Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Rapid Rail kemaskini info kerja penambahbaikan LRT, MRT, Monorel; kekerapan tren akan dipertingkatkan

    Rapid Rail kemaskini info kerja penambahbaikan LRT, MRT, Monorel; kekerapan tren akan dipertingkatkan

    Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail), selaku pengendali perkhidmatan LRT, MRT dan Monorel di Lembah Klang telah memaklumkan status terkini kerja-kerja penambahbaikan operasi perkhidmatan rel di bawah kendaliannya. Menurut syarikat terbabit seperti mana yang diumumkan menerusi laman Facebook rasminya, keseluruhan jajaran LRT, MRT dan Monorel kini sedang melalui penambahbaikan bagi mempertingkatkan mutu perkhidmatan demi kemudahan dan keselesaan pengguna.

    Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya
    • Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya kini sedang melalui proses menambahbaik selepas 24 tahun beroperasi kepada pengguna sejak pembukaannya pada tahun 1998.
    • LRT Laluan Kelana Jaya kini beroperasi dengan kekerapan lima minit di waktu puncak dan tujuh minit di luar waktu puncak pada hari bekerja.
    • Atas faktor keselamatan, hanya tren yang melepasi ujian kelayakan operasi sahaja akan digunakan di dalam perkhidmatan. Bilangan tren yang terhad secara tidak langsung telah menyebabkan pengurangan kekerapan tren pada waktu puncak pagi dan petang.
    • Bilangan tren yang terhad adalah disebabkan kekurangan alat ganti seperti tachometer yang amat diperlukan bagi memastikan tren dapat beroperasi dengan selamat. Tachometer yang terletak pada roda tren ialah peranti yang menghantar maklumat ke sistem kawalan tren untuk mengawal kelajuan, kedudukan dan arah pergerakan tren.
    • Buat masa ini, Rapid Rail masih lagi menunggu penerimaan tachometer yang telah mula ditempah pada pertengahan Mei 2022 daripada pembekal di Eropah.
    • Rapid Rail telah menerima surat bertulis daripada pembekal menyatakan jadual penghantaran alat ganti ini mengalami kelewatan daripada jadual asal iaitu bulan Disember 2022 disebabkan masalah bekalan komponen elektronik tersebut.
    • Jangkaan tarikh baharu penghantaran alat ganti akan diterima secara berperingkat dari sekarang sehingga bulan Mei 2023. Walau bagaimanapun, Rapid Rail sedang dalam perbincangan dengan pihak pembekal agar penghantaran alat ganti tersebut dapat dipercepatkan.
    • Setelah menerima alat ganti tersebut, kerja-kerja penukaran akan segera dijalankan dan kekerapan tren dijangka akan kembali kepada tiga minit menjelang bulan September 2023.

    Tren baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya

    • Di bawah projek Kuala Lumpur Additional Vehicles 27 (KLAV27), Rapid Rail kini dalam proses menerima 19 tren empat-gerabak baharu bagi LRT Laluan Kelana Jaya.
    • Tren baharu tersebut akan diterima secara berperingkat bermula Jun 2023 sehingga Disember 2024, dan akan menggantikan sebahagian daripada operasi tren dua-gerabak yang telah digunapakai sejak tahun 1998.

    Perkhidmatan MRT Laluan Kajang

    • Buat masa ini, perkhidmatan MRT Laluan Kajang beroperasi menggunakan 26 buah tren dengan kekerapan 6 minit pada waktu puncak dan 10 minit pada luar waktu puncak pada hari bekerja.
    • Bilangan tren yang beroperasi adalah terhad akibat keadaan roda pada beberapa tren yang hampir haus dan memerlukan penggantian segera.
    • Program penggantian roda kini sedang giat dijalankan, dan untuk tujuan tersebut Rapid Rail telah membeli sebanyak 1,040 unit roda baharu yang akan diterima secara berperingkat.
    • Proses penggantian ini telah bermula sejak Jun 2022 dan dijangka siap pada Ogos 2023. Kerja-kerja penggantian memerlukan tempoh masa bagi memastikan kualiti pemasangan dijalankan secara terperinci dan teliti demi keselamatan pengguna.
    • Melalui proses penggantian ini, lebih banyak tren boleh beroperasi. Penambahbaikan secara progresif akan dapat dilihat dari sekarang dan kekerapan tren akan dapat dikembalikan kepada empat minit di waktu puncak pada bulan Ogos 2023.

    Perkhidmatan KL Monorel

    • Perkhidmatan Monorel kini beroperasi menggunakan tujuh set tren dengan kekerapan tujuh minit di waktu puncak dan 10 minit di luar waktu puncak pada hari bekerja.
    • Menjelang Disember tahun ini, sebanyak lapan tren akan beroperasi, membolehkan kekerapan tren dikurangkan kepada enam minit di waktu puncak.
    • Selaras dengan pembukaan perkhidmatan MRT Laluan Putrajaya Fasa 2 yang dijadualkan pada suku pertama tahun 2023, perkhidmatan Monorel dijangka akan beroperasi menggunakan 10 set tren dengan kekerapan lima minit.
    • Ini dapat menambahbaik kesalinghubungan di antara perkhidmatan Monorel dan MRT Laluan Putrajaya, yang akan berintegrasi di Stesen Titiwangsa.

    Lanjutan Waktu Puncak
    • Selain daripada penambahbaikan yang sedang giat dijalankan, Prasarana juga sentiasa mengambil maklum cadangan dan maklumbalas daripada pengguna pengangkutan awam.
    • Bermula 25 Oktober 2022, jadual waktu puncak dilanjutkan selama setengah jam untuk pagi dan petang. Kini, 7 pagi ke 9.30 pagi pada waktu pagi dan 5 petang ke 7.30 malam untuk waktu petang.
    • Lanjutan waktu puncak perkhidmatan tren diselaraskan dengan penambahan kekerapan perkhidmatan Rapid Bus, bagi kemudahan para pengguna.

