Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Volvo XC60 pasaran Malaysia dipertingkat, harga sama

    Volvo XC60 pasaran Malaysia dipertingkat, harga sama

    Volvo Cars Malaysia telah memberikan peningkatan kepada model XC60 tahun 2020 pasaran Malaysia, melihatkan sedikit perubahan pada senarai kelengkapan yang diberi. Jumlah varian dan harga masih sama seperti sebelum ini iaitu RM298,888 untuk T5 Momentum, RM333,888 untuk T8 Twin Engine Inscription dan RM343,888 untuk T8 Twin Engine Inscription Plus.

    Pada bahagian penggerak, kedua-dua varian T8 Twin Engine kini datang dengan bateri baru berkapasiti 11.6 kWh, menggantikan unit 10.4 kWh sebelum ini. Peningkatan ini adalah sama seperti yang dilakukan pada XC90 facelift November lalu.

    Tetapan lain tidak berubah, dengan ia masih lagi dipadankan bersama enjin petrol Drive-E empat silinder turbo 2.0 liter serta padanan transmisi automatik lapan kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 320 hp dan 400 Nm tork.

    Sementara enjin itu menghantar kuasa kepada roda hadapan, motor elektrik 87 hp dan 240 Nm pula menghantar kuasa kepada roda belakang untuk menghasilkan pacuan semua roda – jumlah keseluruhan kuasa adalah 407 hp dan 640 Nm. Varian T5 juga digerakkan oleh enjin empat silinder 2.0 liter turbo serta transmisi automatik lapan kelajuan, tetapi mempunyai kuasa 254 hp dan 350 Nm tork yang dihantar kepada semua roda.

    Model XC60 tahun 2020 juga kini ditawarkan dalam dua warna baru iaitu Osmium Grey dan Bright Silver, menyertai pilihan warna Denim Blue, Onyx Black dan Crystal White. Warna Maple Brown dan Luminous Sand pula telah dikeluarkan daripada senarai.

    Pada bahagian dalam, kedua-dua varian T5 dan T8 sekarang datang dengan jaring poket pada bahagian tepi konsol tengah sebelah penumpang. Kemudiannya, tombol gear kristal menyala Orrefors pada varian T8 turut dipertingkat dengan rekaan baru sama seperti pada XC90, S90 dan V90 facelift. Larasan kuasa untuk tempat belakang kini sudah tiada.

    Selain daripada perubahan yang dinyatakan, senarai kelengkapan lain masih lagi sama, di mana semua varian masih dilengkapi dengan City Safety, panel instrumen digital 12.3 inci, sistem infotainmen Sensus Connect sembilan inci, kawalan pendingin hawa dua zon dengan corong di belakang, lampu LED dan tempat duduk balutan kulit.

     
     
  • Harga minyak 18-24 April – RON 95 kekal RM1.25 dan RON 97 pada RM1.55, diesel pula turun kini RM1.43

    Harga minyak 18-24 April – RON 95 kekal RM1.25 dan RON 97 pada RM1.55, diesel pula turun kini RM1.43

    Bagi minggu bertarikh 18 hingga 24 April, Kementerian Kewangan telah memaklumkan, harga runcit bagi bahan api petrol RON 97 dan RON 95 kekal seperti minggu sebelum ini. Iaitu masing-masing RM1.25 seliter dan RM1.55 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit bagi diesel pula turun sebanyak 3 sen seliter, kini RM1.43 seliter (sebelum ini RM1.46). Ini bermakna diesel Euro 5, lebih mahal 10 sen daripada diesel Euro 2M, iaitu RM1.53 seliter.

    Semua harga baharu ini efektif bermula 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 24 April 2020.

    Kementerian tersebut berkata, ia berdasarkan penetapan harga runcit produk petroleum secara mingguan menggunakan formula Mekanisme Harga Automatik (APM). Setelah empat minggu berturut-turut harga petrol dilaporkan turun berikutan penularan pandemik COVID-19 yang menjejaskan permintaan global.

    Malah situasi bertambah buruk oleh lebihan bekalan akibat perang harga antara kartel Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Arab Saudi dan Rusia. Malah penanda aras minyak mentah antarabangsa, Brent, juga berdepan penyusutan besar sehari sebelumnya, naik dua peratus kepada AS$28.31 setong.

