Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bajaj Pulsar N160 diperkenal di India – kelengkapan dinaik taraf, ABS two-channel, badan serba baru

    Bajaj Pulsar N160 diperkenal di India – kelengkapan dinaik taraf, ABS two-channel, badan serba baru

    Di bawah Pulsar RS200 dan NS200, Bajaj mempunyai beberapa lagi model naked yang berkapasiti lebih rendah dan ini termasuk NS160. Kini, versi baru bagi model tersebut diperkenalkan, dengan nama juga diubah menjadi N160, dan melihatkan pelbagai peningkatan untuk menjadikannya lebih kompetitif untuk berhadapan dengan pesaing.

    Masih lagi mengekalkan bentuk naked agresif, Pulsar N160 kini mendapat panel badan serba baru termasuk tangki dan lampunya menggunakannya unit LED projector di hadapan dan LED di belakang. Jika dibandingkan bersebelahan dengan model lama, kerangkanya juga kelihatan berbeza.

    Enjin bagaimanapun masih sama, iaitu unit satu silinder SOHC 164.82 cc dengan sistem suntikan bahan api serta Twin Spark, tetapi kuasanya menjadi sedikit lebih rendah berbanding sebelum ini dengan jumlah 16 PS pada 8,750 rpm dan 14.65 Nm tork pada 6,750 rpm, berkemungkinan kerana pelarasan untuk pematuhan emisi.

    Naik taraf yang lebih penting pada model ini dapat dilihat pada kelengkapan, termasuk brek, di mana cakera hadapan dijadikan lebih besar, iaitu 300 mm (sebelum ini 260 mm dan belakang menggunakan cakera 280 mm), dan disediakan dengan pilihan sistem ABS sama ada single-channel ataupun dual-channel.

    Suspensi masih lagi menggunakan fork teleskopik serta monoshock dengan tabung nitrox di belakang, tetapi diberitahu telah dipertingkat dan dikatakan sebagai yang terbaik di dalam kelasnya. Saiz tayar pada rim 17 inci motosikal ini turut diubah menjadi 100/80 di hadapan dan 130/70 di belakang.

    Panel meter adalah baru, dengan menggunakan gabungan analog untuk tahap rpm, dan digital untuk informasi lain termasuk laju, tahap minyak, masa dan kedudukan gear. Di bahagian atas tangki 14 liter N160 ini terdapat soket USB untuk memudahkan pengguna mengecas peranti.

     
     
  • Toyota Veloz 2022 – tempahan di Malaysia sudah dibuka, RM95k, ada Apple CarPlay tanpa wayar

    Toyota Veloz 2022 – tempahan di Malaysia sudah dibuka, RM95k, ada Apple CarPlay tanpa wayar

    Selepas Perodua mengumumkan Perodua Alza 2022 sudah boleh ditempah semalam, hari ini giliran UMW Toyota Motors pula membuat pengumuman bahawa kembar kepada MPV tujuh-tempat duduk tersebut tetapi dalam versi lebih premium iaitu Toyota Veloz 2022 kini secara rasmi juga sudah boleh ditempah!

    Toyota Veloz 2022 ini bakal menggantikan tempat yang ditinggalkan oleh Toyota Avanza generasi sebelum ini dan akan dijual pada pasaran Malaysia hanya dalam satu varian iaitu 1.5 A/T, yang hadir terus dalam versi pemasangan tempatan (CKD), dengan harga anggaran atas jalan tanpa insuran RM95,000.

    Harga tersebut juga adalah termasuk cukai jualan (SST) yang diberikan oleh kerajaan. Namun seperti yang diumumkan oleh kementerian kewangan sebelum ini, insentif pengecualian SST akan diberikan oleh pembeli yang menempah kereta mereka sehingga 30 Jun 2022 dan menerima serta mendaftarkan kereta tersebut sebelum 1 April 2023.

    Jadi berbanding Alza 2022 yang dijual antara RM62,000 hingga RM75,000, Toyota Veloz 2022 adalah RM20,000 lebih mahal berbanding MPV dengan lencana Perodua tersebut, walaupun kedua-duanya diasaskan dari platform dan kerangka yang sama.

    Toyota Veloz 2022 – tempahan di Malaysia sudah dibuka, RM95k, ada Apple CarPlay tanpa wayar

    Antara perincian yang telah disahkan untuk Veloz 2022 pasaran Malaysia ini termasuk lampu hadapan LED bersama lampu nyalaan siang LED dan lampu isyarat membelok jenis sequential, rim aloi 17-inci dengan tayar 205/50R17, rel bumbung, sistem pendingin hawa automatik dan pengecas telefon pintar tanpa wayar Qi, brek parkir elektrik (EPB) bersama fungsi brake auto hold.

    Untuk keselamatan, Toyota Veloz 2022 ini datang dengan pakej sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense (TSS), tetapi UMWT masih belum memperincikan fungsi-fungsi dalam pakej TSS untuk Veloz pasaran Malaysia ini. Namun ia mungkin seiras dengan sistem Perodua Smart Drive Assist (PSDA) pada Alza varian tertinggi, menampilkan fungsi seperti Adaptive Cruise Control (ACC), Kawalan Kekal Lorong (LKC), Pemantau Titik Buta (BSM) dan Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA).

    Sama seperti Perodua Alza D27A 2022 dan juga Daihatsu Xenia serta Toyota Avanza 2022, Veloz generasi baharu ini diasaskan dari platform Daihatsu Global Architecture (DNGA) pacuan roda hadapan yang jauh lebih modem berbanding casis ladder frame pacuan roda belakang Avanza generasi sebelumnya.

    Ia dijana oleh enjin petrol 2NR-VE 1.5 liter empat silinder NA bersama padanan kotak gear D-CVT automatik. UMWT masih belum menyatakan angka kuasa untuk enjin berkenaan, namun untuk model pasaran Indonesia enjin tersebut menghasilkan 106 PS pada 6,000 rpm dan 137 Nm pada 4,200 rpm. Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, UMWT juga mengesahkan bahawa kotak gear CVT pada Veloz 2022 pasaran Malaysia ini turut menampilkan nisbah maya tujuh-kelajuan.

    Toyota Veloz 2022 – tempahan di Malaysia sudah dibuka, RM95k, ada Apple CarPlay tanpa wayar

    Toyota Veloz 2022 pasaran Indonesia

    Pengumuman hari ini turut disertakan dengan imej teaser untuk Veloz 2022 pasaran Malaysia. Imej berkenaan menunjukkan bahagian muka Veloz tersebut yang kelihatan seiras dengan model pasaran Indonesia. Ia datang dengan gril hadapan hexagonal dengan mesh bentuk Y.