    “Dengan penambahbaikan berperingkat yang sedang dijalankan serta perlanjutan waktu-waktu puncak, Rapid Rail berharap dapat memperbaiki perkhidmatan serta memulihkan kebolehpercayaan perkhidmatan rel di Lembah Klang.

    “Kami akan memaklumkan perkembangan proses penambahbaikan dari masa ke semasa kepada orang awam menerusi saluran-saluran media sosial dan media massa,” kata Rapid Rail lagi.

     
     
  • 402,626 nahas jalan raya dengan 4,378 kematian direkodkan dari Jan-Sep 2022 – statistik PDRM

    402,626 nahas jalan raya dengan 4,378 kematian direkodkan dari Jan-Sep 2022 – statistik PDRM

    Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), bermula Januari hingga September 2022, terdapat 402,626 nahas jalan raya telah direkodkan dengan 4,379 kematian. Berbanding 255,532 nahas jalan raya yang telah direkodkan pada tempoh yang sama tahun lalu, dengan melibatkan sejumlah 3,324 kematian.

    Perbandingan data tahun 2021 dan 2022 menunjukkan terdapat peningkatan nahas jalan raya iaitu sebanyak 147,094 kes. Manakala angka kematian juga meningkat iaitu seramai 1,055 orang. Walau bagaimana pun, setakat ini, PDRM belum mendedahkan statistik penuh kemalangan mengikut negeri dan kenderaan yang terlibat.

    Selain PDRM yang terus melakukan pelbagai operasi di jalan raya termasuk pemantauan pematuhan undang-undang lalu lintas, dalam masa yang sama Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) menerusi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan turut melakukan perkara yang sama bagi mengurangkan kadar kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya di negara ini.

    Selain dari melaksanakan pelbagai operasi mengesan kesalahan trafik, JPJ turut menganjurkan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu secara berterusan di merata lokasi di seluruh negara. Ini termasuklah yang memfokuskan aktiviti advokasi kepada pengguna jalan raya selain pemeriksaan semua jenis kenderaan termasuk pemeriksaan lesen memandu dan cukai jalan dengan kerjasama PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan juga pengendali lebuhraya.

     
     
  • Chery Tiggo 8 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV 7-seater flagship, 2.0T dengan 254 hp/390 Nm; pilihan PHEV

    Chery Tiggo 8 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV <em>7-seater flagship</em>, 2.0T dengan 254 hp/390 Nm; pilihan PHEV

    Dalam barisan SUV terbaru yang dipertontonkan di Malaysia oleh Chery minggu ini, Chery Tiggo 8 Pro adalah yang paling besar dan mewah. Model flagship bagi Tiggo Pro ini turut hadir dalam versi “e+” plug-in hybrid, dan kedua-dua versi petrol dan PHEV ini ada dipamerkan.

    Jika Omoda 5 jadi pesaing kepada HR-V dan Tiggo 7 Pro pula dalam segmen yang sama dengan CR-V, boleh letakkan Tiggo 8 Pro ini sebagai lawan kepada Hyundai Santa Fe atau Mazda CX-8, dengan tiga barisan tempat duduk untuk tujuh penumpang.

    Model ini dikuasakan oleh enjin 2.0 liter turbo empat-silinder TGDi dengan janaan 254 hp dan 390 Nm tork, dan dipadankan dengan transmisi 7DCT. Ini enjin yang lebih berkuasa daripada dua pilihan yang ada; satu lagi adalah 1.6 liter TGDi yang boleh menghasilkan 194 hp/290 Nm yang juga digunakan untuk Omoda 5. AWD juga ditawarkan. Janaan enjin 2.0 liter itu agak tinggi: sebagai perbandingan, enjin 2.5 liter turbo Mazda menjana sebanyak 228 hp/420 Nm.

    Chery Tiggo 8 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV <em>7-seater flagship</em>, 2.0T dengan 254 hp/390 Nm; pilihan PHEV

    Model PHEV pula menggabungkan enjin 1.5 liter turbo dengan transmisi khusus hybrid (DHT) dan dua motor elektrik dengan janaan 241 hp dan 510 Nm. Chery mendakwa pecutan 0-100 km/j adalah dalam masa 8.2 saat, dengan jarak EV sepenuhnya 80 km.

    Apa yang lebih menarik, ada sembilan mod pengendalian untuk model ini — elektrik sepenuhnya dengan motor tunggal, elektrik sepenuhnya dengan dua motor, mod siri dan lanjutan jarak, pacuan enjin dan mod pemanduan selari. Lagi empat adalah berkaitan janaan semua tenaga — mod parkir dan cas, mod pemanduan dan cas, janaan semula tenaga brek motor tunggal dan janaan semula tenaga brek dua motor. Kami percaya, PHEV ini bertindak sama sahaja dengan PHEV yang lain, cuma Chery menerangkannya dengan cara berbeza.

    Papan pemuka Tiggo 8 Pro sama dengan Tiggo 7 Pro, dengan material lebih mahal digunakan di lebih banyak tempat. Kerusi mungkin yang paling ketara, dengan balutan kulit lebih lembut. Skrin kawalan pendingin juga berbeza antara keduanya — Tiggo 8 Pro dengan skrin berwarna.

    Chery Tiggo 8 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV <em>7-seater flagship</em>, 2.0T dengan 254 hp/390 Nm; pilihan PHEV

    Namun ada sedikit perubahan untuk papan pemuka PHEV: bukaan corong pendinginnya bersambung, dan panel instrumen bersambung dengan skrin infotainmen (lebar penuh 24.6 inci). Konsol tengah juga ada menempatkan panel sentuh bagi fungsi berkaitan hibrid dan pemilih 4WD — unit yang ditunjuk ini adalah dari pemanduan sebelah kiri.