     
     
  • Pusingan pengenalan perlumbaan MSF Cyberturismo dapat sambutan, pusingan seterusnya bakal diumum

    Pusingan pengenalan perlumbaan MSF Cyberturismo dapat sambutan, pusingan seterusnya bakal diumum

    Bagi mengubati kekecewaan pelumba-pelumba dan peminat yang sudah bersiap untuk acara MSF Superturismo dan MSF Superbikes yang kini terpaksa ditangguhkan akibat wabal Covid-19 dan juga PKP, maka lahirlah idea perlumbaan alam maya yang dikenali sebagai MSF Cyberturismo oleh pihak penganjur. Ia merupakan sebuah acara perlumbaan secara atas talian yang telah dimulakan dan mendapat sambutan menggalakkan.

    MSF Cyberturismo ini merupakan siri kejuaraan bersifat liga. Setiap pemenang akan diberikan mata kejuaraan. Setelah berjaya mengumpul mata kejuaraan terbanyak, pemenang kelompok atas dihimpunkan di pusingan akhir nanti untuk menentukan kejuaran.

    Hanya kedudukan lima teratas akan berentap di pusingan akhir. Dari sudut peraturan teknikal, semua peserta yang bersaing di dalam permainan alam maya GT Sports wajib menggunakan kereta yang di dalam kumpulan n200, tiada bantuan pemanduan, tiada ABS, dan tiada bantuan pengendalian.

    Pusingan pengenalan perlumbaan MSF Cyberturismo dapat sambutan, pusingan seterusnya bakal diumum

    Bagi peraturan perlumbaan pula, semuanya menggunakan amalan sebenar dalam siri perlumbaan MSF Superturismo sendiri. Tujuannya, selain daripada memastikan perlumbaan ini rapat dan sengit semaksima mungkin, ia juga dapat memberikan gambaran jelas bagaimana perlumbaan MSF Superturismo sebenar berlangsung.

    Hasilnya, ada dua kategori dipertandingkan; MSF CT Open yang menghimpunkan mereka yang tidak pernah sama sekali berlumba di litar sebenar (jaguh di alam maya) dan kedua, kategori MSF ST Racers bagi pelumba sebenar di litar. Di peringkat pelancarannya, MSF Cyberturismo menerima sebanyak 100 penyertaan dari seluruh negara – lebih menarik apabila ia turut mendapat penyertaan daripada pelumba MSF Superbikes.

    Pusingan pengenalan perlumbaan MSF Cyberturismo dapat sambutan, pusingan seterusnya bakal diumum

    Pusingan pelancaran berjaya dijalankan selama dua hari meskipun kelajuan internet sedikit terganggu. MSF Cyberturismo tidak hanya bersaing di satu litar sahaja; ia akan berlangsung di enam litar. Pusingan pelancaran menggunakan di litar lagenda Tsukuba.

    Pusingan seterusnya, iaitu pusingan pertama akan diumumkan sedikit masa lagi di halaman rasmi Facebook MSF Series. Litar yang dipilih pula akan diumumkan dalam masa 24 jam sebelum perlumbaan berlangsung. Ia bertujuan untuk menjadikan persaingan lebih sengit dan adil untuk semua peserta.

     
     
  • PDRM kenalpasti pelaku yang menipu dalam sekatan jalan raya PKP, tindakan bakal diambil – Ismail Sabri

    PDRM kenalpasti pelaku yang menipu dalam sekatan jalan raya PKP, tindakan bakal diambil – Ismail Sabri

    Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan agar orang ramai tidak sepatutnya berbangga melakukan kesalahan melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurutnya lagi, tiada siapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang.

    Semalam tular di laman media sosial mengenai pengakuan dua individu yang berbangga dapat menipu polis untuk melepasi sekatan jalan raya. Malah mereka turut memberikan tip bagaimana cara untuk menipu polis.

    Walau bagaimana pun, ‘langkah kurang bijak’ itu dapat dihidu oleh para netizen yang menggesa agak pihak polis mengambil tindakan. Paparan tersebut juga disiarkan menerusi Facebook rasmi Polis Daerah Dungun.

    Ismail Sabri turut mengesahkan, polis sudah mengenal pasti ahli keluarga yang berkongsi tip menipu polis untuk pulang ke Kuala Lumpur dan tindakan akan diambil terhadap keluarga terbabit.

    “Saya nak ingatkan jangan berbangga apabila melakukan kesalahan dan mempengaruhi orang lain supaya mengikut tindak-tanduk melanggar PKP. Pihak polis sudah mengenal pasti dan tindakan akan diambil. Tiada siapa boleh terlepas daripada tindakan undang-undang, tambahan pula mereka mengaku (di laman sosial) ingkar kepada arahan dan peraturan di bawah PKP.

