Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Nissan Sylphy kini model paling laris China; syarikat dilihat bakal pulih di pasaran kedua terbesar global

    Nissan Sylphy kini model paling laris China; syarikat dilihat bakal pulih di pasaran kedua terbesar global

    Seperti yang ramai tahu, Nissan antara syarikat automotif yang sedang terjejas bukan sahaja akibat pandemik Covid-19, malah bergelut dengan skandal dalaman membabitkan bekas pengerusinya, Carlos Ghosn sejak 2018. Namun setelah pelbagai usaha dibuat, jenama tersebut dilihat kini sedang memulih, terutamanya di pasaran automotif kedua terbesar di dunia iaitu China, menurut laporan Automotive News.

    Di China, Nissan mewujudkan kerjasama 50:50 dengan DongFeng Motor Group, membolehkan ia menjadi antara jenama Jepun yang terkuat di republik berkenaan. Jun lalu, jualan jenama tersebut berada ditangga keempat (tidak termasuk MPV) dengan pegangan pasaran 6.7%, mengekori dua lagi syarikat kerjasama Volkswagen Group di China dan juga GM-SAIC Motor.

    Ketika jualan global Nissan merudum secara drastik pada bulan sama, penghantaran di China hanya jatuh 1%, dan ia masih mewakili jualan satu pertiga dari jumlah jualan global sebanyak 4.93 juta kereta. Jualan Nissan di negara berkenaan sebenarnya telah meningkat sejak April, dan kemuncaknya pada Julai lalu dengan jualan 121,000 unit (naik 12% berbanding Julai 2019).

    Malah pada bulan Ogos lalu, jualan sedan segmen-C Nissan Sylphy generasi baharu telah mengatasi jualan Volkswagen Lavida untuk menjadi model paling laris di pasaran negara berkenaan. CEO Nissan Ashwani Guota memberitahu Bloomberg News bahawa syarikatnya “telah membuat penampilan yang kukuh di China dan akan terus bertumbuh dengan fokus kepada kepuasan pelanggan.”

    Bersama Dongfeng, ia mensasarkan untuk meningkatkan jumlah jualan kenderaan kepada 2.6 juta unit menjelang 2022. Nissan telah menjual sebanyak 1.55 juta unit kereta di China dalam tahun fiskal terkininya.

    Setiausaha agung Persatuan Kereta Penumpang China (CPCA), Cui Dongshu berkata: “Pencapaian Nissan di China adalah kerana kuasa jenamanya yang menarik menerusi model-model yang kompetitif dihasilkan berberapa tahun kebelakangan ini. Namun ia masih lagi sukar untuk berhadapan dengan Toyota kerana jenama tersebut telah membuktikan daya saing mereka dalam inovasi serta kompetensi dalam memenangi hati pengguna kenderaan bukan hanya menerusi jenama Toyota, malah juga dengan Lexus.”

    Penganalisa Bloomberg, Tatsua Yoshida pula menambah bahawa 12 bulan mendatang adalah sangat kritikal untuk Nissan, dan ia perlu memperkenalkan lebih banyak model baharu. “Jika Nissan lambat walaupun sedikit, ia akan terus meletakkan mereka di posisi lebih lemah. Toyota dan Nissan akan sentiasa hadir dengan model baharu,” katanya.

    Jualan kenderaan di China merangkumi hampir 30% dari jumlah jualan kenderaan kenderaan seluruh dunia, dan ia adalah satu-satunya negara di dunia dengan jumlah jualan keseluruhan tahunan yang boleh mencapai 20 juta unit.

     
     
  • MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    BMW Group Malaysia telah memperkenalkan MINI Electric First Edition, iaitu sebuah model keluaran istimewa yang dijual cuma untuk 15 unit sahaja. Jika dibandingkan dengan model Cooper SE biasa yang digunakan sebagai asas kepada model ini, harga MINI Electric First Edition adalah lebih RM20,000, iaitu pada RM238,380. Ia datang sekali dengan jaminan tanpa had batuan serta servis berkala percuma selama empat tahun, dan jaminan lapan tahun atau 100,000 km untuk bateri.

    Antara ciri unik model First Edition ini adalah warna MINI Yours Enigmatic Black, bumbung panoramik, plet tepi pintu First Edition, kemasan First Edition pada fender (siap dengan nombor keluaran), serta cermin anti silau. Pelanggan juga masih diberikan pilihan warna White Silver, tetapi kedua-duanya masih lagi menggunakan rekaan rim 17 inci yang sama, dibalut dengan tayar run-flat.

