Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • KTM ETS Ekspres bermula Ogos, KL-Ipoh dalam 2 jam

    KTM ETS Ekspres  bermula Ogos, KL-Ipoh dalam 2 jam

    Dalam keadaan aliran trafik di lebuhraya yang tak terduga, untuk sampai ke lokasi yang dituju pada waktu yang direncana adakalanya terbantut. Dah la tersekat kat kesesakan trafik di lebuhraya, penat memandu pulak tu. Jadi, apa kata, gunakan pengangkutan awam sebagai alternatif. Ini termasuklah menaiki tren KTMB yang kini telah memperkenalkan perkhidmatan KTM ETS Ekspres bermula Ogos ini untuk laluan Kuala Lumpur-Ipoh yang hanya mengambil masa hanya dua jam perjalanan.

    Untuk perkhidmatan sedia ada ETS dari KL Sentral ke Ipoh, ia masih diteruskan dengan mengambil masa perjalanan lebih kurang dua jam 40 minit. Jadi dengan perkhidmatan KTM ETS Ekpres pula, anda dapat menjimatkan masa perjalanan.

    “Ini adalah penambahbaikan daripada kami untuk penumpang dari KL ke Ipoh, selaras dengan menaik taraf sistem dan infrastruktur dalam projek Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) Fasa 1, yang sedang disiapkan secara berperingkat,” kata COO KTMB Mohd Zain Mat Taha di Ipoh semalam.

    Bagaimanakah ETS Ekspres dapat menjimatkan masa? Dengan mengurangkan bilangan stesen yang ia berhenti. Jika kita lihat kepada jadualnya, tren yang lebih laju melangkau bandar seperti Sungai Buloh, Tanjung Malim, Kampar dan Batu Gajah. Di mana, selepas KL Sentral dan Kuala Lumpur (stesen kereta api lama), tren akan terus bergerak ke Ipoh tanpa hentian lain.

    Selain laluan KL-Ipoh yang sangat popular, terdapat juga tren ETS Ekspres dari KL Sentral ke Butterworth (tiga jam 30 minit) dan Padang Besar (empat jam 50 minit). Dengan dua perkhidmatan ETS Ekspres ke ketiga-tiga destinasi, menjadikannya sejumlah enam perkhidmatan tambahan selain daripada jumlah semasa sebanyak 32 perjalanan. Tiket untuk ETS Ekspres ini telah pun dibuka untuk jualan.

     
     
  • Jaecoo Malaysia lancar pusat 3S pertama di Glenmarie

    Jaecoo Malaysia lancar pusat 3S pertama di Glenmarie

    Jaecoo Malaysia telah melancarkan pusat 3S pertamanya yang terletak di Glenmarie, Shah Alam dan dikendalikan oleh ES Premium. Mengikut perancangan, akan ada lagi 34 wakil pengedaran yang akan dibuka untuk mengembangkan lagi jenama ini di Malaysia.

    “Kami sangat teruja untuk melancarkan pengedar 3S utama kami di tengah-tengah Glenmarie Auto City, bukti kesediaan Jaecoo untuk memenuhi keperluan pelanggan di Malaysia. Kami telah melabur dalam rangkaian yang kukuh di seluruh negara untuk membawa pengalaman pemilikan premium pada hari ini dan masa hadapan. Pelaburan kami dalam pengedar utama Glenmarie, yang bernilai RM5.5 juta, merupakan petunjuk jelas komitmen kami untuk mengembangkan pasaran SUV off-road premium untuk jangka panjang,” kata Emily Lek, Naib Presiden Jaecoo Malaysia.

    Pusat 3S Jaecoo Glenmarie ini dibina dengan fasiliti bersaiz 23,000 kaki persegi di kawasan seluas 40,000 kaki persegi. Fasiliti ini menempatkan ruang pameran yang mampu mempamaerkan hingga tujuh model, dengan paparan LED interaktif untuk pengunjung meneliti spesifikasi kenderaan. Selain itu, ia turut menempatkan ruang lounge pelanggan dengan ketersambungan internet berkelajuan tinggi dan juga ruang penghantaran.

    Bagi memenuhi keperluan pelanggan untuk khidmat selepas jualan, disediakan pasukan juruteknik profesional dan dilengkapi ruang servis yang mampu menyelenggara lebih 500 kenderaan sebulan. Turut disediakan ialah ruang kenderaan elektrik (EV) sebagai persediaan untuk model EV yang akan tiba pada masa akan datang.

    Dengan 35 wakil pengedaran yang sudah dilancarkan, rangkaian perkhidmatan Jaecoo Malaysia akan terdiri daripada kira-kira 180 ruang servis di seluruh negara, disokong oleh gudang alat ganti khusus dan kilang pemasangan kenderaan yang dilancarkan baru-baru ini di Shah Alam.

    “Kami bangga menjadi sebahagian daripada rangkaian pengedar Jaecoo Malaysia dan menghidupkan pengalaman premium yang diharapkan oleh Jaecoo, dan yang diperlukan oleh pelanggan. Kami berharap dapat meningkatkan pengalaman eksplorasi apabila pelanggan berkunjung ke sini dengan menyepadukan elemen digital, bersama perkhidmatan yang diberikan oleh penasihat jualan kami yang berkebolehan,” kata Fanny Yap, Pengarah Urusan ES Premium.

    Model pertama Jaecoo yang akan dilancarkan di Malaysia ialah J7 dan SUV terbabit dijangka akan dilancarkan pada 19 Julai ini. J7 juga merupakan model pertama daripada jenama ini yang dipasang secara tempatan (CKD) di Malaysia dan akan dieksport ke pasaran lain di rantau ASEAN.

    Jika anda mahu memandu uji J7 atau pun sekadar mahu cuci mata di pusat 3S Jaecoo Glenmarie ini, ia terletak di No. 2D, Jalan Pelukis U1/46, Temasya Industrial Park, Shah Alam, Selangor.

     
     
  • Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur kembali ke MITEC pada Nov 8-10 2024, tiket early bird sudah mula dijual

    Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur kembali ke MITEC pada Nov 8-10 2024, tiket early bird sudah mula dijual

    Selepas berjaya dilangsungkan buat julung kalinya tahun lalu, Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) bakal kembali semula diadakan di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) tahun ini dan ia akan berlangsung bermula dari 8 hingga 10 November 2024.

    Tahun lalu TASKL telah membawa acara tahunan ulung budaya automotif Jepun, Tokyo Auto Salon ke Malaysia di atas tapak seluas 130,000 kaki persegi dan telah menarik lebih dari 91,000 pengunjung. Selain dari pertandingan kenderaan ubahsuai tempatan, TASKL turut membawa kereta-kereta ubahsuai sebenar milik penala-penala Jepun seperti Top Secret, Spoon, HKS, Greddy dan pelbagai lagi.

    Malah ia turut diserikan dengan kehadiran ‘selebriti’ dalam dunia tersebut seperti pengasas Top Secret, Smokey Nagata, pemilik Vertex Ridge, Takahiro Ueno dan pengarah R&D Spoon Sports, Daisuke Jomoto.

    Bagi TASKL tahun ini, ia akan menampilkan tapak acara yang lebih besar dengan keluasan 170,000 kaki persegi dan akan dihoskan oleh Element X Strategies sebagai pemegang lesen rasmi tunggal dan MUSE Group Asia sebagai penganjur bersama, dengan kerjasama San Ei Corporation – pemilik harta intelek Tokyo Auto Salon dan Persekutuan Tokyo Auto Salon.

    “Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur tahun ini menjanjikan pengalaman yang sangat menarik, lebih besar dan hebat untuk pengunjung dan peserta pameran. Seperti pertunjukan asal di Jepun, banyak usaha telah dilakukan untuk memastikan pameran tahun ini terus mengatasi jangkaan peminat,” kata Jason Yap, pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Element X Strategies.

    Sementara itu, Riduwan Matni, Ketua Pegawai Eksekutif MUSE Group Asia, mendedahkan bahawa penala dan pempamer Jepun yang hadir di TASKL tahun lepas terkejut dengan sambutan peminat Malaysia terhadap acara tersebut dan berjanji untuk kembali dengan cara yang lebih besar tahun ini.

