Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    UMW Toyota Motor (UMWT) menutup bulan Mei 2024 dengan jualan sebanyak 8,422 unit kenderaan, termasuk dari jenama Lexus. Bagi angka 2024 setakat ini, Toyota mencatatkan sebanyak 39,211 unit terjual. Untuk rekod, jualan pada April lalu yang dicatatkan ialah 7,345 unit.

    “Prestasi baik sepanjang bulan Mei mencerminkan kesungguhan kami untuk memberikan perkhidmatan dan produk cemerlang yang memenuhi keperluan pelanggan kami. Kejayaan program komuniti juga memperkukuh kesungguhan kami terhadap kemapanan alam sekitar serta tanggungjawab sosial, sekaligus memperkukuh juga peranan kami sebagai pelopor industri automotif yang meliputi falsafah “Move Your World” kami,” jelas Presiden UMWT, Datuk Ravindran K.

    Antara aktiviti utama yang dijalankan bulan lalu ialah program Toyota Eco Youth (TEY) ke-23, yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pendidikan. Program peringkat kebangsaan ini memberdayakan pelajar dari usia 13 hingga 17 tahun dari 16 buah sekolah, dengan memberi tumpuan kepada Kaedah Penyelesaian Masalah 8 Langkah Toyota untuk mempromosi pemikiran kritis dan kemahiran menyelesaikan masalah.

    UMW Toyota jual 8,422 unit kenderaan bagi Mei 2024; catat jualan keseluruhan 39.2k unit setakat ini

    Sejak pengenalannya pada 2001, TEY telah melibatkan seramai 300,000 pelajar dari 521 sekolah, dan memupuk kebertanggungjawaban terhadap alam sekitar dalam kalangan generasi muda. Bagi TEY 2024/2025, hadiah wang tunai yang tersedia berjumlah RM80,000 dan itu menjadi insentif terhadap penyelesaian inovatif yang selari dengan pelan tindakan alam sekitar UMWT untuk mencapai sifar pembebasan CO2 menjelang 2050.

    UMWT turut mengumumkan edisi ketiga bagi acara Toyota Start Your Impossible Outrun 2024, sebuah acara larian kebajikan yang disasarkan untuk meningkatkan kesedaran terhadap barah. Bakal berlangsung di Dataran Merdeka bulan ini, acara tahunan itu menyokong Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia. Larian tersebut terdiri daripada beberapa kategori, termasuk perlumbaan dengan hadiah keseluruhan RM50,000.

    Selain itu, UMWT juga memperkenalkan promosi “Peace of Mind” sepanjang Jun 2024, menawarkan pelanggan sehingga 100% pembiayaan untuk model terpilih. Promosi penjimatan sehingga RM7,500 juga diberikan untuk Yaris terkini, serta ansuran bulanan bermula dari RM688 untuk Vios.

     
     
  • ZF hasilkan roda stereng boleh adaptasi skrin seperti telefon pintar dengan beg udara masih berfungsi

    ZF hasilkan roda stereng boleh adaptasi skrin seperti telefon pintar dengan beg udara masih berfungsi

    Die innovative Positionierung des Fahrerairbags hinter dem Lenkrad ermöglicht zukunftsweisende Gestaltungsmöglichkeiten für das Lenkrad und seine Bedienelemente. Die waagerechte Speiche, einschließlich Nabe, kann so in einem nahtlosen, Smartphone-ähnlichen Design gestaltet werden. // The innovative positioning of the driver’s airbag behind the steering wheel enables pioneering design options for the steering wheel and its controls. The horizontal spoke, including the hub, can thus be given a seamless, smartphone-like design.

    Bagi kenderaan moden, roda stereng bukan hanya komponen yang digunakan untuk menukar arah kenderaan. Ia kini turut disertakan dengan pelbagai suis kawalan untuk fungsi seperti sistem cruise control adaptif, sistem infotainmen, butang telefon, malah ada yang boleh membuat tetapan pada panel instrumen.

    Oleh itu ada pengeluar yang mahukan satu skrin sesentuh seperti telefon pintar yang boleh diadaptasi pada bahagian tengah roda stereng, namun ada satu halangan bagi meneruskan rekaan sedemikian kerana pada bahagian tersebut terdapatnya beg udara yang perlu ada bagi menyelamatkan pemandu sekiranya berlaku kemalangan.

    Penyelesaian tersebut nampaknya telah ditemui oleh pengeluar komponen kenderaan dari Jerman, ZF menerusi divisi ZF Lifetec yang mendedahkan rekaan beg udara yang boleh berfungsi walaupun mempunyai skrin sesentuh diletakkan pada bahagian tengah roda stereng.

    ZF hasilkan roda stereng boleh adaptasi skrin seperti telefon pintar dengan beg udara masih berfungsi

    Die innovative Positionierung des Fahrerairbags hinter dem Lenkrad ermöglicht zukunftsweisende Gestaltungsmöglichkeiten für das Lenkrad und seine Bedienelemente. Die waagerechte Speiche, einschließlich Nabe, kann so in einem nahtlosen, Smartphone-ähnlichen Design gestaltet werden. // The innovative positioning of the driver’s airbag behind the steering wheel enables pioneering design options for the steering wheel and its controls. The horizontal spoke, including the hub, can thus be given a seamless, smartphone-like design.

    Rekaan dari ZF Lifetec ini menampilkan beg udara yang akan keluar dan mengembang dari bahagian atas pusat roda stereng berkenaan. Dengan rekaan ini membolehkan roda stereng diletakkan dengan skrin yang ‘lancar, direka seperti telefon pintar’ diintegrasikan pada bahagian tengah untuk kawalan sensitif-daya bagi fungsi bantuan pemanduan dan juga hiburan, kata syarikat itu.

    Dengan rekaan ini juga membolehkan lampu suasana kabin yang popular ditawarkan oleh pelbagai pembuat automotif sekarang turut disepadukan terhadap roda stereng ini. ZF menjangkakan rekaan roda stereng masa hadapan bakal dipengaruhi oleh rekaan beg udara yang telah dihasilkan ini.

    Menurut ZF lagi, dengan adanya rekaan beg udara ini akan membolehkan teknologi sensitif-sentuhan turut diterapkan pada roda stereng untuk fungsi keselamatan, dengan penderia kapasitif diletakkan di bawah balutan kulit, di mana kereta boleh mengesan pemandu dengan hanya memegangnya. Ia juga akan membolehkan suis-suis kawalan atau skrin yang ditempatkan pada roda stereng direka dengan lebih bebas.

     
     
  • JPJ eBid: SU-M dan SB-J bakal dibuka untuk bidaan

    Bagi yang mencari-cari plat nombor pendaftaran untuk kenderaan baharu, ini ada lagi pilihan siri baharu yang kedua-duanya dari Sabah telah diumumkan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). Seperti biasa, bidaan dilakukan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Siri plat nombor SU-M, bakal dibuka bidaan mulai 22 Jun 2024. Diberikan tempoh bidaan selama lima hari dan ia akan berakhir jam 10 malam pada 26 Jun ini. Keputusannya akan dikeluarkan pada keesokan harinya, 27 Jun 2024. Keseluruhan proses adalah secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik dan buruk juga menerusi e-mel.

    Manakala bagi siri nombor pendaftaran SB-J pula, bidaannya akan dibuka mulai 26 Jun 2024. Ia berlangsung selama lima hari dan akan berakhir jam 10 malam pada 30 Jun 2024. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 1 Julai ini.

    Dah tak perlu nak dapatkan khidmat pihak ketiga termasuk runner yang adakalanya menetapkan kadar caj yang tidak masuk akal. Jadi, anda boleh lakukan sendiri bidaan ini. Untuk mengetahui cara-cara untuk membida menerusi JPJ eBid, anda boleh KLIK PAUTAN INI.

     
     
  • Kia EV9 2024 dilancar secara rasmi di M’sia — GT Line AWD dua-motor, jarak 505 km, 6/7 kerusi; dari RM370k

    Kia EV9 2024 dilancar secara rasmi di M’sia — GT Line AWD dua-motor, jarak 505 km, 6/7 kerusi; dari RM370k

    Untuk pasaran tempatan, Kia EV9 2024 mula dibuka untuk tempahan pada April lalu, dan kemudian pada Mei telah diperkenalkan kepada umum. Hari ini, model SUV elektrik terbaru Kia ini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia.

    Datang dalam dua varian iaitu GT Line enam-tempat duduk dan juga versi tujuh-tempat duduk, kedua-duanya dijual pada harga RM369,668 dan RM374,668 — yang merupakan harga atas jalan tidak termasuk insurans. Kia EV9 2024 merupakan model kedua Kia yang menggunakan Electric Global Modular Platform (E-GMP). Ia mempunyai ukuran dimensi 5,010 mm panjang, 1,980 mm lebar, 1,755 mm tinggi dengan jarak roda 3,100 mm. Jarak kelegaan tanahnya pula ialah 177 mm.