    Bahagian dalam dibalut dengan kulit Walknappa Leather Lounge Upholstery dan terdapat kemasan unik lain seperti corak Union Jack pada penyandar kepala, roda stereng Walknappa Leather Lounge dengan jahitan putih serta tempat duduk hitam.

    Barangan lain adalah sama seperti Cooper SE, termasuk sistem bunyi Harman Kardon 12 pembesar suara, lampu suasana LED 12 warna, panel instrumen 5.5 inci, kawalan pendingin hawa dua zon, serta skrin sesentuh 8.8 inci untuk sistem MINI Visual Boost dengan sambungan MINI Connected dan Apple CarPlay.

    Penggerak elektrik kenderaan ini juga tidak diubah, di mana ia masih menyediakan 184 hp (135 kW) pada 7,000 rpm dan tork 270 Nm dari 100 hingga 1,000 rpm, serta padanan transmisi satu kelajuan yang membenarkan ia memecut 0-60 km/j dalam masa 3.9 saat, 0-100 km/j dalam masa 7.3 saat dan mencecah kelajuan maksimum 150 km/j (dihadkan secara elektronik).

    Bateri yang memberikan kuasa adalah unit lithium ion 32.6 kWh, yang beroperasi pada kadar 350.4 volt. Menurut MINI, ia boleh memberikan jarak gerak 234 km mengikut kitaran WLTP (270 km mengikut kitaran NEDC). Berkenaan cas, kereta ini datang dengan pengecas 11 kW dan kabel pengecas tiga pin Type 2 untuk kegunaan di rumah biasa. Pengecas MINI Wallbox Plus 22 kW dengan kabel Type 2 pula disediakan sebagai pilihan tambahan.

    MINI Electric First Edition – terhad 15 unit, RM238,380

    Apabila menggunakan pengecas 11 kW (soket tiga pin rumah biasa), bateri ini akan mengambil masa 12 jam untuk mencapai tahap 80%, dari kosong tetapi apabila menggunakan wallbox three-phase 11 kW ia akan mengambil masa cuma 3.5 jam untuk penuh 100%. Kereta ini juga boleh dicas menggunakan pengecas pantas DC 50 kW dan akan mengambil masa cuma 1.4 jam untuk penuh, tetapi ia memerlukan sambungan CCS Combo 2.

    Pada bahagian keselamatan, kereta ini didatangkan secara standard dengan MINI Driving Assistant dan Parking Assistant, yang merangkumi fungsi seperti Autonomous Emergency Braking (Light City Braking Function; antara 6 km/j hingga 60 km/j), Traffic Sign Recognition, Approach Control Warning dan Person Warning.

     
     
  • ‘Tear off’ Quartararo masuk dalam salur udara Ducati Jack Miller – penyebab jentera kehilangan kuasa

    Kadang-kadang apabila menonton perlumbaan motosikal seperti MotoGP, kita akan dapat menyaksikan ada pelumba yang kedudukannya semakin menurun tanpa mengetahui sebab sebenar. Ada masa ia boleh menjadi masalah tayar, enjin, brek atau pelbagai lagi.

    Semasa perlumbaan di Rimini semalam, pelumba Pramac Ducati adalah antara yang menunjukkan masalah tersebut. Beliau bermula di baris paling hadapan, iaitu di petak kedua tetapi selepas pusingan kedua kedudukan beliau semakin ke belakang dan akhirnya terpaksa menarik diri dari perlumbaan dengan baki masih ada 20 pusingan.

    Kita yang menonton semalam tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi tetapi hari ini Pramac Ducati telah mengeluarkan kenyataan bahawa sekeping tear off telah memasuki kotak udara jentera Jack Miller pada pusingan kedua dan membuatkan ia hilang kuasa.

    Jack Miller melalui laman Instagram juga memuat naik status sama, tetapi siap dengan gambar tear off tersebut yang mempunyai nombor lumba Fabio Quartaro iaitu 20. Nada kecewa boleh dilihat daripada ayat Miller tetapi beliau tidak menyalahkan sesiapa.

    Tear off adalah satu lapisan plastik yang selalu dipakai pelumba motosikal pada cermin hadapan helmet, dan apabila ia kotor, mereka akan mencabutnya untuk pandangan yang lebih jelas. Setakat ini masih belum ada sebarang peraturan berkenaan tear off dan pelumba biasanya mencampak sahaja lapisan plastik tersebut di atas litar.

    Kejadian yang berlaku pada Miller ini menunjukkan tear off mempunyai kesan buruk kepada perlumbaan dan kami yang kerap menonton perlumbaan juga sering risau sekiranya tear off yang berada atas permukaan litar akan menyebabkan tayar tidak mencengkam seterusnya memberi risiko kepada pelumba.

