Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kerajaan Persekutuan luluskan RM5.3j bagi pembinaan susur keluar Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai

    Kerajaan Persekutuan luluskan RM5.3j bagi pembinaan susur keluar Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai

    Kerajaan Persekutuan telah meluluskan bajet sebanyak RM5.3 juta bagi pembinaan susur keluar Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai di Fasa 1B membabitkan laluan Pasir Hor-Kadok.

    Menurut Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kelantan (MTPNK) Datuk Seri Mustapa Mohamed, ia bagi membolehkan laluan fasa pertama sepanjang 10.5 kilometer yang telah siap tahun lepas itu dapat digunakan orang awam, laporan Bernama.

    “Bagi memastikan ia tidak menjadi projek gajah putih, kita telah memohon peruntukan untuk pembinaan satu susur keluar masuk di laluan itu agar dapat digunakan orang awam. Syukur kerajaan telah meluluskannya dan ia bakal disiapkan dalam tempoh enam bulan dari sekarang,” katanya kepada pemberita semalam.

     
     
  • Jelajah “Art of Performance” Jaguar hadir ke Malaysia – 16 hingga 18 Mac di Pusat Konvensyen Setia City

    Jaguar Malaysia mengumumkan bahawa siri jelajah “Art of Performance” bakal mendarat ke Malaysia bulan ini. Akan dilangsungkan dari 16 hingga 18 Mac di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), acara yang mula diperkenalkan buat pertama kali di Eropah pada 2016 berkenaan akan menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi dalam jelajahnya di Asia Pasifik.

    Selain dari dapat melihat dengan lebih dekat, pengunjung juga bakal diberi peluang untuk memandu uji model-model seperti Jaguar XE, XF dan F-Pace pada litar dinamik yang direka khas, dan juga litar Smart Cones yang dibina bagi menyerlahkan ketangkasan pengendalian model-model tersebut serta menguji tahap kemahiran memandu peserta-peserta yang mengambil bahagian.

    Bagi litar Smart Cones, ia dihasilkan menerusi inspirasi dari permainan ujian ketangkasan yang dikenali sebagai “Batak” dan menggunakan sistem teknologi tanpa wayar bagi menghasilkan litar sama ada yang telah ditetapkan atau secara rambang dari kon-kon yang menyala, bagi memberitahu pemandu dimana sasaran mereka seterusnya dengan pada masa yang singkat. Setiap pemandu akan menerima markah yang mengambil kira model kereta dan keadaan pemanduan.

    Orang ramai yang menyertai acara ini juga bakal menjadi antara orang pertama di Malaysia untuk memandu model baharu Jaguar F-Pace. SUV yang telah memenangi anugerah World Car of the Year tersebut dijana enjin Ingenium turbo petrol baharu 2.0 liter berkuasa 250 PS/365 Nm – membolehkan ia memecut dari 0-100 km/j dalam masa 6.8 saat.

    F-Pace belum lagi dijual secara rasmi di Malaysia dan ia bakal dilancarkan pada pasaran tempatan April ini, manakala tempahannya telah mula dibuka Disember lalu. Acara ini dibuka kepada orang awam, namun anda perlu mendaftar terlebih dahulu pada PAUTAN INI.

     
     
  • Proton Savvy18 – perincian lampu depan dan belakang

    Proton Savvy18 – perincian lampu depan dan belakang

    Proton Savvy agaknya memang menjadi satu model yang sangat dekat di hati Saharudin Busri yang bertugas di Pusat Rekaan MIMOS. Kalau ada yang belum tahu, beliau sebelum ini bertanggung jawab selaku ketua pereka bagi menghasilkan rekaan bagi model berkenaan 15 tahun dulu.

    Dan, kalau anda masih ingat, sebelum ini kami juga pernah melaporkan tentang satu rekaan konsep digital bagi Proton Savvy18 yang pernah beliau hasilkan tahun lalu. Terbaru, ada pula kesinambungan daripada rekaan berkenaan, dalam versi render terkini.

    Bagaimanapun, daripada empat gambar teaser yang ditunjukkan ini, ia nampak seperti ingin memberi penekanan terhadap rekaan lampu depan dan belakang yang diterapkan, dengan lebih terperinci lagi. Memang turut kelihatan bayangan badan penuh Proton Savvy18 itu, tapi ia disengaja diselindungkan dan ditampilkan hanya sebagai satu silhoutte – yang agak jelas juga.

    Lampu bahagian depan ditampilkan sangat nipis dan tirus menggunakan lampu LED. Bagaimanapun ini mungkin berfungsi sebagai elemen dekorasi (atau sebagai DRL) sahaja kerana dibahagian bawah bamparnya terdapat lagi dua lampu yang lebih besar ditempatkan. Ini kelihatan seperti lampu utamanya, dengan ciri lampu tinggi-rendah.