    Dari segi kelengkapan, SUV flagship Chery ini menerima semua yang ada pada Tiggo 7, dan tambahan lainnya. Ini termasuk lampu LED penuh dengan teknologi Matrix, DRL LED, roda 18-inci, sunroof panoramik kuasa elektrik, panel instrumen digital 12.3-inci, skrin infotainmen 10.25-inci dengan Apple CarPlay dan Android Auto, sistem bunyi Sony dengan lapan pembesar suara, pengecas tanpa wayar, kawalan pendingin dua zon, balutan kulit dua tona warna. Kerusi pemandu turut ada fungsi sokongan lumbar dan memori.

     
     
  • JPJ keluarkan 297 notis saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Sg Besi malam tadi

    JPJ keluarkan 297 notis saman atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas di Sg Besi malam tadi

    Malam tadi, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengadakan satu operasi khas selama empat jam bermula 8 malam di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan, dan dalam masa yang sama turut menjalankan Advokasi Keselamatan Jalan Raya Bersepadu di lokasi yang sama.

    Ketua Pengarah JPJ Datuk Zailani Hashim berkata, dalam operasi itu, sebanyak 2,282 kenderaan pelbagai jenis termasuk bas, van, kereta dan motosikal diperiksa dengan 152 kenderaan diambil tindakan termasuk empat kenderaan disita.

    “Daripada jumlah itu, sebanyak 297 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan termasuk tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh yang merekodkan antara kesalahan tertinggi selain kesalahan tiada lesen memandu,” katanya.

    Selain JPJ, turut terbabit dalam operasi yang sama ialah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Lebuhraya Utara – Selatan (PLUS).

    Zailani berkata, tiada cukai jalan atau cukai jalan tamat tempoh antara kesalahan utama yang kerap dilakukan pengguna jalan raya bagi semua jenis kenderaan.

    “Dalam kebanyakan kes yang kami terima, alasan pemandu kenderaan melakukan kesalahan itu adalah sama iaitu tidak sedar, atau tidak sempat untuk memperbaharui cukai jalan tamat tempoh.

    “Ini sekali gus akan menyusahkan ramai pihak sekiranya berlaku kemalangan terhadap kenderaan itu dan disebabkan itu kita perlu mengambil tindakan terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan berkenaan,” katanya.

    Dalam hubungan ini, JPJ turut menasihati pengguna dan pemilik kenderaan supaya sentiasa mematuhi semua peraturan jalan raya yang telah ditetapkan seperti termaktub di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) terutamanya individu yang akan pulang ke kawasan masing-masing bagi melaksanakan tanggungjawab mengundi dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

    “JPJ tidak akan berkompromi terhadap sebarang kesalahan dan kegagalan mematuhinya yang akan diambil tindakan termasuk penyitaan kenderaan dibawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” tambah Zailani lagi.

     
     
  • Proton Suprima S dari Malaysia diumum finalis Hot Wheels Legends Tour 2022; perlukan undian netizen!

    Proton Suprima S dari Malaysia diumum finalis Hot Wheels Legends Tour 2022; perlukan undian netizen!

    Rakyat Malaysia sekalian, ini ada satu peluang untuk kita lihat sebuah Proton dijelmakan secara rasmi sebagai kereta mainan skala 1/64 oleh Hotwheels yang bukan sahaja akan dijual di Malaysia malah seluruh dunia – ini dia, Proton Suprima S milik William Chong dari Nilai, Negeri Sembilan telah dipilih sebagai pemenang Hot Wheels Legends Tour Malaysia, sekaligus menjadi finalis mewakili negara untuk ke peringkat antarabangsa!

    Bagi memastikan impian kita semua tercapai, bantuan netizen Malaysia diperlukan untuk mengundi Suprima ini secara atas talian untuk peringkat akhir Hot Wheels Legends Tour 2022 rantau Asia Pasifik. Kereta yang menang untuk setiap rantau berpeluang bagi ditransformasikan menjadi kereta mainan Hot Wheels skala 1/64!

    Macam mana nak mengundi? Undian bermula esok (28 Oktober 2022) menerusi laman Instagram, atau lebih spesifik IG Stories yang boleh anda buat pada PAUTAN INI. Kita kalau bab netizen ni memang juara kan? Jadi untuk netizen Malaysia, tunjukkan kehandalan anda!

    Proton Suprima S ini menggunakan kit badan lebar rekaan pengeluar kit badan tempatan, JWide Bodykits, iaitu pengeluar yang sama menghasilkan kit badan lebar untuk Proton X50 sebelum ini. Ia digandingkan dengan rim Rays CE28 18-inci, dan badannya direndahkan juga dengan suspensi boleh laras keluaran tempatan, F-Tuned GT Series.

    Ia masih menggunakan enjin asal 1.6 liter CFE Turbo bersama kotak gear CVT, tetapi telah menerima pelbagai ubahsuai seperti sistem ekzos prestasi tinggi, talaan komputer menggunakan Racechip dan pelbagai lagi.

     
     
  • Harga minyak 27 Okt-2 Nov – Semuanya dikekalkan

    Harga minyak 27 Okt-2 Nov – Semuanya dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 27 Oktober hingga 2 November 2022, Kementerian Kewangan (MoF) memaklumkan bahawa harga runcit bagi petrol RON 97 masih dikekalkan iaitu pada paras RM3.95 seliter. Ini merupakan minggu ketiga tiada perubahan pada harga runcit untuk RON 97.

    Manakala petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, turut masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter. Bagi diesel Euro B10/B20, harganya juga dikekalkan pada paras RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    Harga yang diumumkan ini dilaksanakan mulai 12.01 tengahmalam ini sehingga Rabu hadapan, 2 November 2022.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Yamaha Y16ZR tiba dalam warna baru untuk Malaysia

    Yamaha Y16ZR tiba dalam warna baru untuk Malaysia

    Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini mengumumkan Y16ZR akan ditawarkan dalam tiga warna baru, iaitu Glacier White, Phantom Neon dan Flaming Silver bermula esok di wakil pengedar sah mereka. Harga yang dikeluarkan adalah RM11,118 tidak termasuk insurans dan cukai jalan.