     
     
  • MV Agusta jalin kerjasama dengan QianJiang di China

    MV Agusta jalin kerjasama dengan QianJiang di China

    Setelah bergelut dengan pelbagai masalah kewangan, pengeluar motosikal dari Itali, MV Agusta telah mengumumkan kerjasama baru dengan QianJiang Motor dari China untuk pengedaran dan jualan di negara itu. Menurut Visor Down, MV Agusta melihat kerjasama ini dilihat sebagai rancangan jangka masa panjang untuk pengedaran motosikal di dalam negara tersebut.

    QianJiang merupakan antara pengeluar motosikal terbesar di China, dengan operasi utamanya bertempat di Winling, Zhejiang. Benelli juga sudah menjadi milik syarikat ini. Kerjasama pengedaran dengan MV Agusta akan menyaksikan QianJiang mengambil alih tujuh kedai pengedar di China dan akan membuka 21 buah lagi dalam masa 12 bulan akan datang.

    “Saya teruja dengan perjanjian bersama QianJiang ini, untuk fasa kedua pengembangan kami dalam pasaran China. Ia adalah satu kerjasama jangka masa panjang yang sangat bercita-cita tinggi, dan akan menjadikan MV Agusta sebagai jenama motosikal Itali Premium nombor satu di China dalam masa lima tahun,” kata ketua pegawai eksekutif MV Agusta, Timur Sardarov.

     
     
  • Porsche Centre Ara Damansara kini dibuka – pusat 3S Porsche terbesar di Asia Pasifik, pelaburan RM15 juta

    Porsche Centre Ara Damansara kini dibuka – pusat 3S Porsche terbesar di Asia Pasifik, pelaburan RM15 juta

    Semasa majlis pelancaran model Taycan di Malaysia, Sime Darby Auto Performance (SDAP) turut membuat pembukaan rasmi pusat pameran Porsche Centre Ara Damansara. Ini adalah pusat pengedar ketiga milik syarikat itu, dan pembukaannya dilakukan serentak dengan sambutan ulang tahun ke-10 SDAP sebagai pengedar rasmi kenderaan Porsche di Malaysia.

    Porsche Centre Ara Damansara dibina atas tanah seluar 12,102 meter persegi, dengan pelaburan lebih RM15 juta dan kini merupakan Porsche Centre 3S yang terbesar dalam satu kawasan di Asia Pasifik.

    Dalam kawasan itu, ruang 8,000 meter persegi digunakan sebagai ruang kerja yang dibahagikan kepada lima tingkat, dan dua tingkat di bawah adalah pusat pameran yang menempatkan 26 buah kereta. Ruang sambut tetamu juga agak besar dengan terdapat bahagian jualan aksesori Porsche Tequipment dan Porsche Driver’s Selection.

    Sementara itu, dua tingkat lagi yang merupakan kawasan servis dan bengkel mempunyai 21 ruang untuk kenderaan serta kelengkapan canggih termasuk pengangkat hidraulik minyak teleskopik tanpa bingkai dan alatan membaiki bateri voltan tinggi untuk model yang mempunyai kuasa elektrik seperti PHEV dan EV.

    Lagi berkenaan kenderaan elektrik, SDAP telah menyediakan pengecas pantas DC di Porsche Centre Ara Damansara, sama seperti kemudahan di Sungai Besi dan Pulau Pinang. Pengecas ini boleh memberikan kuasa mengecas paling tinggi sebanyak 175 kW, sekaligus menjadikannya yang paling pantas di dalam negara. Untuk pengecas AC pula, pelanggan boleh menggunakan Porsche Charging Dock.

     
     
  • Proton X70 akan terima kemaskini Here Maps, QDLink mirroring melalui OTA — bakal gantikan Baidu Maps

    Proton X70 akan terima kemaskini Here Maps, QDLink mirroring melalui OTA — bakal gantikan Baidu Maps

    Pemilik Proton X70 bakal menerima kemaskini periodic over-the-air (OTA) bagi sistem sedia ada dalam masa terdekat ini. Ketika acara pra-tonton X50 bersama pihak media minggu lalu, Proton mendedahkan yang X70 akan menerima Here Maps dan sistem QDlink melalui OTA.