    Proton Savvy18 – perincian lampu depan dan belakang

    Lampu belakang pula ditampilkan dengan grafik jalur yang nampak ringkas, tetapi memberikan visual seolah-olah ia berada jauh ke dalam, dalam dua rekaan bulatan dengan lampu berada ditengah-tengahnya.

    Terdapat juga satu lagi elemen melintang pada bahagian ini, yang “memegang” kedua-dua bulatan yang ada. Lekuk bahagian berkenaan juga seperti inging mengekalkan elemen asal yang ada pada Savvy terdahulu; takkan dah lupa rekaan atau garisan ala ekor kura-kura yang unik itu? Jadi, macam mana dengan perincian rekaan lampu Savvy18 ini, boleh tahan cantik atau sebaliknya?

     
     
  • Nissan NV350 Urvan facelift diperkenalkan di Malaysia

    Nissan NV350 Urvan facelift diperkenalkan di Malaysia

    Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah melancarkan Nissan NV350 Urvan facelift di Malaysia, MPV bersaiz besar berkapasiti 14-tempat duduk – yang diperkenalkan di pasaran tempatan pada Oktober 2014 – kini telah ditampilkan dengan beberapa perubahan minor.

    Bagi bahagian luarannya, peningkatan yang dilakukan termasuklah menampilkan gril hadapan signitur V-motion baharu dan bampar hadapan serta lampu utama yang digayakan semula. Manakala di dalamnya pula, Urvan menerima roda stereng baharu, sekaligus memberikan sentuhan yang lebih moden untuk bahagian kabin. Selain itu, bas mikro yang menerima pengiktirafan EEV ini masih meneruskan penjana kuasa dan mekanikal yang sama iaitu enjin YD25DDTi 2.5 liter turbodiesel yang dipadankan dengan transmisi manual lima-kelajuan.

    Ciri-ciri lain termasuklah Pengehad Kelajuan (ECE R89: Peranti Pengehad Kelajuan) dipasang untuk memastikan had kelajuan 100 km/j untuk kenderaan penumpang lebih 12-tempat duduk di Malaysia dipatuhi, serta Penutup Bahan Api dengan Kunci (ECE R34: Menghalang Risiko Kebakaran) turut dipasang.

    Sistem Bantuan Brek (BA), Sistem Brek Anti-Kunci (ABS), Lampu Berhenti pada kedudukan tinggi dan Kunci Keselamatan Kanak-kanak menjadi ciri keselamatan standard. Manakala Zone Body Construction NISSAN memaksimumkan perlindungan para penumpang jika berlaku kemalangan.

    Diimport terus dari Jepun seperti mana sebelum ini, Nissan NV350 Urvan facelift kini ditawarkan pada harga RM125,000 (atas jalan, tanpa insurans) dan didatangkan dengan waranti lima-tahun atau 150,000 km untuk pendaftaran individu dan syarikat persendirian.

     
     
  • Yamaha XMax 250 – harga untuk Malaysia RM22.5k

    Yamaha XMax 250 – harga untuk Malaysia RM22.5k

    Selepas dipertontonkan buat pertama kalinya di Malaysia semasa pelancaran model MT-09 yang diperbaharui awal tahun lalu, Hong Leong Yamaha Motor Sdn Bhd kini telah mengumumkan harga untuk skuter XMax 250 untuk pasaran Malaysia, iaitu RM22,498.50 termasuk GST.

    XMax 250 dikuasakan oleh enjin satu silinder empat strok SOHC suntikan bahan api dengan teknologi Blue Core, dan kuasa sebanyak 22.5 hp pada 7,000 rpm dan 24.3 Nm tork pada 5,500 rpm mampu disampaikan ke tayar belakang melalui kotak gear automatik.

    Sebagai sebuah skuter, XMax 250 menawarkan pelbagai kemudahan dengan antaranya ruang simpanan bawah tempat duduk yang boleh menempatkan dua helmet fullface, penghadang angin hadapan tinggi boleh laras, dua ruang simpanan kecil di bawah bahagian pemegang (satu daripadanya mempunyai pengecas 12V) dan sistem tanpa kunci berserta penggera.

    Sistem keselamatan skuter ini juga boleh dianggap lengkap dengan brek cakera hadapan dan belakangnya mempunyai sistem ABS, dan sistem kawalan cengkaman (TC) yang boleh ditutup. Lampu LED di depan dan belakang memberikan penyalaan yang lebih terang dan rim 15 incinya dibalut dengan tayar tanpa tiub (tubeless).

    Untuk pasaran Malaysia, XMax 250 ditawarkan dalam dua warna istimewa iaitu Metallic White dan Rusty Bronze. Harga untuk kedua-dua warna ini masih sama, dan XMax 250 dijangka boleh berada di semua pusat pameran motosikal berkuasa tinggi Yamaha menjelang akhir bulan ini.

