Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha TMax Tech Max 2022 terima peningkatan – panel badan serba baru, kelengkapan lebih canggih

    Yamaha TMax Tech Max 2022 terima peningkatan – panel badan serba baru, kelengkapan lebih canggih

    Hanya dua tahun selepas diberikan rombakan menyeluruh, Yamaha T-Max kini diberikan peningkatan sekali lagi dan sudah pun mula berada di pasaran Eropah. Peningkatan ini dinyatakan untuk TMax Tech Max, yang kini menjadi satu-satunya versi T-Max generasi ketujuh yang ditawarkan kepada pasaran tersebut (versi lebih rendah sudah tiada dalam senarai).

    Panel badan model ini menggunakan rekaan serba baru yang lebih sporty, bersama lampu hadapan jenis projector baru yang bentuknya lebih nipis serta disepadukan sekali dengan lampu penunjuk arah (tiada lagi lampu penunjuk arah berasingan di bawah). Lampu belakang juga adalah baru, dengan nyalaan LED berbentuk T serta juga lampu penunjuk arah bersepadu.

    Bagi memberikan tunggangan lebih sporty dan pada masa sama selesa kepada penunggang serta penumpang, ergonomik skuter ini diubah sedikit, melibatkan tempat duduk serta pelantar kaki yang dipanjangkan, badan yang lebih ramping serta pemegang yang menghasilkan tunggangan sedikit menunduk.

    Yamaha TMax Tech Max 2022 terima peningkatan – panel badan serba baru, kelengkapan lebih canggih

    Meter sebelum ini yang menggunakan gabungan analog dan LCD telah diganti dengan unit TFT tujuh inci berwarna penuh baru, yang selain memaparkan pelbagai informasi penting, juga boleh disambung kepada telefon pintar melalui aplikasi MyRide untuk memberikan akses kepada panggilan, notifikasi, muzik serta navigasi.

    Bahagian lain masih sama seperti sebelum ini, termasuk enjin dua silinder selari DOHC 562 cc yang dipadankan bersama transmisi CVT dengan sistem pacuan tali sawat, menghasilkan 47.6 hp pada 7,500 rpm dan 55.7 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Senarai kelengkapan pada skuter ini juga agak panjang dan melibatkan pelbagai ciri canggih seperti penghadang angin kawalan elektrik, cruise control, pemanas tangan dan tempat duduk, sistem tanpa kunci, traction control, mod tunggangan, ruang simpanan besar di bawah tempat duduk serta tongkat tengah anti kecurian (hanya boleh diturunkan apabila kunci pintar ditekan).

    Perincian lain TMax Tech Max 2022 ini adalah rim 15 inci dengan tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, brek cakera 267 mm berkembar di hadapan dan cakera 282 mm di belakang, fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang, tangki bahan api 15 liter, berat 220 kg dan tinggi tempat duduk 800 mm.

     
     
  • Go by City Energy dilancarkan – rangkaian pengecasan EV menghubungkan Malaysia dan S’pura

    Go by City Energy dilancarkan – rangkaian pengecasan EV menghubungkan Malaysia dan S’pura

    City Energy, pembekal utama gas berpaip ke kawasan bandar Singapura, telah melancarkan Go by City Energy (Go), perkhidmatan mengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh Singapura dan Malaysia dengan hanya menggunakan satu perisian sahaja.

    Sebelum ini dikenali sebagai City Gas, City Energy akan membiayai, mengendali dan menyelenggara rangkaian stesen mengecas EV yang disokong oleh perisian mobil “Go”. Usaha ini diperkukuhkan lagi dengan kerjasama strategik bersama EV Connection Sdn. Bhd (EV Connection) untuk memperkembangkan rangkaian pengecas EV ke Malaysia.

    Ketua Pegawai Eksekutif City Energy, Perry Ong, berkata, “Go akan menjadi perkhidmatan pertama di Singapura yang mempunyai rangkaian pengecas EV di Malaysia yang boleh menawarkan kemudahan tambahan kepada pemandu yang ingin memandu sepanjang causeway dan Lebuhraya Utara-Selatan. Kami yakin pengguna EV akan memanfaatkan peluang yang kami tawarkan ke arah kehidupan yang lebih hijau dan pintar.”

    Go by City Energy dilancarkan – rangkaian pengecasan EV menghubungkan Malaysia dan S’pura

    Peta stesen pengecasan Go by City Energy di Malaysia

    Menerusi kerjasama ini, pengguna rangkaian Go dari Singapura boleh menggunakan kemudahan pengecasan ini di Malaysia. Menurut Pengarah Urusan JomCharge dan pengasas EV Connection, Lee Yuen How, kerjasama ini menyasarkan untuk menyediakan pengecas DC di bawah rangkaian JomCharge menjelang akhir 2022.

    Kadar pengecasan di bawah rangkaian Go ini adalah RM1.20 bagi setiap minit dengan menggunakan pengecas DC 50 kW, dan di antara RM2 dan RM3 bagi setiap jam untuk pengecas AC 7 kW. Sebagai pembandingan, kadar pengecasan di Singapura ialah 50 sen (RM1.59) bagi setiap kWh untuk pengecas AC 22 kW, dan 55 sen (RM1.72) setiap kWh untuk pengecas DC 50 kW, menurut The Straits Times.

    Pengecas bagi rangkaian Go ini ditempatkan di sebelah barat Semenanjung Malaysia, dan boleh diakses melalui Lebuhraya Utara-Selatan. Manakala bagi lokasi di Lembah Klang, ia ditempatkan di Lotus Kepong, Sunway Nexis, Vision Motorsport, Mercedes-Benz Malaysia, dan ABB Subang Jaya.

