Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kawasaki tunjuk motosikal EV konsep di Intermot

    Kawasaki tunjuk motosikal EV konsep di Intermot

    Semasa pameran Intermot yang sedang berlangsung di Cologne, Jerman, Kawasaki telah mempertontonkan sebuah model motosikal elektrik (EV) konsep, yang dikatakan bakal menjadi asas kepada sebuah model produksi sebenar.

    Tiada perincian mekanikal yang didedah pada waktu itu, tetapi menariknya, kita boleh mendapat petunjuk bahawa Kawasaki telah memilih bentuk naked, seperti Z250 untuk motosikal EV yang akan diperkenalkan kepada pasaran. Selain model ini, syarikat itu juga menyatakan bahawa mereka akan mendedahkan dua lagi model EV tahun ini.

    Semasa majlis pengenalan motosikal ini, pengarah urusan Kawasaki Motors Europe memberitahu bahawa syarikat masih akan memberikan komitmen berterusan kepada enjin pembakaran dalaman, sementara untuk pilihan bebas karbon, mereka sedang mempertimbangkan sumber E-Fuel, Bio-Fuel dan hidrogen, sebagai tambahan kepada elektrik dan hibrid.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Okt – RON97 turun 5 sen seliter

    Harga minyak 6-12 Okt – RON97 turun 5 sen seliter

    Kementerian Kewangan (MoF) telah mengumumkan bagi minggu bertarikh 6 hingga 12 Oktober 2022, harga runcit bagi petrol RON 97 turun sebanyak 5 sen seliter daripada RM4.00 seliter kepada RM3.95 seliter.

    Harga baharu tersebut akan berkuatkuasa mulai 12 tengah malam ini sehinggalah pada Rabu hadapan, 12 Oktober 2022.

    Manakala bagi harga petrol RON 95 yang telah mencapai harga siling, ia masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Bagi diesel Euro B10/B20, harganya turut dikekalkan pada harga RM2.15 seliter, dan gred Euro 5 B7 pula berharga RM2.35 seliter.

    MoF turut berkata, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Triumph Speed Triple 1200 RR Bond Edition diperkenal – kemasan istimewa ikut tema filem, hanya 60 unit

    Triumph Speed Triple 1200 RR Bond Edition diperkenal – kemasan istimewa ikut tema filem, hanya 60 unit

    Triumph menyambut ulang tahun ke-60 filem aksi James Bond dengan pengeluaran model istimewa Speed Triple 1200 RR Bond Edition, secara eksklusif hanya 60 unit untuk seluruh dunia. Model ini mengikuti dua lagi model Bond Edition yang dikeluarkan sebelum ini iaitu Tiger 900 Bond Edition dan Scrambler 1200 Bond Edition.

    Keistimewaan Speed Triple 1200 RR Bond Edition ini bermula dengan warna badan gabungan Black, Granite Grey dan Storm Grey, bersama logo peringatan “60 Years of Bond” di bahagian tepi tangki. Kemudiannya di bahagian tengah tangki, terdapat semua tajuk asal filem James Bond, termasuk yang terbaru, No Time To Die.

    Pada bahagian lain motosikal ini anda akan melihat perincian berwarna emas, termasuk jalur serta logonya, dan nampak berpadanan dengan suspensi Ohlins di hadapan dan belakang yang juga menggunakan kelongsong warna emas. Kemudiannya di atas bahagian pemegang terdapat lencana nombor pengeluaran.

    Menambah lagi ciri eksklusif motosikal ini, setiap pembelian akan diberi dengan kain penutup motosikal bertemakan 007 serta perincian khas James Bond, dan sijil pengesahan keaslian, yang ditandatangani oleh CEO Triumph, Nick Bloor.

    Bahagian mekanikal motosikal edisi khas ini masih sama seperti Speed Triple 1200 RR, termasuk enjin tiga silinder 1,200 cc berkuasa 177.6 hp, transmisi enam kelajuan, quickshifter, suspensi Ohlins elektronik, brek Brembo Stylema di hadapan, sistem tanpa kunci dan lima mod tunggangan.

     
     
  • Proton Saga – 6,442 unit terjual pada Sept 2022; jualan tertinggi tahun ini, tapi masih no.2 dalam segmennya

    Proton Saga – 6,442 unit terjual pada Sept 2022; jualan tertinggi tahun ini, tapi masih no.2 dalam segmennya

    Proton mengumumkan bahawa kereta paling mampu milik dalam barisan modelnya iaitu Saga telah terjual sebanyak 6,442 unit dari jumlah keseluruhan 14,872 unit kenderaan yang dijual oleh syarikat itu sepanjang September 2022. Rekod tersebut merupakan yang tertinggi untuk jualan bulanan Saga tahun ini, namun ia masih berada di kedudukan kedua carta jualan bulanan bagi sedan segmen-A di Malaysia bagi bulan lalu.

    Secara kumulatif, sebanyak 40,603 unit Saga telah diserahkan kepada pelanggan untuk sembilan bulan pertama tahun ini, naik 49.3% berbanding tempoh sama tahun lalu. Proton turut menyatakan rekod jualan Saga untuk bulan September 2022 ini juga merupakan “volum tertinggi pernah dicatatkan sejak Oktober 2013”.

    Proton berpuas hati dengan angka jualan yang dicatatkan oleh Saga dengan mengambilkira model berkenaan hanya dapat diserahkan kepada pelanggan sebanyak 76 unit pada Januari lalu kerana musibah banjir yang menimpa Selangor pada akhir 2021. Ini juga menjadikan Saga sebagai penyumbang terbesar dalam jumlah jualan Proton yang kini sudah pun mencecah 102,353 unit untuk suku ketiga tahun ini, atau 40.2% lebih tinggi berbanding sembilan bulan pertama pada tahun 2021.