    “Tolong jangan bangga dan anggap diri sebagai ‘hero’ kerana akhirnya tindakan akan diambil dan susahkan diri mereka dan keluarga,” katanya seperti dilaporkan oleh Berita Harian.

    Dalam masa yang sama, salah seorang pelaku terbabit telah membuat pengakuan di Facebook dengan mengatakan yang dia hanya sekadar bergurau dengan rakan-rakan kumpulan Whatsapp dan tidak sangka perkara ini menjadi tular. Katanya, laporan polis telah dibuat dan mengaku pergi ke hospital yang tidak lebih 10 km dari kediamannya. Apa pun tunggulah apa pula kata pihak polis.

     
     
  • Mitsubishi Triton dari Wild Offroad Turki – rupa ganas!

    Mitsubishi Triton baharu sememangnya telah diberikan muka yang cukup ganas. Bagaimana nak memberikan rupa lebih ganas kepada trak pikap ini? Untuk Wild Offroad dari Turki, mereka telah meninggikan lagi Mitsubishi L200 (nama Triton pada pasaran tersebut) bagi memberikan rupa yang jauh lebih gagah!

    Tiada perincian lengkap tentang apa yang telah diubahsuai pada Triton ini, tetapi apa yang diberitahu ia telah menerima lift-kit yang mengangkat badan pikap ini dari kerangka 100 mm lebih tinggi dari asal – memang tinggi, lebih tinggi dari Triton Borneo Safari yang pernah penulis pandu sebelum ini.

    Triton tersebut turut disarungkan dengan rim 16-inci dengan offset yang memberikan bibir yang lebar, dibalut dengan tayar BFGoodrich Mud Terrain KM3 bersaiz 315/75R16. Turut dapan dilihat, ia dilengkapi dengan set overfender berwarna hitam berkilat, pelindung bawah badan hadapan tambahan serta kemasan krom yang dihitamkan bagi menambah lagi rupa garangnya.

    Wild Offroad juga tidak mendedahkan sebarang ubahsuai dari segi mekanikal lain. Dalam keadaan standard, Triton dijana oleh enjin 2.4 liter MIVEC VGT turbodiesel yang mampu menghasilkan 181 PS dan tork maksima 430 Nm. Untuk pasaran Malaysia, versi tertinggi Adventure X menerima kotak gear enam-kelajuan automatik, bersama sistem Super Select 4WD-II yang membolehkan pemandu memilih mod gravel, mud, sand atau rock dengan mudah.

     
     
  • Volkswagen Tiguan facelift 2020 dalam lakaran rasmi

    Volkswagen Tiguan <em>facelift</em> 2020 dalam lakaran rasmi

    Volkswagen dalam satu pengumuman memaklumkan syarikat itu bakal memperkenalkan Tiguan generasi kedua tahun ini, dan mengeluarkan satu lakaran digital bagi model yang dipertingkatkan itu. SUV dengan platform asas MQB itu tampil dengan rekaan yang mirip dengan apa yang pernah dilihat dalam spyshot sebelum ini – meminjam elemen rekaan yang sama seperti Golf Mk8 dan Atlas Cross Sport.

    Bahagian gril digantikan dengan rekaan yang lebih bersegi dan bersambung ke bahagian lampu utama yang juga hadir dengan rekaan baru yang lebih menarik berbanding model sebelumnya. Rekaan logo baru Volkswagen juga dapat dilihat digunakan pada bahagian gril.

    Rekaan baru untuk bampar depan juga menjadi sebahagian daripada kemaskini; bahagian bukaan udara di bawah lebih lebar dan bersentuhan dengan inlet segi tiga pada bucu. Dalam rekaan terdahulu, ia diasingkan, dan diletak di atas bahagian lampu kabus. Bahagian belakang, perubahan paling jelas ialah rekaan lampu yang diperbaharui, logo pada pintu belakang serta bahagian bawah bampar yang rekaannya diperkemas.

    Pembaharuan bahagian dalaman belum lagi diketahui setakat ini. Namun, ia dijangka akan didatangkan dengan Modular Infotainment Matrix (MIB3) yang ada pada Passat B8. Stereng dan material yang digunakan pada ruang kabin juga mungkin akan diberi pembaharuan.