    Go by City Energy dilancarkan – rangkaian pengecasan EV menghubungkan Malaysia dan S’pura

    Sementara itu, untuk bahagian utara pula, rangkaian pengecasan ini boleh didapati di Hotel Rasa Sayang di Pulau Pinang, dan untuk selatan pula, ia terletak di ibu pejabat ACO di Johor. Manakala stesen minyak yang turut menyediakan rangkaian pengecasan Go ini termasuklah Caltex, dengan unit pengecas boleh didapati di Caltex Bukit Gantang (arah utara/selatan), Ayer Keroh (arah utara/selatan), kawasan R&R Skudai (arah selatan) dan juga Petron di Kluang, Johor.

    JomCharge sebelum ini turut bekerjasama dengan Mercedes-Benz Malaysia dan Petronas untuk rangkaian Energise oleh Petronas dengan penyediaan pengecas pantas Dc di negara ini. Pertama kali diumumkan pada November 2021, rangkaian Energise ini akan menyediakan lima pengecas pantas DC yang akan dipasang di kawasan strategik di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

    Menurut maklumat yang didedahkan sewaktu pelancaran Mercedes-Benz EQA untuk pasaran Malaysia, hampir kesemua pengecas bagi rangkaian Energise ini memiliki kuasa hingga 180 kW, sementara satu atau dua ini pula akan mempunyai kuasa maksimum 50 kW, dan ia akan dipertingkatkan ke kuasa sepenuhnya mencecah 180 kW pada masa hadapan.

     
     
  • Syarikat konsesi LDP, SPRINT, KESAS dan Terowong SMART terima surat tawaran bersyarat ALR – Gamuda

    Syarikat konsesi LDP, SPRINT, KESAS dan Terowong SMART terima surat tawaran bersyarat ALR – Gamuda

    Syarikat konsesi bagi Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damasara-Puchong (LDP) telah pun menerima surat tawaran bersyarat untuk cadangan pelupusan semua sekuriti kepada Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd (ALR) dan penyampaian penerimaan bertulis.

    Menerusi makluman kepada Bursa Malaysia, Kumpulan Gamuda Bhd berkata setiap tawaran KESAS, SPRINT, LITRAK dan SMART diberikan oleh ALR secara kendiri dan saling eksklusif antara satu sama lain, laporan Bernama.

    “Setiap syarikat pegangan konsesi dijangkakan untuk memulakan rundingan berasingan dengan ALR bagi memuktamadkan terma dan syarat perjanjian masing-masing untuk cadangan pelupusan,” katanya.

    Pelaksanaan perjanjian muktamad oleh setiap syarikat dengan ALR akan tertakluk kepada penyempurnaan pelaksanaan usaha wajar ke atas setiap syarikat konsesi lebuh raya dan kelulusan oleh pihak berkuasa kawal selia yang berkaitan bagi setiap tawaran mengikut kehendak ALR.

    Selain itu, perjanjian juga tertakluk kepada pelaksanaan oleh setiap syarikat berdasarkan terma dan syarat yang akan diluluskan oleh ALR, kelulusan pengecualian cukai pendapatan termasuk pengecualian duti setem daripada kerajaan dan kelulusan pemegang saham yang diperlukan oleh pemegang saham masing-masing.

    Pada awal bulan ini, Gamuda telah menerima surat tawaran bersyarat untuk ALR mengambil alih semua sekuriti dalam syarikat konsesi lebuhrayanya. Ia melibatkan 70% kepentingan dalam KESAS Sdn Bhd, Sprint sebanyak 51.6%, Litrak (LDP) pula dengan 43.2% dan 50% bagi SMART, dengan bahagian nilai ekuiti yang dijangkakan untuk semua syarikat konsesi lebuhraya ini berjumlah RM2.33 bilion.

    ALR menawarkan secara bersyarat untuk membeli semua sekuriti KESAS berdasarkan nilai perusahaan sebanyak RM1.24 bilion pada tarikh penilaian 31 Disember 2021, RM1.81 bilion untuk SPRINT, RM2.12 bilion untuk LITRAK dan RM313 juta untuk SMART.

    Sebelum ini, Timbalan Pengarah Urusan Gamuda, Mohammed Rashdan Yusof, berkata, pengambilalihan oleh ALR itu turut memberi jaminan bahawa tiada lagi kenaikan kadar tol sehingga tamat tempoh konsesi bagi keempat-empat lebuh raya terbabit. Ia satu tawaran yang menarik berbanding dengan peruntukan perjanjian konsesi asal yang memperuntukkan kenaikan tol bagi lebuh raya secara berkala antara lima hingga tujuh tahun, mengikut perjanjian konsesi masing-masing.

    “Di bawah ALR, ia menjimatkan pengguna lebuh raya bertol. Sebagai contoh, pengguna KESAS hanya membayar RM2 dan bukannya RM3 (jika ikut perjanjian konsesi semasa), memberikan penjimatan RM1 atau sekitar 50%.

    “Begitu juga SPRINT Pantai, pengguna hanya perlu membayar RM2.50 dan bukannya RM4.50, penjimatan sebanyak RM2 atau 80%. Dengan cara ini, ia memberi penjimatan secara langsung kepada rakyat sebanyak RM4.3 bilion,” katanya.

     
     
  • Kerajaan bakal tetapkan peraturan untuk penggunaan e-skuter, termasuk pelaksanaan lesen – Menteri MOT

    Kerajaan bakal tetapkan peraturan untuk penggunaan e-skuter, termasuk pelaksanaan lesen – Menteri MOT

    Kementerian Pengangkutan bakal menetapkan satu peraturan kecil berkenaan dengan penggunaan skuter elektrik atau e-skuter termasuk pelaksanaan lesen terhadap pengguna e-skuter dan pembekal kenderaan berkenaan. Perkara ini disahkan oleh menterinya, Datuk Seri Wee Ka Siong, laporan Bernama.