    Ini merupakan tahun keempat berturut-turut Proton mencapai sasaran jualan melebihi 100,000 unit, dan untuk tahun ini ia berlaku dua bulan lebih awal daripada tahun 2021. Untuk model lain, bulan lalu Proton telah berjaya menjual sebanyak 4,157 unit X50, 1,730 unit X70, 1,159 unit Persona, 606 unit Iriz dan 418 unit Exora.

     
     
  • Proton X50 – 4,517 unit diserah kepada pelanggan sepanjang Sept 2022, bulan ke-4 terjual lebih 4,000 unit

    Proton X50 – 4,517 unit diserah kepada pelanggan sepanjang Sept 2022, bulan ke-4 terjual lebih 4,000 unit

    Sejak melancarkan X50 pada Oktober 2020, Proton dilihat agak sukar untuk memenuhi tempahan SUV segmen-B berkenaan yang begitu tinggi dalam masa yang sama ia tidak dapat diproduksi dengan kemampuan penuh kerana pelbagai masalah. Namun akhir-akhir ini, jumlah produksi X50 nampaknya sudah pun stabil dan matang, membolehkan pelanggan yang menempahnya menerima kereta dengan lebih cepat.

    Sepanjang bulan lalu, Proton berjaya menyerahkan sejumlah 4,517 unit X50 kepada pelanggan, lebih tinggi dari rekod 4,329 unit yang dicatatkan pada bulan Ogos 2022. Ini juga bermaksud kilang Proton di Tanjung Malim, Perak sudah dapat menghasilkan lebih 4,000 unit SUV berkenaan untuk bulan keempat berturut-turut, di mana pada bulan Jun dan Julai X50 berjaya dijual masing-masing sebanyak 4,473 unit dan 4,763 unit.

    Secara kumulatif, Proton telah pun menjual sebanyak 29,591 unit X50 dari Januari sehingga September tahun ini, atau 78.2% lebih banyak berbanding tempoh sama pada tahun 2021. Rekod ini bukan sahaja menjadikan X50 sebagai SUV paling laris dalam segmen-B, malah ia merupakan SUV paling laris di Malaysia sehingga suku ketiga tahun ini.

    Proton X50 – 4,517 unit diserah kepada pelanggan sepanjang Sept 2022, bulan ke-4 terjual lebih 4,000 unit

    Untuk September 2022, Proton berjaya menjual sebanyak 14,872 unit kenderaan untuk pasaran domestik dan eksport. Ini membolehkan Proton mencatatkan jualan sebanyak 102,353 unit untuk suku ketiga tahun ini, atau 40.2% lebih tinggi berbanding sembilan bulan pertama pada tahun 2021.

    Ini merupakan tahun keempat berturut-turut Proton mencapai sasaran jualan melebihi 100,000 unit, dan untuk tahun ini ia berlaku dua bulan lebih awal daripada tahun 2021.

    “Prestasi suku ketiga Proton adalah suku terbaik bagi tahun ini, dengan 42,229 unit untuk tiga bulan dari Julai ke Ogos. Pencapaian ini adalah hasil gabungan kestabilan dalam pengeluaran serta daya tarikan berterusan model kami, terutamanya Proton Saga 2022 dan Proton X50. Oleh itu, walaupun permulaan tahun ini lemah, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut,” kata Naib CEO Proton, Roslan Abdullah.

     
     
  • Lencongan jalan susur masuk di persimpangan bertingkat Juru diaktifkan pada 6 Okt-13 Nov – PLUS

    Lencongan jalan susur masuk di persimpangan bertingkat Juru diaktifkan pada 6 Okt-13 Nov – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan pengaktifan lencongan trafik dari jalan susur masuk ke arah Pulau Pinang-Alor Setar di Persimpangan Bertingkat Juru (arah utara) kepada semua kenderaan mulai jam 12 tengahmalam, 6 Oktober (Khamis) sehingga jam 11 malam pada 13 November 2022 (Ahad).

    Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja menaik taraf kapasiti sistem perparitan sedia ada yang termasuk dalam Rancangan Tebatan Banjir bersebelahan dengan lebuh raya tersebut.

    “Justeru, orang ramai yang melalui laluan tersebut dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan mendapatkan maklumat trafik terkini melalui Aplikasi PLUS. Mereka juga dinasihatkan supaya berhati-hati memandu, mematuhi had laju dan arahan papantanda trafik ketika melalui kawasan terbabit,” ujar PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

     
     
  • Honda CB750 Hornet didedah – segalanya serba baru, enjin dua silinder 755 cc berkuasa 90 hp, berat 190 kg

    Honda CB750 Hornet didedah – segalanya serba baru, enjin dua silinder 755 cc berkuasa 90 hp, berat 190 kg

    Siri teaser Honda CB750 Hornet yang dikeluarkan sejak tahun lepas kini berakhir apabila model tersebut didedahkan secara rasmi di pameran Intermot di Jerman. Sementara lukisan konsepnya yang didedahkan sebelum ini menunjukkan rekaan agresif dan moden, hasil akhir untuk produksi pula nampak lebih biasa dan tidak terlalu menonjol.

    Segalanya tentang Hornet ini dikatakan adalah baru, bermula dengan kerangka steel diamond, yang digabungkan bersama panel badan ringkas sebagai sebuah motosikal naked, dan menghasilkan berat keseluruhan 190 kg dan tinggi tempat duduk 795 mm.