    Di antara tiga warna baru ini, Flaming Silver tampil lebih menyerlah dengan rim yang berwarna oren, sementara Glacier White dan Phantom Neon pula menggunakan rim hitam. Setiap pembelian Y16ZR juga datang dengan jaminan dua tahun atau 20,000 km, serta kunci cakera brek secara percuma.

    Bahagian lain motosikal ini tidak diubah, dan masih sama seperti waktu ia dilancarkan kali pertama untuk pasaran negara kita Mac 2021 lalu, termasuk enjin, iaitu unit satu silinder 155 cc, suntikan bahan api, SOHC dengan VVA, yang digabungkan bersama transmisi enam kelajuan (klac slip & assist) untuk menghasilkan kuasa 17.7 hp pada 9,500 rpm dan 14.4 Nm tork pada 8,000 rpm.

    Lampu utama Y16ZR menggunakan jenis LED, sementara kemudahan berteknologi lain yang disediakan adalah termasuk sistem kunci pintar, butang kill switch, lampu memotong (pass light) serta meter digital LCD yang dapat memaparkan semua informasi dengan terang termasuk kelajuan, tahap rpm serta kedudukan gear.

    Kelengkapan lain pada Y16ZR adalah seperti brek cakera hadapan dan belakang (angkup dua piston pada roda hadapan), tangki bahan api 5.4 liter, tayar 90/80 di hadapan dan 120/70 di belakang serta soket pengecas 12V.

     
     
  • Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    Berita baik bagi mereka yang tidak dapat membeli Toyota GR Yaris tahun lalu, anda perlu bersedia kerana ‘abang’ kepada hot-hatch berkenaan iaitu GR Corolla dikhabarkan bakal ke ASEAN tidak lama lagi!

    Walau bagaimanapun, GR Corolla akan mendarat di pasaran Thailand terlebih dahulu – memetik dari sumber media yang dipercayai di Thailand, portal automotif Filipina iaitu Autoindustriya melaporkan bahawa GR Corolla mungkin akan dilancarkan ketika berlangsungnya Thailand International Motor Expo 2022 pada Disember nanti.

    Pelancaran GR Corolla itu juga serentak dengan sambutan ulang tahun ke-60 Toyota Thailand. Manakala laporan dari media Indonesia, Autonetmagz pula menyatakan bahawa presiden Toyota Akio Toyoda atau dikenali dengan nama samarannya ketika berlumba iaitu Morizo sendiri akan turun ke Thailand bagi melancarkan GR Corolla di sana.

    Tidak seperti GR Yaris yang dihasilkan secara terhad hanya 25,000 untuk pasaran seluruh dunia selari dengan peraturan homologasi Kejuaraan Rali Dunia (WRC) oleh FIA, Toyota tidak menetapkan sebarang had produksi untuk penghasilan GR Corolla. Walau bagaimanapun, hanya 10 unit model ini akan di bawa ke Thai bagi peringkat awal, lapor Autoindustriya.

    Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    Sebelum ini Thailand hanya menerima 71-unit Toyota GR Yaris, berbanding pasaran Malaysia yang diperuntukkan sebanyak 127-unit (UMW Toyota sebelum itu hanya mengumumkan “kurang dari 200-unit”, kesemuanya habis dijual dalam masa tak sampai sebulan). Jadi mungkin ada peluang Malaysia sekali lagi mungkin akan menerima stok GR Corolla yang lebih banyak, walaupun dilancarkan lebih lambat.

    Toyota GR Corolla membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global pada 1 April di Amerika Syarikat kerana pasaran berkenaan tidak menerima sebarang stok GR Yaris. Walau bagaimanapun, GR Corolla masih diproduksi di fasiliti GR Factory di kilang Motomachi, Jepun, sama dengan GR Yaris.

    Model ini masih berkongsi kerangka yang sama dengan Toyota Corolla Hatchback, namun cara penghasilannya dibuat seperti kereta lumba bagi menghasilkan kerangka yang lebih tegar. Ia juga menampilkan suspensi dengan jarak trek lebih lebar, secara tidak langsung membuatkan badannya juga lebih berbanding Corolla standard.

    Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    GR Corolla ini disumbat dengan enjin yang sama seperti GR Yaris iaitu unit G16E-GTS tiga-selinder 1.6 liter. Namun ia diberikan beberapa komponen dan talaan berlainan bagi menghasilkan kuasa lebih besar pada kadar 304 PS (300 hp) pada takat 6,500 rpm, berbanding 272 PS pada GR Yaris. Walau bagaimanapun, kadar tork yang dihasilkan untuk kedua-dua versi tersebut adalah sama iaitu 370 Nm bermula 3,000 hingga 5,550 rpm.

    Juga sama seperti GR Yaris, GR Corolla hanya diberikan pilihan kotak gear enam kelajuan manual pintar (i-MT) dan turut menampilkan tuil penukar jenis short-stroke serta diposisikan dekat dengan roda stereng agar ia dapat dicapai dengan cepat oleh pemandu. Sistem pacuan semua roda GR-Four juga dibekalkan pada GR Corolla ini, menampilkan LSD jenis Torsen yang diberikan secara standard pada gandar hadapan dan belakang, serta plat klac 4WD pelbagai lapisan yang membolehkan agihan tork antara hadapan dan belakang diagihkan menerusi mod yang boleh dipilih.

    Tiga mod utama sistem GR-Four ini masih sama seperti GR Yaris; “Normal” dengan agihan tork 60 peratus roda hadapan dan 40 peratus roda belakang; “Sport” 30 peratus hadapan dan 70 peratus belakang; “Track” 50:50 yang bukan sahaja untuk kegunaan litar, malah untuk permukaan gravel dan salji.

    Toyota GR Corolla bakal masuk ke ASEAN, Thailand dapat dahulu, bakal dilancarkan akhir tahun ini!

