Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Kenderaan yang diparkir berhampiran lokasi Sukan SEA bakal ditunda mulai hari ini – Polis KL

    Kenderaan yang diparkir berhampiran lokasi Sukan SEA bakal ditunda mulai hari ini – Polis KL

    Mulai hari ini, orang ramai yang meletakkan kenderaan berhampiran jalan-jalan yang terlibat dengan acara temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) akan ditunda oleh polis.

    Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Amar Singh Ishar Singh tindakan itu yang akan dibantu oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), adalah bagi mengelakkan kesesakan jalan yang teruk di 20 venue acara sukan sepanjang temasya itu, yang dijadual berlangsung mulai 19 Ogos, laporan Bernama.

    “Pengguna jalan raya tidak digalakkan menaiki kenderaan persendirian untuk ke tempat-tempat acara Sukan SEA ke-29 sebaliknya mereka digalakkan mengguna pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan jalan raya,” katanya pada pemberita hari ini.

    Amar Singh berkata kenderaan yang diparkir berhampiran kawasan acara itu akan ditunda ke subtek berdekatan sebelum dibawa ke stor barang kes Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sungai Besi untuk tindakan lanjut.

    Pemilik kenderaan yang ditunda, katanya akan dikenakan kompaun sebanyak RM300, dicaj sebanyak RM50 sehari untuk bayaran parkir selain bayaran upah tunda sebanyak RM100 mengikut undang-undang.

    “Sekiranya pemilik kenderaan tidak membuat tuntutan, kenderaan itu akan dilelong,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengumumkan penutupan dan lencongan jalan bagi kelancaran KL2017. Buat setakat ini, hanya melibatkan jalan di KL Sports City iaitu dari Sukom Interchange menuju ke Jalan Merah Cagar bermula 14 Ogos, seawal pukul 6 pagi hingga acara selesai dan tiada sebarang penutupan jalan yang dilakukan secara tetap di lokasi lain.

    Amar Singh berkata kesesakan lalu lintas juga dijangka berlaku di laluan menghala ke tempat-tempat acara sukan dan penginapan atlet.

    “Sehubungan itu, JSPT dengan kekuatan seramai 1,098 petugas akan membuat pemantauan dan mengawal aliran trafik dengan melakukan lencongan atau penutupan sementara di jalan-jalan terlibat,” katanya.

     
     
  • Ducati Multistrada 950 dan Monster 797 2017 dilancar – harga masing-masing RM85,900 dan RM55,900

    Ducati Multistrada 950 dan Monster 797 2017 dilancar – harga masing-masing RM85,900 dan RM55,900

    Next Bikes Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi motosikal Ducati di Malaysia turut mengambil kesempatan acara Naza Merdeka Autofair yang sedang berlangsung di Naza Auto Mall untuk melancarkan dua model baru tahun 2017 iaitu Multistrada 950 dan Monster 797, dengan harga masing-masing RM85,900 dan RM55,900. Kedua-duanya juga adalah model permulaan untuk model masing-masing.

    Multistrada 950 pertama kali muncul semasa pameran EICMA di Itali pada tahun 2016, dan ia menggunakan enjin Testastretta 11 dua silinder V 937 cc sistem penyejukan cecair, yang mampu menghasilkan sebanyak 113 hp pada 9,000 rpm dan 96.2 Nm tork pada 7,750 rpm. Bentuknya masih mengikut siri Multistrada yang lain, tetapi mempunyai berat lebih ringan iaitu 229 kg, berbanding 239 kg pada Multistrada 1200.

    Tinggi tempat duduk ditetapkan pada 840 mm, namun pembeli masih boleh memilih tempat duduk yang lebih tinggi iaitu 860 mm. Motosikal ini juga didatangkan secara standard dengan empat mod tunggangan dan Ducati Safety Pack yang termasuk tiga tahap ABS dan lapan tahap sistem kawalan cengkaman.

    Kapasiti tangki minyak yang disediakan pada Multistrada 950 adalah 20 liter, manakala jarak pergerakan suspensi pula adalah 170 mm di hadapan bersama rim 19 inci dan di belakang terdapat rim 17 inci. Untuk fungsi membrek, cakera berkembar 320 mm digunakan di hadapan manakala di belakang terdapat cakera 265 mm berserta angkup tunggal.

    Ducati Multistrada 950 dan Monster 797 2017 dilancar – harga masing-masing RM85,900 dan RM55,900

    Sebuah lagi model yang diperkenalkan iaitu Monster 797 kembali menggunakan enjin dua silinder V penyejukan udara, berkapasiti 803 cc yang mampu menghasilkan 73 hp pada 8,250 rpm dan 67 Nm tork pada 6,750 rpm. Enjin yang diiktiraf tahap emisi Euro 4 ini menggunakan sistem bahan api dan throttle body 50 mm.

    Tugas membrek Monster 797 dijalankan oleh cakera berkembar 320 mm dan angkup Brembo M4.32 di hadapan, dan angkup tunggal serta cakera 245 mm di belakang, bersama sistem ABS two-channel Bosch. Suspensi hadapan adalah unit KYB USD 43 mm manakala di belakang terdapat penyerap tunggal Sachs.

