Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Citroen C5 Aircross Hybrid Concept – 40% lebih cekap

    Citroen C5 Aircross Hybrid Concept – 40% lebih cekap

    Bulan depan, semasa Paris Motor Show, Citroen akan mempamerkan kenderaan konsep plug in hybrid yang menggunakan asas daripada model SUV C5 Aircross. Ia adalah model plug in hybrid pertama jenama itu daripada keluarga Core Model Strategy, dan menjadi permulaan untuk mencapai sasaran 80% daripada modelnya akan menggunakan elektrik menjelang 2023, dan 100% menjelang 2025.

    C5 Aircross PHEV Concept ini dikuasakan oleh kombinasi enjin petrol Turbo High Pressure (THP) dan motor elektrik, di mana enjin itu sendiri boleh menghasilkan 180 hp manakala motor elektrik yang terletak antara enjin dan transmisi mampu menghasilkan 80 kW (107 hp). Kuasa keseluruhan kenderaan ini adalah 225 hp dan 337 Nm, dan dihantar ke roda hadapan menggunakan kotak gear automatik elektrik lapan kelajuan e-EAT8.

    Citroen mendakwa SUV ini mampu bergerak sejauh 50 km dan boleh pergi sehingga kelajuan 135 km/j dengan hanya menggunakan kuasa elektrik sahaja dan ini adalah cukup laju jika dibandingkan dengan tahap PHEV sekarang. Pengeluaran CO2 berada pada tahap 50 g/km manakala penggunaan bahan api pula pada 2.0 liter bagi setiap 100 km. Catatan ini adalah 40% lebih baik berbanding model yang menggunakan enjin biasa, dan ia disediakan dengan tiga mod pemanduan (ZEV, Hybrid dan Sport).

    Sistem penjanaan semula kuasa brek datang secara standard pada kenderaan ini, dan ia membantu meningkatkan kecekapan sebanyak 10%. Apabila bateri lithium ion 200 V (kapasiti 13.2 kWh) padanya dicas menggunakan penyambung Type 2, ia akan mengambil masa antara empat hingga lapan jam untuk penuh (menggunakan soket domestik 14A Eropah), tetapi apabila menggunakan pengecas AC three-phase, ia akan mengambil masa cuma dua jam.

    Melihat kepada rekaan luar, C5 Aircross Hybrid Concept ini masih nampak sama seperti model biasa, kecuali ia menggunakan kemasan biru pada penjuru bawah bampar dan tepi pintu. Rim adalah unit 19 inci Anthracite yang diwarnakan hitam (bentuk masih sama) dan di belakang terdapat lencana hibrid. Tempat mengecas pula terdapat di bahagian belakang, kiri kenderaan.

    Bahagian dalam juga masih menggunakan rekaan yang sama seperti model biasa, cuma bahagian papan pemuka dibalut dengan fabrik seperti kulit, tempat duduk gabungan kulit beige dan fabrik bersama corak berpetak serta sedikit kemasan biru terang. Panel instrumen digital 12.3 inci dan unit infotainmen lapan incinya juga masih sama, tetapi dinaik taraf dengan sistem yang boleh memaparkan operasi hibrid kenderaan tersebut. Akhir sekali, Citroen memberitahu ruang simpanan belakang masih tidak terjejas kerana pek bateri diletakkan di bawah lantai, iaitu di bawah bahagian penumpang.

     
     
  • Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk Optima Ultimate Street Car Invitational

    Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk <em>Optima Ultimate Street Car Invitational</em>

    Sempena acara tahunan “Search for the Ultimate Street Car” yang dianjurkan oleh Optima Batteries tahun ini, Hyundai Motor America bakal membawa dua buah kereta yang telah diubahsuai dan ditala semula oleh mereka sendiri. Dua buah kereta tersebut adalah hot-hatch Hyundai Veloster N, dan sebuah lagi adalah model yang hampir tidak diminati dalam dunia ubahsuai iaitu Ioniq Electric.

    “Kenderaan-kenderaan ini diubahsuai dengan cara tipikal seorang peminat dunia berkenaan – tayar dan suspensi yang memberikan lebih cengkaman, kuasa dipertingkatkan, dan sebagainya; dan kemudian diuji dalam persekitaran yang mencabar. Ini adalah satu cara bagi memastikan kenderaan kami akan memenuhi jangkaan pelanggan kami,” kata Joshua Vedder, pengurus senior kumpulan di jabatan hubungan pelanggan HMA.

    Hyundai Ioniq Electric berkenaan sebenarnya akan turun semula bagi mempertahankan gelaran yang diraih pada Kejohanan Nasional 2017 dalam kelas GTE baharu. Manakala untuk Veloster N pula, ini merupakan kejohanan tahunan penuh yang disertai dan mencabar pesaing lain dalam kelas GTC. Hyundai berharap kedua-dua jentera tersebut akan layak untuk Optima Ultimate Street Car Invitational dalam kelas masing-masing.

    Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk <em>Optima Ultimate Street Car Invitational</em>

    Veloster N berkenaan masih dijana oleh enjin asal empat silinder turbo menghasilkan 275 hp dan tork maksima 353 Nm. Enjin tersebut diberi sentuhan semula dengan talaan kotak komputer menggunakan Remus Powerizer, respon pendikit ditingkatkan dengan Responder, serta diberikan ubahsuai lain seperti ekzos cat-back aktif, sistem kemasukan udara lebih sejuk prototaip dan juga penyejuk udara kemasukan berkapasiti tinggi.

