Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • PKPP: Sekatan jalan raya tidak lagi diperlukan, kawalan trafik tetap dimantapkan – PDRM

    PKPP: Sekatan jalan raya tidak lagi diperlukan, kawalan trafik tetap dimantapkan – PDRM

    Hari ini merupakan hari terakhir pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bakal dilaksanakan mulai esok hingga 31 Ogos 2020.

    Menerusi PKPP, lebih banyak syarat pergerakan telah dilonggarkan termasuklah perjalanan rentas negeri dibenarkan. Ini memberikah perkhabaran gembira buat mereka yang sudah lama tidak pulang ke kampung halaman bertemu ibu bapa tercinta.

    Susulan daripada pengumuman PKPP oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tempoh hari, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menetapkan bentuk penugasan baharu bagi semua anggotanya. Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador, penugasan baharu ini juga termasuk kawalan trafik memandangkan orang ramai akan mengambil kesempatan ini untuk balik ke kampung.

    Mengenai sekatan jalan raya yang dilaksanakan sebelum ini, beliau berkata, ia sudah tidak ada keperluan.

    PKPP: Sekatan jalan raya tidak lagi diperlukan, kawalan trafik tetap dimantapkan – PDRM

    “Buat saat ini, sekatan jalan raya untuk PKPP jelas sudah tidak ada keperluannya lagi, kecuali di lokasi-lokasi Op Benteng Covid19. Saya akan berbincang terlebih dahulu dengan Panglima Angkatan Tentera untuk mendapatkan kefahaman dan persetujuan bersama.

    “Mungkin penugasan pemantauan akan ditambah bagi memastikan kepatuhan kepada jarakan sosial, semangat ingin merayakan sambutan Aidilfitri masih berkobar-kobar dalam kalangan masyarakat dapat dijangkakan, namun mengingatkan bahawa kemenangan melawan COVID-19 ini belum berakhir. Antara inti pati PKPP adalah perjalanan rentas negeri dibenarkan kecuali di kawasan PKPD,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tempoh hari, Perdana Menteri mengumumkan perjalanan rentas negeri akan dibenarkan bermula 10 Jun 2020, kecuali di kawasan yang masih diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

    Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata urusan pengkompaunan masih berterusan semasa tempoh PKPP berkenaan. Justeru, biar pun PKPP telah melonggarkan banyak pergerakan, namun orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) terutamanya penjarakan sosial dan kebersihan diri.

     
     
  • PKPP: Rentas negeri dibenarkan bermula 10 Jun ini

    PKPP: Rentas negeri dibenarkan bermula 10 Jun ini

    Menerusi pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sebentar tadi, beliau mengumumkan bahawa perjalanan rentas negeri akan dibenarkan bermula 10 Jun 2020, kecuali di kawasan yang masih diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD).

    Menurutnya, PKPP akan menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang akan berakhir 9 Jun ini. Beliau juga menasihatkan agar mereka yang mahu pulang ke kampung halaman untuk berjumpa dengan ibu bapa agar sentiasa mengamal SOP norma baharu untuk mengelakkan penularan wabak COVID-19.

    PKPP ini akan berlangsung bermula 10 Jun hingga 31 Ogos 2020, jadi ia bukan bermakna kita sudah bebas terus dari COVID-19, dan segala usaha untuk mengelakkan jangkitan termasuk penjarakan sosial masih perlu diteruskan. Lebih perincian berkenaan kelonggaran dalam PKPP ini akan menyusul kemudian.

     
     
  • PLUS umum diskaun 20% untuk pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang mulai pertengahan Julai ini

    PLUS umum diskaun 20% untuk pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang mulai pertengahan Julai ini

    PLUS Malaysia Berhad telah mengumumkan pemberian diskaun sebanyak 20% kepada pengguna Jambatan Pulau Pinang (kategori kereta persendirian) yang menggunakan teknologi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) sebagai kaedah pembayaran tol mulai pertengahan Julai ini.

    Menurut Pengurus Perniagaan Wilayah Utara PLUS Wan Ahmad Awang, diskaun tersebut diberikan kepada rakyat Pulau Pinang dan warga kerja di negeri itu.

    “Walaupun diskaun ini untuk kenderaan persendirian sahaja tetapi ia merangkumi lebih 80% kenderaan yang melalui Jambatan Pulau Pinang. Orang ramai yang tinggal atau bekerja di Pulau Pinang boleh memohon diskaun 20% menerusi RFID di Jambatan Pulau Pinang bermula bulan hadapan,” katanya seperti dilaporkan oleh Bernama.

    PLUS umum diskaun 20% untuk pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang mulai pertengahan Julai ini

    Tambahnya lagi, penggunaan RFID membolehkan pengguna menambah nilai secara dalam talian melalui e-Dompet dan kaedah itu tidak memerlukan pengguna berinteraksi dengan jurutol sekali gus mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.

    “Pada masa ini, bayaran tol bagi pengguna RFID di Jambatan Pulau Pinang ialah RM5.74 dan selepas diskaun 20%, mereka hanya perlu membayar kadar baharu iaitu RM4.59.

    “Ketika ini, kadar RM4.59 hanya dinikmati pemilik kad Touch ‘n Go yang menerima diskaun khas dan merupakan penduduk serta warga kerja di Pulau Pinang yang menggunakan jambatan itu,” katanya lagi.