    Rekaan lampu hadapan Veloz ini juga berbeza dari Avanza dan Alza, menampilkan lampu nyalaan siang LED bina-dalam. Kluster lampu utama tersebut turut menampilkan jalur krom pada bahagian ‘kening’ yang bersambung dengan kerangka gril serta tiang-A. Veloz turut diberikan rupa seakan SUV dengan menampilkan skid plate pada bawah bampar dan dilengkapi dengan rel bumbung.

    Dijangka bahagian lain pada Veloz pasaran Malaysia ini akan seiras dengan model pasaran Indonesia, termasuk lampu belakang yang direka merentangi sepenuhnya pintu tailgate dengan logo Toyota di tengah, serta turut diberikan skid plate pada bahagian bawah bampar belakang.

    Saiz badannya juga seharusnya sama dengan model pasaran Indonesia yang menampilkan dimensi 4,395 mm panjang dan 1,730 mm lebar, bersama jarak antara roda sejauh 2,750 mm (+95 mm). Berbanding Avanza sebelum ini, Veloz adalah 205 mm lebih panjang, 70 mm lebih lebar, dengan jarak roda 95 mm lebih jauh.

    Toyota Veloz 2022 pasaran Indonesia

    Lima warna badan ditawarkan untuk Veloz 2022 pasaran Malaysia ini termasuk dua warna dua-tona menampilkan bumbung hitam iaitu Silver Metallic dan Blue Metallic. Warna dua-tona ini adalah ditawarkan secara eksklusif untuk pasaran Malaysia, namun ia memerlukan bayaran tambahan berjumlah RM1,300. Tiga warna selebihnya iaitu White Metallic, Bluish Black dan Red Metallic datang diberikan bumbung yang dicat dengan warna badan.

    Pada bahagian dalaman, Veloz dilihat lebih premium dari Avanza 2022 dengan menampilkan perapi-perapi tambahan berwarna perak pada bahagian seperti roda stereng, liang penghembus hawa dingin tengah dan juga “rel” pada konsol tengah, serta diberikan lampu suasana bina dalam yang turut boleh dilihat pada panel pintu.

    Veloz juga hadir dengan papan pemuka yang sedikit berbeza dari Avanza, dengan tambahan jahitan palsu padanya. Model pasaran Malaysia ini juga dilengkapi dengan skrin infotainmen sembilan-inci ‘berdiri sendiri’ yang turut disertakan hubungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

     
     
  • JPJ eBid: Plat nombor VJF, JVL dibuka bidaan

    Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah pun mengumumkan siri plat nombor VJF dan JVL bersiap sedia untuk dibidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    VJF merupakan siri nombor terkini dari Kuala Lumpur, sudah boleh dibida mulai hari ini, 24 Jun. Tempoh bidaan menerusi JPJ eBid berlangsung selama lima hari, dan bakal berakhir pada jam 10 malam pada 28 Jun 2022. Keputusannya pula akan diumumkan pada keesokan harinya, 29 Jun.

    Manakala plat nombor terkini dari Johor, JVL pula bakal dibuka bidaannya mulai 26 Jun ini dan bidaan akan ditutup pada 10 malam pada 30 Jun. Keputusannya akan diumumkan sehari selepas bidaannya ditutup.

    Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Kini lebih mudah mendapatkan siri plat nombor yang diingini tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Jalan Temiang-Pantai kini sektor rondaan khusus, elak orang ramai berkumpul di lorong kecemasan – polis

    Jalan Temiang-Pantai kini sektor rondaan khusus, elak orang ramai berkumpul di lorong kecemasan – polis

    Dengan pelbagai insiden yang berlaku di Jalan Temiang-Pantai, Negeri Sembilan kerana orang ramai yang suka berhenti di lorong kecemasan untuk mengambil gambar, polis menyatakan bahawa jalan berkenaan kini menjadi sektor rondaan khusus, lapor Sinar Harian.

    Ketika sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Kontinjen Negeri Sembilan di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Polis Negeri Sembilan semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ruslan Khalid menyatakan bahawa pelaksanaan rondaan khas itu bagi memastikan orang awam tidak berhenti di bahu jalan dan lorong kecemasan selain memastikan keselamatan pengguna jalan raya.

    “Laluan yang mendapat jolokan New Zealand itu menarik perhatian orang ramai untuk berhenti dan bergambar serta beriadah. Sebagai langkah keselamatan di laluan itu, polis menjadikan jalan berkenaan sebagai satu sektor rondaan khusus terutama pada waktu siang. Polis akan membuat rondaan sekurang-kurangnya dua shif sehari,” katanya.

    Ruslan turut memberitahu bahawa bagi tempoh 8 Jun hingga 20 Jun, sebanyak 43 rondaan Op Nasihat berkala dilaksanakan dan seramai 210 individu diberikan nasihat keselamatan di laluan itu. Manakala dalam tempoh Januari 2022 hinggga 21 Jun lalu, sebanyak 115 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan khususnya membabitkan berhenti di bahu jalan.

    “Rondaan dilakukan membabitkan 173 anggota trafik dari Ibu Pejabat Daerah (IPD) Nilai dan Seremban memandangkan laluan itu di bawah kawasan pentadbiran kedua-dua IPD selain turut dibantu anggota dari IPK sendiri.

    “Sehingga kini berlaku dua kemalangan maut di laluan persekutuan itu membabitkan penunggang motosikal dan basikal,” katanya.

     
     
  • Perodua Alza 2022 — pecahan spesifikasi X, H dan AV

    Perodua Alza 2022 — pecahan spesifikasi X, H dan AV

    Perodua secara rasminya telah mengumumkan pengambilan tempahan bagi Alza 2022 pagi ini. Setelah spekulasinya bertiup sejak berbulan yang lalu, kita kini ada perincian rasmi untuk MPV serba baru berkenaan, “adik” dengan tujuh-tempat duduk kepada Toyota Avanza/Veloz dan Daihatsu Xenia.

    Syarikat itu menyifatkan yang Alza baru ini nanti akan “menampilkan pembaharuan yang penting bagi aspek keselesaan pemanduan dan kepelbagaian penggunaan” berbanding versinya dengan jenama yang lain tersebut. Ia juga lebih besar saiznya.

    Alza D27A menggunakan enjin 1.5 liter Dual VVT-i NA empat-silinder yang digandingkan bersama kotak gear D-CVT automatik. Kombinasi ini dijangka sama seperti apa yang digunakan untuk Myvi ketika ini.

