Mazda MX-5 R Sport akhirnya telah mula dijual untuk pasaran UK, dengan angka pengeluarannya 150 unit sahaja. Harga bermula dari £27,700 (RM146k), dan sebagai promosi tempoh terhad, Mazda mengumumkan tak ada bayaran deposit minimum yang diperlukan.
Kereta ini berdasarkan varian Sport bagi MX-5 2020 dan dikuasakan oleh enjin SkyActiv-G 1.5 liter empat-silinder dengan janaan 132 PS dan 152 Nm. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui kotak gear manual enam-kelajuan.
Unik untuk model edisi khas ini ialah warna Polymetal Grey metalik yang dipadankan dengan warna bumbung soft-top yang juga kelabu, serta rin 16-inci RAYS aloi warna gunmetal. Selebihnya, warna kontras hitam digunakan misalnya pada bahagian perumah cermin, sementara ruang kabin menggunakan kulit Nappa burgundy dengan kemasan benang warna perak.
Kelengkapan lain termasuk kawalan pendingin hawa automatik, sistem infotainmen MZD Connect tujuh-inci, pemanas kerusi, sokongan Apple CarPlay dan Android Auto dan kawalan melayar.
Pengarah Urusan Mazda UK, Jeremu Thomson menjelas: “Saya sangat berbesar hati kami dapat menawarkan MX-5 Convertible yang eksklusif seperti ini kepada pelanggan. Dengan tambahan terbaru berkenaan, kami mempunyai pilihan yang pelbagai bagi model MX-5 untuk barisan model tahun 2020 ini.”
“Generasi MX-5 semasa ini telah dikenali dengan pengendalian sebuah kereta sports, dan dengan model tahun 2020 ini serta versi R-Sport edisi khas ini, kami terus memberikan penawaran terbaik dan menarik kepada mereka yang inginkannya,” jelas beliau.
Tak banyak kereta sport yang dihasilkan di Jepun buat masa sekarang. Toyota GR Supra misalnya, ia dipasang bersama BMW Z4 oleh Magna Steyr menerusi kilang mereka yang terletak di di Graz, Austria, manakala Honda Civic Type R pula dipasang oleh Honda UK menerusi kilangnya yang terletak di Swindon.
Buat masa sekarang, antara kereta sport yang masih dipasang di Jepun adalah Nissan GT-R, dan ini yang terbaharu – jentera yang dihasilkan untuk mendominasi semula kejuaraan rali dunia (WRC), Toyota GR Yaris yang dihasilkan oleh kilang khas yang digelar GR Factory, terletak di kilang Motomachi, Toyota City, dan anda boleh lihat bagaimana ia diproduksi menerusi video yang baharu sahaja disiarkan oleh Toyota ini.
Walaupun ia salah satu varian dari Toyota Yaris generasi baharu, GR Yaris ini dipasang jauh dari model standard berkenaan – Yaris biasa dihasilkan di kilang Iwate, terletak 800 km dari GR Factory. Ini adalah kerana GR Yaris adalah sebuah jentera berprestasi tinggi sebenar yang harus dihasilkan dalam satu kilang khas, berbeza dengan kilang untuk memasang sebuah hatchback penumpang biasa.
Dalam video berkenaan anda boleh lihat bagaimana GR Yaris dihasilkan dengan pelbagai kaedah khas, antaranya gam struktur yang 11 meter lebih panjang dari model lain, bersama 200 poin kimpalan yang lebih banyak bagi memastikan badan kereta ini lebih tegar.
Juga, bumbung GR Yaris ini juga tidak boleh dipasang secara kimpalan seperti kereta biasa kerana ia diberikan bumbung yang diperbuat dari material gentian karbon, memerlukan teknik istimewa bagi mencantumkannya. Selain dari membuatkan ia lebih ringan, bumbung gentian karbon ini juga penting bagi mendapatkan titik graviti yang lebih rendah.
Badan dan casis kereta ini juga disatukan dengan teknik istimewa yang tidak sama dengan proses pada model biasa, di mana kedua-dua bahagian utama tersebut dicantumkan di atas satu permukaan yang direka khas. Kemudian, penjajaran roda pula dibuat oleh juruteknik pakar serta peralatan istimewa yang membolehkan kerja tersebut dibuat tanpa memberikan sebarang beban terhadap tayar.
