Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Yamaha Aerox/NVX 155 Connected tiba di Indonesia – penampilan baru, boleh sambung kepada telefon

    Yamaha Aerox/NVX 155 Connected tiba di Indonesia – penampilan baru, boleh sambung kepada telefon

    Pernah dilihat diuji di Vietnam, kini akhirnya Yamaha mendedahkan secara rasmi Aerox VVA Connected di Indonesia. Peningkatan yang dibuat pada skuter yang juga dikenali sebagai NVX 155 di negara kita ini adalah banyak, termasuklah penampilan, ciri serta enjin.

    Anda boleh lihat hampir semua panel badan model ini adalah baru termasuklah rekaan lampu LED depan (dengan DRL) dan belakang. Selain daripada itu, ia juga diberikan dengan fungsi lampu kecemasan (hazard light).

    Pergi bahagian kokpit, meter digital penuh baru digunakan, dan dalam keadaan standard, ia boleh disambung terus dengan aplikasi Y-Connect yang boleh memberikan notifikasi telefon bimbit, kedudukan terakhir motosikal, cadangan lokasi bengkel, penggunaan bahan api, notifikasi masalah serta analisa tunggangan Eco Riding.

    Yamaha Aerox/NVX 155 Connected tiba di Indonesia – penampilan baru, boleh sambung kepada telefon

    Dalam pembentangan yang dilakukan atas talian, wakil Yamaha Indonesia memanggil enjin Aerox baru ini sebagai serba baru, namun ia masih lagi menggunakan unit satu silinder SOHC 155 cc VVA dengan gerek dan lejang yang sama. Daripada data spesifikasi, kami dapat melihat enjin ini mempunyai nisbah mampatan lebih tinggi, iaitu 11.6:1 (sebelum ini 10.5:1) dan sedikit peningkatan kuasa menjadi 15.2 hp pada 8,000 rpm dan 13.9 Nm tork pada 6,500 rpm.

    Enjin suntikan bahan api dipadankan bersama transmisi automatik CVT, dan kini pengguna diberikan kemudahan untuk menunggangnya lebih jauh dengan kapasiti tangki bahan api 5.5 liter (sebelum ini 4.6 liter). Yamaha juga mendakwa Aerox baru ini mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang terbaik di dalam kelasnya (berat 122 kg).

    Kelengkapan lain motosikal ini masih sama seperti sebelumya termasuk brek cakera di hadapan dan dram di belakang (dengan sistem ABS), rim 14 inci dengan tayar 110/80 dan 140/70, fork teleskopik, dua penyerap hentak dengan tabung di belakang, soket pengecas USB dan sistem kunci pintar.

    Di Indonesia, Yamaha Aerox 155 Connected diperkenalkan dalam dua versi iaitu yang dilengkapi dengan ABS dan yang tidak mempunyai ABS. Model yang tidak mempunyai ABS juga kekurangan sistem start/stop, suspensi belakang dengan tabung serta sistem kunci pintar. Walaupun begitu, kedua-duanya masih diberikan dengan sistem Connected baru itu.

    Untuk versi ABS, ia dijual pada harga 29 juta Rupiah (RM8,204) dan ditawarkan dalam dua warna iaitu Prestige Silver dan Maxi Signature Black, sementara versi tanpa ABS ditawarkan pada harga 25.5 juta Rupiah (RM7,214) dalam empat warna kelabu, merah, hitam dan hitam/cyan. Jika melihat harga versi ABS, model baru ini cuma berbeza 435 ribu Rupiah ataupun RM123 sahaja).

     
     
  • Kerajaan perlu sediakan laluan khas untuk motosikal di jalan raya demi selamatkan nyawa – Lee Lam Thye

    Kerajaan perlu sediakan laluan khas untuk motosikal di jalan raya demi selamatkan nyawa  – Lee Lam Thye

    Dalam usaha menyelamatkan nyawa para penunggang dan pembonceng motosikal di seluruh negara, aktivis sosial dan Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye telah meminta kerajaan supaya melaksanakan penyediaan laluan khusus untuk motosikal di jalan raya.

    Katanya, walaupun kerajaan wajar diberi pujian terhadap inisiatif meminda Akta dengan memperuntukkan hukuman yang lebih berat terhadap pemandu mabuk yang menyebabkan kemalangan, namun perhatian tidak diberikan kepada isu besar berkaitan keselamatan jalan raya, yakni yang melibatkan penunggang motosikal, laporan Bernama.

    “Ia melibatkan keselamatan penunggang motosikal iaitu kategori pengguna jalan raya yang paling terdedah kepada kemalangan maut dan dari tahun ke tahun telah mengorbankan ribuan nyawa rakyat Malaysia yang sebahagian besar adalah golongan belia,” katanya.

    Kerajaan perlu sediakan laluan khas untuk motosikal di jalan raya demi selamatkan nyawa  – Lee Lam Thye

    Beliau turut mencadangkan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 yang akan bermula tahun depan, penyediaan laluan motosikal berasingan seperti yang terdapat di sebahagian lebuh raya dan jalan raya di negara ini terutamanya di kawasan pusat bandar, boleh dilaksanakan.

    “Contoh terbaik laluan yang dapat menyelamatkan nyawa ialah seperti di sepanjang Lebuhraya Persekutuan dari Petaling Jaya ke Shah Alam hingga ke Klang. Lebuhraya Persekutuan adalah salah satu laluan trafik paling sibuk setiap masa, namun berdasarkan statistik, purata hanya sekitar dua kemalangan maut melibatkan motosikal direkodkan setiap tahun,” tambah beliau.

    Menurut beliau lagi, antara langkah pencegahan kedua untuk menyelamatkan nyawa ialah dengan menggubal undang-undang berkenaan dengan had laju motosikal yang perlu dikurangkan. Ini kerana terdapat penunggang yang menunggang sesuka hati dengan kelajuan melebihi had tanpa dikenakan apa-apa tindakan.

    “Sebagai langkah awal bagi mengurangkan perbelanjaan besar untuk menyediakan laluan motosikal berasingan di seluruh negara, pihak berkuasa seperti Kementerian Pengangkutan dan polis perlu memastikan penunggang motosikal hanya menunggang di lorong sebelah kiri lebuh raya dan jalan raya dengan dua garisan selari memisahkan mereka dengan kenderaan yang lain,” katanya.

    Lee berkata dengan cara itu, kenderaan dua roda dilarang menunggang di lorong paling laju dan bersaing dengan kenderaan lebih besar yang menjurus kepada kematian yang mengerikan dalam kalangan penunggang dan pembonceng motosikal. Tambahnya, pendekatan ini akan menjadi pelopor kepada pelaksanaan menyeluruh laluan berasingan itu.

    “Ikatan Komuniti Selamat melihat langkah-langkah ini sebagai tindakan yang boleh dilaksanakan, praktikal dan sudah pastinya, bukanlah sesuatu yang perlu penyelidikan mendalam mengenai kebaikan dan keburukannya.

    “Lebih penting lagi, kerajaan perlu melaksana program ini kerana peningkatan mendadak jumlah penunggang motosikal di jalan raya, ditambah lagi dengan populariti perkhidmatan penghantaran makanan seperti Grab Food, Foodpanda dan lain-lain,” tambahnya.

