Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • BMW S1000R 2021 – kerangka lebih ringan, 165 hp

    BMW S1000R 2021 – kerangka lebih ringan, 165 hp

    Selain daripada G310R, ‘abang besarnya’ iaitu S1000R juga telah diperbaharui untuk tahun 2021. BMW memberikan model naked ini kerangka dan panel badan serba baru, bersama beberapa teknologi lain yang diambil daripada superbike S1000RR.

    Enjin empat silinder selari 999 cc yang digunakan kini mampu menghasilkan 165 hp pada 11,000 rpm dan 115 Nm tork dari 9,250 rpm, dan ditala semula untuk memberikan lengkung tork yang lebih linear. Nisbah tiga gear teratas pada transmisi enam kelajuan motosikal ini dijadikan lebih panjang untuk mengurangkan bunyi bising dan memperbaiki penggunaan bahan api.

    Kotak gear itu juga dipasang dengan klac anti-hopping yang lebih lancar sementara fungsi engine drag torque control (MSR) serta quickshifter yang dipanggil sebagai Shift Assistant Pro pula disediakan sebagai pilihan tambahan (sebahagian fungsi dalam pakej Riding Modes Pro).

    BMW S1000R 2021 – kerangka lebih ringan, 165 hp

    BMW mendakwa S1000R kini adalah model naked sports paling ringan dalam kelasnya, dengan mencatat berat 199 kg bagi model asas dan apabila ditambah dengan pakej dinamik serta keselesaan yang disediakan, ia menjadi 202 kg. Pemilik juga boleh menjadikan model ini lebih ringan lagi – sehingga 4.8 kg – melalui pakej M yang disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Kerangka Flex Frame yang diambil daripada S1000RR digunakan pada S1000R, dan ia dijadikan lebih ramping di bahagian berhampiran peha penunggang supaya lebih selesa dan mudah bergerak. Kerangka yang lebih ringan ini turut dipadankan bersama pemegang yang boleh dilaras sebanyak 10 mm mengikut keselesaan penunggang sementara riser yang lebih tinggi pula dijual secara berasingan.

    Di hadapan penunggang terdapat panel instrumen TFT LCD 6.5 inci yang boleh dikawal melalui butang di bahagian pemegang dan ia boleh disambung kepada telefon pintar untuk pelbagai fungsi termasuk penunjuk arah navigasi secara standard. Paparan Pure Ride dan Core diberikan terus sementara melalui pakej M pula, ia akan ditambah dengan paparan ketiga yang mempunyai pencatat masa pusingan dalam litar.

    BMW S1000R didatangkan dengan tiga mod tunggangan iaitu Rain, Road dan Dynamic, sementara ciri elektronik lain yang diberikan secara standard adalah termasuk Dynamic Traction Control (DTC) dan ABS Pro. Apabila mendapatkan pakej Riding Modes Pro pula, ia akan ditambah dengan mod Dynamic Pro, fungsi Engine Brake pada MSR, Power Wheelie serta Dynamic Brake Control.

    Semua lampu pada model ini menggunakan unit LED, dan apabila mendapatkan pakej Headlight Pro, ia akan ditambah lagi dengan fungsi adaptif serta DRL. BMW Motorrad juga menawarkan pelbagai lagi pakej naik taraf serta aksesori untuk S1000R ini termasuklah M Package, Carbon Package dan Milled Parts Package.

     
     
  • Hyundai mulakan produksi EV di Indonesia pada 2022

    Hyundai mulakan produksi EV di Indonesia pada 2022

    Menurut laporan media, Hyundai merancang untuk memulakan pengeluaran kenderaan elektrik (EV) di Indonesia pada tahun 2022. Pengeluar kereta Korea itu kini sedang membangunkan kilang pemasangan baharu di Cikarang, Jawa Barat, dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan, menurut, timbalan presiden dan COO Hyundai Motor Asia Pacific, Lee Kang Hyun.

    “Dengan sokongan kementerian dan kerajaan Jawa Barat, pembinaan kilang terbabit kini 65% siap walau pun sedang dilanda pandemik Covid-19,” tambah beliau yang berkata demikian dalam Persidangan Pelaburan Jawa Barat 2020 di Bandung awal minggu ini. Fasiliti berkenaan bakal menjadi pusat pembuatan berskala penuh yang pertama di Asia Tenggara.

    Lee turut berkata kilang terbabit akan mula beroperasi pada hujung tahun 2021 dan bergerak sepenuhnya untuk menghasilkan model enjin pembakaran, serta memulakan produksi bagi EV pada 2022. Kilang berkenaan dijangka mampu menampung kapasiti pengeluaran sebanyak 150,000 unit setahun, dan boleh meningkat sehingga 250,000 unit setahun apabila perancangan pelaburan itu selesai.

    Sebelum ini, kenyataan menyebut perancangan syarikat terbabit untuk mengeksport 53% hasil dari kilang berkenaan, kebanyakannya ke pasaran ASEAN termasuk Australia, dan mengekalkan 47% untuk kegunaan domestik. Hyundai telah mengumumkan buat pertama kalinya perancangan untuk menubuhkan kilang berkenaan pada Disember 2018, dengan kos pelaburan sebanyak US$880 juta RM3.6 bilion). Kemudian kos berkenaan naik sehingga US$1.55 bilion (RM6.34 bilion) pada tahun lalu.