    “Dengan barangan dan komponen terpilih yang tiba-tiba habis dijual pada hari pertama, mereka perlu menerima pra-pesanan. Ia adalah masalah yang baik untuk dihadapi, tetapi mereka telah memberi jaminan kepada kami bahawa mereka pasti akan lebih bersedia untuk Malaysia tahun ini,” kata Riduwan.

    Tiket-tiket early bird telah pun mula dijual secara atas talian, dijual pada harga RM50 untuk sehari dan RM120 untuk pas tiga hari. Tiket turut boleh beli dikaunter pada hari acara dilangsungkan dengan harga RM60 untuk sehari. Manakala tiket untuk kanak-kanak berumur antara enam dan 12 tahun berharga RM25 sehari (early bird) atau RM30 sehari (hari acara) dan RM60 untuk pas tiga hari. Kanak-kanak di bawah umur enam tahun boleh masuk secara percuma.

    Khas untuk orang kurang upaya (termasuk seorang penjaga jika diperlukan), mereka berhak mendapat potongan 50% daripada harga tiket. TASKL tahun ini juga akan menyaksikan pengenalan tiket Express Lane berharga RM70 sehari untuk early bird dan RM80 sehari pada hari acara. Juga disediakan ialah pas VIP pada harga RM150 sehari yang termasuk akses percuma ke ruang istirahat VIP. Bagi mereka yang mahukan pengalaman paling eksklusif, akses Black Tag khas tersedia dengan harga RM1,500 dan diberikan dengan beberapa keistimewaan.

    GALERI: Tokyo Auto Salon Kuala Lumpur (TASKL) 2023

    GALERI: Garage Active Nissan Skyline R32 GT-R Carbon-R di TASKL 2023

    GALERI: Nissan Skyline GT-R R34 J-Tune milik Tunku Panglima Johor di TASKL 2023

    GALERI: Koleksi replika kereta watak-watak Initial D di TASKL 2023

    GALERI: Van-van dan MPV yang diubahsuai di TASKL 2023

     
     
  • Honda CB350RS tiba di Malaysia – RM20,500

    Honda CB350RS tiba di Malaysia – RM20,500

    Diperkenalkan buat pertama kali di India pada tahun 2021, Honda CB350RS kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM20,500 tidak termasuk insurans. Ia ditawarkan dalam dua warna iaitu Mat Massive Gray Metallic dan Athletic Blue Metallic.

    Model ini sebenarnya menggunakan asas yang sama dengan H’ness 350 tetapi dijadikan dengan gaya yang lebih kepada scrambler. CB350RS tidak mempunyai banyak kemasan krom seperti H’ness 350 dan dilengkapi fender hadapan lebih pendek, fender belakang tinggi, getah pelindung fork serta ekzos berwarna hitam (sedikit kemasan krom).

    Penggerak CB350RS adalah enjin satu silinder suntikan bahan api, SOHC, penyejukan udara 348 cc bersama transmisi lima kelajuan dengan klac jenis assist & slipper, mampu menghasilkan 20.8 hp pada 5,500 rpm dan tork 30 Nm pada 3,000 rpm.

    Walaupun nampak seperti model klasik, model ini masih datang dengan kelengkapan moden seperti ABS dual-channel, kawalan cengkaman HSTC yang boleh ditutup menggunakan suis serta meter gabungan analog dan skrin LCD.

    Sistem suspensi ringkas sahaja dengan tetapan fork teleskopik di hadapan dan dua penyerap hentak di belakang, dan ia memegang masing-masing rim 19 inci yang dibalut tayar 100/90 dan 17 inci dengan tayar 150/70. Brek kedua-duanya menggunakan unit cakera tunggal bersaiz 310 mm di hadapan dan 240 mm di belakang.

    Berat keseluruhan CB350RS adalah 178 kg dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 15 liter. Kesemua lampunya adalah unit LED.

     
     
  • BYD Hartamas dilancarkan – bakal dilengkapi pusat servis dan alat ganti pada suku keempat 2024

    BYD Hartamas dilancarkan –  bakal dilengkapi pusat servis dan alat ganti pada suku keempat 2024

    Sime Darby Motors (SDM) iaitu syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk jenama BYD di Malaysia telah melancarkan BYD Hartamas, yang merupakan pusat 3S pertama jenama ini yang terletak di dalam pusat membeli-belah. Berlokasi di Hartamas Shopping Centre, pusat 3S ini berkeluasan sekitar 8,000 kaki persegi dan menyediakan pelbagai kemudahan yang diwujudkan untuk memperkaya pengalaman pelanggannya.

    Ia menyediakan ruang pameran kenderaan yang cukup luas, ruang menunggu yang mewah untuk pelanggan, bilik rundingan khas serta ruang serahan kenderaan. Untuk lebih selesa, ruang menyambut pelanggan bagi urusan lepas jualan yang menggabungkan reka bentuk moden dengan proses servis khusus untuk setiap pelanggan bersambung terus dari tempat letak kereta pusat beli-belah.

    Terdapat enam tempat letak kereta turut tersedia di luar, dengan setiap satunya dilengkapi empat pengecas untuk dimanfaatkan oleh pemilik BYD. Dengan pelan reka bentuk yang teliti, pusat ini bukan sahaja memudahkan capaian pelanggan, tetapi turut mencerminkan kesungguhan BYD terhadap penyelesaian mobiliti mapan.

    Pusat BYD Hartamas ini juga bakal dilengkapi dengan pusat servis dan alat ganti yang direncanakan siap pada suku ke-empat tahun ini.

    “Pembukaan Pusat BYD Hartamas di Hartamas Shopping Centre ini bukan sahaja membawa aura segar ke pasaran Malaysia, tetapi turut menyuntik momentum baharu dalam memperkenalkan mobiliti hijau di Malaysia,” kata Pengurus Besar BYD Asia-Pasifik, Liang Xinyue sewaktu melancarkan premis berkenaan petang ini.

    Tambah beliau, lokasi itu sesuai kerana ia menawarkan kemudahan membeli-belah produk BYD sekaligus urusan servis kereta pelanggan. Liang percaya pelanggan BYD di Hartamas dan kawasan sekitar semakin bertambah jumlahnya dan pembukaan pusat baharu ini bertujuan untuk memenuhi permintaan pelanggan yang ingin mencari kenderaan mesra alam.

    Sebagai peneraju global bagi kenderaan tenaga baharu, BYD berdedikasi untuk menyediakan penyelesaian mobiliti hijau termaju di seluruh dunia. Dengan sokongan dasar kerajaan yang menggalakkan, pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia mempunyai potensi yang cukup besar. Oleh itu, kerjasama dengan Harmony Auto dilihat berupaya membantu mempopularkan kenderaan tenaga baharu di Malaysia yang sejajar dengan matlamat negara untuk pengangkutan mapan.

    Pada masa akan datang, kedua-dua pihak akan mengukuhkan lagi kerjasama dengan membuka lebih banyak cawangan BYD di Malaysia dan bersama-sama mengembangkan lagi pasaran kenderaan tenaga baharu di Malaysia.

     
     
  • Harga minyak 27 Jun-3 Julai – Masih dikekalkan

    Harga minyak 27 Jun-3 Julai – Masih dikekalkan

    Untuk minggu bertarikh 27 Jun hingga 3 Julai 2024, Kementerian Kewangan (MOF) telah mengumumkan bahawa harga runcit petrol RON 97 dan RON 95 serta diesel masih dikekalkan.

    Di mana petrol RON 97 masih dikekalkan pada harga runcit RM3.47 seliter, setelah mengalami kenaikan terakhir (setakat ini) sebanyak 10 sen seliter pada 20 September 2023. Manakala harga runcit bagi RON 95 yang telah mencapai harga siling masih dikekalkan pada paras RM2.05 seliter.

    Pada 10 Jun 2024, harga baharu bagi diesel Euro B10/B20 telah dinaikkan pada kadar RM3.35 seliter untuk Semenanjung Malaysia sahaja. Ia melibatkan kenaikan sebanyak RM1.20 berbanding harga sebelum ini iaitu RM2.15 seliter, yang dikekalkan sejak Februari 2021. Walau bagaimana pun harga diesel untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada pada RM2.15 seliter.