    SUV elektirk tiga-barisan tempat duduk ini dijana oleh bateri bervoltan tinggi 99.8 kWh, dan dilengkapi dengan dua motor elektrik yang menyalurkan kuasa ke gandar hadapan dan belakang menerusi transmisi e-Shift. Satu cas penuh membolehkan EV9 mencapai jarak perjalanan hingga 505 km. Janaan kuasa keseluruhannya mencecah 380 hp dan 700 Nm tork.

    Kia EV9 2024 dilancar secara rasmi di M’sia — GT Line AWD dua-motor, jarak 505 km, 6/7 kerusi; dari RM370k

    Baterinya boleh dicas menggunakan pengecas AC Type 2 dengan 11 kW yang akan mengambil masa sekitar 10 jam 30 minit untuk penuh. Dengan pengecas pantas DC CCS2 350 kW pula, ia boleh dicas dari 10%-80% dalam 24 minit. Dengan sistem pengecas Integrated Charging Control Unit (ICCU), model ini juga lengkap dengan ciri vehicle-to-load (V2L) berkapasiti hingga 3.6 kW untuk membekalkan kuasa bagi aksesori dan peranti elektrik.

    Rekaan luarannya meletakkan model ini berbeza jauh dengan yang lain. Dengan imej kontemporari dan sofistikated, EV9 hadir dengan identiti Digital Tiger Face yang dilengkapi Digital Pattern Lighting Grille. Lampu utama LED automatik bentuk menegak yang menampilkan dua kluster Small Cube Projection serta lampu nyalaan siang LED menjadikan wajah depannya unik dan menonjol. Di belakang, ia dilengkapi dengan lampu Star Map LED.

    Selain itu, penampilannya turut dipengaruhi oleh rekaan bampar depan dan belakang yang memberikannya imej kukuh, ada landasan bumbung, rim aloi 21-inci dengan tayar 285/45/R21, sunroof serta pintu belakang larasan kuasa. Suspensinya menggunakan jenis MacPherson di hadapan dan jenis multi-link di belakang. Manakala sistem breknya pula menggunakan cakera berliang untuk kedua-dua bahagian hadapan dan belakang.

    Kia EV9 2024 dilancar secara rasmi di M’sia — GT Line AWD dua-motor, jarak 505 km, 6/7 kerusi; dari RM370k

    Di dalam, Kia EV9 2024 menampilkan papan pemuka panoramik apungan yang seakan bersambung dari roda stereng hingga ke bahagian tengah kabin. Ia dilengkapi dengan dua skrin sentuh 12.3-inci yang disepadukan dengan skrin paparan 5-inci digital, butang penghidup enjin, brek parkir elektronik dan cermin pandang belakang paparan penuh jenis kamera.

    Selain itu, SUV ini juga diberikan sistem audio Meridian® dengan 14-pembesar suara, suis mod pemanduan, pedal penukar gear di belakang stereng, pendingin hawa automatik dua-zon, pengecas telefon pintar tanpa wayar, dua unit soket kuasa serta empat unit USB port.

    Kedua-dua varian ini menawarkan konfigurasi barisan pertama dan kedua tempat duduk dengan rekaan ala lounge, menyerlahkan sisi kemewahan dan keselesaannya. Bagi tempat duduk pemandu, ia diberikan ciri larasan kuasa empat-arah dengan fungsi mengurut dan Premium Relaxion. Manakala untuk tempat duduk penumpang hadapan, ia juga hadir dengan larasan kuasa dua-arah dengan fungsi Premium Relaxion — dengan semua kerusi dibalut dengan kulit.

    Bagi aspek keselamatan, Kia EV9 2024 dilengkapi dengan ciri standard yang merangkumi 10-beg udara (hadapan pemandu dan penumpang, bahagian lutut pemandu, sisi, tirai dan sisi tengah), ABS, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Bantuan Keluar Selamat (SEA), Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), EBD, Bantuan Brek (BA), Kepekaan Penumpang Belakang (ROA), cagak ISOFIX untuk barisan kedua dan ketiga serta Kawalan Bantuan Mula Mendaki (HAC).

    Tidak hanya itu. SUV ini turut tampil dengan Ciri Keselamatan Termaju yang terdiri daripada Bantuan Lampu Tinggi (HBA), Bantuan Pengelak Pelanggaran Parkir (PCA), Bantuan Mengelak Pelanggaran Titik Buta (BCA), Bantuan Pelanggaran Trafik Lintasa Belakang (RCCA), Pemantauan Pandangan Titik Buta (BVM, Bantuan Kekal Lorong (LKA), Amaran Perhatian Pemandu (DAW), Bantuan Ikut Lorong (LFA2), Kawalan kelajuan Pintar (SCC) dan Bantuan Mengelak Pelanggaran Hadapan (FCA2).

    Model CBU dari Korea Selatan ini ditawarkan dengan lima pilihan warna: Ocean Blue, Snow White Pearl, Pebble Gray, Aurora Black Pearl dan Iceberg Green. Jaminan lima-tahun/150,000 km dan jaminan bateri EV lapan-tahun/160,000 km turut diberikan.

    Sempena pelancaran rasmi ini, Kia EV9 2024 akan dipamerkan di Tun Razak Exchange hingga 16 Jun ini.

    Kia EV9 GT Line AWD 7-tempat duduk

    Kia EV9 GT Line AWD 6-tempat duduk

    Foto rasmi Kia EV9 2024

     
     
  • Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Zeekr, jenama EV premium di bawah payung Zhejiang Geely Group sudahpun sah bakal masuk ke pasaran Malaysia dengan kerjasama Sentinel Automotive yang bakal menjadi pengedar rasminya di sini. Malah satu sesi pratonton tertutup telah dibuat minggu lalu, yang mendedahkan bahawa ia bakal hadir dengan dua model permulaan iaitu SUV kompak Zeekr X serta MPV mewah Zeekr 009, sama seperti yang akan dimulakan dengan pasaran Indonesia.

    Bagi Zeekr X anda boleh baca perinciannya pada PAUTAN INI, manakala untuk Zeekr 009 akan kami perincikan pada artikel ini. Sama seperti model-model Zeekr yang lain, 009 diasaskan dari platform Sustainable Experience Architecture atau SEA binaan Geely.

    Ia menampilkan dimensi panjang 5,209 mm, lebar 2,024 mm, tinggi 1,856 mm dan jarak roda sejauh 3,205 mm. Jadi saiz MPV dari Zeekr ini jelas lebih besar dari Alphard kerana model keluaran Toyota berkenaan hanya dihasilkan dengan dimensi panjang 4,945 mm, lebar 1,850 mm serta jarak roda 3,000 mm.

    Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Apa yang menarik, 009 ini juga merupakan asas kepada kembarnya dalam versi lebih mewah iaitu Volvo EM90. Namun berbeza dengan MPV Volvo yang lebih mewah berkenaan hanya digerakkan oleh motor tunggal berkuasa 272 PS/343 Nm bagi memacu roda belakang, sementara Zeekr 009 ini hanya ditawarkan dalam versi motor berkembar memacu semua roda pada pasaran negara asalnya.

    Ini memberikan Zeekr 009 bekalan kuasa keseluruhan 544 PS (400 kW) dan tork maksima 686 Nm, membolehkan MPV besar ini memecut dari 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat. Namun ia datang dengan dua varian bateri NMC, di mana versi 116 kWj didakwa boleh bergerak sejauh 702 km dalam kitaran CLTC dan varian 140 kWj pula boleh mencatatkan 822 km CLTC. Bagi varian dengan bateri 116 kWj, sistem pengecas pantas DC membolehkan kuasa dipenuhkan dari 10% hingga 80% dalam masa hanya 28 minit.

    Berbanding Alphard yang direka seakan van, Zeekr 009 ini tampil dengan muncung hadapan lebih panjang dan rekaan badan lebih tegap, serta set rim dan juga gril dalam kemasan perak yang sangat besar membuatkan ia nampak seperti SUV dari Amerika Syarikat. Gril berkenaan direka tanpa liang udara, sebaliknya menerima elemen jejari menegak yang unik.

    Sebenarnya jejari tersebut turut menerima sejumlah 154 jalur LED, yang diberi nama “lampu air terjun” oleh Geely. Lampu hadapan utama MPV ini terletak pada bahagian tengah bampar, manakala jalur LED berbentuk ‘cakar’ diatasnya adalah lampu nyalaan siang.

    MPV ini juga menerima tiang-A unik yang turut diberikan cermin, membolehkan titik buta di bahagian berkenaan dikurangkan. Ia dipadankan dengan pintu gelangsar untuk kabin belakang, namun rekaan pembuka pintu hadapan dan belakang yang nampak bercantum, seolah-olah ia menerima pintu jenis “suicide door”.