    Indonesia bukanlah satu-satunya negara di rantau ini yang dipilih oleh pengeluar kereta untuk membuat pelaburan sedemikian. Bulan lalu, ia turut mengumumkan pembinaan untuk pusat inovasi baharu di Singapura telah dimulakan. Ia akan menjadi makmal inovasi bagi kajian dan pembangunan mobiliti masa hadapan syarikat berkenaan serta kilang pengeluaran berskala kecil untuk EV.

    Hyundai Motor Group Innovation Centre (HMGICS)
    berlokasi di Daerah Inovasi Jurong (JID), akan mula beroperasi pada hujung 2022, dan fasiliti berkenaan dijangka mampu memasang sehingga 30,000 kenderaan menjelang tahun 2025 di fasiliti produksi yang akan bertempat di lokasi berkenaan. Laporan ada menyebut model dari sub-jenama Ioniq bakal dipasang di kilang berkenaan.

     
     
  • Mitsubishi Xpander mula diserah kepada pelanggan

    Mitsubishi Xpander mula diserah kepada pelanggan

    Mitsubishi Motor Malaysia (MMM) telah umumkan bahawa serahan model Xpander kepada pelanggan yang membuat tempahan awal sebelum ini sudah bermula. Xpander juga kini sudah berada di semua bilik pameran Mitsubsihi seluruh negara, termasuk untuk sesi pandu uji.

    “Mitsubishi Motor sangat berbesar hati untuk mula menyerahkan Xpander pemasangan tempatan ini kepada pelanggan terawal kami. Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada mereka diatas sokongan yang diberikan.

    “Angka tempahan yang diterima oleh MMM setakat ini telah melangkaui angka kapasiti pengeluaran sehingga bulan Disember 2020. Pelanggan yang membuat tempahan selepas ini akan menerima unit produksi bagi tahun 2021, yang akan dikenakan cukai jualan selepas Disember nanti,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Tomoyuki Shinnishi.

    Mitsubishi Xpander mula diserah kepada pelanggan

    Perbezaan harga dengan pengecualian cukai SST yang ditawarkan ketika ini dan harga anggaran dengan SST selepas Disember 2020 adalah seperti berikut:

    • Semenanjung Malaysia RM91,359 – (RM94,800)
    • Sabah RM92,698 – (RM96,316)
    • Sarawak RM92,748 – (RM96,366)
    • Labuan RM87,204 – (RM87,242)
    • Langkawi RM86,103 – (RM86,141)

    Harga berkenaan ialah harga atas jalan, tidak termasuk insurans ataupun kos pendaftaran persendirian.

    GALERI:Mitsubishi Xpander 2020 di Malaysia

     
     
  • BMW G310R 2021 dipertingkat dengan ride by wire dan klac anti-hopping, kuasa masih 34 hp dan tork 28 Nm

    BMW G310R 2021 dipertingkat dengan ride by wire dan klac anti-hopping, kuasa masih 34 hp dan tork 28 Nm

    Model roadster berkapasiti rendah keluaran BMW, iaitu G310R telah diperbaharui untuk tahun 2021. Paling jelas adalah penampilannya, yang semakin garang seperti ‘abang besarnya’, S1000R, dan ia kini dilengkapi dengan lampu hadapan serta lampu penunjuk arah LED.

    Enjin masih lagi sama, iaitu unit satu silinder 313 cc yang mampu menghasilkan kuasa 34 hp pada 9,500 rpm dan 28 Nm tork pada 7,500 rpm, tetapi ia telah dipertingkat dengan pendikit jenis ride-by-wire sementara kotak gear enam kelajuan pula dipertingkat dengan klac jenis anti-hopping.

    Peningkatan lain adalah pada tuil klac dan brek, di mana ia sekarang menggunakan unit yang boleh dilaras untuk menyesuaikannya dengan saiz serta keselesaan penunggang. Bahagian lain semuanya masih sama seperti model sebelumnya.

    Ini termasuklah fork USD 41 mm, monoshock di belakang, rim 17 inci, brek cakera tunggal 300 mm berserta angkup empat piston di hadapan, cakera 240 mm serta angkup satu piston di belakang, sistem ABS, tangki bahan api 11 liter serta tinggi tempat duduk standard 785 mm (tempat duduk yang lebih tinggi atau rendah dijual sebagai pilihan tambahan).

    BMW G310R 2021 ditawarkan dalam tiga warna iaitu Cosmic Black, Polar White dan Limestone Metallic untuk versi Sport. Bagi kesemua pilihan warna ini, bahagian penutup alternator, klac dan pam coolant, serta tapak peletak kaki dan pemegang belakang diwarnakan Titanium Grey Metallic.

     
     
  • Subaru jelaskan kenapa BRZ 2022 masih tiada turbo

    Subaru jelaskan kenapa BRZ 2022 masih tiada turbo

    Boleh saya katakan, setiap orang yang pernah memandu Subaru BRZ generasi pertama dan juga Toyota 86, semuanya bersetuju dengan satu perkara – kereta sport berkenaan cukup seronok untuk dipandu kerana karekteristik pengendaliannya, namun kuasa enjin yang diberikan tidak cukup.