    Enjinnya juga adalah serba baru, iaitu unit dua silinder selari penyejukan cecair, OHC 755 cc dengan crank 270 darjah, dan mempunyai teknologi silinder super sport untuk mengurangkan geseran. Dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan klac assist & slipper, ia mampu menghasilkan 90 hp pada 9,500 rpm dan 74.4 Nm tork pada 7,000 rpm.

    Honda CB750 Hornet didedah – segalanya serba baru, enjin dua silinder 755 cc berkuasa 90 hp, berat 190 kg

    Hasil daripada penggunaan sistem pendikit ride-by-wire, Hornet menyediakan empat mod tunggangan, iaitu Sport, Standard, Rain dan User. Turut disediakan adalah Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Wheelie Control. Penunggang juga boleh melaras tahap kuasa enjin dan engine braking pada motosikal ini.

    Semua fungsi motosikal dapat dilihat melalui skrin TFT warna penuh lima inci yang terdapat di hadapan penunggang. Paparan skrin ini boleh ditukar melalui empat pilihan yang disediakan, dan ia juga boleh disambung kepada telefon bimbit melalui sistem Honda Smartphone Voice Control dan aplikasi Honda RoadSync untuk fungsi seperti navigasi, panggilan, mesej dan muzik.

    Menyambungkan kerangka motosikal ini kepada roda adalah suspensi daripada Showa, yang terdiri daripada fork SFF-BP USD 41 mm di hadapan, dan monoshock berserta sambungan lengan ayun Pro-Link di belakang. Suspensi ini tidak boleh dilaras (kecuali pra beban di belakang), manakala brek pula terdiri daripada set cakera 296 mm berkembar dengan angkup Nissin empat piston di hadapan, dan cakera 240 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang.

    Semua lampu pada Hornet baru ini menggunakan unit LED, dan kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 15.2 liter, rim 17 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, ABS dual-channel serta lampu penunjuk arah mati sendiri.

    Kesemuanya ada empat warna yang ditawarkan bagi Hornet baru ini, iaitu putih, hitam, kelabu dan kuning, sementara jika keadaan standardnya masih tidak mencukupi, pemilik juga boleh mendapatkan pakej aksesori yang memberikan barangan seperti penutup tempat duduk belakang, beg barangan serta pelapik tangki.

     
     
  • Laporan bahawa kualiti jalan raya Malaysia ke-12 terburuk di dunia tidak tepat – Kementerian Kerja Raya

    Laporan bahawa kualiti jalan raya Malaysia ke-12 terburuk di dunia tidak tepat – Kementerian Kerja Raya

    Susulan artikel sebuah akhbar tempatan bertajuk Malaysia ke-12 Terbawah Miliki Jalan Raya Terburuk yang dikeluarkan pada Isnin lalu, semalam Kementerian Kerja Raya (KKR) telah pun mengeluarkan satu kenyataan yang menyatakan bahawa laporan tersebut adalah tidak tepat dan mengelirukan, lapor Bernama.

    Dalam kenyataan berkenaan, KKR menyatakan bahawa ia adalah kerana artikel tersebut menggunakan laporan Worst and Best Roads – US and International Ranking yang dijalankan oleh sebuah firma pendidikan pemandu Zutobi, dan ini memberikan persepsi yang kurang baik terhadap kualiti keseluruhan jalan raya di Malaysia.

    KKR menjelaskan bahawa laporan dari Zutobi itu hanya mengambil kira empat faktor iaitu kualiti jalan raya, peningkatan kualiti jalan raya, kematian jalan raya dan saiz relatif rangkaian jalan raya dan hanya mengambil kira data untuk 59 negara, bukan semua negara di dunia.

    Kementerian tersebut turut memberitahu bahawa terdapat sebuah lagi kajian yang dikeluarkan Utusan Malaysia pada 10 Ogos lepas dengan tajuk “Kualiti jalan di Malaysia 21 terbaik di dunia, mengatasi Australia, Britain, New Zealand” dengan menggunakan sumber dikeluarkan oleh The Global Economy yang memperoleh data berdasarkan komponen kualiti jalan diterbitkan oleh Indeks Daya Saing Global.

    Laporan bahawa kualiti jalan raya Malaysia ke-12 terburuk di dunia tidak tepat – Kementerian Kerja Raya

    “Kajian itu turut memetik sumber sahih daripada kajian eksekutif melibatkan sejumlah 14,000 tokoh dari 144 negara yang menyertai Forum Ekonomi Dunia yang berpusat di Davos, Switzerland,” kata kenyataan yang dikeluarkan berkenaan.

    Kenyataan itu juga menyebut, berdasarkan data daripada kajian Utusan Malaysia, tahap jalan raya negara ini adalah antara terbaik iaitu 5.3 mata daripada julat keseluruhan tujuh mata, di samping tahap jalan di Malaysia adalah lebih baik berbanding Sweden (ke-23), Kanada (ke-31), Australia (ke-33), Britain (ke-37) dan menduduki tangga kedua di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tangga kedua selepas Singapura.

    Walau bagaimanapun, KKR menyatakan bahawa pihaknya sentiasa mengambil perhatian terhadap semua laporan kajian yang diterbitkan sebagai satu kaedah semak dan imbang bagi memastikan penyampaian perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat.

    “Pelbagai komitmen berterusan dilaksanakan KKR khusus dalam menjaga kualiti jalan raya di negara ini, penyenggaraan ini difokuskan kepada Jalan Persekutuan dengan jumlah panjang 20,017 kilometer, selain KKR menerima sebanyak lebih RM900,000 peruntukan sebagai kos penyenggaraan jalan raya di seluruh negara dan 6,656 tampalan jalan berlubang telah dilaksanakan sehingga Ogos lepas,” tulis kenyataan itu lagi.