    Wan Ahmad turut memaklumkan sistem kutipan tol menggunakan RFID akan dilaksanakan di laluan Hutan Kampung-Sungai Dua pada pertengahan Julai namun tiada diskaun 20% ditawarkan di laluan itu.

     
     
  • Pengecualian cukai jualan kereta CKD bermula 15 Jun — adakah harga kereta akan turun hingga 10%?

    Pengecualian cukai jualan kereta CKD bermula 15 Jun — adakah harga kereta akan turun hingga 10%?

    Antara pengumuman penting yang dibuat oleh kerajaan hari ini tentulah berkaitan pelan stimulus yang dikenali PENJANA, yang di dalamnya turut terdapat perincian untuk membantu sektor automotif, terutamanya untuk merancakkan jualan kenderaan baru. Ini termasuklah pengecualian 100% bagi cukai jualan bagi kenderaan pemasangan tempatan (CKD) dan 50% bagi kenderaan CBU bagi tempoh 15 Jun hingga 31 Disember 2020.

    Bunyi macam menarik. Tapi adakan ini akan diterjemahkan kepada harga kereta yang lebih murah? Jawapan ringkasnya, ya, tetapi bukanlah dalam jumlah besar yang mungkin anda bayangkan. Ini kerana ia hanya akan memberi kesan terhadap cukai jualan kenderaan, merangkumi 10% dari harga kenderaan penumpang CKD dan CBU, dan tidak terpakai ke atas duti import dan duti eksais.

    Perlu juga dinyatakan bahawa caj cukai jualan dikenakan pada tingkat terakhir daripada keseluruhan struktur harga kenderaan – sebelum yuran pemeriksaan dan margin – yang kemudiannya menjadi harga runcit yang dikenakan.

    Pengecualian cukai jualan kereta CKD bermula 15 Jun — adakah harga kereta akan turun hingga 10%?

    Secara efektif, kita sebenarnya akan kembali hampir sama ketika tempoh “cuti cukai” yang dinikmati pada Jun-Ogos 2018 dahulu, yang menyaksikan pemansuhan cukai GST daripada semua harga kereta. Kemudian, pada 1 September 2018, barulah SST dilaksanakan, yang kita guna pakai sehingga hari ini.

    Dengan pengumuman terbaru ini, SST akan dimansuhkan (sementara) bagi kenderaan CKD dan separuh daripada itu, 5% bagi kereta CBU. Maka, harga kenderaan akan jadi lebih murah. Melihat kepada nisbah pengecualian cukai, kereta CKD paling banyak menerima manfaat daripada pengecualian ini, sementara bagi kereta CBU pula hanya separuh daripada itu. Berdasarkan kepada harga kenderaan ketika “cuti cukai” pada 2018 dulu, perbezaan harga kereta akan melibatkan penurunan dari beberapa ratus ringgit hinggalah kepada beberapa ribu ringgit, bergantung kepada model.

    Melihat lebih terliti kepada contoh berkenaan, sebagai contoh, Perodua Myvi Advance AT dijual pada harga RM54,090 termasuk SST pada 2018, tetapi harganya ialah RM52,186.23 ketika tempoh “cuti cukai” sebelum itu – melibatkan pengurangan sebanyak RM1,903.77 atau 3.52%. Begitu juga dengan Honda City 1.5 V; dengan SST harganya RM86,893, tetapi ketika tempoh “cuti cukai” ia dijual pada harga RM84,205 – pengurangan sebanyak RM2,688 atau 3.09%.

    Lagi contoh. Toyota Vios 1.5 S AT sebelum ini dijual pada harga RM93,200 dengan SST, tetapi sebelum itu ditawarkan pada harga RM88,677 ketika “cuti cukai” – ini melibatkan pengurangan RM4,523 atau 4.85%. Bagi segmen premium, Mercedes-Benz E 250 Exclusive Line dijual RM370,888 dengan SST, tetapi harganya cuma RM357,482.58 ketika “cuti cukai” – pengurangan sebanyak RM13,405.42 atau 3.61%.

    Pengecualian cukai jualan kereta CKD bermula 15 Jun — adakah harga kereta akan turun hingga 10%?

    Kesan seperti ini dapat dilihat sebelum ini terhadap majoriti model kenderaan daripada pelbagai jenama. Seperti yang dapat dilihat dalam jadual harga yang disediakan, ia melibatkan pengurangan antara 3-5% dan bukannya sekitar 10% atau 5% (CBU) seperti yang mungkin ramai daripada kita jangkakan. Tapi, walaupun sedikit, ia tetap pengurangan harga untuk dimanfaatkan oleh pengguna.

    Bagaimanapun, perbezaan antara harga (antara SST vs cuti cukai) lebih ketara bagi trak pikap. Memandangkan kenderaan komersial ini memang dijual tanpa duti eksais dan duti import, pengecualian cukai ini akan memberi kesan yang lebih banyak. Sebagai contoh, Hilux 2.8 L-Edition dijual RM138,000 dengan SST, tetapi hanya RM126,411 ketika “cuti cukai” – berbeza RM11,589 atau 8.4%.