    Jadi untuk model generasi kedua BRZ yang telah pun didedahkan pada 18 November lalu, Subaru telah memberikan kuasa tambahan pada BRZ. Namun bukan dengan menggunakan pengecas turbo seperti yang ramai cadangkan, tetapi dengan membesarkan kapasiti enjin dari 2.0 liter kepada 2.4 liter.

    Kenapa Subaru memilih kaedah ini bagi mendapatkan kuasa dan tidak memilih pengecas turbo? Perkara ini dijelaskan ketua perhubungan awam Subaru, Dominick Infante kepada portal automotif Road & Track.

    Menurutnya, enjin boxer empat-silinder FA24 2.4 liter pada BRZ berkenaan berasal dari SUV dengan tiga-baris tempat duduk Subaru Ascent. Pada SUV tersebut, enjin FA24 berkenaan turut diberikan pengecas turbo yang diletakkan pada sebelah bawah.

    Subaru jelaskan kenapa BRZ 2022 masih tiada turbo

    Jika pengecas turbo yang sama terus diberikan pada BRZ, enjin tersebut sudah tentu perlu diletakkan lebih tinggi, dan ini akan menjejaskan titik graviti yang rendah pada BRZ, dan titik graviti rendah ini sebenarnya antara penyumbang terbesar mengapa pengendalian BRZ begitu baik.

    Tambah Infante lagi, kelengkapan untuk sistem turbo sudah tentu menambah lagi berat keseluruhan BRZ dan bakal menjadi penyebab karekter pengendalian kereta berkenaan yang seimbang terjejas. Sejak dari model generasi pertama, BRZ dihasilkan untuk menjadi sebuah kereta sport yang mampu milik, pengendalian yang luar biasa serta ringan.

    Enjin FA24 pada BRZ ini menghasilkan 228 hp pada takat 7,000 rpm, serta tork maksima 249 Nm yang boleh dicapai hanya pada takat 3,700 rpm. Ia jelas jauh lebih berkuasa dari enjin FA20 sebelum ini yang menjana 200 PS pada takat 7,000 rpm dan tork maksima 205 Nm antara 6,400 dan 6,600 rpm.

    Kapasiti yang lebih besar ini sudah tentu melibatkan perubahan pada dimensi omboh, di mana ia kini bukan lagi sebuah enjin jenis square; ukuran bore naik dari 86 mm kepada 96 mm, manakala lejang masih kekal 86 mm menjadikan ia sebuah enjin under-square.

    Subaru jelaskan kenapa BRZ 2022 masih tiada turbo

    Nisbah mampatan juga kini lebih tinggi dengan meningkat dari 12.5:1 kepada 13.5:1. Sistem suntikan bahan api berkembar port dan juga terus D4S dari Toyota masih digunakan pada enjin ini, bersama sistem Dual Active Valve Control System (DAVCS) bagi mengawal pemasaan bukaan injap kemasukan dan ekzos.

    Maka tidak hairanlah bukan sahaja angka kuasa kuda dan tork naik, malah kadar redlinenya kini ditetapkan 100 rpm lebih tinggi iaitu pada 7,500 rpm serta bacaan tork puncak dapat dicapai pada takat rpm yang lebih rendah.

    Infante turut menjelaskan bahawa jurutera Subaru bekerja keras bagi memastikan enjin baharu ini ditala dengan memberikan lengkung tork yang rata. Dengan puncak tork pada rpm lebih rendah, kelajuan kereta lebih mudah untuk dikekalkan. Namun untuk keseronokan, Subaru terpaksa berkompromi dengan penggunaan bahan api yang lebih tinggi.



     
     
  • GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2020 Oren

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2020 Oren

    Dua minggu lalu, Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) memperkenalkan tambahan terbaru bagi trak pikap varian tertingginya, Triton Adventure X yang untuk tahun 2020 hadir dengan satu warna baru, Sun Flare Orange Pearl. Warna ini pernah dilihat digunakan pada Triton Athelete pasaran Thailand yang diperkenalkan tahun lalu. Dan kali ini, kami bawa anda untuk mendekati lagi penawaran berkenaan melalui galeri terperinci yang disediakan ini.

    Ia sebagai tambahan kepada warna sedia ada yang ditawarkan sebelum ini, iaitu Jet Black Mica dan White Diamond. Selain itu, jika dilihat dari sisi, Triton oren ini juga diberikan pelekat hiasannya sendiri.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2020 Oren

    Penawaran ini bagaimanapun tidak melibatkan perubahan lain. Mitusbishi Triton Adventure X kekal hadir standard dengan lampu hadapan projektor bi-LED bersama lampu nyalaan siang LED, Flying Sports Bar pada bed belakang dan juga rim aloi dua tona dengan diameter 18-inci yang dibalut dengan tayar 265/60R18.