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bagi diesel adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei. Pada 13 Jun lalu, beliau turut berkata, setakat ini belum ada keperluan subsidi bersasar itu dilaksanakan ke atas petrol RON95. Terkini, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli pula memaklumkan bahawa Kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95.

     
     
  • Aston Martin Valiant – V12 5.2 liter turbo berkembar, 745 PS, 6-kelajuan manual, hanya 38-unit; habis dijual!

    Aston Martin Valiant – V12 5.2 liter turbo berkembar, 745 PS, 6-kelajuan manual, hanya 38-unit; habis dijual!

    Ketika pembuat-pembuat automotif global sedang beralih ke arah teknologi elektrifikasi, jenama kereta sport dari United Kingdom, Aston Martin antara jenama yang ‘degil’ dan masih taksub dengan enjin pembakaran dalaman. Ini dia Aston Martin Valiant, model edisi terhad yang hanya diproduksi sebanyak 38-unit, tidak diberikan sebarang sistem elektrifikasi dan masih menggunakan kotak gear manual!

    Menurut Aston Martin, Valiant dihasilkan sebagai model yang sangat difokuskan pada pemanduan litar tetapi ia masih sah untuk digunakan atas jalan raya. Jentera ini dibangunkan oleh unit pembangunan model-model khas Aston Martin sendiri iaitu Q, dan ia sebenarnya bermula dengan permintaan dari pemandu pasukan Formula 1 Aston Martin Aramco, Fernando Alonso yang mahukan sebuah kereta yang ringan, lebih ekstrem dari Aston Martin Valour, serta diispirasikan dari kereta lumba.

    Valiant masih dijana oleh enjin V12 5.2 liter dengan dua pengecas turbo seperti Valour, namun ia menghasilkan kuasa yang lebih besar iaitu 745 PS berbanding 715 PS/753 Nm pada Valour. Bagi menyampaikan sepenuhnya kuasa ke roda belakang, ia gandingkan dengan kotak gear manual enam-kelajuan tanpa menawarkan versi automatik.

    Antara perkara yang dibuat bagi meringankan lagi kereta ini termasuk pemadanan subframe belakang yang dibuat dengan kaedah cetakan 3D (3kg), tiub tork yang diperbuat dari magnesium (-8.6kg) dan bateri jenis lithium ion spesifikasi perlumbaan (-11.5kg). Malah Valiant turut dipadankan dengan set rim magnesium 21-inci (dengan tayar 275/35R21 di hadapan dan 323/30R21 di belakang) bukan sahaja dapat mengurangkan berat sebanyak 14kg, ia juga dapat memberikan respons stereng serta kawalan roda.

    Aston Martin Valiant – V12 5.2 liter turbo berkembar, 745 PS, 6-kelajuan manual, hanya 38-unit; habis dijual!

    Aston Martin menyatakan aspek yang paling memberikan karekter pada Valiant adalah penggunaan penyerap hentak jenis Multimatic Adaptive Spool Valve (ASV) pada kereta ini yang tidak ada ditawarkan oleh mana pengeluar-pengeluar aftermarket. Sistem ini mampu untuk sentiasa menala setiap penyerap hentak kepada satu daripada tiga puluh dua lengkung peredam dalam masa kurang daripada enam milisaat.

    Bagi menghentikan kereta ini, Aston Martin Valiant dilengkapkan dengan set brek seramik karbon secara standard, dengan cakera bersaiz 410mm x 38mm dihadapan dan 360mm x 32mm di belakang.

    Rupa asas luaran Valiant ini masih nampak seperti Valour, namun ia diberikan perincian aerodinamik yang jauh lebih ekstrem. Keseluruhan panel badan Valiant ini diperbuat dari bahan gentian karbon. Di hadapan, ia diberikan spoiler bawah dan splitter bersaiz besar yang mengalirkan udara di sekitar roda hadapan.

    Manakala gril gentian karbon bersaiz besar yang diberikan berfungsi bukan sahaja untuk memberikan aliran udara sejuk pada ruang enjin, malah ia turut mengurangkan beban pada bahagian hadapan bagi membantu memberikan agihan berat lebih seimbang seterusnya memberikan pengendalian lebih baik, menurut Aston Martin.

    Aston Martin Valiant – V12 5.2 liter turbo berkembar, 745 PS, 6-kelajuan manual, hanya 38-unit; habis dijual!

    Set rim magnesium 21-inci Valiant ini turut dilengkapkan penutup cakera aero yang diinspirasikan dari kereta lumba Le Mans RHAM/1 ‘Muncher 1980, dan ia berfungsi bagi mengurangkan golakan dan seretan udara yang terhasil ketika roda berputar.

    Setiap ruang roda juga diberikan liang udara bagi membolehkan aliran Udara masuk dan keluar untuk menyejukkan sistem brek karbon seramik kereta ini. Manakala di belakang, ia menerima rekaan “Kamm tail” bersama spoiler bersaiz besar, bersama diffuser gergasi di bawah yang didakwa mampu menghasilkan pengurangan positif terhadap daya angkat dan seretan. Bahagian tersebut turut menjadi perumah kepada empat tip ekzos titanium yang diletak pada bahagian tengah bagi menyerlahkan raungan enjin V12 kereta ini.

    Kokpit Valiant hanya boleh memuatkan dua orang termasuk pemandu, dan ia turut menerima banyak perincian gentian karbon dalam kemasan satin bagi mengurangkan beratnya dan sepasang tempat duduk perlumbaan Recaro Podium. Pelanggan boleh memilih upholsteri Alcantara atau kulit separa-aniline pada bahagian kabin kereta ini.

    Selain itu, Valiant turut dipadankan dengan separa roll-cage bukan sahaja untuk memberikan imej seperti kereta lumba, malah untuk keselamatan dan membolehkan tali pinggang keselamatan perlumbaan empat poin dipasang pada kabin tersebut. Dan bagi ‘meraikan’ kotak gear manual pada kereta ini, ia turut diberikan tuil penukar gear jenis-H yang menyerlahkan mekanisma mekanikal di bawahnya.

    Aston Martin tidak memberitahu harga sebenar Valiant ini kerana ia bergantung kepada perincian opsyen yang dipilih pelanggan. Walau bagaimanapun kesemua 38-unit Aston Martin Valiant ini sebenarnya sudah habis ditempah dan ia akan mula dihantar kepada pelanggan bermula suku ke-4 2024.

    Kereta ini juga bakal membuat kemunculan sulungnya di khalayak ramai pada Goodwood Festival of Speed 2024 pada 11 hingga 14 Julai nanti, dan ia akan dipandu oleh Fernando Alonso pada laluan Hill Climb acara tersebut.

     
     
  • Carro Care — cat semula kereta anda dari RM1,800 dengan promosi diskaun 40% hingga 6 Julai 2024

    Carro Care — cat semula kereta anda dari RM1,800 dengan promosi diskaun 40% hingga 6 Julai 2024

    Jika anda merancang untuk menggunakan kereta lebih lama, menyuntik penampilan baru yang lebih segar dengan mengecatnya semula merupakan sesuatu yang sangat wajar dilakukan untuk mengubahnya kepada keadaan seperti awal ketika keluar dari kilang dahulu. Untuk ini, ada berita baik — anda kini boleh menikmati promosi Carro Care untuk mengecat semula kereta, dengan menikmati potongan sehingga 40%!

    Apa yang perlu anda lakukan hanyalah mengisi butiran dalam borang ini.

    Perkhidmatan cat semula kenderaan oleh Carro Care juga datang dengan jaminan tiga-tahun. Jadi, jika ada apa-apa masalah atau kecacatan, anda sentiasa boleh membawa kereta kembali untuk diperiksa keadaan catnya.

    Berikut senarai harga dan harga promosinya. Anda boleh mengecat semula apa saja kereta, tidak semestinya hanya model yang tersenarai ini. Model yang dinyatakan ini adalah sebagai contoh harga bagi kategori berbeza.

    Carro Care — cat semula kereta anda dari RM1,800 dengan promosi diskaun 40% hingga 6 Julai 2024

    Ketika ini, Carro Care mempunyai dua pusat badan & cat yang terletak di Taman Perindustrian Subang USJ serta satu di Ulu Tiram, Johor. Pusat badan & cat ketiga akan dibuka tidak lama lagi, dan terletak di Seremban.