    Berat keseluruhan Monster 797 berada pa 193 kg, dan tangki minyak menyediakan kapasiti 16.5 liter. Tinggi tempat duduk pula adalah 805 mm dari tanah. Merdeka Auto Fest anjuran Naza akan berlangsung sehingga 13 Ogos ini dan ia turut menawarkan pelbagai lagi promosi untuk kereta dan motosikal edarannya.

    GALERI: Ducati Multistrada 950 2017


    GALERI: Ducati Monster 797 2017

     
     
  • GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

    GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

    Dengan pendedahan perdana peringkat global MPV konsep Daihatsu DN Multisix di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) hari ini, sudah cukup untuk menunjukkan betapa pentingnya pasaran MPV mampu milik di Indonesia bukan sahaja di rantau ASEAN, malah diperingkat dunia. Ini bukan pertama kali perkara seumpama ini berlaku di mana pada GIIAS tahun lalu, Mitsubishi telah membawa MPV konsepnya untuk membuat kemunculan sulung peringkat dunia, digelar XM-Concept.

    Setahun berlalu, tanpa membuang masa yang banyak, hari ini di GIIAS 2017 model konsep tersebut telah dijelmakan dalam bentuk produksi penuh, juga membuat kemunculan sulungnya pada peringkat global. Laporan spekulasi sebelum ini menyebut ia akan digelar Mitsubishi Expander, tetapi semasa pendedahannya hari ini ia rasmi akan digelar Mitsubishi Xpander – bunyi sama tetapi ejaan lain, dan anda masih perlu berhati-hati menyebutnya agar tidak disalah erti.

    Di Indonesia, Xpander bakal berhadapan dengan saingan dari Toyota Avanza, Daihatsu Xenia, Suzuki Ertiga dan juga Honda Mobilio yang kini menerajui pasaran republik berkenaan. Sekiranya ia di bawa ke Malaysia kelak, MPV tujuh tempat-duduk yang direka seakan SUV ini tentunya bakal mengacau Honda BR-V yang kini mendominasi pasaran tempatan, sekiranya strategi harga yang betul dilancarkan.

    GIIAS 2017: Mitsubishi Xpander buat kemunculan sulung global – harga bermula RM61k di Indonesia

    Walaupun direka dengan konsep yang hampir sama dengan BR-V, Xpander mempunyai tarikannya tersendiri iaitu direka dengan begitu futuristik dan hampir seiras dengan model konsepnya sebelum ini. Menurut Mitsubishi Motors Corporation (MMC), Xpander akan menjadi peneraju bagi model yang menggabungkan keselesaan dan versatiliti pada MPV dengan prestasi dan kekuatan yang ada pada SUV-SUV keluarannya. Ia akan “dipenuhi dengan teknologi MMC dan pengetahuan SUV MMC.”

    Ia diberikan muka Dynamic Shield Mitsubishi dengan elemen X pada bampar, lampu nyalaan tirus bersambung terus dengan gril hadapan, manakala lampu hadapan sebenar serta isyarat diletakkan pada kedua-dua sisi bampar (seperti rekaan pada Hyundai Kona).

    Garis-garis sisi badan juga kelihatan hampir seiras dengan model konsep sebelum ini, bersama ‘otot-otot’ yang diberikan pada kesemua ruang roda. Elemen hitam pada tingkap-tingkap sisi SUV ini bersambung dengan kemasan hitam pada tiang-D dan cermin belakang bagi memberikan efek seakan bumbungnya terapung. Namun, model produksi ini tidak diberikan rel bumbung, menampakkan sedikit imej kurang lasak.

    Bagi dimensi pula, panjang Xpander diukur dengan 4,475 mm dan 1,750 mm lebar manakala jarak rodanya pula adalah 2,775 mm. Untuk memudahkan anda membayangkan saiznya, ia 22 mm lebih panjang, 15 mm lebih lebar dan jarak rodanya pula 113 mm lebih jauh. Kelegaan tanah MPV ini juga agak tinggi iaitu 205 mm atau 4 mm lebih tinggi dari BR-V.

    Rekaan dari model konsep terus dibawa ke bahagian belakang di mana imej X jelas terpampang pada pintu tailgate, tetapi ia kurang diserlahkan kerana tidak diberikan warna hitam pada bahagian berkenaan. Bampar pada model produksi ini juga direka dengan rekaan yang lebih masuk akal berbanding dari model konsep. Bagi model varian tertinggi yang ditampilkan hari ini, ia diberikan rim aloi dua-tona berdiameter 16-inci bersama tayar Dunlop bersaiz 205/55R16.

    Mitsubishi Xpander dijana enjin petrol NA 1.5 liter empat silinder MIVEC, menghasilkan kuasa 103 hp dan 141 Nm (berbanding enjin 1.5 liter i-VTEC pada BR-V yang menjana 118 hp/145 Nm). Kuasa dari enjin akan memacu roda hadapan menerusi pilihan sama ada kotak gear manual lima-kelajuan atau empat-kelajuan automatik konvensional dengan torque converter.

    Brek hadapan MPV ini diberikan sistem cakera manakala pada bahagian belakang diberikan sistem brek jenis dram dan ia turut dibantu sistem elektronik-hidraulik ABS, EBD dan BA, sementara kawalan kestabilan (ESC) dan bantuan mula mendaki (HSA) ditawarkan hanya pada varian tertinggi – sama seperti apa yang ditawarkan oleh Honda Mobilio pada pasaran Indonesia.