    Volkswagen juga menyatakan Tiguan akan ditawarkan dalam varian plug-in hybrid, namun tiada perincian lanjut yang dikongsikan. Ada laporan menyatakan itu nanti akan dipanggil varian GTE, dan khabarnya bakal menggunakan enjin 1.4 liter turbocas TSI, motor elektrik, bateri lithium-ion dan transmisi klac berkembar enam-kelajuan DSG.

     
     
  • Menipu untuk lepas sekatan jalan raya semasa PKP satu tindakan pentingkan diri, menyusahkan orang lain



    Sepatutnya tak susah pun untuk faham; Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung ketika ini – yang belum tentu bila akan berakhir – adalah satu cara untuk negara kita melawan penularan wabak Covid-19. “Satu cara” kerana PKP ini adalah antara rangkaian usaha-usaha lain yang sedang berlangsung untuk tujuan yang sama.

    Ujian saringan kepada kelompok bersasar, ujian terhadap ubat-ubatan untuk digunakan dalam rawatan, usaha kuarantin berpusat dan lain-lain lagi adalah contoh strategi “perang” kita berdepan dengan wabak berkenaan. Dan, melihat kepada skala kes seluruh dunia, setiap individu yang bertanggungjawab akan tahu bahawa ia bukanlah satu yang yang boleh dibuat main.

    Di Malaysia, PKP telah terbukti dapat membantu membendung penularan ini; sejak beberapa minggu ini, purata kes positif setiap hari walaupun masih ada, tetapi telah mendatar dengan purata sekitar 100 lebih kes sehari. Inilah tujuan mengapa PKP dilaksanakan.

    Menipu untuk lepas sekatan jalan raya semasa PKP satu tindakan pentingkan diri, menyusahkan orang lain

    Tetapi, dalam tempoh ini juga, kita dapat melihat sebahagian sikap warga sendiri yang tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri sendiri. Mereka sentiasa mencari alasan untuk berada di atas jalan raya walaupun tujuannya remeh-temeh.

    Contoh terbaru, seperti yang kongsikan di laman Facebook Polis Daerah Dungun; orang-orang yang menipu di sekatan jalan raya untuk melepaskan diri, dan kemudiannya berbangga dengan tindakan tidak bertanggungjawab mereka itu. Agaknya ini satu bentuk “sakit” yang baru muncul, sekali dengan perkembangan media sosial.

    Gambar pertama menunjukkan seorang pelaku yang menunjukkan tanda rasmi Petugas Kesihatan, yang diberikan kepada mereka yang terlibat sebagai frontliners untuk memudahkan pergerakan mereka. Yang jadi masalah, bukan si pelaku yang bertugas di barisan hadapan, tetapi isterinya.

    Menipu untuk lepas sekatan jalan raya semasa PKP satu tindakan pentingkan diri, menyusahkan orang lain

    Dalam gambar kedua yang dikongsi oleh laman rasmi yang sama pula ialah sebuah tangkap layar Whatsapp menunjukkan sebuah keluarga empat beranak, yang katanya telah selamat sampai ke KL (tidak dinyatakan dari mana) dan melepasi sekatan jalan yang ada dengan memberi alasan ingin ke hospital, dan anak tak ada siapa yang jaga.

    Harapnya pihak berkuasa boleh lakukan siasatan lanjut berkaitan kes-kes seperti ini. Jika terang-terangan mereka melanggar PKP, maka tindakan tegas perlu di ambil. Kerana, sikap seperti inilah yang akan menyusahkan orang lain, terutama mereka yang betul-betul perlu bertugas – jangan salahkan pihak berkuasa sekiranya sekatan jalan dan pemeriksaan lebih ketat dilakukan.

     
     
  • SYM Maxsym TL 500 sudah sampai di Malaysia – pengedar mula ambil tempahan pada harga RM35,888

    SYM Maxsym TL 500 sudah sampai di Malaysia – pengedar mula ambil tempahan pada harga RM35,888

    Hari ini sepatutnya berlangsung satu majlis pelancaran oleh MForce Bike Holdings Sdn Bhd, iaitu pengedar rasmi untuk motosikal jenama SYM di Malaysia. Model apa yang akan dilancar tidak diberitahu dan majlis itu juga sudah dibatalkan kerana perintah kawalan pergerakan sekarang.

    Kenyataan rasmi juga masih belum dikeluarkan tapi nampak seperti jawapannya sudah ada kerana apabila diperhati dalam media sosial, pengedar SYM sudah mula mengambil tempahan untuk sebuah model skuter maxi baru iaitu SYM Maxsym TL 500 pada harga jualan RM35,888.