     
     
  • Toyota Yaris facelift 2020 – tempahan dibuka, terima Toyota Safety Sense, harga anggaran bermula RM72k

    Toyota Yaris <em>facelift</em> 2020 – tempahan dibuka, terima Toyota Safety Sense, harga anggaran bermula RM72k

    Selepas menyiarkan teaser minggu lalu, UMW Toyota Motor (UMWT) hari ini mengumumkan bahawa tempahan untuk Toyota Yaris facelift 2020 kini sudahpun dibuka. Selain dari rupa yang akan disegarkan, model kemaskini itu juga diumumkan turut menerima sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense.

    Toyota Yaris facelift pasaran Malaysia ini menampilkan rupa yang sama dengan model pasaran Thailand yang dilancarkan Ogos lalu. Ia menerima lampu hadapan LED “triple bezel” serta rekaan bampar, gril dan juga aerokit yang dirombak seakan rekaan Corolla dan Camry baharu.

    Untuk pecahan varian model facelift ini, pasaran Malaysia akan terus ditawarkan dalam tiga gred iaitu J, E dan G. Walau bagaimanapun, pecahan spesifikasi untuk setiap varian ini masih belum diperincikan.

    Namun UMWT mengesahkan bahawa untuk varian tertinggi Yaris menerima pelbagai perincian baharu antaranya skrin infotainmen 7.0-inci yang lengkap dengan sokongan Android Auto dan Apple Carplay, sistem pengecas telefon pintar tanpa wayar, dan juga sistem telematik kenderaan (VTS).

    Toyota Yaris <em>facelift</em> 2020 – tempahan dibuka, terima Toyota Safety Sense, harga anggaran bermula RM72k

    Perincian lain yang turut ditunjukkan termasuk sistem pendingin hawa automatik, panel meter Optitron dengan skrin MID berwarna, serta cermin pandangan belakang anti-silau elektrokromik.

    Yaris facelift ini juga bakal dilengkapi dengan sistem bantuan pemanduan Toyota Safety Sense yang terdiri dari sistem pra-perlanggaran (PCS) yang aktif dalam kelajuan bermula 15 km/j dan Amaran penukaran lorong (LDA) yang berfungsi dalam kelajuan 50 km/j ke atas.

    Toyota Yaris mula diperkenalkan semula pada pasaran Malaysia pada tahun lalu, dan dihasilkan secara pemasangan tempatan (CKD) di kilang baharu UMWT yang terletak di Bukit Raja, Klang.

    Model sedia ada sudah pun diberikan sistem keselamatan yang agak baik dalam kelas segmen-B dengan kelengkapan seperti kawalan bantuan mula mendaki (HAC), tinjauan titik buta dengan amaran lintasan trafik di belakang (RCTA), perakam video digital di depan dan belakang (DVR) serta kamera pandangan panaromik 360-darjah.

    Toyota Yaris <em>facelift</em> 2020 – tempahan dibuka, terima Toyota Safety Sense, harga anggaran bermula RM72k

    Versi yang dipertingkat ini dijangka akan terus menerima sistem mekanikal sedia ada dengan enjin 1.5L 2NR-FE empat-silinder sebaris, DOHC, 16-injap dengan Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada 4,200 rpm, digandingkan dengan transmisi CVT automatik.

    UMWT telah pun mengumumkan harga jangkaan untuk ketiga-tiga varian Yaris facelift 2020 ini, bermula dengan model asas 1.5J dengan harga RM71,688, model pertengahan 1.5E berharga RM80,591 dan model tertinggi 1.5G berharga RM85,587. Harga yang dinyatakan ini adalah harga atas jalan tanpa insuran untuk semenanjung Malaysia, lengkap dengan pengecualian cukai jualan 2020 serta perlindungan waranti komprehensif lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Tiada lagi warna hero Citrus Mica Metallic seperti model sebelumnya, dan hatchback ini boleh dipilih dengan warna badan Red Mica Metallic, Silver Metallic dan juga warna baharu Platinum White Pearl. Tarikh sebenar bila ia akan dilancarkan masih belum diumumkan, namun dengan tempahan yang telah dibuka ini, boleh diagak bahawa pelancarannya akan dibuat dalam masa terdekat.

     
     
  • VW Golf R Mk8 ditunjuk – bakal terima lebih 330 PS?

    VW Golf R Mk8 ditunjuk – bakal terima lebih 330 PS?

    Sekali lagi Volkswagen telah menunjukkan model Golf R Mk8 menjelang pelancarannya pada 4 November ini. Model R ini bakal diproduksi di kilang VW yang terletak di Wolfsburg, bersama dengan beberapa model lain, dan ini termasuk juga dengan varian Golf R.

    Menurut pengeluar kereta ini, Golf R Mk8 akan menjadi model yang paling berkuasa, paling berdinamik dan paling efisien berbanding sebelum ini. Ia juga akan menerima sistem pacuan semua-roda dengan kawalan tork bagi roda terpilih pada gandar belakang.

    Sistem AWD berkenaan dikawal oleh Vehicle Dynamics Manager yang disambung rapat dengan electronic front differential lock (XDS) dan kawalan casis dinamik. Dengan gabungan tersebut, sistem ini dapat menawarkan “ciri daya tarikan optimum, pengendalian neutral dan tepat, dan ketangkasan yang tepat”.

    VW Golf R Mk8 ditunjuk – bakal terima lebih 330 PS?

    Kuasa dijana dari enjin EA888 2.0 liter pengecas turbo empat-silinder.Penjana kuasa suntikan-terus ini akan disambungkan ke ekzos penyejukan-air bersepadu yang dihala ke turbo pada kepala silinder. Bagi hamburan kuasanya, dijangka melebihi 330 PS dan 400 Nm. Transmisi dwi-klac tujuh-kelajuan juga bakal diberikan secara standard.

    Selain itu, Golf R baharu masih menampilkan serlahan biru pada bahagian kabin, sama seperti model GTI yang menyerlah dengan merah. Di samping kemasan R yang unik, bahagian kabin juga akan tetap sama dengan Golf biasa.

    Butiran penuh mengenai spesifikasi model hot-hatch berprestasi tinggi akan diketahui sewaktu pelancarannya.

     
     
  • EON kembali jual Proton, tampil logo baharu

    EON kembali jual Proton, tampil logo baharu

    Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON) mengumumkan bahawa mereka kini kembali menjadi pengedar untuk kereta-kereta jenama Proton dengan mengambil alih sembilan jaringan pengedar dari Proton Edar. Serentak dengan itu, syarikat berkenaan turut memperkenalkan logo baharunya.

    EON ditubuhkan pada tahun 1984 dan kemudian menjadi pengedar tunggal kereta-kereta jenama Proton ketika itu. Syarikat berkenaan turut menjalankan aktiviti-aktiviti pemasaran dan promosi untuk jualan Proton, termasuk menubuhkan pasukan lumba Petronas EON Racing Team (PERT).

    Menurut EON, penukaran logo ini merupakan kali ke tiga penjenamaan semula yang dilakukan mereka. Pada tahun 1990, perubahan kecil pada logo dibuat sempena penyenaraian mereka di Bursa Malaysia. EON kemudiannya telah dinyahsenaraikan dari Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula syarikat.