    Namun apa yang berbeza, GR Corolla turut diberikan mod “4WD” yang mengawal agihan desakan pemanduan, dan mod “Drive” yang mengawal respon pendikit dan stereng serta lain-lain aspek yang telah diasingkan bagi membolehkan talaan dibuat lebih spesifik mengikut kemahuan pemandu dan keadaan pemanduan yang lain.

    Di Amerika Syarikat, Toyota GR Corolla ditawarkan dalam tiga varian, bermula dengan varian asas GR Corolla Core dijual pada harga AS$ 35,900 (RM162k), diikuti GR Corolla Circuit Edition dijual pada harga AS$42,900 (RM193k). Manakala model paling hardcore GR Corolla Morizo Edition (lebih ringan, hanya dua tempat duduk, tork 400 Nm) dijual pada harga AS$49,000 (RM225k).

    Sebelum ini Toyota GR Yaris dijual oleh UMW Toyota di Malaysia hanya dalam satu varian (hadir dengan Performance Pack secara standard) dengan harga atas jalan tanpa insuran RM299,000. Agak-agak berapa pula harga jualan untuk Toyota GR Corolla ini sekiranya ia dijual di sini secara rasmi kelak?

     
     
  • Chery Tiggo 7 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV segmen C lawan bagi CR-V, X70; enjin 1.5 Turbo dengan CVT

    Chery Tiggo 7 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV segmen C lawan bagi CR-V, X70; enjin 1.5 Turbo dengan CVT

    Selain model Chery Omoda 5, ada beberapa lagi model lain yang dipertontonkan oleh jenama itu sebagai menandakan kembalinya mereka ke pasaran Malaysia secara rasmi. Antaranya barisan model SUV Tiggo: ada tiga model berlainan yang ditunjuk, tetapi untuk artikel ini kita akan memberi tumpuan kepada Tiggo 7 Pro.

    Merupakan SUV dalam segmen C, Tiggo 7 dibangun menggunakan platform Chery T1X dan mempunyai ukuran dimensi 4,500 mm panjang dan jarak antara roda 2,670 mm. Ini saiz yang hampir sama dengan SUV Geely Boyue (Proton X70), yang mempunyai 4,519 mm panjang dan jarak antara roda yang sama, 2,670 mm. Tiggo 7 — dengan lima tempat duduk — menyediakan ruang but seluas 475 liter, atau hingga 1,500 liter dengan kerusi belakang dilipat.

    Reka bentuk Tiggo 7 cukup segak: ia langsung lari jauh daripada Tiggo lama yang pernah dijual di Malaysia lama dahulu. Wajah depan misalnya nampak sangat kekinian, dengan gril hexagon dan corak jaringan rinci mutiara, lampu LED nipis dan DRL bentuk T dan perumah lampu kabus.

    Chery Tiggo 7 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV segmen C lawan bagi CR-V, X70; enjin 1.5 Turbo dengan CVT

    Dari sisi, tiang D hitam mengingatkan kita terhadap SUV X70, dengan garis bahu yang nampak lebih menonjol. Di belakang, Tiggo 7 Pro menerima jalur LED melintang penuh dengan tulisan Chery di atas. Bahagian ini juga nampak kosong tetapi elegan, seperti yang pernah dilihat pada Volvo XC40.

    Unit pamer ini menggunakan rim 18-inci dua-tona, lengkap dengan tayar 225/60. Sebagai kontras kepada warna badan, angkup brek depan dan belakang dihadirkan dalam warna merah, serta lencana T merah di sayap depan.

    Papan pemuka Tiggo 7 Pro menerapkan rekaan hampir sama dengan model lain dalam barisannya, menampilkan rekaan utama yang tirus dan melintang dengan konsol tengah yang tinggi. Bahagian ini juga nampak kemas dengan sentuhan rekaan kontemporari yang cantik. Corong pendingin pula tidak ketara tersambung, tetapi ada kemasan kulit dengan jahitan untuk memberikan kesan premium.

    Chery Tiggo 7 Pro ditunjuk di Malaysia — SUV segmen C lawan bagi CR-V, X70; enjin 1.5 Turbo dengan CVT

    Seperti juga Tiggo 8 Pro, terdapat tiga skrin, termasuk panel instrumen digital dan untuk infotainmen dengan Apple CarPlay, Android Auto dan peninjau sekeliling 360-darjah. Di bawahnya pula ada skrin monokrom untuk kawalan pendingin dua-zon (dengan penapis N95) dengan butang sentuhan. Untuk Tiggo 8 Pro, panel skrin pendingin ini berwarna.

    Lebih menarik, terdapat kawalan fizikal untuk kelajuan kipas dan suhu di kedua-dua sisi tuil gear. Untuk ciri kawalan fungsi yang kerap digunakan seperti ini, ia memang tidak sepatutnya tersorok dalam fungsi kendalian skrin sentuh.

    Kerusinya, dengan larasan enam-arah untuk pemandu — dibalut oleh kulit hitam dengan jahitan kontras. Kawalan suara, pengecas tanpa wayar dan pilihan lampu suasana juga tersedia. Juga berada dalam senarai kelengkapannya ialah bumbung sunroof panoramik kaca, pintu ruang kargo kuasa elektrik dan set ADAS lengkap dengan enam beg udara.

    Unit yang dilihat ini dikuasakan oleh enjin 1.5 liter empat-silinder turbo, yang menjana sebanyak 147 PS pada 5,500 rpm dan 210 Nm tork antara 1,750 dan 4,500 rpm. Kuasa dihantar ke roda depan melalui CVT dengan sembilan nisbah maya. Sama juga seperti Omoda 5, unit enjin 1.6L turbo dengan transmisi 7DCT juga boleh dipilih, serta ciri AWD juga. Apa pun, senarai kelengkapan ini belum tentu ditawarkan untuk pasaran Malaysia bila ia dilancarkan nanti — perancangan masih dibuat untuk ini.