    Lain-lain perkara yang disediakan secara standard termasuk perakam video digital, pemantau pandangan keliling (ARM), sistem infotainmen dengan skrin sesentuh 7-inci sokongan Apple CarPlay dan Android Auto, tempat duduk balutan kuilt bersama larasan kuasa untuk pemandu, pedal penukar gear di stereng dan pengelap cermin automatik.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2020 Oren

    Untuk aspek keselamatan, Triton Adventure X hadir dengan sistem bantuan pemanduan termasuk sistem Forward Collision Mitigation (brek kecemasan autonomous untuk kenderaan dan pejalan kaki), Blind Spot Warning dengan Lane Change Alert, Rear Cross Traffic Alert, Ultrasonic Misacceleration Mitigation System (depan dan belakang), Auto High Beam, amaran tali pinggang pemandu hadapan serta penderia parkir depan dan belakang.

    Ia turut menerima sistem keselamatan asas lain seperti brek ABS, EBD, BA, kawalan kestabilan, kawalan cengkaman dan tujuh beg udara. Tiada perubahan pada enjin Triton Adventure X; ia masih digerakkan dengan enjin 2.4 liter MIVEC VGT Turbodiesel berkuasa 181 PS dan tork maksima 430 Nm, digandingkan dengan transmisi automatik enam kelajuan dan sistem pacuan empat roda Super Select 4WD-II, bersama mod Off-Road dengan empat tetapan iaitu Gravel, Mud, Sand dan Rock.

    GALERI: Mitsubishi Triton Adventure X 2020 Oren

    Mitsubishi Triton Adventure X masih dijual pada harga yang sama iaitu RM137,900 di Semananjung Malaysia. Angka yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran. Tiada pengecualian cukai jualan untuk insentif PENJANA 2020 kerana trak pikap dikelaskan sebagai kenderaan komersil. Ia turut hadir dengan waranti selama lima tahun atau 200,000 km, yang mana sampai dahulu. Ok warna ini dengan Triton?

    Mitsubishi Triton Adventure X 2020

     
     
  • Mitsubishi Outlander dapat 5 bintang ASEAN NCAP

    Mitsubishi Outlander dapat 5 bintang ASEAN NCAP

    Walau pun sudah empat tahun dilancarkan di Malaysia, baru-baru ini Mitsubishi Outlander telah menjalani ujian pelanggaran oleh ASEAN NCAP. Hasil ujian tersebut, SUV tujuh-tempat duduk ini telah diberikan penarafan lima-bintang, seperti mana model plug-in hybrid yang turut menerima keputusan yang sama pada tahun lepas.

    Unit khas, yang dipasang dan dijual di Vietnam ini, menerima keseluruhan markah sebanyak 83.54% berbanding Outlander PHEV yang dipasang di Jepun dengan 86.75%. Walau pun jurang markah tidak jauh, ia menerima 33.06 mata daripada 36 mata untuk pelindungan penumpang dewasa (AOP), 40.48 mata daripada 49 mata untuk pelindungan penumpang kanak-kanak (COP) dan 12.21 mata daripada 18 mata bagi teknologi bantuan keselamatan (SAT).

    Outlander untuk pasaran Vietnam itu turut diberikan sistem bantuan pemandu termasuklah brek kecemasan sendiri, pemantauan titik buta dan kepekaan trafik lintasan belakang, yang menambahkan mata dalam markah SAT. Sayangnya, tiada satu pun ciri tersebut ditawarkan untuk Outlander pasaran Malaysia.

    “ASEAN NCAP sangat berbangga dengan Mitsubishi Outlander, bagi model bukan-hibrid, yang mencapai penarafan lima-bintang ini, lebih kurang sama dengan model PHEV yang diuji pada tahun 2019,” ujar Ketua Pengarah MIROS, Khairil Anwar Abu Kassim, yang juga merupakan setiausaha agong dan pemangku pengerusi bagi ASEAN NCAP.

    Sambungnya lagi, “Kami gembira kerana Mitsubishi telah mempertimbangkan untuk menawarkan pilihan kepada para pengguna untuk memilih jenis enjin bagi SUV ini tanpa menjejaskan prestasi keselamatannya. Malah kami juga berbesar hati dapat bekerjasama dengan Mitsubishi dan pengeluar kereta lain untuk meningkatkan prestasi keselamatan kenderaan yang dijual di rantau Asia Tenggara.”

    GALERI: Mitsubishi Outlander 2.4 4WD CKD di Malaysia

     
     
  • Tayar Toyo Proxes CR1 dilancarkan secara rasmi di M’sia – harga bermula RM160, untuk kereta dan SUV

    Tayar Toyo Proxes CR1 dilancarkan secara rasmi di M’sia – harga bermula RM160, untuk kereta dan SUV

    Toyo Tyre Malaysia hari ini telahpun melancarkan tayar baharu, Toyo Proxes CR1 dan juga CR1 SUV pada pasaran tempatan. Pelancaran yang dilakukan secara maya berkenaan disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook rasmi mereka, dan turut menampilkan Raja Drift Malaysia, Tengku Djan Ley.

    Menurut Toyo, tayar siri baharu ini dihasilkan khas untuk kegunaan kereta penumpang biasa dan juga SUV, serta memberikan empat kelebihan utama iaitu senyap, selamat, selesa dan bergred tinggi.

    Untuk menjadikan ia senyap, Proxes CR diberikan bahan penyerap bunyi di dalam tayar mampu untuk mengurangkan kadar kebisingan di jalan raya dan mampu untuk meningkatkan keseronokan pemanduan, dakwa Toyo. Selain itu, corak bunga pada tayar ini juga menampilkan ciri Out-In Different pitch arrangement, bersama lapisan perlindungan kebisingan yang mampu mengurangkan kadar pelepasan tenaga bunyi yang terhasil di setiap bahagian.