    “Tidak lama lagi, kita akan keluarkan kaedah atau undang-udang kecil untuk dipatuhi, (contohnya) untuk kelajuan tertentu mereka perlu mempunyai lesen,” katanya baru-baru ini.

    Kata beliau, penggunaan e-skuter kini semakin menjadi trend dalam kalangan masyarakat yang memerlukan penyelesaian sewajarnya untuk mengelakkan pengguna terdedah kepada risiko nahas memandangkan kelajuannya seperti motosikal.

    Jelasnya, penggunaan kenderaan elektrik adalah termaktub dalam pindaan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) (Pindaan) 2020 merangkumi aspek kenderaan mikro mobiliti yang mempunyai peraturan kecil mengenai spesifikasi berkaitan. Malahan kenderaan mikro mobiliti adalah terlalu banyak dengan menggunakan nama berbeza, justeru ia memerlukan satu definisi jelas yang akan dibuat melalui peraturan kecil berkenaan.

    Kerajaan bakal tetapkan peraturan untuk penggunaan e-skuter, termasuk pelaksanaan lesen – Menteri MOT

    “Saya rasa kita kena perhalusi setiap satu dan sebenarnya libat urus telah dibuat berkali-kali. Jumlah mikro mobiliti ini banyak, nama e-basikal tapi bukan basikal iaitu kelajuan sangat tinggi dan tidak menggunakan pedal.

    “Kita kena lihat setiap satu supaya tidak terlepas pandang. Definisi kena jelas dan kita kena kawal (penggunaan mikro mobiliti) demi kebaikan semua orang,” katanya.

    Sebelum ini dilaporkan bahawa mulai 1 Januari 2021, semua jenis e-skuter diharamkan daripada digunakan di atas jalanraya. Jika didapati melakukannya, pengguna boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur menjelaskan, e-skuter hanya dibenarkan penggunaannya di kawasan yang telah digazetkan sahaja, seperti di taman-taman permainan, kawasan pejalan kaki dan di pusat beli-belah.

    Di bawah pindaan terbaharu APJ (Oktober 2020) Seksyen 2 (b), e-skuter yang juga tergolong di bawah takrifan Kenderaan Mikromobiliti yang bermaksud, “mana-mana kenderaan yang dipacu oleh sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia atau gabungan sumber elektrik, enjin pembakaran dalam atau kuasa manusia dan mempunyai kelajuan maksimum 50 km/j.

     
     
  • Lima kesalahan trafik pada 29 Apr-8 Mei tidak boleh dikompaun, hanya diselesaikan di mahkamah – Wee

    Lima kesalahan trafik pada 29 Apr-8 Mei tidak boleh dikompaun, hanya diselesaikan di mahkamah – Wee

    Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengumumkan sepanjang Op Hari Raya Aidilfitri (OS HRA) oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Op Selamat Ke-18/2022 oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mulai 29 April hingga 8 Mei 2022 sempena Aidilfitri ini, sebanyak lima kesalahan lalu lintas utama tidak dibenarkan untuk dikompaun dan perlu diselesaikan di mahkamah.

    Lima kesalahan terbabit ialah memandu di lorong kecemasan, menggunakan telefon bimbit semasa memandu, gagal patuhi isyarat lampu merah, memandu melebihi had laju dan memotong barisan.

    “Seramai 2,200 orang anggota penguatkuasa JPJ akan terlibat dalam OPS Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini, sebagai inisiatif utama untuk mengurangkan kadar nahas di jalan raya. Sepanjang tempoh pelaksanaan OPS Bersepadu ini, beberapa inisiatif yang dilaksanakan oleh JPJ adalah melibatkan penguatkuasaan.

    “Ia termasuklah penyamaran sebagai penumpang bas ekspres, pemantauan melalui Enforcement Based Station (EBS) di 14 lokasi tumpuan sepanjang lebuh raya, pelaksanaan Perception of Being Caught (POBC) secara rondaan di laluan utama Jalan Persekutuan, dan OPS Khas Motosikal serentak di seluruh negara yang akan diadakan secara bersepadu bersama agensi yang berkaitan,” kata Wee dalam majlis pelancaran Ops Bersepadu di Putrajaya pagi tadi.

    Lima kesalahan trafik pada 29 Apr-8 Mei tidak boleh dikompaun, hanya diselesaikan di mahkamah – Wee

    Selain daripada itu, JPJ turut menjalankan Pra-OPS HRA bermula dari 25 hingga 28 April 2022, yang akan melibatkan pemeriksaan bas ekspres di 75 buah depoh dan 28 Terminal Bas utama, bagi tujuan memastikan kondisi bas sentiasa berada dalam keadaan road worthiness.

    “Saya menyeru semua pengguna jalan raya agar dapat memandu dengan berhemah dan patuhilah peraturan jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengurangkan berlakunya kes-kes kemalangan jalan raya yang melibatkan kecederaan serta kematian.

    “Kita perlu membudayakan kesedaran kendiri bagi meningkatkan pematuhan kepada undang-undang jalan raya dengan pemakaian tali pinggang keselamatan, pematuhan had laju, tidak menggunakan telefon bimbit ketika memandu, sabar, bertimbang rasa dan penggunaan CRS (Child Restraint System/Child Car Seat). Melalui pendekatan ini, saya pasti, risiko nahas di jalan raya dan kehilangan nyawa akan dapat dikurangkan. Marilah kita sama-sama berazam dan berusaha bagi mengurangkan nahas di jalan raya dengan menjadikan jalan raya kita akan lebih selamat,” katanya.

