Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

    Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

    Indonesia bakal menggunakan sistem kutipan tol lebuhraya tanpa sebarang palang selewat-lewatnya pada tahun hadapan, dimulakan di Jawa dan Bali dan kemudian akan menggunakan sistem tersebut di seluruh republik berkenaan pada 2023, lapor akhbar Detik.com.

    Negara berkenaan menggunakan sistem yang digelar sebagai Multi Lane Free Flow (MLFF) ini sebagai salah satu cara untuk mengurangkan kesesakan jalan raya. Sistem tersebut disediakan oleh syarikat dari Hungary, Roatex Ltd menerusi entiti tempatan, PT Roatex Indonesia Toll System.

    “Secara proses nanti tidak akan ada palang lagi di depan, tidak akan ada gerbang, jadi boleh dikatakan corak pemikiran para pengguna itu akan kita gantikan dengan palang maya,” kata Emil Iskandar, ketua pembangunan perniagaan syarikat tersebut.

    Emil turut menegaskan bahawa syarikatnya turut telah bersedia dengan segala kemungkinan bagi mengatasi individu-individu yang cuba masuk ke lebuhraya secara percuma atau cuba untuk memperdaya sistem tanpa palang berkenaan. Menurutnya, ada dua sistem yang telah disiapkan bagi berhadapan masalah tersebut.

    Indonesia mula guna tol tanpa palang tahun depan

    Sistem pertama adalah menggunakan gantri tetap pada pintu masuk lebuhraya. Gantri tersebut akan dilengkapi dengan modul-modul pengawasan termasuk kamerta yang akan mengenalpasti setiap kenderaan atau data kenderaan yang melintas pada jalan masuk berkenaan.

    Manakala sistem kedua pula adalah menggunakan unit kawalan bergerak yang menampilkan pasukan pengawasan. Menurut Emil, unit kawalan bergerak berkenaan akan melakukan tugas yang sama seperti pada gantri tetap dengan mengumpul semua data kenderaan yang masuk ke lebuhraya.

    “Kami akan mengenalpasti setiap data kenderaan yang masuk, sama ada data pengguna yang sudahpun berdaftar atau pun data pengguna yang belum berdaftar. Jadi ada kemungkinan pengguna yang belum mendaftar di aplikasi MLFF itu masuk melintas ke jalan MLFF. Namun semuanya akan kami kesan ke dalam fungsi penguatkuasaan. Kemudian data itu akan kami hantar, masuk ke pemprosesan data dan selepas itu data berkenaan akan disalurkan terus ke data pihak polis bagi diambil tindakan,” jelas Emil.

    Sebelum ini pernah tular video satu ujian di tol Simpang Susun Waru-Bandara Juanda, Surabaya yang menggunakan sistem Radio Frequency Identification (RFID) yang bukan sahaja tidak memerlukan pemandu memperlahankan kenderaan ketika melalui palang tol, malah turut boleh melepasinya pada kelajuan tinggi.

    Menurut jurucakap syarikat PT Citra Marga Nusaphala Persada (CMNP) yang menguruskan lebuhraya berkenaan, Annisa Indrayanti kepada akhbar Kompas, sistem RFID tersebut adalah sistem Single Lane Free Flow (SLFF) yang secara asasnya sama dengan sistem MLFF, cuma masih menggunakan palang.

    Kita di Malaysia juga mungkin akan turut mengguna pakai sistem MLFF pada masa akan datang. Menurut presiden Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM), Datuk Azman Ismail pada Julai 2019, semua lebuhraya di seluruh negara akan menggunakan sistem MLFF setelah sistem RFID diimplementasikan di semua plaza tol.

    “Saya yakin kami boleh (mencapai dalam masa tiga tahun). Ia bukan sesuatu yang baru sahaja kami mulakan, ia adalah kerja yang sedang berjalan. Jika anda tanya pada berberapa syarikat konsesi, kebanyakkan peralatan sudah pun dipasang di lorong, pada peringkat perintis,” katanya dalam satu laporan Bernama kira-kira dua tahun lalu.

     
     
  • Pan Borneo di Sarawak hampir siap 70% – Fadillah

    Pan Borneo di Sarawak hampir siap 70% – Fadillah

    Biar pun kemelut politik di negara ini kian panas, namun jangan pula lupa dengan perkembangan semasa yang melibatkan projek infrastruktur bagi kemudahan rakyat. Terkini, Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mengesahkan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) di Sarawak sudah mencapai 69.6% siap.

    Menurut beliau, walaupun berdasarkan kontrak, tarikh siap sepenuhnya LPB Sarawak disasarkan pada September 2022 namun berikutan pelbagai kekangan, termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan penularan pandemik COVID-19, kelewatan tidak dapat dielakkan, laporan Bernama.

    “Kita hadapi kekangan seperti masalah rantaian bekalan dan kenaikan kos bahan binaan serta isu kekurangan pekerja kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP). Cabaran pematuhan SOP yang berbeza di lokaliti setiap bahagian di Sarawak yang dirangka khusus juga menjadi antara kekangan, kelewatan penyiapan projek sememangnya tidak akan dapat dielakkan,” katanya.

    Selain itu, Fadillah berkata pada masa sama pihak pemaju projek juga berdepan kesukaran mendapatkan pekerja ketika pandemik.

    Tambahnya, “Kerajaan Persekutuan sentiasa komited dalam memastikan peruntukan projek infrastruktur utama negara ini mencukupi selain bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri Sarawak. Apabila LPB siap nanti, rakyat Sarawak khususnya bakal menikmati jaringan jalan raya yang lebih selesa dan efisien serta peluang untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi di sektor pembinaan.”

     
     
  • Kilang, pusat edaran, bilik pameran dan pusat cuci kenderaan boleh beroperasi bermula 16 Ogos 2021

    Kilang, pusat edaran, bilik pameran dan pusat cuci kenderaan boleh beroperasi bermula 16 Ogos 2021

    Setelah beberapa pemain utama sektor automotif tempatan menyuarakan gesaan terhadap kerajaan agar membenarkan sektor berkenaan memulakan semula operasi dalam masa terdekat, kerajaan dalam satu kenyataan yang baru dikeluarkan akhirnya bersetuju untuk memberikan kelonggaran itu, termasuk bagi negeri-negeri yang masih berada dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) ketika ini.