Jadi, jika Toyota sanggup berbelanja besar untuk menghasilkan satu fasiliti yang canggih sebegini, ini bermaksud lebih banyak model-model GR sebenar lain yang akan dihasilkan di kilang berkenaan pada masa hadapan.
Toyota GR Yaris dijana oleh enjin G16E-GTS 16 liter tiga-silinder turbo yang mampu menghasilkan 272 PS dan tork maksima 370 Nm. Ia digandingkan dengan kotak manual enam-kelajuan dan kuasa dialirkan ke kesemua roda menerusi sistem AWD GR-Four.
Untuk pasaran Jepun, GR Yaris turut ditawarkan dalam varian ‘kosong’ RC khas untuk pasukan lumba mentrasformasi kereta berkenaan kepada jentera rali sebenar yang dijana oleh enjin serta sistem AWD yang sama, serta satu lagi varian paling asas GR Yaris RS yang hanya dikuasakan oleh enjin M15A-FKS 1.5 liter tiga-silinder Dynamic Force berkuasa 120 PS/145 PS bersama kotak gear CVT dan hanya memacu roda hadapan.
Volvo Car Malaysia (VCM) telah memperkenalkan program pra-milik Selekt di negara kita. Melaluinya, orang ramai boleh membeli kereta Volvo terpakai yang telah lulus ujian kualiti, dengan lebih mudah dan menyenangkan.
Pada mulanya, kereta yang berada di bawah program ini akan dipilih secara teliti untuk memastikan ia berusia tidak sampai lima tahun dengan jarak batuan tidak melebihi 100,000 km. Kemudiannya, ia perlu melalui proses pengesahan jarak batuan serta sejarah servis, pemeriksaan rapi 125 bahagian dan diberikan naik taraf perisian terkini.
Apabila semuanya baik, termasuklah ciri keselamatan, prestasi serta penampilan mematuhi standard yang ditetapkan, barulah kereta tersebut akan diluluskan untuk dijual. Untuk memastikan pemilik lebih tenang, kenderaan yang dijual di bawah program Selekt ini juga datang dengan jaminan minimum 12 bulan serta bantuan tepi jalan satu tahun.
Buat masa ini, Volvo Selekt hanya disediakan di pusat pameran Sisma Auto Glenmarie dan mereka yang berminat boleh menghubungi mereka untuk maklumat lanjut.
Seperti juga banyak pengeluar kenderaan lain di seluruh dunia, BMW akan mengikut jejak yang sama. Syarikat itu dijangka tidak akan menyambung kontrak bagi 10,000 pekerja, seperti dilaporkan oleh Reuters memetik sumber-sumber yang dekat dengan perkara tersebut.
Selain itu, BMW juga menamatkan kerjasama dengan Mercedes-Benz buat sementara waktu; usaha itu sepatutnya bakal memperlihatkan kedua-dua jenama itu membangunkan teknologi-teknologi generasi baru bagi sistem bantuan pemandu, pemanduan autonomous di lebuhraya serta parkir automatik ke Tahap 4. Matlamat awalnya adalah untuk memperkenalkan sistem-sistem tersebut ke dalam kenderaan menjelang tahun 2024.
“Berdasarkan penilaian semula menyeluruh yang dijalankan, kedua-dua syarikat terbabit bersetuju untuk memberi tumpuan kepada usaha masing-masing yang sedang berjalan terlebih dahulu, termasuk kemungkinan untuk bekerjasama dengan rakan baru,” seperti dipetik dari kenyataan bersama yang dikeluarkan.
Seperti yang telah dimaklumkan sebelum ini, Volvo akan menetapkan had laju 180 km/j bagi semua kenderaan baru keluaran syarikat itu selepas ini. Tetapi, mengurangkan had laju sahaja tidak akan memberikan banyak perbezaan terhadap penambahbaikan keselamatan, jelas ketua Pusat Keselamatan Volvo Cars, Malin Ekholm.