    Klik di sini untuk masukkan butiran anda dan membuat tempahan. Hanya masukkan nama dan perincian untuk dihubungi dalam borang yang disediakan. Anda akan dihubungi nanti.

    Carro Care — cat semula kereta anda dari RM1,800 dengan promosi diskaun 40% hingga 6 Julai 2024

    Ini kelebihan jika anda menggunakan pakej cat semula kereta Carro Care:

    • Jaminan tiga-tahun — jika ada sebarang kerosakan cat, anda boleh hantar kereta semula untuk diperbaiki
    • Menggunakan produk cat berkualiti tinggi dari Jepun
    • Pakar cat dari Jepun dengan pengalaman selama 25 tahun yang mengetuai

    Ketahui lebih lanjut tentang pakar cat Jepun Carro Care melalui video ini:

    Berikut video testimoni daripada pelanggan yang sudah pernah memanfaatkan pakej car semula Carro Care:

    VIDEO: Restorasi penuh Proton Waja

    Kadang kala anda tidak mahukan kereta baharu, kerana kereta lama ada banyak nilai sentimental. Dalam kes ini, lebih menarik untuk buat restorasi penuh, bukan?

    VIDEO: Perodua Myvi cat baharu sepenuhnya

    Wanita ini menghantar Perodua Myvi miliknya untuk servis cat sepenuhnya. Tonton video ini untuk lihat hasilnya.

    VIDEO: Auti TT cat semula sepenuhnya

    Audi TT ini dihantar untuk ditukar kepada warna kuning dan hitam!

     

    Comments are Disabled | Leave a comment?

     
  • BMW M5 G90 diperkenal dengan sistem PHEV – enjin V8 4.4L 727 PS, tork 1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat

    BMW M5 G90 diperkenal dengan sistem PHEV – enjin V8 4.4L 727 PS, tork 1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat

    Sebelum ini semasa BMW M5 generasi keenam F90 diperkenalkan, ia membawa suatu perubahan yang radikal kepada model M5 dengan pemasangan sistem pacuan semua roda. Sekarang pengeluar Jerman itu naik satu tahap lagi dengan memasukkan pula sistem plug-in hybrid kepada sedan sports ini.

    Buat pertama kali dalam sejarahnya, M5 kini mendapat enjin dengan bantuan kuasa elektrik, yang dipanggil oleh BMW sebagai sistem M Hybrid – juga digunakan pada XM. Antara nombor pentingnya adalah kuasa 727 PS (717 hp atau 535 kW), tork 1,000 Nm dan pecutan 0-100 km/j dalam masa 3.5 saat. Walaubagaimanapun, kereta ini sudah bertambah berat dengan kini hampir mencapai 2.5 tan dan 500 kg lebih berat berbanding M5 F90 sebelum ini.

    Penggerak utama M5 G90 ini adalah enjin petrol V8 4.4 liter twin turbo, yang mampu menghasilkan 600 PS (591 hp atau 441 kW) pada 6,000 rpm dan tork 750 Nm dari 1,800 ke 5,600 rpm. Ia kemudiannya dipadankan bersama transmisi automatik M Steptronic lapan kelajuan serta sistem pacuan semua roda M xDrive dengan Drivelogic. Melalui mod yang disediakan, pemandu boleh menjadikan kereta ini RWD jika mahu.

    Untuk transmisi, ia disepadukan dengan motor elektrik yang dapat memberi tambahan kuasa 197 PS (194 hp atau 145 kW) dan tork 280 Nm. Memberi kuasa kepada motor ini adalah bateri lithium ion 22.1 kWh, yang juga boleh memberikan jarak gerak elektrik sehingga 69 km dan boleh dicas menggunakan sumber AC 7.4 kW dalam masa tiga jam 15 minit.

    Kelengkapan lain yang membantu prestasi M5 baru ini adalah termasuk sistem ekzos sport dengan injap kawalan elektronik, tapak enjin hidraulik, suspensi adaptif M, sistem stereng boleh ubah Servotronic, Integral Active Steering dan pendakap khas M di beberapa bahagian penting.

    Brek standard yang diberi adalah unit M Compound dengan cakera 410 mm dan angkup enam piston di hadapan, manakala di belakang ia datang dengan cakera 398 mm dan angkup satu piston. Selain warna asal biru, pelanggan boleh memilih angkup yang berwarna hitam atau merah.

    BMW M5 G90 diperkenal dengan sistem PHEV – enjin V8 4.4L 727 PS, tork 1,000 Nm, 0-100 km/j 3.5 saat

    Brek seramik M Carbon disediakan sebagai pilihan tambahan, dan ia memberikan cakera 420 mm di hadapan, bersama angkup yang berwarna emas. Selain lebih mencengkam, ia juga 25 kg lebih ringan. Melengkapkan penampilan M5 G90 ini adalah rim M 20 inci di hadapan dan 21 inci di belakang.

    Lima mod pemanduan disediakan iaitu Hybrid, Electric, eControl, Dynamic dan Dynamic Plus. Jika mahukan lebih prestasi, pemandu boleh memilih M Dynamic Mode, ataupun butang tutup DSC untuk lebih gelinciran. Sistem DSC, ABS, CBC (Cornering Brake Control) dan ADB-X (Automatic Differential Brake) turut dikemas kini, manakala fungsi Launch Control dan Boost Control boleh digunakan untuk lebih prestasi.

    Selain penampilan agresif dan badan yang lebih lebar, kereta ini juga mendapat barangan lain seperti spoiler kecil atas but, diffuser dengan dua muncung ekzos di setiap sisi bampar belakang serta lencana M5. Bumbung M Carbon disediakan sebagai pilihan tambahan.

    Di dalam, susun atur papan pemuka sama sahaja seperti 5 Series biasa tetapi ia diperkemas dengan barangan M termasuk roda stereng dengan tanda merah di tengah serta butang khas M untuk pemilihan mod pemanduan. Jika mengambil pakej M Drive Professional, pedal penukar gear sebelah kanan di stereng mempunyai tanda ‘Boost’.

    Skrin Curved Display yang terdiri daripada panel instrumen digital 12.3 inci dan skrin sesentuh tengah 14.9 inci pada kereta ini turut dimasukkan dengan paparan khas M, dan menjadikan suasana lebih menarik adalah lampu suasana Interaction Bar dan head-up display. Turut disediakan adalah bumbung panoramik dan sistem bunyi Bowers & Wilkins.

     
     
  • Kekal bersih untuk bahagian penting enjin anda dan Pandu Lebih Jauh bersama Caltex dengan Techron

    Kekal bersih untuk bahagian penting enjin anda dan Pandu Lebih Jauh bersama Caltex dengan Techron

    Ramai yang inginkan jarak paling jauh bagi setiap isian tangki penuh bahan api untuk kenderaan mereka. Namun, bukan hanya cara pemanduan yang menentukannya. Kesihatan enjin kereta juga akan memberi kesan sejauh mana anda boleh pergi, dan sekaligus memastikan kenderaan berfungsi dengan baik — kedua-duanya merupakan faktor penting.

    Selain penyelenggaraan yang baik, jenis bahan api yang digunakan turut memainkan peranan dalam hal ini. Jika menggunakan Caltex dengan Techron®, anda pasti akan dapat memandu lebih jauh setiap kali membuat pengisian penuh di stesen Caltex.

    Caltex dengan Techron® yang diformulasikan dengan Clean & Glide Technology™ telah dibuktikan secara saintifik dapat membersihkan enjin kereta anda untuk melindungi permukaan logam dan mengurangkan kehausannya. Sebagai tambahan, pakej aditif unik yang mengandungi bahan pembersih aktif yang direka juga akan bertindak menanggalkan kotoran serta menghindarkan mendapan daripada terbentuk di bahagian penting sistem minyak kereta anda.

    Dengan ini, setiap isian minyak menggunakan Caltex dengan Techron® akan memastikan enjin kereta anda dilindungi dan memastikan prestasinya sentiasa berada di tahap optimum, sekaligus memberikan penjimatan bahan api serta mengurangkan pembebasan emisi*. Tidak kira sama ada menggunakan RON 95 yang lebih murah atau RON 97 untuk lebih prestasi, anda akan menikmati kelebihan yang sama ditawarkan oleh Clean & Glide Technology™.

