrid, tahun depan, sebagai sebahagian daripada arah tuju baru mereka untuk rantau ini.

    Bagaimanapun, syarikat itu belum mendedahkan model hibrid mana yang dimaksudkan. Namun, melihat kepada perkembangan semasa di pasaran serantau, tidak sukar untuk menjangkakannya — kemungkinan besar ialah model Innova Zenix 2023 yang baru saja dilancarkan di Indonesia bulan lalu. Presiden UMWT, Ravindran K dalam satu kenyataan memaklumkan kenderaan hibrid elektrik merupakan “pilihan terbaik dan mampu milik untuk pemilik kenderaan memulakan perjalanan mengurangkan jejak karbon mereka”.

    Bagi Innova Zenix, ia sejak pengenalannya sudah ditawarkan dalam versi hibrid di Indonesia, terdiri daripada unit enjin M20A-FXS 2.0 liter NA empat-silinder Dynamic Force yang menghasilkan 152 PS pada 6,000 rpm dan 187 Nm tork dari 4,400 rpm hingga 5,200 rpm. Dalam tetapan ini, enjin berkenaan disertai oleh sebuah motor elektrik 113 PS/205 Nm untuk menghasilkan output akhir 186 PS. Transmisi pula CVT, yang menyalurkan kuasa ke roda depan.

    UMW Toyota Motor bakal perkenal model hibrid kedua di M’sia tahun depan — MPV Innova Zenix Hybrid?

    Ini merupakan Innova generasi ketiga yang membawa perubahan penting: ia tidak lagi menggunaan binaan ladder frame, sebaliknya beralih kepada binaan monocoque dengan memanfaatkan varian GA-C bagi platform Toyota New Global Architecture (TNGA).

    Peralihan kepada platform ini juga menyebabkan tetapan pacuannya kini menjadi roda depan dan bukan lagi pacuan roda belakang, seperti Hilux dan Fortuner seperti sebelum ini. Ketika pelancarannya, Toyota mendedahkan Innova Zenix generasi ketiga ini mempunyai ukuran 4,755 mm panjang, 1,850 mm lebar dan 1,795 mm tinggi — tinggi yang masih sama dengan model lama. Ketinggian dari tanah pula 185 mm.

    Namun, sama ada ini akan menjadi model hibrid kedua yang dimaksudkan oleh Toyota untuk pasaran Malaysia masih belum diketahui. Kita tunggu dan lihat. Atau ada calon model lain?

     
     
  • Lebih 400 kenderaan tersadai ditunda di Putrajaya sejak tahun 2016, 60 unit dilupuskan pada 2021 – PPj

    Lebih 400 kenderaan tersadai ditunda di Putrajaya sejak tahun 2016, 60 unit dilupuskan pada 2021 – PPj

    Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menunda lebih 400 kenderaan tersadai di kawasan sekitarnya termasuk di petak parkir kuarters kerajaan sejak tahun 2016. Menurut Pengarah Penguatkuasa PPj, Mohd Ali Jusoh, kenderaan yang mempunyai pemilik itu kebanyakannya sudah rosak dan dibiar tersadai kerana memerlukan kos tinggi untuk dibaiki, laporan Harian Metro.

    Tambahnya, walaupun sudah diberikan notis, pemilik lebih rela kenderaan mereka ditunda bagi menjimatkan kos mengalihkan sendiri kenderaan terbabit.

    “Sejak 2016 PPj dengan kerjasama Bahagian Pengurusan Hartanah, Jabatan Perdana Menteri (JPM) sudah menunda lebih 400 kenderaan tersadai. Daripada jumlah yang ditunda itu hanya 1-2 pemilik sahaja yang menuntut kenderaan mereka semula dan selebihnya telah dilupuskan menjadi besi buruk dengan kos anggaran RM100,000,” katanya.

    Mohd Ali berkata, pemilik kenderaan sudah diberikan notis tiga bulan lebih awal termasuk membuat siasatan dengan pihak bank, polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Sekiranya pemilik masih berdegil dan tidak dapat dihubungi sepanjang tempoh ditetapkan untuk mengalihkan kenderaan tersebut baharulah tindakan tunda dijalankan.