    Untuk sistem brek, Veloster tersebut kini diberikan sistem untuk perlumbaan lasak Willwood Endurance Spec yang terdiri dari angkup brek Superlite (enam-omboh di hadapan, empat-omboh di belakang), cakera dengan liang lengkung GT 72, dan pelapik brek dengan kompaun B20. Kereta ini direndahkan lagi sehingga 30 mm dengan spring H&R, serta diberikan rim BBS LM-R bersaiz 19-inci dibaluti tayar Bridgestone Potenza RE-71R bersaiz 245/35R19.

    Bagi memperkuatkan lagi kerangka kereta ini, ia diberikan strut brace dan sokongan tambahan pada subframe dari Pierce Motorsport, manakala sistem suspensinya pula menerima bolt untuk larasan camber hadapan serta bar anti-oleng prototaip lebih tebal dengan diameter 23 mm di hadapan, 22 mm di belakang.

    Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk <em>Optima Ultimate Street Car Invitational</em>

    Secara keseluruhan, rupa luaran asal Veloster N ini masih lagi standard, dan imej garangnya cuma ditambah dengan pemasangan splitter udara hadapan dan juga skirt sisi dari APR.

    Pada bahagian dalaman, Veloster N tersebut diberikan pemuka digital AEM CD-5 bersama penyesuai jaringan CAN, serta data-data dapat dikumpulkan dengan pemasangan Racelogic Video VBOX HD2. Pemandu diberikan tempat duduk perlumbaan Recaro Profi SPG XL, dan diikat menggunakan tali pinggang keselamatan enam-poin Sparco Enduro, disamping dilindungi rollcage boleh alih dari Pierce Motorsport.

    Beralih ke kereta lumba EV Ioniq Electric, ia kini dijana oleh motor elektrik yang lebih berkuasa diambil dari Kona Electric yang berupaya menjana 204 PS dan tork maksima 395 Nm bermula dari rpm sifar. Kuasa berkenaan jelas lebih tinggi dari Ioniq Electric standard yang hanya berkuasa 120 PS/295 Nm.

    Hyundai tala semula Ioniq Electric dan Veloster N untuk <em>Optima Ultimate Street Car Invitational</em>

    Kuasa yang jauh lebih besar tersebut membolehkan kereta lumba ini memecut dari 0-96 km/j (0-60 bsj) dalam masa hanya 5.8 saat, manakala pecutan dari 0-160 km/j (0-100 bsj) boleh dicapai hanya dalam masa 15.7 saat. Kelajuan maksima yang boleh dicatatkan oleh jentera elektrik ini pula adalah 185 km/j.

    Kereta lumba ini juga dilengkapkan dengan penala pemetaan tork/kadar bagi memperbaiki pecutan ketika berlepas serta mengehadkan kawalan pemanduan. Sistem penyejuk untuk komponen elektronik turut dipertingkat dengan radiator yang lebih baik, pam air berkuasa elektrik, penyejuk bateri dikemaskini dengan kipas aliran udara lebh besar bersama liang khas untuk penghawa dingin, serta kondensor penghawa dingin penyejukkan cecair bagi menambahbaik penyejukkan bateri ketika kereta tidak bergerak.

    Sebelum kuasa dari motor dialirkan ke roda, ia diagihkan terlebih dahulu antara kiri dan kanan menerusi LSD dari Drexler yang digandingkan dengan nisbah gear akhir 7.05. Untuk kuasa pemberhentian pula, jentera ini turut menerima set brek lebih besar dari Willwood. Ioniq Electric ini direndahkan lagi dengan spring baharu, dan ia turut menerima set rim lengkap Rays Engineering TE37.

    GALERI: Hyundai Veloster N 2019

     
     
  • Formula 4 SEA “Fueled by Petron” – pelumba M’sia juarai dua daripada tiga perlumbaan; Ghiretti teratas

    Formula 4 SEA “Fueled by Petron” – pelumba M’sia juarai dua daripada tiga perlumbaan; Ghiretti teratas

    Bagi dua perlumbaan Formula 4 SEA – Fueled by Petron yang berlangsung di Madras, India minggu lalu menyaksikan pelumba Perancis, Alessandro Ghiretti sekali lagi membuktikan penguasaannya dan muncul juara acara berkenaan. Alessandro meraih kejuaraan kedua perlumbaan berkenaan yang berlangsung di Madras Motor Race Track, mendahului pelumba Thailand, Kane Shepherd dengan masing-masing mengumpul sebanyak 67 mata dan 45 mata.

    Bagaimanapun, dua pelumba dari Malaysia – Alister Yoong dan Muizz Musyaffa – juga tidak ketinggalan untuk mencuri tumpuan. Mereka berhasil untuk menempatkan diri di kedudukan lima teratas. Alister menduduki tempat ketiga secara keseluruhannya dengan 41 mata.

    Manakala seorang lagi pelumba Malaysia, Muizz pula berjaya mengumpul 30 mata dan menduduki tempat kelima di belakang Antoine Potty yang berada di tempat keempat dengan kutipan 35 mata. Secara keseluruhannya, perlumbaan ini terdiri daripada tiga pusingan, sebelum mata akhir dikumpulkan serta kedudukan ditentukan.

    Pencapaian yang lebih menarik sebenarnya adalah bagi Alistair Yoong. Ia merupakan perlumbaan yang paling bermakna baginya setakat ini kerana buat julung kalinya beliau berjaya mendahului di tempat pertama mengatasi semua pesaing lain yang ada ketika dalam perlumbaan pusingan kedua, dengan catatan masa 25:02.054 saat. Beliau berjaya kekal di depan dan mengatasi antara lain Alessandro yang sentiasa memberikan persembahan konsisten sepanjang perlumbaan.