    Bermula Isnin, 16 Ogos 2021, beberapa sektor berkaitan automotif seperti pengilangan/pembuatan, pusat pengedaran dan bilik pameran serta pusat cuci kenderaan dibenarkan untuk beroperasi semula. Tetapi, ada syarat atau SOP baru yang perlu dipatuhi — bagi kunjungan ke bilik pameran misalnya, hanya pelanggan yang sudah lengkap dua dos vaksin (dan selepas 14 hari bagi dos kedua) sahaja yang boleh berkunjung secara fizikal ke premis.

    Satu lagi syarat yang ditetapkan kerajaan berkaitan vaksin ini untuk kelonggaran terbaru ini adalah, ia hanya diberikan kepada negeri yang sudah menyaksikan lebih 50% populasi dewasa mereka telah selesai menerima suntikan vaksin tersebut. Ini bermakna, Selangor dan juga Kuala Lumpur (yang menjadi negeri utama lokasi kilang-kilang automotif di Malaysia) akan termasuk dalam senarai ini dan boleh beroperasi.

    Kilang, pusat edaran, bilik pameran dan pusat cuci kenderaan boleh beroperasi bermula 16 Ogos 2021

    Sebelum ini, beberapa kilang yang berada dalam negeri Fasa 2 dan 3 PPN telahpun dibenarkan beroperasi di bawah syarat-syarat tertentu. Kini, kelonggaran sama dilanjutkan kepada negeri-negeri Fasa 1; kilang mereka boleh beroperasi hingga kapasiti penuh, bergantung kepada kadar vaksinasi seperti dinyatakan.

    Setakat 14 Ogos 2021, sejumlah kadar vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa (18 tahun ke atas) di Lembah Klang sudah mencapai 64.7% kadar yang telah divaksin. Untuk itu, individu yang telah lengkap dua dos vaksin (dan lengkap 14 hari selepas dos kedua) boleh memanfaatkan kemudahan atau kelonggaran terbaru ini.

    Selain Lembah Klang, negeri-negeri lain yang juga sudah melebihi kadar 50% pemvaksinan terhadap populasi dewasa termasuk Sarawak, Negeri Sembilan, Perlis dan Labuan. Dalam kenyataan yang sama juga turut menjelaskan, perincian garis panduan bagi bagi kemudahan-kemudahan yang baru diumumkan ini akan dikeluarkan oleh MKN dalam masa terdekat.

     
     
  • Lamborghini Countach dilahirkan semula – LPI 800-4 hanya 112 unit, V12 6.5L, 803 hp, 0-100 km/j 2.8 saat!

    Lamborghini Countach dilahirkan semula – LPI 800-4 hanya 112 unit, V12 6.5L, 803 hp, 0-100 km/j 2.8 saat!

    Seperti yang diumumkan tempoh hari, bersama beberapa imej teaser yang disiarkan, Lamborghini telah mendedahkan sepenuhnya supercar ikonik mereka pada era 70’an hingga 80’an dalam versi kelahiran semula – ini dia, Lamborghini Countach generasi baharu!

    Secara spesifiknya, model ini dikenali sebagai Lamborghini Countach LPI 800-4, dan ia dihasilkan terhad hanya 112 unit sempena ulangtahun ke-50 nama Countach itu sendiri. Ia didedahkan di Pebble Beach, Amerika Syarikat ketika berlangsungnya acara The Quail: A Motorsports Gathering.

    Countach kelahiran semula ini menampilkan rekaan yang diadun dari pelbagai versi Countach klasik khususnya dari versi konsep LP 500 dan juga model produksi asal LP 400. Ia menampilkan badan yang berbentuk baji, kemudian diberikan perincian-perincian ikonik Countach seperti penutup bonet hadapan yang berbentu trapezoid, liang udara pada sisi badan, serta sirip dan corong kemasukan udara di belakang pintu.

    Lamborghini Countach dilahirkan semula – LPI 800-4 hanya 112 unit, V12 6.5L, 803 hp, 0-100 km/j 2.8 saat!

    Namun, tiada lagi lampu hadapan jenis ‘pop-up’ diberikan (rekaan tersebut sudah diharamkan atas sebab-sebab keselamatan), tetapi lampu utama Countach LPI 800-4 ini dihasilkan mirip dengan kluster lampu isyarat membelok/lampu kecil pada Countach klasik. Manakala gril nipis pada muncung Countach baharu ini pula nampak seperti diinspirasikan dari Countach LP 500.

    Bahagian belakangnya turut menerima rekaan yang mirip seperti Countach klasik termasuk rekaan empat tip ekzos dan lampu belakang, namun ia menerima berberapa rekaan moden bagi memberikan kesan aerodinamik lebih baik seperti diffuser gentian karbon pada bahagian bawah, serta spoiler kawalan elektronik dengan tiga posisi yang boleh disorokkan.

    Countach LPI 800-4 ini diasaskan dari Lamborghini Aventador/Sian dengan casis monocoque. Anda mungkin lihat hanya beberapa bahagian badan Countach ini menggunakan material gentian karbon seperti pada splitter hadapan, cermin sisi dan sebagainya, namun hakikatnya keseluruhan badan supercar tersebut adalah diperbuat dari gentian karbon. Ini membolehkan Countach mencapai berat kering hanya pada 1,595 kg.

    Lamborghini Countach dilahirkan semula – LPI 800-4 hanya 112 unit, V12 6.5L, 803 hp, 0-100 km/j 2.8 saat!

    Seperti model klasiknya, model generasi baharu ini turut dijana oleh enjin V12 tanpa sebarang induksi paksaan. Secara spesifik, Countach menerima sistem rangkaian kuasa hibrid yang sama seperti Lamborghini Sian FKP 37. Ia terdiri dari enjin V12 NA 6.5 liter berkuasa 769 hp dan tork maksima 720 Nm yang boleh menjerit sehingga 8,700 rpm, dibantu oleh motor elektrik berkuasa 34 hp.