    Logo baharu ini merupakan perubahan menyeluruh dari logo EON sebelumnya, dengan penampilan yang lebih garang dan moden, jelas EON. Huruf ‘E’ berwarna merah terletak di dalam bentuk berlian biru, melambangkan langkah syarikat untuk maju ke hadapan. Akronim syarikat “EON” juga tampil dengan font yang lebih moden, menandakan kematangan usia jenama itu setelah lebih 30 tahun berkecimpung dalam pengedaran automotif di Malaysia.

    Logo EON 1984 (kiri) dan 1990 (kanan)

    “E” berwarna merah melambangkan keberanian jenama yang mengedar beberapa jenama automotif di Malaysia. Berlian biru mengambarkan kekuatan 36 tahun sebuah jenama yang kekal utuh, selain ciri-ciri yang lazimnya dikaitkan dengan warna biru: kesetiaan dan kebijaksanaan, terang syarikat itu lagi dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    EON turut mengumumkan bahawa mereka kini kembali semula dalam perniagaan pengedaran Proton dengan sembilan pusat pengedar jenama automotif nasional tersebut, termasuk empat pusat 4S (jualan, servis, alat ganti, badan dan cat) dan tiga cawangan 3S. Empat cawangan ini berada di wilayah tengah, sementara dua cawangan, masing-masing di Johor dan Pulau Pinang.

    Menurut EON kesemua cawangan tersebut dahulunya dimiliki oleh Proton Edar Sdn Bhd, dan telah bertapak di kawasan masing-masing untuk tempoh yang lama. EON juga menyatakan bahawa mereka kini berada dilandasan yang terbaik untuk mengambil kesempatan dari populariti kereta nasional pada masa ini.

    EON juga menjelaskan perniagaan pengedaran semula kenderaan jenama Proton ini akan memperkayakan senarai jenama-jenama yang diuruskan oleh oleh mereka. Buat masa ini, EON turut mengedarkan jenama-jenama Jerman termasuk, Audi dan Volkswagen serta kenderaan dari Jepun iaitu Mitsubishi.

    EON kembali jual Proton, tampil logo baharu

    Senarai cawangan baharu EON untuk jenama Proton

    Bagi Mitsubishi, EON Automart Sdn Bhd merupakan pengedar terbesar jenama Jepun ini di Malaysia, dengan 9 pusat edaran di seluruh negara. Ia mengendalikan tujuh pusat 3S di seluruh Malaysia (Ampang, Glenmarie, Johor Bahru, Bayan Lepas, Kuching, Kota Kinabalu dan Tawau). Dua lagi cawangan EON Automart berlokasi di Melaka, dan Kota Damansara dan merupakan pusat badan dan cat.

    Jenama Audi pula diwakili Euromobil, yang mengendalikan Pusat Audi 4S Glenmarie di Shah Alam dan Pusat 3S Audi Johor Bahru di Skudai, serta Pusat Servis Audi Kuala Lumpur di Jalan Chow Sow Lin di pusat bandar. Operasi Volkswagen dikendalikan oleh Hicom Auto Sdn Bhd bertempat di VW Seremban, beroperasi di Oakland Industrial Park di Seremban.

    EON turut mengendalikan jenama sewa dan pajakan kereta global iaitu Avis di Malaysia, menerusi 14 lokasi di seluruh negara. Menurut EON, Avis Malaysia telah dinobatkan sebagai pemenang Anugerah ‘Licensee of The Year’ oleh Avis Budget Group pada tahun 2018, serta mempunyai Pensijilan ISO 9001:2015.

     
     
  • Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

    Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

    Pada 4 September lalu, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mula membuka tempahan bagi Nissan Almera Turbo, namun demikian, ketika itu harganya masih belum didedahkan lagi. Pagi ini, barulah ETCM mendedahkan harga bagi ketiga-tiga varian Almera Turbo untuk pasaran Malaysia.

    Bagi varian paling asas, VL, ia ditawarkan dengan harga bermula RM79,906, manakala bagi model pertengahan, VLP pila berharga RM85,715 dan RM91,310 bagi model spesifikasi penuh,VLT. Menurut ETCM, kesemua harga tersebut adalah harga atas jalan bagi Semenanjung Malaysia, tanpa insurans dan termasuk dengan potongan cukai jualan sehingga 31 Disember 2020 ini.

    Ia turut ditawarkan dengan waranti lima-tahun dengan perbatuan tanpa had kenderaan untuk semua varian Almera Turbo serba baharu. Ia turut didatangkan bersama servis penyelenggaraan percuma sebanyak lima kali (berselang-seli) termasuk alat ganti dan kos buruh dalam tempoh lima-tahun.

    Almera generasi baharu ini dijana oleh enjin HRA0 1.0L tiga-silinder dengan pengecas turbo sama seperti pasaran Thailand. Tiada pilihan kotak gear manual diberikan, di mana kesemua varian menerima kotak gear CVT Xtronix automatik dengan D-Step Logic untuk memacu roda hadapan.

    Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

    Bagi imejnya, ia ditampilkan dengan elemen rekaan terbaharu Nissan yang digelar “Emotional Geometry”, di mana Almera ini menerima muka dengan gril V-Motion yang diterapkan elemen sarang lebah bersama lampu hadapan lebih tirus dengan lampu nyalaan siang LED berbentuk anak panah.

    Pada bahagian sisi, model ini menampilkan garis badan dan garis bumbung yang lebih gagah, dengan rupa yang lebih rendah dan juga garis-garis sisi yang menyerlahkan ‘otot-otot’ badan.

    Bermula dari tiang-C, Almera menerima rekaan yang diinspirasikan dari abang besarnya iaitu Nissan Altima/Teana generasi baharu, dengan kemasan hitam bagi memberi ilusi seolah-olah bumbungnya terapung, serta lampu belakang LED tirus yang direka seperti boomerang.

    Barisan Almera untuk Malaysia akan menerima lampu kabus LED, lampu belakang LED, dan juga cermin sisi boleh-lipat berkuasa bersama lampu isyarat membelok LED. Walau bagaimana pun varian VL dan VLP akan menerima lampu hadapan automatik dan lampu nyalaan siang halogen, manakala model VLT pula menerima teknologi LED bagi komponen terbabit.

    Untuk set roda pula, model asas VL diberikan rim 15-inci dengan tayar 195/65R15, manakala dua varian lebih tinggi pula diberikan rim 16-inci kemasan dua tona dengan tayar 205/55R16. Almera VLT juga menerima spoiler lid pada but belakang berwana hitam.

    Kabin Almera 2020 ini juga nampak jauh lebih sporty dengan papan pemuka yang dihasilkan dengan elemen melintang, di mana model VLP dan VLT menerima papan pemuka dua tona. Semua varian Almera diberikan tempat duduk semi-bucket dan juga roda stereng rata di bawah, namum hanya dua varian paling tinggi diberikan uphosteri balutan kulit.

    Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

    Model paling rendah diberikan kluster paparan meter analog sepenuhnya, pemain audio tanpa skrin bersama empat-pembesar suara dan sistem penghawa dingin manual. Manakala varian VLP dan VLP diberikan paparan instrumen separa-digital dengan skrin berwarna tujuh-inci, sistem infotainmen Display Audio dengan skrin sesentuh lapan-inci menyokong fungsi Apple Carplay, enam-pembesar suara dan juga sistem pendingin hawa automatik.