     
     
  • Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia – 2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Pagi ini Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan MPV Hyundai Staria 10-tempat duduk untuk pasaran Malaysia. Ia genap setahun selepas Staria versi tujuh-tempat duduk dilancarkan pada hujung Oktober 2021.

    Tidak seperti Staria tujuh-tempat duduk yang hanya ditawarkan dengan satu varian iaitu Premium, berbeza dengan versi 10-tempat duduk yang ditampilkan dengan tiga varian; Lite, Plus dan Max. Untuk pengetahuan, kehadiran Staria di Malaysia adalah bagi menggantikan MPV Grand Starex yang telah digugurkan dari barisan model Hyundai di sini.

    Seperti versi tujuh-tempat duduk, Staria 10-tempat duduk ini turut dijanakan oleh enjin 2.2 CRDi diesel yang mampu menghamburkan kuasa hingga 177 PS dan tork 431 Nm dari 1,500 hingga 2,500 rpm, dipadankan bersama transmisi automatik lapan-kelajuan. Untuk penjimatan yang lebih efisien, pengecas turbo penyejukan-udara mempunyai prestasi pemampat dan roda turbin yang lebih baik untuk prestasi tork kelajuan rendah yang lebih baik. Pacuannya disalurkan ke roda hadapan, dan MPV ini turut diberikan empat mod pemanduan (Smart, Normal, Eco dan Sport).

    Direka untuk keluarga besar atau pun yang miliki perniagaan, Staria 10-tempat duduk ini memiliki dimensi berukuran 1,990 mm tinggi, 1,997 mm lebar, 5,253 mm panjang dengan jarak roda 3,273 mm. MPV ini ditampilkan dengan bentangan tempat duduk 2-3-2-3, sesuai dengan kegunaannya sebagai kenderaan pelbagai-tujuan. Selain itu, ia juga memiliki ruang penyimpanan barangan yang lebih luas serta kedudukan tempat duduknya yang boleh dikonfigrasi mengikut kesesuaian dan keperluan.

    Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Tempat duduknya boleh diposisikan secara sebaris, dilaras secara fleksibel dan boleh dibaringkan sepenuhnya (terutamanya yang ingin membawa barangan kargo yang banyak atau besar). Difahamkan, Staria 10-tempat duduk ini mempunyai kapasiti sehingga 1,024 liter jika tempat duduk penumpang dibaringkan secara rata.

    Hyundai turut berkata Staria memiliki ruang kaki yang luas, malahan tingkap sisinya juga paling besar dalam segmennya. Reka bentuk dalamannya yang inovatif diinspirasikan dari kapal persiaran yang menawarkan atmosfera yang unik. Menurut Hyundai lagi, ruang yang luas di dalam kabin juga diinspirasikan dari binaan tradisonal Korea ‘hanok’. Ini termasuklah dengan penampilan tingkap panoramik dan beltline yang rendah yang turut memainkan peranan menampakkan ruang yang lebih luas dan memberikan keselesaan yang lebih jitu buat para penumpang.

    Selain itu, kokpit digital sepenuhnya turut diberikan termasuk menampilkan paparan kluster instrumen TFT LCD 10.25-inci (LCD 4.2-inci untuk Lite) dan skrin sesentuh 8-inci untuk sistem navigasi yang ditempatkan pada konsol tengah. Untuk varian tertinggi Max,ia ditambahkan dengan kamera pandangan sekeliling 360-darjah. Malahan Max turut menerima sistem pendingin hawa automatik sepenuhnya dwi-zon untuk penumpang hadapan dan belakang (pendingin hawa manual bagi Lite dan Plus).

    Ciri lain yang turut diberikan kesemua varian termasuk kunci pintar dengan butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dengan fungsi Auto Hold, skrin sesentuh lapan-inci dengan fungsi MP3, USB, Bluetooth, Apple CarPlay/Android Auto tanpa wayar, Pengesan Suara dan lapan unit USB Port.

    Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Untuk keselesaan buat semua penumpang, ia turut diberikan corong pendingin hawa yang ditempatkan di bahagian siling, merupakan ciri standard untuk kesemua varian. Ciri lain yang turut diberikan ialah pintu gelangsar kuasa untuk varian Plus dan Max, dan tambahan untuk model spesifikasi penuh yang menerima tailgate bukaan kuasa.

    Bagi tempat duduk pula, varian Lite diberikan balutan fabrik, manakala Plus pula menerima material kulit separa-Nappa dan kulit penuh Black Nappa bagi Max. Tempat duduk pemandu bagi varian Max juga diberikan fungsi larasan lapan-hala dengan sokongan lumbar.

    Untuk rekaan luaran, Staria 10-tempat duduk diberikan lampu utama LED sepenuhnya, dengan lampu nyalaan siang (DRL) LED. Untuk lampu belakang termasuk lampu kabus pula, varian Plus dan Max menerima unit LED (unit mentol untuk Lite). Gril hadapannya juga kelihatan lebih besar dengan rekaan berlainan dan dicat sama dengan warna badan tanpa kemasan hitam berkilat seperti Staria tujuh-tempat duduk. Varian Lite diberikan roda aloi 17-inci dengan tayar 215/65/R17, manakala unit 18-inci (dengan tayar profil 235/55 R18) untuk Max.

    Bagi aspek keselamatan, sudah tentu ciri yang diberikan setanding dengan harganya. Staria 10-tempat duduk didatangkan dengan enam beg udara, ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), VSM, EBD, TCS, Bantuan Mula Mendaki, dan Isofix (tiga unit di barisan kedua) bagi semua varian. Namun untuk varian Max, ia diberikan ciri keselamatan yang lebih maju, Hyundai SmartSense, yang merangkumi Bantuan Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasan Belakang (RCCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA) dan Kawalan Kelajuan Pintar dengan fungsi Stop & Go.