    Sebelum ini, imej rasmi Xpander mendedahkan ia akan diberikan bahagian dalaman dengan tema warna beige dan hitam bersama kemasan-kemasan kayu palsu. Namun pada pendedahan hari ini ia turut tampil dengan pilihan lebih sporty dengan tema hitam keseluruhan bersama kemasan-kemasan gentian-karbon palsu.

    Berbanding bahagian luaran MPV ini yang begitu agresif, bahagian dalaman Xpander nampak lebih normal menerusi papan pemuka yang rasional bersama panel instrumen yang mengandungi dua meter analog rekaan sporty, mengapit paparan informasi LCD pada bahagian tengah. Ia juga masih mengekalkan ciri seperti model Mitsubishi lain dimana paparan MID dapat kawal dengan butang “Info” yang diletakkan pada papan pemuka.

    Ciri lain yang diberikan pada MPV baharu ini termasuk sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin, roda stereng boleh laras dengan gerakan teleskopik dan turun naik (agak unik pada segmennya), tempat duduk baris ketiga diberikan port USB dan boleh dilipat dengan nisbah 50:50, tombol satu-langkah untuk menggerakkan tempat duduk baris kedua bagi memudahkan akses ke baris belakang (tetapi hanya diberikan dua perehat kepala), ruang storan bawah lantai pada bahagian kargo, serta tayar gantian diletakkan pada bahagian bawah badan kereta.

    Mitsubishi Xpander ditawarkan dalam lima varian di Indonesia iaitu GLX, GLS, Exceed, Sport dan Ultimate. Ia akan dijual pada harga bermula Rp 189,050,000 (RM60,843) hingga Rp 245,350,000 (RM78,968). MPV ini diproduksi di kilang baharu MMC yang terletak di Bekasi, Jawa Barat, dihasilkan sebanyak 80,000 unit setahun. Eksport ke pasaran ASEAN lain akan bermula pada tahun 2018.

    GALERI: Mitsubishi Xpander Sport Automatik

    GALERI: Mitsubishi Xpander Ultimate Automatik

     
     
  • Honda Civic Type R FK8 tiba di Indonesia – RM320k

    Honda Civic Type R FK8 tiba di Indonesia – RM320k

    Honda Civic Type R hari ini dengan rasminya dilancarkan untuk pasaran Indonesia di Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS), menjadikannya negara ketiga yang memperkenalkan model FK8 berkenaan di rantau ini selepas Filipina dan Singapura.

    Model terbaru ini dilengkapi dengan enjin 2.0 liter VTEC Turbo, dipadankan dengan kotak gear manual nisbah rapat enam-kelajuan dengan fungsi rev-matching.

    Untuk pasaran Indonesia, enjin berkenaan menghasilkan kuasa 306 hp pada 6,500 rpm dan 400 Nm antara 2,500-4,500 rpm. Kuasa ini sama dengan unit yang dijual untuk pasaran Australia dan Filipina, tetapi sedikit rendah berbanding unit dengan spesifikasi UK, dengan 316 hp.

    Kelengkapan standard termasuk rim Berlina 20-inci aloi hitam dengan tayar Continental SportContact 6 bersaiz 245/30, yang dihasilkan khusus untuk kereta ini. Penyerap hentak adaptif turut tersedia, dengan pilihan tiga mode pemanduan (Comfort, Sport and R+), pakej brek Brembo dengan cakera berliang 350 mm depan dan cakera penuh 305 mm di belakang, Smart Entry dan lampu utama LED sepenuhnya.

    Type R ini juga hadir dengan sistem Advanced Display Audio dengan skrin sentuh tujuh-inci dan Apple CarPlay/Android Auto. Selain itu, plat nombor siri unik turut melengkapinya.

    Empat pilihan warna ditawarkan bagi model ini di Indonesia – Rally Red, Championship White, Brilliant Sporty Blue dan Sonic Grey Pearl. Dua lagi warna, Crystal Black Pearl dan Polished Metal, akan ditawarkan tahun depan. Honda Civic Typre R FK8 dijual di sana pada harga 995 juta rupiah (RM320,100).

    Sementara menunggu kereta ini tiba di Malaysia (jika ada), ikuti dahulu laporan pandu uji yang sempat wakil kami sertai di Dresden, Jerman pada Julai lalu. Walaupun Honda Malaysia belum mengumumkan apa-apa berkaitan model ini, kami jangkakan ia tetap akan diperkenalkan di sini, mungkin dalam tahun ini juga.

     
     
  • Chevrolet Colorado edisi X, X-Urban dan X-ADV kini dipasaran di Malaysia – harga bermula dari RM114k

    Chevrolet Colorado edisi X, X-Urban dan X-ADV kini dipasaran di Malaysia – harga bermula dari RM114k

    Naza hari ini memperkenalkan model Chevrolet Colorado dalam tiga edisi terkini; Colorado X, Colorado X Urban dan Colorado X ADV. Semua versi ini dikuasakan oleh enjin 2.5 liter Duramax turbodiesel dengan variable geometry turbo (VGT) yang menghasilkan 180 hp pada 3,600 rpm dan 440 Nm pada 2,000 rpm. Ia ditawarkan dengan kotak gear enam-kelajuan automatik atau manual.