    Profil sisi MPV ini juga nampak “bersih” dengan garis badan tegak ke belakang tanpa “simpang siur”, serta diberikan jalur perak yang agak tebal pada sebelah atas tingkap sisi. Manakala pada tiang-C, ia diberikan kemasan yang seiras dengan gril hadapan, dan nampak seiring dengan rekaan jejari pada set rim.

    Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Di belakang, lampu utamanya direka menegak dan kelihatan bersambung dengan rel pintu gelangsar, bersama grafik LED berbentuk-T, bersambung dengan grafik LED dengan motif cakaran yang lebih kecil pada bar lampu yang merentangi sepenuhnya pintu tailgate belakang. Secara keseluruhan bahagian belakang MPV ini juga nampak minimalis dengan hanya menampilkan garis-garis melintang bersama satu jalur perak merentangi sepenuhnya bahagian bawah bampar.

    Dalam versi standard, Zeekr 009 ini menampilkan enam tempat duduk dengan konfigurasi 2-2-2, seperti yang kami lihat di ketika ia dipamerkan di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2024. Namun di China, ia turut ditawarkan dalam versi lebih mewah bagi menyaingi Lexus LM menampilkan hanya empat-sempat duduk.

    Antara perincian yang ditawarkan pada kabin model ‘biasa’ 009 ini termasuk fungsi pengurut pada tempat duduk hadapan dan baris kedua serta sistem audio Yamaha dengan 20-pembesar suara termasuk unit yang diletakkan di dalam perehat kepala pemandu dan baris kedua.

    Zeekr 009 bakal dilancarkan di Malaysia – MPV mewah EV pesaing kepada Toyota Alphard, 0-100 km/j 4.8 s!

    Ia juga diberikan paparan instrumen dengan skrin 10.25-inci, skrin sesentuh utama 15.4-inci dan juga satu lagi skrin yang dipasang pada siling sempat duduk baris kedua bersaiz 15.6-inci yang menampilkan mod mesyuarat dan theater dengan satu sentuhan, yang turut mengubah tetapan tempt duduk dan pelindung suria.

    Laporan sebelum ini menyebut bahawa Zeekr Malaysia bakal akan membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur, dengan bilik pameran di bandar-bandar lain seperti Pulau Pinang dan Selangor turut akan dibangunkan dalam tahun ini juga. Macam mana? Nak terus tempah Alphard atau tunggu Zeekr 009 ini sampai dulu?

    Zeekr 009 di BIMS 2024

     
     
  • Pengusaha trak tunda, pengeluar konkrit naikkan harga susulan kenaikan harga bahan api diesel

    Pengusaha trak tunda, pengeluar konkrit naikkan harga susulan kenaikan harga bahan api diesel

    Portal berita FMT melaporkan beberapa syarikat trak tunda dan juga pengeluar konkrit telah menaikkan harga perkhidmatan masing-masing susulan kenaikan harga diesel bermula 10 Jun lalu selepas kerajaan memulakan pemberian subsidi bahan api tersebut secara bersasar.

    Dalam laporan tersebut FMT telah mengesahkan bahawa sekurang-kurangnya dua pengeluar konkrit iaitu DPG Readymix Sdn Bhd di Kelantan dan LCS Marketing Sdn Bhd yang beroperasi di Pahang telah menaikkan harga konkrit masing-masing.

    Bagi DPG Readymix, jurucakap syarikat tersebut menyatakan bahawa mereka dimaklumkan tidak layak mendapatkan kad fleet bagi subsidi diesel, seterusnya menaikkan harga seperti syarikat lain. Manakala dalam satu notis yang dikeluarkan oleh LCS Marketing menyatakan bahawa harga konkritnya kini meningkat kepada RM12 satu meter padu dalam jarak 30km, dan caj tambahan akan dikenakan untuk jarak melebihi 30km.

    Sementara penyedia perkhidmatan trak tunda Hong Guan Towing Service mengeluarkan notis bahawa harga perkhidmatan yang diberikan kini lebih tinggi berikutan “Tiada subsidi diperuntuk kepada trak penunda.” Jika dilihat pada senarai kenderaan yang layak di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), trak tunda adalah antara kenderaan yang tidak tersenarai.

    Manakala sebuah kedai barangan logam, Chuan Soon Heng Sdn Bhd, juga mengeluarkan notis memaklumkan pengguna mengenai peningkatan harga, menyatakan 25% kenaikan ‘caj trak’ berkuat kuasa semalam.

    “Selepas semakan mendalam peningkatan kos pengangkutan kami, perkapalan dan produk, kami perlu mengambil keputusan sukar menaikkan harga bagi semua barangan. Caj pengangkutan juga akan disemak,” kata syarikat itu dalam notis yang disiarkan.

     
     
  • Tiada KL Car Free Morning dianjurkan pada 16 Jun 2024 disebabkan cuti Hari Raya Aidiladha

    Tiada KL Car Free Morning dianjurkan pada 16 Jun 2024 disebabkan cuti Hari Raya Aidiladha

    Penganjur KL Car Free Morning (KLCFM) telah mengumumkan bahawa tiada KLCFM diadakan pada Ahad ini, 16 Jun 2024. Ia disebabkan cuti Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pada Isnin hadapan, 17 Jun. Ini bermakna hujung minggu ini melibatkan cuti yang panjang, bahkan kebanyakan sekolah juga mendapat cuti tambahan pada Selasa ini (18 Jun).

    Walau bagaimana pun, difahamkan, KLCFM akan dilaksanakan pada tarikh yang bakal dimaklumkan kelak. Jadi para peminat KLCFM yang sememangnya menanti untuk melakukan aktiviti termasuk larian dan berbasikal di sekitar ibu kota secara bebas perlulah bersabar untuk menunggu tarikh yang akan diuar-uarkan itu.

     
     
  • Penyasaran subsidi negara telah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun lalu – PMX Anwar

    Penyasaran subsidi negara telah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun lalu – PMX Anwar

    Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa Penyasaran subsidi negara yang dilaksana kerajaan ketika ini sebenarnya dasar yang sudah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun dulu, iaitu ketika beliau masih memegang jawatan sebagai Menteri Kewangan ketika itu.

    Katanya, walau bagaimana pun langkah tidak dilaksana kerana pimpinan ketika itu lebih memikirkan soal survival politiknya, di samping penyasaran subsidi ini sendiri tak mudah untuk dilaksanakan, laporan Berita Harian.

    “Dasar (penyasaran subsidi) baik. Semua Perdana Menteri dari dulu setuju mesti ada penyasaran subsidi. Perkara ini dibincangkan semasa saya jadi Menteri Kewangan dulu. Lebih 25 tahun yang lalu sudah dibincangkan perlunya penyasaran subsidi, tapi tak upaya dilakukan kerana tak mudah. Biasanya pemimpin politik ini dia fikir kesan kepada pimpinan.

    “Apa pun kalau tarik subsidi atau naikkan cukai memamg membebankan. Itu pandangan politik,” katanya yang mengulas mengenai subsidi bersasar yang dilaksanakan oleh kerajaan Madani, termasuk yang terbaharu melibatkan kenaikan harga diesel di Semenanjung Malaysia.

    Penyasaran subsidi negara telah dibincang dan dipersetujui sejak 25 tahun lalu – PMX Anwar

    Beliau turut berkata, kerajaan yakin langkah diputuskan ini baik, khususnya untuk memastikan subsidi negara hanya diberi kepada mereka yang layak.

    “Dalam pertimbangan kita (kerajaan), kita sudah buat keputusan yang baik iaitu sementara kita harus bantu rakyat majoriti, kita tak seharusnya beri subsidi kepada golongan maha kaya, industri besar dan orang asing.

    “Bukan diskriminasi kepada orang asing kerana orang asing tak bayar cukai, cukai levi yang sangat kecil. Kita teliti dan dalam Jemaah Menteri pun hampir setiap minggu mendapat liputan dan perkembangan untuk pastikan pelaksanaan (penyasaran subsidi) ini berkesan,” katanya yang mengakui menerima segala kritikan serta kecaman atas keputusan dibuat kerajaan dalam menyusun semula agihan subsidi negara.

    Mulai 10 Jun 2024, kerajaan telah memulakan program rasinolisasi subsidi diesel, dengan mengumumkan harga diesel di Malaysia akan diapungkan dan ditetapkan pada harga runcit RM3.35 seliter. Di mana harga baharu tersebut hanya melibatkan semua stesen minyak di Semenanjung Malaysia sahaja. Manakala harga untuk Sabah dan Sarawak masih dikekalkan pada RM2.15 seliter.

     
     
  • Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Pengambilalihan UMW oleh Sime Darby Berhad — yang bermula dengan pembelian pegangan sebanyak 61.18% pada Disember 2023 dan diikuti oleh pengambilalihan wajib yang seterusnya menjadikan UMW sebagai anak syarikat milik penuh Sime Darby Berhad — meletakkan Sime Darby sebagai pelopor utama industri automotif di Malaysia hari ini.