     
     
  • Op Selamat 18/2022: Had laju Jalan Persekutuan diturunkan menjadi 80km/j, Jalan Negeri hanya 70 km/j

    Op Selamat 18/2022: Had laju Jalan Persekutuan diturunkan menjadi 80km/j, Jalan Negeri hanya 70 km/j

    Sepanjang Op Selamat 18/22 yang dilaksanakan mulai 29 April hingga 8 Mei 2022 sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, Kementerian Kerja Raya (KKR) turut mewartakan penurunan had laju sebanyak 10km/j bagi Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri. Di mana sepanjang tempoh tersebut, had laju bagi Jalan Persekutuan ialah 80 km/j dan 70 km/j bagi Jalan Negeri.

    Dalam masa yang sama, Jabatan Kerja Raya (JKR) juga akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat konsesi penyenggaraan jalan raya, supaya melaksanakan kerja-kerja penyenggaraan rutin lebih awal dan disiapkan sebelum tarikh OPS Bersepadu, termasuklah arahan pemberhentian kerja penyenggaraan dan pembinaan dalam rizab Jalan Persekutuan dan Jalan Negeri serta mengalihkan semua jentera/peralatan jauh dari bahu jalan.

    Walau bagaimanapun, pemberhentian kerja penyenggaraan dan pembinaan ini adalah dikecualikan bagi kerja menampal lubang (potholes), kecemasan dan kritikal serta kerja pembinaan di luar rizab jalan.

    Op Selamat 18/2022: Had laju Jalan Persekutuan diturunkan menjadi 80km/j, Jalan Negeri hanya 70 km/j

    Selain itu, pasukan peronda JKR juga akan ditubuhkan di setiap daerah/jajahan bagi membantu memantau sebarang kerosakan jalan dan kemalangan sepanjang tempoh OPS Bersepadu. Pasukan terbabit akan menjalankan rondaan bagi memastikan kerja-kerja kecemasan dilakukan dengan segera dengan gangguan minimum ke atas lalulintas dan memberi keutamaan kepada laluan-laluan utama.

    Malahan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS), juga turut tidak ketinggalan membantu sepanjang Kempen dan Ops Bersepadu ini. Pelbagai strategi telah diatur termasuk pelancaran Kempen Keselamatan yang bertemakan “Keluarga Malaysia.

    Bukan itu sahaja, kedua-dua berkenaan juga akan meningkatkan rondaan serta menjalinkan kerjasama berterusan bersama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) bagi mengatasi masalah keselamatan jalan raya di lebuhraya.

    Op Selamat 18/2022: Had laju Jalan Persekutuan diturunkan menjadi 80km/j, Jalan Negeri hanya 70 km/j

    Begitu juga dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bekerjasama dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) yang bersiaga untuk memberi bantuan kecemasan kepada mangsa-mangsa kemalangan atau nahas, yang mungkin berlaku di sepanjang musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

    JBPM melalui kepakaran sedia ada seperti Pasukan Khas Hazmat dan Unit Road Traffic Accident (RTA), serta Medivec akan juga menggunakan Aset Unit Udara mereka sekiranya berlaku nahas di jalan raya yang melibatkan bahan berbahaya seperti tumpahan kimia dan sebagainya.

    Manakala Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS) pula akan terus menjalankan dan mempergiat Kajian Persepsi Kebarangkalian Ditahan (POBC). Kajian ini penting dalam menyediakan data untuk menambahbaik dan menilai strategi sedia ada dan reaksi masyarakat, amnya terhadap kesedaran pengguna terhadap pematuhan undang- undang dan keselamatan jalan raya.

     
     
  • Jangan terlalu bergantung pada EV; enjin pembakaran dalaman masih ada hayatnya – CEO BMW

    Jangan terlalu bergantung pada EV; enjin pembakaran dalaman masih ada hayatnya – CEO BMW

    Banyak pengeluar kereta masa ini bersemangat untuk mengeluarkan kenderaan elektrik (EV), tetapi CEO BMW Oliver Zipse berpendapat agar jangan terlalu bergantung pada EV untuk sesetengah pasaran. Beliau memaklumkan kepada Reuters, masih ada pasaran untuk kereta dengan enjin pembakaran dalaman.

    “Apabila anda melihat teknologi yang keluar, dengan lonjakan pengenalan EV, namun kita mesti berhati-hati kerana pada masa yang sama, ia meningkatkan pergantungan untuk sebahagian kecil pasaran,” kata Zipse. Beliau juga menegaskan bahawa sebahagian besar bekalan bahan mentah untuk bateri dikawal oleh China.

    “Jika seseorang tidak boleh membeli EV atas sebab tertentu, tetapi memang memerlukan kereta, adakah anda akan sarankan agar dia terus memandu kereta lamanya selama-lamanya? Jika anda tidak lagi menjual enjin pembakaran dalaman, pihak lain akan melakukannya,” tambahnya lagi.

    Zipse adalah penyokong untuk kenderaan clean energy tetapi juga telah lama menyokong larangan terhadap penjualan kereta pembakaran dalaman. Pengawal selia dalam industri ini telah banyak kali memberikan tekanan terhadap pemain industri automotif untuk membendung pelepasan karbon dan impak terhadap alam sekitar, serta mendorong penciptaan pelbagai pelan hala tuju elektrifikasi.

    Boss besar BMW ini juga berkata, menawarkan kereta dengan enjin pembakaran dalaman yang lebih memberikan penjimatan bahan api adalah kunci utama, iaitu dari perspektif keuntungan dan alam sekitar. Beliau berkata begini dengan merujuk kepada jurang yang jelas dalam infrastruktur pengecasan di beberapa buah pasaran, serta harga EV yang tinggi. Pendapat ini juga senada dengan apa yang Ketua Pegawai Teknikal Mercedes-Benz Markus Schäfer yang turut menyuarakan sentimen yang lebih kurang sama berhubung dengan kos bagi kenderaan enjin pembakaran dalaman yang jauh lebih mampu milik berbanding EV.