    Dengan ujian makmal yang menyeluruh serta keputusan yang telah dibuktikan, Caltex dengan Techron® merupakan bahan api yang wajar digunakan untuk memastikan bahagian penting enjin kereta anda sentiasa bersih dan berada dalam keadaan terbaik. Ketahui lebih lanjut di sini dan cuba rasakan perbezaannya sendiri.

    *Hidrokarbon, karbon monoksida dan nitrus oksida.

     
     
  • Sime Darby Drivecare – pusat servis sehenti berbilang francais, tawar khidmat berkualiti dan mampu milik

    Sime Darby Drivecare – pusat servis sehenti berbilang francais, tawar khidmat berkualiti dan mampu milik

    Sime Darby Motors (SDM) hari ini melancarkan satu lagi cabang perniagaan automotifnya di Malaysia, iaitu pusat servis sehenti berbilang francais yang dikenli sebagai Drivecare. Pelancaran ini berlangsung di salah sebuah cawangan Drivecare yang terletak di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

    Menurut SDM, Drivecare diwujudkan bagi memenuhi keperluan pemilik kereta daripada semua segmen dan jenama, menawarkan harga yang berpatutan, menyediakan kemudahan dan kaselesaan kepada pelanggan, serta disokong oleh kepakaran jurutekniknya yang terlatih.

    Syarikat itu turut menyatakan bahawa Drivecare juga diperkenalkan bagi menangani keresahan umum yang dihadapi oleh pelanggan di banyak bengkel servis kenderaan, seperti kemudahan yang tidak mencukupi dan mutu kerja kurang baik, perkhidmatan pelanggan kurang memuaskan dan ketiadaan ruang menunggu yang selesa.

    “Dengan memanfaatkan kepakaran automotif SDM yang luas dan kelengkapan yang canggih, Drivecare menjanjikan pengalaman luar biasa bagi perkhidmatan dan penyenggaraan kereta pada harga yang berdaya saing.

    “Pelanggan Drivecare boleh menikmati kemudahan yang disenggarakan dengan baik, ruang kerja teratur dan ruang menunggu yang selesa. Kemudahan terkini dan peralatan canggih di Drivecare memastikan bahawa setiap kenderaan mendapat perhatian dan penjagaan rapi daripada pasukan juruteknik berpengalaman,” kata SDM dalam kenyataan yang dikeluarkan.

    Pengarah urusan Sime Darby Motors Andrew Basham pula menyatakan bahawa Drivecare mencerminkan komitmen syarikatnya untuk meluaskan kemudahan penjagaan kenderaan terbaik kepada rakyat Malaysia.

    Sime Darby Drivecare – pusat servis sehenti berbilang francais, tawar khidmat berkualiti dan mampu milik

    “Dengan menggabungkan kualiti perkhidmatan tiada tandingan dengan nilai hebat, kami berhasrat memberikan pengalaman yang lancar dan luar biasa kepada pemilik kenderaan. Drivecare bakal menetapkan penanda aras baharu bagi kecemerlangan perkhidmatan lepas jualan,” katanya.

    Selain menyediakan servis untuk orang ramai, Drivecare turut disokong oleh Sime Darby Auto Selection, iaitu jaringan jualan kenderaan pramilik yang turut dimiliki oleh SDM. Drivecare yang beroperasi di dalam kemudahan Auto Selection, akan menjamin perkhidmatan dan sokongan lancar bagi pembeli kenderaan pramilik, kata SDM lagi.

    Buat masa sekarang pusat servis Drivecare Chan Sow Lin ini boleh menerima pelanggan sehingga 10-unit kenderaan sehari dengan menyediakan enam ruang servis. Ia juga menyediakan kaunter khas untuk pelanggan yang mahu membeli alat ganti tulen yang ditawarkan di sini.

    Bagi pelanggan yang tidak berkesempatan untuk menghantar kereta mereka diservis di fasiliti ini, Drivecare turut menawarkan khidmat servis bergerak yang boleh datang ke tempat pelanggan dalam radius 40 km dari pusat servis. Selain servis penukaran minyak enjin, khidmat servis bergerak ini turut mampu untuk memberikan khidmat lain seperti penukaran pad brek, tayar dan juga imbangan tayar.

    Sempena pelancarannya, dari 26 Jun hingga 31 Julai 2024, Drivecare menawarkan promosi istimewa bagi mengalu-alukan pelanggan menikmati pengalaman servis yang disediakan. Antaranya termasuk pemeriksaan kenderaan percuma, diskaun 20% untuk caj alat ganti dan buruh, set bilah pengelap cermin percuma dengan setiap penggantian cermin depan, khidmat cucian kereta percuma untuk semua servis dan satu produk Liqui Moly turut diberi secara percuma.

    Di samping itu, Drivecare turut menawarkan promosi tempoh terhad bagi pelanggan yang menghantar dua kenderaan untuk diservis. Seramai 100 pelanggan pertama yang membawa kereta kedua untuk servis akan menikmati diskaun 50 peratus bagi minyak enjin, tertakluk kepada terma dan syarat. Tawaran hanya sah untuk kenderaan yang didaftarkan di bawah pemilik yang sama.

    Selain dari cawangan di Kuala Lumpur ini, Drivecare turut telah beroperasi menerusi satu lagi cawangannya yang terletak di Glenmarie, Shah Alam. Drivecare bukan hanya dirancang untuk diperluaskan ke seluruh negara, malah ia turut disasar untuk di bawa ke semua pasaran Asia Tenggara, dikuti oleh pelancaran meliputi operasi SDM di seluruh rantau Asia Pasifik. Ia selaras dengan komitmen SDM bagi “menawarkan perkhidmatan automotif yang boleh dipercayai dan mudah didapati.”

     
     
  • Tiada perancangan bina laluan khas motosikal di lebuhraya yang sudah beroperasi – Menteri KKR

    Tiada perancangan bina laluan khas motosikal di lebuhraya yang sudah beroperasi – Menteri KKR

    Buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk membina laluan khas motosikal di lebuhraya yang sudah beroperasi, kata Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Menurut beliau lagi, untuk membina laluan khas motosikal di lebuhraya yang sudah beroperasi pastinya kerajaan yang perlu menaggung kos tambahan yang tinggi kerana tiada dalam perjanjian konsesi antara kerajaan dan syarikat konsesi lebuhraya, laporan Harian Metro.

    “Bagaimanapun, pihak kerajaan akan meneliti perkara ini dalam rundingan cadangan projek lebuhraya baharu pada masa akan datang tertakluk kepada beberapa faktor seperti kadar tol dan tempoh konsesi,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.

    Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) mengenai perkembangan terkini dasar mewajibkan laluan khas motosikal di lebuhraya dan hasrat untuk menambah baik lebuhraya yang tidak mempunyai laluan khas motosikal termasuk Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3).

    Alexander turut berkata, cadangan penyediaan laluan khas bagi penunggang motosikal di LPT 3 akan diteliti di peringkat Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri.

    Tiada perancangan bina laluan khas motosikal di lebuhraya yang sudah beroperasi – Menteri KKR

    “Ini kerana cadangan laluan khas penunggang motosikal ini akan memberikan impak kepada kos pembinaan dan daya maju projek tersebut yang akhirnya akan diimbangi oleh kadar tol tinggi dan tempoh konsesi lebih panjang,” katanya.

    Shaharizukirnain turut bertanyakan mengenai usaha untuk mengurangkan risiko ancaman keselamatan di laluan motosikal yang disediakan di lebuh raya.

    Alexander menjawab, pemantauan aspek keselamatan dilaksanakan menerusi rondaan berkala oleh syarikat konsesi lebuh raya. Di mana pemantauan juga dibuat menerusi imej kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa lokasi berisiko dan strategik di lebuh raya.

    “Selain itu, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan syarikat konsesi sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan keselamatan pengguna lebuh raya termasuk penunggang motosikal.

    “Usaha turut dijalankan oleh LLM dan syarikat konsesi untuk mengurangkan kadar kemalangan membabitkan penunggang motosikal menerusi kempen keselamatan yang diadakan dari semasa ke semasa serta kerjasama dengan komuniti setempat,” katanya.