    Hyundai Staria 10-tempat duduk dilancarkan di Malaysia –  2.2 CRDi, 3 varian; harga dari RM179,888

    Selain itu, Max juga diberikan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Amaran Kepekaan Pemandu ( (DAW) dan Kepekaan Ketibaan Kenderaan (LVDA). Ciri Pemantauan Pemandangan Sekeliling (SVM) juga ditampilkan pada dua varian tertinggi. Manakala ciri Kepekaan Penumpang Belakang (ROA) dan Amaran Jarak Parkir (PDW) turut diberikan untuk ketiga-tiga varian.

    Berkenaan dengan harganya pula, varian Lite ditawarkan bermula RM179,888, manakala Plus pula RM196,888 dan model spesifikasi tertinggi Max berharga RM209,888. Kesemuanya adalah harga atas jalan tanpa insurans, dan didatangkan dengan waranti standard dua-tahun atau 50,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu). Ketiga-tiga varian juga diberikan pilihan untuk mendapatkan waranti lanjutan dengan kos tambahan sebanyak RM10,000 yang merangkumi lima-tahun atau 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu) dan servis percuma tiga-tahun atau 50,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    Pilihan warna untuk MPV ini merangkumi Abyss Black Pearl dan Creamy White yang ditawarkan untuk semua tiga varian, sementara Lite ditambah dengan pilihan Shimmering Silver dan Max ditambah dengan pilihan warna Graphite Grey dan Moonlight Blue Pearl. HSDM juga memberikan ciri pilihan termasuk pemijak sisi (standard atau elektronik), infotainmen yang dipasang di bumbung belakang dan kemasan dalaman Alcantara.

    GALERI: Hyundai Staria Max 10-tempat duduk

    GALERI: Hyundai Staria Lite 10-tempat duduk

     
     
  • Renault Megane RS bakal ditamatkan pengeluarannya menjelang 2023 untuk beri laluan kepada model EV

    Renault Megane RS bakal ditamatkan pengeluarannya menjelang 2023 untuk beri laluan kepada model EV

    Selamat tinggal, Renault Megane RS. Portal automotif Australia, Drive melaporkan bahawa hot-hatch yang menjadi seteru utama kepada Honda Civic Type R berkenaan bakal dihentikan pengeluarannya tahun hadapan dan akan digantikan dengan model elektrik penuh (EV).

    Menurut Renault Australia, Megane RS akan terus diproduksi dan dijual sehingga 2023 untuk pasaran seperti Australia, tetapi penghasilannya akan ditamatkan sebelum tamat tahun hadapan.

    “[Megane RS] tidak akan ditawarkan lagi selepas berakhir tahun hadapan. Permintaan untuk hot-hatch di Eropah semakin berkurangan [kerana] ia boleh digantikan dengan kereta elektrik, dan logik untuk beralih [ke EV],” kata pengurus besar Renault Australia Glen Sealey.

    Megane RS bakal digantikan dengan Megane E-Tech Electric, iaitu model elektrik penuh yang diasaskan dari platform CMF-EV, asas yang sama dengan SUV elektrik Nissan Ariya. Sealey menyatakan bahawa Megane E-Tech Electric ini akan bersaing terus dengan model-model EV Volkswagen iaitu ID.3 dan ID.4.

    Renault Megane RS bakal ditamatkan pengeluarannya menjelang 2023 untuk beri laluan kepada model EV

    Generasi terkini Renault Megane RS diperkenalkan pada September 2017, diasaskan dari Megane hatchback generasi keempat. Walaupun dijana oleh enjin 1.8 liter turbo berbanding unit 2.0 liter turbo pada generasi sebelumnya, model ini dibekalkan kuasa yang lebih besar iaitu 279 PS dan tork maksima 390 Nm ketika dilancarkan buat pertama kali.

    Selain kotak gear manual enam-kelajuan, Megane RS terbaharu ini turut hadir dengan pilihan kotak gear klac berkembar automatik EDC yang memberikan tukaran gear jauh lebih pantas. Malah model ini juga menerima sistem stereng 4Control untuk roda belakang bagi membolehkan ia meredah selekoh dengan kelajuan lebih tinggi.

    Versi paling hardcore Megane RS untuk generasi ini iaitu Trophy R juga masih memegang gelaran kereta pacuan hadapan paling pantas di litar Nürburgring, dan belum mampu dirampas semula oleh saingan rapatnya iaitu Honda Civic Type R.

    Ia kemudiannya hadir dalam versi facelift, diperkenalkan dalam varian RS 300 dengan enjin yang dipertingkat, mengerah 300 PS bersama tork maksima 420 Nm untuk model dengan kotak gear EDC (hanya 400 Nm bagi model manual enam-kelajuan). Model ini telah diperkenalkan di Malaysia dalam versi Trophy pada Mac 2021, dijual pada harga RM326k ketika itu.

    GALERI: Renault Megane RS 300 Trophy facelift 2021 di Malaysia

    GALERI: Generasi Renault Megane RS di Malaysia

     
     
  • Mazda CX-3 2022 dilancar di M’sia — varian 1.5L dan 2.0L Core baru, kini CBU Thailand, harga dari RM108k

    Mazda CX-3 2022 dilancar di M’sia — varian 1.5L dan 2.0L Core baru, kini CBU Thailand, harga dari RM108k

    Setelah mula terdedah awal September lalu, Bermaz kini melancarkan secara rasmi model Mazda CX-3 2022 untuk pasaran tempatan. Kali ini ia lebih penting kerana melibatkan pertambahan dua varian terbaru, iaitu 1.5G 2WD Core dan 2.0G 2WD Core. Kedua-dua varian ini berada di kedudukan lebih bawah berbanding varian 2.0G 2WD High sedia ada.