    Skuter ini menggunakan enjin dua silinder 465 cc suntikan bahan api, bersama padanan transmisi CVT dan mampu menghasilkan kuasa sebanyak 40 hp pada 6,750 rpm dan 42.5 Nm tork pada 6,250 rpm. Tidak seperti skuter biasa, TL 500 menggunakan sistem rantai untuk menghantar kuasa ke roda belakang.

    Kesemua lampu skuter ini menggunakan sistem LED manakala panel instrumen pula menggunakan skrin digital TFT 4.5 inci berwarna penuh. Rim adalah unit 15 inci yang dibalut tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang manakala brek pula kedua-duanya adalah unit cakera 275 mm yang dilengkapi dengan ABS.

    SYM juga mendakwa skuter ini boleh memberikan prestasi pengendalian yang lebih baik kerana ia mempunyai pembahagian berat 50:50, fork USD 41 mm dan monoshock yang terletak di bahagian kiri, siap dengan tabung gas. Berat keseluruhan motosikal ini adalah 223 kg dan ia dilengkapi dengan tangki bahan api 12.5 liter serta penghadang angin yang boleh dilaras.

     
     
  • Udara di Malaysia lebih bersih ketika PKP – laporan

    Udara di Malaysia lebih bersih ketika PKP – laporan

    Imej satelit semenanjung Malaysia pada 18 Mac hingga 13 April 2019 (kiri) dan 18 Mac hingga 13 April 2020 (kanan). Klik untuk besarkan

    Anda perasan tak langit kita semakin biru kebelakangan ini? Ini sebenarnya bukan perasaan semata-mata, kerana hasil penyelidikan Jabatan Analitik Think City mendedahkan memang kandungan nitrogen dioksida (NO2) dalam udara kita kini turun dengan mendadak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak Covid-19 bermula 18 Mac lalu, kerana kurangnya kereta yang bergerak di atas jalan raya.

    Apa yang didedahkan oleh Think City ini adalah hasil penelitian mereka terhadap data spektometri dari satelit Copernicus Sentinel-5P milik Agensi Angkasa Eropah, dan jelas sekali kadar pencemaran di semenanjung Malaysia terutamanya di Kuala Lumpur dan Johor Bahru turun dengan drastik.

    Nitrogen oksida dihasilkan oleh bahan api fosil seperti arang batu, minyak dan gas. Menurut Think City, 80% kadar pencemaran NO2 pada ruang udara kita adalah datang dari hasil pembakaran petrol dan diesel pada kenderaan di atas jalan raya.

    “Ketika kita dipaksa untuk berhibernasi, bandar kita turut berubah dalam cara yang kita tidak pernah terfikir ia boleh terjadi. Perubahan kadar nitrogen dioksida dalam peta yang ditunjukkan Think City antara sekarang dan masa yang sama tahun lalu menunjukkan rakyat Malaysia kurang bergerak kerana PKP dan merendahkan kadar pencemaran udara dari kenderaan. Hal ini jelas dapat dilihat di sepanjang pantai barat Semenanjung Malaysia, tempat di mana 20 juta orang tinggal,” kata pengarah program Think City, Dr Matt Benson

    Perkara ini bukan hanya terjadi di Malaysia. Sebelum ini, kami turut melaporkan udara di negara-negara terjejas kerana pandemik Covid-19 ini seperti di India, China, Amerika Syarikat dan Itali turut menunjukkan penurunan kadar pencemaran setelah lockdown diumumkan di negara-negara berkenaan.

     
     
  • Mazda patenkan enjin Rotary yang digandingkan dengan sistem hibrid dan AWD berteknologi tinggi

    Mazda patenkan enjin Rotary yang digandingkan dengan sistem hibrid dan AWD berteknologi tinggi

    Selepas berakhirnya produksi Mazda RX8 pada tahun 2012, satu-satunya masa hadapan yang jelas untuk enjin Wankel Rotary Mazda adalah menjadi “enjin generator” untuk sistem hybrid pada crossover MX-30 yang akan diperkenalkan selepas versi elektrik sepenuhnya dijual bermula tahun hadapan.

    Enjin rotary untuk kereta sport? Perkara ini masih belum jelas di mana bos-bos Mazda menafikan akan ada model produksi dari kereta konsep Mazda RX-Vision, tetapi banyak pula khabar angin mereka akan menghidupkan semula generasi baharu RX – pada Mac 2016, Mazda dikesan mempatenkan rekaan enjin Rotary turbo generasi baharu yang dilaporkan akan digelar SkyActiv-R, manakala pada tahun lalu syarikat tersebut dikesan mempatenkan kerangka hadapan sebuah kereta sport yang menggunakan enjin rotary berkenaan.