    Sime Darby sememangnya mempunyai kehadiran yang meluas dalam sektor automotif Malaysia dan juga rantau Asia Pasifik, dengan pelbagai jenama mewah dalam kendaliannya seperti BMW, Ford, Hyundai, Porsche, Rolls-Royce, Jaguar dan Land Rover.

    Dengan penyerapan kepentingan UMW dalam UMW Toyota Motor sebanyak 51% serta pegangan sebanyak 38% dalam Perodua, Sime Darby kini mempunyai kepentingan lebih meluas dalam pasaran massa — dengan Toyota sebagai jenama bukan nasional nombor satu di Malaysia berdasarkan jualan, sementara Perodua pula merupakan jenama domestik nombor satu serta pendahulu pasaran dalam industri automotif tempatan.

    Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Pengambilalihan UMW oleh Sime Darby terbukti merupakan langkah yang strategik dan tepat pada masanya, ketika sektor automotif Malaysia menunjukkan daya tahan serta pertumbuhan berterusan, dengan saingan yang semakin sengit akibat kemasukan jenama baharu. Di dalam keadaan seperti ini, skala serta kekuatan dari segi bilangan adalah amat penting.

    Sime Darby terus melanjutkan proses untuk menyepadukan UMW ke dalam ekosistemnya. Menurut syarikat itu, secara operasi, terdapat banyak peluang yang terbuka untuk mempertingkat kecekapan serta mengembangkan ekonomi skala, pemanfaatan sumber serta silang-jualan.

    Selain itu, sebagai sebuah entiti yang lebih besar, jumlah yang lebih banyak akan membina keupayaan merentasi rantaian nilai automotif dengan memperkukuh segmen margin tinggi seperti kenderaan terpakai, khidmat selepas jualan serta pemasangan. Yang terakhir ini merupakan kekuatan bagi kedua-dua Toyota dan Perodua, yang menghasilkan kenderaan bagi pasaran domestik dan juga eksport.

    Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Sebagai pengedar kepada beberapa jenama di luar Malaysia, potensi lain yang ada termasuklah peluang untuk mengembangkan jenama Toyota di pasaran lain, serta potensi untuk inovasi dan pertumbuhan hasil daripada perkongsian kepakaran dalam kumpulan pekerja yang lebih luas.

    Bagi pembeli serta peminat kereta, pengambilalihan ini membawakan berita menarik, kerana ia menjanjikan lebih banyak pilihan dan nilai yang dipertingkat untuk masa depan. Toyota dan Perodua merupakan dua jenama dengan produk yang sudah terbukti dan diyakini, dan pelanggan boleh menjangkakan layanan serta pengalaman terbaik daripada kedua-dua jenama itu, diperkaya juga dengan lonjakan kepakaran dan sumber daripada Sime Darby.

    Kenderaan elektrik (EV) pula kini menjadi bualan ramai, tetapi di Malaysia, EV masih mejadi pilihan segelintir masyarakat sahaja. Sime Darby, yang turut menjadi pelopor kepada perkembangan EV tempatan serta merupakan antara pemain terbesar dalam segmen yang kian berkembang ini, sedang berusaha keras untuk mempercepat peralihan penggunaan daripada kenderaan enjin biasa kepada jenis elektrik.

    Sime Darby terus melangkah ke depan bersama UMW — kini merupakan pemain automotif utama di Malaysia

    Dengan peyertaan jenama kenderaan pasaran umum seperti Toyota dan Perodua, kumpulan syarikat ini berada dalam kedudukan baik untuk meneroka lebih jauh asprirasi Malaysia ke arah masa depan mobiliti rendah karbon. Sime Darby juga akan terus menyokong peralihan kepada elektrik bagi model tempatan — nantikan perkembangan ini.

    Dengan penyertaan UMW, pelanggan boleh menjangkakan inovasi dan kualiti terbaik yang terkehadapan daripada Sime Darby selaku pemain automotif utama di Malaysia.

     
     
  • Motosikal langgar orang di plaza tol – guna lorong yang sepatutnya, perlahankan kenderaan

    Motosikal langgar orang di plaza tol – guna lorong yang sepatutnya, perlahankan kenderaan

    Peraturan dibuat ada sebab. Bila anda tidak ikut, risiko untuk menerima padah sentiasa ada. Contohnya boleh dilihat dalam video ini. Ia bukan setakat melibatkan diri sendiri, malah juga memberi kesan kepada orang lain.

    Video yang dimuat naik oleh Mummy Mika di X ini menunjukkan sebuah kereta sedang menuju ke arah plaza tol, di lorong paling kiri yang biasanya adalah untuk kenderaan berat atau tinggi. Apabila sampai di pondok tol, ternampak ada pekerja keselamatan mahu melintas.

    Beliau memakai jaket terang, dan mulanya menunggu kereta berhenti untuk melintas. Selepas memastikan kereta tersebut berhenti, beliau pun mula melangkah. Malangnya selepas itu beliau tidak menoleh lagi ke kiri.

    Secara tiba-tiba beliau disambar oleh sebuah motosikal, yang bukan sahaja tidak sepatutnya menggunakan jalan itu, tetapi juga dalam keadaan laju di kawasan yang kenderaan lain memang perlu berhenti untuk membayar tol.

    Kedua-dua penunggang motosikal dan pekerja keselamatan tersebut tercampak ke atas jalan namun selepas beberapa ketika kedua-duanya cuba untuk bangun. Penunggang itu bagaimanapun gagal untuk bangun kerana terlihat seperti kaki sebelah kanannya mengalami kecederaan.

    Bukan setakat sebuah, menyusuli motosikal yang terlibat dalam perlanggaran ini terdapat beberapa lagi motosikal dalam kelajuan hampir sama, menunjukkan seakan mereka sudah biasa melakukannya di tempat itu.

    Tapi ingatlah, hanya kerana anda tidak mahu masuk ke lorong motosikal, yang biasanya memang ada di setiap plaza tol, ia boleh membawa kepada kemalangan dan dalam keadaan yang lebih teruk, mungkin meragut nyawa. Kalau bukan anda sendiri, mungkin juga orang lain.

     
     
  • JomCharge perkenal fungsi AutoCharge – terus cas secara automatik apabila disambung kepada EV

    JomCharge perkenal fungsi AutoCharge – terus cas secara automatik apabila disambung kepada EV

    Pengendali JomCharge, EV Connection (EVC) melancarkan fungsi AutoCharge baru untuk rangkaian pengecas kenderaan elektrik mereka. Melalui fungsi baru ini, pengguna EV yang layak boleh menyambungkan kenderaan kepada pengecas dan ia akan terus beroperasi secara automatik tanpa perlu membuka aplikasi di telefon atau mengimbas kod QR – seperti Tesla Supercharger.

    AutoCharge kini disediakan di lebih 200 pengecas pantas DC JomCharge, dan telah diuji bersama pemilik Chery Omoda 5 sebelum ini. Buat masa ini, hanya dua model kenderaan sahaja sahaja yang boleh menggunakan fungsi baru ini, dengan satu lagi adalah GAC Aion Y-Plus.

    Sebabnya adalah AutoCharge perlu mengenalpasti ID kenderaan sebelum mula mengecas, dengan bayaran akan ditolak secara automatik melalui kad kredit yang telah dihubungkan kepada akaun pengguna JomCharge. Walaubagaimanapun, EVC memberitahu, mereka kini sedang berusaha secara aktif dengan syarikat kenderaan lain untuk mengembangkan lagi penggunaan JomCharge pada model-model EV lain.

    JomCharge perkenal fungsi AutoCharge – terus cas secara automatik apabila disambung kepada EV

    Pengecas yang mempunyai fungsi AutoCharge ini boleh dikenal pasti melalui pelekat khas yang dilekatkan padanya, dan pengguna juga boleh mencarinya melalui aplikasi JomCharge. Sebelum menggunakannya buat pertama kali, pengguna perlu mengaktifkan terlebih dahulu fungsi AutoCharge di dalam aplikasi.

    “Saya sendiri sebagai pengguna EV lebih menggemari proses mengecas yang lancar, dan saya percaya AutoCharge oleh JomCharge ini adalah cara yang mengecas yang sepatutnya,” kata pengarah urusan EVC, Lee Yuen How.

     
     
  • Jangan suka hati tunggang e-skuter Beam, atau kenderaan mikromobiliti yang lain di jalanraya!

    Jangan suka hati tunggang e-skuter Beam, atau kenderaan mikromobiliti yang lain di jalanraya!

    Kalau di sekitar bandaraya Kuala Lumpur, mesti ramai yang perasan, penggunaan skuter elektrik (e-skuter) ada di mana-mana termasuk yang berwarna ungu ini yang dioperasikan oleh Beam. Memang ramai yang memilih untuk menggunakan e-skuter untuk ke mana-mana termasuk ke pusat membeli-belah. Tetapi tahukah anda penggunaan e-skuter yang termasuk di bawah kumpulan kenderaan mikromobiliti ini hanya boleh digunakan di tempat yang tertentu dan dibenarkan sahaja.