    Perbezaan paling ketara antara ketiga-tiga edisi ini ialah dari penampilan luaran. Colorado X yang dijual pada harga RM114,437 (atas jalan tanpa insurans) datang dengan kemasan serba hitam, termasuk pada bahagian logo Chevrolet. Ini turut dilanjutkan ke bahagian belakang dan pada rim 18 inci yang digunakan.

    Bagi Colorado X-Urban, ia dijual pada harga RM132,987 tanpa insurans, dengan penampilan urban yang lebih menyerlah. Ia turut menggunakan logo Chevrolet hitam, serta kemasan di bahagian belakang yang mengikut pendekatan yang sama. Rim yang melengkapinya bersaiz 20 inci dengan tayar highway terrain (HT), dan ditambah dengan kemasan fender hitam.

    Ini diikuti oleh Colorado X-ADV, edisi paling tinggi dan paling mahal diantara ketiga-tiganya dan dijual pada harga RM146,767 tanpa insurans. Versi ini menampilkan imej yang lebih garang dengan keupayaan offroad. Suspensinya menggunakan unit dari Old Man Emu, dan tayar pula dari jenis mud terrain (MT) pada rim 16 inci.

    Selain itu, versi paling lengkap ini juga menerima kemasan hitam sama seperti dua edisi yang ditawarkan ini. Tambahan padanya ialah sport bar, kemasan pada fender dan pemijak sisi yang semuanya turut hadri dalam warna hitam. Bahagian gril pula dicat dengan warna hitam berkilat.

    Dari aspek keselamatan, ia mewarisi senarai yang sama dari penawaran Colorado lain sebelum ini. Antaranya kawalan cengkaman, kawalan kestabilan, kawalan menuruni bukit, amaran pertukaran lorong, amaran pertembungan berdepan, kamera undur dan banyak lagi.

    Semua versi ini juga menerima ciri infotainmen dengan Apple CarPlay. Tempat duduk dari kulit sepenuhnya bagi ketiga-tiga versi terbaru ini. Jaminan lima-tahun diberikan, atau 200,000 km. Kelengkapan mekanikal lain yang dipasang, seperti kit suspensi dan rim 16-inci, serta rim 20-inci pada X-Urban datang dengan jaminan selama setahun.

    Chevrolet Colorado X

    Chevrolet Colorado X-Urban

    Chevrolet Colorado X-ADV

     
     
  • Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS 2017 dilancar untuk M’sia – harga RM12,603 dan RM18,327

    Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS 2017 dilancar untuk M’sia – harga RM12,603 dan RM18,327

    Dua skuter baru tiba dalam pasaran Malaysia setelah dilancarkan secara rasmi oleh Naza Premira Sdn Bhd iaitu Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS. Harga termasuk GST bagi motosikal ini adalah masing-masing RM12,603 dan RM18,327. Kedua-duanya juga mempunyai rekaan retro dan dikuasakan enjin suntikan bahan api i-GET.

    Bagi Piaggio Medley S 150 ABS, enjinnya adalah berkapasiti 149 cc, empat strok dengan sistem SOHC dan berkelulusan Euro 4, dan ia boleh menghasilkan kuasa sebanyak 15 hp pada 7,750 rpm dan tork 14.4 Nm pada 6,400 rpm. Transmisi yang digunakan adalah jenis automatik CVT dengan klac centrifugal kering. Enjin ini juga mempunyai sistem start/stop.

    Pada bahagian hadapan Piaggio Medley S 150 ABS terdapat brek cakera 260 mm, fork teleskopik dan rim 16 inci manakala di belakang terdapat brek cakera 240 mm, dua penyerap hentak di belakang dan rim 14 inci. Kapasiti tangki minyak yang disediakan adalah tujuh liter manakala ruang simpanan di bawah tempat duduk pula boleh menempatkan dua helmet. Sistem ABS yang disediakan pada motosikal ini adalah daripada jenis two-channel.

    Vespa S 125 i-GET dan Piaggio Medley S 150 ABS 2017 dilancar untuk M’sia – harga RM12,603 dan RM18,327

    Vespa S 125 i-GET pula dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok suntikan bahan api 124.5 cc suntikan bahan api, dipadankan dengan transmisi automatik CVT dan mampu menghasilkan 10.1 hp pada 7,600 rpm dan 10.2 Nm tork pada 6,000 rpm.

    Pada bahagian hadapan motosikal ini terdapat rim 11 inci, penyerap hentak tunggal sebelah dan brek cakera 200 mm manakala di belakang menggunakan rim 10 inci, penyerap hentak tunggal dengan pelarasan pra beban dan cakera brek 110 mm. Tangki minyaknya boleh menampung tujuh liter bahan api dan di bawah tempat duduk boleh menyimpan dua helmet half-face.

    Vespa S 125 i-GET ditawarkan dalam pilihan empat warna iaitu Verde Matt, Rosso Matt, Grigio Titanio dan Arancio Taormina manakala Piaggio Medley S 150 ABS ditawarkan dalam pilihan tiga warna iaitu merah, hitam dan biru. Kedua-duanya didatangkan dengan jaminan dua tahun dan khidmat bantuan selama satu tahun.