    Selain itu, syarikat juga perlu merancang pelarasan kos yang diperlukan dan bersedia untuk menggunakan tenaga dan harga bahan mentah yang tinggi. Walau bagaimana pun, perkara ini boleh dilakukan dengan memperkemaskan lagi strategi pengeluaran dan menjadikannya lebih cekap, serta meningkatkan usaha dalam kitar semula bagi mengurangkan kos.

    Baru-baru ini, BMW secara komited telah mengadaptasikan penggunaan roda aluminium yang dihasilkan secara mampan bermula tahun 2024, satu langkah yang mampu mengurangkan pelepasan CO2 sebanyak 500,000 tan setiap tahun. “Berapa banyak tenaga yang anda perlukan dan gunakan, dan lebih penting, atas sebab persekitaran dan juga paling utama, disebabkan ekonomi,” tambahnya.

     
     
  • Chery Arrizo 8 didedahkan – lawan terus kepada Accord & Camry, 1.6L dan 2.0L Turbo, 254 PS, 7DCT

    Chery Arrizo 8 didedahkan – lawan terus kepada Accord & Camry, 1.6L dan 2.0L Turbo, 254 PS, 7DCT

    Chery telah mendedahkan berapa imej dan perincian awalan untuk sedan segmen-D terbaharunya yang digelar Chery Arrizo 8 yang bakal berhadapan terus dengan Toyota Camry, Honda Accord dan Kia K5. Di China, model-model SUV yang dihasilkan Chery adalah dari siri Tiggo, manakala sedan pula diletakkan dalam siri Arrizo.

    Sebelum Arrizo 8 yang akan menjadi model paling tinggi dalam barisan model sedan Chery ini, jenama berkenaan sudahpun hadir dengan model sedan lain termasuk Arrizo 5 Plus, Arrizo 5 Pro dan Arrizo GX. Arrizo 8 ini bakal mula dijual di negara tersebut bermula suku ketiga tahun ini.

    Menurut laporan CarNewsChina, Arrizo 8 akan hadir dengan dua pilihan enjin petrol. Yang pertama adalah enjin 1.6 liter turbo berkuasa 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan tork maksima 290 Nm, manakala satu lagi versi lebih berkuasa menampilkan enjin 2.0 liter turbo berkuasa 254 PS (250 hp atau 187 kW) dan tork maksima 390 Nm.

    Chery Arrizo 8 didedahkan – lawan terus kepada Accord & Camry, 1.6L dan 2.0L Turbo, 254 PS, 7DCT

    Kedua-dua enjin ini bakal dipadankan dengan kotak gear automatik klac berkembar tujuh kelajuan, dan hanya memacu roda hadapan.

    Dari segi rupa luaran, Arrizo 8 menampilkan gril besar yang direka dari atas muncung sehingga paling bawah bahagian bampar, bersama liang udara sisi yang kelihatan seperti mengalirkan udara ke ruang roda hadapan.

    Ia juga menerima lampu hadapan yang tajam dengan kemasan jalur krom dari gril kelihatan seperti tertusuk, bersama jalur LED disekelilingnya sebagai lampu nyalaan siang. Logo Chery pada bahagian tengah gril hadapan Arrizo 8 ini juga direka bernyala dengan lampu.

    Chery Arrizo 8 didedahkan – lawan terus kepada Accord & Camry, 1.6L dan 2.0L Turbo, 254 PS, 7DCT

    Bayangan sisi badan Arrizo 8 ini dihasilkan seperti sebuah fastback yang sporty. Juga terdapat garis sisi yang bermula pada fender hadapan kelihatan menyambungkan pembuka pintu hadapan dan belakang dan berakhir dengan bertemu lampu belakang.

    Manakala di belakang, ia diberikan lampu utama jenis two-piece, bersama bar dan jalur LED yang merentangi sepenuhnya penutup but. Manakala pada bahagian bampar, rupa agresif sedan ini disokong dengan reflektor yang direka seakan liang udara pada kedua-dua sisi, dan diberikan kemasan diffuser yang turut menempatkan empat tip ekzos.

    Dalam kabin, Arrizo 8 menampilkan papan pemuka yang direka dengan elemen melintang, serta diberikan skrin paparan instrumen digital yang kelihatan bersambung dengan skrin infotainmen utama di tengah.

    Liang penghembus udara pendingin hawa juga direka nipis merentangi sepenuhnya papan pemuka tersebut, dan kelihatan seperti menampilkan grafik unik di hadapan penumpang hadapan.

    Perincian dalaman lain yang turut diberi pada sedan ini termasuk konsol tengah yang direka tinggi dan rata menampilkan pengecas telefon tanpa wayar, tombol gear dengan bentuk unik dan suis putar untuk kawalan media. Ia juga dipadankan dengan roda stereng rata di bawah dan perincian-perincian lebih premium seperti kemasan-kemasan kulit, kayu dan logam.

    Arrizo 8 dilaporkan turut akan menampilkan fungsi bantuan pemanduan termaju, dan bakal dijual pada harga bermula 140,000 yuan (RM93,312).

     
     
  • MOT keluar larangan kenderaan berat guna lebuhraya dari 30 Apr-2 Mei dan 7-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    MOT keluar larangan kenderaan berat guna lebuhraya dari 30 Apr-2 Mei dan 7-8 Mei 2022 sempena Aidilfitri

    Kementerian Pengangkutan (MOT) dijangka bakal menetapkan larangan untuk kenderaan berat menggunakan lebuh raya selama lima hari sempena sambutan Aidilfitri ini. Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, larangan itu dijangka bermula 30 April-2 Mei serta 7 Mei-8 Mei 2022, laporan Berita Harian.

    Jelas beliau, larangan berkenaan dijangka diwartakan dalam tempoh terdekat, yang bertujuan untuk memastikan kelancaran aliran trafik yang meningkat ketika sambutan Aidilfitri.