    Apa pandangan anda tentang Chery Tiggo 7 Pro ini? Nampak molek luar dan dalam? Dari segi kelengkapan dengan reka bentuk, nampak menarik dan moden, tetapi berapa pula harga jualannya nanti? Ini kelak akan menjadi model pesaing terbaru bagi Honda CR-V dan Mazda CX-5. Jadi, harganya perlu lebih rendah daripada dua model tersebut. Dan, jangan dilupa ada Proton X70 juga.

     
     
  • KTM RC390 2022 dilancar untuk Malaysia – RM33,800

    KTM RC390 2022 dilancar untuk Malaysia – RM33,800

    KTM RC390 2022, yang diperkenalkan pertama kali kepada dunia hujung tahun lalu kini sudah tiba di Malaysia, pada harga RM33,800. Peningkatan harga yang ketara bagi model ini adalah disebabkan ia sekarang diimport sepenuhnya (CBU), sementara sebelum ini RC390 dipasang di dalam negara (CKD) dan dijual pada harga bawah RM30k.

    Enjin model sports kelas permulaan ini masih lagi sama, iaitu unit satu silinder 373 cc DOHC, tetapi ia telah diberikan peningkatan untuk menepati tahap emisi Euro 5 serta mendapat kotak angin 40% lebih besar, pemetaan enjin yang ditala semula, lebih tork dan maklum balas yang lebih baik melalui pendikit ride-by-wire padanya.

    Turut dipasang adalah sistem ekzos baru yang menggabungkan manifold stainless steel serta peredam bunyi aluminium yang lebih ringan berbanding sebelum ini. Dari enjin, kuasa maksimum sehingga 43 hp dan 37 Nm disampaikan kepada roda belakang melalui kotak gear enam kelajuan dengan klac jenis slipper. Quickshifter untuk penukaran gear lebih pantas dijual secara berasingan.

    KTM RC390 2022 dilancar untuk Malaysia – RM33,800

    Pada bahagian elektronik, modul ABS Bosch 9.1 MP baru dipasang pada RC390, untuk memberikan bukan sahaja ABS two-channel, tetapi juga Cornering ABS dan mod Supermoto. Apabila mod Supermoto diaktifkan, ABS belakang dan Cornering ABS ditutup.

    Panel instrumen RC390 kini mengikuti Duke 390, dengan menggunakan skrin TFT-LCD berwarna penuh, dan boleh disambungkan kepada telefon pengguna untuk menerima/menjawab panggilan serta memainkan lagu. Semua lampu pada model ini menggunakan unit LED sementara lampu hadapan dilengkapi DRL.

    Panel badan RC390 mendapat banyak inspirasi daripada jentera GP16 yang digunakan dalam perlumbaan MotoGP, dengan ciri aerodinamik serta pengurusan angin untuk membantu sistem penyejukan diambil penting waktu pembangunan.

    Ciri ergonomik motosikal ini turut dirujuk semula, dengan kini ia menggunakan pemegang yang boleh dilaras sebanyak 10 mm, geometri peletak kaki yang lebih baik untuk membelasah selekoh dan lebih ringan, serta tempat duduk yang lebih selesa dan dibalut dengan bahan yang lebih mencengkam.

    Pada bahagian suspensi, RC390 mendapat fork WP Apex 43 mm dengan pelarasan mampatan serta lantunan sementara di belakang menggunakan monoshock WP Apex dengan pelarasan lantunan dan pra beban. Brek menggunakan cakera 320 mm tunggal dengan angkup Bybre empat piston di hadapan dan cakera 230 mm dengan angkup satu piston di belakang.

    Rim RC390 kini dapat memberikan berat putaran 3.4 kg lebih ringan, dan ia dibalut dengan tayar 110/70 di hadapan dan 150/60 di belakang. Secara keseluruhannya, RC390 mencatat berat 158 kg dan ia didatangkan dengan tangki minyak 13.7 liter.

     
     
  • KTM RC8C 2023 didedah- 200 unit sahaja, RM187k

    KTM RC8C 2023 didedah- 200 unit sahaja, RM187k

    KTM telah memperkenalkan RC8C 2023, iaitu sebuah model yang dibuat khas untuk kegunaan litar, dan hanya akan dikeluarkan sebanyak 200 unit sahaja. Model generasi kedua ini datang dengan berat yang lebih ringan, sistem elektronik dipertingkat serta enjin LC8c yang dinaik taraf.

    Kuasa yang mampu dihasilkan oleh enjin dua silinder selari 889 cc ini bertambah 7 hp, menjadi 135 hp pada 11,000 rpm dan 98 Nm tork pada 8,250 rpm, hasil daripada penggunaan connecting rod titanium, nisbah mampatan yang lebih tinggi, piston two-ring, throttle body lebih besar serta tekanan pam bahan api yang dipertingkat.

    Mencatat berat cuma 142 kg, RC8C dibina atas cais khas perlumbaan dan datang dengan sistem ekzos lengkap Akrapovic titanium. Ia kemudiannya dipadankan bersama sistem suspensi WP Pro, brek Brembo spesifikasi lumba serta rim forged Dymag.

    Sistem elektronik lengkap pada motosikal ini menyediakan fungsi kawalan cengkaman, pemetaan enjin serta engine braking yang boleh dilaras mengikut kesesuaian penunggang. Beberapa bahagian lain seperti steering head, triple clamp, serta maklum balas pendikit dan brek juga boleh dilaras.

    Membantu penggunaan motosikal ini di dalam trek adalah pencatat masa dan data logger, melalui panel paparan AIM serta butang kawalan inspirasi daripada jentera lumba RC16 MotoGP. Penukar gear RC8C datang terus dalam tetapan GP, dan dilengkapi dengan quickshifter (naik dan turun).

    Komponen lain yang dipasang pada RC8C adalah termasuk fender gentian karbon, tayar slick Pirelli Diablo serta penyejuk minyak tambahan. Tempahan awal untuk RC8C akan dibuka esok dengan bayaran awal 2,600 USD (RM12,287), sementara harga penuh motosikal disiarkan pada 39,599 USD (RM187,144).

