Follow us:
Search in Bahasa Malaysia:

GWM Wey G9 Hi4 PHEV - MPV mewah tapi harga menarik



Artikel Terkini

  • Honda CB750 Hornet dilancar di Malaysia – RM50,800

    Honda CB750 Hornet dilancar di Malaysia – RM50,800

    Pernah dipertontonkan di Litar Sepang sempena hujung minggu MotoGP tahun lalu, Honda CB750 Hornet kini dilancarkan secara rasmi untuk pasaran Malaysia pada harga RM50,800 tidak termasuk insurans. Ia disediakan dalam tiga warna iaitu Graphite Black, Pearl Glare White dan Mat Goldfinch Yellow, bersama jaminan dua tahun atau 20,000 km.

    Model naked ini dipacu oleh enjin dua silinder selari penyejukan cecair, OHC 755 cc yang dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan dan klac assist & slipper, mampu menghasilkan 90 hp pada 9,500 rpm dan 74.4 Nm tork pada 7,000 rpm. Menambah lagi tarikannya, motosikal ini turut didatangkan dengan quickshifter yang boleh digunakan untuk naik dan turun gear secara standard.

    Empat mod tunggangan disediakan pada CB750 Hornet, dan ia juga datang dengan sistem elektronik lain seperti Honda Selectable Torque Control (HSTC) dan Wheelie Control, manakala informasi penting dipaparkan pada skrin TFT warna penuh lima inci. Penunggang juga boleh melaras tahap kuasa enjin dan engine braking pada motosikal ini.

    Kelengkapan lain yang disediakan adalah termasuk tangki bahan api 15.2 liter, ABS dual-channel, suspensi daripada Showa, yang terdiri daripada fork SFF-BP USD 41 mm di hadapan, dan monoshock berserta sambungan lengan ayun Pro-Link di belakang, brek cakera berkembar 296 mm dengan angkup Nissin empat piston di hadapan, dan cakera 240 mm tunggal dengan angkup satu piston di belakang, serta rim 17 inci.

    Melihat kepada model yang lebih kecil, iaitu CB350RS, ia sudah diperkenalkan kepada dunia sejak tahun 2021 lagi, bermula antaranya di India, dengan membawa rekaan klasik yang diterapkan dengan konsep scrambler. Enjinnya adalah unit satu silinder 350 cc dengan suntikan bahan api dan kuasa 20.8 hp/30 Nm tork.

    Walaupun nampak ringkas, CB350RS ini datang dengan kelengkapan moden termasuk brek cakera depan dan belakang yang dilengkapi sistem ABS two-channel, kawalan cengkaman Honda Selectable Torque Control (HSTC), rim 19 inci di hadapan, 18 inci di belakang, transmisi lima kelajuan serta sambungan Bluetooth.

     
     
  • Donald Trump ugut untuk kenakan tarif 100% bagi pengeluar kenderaan China jika ia diperbuat di Mexico

    Donald Trump ugut untuk kenakan tarif 100% bagi pengeluar kenderaan China jika ia diperbuat di Mexico

    Bekas presiden Amerika Syarikat (USA) yang juga calon presiden yang sedang bertanding, Donald Trump mendedahkan sekiranya dia memenangi kerusi untuk kembali ke White House, dia akan mengenakan tarif 100% untuk kenderaan (termasuk kenderaan elektrik) dari jenama China, sekiranya ia diperbuat di Mexico.

    Awal bulan ini, presiden Amerika Syarikat Joe Biden mengumumkan beberapa tarif baharu ke atas barangan buatan China, salah satunya akan menyaksikan duti ke atas EV yang diimport dinaikkan empat kali ganda daripada 25% kepada 100%. Walau bagaimanapun, penganalisis menegaskan bahawa syarikat kereta China boleh mengelak undang-undang tersebut dengan menubuhkan fasilitipengeluaran di luar China, seperti di Mexico. Laporan oleh Reuters dan Mexico News Daily menunjukkan jenama seperti BYD dan Jaecoo sedang mencari jalan untuk melakukannya.