    Alza diklasifikasikan sebagai kenderaan cekap tenaga (EEV) dan didakwa mencapai bacaan penggunaan minyak 22.0 km/l dalam MDC. Ini mungkin bermaksud Malaysia Driving Cycle, sebuah protokol tempatan yang baru berdasarkan keadaan setempat di sini. Eco Idle pula adalah ciri standard.

    Tiga varian akan ditawarkan untuk Alza terbaru ini — X, H dan AV. Harga jualannya setakat ini ialah RM62,000 bagi X, RM68,000 bagi H dan RM75,000 bagi AV, atas jalan dengan insuran. Harga sebenar akan diumumkan nanti ketika pelancaran rasminya, yang dijangka akan dilakukan bulan depan. Seperti dijangka, harganya lebih tinggi daripada Alza yang lama, yang dijual pada harga antara RM52,661 hingga RM60,525; jika tidak mengambil kira versi manual yang dijual di bawah RM50k.

    Antara kelengkapan yang ada adalah brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold, penggunaan minyak 22 km/l, gril depan krom/hitam berkilat, kabin tujuh-tempat duduk luas dan tinjauan pandangan panoramik 360-darjah. Yang terakhir ini dan juga EPB adalah yang pertama ditawarkan oleh Perodua. Tidak semua varian akan datang dengan kelengkapan tersebut; sila rujuk pecahan spesifikasi yang kami sediakan ini berdasarkan maklumat rasmi yang ada setakat ini.

    Perodua Alza 2022 — pecahan spesifikasi X, H dan AV

    Perodua Alza 1.5X 2022 – anggaran RM62,000
    Ciri standard:

    Mekanikal

    • Enjin 1.5 litre Dual VVT-i dengan Eco Idle
    • Transmisi automatik D-CVT

    Luaran

    • Lampu utama LED dengan fungsi “follow-me home”, “leaving home”
    • Cermin sisi larasan kuasa dengan lipatan manual
    • Lampu isyarat cermin sisi LED

    Dalaman

    • Kerusi fabrik
    • Nisbah lipatan kerusi baris tengah 60:40, mekanisme sekali sentuh
    • Nisbah lipatan kerusi baris belakang 50:50
    • Kawalan pendingin digital di depan
    • Kawalan pendingin manual di belakang, dengan corong
    • Paparan multi-info LCD
    • Head unit standard tanpa skrin sentuh

    Keselamatan

    • Enam beg udara
    • ABS, EBD, Brake Assist, Hill-start Assist, VSC
    • Sensor parkir belakang
    • Advanced Safety Assist (ASA)
    • Amaran Pra-Perlanggaran
    • Brek Pra-Perlanggaran (AEB, untuk kenderaan dan pejalan kaki)
    • Kawalan Salah Operasi Pedal
    • Amaran Pergerakan Depan
    • Amaran Penukaran Lorong
    • Penghindaran Penukaran Lorong
    • Lampu Tinggi Automatik

    Perodua Alza 1.5H 2022 — anggaran RM68,000
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Mod pemanduan (Eco, Normal, Sport)

    Luaran

    • Cermin sisi lipatan automatik
    • Lampu depan automatik

    Dalaman

    • Perehat lengan
    • Paparan multi-info 7.0-inci TFT
    • Head unit dengan skrin sentuh 9.0-inci

    Keselamatan

    • Kamera undur
    • Sensor parkir depan
    • Lampu depan Adaptive Driving Beam dengan lampu isyarat sequential

    Perodua Alza 1.5AV 2022 — anggaran RM75,000
    Tambahan:

    Mekanikal

    • Brek parkir elektronik (EPB) dengan Auto Brake Hold

    Keselamatan

    • Kawalan Melayar Adaptif
    • Kawalan Mengekalkan Lorong
    • Peninjau Titik Buta
    • Penggera Lintasan Trafik Belakang
    • Peninjau pandangan panoramik 360-darjah

    Pembeli boleh memilih daripada lima warna, tiga daripadanya warna baru untuk Alza. Ini melibatkan Vintage Brown, Garnet Red dan Elegant Black; sebagai tambahan Glittering Silver dan Ivory White. Warna coklat dan merah hanya eksklusif untuk varian H dan AV. Jaminan lima-tahun adalah standard.

    Juga, tempahan yang dibuat sebelum 1 Julai akan layak untuk menikmati pengecualian SST, asalkan kenderaan terbabit didaftarkan sebelum 31 Mac 2023 seperti yang diumumkan baru-baru ini. Jika anda berminat dengan Alza baru ini, anda mempunyai satu minggu untuk membuat tempahan.

     
     
  • PLUS umum lorong kiri, kecemasan Tapah-Bidor ditutup 5 hari mulai 27 Jun untuk penyelenggaraan

    PLUS umum lorong kiri, kecemasan Tapah-Bidor ditutup 5 hari mulai 27 Jun untuk penyelenggaraan

    Plus Malaysia Berhad (PLUS) telah mengumumkan penutupan lorong kiri kiri dan kecemasan antara Tapah ke Bidor di Kilometer (KM) 338.20 hingga KM 339.25 arah selatan di Lebuhraya Utara Selatan selama lima hari. Ia akan dilaksanakan bermula 27 Jun hingga 1 Julai 2022 berikutan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

    Menurut PLUS, lorong kanan di 338.20 hingga KM 339.25 (arah Selatan) masih boleh dilalui oleh semua kenderaan, manakala penggunaan laluan kecemasan akan diaktifkan secara berkala bergantung kepada keperluan semasa.

    “PLUS mengutamakan keselamatan dan keselesaan di lebuh raya dan secara berterusan melakukan pelbagai usaha dan inisiatif untuk meningkatkan kedua-dua aspek tersebut.

    “Pengguna yang menghala ke selatan dinasihatkan supaya merancang perjalanan mereka dengan menggunakan aplikasi PLUS untuk mendapatkan maklumat trafik terkini melalui paparan kamera litar tertutup (CCTV) yang disediakan,” ujar PLUS.

    Dalam masa yang sama, PLUS turut menasihati para pengguna lebuhrayanya supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh kakitangan PLUS ketika melalui kawasan terbabit.

     
     
  • BMW R1250 GS Trophy Competition didedah – 126 unit

    BMW R1250 GS Trophy Competition didedah – 126 unit

    Setiap tahun, BMW Motorrad ada menganjurkan satu cabaran khas untuk pemilik model GS, dipanggil sebagai GS Trophy dan tahun ini ia akan diadakan selama tujuh hari di Albania. Untuk menyertai acara ini bukanlah mudah kerana bukan bayaran yang diambil kira, tetapi juga kemahiran kerana jumlah peserta yang terhad hanya akan dipilih selepas mereka melalui pusingan kelayakan di negara masing-masing.