    Namun kalau anda lihat video yang dikongsikan oleh @update11111 menerusi laman sosial X, kelihatan sepasang pelancong selamba menunggang e-skuter ini di Jalan Bukit Bintang, di celah-celah kesibukan jalan raya! Mungkin dia tak ambil tahu pun pasal undang-undang yang telah diwartakan untuk penggunaan PMA di Malaysia, tetapi tindakan sebegini memang mampu mengundang kecelakaan. Bukan setakat terhadap dirinya, bahkan kepada pengguna jalan raya yang lain.

    Pada tahun 2022, Kementerian Pengangkutan (MOT) telah mengumumkan larangan penggunaan kenderaan mikromobiliti tertentu adalah di atas jalan menerusi pewartaan Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan (Larangan Penggunaan Kenderaan Mikromobiliti Tertentu) 2021 (“Kaedah Larangan”). Kenderaan mikromobiliti ini adalah merujuk kepada kenderaan yang menggunakan kuasa elektrik, enjin pembakaran dalaman, atau kuasa manusia, atau kuasa manusia yang digabungkan dengan mana-mana dua jenis kuasa yang disebutkan tadi, dengan kelajuan maksima 50 km/j. Ia termasuklah Moped, Personal Mobiliti Devices (PMD) termasuk skuter elektrik, kuasa enjin pembakaran dalaman ataupun kuasa manusia dan Personal Mobiliti Aids (PMA).

    Antara contoh moped dan PMA yang diharamkan diguna di jalan raya adalah termasuk kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti, manakala PMD pula ada termasuk kenderaan seperti e-Skuter, papan luncur, hoverboards dan skuter kaki.

    Di mana penggunaan kenderaan mikromobiliti yang dilarang di atas jalan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1978 iaitu kompaun sebanyak RM300, dan agensi yang akan menguatkuasakan perintah larangan itu adalah Jabatan Pengangkutan Jalan dan polis. Manakala jika melakukan kesalahan yang sama buat kali kedua dan seterusnya, boleh dikenakan kompaun sebanyak RM1,000 dan dipenjarakan selama tiga bulan.

     
     
  • Suzuki Swift Sport mungkin ‘pupus’, tiada model baru kerana undang-undang emisi yang semakin ketat

    Suzuki Swift Sport mungkin ‘pupus’, tiada model baru kerana undang-undang emisi yang semakin ketat

    Suzuki Swift generasi keempat sudahpun dilancarkan di Jepun pada akhir tahun lalu, manakala jualannya di pasaran tersebut sudah bermula pada awal tahun ini. Bagi peminat-peminat prestasi Swift, sudah tentu ada yang mungkin tak sabar untuk melihat varian yang lebih berkuasa dengan lencana ‘Sport’ bukan?

    Namun apa yang menyedihkan laporan media Australia, Drive menyebut Suzuki masih belum membuat keputusan untuk menghasilkan Swift Sport baharu berdasarkan model generasi keempat ini kerana undang-undang emisi global yang kini semakin ketat, manakala Swift Sport sedia ada akan terus dijual di pasaran negara itu sehingga akhir 2025 dan ia akan berada di bilik pameran sekali dengan Swift biasa generasi baharu.

    Perkara ini disebut oleh pengurus besar Suzuki Australia, Micheal Pachota ketika menjawab soalan dari Drive yang bertanyakan status Suzuki Swift Sport generasi baharu tersebut. “Tiada apa yang sudah disahkan oleh Jepun. Tiada apa yang saya tahu setakat ini,” katanya.

    Ini adalah kerana Suzuki akan menghadapi kesukaran bagi menghasilkan hot-hatch generasi baharu tersebut kerana undang-undang emisi global yang kini semakin ketat. Buat masa sekarang Swift Sport generasi sedia ada sudahpun diberikan sistem hibrid ringkas, namun ia masih tidak cukup bagi memenuhi piawaian emisi baharu yang bakal diperkenalkan di Eropah tidak lama lagi.

    Suzuki Swift Sport mungkin ‘pupus’, tiada model baru kerana undang-undang emisi yang semakin ketat

    Malah di Australia sendiri turut akan diperkenalkan dengan undang-undang emisi lebih ketat bermula 2025 menerusi undang-undang Standard Efisien Kereta Baharu (NVES) yang turut akan diperketat dari tahun ke tahun.

    Pachota menjelaskan bahawa agak sukar untuk menyediakan model prestasi baharu dengan kuasa enjin yang mencukupi untuk dilabel sebagai kereta sport dalam masa yang sama mematuhi standard emisi yang semakin ketat.

    “Jika anda mahu bermain dalam segmen hot hatch, anda benar-benar perlu ambil kira NVES selepas itu, dan/atau semua portfolio produk anda dari segi penalti yang perlu anda terima dalam satu ruang dan kredit kepada yang lain. Saya bayangkan ia sangat sulit,” katanya.

    Laporan Drive ini turut menyebut bahawa undang-undang emisi ini telah menyebabkan dua hot-hatch kompak iaitu Ford Fiesta ST dan Renault Clio RS telah dihentikan jualannya di Australia. Manakala Hyundai i20 N yang kini masih dijual di sana dijangka tidak akan bertahan sehingga 2026.

     
     
  • BMW 520i 2024 di Malaysia – 2.0T hibrid ringkas petrol dengan 208 hp/330 Nm; harga asas dari RM333k

    BMW 520i 2024 di Malaysia – 2.0T hibrid ringkas petrol dengan 208 hp/330 Nm; harga asas dari RM333k

    BMW Malaysia telah mengumumkan harga bagi sedan 520i generasi G60 yang dipertontonkan di Malaysia pada bulan lalu. Model pemasangan tempatan (CKD) 520i ditawarkan pada harga asas bermula RM332,800, tetapi jika memilih BMW Service & Repair Inclusive, dengan pakej waranti lima-tahun dan pakej servis pada RM26,900, harganya menjadi RM359,700 tanpa insurans.

    Sebagai model asas bagi barisan BMW 5 Series G60, ia diberikan penjana kuasa hibrid ringkas, dengan menampilkan unit B48 2.8 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 208 hp dan tork 330 Nm, disepadukan dengan binaan 48-voltan bagi pemacu komponen elektrik. Pacuannya disalurkan ke roda belakang menerusi transmisi automatik lapan-kelajuan, dan membolehkan 520i ini dipecut dari 0-100 km/j dalam 7.5 saat dan kelajuan maksimum cecah 230 km/j.

    Bentangan suspensi untuk versi enjin pembakaran 5 Series dan varian EV i5 adalah sama iaitu larasan double wishbone untuk suspensi hadapan dan five-link di belakang. 520i ini juga diberikan rim aloi aero 934 bicolour grey 19-inci dengan dibaluti tayar 245/45R19 untuk hadapan dan belakang.

    BMW 520i 2024 di Malaysia – 2.0T hibrid ringkas petrol dengan 208 hp/330 Nm; harga asas dari RM333k

    Di dalamnya, kelengkapan yang diberikan untuk 520i antaranya roda stereng pelbagai-fungsi dua-jejari flat-bottomed, ciri BMW Curved Display dengan panel instrumen 12.3-inci dan skrin sesentuh infotainmen 14.9-inci, yang boleh diakses menerusi kawalan iDrive, dan penumpang tempat duduk hadapan juga boleh mengakses alas pengecas tanpa wayar.

    Bagi sistem bantuan pemandu, ia diberikan Driving Assistant Plus yag terdiri daripada sistem bantuan berasaskan radar dan kamera termasuk Kawalan Cruise Aktif, bantuan Kawalan Lorong dan Stereng serta Amaran ketibaan Lorong.

    Di Malaysia, BMW 520i G60 ditawarkan dengan empat pilihan warna luaran iaitu Black Sapphire Metallic, Mineral White Metallic, Phytonic Blue Metallic, dan Cape York Green Metallic, bersama dua pilihan kemasan dalaman Veganza sama ada warna hitam atau coklat espresso.

    GALERI: Foto rasmi BMW 520i 2024

    BMW 520i G60 2024 dengan kelengkapan M Performance

     
     
  • Kenaikan mendadak harga diesel bebankan rakyat, bantuan Budi Madani tidak mencukupi — Muhyiddin

    Kenaikan mendadak harga diesel bebankan rakyat, bantuan Budi Madani tidak mencukupi — Muhyiddin

    Pelarasan semula subsidi diesel di Semenanjung telah dimulakan hari ini, dan itu menjadi beban kepada rakyat. Ini merupakan isi kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyidding Yassin, hari ini.

