Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Tiada keretakan dikesan di jejambat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai, hanya ‘garisan hitam’ – KKR

    Tiada keretakan dikesan di jejambat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai, hanya ‘garisan hitam’ – KKR

    Minggu lalu, ada pengguna media sosial yang berkongsi foto ‘keretakan’ di bawah struktur di tiang jejambat Lebuhraya Setiawangsa-Pantai (SPE) di Jalan Cheras. Foto tersebut juga telah tular dan menimbulkan tanda tanya serta kerisauan mengenai keselamatan pengguna jalan raya. Perkara ini juga pantas mendapat perhatian Menteri Kerja Raya (KKR), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

    Menerusi perkongsian di laman Facebook rasminya, beliau berkata, “Dari Kapit, saya bergegas pulang ke Kuala Lumpur bagi melihat sendiri keadaan yang telah ditularkan. Bersama pasukan KKR, LLM (Lembaga Lebuhraya Malaysia), syarikat konsesi lebuhraya SPE, saya telah naik sendiri ke kren setinggi 16.1 meter bagi melihat dengan lebih dekat dan menyentuh kesan yang dikatakan retakan di tiang jejambat yang terlibat.

    “Pihak konsesi dan jurutera profesional yang turut bersama telah mengesahkan tiada keretakan di tiang. Walaupun berpuas hati tetapi saya tetap mengarahkan crack monitoring meter dipasang di tiang terlibat bagi mengesan sebarang pergerakan atau keretakan. Alat ini akan dipasang selama sebulan bagi memantau keadaan tiang jejambat dan laporan akan disediakan oleh LLM.”

    Di mana ‘keretakan’ tersebut sebenarnya hanyalah garisan hitam yang merupakan sambungan binaan daripada kerja konkrit sebelumnya. Walau bagaimana pun, beliau turut berkata, pihaknya memberi jaminan kepada semua penguna jalan raya bahawa laluan tersebut selamat digunakan.

    “Terima kasih juga kepada orang awam yang telah menyalurkan aduan. Selari semangat MYJalan yang didukung KKR, saya berharap masyarakat akan terus berganding bahu bersama kami dalam menjadi mata dan telinga bagi mengetengahkan apa saja isu kerosakan infrastruktur rakyat. Seperti yang selalu saya tekankan, tiada kompromi apabila melibatkan nyawa rakyat,” tegasnya.

     
     
  • Harga diesel RM3.35 seliter di Malaysia masih yang paling rendah di Asia Tenggara selain Brunei

    Selepas pengumuman oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah mengenai kenaikan harga runcit diesel pada kadar RM3.35 seliter berkuatkuasa hari ini, Kementerian Kewangan (MOF) telah berkongsikan info grafik senarai harga diesel di pasaran Asia Tenggara yang melibatkan beberapa negara jiran termasuk Indonesia, Thailand dan Singapura.

    Mengikut info grafik terbabit, Malaysia masih menetapkan harga runcit diesel yang paling rendah di kalangan negara Asia tenggara yang lain, kecuali Brunei. Dengan menunjukkan bahawa harga diesel di Singapura mencecah RM8.79 seliter, Myanmar (RM5.40), Filipina (RM4.75), Kemboja (RM4.64), Laos (RM4.56), Indonesia (RM4.43), Thailand (RM4.24) dan Vietnam (RM3.69).

    Seperti yang disebut, satu-satunya negara yang menetapkan harga runcit bagi diesel yang paling murah ialah Brunei iaitu RM1.09 seliter, tidak mengejutkan sebab ia merupakan negara pengeluar minyak yang ketiga terbesar di Asia Tenggara.

    Harga diesel RM3.35 seliter di Malaysia masih yang paling rendah di Asia Tenggara selain Brunei

    Dengan harga baharu yang diumumkan itu, bermakna peningkatan harga diesel Euro 5 B10 dan B20 di Semenanjung Malaysia kini lebih RM1.20 (atau 56%), berbanding harga terdahulu pada RM2.15 yang dikekalkan sejak Februari 2021. Namun tidak disebut menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh MOF berhubung harga bagi diesel Euro 5 B7, yang sebelum ini lebih 20 sen seliter, dan jika dikira mengikut harga yang telah diselaraskan itu, bermakna kini ia menjadi RM3.55 seliter.

    Walau bagaimana pun, harga runcit diesel di Sabah dan Sarawak pula kekal pada RM2.15 seliter. Menurut Amir lagi, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei.

    Selain itu, di bawah implementasi subsidi diesel bersasar ini, kerajaan juga telah menetapkan harga diesel untuk sektor yang layak menerima Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, yang menyediakan fleet card kepada kenderaan logistik yang layak, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter. Ini bertujuan bagi mengurangkan kenaikan harga barangan keperluan pengguna.

    Manakala harga runcit diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu untuk pengangkutan awam termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba pula dikekalkan pada RM1.88 seliter. Begitu juga dengan subsidi diesel bagi nelayan turut dikekalkan pada harga RM1.65 seliter.

    Harga diesel RM3.35 seliter di Malaysia masih yang paling rendah di Asia Tenggara selain Brunei

    “Tujuan kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi ini adalah untuk membendung ketirisan diesel subsidi yang kian berleluasa dan menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara. Kerajaan berbelanja sebanyak RM14.3 bilion untuk subsidi diesel tahun lalu dan negara kini tidak mampu terus kerugian berbilion ringgit akibat penyeludupan dan penyelewengan diesel yang berleluasa, sedangkan wang itu lebih baik dibelanjakan bagi meningkatkan kualiti kehidupan rakyat dan membangunkan negara,” kata Amir.

    Menurut beliau lagi, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel persendirian dari kategori B40 bakal menerima RM200 menerusi program Budi Madani yang didepositkan ke akaun masing-masing mulai hari ini.

    Manakala Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pula menegaskan bahawa langkah kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi adalah untuk menyelamatkan negara. Katanya, beliau sedar langkah itu akan ‘dihentam’ habis-habisan, namun perlu dilaksanakan kerana tidak ada pilihan lain, laporan Berita Harian.

    “Kita terpaksa ambil beberapa tindakan tidak popular untuk selamatkan negara. Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kena tahu apa pun kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan penipuan.Saya lihat (yang) pakai songkok, serban, jubah, tetapi tipu terus menerus, padahal kita beritahu, penyasaran subsidi semua Perdana Menteri sebelum itu sudah setuju cuma tidak ada tekad politik untuk melaksanakan kerana risikonya ada, tetapi untuk selamatkan negara, kita tidak ada pilihan,” katanya.

     
     
  • ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Aidiladha 2024

    ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Aidiladha 2024

    ANIH Berhad selaku pengendali Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1) telah mengeluarkan jadual Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi tempoh 15 hingga 16 Jun dan 18 Jun 2024 untuk kedua-dua lebuhraya berkenaan sempena Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut Isnin hadapan (17 Jun). Seperti musim perayaan yang lain, kebiasaannya lebuhraya utama di Semenanjung Malaysia bakal mengalami kesesakan luar biasa.