Dalam satu wawancara bersama Autocar, beliau menjelaskan: “180 km/j masih terlalu laju, jadi adakah ia akan menjadi pengakhiran kepada tindakan memecut? Sama sekali tidak.” Volvo akan meneruskan rancangan itu; “… dan tak ada satu pun sebab untuk kita memandu melebihi 180 km/j. Ramai orang bercakap tentang memecut, tapi kami ingin buat sesuatu untuk menunjukkan kami serius. Itu akan membuka perbincangan panjang tentang subjek berkenaan.”
Banyak maklum balas yang diterima dari pelanggan, dan reaksinya sebahagian besar sinikal. Tetapi Malin menjawab;”Sentiasa akan ada orang yang skeptikal. Tetapi bagaimana kita patut imbangkan kebebasan dengan keselamatan? Apa perancangan yang boleh dilaksanakan untuk atas situasi berkenaan? Had laju ini adalah langkah pertama untuk menetapkan kelajuan selamat.”
Volvo sendiri belum pasti apakah kelajuan selamat pada era sekarang ini, tetapi dalam usaha untuk menentukannya itu memerlukan penglibatan banyak pihak, termasuk ahli politik dan pihak berkuasa trafik dan NGO.
“Sebagai pengeluar kenderaan, kami ingin memberi sumbangan melalui apa yang kami ada dan boleh lakukan, misalnya dengan memperkenalkan had laju pada kenderaan kami melahirkan pemandu yang sentiasa berada dalam keadaan bertambah baik tak kira ketika melalui situasi apa pun,” tambah beliau.
Lanjutan dari gesaan pelbagai pihak agar akta sedia ada di pinda untuk mengenakan hukuman lebih berat terhadap pemandu mabuk yang dilihat semakin kerap menyebabkan kemalangan maut, semalam Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong memberitahu bahawa ia akan di bawa ke kabinet minggu ini.
“Cukup cukuplah. Saya akan membawa memorandum kepada Kabinet untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 dengan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pemanduan DUI (di bawah pengaruh dadah) pada minggu depan,” katanya menerusi hantaran pada akaun Facebook miliknya semalam.
Hantaran tersebut dibuat merujuk kepada insiden kemalangan mengorbankan tiga beranak di Kilometer (KM) 74, Jalan Ipoh-Gerik, berdekatan Kampung Kuak, Sauk, Kuala Kangsar, Perak, Jumaat lalu yang dipercayai berlaku apabila kereta keluarga itu bertembung dengan sebuah pacuan empat roda. Siasatan polis kemudian mendapati pemandu pacuan empat roda terbabit dipercayai positif dadah.
“Berita sebegini menguatkan lagi tekad untuk memerangi pemanduan di bawah pengaruh alkohol, dadah dan pemanduan secara berbahaya,” tambah menteri berkenaan.
Bermula bulan Julai ini, BMW 7 Series LCI (facelift) G11/12 akan didatangkan dengan enjin diesel turbo enam silinder sebaris baru yang turut dilengkapi dengan teknologi hibrid ringkas 48 volt serta sistem rawatan gas ekzos yang seterusnya memberikan peningkatan kuasa serta kurang emisi untuk mematuhi standard Euro-6d.
Enjin baru versi 30d ini akan digunakan pada varian 730d, 730d xDrive serta versi jarak roda panjang 730Ld dan 730Ld xDrive. Ia mampu menghasilkan kuasa 286 hp dan 650 Nm tork antara 1,500 hingga 2,500 rpm – peningkatan 21 hp dan 30 Nm berbanding enjin 730d sebelum ini. Antara penyumbang peningkatan kuasa ini adalah desakan kuasa dua tahap (TwinPower Turbo Technology) serta geometri ruang kemasukan udara boleh ubah.
Melihat kepada prestasi pula, dengan menggunakan enjin ini, varian 730d dan 730d xDrive dapat melakukan pecutan 0-100 km/j 0.2 saat lebih pantas iaitu masing-masing menjadi 5.9 dan 5.6 saat. Penggunaan bahan api juga dapat dijadikan 0.6 l/100 km lebih jimat. Emisi karbon dioksida 730d adalah 123 g/km, 730d xDrive 133 g/km, 730 Ld 126 g/km dan 730Ld xDrive 133 g/km.