     
     
  • Kerajaan sedang teliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan untuk petrol RON95 – Rafizi Ramli

    Kerajaan sedang teliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan untuk petrol RON95 – Rafizi Ramli

    Menteri Ekonomi Rafizi Ramli memaklumkan bahawa Kerajaan sedang meneliti keperluan rasionalisasi subsidi dilaksanakan ke atas petrol RON95. Katanya lagi, buat masa ini, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada pelaksanaan subsidi diesel yang dilaksanakan bermula 10 Jun lalu sehingga penyasaran subsidi itu menjadi stabil, sekali gus mencapai objektif yang ditetapkan, laporan Berita Harian.

    “Jika rasionalisasi subsidi ke atas petrol RON95 dilaksanakan pada masa akan datang, kerajaan akan mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan golongan yang terkesan akan diberikan bantuan yang sewajarnya,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat semalam.

    Ia adalah bagi menjawab soalan Dr Radzi Jidin (PN-Putrajaya) mengenai bila subsidi bersasar akan dilaksanakan sepenuhnya seperti kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 November 2022 dan adakah subsidi bersasar bagi petrol akan dilaksanakan tahun ini, selain jaminan kerajaan yang harga barang tidak akan terus meningkat selepas subsidi bersasar dilaksanakan.

    Jelasnya, pelaksanaan rasionalisasi subsidi juga akan membantu kerajaan memperkukuh kedudukan fiskal dan mengoptimumkan sumber yang ada. Selain itu, ia juga dapat mengurangkan ketirisan dalam pengagihan subsidi.

    “Penjimatan daripada inisiatif penyasaran semula subsidi akan dipulangkan kepada rakyat melalui pelaksanaan program dan projek yang lebih memberi manfaat serta benar-benar diperlukan rakyat, seperti penambahbaikan dalam penyediaan perkhidmatan sosial dan kemudahan awam, termasuk kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan keselamatan,” katanya.

     
     
  • Petron di Restoran Jejantas Sg Buloh tutup hingga 22 Ogos, Petronas di R&R Tapah tutup sepanjang hari

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan stesen Petron di Restoran Jejantas Sungai Buloh (arah utara) dan stesen Petronas di R&R Tapah (arah utara) ditutup sementara bagi kerja-kerja penyelenggaraan.

    Bagi stesen Petron di Restoran Jejantas Sungai Buloh (arah utara) ditutup mulai hari ini (26 Jun) hingga 22 Ogos. Namun jangan risau, ada stesen minyak lain yang boleh anda tuju, tidak jauh dari situ iaitu stesen Petronas di R&R Rawang.

    Sementara itu, bagi stesen Petronas di R&R Tapah (arah utara), ia hanya ditutup satu hari sahaja iaitu bermula jam 8 pagi tadi hingga 8 pagi esok (27 Jun). Sebagai alternatif, ada stesen Shell di kawasan R&R yang sama.

    Walau pun terdapat penutupan stesen minyak di lokasi berkenaan, namun kawasan R&R terbabit masih beroperasi seperti biasa. Tapi jika anda yang menuju ke utara dan terbiasa berhenti di stesen minyak yang terlibat, sila ambil maklum tentang perkara ini dan tujulah ke stesen minyak yang berhampiran.

     
     
  • BMW i5 M60 xDrive di Malaysia – hingga 601 PS/820 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8s, harga rasmi dari RM479k

    BMW i5 M60 xDrive di Malaysia – hingga 601 PS/820 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8s, harga rasmi dari RM479k

    BMW Group Malaysia telah mengumumkan harga rasmi bagi BMW i5 M60 xDrive, yang ditawarkan dari RM478,800, berserta dengan waranti bateri lapan-tahun dan 160,000 km, sementara pakej BMW Service & Repair Inclusive ditetapkan pada harga RM20,300 dengan waranti pilihan lima-tahun/perbatuan tanpa had dan lima-tahun untuk penyelenggaraan berkala. Model ini telah dilancarkan pada Mei lalu, yang ketika itu diumumkan harga jangkaannya lebih kurang RM480k.

    Dengan harga rasmi yang diumumkan itu, ia adalah lebih RM80,000 berbanding eDrive40, yang ditawarkan pada harga RM399,500 sebelum termasuk dengan pakej waranti lanjutan pilihan.

    i5 M60 xDrive turut ditawarkan dengan Easy Drive Financing Plan dari BMW Group Financial Services Malaysia dengan pelan ansuran bulanan dari RM6,295, berdasarkan pembiayaan 80% bagi pinjaman lima-tahun, dan pelanggan yang memilih Easy Drive Financing mulai sekarang hingga 30 Jun 2024, bakal menerima rebat tunai sebanyak RM10,000.

    BMW i5 M60 xDrive di Malaysia – hingga 601 PS/820 Nm, 0-100 km/j dalam 3.8s, harga rasmi dari RM479k

    M60 mengekalkan motor elektrik belakang 340 PS (250 kW) seperti eDrive40, tetapi dengan motor hadapannya pula hadir dengan kuasa 261 PS (192 kW), ia mampu menghamburkan keseluruhan output mencecah 517 PS (380 kW) dan tork 795 Nm. Ia mencukupi untuk pemanduan normal, tetapi jika inginkan kuasa yang lebih padu, pilih sahaja mod Sport dan aktifkan sama ada M Sport Boost (hanya tarik pedal penukar gear “Boost”) atau M Launch Control.

    Dengan mod tersebut, ia mampu menghasilkan sehingga 601 PS (442 kW) dan 820 Nm, membolehkan M60 dipecut dari sifar ke 100 km/j dalam hanya 3.8 saat dan kelajuan maksimum mampu dicapai hingga 230 km/j. Varian ini dibekalkan dengan bateri 83.9 kWh yang didakwa boleh mencapai jarak gerak antara 455 km dan 516 km mengikut kitaran WLTP.

    Seperti eDrive40, M60 juga menyokong pengecas pantas DC berkapasiti 205 kW, yang mengambil masa sekitar 34 minit untuk mencapai tahap sifar hingga 80% dan memberikan jarak hingga 156 km bagi setiap 10 minit. Ia juga boleh dicas menggunakan pengecas AC 22 KW, yang memberikan pengecasan penuh dalam 4 jam 15 minit.

    M60 juga diberikan casis yang dipertingkatkan termasuk Adaptive M Suspension Professional yang bukan sahaja menambah damper talaan-M tetapi juga diberikan active roll stabilisation 48-voltan (dengan fungsi Active Roll Comfort) dan juga stereng roda-belakang.

    Bagi pandangan luarannya, M60 lebih kurang sama dengan eDrive40, yang diperagakan dengan kit badan M Sport. Walau bagaimana pun, ia ditambah dengan lencana M dan juga beberapa ciri lain untuk membezakannya termasuk gril ‘kidney’ dengan BMW Iconic iluminasi dan cermin pintu M dual-arm.

    Ditambah dalam pakej M Sport Pro termasuk gril hitam berkilat, lampu utama LED adaptif M Shadow Line, lampu belakang yang lebih gelap dan boot lid lip spoiler. Brek M Sport merah pula tersembunyi di belakang roda aloi dua-tona BMW Individual style 954 21-inci.

    Di dalamnya pula, M60 masih menampilkan Live Cockpit Professional, yang merangkumi paparan instrumen digital 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9-inci. Selain itu, ia juga diberikan ketersambungan tanpa wayar Apple carPlay dan Android Auto tanpa wayar secara standard, dan sistem bunyi Bowers & Wilkins dengan 18-pembesar suara.

    Bagi aspek keselamatan, M60 dilengkapi dengan pakej Driving Assistant Professional yang terdiri daripada brek kecemasan sendiri, kawalan kelajuan adaptif dengan fungsi stop and go, bantuan pemusatan lorong, pengesan isyarat trafik, pemantauan titik buta dengan pengelak pelanggaran, kepekaan trafik lintasan hadapan dan belakang dengan brek auto, bantuan lorong kecemasan dan bantuan berhenti kecemasan. Selain itu, ia juga diberikan Parking Assistant Plus dengan kamera 360-darjah dan Remote 3D View.