    Bagi mengurangkan risiko terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di lebuhraya berkenaan, para pengguna diminta untuk merancang perjalanan ke/dari Pantai Timur sewajarnya. Justeru, ANIH menyarankan agar pengguna lebuhrayanya merujuk TTA yang dikeluarkan ini bagi kelancaran perjalanan ke destinasi yang dituju.

    Bagi pengguna yang datang dari arah Selangor dan Kuala Lumpur yang menuju ke Pahang, anda disarankan melalui kedua-dua lebuhraya berkenaan antara jam 12 tengahari hingga 3 petang atau 9 malam hingga 11 malam. Bagi yang menuju ke Terengganu san Kelantan pula, disarankan memulakan perjalanan antara jam 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 10 malam. Cadangan waktu berkenaan untuk mereka yang bakal memulakan perjalanan antara 15 atau 16 Jun.

    ANIH keluarkan jadual cadangan waktu perjalanan untuk Lebuhraya KLK, LPT1 bagi Aidiladha 2024

    Manakala untuk mereka yang bakal menuju ke Kuala Lumpur dan Selangor pada 18 Jun pula, jika bergerak dari Pahang, anda disarankan memulakan perjalanan antara jam 7 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 10 malam. Untuk yang dari Terengganu pula, disarankan untuk memulakan perjalanan antara jam 10 pagi hingga 1 tengahari atau 8 malam hingga 10 malam. Manakala yang datang dari arah Kelantan pula, disarankan menggunakan kedua-dua lebuhraya berkenaan antara jam 4 petang hingga 8 malam atau 9 malam hingga 12 tengah malam.

    Bagi bas ekspres pula, waktu perjalanan yang dicadangkan untuk ke Pantai Timur dari Tol Gombak adalah 9.30 pagi hingga 12 tengahari dan 9.30 malam hingga 12 tengah malam. Justeru kenderaan ringan disarankan agar tidak memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu berkenaan.

    Dalam masa yang sama, para pengguna dinasihati untuk memastikan baki kad dan e-Wallet Touch ‘n Go adalah mencukupi bagi pembayaran kadar tol. Dan jangan lupa untuk periksa keadaan kenderaan anda terlebih dahulu sebelum memulakan perjalanan. Pastikan ia selamat dipandu. Selain terus memandu dengan berhemah, patuhi saranan papan tanda trafik, had kelajuan yang ditetapkan dan ikuti arahan petugas lebuhraya demi keselamatan semua.

     
     
  • Rasionalisasi subsidi bahan api bermula – harga diesel dinaikkan ke RM3.35 seliter mulai 10 Jun 2024

    Rasionalisasi subsidi bahan api bermula – harga diesel dinaikkan ke RM3.35 seliter mulai 10 Jun 2024

    Kerajaan telah memulakan program rasinolisasi subsidi diesel, dengan mengumumkan harga diesel di Malaysia akan diapungkan dan ditetapkan pada harga runcit RM3.35 seliter mulai 12.01 tengahmalam ini, 10 Jun 2024.

    Ini bermakna, mulai esok, harga diesel akan dinaikkan sebanyak RM1.20 berbanding harga sebelum ini iaitu RM2.15 seliter, yang dikekalkan sejak Februari 2021. Kementerian Kewangan berkata, harga baharu tersebut hanya melibatkan semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia sahaja. Manakala harga untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

    Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah, harga runcit baharu bahan api itu adalah berdasarkan formula mekanisme harga automatik (APM) bagi bulan Mei.

    Selain itu, di bawah implementasi subsidi diesel bersasar ini, kerajaan juga telah menetapkan harga diesel untuk sektor yang layak menerima Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 2.0, yang menyediakan fleet card kepada kenderaan logistik yang layak, ditetapkan pada harga RM2.15 seliter. Ini bertujuan bagi mengurangkan kenaikan harga barangan keperluan pengguna.

    Rasionalisasi subsidi bahan api bermula – harga diesel dinaikkan ke RM3.35 seliter mulai 10 Jun 2024

    Manakala harga runcit diesel di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) 1.0 iaitu untuk pengangkutan awam termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba pula dikekalkan pada RM1.88 seliter. Begitu juga dengan subsidi diesel bagi nelayan turut dikekalkan pada harga RM1.65 seliter.

    Menurut Amir lagi, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel persendirian dari kategori B40 akan menerima RM200 menerusi program Budi Madani yang akan didepositkan ke akaun masing-masing mulai tengah malam ini.

    Pengapungan harga diesel itu susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Mei bahawa kerajaan akan melaksanakan subsidi bahan api bersasar, bermula dengan diesel di semenanjung, dengan diikuti Sabah dan Sarawak pada waktu yang akan diumumkan kelak.

     
     
  • PANDU UJI: Proton S70 Flagship X 2024 – sedan segmen-C yang lebih sempurna selepas Preve?

    PANDU UJI: Proton S70 Flagship X 2024 – sedan segmen-C yang lebih sempurna selepas Preve?

    Sedan dan Proton memang tidak dapat dipisahkan. Sejak ia ditubuhkan pada 1983, Proton telah memilih model sedan sebagai produk pertamanya menerusi Proton Saga yang dilancarkan pada 1985. Pada masa itu Proton mungkin boleh memilih model hatchback bagi menawarkan model dengan harga yang lebih mampu milik, namun sedan adalah segmen yang memberikan impak lebih tinggi kerana penggunaannya yang lebih versatil termasuk boleh memuatkan seisi keluarga kecil bersama ruang but yang besar.

    Selepas itu Proton menawarkan lebih banyak model-model sedan seperti Wira, Waja, Persona, di mana model-model ini bukan hanya praktikal, malah memberikan keseronokan memandu yang sebenar. Bagi sedan segmen-C terakhir dihasilkan oleh Proton sebelum kerjasama bersama Geely iaitu Preve, model berkenaan turut memberikan pengendalian yang cukup baik, malah boleh dikatakan antara yang terbaik dalam kelasnya.

    Namun Preve mempunyai satu kelemahan iaitu unit rangkaian kuasa – dengan sumber yang terhad, Preve diberikan enjin 1.6 liter Campro Turbo, dan digandingkan bersama kotak gear CVT dari Punch. Enjin tersebut memberikan kuasa yang agak baik, namun dengan kadar penggunaan bahan api yang agak tinggi, manakala kotak gear CVT Punch agak merencatkan keseronokan memandu kerana bising, kurang responsif dan menyebabkan enjin meraung tidak tentu hala.

    Akhir tahun lalu, Proton hadir dengan model gantian untuk Preve, kali ini dengan unit rangkaian kuasa yang lebih menyakinkan dan dilihat setara dengan apa yang ditawarkan oleh pesaing-pesaing terdekatnya. Diberi nama Proton S70, adakah sedan ini model yang sempurna menutupi kekurangan Preve sebelum ini?