    SUV segmen B ini pertama kalu dilancarkan di negara kita pada Disember 2015, dan sejak itu ia hanya dijual dalam satu varian sahaja, termasuklah versi yang kemudiannya diberi peningkatan pada tahun 2017, facelift 2018, serta dua lagi kemaskini yang dilakukan pada tahun 2021 dan Mac lalu, yang kini diperkenalkan secara rasmi.

    Bermula bagi model tahun 2022 ini, satu lagi perkara penting yang perlu dinyatakan adalah CX-3 sekarang diimport sepenuhnya (CBU) dari Thailand, yang dipasang oleh AutoAlliance Thailand (AAT) di kilang Mazda di Rayong, dan bukan lagi merupakan model CBU yang dibawa masuk dari Jepun.

    Mazda CX-3 2022 dilancar di M’sia — varian 1.5L dan 2.0L Core baru, kini CBU Thailand, harga dari RM108k

    Bagi CX-3 1.5G 2WD Core, varian asas ini dijual pada harga RM107,870, tidak termasuk insurans dan dipacu oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter Skyactiv-G yang digunakan sebelum ini untuk Mazda 2, menghasilkan sebanyak 114 hp pada 6,000 rpm dan tork 149 Nm pada 4,000 rpm.

    Varian pertengahan 2.0G 2WD Core (RM118,159) pula mengguna enjin yang sama seperti 2.0G 2WD High (RM131,359), iaitu unit Skyactiv-G 2.0 liter, yang mampu menghasilkan kuasa sebanyak 154 hp pada 6,000 rpm dan tork 206 Nm pada 2,800 rpm. Semua enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik Skyactiv-Drive enam-kelajuan dan menghantar kuasa ke roda hadapan.

    Dua varian Core terbaru ini mempunyai senarai kelengkapan yang hampir sama, dengan satu-satunya perkara yang membuatkan harganya berbeza RM10,289 adalah kapasiti enjin yang ditawarkan itu. Apapun, kedua-duanya masih lebih murah berbanding varian High, dengan senarai kelengkapan yang berbeza.

    Mazda CX-3 2022 dilancar di M’sia — varian 1.5L dan 2.0L Core baru, kini CBU Thailand, harga dari RM108k

    Sebagai contoh, varian Core cuma menggunakan rim 16 inci dengan tayar 215/60, berbanding saiz 18 inci dengan tayar 215/50 bagi varian High. Dua varian terbaru ini juga hanya menggunakan lampu jenis halogen, dan bukannya LED, dan tidak mempunyai fungsi pengaktifan dan pelarasan automatik.

    Begitu juga dengan lampu DRL serta lampu belakang, yang mana bagi varian Core menggunakan mentol biasa, bukannya LED, dan tidak mempunyai lampu kabus LED. Bahagian lain yang kekurangan adalah pengelap cermin automatik, cermin sisi boleh lipat sendiri serta pengesan jarak.

    Dalam kabin, varian Core tidak disertakan dengan ciri head-up display, pedal penukar gear di seterng, pengecas Qi tanpa wayar dan tempat duduk larasan kuasa seperti varian High. Pendingin hawa juga merupakan unit manual dan bukannya automatik satu zon seperti varian High, sementara tempat duduk pula hanya dibalut dengan fabrik.

    Mazda CX-3 2022 dilancar di M’sia — varian 1.5L dan 2.0L Core baru, kini CBU Thailand, harga dari RM108k

    Bagaimanapun, masih ada beberapa kelengkapan yang sama antara varian Core dan High. Ini termasuk cermin sisi larasan kuasa, sistem masuk dan mula tanpa kunci, brek parkir elektronik, roda stereng pelbagai fungsi, kawalan melayar, panel instrumen TFT LCD 4.6 inci, mod Sport, sistem start/stop serta G-Vectoring Control (GVC).

    Sistem infotainmen Mazda Connect dengan skrin sesentuh lapan inci juga masih diberi, bersama dengan sistem bunyi enam pembesar suara serta sistem sokongan untuk sambungan Android Auto dan Apple CarPlay – tetapi perlu menggunakan wayar dan bukannya tanpa wayar seperti varian High. Kamera undur datang secara standard tetapi tiada pemandangan 360 darjah.

    Semasa naik taraf yang diberikan pada tahun 2021, varian High mendapat beberapa sistem bantuan pemandu termasuk Smart City Brake Support hadapan dan belakang (Autonomous Emergency Braking), Lane Departure Warning, Rear Cross Traffic Alert, Blind Spot Monitoring, High Beam Control serta Driver Attention Alert.

    Semua sistem ini tidak disediakan untuk varian Core, namun sistem keselamatan pasif masih sama iaitu dengan adanya ABS, EBD, Dynamic Stability Control, Traction Control, Hill Launch Assist, Brake Auto Hold serta cagak ISOFIX. Jumlah beg udara dikurangkan daripada enam kepada hanya dua untuk varian Core.

    Setiap pembelian model ini datang dengan jaminan lima tahun atau 100,000 km, serta pakej penyelenggaraan percuma. Pilihan tambahan filem penapis cahaya Activ-e pada harga RM1,900 juga disediakan untuk semua varian.