    “Pemilik kenderaan yang ditunda diberi tempoh selama enam bulan untuk menuntut semula kenderaan mereka dengan membayar upah tarik RM100, kompaun RM150 dan bayaran simpan kereta RM10 sehari. Pada tahun lalu PPj sudah melupuskan 60 buah kenderaan menjadi besi buruk bagi memberi pendidikan kepada penghuni kuarters menggunakan kemudahan pakir dengan sewajarnya,” katanya.

     
     
  • Toyota Prius Cross – lukisan digital crossover hibrid

    Toyota Prius Cross – lukisan digital crossover hibrid

    Toyota Prius generasi kelima didedahkan kepada dunia bulan lalu, dan membawa kejutan dengan rekaan baru yang lebih sporty dan moden. Dapat dilihat ada pengaruh rekaan bZ4X serta Crown pada model hibrid ini, tetapi bagaimana pula kalau ia dijadikan sebuah crossover?

    Ini dia Theophilus Chin cuba berikan gambarannya melalui satu lukisan digital Prius baru yang digabungkan dengan elemen rekaan daripada beberapa model Toyota dan Lexus yang lain. Bentuk asas nampak seperti diambil daripada Lexus NX.

    Selain kedudukan lebih tinggi, anda juga boleh melihat ‘Prius Cross’ ini mempunyai A-pillar dan C-pillar yang lebih tegak berbanding condong serta menjunam pada Prius biasa. Walaubagaimanapun, garis badan Prius yang dapat dilihat dari tepi turut dibawa kepada model crossover bayangan ini.

    Toyota Prius Cross – lukisan digital crossover hibrid

    Jika dilihat terus dari belakang, semua bahagian kecuali pintu but menggunakan rekaan sama seperti Prius biasa, tetapi pada bahagian hadapan, rekaan lampu serta garis bonet asal Prius dikekalkan, tetapi bampar menggunakan rekaan tersendiri yang mempunyai bukaan udara lebih besar di tengah, serta kemasan kelabu ala skid plate di bawah.

    Prius generasi kelima diperkenalkan dengan penggerak yang jauh lebih berkuasa berbanding sebelumnya, iaitu sistem plug-in hybrid (PHEV) yang menggandingkan enjin Dynamic Force M20A-FXS 2.0 liter empat silinder, pek bateri lithium-ion dan juga motor elektrik yang menghasilkan kuasa keseluruhan 223 PS (220 hp atau 164 kW).

     
     
  • Aprilia Tuono 660 Factory tiba di Malaysia – RM73,900

    Aprilia Tuono 660 Factory tiba di Malaysia – RM73,900

    Aprilia Tuono Factory, yang diperkenalkan kepada dunia November tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM73,900 tidak termasuk insurans dan cukai jalan. Sebagai versi Factory, model ini menerima spesifikasi lebih tinggi serta tunggangan yang lebih sporty berbanding Tuono 660 biasa.

    Bahagian pertama yang dipertingkat adalah enjin, di mana unit dua silinder 659 cc padanya kini ditambah 5 hp lagi untuk menjadikan keseluruhannya 100 hp sementara tork pula masih kekal 67 Nm. Transmisi adalah unit enam kelajuan dengan quickshifter yang diberikan standard. Aprilia menjanjikan pecutan yang lebih kuat pada Tuono Factory ini, dengan sprocket yang ditukar kepada 16/43.

    Selain daripada itu, berat motosikal turut dikurangkan menjadi 181 kg hasil daripada penggunaan bateri jenis lithium ion. Suspensi masih sama seperti Tuono 660 biasa, iaitu menggunakan fork Kayaba 41 mm boleh laras sepenuhnya di hadapan dan monoshock Sachs di belakang.

    Tuono 660 Factory juga masih menyediakan lima mod tunggangan, tetapi ia ditambah dengan IMU six-axis untuk memberikan input kawalan tambahan kepada Traction Control, Wheelie Control dan juga Cornering ABS. Turut disediakan adalah Engine Braking Control yang boleh dilaras serta cruise control.

    Kedua-dua brek bahagian depan dan belakang mendapat angkup Brembo bersama cakera masing-masing 320 mm berkembar dan 220 mm, manakala hos brek pula datang dengan jenis metal-braided. Satu lagi bahagian yang diubah pada Tuono 660 Factory adalah tempat duduknya, yang kini hanya ada satu dan datang dengan penutup di belakang seperti RS660.

    GALERI: Aprilia Tuono 660 Factory

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025