    Kini, satu lagi misteri apa sebenarnya projek rahsia yang sedang Mazda bangunkan dijumpai di pejabat paten di Jepun – jenama automotif dari Hiroshima berkenaan telah memfailkan paten rekaan janakuasa hibrid enjin konvensional-elektrik untuk sebuah kereta dengan enjin hadapan memacu roda belakang, manakala roda hadapan digerakkan dengan motor elektrik sepenuhnya, dedah portal dari Jepun, T’Media.

    Untuk lebih spesifik, enjin konvensional tersebut akan digandingkan terus dengan sebuah motor elektrik untuk memacu gandar belakang. Menurut Mazda, selain dari enjin dengan susunan silinder sebaris atau dalam bentuk-V, mereka turut menyatakan dengan jelas bahawa enjin jenis Rotary dapat disuaikan dengan baik terhadap sistem ini kerana rekaannya yang kompak.

    Mazda patenkan enjin Rotary yang digandingkan dengan sistem hibrid dan AWD berteknologi tinggi

    Manakala untuk roda hadapan, kedua-dua tayar masing-masing menerima sebuah motor elektrik bersama sistem kapasitor bebas untuk membekalkan kuasa. Sistem ini juga akan diberikan bateri lithium-ion 3.5 kWj yang beroperasi dengan 48 volt, yang bukan sahaja memberikan kuasa kepada motor hibrid yang dihubungkan pada enjin, malah turut akan membekalkan kuasa kepada motor-motor pada roda hadapan sekiranya kapasitor yang dibekalkan tidak cukup kuasa.

    Sistem regenerative braking ditugaskan untuk mengecas semula sistem elektrik ini – ia terlebih dahulu mengecas unit kapasitor sehingga mencapai tahap yang diperlukan, kemudian baru mengecas semula bateri lithium-ion utama. Dalam fail paten tersebut Mazda turut menyatakan bahawa dengan sistem ini mereka akan dapat menghasilkan satu sistem dengan berat yang kurang kerana kapasitor yang digunakan pada roda hadapan adalah jauh lebih ringan dari bateri sebenar.

    Malah, kapasitor yang diletakkan terus pada setiap motor akan mengurangkan sistem pendawaian yang diperlukan serta sudah tentu meringakan lagi sistem ini.

    Dalam fail paten berkenaan turut menyatakan bahawa ketika kereta ini dipandu dalam kelajuan rendah, hanya enjin konvensional dan motor elektrik yang digandingkan padanya berfungsi untuk memacu roda belakang, manakala pacuan motor elektrik pada roda hadapan hanya akan berfungsi ketika kelajuan lebih tinggi diperlukan.

    Apa sebenarnya yang sedang dibangunkan ini? Apa yang kami tahu, Mazda adalah sebuah jenama yang begitu obses dengan teknologi – dari apa yang kami perhati, sama ada dalam pengurusan syarikatnya di Malaysia mahupun di Jepun sendiri, barisan pegawai tinggi mereka kebanyakkannya dari kalangan jurutera sendiri, dan bukan dipilih dari bidang permasaran atau pengurusan.

    Jadi, tidak hairan mereka sering hadir dengan pelbagai paten untuk teknologi baharu – sama ada ia akan diproduksi atau tidak, itu belakang kira. Yang penting idea sentiasa berjalan dan setiap idea tersebut perlu dipatenkan terlebih dahulu.

     
     
  • KBS akan salurkan dana kepada Hafizh Syahrin

    KBS akan salurkan dana kepada Hafizh Syahrin

    Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui satu kenyataan rasmi memaklumkan bahawa dana untuk pelumba negara, Hafizh Syahrin telah diluluskan dan akan disalurkan dalam masa terdekat melalui Sepang International Circuit (SIC) sebagai badan pemantau program pembangunan sukan permotoran di Malaysia.

    Jumlah sebenar dana ini tidak diberitahu tetapi KBS menyatakan “bantuan seumpama ini adalah satu bentuk sokongan yang sentiasa dititikberatkan oleh KBS dalam apa jua pembangunan sukan termasuk sukan permotoran yang boleh mengharumkan nama negara.”