    Muizz juga tidak ketinggalan mempamerkan persembahan yang meyakinkan apabila beliau turun muncul juara dalam perlumbaan pusingan ketiga, dengan catatan masa 24:42.8 saat. Muizz juga mempamerkan semangat yang tinggi sejak perlumbaan pusingan pertama kali dengan memberikan saingan sengit kepada pelumba-pelumba yang berada di hadapan.

    Kejuaraan ini belum lagi berakhir; ia akan bertandang ke Litar Burram, Thailand minggu hadapan untuk dua lagi set perlumbaan, sebelum akan tiba pula di Litar Sepang November nanti untuk dua perlumbaan terakhir. Tahniah kepada dua pelumba Malaysia yang terlibat dan jangan lupa untuk turun memberikan sokongan kepada mereka di Sepang nanti.

     
     
  • Subaru XV e-Boxer 2019 diperkenalkan di Jepun

    Subaru XV e-Boxer 2019 diperkenalkan di Jepun

    Subaru telah memperkenalkan varian hibrid e-Boxer untuk XV di Jepun, yang boleh didapati sebagai model tertinggi Advance. XV e-Boxer didakwa mampu memberikan penjimatan bahan api sekitar 19.2 km/l mengikut kitaran ujian JC08, dan 15 km/l dengan WLTC (World Harmonized Light-duty Vehicle Test Cycle).

    Bagi spesifikasi penjana kuasanya, XV e-Boxer mirip dengan Forester e-Boxer yang telah pun mula dijual di Jepun. Enjin FB20 2.0 naturally-aspirated, suntikan-terus petrol ini mampu menghamburkan kuasa sehingga 145 PS pada 6,000 rpm dan tork 188 Nm pada 4,000 rpm.

    Ia dipadankan dengan Lineartronic CVT dengan padanan motor elektrik 13.6 PS/65 Nm yang ditempatkan antaranya, bersama sistem Symmetrical AWD. Motor elektrik ini dijanakan oleh bateri lithium-ion 4.8 Ah yang diletakkan di bawah lantai kenderaan, yang mana memerlukan tangki bahan api yang lebih kecil sekitar 48 liter berbanding 63 liter pada varian XV bukan-hibrid. Ia juga merupakan XV yang paling berat dalam barisannya (bagi pasaran Jepun) iaitu mencecah 1,825 kg (berat kasar).

    Sistem e-Boxer ini berkeupayaan untuk memacu tenaga elektrik sahaja pada kelajuan rendah untuk jarak yang terhad. Pada kelajuan sederhana, enjin dan motor elektrik akan bekerjasama untuk penjimatan yang lebih baik, sementara pada kelajuan tinggi, enjin akan memacu kenderaan dan mengekalkan pengecasan bateri.

    Di Jepun, XV Advance boleh didapati dengan warna luaran unik Lagoon Blue Pearl, dengan banyak elemen dalaman yang turut diadaptasi dengan tema biru. Malah kekemasan hitam juga ditampilkan, bersama warna luaran lain sebagai pilihan. Pra-tempahan untuk XV Advance telah pun mula dibuka sejak 11 September lalu, dan perincian penuhnya hanya akan didedahkan pada Oktober ini.

     
     
  • Can-Am Ryker lebih ranggi, murah dan mudah dikawal

    Can-Am Ryker lebih ranggi, murah dan mudah dikawal

    Can-Am adalah antara pengeluar motosikal tiga roda yang popular dan model kegunaan atas jalan biasa mereka yang dikenali ramai adalah Spyder. Terbaru, jenama itu memperkenalkan model baru yang disasarkan kepada golongan muda, dipanggil sebagai Ryker.

    Ia bukan sahaja lebih ranggi, malah turut dijadikan lebih mampu milik dengan harga bermula USD8,499 (RM35,207), lebih kecil (panjang 2,352 mm) dan lebih mudah dikawal. Orang ramai boleh memilih Ryker dengan enjin dua silinder 600 cc berkuasa 46.9 hp ataupun enjin tiga silinder 900 cc yang berkuasa 77.1 hp.

    Walaupun begitu, kedua-duanya masih menggunakan transmisi sama iaitu jenis automatik CVT sekaligus memberikan ‘tunggangan’ yang lebih mudah seperti skuter. Jentera tiga roda ini didatangkan dengan satu tempat duduk sahaja dan panel instrumennya menggunakan unit digital 4.5 inci.

    Di situ, anda boleh melihat pelbagai informasi termasuk laju, tahap rpm, jarak perjalanan, kedudukan gear, pilihan mod tunggangan serta sistem keselamatan yang terdiri Stability Control System, Traction Control System, Anti-Lock Braking System dan Hill Hold Control.

    Melalui model ini juga, Can-Am mahu mengetengahkan kemampuan ia disesuaikan dengan pemilik dengan memberitahu terdapat lebih 75,000 cara mengubah dan memasangnya dengan aksesori. Dalam keadaan standard juga, ergonomik Ryker boleh diubah dengan mudah melalui pelarasan pada bahagian peletak kaki, tuil brek serta pemegang.

    Can-Am Ryker lebih ranggi, murah dan mudah dikawal

    Selain daripada dua pilihan enjin ini, Can-Am turut menawarkan satu model khas Ryker Rally Edition yang mempunyai tambahan mod tunggangan Rally yang membolehkan bahagian belakangnya menggelungsur (drift), boleh ditambah dengan tempat duduk penumpang dan kargo, serta tayar khas. Harga model ini adalah USD10,999 (RM45,563).