    Dengan cara ini, kerajaan sedang berusaha untuk merancakkan jualan kenderaan. Jadi, ringkasnya, “cuti cukai” kembali sekali lagi, dan jika anda memang sedang mencari sebuah kereta, ada eloknya anda tunggu sehingga 15 Jun nanti, kerana itulah masa terbaik untuk membeli. Tidak dapat dipastikan sebanyak mana sebenarnya pengurangan harga yang akan terlibat. Tetapi jika kita menjadikan situasi sama pada 2018 sebagai rujukan, kita akan mendapat gambaran yang hampir serupa. Terus perhatikan ruang ini untuk kemaskini berkaitan.

     
     
  • Rupa BMW M4 G82 terdedah tanpa penyamaran

    Rupa BMW M4 G82 terdedah tanpa penyamaran

    Versi berprestasi tinggi untuk BMW 4 Series generasi terkini iaitu BMW M4 G82 hanya akan didedahkan sepenuhnya pada bulan September nanti, bersama versi sedan empat pintu M3 G80. Sebelum ini bayangan model tersebut hanya dapat dilihat menerusi imej-imej spyshot yang berjaya dirakam memaparkan unit prototaip yang sedang diuji. Namun dalam hantaran terkini di forum Bimmerpost, dapat kita tengok dengan jelas bagaimana rupa produksi sebenar M4 berkenaan.

    Walau bagaimanapun, imej tersebut hanya memaparkan bahagian hadapan kereta ini. Anda rasa gril ‘kidney’ pada 4 Series sudah terlampau besar? Nampaknya gril pada M4 ini direka sedikit lebih besar dari versi berkenaan. Untuk imej lebih garang, elemen pin 3D pada gril model standard ditukar kepada bar melintang dalam kemasan hitam.

    Gril yang lebih besar serta ruang untuk laluan udara lebih banyak ini juga berkemungkinan untuk mengalirkan lebih banyak angin untuk enjin S58 3.0 liter turbo enam-silinder sebaris yang menjana model paling berkuasa ini. Ia dilaporkan akan dibekalkan dengan kuasa 480 PS pada M4 biasa, dan 510 PS untuk versi M4 Competition.

    Selain gril, liang udara sisi bampar juga kelihatan lebih agresif, yang biasanya untuk membantu aliran udara terus ke sistem brek bagi menyejukkannya dengan lebih baik.

    Turut dapat dilihat adalah lampu hadapan BMW laserlight pada kereta ini diberikan serlahan biru, dan ia turut diberikan cermin sisi dengan rekaan signatur BMW M.

    Menurut CEO BMW M, M4 generasi baharu ini akan menerima kotak gear automatik lapan kelajuan yang digandingkan bersama sistem pacuan semua roda, manakala versi dengan kotak gear manual adalah model yang diklasifikasikan sebagai “Pure” yang hanya menyampaikan kuasa sepenuhnya pada roda belakang sahaja.

     
     
  • Harga minyak 6-12 Jun- RON 97 dan RON 95 naik sehingga 5 sen, diesel pula naik sebanyak 2 sen

    Harga minyak 6-12 Jun- RON 97 dan RON 95 naik sehingga 5 sen, diesel pula naik sebanyak 2 sen

    Bagi minggu bertarikh 6 hingga 12 Jun 2020, kesemua bahan api utama di negara diumumkan sekali lagi mengalami peningkatan harga runcit.

    Menurut Kementerian Kewangan, harga runcit bagi petrol naik sebanyak 5 sen, iaitu RM1.78 seliter bagi RON 97 yang minggu sebelum ini berharga RM1.73 seliter. Manakala untuk RON 95 pula, daripada RM1.43 seliter, kini menjadi RM1.48 seliter.

    Untuk diesel pula, harganya naik sebanyak 2 sen, kini menjadi RM1.63 seliter bagi Euro 2M, dan RM1.73 seliter untuk Euro 5. Kesemua harga baharu ini efektif mulai 12 tengah malam ini sehinggalah Jumaat hadapan, 12 Jun 2020.

    Kementerian Kewangan Malaysia masih memberikan alasan yang sama bagi kenaikan harga ini, seperti mana minggu sebelum ini iaitu disebabkan oleh peningkatan harga minyak yang diproses (refined product), selari dengan harga minyak mentah dunia.

    Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Cukai jualan kereta baru CKD dikecualikan 100%, CBU 50% bermula 15 Jun sehingga akhir tahun ini – PM

    Cukai jualan kereta baru CKD dikecualikan 100%, CBU 50% bermula 15 Jun sehingga akhir tahun ini – PM

    Ketika mengumumkan pelan jangka pendek untuk memulihkan ekonomi negara yang terjejas akibat wabak COVID-19 sebentar tadi, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengumumkan sedikit berita gembira bagi mereka yang merancang untuk membeli kereta baharu- cukai jualan untuk model-model CKD akan dikecualikan 100%, manakala model-model CBU pula ditolak sebanyak 50% bermula 15 Jun ini sehingga penghujung Disember 2020.

    Usaha ini dilakukan kerajaan bagi merancakkan kembali industri automotif dengan menggalakkan rakyat untuk membeli kereta baharu, sekaligus membantu jualan yang sangat lembab dicatatkan pada dua bulan lalu.

    Ini bermaksud, harga kereta akan sedikit murah apabila cukai jualan sebanyak 10% pada model-model pemasangan tempatan telah ditolak sepenuhnya, manakala model-model import sepenuhnya pula akan diberikan pengurangan cukai jualan separuh dari asal.