    GALERI: Piaggio Medley S 150 ABS


    GALERI: Vespa S 125 i-GET

     
     
  • GIIAS 2017: Daihatsu DN Multisix – MPV konsep enam-tempat duduk baharu dengan penggayaan seperti SUV

    GIIAS 2017: Daihatsu DN Multisix – MPV konsep enam-tempat duduk baharu dengan penggayaan seperti SUV

    Selain dari model konsep sedan DN-F, Daihatsu turut membawa sebuah lagi model konsep yang membuat kemunculan sulungnya untuk peringkat global pada Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) tahun ini. Kali ini dalam bentuk MPV, digelar DN Multisix.

    Buat masa ini, segmen MPV mampu milik dengan tujuh-tempat duduk sememangnya segmen yang paling hangat di pasaran rantau ASEAN manakala Toyota dan Daihatsu merupakan peneraju segmen tersebut – dengan barisan model Toyota Calya dan Daihatsu Sigra bagi pasaran entry-level, serta kembar Toyota Avanza dan Daihatsu Xenia untuk pasaran pertengahan.

    Model konsep Daihatsu DN Multisix yang diperkenalkan hari ini berkemungkinan akan dijelmakan sebagai model MPV produksi tertinggi yang menawarkan ruang dan keselesaan yang lebih baik. Seperti yang tertera pada namanya, MPV dengan tiga baris tempat duduk ini hanya menawarkan enam-tempat duduk berbanding Avanza yang mempunyai tujuh-tempat duduk.

    Ia turut menampilkan pelbagai ciri tipikal sebuah model konsep, antaranya bahagian dalaman yang futuristik, pintu bukaan suicide seperti DN-F Sedan, dan juga bumbung kaca sepenuhnya. Seperti juga Honda BR-V dan juga Mitsubishi Xpander (juga diperkenalkan di GIIAS 2017 hari ini), DN Multisix diberikan penampilan seakan sebuah SUV walaupun hakikatnya ia sebuah MPV.

    Selain itu, MPV ini juga diberikan muka yang hampir sama seperti DN-F Sedan, dan mungkin ia akan digunakan sebagai rekaan signatur baharu Daihatsu untuk model-model produksi akan datang.

    Model ini juga berkemungkinan akan dihasilkan sebagai model produksi pada masa akan datang memandangkan permintaan yang semakin tinggi terhadap kenderaan sebegini – dan tidak mustahil juga Perodua akan menggunakannya sekiranya mereka mahukan sesuatu yang lebih besar dari Alza. Tiada lagi maklumat berkenaan dimensi MPV ini, dan ia hanya didedahkan pada petang ini.

     
     
  • MRT akan kurangkan 34,400 tan pembebasan gas C02

    MRT akan kurangkan 34,400 tan pembebasan gas C02

    Mass Rapid Transit (MRT) dijangka dapat mengurangkan pembebasan CO2 sebanyak 34,400 tan setahun, lapor The Sun. Perkhidmatan yang bermula sebahagiannya pada Disember lalu itu kini sudah menawarkan laluan penuh sepanjang 51 km bagi jajaran Sungai Buloh-Kajang (SBK).

    Menteri Alam Sekitar dan Sumber Asli, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, kementerian itu merancang untuk mengurangkan pembebasan karbon dioksida sebanyak 300,000 menjelang 2030. Ini akan membolehkan Malaysia mencapai sasaran seperti yang didefinisikan oleh Nationally Determined Contribution (NDC) yang diserahkan kepada United Nations Framework Convention on Climate Change (UNFCCC) di bawah pernjanjian Paris 2015.

    “Selain mesra alam, operasi MRT juga bermanfaat dari sudut ekonomi kerana tambangnya lebih murah berbanding kaedah pengangkutan lain. Secara tak langsung, kualiti hidup di Kuala Lumpur lebih selamat dan dapat dipertingkat,” tambah beliau.

    Turut menjadi matlamat operasi MRT ialah untuk mengurangkan jumlah kenderaan di atas jalan raya, terutama dari Sungai Buloh dan Kajang yang menuju ke pusat bandar. Sasaran awalnya ialah pengurangan 160,000 kenderaan sehari.

     
     
  • GIIAS 2017: Daihatsu F-Sedan Concept – coupe 4-pintu

    GIIAS 2017: Daihatsu F-Sedan Concept – coupe 4-pintu

    Wakil kami kini sedang berada di hari pembukaan Gaikindo Indonesia International Auto Show (GIIAS) 2017, dan ia dimulakan dengan sesuatu yang menarik dari Daihatsu. Pengeluar kereta kompak berkenaan memperkenalkan model konsep DN-F Sedan untuk pertama kali bagi peringkat global, di pasaran eksport paling pentingnya itu.

    Model konsep berkenaan merupakan sedan yang direka sebagai coupe empat pintu – sesuatu yang baharu dan lain daripada yang lain seperti apa yang lazimnya Daihatsu bawakan sebelum ini. Ia sebenarnya akan diperkenalkan sepenuhnya pada petang ini, tetapi dibuka terlebih dahulu untuk tatapan menteri industri Indonesia ketika beliau merasmikan acara berkenaan secara keseluruhan.