    Baca artikel selanjutnya di sini

     
     
  • Zeekr sah masuk Malaysia — SUV Zeekr X jadi model pertama jenama EV Geely, MPV 009 menyusul?

    Zeekr sah masuk Malaysia — SUV Zeekr X jadi model pertama jenama EV Geely, MPV 009 menyusul?

    Zeekr akan masuk ke pasaran Malaysia! Hal ini disahkan oleh adanya surat undangan pratonton tertutup jenama ini di media sosial, yang khabarnya diadakan di Grand Hyatt KL pagi tadi.

    “Jenama baru yang menarik ini bakal dilancarkan di Malaysia tidak lama lagi. Sertai kami untuk meneroka inovasi. Wakil daripada Zeekr akan turut hadir untuk berkongsi maklumat tentang visi syarikat dan barisan produknya. Anda juga akan berpeluang untuk mendekati Zeekr X, SUV kompak mewah,” tertulis dengan jemputan berkenaan.

    Ada dua perkara disahkan di sini: jenama EV Geely akan datang ke Malaysia, dan Zeeker X menjadi model pertama untuk pengenalan itu. Model X ini berada di posisi

    Zeekr X dibina menggunakan platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely yang turut digunakan oleh smart #1. Zeekr X mempunyai ukuran panjang 4,450 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,572 mm dan jarak roda 2,750 mm. Panjang jarak rodanya pula adalah sama seperti smart #1. Ia juga lebih panjang 180 mm dan lebih lebar 14 mm, tetapi tingginya kurang 64 mm berbanding model smart itu. Tidak lupa juga model daripada Volvo iaitu EX30.

    Zeekr sah masuk Malaysia — SUV Zeekr X jadi model pertama jenama EV Geely, MPV 009 menyusul?

    X ditawarkan dalam bentuk motor tunggal RWD atau dua-motor AWD. Versi motor tunggal menghasilkan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork dan memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Versi AWD pula menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat — ini angka pecutan yang sama dengan smart #1 Premium dan Brabus.

    Turut dikongsi antara model smart dan Zeekr ini ialah baterinya: unit nickel manganese cobalt (NMC) 66 kW yang memberikan jarak 560 km untuk RWD dan 512 km untuk AWD. Ini angka mengikut CLTC — penggunaan nyata masing-masing mungkin di sekitar 440 km dan 400 km seperti yang dinyatakan oleh smart. Model smart juga menerima pengecasan DC 150 kW, dan boleh dicas 10-80% dalam masa 30 minit.

    Zeekr sah masuk Malaysia — SUV Zeekr X jadi model pertama jenama EV Geely, MPV 009 menyusul?

    Ciri lain Zeekr X ini termasuklah bukaan pintu berkuasa, sistem bunyi Yamaha dengan 13-pembesar suara serta paparan pada tiang B untuk menunjukkan status pengecasan, dan juga kamera yang menggunakan pengesahan wajah untuk membuka pintunya.

    Apa lagi selepas itu yang boleh dijangkakan dari Zeekr? Kemungkinan ialah model 009, MPV EV yang diperkenalkan sekali bersama X di pasaran pemanduan sebelah kanan seperti Thailand, Indonesia, Hong Kong dan Singapura.

    Zeekr X di BIMS 2024

    Zeekr 009 di BIMS 2024

     
     
  • GWM Ora 07 Performance 2024 — EV jana 408 PS/680 Nm, jarak 483 km WLTP, tiba di M’sia bulan ini

    GWM Ora 07 Performance 2024 — EV jana 408 PS/680 Nm, jarak 483 km WLTP, tiba di M’sia bulan ini

    Great Wall Motor Malaysia telah mengumumkan yang EV Ora 07 Performance bakal tiba di Malaysia pada hujung bulan ini, selepas model Ora 07 diperkenalkan di sini April lalu.

    Dijual pada harga RM189,800 atas jalan tidak termasuk insurans, Ora 07 Performance merupakan varian yang lebih tinggi bagi model berkenaan, dengan satu lagi varian yang turut ditawarkan ialah Ora 07 Long Range dengan harga RM169,800.

    Ora 07 Performance dilengkapi dengan dua motor elektrik dan menjadikannya pacuan semua roda, dengan janaan 408 PS dan 680 Nm dan boleh memecut 0-100 km/j dalam masa 4.3 saat serta mencapai kelajuan maksimum 180 km/j. Bateri 83.5 kWh memberikan jarak perjalanan sehingga 483 km WLTP.

    GWM Ora 07 Performance 2024 — EV jana 408 PS/680 Nm, jarak 483 km WLTP, tiba di M’sia bulan ini

    Kedua-dua Long Range dan Performance dilengkapi dengan pengecasan pantas dan mampu menerima pengecasan DC 88 kW yang hanya memerlukan 32 minit untuk membekalkan tenaga dari 32% kepada 80%. Ia juga boleh menerima pengecasan AC sehingga 11 kW yang memerlukan 15 jam untuk penuh. Ciri vehicle-to-load (V2L) juga boleh membekalkan elektrik 3.3 kW.

    Rim menggunakan saiz 19-inci untuk Ora 07 Performance, dengan tayar Michelin Pilot SPort EV saiz 235/45R19 di depan dan belakang. Varian dengan output lebih tinggi ini juga dibezakan dengan penggunaan angkup brek merah.

    Di dalam, Ora 07 menerima ruang paparan digital 10.25-inci, sementara infotainmen boleh diakses melalui skrin sentuh di tengah bersaiz 12.3-inci yang menyokong Apple CarPlay dan Android Auto. Turut tersedia ialah pengecas telefon tanpa wayar Qi.

    GWM Ora 07 Performance 2024 — EV jana 408 PS/680 Nm, jarak 483 km WLTP, tiba di M’sia bulan ini

    Kelengkapan lain yang ada termasuklah sistem tanpa kunci dengan butang Push Start, head-up display, kerusi depan larasan kuasa dengan liang dan fungsi urut, lampu ambient dengan mod ritma yang beriringan dengan muzik yang dimainkan, sistem bunyi dengan 11-pembesar suara Infinity, sistem kamera 360-darjah dan bukaan pintu but bebas kendalian tangan.

    Untuk keselamatan, ia dilengkapi dengan ciri AEB, ACC dengan Stop/Go, bantuan ke tengah lorong, sistem Intelligent Evade, peninjau titik buta, amaran lintasan trafik di belakang dengan brek automatik, pengesan papan tanda jalan, bantuan parkir dan lampu tinggi automatik.

    Kemasan kulit coklat yang ada ini adalah khusus untuk varian Performance. Pembeli varian Long Range bagaimanapun masih boleh memilih kemasan yang sama dengan kos tambahan RM2,500. Model ini diberikan jaminan enam-tahun atau 150,000 km, dengan jamina lapan-tahun atau 180,000 km untuk bateri dan motornya.