    Motor untuk sistem hibrid 48-volt tersebut diletakkan pada kotak gear, dijana kapasitor super yang didakwa menghasilkan kuasa tiga kali ganda lebih besar berbanding bateri lithium ion, membolehkan Countach dibekalkan dengan kuasa keseluruhan berjumlah 803 hp.

    Enjin tersebut diletakkan di belakang pemandu dengan kedudukan menegak sama seperti Countach asli, namun kotak gear tujuh-kelajuan yang dibekalkan menghantar kuasa ke kesemua roda menerusi sistem AWD tetapi dari Haldex. Ini membolehkan Countach LPI 800-4 memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 2.8 saat, dan mencatatkan kelajuan maksima 355 km/j.

    Casis Countch ini menampilkan suspensi jenis Double Wishbone dengan penyerap hentak dan spring yang diletakkan secara melintang untuk bahagian hadapan dan belakang. Ia turut dilengkapi brek karbon seramik dengan diameter 400 mm di hadapan dan 380 mm di belakang.

    Bagi roda pula, supercar ini menerima rim dengan rekaan signatur Lamborghini seperti pendail telefon klasik bersaiz 20 inci dengan lebar 9 inci di hadapan dan rim 21 inci dengan lebar 13 inci di belakang. Ia dibalut dengan tayar Pirelli P Zero Corsa bersaiz 255/30ZR20 di hadapan dan 355/25ZR21 di belakang.

    Pada bahagian kabin, secara asasnya ia menampilkan rekaan asas yang sama dengan Sian, namun diberikan perincian diinspirasikan dari kokpit Countach asli. Ia menerima skrin infotainmen HDMI 8.4 inci dengan hubungan Apple CarPlay.

    Pembeli boleh memilih Countach mereka dalam pelbagai warna warisan asli Lamborghini, namun kebanyakkan adalah warna solid seperti Impact White, Giallo Countach dan Verde Medio. Unit yang dibawa ke pendedahan sulungnya ini diberikan warna badan Bianco Siderale, iaitu putih dengan unsur mutiara kebiru-biruan sama seperti Countach LP 400 S milik pengasas syarikat tersebut, Ferruccio Lamborghini.

    Harga untuk Lamborghini Countach LPI 800-4 ini masih belum didedahkan, namun pembeli terawal yang menempah bakal menerima kereta mereka pada suku pertama 2022.

     
     
  • Hot Wheels Legends Tour Malaysia 2021 – pendaftaran sudah dibuka, hantar penyertaan sebelum 8 Sept ini

    Hot Wheels Legends Tour Malaysia 2021 – pendaftaran sudah dibuka, hantar penyertaan sebelum 8 Sept ini

    Selepas berjaya menganjurkannya buat pertama kali di Malaysia pada tahun lalu, Art of Speed Malaysia (AOS) sekali lagi diberi kepercayaan untuk mengendalikan Hot Wheels Legends Tour untuk edisi 2021. Bagi mereka yang berminat untuk menyertainya, sukacita dimaklumkan bahawa pendaftarannya sudah pun dibuka sekarang.

    Bagi mereka yang masih belum mengetahui, Hot Wheels Legends Tour bukanlah pertandingan mengubahsuai kereta mainan die-cast 3-inci Hot Wheels. Sebaliknya ia adalah pertandingan custom kereta sebenar, di mana kereta yang diisytiharkan sebagai pemenang di peringkat dunia nanti akan diabadikan sebagai kereta Hot Wheels skala 1:64 dan akan dijual di pasaran global.

    Hot Wheels Legends Tour Malaysia 2021 – pendaftaran sudah dibuka, hantar penyertaan sebelum 8 Sept ini

    Bagi mereka yang berminat untuk menyertai Hot Wheels Legends Tour 2021 peringkat Malaysia ini, anda boleh mendaftar secara online pada PAUTAN INI. Segala perkara yang diperlukan untuk pendaftaran berkenaan turut dijelaskan secara terperinci dalam laman berkenaan.

    Tarikh tutup pendaftaran adalah pada 8 September 2021. Jadi jika anda rasa kereta ubahsuai anda berpotensi untuk mengharumkan nama Malaysia di peringkat dunia, dan berpeluang untuk menjadi kereta mainan yang direbut oleh kanak-kanak (dan bapak budak) di rak-rak jualan Hot Wheels seluruh dunia, jangan malu jangan segan, daftar segera untuk menyertai Hot Wheels Legends Tour 2021!

     
     
  • Satu lagi skuter adventure 150 cc akan tiba di M’sia?

    Satu lagi skuter adventure 150 cc akan tiba di M’sia?

    Honda ADV 150 dan WMoto Xtreme 150 yang berada dalam pasaran Malaysia nampaknya bakal menerima saingan baru apabila kami mendapat khabar bahawa sebuah lagi skuter adventure 150 cc akan tiba tidak lama lagi, berkemungkinan pada awal tahun 2022.

    Tidak banyak perincian yang boleh didedahkan buat masa ini, tetapi kami mendapat tahu, spesifikasi model yang akan dijual masih lagi belum diputuskan. Antara penyebabnya adalah keadaan lojistik semasa yang memberi gangguan kepada pengilang, masalah bekalan mikrocip serta caj penghantaran yang meningkat.

    Apa yang boleh dikatakan, model di bawah jenama baru ini akan menggunakan enjin satu silinder dan mempunyai bentuk badan adventure seperti ADV150 dan Xtreme 150. Kita juga boleh menjangkakan penghadang angin hadapan yang diberikan terus, bersama skrin LCD serta sistem pemula tanpa kunci.

    Kita juga masih tidak mengetahui sama ada model pasaran Malaysia akan dipasang dengan brek ABS atau tidak, tetapi pakej brek yang diberi mungkin melibatkan set cakera di depan belakang, selain lampu jenis LED. Adakah anda rasa ini akan menjadi satu lagi model popular dalam segmen yang semakin hangat sekarang?

     
     
  • Naza gesa kerajaan buka segera industri automotif

    Naza gesa kerajaan buka segera industri automotif

    Kumpulan Automotif Naza menggesa kerajaan untuk membenarkan semula sektor automotif tempatan untuk menyambung operasi dalam kadar segera, selepas dua setengah bulan PKP penuh dikenakan. Dalam satu kenyataan, syarikat itu menegaskan bahawa keseluruhan rantaian bekalan sektor berkenaan telah terkesan dengan teruk, terutama selepas penutupan penuh operasi perkilangan sejak awal Julai lalu.