    GALERI: Yamaha XMax 250 yang dipertonton di Malaysia


     
     
  • VW Group bangunkan platform EV premium serba baharu – digunakan oleh Audi, Bentley dan Porsche

    VW Group bangunkan platform EV premium serba baharu – digunakan oleh Audi, Bentley dan Porsche

    Volkswagen dilaporkan sedang membangunkan platform kenderaan elektrik premium baharu yang bakal digunakan oleh Audi, Bentley dan Porsche. Menurut Motor Trend, ia akan mempunyai tiga versi binaan (dengan kod nama Premium Platform Electric atau PPE), Audi telah mengetuai bahagian kejuruteraan kedua, manakala Porsche pula akan membangunkan yang ketiga.

    “Ini adalah pasukan bersama, membawa pengetahuan kejuruteraan terbaik antara kedua-dua syarikat untuk mewujudkannya, “ujar ketua pembangunan teknikal Audi Peter Mertens. Platform baharu ini juga akan menyokong semua model elektrik bateri masa depan dari tiga jenama tersebut menjelang 2022.

    Buat masa ini, Porsche Mission E yang menggunakan binaan J1 yang dibangunkan secara dalaman oleh Porsche. Audi E-tron Quattrom pula menggunakan versi modifikasi dari platform MLM yang digunakan oleh model dari B9 Audi A4 hingga Bentley Bentayga. Walau bagaimana pun, Mertens telah mengesahkan kedua-dua J1 dan MLB akan digantikan oleh platform EV premium serba baharu ini.

    VW Group bangunkan platform EV premium serba baharu – digunakan oleh Audi, Bentley dan Porsche

    Laporan ini turut menambah, keputusan untuk membangunkan PPE selepas mengambil pengajaran dari pembangunan MEB (Modular Electric Platform, yang direka spesifik untuk bateri EV) selama empat tahun, di mana ia akan dihgunakan oleh lebih 15 produk arus perdana VW Group menjelang 2025.

    Aplikasi PPE akan dioptimumkan agar sesuai dengan kenderaan mewah yang lebih besar, berprestasi tinggi dan mewah, terutamanya dari aspek penjana kuasa/suspensi serta sistem voltan dan pek bateri. Berita ini sangat berbeza dengan rancangan Audi untuk pergi dengan satu seni bina tunggal (masih berdasarkan platform MLB generasi seterusnya) untuk menghimpunkan aplikasi yang berbeza. Tetapi, kita bolehlah lupakannya sekarang.

    “Kita telah mengubah arah haluan. Memberi lebih banyak potensi jika mempunyai platform untuk mencuba segalanya. Ia sangat mahal, sangat berat dan pengkadarannya pula tidak sesuai dengan jenama mewah,” jelas Merterns.

     
     
  • Kawasaki sumbangkan sebuah Z650 kepada UniMAP

    Kawasaki sumbangkan sebuah Z650 kepada UniMAP

    Kawasaki Motors Malaysia (KMSB) dalam satu usaha memberikan sokongan kepada universiti tempatan telah menyumbangkan sebuah motosikal Z650 kepada Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), dan majlis penyerahannya dilaksanakan pengurus besar dan pengarah KMSB, Datuk Jeffrey Lim kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi UniMAP), Prof Dr. Uda Hashim.

    Motosikal ini nanti akan digunakan sebagai alat bantu mengajar bagi tujuan pengajaran dan pembelajaran di universiti tersebut, terutamanya bahagian Unit Penyelidikan Teknologi Sukan Permotoran UniMAP (MoTECH).

    Kawasaki sumbangkan sebuah Z650 kepada UniMAP

    Selain daripada itu, motosikal tersebut juga akan digunakan untuk siri kursus pemanduan yang akan dianjurkan oleh MoTECH untuk pelbagai lapisan masyarakat dalam usaha untuk menambahkan kecekapan pemanduan dan penunggangan serta meningkatkan lagi kesedaran keselamatan di jalan raya. Kursus itu juga mendapat sokongan daripada JPJ, JKJR dan KMSB sendiri.

    Selain sumbangan ini, KMSB juga ada menganjurkan beberapa kempen keselamatan jalan raya sebagai sebahagian daripada aktiviti khidmat tanggung jawab sosial syarikat. Antaranya adalah kempen tunggangan selamat untuk penunggan Kawasaki pada Disember lalu dan kempen keselamatan jalan raya semasa Tahun Baru Cina yang lalu.

     
     
  • Toyota dan Mazda tubuhkan syarikat usaha sama bagi kilang baharu di Alabama – produksi bermula 2021

    Toyota dan Mazda tubuhkan syarikat usaha sama bagi kilang baharu di Alabama – produksi bermula 2021

    Toyota dan Mazda telah menubuhkan sebuah syarikat kerjaya – Mazda Toyota Manufacturing, USA (MTMUS) – yang bakal memproduksikan kenderaan di Huntsville, Alabama bermula tahun 2021. Langkah ini adalah sebahagian daripada pakatan perniagaan dan kapital antara kedua-kedua pengeluar kereta terbabit, yang ditandatangani pada Ogos tahun lalu.