Barisan varian 30d ini juga akan disertai oleh varian 740d xDrive dan 740Ld xDrive, yang mana kedua-duanya menggunakan pacuan semua roda. Enjin pada varian ini turut mempunyai peningkatan sama seperti 30d, sekaligus menghasilkan 20 hp dan 20 Nm tork lebih tinggi berbanding sebelum ini, menjadi 340 hp serta 700 Nm tork antara 1,750 hingga 2,250 rpm.
Varian 740d xDrive mampu melakukan pecutan 0-100 km/j dalam masa 5.0 saat, penggunaan bahan api menjadi 5.2 l/100 km manakala emisi karbon dioksida pula adalah 136 g/km. Bagi kedua-dua enjin 30d dan 40d ini, sistem hibrid ringkasnya menggunakan starter-generator 11 hp.
Sistem rawatan gas ekzos baru yang dipasang pada enjin ini terdiri daripada penapis partikel diesel teroksida dan lapisan SCR pada penapis itu, serta unit dos kedua pada salur keluar SCR. Selain peningkatan pada enjin, BMW juga akan memasang Integral Active Steering kepada semua varian 7 Series G11/12 bermula Julai ini.
Nasim Sdn Bhd, pengedar rasmi bagi jenama Peugeot di Malaysia, telah mengumumkan pelancaran bilik pameran dalam talian, Peugeot e-Showroom, menerusi laman web rasmi mereka. Dengan adanya bilik pameran dalam talian ini, ia lebih memudahkan lagi pelanggan untuk mencari dan membeli mana-mana model terbaharu jenama ini termasuk Peugeot 3008 SUV Plus dan Peugeot 5008 SUV Plus.
Dengan melayari www.peugeot.com.my/online-showroom, kini pelanggan boleh menempah mana-mana model terbaharu Peugeot dengan empat langkah mudah iaitu pilih kenderaan yang diingini, isi data peribadi pada borang tempahan, klik serahan permohonan dan anda akan dihubungi oleh penasihat jualan Peugeot untuk proses selanjutnya.
Peugeot juga menawarkan sesi pandu uji di sekitar kawasan kediaman pelanggan yang memohon untuk memandu uji mana-mana model jenama ini dan kereta berkenaan akan dihantar ke alamat diberikan.
“Walau pun kami telah kembali membuka perniagaan seperti biasa, namun kami tetap mengutamakan keselamatan para pelanggan dan kakitangan kami. Sesuai dengan prinsip baharu ini, kami menawarkan persekitaran tanpa rasa bimbang untuk para pelanggan menerusi pelancaran bilik pameran dalam talian ini,” kata Dato’ Nik Hamdam Nik Hassan, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings.
Bagi pelanggan yang berminat untuk berkunjung ke mana-mana bilik pameran atau pusat servis Peugeot, proses sanitasi harian diimplementasikan setiap hari di semua premis jenama ini. Malahan unit kereta pandu uji dan material penyelenggaran juga akan disanitasi setiap kali selepas sesi pandu uji atau penyelenggaraan.
Sempena dengan pengurangan cukai jualan sehingga 31 Disember ini, Peugeot Malaysia turut memberikan tawaran penjimatan sehingga RM19,000 (tertakluk pada terma dan syarat). Pelanggan yang membeli model 3008 atau 5008 Plus akan diberikan waranti lima-tahun dan penyelenggaraan percuma selama tiga-tahun termasuk alat ganti dan kos buruh.
Seperti yang dijangka, untuk minggu bertarikh 20 hingga 26 Jun 2020, sekali lagi harga bahan api utama negara dilaporkan mengalami kenaikan harga runcit.
Kementerian Kewangan memaklumkan harga petrol RON97 dan RON95 naik masing-masing sebanyak 3 sen, manakala diesel juga naik sebanyak 4 sen.
Bagi petrol RON97, harga baharunya bakal menjadi RM1.89 seliter, berbanding RM1.86 seliter pada minggu sebelum ini. Manakala RON 95 pula, daripada RM1.56 seliter menjadi RM1.59 seliter.