    Proxes CR1 juga dikatakan menawarkan ciri yang selamat di mana ia menawarkan prestasi yang unggul ketika berada di jalan basah dan kering. Tayar ini direka dengan corak saliran yang terdiri daripada empat jalur lebar utama, yang membantu pembuangan air dengan cepat dari kawasan sentuhan, bagi memberikan prestasi terbaik pada permukaan basah.

    Ia juga menampilkan ciri triple taper & rib bagi membantu menambah baik ketahanan terhadap kehausan bunga dan meningkatkan prestasi dalam keadaan kering. Ciri multi-wave sipe pula membantu menghalang kadar kehausan yang tidak sekata pada sisi tayar, manakala Jointless cap ply diberikan bagi menambah baik prestasi pemanduan pada halaju tinggi.

    Untuk keselesaan, Proxes CR1 menampilkan teknologi signatur Toyo iaitu T-Mode dan Nano Balance. Menerusi teknologi ini, ia didakwa menawarkan pemanduan yang lebih lancar dan menyenangkan.

    Menurut Toyo lagi, dari segi prestasi secara keseluruhan, Proxes CR1 mampu mengurangkan sehingga 11 peratus kadar bunyi, dan 2 peratus pengurangan kesan aquaplaning, sekaligus meningkatkan prestasi di atas permukaan basah jika dibandingkan dengan model terdahulu, Nano Energy 3. Selain daripada itu, Proxes CR1 turut mempunyai kadar rintangan golekan yang lebih rendah yang menyumbang kepada penggunaan bahan api yang lebih baik.

    “Tayar Toyo Proxes CR1 adalah sangat ideal untuk digunakan pada kedua-dua kenderaan Jepun dan Eropah, khususnya kereta dan SUV antara segmen A sehingga segmen D,” kata Tan Song Chye, Presiden dan Pengarah Urusan Toyo Tyre Sales and Marketing Malaysia Sdn Bhd.

    Tayar Toyo Proxes CR1 dilancarkan secara rasmi di M’sia – harga bermula RM160, untuk kereta dan SUV

    “Hasil daripada penggunaan teknologi termaju Jepun, Proxes CR1 pasti dapat memenuhi keperluan pemandu terutama bagi mereka yang menghargai tayar yang menawarkan prestasi unggul dan beraksi secara konsisten dalam kelajuan tinggi, baik di atas kondisi jalan basah dan kering. Ia turut menawarkan ciri keselamatan, penggunaan bahan api yang lebih efisien dan pengurangan bunyi bising yang menyumbang kepada keseronokan pemanduan yang lebih baik,” tambahnya lagi.

    Tengku Djan Ley hadir bukan sekadar menjadi tetamu, pelumba drift professional Malaysia itu sempat menguji sendiri tayar Proxes CR1 ini pada kereta Mercedes-Benz C230 beliau dan berkongsi maklum balasnya terhadap tayar berkenaan. Menurut beliau, tayar CR1 ini menawarkan pemanduan yang selesa dan selamat untuk lebuhraya dan jalan biasa, selain merasakan kadar bunyi bising yang terhasil adalah minimum.

    Tayar Proxes CR1 untuk kereta penumpang boleh didapati dalam 36 saiz bermula dari untuk rim berdiameter 14 inci hingga 18 inci, manakala tayar Proxes CR1 SUV terdapat dalam sembilan saiz untuk rim berdiameter 17 hingga 19 inci. Harga jualan untuk tayar kereta Proxes CR1 bermula dari RM160 hingga RM440, manakala tayar SUV Proxes CR1 pula bermula dari RM380 hingga RM580 bergantung kepada saiz tayar yang dipilih.

    Tayar Toyo Proxes CR1 ini boleh didapati di Pusat Tayar Toyo, dan Pusat Tayar Silverstone di seluruh negara. Bersempena dengan pelancaran tayar baharu Proxes CR1, para pengguna yang membeli satu set tayar Proxes CR1 akan menerima hadiah percuma berupa payung edisi terhad Proxes CR1 sementara stok masih ada.

     
     
  • Toyo Proxes CR1 dilancarkan hari ini – tonton ‘live’ pukul 9 malam nanti dan menang satu set tayar!

    Toyo Proxes CR1 dilancarkan hari ini – tonton ‘live’ pukul 9 malam nanti dan menang satu set tayar!

    Toyo Tyre Malaysia bakal melancarkan secara rasmi tayar berprestasi tinggi Proxes CR1 hari ini – ia akan berlangsung secara maya sebentar lagi pada pukul 9 malam dan anda boleh tonton secara langsung menerusi laman facebook rasmi Toyo Tyre Malaysia dan juga laman Facebook paultan.org.

    Drift King Malaysia Tengku Djan Ley Tengku Mahaleel turut akan membuat penampilan istimewa ketika pelancaran tersebut berlangsung, dan beliau akan berkongsi maklum balas peribadinya terhadap tayar Toyo Proxes CR1 berkenaan, yang telah dipasang pada Mercedes-Benz C 230 dan telah dipandu uji di tempat letak kereta Pusat Konvensyen Setia City baru-baru ini.