    Jika tahun lepas GS Trophy menggunakan jentera F 850 GS, tahun ini ia kembali menggunakan GS paling besar, iaitu R 1250 GS dengan 126 unit disediakan untuk acara tersebut. Asas motosikal tersebut tidak diubah, tetapi ia ditambah dengan pelbagai aksesori untuk menjadikannya lebih lasak untuk berhadapan dengan cabaran yang disediakan.

    Untuk penampilan, R 1250 GS Trophy Competition menggunakan warna Lightwhite Uni/Gravityblue Metallic Matt – satu warna baru yang juga akan digunakan untuk R 1250 GS keluaran tahun 2023 – dan dihiasi dengan pelekat khas GS Trophy. Seperti biasa, di bahagian muncung motosikal akan tertulis nama peserta yang akan menggunakan motosikal tersebut.

    Selain daripada itu, ia juga akan dipasang dengan pelindung bawah enjin aluminium, pelindung lampu hadapan, pelindung head cover, pelindung skrin TFT, peletak kaki enduro yang lebih tahan dan lebar, pedal brek dan gear boleh laras serta tayar Metzeler Karoo 4 yang menggantikan Karoo 3 pada model biasa. Melengkapkan ubah suai jentera ini adalah penghadang angin sports, tempat duduk Rally serta ekzos Akrapovic.

    BMW R 1250 GS dipacu oleh enjin boxer 1,254 cc dengan syaf pengimbang dan sistem pemasaan ShiftCam, mampu menghasilkan kuasa maksimum 136 PS pada 7,750 rpm dan 143 Nm tork pada 6,250 rpm untuk dihantar ke roda belakang melalui transmisi enam kelajuan dan sistem syaf.

     
     
  • Proton X90 2023 dilihat diuji ‘panjat Genting Highland’ bersama SUV Mazda CX-8 dan MPV Kia Carnival

    Proton X90 2023 dilihat diuji ‘panjat Genting Highland’ bersama SUV Mazda CX-8 dan MPV Kia Carnival

    Sekali lagi, SUV tujuh tempat duduk Proton yang dikhabarkan bakal digelar X90 dilihat sedang diuji. Ia sekali lagi dilihat di kawasan berbukit di Genting Highlang, tetapi apa yang menarik pada set gambar yang dihantar kepada kami oleh pembaca Yusuf Iman dan Shairol Azhar ini ialah Proton X90 tersebut nampaknya diuji bersama Mazda CX-8 dan juga Kia Carnival generasi sebelum ini sebagai penanda aras.

    Walau bagaimanapun, unit yang dilihat ini sebenarnya masih lagi sebuah Geely Haoyue/Okavango dan belum dijelmakan sebagai sebuah Proton sebenar kerana menampilkan kedudukan pemandu sebelah kiri. Jadi boleh diagak ia masih lambat lagi untuk dilancarkan di Malaysia.

    Malah sebelum ini naib CEO Proton Roslan Abdullah sendiri menyatakan bahawa SUV tujuh-tempat duduk tersebut tidak akan dilancarkan pada tahun ini, sebaliknya paling awal pun ia mungkin masuk ke pasaran tempatan pada tahun hadapan.

    Proton X90 2023 dilihat diuji ‘panjat Genting Highland’ bersama SUV Mazda CX-8 dan MPV Kia Carnival

    “Sepatutnya tahun ini, rancangan asal, kalau bukan kerana MCO adalah tahun lepas,” kata Roslan. “Ia sepatutnya dibuat Q3 tahun ini, tetapi ia ditunda lagi dan sekarang kawan kita di China (Geely) juga sedang mengalami lockdown,” katanya.

    Selain dari itu, Proton juga menyatakan bahawa penangguhan pelancaran model baharu ini adalah kerana ia sedang menumpukan untuk menyelesaikan masalah ketersediaan alat ganti di pusat-pusat 3S dan 4S rasminya, serta cuba untuk menyiapkan secepat mungkin tempahan-tempahan pelanggan bagi model sedia ada bagi membolehkan mereka mendapat insentif pengecualian SST. Setakat ini pelanggan yang menempah model Proton X50 memerlukan tempoh menunggu sehingga enam-bulan bergantung kepada warna dan varian bagi mendapatkan kereta mereka.

    Tiada sebarang petunjuk rasmi diberikan oleh Proton berkenaan spesifikasi X90 pasaran Malaysia kelak. Di China, Geely Haoyue ditawarkan dalam versi lima- atau tujuh-tempat duduk. Namun ia hanya ditawarkan satu pilihan unit rangkaian kuasa iaitu enjin 1.8 liter empat-silinder turbo berkuasa 181 hp dan tork maksima 300 Nm, digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan, sama seperti Proton X70 sedia ada.

    Manakala di Filipina, model ini dijual dengan nama Geely Okavango. Berbanding Haoyue di China, Okavango diberikan enjin 1.5 liter turbo tiga-silinder yang digandingkan bersama sistem hibrid ringkas 48-volt. Ia menghasilkan kuasa keseluruhan 190 PS dan tork maksima 300 Nm, dan dipindahkan ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT tujuh-kelajuan.

    Apa yang menarik, unit rangkaian kuasa hibrid ringkas berkenaan telah pun dipamerkan di Galeri Inspirasi, iaitu ruang istimewa di Pusat Kecemerlangan Proton (ibu pejabat jenama berkenaan) di Subang, yang memaparkan pelbagai informasi dari segi warisan sejarah, teknologi sedia ada dan juga hala tuju mereka selepas ini.

    Proton menamakan unit rangkaian kuasa berkenaan sebagai 1.5L TGDi dengan sistem stater generator pacuan tali sawat (Belt-Driven Starter Generator atau BSG). Menurut maklumat yang diberikan Proton, unit 1.5L TGDi dengan BSG tersebut menghasilkan kuasa yang sama seperti enjin 1.5L TGDi yang ada pada Proton X50 Flagship buat masa sekarang. Jadi tidak mustahil, Proton X90 ini mungkin model pertama Proton yang akan dijana oleh unit rangkaian kuasa hibrid.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival musim ke-5 – pusingan kedua berlangsung di Sepang minggu ini, 25-26 Jun

    Toyota Gazoo Racing Festival musim ke-5 – pusingan kedua berlangsung di Sepang minggu ini, 25-26 Jun

    Pusingan kedua untuk Festival perlumbaan Toyota Gazoo Racing Malaysia musim kelima akan berlangsung pada hujung minggu ini, iaitu bermula 25 hingga 26 Jun 2022. Seperti yang diumumkan sebelum ini, Festival TGR kali ini sudah mula dibuka semula untuk pengunjung bukan sahaja untuk menyaksikan perlumbaan one make Vios Challenge secara langsung, malah turut boleh turut serta dengan pelbagai acara dan persembahan yang disediakan.