    “Saya sudah menandatangani warta sama seperti sebelum ini iaitu tiga hari sebelum dan selepas hari raya. Sekiranya diwartakan, semua pemegang permit terutama kenderaan perdagangan tertakluk kepada peraturan diwartakan.

    “Kita ada sistem hebahan bagi memaklumkan larangan ini dan spesifikasi kenderaan berat yang dilarang adalah seperti sebelum ini,” katanya baru-baru ini.

    Maklumat terperinci akan dikongsikan sebaik sahaja kementerian terbabit mengeluarkan kenyataan rasmi mengenainya tidak lama lagi.

     
     
  • VIDEO: kanak-kanak duduk tengah jalan pada malam hari untuk ‘menguji keberanian’ – harap tak jadi trend

    VIDEO: kanak-kanak duduk tengah jalan pada malam hari untuk ‘menguji keberanian’ – harap tak jadi trend

    Tak habis lagi warganet bertekak hal basikal lajak, ini keluar lagi satu video viral berkenaan kelakuan berbahaya sekumpulan kanak-kanak yang boleh mengundang kemalangan maut di tengah malam.

    Video yang berdurasi 19 saat ini ditularkan di Twitter, memaparkan sekumpulan remaja bawah umur yang duduk di tengah-tengah jalan raya dua lorong, seolah-olah sedang ‘menguji keberanian’ masing-masing untuk tidak berganjak walaupun ada kereta yang sedang lalu di jalan berkenaan.

    Rakaman tersebut dibuat oleh salah seorang dari ahli kumpulan itu, dan kedengaran juga suara yang menyuruh mereka “buat rilek” ketika sebuah kereta kelihatan menghampiri kawasan yang sedang mereka duduk. Nasib baik pemandu kereta berkenaan sedang memandu dengan perlahan, dan boleh mengelak sekumpulan remaja terbabit tanpa terjadi apa-apa perkara yang tidak diingini.

    Jika perkara sebaliknya berlaku, ia pastinya akan menimbulkan masalah kepada semua orang – tak mustahil ada keluarga yang akan kehilangan anak, dan yang melanggar pula berkemungkinan akan menerima nasib seperti Sam Ke Ting, yang kini berhadapan hukuman penjara selama enam tahun dan denda RM6,000 kerana melanggar sekumpulan pelumba basikal lajak di Johor Bahru pada 2017.

    Sebelum perkara-perkara buruk ini berlaku, ada baiknya kita membuat langkah-langkah pencegahan. Bagi ibu bapa, nyawa anak kita tiada galang gantinya. Jadi pastikan anak-anak anda berada di rumah pada waktu malam demi untuk keselamatan mereka.

    Bagi pemandu pula, nampaknya dashcam kini merupakan sesuatu yang wajib. Peranti berkenaan mungkin boleh menyelamatkan anda dari tuduhan-tuduhan tak sepatutnya sekiranya perkara buruk terjadi – seperti apa yang berlaku di Klang baru-baru ini apabila seorang penipu yang sengaja berlari ke arah sebuah kereta bagi menggambarkan seolah-olah dia dilanggar untuk mendapatkan ganti rugi, tetapi nasib baik dashcam berjaya merakam segala-galanya.

     
     
  • Terus pantau budak basikal lajak elak berada di jalan raya; ibubapa, masyarakat berperanan penting – PDRM

    Terus pantau budak basikal lajak elak berada di jalan raya; ibubapa, masyarakat berperanan penting – PDRM

    Polis akan terus memantau di seluruh negara untuk mengelakkan penunggang basikal lajak daripada berada di jalan raya. Itulah yang dinyatakan oleh Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Mat Kasim Karim, yang memberitahu The Star bahawa berbasikal lajak adalah keterlaluan dan mereka tidak sepatutnya berada di jalan raya.

    “Modifikasi yang dilakukan pada basikal itu adalah keterlaluan. Basikal sebegini tidak sepatutnya berada di jalan kerana ia tidak mengikut spesifikasi,” ujarnya.

    Sejak kebelakangan ini, isu mengenai basikal lajak kembali hangat selepas hukuman mahkamah tinggi minggu lepas telah ditetapkan terhadap Sam Ke Ting yang dipenjarakan selama enam tahun kerana memandu secara melulu (itu pertuduhan, bukan kata-kata kami). Kejadian tragis pada tahun 2017 itu menyaksikan kematian lapan kanak-kanak lelaki yang menunggang basikal diubah suai di jalan utama di JB pada awal pagi.

    Mat Kasim berkata tindakan akan diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan, tetapi dalam masa yang sama turut menasihatkan ibu bapa supaya lebih peka dengan aktiviti anak-anak mereka. “Ibu bapa perlu memainkan peranan, begitu juga dengan masyarakat setempat. Kami tidak mahu tragedi sama berulang,” katanya.

    Ketua Penolong Pengarah JSPT Supt Bakri Zainal Abidin seramai 156 budak basikal lajak telah ditahan pada tahun 2019 dan 2020. Lebih 60% kes melibatkan kanak-kanak 12 tahun dan ke bawah, dan kebanyakan ditahan di sekitar KL dan Selangor. Semua basikal yang terlibat juga telah dirampas. Walau bagaimana pun, tiada tangkapan dibuat pada tahun lalu disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

    Selepas isu ini muncul semula dalam media arus perdana kerana kes Sam Ke Ting, lebih banyak video budak basikal lajak dan aksi mereka muncul di laman media sosial. Namun Bakri berkata kebanyakannya adalah video lama yang muncul semula. “Bagaimana pun, kami akan terus memantau aktiviti seumpama itu di seluruh negara,” katanya.

    Terus pantau budak basikal lajak elak berada di jalan raya; ibubapa, masyarakat berperanan penting – PDRM

    JSPT juga berkata aktiviti Mat Lajak kelihatan semakin reda apabila pihak berkuasa mula mengambil tindakan terhadap ibu bapa kerana kecuaian di bawah Akta Kanak-Kanak. Pada 2019, tindakan telah diambil terhadap enam ibu bapa kerana membiarkan anak mereka tanpa pengawasan, dan ternyata cara ini berjaya.