    Penurunan harga yang akan dilihat mungkin agak sama dengan kadar seperti ‘cuti cukai’ tiga bulan yang diberikan kerajaan ketika Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dimansuhkan sementara untuk implementasi semula Cukai Jualan dan Servis (SST) pada tahun 2018 dahulu.

    Untuk lebih perincian lebih jelas bagaimana harga kereta turun menerusi insentif ini, baca kupasan kami pada PAUTAN INI.

     
     
  • Pas perjalanan tanpa had MY30 diperkenalkan selama 6 bulan, untuk pengangkutan awam seliaan Prasarana

    Pas perjalanan tanpa had MY30 diperkenalkan selama 6 bulan, untuk pengangkutan awam seliaan Prasarana

    Dalam perutusan khas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin petang ini, beliau mengumumkan kerajaan memperkenalkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (#PENJANA) dengan tema Bersama Menjana Ekonomi. Di bawah PENJANA, ia merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion bertujuan membantu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsang ekonomi.

    Antara inisiatif yang diumumkan ialah memperkenalkan program MY30 iaitu pas perjalanan tanpa had bagi mengurangkan kos perbelanjaan harian rakyat yang menggunakan pengangkutan awam terutamanya ke tempat kerja.

    Menurut Perdana Menteri, pas perjalanan berharga RM30 sebulan ini adalah untuk orang ramai yang menggunakan pengangkutan awam di bawah seliaan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) di Lembah Klang termasuk perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT), bas Rapid KL dan KL Monorel. Inisiatif ini terbuka kepada semua warganegara dan akan berkuatkuasa selama enam bulan bermila 15 Jun 2020.

    Kami akan membawakan maklumat lanjut mengenai program MY30 ini apabila Prasarana mengeluarkan kenyataan media mengenainya.

     
     
  • PDRM pilih Honda Civic jadi kereta peronda baharu

    PDRM pilih Honda Civic jadi kereta peronda baharu

    Menerusi Facebook Friends Of PDRM mendedahkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akhirnya memilih Honda Civic 1.8L i-VTEC 2020 sebagai kereta peronda baharu. Malah semalam, laman Facebook Kami Sokong PDRM turut memuat naik rakaman video beberapa unit kereta peronda polis Civic ini sedang diangkut menggunakan treler.

    Hari ini juga berlangsungnya majlis penyerahan Civic 1.8L tersebut kepada pasukan PDRM. Ia disempurnakan oleh Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, di ibu pejabat kementerian terbabit di Putrajaya.

    Menurut Honda Malaysia, sebanyak 425 unit Civic varian 1.8S telah diserahkan kepada PDRM. Barisan Civic 2020 yang dilancarkan pada Februari lalu masih mengekalkan penjana kuasa yang sama, iaitu Civic 1.8S ini hadir dengan enjin 1.8 liter SOHC empat-silinder dengan output 141 PS dan tork 174 Nm, dipadankan bersama transmisi CVT.

    Sebelum ini, pada Januari lalu, Go Auto Sales Sdn Bhd telah mempamerkan seunit Toyota Corolla Altis yang dicadangkan sebagai kenderaan peronda (MPV) PDRM baharu kepada Perdana Menteri terdahulu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

    Terdahulu, Go Auto telah menerima surat niat dari KDN bagi membekalkan 425 unit MPV kepada PDRM bagi menggantikan Proton Wira dan Waja yang sudah berusia secara berperingkat. Setiap unit MPV akan dipakejkan bersama servis percuma selama lima tahun.

    Pada tahun 2016, berita mengenai pemilihan kereta peronda baharu ini telah pun bertebaran. Di mana Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Khalid Abu Bakar bercadang untuk menukar kereta peronda Proton Preve dan Inspira sedia ada dengan jentera baharu. Selain dari Civic, PDRM turut mempertimbangkan untuk menggunakan model dari Volkswagen dan Proton Suprima S.

     
     
  • Toyota RAV4 – orang ramai boleh mula daftar minat, pelancaran di Malaysia mungkin semakin hampir

    Toyota RAV4 – orang ramai boleh mula daftar minat, pelancaran di Malaysia mungkin semakin hampir

    Beberapa hari lalu, UMW Toyota Malaysia mengeluarkan satu teaser melalui laman sosial mereka yang seakan memberi tanda model RAV4 akan tiba dalam pasaran tidak lama lagi. Kini, bagi orang ramai, anda boleh mendaftarkan minat di sebuah laman khas untuk mendapatkan kemas kini eksklusif berkenaan model tersebut.

    RAV4 generasi kelima ditunjukkan pertama kali pada tahun 2018, dengan antara peningkatan utamanya adalah penggunaan platform TNGA, pilihan sistem pacuan Dynamic Torque Vectoring All-Wheel Drive, rekaan serba baru, dimensi yang berubah serta casis yang 57% lebih tegar.

    Untuk pilihan enjin, di Amerika Syarikat (AS) RAV4 ditawarkan dengan dua enjin 2.5 liter Dynamic Force, dengan satu daripadanya adalah unit petrol bersama transmisi automatik lapan kelajuan Direct Shift sementara satu lagi adalah unit hibrid (Toyota Hybrid System II atau THS II) yang dipadankan dengan transmisi CVT elektronik (ECVT). Beberapa pasaran lain seperti Jepun, Singapura dan Australia mendapat pilihan enjin 2.0 liter Dynamic Force berkuasa 170 hp dan 203 Nm.