    CEO syarikat itu, Datuk Nik Hamdam Nik Hassan berkata, banyak syarikat dengan peranan sangat penting terhadap pengeluaran dan rantaian bekalan terletak di Selangor dan Kuala Lumpur. “Gangguan lebih lama terhadap perniagaan serta rantaian bekalan akan memberi kesan buruk kepada industri, terutama dengan pergantungan besar industri automotif terhadap pasaran domestik,” ujarnya.

    “Penutupan berterusan terhadap jualan kenderaan, pengeluaran dan pengedaran kenderaan, komponen dan alat ganti, penutupan bilik pameran dan pusat edaran, serta penutupan penuh operasi akan membawa kesan penutupan perniagaan, terutama bagi pemain industri yang lebih kecil peranannya.”

    Naza gesa kerajaan buka segera industri automotif

    “Situasi semasa ketika ini bukan hanya tentang menyusahkan pelanggan, sebaliknya boleh melibatkan risiko kepada pemilik kenderaan akibat penggunaa berterusan dan kenderaan yang tidak diselenggara dengan betul serta kegagalan menggantikan alatan yang perlu mengikut jadual,” jelas kenyataan itu.

    UMW Toyota Motor melalui Presidennya, Ravindran Kurusamy turut menyuarakan hal yang sama berkaitan penutupan semua bilik pameran Toyota dan Lexus telah membuatkan syarikat itu tidak dapat menjalankan sebarang perniagaan. KL dan Selangor kekal dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), yang menetapkan kekangan ketat terhadap semua sektor ekonomi. Timbalan Pengerusinya, Akio Takeyama menambah, jika keadaan ini berterusan, ia tidak hanya akan memberik kesan kepada kenderaan komersial, yang sangat penting dalam tugas-tugas logistik di seluruh negara.

    “Tambahan pula, perniagaan eksport juga akan terus terkesan memandangkan anak syarikat kami mengeksport dalam jumlah yang agak banyak melibatkan komponen automotif, sebagai sebahagian daripada rantaian bekalan global Toyota. Jika keadaan begini kekal, kami khuatir pelanggan kami di luar akan mencari pembekal lain memandangkan mereka tidak boleh menangguh pengeluaran mereka akibat kekurangan alatan komponen dari Malaysia. Ini juga akan memberi kesan langsung kepada ekonomi Malaysia sekiranya jumlah eksport semakin menurun,” tambahnya.

     
     
  • Mahu Honda Integra baru? Acura siarkan teaser, sahkan nama ikonik akan muncul semula pada 2022!

    Mahu Honda Integra baru? Acura siarkan <em>teaser</em>, sahkan nama ikonik akan muncul semula pada 2022!

    Acura Integra Teaser Sketch

    Baru-baru ini tular media sosial imej yang didakwa sebagai Honda Integra Type R generasi baharu untuk menggantikan model DC5 yang telah ditamatkan pada 2006. Malah turut tular adalah gambar model yang sama dilihat tampil dengan pelekat penyamaran dan sedang diuji di atas jalan raya awam.

    Malangnya, imej tersebut bukanlah imej rasmi dari Honda, tetapi sekadar bayangan yang dibuat oleh peminat, manakala gambar kereta yang diuji tersebut adalah gambar palsu yang direka.

    Namun, apa yang anda lihat pada gambar yang kami siarkan di atas bukanlah rekaan. Ia adalah imej teaser rasmi yang disiarkan oleh sub-jenama Honda bagi model-model premium iaitu Acura ketika acara Monterey Car Week di California yang sedang berlangsung!

    Mahu Honda Integra baru? Acura siarkan <em>teaser</em>, sahkan nama ikonik akan muncul semula pada 2022!

    Acura TLX Type S

    Walau bagaimanapun, masih tidak dapat dipastikan sama ada nama ‘Integra’ hanya akan digunakan pada Acura, atau ia turut akan menerima versi yang menggunakan logo Honda. Menerusi imej teaser yang disiarkan oleh Acura berkenaan, dapat dilihat nama ‘Integra’ tersebut diletakkan pada bampar hadapan sebuah model dengan lampu hadapan signatur terbaharu Acura.

    Melihat pada susur galur sejarah, nama Integra adalah satu daripada dua buah model asal Acura ketika jenama berkenaan diperkenalkan buat pertama kali di Amerika Syarikat pada Mac 1986. Menurut Acura dalam teaser model baharu ini, Integra bakal masuk semula ke barisan modelnya tahun hadapan sebagai model “kompak premium baharu”.

    “Integra sudah kembali. Saya teruja untuk mengatakan bahawa Integra akan kembali dalam barisan model Acura dengan semangat seronok untuk dipandu dan DNA aslinya, memenuhi komitmen kami bagi prestasi yang dihasilkan secara jitu dalam setiap aspek – rekaan, prestasi dan pengalaman pemanduan keseluruhan,” kata naib presiden dan pegawai jenana Acura, Jon Ikeda.

    Mahu Honda Integra baru? Acura siarkan <em>teaser</em>, sahkan nama ikonik akan muncul semula pada 2022!

    Acura akan mendedahkan lebih perincian berkenaan Integra generasi baharu ini hampir dengan tarikh pelancarannya kelak. Tak mustahil, Integra generasi baharu ini mungkin akan dihasilkan sebagai versi coupe yang diasaskan dari sedan Acura TLX.

    Buat masa sekarang, TLX merupakan sedan premium yang dihasilkan khas hanya dengan logo Acura, tanpa versi dengan jenama Honda. Jadi sekiranya benar Integra generasi baharu ini adalah model yang diasaskan dari TLX, ada kemungkinan ia tidak akan dihasilkan dengan jenama Honda dan mungkin pasarannya juga tidak begitu luas.