    Kenaikan harga runcit diesel sebanyak 56%, atau kenaikan RM1.20 kepada RM3.35 seliter adalah “terlalu tinggi”, dan tidak mengambil kira beban yang ketika ini sudah ditanggung oleh rakyat akibat inflasi dan kos sara hidup yang tinggi, jelas Muhyiddin dalam kenyataannya.

    “Kenaikan harga diesel secara mendadak ini akan mengakibatkan kejutan ekonomi yang akan merebak ke seluruh pelusuk negara dan menyebabkan kesan gandaan (multiplier effect) kepada sektor ekonomi dan sosial yang lain. Beban ini jika ditaksir mungkin kosnya kepada rakyat adalah jauh lebih besar daripada RM4 bilion yang dapat dijimatkan dari penyasaran subsidi ini. Apakah ini berbaloi?” ujarnya.

    “Saya tidak yakin Sistem Kawalan Subsidi Diesel (SKDS) yang hanya terhad kepada jenis-jenis kenderaan komersil tertentu sahaja dapat mengatasi masalah kenaikan kos dalam rantaian bekalan. Syarat-syarat yang dikenakan ke atas penerima bantuan subsisidi diesel menerusi skim Budi Madani juga ketat yang boleh menyebabkan sebahagian besar pengguna tidak layak mendapat bantuan. Ini termasuk petani dan pekebun kecil yang menggunakan jentera diesel bagi mengeluarkan produk pertanian.

    Kenaikan mendadak harga diesel bebankan rakyat, bantuan Budi Madani tidak mencukupi — Muhyiddin

    Bagi yang layak menerima bantuan pula, jumlah RM200 sebulan pastinya tidak memadai untuk menampung kenaikan harga diesel yang terlalu tinggi. Akhirnya kenaikan kos dalam rantaian bekalan akan tetap berlaku dan ditanggung sepenuhnya oleh pengguna,” tambah beliau.

    Harga runcit baru bahan api tersebut dikira berdasarkan formula mekanisma harga automatik (APM) untuk bulan Mei. Menteri Kewangan Ke-II menambah, di bawah pelaksanaan subsidi diesel bersasar, kerajaan telah menepatkan harga diesel bagi sektor yang layak seperti berikut:

    • Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 2.0 yang menyediakan kad fleet untuk kenderaan logistik yang layak untuk mengurangkan kesan harga diesel terhadap harga barangan, adalah ditetapkan pada RM2.15 seliter.
    • Sistem Kawalan Diesel Subsidi (SKDS) 1.0 untuk pengangkutan awam darat, termasuk bas sekolah, bas ekspres, ambulans dan jentera bomba kekal RM1.88 seliter.
    • Diesel subsidi untuk nelayan kekal di tahap RM1.65 seliter.

    Dengan kadar seperti di atas, bantuan RM200 akan menampung penggunaan 167 liter pertama diesel. Jika menggunakan lebih daripada jumlah itu dalam sebulan, perbelanjaan bahan api akan meningkat. Bagi trak pikap diesel biasa yang menggunakan 10 km/l, itu akan menjadikan purata perjalanan 1,670 km sebulan sebelum subsidi berkenaan habis.

     
     
  • Perodua e-mo II — Axia EV boleh jadi kenyataan?

    Perodua e-mo II — Axia EV boleh jadi kenyataan?

    Tahun ini, model kereta konsep elektrik Perodua emo-1 mula ditunjukkan dalam saiz penuhnya. Ia muncul sebagai sebuah kajian Myvi versi bateri-elektrik, yang dibangunkan daripada model kajian EMO EV yang dipertontonkan sebagai semua model skala, pada tahun lalu.

    Kini, Theophilus Chin berkongsi versinya untuk sebuah model elektrik sepenuhnya untuk Perodua, walaupun yang ini menggunakan asas Perodua Axia yang lebih kecil.

    Warna kuning cerah dan hitam pada emo-1 telah digunakan juga untuk model Axia EV ini, dengan rekaan roda dengan skim warna yang sama dipinjam untuk kegunaan model “emo-II” ini. Theo juga telah meletakkan emo-1 dengan penjelmaan daripada Axia untuk perbandingan:

    Perodua e-mo II — Axia EV boleh jadi kenyataan?

    Dipertontonkan untuk pertama kali ketika Malaysia Autoshow 2024 bulan lalu, emo-1 menggunakan Myvi D51A sebagai model penderma serte menerima motor elektrik permanent magnet synchronous tiga fasa yang menghasilkan 68 PS dan 220 Nm tork, yang membolehkan pecutan 0-100 km/j dalam masa tujuh hingga sembilan saat.

    Tenaganya pula dibekalkan oleh bateri lithium-ion NMC 55.7 kWh, yang menurut Perodua boleh memberikan 350 km jarak perjalanan dalam satu cas penuh. Untuk pengecasan, lima jam diperlukan untuk satu kitaran penuh melalui sambungan AC 11 kW, sementara jika menggunakan DC 50 kW, ia memerlukan sejam, dakwa Perodua.

    Ini berbeza daripada spesifikasi model skala EMO dari tahun lalu, yang dinyatakan memberikan output 95 PS dan 121 Nm dari motornya dan mampu mencapai laju 160 km/j. Projek berkaitan emo-1 ini dimulakan sejak September 2022, dengan binaan model sebenarnya pula bermula sejak setahun lalu, melibatkan kerjasama dengan rakan kongsi dari Australia.

    Dengan emo-1 yang dijangka bakal menjadikan EV Perodua satu kenyataan, ia akan dijual pada julat harga antara RM50k dan RM100k. Berapa pula model produksi — jika ada — untuk EV berasaskan Axia “emo-II” ini?

     
     
  • Kerajaan perlu naikkan harga RON95 sebanyak 32 sen seliter mulai 1 Julai untuk jimat RM4.1b – Maybank IB

    Kerajaan perlu naikkan harga RON95 sebanyak 32 sen seliter mulai 1 Julai untuk jimat RM4.1b – Maybank IB

    Subsidi bersasar untuk bahan api diesel sudahpun bermula pada hari ini, 10 Jun 2024 di mana harga bahan api diesel Euro 5 B10 yang sebelum ini dijual pada RM2.15 seliter kini naik sebanyak RM1.20 seliter bagi menjadikan harga jualannya RM3.35 seliter.

    Program rasionalisasi bahan api ini bukan akan terhenti setakat ini, kerana kerajaan sudahpun memberikan petunjuk jelas bahawa ia turut akan membabitkan bahan api petrol RON95 tidak lama lagi. Berapa harga RON95 akan naik? Bila ia akan dilaksanakan? Perkara ini masih lagi menjadi tanda tanya.

    Bagi menjangkakan perkara ini, Maybank Investment Bank (Maybank IB) telah pun membuat simulasi berdasarkan maklumat-maklumat yang ada setakat ini, dan ia telahpun dinyatakan oleh Ketua Ekonomi Maybank IB, Suhaimi Ilias, dalam nota penyelidikan berkaitan fiskal negara yang disediakan bersama dua lagi penganalisis firma itu hari ini, dilaporkan oleh Dagang News.

    Dalam pembentangan Belanjawan 2024 Oktober tahun lalu, kerajaan sudahpun mengumumkan bahawa ia mensasarkan penjimatan sebanyak RM11.5 bilion bagi perbelanjaan subsidi, dan setakat ini sasaran penjimatan itu sudahpun mencapai RM7.4 bilion, termasuk RM4 bilion daripada subsidi elektrik dan RM1.2 bilion daripada penghapusan subsidi harga ayam, katanya.

    Kerajaan perlu naikkan harga RON95 sebanyak 32 sen seliter mulai 1 Julai untuk jimat RM4.1b – Maybank IB

    “Pengurangan sebanyak RM2.2 bilion lagi adalah daripada penyasaran subsidi diesel yang bermula 10 Jun 2024, iaitu jumlah pro-rata berbanding RM4 bilion yang boleh dicapai bagi setahun penuh,” tambah Suhaimi dalam laporan tersebut.

    Jadi dengan simulasi yang dibuat Maybank IB, harga petrol RON95 perlu dinaikkan sebanyak 32 sen iaitu RM2.37 bermula 1 Julai ini bagi mencapai sasaran penjimatan RM4.1 bilion untuk menggenapkan sasaran RM11.5 bilion yang diumum dalam Belanjawan 2024.

    Menurut Maybank IB lagi, sekiranya kerajaan bertindak lebih lambat, harga bahan api RON95 perlu dinaikkan lebih tinggi bagi mencapai sasaran penjimatan tersebut pada suku ke-empat 2024, dengan menyatakan bahawa ia perlu naik sebanyak 65 sen atau 31.7% kepada RM2.70 seliter sekiranya ia bermula pada 1 Oktober 2024.

    Menurut Maybank IB lagi, kenaikan 10 sen seliter petrol RON95 mampu menjimatkan RM2.5 bilion subsidi untuk setahun penuh dengan mengandaikan kenaikan diimbangi bantuan tunai bulanan kepada penerima yang layak seperti mana penyasaran subsidi diesel.