    Kilang yang bakal dibina ini dijangka memiliki kapasiti untuk menghasilkan 300,000 unit dengan separuh daripadanya diperuntukan untuk model crossover Mazda, yang akan diperkenalkan buat pasaran Amerika Utara. Tiada perincian didedahkan mengenai model terbabit, namun buat masa ini barisan crossover/SUV Mazda di US termasuklah CX-3, CX-5 dan CX-9, dengan CX-5 janaan enjin diesel yang bakal tiba pada masa akan datang. Kapasiti selebihnya (150,000 units) akan diperuntukan untuk Toyota Corolla.

    Dengan jumlah perlaburan bernilai US$1.6 bilion (lebih kurang RM6.2 bilion) – perkongsian sama rata antara kedua-dua pengeluar kereta itu – pembinaan skala penuh bagi plan berkenaan dijangka bermula pada 2019. Apabila siap kelak, fasiliti terbabit dijangka mampu menyediakan sehingga 4,000 peluang pekerjaan.

    “Kami berharap untuk memastikan MTMUS sebagai kilang yang bermakna di hati masyarakat setempat. Dengan kombinasi terbaik bagi teknologi dan budaya korporat kami, Mazda dan Toyota bukan sahaja akan menghasilkan kereta berkualiti tinggi, malah akan mencipta kilang dengan perasaan bangga oleh para pekerjanya dan menyumbang ke arah pembangunan untuk ekonomi setempat dan industri automotif,” ujar Masashi Aihara, pegawai eksekutif Mazda dan presiden MTMUS.

    “Dengan adanya kilang baharu ini, yang merupakan fasiliti pembuatan Toyota yang ke-11 di USA, ia bukan hanya mewakili komitmen kami yang berterusan di negara ini, bahkan menjadi faktor utama untuk kami meningkatkan daya saing dalam pembuatan di USA,” kata Hironori Kagohashi, pengurus besar eksekutif Toyota dan naib timbalan eksekutif MTMUS pula.

     
     
  • Benelli 302R Tourer 2018 didedah di China – RM22k

    Benelli 302R Tourer 2018 didedah di China – RM22k

    Walaupun sudah mempunyai model jelajah TRK 502, Benelli memikirkan mungkin ada pengguna yang mahukan motosikal jenis jelajah, tapi dengan enjin yang lebih kecil. Oleh itu, mereka telah memperkenalkan BJ300GS-A, yang menggunakan asas daripada model 302R di China.

    Motosikal jenis jelajah ini menggunakan casis sama seperti 302R, tetapi ditambah dengan fairing hadapan yang lebih besar dan penghadang angin lebih tinggi. Turut ditunjuk pada motosikal ini adalah beg barangan tepi dan juga kotak simpanan atas.

    Benelli BJ300GS-A dijual pada harga 35,800 yuan (RM22,077), dan ia turut didatangkan bersama lampu utama dan lampu penunjuk arah jenis projector. Di bahagian tepi pula, terdapat besi pelindung enjin dan pemegangnya dijadikan lebih tinggi supaya mudah dicapai oleh penunggang.

    Untuk menggerakkannya, enjin sama seperti 302R digunakan, iaitu unit dua silinder selari 300 cc, DOHC, lapan injap dan berpenyejukan cecair. Kuasa yang mampu dihasilkan motosikal ini adalah 37.5 hp pada 10,000 rpm manakala tork pula berada di tahap 27.4 Nm pada 9,000 rpm. Ia dipadankan dengan kotak gear enam kelajuan.

    Kelengkapan lain yang ada pada 302R versi Tourer ini adalah fork USD 41 mm dan brek cakera dengan angkup empat piston di hadapan, manakala di belakang pula terdapat monoshock dengan brek cakera angkup dua piston di belakang. Menurut Benelli, berat yang dicatat oleh 302R Tourer ini adalah 216 kg.

     
     
  • Mazda i-ACTIV AWD – sasar jadi sistem seumpamanya yang memudahkan pemandu dan paling jimat minyak

    Mazda i-ACTIV AWD – sasar jadi sistem seumpamanya yang memudahkan pemandu dan paling jimat minyak

    Suhu di Kenbuchi Proving Ground di Hokkaido ialah -2 darjah Celsius. Salji turun, dan ada waktunya datang dengan angin kencang. Lebih penting, permukaan jalan atau laluan yang ada semuanya diselaputi oleh ais keras yang sangat licin. Berjalan kaki cara biasa sahaja boleh membuatkan anda tergelincir dan terlentang di atas tanah, kalau tak berhati-hati.