    Konsep baharu yang dibawa oleh Daihatsu ini jelas berbeza sehingga anda sukar untuk mengenalinya sebagai Daihatsu sekiranya tidak dipadankan dengan lencana jenama berkenaan. Muka sedan ini direka sangat garang dan diberikan gril bersaiz besar bersama lampu utama dan juga lampu nyalaan siang LED yang direka tirus.

    GIIAS 2017: Daihatsu F-Sedan Concept – coupe 4-pintu

    Rekaan tirus tersebut turut diberikan pada bahagian belakang, yang direka memenuhi panjang bahagian tersebut dan turut menampilkan teknologi LED. Pada bahagian sisi pula, model konsep ini diberikan garis badan yang mengujakan – tirus seakan sedan elektrik Tesla.

    Ia juga menampilkan rekaan pintu yang dibuka seperti Mazda RX-8 dan tidak diberikan tiang tengah antara pintu hadapan dan pintu belakang (juga dikenali sebagai tiang-B).

    Rekaan pintu tersebut mungkin mustahil untuk dijelmakan dalam bentuk produksi kelak. Tetapi jika sebuah sedan kompak untuk Daihatsu dan Perodua dibina dengan garis badan sebegini, tentunya ia akan melahirkan sebuah produk yang sangat mengujakan bukan? Teruskan bersama kami untuk mengetahui spesifikasi penuh model konsep baharu ini.

     
     
  • VIDEO: Insiden kanak-kanak perempuan tercampak keluar dan hampir dilanggar kereta yang dinaikinya

    Terasa bagai nak tercabut jantung bila menonton video ini.

    Baru-baru ini seorang pengguna jalan raya telah merakamkan video menerusi dashcam, di mana kelihatan seorang kanak-kanak perempuan berusia dalam lingkungan 2-3 tahun terkeluar dari kereta yang sedang bergerak.

    Menerusi rakaman tersebut, sebuah Nissan Almera berwarna putih pada mulanya terperangkap dalam kesesakan trafik. Namun apabia ia mula bergerak, secara tiba-tiba kanak-kanak terbabit tercampak keluar dari tempat duduk hadapan kereta berkenaan. Malah kanak-kanak terbabit juga hampir dilanggar oleh kereta yang dinaikinya itu.

    Mujur juga pemandu kereta berkenaan sempat memberhentikan kereta walau pun kelihatan sudah terlajak sedikit ke hadapan, dan kanak-kanak itu berlari menuju ke kereta itu tanpa diketahui ada sebarang kecederaan padanya. Kemudian kelihatan seorang wanita turun dari kereta terbabit dan membawa kanak-kanak itu masuk ke dalam kereta serta terus berlalu pergi.

    Video ini kemudiannya dikongsikan menerusi Facebook oleh Pornpilin Aeamsaad yang berkata insiden ini berlaku pada Isnin petang lalu di daerah Minburi, Bangkok, Thailand dan kemudian menjadi tular di laman media sosial.

    Gesaan khas untuk semua ibu bapa atau pemandu kenderaan yang membawa kanak-kanak kecil, pastikan anda menggandakan tahap keselamatan. Sentiasa memastikan pintu kenderaan terkunci dan jangan lupa untuk meletakkan bayi atau kanak-kanak kecil di kerusi yang dikhaskan untuk mereka. Jangan bersikap cuai, kerana ia boleh mengundang padah. Keselamatan mereka, tanggungjawab anda.

     
     
  • Toyota patenkan ‘perangkap’ mudahkan barang yang jatuh ke bawah tempat duduk untuk diambil semula

    Toyota patenkan ‘perangkap’ mudahkan barang yang jatuh ke bawah tempat duduk untuk diambil semula

    Bayangkan anda hampir tiba ke pondok tol sambil memegang kad touch n go, dan tidak semena-mena kad berkenaan jatuh dicelah-celah tempat duduk – untuk mengambilnya semula pasti menyakitkan hati bukan? Seseorang di bahagian R&D Toyota nampaknya prihatin dengan masalah sedemikian dan hadir dengan rekaan penyelesaian seterusnya ia telahpun dipatenkan di Pejabat Paten dan Tanda Dagangan Amerika Syarikat.

    Menerusi fail berkenaan, dapat disimpulkan Toyota telah mencipta satu rekaan yang seakan perangkap untuk setiap barang yang jatuh di celah-celah tempat duduk bagi memudahkan ia diambil kembali. Komponen seperti gelonsor diletakkan dikawasan celahan kiri dan kanan tempat duduk hadapan dan ia dihalakan pada platform pada bawah tempat duduk.

    Untuk mengambilnya kembali, anda hanya perlu mengeluarkan platform berkenaan – paten tersebut menunjukkan ia direka dengan dua cara sama ada bantuan actuator (mungkin berkuasa elektrik) setelah mengesan sesuatu jatuh ke bahagian tersebut atau secara manual. Ia juga boleh dikeluarkan secara dihalakan kehadapan atau kebelakang dan boleh berfungsi sama ada kereta sedang bergerak atau berhenti.