    Seperti biasa, siri perlumbaan Vios Challenge akan menampilkan empat kategori berbeza iaitu Promotional (untuk selebriti), Rookie (untuk bakat-bakat muda), Sporting (amatur) dan juga Super Sporting (profesional).

    Bagi kategori Super Sporting, perlumbaan ini akan tertumpu terhadap antara pelumba-pelumba baharu dan lama terbaik tempatan buat masa sekarang. Antaranya adalah termasuk duta Toyota Gazoo Racing Malaysia sendiri iaitu Tengku Djan Ley, pelumba veteran seperti Eddie Liew dan Boy Wong, serta pelumba-pelumba touring car yang pernah berlumba di pentas antarabangsa seperti Mitchell Cheah, Mark Darwin dan Fariqe Hairuman.

    Kategori paling tinggi ini juga menyaksikan bakat-bakat muda yang menyerlah ketika pusingan pertama pada Mac lalu, seperti juara kategori Sporting musim ketiga iaitu Hayden Haikal, pelumba open-wheeler Alister Yoong iaitu anak kepada bekas pemandu F1 negara Alex Yoong, serta Freddie Ang dan Ady Rahimy.

    Toyota Gazoo Racing Festival musim ke-5 – pusingan kedua berlangsung di Sepang minggu ini, 25-26 Jun

    Manakala untuk kategori Sporting, ia juga menyaksikan pertembungan sengit antara pelumba-pelumba muda tempatan, termasuk juara kategori Rookie musim lalu iaitu Naquib Azlan, serta nama-nama lain seperti Bradley Benedict Anthony, Abdul Miqail dan Mirza Syahmi Mahzan.

    Dalam kategori Rookie pula, ‘kelas’ tahun ini dibintangi oleh pelumba simulator Muhammad Hamdany Abdul Hamid dan Nabil Azlan, pelumba kart Sharique Zulqarnain dan Muizz Musyaffa, serta pelumba wanita pertama dalam kategori ini iaitu Adele Liew.

    Dan untuk kategori Promotional, perlumbaan ini tertumpu kepada saingan antara tiga pelakon lelaki iaitu Shukri Yahaya , Zizan Razak dan Nabil Ahmad. Persaingan antara mereka turut akan ‘dikacau’ oleh selebriti-selebriti lain termasuk pelakon wanita Janna Nick, penyanyi Wany Hasrita, Nabila Razali dan Khai Bahar, pelakon dan pengacara Ain Edruce serta personaliti Ahirine Ahirudin.

    “Kami tak sabar untuk mengalu-alukan semula semua peminat dan penonton ke Festival. Sudah dua tahun (kami berlumba tanpa peminat kerana pandemik). Ini sudah tentu akan membuatkan hujung minggu ini penuh dengan keterujaan,” kata Shukri Yahaya.

    Festival ini juga akan dimeriahkan dengan persembahan istimewa oleh kugiran rock tempatan, Bunkface pada hari Sabtu, serta buat pertama kali persembahan khas dari artis antarabangsa, Judika dari Indonesia pada hari Ahad.

    Bagi mereka yang tidak pernah menjejakkan kaki di atas permukaan tar Litar Antarabangsa Sepang, ini peluang anda untuk merasai pengalaman berkenaan – acara All-Wheel Fest turut akan dibuat pada pusingan kali ini di mana anda boleh mengelilingi laluan litar sepanjang 2.7 km tersebut menggunakan apa sahaja kenderaan tanpa motor seperti basikal, papan luncur, skuter tolak dan sebagainya.

    Selain itu, pelbagai lagi aktiviti lain turut akan dijalankan sepanjang hujung minggu berkenaan, dan pelbagai reruai promosi serta barangan dan permainan-permainan karnival akan diadakan di tapak festival tersebut.

    Tiada sebarang bayaran parkir dan bayaran masuk akan dikenakan, namun bagi mereka yang berminat untuk datang, anda perlu terlebih dahulu mendaftar di laman sesawang rasmi Toyota Gazoo Racing Malaysia pada PAUTAN INI bagi membolehkan anda masuk ke festival tersebut.

    Bagi yang tidak berkesempatan untuk hadir ke Festival ini, anda masih boleh menonton kesemua perlumbaan Vios Challenge yang disiarkan secara langsung menerusi laman sesawang rasmi Toyota Malaysia pada PAUTAN INI.

     
     
  • UPNM lancar siri plat nombor khas “UT” – bidaan dibuka mulai 20 Julai, pendaftaran pada 15 Ogos 2022

    UPNM lancar siri plat nombor khas “UT” – bidaan dibuka mulai 20 Julai, pendaftaran pada 15 Ogos 2022

    Hari ini, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) telah pun melancarkan penjualan siri nombor pendaftaran khas kenderaan “UT” yang membawa maksud ‘Universiti Tentera’ di mana ia simbolik kepada UPNM sebagai Universiti Pertahanan premier di dalam negara ini.

    Menurut UPNM, dengan adanya siri nombor pendaftaran ini, pasti dapat mengimbau kenangan alumni dengan menunjukkan rasa bangga dan kecintaan kepada UPNM. Inisiatif menwujudkan nombor pendaftaran khas UPNM ini merupakan susulan hasrat kerajaan menerusi Pelan Strategi Pendidikan Tinggi Negara yang menyasarkan semua universiti awam untuk menjana pendapatan sendiri. Ia juga bertujuan untuk menyumbangkan dana tambahan dalam pembangunan, penyelidikan dan kebajikan pelajar UPNM.

    Dilancarkan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UPNM Holdings Sdn. Bhd, Jen Tan Sri Dato’ Sri Rodzali Daud TUDM (Bersara) dan dalam majlis yang sama, turut disempurnakan sesi menandatangani Perjanjian Kesefahaman (MoU) di antara UPNM Holdings Sdn. Bhd. dan Aquatwo Sdn. Bhd. bagi kerjasama pemasaran dan penjualan plat khas UT.

    Menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebook rasmi universiti terbabit, bidaan nombor pendaftaran ini akan bermula pada 20 Julai dan pendaftaran di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wangsa Maju pula pada 15 Ogos 2022. Walau bagaimana pun, tidak pula dinyatakan tempoh bidaan dan harga pemula untuk dibida, namun kalau ada yang berminat, bolehlah layari www.utplat.com.my untuk maklumat selanjutnya.