    Kelengkapan lain yang ada pada Ryker adalah termasuk suspensi Sachs di hadapan, swing arm tunggal dengan sambungan multi-link dan suspensi Sachs yang pra bebannya boleh dilaras, brek hidraulik tiga roda serentak yang dikawal melalui kaki dan sistem EBD, brek cakera 270 mm dan angkup Nissin dua piston di hadapan, cakera 220 mm dan angkup satu piston di belakang, rim aluminium 16 inci, tangki bahan api 20 liter dan pengecas USB.

     
     
  • RMK E2 e-bike tanpa hab – laju 160km/j, jarak 300 km

    RMK E2 e-bike tanpa hab – laju 160km/j, jarak 300 km

    Apa pun pandangan yang dilontarkan terhadap motosikal elektrik, hanya ada satu kecenderungan diperingkat global ketika ini; lebih banyak pengeluar yang memberi tumpuan terhadap penghasilan motosikal jenis ini serta kaedah untuk menjadikannya lebih praktikal.

    Sisi praktikal yang dimaksudkan sudah tentu berhubung dengan cara penggunaannya – berapa jauh atau berapa lama bateri yang digunakan itu mampu bertahan. Bagaimana pula dengan kelajuan yang boleh dicapai?

    Semakin hari, semakin banyak pengeluar yang berjaya menghasilkan pendekatan dan teknologi yang lebih maju untuk motosikal elektrik. RMK Vehicles dari Finland tidak ketinggalan dalam hal ini. Syarikat berkenaan telah menghasilkan sebuah motosikal elektrik sepenuhnya, dikenali dengan nama E2, yang di dakwa mampu memberikan 200 km hingga 300 km jarak perjalanan dengan kelajuan maksimum dihadkan kepada 160 km/j.

    Anggaran harga yang dikenakan pula adalah sekitar 24,990 Euro (RM120,147). Bagi pelanggan yang berminat pula, mereka boleh membuat tempahan dengan pendahuluan 2,000 Euro (RM9,615). Ada satu lagi keunikan motosikal ini – ia tidak datang dengan hab pada roda belakang. E2 turut dilengkapi dengan motor elektrik 50 kW (bersamaan 67 hp) yang menyediakan jumlah tork sebesar 320 Nm dari rpm sifar.

    Motor berkenaan ditempatkan di dalam rim motosikal berkenaan, menerima kuasanya melalui tiga kabel elektrik besar yang dihubungkan padanya. Pengeluarnya menyatakan akan ada dua versi model E2 ini yang akan ditawarkan; model asas yang memberikan jarak perjalanan 200 km dan versi kedua yang lebih mahal dengan jarak perjalanan 300 km dengan satu cas penuh (yang mengambil masa dua hingga 3 jam untuk dicas).

    Direka, dibangunkan dan dikeluarkan di Finland, E2 merupakan hasil kerja Teemu Saukkio, yang turut merekabentuk motor elektrik yang digunakan pada motosikal ini. Pengeluaran model ini akan bermula pada musim panas 2018, dengan penyerahan dijangka akan dilakukan bermula hujung tahun nanti. RMK Vehicles mensasarkan pengeluaran sebanyak 150 unit pada 2019, dengan peningkatan jumlah berkenaan pada 2020.

     
     
  • Jambatan kedua Pulau Pinang ditutup pada 16 Sept ini bagi memberi laluan acara ‘Music Fun Ride 2018’

    Jambatan kedua Pulau Pinang ditutup pada 16 Sept ini bagi memberi laluan acara ‘Music Fun Ride 2018’

    Jambatan Kedua Sdn Bhd (JKSB) telah memaklumkan Jambatan Sultan Abdul Halim Muádzam Shah (JSAHMS) atau Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup pada 16 September ini. Ia adalah bagi memberi laluan kepada acara kayuhan santai ‘Music Fun Ride 2018’ yang dianjur sempena sambutan Hari Malaysia.

    Menurut JKSB, keseluruhan jajaran JSAHMS di kedua-dua arah akan ditutup dari pukul 2 pagi hingga 12 tengah hari. Ini merupakan kali kedua pihak JKSB dan Mediamore menganjurkan acara kayuhan santai di jambatan terpanjang di Asia Tenggara itu yang akan menyaksikan penyertaan lebih 1,500 peserta dari dalam dan luar negara, laporan Bernama.

    Pihak JKSB memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat penutupan jambatan itu dan menyarankan pengguna untuk merancang perjalanan mereka lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan dan mematuhi arahan papan tanda serta amaran demi keselamatan pengguna dan perserta acara itu.

    Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai penutupan itu, boleh menghubungi talian hotline JKSB di 1300 30 2828 atau emel di alamat [email protected].

     
     
  • BMW tunjukkan R1200GS autonomous serta pelbagai teknologi terkini lain untuk motosikal di Perancis

    BMW tunjukkan R1200GS autonomous serta pelbagai teknologi terkini lain untuk motosikal di Perancis

    Sistem autonomous bukan sahaja rancak dibangunkan untuk kereta malah juga motosikal. Semasa hari teknologi yang dianjurkan, BMW Motorrad telah memperkenalkan sebuah R1200GS yang boleh bergerak sendiri, dan ini adalah motosikal BMW pertama yang mempunyai kebolehan autonomous.

    Kemampuan motosikal ini ditunjukkan depan wakil media di litar ujian BMW di Miramas, Perancis, dan ia boleh memulakan pergerakan, memecut, mengambil selekoh mengikut laluan litar dan kesudahannya berhenti sendiri. Anda boleh melihatnya melalui video di bawah.