    Pada bahagian dalam, suasananya nampak lebih elegan dan kemas. Satu skrin sesentuh yang besar menguasai bahagian tengah papan pemuka, dan ia boleh didapati dalam pilihan tujuh atau lapan inci bergantung kepada sistem bunyi yang dipilih. Stereng RAV4 baru mempunyai lebih banyak butang kawalan, manakala panel instrumennya pula menggunakan unit skrin tujuh inci.

    Untuk aspek keselamatan, RAV4 datang secara standard di AS dengan lapan beg udara, serta kelengkapan lain seperti Toyota Safety Sense (TSS) 2.0, yang termasuk Pre-Collision System with Pedestrian Detection (PCS w/PD), Full-Speed Range Dynamic Radar Cruise Control (DRCC), Lane Departure Alert with Steering Assist (LDA w/SA), Automatic High Beam (AHB), serta dua yang baru, Lane Tracing Assist (LTA) dan Road Sign Assist (RSA).

    Sekiranya anda merasakan RAV4 ini mempunyai penampilan yang terlalu ‘selamat’, tengok pula model yang sudah dilengkapi dengan kit badan TRD dan Modellista untuk pasaran Jepun. Bergantung kepada pakej kit yang diambil, ia boleh menjadi lebih sporty, ranggi ataupun elegan.

    GALERI: Toyota RAV4 pasaran Amerika Syarikat

    GALERI: Toyota RAV4 pasaran Singapura

    GALERI: Toyota RAV4 TRD Field Monster dan Street Monster

    GALERI: Toyota RAV4 dengan kit Modellista dan JAOS

     
     
  • Mazda 3 2021 bakal terima enjin turbo, AWD?

    Mazda 3 2021 bakal terima enjin turbo, AWD?

    Dengan rupa yang begitu menggiurkan, serta kerangka yang memberikan pengedalian yang baik, pasti ramai yang tertanya, Mazda tak nak buat ke model gantian untuk hot-hatch Mazdaspeed 3 (Mazda 3 MPS)? Menurusi laporan dari portal Jalopnik, nampaknya kemaskini untuk Mazda 3 2021 pada pasaran Amerika Syarikat nanti turut akan melibatkan unit janakuasa dengan penawaran enjin turbo dan juga sistem pacuan semua roda!

    Laporan berkenaan berdasarkan satu tangkap layar dari sumber yang kuat menyatakan bahawa model berkenaan akan hadir dengan varian yang dinamakan ‘MAZDA3 HB PP TURBO’ dimana HB mungkin bermaksud hatchback, manakala TURBO pula berkemungkinan besar ia akan dijana oleh enjin petrol 2.5 liter berkuasa 228 hp/420 Nm sama seperti SUV Mazda CX-5.

    Walau bagaimanapun, versi ini mungkin bukanlah model berprestasi tinggi hardcore seperti Mazdaspeed 3, tetapi ia lebih kepada penawaran model dengan kuasa lebih besar, diberikan kotak gear automatik enam-kelajuan dan juga sistem pacuan semua roda.

    Mazda 3 2021 bakal terima enjin turbo, AWD?

    Mazdaspeed 3/Mazda 3 MPS

    Jadi, desas-desus untuk sebuah Mazda 3 yang lebih berkuasa sebelum ini ada betul, dan ada yang tidak. Ini kerana pengurus program Mazda 3, Kota Beppu pernah menyatakan bahawa perancangan untuk menghasilkan Mazda 3 berprestasi tinggi memang ada dibincangkan, dan ia mungkin akan dijana oleh enjin 2.5 liter turbo berkuasa 250 hp dengan tork maksima 420 Nm.

    Buat masa sekarang Mazda 3 generasi terkini, bergantung pada pasaran, menerima hanya petrol tanpa pengecas turbo iaitu 1.5 liter SkyActiv-G, 2.0 liter SkyActiv-G dan juga 2.5 liter SkyActiv-G. Model yang diberikan enjin 2.0 liter SkyActiv-X pula mempunyai sebuah supercharger, namun menurut Mazda ia bukan bertujuan untuk mendapatkan tekanan boost, tetapi sekadar membantu kecekapan enjin berkenaan.

    Walau bagaimanapun, setakat ini pasaran Malaysia hanya ditawarkan dengan Mazda 3 yang dijana enjin 1.5 liter SkyActiv-G berkuasa 118 hp dan tork maksima 153 Nm, serta enjin 2.0 liter SkyActiv-G berkuasa 162 hp dan tork maksima 213 Nm.

     
     
  • Kawasaki EV Endeavor dipasang dengan gear undur, dua pengecas termasuk jenis pantas Chademo

    Kawasaki EV Endeavor dipasang dengan gear undur, dua pengecas termasuk jenis pantas Chademo

    Seperti yang sudah diketahui ramai, Kawasaki kini sedang giat membangunkan sebuah motosikal elektrik yang dipanggil sebagai EV Endeavor. Walaubagaimanapun, setakat ini masih tidak diberitahu sama ada ia akan menjadi satu model yang diperkenalkan kepada pasaran ataupun sekadar satu platform pembangunan.