    Selain dari input yang diberikan oleh pemandu profesional ini, acara pelancaran maya interaktif tersebut turut akan menawarkan hadiah untuk pemenang bertuah. Antara hadiah yang ditawarkan termasuk set tayar Toyo Proxes CR1 ini sendiri dan juga 50 kad minyak Petronas yang masing-masing bernilai RM20.

    Apa yang perlu anda lakukan adalah menjawab 5 soalan pada video pelancaran. Setelah anda mendapat jawapan, pergi ke laman Toyo Tyres Malaysia dan hantar jawapan anda dalam hanya satu komen di sana. Pemenang akan dipilih secara rawak.

     
     
  • Modenas Elegan 250 2021 – brek ABS, harga RM15k

    Modenas Elegan 250 2021 – brek ABS, harga RM15k

    Modenas baru sahaja melancarkan Elegan 250 2021, yang menerima beberapa peningkatan dan dijual pada harga RM15,315 tidak termasuk insurans. Jaminan yang diberikan adalah selama dua tahun atau 20,000 km dan pembeli mempunyai dua pilihan warna iaitu Satin Matte Red dan Satin Matte Black.

    Elegan 250 yang menggunakan asas daripada Kymco X-Town 250i ini diperkenalkan kali pertama pada tahun 2016, dan peningkatan utama yang diberikan pada model baru ini adalah pada bahagian brek, di mana ia sekarang datang dengan sistem ABS two channel. Kelengkapan brek itu sendiri terdiri daripada set cakera 260 mm di hadapan dan cakera 240 mm di belakang.

    Penampilan serta panel badan skuter ini masih lagi sama, tetapi ia dipertingkat dengan lampu jenis projector serta DRL LED. Lampu belakang masih lagi menggunakan LED seperti sebelum ini dan menampilkan pencahayaan unik berbentuk X.

    Selain daripada perkara yang dinyatakan di atas, kelengkapan Elegan 250 ABS ini masih sama seperti sebelumnya, termasuklah enjin satu silinder suntikan bahan api SOHC 249.1 cc yang mampu menghasilkan kuasa 22.1 hp pada 7,000 rpm dan tork 22.4 Nm pada 6,500 rpm.

    Sebagai sebuah skuter, ia menawarkan pelbagai kemudahan yang termasuk ruang simpanan barang luas di bawah tempat duduk, pengecas USB di dalam glovebox serta panel meter gabungan analog dan digital yang boleh memaparkan pelbagai informasi termasuk kelajuan, tahap rpm, jarak perjalanan, kuasa bateri dan peringatan servis.

     
     
  • Ducati Panigale V4 SP 2021 – kegunaan litar sahaja

    Ducati Panigale V4 SP 2021 – kegunaan litar sahaja

    Tradisi Ducati memperkenalkan versi edisi terhad untuk jentera berprestasi tinggi mereka diteruskan lagi dengan pengenalan Panigale V4 SP 2021. Ia hanya akan dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, dengan nombor keluarannya diukir atas bahagian triple clamp.

    Model yang menggantikan V4 R ini juga didatangkan dengan pelbagai peningkatan, bermula pada bahagian rim, yang menggunakan unit gentian karbon 1.4 kg lebih ringan. Kemudiannya, superbike ini juga menggunakan warna khas Ducati Winter Test yang terdiri daripada warna hitam matte, jalur merah serta kemasan brushed aluminium pada tangki.

    Angkup Brembo Stylema R jenis radial digunakan pada brek hadapan, bersama master cylinder brek dan klac Brembo MCS yang boleh bleeding sendiri demi memastikan prestasi yang terbaik waktu penggunaan agresif. Enjin V4 Desmosedici Stradale 1,103 cc yang berkuasa 214 hp pada 13,00 rpm dan 124 Nm tork pada 9,500 rpm pada Panigale V4 SP ini dipadankan bersama transmisi enam kelajuan serta klac kering STM-EVO SBK dan juga quickshifter DQS EVO 2.

    Kelengkapan prestasi lain yang digunakan pada model ini adalah termasuk peletak kaki boleh laras yang dibuat daripada aluminium billet, serta penggunaan gentian karbon pada sayap tepi, pelindung klac jenis terbuka serta mudguard hadapan. Turut diberi adalah penutup untuk tempat meletak nombor plet serta tapak cermin sisi, sementara modul Ducati Data Analyzer+ dengan fungsi GPS pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Suspensi Panigale V4 SP menggunakan unit daripada Ohlins, dengan fork NIX-30 di hadapan, monoshock TTX36 di belakang dan damper yang semuanya boleh dikawal secara elektronik melalui sistem Ohlins Smart EC 2.0. Berat keseluruhan model ini adalah 194 kg dan ia cuma datang dengan satu tempat duduk kerana cuma boleh digunakan di dalam litar.

    Senarai panjang sistem elektronik Panigale V4 SP kini ditambah dengan satu lagi mod tunggangan iaitu Race. Ia membenarkan penunggang menyimpan dan memilih dua pemetaan enjin serta tetapan suspensi – Race A dan Race B – sekaligus memudahkan penggunaan di dalam litar.