    Musim tahun ini Hafizh Syahrin berlumba dalam kategori Moto2 bersama pasukan Aspar Racing Team dan setakat ini cuma satu perlumbaan sahaja sudah berlangsung iaitu di Qatar sebelum ia ditangguh akibat penularan wabak Covid-19. Untuk perlumbaan itu, beliau mendapat tempat ke-19.

     
     
  • PKP: 21 jalan ditutup di sekitar bandaraya Alor Setar

    PKP: 21 jalan ditutup di sekitar bandaraya Alor Setar

    Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar telah mengumumkan terdapat 14 laluan lagi akan ditutup di sekitar Alor Setar, Kedah, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Fasa ketiga. Menjadikan keseluruhan jalan yang ditutup setakat ini ialah 21 laluan.

    Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, penutupan jalan itu akan dilakukan secara berperingkat-peringkat di kawasan bandar raya ini. Ia adalah bagi mengurangkan pergerakan orang ramai di sekitar bandaraya berkenaan.

    14 laluan yang terbabit ialah persimpangan lampu isyarat Pantai Johor ke Gunung Keriang, lampu isyarat Gunung Keriang ke Jalan Suka Menanti, lampu isyarat Taman Malaysia menghala ke Taman Malaysia dan lampu isyarat Hospital Lama ke pusat bandar.

    PKP: 21 jalan ditutup di sekitar bandaraya Alor Setar

    Selain itu, laluan di lampu isyarat Alor Semadom ke pusat bandar, lampu isyarat Bakar Bata, lampu isyarat AEON Big menghala ke Jalan Putra, lampu isyarat Taman Pandan ke pusat bandar (dari Shahab Perdana) juga akan ditutup secara berperingkat.

    Tambahnya lagi, jalan lain yang telah ditutup ialah di lampu isyarat Raden ke pusat bandar, lampu isyarat Jalan Putra menghala ke Taman Rakyat, lampu isyarat menghala Jalan Teratai menghala ke Jalan Pegawai dan simpang Hotel ABC menghala ke pusat bandar.

    Jalan lain yang terlibat ialah lampu isyarat Tanjung Bendahara hingga ke Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Jalan Teluk Wanjah sebelum jejantas dan lampu isyarat Tandop menghala ke Masjid Aman, lampu isyarat Simpang Kuala menghala pusat bandar dan lampu isyarat Alor Mengkudu menghala ke Jalan Tanjung Bendahara, lampu isyarat Bunga Tanjung, lampu isyarat Ban Hoe, lampu isyarat bangunan mahkamah lama dan lampu isyarat Pekan Melayu menghala ke pusat bandar.

    Setakat ini, menurut Mohd Rozi, pihaknya telah melaksanakan lapan sekatan jalan telah dibuat di daerah berkenaan.

     
     
  • Pusat pameran Ducati PJ ditenggelami banjir kilat

    Pusat pameran Ducati PJ ditenggelami banjir kilat

    Petang semalam telah tersebar dalam media sosial gambar yang menampakkan beberapa buah motosikal Ducati ditenggelami banjir dengan keadaan sekitarnya kelihatan seperti di pusat pameran Ducati Petaling Jaya. Perkara ini nampaknya adalah benar, dan Next Bike Sdn Bhd selaku pengimport dan pengedar rasmi Ducati di Malaysia telah mengeluarkan kenyataan rasmi berkenaannya.

    Di dalam kenyataan tersebut diberitahu, “pihak pengurusan Next Bike Sdn Bhd sedar terhadap banjir kilat yang melanda pusat pameran Ducati Malaysia PJ dan sedang menilai keadaannya. Situasi sekarang di bawah kawalan dan tiada sebarang kecederaan yang dilaporkan,”

    “Menjadi keutamaan kepada kami untuk melindungi kepentingan dan keyakinan pelanggan, pekerja serta orang awam termasuk waktu fenomena tidak dijangka ini. Untuk memastikan keadaan tenang, kami telah menghubungi pemilik motosikal yang berada dengan kami dan menyatakan bahawa motosikal mereka sedang diuruskan.”

    Next Bike Sdn Bhd akan memberikan kemas kini berkenaan perkara ini dari masa ke masa dan orang ramai yang memerlukan sebarang maklumat boleh menhantar email ke [email protected].