    Fungsi navigasi bagi sistem infotainmen X70 ketika ini menggunakan Baidu Maps, tetapi ini akan digantikan dengan aplikasi peta AMAP baru yang dikenali Here Maps. Januari tahun ini, diumumkan bahawa AMAP – aplikasi peta oleh Alibaba – telah memilih Here Maps sebagai penyedia global bagi pemetaan dan data trafiknya di luar China. Dimiliki oleh Nokia sebelum ini, Here Technologies merupakan syarikat berpangkalan di Jerman dan dimiliki oleh konsortium pengeluar kenderaan di negara itu.

    Proton menjanjikan pengelaman penggunaan yang lebih baik dengan Here Maps. Bagi X50 pula, model berkenaan akan terus dilengkapi dengan AMAP terbaru ini yang datang bersekali dengan sistem Geely Key User Interface GKUI 19.

    Proton X70 akan terima kemaskini Here Maps, QDLink mirroring melalui OTA — bakal gantikan Baidu Maps

    Ciri baru lain yang boleh dijangkakan oleh pemilik sedia ada X70 ialah QDLink yang membolehkan mereka “memancarkan” aplikasi dari telefon bimbit terus ke skrin utama. MirrorLink semasa pada X70 ketika ini hanya membolehkan sambungan kepada telefon Android sahaja, sementara QDLink membolehkan sambungan kepada telefon Android dan iOS sekali – ciri ini bolehlah melegakan sedikit kekurangan terhadap sambungan Android Auto dan Apple CarPlay pada X70 dan X50.

    Ambil maklum bahawa kemaskini tersebut hanya untuk X70 sahaja, dan bukannya untuk varian Premium bagi Saga, Persona, Iriz dan Exora. Bagi Joox Music pula, Proton menyatakan akan kekal menggunakan penyedia servis berkenaan dan akan terus memperbaiki pengalaman penggunaannya. Joox telah menggantikan servis Unlimited Music terdahulu pada X70 sejak Mac lalu.

     
     
  • Jualan kenderaan di M’sia bagi Ogos 2020 susut 8.2%

    Jualan kenderaan di M’sia bagi Ogos 2020 susut 8.2%

    Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengeluarkan data jualan kenderaan bagi bulan Ogos 2020. Selepas kenaikan jualan berlaku pada Julai, namun nampak gayanya nasib tidak begitu menyebelahi bulan Ogos kerana ia direkodkan mengalami penyusutan angka. Di mana keseluruhan jumlah jualan pada bulan Ogos hanyalah sekitar 52,800 unit, iaitu kurang 4,752 unit atau 8.2% berbanding yang dicatatkan pada Julai yang mencecah 57,552 unit.

    Walau bagaimana pun, jumlah tersebut lebih baik berbanding tempoh yang sama pada tahun lalu, di mana Ogos 2019 mencatatkan sejumlah 51,148 unit, iaitu kurang 1,652 unit berbanding Ogos tahun ini. Bagi jumlah tahun-ke-tahun, setakat lapan bulan pertama tahun 2020 telah mencatatkan sejumlah 285,045 unit. Namun ternyata ia lebih rendah berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 113,274 unit atau kurang 28.4%, bagi tempoh tersebut, sebanyak 389,319 unit dicatatkan dari Januari sehingga Ogos 2019.

    MAA berkata, penyusutan jualan pada Ogos disebabkan peningkatan tempahan pada Julai susulan pengecualian cukai jualan yang diumumkan oleh kerajaan pada Jun lalu. Selain itu, ia juga disebabkan waktu bekerja yang lebih pendek disebabkan beberapa cuti umum.

    Untuk bulan September, persatuan ini menjangkakan jumlah jualan akan kekal seperti mana pada Ogos – walau pun terdapat kempen promosi yang berterusan dan pelepasan SST sehingga 31 Disember, malah sentimen pengguna yang mengambil langkah berhati-hati disebabkan program moratorium bakal berakhir pada 30 September ini.

     
     
  • VIDEO: Kia K5 GT 2021 buat aksi ngeri lompat sambil berpusing 360-darjah, dan mendarat dengan selamat

    Macam-macam gimik yang dilakukan pengeluar-pengeluar automotif dalam mempromosikan model-model baharu mereka, tetapi apa yang dilakukan oleh Kia K5 GT ini mungkin anda tidak pernah lagi lihat – ia dipandu dengan melompat dari satu ramp ke satu ramp sambil membuat pusingan 360-darjah!

    Lagak ngeri ini dibuat untuk iklan K5 GT tersebut di Amerika Syarikat, dan ia membabitkan kerjasama Kia dan Anugerah Emmy ke-72. “Bekerjasama dengan Anugerah Emmy ke-72 membawa K5 serba baharu ini ke hadapan dan ke tengah ketika acara televisyen secara langsung dengan jumlah penonton paling ramai sepanjang tahun tersebut disiarkan,” kata pengarah operasi pemasaran Kia Motors Amerika, Russell Wager.