    Seperti biasa, setiap rekaan yang dipatenkan ini tidak semestinya akan dijelmakan dalam bentuk produksi. Tetapi, jika ia benar dihasilkan, fungsi ini akan benar-benar membantu pemandu dan penumpang. Saya sendiri pernah terjatuh kunci rumah di bawah kerusi kereta, dan hanya dijumpai dua tahun selepas itu – itupun kerana kerusi dicabutkan untuk membuat sedikit kerja-kerja pendawaian.

     
     
  • Honda CB500XA ABS 2017 kini ditawarkan dengan pilihan warna dan ekzos baharu – harga dari RM32k

    Honda CB500XA ABS 2017 kini ditawarkan dengan pilihan warna dan ekzos baharu – harga dari RM32k

    17YM CB500X

    Boon Siew Honda Sdn Bhd telah memperkenalkan model CB500XA 2017, dengan pilihan warna serta ekzos baru. Tiga pilihan warna baru yang diberikan adalah Asteroid Black Metallic, Candy Rosy Red dan Pearl Horizon White. Harga jualan termasuk GST bagi CB500XA 2017 (dengan ABS) adalah RM35,391.28 manakala CB500X pula RM31,893.28.

    Model Honda CB500 dikuasakan oleh enjin berkapasiti 471 cc, parallel-twin dengan sistem suntikan minyak PGM-FI. Ia menjana kuasa sebanyak 47 hp pada 8,500 rpm dan 43 Nm pada 7,000 rpm tork dan digandingkan dengan penggunaan kotak gear enam-kelajuan.

    Datang sebagai standard pada model CB500XA ini ialah ciri ABS dengan kaliper hidraulik serta cakera brek tunggal di depan dan belakang, masing-masing dengan diameter 320 mm dan 240 mm. Suspensi depan dari jenis konvensyenal dengan 41 mm diameter, sementara di belakang menggunakan monoshock Prolink dengan talaan bebanan sembilan-tahap.

    Berat model ini ialah 198 kg, dengan ketinggian tempat duduknya 810 mm. Pada bahagian dalam enjin, gelung piston dibentuk sama seperti yang digunakan pada model CBR1000RR, bertujuan untuk mengurangkan bunyi yang terhasil darinya.

    Selain itu, ia lengkap dengan lampu utama dan lampu belakang jenis LED. Honda CB500XA diberikan jaminan pengilang dua tahun atau 20,000 km, yang mana dahulu. Model ini sudah mula dipamerkan di ruang pameran Honda Impian.

     
     
  • Toyota, 7-Eleven jalin kerjasama hasilkan trak fuel cell

    Toyota, 7-Eleven jalin kerjasama hasilkan trak fuel cell

    Di Jepun, Toyota berkerjasama dengan 7-Eleven untuk memperkenalkan kenderaan serta generator kuasa baru yang dibangunkan oleh Toyota dengan menggunakan hidrogen. Perkembangan itu membolehkan kedua-dua syarikat menjalin kerjasama ke arah pembebasan karbon yang rendah serta kenderaan berasaskan hidrogen untuk masa depan.

    Bagi aspek operasi pengedaran 7 Eleven,, trak baru yang dikuasakan oleh fuel cell (termasuk unit peti sejuknya) akan digunakan untuk mengurangkan pembebasan CO2. Turut dalam pertimbangan mereka ialah kedai dengan kelengkapan isian semula hidrogen akan menggalakkan lagi penggunaan generator fuel cell untuk bertindak sebagai sumber tenaga.

    Sistem bateri boleh dicas semula setempat yang menggunakan bateri cas semula kenderaan akan turut diperkenalkan di kedai-kedai, selaku sumber kuasa kecemasan dalam keadaan bencana. Ia juga boleh digunakan untuk tujuan membantu menjimatan tenaga serta mengurangkan pembebasan CO2.

    Pengeluar kenderaan Jepun itu sedang menilai lebih banyak penggunaan komersial bagi fuel cell hidrogen selain penggunaannya dalam kenderaan seperti Mirai. Sebagai contoh, syarikat itu merancang untuk memperkenalkan bas fuel cell dalam kawasan Tokyo menjelang Olimpik 2020 dan Sukan Paralimpik.

     
     
  • Penghadang keselamatan jalan beroda mampu kurangkan kadar kemalangan – Rosnah

    Penghadang keselamatan jalan beroda mampu kurangkan kadar kemalangan – Rosnah

    Pemasangan penghadang jalan keselamatan beroda sepanjang 130 meter di Jalan Lapangan Terbang Subang menghala ke Lebuhraya Persekutuan dapat mengurangkan kadar kemalangan jalan raya sebanyak 94% dalam tempoh enam bulan sejak Disember lalu.

    Menerusi persidangan Dewan Rakyat semalam, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Rashid Shirlin memaklumkan ia akan diperluaskan dari selekoh arah bulatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke lebuhraya KLIA di Sepang pada akhir bulan ini.

    “Ujian perintis penghadang jalan keselamatan beroda sepanjang 130m telah di pasang di Laluan FT15 Jalan Lapangan Terbang Subang, seksyen 0.3 di lokasi pusingan U berdekatan Bulatan Menara Jam. Kerja-kerja pemasangan telah siap dilaksanakan pada 14 Disember 2016. Tempoh percubaan bagi pemasangan ini untuk tempoh 6 hingga 12 bulan,” ujarnya.