    Sedikit demi sedikit teknologi yang berada pada motosikal ini didedahkan kepada orang ramai, dan dalam siri video terbarunya, motosikal elektrik ditunjuk mempunyai gear undur untuk memudahkan pengguna dan juga dua jenis soket pengecas termasuk Chademo (satu lagi tidak diberitahu).

    Untuk gear undur itu, apa yang boleh dilihat, penunggang menukar mod pergerakan motosikal dan kemudiannya menekan butang untuk menghasilkan kuasa tarikan perlahan ke belakang. Untuk motosikal yang tidak terlalu besar dengan saiz seperti Ninja 250 sistem ini dirasakan tidak perlu tapi Kawasaki mungkin sekadar menunjukkan mereka boleh menggunakan teknologi tersebut.

    Chademo pula adalah salah satu penyedia ekosistem pengecas pantas kenderaan elektrik yang mempunyai lebih 32,300 tempat pengecas di seluruh dunia. Melalui laman web mereka, pengecas Chademo paling banyak berada di Eropah, diikuti Jepun, Asia, Amerika dan lain-lain.

    Setakat ini, antara teknologi lain yang telah ditunjukkan oleh Kawasaki pada EV Endeavor ini adalah termasuk tuil di sebelah kiri untuk brek yang disambungkan kepada sistem penjanaan semula kuasa, unit kuasa generasi seterusnya yang datang dengan supercharger serta penukaran gear seperti motosikal biasa.

     
     
  • Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

    Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

    Selepas sekitar tiga tahun berada dalam pasaran, bulan lalu versi facelift untuk Kia Picanto generasi ketiga sudahpun diperkenalkan di Korea (dikenali dengan nama Kia Morning). Dan kini, model tersebut didedahkan pula untuk pasaran Eropah.

    Di Benua berkenaan, Picanto facelift ini kekal ditawarkan dalam tiga kemasan iaitu versi standard, GT-Line yang lebih sporty serta model yang diberikan penggayaan seperti SUV digelar X-Line. Model yang disegarkan semula ini akan mula dijual di Eropah bermula suku ketiga tahun ini.

    Untuk versi GT-Line, ia diberikan penampilan sama seperti Morning Urban line di Korea, tetapi ia menerima serlahan merah pada gril hadapan, skirt sisi dan juga pada diffuser bampar belakang. Jalur kemasan pada bahagian bawah gril ‘hidung harimau’ model ini juga telah direka seakan bersambung terus dengan kemasan pada bahagian dalam lampu hadapan.

    Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

    Menurut Kia, rekaan baharu pada muka hatchback segmen-A ini membolehkan ia kelihatan lebih lebar dan nampak lebih stabil. Jika anda perhatikan lagi, lampu hadapan model ini juga kini diberikan lampu nyalaan dengan empat LED bina dalam, diposisikan pada sekeliling projektor lampu utama.

    Manakala di belakang, kluster lampu utama masih nampak sama tetapi diberikan grafik LED baharu. Bampar belakang juga telah direka semula dengan lampu kabus dan reflektor yang lebih nipis, kemudian pada diffuser ia menempatkan sepasang kemasan tip ekzos krom palsu.

    Untuk versi X-Line pula, ia hadir dengan elemen tengah gril hadapan yang berbeza, serta bampar hadapan yang diberikan kemasan seakan skid plate pada bahagian bawah. Rekaan tersebut diserasikan dengan kemasan pelindung sekeliling badan pada setiap ruang roda dan skirt sisi serta satu lagi skid plate palsu pada bampar belakang.

    Bagi model standard pula, walaupun gril dan lampu telah dikemaskini, rekaan pada bampar hadapan dan belakang masih tidak jauh berbeza dari model sebelumnya. Di Eropah, pelanggan boleh memilih 10 warna badan berbeza untuk Kia Picanto ini, bagi dipadankan dengan rim aloi pelbagai jejari 14-inci atau dua tona 16-inci.

    Dalam kabin, Picanto kini menerima skrin sesentuh ‘terapung’ lebih besar bersaiz lapan-inci, manakala panel instrumen pula hadir dengan skrin paparan pelbagai info 4.2-inci di bahagian tengah. Bergantung pada kemasan dan pasaran, Picanto ditawarkan dengan pilihan tempat duduk fabrik atau kulit sintetik berwarna hitam, serta pelbagai tekstur upholsteri baharu yang didakwa Kia dapat memberikan “rupa dan rasa lebih kotemporari serta berkualiti tinggi.”

    Seperti sebelum ini juga, Picanto turut ditawarkan dengan pek warna yang funky seperti Lime Pack yang akan memberikan serlahan kontras berwarna hijau limau nipis pada jahitan dan panel-panel tertentu. Selain warna ini, pilihan lain seperti oren, merah dan hijau juga disertakan.

    Untuk sistem infotainmen dengan sistem navigasi satelit, ia kini tampil dengan hubungan-multi Bluetooth yang membolehkan ia dihubungkan kepada dua peranti mudah alih dalam masa yang sama – satu untuk fungsi telefon bebas tangan dan penggunaan media, manakala lagi satu hanya untuk fungsi media sahaja. Sistem ini turut menyokong Apple CarPlay dan Android Auto.