    Sebelum ini, Acura Integra Type R DC2 yang ditawarkan di Amerika Syarikat merupakan model pertama Type R yang dijual secara rasmi selain dari pasaran Jepun. Model generasi DC5 pula tidak dikenali sebagai Integra, tetapi dijual dengan nama Acura RSX di AS, dengan varian tertinggi diberikan lencana Type S.

     
     
  • Honda U-Go dilancar di China – skuter elektrik dengan harga serendah RM4.9k, laju maksimum 53 km/j

    Honda U-Go dilancar di China – skuter elektrik dengan harga serendah RM4.9k, laju maksimum 53 km/j

    Meskipun pasaran skuter elektrik di China sudah padat, Honda telah melancarkan satu lagi model yang dipanggil sebagai U-Go. Ada dua versi yang ditawarkan, dengan masing-masing mempunyai kuasa serta kelajuan maksimum yang berbeza.

    Bagi U-Go varian 800W, ia dijual pada harga 7,499 yuan (RM4,893), dan datang dengan kuasa maksimum 1.2 kW serta laju maksimum 43 km/j. Satu lagi varian mempunyai kuasa maksimum 1.8 kW, boleh mencapai laju maksimum 53 km/j dan dijual pada harga 7,999 yuan (RM5,220).

    Kedua-dua model U-Go ini dilengkapi dengan bateri 48 volt 30 Ah, dan ia boleh dicabut dengan mudah untuk dicas atau ditukar dengan bateri lain. Dengan cas penuh, bateri ini dikatakan boleh memberi jarak gerak sehingga 65 km. Motor penggerak pula berada pada hab roda belakang.

    Kelengkapan lain pada skuter elektrik ini adalah termasuk ruang simpanan barang di bawah tempat duduk, panel instrumen LCD ringkas yang turut menunjukkan tahap bateri, tinggi tempat duduk 740 mm dan berat 83 kg.

    Honda U-Go ini direka sebagai pilihan yang menjimatkan dan ia hanya sesuai digunakan di dalam kawasan yang padat atau di dalam bandar sahaja. Setakat ini masih belum diberitahu sama ada ia hanya akan dijual di China atau juga akan memasuki pasaran lain.

     
     
  • Acura NSX Type S didedahkan – harga bermula RM718k, hanya 350 unit, berkuasa 608 PS/667 Nm!

    Acura NSX Type S didedahkan – harga bermula RM718k, hanya 350 unit, berkuasa 608 PS/667 Nm!

    2022 Acura NSX Type S

    Seperti yang diumumkan sebelum ini, Acura telah mendedahkan NSX produksi paling berkuasa pernah dihasilkan – ini dia, Acura NSX Type S! Model ini merupakan edisi ‘selamat tinggal’ sempena tahun terakhir NSX ditawarkan dalam pasaran, dan ia dihasilkan hanya 350 unit.

    Ini merupakan NSX Type S pertama ditawarkan di luar Jepun sejak lencana Type S diperkenalkan pada NSX generasi pertama dan ia dihasilkan di kilang Performance Manufacturing Center (PMC), Ohio, Amerika Syarikat. Dari 350 unit yang dihasilkan, 300 unit akan dijual di AS, dan selebihnya akan dieksport ke luar. Acura juga menyatakan bahawa NSX Type S ini merupakan model produksi jalan raya paling berkuasa pernah dihasilkan jenama divisi premium Honda berkenaan.

    NSX Type S ini masih dijana oleh rangkaian kuasa hibrid yang terdiri dari enjin V6 3.5 liter dengan dua pengecas turbo dan juga sepasang motor elektrik berkuasa 72 hp/146 Nm di kedua-dua roda hadapan serta sebuah motor elektrik di belakang berkuasa 47 hp/148 Nm.

    Namun untuk enjin petrol NSX Type S ini, ia dirombak semula dengan penggunaan penyuntik bahan api baharu yang memberikan kadar aliran 25% lebih tinggi, unit intercooler baru yang mampu menyisihkan haba 15% lebih baik, serta sepasang pengecas turbo baharu yang dikongsi bersama jentera lumba sebenar NSX GT3 Evo yang memberikan boost turbo lebih tinggi pada kadar 16.1 psi berbanding jumlah asal 15.2 psi.

    Acura NSX Type S didedahkan – harga bermula RM718k, hanya 350 unit, berkuasa 608 PS/667 Nm!

    2022 Acura NSX Type S

    Ini membolehkan enjin tersebut mengekstrak 20 PS dan 55 Nm lebih besar, menjadikan kuasa keseluruhan yang dibekalkan pada NSX Type S ini berjumlah 608 PS dan tork maksima 667 Nm. Kuasa dari enjin yang terletak di tengah kerangka kereta tersebut dialirkan ke roda belakang menerusi kotak gear klac berkembar automatik DCT sembilan kelajuan.

    Acura turut membuat talaan semula pada kotak gear berkenaan bagi membolehkan pemandu menurunkan gear dengan lebih agresif menerusi mod Rapid Downshift, penurunan gear secara automotik juga lebih agresif, tukaran gear naik yang lebih pantas dalam mod Sport dan Sport+, serta mampu untuk mengekalkan putaran enjin pada tahap tinggi ketika menurunkan gear dengan lebih baik dalam mod Track.

    Bagi memberikan sensasi pemanduan yang lebih baik, sistem Intake Sound Control (ISC) dan Active Sound Control (ASC) pada NSX Type S ini juga ditala semula bagi memberikan bunyi ‘sedutan’ udara dan bunyi enjin yang lebih mengujakan ketika dipandu.

    Menurut Acura, sistem torque vectoring pada sistem pacuan Sport Hybrid Super Handling All-Wheel Drive (SH-AWD) NSX Type S ini turut ditala semula bagi memaksimakan prestasinya. Nisbah gear pada dua motor elektrik yang memacu gandar hadapan kini telah direndahkan sebanyak 20%, memberikan pecutan lebih baik.

    Acura NSX Type S didedahkan – harga bermula RM718k, hanya 350 unit, berkuasa 608 PS/667 Nm!