    Berkenaan dengan kes Sam, sukar untuk berkata mengenainya. Lapan nyawa terkorban, dan dia terpaksa merengkuk di penjara dan mungkin mengalami tekanan emosi yang dahsyat seumur hidup. Namun kecaman orang ramai terhadap penunggang basikal lajak dan ibu bapa mereka juga tidak kurang hebatnya. Masing-masing mahu aktiviti ini dibanteras agak tiada lagi yang terkorban disebabkan kes sebegini.

     
     
  • Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan secara sukarela sempena Aidilfitri sehingga 29 April

    Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan secara sukarela sempena Aidilfitri sehingga 29 April

    Seperti musim perayaan lain, Puspakom turut menanjurkan kempen #drivesafenoregrets Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela atau lebih dikenali sebagai VVI (Voluntary Vehicle Inspection) secara percuma sempena Hari Raya Aidilfitri ini.

    Ia ditawarkan kepada semua pemilik dan pemandu kenderaan persendirian sudah pun bermula sejak 16 April lalu dan berlangsung hingga 29 April 2022. Ia berlangsung di semua pusat pemeriksaan Puspakom seluruh negara (kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang hanya dikhaskan kepada kenderaan komersil berat sahaja) dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

    Kempen VVI percuma ini melibatkan 25 item pemeriksaan iaitu brek, gelincir sisi, tayar, suspensi, asap, lampu, bahagian bawah dan atas kenderaan, ketelusan cahaya cermin dan lain-lain lagi yang bertujuan memastikan tahap kondisi kenderaan adalah selamat untuk dipandu terutamanya ketika pulang ke kampung pada musim perayaan nanti.

    Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan secara sukarela sempena Aidilfitri sehingga 29 April

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Shukor Ismail berkata, kempen ini merupakan tanggungjawab korporat Puspakom bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap keperluan pemeriksaan kenderaan secara berjadual untuk memastikan tahap keselamatan kenderaan lebih-lebih lagi ketika musim perayaan di mana jumlah kenderaan di jalan raya dijangka tinggi.

    “Untuk pengetahuan orang ramai, di Puspakom kami menggunakan alat pemeriksaan berkomputer untuk menguji kecekapan dan keberkesanan komponen sesebuah kenderaan seperti cengkaman brek dan tahap pelepasan asap.

    “Laporan VVI dengan bacaan yang mengikut piawaian antarabangsa akan diberikan kepada pemilik kenderaan sebagai rujukan supaya mereka dapat mengetahui kondisi sebenar kenderaan yang dipandu atau kerosakan yang mungkin terdapat pada komponen kenderaan yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar,” jelas Shukor.

    Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan secara sukarela sempena Aidilfitri sehingga 29 April

    Tambahnya lagi, kenderaan yang selamat pasti memberi ketenangan kepada kita sebagai pemandu. “Oleh itu, orang ramai terutamanya pemilik dan pemandu kenderaan persendirian yang ingin pulang ke kampung pada hari raya ini, rebutlah peluang mendapatkan pemeriksaan percuma ini dari Puspakom untuk memastikan kenderaan anda selamat dipandu dan memberi anda lebih keyakinan ketika dalam pemanduan.”

    Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan pemeriksaan percuma di pusat pemeriksaan Puspakom boleh membuat janji temu dalam talian MyPUSPAKOM di www.mypuspakom.com.my. Selain daripada pusat pemeriksaan Puspakom, orang ramai juga boleh mendapatkan pemeriksaan percuma ini secara walk-in melalui Unit Pemeriksaan Bergerak Puspakom pada tarikh dan tempat yang ditetapkan.

    Bagi mereka yang ingin hadir untuk mendapatkan pemeriksaan kenderaan percuma ini perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan seperti memakai pelindung muka, mengimbas MySejahtera dan mengamalkan penjarakan sosial.

     
     
  • Polis tahan 13 pemandu mabuk sekitar Kuala Lumpur dalam operasi yang berlangsung hujung minggu lalu

    Polis tahan 13 pemandu mabuk sekitar Kuala Lumpur dalam operasi yang berlangsung hujung minggu lalu

    Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 13 pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk di sekitar Kuala Lumpur hujung minggu lalu dalam “Operasi Samseng Jalanan, Op Motosial/Pelbagai Kesalahan” yang dijalankan bermula 15 hingga 17 April, mensasarkan kawasan termasuk Jalan Kuching, Jalan Raja Laut serta sepanjang lebuhraya AKLEH dan DUKE.

    Menurut ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh, kesemua 13 orang yang ditahan dan akan dituduh di bawah Seksyen 45 (4) Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu di bawah pengaruh alkohol tersebut adalah lelaki warganegara berumur antara 21- dan 44-tahun.

    Mereka yang didapati bersalah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45 buat masa sekarang akan dikenakan denda minimum bermula RM1,000 (sehingga maksimum RM5,000) dan/atau penjara maksimum dua tahun. Pesalah kali pertama turut akan dibatalkan lesen memandu mereka dalam tempoh minimum selama dua tahun.

    Dalam operasi yang sama, polis turut menahan tiga individu berumur antara 16- dan 26-tahun kerana kesalahan menunggang motosikal secara merbahaya dan berlumba. Ketiga-tiga orang lelaki warganegara tersebut akan dituduh di bawah Seksyen 42(1).