    R1200GS autonomous ini adalah satu prototaip yang dibangunkan oleh jurutera yang bernama Stefan Hans bersama pasukan beliau, namun menurut BMW mereka tidak mensasarkan penghasilan sebuah motosikal yang boleh bergerak sendiri sepenuhnya.

    BMW tunjukkan R1200GS autonomous serta pelbagai teknologi terkini lain untuk motosikal di Perancis

    Sebaliknya, ini adalah satu projek untuk mengumpul pengetahuan tambahan berkenaan dinamik pemanduan dan mengesan situasi bahaya lebih awal, seterusnya menyediakan penunggang dengan sistem keselamatan yang bersesuaian. Antara contoh yang diberi adalah apabila menghampiri persimpangan atau membrek secara mengejut. Ia juga bertindak sebagai platform pembangunan untuk menjadikan motosikal lebih selamat, selesa dan memuaskan.

    Selain motosikal autonomous ini, BMW turut menunjukkan beberapa teknologi terkini lain untuk motosikal seperti rangka motosikal yang dicetak secara 3D, lampu membelok dan lampu utama jenis laser. Ini sekaligus memberitahu kepada umum BMW sentiasa mempunyai kemampuan teknologi dan kecemerlangan dalam bidang ini.

     
     
  • SST: Harga Nissan hingga RM5,400 lebih murah

    SST: Harga Nissan hingga RM5,400 lebih murah

    Pengedar rasmi Nissan di Malaysia, Edaran Tan Chong Motor (ETCM) telah mengeluarkan senarai baharu untuk kenderaan berjenama tersebut setelah dilaras semula seiring dengan implementasi cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 September lalu, menggantikan cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini.

    Seperti yang boleh anda lihat pada lampiran senarai harga di bawah, berberapa model Nissan menunjukkan penurunan harga jika dibandingkan dengan harga sebelum 1 Jun di mana cukai GST berkadar 6% ketika itu. Penurunan tertinggi adalah untuk model Nissan X-Trail 2.5L 4WD – turun sebanyak RM5,400.

    SST: Harga Nissan hingga RM5,400 lebih murah

    Walau bagaimanapun, tidak semua harga termasuk SST ini dipaparkan. Ini kerana menurut ETCM, berberapa model seperti Navara masih lagi mengekalkan harga dengan GST pada kadar sifar peratus sehingga kehabisan stok.

    Sementara itu, berberapa model seperti Teana, Sylphy dan X-Gear sememangnya tidak lagi dipaparkan di laman web rasmi Nissan Malaysia. Menurut ETCM lagi, khidmat selepas jualan mereka yang dijalankan oleh Tan Chong Auto Servis mengimplementasikan cukai perkhidmatan sebanyak 6% dari kos buruh.

     
     
  • SST: Peugeot umum harga turun dari RM357 ke RM1k

    SST: Peugeot umum harga turun dari RM357 ke RM1k

    Sejajar dengan implementasi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 September lalu, Nasim telah mengumumkan senarai harga yang disemak semula bagi model Peugeot yang masih dijual di negara ini.

    Walau bagaimana pun, harga baharu ini dilihat ada perbezaannya dengan harga ketika sifat cukai barangan dan perkhidmatan (GST), malah ia adalah lebih murah berbanding sebelum ini.

    SST: Peugeot umum harga turun dari RM357 ke RM1k

    Antaranya, model 208 PureTech kini lebih murah sebanyak RM357, manakala 2008 PureTech pula mengalami penurunan harga sebanyak RM806. Selain itu, varian 3008 Active dan Allure pula kini lebih murah sebanyak RM1,000 berbanding harga ketika GST, begitu juga dengan SUV tujuh-tempat duduk 5008 yang turut mengalami penurunan harga dengan kadar yang sama.

    Dua model yang pernah diumumkan harganya dengan kadar sifar-GST sebelum ini, iaitu 508 dan 208 GTI, nampaknya tiada dalam senarai kali ini. Bagi yang menanti model generasi kedua 508 baharu, kena bersabar ya sebab ia hanya akan tiba pada suku kedua tahun hadapan.

     
     
  • Kawasaki Z125, Ninja 125 akan diperkenal di Eropah

    Semasa pameran Intermot di Jerman Oktober nanti, Kawasaki Itali akan memperkenalkan dua model berkapasiti kecil iaitu Z125 dan Ninja 125, dan teaser untuk dua model tersebut telah disiarkan di laman Youtube. Dengan tagline “The Difficult Choice”, video ini menunjukkan penyertaan Kawasaki dalam segmen 125 cc, dan ia merupakan satu tahap minimum yang diperlukan untuk penunggang baru.

    Beberapa perincian penting dapat dilihat daripada laman rasmi Ninja 125 dan Z125 ini termasuk kuasa yang mungkin berada sekitar 15 hp bergantung kepada spesifikasi akhir nanti. Saiz tayar yang ditunjuk adalah 100/80-17 untuk bahagian depan dan 130/70-17 di belakang.

    Informasi lain yang diberi adalah tinggi tempat duduk, di mana Ninja 125 berada pada 785 mm manakala Z125 pula 815 mm. Ini menunjukkan Ninja 125 sangat mesra bagi penunggang baru di mana mereka lebih mudah untuk meletakkan kaki rata apabila berhenti.

    Kerangka pula adalah jenis trellis, dengan brek adalah set cakera tunggal di hadapan dan juga belakang. Daripada apa yang boleh dilihat, panel meter adalah jenis LCD monochrome di tengah dan di tepinya terdapat lampu-lampu amaran lain. Suspensi adalah jenis fork teleskopik di hadapan dan monoshock di belakang.