    GWM Ora 07 Performance di Malaysia

     
     
  • Op Hormat Undang-Undang merekodkan sejumlah 9,427 saman dalam tiga hari pertama – JSPT KL

    Polis Kuala Lumpur kini rancak melaksanakan Op Hormat Undang-Undang (OP HUU) sejak 4 Jun lalu dan setakat semalam iaitu tiga hari pertama operasi ini, sebanyak 9,427 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahana trafik.

    Menurut Ketua JSPT KL ACP Sarifudin Mohd Salleh, dalam operasi ini turut menyaksikan seramai 25 individu ditahan dan dua kenderaan turut disita. Beliau berkata, kebanyakan saman yang dikeluarkan adalah berkenaan kesalahan berhenti di petak kuning, memandu tanpa lesen, memodifikasi kenderaan yang menyalahi peratusan, plat nombor fancy, tiada cermin sisi dan lampu brek tidak berfungsi.

    Operasi besar-besaran ini melibatkan lebih 1,500 anggota PDRM dan juga agensi penguatkuasa lain termasuk DBKL dan JPJ. Operasi penguatkuasaan secara total enforcement yang berlangsung sehingga 15 Jun ini memfokuskan kepada tujuh kesalahan utama dalam tujuh operasi iaitu Op Halangan Lalulintas, Op Garisan Putih dan Op Nombor Pendaftaran. Ia juga membabitkan Op Motosikal, Op Didik, Op Parkir Haram dan Op Lampu Merah/Telefon Bimbit.

    Manakala jalan utama yang diberikan tumpuan pelaksanaan operasi ini ialah Persimpangan Jalan Dewan Bahasa / Jalan Hang Tuah, Persimpangan Jalan Sultan Ismail /Jalan Bukit Bintang, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan P. Ramlee, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Raja Abdullah dan Persimpangan Sultan Ismail / Jalan T.A Rahman.

    Ia juga membabitkan Persimpangan Sultan Ismail / Jalan T.A Rahman, Persimpangan Jalan Dang Wangi / Jalan T.A Rahman, Persimpangan Puduraya / Jalan Tun Perak, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Imbi, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Raja Chulan, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Ampang, Persimpangan Jalan Sultan Ismail / Jalan Raja Laut dan Persimpangan Jalan Tun Perak /Jalan Raja.

    Op HUU ini adalah susulan kejayaan operasi yang sama dilakukan pada tahun lalu yang dilaksanakan dalam dua fasa iaitu pada Julai dan September 2023. Menurut Ketua Polis KL Datuk Allaudeen Abdul Majid, lebih 200,000 saman trafik pelbagai kesalahan telah dikeluarkan. Dan kesalahan halangan lalu lintas menjadi penyumbang utama dalam pengeluaran saman trafik.

     
     
  • BMW X3 Final Edition 2024 diperkenal di M’sia — ACC; sDrive20i dari RM312k, xDrive30e dari RM358k

    BMW X3 Final Edition 2024 diperkenal di M’sia — ACC; sDrive20i dari RM312k, xDrive30e dari RM358k

    Selain BMW 2 Series Gran Coupe, ada sebuah lagi model Final Edition diperkenalkan oleh BMW Malaysia untuk pasaran tempatan. Dua varian bagi SUV X3 turut diberi penawaran yang sama: X3 sDrive20i Final Edition dan X3 xDrive30e Final Edition.

    Untuk harga, X3 sDrive20i Final Edition dijual dengan harga RM311,800 dengan jaminan standard dua-tahun, atau RM338,500 dengan pilihan lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis. Berbanding X3 sDrive20i M Sport biasa, perbezaan harga yang terlibat ialah sekitar RM7,000.

    Untuk X3 xDrive30e Final Edition pula, ia dijual dengan harga RM357,800 (jaminan dua-tahun standard) atau RM384,500 (dengan lanjutan jaminan lima-tahun dan pakej servis). Ia sekitar RM8,000 lebih mahal berbanding X3 xDrive30e M Sport.

    BMW X3 Final Edition 2024 diperkenal di M’sia — ACC; sDrive20i dari RM312k, xDrive30e dari RM358k

    Kedua-dua varian masih dilengkapi dengan pakej M Sport yang terdiri daripada apron depan dan belakang, serta pakej hitam berkilat M Shadowline. Namun, sebagai tambahan untuk edisi ini, gril dan muncung ekzosnya diberi kemasan hitam.

    Ciri baru lainnya termasuk M Lights Shadowline yang menjadikan struktur lampu depan dan belakang lebih gelap, sementara angkup brek untuk X3 xDrive30e Final Edition diberi penyudah merah berkilat dan bukannya biru seperti varian M Sport lain.

    X3 sDrive20i Final Edition antara lain menerima rim lebih besar, 20-inci Style 787 berbanding unit 19-inci jejari Y Style 887 dwi-warna. Ini rim yang sama digunakan untuk X3 xDrive30e M Sport dan dikekalkan bagi Final Edition ini.

    Lagi tambahan terbaru untuk kedua-dua varian ini ialah kawalan melayar aktif dengan fungsi Stop/Go serta pengecas telefon tanpa wayar. Khusus untuk X3 xDrive30e Final Edition pula ialah head-up display dan Parking Assistant Plus, yang melibatkan tambahan kamera 360-darjah dan Remote View 3D.

    BMW X3 Final Edition 2024 diperkenal di M’sia — ACC; sDrive20i dari RM312k, xDrive30e dari RM358k

    Selebihnya adalah kelengkapan yang sama dengan varian M Sport biasa model berkenaan. Untuk sDrive20i ini termasuklah balutan kulit Vernasca, kemasan dalaman “Rhombicle” dengan perincian krom, kerusi sport di depan, pelapik bumbung anthracite, stereng kulit M, lampu depan LED adaptif dan pendingin tiga zon.

    Selain itu termasuk juga fungsi memori untuk kerusi pemandu, lampu ambiet, BMW Live Cockpit Plus (kluster instrumen 12.3-inci dan skrin sentuh tengah 10.25-inci) serta sistem hifi.

    Tiada perubahan untuk penjanaan kuasa: sDrive20i menggunakan unit 2.0 liter turbocas empat-silinder sebaris yang menghasilkan 184 PS (181 hp atau 135 kW) dan 300 Nm tork. Transmisi automatik Steptronic lapan-kelajuan menghantar kuasa ke roda depan, membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat dan laju maksimum 215 km/j.

    BMW X3 Final Edition 2024 diperkenal di M’sia — ACC; sDrive20i dari RM312k, xDrive30e dari RM358k

    xDrive30e sebagai model plug-in hybrid pula menggunakan enjin dan transmisi yang sama, dengan tambahan motor elektrik dengan janaan 68 PS (67 hp atau 50 kW) yang berada di antara enjin dan transmisi. Ini memberikan output keseluruhan sistem sebanyak 252 PS (248 hp atau 185 kW) dan 420 Nm — dengan motor elektrik mampu memberikan 109 PS (107 hp atau 80 kW) sementara dengan fungsi XtraBoost ketika pecutan.