    GALERI: Mazda CX-3 1.5G 2WD Core 2022

    GALERI: Mazda CX-3 2.0G 2WD Core 2022

    GALERI: Mazda CX-3 2.0G 2WD High 2022

     
     
  • Kiosk Layan Diri JPJ – perbaharui cukai jalan, lesen, cetak VOC, bayar saman tanpa perlu ke kaunter

    Kiosk Layan Diri JPJ – perbaharui cukai jalan, lesen, cetak VOC, bayar saman tanpa perlu ke kaunter

    Perkara paling membosankan ketika sampai masa untuk memperbaharui cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motokar/Motosikal (LKM) sudah tentulah anda perlu kaunter-kaunter fizikal di cawangan-cawangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau di pejabat-pejabat Pos bukan? Jika hadir ke fasiliti-fasiliti sebegini, sudah tentu kita terpaksa meluangkan masa yang agak lama, dan ini mendorong ramai daripada kita untuk menggunakan khidmat runner.

    Namun adakah anda sedar dengan kewujudan Kiosk Layan Diri JPJ yang kini mula ditempatkan di kebanyakkan cawangan JPJ seluruh negara? Menerusi kiosk ini, anda bukan sahaja boleh memperbaharui cukai jalan, malah ia juga menawarkan pelbagai servis lain termasuk mencetak semula salinan sijil pemilikan kenderaan (VOC), membayar saman trafik serta memberikan maklumat yang diperlukan berkaitan dengan lesen memandu, insurans kenderaan dan lain-lain.

    Baru-baru ini, penulis sendiri mencuba Kiosk JPJ berkenaan yang terletak JPJ cawangan UTC Selangor, Seksyen 14 Shah Alam untuk memperbaharui cukai jalan. Dua buah kiosk ditempatkan di sini, dan ketika sampai di kiosk tersebut, penulis masih lagi perlu beratur untuk menggunakannya, tetapi ia mengambil masa yang jauh lebih singkat berbanding melakukan urusan yang sama di pejabat pos.

    Namun sebelum anda datang ke kiosk berkenaan, anda perlu pastikan insuran baharu untuk kenderaan anda dibeli terlebih dahulu, barulah urusan pembaharuan cukai jalan boleh dibuat di kiosk ini. Seperti biasa, urusan pembelian insuran boleh dibuat di mana-mana ejen insuran, namun bagi penulis, lebih mudah dan cepat untuk dibuat menerusi pelbagai platform pembelian insuran secara atas talian yang ditawarkan pelbagai syarikat buat masa sekarang.

    Menerusi kiosk ini juga, anda bukan sahaja boleh melakukan urusan pembaharuan cukai jalan dan mencetak semula VOC untuk kenderaan atau lesen memandu anda sendiri, malah boleh membuat urusan-urusan sama sebagai wakil untuk orang lain. Ini kerana sebelum memulakan apa-apa urusan, anda terlebih dahulu perlu memasukkan kad pengenalan (MyKad) pada pembaca kad bersama pengesahan cap jari pada kiosk berkenaan.

    Jadi sekiranya anda hadir untuk memperbaharui cukai jalan, tidak perlulah membawa sebarang dokumen seperti geran kereta mahupun salinan cover note insuran, cukup sekadar membawa MyKad.

    Kiosk Layan Diri JPJ – perbaharui cukai jalan, lesen, cetak VOC, bayar saman tanpa perlu ke kaunter

    Urusan pembaharuan tersebut dibuat dengan cukup mudah dengan mengikut arahan yang diberikan melalui skrin yang disediakan, manakala pembayaran boleh dibuat menggunakan kad debit/kredit yang hanya perlu di tap pada peranti yang disediakan di bawah skrin tersebut, atau menggunakan aplikasi pembayaran elektronik dan e-wallet seperti Touch’N Go, Grab Pay, Boost dan Maybank QRPay.

    Selepas selesai pembayaran, dokumen-dokumen seperti disc LKM, VOC mahupun kad lesen memandu yang sudah diperbaharui akan keluar menerusi mesin pencetak yang terletak bersebelahan skrin berkenaan. Senang dan pantas bukan? Tetapi jika anda tidak bernasib baik beratur di belakang seorang runner yang melakukan pelbagai urusan serentak seperti memperbaharui 10 cukai jalan sekaligus untuk pelanggannya, anda mungkin ‘berjanggut’ lah untuk menunggu giliran di belakangnya.

    April lalu, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan bahawa kementeriannya akan menambah sekitar 100 unit kiosk baharu di semua cawangan JPJ di seluruh negara menjelang akhir tahun ini. Malah beliau turut menyatakan bahawa kiosk layan diri berkenaan turut akan ditempatkan di beberapa lokasi strategik seperti di pejabat kerajaan di beberapa kementerian, di stesen LRT dan MRT di sekitar Lembah Klang.

     
     
  • Italjet Dragster 125 dan 200 dipertonton untuk pasaran Malaysia – harga anggaran RM30k dan RM35k

    Italjet Dragster 125 dan 200 dipertonton untuk pasaran Malaysia – harga anggaran RM30k dan RM35k

    Sebelum dilancarkan secara rasmi Sabtu ini, Chear Global telah membuat pra tonton awal Italjet Dragster untuk pasaran Malaysia. Model ini akan ditawarkan dalam dua versi, iaitu Dragster 125 dan Dragster 200, dengan harga yang dijangkakan berada sekitar masing-masing RM29,800 dan RM34,800.

    Perbezaan antara dua model ini hanya pada kapasiti enjin satu silinder penyejukan udara dengan sistem suntikan bahan apinya, iaitu Dragster 125 menggunakan kapasiti 124 cc manakala Dragster 200 berkapasiti 181 cc. Kuasanya masing-masing adalah 9.2 hp/10.5 Nm dan 17.2 hp/15.5 Nm.

    Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik dengan sistem tali sawat, untuk menghantar kuasa kepada roda belakang yang menggunakan rim 13 inci, sementara rim hadapan menggunakan saiz 12 inci. Tayarnya masing-masing adalah bersaiz 140/70 dan 120/70.

    Untuk suspensi, Dragster 125 dan 200 ini menggunakan tetapan unik, di mana bahagian hadapannya dipasang dengan sistem lengan sebelah (seperti front yoke) yang dipadankan bersama penyerap yang boleh dilaras untuk mampatan dan pra beban sementara bahagian belakang menggunakan monoshock dengan pelarasan pra beban.

    Panel badan skuter ini adalah ringkas, dengan banyak bahagian yang terdedah, sementara semua lampunya menggunakan unit LED. Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api sembilan liter, ABS dual-channel, angkup brek Brembo depan dan belakang, serta tinggi tempat duduk 770 mm. Berat keseluruhan Dragster adalah 140 kg.

    GALERI: Italjet Dragster 125

    GALERI: Italjet Dragster 200

     
     
  • Beberapa jalan di KL dinaiki air – orang ramai dinasihati elak laluan berkenaan agar tidak terkandas

    Beberapa jalan di KL dinaiki air – orang ramai dinasihati elak laluan berkenaan agar tidak terkandas

    Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur telah memaklumkan beberapa lokasi di sekitar ibu kota telah dinaiki air ekoran dilanda hujan lebat sejak sejam yang lalu.

    Antara laluan yang terbabit ialah Jalan Kuching iaitu dari Taman Wahyu menghala ke Bulatan Batu Caves di mana dua lorong kanan digenangi air banjir. Selain itu lorong kanan di ‘Terowong Hantu’ di Jalan Tuanku Abdul Halim juga terdapat air bertakung.

    Turut dimaklumkan, di Jalan Kuching dan Jalan Tuanku Abdul Halim iaitu hala ke persimpangan Semantan dari Taman Duta juga berlaku kesesakan lalu lintas ekoran air bertakung dan banjir kilat sejak jam 4 petang tadi.

    Justeru, pihak JSPT KL menasihati pengguna jalan raya agar mengelakkan laluan berkenaan bagi mengurangkan risiko terkandas dalam kesesakan lalu lintas. Apa pun, teruslah berhati-hati di jalan raya dan tingkatkan fokus dalam pemanduan.

     
     
  • Honda Forza 350 serba baru dilancar di Thailand – semua panel badan diubah, enjin 329 cc 28.8 hp

    Honda Forza 350 serba baru dilancar di Thailand – semua panel badan diubah, enjin 329 cc 28.8 hp

    Baru sahaja diberikan peningkatan yang besar dua tahun lalu dengan termasuk perubahan enjin, Honda Forza 350 sekali lagi diperbaharui, dengan model yang dipanggil sebagai serba baharu dilancarkan untuk pasaran Thailand dalam dua versi iaitu Standard dan Roadsync, pada harga masing-masing 181,000 baht (RM22,399) dan 179,000 baht (RM22,152).

    Perubahan paling utama sebenarnya adalah pada penggayaan, namun ia memerlukan pemerhatian yang teliti untuk melihat perbezaannya. Hampir keseluruhan panel badan adalah berbeza berbanding sebelum ini, dan lampu LED hadapan dan belakang turut diubah dengan rekaan yang lebih garang.

    Panel meter Forza 350 baru ini turut diubah, tetapi masih menggunakan gabungan analog dan LCD digital, bukannya TFT seperti kebanyakan motosikal moden sekarang. Selain daripada itu, senarai kelengkapan serta ciri teknikal skuter ini masih sama seperti model yang diperkenalkan pada tahun 2020 (mungkin Thailand tidak menerima model ini dan sebab itulah ia dipanggil sebagai serba baharu).

    Forza 350 diperkenalkan sebagai pengganti untuk Forza 300 dan enjin satu silinder empat injap model ini telah ditingkatkan untuk menjadi 329 cc sekaligus kuasanya meningkat 16%, dengan jumlah keseluruhan 28.8 hp pada 7,500 rpm dan 31.5 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Jika dibandingkan dengan Forza 300, selain kapasiti, beberapa bahagian lain dalam enjin turut dinaik taraf termasuk crankshaft 10% lebih ringan, throttle body lebih besar (36 mm), injap lebih besar (28 mm), piston oil jet, lubang intake dan ekzos yang diubah, ekzos direka semula serta pelaras rantai cam hidraulik. Transmisi adalah unit CVT yang menggunakan tali sawat untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Menjadikan skuter ini terus menarik adalah di hadapan terdapat penghadang angin yang boleh dilaras secara elektrik. Di bawah tempat duduk terdapat ruang simpanan yang boleh memuatkan dua helmet fullface dan juga soket pengecas USB. Tangki bahan api berkapasiti 11.7 liter.

    Honda Forza 350 serba baru dilancar di Thailand – semua panel badan diubah, enjin 329 cc 28.8 hp

    Panel instrumen pada Forza 350 ini, walaupun bukan yang paling maju dalam pasaran, masih mempunyai sistem yang canggih di mana ia boleh disambungkan dengan Honda Smartphone Voice Control, tetapi hanya diberikan pada model Roadsync sahaja. Skuter ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC) yang boleh ditutup sekiranya mahu dan ABS two channel.

    Kelengkapan lain pada Forza 350 adalah fork teleskopik, dua penyerap hentak di belakang, rim 15 inci di hadapan dan 14 inci di belakang, brek cakera tunggal 256 mm di hadapan dan 240 mm di belakang, berat 187 kg, tinggi tempat duduk 780 mm, sistem tanpa kunci dan semua lampu LED.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.91 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.11 (0.00)
Last Updated Jul 31, 2025