    Untuk keselamatan, semua varian Almera Turbo 2020 akan dibekalkan standard dengan sistem brek ABS, EBD dan BA, Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC) bersama Traction Control (TC), Bantuan Mula Mendaki (HSA), dan juga cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix. Model asas VL diberikan hanya dua-beg udara, manakala dua varian lebih tinggi diberikan enam-beg udara.

    Model paling mampu milik dari Nissan ini juga kini hadir dengan sistem bantuan pemanduan Nissan Safety Shield 360, di mana kesemua varian termasuk varian paling rendah dilengkapkan dengan sistem Amaran Pelanggaran Hadapan Pintar (IFCW) bersama Brek Kecemasan Automatik (AEB).

    Nissan Almera Turbo 2020 ditawarkan pada harga bermula RM79,906 bagi pasaran Malaysia

    Walau bagaimanapun, hanya model tertinggi VLT diberikan fungsi penuh Safety Shiled 360 ini yang merangkumi sistem Monitor Pemantau Sekeliling Pintar (IAVM) dengan Pengesan Objek Bergerak (IMOD), Sistem Amaran Titik Buta (BSW), dan juga Amaran Lintasan Trafik Belakang (RCTA). Model pertengahan VLP pula diberikan kamera undur.

    Model ini ditawarkan dalam enam warna badan iaitu tiga warna baharu Radiant Red, Monarch Orange, dan Dark Metal Grey, dan tiga lagi warna dari model sebelum ini iaitu Brilliant White, Diamond Black dan Tungsten Silver.

    Bagi yang berminat untuk memiliki mana-mana varian Almera Turbo ini, ETCM turut menawarkan pakej sewa beli istimewa melalui Promosi Pembiayaan Flexi iaitu RM688 sebulan bagi varian VL, RM738 sebulan untuk VLP dan VLT pula RM788 sebulan. Ini adalah berdasarkan harga atas jalan bagi Semenanjung Malaysia dengan jumlah pinjaman 90%, tempoh pinjaman selama sembilan tahun dan sah sehingga 31 Disember 2020.

    Nissan Almera VLT 2020

    Nissan Almera VLP 2020

    Nissan Almera VL 2020

     
     
  • Triumph Trident 660 diperkenal – RM39k di UK, enjin tiga silinder 660 cc 80 hp, meter TFT, suspensi Showa

    Triumph Trident 660 diperkenal – RM39k di UK, enjin tiga silinder 660 cc 80 hp, meter TFT, suspensi Showa

    Setelah menunjukkan sedikit teaser, Triumph akhirnya mendedahkan secara penuh model naked baru yang dipanggil sebagai Trident 660. Ia dijual pada harga 7,195 pound sterling (RM38,757) dan diletakkan di bawah model Street Triple 765 dalam barisan model naked jenama itu.

    Walaupun merupakan sebuah model naked, Trident tidak mewarisi penampilan Street Triple dan menggunakan rekaan sendiri, dengan lampu LED hadapan yang berbentuk bulat, tangki yang lebih seperti model klasik, lampu belakang LED yang bersambung kemas dengan panel badan serta tempat meletak nombor plet serta lampu penunjuk arah yang rendah di bawah.

    Di bahagian kokpit, Trident menggunakan meter digital TFT berbentuk bulat, dan sekiranya ditambah dengan aksesori My Triumph Connectivity, ia boleh disambung dengan telefon pintar dan memaparkan pelbagai lagi fungsi seperti navigasi, muzik, panggilan serta kawalan GoPro.

    Seperti biasa, Triumph menggunakan enjin tiga silinder DOHC pada Trident, dengan kapasiti 660 cc, berkuasa 80 hp pada 10,250 rpm dan 64 Nm tork pada 6,250 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dengan klac slip & assist, dan turut mendapat penarafan Euro 5.

    Kawalan pendikit model ini menggunakan sistem ride by wire, dan penunggang disediakan dengan dua mod tunggangan iaitu Road dan Rain. Brek ABS diberikan standard manakala sistem kawalan cengkaman pula boleh ditutup melalui pilihan dalam menu instrumen.

    Untuk suspensi, Triumph menggunakan unit daripada Showa dengan fork hadapan USD separate function forks (SFF) 41 mm yang tidak boleh dilaras manakala di belakang pula terdapat monoshock dengan pelarasan pra beban. Tetapan cakera berkembar 310 mm bersama angkup Nissin dua piston digunakan di hadapan manakala untuk brek belakang ia menggunakan cakera 255 mm dan angkup satu piston – juga dari Nissin.

    Triumph Trident 660 diperkenal – RM39k di UK, enjin tiga silinder 660 cc 80 hp, meter TFT, suspensi Showa

    Trident menawarkan tunggangan yang lincah dan mesra pengguna, dengan ketinggian tempat duduk 805 mm dan berat cuma 189 kg. Bentuk tempat duduk juga dijadikan lebih kurus supaya kaki penunggang lebih mudah mencecah lantai dan tidak terlalu terkangkang. Tangki bahan api berkapasiti 14 liter.

    Ada empat warna yang ditawarkan bagi Triumph Trident ini iaitu Silver Ice/Diablo Red, Matte Jet Black/Matte Silver Ice, Crystal White dan Sapphire Black. Mengikut jangkaan, model ini tidak akan mengambil masa yang lama untuk tiba di Malaysia dan mungkin harganya tidak pergi jauh daripada RM45,000.

     
     
  • Lagi Toyota, Lexus dipanggil semula kerana masalah pam bahan api – libatkan 10,350 unit kenderaan

    Lagi Toyota, Lexus dipanggil semula kerana masalah pam bahan api – libatkan 10,350 unit kenderaan

    UMW Toyota Motor (UMWT) telah membuat satu lagi panggilan semula untuk model-model Toyota dan Lexus pada pasaran Malaysia yang berpotensi untuk mengalami masalah pam bahan api.

    Pam bahan api dalam kereta-kereta yang terjejas tersebut berkemungkinan boleh berhenti dari berfungsi dan menyebabkan lampu amaran dan mesej keluar pada paparan instrumen, serta mungkin boleh menjejaskan kuasa enjin sekaligus menjejaskan kawalan pemandu pada kenderaan berkenaan.

    Ini adalah panggilan semula lanjutan dari panggilan semula sebelum ini, di mana sejumlah 5.84 juta kenderaan telah dipanggil semula di seluruh dunia. Di Malaysia, sebanyak 13,500 Toyota dan Lexus telah dipanggil semula kerana masalah ini pada Mac lalu.

    Berdasarkan informasi terkini yang diterima dari Toyota Motor Corporation (TMC), sebanyak 9,500 unit kenderaan terdiri dari Toyota Alpharf, Vellfire, Camry, Corolla, Fortuner, Innova. C-HR dan Harrier, serta 850 unit Lexus dari model ES250, GS200t, GS350, IS200t, LC500, LS500, LX570, NX300, RX300 dan RX350 terlibat dalam panggilan semula kali ini.

    Hanya model-model yang disenaraikan ini yang dibuat antara Julai 2017 dan Julai 2019 serta dijual oleh UMWT terlibat dalam panggilan semula tersebut. UMWT akan menghubungi kesemua pemilik kenderaan yang terjejas untuk membuat temu janji bagi menukar komponen terbabit, dan proses ini tidak memerlukan sebarang bayaran dari pelanggan.