    Kerajaan perlu naikkan harga RON95 sebanyak 32 sen seliter mulai 1 Julai untuk jimat RM4.1b – Maybank IB

    Namun menurut Suhaimi bila tarikh sebenar harga petrol RON95 akan dinaikkan bagi tujuan penyasaran subsidi petrol RON95 akhirnya adalah “keputusan politik”.

    “Sudah tentu, kerajaan mempunyai kata putus mengenai kuantum dan masa sebenar pelarasan harga RON95.

    “Malah kerajaan juga boleh menangguhkan pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol RON95 yang disasarkan,” jelasnya.

    Beliau turut berkata, dividen tambahan daripada Petronas boleh menampung andai RM4.1 bilion yang diperlukan bagi mencapai sasaran Belanjawan 2024 tidak diperoleh sepenuhnya.

    “Sebarang kekurangan berbanding RM4.1 bilion yang diperlukan untuk mencapai sasaran pengurangan perbelanjaan subsidi sebanyak RM11.5 bilion dalam Belanjawan 2024 boleh ditampung oleh dividen tambahan Petronas berbanding RM32 bilion yang dianggarkan untuk tahun ini,” katanya.

     
     
  • Zeekr lantik Sentinel Automotive jadi rakan niaga di Malaysia — SUV X dan MPV 009 dijangka tiba tahun ini

    Zeekr lantik Sentinel Automotive jadi rakan niaga di Malaysia — SUV X dan MPV 009 dijangka tiba tahun ini

    Minggu lalu, Zeekr mengadakan majlis pratonton model Zeekr X di Malaysia, sekaligus memberi petunjuk bahawa jenama EV milik Geely ini akan masuk ke pasaran sini. Kini, perkara itu telah disahkan melalui perjanjian kerjasama antara syarikati China itu dengan Sentinel Automotive yang akan menjadi rakan niaga tempatannya di Malaysia. Syarikat itu juga telah menandatangani perjanjian sama dengan PT Premium Auto Prima di Indonesia, lapor CarNewsChina.

    Syarikat tersebut akan membuka cawangan pertamanya di Kuala Lumpur, dengan bilik pameran di bandar-bandar lain seperti P. Pinang dan Selangor juga direncanakan akan dibangunkan dalam tahun ini. Semua cawangan ini kemudiannya akan mula menjual SUV Zeekr X dan MPV Zeekr 009 — dua model terawal yang diumumkan untuk pasaran Malaysia dan Indonesia.

    Laman automotif yang sama turut menambah yang versi pemanduan sebelah kanan bagi X telahpun mula dikeluarkan dari kilang di China minggu lalu, dengan serahan pasaran luarnya dijangka bermula pada suku ketiga tahun ini. Ia sekaligus menjadi petunjuk kepada bila jenama ini akan diperkenalkan secara rasmi di sini.

    Zeekr X dibina menggunakan platform Scalable Electric Architecture (SEA) Geely yang turut digunakan oleh smart #1. Zeekr X mempunyai ukuran panjang 4,450 mm, lebar 1,836 mm, tinggi 1,572 mm dan jarak roda 2,750 mm. Panjang jarak rodanya pula adalah sama seperti smart #1. Ia juga lebih panjang 180 mm dan lebih lebar 14 mm, tetapi tingginya kurang 64 mm berbanding model smart itu. Tidak lupa juga model daripada Volvo iaitu EX30.

    Zeekr lantik Sentinel Automotive jadi rakan niaga di Malaysia — SUV X dan MPV 009 dijangka tiba tahun ini

    X ditawarkan dalam bentuk motor tunggal RWD atau dua-motor AWD. Versi motor tunggal menghasilkan 272 PS (200 kW) dan 343 Nm tork dan memecut 0-100 km/j dalam masa 5.8 saat. Versi AWD pula menghasilkan 428 PS (315 kW) dan 543 Nm, dan memecut 0-100 km/j dalam masa 3.8 saat — ini angka pecutan yang sama dengan smart #1 Premium dan Brabus.

    Turut dikongsi antara model smart dan Zeekr ini ialah baterinya: unit nickel manganese cobalt (NMC) 66 kW yang memberikan jarak 560 km untuk RWD dan 512 km untuk AWD. Ini angka mengikut CLTC — penggunaan nyata masing-masing mungkin di sekitar 440 km dan 400 km seperti yang dinyatakan oleh smart. Model smart juga menerima pengecasan DC 150 kW, dan boleh dicas 10-80% dalam masa 30 minit.

    Untuk MPV 009 pula, ia lebih panjang dan lebar serta lebih rendah berbanding Toyota Alphard/Vellfire. Di China, 009 menggunakan dua motor elektrik dan sistem pacuan semua roda, dengan janaan 544 PS (400 kW) dan 686 Nm. Ia mampu memecut 0-100 km/j dalam masa 4.8 saat. Dua pilihan bateri ditawarkan: 116 kWh dan 140 kWh, dengan jarak kitaran CLTC masing-masing sejauh 702 dan 822 km.

    Zeekr X di BIMS 2024

    Zeekr 009 di BIMS 2024

     
     
  • Rafizi Ramli jelaskan mengapa harga minyak tidak turun – subsidi diberi terus kepada rakyat yang layak

    Rafizi Ramli jelaskan mengapa harga minyak tidak turun – subsidi diberi terus kepada rakyat yang layak

    Nama Menteri Ekonomi Rafizi Ramli ‘kembali panas’ sejak kerajaan mengumumkan akan melaksanakan subsidi bersasar bahan api tahun ini. Malah dengan pelaksanaan harga baharu bagi diesel yang kini berharga RM3.35 seliter berkuatkuasa hari ini, makin ramai netizen yang berkongsikan foto di media sosial mengenai ‘semangat dan perjuangan’ Rafizi yang menuntut agar harga bahan api diturunkan. Namun, atas ‘desakan ekonomi negara’ dan ketirisan bahan api yang mendukacitakan, maka subsidi bersasar ini ‘terpaksa’ dilaksanakan oleh kerajaan Madani.

    Namun, apa jua alasan ‘kukuh’ yang diberikan oleh kerajaan, masih ramai di antara rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini. Malah dalam sebuah majlis politik yang berlangsung di Pulau Pinang malam tadi, ternyata kehadiran Rafizi memang ditunggu-tunggu. Ada hadirin yang bertindak berani mempersoalkan mengapa harga minyak tidak turun ketika Rafizi sedang menyampaikan ucapan.

    Menerusi laporan dari Berita Harian, Rafizi ternyata sudah bersedia dengan alasannya berhubung dengan kenaikan harga minyak ini.

    Rafizi Ramli jelaskan mengapa harga minyak tidak turun – subsidi diberi terus kepada rakyat yang layak

    Katanya, kerajaan tidak pernah membatalkan subsidi bahan api termasuk diesel mencecah RM60 bilion setahun, sebaliknya mengalihkannya dengan memberikannya terus kepada rakyat. Di mana sebelum ini subsidi terbabit dibayar kepada beberapa syarikat minyak saban tahun, berbeza dengan tindakan kerajaan ketika ini yang terus mengagihkannya termasuk kepada keluarga yang menikmati pembiayaan serendah RM200 hingga RM500 sebulan.

    “Zaman minyak dulu yang harga RM1.90 tahu tak berapa harga minyak mentah masa itu? Tahu tak berapa subsidi yang kerajaan kena belanjakan? Sikit saja (ditanggung kerajaan kerana) masa itu subsidi kena belanja RM3 bilion daripada bajet RM200 bilion lebih.

    “Sekarang ini subsidi RM60 bilion dengan harga minyak mentah AS$80 (setong)… saya sebut dulu (turunkan harga minyak) kalau harga minyak mentah rendah dan subsidi itu masih lagi boleh ditangguh kenapa nak hapuskan subsidi,” katanya.

    Rafizi Ramli jelaskan mengapa harga minyak tidak turun – subsidi diberi terus kepada rakyat yang layak

    Tambahnya lagi, “(Sekarang) bila subsidi sudah jadi RM80 bilion nak buat sekolah tak boleh, nak naik gaji tak boleh dan subsidi menyebabkan harga (minyak) yang rendah itu yang dapatnya orang kaya-kaya, bukankah lebih baik kita alihkan subsidi itu, bukanlah kita batalkan.

    “(Kita) alih subsidi maksudnya subsidi terus diberi. Diesel kenderaan awam, lori kecil, pikap, peniaga semua dapat, malah orang biasa gaji RM100,000 ke bawah setahun pun dapat atau kita agihkan kepada keluarga biar dapat subsidi minyak tiap-tiap bulan RM200, RM300, RM400 (atau) RM500,” katanya.

    Beliau turut menyuarakan keyakinan bahawa rakyat akan dapat melihat dengan lebih baik bagaimana peruntukan subsidi itu disalurkan kepada isi rumah berbanding terus dibayar kepada syarikat minyak.