    Seperti yang anda boleh lihat pada video tersebut, ia sememangnya satu aksi lagak ngeri yang dramatik di mana pemandu perlu membuat pusingan yang tepat pada waktunya ketika berlepas, bagi memastikan ia berpusing dan mendarat semula dengan selamat pada ramp sebelah lagi.

    Kia K5 2021 didedahkan di Amerika Syarikat pada Julai lalu. Model GT ini adalah versi paling berkuasa dijana enjin 2.5 liter T-GDi menghasilankan kuasa 290 hp dan juga tork maksima 422 Nm. Ia digandingkan dengan kotak gear klac berkembar automatik lapan-kelajuan, membolehkan pecutan dari 0-96 km/j (0-60 bsj) dibuat dalam masa hanya 5.8 saat.

    K5 generasi baharu ini turut ditawarkan dalam versi enjin 1.6 liter turbo Smartstream yang menghasilkan 180 hp dan tork maksima 264 Nm. Selain dijana dengan enjin yang begitu bertenaga, sedan segmen-D ini turut menampilkan rupa yang begitu agresif bersama senarai kelengkapan yang begitu komprehensif.

    GALERI: Kia K5 GT 2021 pasaran Amerika Syarikat

     
     
  • BMW M3 G80, M4 G82 – beberapa bahagian didedah

    BMW M3 G80, M4 G82 – beberapa bahagian didedah

    Sekali lagi, BMW mengeluarkan teaser untuk M3 dan M4 baru yang akan diperkenalkan bulan ini. Melalui gambar yang dikaburi oleh asap berwarna ini, kita dapat melihat beberapa perincian, antaranya warna yang dikatakan oleh BMW Blog sebagai Isle of Man Green.

    Setakat ini kita sudah tahu M3 dan M4 ini akan menggunakan enjin enam silinder sebaris, twin turbo 3.0 liter S58 yang akan ditawarkan dalam dua talaan kuasa iaitu 480 PS dan 510 PS. Dalam teaser kali ini juga kita boleh melihat transmisi manual enam kelajuan serta pacuan roda belakang diberikan standard, manakala varian Competition yang lebih tinggi dan berkuasa 510 PS akan menggunakan transmisi automatik lapan kelajuan serta pacuan M xDrive.

    Bahagian lain yang boleh dilihat adalah tempat duduknya, yang mana mempunyai bentuk seperti tempat duduk kereta lumba dan terdapat lubang antara penyandar kepala dan penyandar belakang untuk memasukkan tali pinggang jenis lumba. Kita juga boleh melihat model M3 menggunakan empat muncung ekzos.

    Model M3 dan M4 generasi baru ini juga buat pertama kalinya akan diperkenalkan dengan M3 Touring yang menggunakan kod model G81. Varian yang boleh memberi lebih banyak ruang ini sedang melalui proses pembangunan selama dua tahun sementara model M4 Convertible G83 pula akan tiba selepas itu.

    Perincian teknikal untuk M3 Touring masih belum didedahkan tetapi ia berkemungkinan menggunakan transmisi automatik bersama enjin S58 yang sudah pun digunakan pada X3 M dan X4 M. Pada SUV prestasi tersebut, ia membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 4.2 saat bagi versi 480 PS dan 4.1 saat bagi versi 510 PS.

     
     
  • Mitsubishi Xpander guna komponen suspensi Evo X?

    Mitsubishi Xpander guna komponen suspensi Evo X?

    Tidak seperti memilih sebuah kereta ‘bujang’, sebagai ketua keluarga pastinya ramai yang mengambil aspek keselesaan melebihi keinginan sebuah kenderaan dengan pengendalian yang baik ketika memilih pengangkutan untuk keluarga bukan? Namun, ada juga model keluarga yang dihasilkan untuk memberikan keseimbangan antara kedua-dua aspek berkenaan, misalnya MPV-SUV tujuh tempat duduk, Mitsubishi Xpander yang bakal dilancarkan ke pasaran tempatan tidak lama lagi.

    Xpander dikatakan menerima penyerap hentak dengan “injap berprestasi tinggi” yang diinspirasikan dari Mitsubishi Lancer Evolution X. Dakwaan ini dibuat oleh Mitsubishi Motors Filipina ketika sesi pandu uji media di pasaran berkenaan dan kemudian dilaporkan oleh Top Gear Filipina. Malah, dakwaan ini turut disertakan dalam material pemasaran di pelbagai negara termasuk Mesir.