     
     
  • Toyota bZ4X di Thai – harga didedahkan; dari RM213k dengan subsidi; bateri 71.4 kWh, jarak 516 km, AWD

    Toyota bZ4X di Thai – harga didedahkan; dari RM213k dengan subsidi; bateri 71.4 kWh, jarak 516 km, AWD

    Pada Januari lalu, Toyota Motor Thailand (TMT) mengesahkan perancangan untuk melancarkan Toyota bZ4X, crossover semua-elektrik jenama tersebut yang pertama kali dipertontonkan di peringkat global pada tahun lalu. Beberapa bulan kemudian, syarikat terbabit telah mempertontonkan unit pemanduan sebelah-kanan dalam satu acara, walau bagaimana pun harganya tidak diumumkan.

    Bagaimanapun, difahamkan bahawa TMT telah pun menandatangani memorandum persefahaman dengan jabatan eksais Thailand pada akhir April lalu, dengan harga permintaan akhir dijangka berada di bawah dua juta baht (RM248,793) berikutan 0% duti import dan eksais yang lebih rendah. Jabatan eksais yang sama mungkin secara tidak sengaja membocorkan harga rasmi bZ4X di laman media sosialnya, seperti yang dilaporkan oleh Brand Inside.

    Baru-baru ini, agensi kerajaan itu turut menyiarkan gambar mesyuarat yang memfokuskan kepada langkah menyokong penggunaan kenderaan elektrik di negara tersebut. Dalam salah satu slaid pembentangan menunjukkan harga runcit yang dicadangkan bagi bZ4X, yang mungkin ditetapkan pada 1,865,888 baht (RM232,030) tanpa cukai nilai tambahan (VAT), jauh di bawah anggaran sebelumnya. Angka tersebut adalah tanpa subsidi, dan jumlahnya menurun kepada 1,715,888 baht (RM213,377).

    Toyota bZ4X di Thai – harga didedahkan; dari RM213k dengan subsidi; bateri 71.4 kWh, jarak 516 km, AWD

    Perincian lain yang turut dipaparkan menerusi slaid pembentangan tersebut termasuklah kapasiti bateri cecah 71.4 kWh yang membolehkan ia mencapai jarak 500 km dalam satu pengecasan penuh mengikut standard WLTP. Selain itu, kod casis “YEAM15” turut ditunjukkan dengan penjana kuasa pacuan semua-roda elektrik ini digandingkan dengan dua motor elektrik dan sistem keseluruhan output mencecah 218 PS (215 hp atau 160 kW) dan tork 338 Nm.

    bZ4X juga ditawarkan dengan motor tunggal konfigurasi pacuan roda-hadapan (XEAM10) dengan 204 PS (201 hp atau 150 kW) dan tork 266 Nm seperti untuk beberapa pasaran lain termasuk Jepun.

    Untuk Malaysia pula, bZ4X dikatakan bakal tiba pada tahun hadapan sebagai mengambil manfaat pengecualian cukai jalan, cukai import dan duti eksais untuk EV import sepenuhnya (CBU).

     
     
  • Hong Leong Yamaha siar teaser model baru – R15M?

    Hong Leong Yamaha siar teaser model baru – R15M?

    Agak hambar tahun ini dengan pelancaran model baru cuma 135LC Fi sahaja, Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) kini menyiarkan satu video teaser untuk model yang kami jangkakan bukanlah setakat pembaharuan grafik atau warna.

    Kenyataan yang ditulis bersama video itu adalah “Nantikan Motosikal M-Series Terbaru!” dan melaluinya, kita cuma boleh melihat sedutan keadaan di atas jalan raya biasa serta dalam Litar Sepang, sekaligus memberi petunjuk motosikal ini mempunyai ciri sporty tetapi masih boleh dibawa atas jalan biasa.

    Untuk mendapat idea apakah model ini sebenarnya, pertama sekali kita boleh mengenepikan YZF-R1M kerana daripada sejarah sebelum ini, HLYM memang tidak membawa masuk model sebegitu untuk pasaran awam. Kemudiannya jika R1M, videonya pasti lebih mengujakan.

    Tekaan kami ia adalah adik kecilnya, iaitu YZF-R15M. Model ini didedahkan buat pertama kali di India September tahun lepas, dan ia adalah satu versi paling tinggi bagi R15 versi diperbaharui yang dipanggil sebagai V4. Tiga bulan selepas itu (Disember 2021), pasaran Indonesia pula menerima R15 V4 ini bersama versi R15M.

    Petunjuk kedatangan model ini ke Malaysia juga sudah ada kerana ia pernah dilihat membuat ujian di atas jalan raya – sesuatu yang memang sudah biasa dibuat oleh HLYM. Selain daripada itu, model ini juga terbukti mempunyai peminat di negara kita.

    Selain panel badan serba baru (termasuk tangki), naik taraf utama bagi R15 V4 adalah pada bahagian elektronik, di mana ia sekarang diberikan terus dengan sistem kawalan cengkaman (boleh ditutup) berserta quickshifter sebagai pilihan tambahan. Ciri ini melengkapi sistem ABS two-channel yang sudah sedia ada pada R15.

    Kemudiannya pada bahagian panel paparan, unit digital penuh LCD yang digunakan sekarang boleh memaparkan lebih banyak informasi dan boleh disambungkan kepada aplikasi Y-Connect di telefon bimbit untuk memberikan fungsi seperti notifikasi dan tahap bateri. Paparan unit ini juga disediakan dalam dua mod iaitu Street untuk keadaan biasa, dan Track yang boleh memaparkan catatan masa pusingan di litar.

    Enjin pula masih lagi sama seperti sebelum ini, iaitu unit satu silinder suntikan bahan api SOHC, VVA 155 cc bersama padanan transmisi enam kelajuan dengan klac jenis slip & assist, tetapi kuasanya ada sedikit perbezaan, menjadi 18.4 PS pada 10,000 rpm dan 14.2 Nm tork pada 7,500 rpm (pengurangan 0.2 PS dan penambahan 0.1 Nm jika dibandingkan dengan model R15 V3 di India.

    Untuk R15M, ia mendapat skema warna sama seperti R1M, dan diberikan beberapa kemasan unik seperti lencana R15M, penutup atas fork dengan logo R15M, tempat duduk khas, angkup brek Bybre warna emas serta lengan ayun, pelindung ekzos berwarna kelabu serta quickshifter yang diberikan terus. Spesifikasi teknikal adalah sama sahaja seperti R15 V4 biasa.