    Itu merupakan suasana di litar ujian musim sejuk yang disewa oleh Mazda. Setiap tahun, bagi tempoh kira-kira dua bulan ketika musim dingin, kawasan akan ditutup dan pasukan kecil jurutera serta pemandu uji dari Mazda akan berkampung di kawasan pergunungan itu.

    Tujuannya adalah untuk mereka menjalankan ujian terhadap teknologi kenderaan yang sedang dibangunkan. Selain daripada tempoh dua bulan berkenaan, laluan di kawasan itu akan dibuka untuk kegunaan awam. Apa yang mereka uji di sana? Banyak perkara sebenarnya.

    Mazda i-ACTIV AWD – sasar jadi sistem seumpamanya yang memudahkan pemandu dan paling jimat minyak

    Sebagai contoh, kesan salji atau kesejukan ekstrim terhadap komponen-komponen tertentu, tahap prestasi radar, laser serta kamera bagi sistem keselamatan, pembangunan dan pemantauan reaksi bagi ciri-ciri seperti ABS, kawalan cengkaman (TRC), kawalan kestabilan kenderaan (DSC), GVC serta dijadikan lapangan untuk melatih pemandu profesional.

    Dalam situasi permukaan jalan di atas ais beku yang licin serta ketika berhadapan dengan cuaca ekstrim seperti inilah pentingnya untuk sesebuah kenderaan memiliki ciri pacuan semua roda (AWD). Namun, ciri berkenaan bukanlah sama seperti ciri 4WD yang biasanya melengkapi jenis kenderaan seperti trak pikap.

    Bagi kenderaan penumpang, ia lebih kepada memenuhi keperluan pemanduan di atas permukaan jalan yang pelbagai, dan bukannya untuk kegunaan off-road yang lebih lasak. Bagi Mazda, syarikat itu membangunkan ciri yang dikenali sebagai i-ACTIV AWD, dengan matlamat untuk memperoleh sebuah sistem AWD yang ideal yang dapat memberikan prestasi yang baik dan dalam masa yang sama mampu memberikan kadar penggunaan minyak yang cekap.

    Sebagai pemandu biasa, agak sukar untuk menentukan sama ada permukaan jalan hanya berdasarkan penglihatan, apatah lagi untuk menukar antara pacuan 2WD kepada 4WD secara manual. Tambahan pula dalam konteks musim dingin, di mana permukaan jalan yang nampak kering mungkin saja sebenarnya merupakan permukaan beku. Ia amat sukar ditentukan dengan pandangan mata kasar, apatah lagi untuk memberikan tindak balas segera.

    Oleh sebab itu, ciri i-ACTIV AWD ini bertujuan untuk “menampung” kekurangan yang ada pada pemandu dalam hal ini. Bagaimana ia dicapai? Bagi Mazda, terdapat tiga fasa bagi sistem ini berfungsi; “Recognition”, “Jugdement” dan “Operation”.

    Bagi aspek pengesanan atau “Recognition”, terdapat 27 isyarat atau sensor yang akan memberikan maklum balas kepada sistem untuk ia menilai input yang ada. Antara isyarat yang dimaksudkan ialah tork serta sudut stereng, operasi pengilap cermin depan, tekanan cecair brek, kelajuan berasingan keempat-empat tayar dan banyak lagi.

    Mazda i-ACTIV AWD – sasar jadi sistem seumpamanya yang memudahkan pemandu dan paling jimat minyak

    Daripada isyarat serta sensor berkenaan, sistem akan mengesan cuaca hujan, tahap kelicinan permukaan, input semasa dari pemandu serta kadar gelinciran (slippage)/cengkapan pada tayar dan lain-lain.

    Fasa penilaian atau “Judgement” sistem ini kemudiannya akan mengelakkan daripada berlakunya gelinciran pada tayar hadapan, mengagihkan tork ke bahagian tayar belakang dengan segera bagi membantu dan memudahkan pemandu mengawal kenderaan. Menurut Mazda, sistem ini membuat penilaian pada kadar yang sangat pantas iaitu sebanyak 200 kali sesaat.

    Mazda i-ACTIV AWD akan mengagihkan tork minimum ke roda belakang dalam corak boleh ubah yang berterusan, bergantung kepada permukaan jalan, operasi oleh pemandu dan keadaan semasa kenderaan dalam kadar 200 kali sesaat.

    Mazda i-ACTIV AWD – sasar jadi sistem seumpamanya yang memudahkan pemandu dan paling jimat minyak

    Secara ringkasnya, i-ACTIV AWD akan membekalkan tork yang optimum seperti yang diperlukan oleh roda belakang dalam satu-satu situasi dan bukannya dalam corak kadar tork berlebihan seperti yang diberikan oleh ciri AWD biasa.