Untuk diesel pula, harga bagi gred Euro 2M kini RM1.77 seliter dan RM1.87 seliter bagi gred Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengahmalam ini sehingga Jumaat hadapan, 26 Jun 2020.
Alasan yang sama masih diberikan bagi kenaikan harga ini, iaitu disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.
Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Beberapa bulan selepas versi ranggi ZR2 didedahkan, kini Chevrolet menunjukkan pula versi standard untuk Colorado 2021. Varian lain yang dijual untuk trak pikap ini adalah Work Truck (paling asas), LT dan Z71.
Kini, Colorado 2021 mendapat beberapa pengaruh rekaan daripada satu lagi trak Chevrolet yang lebih besar iaitu Silverado, termasuklah gril lebih besar dengan muka yang direka semula serta bukaan udara lebih besar, dan kemasan bahagian bawah bampar yang boleh ditanggalkan sekiranya perlu.
Perubahan di bahagian belakang tidak begitu ketara kerana lampu serta bampar dengan pemijak kaki yang lebar masih dikekalkan seperti sebelum ini. Cuma pintu penutup ruang barangan belakang direka semula untuk menempatkan tulisan Chevrolet yang besar.
Seperti yang didedahkan sebelum ini, versi ZR2 mempunyai penampilan yang lebih ganas, dengan gril yang lebih panjang ke bawah serta tulisan Chevrolet melintang panjang di atasnya. Versi yang lebih fokus kepada prestasi offroad ini juga mendapat cangkuk penarik, penyerap Multimatic, differential depan dan belakang dengan pengunci elektronik, kit tinggi tambahan dua inci, jarak roda 3.5 inci lebih lebar serta pelbagai pelindung bahagian bawah kenderaan.
Malangnya setakat ini Chevrolet masih belum mengeluarkan sebarang perincian penuh perubahan yang diberikan kepada bahagian lain seperti dalaman ataupun mekanikal untuk Colorado 2021 ini. Produksi untuknya diberitahu akan dimulakan hujung bulan ini.
Seperti biasa, sebaik sahaja satu-satu model dilancarkan di Jepun, barisan aksesori aslinya juga akan diperkenalkan sekali. Begitu juga Toyota Harrier generasi baharu yang didedahkan April lalu dan mula di jual di Jepun bulan ini, pembeli terus boleh memilih pelbagai aksesori yang lebih sporty dari Gazoo Racing seperti yang didedahkan semalam, atau yang nampak elegen menerusi penawaran kit dari Modellista ini.
Modellista hadir dengan dua pilihan kit badan untuk Harrier yang dinamakan Gran Blaze dan Avant Emotional. Kedua-dua kit berkenaan menampilkan spoiler bawah bampar hadapan dan belakang dan juga skirt sisi yang sangat labuh. Perbezaan ketara antara kedua-duanya adalah pada bahagian belaakng di mana Gran Blaze menampilkan empat perumah tip ekzos, manakalan Avant Emotional pula menyorokkan sepenuhnya bahagian tersebut.
Selain panel-panel tambahan pada badan, kedua-dua kit ini juga hadir dengan pelbagai aksesori lain seperti gril baharu dengan pencahayaan LED, spoiler belakang dan juga kemasan-kemasan krom pada bahagian bonet, bawah gril, cermin sisi, tiang-D, pintu tailgate belakang, dan juga rim aloi 20-inci “Wing Dancer XIV”.
Kit ini juga menampilkan kelengkapan lain termasuk kemasan logam pada pintu, lampu selamat datang berwarna biru yang dipancarkan ketika pintu dibuka, lampu suasana berwarna biru, lampu-lampu pada ruang kaki dan juga lampu bahagian but. Pemilik juga boleh memilih lantai dengan kemasan kayu pada bahagian kargo berkenaan yang didakwa lebih mudah untuk dibersihkan.
Toyota Harrier generasi baharu ini dijual pada harga bermula 2,990,000 yen (RM119,800) hingga 5,040,800 yen (RM201,900). Ia diasaskan dari platform baharu Toyota New Global Architecture (TNGA) dalam varian GA-K, dan ditawarkan dengan enjin 2.0 liter Dynamic Force NA berkuasa 171 PS/207 Nm dan juga versi hibrid elektrik dengan enjin 2.5 liter menghasilkan kuasa 218 PS secara keseluruhan.