    Kia Eropah turut menawarkan sistem UVO yang membolehkan Picanto ini mengakses info seperti keadaan trafik secara langsung, ramalan cuaca, harga pasaran bahan api, serta perincian tempat parkir seperti harga, lokasi dan status. Aplikasi UVO pada telefon pintar pula membolehkan pemilik menggunakan sistem ini pada jarak jauh. Kia turut mengumumkan bahawa Picanto akan menjadi model pertama yang akan menerima sistem UVO Fasa II yang akan didedahkan kemudian.

    Kia Picanto facelift pasaran Eropah ini dijana oleh dua pilihan enjin petrol Smartstream yang lebih efisien dan mesra alam berbanding versi sebelumnya. Pilihan asas adalah enjin 1.0 liter dengan sistem suntikan bahan api dua port, menghasilkan 67 PS.

    Kia Picanto facelift 2021 untuk Eropah didedahkan – 1.0L turbo dan NA, kotak gear AMT lima-kelajuan

    Untuk mereka yang mahukan lebih kuasa, enjin 1.0 liter turbo berkuasa 100 PS juga ada ditawarkan. Enjin tersebut dikemaskini dari versi sebelumnya dengan penggunaan penyuntik bahan api 350 bar yang lebih efisien.

    Kedua-dua enjin berkenaan menerima kemaskini pada sistem EGR serta injap kemasukan yang dioptimakan bagi menghasilkan pembakaran bahan api yang lebih efisien. Ia juga turut diberikan sistem pengurusan suhu bersepadu (ITMS) baharu yang memberikan sistem penyejukan kebuk yang lebih efektif, berfungsi dengan memberikan karekter penyejukan enjin berdasarkan poin operasi enjin.

    Model pasaran Eropah ini menerima kotak gear Automated Manual Transmission (AMT) baharu dari Kia – ia bukan kotak gear automatik konvensional dengan fungsi tukaran manual, sebaliknya ia sememangnya kotak gear manual lima kelajuan, dengan klac kering tunggal dan tukaran gear yang dioperasikan secara automatik oleh unit-unit actuator.

    Menurut Kia, pilihan kotak gear AMT ini merupakan opsyen yang paling baik untuk pelanggan yang mahukan kotak gear automatik tanpa mengorbankan penjimatan bahan api yang diberikan oleh kotak gear manual. Untuk pengetahuan anda juga, untuk pasaran Korea, Picanto hanya ditawarkan dengan enjin 1.0L NA dan kotak gear automatik empat-kelajuan sahaja.

    Walaupun kecil, Picanto sebelum ini telah pun dipadatkan dengan pelbagai ciri keselamatan seperti model-model lebih premium. Versi kemaskini ini juga tidak terkecuali – ia hadir dengan pelbagai sistem bantuan pemanduan terkini seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Hadapan (FCA) dengan pengesan pejalan kaki, Bantuan Pengelak Pelanggaran Titik-Buta (BCA), Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Tumpuan Pemandu (DAW) dan juga Bantuan Ikut Lorong (LFA).

    Sistem-sistem berkenaan adalah tambahan dari sistem sedia ada seperti Bantuan Pengelak Pelanggaran Lintasan Trafik Belakang (RCCA), sistem kestabilan elektronik (VSM), tujuh beg-udara dan juga Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

     
     
  • Toyota Hilux — perbandingan antara lama vs baru

    Toyota Hilux 2020 telah pun ditunjuk kepada umum semalam. Tapi, apa sebenarnya pembaharuan yang ditampilkan kali ini? Dari segi reka bentuk, agak ketara juga kelainan yang ditonjolkan. Begitu juga dengan unit janaan kuasa serta kelengkapan yang dikemaskini.

    Dari depan, wajah terkini Hilux menggunakan bahagian gril hexagonal yang lebih besar dan tebal, mirip seperti yang ada pada Tacoma, dan kini disepadukan bersama ruang masukan udara di bawah. Rekaan lampu utama pula kini lebih bersegi, dengan kini menggunakan jenis projektor bi-LED, lampu isyarat LED dan lampu posisi pada varian yang lebih tinggi. Lampu kabus kini dengan bentuk L.

    Di belakang, rekaan lampu hadir dengan grafik baru mirip bentuk B, walaupun perumah di luarnya nampak sama seperti sebelum ini. Bagi roda pula, rim 18-inci dengan rekaan baru dipasang pada varian tertinggi, sementara versi lain datang dengan rim 17-inci.

    Perubahan pada ruang kabin pula tidak terlalu ketara. Bagaimanapun, kelengkapan dan paparan untuk pemandu menerima rekaan baru dan menempatkan paparan milti-info 4.2-inci. Model baru Hilux juga dilengkapi dengan sistem infotainmen dengan skrin sentuh lapan-inci dengan sokongan terhadap Android Auto dan Apple CarPlay berbanding unit 6.75-inci yang lama.

    Perubahan paling utama tentulah terhadap enjinnya; ia kini menggunakan unit 1GD-FTV 2.8 liter turbodiesel empat-silinder yang telah dipertingkat untuk menghasilkan janaan 204 PS dan 500 Nm – naik daripada 177 PS dan 450 Nm sebelum ini. Transmisi kekal menggunakan automatik enam-kelajuan atau kotak gear manual.