    Ini bukanlah satu ciri yang baru dibangunkan. Ia telah mula ditawarkan pada model seperti Mazda CX-5 generasi pertama lagi, dan serta digunakan pula pada model CX-5 terbaru. Dalam kesempatan ringkas memandu uji dua model CX-5 berkenaan – satu dengan ciri 2WD dan satu lagi AWD – di atas permukaan salji, unit dengan ciri i-ACTIV AWD memberikan lebih keyakinan untuk mengendalikan kenderaan. Input dari pedal minyak sentiasa memberikan ruang dan kadar tork yang memadai untuk kenderaan bergerak ke depan. Ini memudahkan anggaran pemanduan.

    Mazda i-ACTIV AWD – sasar jadi sistem seumpamanya yang memudahkan pemandu dan paling jimat minyak

    Laluan mendaki juga lebih mudah untuk dihadapi, dengan kadar gelinciran roda hadapan yang sangat minimum serta kawalan stereng yang juga boleh dijangka dengan agak mudah. Dengan unit 2WD, setiap kali ingin memulakan pemanduan, tayar hadapannya akan tergelincir dengan ketara (dan kedengaran agak kuat dari dalam kabin) dan hanya boleh berharap agak kenderaan tidak mengundur ke belakang dan menuruni bukit. Ini dalam keadaan kedua-dua unit berkenaan telah dilengkapi dengan tayar musim sejuk.

    Bagaimana kita di Malaysia dapat memanfaatkan ciri ini? i-ACTIV AWD tidak hanya berkesan untuk permukaan salji beku sahaja. Peralihan cuaca yang mendadak seperti cuaca hujan juga akan membuatkan sistem ini sangat berguna. Contoh lain pula adalah seperti situasi air bertakung diperkukaan jalan. Dalam keadaan-keadaan seperti ini, i-ACTIV AWD akan berfungsi seperti sepatutnya untuk membantu dan memudahkan pemandu mengawal kenderaan – tanpa mereka sedari.

    Mazda CX-5 di Hokkaido, Jepun

     
     
  • VIDEO: Gazoo Racing Supra Concept beraksi

    Toyota Supra generasi kelima secara rasminya telah pun muncul di Geneva Motor Show 2018. Namun unit yang muncul berkenaan bukan dari versi produksi jalanan, sebaliknya merupakan model yang diubahsuai oleh Toyota Gazoo Racing sebagai sebuah jentera perlumbaan sebenar. Dengan pendedahan ini juga, pasti ramai yang tidak sabar untuk melihat Supra berkenaan beraksi bukan?

    Serentak dengan pengenalan model ini, Toyota sebenarnya telah menyiarkan sekali video aksi Supra berkenaan, namun bukan dalam visual sebenar, sebaliknya ia dibuat dalam bentuk animasi 3D. Dalam video tersebut, tiga buah Supra membuat penampilan, masing-masing berwarna hitam, putih dan merah, kemudian bersatu menjadi sebuah model dengan livery Gazoo Racing seperti yang ditampilkan di Geneva.

    Supra tersebut juga dilihat beraksi bukan sahaja dilitar, malah turut tampil di jalan bandar dan sudah tentu di touge (jalan bukit/berliku). Toyota juga sebelum ini mengumumkan jentera ini akan dijana enjin enam-slinder sebaris turbo dengan konfigurasi enjin hadapan pacuan belakang (FR) – bunyi enjin enam-silinder tersebut jelas kedengaran, bersama aksi drift yang dipamerkan oleh barisan Supra berkenaan.

    Selain maklumat ini, tiada lagi perincian teknikal lain didedahkan Toyota setakat ini. Namun ketua jurutera Tetsuya Tada (yang juga bertanggungjawab dalam projek Toyota 86 sebelum ini) mengesahkan Supra generasi baharu ini direka dengan titik graviti lebih rendah dari 86, dan difokuskan lebih terhadap pengendalian, berbeza dari Supra JZA80 dengan enjin 2JZ-GTE yang dilihat sebagai pemusnah supercar di laluan lurus.

    Tada juga menjelaskan bahawa Supra generasi baharu ini tidak akan hadir dengan kotak gear manual – dijangka mungkin akan diberikan kotak gear automatik lapan-kelajuan dari ZF (seperti kembarnyaBMW Z4) atau kotak gear automatik klac berkembar.

    Bagi mereka yang mempunyai konsol permainan video PS4 dengan simulasi pemanduan Gran Turismo Sport, Gazoo Racing Supra tersebut akan mula boleh dipandu di alam maya bermula April ini – sebab itulah video yang dipaparkan di atas dibuat dalam bentuk animasi.

     
     
  • Lebuhraya tanpa tol perlu ambil masa untuk dilaksana

    Lebuhraya tanpa tol perlu ambil masa untuk dilaksana

    Isu tol memang tak pernah reda, ada saja perkara yanng dibangkitkan termasuk harapan rakyat agar kerajaan menghapuskan lebih banyak tol sedia ada serta mengharapkan lebuhraya baharu yang sedang dibina seperti Lebuhraya Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) dan Lebuhraya Damansara-Shah Alam (DASH) , tidak akan dikenakan bayaran tol.