    Untuk keterangan lanjut, pemilik-pemilik kenderaan yang terjejas ini boleh menghubungi mana-mana pusat servis Toyota dan Lexus yang bertauliah, atau hubungi talian telefon Toyota Free di 1800-8-TOYOTA (869682).

     
     
  • Harga minyak 31 Okt-6 Nov 2020 – Semuanya kekal

    Harga minyak 31 Okt-6 Nov 2020 – Semuanya kekal

    Bagi minggu bertarikh 31 Oktober hingga 6 November 2020, Kementerian Kewangan telah memaklumkan, harga runcit bagi bahan api petrol dan diesel di Malaysia tiada perubahan dan masih kekal seperti minggu sebelumnya.

    Di mana harga runcit petrol RON97 kekal pada paras RM1.94 seliter, begitu juga dengan RON 95 yang berharga RM1.64 seliter.

    Untuk diesel pula, harga runcitnya kekal buat dua minggu berturut-turut iaitu RM1.74 seliter bagi gred Euro 2M dan RM1.84 seliter untuk Euro 5.

    Kesemua harga ini efektif mulai 12.01 tengahmalam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 6 November 2020.

     
     
  • Proton Iriz R5 diuji Juara WRC2 Pontus Tidemand

    Proton Iriz R5 diuji Juara WRC2 Pontus Tidemand

    Selepas Kejuaraan Rali British (BRC) hanya sempat dilangsungkan satu pusingan sebelum ia dibatalkan keseluruhan musim ini akibat Pademik Covid-19, lama dah kita tak dengar berita berkenaan Proton Iriz R5 kan? Terbaharu, jentera yang dibangunkan oleh Mellor Elliot Motorsport (MEM) berkenaan telah pun diuji oleh juara WRC2 2017 dari Sweden, Pontus Tidemand.

    Menurut MEM, Pontus terbang ke UK minggu lalu untuk menguji jentera berkenaan dan ia dilakukan di satu lokasi rahsia. Untuk musim WRC tahun ini, Pontus Tidemand yang masih memandu Skoda Fabia R5 Evo untuk pasukan Toksport WRT sedang sekali lagi mengungguli carta pungutan mata WRC2 dengan memenangi rali Mexico, Turki dan Itali.

    “Ia sangat hebat kerana pemandu yang mengungguli kejohanan dunia buat masa sekarang berada dalam Proton. Pontus sedang berada dikedudukan kemuncak permainannya dan maklum balas yang diberikan adalah sangat positif. Kami akan mencari peluang untuk bekerjasama pada masa hadapan,” kata Pengarah MEM, Chris Mellors.

    Sebelum bergelar juara dunia, Pontus terlebih dahulu melakarnya namanya dengan menjadi juara Kejohanan Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun 2015 dengan jentera Skoda Fabia S2000. Dalam kejohanan musim berkenaan, Pontus turut menjadi juara dan mengutip mata penuh ketika dalam pusingan keempat iaitu Rali Malaysia yang berlangsung di Johor.

     
     
  • Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

    Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah melancarkan SUV kompak segmen-B Hyundai Kona untuk pasaran Malaysia. Pelancaran secara langsung menerusi platform laman Facebook Hyundai Malaysia ini turut melibatkan model sedan Sonata 2020 yang juga telah pun berada di pasaran tempatan.

    SUV Kona ini didatangkan dengan tiga varian bersama dua pilihan enjin – 2.0 Standard, 2.0 Active dan spesifikasi tertinggi 1.6 T-GDI High. Model 2.0L didatangkan dengan enjin Nu MPI Atkinson naturally aspirated dengan 149 hp pada 6,200 rpm dan tork 180 Nm pada 4,000 rpm. Ia dipadankan bersama kotak gear torque converter automatik enam-kelajuan. Ia mampu dipecut dari 0-100 km/j dalam masa 10 saat dan kelajuan maksimum yang boleh dicapai mencecah 194 km/j.

    Manakala unit 1.6 liter Gamma T-GDI turbo petrol empat-silinder mampu memberikan 177 hp pada 5,500 rpm dan tork 265 Nm daru 1,500 hingga 4,500 rpm, dipadankan dengan transmisi dwi-klac EcoShift® tujuh-kelajuan. Pecutan dari 0-100 km/j hanya mengambil masa 7.7 saat dan kelajuan maksimum mencapai 210 km/j. Barisan Kona untuk pasaran tempatan ini adalah pacuan roda-hadapan dan turut diberikan tiga mod pemanduan iaitu Comfort, Eco dan Sport.

    Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

    Kona menampilkan rekaan badan yang estetika dengan bancuhan sporty, memberikannya gaya yang lebih maskulin dan cukup menarik perhatian. Ditambah dengan sisi agresif dan siluet dinamik membantu menyerlahkan lagi imejnya. Kona juga diberikan jarak roda yang lebih panjang dan overhang yang agak pendek turut membantunya dalam memberikan kestabilan pemanduan yang lebih optimum terutamanya jika dipandu dalam kelajuan yang agak tinggi.

    Memiliki ukuran dimensi 4,165 mm panjang dan 1,800 mm lebar, menjadikan Kona lebih pendek sebanyak 129 mm berbanding Honda HR-V, tetapi lebih lebar sebanyak 28 mm daripada pencabar terdekatnya itu. Malah ia juga berketinggian 1,550 mm atau kurang 55 mm berbanding HR-V (1,605 mm). Manakala jarak rodanya pula mencapai 2,600 mm atau 10 mm juga lebih pendek berbanding HR-V.

    Memerhatikan bahagian hadapannya, lampu utama dengan sentuhan rekaan futuristik dan berbentuk langsing dengan gril lata yang menampilkan paten mesh yang sporty disambung dengan fender umpama sayap, cukup mendominasikan imejnya.

    Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

    Kelengkapan pencahayaan untuk varian 2.0 Standard bermula dengan lampu utama halogen dan lampu belakang gabungan mentol biasa, sementara varian 2.0 Mid menerima lampu utama LED bi-function projection-beam dengan lampu selekoh statik bersama lampu belakang kombinasi LED. Manakala varian 1.6 T-GDI High pula sama dengan larasan pencahayaan seperti varian Active, tetapi dengan penambahan lampu tinggi pintar.

    Model asas Standard dipadankan dengan roda aloi 17-inci yang dibaluti tayar profil 215/55, sementara varian Active dan High pula menerima roda aloi 18-inci dengan tayar 235/35. Selain itu, persamaan ciri luaran yang dikongsikan antara varian Active dan High pula ialah lampu kabus dan skid plate warna perak. Walau bagaimana pun varian tertinggi High juga diberikan rel bumbung dan juga permukaan bumbung dengan warna kontras hitam. Selain itu, ia juga ditampilkan dengan warna kontras yang sama pada perumah cermin sisi, gerbang roda dan bahagian tiangnya bagi memberikan penampilan yang lebih menyerlah.

    Untuk bahagian belakangnya, lampu yang langsing turut diberikan dengan jaluran krom di atas plat nombor kenderaan. Selain itu, lampu kabusnya yang agak besar ditampilkan dan varian High diberikan perumah lampu kabus dengan rona hitam, kontras dengan warna badannya, manakala dua varian di bawahnya menggunakan warna yang sama dengan badan.