    Pada 27 Mei lalu, Kementerian Kewangan Malaysia telah mengumumkan program bantuan subsidi Madani, atau Budi Madani untuk pemilik kenderaan diesel persendirian individu, petani kecil serta pekebun kecil komoditi. Program tersebut adalah bagi mereka yang layak di bawah kategori Budi Individu dan Budi Agri-Komoditi di bawah subsidi Budi Madani. Pemohon yang berjaya bagi kedua-dua kategori akan menerima RM200 sebulan dalam bentuk bantuan kewangan sebagai sebahagian daripada program subsidi bersasar untuk diesel.

     
     
  • Mazda sasar bina enjin rotary lulus Euro 7 Eropah, alternatif untuk EV; RX-7 baharu semakin hampir!

    Mazda sasar bina enjin rotary lulus Euro 7 Eropah, alternatif untuk EV; RX-7 baharu semakin hampir!

    Ketika pembentangan Multipathway Workshop bersama Toyota dan Subaru hujung bulan lalu, Mazda yang bersama pakatan berkenaan untuk terus membina enjin pembakaran dalaman yang lebih mesra alam sebagai alternatif kepada kenderaan elektrik (EV) turut membentangkan konsep teknologi Rotary EV bagi tujuan tersebut.

    “Enjin rotary merupakan enjin pembakaran dalaman yang unik dari Mazda. Walau bagaimanapun, sifat strukturnya telah menyebabkan kami berada dalam situasi yang sukar terhadap undang-undang alam sekitar. Enjin ini telah lenyap dari pasaran sebelum ini. Tetapi sekarang kami rasa sudah masanya untuk menukar keunikan ini kepada kelebihan,” kata pengarah, pegawai pengurusan eksekutif kanan serta ketua pengarah teknologi (CTO) Mazda, Ichiro Hirose.

    Dua konsep sistem Rotary EV didedahkan dalam acara tersebut iaitu sistem dengan rotor tunggal dan sistem dengan rotor berkembar. Menurut Hirose, enjin-enjin rotary ini bakal memainkan peranannya dan berkembang dalam masyarakat neutral-karbon yang sedang dibentuk.

    Secara asasnya sistem Rotary EV ini merupakan sistem hibrid jenis range extander di mana enjin rotary yang kompak dan ringan tetapi mampu menghasilkan kuasa yang tinggi digunakan sebagai generator untuk mengecas bateri, sementara roda digerakkan terus dengan kuasa dari motor elektrik.

    Mazda sasar bina enjin rotary lulus Euro 7 Eropah, alternatif untuk EV; RX-7 baharu semakin hampir!

    Bagi sistem dengan enjin rotor tunggal, enjin rotary berkenaan akan diletakkan secara melintang pada ruang hadapan seperti enjin pacuan hadapan biasa. Menurut Mazda, kerana saiznya yang kecil enjin tersebut masih boleh dimuatkan pada bahagian tersebut walaupun ruang berkenaan sudah dipenuhi dengan komponen unit pacuan elektrik seperti EV sebenar.

    Sistem ini sebenarnya sudahpun digunakan pada model produksi, seperti yang terdapat pada Mazda MX-30 REV. Model berkenaan enjin Wankel Rotary yang dikenali dengan kod 8C, berkapasiti 830 cc dan mampu menghasilkan 75 PS (74 hp atau 55 kW) tork maksima 116 Nm untuk bateri lithium-ion dengan kapasti 17.8 kWj, bagi menggerakkan motor elektrik berkuasa 170 PS (168 hp atau 125 kW) dan tork maksima 260 Nm untuk memacu roda hadapan.

    Manakala bagi sistem dua rotor, enjin rotary berkenaan akan diletakkan menegak kebelakang seperti enjin-enjin rotary pada kereta sport Mazda sebelum ini, termasuk RX-7 dan RX-8. Walaupun enjin rotary tersebut tidak memacu terus roda belakang, tujuan utama ia diletakkan sedemikian adalah masih sama iaitu memberikan pusat graviti lebih rendah kerana ia berada lebih rendah berbanding titik paling tinggi kedua-dua roda hadapan.

    Hirose turut menyatakan dengan bangga, kedudukan enjin tersebut yang rendah juga membolehkan kenderaan yang menggunakannya nanti menampilkan bentuk badan yang mustahil di tiru oleh pengeluar-pengeluar lain.

    Mazda sasar bina enjin rotary lulus Euro 7 Eropah, alternatif untuk EV; RX-7 baharu semakin hampir!

    Mazda telah pun menggunakan sistem ini pada kereta konsep Mazda Iconic SP yang didedahkan di Japan Mobility Show 2023 Oktober lalu. Kereta sport konsep dengan banyak rekaannya diispirasikan dari Mazda RX-7 FD3S tersebut dibekalkan dengan kuasa keseluruhan 370 PS, dengan berat badan 1,450 kg bagi menghasilkan nisbah kuasa kepada berat pada kadar 3.9.

    Enjin-enjin rotary generasi baharu yang digandingkan bersama unit rangkaian kuasa elektrik ini juga dibangunkan agar ia boleh beroperasi menggunakan pelbagai bahan api neutral karbon, bukan hanya menggunakan bahan api fosil seperti petrol semata-mata.

    Mazda menyatakan bahawa untuk menghasilkan enjin sedemikian agak kompleks kerana bahan api neutral karbon ini ada banyak jenis dan masing-masing menampilkan jenis dan karekter yang berbeza. “Ada yang sangat mudah terbakar, ada yang kurang. Terdapat beberapa jenis yang bertindak sebagai pelincir, manakala bahan api yang berasaskan alkohol mempunyai pelinciran yang lemah,” kata Mazda.

    Walau bagaimanapun Mazda menyatakan faktor ini merupakan satu lagi kelebihan buat enjin rotary kerana kaedah pembakarannya yang unik, berbeza dari enjin-enjin biasa. Enjin rotary ini memberikan campuran aliran udara dan bahan api yang kuat dan dari pelbagai arah untuk masuk ke kebuk pembakaran, membolehkan campuran tersebut diadun dengan baik sehinggakan bahan api yang sukar terbakar juga akan terbakar dengan baik di dalam enjin ini, dakwa Mazda.

    Mazda sasar bina enjin rotary lulus Euro 7 Eropah, alternatif untuk EV; RX-7 baharu semakin hampir!

    “Tambahan pula, kebuk pembakaran dan kebuk ambilan udara enjin ini adalah berasingan, mengelakkan kebuk pengambilan menjadi terlalu panas seterusnya menghentikan pembakaran yang tidak diperlukan sekiranya menggunakan bahan api yang mudah terbakar”, kata pembuat kereta dari Hiroshima itu lagi.

    Mazda juga menyatakan satu lagi kelebihan enjin rotary ini untuk menerima pelbagai jenis bahan api adalah ia tidak mempunyai struktur injap sebagai ‘pintu masuk dan keluar’ bagi campuran bahan api dan udara serta gas ekzos, membolehkan ia kurang terkesan dengan bahan api yang menampilkan tahap pelinciran yang lemah.

    Dengan semua kelebihan ini, presiden Mazda Masahiro Moro menyifatkan enjin rotary ini adalah “omnivor terhadap bahan api” kerana ia boleh menerima hampir apa sahaja jenis bahan bakar untuk beroperasi.

    Walau bagaimanapun Mazda masih mengakui bahawa cabaran yang paling sukar adalah untuk mematuhi undang-undang emisi yang semakin ketat, termasuk regulasi Euro 7 yang bakal dikuatkuasakan di Eropah menjelang 2028.

    Mazda sasar bina enjin rotary lulus Euro 7 Eropah, alternatif untuk EV; RX-7 baharu semakin hampir!

    Namun Mazda kini sedang berusaha untuk melepasi ujian-ujian berkenaan dengan memberikan emisi ekzos yang lebih bersih termasuk dengan secara selektif menghasilkan kuasa pada jarak yang optimal enjin bagi mengecas bateri, serta menggunakan kuasa elektrik bagi memanaskan enjin sebaik sahaja enjin dihidupkan, di mana ketika ini adalah tempoh penghasilan emisi pada kadar yang paling tinggi.

    Ichiro Hirose turut membayangkan bahawa kereta sport Mazda dengan enjin rotary atau model produksi berdasarkan versi konsep Iconic SP turut akan ditawarkan oleh Mazda selepas ini.

    “Dengan menarik pelanggan menerusi penawaran produk yang menampilkan bayang badan tidak seperti kenderaan dengan enjin pembakaran dalaman konvensional, kami boleh melibatkan mereka dalam menyumbang kepada masyarakat dan alam sekitar melalui neutraliti karbon. Selaras dengan penggunaan BEV yang lebih meluas, enjin ini boleh menjadikan penyahkarbonan sebagai usaha kolektif,” kata Hirose.