    BMW i5 M60 xDrive ditawarkan dengan pilihan warna luaran terdiri daripada Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Brooklyn Grey Metallic, Phytonic Blue Metallic, Sophisto Grey Metallic, Oxide Grey Metallic, Cape York Green Metallic, dan Fire Red Metallic. Untuk upholstery premium, ia menawarkan pilihan kulit Merino Black/Atlas Grey, kulit Merino Copper Brown/Atlas Grey dan kulit Merino Silverstone/Atlas Grey.

    GALERI: BMW i5 M60 xDrive di Malaysia

     
     
  • NexV Manufacturing meterai perjanjian dengan vendor — antaranya bakal CKD model EV Dongfeng Box

    NexV Manufacturing meterai perjanjian dengan vendor — antaranya bakal CKD model EV Dongfeng Box

    NexV Manufacturing Sdn Bhd hari ini menandatangani dua memorandum penting dengan beberapa pemegang tara dalam sektor automotif negara dalam usaha syarikat itu untuk mengilang serta memasang kenderaan tenaga baru (NEV) di Malaysia.

    Memorandum persetujuan (MoA) yang pertama ialah di antara NexV Manufacturing dengan lima vendor Tier Zero (T0) yang dilantik. Vendor T0 ini merujuk kpeada situasi “kilang di dalam kilang” yang mana setiap vendor bertanggung jawab terhadap komponen atau sistem masing-masing untuk mengendalikan sendiri operasi, tenaga kerja dan sistem pengurusan mereka sendiri di dalam sebuah ekosistem yang lebih besar di mana aliran penuh proses pengeluaran untuk memasang setiap komponen untuk menghasilkan kenderaan lengkap.

    Lima syarikat tempatan yang terlibat tersebut terdiri daripada PHN Industry Sdn Bhd, Hicom Teck See Manufacturing Malaysia Sdn Bhd, Noble Star Parts Sdn Bhd, Evan Karl Holdings Sdn Bhd dan KNR Biz Solution Sdn Bhd.

    Memorandum persefahaman (MoU) kedua pula ialah antara NexV Manufacturing dengan dua pengedar, dengan hasrat untuk memasang kenderaan EV dari jenama DongFeng NEV dan bas elektrik dari Skywell. Dua syarikat yang dimaksudkan ialah Central Auto Distributors Bhd (Dongfeng NEV) dan Wise Star Assets Sdn Bhd (bas elektrik).

    NexV Manufacturing meterai perjanjian dengan vendor — antaranya bakal CKD model EV Dongfeng Box

    Di dalam kenyataan berasingan, Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) melalui anak syarikatnya Central Auto Distributors Bhd (CADB) memaklumkan, kerjasama dengan NexV Manufacturing ini adalah untuk memasang model EV Dongfeng Box (Dongfeng Nammi 01 di China). Matlamatnya adalah untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi EV kompak hatchback tersebut.

    Menurut PEKEMA, kerjasama ini juga akan menyaksikan NexV menyediakan kemudahan pemasangan tempatan, dan CADB pula menjalankan urusan pemasaran dan pengedaran EV tersebut. “Melalui CADB, Pekema berhasrat untuk membangunkan tenaga kerja tempatan dan vendor untuk EV. Kami juga berharap akan ada pertukaran kepakaran dan teknologi daripada Dongfeng Motor, yang telab melabur dengan banyak di dalam industri automotif China.

    “Ini tidak hanya akan memberi manfaat kepada industri tempatan, tetapi turut membuka peliang kepada ahli persatuan kami untuk terlibat dalam pengedaran dan lepas jualan,” ujar Presiden Pekema, Datuk Hj Mohamed Nazari Noordin.

    Kilang pengeluaran kenderaan baru itu terletak di atas tanah berkeluasan 73.34 ekar di Kawasan Perindustrian Chembong, Rembau, Negeri Sembilan dan dibangunkan untuk menjalankan operasi pengeluaran NEV utama kelak. Fasa pertama pembangunannya, yang melibatkan kilang pemasangan dan litar ujian, dijangka siap pada Oktober 2024. Pengeluaran massa pula dijangka akan dimulakan pada Mac 2025 dengan kapasiti permulaan pengeluaran 30,000 unit setahun, dan boleh ditingkatkan kepada 50,000 di masa akan datang.

    Dongfeng Box di Beijing Autoshow 2024

     
     
  • Kenderaan Singapura perlu bayar saman sebelum keluar dari Malaysia selepas VEP dilaksana – Loke

    Kenderaan Singapura perlu bayar saman sebelum keluar dari Malaysia selepas VEP dilaksana – Loke

    Menteri Pengangkutan, Anthony Loke hari ini memberikan amaran keras kepada kenderaan asing agar mematuhi undang-undang jalan raya di Malaysia selepas pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) bermula pada 1 Oktober ini. Menurutnya kali ini kerajaan Malaysia benar-benar serius dan tidak akan sesekali melakukan ‘pusingan U’ untuk melaksanakan peraturan berkenaan.

    “Bermula 1 Oktober, VEP akan dikuat kuasakan. Mesejnya adalah jelas, saya berharap pemandu dari Singapura yang kerap masuk ke Malaysia, perlu patuh kepada undang-undang dan peraturan ditetapkan.

    “Jika sebelum ini mereka (kenderaan dari Singapura) yang ada banyak saman, sukar untuk kita kesan. Jadi dengan pelaksanaan VEP, mana-mana kenderaan asing yang masuk ke Malaysia dan melanggar undang-undang kita, mereka perlu bayar saman sebelum meninggalkan negara kita,” kata Loke dalam laporan Berita Harian.

    Kenderaan Singapura perlu bayar saman sebelum keluar dari Malaysia selepas VEP dilaksana – Loke

    Pengumuman berkenaan perlaksanaan VEP ini telah dibuat oleh Loke pada lewat bulan lalu. Beliau menjelaskan peraturan ini akan digunakan untuk pintu masuk di kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak, Johor dan Kompleks CIQ di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.

    Bagi perlaksanaan langkah ini, kenderaan asing yang memasuki Malaysia menerusi Singapura perlu membeli VEP RFID yang bernilai RM10 untuk setiap kenderaan, di mana harga tersebut lebih murah berbanding yang dikenakan oleh pihak Singapura ke atas kenderaan Malaysia iaitu RM35.

    Selain itu, pelekat RFID tersebut juga boleh digunakan untuk membayar tol jika menggunakan lorong RFID dan Touch ‘n Go (TnG) eWallet. Malahan Caj Jalan Raya (Road Charge) juga akan dibayar menerusi RFID dan TnG eWallet iaitu RM20 bagi setiap kemasukan.

    “Sesiapa yang memandu kenderaan asing tanpa VEP sebelum masuk atau semasa berada di Malaysia adalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 66H (7) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda sehingga RM2,000 atau penjara sehingga hingga 6 bulan seperti termaktub dalam Seksyen 119 (2) Akta 333,” kata Loke pada satu sidang media bulan lalu.

     
     
  • GAC Aion Y Plus di Indonesia – MPV EV dengan 2 pilihan bateri, dari RM119k; M’sia dapat lebih baik?

    GAC Aion Y Plus di Indonesia – MPV EV dengan 2 pilihan bateri, dari RM119k; M’sia dapat lebih baik?

    Tidak banyak MPV elektrik di pasaran kita sekarang, dan boleh dikatakan hanya satu-satunya GAC Aion Y Plus yang ada di Malaysia (walau pun ia digelar ‘SUV crossover’). Berbeza di Indonesia, penawaran model MPV lebih meluas di sana, malah kini Y Plus telah pun ditawarkan di negara tersebut, yang diedarkan oleh Indomobil.

    Minggu lalu, harga bagi GAC Aion Y Plus telah pun didedahkan, dan ia bermula dari Rp 415 juta (RM119,362) untuk 410 Exclusive dan Rp 475 juta (RM136,563) bagi 490 Premium. Nombor pada nama varian ini berdasarkan angka jarak geraknya, iaitu 410 km untuk model asas dan 490 km bagi varian tertinggi, kedua-duanya dengan standard NEDC. Bagi varian Premium, ia dikatakan cukup untuk memacunya dari Jakarta ke bandung dengan hanya satu pengecasan tunggal sahaja bagi perjalanan pergi-balik.