    Hyundai Kona dilancarkan di Malaysia – tiga varian, 2.0L NA, 1.6L Turbo, CBU, harga bermula RM116k

    Untuk bahagian kabinnya, model asas Standard menerima tempat duduk hadapan dengan larasan manual dan juga pendingin hawa dengan kawalan manual. Manakala untuk varian pertengahan dan tertinggi pula diberikan tempat duduk pemandu dengan larasan kuasa lapan-hala dan juga fungsi sokongan belakang, sementara untuk penumpang hadapan hanya dengan tempat duduk larasan manual.

    Selain itu, kedua-dua varian ini juga menerima tempat duduk balutan kulit, kawalan suhu automatik zon-tunggal dan unit paparan utama. Kesemua varian turut diberikan ciri kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, kluster informasi digital, sistem audio dengan skrin sesentuh LCD berwarna tujuh-inci bersama enam-pembesar suara, auxiliary audio input, USB, Bluetooth, ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto.

    Bukan itu sahaja, barisan Kona turut menerima ciri pengesan arahan suara, Paparan Pandangan Belakang dengan panduan parkir dinamik. Walau bagaimana pun, varian High menerima satu lagi ciri tambahan iaitu pengecas tanpa wayar bagi telefon pintar.

    Bagi keselamatan pasif pula, semua varian menerima enam beg udara, ABS dengan EBD, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Pengurusan Sistem Kenderaan (VSM), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Bantuan Mendaki Bukit, Kawalan Menurun Bukit, dua cagak ISOFIX di tempat duduk belakang dan Sistem Bantuan Parkir belakang (varian High turut menerima sistem berkenaan untuk bahagian hadapan).

    Untuk varian pertengahan dan tertinggi juga didatangkan dengan Amaran Pelanggaran Titik Buta (BCW) dan Amaran Trafik Lintasan Belakang. Walau bagaimana pun, varian 1.6 T-GDI menerima ciri tambahan keselamatan aktif Hyundai Smart Sense yang merangkumi Bantuan Kekal Lorong, Kawalan Kelajuan Pintar, Amaran Pelanggaran Hadapan, Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan dan Amaran Kepekaan Pemandu.

    Pilihan warna adalah berbeza bergantung kepada varian. Varian paling asas cuma akan ditawarkan dalam warna Phantom Black dan Chalk White, manakala varian lain akan turut mendapat Tangerine Comet, Blue Lagoon dan Dark Knight. Varian T-GDI juga akan mendapat pilihan warna ekstra Ceramic Blue dengan kontras hitam pada beberapa bahagian termasuk bumbung dan perumah cermin sisi.

    Barisan Kona ditawarkan dengan harga atas jalan bermula RM123,888 bagi varian Standard, RM138,888 untuk Active dan High pula berharga RM151,888. Walau bagaimana pun, dalam tempoh pengurangan cukai jualan bagi model CBU sehingga 31 Disember ini, HSDM menawarkan harga pengenalan; RM115,888 (varian 2.0 Standard), RM130,888 (2.0 Active) dan RM143,888 (1.6 Turbo), harga untuk Semenanjung Malaysia, tanpa insurans. Kesemua varian ini turut diberikan waranti lima-tahun atau had perbatuan 300,000 km (mana yang tiba terlebih dahulu).

    GALLERY: Hyundai Kona 1.6 T-GDI

    GALERI: Hyundai Kona 2.0 MPI Mid

     
     
  • Hyundai Sonata 2020 dilancar di Malaysia – RM190k

    Hyundai Sonata 2020 dilancar di Malaysia – RM190k

    Hyundai Sonata generasi kelapan akhirnya dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia, dalam satu varian iaitu 2.5 Premium. Model yang diimport penuh dari Korea Selatan ini dijual pada harga RM206,888 (termasuk kadar SST penuh), tetapi untuk 50 unit awal, ia akan dijual pada harga pengenalan RM189,888 (SST 50%).

    Pada aspek rekaan, Sonata adalah model pertama yang menggunakan konsep rekaan Sensuous Purity, dengan menampilkan gril Cascading besar, bukaan udara pada hujung bampar, lampu utama LED penuh automatik serta DRL LED yang bersambung dengan jalur krom pada bonet. Apabila DRL ini tidak menyala, ia nampak seperti krom dan dibuat menggunakan lubang yang diukir dengan laser.

    Pada bahagian belakang, ia mendapat lampu LED yang disambung pada bahagian tengah dengan jalur yang menyala, sirip di atas lampu, lampu brek ketiga rapat ke bumbung, spoiler ducktail bersepadu, tulisan Sonata serta diffuser. Rim menggunakan unit 18 inci yang dibalut tayar Continental PremiumContact 6 bersaiz 235/45.

    Hyundai Sonata 2020 dilancar di Malaysia – RM190k

    Ada enam warna yang ditawarkan untuk Sonata baru ini iaitu White Cream, Shimmering Silver, Nocturne Grey (seperti gambar), Oxford Blue, Midnight Black dan Flame Red. Hyundai Sime Darby Malaysia (HSDM) juga menyediakan pilihan tiga skema warna bahagian dalam dan ia bergantung kepada warna badan yang dipilih.

    Warna White Cream, Nocturne Grey dan Midnight Black akan mendapat tema dua tona Camel di bahagian dalam (seperti yang ditunjukkan pada gambar) manakala Shimmering Silver pula datang dengan warna dalam Greige dua tona bersama tempat duduk kulit berwarna putih. Pelanggan yang memilih Sonata warna hitam akan mendapat warna dalam sama ada Oxford Blue atau Flame Red.

    Pada bahagian dalam, model ini menggunakan panel instrumen digital 12.3 inci, head-up display yang terpapar pada cermin hadapan, skrin sesentuh Display Audio bersaiz lapan inci di tengah dengan sambungan Apple CarPlay dan Android Auto, pengawal pendingin hawa automatik dua zon, brek parkir elektronik serta penukar gear jenis butang. Turut disediakan adalah pengecas Qi tanpa wayar dengan fungsi penyejuk.

    Hyundai Sonata 2020 dilancar di Malaysia – RM190k

    Suis pilihan mod memandu diberikan standard, dan anda boleh memilih antara mod Smart, Comfort, Eco dan Sport. Kelengkapan lain adalah seperti bumbung panoramik, cermin pandang belakang elektrokromik, tempat duduk larasan kuasa lapan arah dengan fungsi memori, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat arah, corong pendingin hawa belakang serta dua soket USB di hadapan dan satu di belakang.

    Melihat kepada dimensi, Sonata mencatat panjang 4,900 mm, lebar 1,860 mm, tinggi 1,445 mm dan jarak roda 2,840 mm. Ruang barangan belakang berkapasiti 510 liter (buka secara manual) dan tempat duduk belakang boleh dilipat 60:40. Kereta ini juga tidak mempunyai tayar kecemasan simpanan dan diganti dengan kit membaiki tayar.

    Untuk enjin, sedan segmen D ini digerakkan oleh unit empat silinder petrol MPI 2.5 liter Smartstream berkemampuan 180 PS pada 6,000 rpm dan 232 Nm tork pada 4,000 rpm, dan digabungkan bersama transmisi automatik enam kelajuan (berserta pedal penukar gear di stereng) untuk menghantar kuasa kepada roda hadapan. Selain enjin ini, terdapat juga versi suntikan terus GDI berkuasa 193 PS dan 245 Nm tork, yang dipasarkan di negara lain, tetapi kami diberitahu Malaysia tidak menerimanya kerana kualiti bahan api di sini.