Kedua-dua pilihan enjin ini digandingkan dengan kotak gear CVT, dengan versi Hybrid juga turut didatangkan dengan sistem pacuan semua roda E-Four yang ditambah motor elektrik pada gandar belakang. Tiada lagi model yang dijana oleh enjin petrol turbo untuk Harrier generasi keempat ini.
GALERI: Toyota Harrier Modellista Gran Blaze 2020
GALERI: Toyota Harrier Modellista Avant Emotional 2020
Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengeluarkan senarai harga dikemaskini bagi semua barisan kenderaan Hyundai berikutan pengumuman pengecualian cukai jualan (SST) bagi kenderaan penumpang CKD (100%) dan CBU (50%) yang akan berkuatkuasa sehingga 31 Disember nanti.
Jika diperhatikan jadual di bawah, tiada perbezaan harga bagi Hyundai Elantra, Ioniq hibrid dan Tucson. Ini adalah kerana model-model berkenaan dikilangkan pada tahun 2019, dan hanya kenderaan yang dikeluarkan pada 2020 akan diberi pengecualian cukai. Walaupun harga rasmi kekal sama bagi ketiga-tiga berkenaan, tentunya ada promosi yang ditawarkan kepada yang berminat.
Bagi SUV Santa Fe CKD, ia dijual sebelum ini pada harga RM171,888 hingga RM213,888 (atas jalan tanpa insurans), kini harganya turun kepada RM166,974 bagi 2.4 Executive hingga RM207,638 bagi varian paling tinggi 2.2 Premium. Itu melibatkan penjimatan antara RM4,913 hingga RM6,249, atau 2.86% hingga 2.92%.
Sementara itu, Hyundai i30 N – model CBU yang diimport dari Eropah – menerima penurunan harga dari RM298,888 kepada RM293,797. Itu melibatkan perbezaan sebanyak RM5,090, atau 1.7%. Tiada perbezaan harga bagi MPV Hyundai Grand Starex, disebabkan status komersialnya.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) telah mengeluarkan notis kepada 12,694 pemilik kenderaan setakat ini kerana menggunakan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi seperti yang digariskan oleh undang-undang. Selain itu, dari Januari hingga Mei 2020, sebanyak 7,455 kenderaan telah dikompaun diatas kesalahan sama.
“Mereka yang menggunakan nombor-nombor plat yang fancy ini mungkin ada alasan dan maksud tersendiri yang ingin ditunjukkan, tetapi yang salah di sisi undang-undang akan tetap salah,” jelas Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid seperti dilaporkan oleh Harian Metro.
“Pemilik kenderaan yang didapati menggunakan nombor plat yang tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan akan diminta menyatakan alasan mereka dan kenderaan terbabit akan diperiksa sebelum dikenakan saman,” jelas beliau, menjelaskan perbezaan antara notis dan kompaun.
Shaharuding juga mengalu-alukan laporan daripada orang awam berkaitan nombor plat fancy ini. “Orang awam yang ternampak kenderaan menggunakan nombor plat seperti itu boleh tangkap gambar dan kirimkan kepada pusat aduan JPJ,” ujar beliau.
Apa yang dimaksudkan dengan nombor plat fancy di sini? Selain daripada permukaan plat dan juga rekaan huruf yang tidak sah atau tidak dibenarkan, tindakan sesetengah orang untuk menyambung atau mengubahsuai huruf atau nombor yang membolehkannya dibaca sebagai satu perkataan juga adalah salah.
Sebagai contoh, MAF 14 adalah nombor plat biasa, tetapi sekiranya ia ditukar dan diubahsuai menjadi MAF1A, maka itu sudah menjadi kesalahan dan boleh dikenakan tindakan. Fancy di sini pula tidaklah merujuk kepada nombor plat khas yang dikeluarkan secara sah oleh JPJ, misalnya yang terbaru ialah SYG.