    2022 Acura NSX Type S

    Selain talaan semula dibuat pada casis dan suspensi, pengendalian model ini juga turut ditambah baik menerusi pemadanan rim aloi forged lima jejari baharu yang membolehkan ukuran trek hadapan meningkat 0.4 inci dan belakang meningkat 8-inci. Rim tersebut dibalut dengan tayar Pirelli P-Zero yang khas dibangunkan untuk NSX Type S ini (mempunyai cop “H0” pada bahagian sisi) bersaiz 245/35ZR di hadapan dan 305/30ZR20 di belakang.

    Ia juga menerima brek Brembo dengan angkup enam omboh di hadapan serta angkup empat-omboh di belakang, di mana kesemuanya datang dengan kemasan merah secara standard.

    Acura turut menawarkan Lightweight Package untuk NSX Type S ini yang menampilkan komponen-komponen lebih ringan terdiri dari penutup enjin gentian karbon, kemasan-kemasan dalaman gentian karbon dan juga set brek Brembo karbon seramik (dengan angkup dalam kemasan hitam, perak, merah atau oren). Pakej ini menampilkan pengurangan berat sebanyak 26.4 kg.

    Untuk semua tingkat taraf prestasi yang dibuat ini, Acura mendakwa bahawa NSX Type S mampu untuk mencatatkan masa lap 2 saat lebih pantas di litar Suzuka, Jepun berbanding Acura NSX 2021 standard.

    Acura NSX Type S didedahkan – harga bermula RM718k, hanya 350 unit, berkuasa 608 PS/667 Nm!

    2022 Acura NSX Type S

    Acura juga membuat penambahbaikkan pada Intelligent Power Unit (IPU) supercar hibrid ini bagi membolehkan motor elektriknya diberfungsi dengan lebih efektif. Ini membolehkan kadar pengggunaan kapasiti bateri meningkat 20%, serta memberikan ouput bateri 10% lebih baik. Dengan kapasiti dan output bateri lebih tinggi ini juga membolehkan sistem Sport Hybrid SH-AWD ditala bagi memberikan prestasi lebih baik untuk semua mod pemanduan.

    Dari segi rupa luaran, NSX Type S ini menerima tingkat taraf aerodinamik dan juga pelbagai perincian lebih unik. Ia diberikan liang ambilan udara lebih besar bersama spoiler gentian karbon pada di hadapan yang boleh mengurangkan kesan terangkat pada bahagian berkenaan.

    Ia juga menerima gril hadapan lebih besar bagi mengalirkan udara lebih banyak kepada radiator, manakala empat lagi liang, dua untuk setiap sisi akan mengalirkan udara ke sub-radiator yang terletak di belakang bampar.

    Liang pada bampar hapadan berkenaan turut mengalirkan udara ke bahagian sisi kereta serta mewujudkan tirai udara. Ini membolehkan bahagian sisi turut kurang terangkat, sambil membantu aliran udara lebih baik kepada liang udara sisi khas untuk menyejukkan intercooler bagi sistem turbo.

    Ia turut diberikan diffuser lebih besar di belakang, dihasilkan dari inspirasi rekaan jentera lumba GT3 Evo yang didakwa mampu memberikan kestabilan lebih baik dalam kelajuan tinggi, serta memberikan downforce lebih baik ketika mengambil selekoh.

    Selain dari spoiler hadapan, bahagian luaran lain NSX Type S ini turut menerima banyak komponen gentian karbon, antaranya kemasan pada bendul sisi, spoiler deck-lid di belakang, diffuser belakang dan juga pada bumbung. Menurut Acura, komponen-komponen lebih ringan ini membantu NSX Type S berkenaan mendapat titik graviti lebih rendah.

    Selain itu, Type S juga menerima kemasan-kemasan Gloss Berlina Black pada penutup cermin sisi dan pembuka pintu, serta kemasan gelap lain seperti pada tip ekzos, serta pada lampu hadapan dan belakang. Kemasan penutup enjin kini diwarnakan merah dan jelas kelihatan menerusi cermin tingkat belakang, bersama plak nombor siri unik yang diletakkan pada bahagian hujung. Lencana-lencana Type S turut diberikan pada sisi badan, berhampiran ruang roda belakang.

    NSX Type S ini ditawarkan dalam 10 warna badan, kesemuanya dicat dengan lima lapisan. Menurut Acura, setiap lapisan berkenaan akan dipastikan kering sepenuhnya sebelum diberikan satu lapisan baharu. Model Type S ini turut menerima satu warna badan baharu yang digelar Gotham Grey yang didakwa model pertama Acura di Amerika Utara yang diberikan kemasan akhir matte.

    Kemasan kusam tersebut dihasilkan dengan lapisan akhir clear matte metallic bagi mengantikan lapisan akhir berkilat pada warna lain. Warna Gotham Grey ini hanya diberikan pada 70 unit NSX Type S, dan ia perlu dihantar dari kilang PMC ke premis pengedar dengan menggunakan teknik isitimewa bagi mengelakkan cat tersebut rosak.

    Antara teknik berkenaan turut termasuk penggunaan filem pelindung badan yang dilekat pada badan kereta, serta selimut badan yang lebih lembut digunakan ketika kereta tersebut dihantar. Kakitangan yang mengendalikan penghantaran berkenaan juga akan menerima latihan khas.

    Untuk bahagian dalaman pula, NSX Type S diberikan pelapik bumbung Alcantara. Secara standard ia diberikan upholsteri dengan kombinasi Alcantara dan kulit Semi-Aniline dengan warna Ebony, Orchid dan merah. Manakala upholsteri kulit Semi-Aniline penuh dengan warna Ebony atau merah ditawarkan secara opsyen. Logo Type S disulam pada glove box dan diberikan pada kunci, manakala logo NSX dilekap pada perehat kepala tempat duduk.

    Acura NSX Type S 2022 dijual pada harga bermula $169,500 (RM718k), manakala model yang hadir dengan Lightweight Package dijual pada harga $182,500 (RM773k).

     
     
  • Petronas tarik tajaan dalam Sepang Racing Team

    Petronas tarik tajaan dalam Sepang Racing Team

    Selepas enam tahun menaja pasukan lumba MotoGP, Moto2 dan Moto3, Petronas nampaknya akan menarik semua tajaan mereka dalam pasukan Sepang Racing Team (SRT). Dalam laporan yang disiarkan oleh motorsport.com, Petronas tidak akan lagi menyokong usaha perlumbaan SRT, dan SRT akan cuma memberi fokus kepada pasukan MotoGP sahaja.