     
     
  • Lexus RC 2021 untuk Australia – brek parkir elektronik, suspensi belakang ditambahbaik, warna baharu

    Lexus RC 2021 untuk Australia – brek parkir elektronik, suspensi belakang ditambahbaik, warna baharu

    Lexus RC 2021 telah pun diberikan peningkatan untuk pasaran Australia dengan beberapa ciri yang dikemaskini. Antara peningkatan yang dilakukan ialah melibatkan perician kawalan adaptif baharu untuk kotak gear automatik Sports Direct Shift lapan-kelajuan, yang berkeupayaan membuatkan pertukaran gear menjadi lebih “aktif dan tegar” untuk mod pemanduan Sport dan Sport S+.

    Lexus berkata, sistem ini mengesan aktiviti pemanduan sama ada mod Sport atau Sport S+, jadi kawalan adaptif akan memilih gear yang rendah sewaktu membrek. Dalam mod Normal, ia akan menahan gear rendah yang lebih lama untuk kawalan dan respons yang lebih baik.

    Kini, kedua-dua varian RC 300 dan RC 350 juga akan menerima palang penstabilan belakang yang lebih panjang untuk mengurangkan ketebalan lapisan bahagian tersebut, termasuk juga dengan menampilkan upper arm aluminium serba baharu. Bagi pengendaliannya, ia telah ditambah baik sedikit. Larasan dua topang wishbone dengan penyerap hentak prestasi di bahagian hadapan dikekalkan. Brek parkir kaki kini telah ditukar ke unit brek parkir elektronik.

    Lexus RC 2021 untuk Australia – brek parkir elektronik, suspensi belakang ditambahbaik, warna baharu

    Selain itu, Lexus turut memperkenalkan Kawalan Kelajuan Aktif Radar baharu untuk semua-kelajuan bagi barisan RC 300 2021, ini termasuklah pendikitan dan brek sendiri (terus berhenti ketika dalam trafik). Ia juga didatangkan dengan Lexus Safety System+, yang menampilkan sistem keselamatan pra-pelanggaran dengan pengesan pejalan kaki, lampu tinggi automatik dan amaran ketibaan lorong dengan bantuan stereng.

    Akhir sekali, dua warna baharu juga telah diberikan iaitu Sonic Chrome dan Celestial Blue. Ia melengkapkan warna sedia ada termasuklah White Nova, Sonic Quartz, Titanium, Onyx, Graphite Black, Infrared, Zinnia Yellow,dan Cobalt Mica. Kesemuanya didatangkan dengan penambahan harga sekitar dollar Australia $100 (RM299).

    Untuk bahagian enjin, tiada perubahan dilakukan, jadi RC 300 masih dijanakan oleh unit 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder petrol, yang memberikan hamburan kuasa sehingga 245 PS dan tork 350 Nm. Sementara itu, bagi RC 350 pula, ia masih diberikan enjin 3.5 liter V6 naturally-aspirated dengan kuasa 315 PS dan tork 380 Nm. Kedua-dua varian juga menerima kemasan Luxury atau F Sport, dengan beberapa pek penambahbaikan.

    GALERI: Lexus RC 350 F Sport 2018

     
     
  • VIDEO: Toyota GR Supra A90 — harga dari RM590k

    Walaupun banyak model-model kenderaan yang maju dan beprestasi tinggi, jarang sebenarnya ada satu kereta yang membuatkan kita terpaut erat secara emosi. Kita mungkin kagun terhadapnya, tetapi belum tentu kita akan menginginkannya.

    Untuk saya, setidak-tidaknya dalam jangka waktu tahun 2020 ini, Toyota GR Supra A90 meninggalkan kesan yang agak berlainan. Dan semua itu dibahaskan dalam video ini. Yang ditampilkan ialah model dari tahun 2019, tentunya. Tetapi bagi tahun 2020 ini, ada peningkatan yang telah diberikan kepadanya.

    Antaranya, peningkatan berkenaan tertumpu kepada enjin enam-silinder turbocas yang digunakan, dengan kini menghasilkan 285 kW (388 PS) kuasa antara 5,800 dan 6,500 rpm; peningkatan sebanyak 14% dari sebelumnya. Tork maksimum pula kekal pada angka 500 Nm, tetapi dicapai pada julat yang lebih luas antara 1,800 rpm – 5,000 rpm berbanding 1,600 rpm – 4,500 rpm sebelum ini.

    Meningkatkan output kuasa ini tidak hanya melalui talaan semula, tetapi turut melibatkan penambahan manifold ekzos dua cabang utama dengan enam port (berbanding hanya dua), bertujuan memperbaiki pengurusan haba enjin.

    Rekaan piston baru juga mengurangkan nisbah mampatan enjin daripada 11:1 kepada 10.2:1. Enjin yang dipertingkat dengan julat tork yang lebih tinggi ini mengekalkan keupayaan rev yang tinggi dengan kelancaran optimum. Dengan transmisi automatik lapan-kelajuan ZF sebagai standard, tempoh pecutan 0-100 km/j kini menjadi 4.1 saat, berbanding 4.3 saat sebelum ini.

    Cukup setakat ini. Apa yang ingin disampaikan semua sudah disentuh dalam video berkenaan. Silakan menonton.