    Pada bahagian keselamatan, Sonata baru mendapat enam beg udara secara standard, ABS, EBD, ESC, Hill Start Assist dan Vehicle Stability Management. Malangnya, model pasaran Malaysia tidak dilengkapi pakej Hyundai SmartSense, yang bermakna ia tidak mempunyai Autonomous Emergency Braking, Adaptive Cruise Control (cruise control biasa masih ada), Lane Departure Warning atau Lane Keep Assist.

    Walaupun begitu, ia masih dilengkapi dengan kamera pandangan 360 darjah serta Blind Spot Monitor yang menggunakan dua kamera di bahagian tepi untuk menghantar video kepada panel instrumen apabila lampu penunjuk arah dinyalakan. Ini adalah satu fungsi seperti Honda LaneWatch.

    Setiap pembelian datang dengan jaminan lima tahun atau 300,000 km, dan anda boleh melayari CarBase.my untuk melihat spesifikasi lebih lengkap atau membandingkannya dengan model-model lain yang berada dalam pasaran sekarang.

     
     
  • Proton X50 2020 Vs. Proton X70 Vs. Honda HR-V – kami bandingkan kos selenggara 5 tahun/100,000 km

    Proton X50 2020 Vs. Proton X70 Vs. Honda HR-V – kami bandingkan kos selenggara 5 tahun/100,000 km

    Segala debaran sudah pun berakhir – harga untuk model yang paling ditunggu-tunggu, Proton X50 sudah pun diumumkan ketika pelancarannya tempoh hari, dan segala perincian setiap varian juga sudah pun diketahui. Jelas, X50 kini merupakan halangan untuk Honda HR-V untuk kekal sebagai SUV segmen-B paling laris di Malaysia, namun adakah kos untuk ‘membela’ kedua-dua model ini juga hampir sama?

    Jadi kali ini, kami meneliti kos selenggara mengikut jadual servis yang telah ditetapkan oleh pengeluar kedua-dua SUV ini untuk lima tahun atau 100,000 km pertama. Dan disebabkan julat harga X50 untuk varian tertinggi Flagship turut bertindih dengan Proton X70 varian Standard dan Executive yang mungkin menyebabkan sesetengah pembeli mungkin beralih ke SUV segmen-C tersebut atas faktor saiz, kami turut meletakkan model berkenaan dalam perbandingan ini.

    Berdasarkan dari angka keseluruhan, kos untuk menyelenggara X50 (kos untuk model dengan enjin 1.5T dan 1.5 T-GDI adalah sama) adalah hanya berberapa ratus ringgit lebih murah dalam tempoh lima tahun/100,000 km pertama berbanding X70 yang dijana oleh enjin 1.8L T-GDI.

    Walau bagaimanapun, antara tiga model ini, HR-V 1.8 liter i-VTEC tanpa turbo adalah model yang paling murah untuk diselenggara dalam tempoh berkenaan dengan kos keseluruhan RM3,874.45 berbanding RM4,326.95 untuk X50. Sekali lagi diingatkan, jumlah perbezaan RM452.50 tersebut adalah untuk tempoh lima tahun. Untuk lebih spesifik, anda boleh rujuk jadual di bawah.

    Proton X50 2020 Vs. Proton X70 Vs. Honda HR-V – kami bandingkan kos selenggara 5 tahun/100,000 km

    Klik untuk besarkan

    Sekarang kita lihat dengan lebih terperinci. Apa yang jelas perbezaan harga ini datangnya dari harga minyak enjin yang ketara dari kedua-dua pengeluar di mana Proton X50 memerlukan 5 liter minyak enjin sintetik sepenuhnya yang berharga RM162.50 untuk setiap servis, dan X70 pula menelan kos sebanyak RM190.

    Manakala untuk HR-V harga RM88.49 yang dipaparkan dalam judual tersebut adalah untuk minyak semi-sintetik 4 liter yang digunakan untuk sela masa setiap 10,000 km. Sekiranya anda mahu menggunakan minyak sintetik sepenuhnya, ia dijual pada harga RM145 untuk 4 liter. Jadi jika sepanjang lima tahun/100,000 km HR-V anda menggunakan minyak enjin jenis sintetik sepenuhnya, kos tersebut akan meningkat kepada RM4,598.79, atau lebih mahal dari kos X50 menggunakan minyak dari jenis sama.

    Untuk kedua-dua SUV Proton berkenaan, minyak enjinnya perlu ditukar pada servis pertama (1,000 km), tetapi ini diberikan secara percuma oleh Proton. Ia kemudiannya diteruskan pada 10,000km, dan selepas itu setiap 10,000 km berikutnya. HR-V turut perlu diservis dalam sela masa yang sama, namun untuk 1,000 km minyak enjinnya tidak perlu ditukar.

    Beralih kepada minyak untuk transmisi, kotak gear automatik klac berkembar jenis basah tujuh-kelajuan pada Proton X50 dan X70 memerlukan ianya ditukar pada 90,000 km dengan harga RM237.36. Manakala untuk HR-V yang menggunakan kotak gear CVT automatik, minyak CVTF tersebut perlu ditukar setiap 40,000 km dengan harga RM122.17 sekali, menjadikan kosnya selama lima tahun adalah lebih kurang sama dengan dua model Proton tadi.

    Proton X50 2020 Vs. Proton X70 Vs. Honda HR-V – kami bandingkan kos selenggara 5 tahun/100,000 km

    Klik untuk besarkan

    Untuk penuras udara enjin pula, pada model-model Proton komponen ini perlu ditukar kali pertama pada 10,000 km, dikuti setiap 20,000 km selepas itu menyebabkan kosnya lebih tinggi kerana pada Honda HR-V, ia perlu ditukar setiap 30,000 km.

    Manakala penuras udara kabin pula, ketiga-tiga model ini perlu menukar komponen tersebut sebanyak lima kali dalam tempoh lima tahun. Namun harga seunit penuras udara HR-V adalah lebih mahal dengan harga RM 103, berbanding penuras jenis N95 pada Proton X50 dan X70, masing-masing dijual pada harga RM69 dan RM64.17.

    Penapis bahan api juga perlu ditukar untuk ketiga-tiga SUV ini dalam tempoh lima tahun. Komponen berkenaan pada Proton X50 perlu ditukar setiap 20,000 km, dengan harga RM57.07 seunit atau RM285.35 sepanjang tempoh lima tahun. Kos tersebut lebih murah pada X70 dengan hanya RM140.85. Untuk HR-V pula, ia hanya perlu ditukar pada 80,000 km, tetapi menelan kos RM243.24 seunit.

    Dengan mempunyai hanya tiga-silinder, kos untuk menukar palam pencucuh pada X50 juga adalah lebih murah berbanding dua model lain. Set yang terdiri dari tiga buah palam pencucuh berkenaan dijual pada harga RM96.84, dan perlu ditukar pada setiap 40,000 km atau keseluruhan RM193.68 sepanjang lima tahun.

    Satu set palam pencucuh X70 pula dijual pada harga RM112.32 dan ia perlu ditukar lebih kerap iaitu setiap 20,000 km. Manakala untuk HR-V, palam pencucuh pada enjin L18 i-VTEC tersebut hanya perlu ditukar setiap 100,000 km, namun satu set palam pencucuh jenis iridium tersebut dijual pada harga RM438.43.