     
     
  • Chery Omoda 5 ditunjuk di Malaysia — pesaing HR-V, X50 dengan rekaan futuristik; 1.5 CVT dan 1.6T 7DCT

    Chery Omoda 5 ditunjuk di Malaysia — pesaing HR-V, X50 dengan rekaan futuristik; 1.5 CVT dan 1.6T 7DCT

    Seperti yang dilaporkan semalam, jenama Chery kini kembali ke Malaysia dengan syarikat pengedar dan pengurusan baru. Turut diadakan adalah sebuah acara rasmi untuk tujuan berkenaan, serta sesi pratonton beberapa model terbaru Chery yang khabarnya bakal memasuki pasaran Malaysia kelak.

    Jika sebelum ini, Chery untuk pasaran tempatan mungkin lebih dikenali dengan model seperti kereta kompak QQ dan juga MPV Eastar, kini tumpuannya adalah terhadap SUV. Antara model yang disasarkan untuk dibawa masuk ke sini ialah barisan SUV Tiggo Pro (4, 7 dan 8) serta SUV yang paling baru dan menawan, Omoda 5.

    Omoda 5 merupakan SUV segmen B yang saiznya hampir sama dengan Honda HR-V dan Proton X50. Ukuran dimensinya adalah 4,400 mm panjang dan 1,830 mm lebar: ia 15 mm lebih panjang dan 40 mm lebih lebar berbanding HR-V terkini. Dengan ketinggian 1,585 mm, Omoda 5 adalah 5 mm lebih rendah berbanding HR-V, manakala jarak antara roda 2,630 mm pula adalah 20 mm lebih panjang.

    Chery Omoda 5 ditunjuk di Malaysia — pesaing HR-V, X50 dengan rekaan futuristik; 1.5 CVT dan 1.6T 7DCT

    Di China, Omoda 5 datang dengan tujuh varian, termasuk beberapa dengan gandingan enjin 1.6 liter TGDI dan transmisi automatik klac berkembar tujuh-kelajuan dan AWD. Unit dengan janaan 194 hp/290 Nm itu boleh memecut dari 0-100 km/j dalam masa 7.8 saat. Ada juga enjin lebih kecil, 1.5 liter TCI dengan 9CVT 2WD yang menjana 154 hp/230 Nm. Kereta yang anda lihat ini menggunakan padanan tersebut — tertera “230” pada lencana di belakang, angka untuk janaan torknya.

    Omoda 5 juga ada didatangkan dalam versi tenaga baru/elektrifikasi untuk pasaran di sana, misalnya pada model plug-in hybrid untuk Tiggo 8 Pro e+. Chery juga ada perancangan untuk menjadikan model ini elektrik sepenuhnya, dengan bateri 64 kWh dan 450 km jarak perjalanan. Lebih dekat dengan penggunaan di Malaysia, terutamanya sebagai penawaran pertamanya di sini adalah unit 1.6T enjin petrol biasa.

    Tarikan utamanya tentulah rekaan yang ditampilkan, sebagai sebuah crossover fastback yang futuristik, dengan pendekatan rekaan yang dikenali sebagai Art in Motion. Mirip sentuhan dari Hyundai dan Lexus RX mungkin juga dapat dikesan pada Omoda 5 ini. Dari segi rekaannya, ini sebuah penyataan besar yang dilakukan oleh Chery bagi SUV segmen berkenaan.

    Chery Omoda 5 ditunjuk di Malaysia — pesaing HR-V, X50 dengan rekaan futuristik; 1.5 CVT dan 1.6T 7DCT

    Di dalam kabin, sentuhan futuristik diteruskan. Rekaan kerusi sporty dengan perehat kepala bersepadu, manakala rekaan papan pemuka pula moden dan ringkas. Paparan skrin digital pula ala Mercedes-Benz, dengan skrin berkembar 20.5-inci, dan tak lupa corong pendingin yang nampak kontemporari.

    Stereng yang rata di bawah dengan tulisan Chery disertai juga oleh konsol tengah yang tinggi, dengan ruang bukaan di bawah tombol gear yang juga bertindak sebagai ruang simpanan. Sudut ruang berkenaan membolehkan telefon ditegakkan dan mudah dilihat. Terdapat juga 64 warna lampu suasana yang mengikut rentak muzik yang dimainkan. Kedudukan lampu juga disorok di tempat yang terselindung, menampkan sentuhan elegan untuk SUV ini.

    Senarai ciri dan kelengkapan juga banyak: kawalan suara, Android Auto dan Apple CarPlay, kamera keliling, ciri lengkap keselamatan ADAS dengan enam beg udara dan banyak lagi. Ciri premium lain seperti sunroof juga ada. Untuk pembesar suaranya, terlihat ada jenama Sony. Jadi, apa pandangan anda tentang model ini? Jika Honda HR-V Turbo V dijual pada harga RM134,000 manakala versi paling mahalnya RS Hybrid pada harga RM140,000, berapa harga yang masuk akal untuk Omoda 5 bersaing di sini?

    Bagaimanapun, spesifikasi Omoda 5 yang dilihat ini tidak mencerminkan setepatnya penawaran yang bakal ada di Malaysia kelak. Dan, belum ada sebarang tarikh didedahkan untuk pelancarannya di sini.

     
     
  • Ni Hsin EV bawa motosikal elektrik Ebixon ke Malaysia – mula dipasang bulan November, jual tahun hadapan

    Ni Hsin EV bawa motosikal elektrik Ebixon ke Malaysia – mula dipasang bulan November, jual tahun hadapan

    Sebuah syarikat yang baru masuk ke dalam pasaran kenderaan elektrik Malaysia, iaitu Ni Hsin EV Tech (NHEV), kini telah menerima Kelulusan Jenis Kenderaan (VTA) daripada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk dua model motosikal elektrik Ni Hsin Ebixon iaitu TailG Bold dan TailG Torque.