    Seorang lagi lelaki warganegara berumur 24-tahun pula ditahan kerana menggunakan nombor pendaftaran palsu. Menurut JSPT KL lagi, sebanyak 253 saman telah dikeluarkan dalam operasi ini dan pihak polis telah menyita 12 motosikal serta empat buah kereta kerana diubahsuai secara haram, dan akan didakwa di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

     
     
  • Van elektrik penuh warga Singapura dilihat mencuri elektrik di fasiliti Shell Recharge 180 kW DC di Tangkak

    Van elektrik penuh warga Singapura dilihat mencuri elektrik di fasiliti Shell Recharge 180 kW DC di Tangkak

    Selepas kecoh berkenaan warga Singapura dilihat ‘mencuri subsidi’ negara kita dengan mengepam petrol RON95 sebaik sahaja pintu sempadan di buka bermula April lalu, kini satu lagi kesalahan ‘mencuri’ dibuat oleh warga negara republik berkenaan – kali ini sebuah kenderaan elektrik dengan nombor plat negara tersebut dilihat mencuri tenaga elektrik pula.

    Kejadian ini dirakam berlaku di stesen pengecas pantas DC Shell Recharge di Tangkak. Kenderaan yang dimaksudkan tersebut adalah sebuah van elektrik buatan China BYD T3 dengan nombor pendaftaran Singapura, dilihat sedang dicas menggunakan kemudahan berkenaan.

    Fasiliti Shell Recharge ini merupakan servis berbayar – anda perlu membayarnya terlebih dahulu menggunakan aplikasi ParkEasy, kemudian penghadang yang berada di bahagian tengah tempat parkir untuk mengecas tersebut akan diturunkan. Van elektrik milik warga Singapura ini dilihat tidak diparkir dengan betul di tempat yang disediakan ketika dicas dengan pengecas berkenaan dengan penghadang di tengah masih berdiri – menandakan ia menggunakan perkhidmatan itu secara curi-curi.

    Bayaran yang dikenakan untuk perkhidmatan ini adalah RM4 untuk yuran pengesahan serta RM20 untuk setiap lima minit pengecasan bagi 25 minit pertama. Selepas tempoh itu, bayaran yang dikenakan adalah RM20 untuk setiap blok selama lima minit.

    Jadi secara ringkas, anda akan dikenakan bayaran sebanyak RM240 sekiranya mengecas selama satu jam tanpa henti (RM244 termasuk yuran pengesahan). Bayaran ini diambil berdasarkan berapa lama anda meletakkan kenderaan anda di tempat parkir yang disediakan tersebut, tidak kira berapa banyak kWj yang dapat anda cas dari pengecas berkenaan.

    Tak kira warga negara mana, sekiranya anda pemilik EV, tolong jangan lakukan perkara ini. Nak dapatkan fasiliti seperti ini di Malaysia bukan senang. Ianya kini direalisasikan oleh pihak-pihak swasta yang sedang melabur dengan jumlah yang banyak bagi menyediakan infrastruktu pengecas EV yang sangat-sangat kita perlukan bagi memastikan adaptasi rakyat Malaysia untuk menggunakan kenderaan elektrik berjalan lancar.

     
     
  • VIDEO: Aksi Proton Iriz RX pada perlumbaan pusingan pertama 5 Nation BRX 2022 di Lydden Hill Race Circuit

    VIDEO: Aksi Proton Iriz RX pada perlumbaan pusingan pertama 5 Nation BRX 2022 di  Lydden Hill Race Circuit

    Pusingan pertama 5 Nation British Rallycross (BRX) Championship telah pun berlangsung pada hujung minggu lalu di Lydden Hill Race Circuit, menyaksikan kemunculan sulung dalam perlumbaan Proton Iriz RX pasukan Team RX Racing yang dibina bersama oleh Tony Bardy Motorsport (TBM) dan juga Mellors Elliot Motorsport.

    Pasukan itu tidak mengharapkan keputusan yang besar untuk pusingan pertama ini kerana Iriz RX berkenaan baru sahaja siap, dan masih banyak potensi kereta tersebut perlu diteroka. Namun pemandu jentera berkenaan dan juga prinsipal pasukan Team RX sendiri, Ollie O’Donovan mampu mara sehingga ke peringkat akhir pada pusingan pertama 5 Nation BRX musim 2022 ini.

    Ollie yang juga juara 2007 dan naib juara tahun lalu menghabiskan perlumbaan kelayakan pertama di tempat keempat, dan tempat kelima dalam perlumbaan kelayakan kedua, membolehkan dia mara ke pusingan separa akhir dengan mengumpul 79 mata bagi berada di tempat keempat keseluruhan. O’Donovan kemudiannya turut berjaya menamatkan perlumbaan peringkat separa akhir berkenaan di tempat keempat bagi melayakkan diri untuk berlumba di peringkat akhir.

    Pusingan pertama siri perlumbaan rallycross nasional British ini menyaksikan pemandu pasukan Xite Energy Racing, Oliver Bennett merangkul tempat pertama, dengan memandu BMW Mini yang sebelum ini dipandu dalam kejohanan World Rallycross dan Nitro Rallycross juga dalam kategori Supercar.

    Apa yang menarik, anak kepada Ollie iaitu Patrick O’Donovan yang baru sahaja berumur 18-tahun berjaya menamatkan perlumbaan akhir pusingan pertama ini di tempat kedua dengan memandu Ford Fiesta Supercar Team RX Racing. Manakala Juara 5 Nation BRX tahun lalu, Derek Tohill berada di tempat ketiga dengan memandu Ford Fiesta pasukan PFCRX.

    Juara enam kali Julian Godfrey (Ford Fiesta) menghabiskan perlumbaan di tempat keempat, manakala Tristan Ovenden (Citroen DS3) berada di belakang Iriz RX O’Donovan ketika melintasi garisan penamat. Roger Thomas (Ford Fiesta) dan Steve Hill (Mitsubishi Lancer Evo X) adalah dua lagi pelumba yang melengkapkan senarai pelumba untuk peringkat akhir pusingan pertama ini dalam kategori Supercar.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025