    GALERI: Pusat pameran Ducati Petaling Jaya

     
     
  • Kia Seltos muncul di laman web Malaysia – dua varian, digerakkan enjin 1.6L berkuasa 123 PS, tork 151 Nm

    Kia Seltos muncul di laman web Malaysia – dua varian, digerakkan enjin 1.6L berkuasa 123 PS, tork 151 Nm

    Pada bulan Februari lalu, SUV Seltos telah dipertontonkan kepada pengedar Kia dalam satu majlis sambutan Tahun Baru Cina. Kini, pelancaran dijangka semakin hampir apabila ia sudah pun disiarkan dalam laman web rasmi Kia Malaysia.

    SUV segmen B ini akan diperkenalkan dalam dua varian iaitu EX yang asas dan GT Line sebagai varian yang lebih tinggi dan mempunyai penampilan yang lebih sporty. Antara yang berbeza bagi dua varian ini adalah bampar, rim dan kemasan tempat duduk.

    Hanya satu versi enjin yang dinyatakan dalam laman web Kia Malaysia, iaitu unit Gamma 1.6 MPI, dan ia dipadankan bersama kotak gear automatik enam kelajuan untuk menghasilkan kuasa 123 PS dan 151 Nm tork. Seperti kebiasaan, ia dijangka menggunakan pacuan dua roda hadapan.

    Perincian kelengkapan lain juga masih belum diketahui tetapi kalau melihat kepada gambar yang disiar dalam laman web Kia Malaysia, ia mempunyai rim 17 inci, lampu LED, dua muncung ekzos di belakang, bumbung panoramik dan tempat duduk kulit tiruan bagi varian GT Line.

    SUV yang diletakkan di bawah Sportage ini juga sepatutnya dilengkapi dengan skrin infotainmen lapan inci, panel instrumen TFT LCD tujuh inci, butang kawalan di stereng, pengecas tanpa wayar, HUD dan tempat duduk yang boleh dilipat 60:40.

     
     
  • Volkswagen Nivus 2020 ditunjuk dalam gambar terbaru

    Volkswagen Nivus 2020 ditunjuk dalam gambar terbaru

    Volkswagen Nivus sekali lagi ditunjuk dalam satu penampilan terbaru oleh cawangan operasi syarikat itu di Brazil, memperlihatkan dengan lebih jelas rekaan crossover dalam gaya coupe ini – walaupun sepenuhnya dibalut oleh pelekat samaran.

    Model ini dibangunkan sepenuhnya di Brazil, dengan pengeluaran awalnya ditumpukan untuk bermula di negara Amerika Selatan terlebih dahulu. Nivus bagaimanapun turut dirancang untuk memasuki pasaran Eropah pada 2021.

    Gambar rasmi terbaru ini nampak sangat mirip dengan versi yang didedahkan ketika sidang media tahunan Volkswagen sebelum ini, tetapi dengan rekaan bampar yang lebih sedikit berbeza; mungkin perbezaan bagi tingkat tawaran, termasuk rim 17-inci yang dilihat ini.

    Penampilannya didorong oleh imej gril unik tiga jalur yang digunakan, dengan lampu depan yang tirus berbanding model T-Cross, serta rekaan segitiga pada bukaan udara di bawah. Rekaan garis bumbung Nivus juga kelihatan familiar, mengambil sedikit mirip dari Porsche Macan.

    Volkswagen Nivus 2020 ditunjuk dalam gambar terbaru

    Ruang dalaman pula sama seperti yang dijangka sebelum ini; ia hampir sama dengan rekaan kabin pada T-Cross. Antara ciri utamanya ialah sisten infotainmen VW Play, bersekali dengan bantuan parkir, Start/Stop automatik dan pintu ruang barangan kuasa elektrik.

    Nivus menggunakan platform MQB A0 oleh Volkswagen, yang pernah juga digunakan pada model lain termasuk T-Cross dan Polo generasi ke-enam; berkongsi jarak antara roda yang sama pada ukuran 2.56 meter, tetapi lebih panjang dengan 4.26 meter.

    Berbanding T-Cross, Nivus ialah 60 mm lebih panjang, tetapi T-Cross mempunyai jarak antara roda yang lebih pada 2.65 meter. Ini membolehkan Nivus menawarkan kapasiti ruang barangan yang lebih besar iaitu 415 liter berbanding 373 liter pada T-Cross.

    Bagi enjin, hanya ada unit 1.0 liter turbocas tiga-silinder TSI yang menghasilkan 128 hp dan 200 Nm tork. Kuasa dihantar ke roda depan – tiada sistem 4Motion akan ditawarkan – melalui transmisi enam-kelajuan automatik. Manual enam-kelajuan? Mungkin ada.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025