     
     
  • Sarawak sedia uji bas hidrogen menjelang Mac 2019

    Sarawak sedia uji bas hidrogen menjelang Mac 2019

    Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mendedahkan negeri itu bersedia untuk menguji bas yang menggunakan kuasa hidrogen tak lama lagi. The Star melaporkan, langkah itu akan membolehkan Sarawak merintis jalan ke arah penggunaan sumber tenaga diperbaharui.

    Johari menjelaskan, sumber air empangan hidroelektrik yang banyak di negeri itu boleh digunakan untuk menghasilkan hidrogen sebagai sumber tenaga bersih bagi kenderaan. “Adalah menjadi impian kerajaan negeri untuk menaik taraf sistem pengangkutan awam dengan penggunaan sumber tenaga diperbaharui.

    “Saya yakin hidrogen merupakan sumber tenaga untuk masa hadapan. Perkembangan dunia ketika ini menyaksikan peralihan daripada penggunaan tenaga fosil kepada tenaga lain yang lebih bersih,” ujar beliau.

    Beliau berkata demikian ketika majlis menandatangani perjanjian persefahaman antara Sarawak Economic Development Corporation (SEDC) dan Foshan Feichi Automobile Manufacturing dari China yang akan membekalkan bas yang dikuasakan oleh fuel-cell hidrogen kepada negeri itu.

    Sarawak sedia uji bas hidrogen menjelang Mac 2019

    Projek berkenaan akan dimulakan dengan ujian percubaan terhadap tiga bas hidrogen prototaip yang dijangka akan diterima menjelang Mac 2019. Ketiga-tiganya akan digunakan sebagai ujian di pusat bandar Kuching, sekali gus berperanan untuk mendidik orang awam berkaitan keberkesanan penggunaan kenderaan dari tenaga hidrogen.

    “Kita sudah melihat kenderaan jenis ini digunakan dengan jayanya di negara-negara seperti China dan Jerman. Bagi Sarawak, kami akan cuba tiga bas ini terlebih dahulu untuk menunjukkan kepada umum yang mungkin ragu-ragu dengan teknologi berkenaan serta mendidik mereka,” tambah beliau lagi.

    Menurut Pengerusi SEDC, Tan Sri Abdul Aziz Husain menjelasan, projek ini merupakan sebahagian daripada program pembangunan dan kajian fuel-cell hidrogen yang dijalankan oleh kerajaan negeri. Ini termasuk untuk mendirikan kilang pengeluaran hidrogen untuk digunakan oleh kenderaan.

    Awal tahun ini, Johari menolak cadangan SPAD untuk menggunakan bas dikuasakan diesel dan ingin beralih kepada tenaga yang lebih bersih.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE W167 diperkenal dengan pilihan enjin hibrid ringkas 48V enam silinder, sistem baru

    Mercedes-Benz GLE W167 diperkenal dengan pilihan enjin hibrid ringkas 48V enam silinder, sistem baru

    Mercedes-Benz GLE W167 baru saja ditunjukkan awal sebelum ia akan diperkenalkan di khalayak ramai semasa Paris Motor Show 2018 Oktober nanti. Tidak seperti model sebelumnya yang boleh dikatakan sebagai M-Class W166 facelift, model GLE baru ini dibina atas platform Modular High Architecture (MHA) yang membolehkan ia dipadatkan dengan pelbagai teknologi.

    Sebelum itu, kita tengok terlebih dahulu penampilannya. Sementara bentuk keseluruhan masih lagi nampak seperti sama, muka hadapan dan belakang kereta ini telah diubah semula. Lampu hadapan contohnya lebih kemas dan kelihatan seperti mendapat inspirasi daripada A-Class W177 dan CLS C257.

    Lampu utama ini boleh didapati dalam jenis Multibeam LED dengan lampu tinggi Ultra Range, dan mempunyai dua jalur lampu siang LED di dalam, yang menjadikannya lebih unik. Model biasa tanpa pakej AMG Line akan mendapat rekaan gril bentuk oktagon, bersama jalur krom di dalamnya manakala model yang dipasang dengan pakej itu menggunakan bentuk heksagon berserta bintik permata dan satu jalur di tengah.

    Bagi model standard, bahagian apron bawah tidak lagi dibahagikan kepada dua seperti GLE sebelum ini, tetapi kini menggunakan satu unit penuh yang dicat warna hitam dan mempunyai jalur LED nipis di penjuru yang bertindak sebagai lampu kabus. Terdapat juga pelindung bawah warna krom yang lebih menonjol, dan rekaan sama turut digunakan di belakang.

    Mercedes-Benz GLE W167 diperkenal dengan pilihan enjin hibrid ringkas 48V enam silinder, sistem baru

    Model yang dilengkapi dengan pakej AMG Line juga mendapat bampar hadapan yang lebih agresif dengan bukaan udara yang lebih besar, serta penghadang bawah yang dijadikan seperti splitter di hadapan dan diffuser di belakang. Ia kemudiannya diwarnakan hitam berkilat.

    Pergi ke belakang, anda akan dapat melihat pengaruh daripada model terkini Mercedes-Benz yang lain, termasuk lampu yang lebih kecil dan tajam berbanding sebelum ini dan dibentukkan seperti unit pada CLS. Bahagian baru ini diperlengkap lagi dengan rekaan tailgate yang kurang berpetak. Muncung ekzos masih lagi ada dua manakala pilihan rim pula terdiri daripada 18 hingga 22 inci.