    Ini membolehkan xDrive30e menghasilkan sehingga 292 PS (288 hp atau 215 kW) dalam tempoh sehingga 10 saat, dan membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa 6.1 saat dan laju maksimum 210 km/j. Bateri lithium-ion 12 kWh membolehkan xDrive30e dipacu secara elektrik sehingga 50 km mengikut kitaran WLTP. Untuk mengecas baterinya memerlukan 3.6 jam menggunakan wallbox 3.7 kW AC, atau sekitar enam jam dengan soket tiga-pin biasa.

    Bantuan tepi jalan dan talian sokongan kemalangan serta BMW Service Online sudah termasuk sekali dalam pembelian X3 Final Edition ini. Pilihan warna terdiri daripada Carbon Black, Alpine White dan M Brooklyn Grey. Untuk ruang dalaman, X3 sDrive20i Final Edition datang dengan kulit Vernasca Mocha atau hitam, manakala X3 xDrive30e Final Edition dengan warna Mocha/jahitan decor atau hitam/jahitan biru.

    BMW X3 sDrive20i Final Edition

    BMW X3 xDrive30i Final Edition

     
     
  • Toyota Vios NGC102 MTC Wing Hin Motorsport bersedia untuk perlumbaan MCS 2024 pusingan ke-2

    Toyota Vios NGC102 MTC Wing Hin Motorsport bersedia untuk perlumbaan MCS 2024 pusingan ke-2

    Selepas sesi shakedown yang dibuat di Litar Antarabangsa Sepang semalam, hari ini kereta lumba Toyota Vios NGC102 yang di bina oleh pasukan Wing Hin Motorsport untuk kelas Malaysia Touring Car (MTC) dalam perlumbaan Malaysia Championship Series (MCS) dan Sepang 1000km (S1K) kini sudahpun bersedia untuk berlumba untuk pusingan kedua MCS yang bakal berlangsung hujung minggu ini.

    Dalam hantaran terkini pada akaun Facebook pasukan tersebut, Vios generasi baharu tersebut kini sudahpun diberikan livery perlumbaan dengan grafik bertemakan Toyota Gazoo Racing menggunakan warna rasmi putih-merah-hitam. Kereta lumba ini mengenakan nombor perlumbaan ’36’, iaitu nombor yang sama digunakan pada Vios MTC generasi NSP151 yang digunakan Wing Hin Motorsport sebelum ini.

    Pendedahan rupa sebenar jentera lumba ini juga mengesahkan bahawa ia akan dipandu oleh dua pelumba muda negara iaitu pasangan Naquib Azlan dan Mitchell Cheah, yang baru sahaja memenangi kelas Super Compact di perlumbaan pusingan pertama Thailand Super Series 2024 berlangsung di Litar Antarabangsa Chang awal bulan lalu.

    Toyota Vios NGC102 MTC Wing Hin Motorsport bersedia untuk perlumbaan MCS 2024 pusingan ke-2

    Kereta lumba ini diasaskan dari Vios 1.5E tetapi menggunakan kit badan yang sama seperti Vios 1.5G yang dijual di bilik pameran. Sebagai jentera yang dibina untuk kelas MTC, ia secara tidak langsung tampil dengan rupa lebih agresif berbanding Vios NGC102 yang digunakan oleh selebriti dalam kategori Promotional siri perlumbaan ‘one make’ Vios Challenge yang didedahkan tahun lalu.

    Antara yang boleh dilihat, Vios NGC102 MTC ini menggunakan tingkap dan cermin belakang jenis polycarbonate yang lebih ringan, diberikan injap untuk sistem jek pneumatik pada bampar hadapan, dibekalkan dengan tangki bahan api perlumbaan ATL yang menampilkan corong pengisian pantas pada ruang nombor plat penutup but belakang, sudut larasan camber roda hadapan yang nampak jauh lebih agresif berbanding jentera Vios Challenge serta dibekalkan dengan set brek perlumbaan sebenar.

    Manakala dalam kokpit, Vios MTC ini berikan roda stereng dengan suis-suis perlumbaan dan shift-light dari Motec, selain dari paparan instrument perlumbaan juga dari Motec.

    Kelas MTC ini menggunakan asas undang-undang FIA Group A yang memerlukan kereta lumba tersebut masih menggunakan enjin produksi, tetapi membenarkan segala isi perut enjin tersebut menggunakan komponen perlumbaan sebenar, dengan kapasiti ditingkatkan sehingga maksimum 1,600 cc, serta transmisi asal boleh ditukar kepada kotak gear perlumbaan manual jenis dog-box.

    Jadi boleh dilihat Vios ini masih dijana oleh enjin 2NR, tetapi diberikan pelbagai peralatan perlumbaan dalam ruang enjin tersebut.

     
     
  • Tapak pemasangan kamera AWAS diuji di KM 262.5 berhampiran Terowong Menora pada 10-11 Jun – PLUS

    Tapak pemasangan kamera AWAS diuji di KM 262.5 berhampiran Terowong Menora pada 10-11 Jun – PLUS

    PLUS Malaysia Berhad (PLUS) memaklumkan bahawa ujian integrasi tapak dan kalibrasi “Day 0” bagi cadangan pemasangan kamera (Automated Awareness Safety System – AWAS) bakal dijalankan di KM 262.5 Arah Selatan Jajaran Terowong Menora, Lebuhraya Utara-Selatan.

    Menurut pengendali Lebuhraya PLUS itu lagi, tarikh ujian integrasi tapak dan kalibrasi “Day 0” dijadualkan pada 10 Jun dari jam 11 malam sehingga 5 pagi pada 11 Jun 2024.

    “Bagi memastikan keselamatan pengguna Lebuhraya PLUS, laluan kontra akan diaktifkan dari KM260.9 hingga KM263.8 arah selatan. Pengguna lebuh raya dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan oleh pihak PLUS dari masa ke masa ketika melalui kawasan terbabit,” kata PLUS menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

    Pada Jun tahun lalu, kerajaan bercadang untuk menambah lagi jumlah penggunaan kamera AWAS ini disebabkan keberkesanannya bagi pematuhan dan penguatkuasaan trafik di kalangan pengguna jalan raya. Di mana kajian yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) menunjukkan tahap pematuhan pengguna jalan raya kepada peraturan had laju dan isyarat lalu lintas di lokasi pemasangan kamera itu telah mencecah sehingga 99%.

     
     
  • VinFast VF5 dilihat di Malaysia – EV dengan kuasa 136 PS, jarak gerak hingga 326 km; bakal dilancar di sini?

    VinFast VF5 dilihat di Malaysia – EV dengan kuasa 136 PS, jarak gerak hingga 326 km; bakal dilancar di sini?