    Pemasangan dua model ini dalam negara (CKD) akan dimulakan pada bulan November ini di kilang syarikat di Seri Kembangan, Selangor, sementara produk akhir dirancang akan diperkenalkan kepada pasaran awal tahun 2023. NHEV juga telah mengadakan perjanjian dengan Dongguan Tailing Motor Vehicle Co dari China untuk penghantaran komponen, alat ganti serta perisian, manakala pemasangan, kawalan kualiti dan pentauliahan dijalankan di dalam negara.

    Dalam satu siaran akhbar yang dikeluarkan, pengarah urusan NHEV, Khoo Chee Keong memberitahu bahawa syarikat meletakkan sasaran penjualan 50,000 e-bike di Malaysia dan ASEAN dalam masa tiga tahun akan datang. “Motosikal elektrik EBixon kami mempunyai sistem dua bateri yang boleh ditukar, menawarkan jarak gerak sehingga 200 km,” kata Khoo.

    Ni Hsin EV bawa motosikal elektrik Ebixon ke Malaysia – mula dipasang bulan November, jual tahun hadapan

    Khoo juga menambah bahawa e-bike Ebixon direka untuk dijual pada harga yang sama seperti motosikal enjin pembakaran dalaman biasa, tetapi mempunyai kos penjagaan 70% lebih rendah. “Baterinya boleh disambungkan kepada soket di rumah untuk dicas, atau ditukar di stesen bateri,” kata Khoo.

    Sementara perincian motosikal elektrik Ebixon ini masih belum dikeluarkan, sumber kami memberitahu model yang akan dibawa ke Malaysia nanti besar kemungkinan adalah daripada barisan TailG dan mendapat kelulusan EC.

     
     
  • Honda Accord 2023 – teaser model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

    Honda Accord 2023 – <em>teaser</em> model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

    Honda telah menyiarkan imej teaser rasmi pertama untuk Honda Accord generasi ke-11, yang bakal didedahkan sepenuhnya pada bulan November nanti. Model ini bakal menggantikan model generasi ke-10 yang telahpun diperkenalkan sejak 2017, dan menerima facelift pada 2020.

    Honda mendedahkan beberapa bahagian penting pada Accord 2023 ini, termasuk bahagian muka, belakang, skrin infotainmen dan sedikit rupa pada papan pemuka. Dapat dilihat, muka dan bahagian belakang yang didedahkan berkenaan adalah seiras dengan imej paten Accord 2023 yang tersebar sebelum ini.

    Tiada lagi rekaan Solid Wing pada model generasi ke-11 ini, dan ia menerima gril hadapan besar berbentuk heksagon, seakan mendapat inspirasi dari gril model-model Acura yang lebih mewah. Gril berkenaan diapit dengan lampu hadapan yang tirus, dan turut menampilkan jalur lampu nyalaan siang LED. Apron hadapan ini dilengkapkan dengan kemasan liang ambilan udara sebelah bawah yang direka lebar merentangi keseluruhan bampar.

    Honda Accord 2023 – <em>teaser</em> model generasi ke-11 disiar, serba baharu, didedah sepenuhnya Nov ini

    Di belakang, tiada lagi lampu berbentuk ‘stapler’ seperti model sedia ada, dan ia digantikan dengan rekaan lampu nipis yang lebih ringkas bersama bar yang merentangi penutup but, memberikan ‘perisa’ sebuah sedan Eropah. Berdasarkan imej paten tempoh hari, Accord generasi ke-11 ini masih diberikan bentuk badan ala-fastback.

    Beberapa perincian ringkas didedahkan bersama imej-imej teaser ini. Antaranya Honda menyatakan bahawa Accord ini diberikan skrin sesentuh bersaiz 12.3-inci – paling besar pernah ditawarkan pada sebuah Honda – dan ia dihubungkan kepada sistem infotainmen yang berintegrasi dengan servis-servis terhubung Google.

    Perkara ini sebenarnya telah dilaporkan sebelum ini di mana pada September lalu Honda telah mengesahkan bahawa ia akan menggunakan OS Android Automotive yang dibangunkan oleh Google untuk model-model baharunya. Antara servis-servis yang dijangka terkandung dalam sistem berkenaan termasuk Google Assistant, Google Maps dan aplikasi dalam-kenderaan lain seperti apa yang ditawarkan oleh Volvo.

    Selain dari skrin, bahagian konsol tengah Accord 2023 ini juga sedikit terdedah. Ia nampaknya diberikan rekaan ringkas dan menampilkan liang penghawa dingin yang nipis dan lebar, mungkin merentangi sepenuhnya papan pemuka seperti Civic. Tiada lagi kawalan penghawa dingin digital menerusi skrin, dan ia sudah diganti semula dengan suis-suis putar analog yang lebih mudah digunakan.

    Bagi pasaran Amerika Syarikat, varian Touring untuk Accord 2023 ini boleh dipilih dalam versi Hybrid. Untuk Accord Touring Hybrid sebelum ini, ia menerima unit rangkaian kuasa menggandingkan enjin petrol 2.0 liter kitaran Atkinson, transmisi E-CVT dan juga motor elektrik, menghasilkan kuasa keseluruhan 212 hp/315 Nm. Model generasi baharu ini mungkin menerima padanan yang sama tetapi lebih diperhalusi.

    Perincian lebih lanjut bakal kita ketahui apabila Honda mendedahkan sepenuhnya Accord generasi ke-11 ini bulan depan. Buat masa sekarang bagaimana? Anda rasa Accord ini lebih handsome dari model generasi ke-10 atau sebaliknya?

    GALERI: Imej paten Honda Accord 2023

     
     
  • JPJ eBid: Siri plat JVT dan DEP bakal dibuka bidaan

    Untuk yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri yang baru diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor dari Johor, JVT, bakal dibuka bidaan mulai esok, 27 Oktober 2022. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 31 Oktober ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 1 November 2022. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran terkini dari Kelantan pula, DEP, bidaannya bakal dibuka bermula 12 November dan akan berakhir jam 10 malam pada 16 November 2022. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 17 November ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025