    Namun, rasanya perkara itu sukar untuk dilaksanakan dalam masa terdekat, iaitu lebuhraya tanpa tol. Hanya Lebuhraya Pan Borneo di Sabah dan Sarawak serta Lebuhraya Utama Tengah atau Central Spine Road (CSR) yang melalui Pahang ke Kelantan sahaja dirancangkan bakal dikecualikan tol di Malaysia, buat masa ini.

    Justeru, buat masa ini kerajaan masih menggunakan dasar menggalakkan penyertaan swasta dalam pembinaan lebuh raya bagi membolehkan dana yang ada disalurkan kepada keperluan infrastruktur lain yang lebih mendesak, laporan Berita Harian.

    Menurut Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, selain itu, terma perjanjian antara kerajaan dan syarikat konsesi juga diberi banyak penambahbaikan bagi memastikan keperluan rakyat dipenuhi.

    Lebuhraya tanpa tol perlu ambil masa untuk dilaksana

    Katanya lagi, langkah itu diambil memandangkan kos pembinaan lebuh raya yang berkualiti dan moden adalah tinggi.

    “Sebagai kerajaan bertanggungjawab, dana yang ada disalurkan kepada keperluan lain yang lebih mendesak seperti pembinaan hospital, pendidikan serta kebajikan rakyat. Walaupun dasar penswastaan sejak 1988 diteruskan, kerajaan sudah banyak melaksanakan penambahbaikan terhadap terma dalam perjanjian konsesi bagi memastikan keperluan rakyat dapat disediakan.

    “Pada masa sama, ia juga memastikan kepentingan kerajaan dapat dipelihara dan berlaku adil kepada syarikat konsesi berbanding terma perjanjian lama di bawah legasi kepimpinan terdahulu. Contoh terbaik adalah kewujudan klausa perkongsian hasil tol dengan pihak kerajaan apabila melebihi jumlah unjuran trafik, klausa keluar yang memperuntukkan jika pihak konsesi mencapai Kadar Pulangan Dalaman ( IRR), perjanjian konsesi boleh ditamatkan lebih awal,” ujarnya bagi menjawab menjawab soalan Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) mengenai kos pembinaan setiap lebuh raya di Dewan Rakyat, semalam.

    Katanya lagi, sehingga Disember 2017, terdapat 31 lebuhraya bertol di negara ini. Di mana kos operasi dan penyelenggaraan tahunan berdasarkan kos semasa pada 2016 ialah RM6.82 juta sehingga RM1.5 bilion bagi setiap lebuhraya yang perlu ditanggung oleh pihak konsesi.

     
     
  • Harley-Davidson Petaling Jaya dibuka secara rasmi

    Harley-Davidson Petaling Jaya dibuka secara rasmi

    Selepas mengambil alih pengedaran motosikal jenama Harley-Davidson di Malaysia, Didi Resources secara rasminya telah membuka pusat pameran berpusat mereka yang pertama iaitu di The Gasket Alley, Petaling Jaya. Pusat 3S ini dikendalikan oleh Goh Brothers Motorcycles.

    Majlis perasmian ini disempurnakan oleh pengaran urusan pasaran membangun Harley-Davidson, Johan Kleinstruber, bersama pengerusi Didi Resources Rewi Hamid Bugo dan pengerusi Goh Brothers Motorcycles, Goh Kian San. Pusat 3S ini mempunyai keluasan 1,858 kaki persegi, dan menawarkan pelbagai khidmat untuk pelanggan termasuk pameran barisan model baru jenama ini.

    Turut boleh dinikmati di Harley-Davidson Petaling Jaya adalah khidmat servis motosikal, yang terdiri daripada enam ruang servis, serta pusat mengecat dan baik pulih badan. Ia dikendalikan oleh pekerja yang dilatih di Universiti Harley-Davidson.

    Harley-Davidson Petaling Jaya dibuka secara rasmi

    Pelaburan sebanyak RM3 juta dibuat untuk membina Harley-Davidson Petaling Jaya, dan syarikat pengedar baru ini juga bercadang membuka dua lagi pusat Harley-Davidson dalam tahun ini, iaitu di Pulau Pinang dan Melaka. Dengan pembukaan semua pusat ini, pemilik dan bakal pemilik boleh menikmati servis lengkap untuk jenama Harley-Davidson.

    Bersempena dengan pembukaan Harley-Davidson Petaling Jaya ini juga, satu kumpulan pemilik Harley Owners Group (HOG) Petaling Jaya Chapter Malaysia telah ditubuhkan dan akan diuruskan bersama oleh Harley-Davidson Malaysia. Bagi pemilik sedia ada yang motosikal mereka masih dalam jaminan juga boleh meneruskan servis di pusat ini. Tiada sebarang caj pengaktifan dan pendaftaran yang dikenakan.