    Sambungnya lagi, berdasarkan keberkesanan pemasangan penghadang di Subang yang telah siap dilaksanakan pada 14 Dis 2016, kementerian bercadang meluaskan di kawasan baharu pula dengan memberi tumpuan kepada lokasi yang kerap berlaku kemalangan.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Dr Muhammad Leo Michael Toyad Abdullah (BN-Mukah) yang ingin tahu sejauh mana sistem penghadang jalan keselamatan beroda telah berjaya mengurangkan impak kemalangan jalan raya sejak dilaksanakan, laporan Bernama.

    Menjelas lanjut, beliau berkata faktor yang menyumbang kepada pengurangan kadar kemalangan secara langsung atau tidak langsung adalah disebabkan penghadang jalan keselamatan beroda mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik berbanding penghadang jalan keselamatan konvensional.

    Rosnah berkata antara ciri tersebut termasuk mempunyai mekanisme pantulan cahaya yang lebih jelas dilihat khususnya pada waktu malam, kebolehan menyerap tenaga kejutan dan keupayaan menyerap beban hentaman kepada beban putaran yang secara langsung akan mengurangkan impak pelanggaran kepada kenderaan dan pemandu.

    Dalam masa yang sama, Kementerian sedang melaksanakan analisis manfaat kepada kos kerana kos permulaan pemasangan penghadang tersebut RM1,500 per meter iaitu enam kali lebih mahal berbanding penghadang jalan konvensional RM250 per meter.

     
     
  • Kia Stinger bakal dijual di pasaran Australia Oktober ini dengan harga bermula RM166k hingga RM203k

    Kia Stinger bakal dijual di pasaran Australia Oktober ini dengan harga bermula RM166k hingga RM203k

    Kereta sport sedan empat pintu dari Korea, Kia Stinger bakal masuk ke pasaran Australia bulan Oktober ini, dijual dalam tiga varian dengan julat harga bermula RM166k hingga RM203k untuk tiga versi 3.3 liter V6, menurut laporan CarAdvice.

    Tiga varian tersebut bermula dengan varian asas S yang dijual pada harga AUD$48,990 (RM166,182), varian pertengahan Si berharga AUD$55,990 (RM189,928) dan varian tertinggi GT dijual pada harga AUD$59,990 (RM203,496).

    Tidak menerima pilihan enjin 2.2 liter CRDi turbodiesel, namun pasaran Australia akan menerima kedua-dua versi enjin petrol iaitu 2.0 liter empat-slinder turbo berkuasa 255 hp pada takat 6,200 rpm serta tork maksima 353 Nm bermula 1,400 hingga 4,000 rpm (harga untuk versi ini masih belum didedahkan), dan juga enjin V6 3.3 liter turbo berkembar Lambda II berkuasa 365 hp pada takat 6,000 rpm dan juga tork maksima 510 Nm bermula 1,300 hingga 4,500 rpm.

    Kia Stinger bakal dijual di pasaran Australia Oktober ini dengan harga bermula RM166k hingga RM203k

    2018 Stinger

    Kedua-dua enjin berkenaan hanya akan dipadankan dengan kotak gear lapan-kelajuan automatik dari Optima K9 tanpa pilihan kotak gear manual. Dibekalkan dengan sistem launch control, model yang dijana enjin V6 mampu memecut dari 0-100 km/j dalam masa hanya 4.9 saat.

    Di Eropah, Stinger direka bagi menawarkan pilihan pacuan roda belakang atau pacuan semua roda. Model pacuan belakang sepenuhnya dibekalkan dengan LSD mekanikal secara standard, manakala model pacuan-semua roda dengan agihan tork lebih ke bahagian belakang pula turut diberikan sistem Dynamic Torque Vectoring Control yang beroperasi bersama sistem brek – spesifikasi Australia masih belum diperincikan penawarannya.

    Menurut Kia, pengendalian Stinger ini ditala di litar Nurburgring di bawah seliaan Albert Biermann, bekas timbalan presiden divisi M BMW. Dengan program talaan yang dilalui oleh Stinger ini, Kia mendakwa model tersebut mampu dipandu di atas apa jua jenis jalan.

    Kia Stinger bakal dijual di pasaran Australia Oktober ini dengan harga bermula RM166k hingga RM203k

    Adakah Kia Stinger akan masuk ke pasaran Malaysia? Awal tahun lalu ketika editor kami, Izwaashura Sadali ke Melbourne, Australia untuk menguji Kia Rio 2017, Dato’ Samson Anand George, CEO Kumpulan, Kumpulan Automotif, Naza Corporation Holdings memberitahu kami bahawa pihaknya amat berminat untuk membawa masuk Stinger ke pasaran Malaysia tahun hadapan.

    Kemudian pada April lalu pula, sebuah Kia Stinger yang diselindungkan dengan kit penyamaran dijumpai di Malaysia berkemungkinan sedang diuji untuk pasaran tempatan. Sebulan selepas itu, kereta berkenaan dipamerkan sepenuhnya tanpa penyamaran di Sabah sempena Konvensyen Pengedar Kia Asia 2017.

    GALERI: Kia Stinger 2018

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024