    Namun apa yang menarik, Mitsubishi Motors sebenarnya tidak pernah menyatakan tentang injap pada penyerap hentak tersebut dalam siaran media mahupun material pemasaran pada Evolution X. Mereka hanya menyatakan bahawa Evo X hadir dengan dua jenis penyerap hentak yang boleh dipilih, di mana High Performance Package diberikan penyerap hentak dari Bilstein.

    Jadi apa faedah sekiranya teknologi dari sedan sport yang dihasilkan untuk perlumbaan rali ini sekiranya diadaptasi kepada model MPV yang boleh memuatkan seisi keluarga? Teknologi suspensi ini sebenarnya bukan hanya memberikan kelebihan untuk menampung aplikasi kuasa kuda dan g-force yang tinggi – dengan penggunaan komponen yang lebih baik juga boleh memberikan kenderaan tersebut pemanduan yang stabil dan selesa walaupun pada laluan jalan yang teruk.

    Mitsubishi Xpander guna komponen suspensi Evo X?

    Struktur penyerap hentak terdiri dari tiub yang mempunyai omboh, dan diisi dengan bendalir, di mana omboh berkenaan mempunyai orifis dan injap kecil yang akan membolehkan sebahagian kecil bendalir berkenaan mengalir melaluinya, seterusnya memberikan daya untuk menyerap hentakan.

    Dengan injap yang lebih baik akan memberikan kawalan serapan hentakan yang lebih baik, yang bukan sahaja dapat mengurangkan kadar olengan badan malah turut akan memberikan kualiti pemanduan yang lebih baik. “Injap berprestasi tinggi” berkenaan dapat memberikan Xpander rasa lebih sofistikated di atas jalan raya, walaupun pada bahagian belakang MPV ini hanya diberikan sistem torsion beam.

    Adakah komponen yang dihasilkan berdasarkan pengalaman Mitsubishi menghasilkan Lancer Evolution X ini akan memberikan impak kepada pemandu Xpander? Kami sendiri sebenarnya tidak sabar untuk menguji model ini setelah ianya dilancarkan di Malaysia sedikit masa lagi.

    GALERI: Prebiu Mitsubishi Xpander 2020 pasaran Malaysia

     
     
  • Farizon FX, versi trak pikap bagi Geely Boyue Pro?

    Farizon FX, versi trak pikap bagi Geely Boyue Pro?

    Model ini namanya Farizon FX. Ia merupakan versi trak pikap bagi Geely Boyue Pro. Ini projek apa sebenarnya? Adakah betul hasil dari Geely sendiri atau ada syarikat lain yang “cilok” penampilan Boyue Pro dan ubah jadi trak?

    Menurut CarNewsChina, Farizon merupakan cabang jenama kenderaan komersial untuk Geely. Memang, sebelum ini pun banyak kenderaan komersial selalu ditampilkan sebagai berkongsi ciri dan imej dari kenderaan penumpang, tetapi untuk Farizon ini sedikit lain macam nampaknya.

    Dari segi rupa depan, tak ada apa yang berubah daripada Boyue Pro hanyalah ada bahagian gril, serta tambahan bahagian belakang untuk menjadikannya sebuah trak. Selebihnya – dari segi rekaan dan penampilan – 80% adalah Boyue. Lihat dari tepi, yang dapat kita lihat hanyalah satu profil yang agak pelik.

    Farizon FX, versi trak pikap bagi Geely Boyue Pro?

    Bahagian belakangnya pun tak ada apa yang terlalu berbeza, rekaan yang digunakan selalu dapat kita lihat pada trak-trak pikap lain dalam pasaran. Lampu vertikal, bampar pemijak yang besar serta pemegang pintu krom dengan nama Geely tertera padanya.

    Ruang truck bed di belakang juga tidaklah terlalu luas, dengan sport bar sekali. Lantainya ada bahagian yang menggunakan kayu, dan tak lupa juga ada penutup untuk ruang barangan tersebut. Satu hal yang mungkin menarik tentang trak ini berbanding versi SUV-nya adalah saiz ruang kabin langsung tidak diubah; untuk keselesaan.

    Farizon FX ini menggunaan enjin 1.8 liter turbo yang sama pada Boyue Pro. Ia menghasilkan sebanyak 181 hp dan 300 Nm tork. Kotak gear pula menggunakan jenis automatik tujuh-kelajuan klac basah. Model ini dijual pada harga dari 126,900 yang hingga 136,900 yuan di China (RM77,124 hingga RM83,202).