    Bagi unit 2GD-FTV 2.4 liter turbodiesel pula masih dikekalkan dengan angka janaan yang sama, 150 PS and 400 Nm – di Thailand, kedua-dua kapasiti enjin ini mempunyai janaan output yang pelbagai, misalnya dengan kuasa 150 PS yang sama, tetapi tork antara 400 Nm atau 343 Nm. Unit 2.8 liter pula ada di dalam beberap variasi – 170 PS/343 Nm, 204 PS/420 Nm dan output penuh 204 PS/500 Nm.

    Dari segi kemampuan, semua versi 4×4 automatik kini sepadan dengan versi manualnya dari sudut beban tanggungan satu tan dan juga 3.5 tan kapasiti menunda. Varian 4×2 kini mendapat tambahan 300 kg lagi bagi kapasiti menunda, menjadi 2.8 tan.

    Dari segi kelengkapan keselamatan, versi Rocco bagi Hilux Revo ditambah dengan kit keselamatan aktif seperti kawalan melayar radar dinamik, sistem pra-perlanggaran dan amaran pertukaran lorong dengan bantuan stereng – sama seperti kelengkapan pada Hilux pra-facelift di Australia sebelum ini; di Malaysia setakat ini belum lagi.

    GALERI: Toyota Hilux Revo Rocco 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo PreRunner 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo Z-Edition 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Revo B-Cab 2020 pasaran Thailand

    GALERI: Toyota Hilux Invicible 2020 pasaran Eropah

     
     
  • Perodua sokong inisiatif kerajaan bantu industri automotif dalam berhadapan cabaran akibat COVID-19

    Perodua sokong inisiatif kerajaan bantu industri automotif dalam berhadapan cabaran akibat COVID-19

    Akibat wabak pandamik COVID-19 yang menyerang seantero dunia, boleh dikatakan hampir kesemua industri perniagaan turut terjejas, malah ada juga syarikat gergasi yang sukar untuk bertahan lagi. Malah Malaysia juga tidak terlepas daripada berhadapan cabaran kesukaran ini.

    Justeru, kerajaan Malaysia ditagih untuk terus membantu industri-industri di negara ini agar dapat terus bernyawa. Begitu juga dengan industri automotif yang mencatatkan prestasi agak mendukacitakan ekoran terpaksa berhentikan operasi perniagaan susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Marc lalu.

    Pada 10 April lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, beberapa sektor tambahan akan dibenarkan untuk memulakan operasi mereka bertujuan untuk menggerakkan ekonomi negara, ini termasuklah industri automotif. Kini, kilang pengeluaran dan pusat jualan kenderaan juga telah kembali beroperasi.

    Walau bagaimana pun, hasil kajian Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) baru-baru ini yang menjangka jumlah jualan keseluruhan industri (TIV) bagi tahun ini akan menurun sebanyak 28% menjelang akhir 2020.

    Perodua sokong inisiatif kerajaan bantu industri automotif dalam berhadapan cabaran akibat COVID-19

    Oleh yang demikian, MARii dan juga Persatuan Automotif Malaysia (MAA) turut mengharapkan agar kerajaan bersedia untuk membantu industri automotif. Perkara ini turut menerima sokongan daripada pemain industri, termasuk yang disuarakan oleh Perodua.

    “Perodua menyokong sepenuhnya matlamat kerajaan untuk memperkukuh industri automotif Malaysia pada masa yang sukar ini, dan pelbagai inisiatif yang dikemukakan untuk mencapai matlamat tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

    Sambungnya lagi, “Sebagai pengeluar kenderaan terbesar di Malaysia dari segi jumlah, kami rela dan bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk mengekalkan kemampanan industri dalam masa yang sukar ini.”

    Insentif-insentif yang disebutkan MARii adalah untuk merangsang jualan kenderaan termasuk pengecualian sementara bayaran pendahuluan, pengurangan kadar faedah pinjaman dan subsidi bersama antara pengeluar kenderaan dan kerajaan bagi cukai jalan dan insurans untuk jangka masa terhad.

    Perodua sokong inisiatif kerajaan bantu industri automotif dalam berhadapan cabaran akibat COVID-19

    “Sesungguhnya ini masa yang mencabar bagi semua. Namun Perodua yakin bahawa dengan kerjasama kerajaan, industri automotif bersama dengan ekosistem pembekal dan pengedar akan berjaya mengharungi masa sukar ini bersama,” kata Dato’ Zainal.

    Perodua berjaya menjual 52,920 kenderaan dalam lima bulan pertama 2020, menguasai 41% pasaran berbanding TIV yang dianggarkan sebanyak 129,401 unit setakat tahun ini (YTD). Dengan kandungan tempatan melebihi 90% bagi seluruh barisan modelnya, Perodua telah membelanjakan RM5.4 bilion tahun lepas untuk membeli komponen daripada pembekal tempatan.

    “Perodua juga memainkan peranannya untuk menyokong ekosistem pembekal dan pengedarnya. Selain komitmen jumlah, kami membantu dan menyokong mereka melalui pelaburan dan pembelian dahulu, jangka masa kredit yang lebih lama serta pelbagai inisiatif transformasi dan program pembangunan,” kata Dato’ Zainal.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.17 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.94 (+0.03)
EURO 5 B7 RM3.14 (+0.03)
Last Updated Aug 07, 2025