    Mercedes-Benz mendakwa GLE baru ini mempunyai kecekapan rintangan udara cuma 0.29 (sebelum ini 0.32), dan adalah yang terbaik dalam segmennya. Ini didapati daripada bentuk baru yang digunakan, bersama bahagian lain seperti sistem Airpanel, panel badan dan rekaan rim yang lebih aerodinamik serta penutup bahagian bawah kenderaan yang lebih besar.

    Masuk ke dalam, anda akan disambut dengan rekan papan pemuka yang lebih berani, dengan sistem infotainmen Mercedes-Benz User Experience (MBUX) terletak di bahagian tengah. Diapit dengan kemasan berjalur di tepinya, dua skrin 12.3 inci sistem ini memberikan informasi pemanduan yang penting, boleh diubah kepada empat gaya (Modern Classic, Sport, Progressive, dan Discreet), dan memberikan akses kepada pelbagai lagi fungsi kenderaan.

    Selain menyentuh skrin tersebut untuk mengawalnya, pengguna juga boleh berinteraksi dengan MBUX melalui Touch Controls yang berada pada roda stereng ataupun pad sesentuh pada konsol tengah. Terdapat juga kamera pada konsol atas yang merupakan sebahagian daripada barangan tambahan untuk Interior Assist, yang boleh menerima pergerakan tangan pemandu dan penumpang hadapan untuk kawalan melalui gerak geri.

    Sistem MBUX ini juga disambungkan kepada sistem kawalan keselesaan Energizing yang menawarkan pebagai program untuk keselesaan termasuk mod mengurut, muzik serta lampu suasana. Artificial Intelligence juga membenarkan sistem ini untuk mempelajari kegemaran serta kebiasaan anda supaya lebih proaktif dalam melaras fungsinya. Mercedes juga ada menawarkan heads-up display resolusi tinggi sebagai pilihan.

    Selain daripada itu, bahagian dalam model baru ini juga menyaksikan penggunaan empat corong pendingin udara baru di bahagian tengah papan pemuka, dan di tepi ada dua lagi (pada bahagian pemandu ia bersepadu dengan kemasan di papan pemuka) – pengawal suhu terletak di bawahnya. Bahagian lain yang menarik pada konsol tengah adalah dua pemegang yang bercahaya, pad sesentuh dan suis yang berkaitan berhampirannya.

    Mercedes-Benz GLE W167 diperkenal dengan pilihan enjin hibrid ringkas 48V enam silinder, sistem baru

    Walaupun dengan semua barangan canggih ini, GLE baru juga dikatakan lebih praktikal dengan jarak roda 80 mm lebih panjang iaitu 2,995 mm, seterusnya memberikan lebih ruang untuk penumpang dan tempat duduk baris ketiga apabila mahu. Terdapat juga pilihan untuk mendapatkan sistem larasan elektrik bagi tempat duduk baris kedua, dan membenarkan bahagian kiri dan kanan dilaras secara berasingan.

    Catatan lain termasuk ruang kaki 1,045 mm (+69 mm), ruang kepala 1,025 mm (+33 mm) dengan semua tempat duduk tegak, ruang barangan antara 825 hingga 2,055 liter, dan ruang lebar untuk memasukkan barangan yang meningkat 72 mm. Apabila menggunakan suspensi udara Airmatic, bahagian belakang kenderaan ini boleh direndahkan sekitar 40 mm supaya lebih mudah untuk memasukkan barang.

    Bagi enjin pula, GLE baru ini akan ditawarkan dengan pilihan enjin petrol enam dan lapan silinder, diesel dan juga plug-in hybrid. Buat masa sekarang, varian yang diperkenalkan adalah GLE 450 4Matic, yang menggantikan enjin petrol V6 dengan unit enam silinder sebaris 3.0 liter turbo berkuasa 362 hp dan 500 Nm tork.

    Mercedes-Benz GLE W167 diperkenal dengan pilihan enjin hibrid ringkas 48V enam silinder, sistem baru

    Enjin hibrid ringkas M256 ini menampilkan starter/alternator bersepadu (ISG) untuk menyokong fungsi hibrid seperti EQ Boost (tambahan 21 hp dan 250 Nm tork untuk masa singkat) atau penjanaan semula kuasa. Sistem ini beroperasi melalui sistem elektrik 48 volt, dan disambungkan kepada ISG, pam air, compressor pendingin hawa dan suspensi yang dipanggil oleh Mercedes sebagai E-Active Body Control.

    Suspensi ini dikatakan dapat menawarkan keselesaan dan kelincahan yang lebih baik untuk kenderaan. Sistem yang disediakan sebagai pilihan ini (bersepadu dengan Airmatic) mampu mengawal tekanan spring serta serapan pada setiap roda. Bersama dengan sistem Road Surface Scan, suspensi ini juga boleh bersedia awal untuk memberi lebih keselesaan apabila menaiki bonggol.

    Memandangkan ada pelanggan yang mahu membawa GLE mereka ke jalan offroad, sistem suspensi pintar ini juga datang dengan fungsi mod free-driving. Mercedes menerangkan, dengan sistem ini, GLE baru boleh menggoyangkan kenderaan dengan menaik dan menurunkan suspensi beberapa kali secara automatik untuk membantu kenderaan keluar apabila sangkut dalam pasir.