     
     
  • Honda Forza 2021 – teaser tunjuk beberapa ciri, 750 cc

    Honda Forza 2021 – teaser tunjuk beberapa ciri, 750 cc

    Awal bulan lalu, Honda Eropah telah menyiarkan satu teaser yang memberi bayangan kemunculan skuter Forza baru dan cuma menunjukkan sedikit bentuknya dalam gelap serta ayat yang memberi makna “keluarga Forza akan bertambah besar.”

    Kini, satu lagi video teaser disiarkan dan beberapa cirinya ditunjukkan secara dekat. Ini termasuk butang pemula enjin, yang menunjukkan skuter ini menggunakan sistem tanpa kunci, bentuk lampu belakang tajam, pandangan hadapan dengan lampu DRL LED serta panel meter digital penuh.

    Satu lagi petunjuk penting yang diselitkan oleh Honda adalah nombor “750” yang berkemungkinan merupakan kapasiti enjin skuter baru tersebut. Jika benar, ia akan menjadi Forza yang paling berkuasa kerana sebelum ini, enjin paling besar pernah digunakan pada Forza cuma 350 cc.

    Perincian teknikal skuter ini masih belum didedahkan tetapi ramai yang menjangkakan enjin bagi Forza baru ini diambil daripada X-ADV atau Integra, tetapi telah dinaik taraf untuk menepati tahap emisi Euro 4. Pada kedua-dua model yang sudah sedia berada dalam pasaran itu, enjin ini dipadankan bersama transmisi DCT enam kelajuan dan mampu menghasilkan kuasa 54 hp dan 68 Nm tork.

    Melalui gambaran meter digitalnya pula, kita boleh melihat, selain terdapat maklumat penting seperti kelajuan dan tahap rpm, pengguna skuter ini juga boleh memilih kedudukan gear antara P, D dan N, mod tunggangan (dalam video berada di kedudukan ‘User’) serta logo EB dan T yang berkemungkinan adalah kawalan Engine Braking serta Traction Control. Forza baru ini akan didedahkan secara rasmi 14 Oktober ini.

     
     
  • Toyota GR Super Sport buat penampilan sulung di Le Mans – kereta sport produksi untuk asas jentera lumba

    Toyota GR Super Sport buat penampilan sulung di Le Mans – kereta sport produksi untuk asas jentera lumba

    Selepas diumumkan tahun lalu, dan kemudian dilihat di uji di Litar Fuji Speedway, hujung minggu lalu ketika berlangsungnya perlumbaan 24-Jam Le Mans yang ke-88 di Circuit de la Sarthe, Toyota buat pertama kali menayangkan kepada umum unit prototaip Toyota GR Super Sport, iaitu model produksi jalan raya yang dihasilkan sebagai asas kereta lumba Le Mans mereka untuk kategori tertinggi Hypercar pada musim hadapan.

    Model Hypercar ini dihasilkan berasaskan kereta lumba TS050 Hybrid LMP1 sedia ada, dan Toyota perlu menjualnya sebagai model jalan raya sekurang-kurangnya sebanyak 20 unit, serta duduk sebagai model ‘halo’ di bilik pameran satu tangga lebih tinggi dari GR Supra bagi memenuhi kategori perlumbaan yang menggantikan kategori LMP1 untuk World Endurance Championship (WEC) tahun hadapan.

    Menurut Toyota, GR Super Sport ini akan dijana oleh enjin 2.4 liter V6 dengan dua pengecas turbo serta sistem hibrid elektrik Toyota Hybrid System-Racing (THS-R), bagi menghasilkan kuasa keseluruhan sekitar 1,000 hp, yang juga diasaskan dari jentera lumba TS050 Hybrid.

    Toyota GR Super Sport buat penampilan sulung di Le Mans – kereta sport produksi untuk asas jentera lumba

    Unit prototaip yang muncul di Le Mans ini nampaknya berbeza dari versi yang di uji di Fuji Speedway sebelum ini kerana ia adalah dari versi bumbung boleh buka. Namun untuk versi produksi sebenarnya nanti, GR Super Sport bakal ditawarkan dalam versi dengan bumbung tetap.

    Tambah manis, Toyota sekali lagi menjadi juara di Le Mans tahun ini bagi mencatakan rekod kemenangan hat-trick. Kereta ini keluar dipandu oleh bekas pemandu Toyota Gazoo Racing, Alex Wurz bagi melengkapkan lap demonstrasi dan kemudian turut serta terlibat dalam upacara memulangkan trofi Le Mans sebelum perlumbaan bermula.