    Itupun, keadaannya masih belum tentu. Pada tahun 2019, pasukan MotoGP SRT telah membuat penampilan pertama yang cukup mengejutkan dan pada tahun 2020 pula, mereka hampir memenangi kejuaraan dunia melalui Franco Morbidelli.

    Walaubagaimanapun, tahun depan Morbidelli akan diambil masuk ke pasukan factory Yamaha, untuk menggantikan Maverick Vinales yang kontraknya telah ditamatkan awal, sementara Valentino Rossi pula telah mengumumkan persaraan beliau menjelang akhir musim ini.

    Petronas tarik tajaan dalam Sepang Racing Team

    Dalam Moto3 pula, Darryn Binder yang berlumba untuk pasukan SRT dikhabarkan bakal melompat terus ke MotoGP tahun hadapan. Seorang lagi pelumba lain, iaitu Raul Fernandez, ada menunjukkan minat untuk berlumba dalam pasukan SRT, tetapi kontrak beliau bersama KTM masih belum tamat.

    Laporan ini juga menyatakan SRT akan menutup terus pasukan Moto2 dan Moto3, sementara bagi pasukan MotoGP, Yamaha telah membuat rundingan semula untuk menyediakan jentera lumba ‘B’ (teknologi dua atau tiga tahun ke belakang), dan bukannya ‘A’ seperti yang digunakan oleh Quartararo pada tahun 2020.

     
     
  • Honda Civic 2022 dilancarkan di Singapura — 1.5L VTEC Turbo, 129 PS, Honda Sensing, dari RM384k

    Honda Civic 2022 dilancarkan di Singapura — 1.5L VTEC Turbo, 129 PS, Honda Sensing, dari RM384k

    Honda Civic FE generasi ke-11 kini telah dilancarkan di Singapura, dengan pengedarnya Kah Motor hanya menawarkan satu varian sahaja dengan harga jualan SGD122,999 (RM383,851) termasuk COE.

    Pelanggan di sana ditawarkan dengan varian 1.5 liter DOHC VTEC Turbo empat-silinder yang menghasilkan 129 PS (127 hp) dari 5,500 hingga 6,000 rpm dan 180 Nm tork dari 1,700 hingga 4,500 rpm. Ini sebenarnya kurang daripada apa yang ada untuk pasaran Thailand misalnya, bahkan jika dibandingkan dengan model terdahulu yang dijual di Singapura. Mengapa begitu?

    Ini kerana talaan enjinnya direndahkan bagi memastikan Civid layak diterima dalam kategori A COE, yang paling murah daripada lima kategori yang tersenarai dalam Vehicle Quota System (VQS) di Singapura. Bagi memenuhi keperluan COE ini, sesebuah kereta itu mesti mempunyai sesaran enjin tidak lebih 1,600 cc (1.6 liter) dengan output maksimum 97 kW (132 PS atau 130 hp) — kedua-duanya ada pada Civic baru ini.

    Honda Civic 2022 dilancarkan di Singapura — 1.5L VTEC Turbo, 129 PS, Honda Sensing, dari RM384k

    Civic FC generasi ke-10 sebelum ini yang dijual di negara itu menawarkan enjin 1.5 liter VTEC Turbo yang menghasilkan 173 PS dan 220 Nm tork. Jadi, walaupun ia menepati bahagian pertama keperluan untuk Kategori A tersebut, output yang lebih tinggi tergolong dalam Kategori B yang lebih mahal.

    Bagi Civic FE ini, ia masih menggunakan CVT yang menghantar kuasa ke roda depan. Enjin berkenaan juga mempunyai kadar penggunaan minyak 6.4 liter per 100 km. Tiada bacaan emisi yang disertakan, tetapi model ini diletakkan di jalur B dalam Vehicular Emission Scheme (VES) negara itu, bermaksud ia tidak menikmati apa-apa rebat berkaitan.

    Kelengkapan standard untuk pasaran Singapura termasuk lampu utama projektor halogen dengan DRL LED, lampu belakang LED, rim 16-inci, sistem tanpa kunci, mod pemanduan ECON, pengecas tanpa wayar, kemasan kulit, stereng multi-fungsi dan pendingin hawa automatik dengan corong belakang.

    Honda Civic 2022 dilancarkan di Singapura — 1.5L VTEC Turbo, 129 PS, Honda Sensing, dari RM384k

    Bagi skrin paparan, terdapat dua yang disediakan dalam kabin, termasuk kluster instrumen digital tujuh-inci serta skrin sentuh sembilan-inci bagi sistem audio dengan sokongan Android Auto dan Apple CarPlay.

    Dari aspek keselamatan, model ini dilengkapi dengan Honda Sensing yang terdiri antaranya daripada kawalan melayar adaptif dengan ikutan kelajuan rendah, sistem brek penghindar perlanggaran dengan amaran pergerakan ke depan, bantuan mengekalkan lorong dan beberapa lagi. Sistem LaneWatch juga ada, berserta sistem keselamatan pasif yang lain (ABS, VSA, Brake Hold Assist, enam beg udara dan ISOFIX).

    Ada tujuh warna ditawarkan termasuk Meteoroid Grey Metallic, Morning Mist Blue Metallic, Platinum White Pearl, Lunar Silver Metallic, Crystal Black Pearl, Ignite Red Metallic dan Brilliant Sporty Blue Metallic. Setiap pembelian datang dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan serta servis percuma selama setahun, yang boleh dinaik taraf kepada tiga tahun dengan tambahan SGD 2,000 (RM6,238).

     
     
  • Proton sahkan 86% staf telah divaksin sepenuhnya

    Proton sahkan 86% staf telah divaksin sepenuhnya

    Sejak memulakan program vaksinasi PIKAS pada pertengahan Julai lalu, sehingga kini, Proton telah mengesahkan seramai lebih 86% dari 8,486 warga kerjanya sudah divaksin sepenuhnya sebagai langkah pencegahan Covid-19.