    Cecair penyejuk untuk radiator pada Proton X50 dan X70 perlu ditukar pada 60,000 km dengan kos sekitar RM135, manakala untuk Honda HR-V ia lebih tahan lama dengan hanya perlu ditukar setiap 200,000 dengan kos RM111.54. Untuk bendalir brek pula, kos untuk model-model Proton lebih tinggi kerana perlu ditukar setiap 40,000 km, berbanding 60,000 km pada HR-V.

    Untuk Proton X70 dan Honda HR-V, kedua-dua model ini menggunakan sistem timing chain untuk menggerakkan aci sesondol, manakala X50 menggunaka sistem timing belt. Tali sawat pada X50 berkenaan perlu diperiksa pada 100,000 km, manakala penukarannya pula perlu dibuat pada 110,000 km atau 66 bulan.

    Berapa kos untuk penukaran timing belt berkenaan? Set komponen untuk timing belt ini adalah RM195.16, dan dalam servis yang sama anda turut perlu untuk menukar drive belt yang memusingkan alternator sekali berharga RM112.89. Kos upah untuk kedua-dua kerja ini disekalikan dengan harga RM150. Jika anda buat penukaran ini sekali dengan servis pada 110,000 km tersebut, kos keseluruhan untuk pakej adalah RM825.27.

    Jadi kesimpulannya, kos untuk servis berkala pada Honda HR-V adalah paling murah sepanjang lima tahun/100,000 pemilikan antara tiga buah SUV ini, itu pun SEKIRANYA anda menggunakan minyak enjin jenis semi-sintetik. Jika model dari Honda ini menggunakan minyak enjin jenis sintetik-penuh seperti model-model Proton, kosnya akan meningkat RM271.84 lebih mahal dari Proton X50.

    Kami ingin tegaskan di sini, ini hanyalah kira-kira yang dibuat berdasarkan jadual servis berkala yang dibuat oleh pengeluar sahaja, tidak termasuk komponen-komponen haus dan lusuh seperti pad brek, tayar dan sebagainya kerana jangka hayat komponen-komponen tersebut adalah berdasarkan gaya penggunaan sesebuah kereta itu.

    Namun jika bercerita pasal tayar, kos untuk SUV segmen-B seperti Proton X50 dan Honda HR-V secara umumnya adalah lebih rendah kerana dibekalkan dengan rim bersaiz 17- dan 18-inci bergantung pada varian. Model segmen-C Proton X70 pula, model varian tertinggi Premium menerima rim bersaiz 19-inci, manakala varian lebih rendah lain masih diberikan rim 17- dan 18-inci.

     
     
  • Hyundai Kona dan Sonata 2020 bakal dilancarkan jam 3 petang ini; saksikan secara langsung menerusi FB

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) bakal melancarkan dua model baharunya, SUV kompak Kona dan sedan Sonata generasi kelapan pada jam 3 petang, hari ini. Memandangkan wabak pandemik Covid-19 masih menular dan Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya masih dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBB), maka syarikat berkenaan memutuskan untuk melancarkan kedua-dua model baharu ini secara maya iaitu menerusi Facebook rasmi Hyundai Malaysia.

    Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai harga dan perincian penuh bagi spesifikasi kedua-dua model SUV dan sedan ini, jangan lupa untuk menonton pelancarannya secara langsung sebentar nanti. Dan kami juga akan memaparkan artikel penuh mengenai SUV kompak Kona dan sedan Sonata 2020 ini.

     
     
  • Proton X50 – kenapa tiada Apple CarPlay/Android Auto

    Proton X50 – kenapa tiada Apple CarPlay/Android Auto

    Antara soalan yang banyak ditanya oleh orang ramai berkenaan SUV Proton X50 yang baru dilancarkan adalah kenapa ia tiada ciri sambungan Apple CarPlay atau Android Auto. Sistem Geely Key User Interface terkini (GKUI 19) yang berada pada kenderaan itu adalah antara sistem yang paling canggih dalam pasaran, tetapi masih tiada dua ciri sambungan yang penting ini.

    Rakan kerja kami, Jason Chung telah menulis sebuah artikel yang menarik dalam Bahasa Mandarin untuk menjelaskan perkara ini. Memandangkan rakan kongsi Proton, iaitu Geely adalah sebuah syarikat dari China, keputusan untuk tidak memasang ciri ini juga ada kaitan dengan negara itu.

    Sekiranya anda tahu, China telah menyekat penggunaan Google, Facebook serta pelbagai lagi servis yang berkaitan untuk rakyat mereka. Ini juga memberi kesan secara langsung kepada aplikasi lain yang boleh digunakan dengan Apple CarPlay di negara itu seperti Google Maps, Waze dan WhatsApp. Android Auto memang tidak ditawarkan di sana.

    Proton X50 – kenapa tiada Apple CarPlay/Android Auto

    Kekangan terhadap syarikat antarabangsa, digabung pula lagi dengan saingan sengit antara syarikat teknologi tempatan menjadikan rakyat China lebih gemar menggunakan aplikasi serta servis mereka sendiri. Di sana, untuk aplikasi navigasi, mereka banyak menggunakan AutoNavi dari Alibaba manakala untuk muzik, mereka menggunakan QQ Music keluaran Tencent bagi menggantikan fungsi seperti Spotify.

    Servis ini biasanya sama ada sudah terus disepadukan pada sistem infotainmen kenderaan atau boleh digunakan dengan fungsi screen mirroring seperti Baidu CarLife. Oleh kerana itu, tidak banyak sebab untuk pengeluar kenderaan China membangunkan sistem infotainmen yang menggunakan Apple CarPlay dan Android Auto – ada pengeluar yang berbuat demikian tetapi tidak termasuk Geely.

    Apa pula kena mengena perkara ini dengan kita? Jawapannya adalah kos. Ya, memang Proton merupakan sebahagian daripada kumpulan Geely, tetapi pasaran Malaysia adalah kecil. Input yang diberikan oleh Proton cuma terhad kepada menterjemah sistem GKUI daripada Bahasa Cina kepada Bahasa Inggeris (sistem ini cuma boleh digunakan dalam satu bahasa utama sahaja), serta memadankan beberapa fungsi untuk kegunaan tempatan dengan bantuan syarikat ACO Tech.

    Untuk membangunkan sistem GKUI versi baru yang boleh menggunakan Apple CarPlay dan Android Auto, ia akan memakan kos yang banyak dan dianggap tidak berbaloi untuk pasaran yang kecil. Pada masa sekarang pemilik boleh menggunakan sambungan telefon pintar QDLink, yang menawarkan ciri screen mirroring untuk pengguna Android dan iOS.

    Adakah mungkin Apple CarPlay dan Android Auto dipasang pada model Proton pada masa hadapan? Mungkin boleh, sekiranya ada cukup permintaan dan syarikat itu mendapati pelaburan tinggi yang dibuat adalah berbaloi. Satu lagi kemungkinan adalah melalui pasaran Eropah – Lynk & Co akan membawa sistem GKUI ke benua itu hujung tahun ini, dan sekiranya terdapat banyak permintaan untuk Android Auto dan Apple CarPlay, Geely mungkin terpaksa menambahnya kepada sistem mereka. Selepas itu, mungkin lebih mudah untuk ia diambil dan diguna pada model Proton.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025