     
     
  • Honda M’sia anjur kempen ‘The Power of 3 Rewards’ sehingga 31 Mac – ganjaran sehingga RM9,000

    Honda M’sia anjur kempen ‘The Power of 3 Rewards’ sehingga 31 Mac – ganjaran sehingga RM9,000

    Honda Malaysia sedang menawarkan promosi menarik untuk model Honda iaitu sebahagian daripada kempen ‘The Power of 3 Rewards’, yang bermula sekarang sehingga hujung Mac 2018.

    Dengan kempen ini, para pelanggan berpeluang menerima pakej ganjaran sehingga RM9,000 sama ada menerusi bonus Honda, tunai dan faedah lain. Bukan itu sahaja, anda juga berpeluang menerima hadiah eksklusif bagi setiap pembelian model Honda, sementara stok masa ada.

    Bagi trio sedan Honda – Accord, Civic dan City – semuanya termasuk dalam kempen ini, dengan model segmen-D ditawarkan dengan pakej ganjaran sebanyak RM9,000 untuk model tahun 2017 (RM3,000 untuk model tahun 2018).

    Klik untuk besarkan

    Bagi yang berhajat membeli City, sama ada atau tanpa penjana kuasa hibrid, turut berpeluang menikmati pakej ganjaran bernilai RM6,000 (bagi model tahun 2017) atau RM2,000 (model 2018). Untuk Civic, RM5,000 bagi model 2017 dan RM1,000 (model 2018).

    Untuk barisan SUV, CR-V dan BR-V kini ditawarkan dengan pakej ganjaran RM7,000 (model 2017), namun bagi tujuh-tempat duduk menerima pakej yang lebih banyak untuk model 2018 iaitu RM3,000. Sementara bagi yang berminat membeli HR-V, sama ada menerima RM5,000 (model 2017) atau RM2,000 (model 2018).

    Manakala untuk kedua-dua model Jazz hibrid dan tanpa hibrid, menerima RM7,000 (model 2017) atau RM3,000 (bagi model 2018).

     
     
  • Suka pakai jaket terbalik masa tunggang motosikal? Berhenti sebelum ia meragut nyawa anda sendiri

    Suka pakai jaket terbalik masa tunggang motosikal? Berhenti sebelum ia meragut nyawa anda sendiri

    Baru-baru ini telah tersebar satu post dalam Facebook oleh Zairul Ezam, yang menyatakan kebimbangan beliau terhadap penunggang motosikal di negara kita yang dilihat gemar memakai jaket terbalik semasa menunggang motosikal.

    Kebimbangan beliau ini datang daripada pengalaman sendiri, dengan merujuk kepada satu kejadian yang berlaku semasa beliau di sekolah. Seorang penunggang telah terlibat dalam kemalangan disebabkan memakai jaket secara terbalik. Jaket yang terurai tersebut tersangkut pada cangkuk yang terdapat di bahagian tepi lori waktu penunggang tersebut sedang memotong, dan magsa telah terjatuh dan masuk ke bawah lori.

    Begitulah bahayanya memakai jaket terbalik, yang mana nampaknya seperti ramai penunggang motosikal di negara ini tidak ambil kisah. Mungkin ramai yang menganggap memakai jaket cara ini adalah mudah dan pantas, tapi mereka tidak mengambil kira risiko yang ada.

    Kalau anda lihat sendiri semasa menunggang motosikal dan duduk di belakang mereka yang memakai jaket secara terbalik ini, jaket tersebut akan mengembang di bahagian tepi kerana tiupan angin, dan apabila mencelah, bahagian itu cukup mudah tersangkut pada kenderaan lain – semasa memotong ataupun mencelah.

    Suka pakai jaket terbalik masa tunggang motosikal? Berhenti sebelum ia meragut nyawa anda sendiri

    Jika risiko yang mampu meragut nyawa ini anda masih tidak peduli, kami juga mahu katakan, bila memakai jaket terbalik, zip jaket tersebut sangat mudah rosak. Bukan setakat jaket biasa, jaket kalis hujan juga terdedah kepada perkara ini.

    Selain daripada perkara ini, kami juga merasakan penunggang motosikal patut meningkatkan lagi kesedaran mereka terhadap aspek keselamatan. Sebanyak mana perkara yang boleh kita lakukan ke arah ini, ia patut dilakukan. Ini merujuk juga kepada pemakaian helmet yang berkualiti, jaket bersesuaian serta pakaian perlindungan yang lain.

    Yang suka memakai jaket terbalik tu, fikir-fikirkanlah semula tindakan anda itu. Bukan susah untuk mengubahnya. Jangan disebabkan tidak mahu panas dan mahu mengambil cara paling mudah, ia nanti mampu meragut nyawa anda sendiri sudahnya.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025