    Mercedes-Benz GLE W167 diperkenal dengan pilihan enjin hibrid ringkas 48V enam silinder, sistem baru

    Selain itu, pengguna juga boleh melaras sendiri tahap ketinggian secara manual untuk semua roda dan penjanaan semula kuasa atas jalan kasar juga boleh dilakukan. Sebagai tambahan kepada E-Active Body Control, suspensi besi yang baru dibangunkan serta suspensi udara Airmatic dengan Adaptive Damping System Plus (ADS+) juga ada ditawarkan.

    Pelbagai lagi sistem keselamatan dan bantuan pemandu turut ditawarkan pada GLE ini, termasuk antaranya Active Distance Assist Distronic, Active Brake Assist (dengan fungsi turning-off), Active Stop-and-Go Assist, Active Steering Assist, Active Distance Assist serta Active Blind Sport Assist (dengan amaran keluar).

    GLE baru ini akan tiba di wakil pengedar Mercedes-Benz di Amerika Syarikat dan Eropah pada awal tahun 2019, diikuti oleh China pada musim bunga 2019. SUV ini akan dibina di kilang syarikat tersebut di Tuscaloosa, Alabama, Amerika Syarikat.

     
     
  • Kerajaan tiada rancangan turunkan harga petrol hingga RM1.50 seliter – Timbalan Menteri Kewangan

    Kerajaan tiada rancangan turunkan harga petrol hingga RM1.50 seliter – Timbalan Menteri Kewangan

    “Manifesto Pakatan Harapan untuk Pilihan Raya Umum lalu tidak menyatakan untuk menurunkan harga bahan api petrol sehingga RM1.50 seliter, mana kerajana tiada rancangan untuk melakukan hal sedemikian,” ujar Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah, laporan Bernama.

    Menurutnya, kerajaan tiada rancangan sedemikian kecuali jika harga minyak mentah dunia turun ke paras itu. “Saya mencari di mana RM1.50 (disebut) dalam buku Pakatan Harapan, tetapi tidak ada. Tidak tahulah jika ada pihak yang dalam keghairahan berkempen menjanjikan perkara itu,” katanya dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

    Beliau menjawab pertanyaan Senator Datuk Ng Chiang Chin mengenai jumlah subsidi minyak yang dibelanjakan dan rancangan kerajaan untuk menurunkan harga minyak ke RM1.50 yang dikatakan dalam manifesto Pakatan Harapan.

    Tambahnya lagi, jumlah subsidi petrol bagi RON95 dan diesel yang ditanggung kerajaan bagi tempoh Mei hingga Julai lalu adalah sebanyak RM1.667 bilion.

    Kerajaan tiada rancangan turunkan harga petrol hingga RM1.50 seliter – Timbalan Menteri Kewangan

    “Pada masa ini kerajaan masih mengekalkan harga runcit petrol RON95 dan diesel masing-masing pada paras RM2.20 dan RM2.18 seliter walaupun harga sebenar pasaran adalah lebih tinggi daripada harga yang dikekalkan. Bagaimana pun, mekanisme terperinci mengenai pelaksanaan sistem subsidi petroleum secara bersasar sedang dikaji dan akan diumumkan setelah ia dimuktamadkan,” ujarnya.

    Menerusi sistem subsidi bersasar itu, subsidi petrol diberikan pada kadar yang sesuai setiap bulan dan mengikut satu kuota yang ditetapkan kepada golongan kumpulan berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40).

    “Subsidi ini diberi kepada golongan yang layak untuk kegunaan motosikal 125cc ke bawah dan kereta 1300cc ke bawah,” jelasnya.

     
     
  • Lexus Digital Outer Mirror akan ditawarkan pada model ES terbaru – kamera, paparan skrin ganti cermin sisi

    Lexus Digital Outer Mirror akan ditawarkan pada model ES terbaru – kamera, paparan skrin ganti cermin sisi

    Lexus bakal menawarkan ciri Digital Outer Mirror, yang menmpatkan kamera dan skrin sebegai ganti cermin sisi, bermula dengan model saloon ES terbaru yang akan datang. Ia akan menjadi model kenderaan pengeluaran massa yang pertama dilengkapi dengan ciri berkenaan. Sebelum ini, Volkswagen hanya mengeluarkan 250 unit XL1 dengan ciri sama, manakala Audi e-tron pula belum memasuki pasaran.

    Pada kedudukan cermin sisi biasa, ia digantikan dengan unit kamera serta di bahagian dalam ditempatkan pula skrin paparan bagi kedua-dua belah kiri dan kanan. Ini memberi kelebihan kepada kejelasan pandangan kepada pemandu dalam konteks untuk memerhatikan kenderaan dari arah belakang – ketika waktu malam atau dalam cuaca yang kurang baik.

    Ia juga bukan sekadar paparan biasa; pandangan yang diberikan lebih lebar, terutama ketika pemandu sedang membelok kenderaannya dan juga sewaktu mengundur. Sistem berkenaan akan memberi tumpuan kepada keadaan persekitaran secara automatik – sebaik saja lampu isyarat diaktifkan atau gear undur dimasukkan.

    Paparan skrin lima-inci itu pula ditempatkan pada sudut A-pillar dan boleh dilaraskan oleh pemandu. Sistem ini adalah lanjutan kepada ciri paparan penuh (FDM) digital bagi cermin pandang belakang yang telah pun ditawarkan oleh Lexus dan Toyota ketika ini.

    Rekaan perumah yang menempatkan kamera di luar juga lebih tirus dan futuristik; sekali gus mengurangkan rintangan angin dan memberikan sudut pandangan depan yang lebih baik kepada pemandu. Ciri ini akan dipasangkan pada model Lexus ES terbaru yang akan memasuki pasaran Jepun hujung Oktober nanti.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025