     
     
  • Mitsubishi buka bilik pameran baharu di Temerloh

    Mitsubishi buka bilik pameran baharu di Temerloh

    Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) telah melancarkan pusat 3S terbaharunya yang terletak di Temerloh, Pahang. Dikendalikan oleh pengedar bertauliahnya, Auto Raya Timur, pusat 3S ini terletak di Lot 9301 & 9297, Batu Tiga, Jalan Mentakab, Temerloh.

    Ini merupakan antara bilik pameran terbaharu yang mewakili tagline global jenama berkenaan, “Drive Your Ambition” dan membuktikan komitmen jitu MMM untuk memberikan perkhidmatan terbaik buat para pelanggannya.

    “Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Auto Raya Timur, kerana berjaya melancarkan bilik pameran pertamanya di Temerloh, Oleh kerana Mitsubishi Motors Malaysia bakal memperkenalkan Mitsubishi XPander di Malaysia, bilik pameran baharu di Temerloh ini turut mewakili komitmen kami untuk meletakkan pelanggan sebagai keutamaan, termasuk memberikan mereka pengalaman penjualan dan selepas jualan yang selesa ketika mereka mengunjungi bilik pameran kami, “kata Tomoyuki Shinnishi, Ketua Pegawai Eksekutif MMM.

    Mitsubishi buka bilik pameran baharu di Temerloh

    Dibina di kawasan berkeluasan lebih 11,000 kaki persegi, pusat 3S ini mampu mempamerkan tiga kenderaan dalam satu masa, malah turut menyediakan beberapa kemudahan untuk para pelanggan termasuk ruang lounge yang dilengkapi sambungan Wifi. Manakala pusat servisnya pula dilengkapi dengan enam petak penyelenggaraan.

    Kini MMM telah pun mempunyai sejumlah 52 bilik pameran (dengan 46 daripadanya adalah pusat 3S) dan 52 pusat servis di seluruh Malaysia. Manakala di Timur Malaysia pula, MMM memiliki 14 bilik pameran dengan tujuh daripadanya di Sarawak dan tujuh lagi di Sabah.

     
     
  • Bilik pameran Ferrari Petaling Jaya berwajah baharu

    Bilik pameran Ferrari Petaling Jaya berwajah baharu

    Selain melancarkan Ferrari SF90 Stradale, petang tadi, Naza Italia, pengedar dan pengimport rasmi Ferrari di negara ini, turut memperkenalkan bilik pameran Ferrari Petaling Jaya yang kini berwajah baharu.

    Bilik pameran dua tingkat ini kini digubah mengikut Identiti Korporat Ferrari yang baharu telah menelan kos sebanyak RM3.5 juta untuk kerja-kerja pengubahsuaian. Ia berkeluasan 11,900 kaki persegi dan mampu mempamerkan tujuh unit kereta dalam satu masa.

    Untuk tingkat bawah yang merupakan bahagian utama untuk bilik pameran ini, ia mempamerkan barisan model terkini Ferrari untuk pasaran tempatan. Ia juga menempatkan ruang lounge untuk pelanggan yang turut dilengkapi dengan coffee bar selain heritage wall dan mini perpustakaan yang menempatkan bahan bacaan mengenai sejarah, legasi dan evolusi jenama ini sejak ia ditubuhkan sehinggalah kini. Ini termasuklah pencapaian Naza Italia yang telah 11 tahun menjadi pengedar bertauliah jenama ini di Malaysia.

    Selain itu, bilik konfigurasi juga ditempatkan di tingkat yang sama, di mana para pelanggan boleh memilih material dan pilihan lain yang ada, malah menempatkan panel “atelier” eksklusif yang membolehkan bilik ini ditutup apabila pelanggan mahu membuat pilihan secara lebih tenang dan privasi.

    Bilik ini menempatkan pilihan rekaan untuk contoh fabrik, kulit, warna badan jentera dan kemasan. Serta pilihan untuk rim, tempat duduk dan juga roda stereng.

    Di aras satu pula didedikasikan khas untuk Ferrari Approved iaitu program pensijilan pra-milik jenama ini. Di mana terdapat beberapa model pra-milik yang dipamerkan yang kesemua telah melalui pemeriksaan 190-langkah yang teliti bagi memastikan pelanggan yang membelinya dapat memiliki Ferrari yang bertaraf dunia.

    Bilik pameran Ferrari Petaling Jaya ini beroperasi dari jam 9 pagi hingga 6 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, manakala untuk hari Sabtu pula, ia dibuka dari jam 10 pagi hingga 4 petang. Jika pelanggan ingin mengunjungi pada hari Ahad atau pun cuti umum, perlulah membuat temujanji terlebih dahulu.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025