Menteri Besar Selangor Dato’ Seri Amirudin Shari telah berkunjung ke Assembly Services Sdn Bhd (ASSB), sebuah anak syarikat milik penuh UMW Toyota Motor Sdn Bhd yang terlibat dalam kerja-kerja pemasangan tempatan bagi kenderaan-kenderaan Toyota bagi meninjau sendiri amalan dan prosedur terbaharu yang diamalkan di kilang tersebut yang selari dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk menghentikan penularan Covid-19.
Kehadiran Amirudin ke kilang yang terletak di Kawasan Perindustrian Bukit Raja itu disambut oleh barisan pengurusan tertinggi UMW Toyota Motor dan ASSB. Selepas menerima taklimat berkaitan operasi kilang, beliau dibawa meninjau sekitar kemudahan yang ketika ini menjadi pusat pemasangan bagi model-model seperti Toyota Yaris dan Toyota Vios.
Antara SOP yang diamalkan di fasiliti berkenaan termasuklah mengekalkan jarak sosial, pemeriksaan suhu badan dijalankan setiap hari, manakala cecair pembasmi kuman dan penggunaan pelitup muka dijadikan kelaziman baru.
Amirudin juga sempat dibawa melawat Toyota Boshoku UMW Sdn Bhd, sebuah syarikat usaha sama antara Toyota Boshoku dan UMW Toyota Motor yang membuat dan mengeluarkan tempat duduk, kemasan pintu, lapik bumbung serta dulang barangan yang digunakan dalam model-model kenderaan pemasangan tempatan Toyota.
Sebelum ini, Toyota Boshoku UMW turut membantu mengeluarkan kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) yang diperlukan oleh petugas medik yang menguruskan pesakit-pesakit Covid-19. Lebih 10,000 unit PPE yang terdiri daripada pelindung kasut, penutup kepala dan baju pelindung telah diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk diedarkan ke hospital-hospital seluruh negara.
Selain itu, turut diadakan majlis penyerahan kelengkapan PPE berkenaan kepada Amirudin sebagai tanda terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor. Serahan berkenaan merangkumi 100 helai baju pelindung, penutup kepala dan pelindung kasut.
“Kami sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri Selangor di atas kelulusan dan bimbingan yang membolehkah ASSB menyambung semula operasi selepas memberhentikannya untuk tempoh yang lama berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini.
Kilang kami telah mengambil segala langkah yang perlu untuk mematuhi SOP seperti yang digariskan, serta kami juga telah menerapkan amalan terbaik lainnya yang dipinjam dari kilang-kilang Toyota di negara lain,” ujar Presiden UMW Toyota Motor, Ravindran K.
Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor, Akio Takeyama pula berkata, “Toyota Motor Corporation juga sangat serius dalam menyediakan persekitaran yang baik dan selamat kepada semua pekerja. Sebagai ahli keluarga Toyota peringkat global, ASSB juga boleh mendapatkan nasihat dan panduan amalan terbaik daripada TMC berkaitan langkah-langkah tambahan yang boleh digunakan di Selangor juga.”
Sepanjang tempoh lapan hari pertama Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) diperkenalkan bagi tempoh 10 Jun hingga 17 Jun 2020, statistik menunjukkan bahawa pihak polis telahpun mengeluarkan sebanyak 80,950 saman diatas pelbagai kesalahan terutamanya trafik, lapor Bernama.
Ini adalah selari dengan makluman yang diberi sebelum ini yang mana pihak berkuasa akan terus mengekalkan kehadiran dan memantau lebuh-lebuh raya serta jalan persekutan dan jalan negeri di seluruh negara berikutan jangkaan meningkatnya jumlah pengguna sebaik sahaja perjalanan rentas negeri dibenarkan.
Pengarah Jabatan Penyiasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, kesalahan utama yang kerap dilakukan ialah melanggar had laju (37,802), lesen luput tarikh (12,169) dan melanggar isyrat trafik (10,390).
Pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan ini juga boleh dibawa ke mahkamah sekiranya mereka mengabaikan peraturan jalan raya dan juga undang-undang, merujuk kepada pemandu-pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk atau ditangkap kerana lumba haram di jalan umum.