    GALERI: Yamaha YZF-R15 V4 2022

    GALERI: Yamaha YZF-R15M V4 2022

     
     
  • Beli kereta, baru vs terpakai di M’sia — pro dan kontra

    Beli kereta, baru vs terpakai di M’sia — pro dan kontra

    Ini soalan lazim yang kerap bermain dalam fikiran kalau sesiapa sedang mempertimbangkan untuk membeli kereta — nak beli kereta baru atau cari kereta terpakai?

    Tarikan kereta baru dari bilik pameran memang sentiasa memikat, dan akan menjadikan anda pemilik pertama unit berkenaan. Sebaliknya, membeli kereta terpakai pula akan memberi kelebihan dari segi harga dengan perbezaan ketara; untuk itu, di sini kami senaraikan kelebihan dan kekurangan setiap satunya.

    Kereta baru — kelebihan jaminan dan lebih lagi, dengan harga tinggi

    Kelebihan pertama membeli kereta baru adalah anda akan mendapatkan kereta yang keluar dari kilang dan tidak ada sejarah dengan pemilik terdahulu. Anda juga akan menerima jaminan penuh dari pengeluar.

    Sebahagiannya ada menawarkan servis percuma untuk satu tempoh masa, dan disebabkan ia kereta baru, ia akan berada dalam keadaan yang sangat baik dan jarang-jarang ada masalah besar.

    Beli kereta, baru vs terpakai di M’sia — pro dan kontra

    Sekiranya berlaku sebarang masalah, pelindungan jaminan membolehkan anda menghantarnya kepada pengedar tempat ia dibeli dan masalah itu akan diselesaikan secara percuma. Melalui cara ini, ia akan memberikan kelegaan dan keselamatan, terutamanya kepada pembeli kereta pertama atau bagi mereka yang kurang yakin menguruskan perihal penjagaan kereta.

    Membeli kereta baru juga bermakna anda akan mendapat kelengkapan terkini yang ada untuk kereta terbabit, termasuklah kelengkapan keselamatan yang ditawarkan. Begitu juga dengan kelengkapan elektronik lainnya; bagi kereta baru, ia akan datang dengan senarai yang terkini. Tetapi semua ini datang dengan harganya; sebaik sahaja kereta meninggalkan bilik pameran, nilai serta harga jualan semulanya akan susut mendadak.

    Kereta terpakai — Penjimatan harga dalam keadaan baru, stok tersedia

    Kelebihan membeli kereta terpakai adalah ia membolehkan pembeli berjimat dengan harga untuk kenderaan yang relatif baru. Ada pemilik terdahulu yang telah menanggung susut harga berkenaan untuk anda. Harga pembeliannya lebih rendah, dan sekiranya nanti kereta tersebut ingin dijual dan mengambil kira tempoh penggunaannya, mudah untuk anda mendapatkan semula wang yang telah dibelanjakan itu.

    Beli kereta, baru vs terpakai di M’sia — pro dan kontra

    Kepelbagaian pula menjadi kelebihan kereta terpakai yang seterusnya. Melihat kepada kereta terpakai, pilihan untuk kenderaan yang tidak lagi dijual dalam pasaran sentiasa luas, memberikan anda lebih banyak pilihan sebagai tambahan kepada kereta terpakai yang agak baru itu. Tambahan pula, jika anda memang inginkan kereta dari generasi yang terdahulu atas alasan kereta baru tidak dibina dengan cara terdahulu, maka ini peluang yang baik untuk itu.

    Dalam waktu sekarang pula, membeli kereta terpakai bermakna stoknya sentiasa tersedia. Pembukaan semula ekonomi dan larangan akibat pandemik sebelum ini menyebabkan permintaan terhadap kereta melonjak semula, dan itu membawa kesan lain — gangguan bekalan cip yang masih berlangsung ketika ini, membawa kepada tempoh menunggu yang lama. Ada sebahagian model kenderaan, anda perlu menunggu bertahun untuk mendapatkannya.

    Namun, anda tidak perlu menunggu untuk mendapatkan kereta terpakai yang diidamkan. Stok semuanya tersedia depan mata, dan apa yang diperlukan hanyalah beberapa dokumen untuk pembelian, isi beberapa borang dan jika mengambil pinjaman bank, tunggu kelulusan bank. Jika anda membeli secara tunai, anda boleh terus bawa pulang kereta terbabit!

    Beli kereta, baru vs terpakai di M’sia — pro dan kontra

    Kos selenggara dan kadar faedah lebih tinggi; masalah tersembunyi lain

    Dengan kelebihan harga jika membeli kereta terpakai, ada juga kekurangannya. Jika membeli dengan pinjaman bank, kereta lama memerlukan bayaran muka yang lebih tinggi, begitu juga dengan kadar faedahnya. Bergantung kepada tempoh pinjaman yang diambil, anda mungkin membayar lebih mahal untuk kereta terpakai berbanding kereta baru dalam tempoh masa panjang.

    Keadaan sebenar kereta terpakai juga sukar untuk ditentukan, melainkan anda membawa bersama mekanik yang berpengalaman. Walaupun begitu, sesi pandu uji dan pemeriksaan kereta terpakai selalunya sangat ringkas, dan jarang anda akan dapat mengesan sebarang masalah yang ada dalam tempoh singkat itu. Kereta terpakai tidak datang dengan jaminan pengeluar, dan jika ada sebarang masalah atau alat yang perlu diganti, itu perlu dilakukan oleh pemilik seterusnya. Kereta terpakai juga lebih sukar untuk diinsurankan, terutama jika usianya sudah lebih 10 tahun.

    Namun, ada cara lain untuk menguruskan hal ini ketika melibatkan pembelian kereta terpakai; anda boleh membeli dari myTukar Auto Fair 2022 yang akan berlangsung du Puchong South, dari 1-3 Julai. Acara akan datang ini adalah susulan kepada myTukar Auto Fair 2022 yang berlangsung di Plentong, Johor hujung minggu lalu.

    Beli kereta, baru vs terpakai di M’sia — pro dan kontra

    Kenderaan yang dibeli dari myTukar Auto Fair 2022 datang dengan jaminan bahawa semua kenderaan dengan myTukar Certified telah melalui pemeriksaan 160-poin, untuk memastikan tiada perubahan pada meter perbatuan, dan kenderaan bebas daripada kemalangan terus, kebakaran dan kerosakan akibat banjir. Selain itu juga, semua kereta di bawah myTukar Certified telah diberikan pembaharuan untuk memastikan keadaanya sangat memuaskan seperti baru.