    GAC Aion Y Plus dilancarkan di Malaysia pada bulan lalu, dan kita mendapat dua varian iaitu Elite dengan harga RM119,800 Elite dan Premium berharga RM135,800. Di mana harganya lebih kurang sama dengan yang ditetapkan di Indonesia tetapi semua varian untuk pasaran Malaysia menerima Magazine Battery 2.0 berkuasa 63.2 kWh.

    GAC Aion Y Plus di Indonesia – MPV EV dengan 2 pilihan bateri, dari RM119k; M’sia dapat lebih baik?

    Manakala di Indonesia, varian asas Exclusive didatangkan dengan bateri 50.6 kWh, dan hanya Premium sahaja diberikan bateri 63.2 kWh. Jadi, kita mendapat penawaran yang lebih baik bagi sudut bateri.

    EV ini dipacukan oleh motor hadapan tunggal dengan kuasa 204 PS (150 kW) dan tork 225 Nm, membolehkannya dipecut dari 0 hingga 100 km/j dalam 8.5 saat. Kelajuan pengecasannya agak sederhana bagi DC 80 kW dan AC 6.6 kW.

    Ciri yang ditampilkan termasuklah pemanduan pedal tunggal, pemula tanpa kunci, araman suara, kamera 360-darjah dan kelengkapan ADAS yang merangkumi bantuan pemandu dan banyak lagi. Apa pun, ADAS hanya ditawarkan untuk varian Premium di Malaysia. Penawaran warna pula adalah Vitality Green (dengan pilihan bumbung hitam), Rose Gold, Elegant Grey, Pure White (dengan pilihan bumbung hitam) dan Glamour Black dengan pilihan tema kabin sama ada gelap atau terang.

    GALERI: GAC Aion Y Plus Elite di Malaysia Autoshow 2024

     
     
  • Proton eMas EV — rebadge dari Geely Galaxy E5

    Proton eMas EV — rebadge dari Geely Galaxy E5

    Dengan pengenalan jenama EV Proton eMas sebagai sayap kenderaan tenaga baru (NEV) awal bulan ini menandakan yang tidak lama lagi model pertama di bawah jenama itu akan diperkenalkan kepada umum. Proton merancang untuk melakukan itu pada tahun ini juga, dengan model yang mungkin akan digunakan ialah Geely Galaxy E5 sebagai asasnya: model berkenaan telah juga dibangunkan untuk pasaran pemanduan sebelah kanan.

    Yang sedang anda lihat ini pula ialah sebuah bayangan digital Proton eMas yang didasarkan kepada Galaxy E5 tersebut — dan bagaimana sekiranya ia menggunakan lencana Proton, yang dihasilkan oleh Theophilus Chin. Ini mengambil pendekatan yang sama pernah dilakukan oleh model-model Proton lain seperti X70, X50, X90 dan S70 sebelum ini.

    SUV segmen C ini mengekalkan rekaan yang ada pada Galaxy E5, termasuklah lampu utama yang tajam, corak lampu gril, sudut bampar bentuk L, lengkuk tayar hitam berkilat dan lain-lain. Logo kepala harimau yang ditampilkan juga diberi sentuhan pencahayaan dan nampak kemas.

    Di belakang, lampu melintang Galaxy E5 diberikan ejanaan nama Proton dengan agak jelas, serta logo eMas di bahagian bawah sebelah kanan. Daripada teaser Proton untuk model ini, rekaan lampu utamanya nampak berbeza sedikit, dengan adanya jalur lampu isyarat di atas serta DRL hexagon diterapkan.

    Theophilus juga menghasilkan render untuk bahagian dalam eMas, menggunakan rekaan papan pemuka ringkas E5, paparan kluster instrumen digital 10.25-inci dan skrin sentuh 15.4-inci untuk infotainmen, serta logo Proton di stereng. E5 juga hadir dengan sistem Flyme Sound dengan 16 pembesar suara dengan output 1,000 watt.

    Proton eMas EV — rebadge dari Geely Galaxy E5

    Sama seperti Galaxy E5, model pertama eMas akan menggunakan platform Global Intelligent New Energy Architecture (GEA). Perincian teknikal berkaitan Galaxy E5 belum didedahan, namun ada laporan yang menyatakan ia akan dikuasakan oleh motor elektrik tunggal dengan janaan 218 PS (160 kW) dengan laju maksimum 175 km/j, disertakan bateri lithium-ion phosphate (LFP). Model eMas mungkin akan mengekalkan spesifikasi ini.

    Selepas model pertama ini, akan ada lima lagi model yang akan dibangun menggunakan Global Modular Architecture (GMA) — termasuk jenis janaan petrol, plug-in hybrid dan EV, yang disasarkan untuk pasaran domestik dan eksport untuk membantu melonjakkan jumlah keluaran syarikat kepada 200,000 unit.

     
     
  • Jualan runcit diesel menurun sebanyak 30% selepas seminggu penyesuaian subsidi — Menteri Kewangan II

    Jualan runcit diesel menurun sebanyak 30% selepas seminggu penyesuaian subsidi — Menteri Kewangan II

    Sejak pelaksanaan penyesuaian semula subsidi diesel bermula 10 Jun lalu, jualan runcit diesel di stesen minyak di Malaysia menyaksikan penurunan 30% bagi minggu pertama, lapor New Straits Times.

    Ini bersamaan dengan pengurangan sebanyak lapan juta liter diesel sehari jika dibandingkan dengan minggu sebelumnya, jelas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dalam sesi penjelasan kementerian di Dewan Rakyat. Sementara itu, jualan komersial diesel, atau yang dibeli oleh syarikat pada harga pasaran tanpa subsidi telah meningkat sebanyak empat juta liter dalam tempoh sama.

    Ini menunjukkan ada syarikat yang sepatutnya membeli diesel pada harga pasaran sebelum ini telah membeli diesel berkenaan dengan harga subsidi, dengan kadar runcit, jelas menteri terbabit. “Corak peningkatan bagi jualan disel komersial juga satu petunjuk positif bagi pengurangan ketirisan diesel bersubsidi,” tambahnya.

    Sebuah syarikat minyak juga telah memaklumkan kepada kerajaan bahawa jualan diesel di stesen minyak berdekatan sempadan negara telah menurun 40%. “Maklumat ini diperoleh daripada sebuah syarikat minyak, yang memberikan bukti tambahan berkaitan diesel yang diseludup ke negara jiran,” jelas beliau lagi.

    Jualan runcit diesel menurun sebanyak 30% selepas seminggu penyesuaian subsidi — Menteri Kewangan II

    Beliau juga memaklumkan yang perbelanjaan subsidi diesel Malaysia telah meningkat 10 kali ganda, dari RM1.4 bilion pada 2019 kepada RM14.3 bilion pada 2023 — dengan peningkatan itu tidak hanya disebabkan oleh kenaikan harga pasaran semata-mata, tetapi juga peningkatan dari segi penggunaan diesel bersubsidi.

    “Penggunaan diesel bersubsidi telah melonjak naik sebanyak kira-kira 80%, dari 6.1 juta liter ada 2019 kepada 10.8 bilion liter pada 2023, walaupun tiada peningkatan yang begitu ketara bagi kenderaan diesel baru dalam tempoh berkenaan. Sepanjang tempoh tersebut, jumlah jualan diesel komersial tanpa subsidi telah menurun sebanyak dua bilion liter,” ujar Amir.

    Penyesuaian subsidi diesel yang bermula sejak 10 Jun lalu menyaksikan diesel Euro 5 B10 dan B20 di Semenanjung naik harga sebanyak RM1.20, atau 56% daripada kadar dengan subsidi sebelumnya, RM2.15 seliter kepada RM3.35 seliter. Diesel Euro 5 B7 pula lebih mahal 20 sen daripada itu, dan kini dijual pada harga RM3.55 liter.

    Bantuan kewangan bagi pengguna diesel kini diagihkan menerusi program dan kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi, dengan mereka yang layak akan menerima bantuan RM200 sebulan. Bagi pengendali pengangkutan dalam skala lebih besar pula, mereka boleh memohon melalui Sistem Kawalan Diesel Subsidi 1.0 dan 2.0, yang meliputi 33 jenis kenderaan pengangkutan diesel.