    Adakah ini petanda yang Vinfast bakal tiba di pasaran Malaysia tidak lama lagi? Ini hah ada pembaca paultan.org Haritharan Gunasegaran yang terserempak dengan model VF5 (sebelum ini dikenali sebagai VF e32) yang tidak dibaluti penyamaran yang memakai trade plate tempatan di Negeri Sembilan. Mungkinkah pengeluar kereta dari Vietnam ini sedang menguji modelnya yang dilihat berpotensi menembusi pasaran Malaysia.

    Beberapa minggu lalu, satu lagi model EV keluaran Vinfast, VF e34, turut terlihat berada di jalan raya kita dengan memakai trade plates. Untuk pengetahuan anda, jenama ini telah pun memasarkan beberapa modelnya di negara jiran kita iaitu Indonesia dan Thailand.

    Pertama kali VF5 diperkenalkan di Consumer Electronics Show (CES) 2022 sebagai crossover segmen-A yang diposisikan di bawah VF e34, yang merupakan EV pertama VinFast. Bagi aspek dimensinya, VF5 berukuran 3,965 mm panjang, 1,720 mm lebar, 1,580 mm tinggi dan jarak roda 2,513 mm, sedikit besar berbanding model semasa Perodua Myvi.

    Di negara kelahirannya, VF5 ditawarkan sebagai VF5 Plus yang berharga dari 458 juta Vietnam dong atau sekitar RM85k. Penjana kuasanya terdiri daripada motor elektrik pemasangan-hadapan berkadar 136 PS (134 hp atau 100 kW) dan tork 135 Nm, membolehkannya dipecut dari 0-100 km/j dalam 10.9 saat.

    Motor elektrik terbabit dijanakan oleh bateri lithium iron phosphate (LFP) dengan kapasiti bateri
    37.23 kWh, yang mampu memberikan jarak gerak hingga 326 km mengikut kitaran-NEDC. Dengan pengecas pantas DC, bateri ini mampu mencapai status pengecasan 10-70% dalam masa 30 minit.

    Buat masa ini VF5 telah disenaraikan dalam laman web VinFast Thauland dengan pengurangan output cecah 95 PS (94 hp atau 70 kW), dan jarak gerak juga berkurangan hanya sekitar 260 km (juga menurut NEDC), yang mungkin disebabkan faktor bateri yang lebih kecil. Media Thailand melaporkan VF5 bakal dilancarkan di sana sekitar bulan Ogos atau September ini, selepas VF e34 mula dijual pada bulan ini.

    Hasil pemeriksaan kami menerusi LinkedIn dengan menaip perkataan ‘VinFast’ dan ‘Malaysia’, keluar pula informasi mengenai individu bernama Jean Jacques, yang menyenarikan jawatan semasanya sebagai Timbalan CEO VinFast Indonesia dan Malaysia. Sekaligus menambahkan petanda yang jenama ini bakal memasuki pasaran kita.

    GALERI: Vinfast VF 5

     
     
  • BMW 218i Gran Coupe Final Edition 2024 diperkenal di Malaysia — kemasan hitam, rim baru; dari RM224k

    BMW 218i Gran Coupe Final Edition 2024 diperkenal di Malaysia — kemasan hitam, rim baru; dari RM224k

    BMW Malaysia telah melancarkan model 218i Gran Coupe Final Edition, yang diberdasarkan varian M Sport sedia ada dan diberikan kelengkapan tambahan untuk penampilannya. Dengan jaminan standard dua-tahun, varian terbaru ini dijual pada harga RM223,800 atas jalan tidak termasuk insurans. Jika inginkan jaminan lanjutan lima-tahun dan pakej servis, harganya ialah RM244,400.

    Berbanding 218i Gran Coupe M Sport biasa, ini melibatkan pertambahan sebanyak RM5,000 (dengan atau tanpa kos jaminan lanjutan dan pakej servis) untuk kelengkapan tambahan yang diberikan bagi Final Edition ini.

    Satu daripada tambahannya ialah lanjutan bagi pakej M hitam berkilat Shadowline: kini dengan kemasan sama diberikan untuk bahagian gril dan muncung ekzos (asalnya kemasan krom). Rekaan bampar M Sport yang agresif juga digunakan untuk Final Edition ini.

    BMW 218i Gran Coupe Final Edition 2024 diperkenal di Malaysia — kemasan hitam, rim baru; dari RM224k

    Selain itu, rim 18-inci Style 553 M dwi-warna yang ada untuk varian baru ini juga berbeza daripada Style 819 M untuk M Sport. Di dalam, Final Edition ini menerima juga ciri pengecasan tanpa wayar serta sistem bunyi hi-fi dengan 10-pembesar suara, serta amplifier 205W.

    Selebihnya, ciri yang ada untuk Final Edition ini adalah sama dengan M Sport, dengan kelengkapan standardnya termasuk pelapik bumbung anthracite, kerusi sport di depan, balutan kulit Dakota, kemasan dalaman “Illuminated Boston”, lampu utama LED (dengan bantuan lampu tinggi) serta lampu kabus, Comfort Access, kawalan pendingin dua zon, pakej Driving Assistant, pakej Parking Assistant serta BMW Live Cockpit Profesional dengan paparan 10.25-inci.

    Begitu juga dengan enjin, unit 1.5 liter turbocas tiga-silinder sebaris petrol kekal ada, menjana sebanyak 140 PS (138 hp atau 103 kW) dan 220 Nm tork. Ini digandingkan dengan transmisi klac berkembar Steptronic tujuh-kelajuan yang memacu roda depan. Pecutan 0-100 km/j dalam masa 8.7 saat, dan laju maksimum 213 km/j.

    Pilihan warna pula ada tiga: Skyscraper Grey, Black Sapphire dan Alpine White, dengan kemasan kulit hitam dan perincian biru. Setiap pembelian datang dengan bantuan tepi jalan dan sokongan hotline kemalangan dan juga BMW Service Online.

     
     
  • JB Car Free Morning berlangsung esok, 8 Jun

    JB Car Free Morning (JBFM), acara yang sama dengan KL Car Free Morning, bakal berlangsung pada esok, 8 Jun 2024. Memandangkan hujung minggu rasmi di Johor ialah Jumaat dan Sabtu, maka JBFM dilangsungkan pada Sabtu, bukan Ahad seperti yang dilakukan di KL.

    JBFM kali ini melibatkan acara larian sejauh lima kilometer di tengah bandaraya Johor Baharu di mana jalan-jalan utama di sana akan ditutup kepada lalu lintas. Ia akan berrtukar menjadi trek terbuka di mana sesiapa sahaja boleh berjoging, berlari mahu pun berbasikal (sebanyak 100 buah basikal akan dipinjamkan oleh OCBC selaku penaja, siapa cepat dia dapat) atau pun bermain papan luncur secara bebas di tengah jalan.

    Untuk acara larian JBFM kali ini, ia akan bermula di hadapan Pejabat MBJB di Jalan Dato Onn dan jalan yang ditutup ialah Persiaran Abu Bakar Sultan, Jalan Tun Dr Ismail, Jalan Ibrahim, Jalan Wong Ah Fook, Jalan Gereja, Jalan Trus, Jalan Abdullah Ibrahi dan Jalan Air Molek. Kesemua jalan ini ditutup dari jam 6.45 pagi hingga 9 pagi.