    Toyota GR Supra A90 2019

     
     
  • Honda City 2020 – tempahan hampir cecah 9,000 unit, 2,400 unit telah diserahkan, varian 1.5L V paling laris

    Honda City 2020 – tempahan hampir cecah 9,000 unit,  2,400 unit telah diserahkan, varian 1.5L V paling laris

    Baru sahaja dilancarkan lebih sebulan lalu, Honda Malaysia (HM) hari ini mengumumkan bahawa angka tempahan untuk model generasi baharu sedan segmen-B, City 2020 kini sudah pun mencapai hampir 9,000 unit, manakala 2,400 pelanggan sudah pun menerima kereta baharu mereka.

    Menurut syarikat berkenaan, varian tertinggi untuk model janaan petrol sepenuhnya iaitu City 1.5L V menjadi varian paling popular, dengan menjadi pilihan 54% pelanggan dari angka keseluruhan yang ditempah tersebut.

    Kebanyakkan tempahan pula diterima dari pelanggan bahagian tengah Semenanjung Malaysia iaitu sebanyak 44%, diikuti Utara tanah air sebanyak 22% dan bahagian Selatan dengan 22%. Untuk warna pula, majoriti pelanggan memilih warna Platinum White Pearl, mewakili 28% dari jumlah keseluruhan tempahan.

    Menurut pengarah urusan dan CEO Honda Malaysia, Toichi Ishiyama, model generasi kelima Honda City ini diterima baik dalam pasaran berdasarkan tempahan yang naik sehingga 80% dalam bulan pertama selepas pelancaran rasminya. Beliau juga berterima kasih kepada pelanggan Honda di Malaysia kerana sokongan berterusan yang diberikan serta memberikan maklum balas yang positif terhadap model ini.

    Honda City 2020 – tempahan hampir cecah 9,000 unit,  2,400 unit telah diserahkan, varian 1.5L V paling laris

    Honda City generasi baharu ini ditawarkan dalam empat varian iaitu tiga varian dijana enjin petrol sepenuhnya, manakala varian RS e:HEV yang menjadi City pertama di dunia yang dijana oleh sistem hibrid i-MMD hanya akan masuk kepasaran pada awal tahun hadapan.

    Buat masa sekarang, Honda City 2020 dijual pada pasaran Malaysia bermula RM74,191 untuk varian asas S, RM81,664 untuk varian E dan RM86,664 untuk varian V – kesemua harga yang dinyatakan adalah harga atas jalan tidak termasuk insuran, serta dengan pengecualian cukai jualan 2020.

    Model generasi terkini ini masih dijana enjin 1.5 liter NA, namun telah dikemaskini dengan kepala silinder DOHC i-VTEC berbanding SOHC sebelum ini, menghasilkan kuasa 121 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,300 rpm. Kuasa hanya dihantar ke roda hadapan menerusi kotak gear CVT automatik.

    Untuk lebih perincian berkenaan harga, spesifikasi setiap varian serta pelbagai lagi informasi untuk Honda City generasi kelima ini, anda boleh baca laporan-laporan yang telah kami sediakan sebelum ini pada pautan di bawah:

    GALERI: Honda City 1.5L V 2020

    GALERI: Honda City 1.5L E Modulo 2020

    GALERI: Honda City 1.5L RS e:HEV 2020

     
     
  • Yamaha Indonesia siar teaser model baru – NMax lagi?

    Yamaha Indonesia telah menyiarkan satu video teaser dalam laman media sosial mereka, yang membuatkan ramai tertanya-tanya. Apa yang boleh dilihat cuma garis luar bahagian depan motosikal itu, berserta slogan “Don’t miss the evolution bro!”

    Setakat ini tidak siapa yang pasti model apakah yang mahu diperkenalkan oleh Yamaha pada 21 November ini, kecuali mereka sendiri, tetapi kita boleh melihat bentuk itu sangat mirip dengan skuter NMax. Mungkinkah setakat warna baru, versi edisi khas ataupun sesuatu yang serba baru?

    Tidak mungkin ia adalah model NMax serba baru kerana skuter ini baru sahaja mengalami perubahan besar hujung tahun lepas. Malah, ia juga masih belum tiba di negara kita. Bukan setakat penampilan sahaja yang baru, NMax 2020 juga diberikan pelbagai kelengkapan canggih termasuk sistem sambungan Y-Connect serta kawalan cengkaman.

    Yamaha Indonesia siar teaser model baru – NMax lagi?

    Perkataan evolusi yang digunakan juga perlu diambil kira, dan ada yang membuat andaian Yamaha akan memperkenalkan NMax versi hibrid. Untuk NMax, setakat ini memang tiada versi hibrid tetapi Yamaha sudah menggunakannya pada motosikal produksi semasa seperti Filano Hybrid yang dipasarkan di Thailand.

    Enjin Filano Hybrid ini adalah lebih kecil, iaitu 125 cc tetapi ia datang dengan starter generator yang boleh memberikan tambahan kuasa sewaktu mula memecut dan membantu penjimatan bahan api. Apa pun yang kita jangka, jawapannya cuma akan diketahui apabila Yamaha mendedahkan model baru ini 21 November nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025