    Bagi pusingan kedua program ini, angka berkenaan dijangka akan bertambah kerana 98% pekerja sudah menerima dos pertama, sejajar dengan sasaran syarikat untuk mencapai imuniti kelompok di dalam rangkaian operasi syarikat.

    Sama seperti pusingan pertama vaksinasi, kompleks sukan di kilang Tanjung Malim telah digunakan sebagai Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN), menyediakan kemudahan vaksinasi bagi warga kerja serta pembekal di kawasan setempat, sementara mereka yang bekerja di Shah Alam mendapat vaksin di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC).

    “Proton dengan sukacitanya ingin memaklumkan bahawa program vaksinasi PIKAS telah dijalankan dengan berjaya. Seramai lebih daripada 60,000 orang di dalam ekosistem perniagaan kami, termasuk warga kerja dari pembekal dan wakil jualan, jadi kami amat berterima kasih kepada MITI, MOSTI dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk segala bimbingan bagi memastikan semua yang mendaftar melalui aplikasi MySejahtera telah mendapat vaksin mereka. Ia merupakan tugasan besar yang memerlukan koordinasi yang baik.

    “Kami menjangkakan lebih 80% dari rangkaian operasi kami akan mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang akhir Ogos ini dan ini akan membantu Proton untuk memulakan operasi sebaik sahaja industri automotif diberi lampu hijau untuk kembali beroperasi di seluruh negara,” kata Dr Li Chunrong, Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    Sebagai persediaan, Proton telah meneliti semula prosedur perniagaannya untuk mengurangkan kebarangkalian penyebaran jangkitan penyakit. Operasi di setiap rangkaian telah diperketatkan untuk melindungi pelanggan dan pekerja sementara proses pembuatan di semua kilang Proton akan dipantau untuk mengurangkan sebarang risiko kebolehjangkitan kepada operasi di pelbagai peringkat.

    “Proton komited untuk membantu Malaysia mengurangkan angka penularan wabak Covid-19 supaya mencapai matlamat Pelan Pemulihan Negara. Kami telah menghasilkan proses baharu di semua peringkat, dari kilang pembuatan ke pejabat korporat, bagi memastikan persekitaran bekerja yang baru dan selamat.

    “Ia juga bermaksud peraturan ketat akan dikuatkuasakan dan kaedah seperti mesyuarat dalam talian dan pembahagian kerja dari rumah dan pejabat akan menjadi norma baru dalam masa terdekat,” tambah Dr Li Chunrong.

     
     
  • Puspakom Teluk Kumbar, P. Pinang ditutup sementara

    Puspakom Teluk Kumbar, P. Pinang ditutup sementara

    Puspakom Sdn Bhd telah mengumumkan penutupan sementara operasi bagi Pusat Pemeriksaan Kenderaan Teluk Kumbar, Pulau Pinang mulai semalam, 12 Ogos 2021, bagi melakukan proses disinfeksi dan sanitasi. Ini adalah bagi memastikan keselamatan semua pihak.

    Menurut Puspakom, pembukaan semula cawangan terbabit akan dimaklumkan kelak. “Bagi pelanggan yang telah membuat temujanji pemeriksaan di cawangan tersebut, bayaran temujanji akan dipulangkan secara automatik dalam tempoh 30 hari.

    “Temujanji pemeriksaan boleh dilakukan semula apabila Puspakom Teluk Kumbar beroperasi kembali seperti biasa. Sebagai alternatif, pelanggan juga boleh ke cawangan berdekatan iaitu Puspakom Mak Mandin (bagi semua kategori kenderaan) atau Puspakom Batu Maung (bagi kenderaan perdagangan ringan dan kenderaan persendirian sahaja),” ujar Puspakom.

    Sambil menambah, pelanggan diminta untuk mengabaikan Peringatan Temujanji MyPUSPAKOM jika menerimanya sepanjang tempoh penutupan cawangan. Orang ramai boleh mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd atau melayari www.puspakom.com.my untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung operasi Puspakom dari semasa ke semasa.

     
     
  • Dua bas perantara MRT diguna sebagai stesen vaksinasi Covid-19 bergerak untuk komuniti orang asli

    Sama seperti bas Rapid Penang yang kini sedang digunakan sebagai pusat vaksinasi Covid-19 bergerak di Pulau Pinang, dua bas perantara MRT kini melakukan tugas yang sama di Lembah Klang. Bas-bas berkenaan merupakan sebahagian daripada program outreach vaksinasi (VOP) untuk komuniti orang asli di Desa Temuan, berhampiran Damansara Perdana, Petaling Jaya.

    Penggunaan bas-bas tersebut juga merupakan sebahagian usaha kerjasama antara MRT Corp dan Pusat Perubatan Universiti Malaya (UMMC) untuk VOP, bagi menyokong VOP Jabatan Kemajuan Orang Asli dan Hospital Orang Asli Gombak.

    Bas-bas berkenaan digunakan bagi dijadikan empat stesen vaksinansi untuk perempuan, manakala stesen-stesen vaksinasi lain di lokasi utama VOP terletak dalam Dewan Seri Temuan adalah untuk lelaki.

    Pegawai-pegawai perubatan UMMC yang bertugas dalam bas-bas berkenaan dilengkapi dengan meja-meja mudah alih bersama kelengkapan-kelengkapan lain. Manakala tempat duduk belakang bas pula dijadikan tempat menunggu bagi mereka yang sedang beratur.

    Sekitar 200 Orang Asli menerima vaksinasi mereka sejak pagi sehingga lewat petang Rabu lalu. Selain dari komuniti Orang Asli, warga asing yang duduk disekitar kawasan berkenaan turut diberikan suntikan vaksin.

    Kedua-dua bas berkenaan dipandu oleh kakitangan Rapid Bus. Sebelum ini bas-bas tersebut turut digunakan sebagai kenderaan untuk membawa dua lagi komuniti ke UMMC bagi menerima vaksin Covid-19.

    Dengan kapasiti serta penggunaan kenderaan awam ketika pandemik yang sedang berkurangan, ini merupakan antara contoh bagaimana MRT Corp dan Prasarana dapat terus menggunakan aset mereka bagi membantu negara memerangi wabak Covid-19.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.16 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.88 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.08 (0.00)
Last Updated Sep 04, 2025