    Jika membeli kereta di acara berkenaan, ganjaran sehingga RM800,000 juga menanti. Anda boleh memenangi perjalan yang ditanggung sepenuhnya ke Sydney, Australia. Tawaran istimewa lain juga ada, termasuk kadar faedah serendah 1.88% untuk 150 tempahan pertama, dan hadiah cabutan bertuah bernilai RM12,000.

    Untuk keselamatan semua ketika acara berlangsung, myTukar Auto Fair 2022 akan terus melaksanakan langkah pencegahan Covid-19; penjarakan sosial tidak lagi diwajibkan, tetapi pelitup muka perlu sentiasa digunakan sepanjang masa. Petugas juga akan kerap membersihkan kawasan acara, termasuk permukaan yang kerap disentuh serta kemudahan umum dan kereta yang dipamerkan juga.

    Beli kereta, baru vs terpakai di M’sia — pro dan kontra

    myTukar Retail Experience Centre di Puchong South terletak di tepi LDP (Lot 14225, KM 3.8) sebelum plaza tol Puchong Barat, jika anda datang dari IOI Mall dan Bandar Puteri. Sebelum tol, di sebelah kiri anda. Kotak oren misteri yang dilihat di myTukar Plentong juga akan berada di beberapa kawasan seluruh negara, imbas untuk tahu lebih lanjut!

    Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi myTukar, atau layari pilihan luas kenderaan yang ada ketika ini di inventori myTukar dan lihat tawaran yang diberikan. Datanglah ke myTukar Auto Fair at the myTukar Retail Experience Centre – Puchong South dari 1-3 Julai nanti, 9.30 pagi hingga 9 malam setiap hari.

    Anda juga boleh menghubungi saluran berikut:

    Telefon : 03-7890 4499
    WhatsApp : +6018-2249999
    Emel: [email protected]

    myTukar Retail Experience Centre – Puchong South
    Lot 14225, KM 3.8,
    Lebuhraya Damansara–Puchong,
    47100 Puchong, Selangor.

     
     
  • Kerajaan Johor sedang kaji bangunkan LRT JB

    Kerajaan Johor sedang kaji bangunkan LRT JB

    Bagi mengatasi isu kesesakan, kerajaan Johor sedang mengkaji untuk membangunkan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) Johor Bahru (JB), sekali gus menyepadukan sistem pengangkutan di bandar raya itu.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, langkah itu juga bagi melengkapkan jaringan pengangkutan dan melancarkan pergerakan penumpang.

    Katanya, LRT JB adalah antara sistem paling berkesan bagi mengatasi kesesakan kritikal di bandar raya ini dengan kerajaan negeri menerima banyak pandangan dan cadangan untuk mewujudkan sistem perkhidmatan itu, apatah lagi ia memang sesuai dibangunkan di kawasan bandar.

    “Setakat ini kerajaan negeri bersetuju untuk melakukan kajian kebolehlaksanaan LRT di bandar raya JB dalam tempoh terdekat. Kita sememangnya menanti hasil kajian itu untuk melihat kawasan mana yang sesuai untuk dibina LRT, termasuk stesennya, namun kawasan kepadatan penduduk tinggi akan diutamakan.

    Kerajaan Johor sedang kaji bangunkan LRT JB

    “Kajian bukan saja membabitkan bandar raya JB, malah Pasir Gudang dan Iskandar Puteri serta Kulai yang semuanya berada dalam wilayah Johor Bahru,” katanya, memetik laporan Berita Harian.

    Tambah beliau, untuk permulaan kerajaan negeri akan mewujudkan Jawatankuasa Pengintegrasian Pengangkutan Awam di Johor Bahru bagi mengkaji langkah pembinaan LRT JB. Di mana jawatankuasa itu akan merangka sistem pengangkutan bersepadu bagi memastikan aliran pergerakan penumpang yang menggunakan RTS saling bersambungan, sekali gus mengatasi isu kesesakan di JB.

    “Antara sistem pengangkutan yang akan diintegrasi dengan RTS adalah sistem bas, termasuk perkhidmatan Bas Muafakat Johor secara percuma dan bas komersial, sistem Iskandar Rapid Transit (IMBRT), Projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (ETS) dan cadangan pembangunan LRT Johor Bahru.

    “Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) juga sedang merancang membangunkan cadangan tempat letak kereta di Plaza Seni dan Danga City Mall,” katanya.

     
     
  • Honda CR-V 2023 guna papan pemuka seperti Civic

    Honda CR-V 2023 guna papan pemuka seperti Civic

    Satu bulan selepas teaser pertama untuk CR-V baru ditunjuk, Honda kini mendedahkan pula bahagian dalam SUV tersebut. Mereka juga telah mengesahkan bahawa model generasi keenam ini akan didedahkan sepenuhnya pada 12 Julai, dengan menawarkan lebih ruang serta “bahagian dalam premium, selesa dan berteknologi tinggi.”

    Sekali pandang sahaja kita sudah boleh tahu CR-V ini menggunakan rekaan inspirasi daripada Civic, dengan papan pemuka yang kemas, roda stereng cabang tiga serta corong pendingin hawa yang terselindung. Ia juga menggunakan skrin infotainmen terkeluar di atas, tetapi kelihatan lebih besar berbanding unit sembilan inci pada Civic.

    Konsol tengah juga sedikit lebih besar berbanding Civic, membenarkan tombol gear diletakkan sebelah butang mod pemanduan, Hill Descent Control serta brek parkir elektronik – semua ini diletakkan di bawah daripada papan pengecas Qi tanpa wayar.

    Bahagian lain yang boleh dilihat melalui gambar ini adalah termasuk tempat duduk yang dibalut kulit dan mempunyai jahitan warna oren, kemasan warna perak bertekstur di panel pintu dan papan pemuka serta sistem bunyi Bose (boleh dilihat melalui lencana di bahagian tiang A).

    Melalui teaser bahagian luar sebelum ini, kita boleh melihat CR-V baru mempunyai muncung hadapan yang kelihatan lebih tinggi dan ‘tegak’, lampu hadapan yang direka nipis dan tirus, gril hadapan yang lebih bersegi serta diberikan kemasan berbentuk-L pada kedua-dua sisi bampar hadapan.

    Lampu belakangnya masih mempunyai bentuk L, tetapi rekaan baru yang diberikan membuatkan ia nampak seperti sebuah model dari Volvo. Model generasi keenam ini turut menerima perumah tip ekzos yang disekalikan pada bampar, berbeza dari model sebelum ini yang menampilkan tip sebenar diletakkan di bawah bampar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025