    Sesi pelepasan acara larian akan bermula jam 7 pagi, selain itu banyak acara menarik turut dianjurkan termasuk tarian fitnes, promosi oleh pihak penaja dan juga cabutan bertuah. Acara ini berlangsung sekali sebulan di JB, jadi inilah masanya untuk anda bebas beriadah di jalan raya.

     
     
  • Kerajaan sudah tetapkan tarikh pelaksanaan pelarasan subsidi diesel, umum pada masa dirasakan tepat

    Kerajaan sudah tetapkan tarikh pelaksanaan pelarasan subsidi diesel, umum pada masa dirasakan tepat

    Kerajaan telah menetapkan tarikh bagi pelaksanaan pelarasan semula subsidi diesel, tetapi hanya akan mengumumkannya pada masa yang dirasakan tepat. Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli memaklumkan, ini bertujuan untuk mengurangkan sebaik mungkin spekulasi inflasi daripada berlaku.

    “Ini adalah berkaitan masanya perlu tepat, serta untuk menyeimbangkan dan mengurangkan risiko ke atas inflasi. Kami telah menetapkannya,” ujar beliau, dengan menambah bahawa kerajaan akan memastikan tidak ada kesan yang tidak perlu ke atas inflasi, lapor Bernama.

    Satu lagi sebab mengapa masih tidak mengumumkan tarikh berkenaan lebih awal adalah untuk mengelakkan pengumpulan stok diesel daripada berlaku. “Kadang-kadang jika diumumkan awal, pengguna secara tiba-tiba akan mengumpulkan stok lebih awal kerana tahu harganya akan naik dalam masa dua atau tiga bulan lagi,” jelasnya.

    “Sekiranya kita melakukan subsidi bersasar diesel untuk tujuan menguruskan penyeludupan dan pengumpulan stoknya, pengumuman awal akan menyumpang kepada peningkatan penyeludupan bahan tersebut,” jelasnya lagi. Beliau menambah, adalah mustahil untuk menjalankan penguatkuasaan yang lebih ketat, mengambil kira hanya ada sekitar 2,500 pegawai penguatkuasa.

    Penamatan subsidi menyeluruh untuk diesel bakal menyaksikan subsidi bersasar dijalankan melalui program bantuan Budi Madani. Diumumkan pada 27 Mei lalu, program berkenaan terbuka kepada pemilik persendirian kenderaan diesel serta petani kecil di Semenanjung Malaysia. Penerima yang layak bagi kedua-dua kategori akan menerima RM200 sebulan sebagai bantuan.

     
     
  • Porsche Panamera 2024 di Malaysia – 2.9L biturbo V6, 353 PS/500 Nm, suspensi udara PASM; dari RM1.3 juta

    Porsche Panamera 2024 di Malaysia – 2.9L biturbo V6, 353 PS/500 Nm, suspensi udara PASM; dari RM1.3 juta

    Diperkenalkan secara rasmi pada November 2023, namun tempahan bagi Porsche Panamera generasi ketiga ini baru dibuka untuk Malaysia pada bulan lalu. Grand tourer empat-pintu ini tiba di pasaran tempatan dengan harga bermula RM1.3 juta. Kini kami mempertontonkan galeri imej penuh Panamera dengan unit pemanduan sebelah-kanan untuk anda.

    Jentera berkuasa ini diberikan enjin 2.9 liter V6 pengecas turbo-berkembar petrol dengan hamburan kuasa 353 PS dan tork 500 Nm, bersama transmisi autimatik dwi-klac lapan-kelajuan. Ia membolehkan Panamera ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 5.1 saat dan mampu capai kelajuan maksimum sekitar 272 km/j.

    Kelengkapan pencahayaannya merangkumi lampu utama matrix LED secara starndard, yang menampilkan lebih daripada 32,000 piksel bagi setiap lampu utama dan membolehkan pencerahan lorong khusus, serta mempunyai julat pencahayaan sehingga 600 m.

    Ia juga diberikan roda aloi 20-inci secara standard untuk pasaran Malaysia, namun unit yang dipamerkan untuk rakaman foti ini menggayakan Panamera SportDesign 21-inci, dengan tayar berukuran 275/35R21 di hadapan dan 325/30R21 di belakang.

    Untuk sistem breknya, ia diberikan cakera 360 mm dengan kaliper enam-piston untuk gandar hadapan, sementara brek belakang pula dengan cakera 330 mm bersama kaliper empat-piston. Kelengkapan casis untuk Panamera 2024 ini pula ialah dwi-chamber, suspensi udara dua-injap dengan Porsche Active Suspension Management (PASM) secara standard. Sementara stereng roda-belakang ditawarkan sebagai pilihan.

    Di dalamnya, Panamera 2024 di Malaysia menerima upholstery kulit kemasan lembut, dan unit ini diberikan ciri spesifik dengan kombinasi dua-tona Dark Knight Blue dan Chalk Beige.

    Porsche Panamera 2024 di Malaysia – 2.9L biturbo V6, 353 PS/500 Nm, suspensi udara PASM; dari RM1.3 juta

    Kelengkapai standard lain termasuklah Porsche Entry, pintu soft-close, kawalan suhu automatik empat-zone, pakej storan, tirai suria elektrik untuk setiap tingkap sisi belakang (termasuk cermin belakang), tempat duduk hadapan dengan fungsi memori dan larasan 14-cara dan sistem bunyi sekelilung Bose. Turut ditawarkan sebagai pilihan ialah tempat duduk individual larasan kuasa lapan-cara dengan fungsi memori.

    Selain itu, ia juga menampilkan unit instrumentasi untuk pemandu yang terdiri daripada paparan digital 12.6-inci dan skrin sesentuh sentral 12.3-inci. Turut ditawarkan pakej Sport Chrono, serta paparan untuk penumpang hadapan bersaiz 10.9-inci.

    Bagi ketersambungan telefon pintar, Panamera 2024 ini uuta dilengkapi Apple CarPlay dan Android Auto. Untuk peranti iOS, ia menampilkan aplikasi MyPorsche yang membolehkan operasi fungsi termasuk pendingin hawa, kerusi urut dan pencahayaan ambien dikendalikan menerusi CarPlay atau bantuan suara Siri.

     
     
  • PLUS umum lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi ditutup sementara hingga 12 Jun 2024

    PLUS umum lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi ditutup sementara hingga 12 Jun 2024

    PLUS Malaysia telah memaklumkan bahawa lorong motosikal di laluan masuk Plaza Tol Jawi ditutup sementara mulai hari ini (7 Jun) hingga 12 Jun 2024. Ia adalah bagi kelancaran kerja-kerja penebangan pokok di lorong motosikal sedia ada.

    “Pengguna motosikal di laluan tersebut akan dilencongkan di laluan masuk paling kiri di Plaza Tol Jawi sepanjang tempoh kerja-kerja tersebut dijalankan. Kerjasama para pengguna lebuh raya untuk mematuhi arahan papan tanda di lokasi sepanjang proses kerja-kerja pembaikan dijalankan amat kami hargai. Terima kasih,” kata PLUS.

    Jika anda menggunakan laluan berkenaan, sila lebih fokus dan berhati-hati dalam pemanduan. Terutamanya untuk pemandu kereta atau lori, bimbang juga sekiranya tidak perasan ada motosikal di laluan masuk paling kiri disebabkan titik buta. Jangan main melencong masuk ke kiri saja tau dan jangan lupa bagi isyarat membelok.

     
     
  • Insentif cukai sahaja tidak mencukupi untuk galakkan penerimaan EV, perlu langkah proaktif – MCA

    Insentif cukai sahaja tidak mencukupi untuk galakkan penerimaan EV, perlu langkah proaktif – MCA

    Dalam satu laporan yang disiarkan oleh MalaysiaKini, timbalan presiden MCA, Wee Jeck Seng dipetik berkata bahawa insentif cukai yang diberikan oleh kerajaan untuk kenderaan emisi sifar di Malaysia tidak cukup untuk menggalakkan orang ramai beralih kepada kereta elektrik (EV). Menurut Wee, lagi, kerajaan perlu mengambil langkah proaktif untuk mewujudkan satu ekosistem kenderaan elektrik yang lengkap.

    Beliau turut menyatakan, antara langkah yang boleh diambil adalah termasuk mempersiapkan stesen pengecas EV yang mencukupi, kadar pengecasan yang berpatutan serta naik taraf infrastruktur sedia ada.

    “Polisi serta insentif sokongan juga sepatutnya ditawarkan, bagi menggalakkan pemasangan lebih banyak pengecas di stesen petrol, pusat beli-belah, kondominium dan tempat awam untuk meluaskan lagi akses bagi pemandu EV. Ini adalah kerana kurangnya jumlah pengecas serta harga EV yang tinggi menjadi antara faktor yang memberi kesan kepada keputusan pengguna untuk membeli kenderaan EV,” kata Wee.

    Insentif cukai sahaja tidak mencukupi untuk galakkan penerimaan EV, perlu langkah proaktif – MCA

    Awal minggu ini, menteri pengangkutan, Anthony Loke mengumumkan struktur cukai jalan baru untuk kenderaan elektrik, yang akan diguna pakai bermula 1 Januari 2026. Buat masa sekarang, semua EV dikecualikan daripada cukai jalan, dan ini akan berakhir pada 31 Disember 2025.

    Struktur cukai jalan baru ini sepatutnya didedahkan April lalu, tetapi melalui apa yang diumumkan baru-baru ini, ia menyaksikan kadar yang lebih rendah berbanding apa yang ditetapkan pada tahun 2019. Menurut Wee, kadar ini lebih rendah berbanding kenderaan enjin pembakaran dalaman, sekaligus selari dengan polisi kerajaan untuk memberikan insentif bagi menggalakkan penggunaan EV.

    Perincian berkenaan struktur cukai jalan EV baru di sini.

     
     
  • Tiada rancangan kurangkan cukai jalan kenderaan dengan enjin biasa kerana ia sudah murah – Loke

    Tiada rancangan kurangkan cukai jalan kenderaan dengan enjin biasa kerana ia sudah murah – Loke

    Awal minggu ini, kerajaan telah mengumumkan struktur cukai jalan baharu untuk kenderaan elektrik (EV), yang menampilkan bayaran yang lebih rendah berbanding kadar yang ditentukan pada 2019.

    Ketika sesi soal jawab selepas pengumuman itu dibuat, kami turut bertanyakan sama ada kerajaan ada rancangan atau tidak untuk mengkaji semula struktur cukai jalan (atau dikenali sebagai Lesen Kenderaan Motor/LKM) untuk kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman biasa yang menggunakan bahan api petrol dan diesel bagi memberikan bayaran yang lebih rendah.

    Menjawab persoalan itu, menteri pengangkutan Anthony Loke menyatakan bahawa setakat ini kerajaan masih belum berminat untuk membuat apa-apa perubahan terhadap struktur tersebut bagi mengurangkan bayaran LKM bagi kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman.

    Menurut Loke, kadar sedia ada yang menggunakan kapasiti enjin sebagai asas sememangnya sudah rendah dan berpatutan. “Untuk kenderaan enjin pembakaran dalaman sedia ada, pada masa ini kami tidak akan membuat sebarang perubahan terhadap cukai jalan kerana kebanyakkan orang masih menggunakannya, dan jika kami mahu naikkan kadar, ia mungkin akan menjejaskan kos mereka,” katanya.

    Tiada rancangan kurangkan cukai jalan kenderaan dengan enjin biasa kerana ia sudah murah – Loke

    “Jika kami lakukan perubahan, kadarnya mungkin akan lebih tinggi, dan jika kadarnya lebih tinggi bebannya akan ditanggung orang ramai, ditambah dengan rasionalisasi subsidi (bahan api), kami tidak berminat untuk melakukannya,” tambah Loke.

    Tahun lalu Loke menyatakan bahawa sementara kajian semula struktur LKM sedang dipertimbangkan, kadar itu mungkin kekal tidak disentuh sekiranya pelaksanaan itu dibuat.

    “Ini kerana cukai jalan merupakan antara penyumbang pendapatan terbesar bagi kerajaan, dan sebarang keputusan yang boleh mengurangkan hasil negara, seperti menurunkan bayaran cukai jalan, hanya akan menimbulkan kesan negatif,” katanya.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), cukai jalan telah menjana pendapatan hampir RM3 bilion untuk kerajaan pada tahun lalu.

     
     
  • Tiada penutupan lorong di lebuhraya dari 12 hingga 19 Jun 2024 sempena cuti Hari Raya Aidiladha – KKR

    Tiada penutupan lorong di lebuhraya dari 12 hingga 19 Jun 2024 sempena cuti Hari Raya Aidiladha – KKR

    Kementerian kerja Raya (KKR) telah mengumumkan perintah larangan penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan dari 12 Jun hingga 19 Jun 2024, sempena musim Hari Raya Aidiladha akan datang, laporan Bernama.

    Menurut Menteri KKR, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hanya kerja-kerja kecemasan dibenarkan (contohnya melibatkan kemalangan) dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan. “KKR mempunyai perancangan jangka panjang dan pendek bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya setiap kali musim perayaan atau cuti persekolahan,” kata Nanta.

    Beliau turut menambah, selain larangan penutupan lorong, syarikat konsesi lebuhraya juga perlu untuk mengaktifkan smartlane di lokasi yang dikenalpasti bagi memastikan aliran trafik lebih lancar. “Advokasi terhadap pengguna jalan raya mengenai smartlane dan keberkesanan tindakan penambahbaikan akan dilaksana dan dipantau oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM),” katanya.