    Dalam ucapannya di Ohio, Trump berkata dia tidak akan membenarkan perkara ini berlaku. “Jika anda melihat United Auto Workers, apa yang mereka lakukan terhadap rakyat mereka amat mengerikan. Mereka mahu melakukan perkara karut ini, di mana kereta tidak boleh bergerak jauh, harganya terlalu mahal dan semuanya dibuat di China,” katanya.

    Trump terus mendakwa bahawa dalam tempoh 30 tahun, Mexico telah mengambil 34% daripada perniagaan pembuatan kereta di Amerika Syarikat. “Kini China sedang membina beberapa loji besar di mana mereka akan mengeluarkan kereta di Mexico dan berfikir mereka akan menjual kereta tersebut di Amerika Syarikat tanpa cukai di sempadan.

    “Tidak, kita akan meletakkan tarif 100% pada setiap kereta yang melintasi sempadan dan anda tidak akan dapat menjual kereta tersebut,” tambahnya. Walau bagaimana pun, tidak dijelaskan sama ada tarif yang dicadangkan akan dikenakan kepada semua kereta yang dipasang Mexico yang dibawa masuk ke Amerika Syarikat atau hanya kereta dari jenama China.

     
     
  • Suzuki GSX-S1000GX tiba di Malaysia – RM89,900

    Suzuki GSX-S1000GX tiba di Malaysia – RM89,900

    Didedah kepada dunia pertama kali hujung tahun lalu, motosikal Suzuki yang dipanggil sebagai sebuah “crossover tourer“, iaitu GSX-1000GX kini sudah tiba di Malaysia dengan harga jualan RM89,900 tidak termasuk insurans.

    Dalam pasaran, model ini akan memberi saingan kepada saingan model seperti BMW S1000XR, Kawasaki Versys 1000 dan Tracer 9 GT, dan ia menggunakan enjin empat silinder 999 cc DOHC yang mampu menghasilkan kuasa 152 PS pada 11,000 rpm dan 106 Nm tork pada 9,250 rpm. Kotak gear enam kelajuan yang digunakan datang secara standard dengan quickshifter.

    Asas yang digunakan untuk GSX-S1000GX ini sebenarnya adalah daripada model sport tourer GSX-1000GT. Untuk menjadikannya lebih tinggi, Suzuki bukan setakat menggunakan fork yang lebih panjang, tetapi juga menggunakan unit dengan sistem kawalan elektronik semi aktif yang dipanggil sebagai Suzuki Advanced Electronic Suspension (SAES).

    Suspensi yang datang daripada Showa ini boleh melaras secara automatik mengikut keadaan jalan untuk menjadikan tunggangan lebih lancar dan stabil. Ia menyediakan beberapa mod iaitu Hard, Medium, Soft dan User, dan daya serapan akan berubah bergantung kepada mod tunggangan.

    Sebagai sebuah motosikal yang lebih fokus kepada tunggangan di atas jalan biasa, GSX-S1000GX datang dengan rim 17 inci, yang dibalut masing-masing tayar 120/70 di hadapan dan 190/50 di belakang, sementara breknya pula datang dengan tetapan cakera berkembar bersama angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal dengan angkup Nissin satu piston di belakang.

    Ciri elektronik lain yang disediakan adalah termasuk Cruise Control, Traction Control, Wheelie Control, Roll Torque Control, Cornering ABS serta skrin TFT 6.5 inci yang boleh disambungkan kepada telefon pintar untuk pelbagai fungsi. Berat keseluruhan GSX-S1000GX adalah 232 kg dan ia datang dengan tangki bahan api 19 liter.

     
     
  • MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

    MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

    Siri perlumbaan MSF Superturismo 2024 bakal masuk ke pusingan kedua pada hujung minggu ini. Dan apa yang menarik, pada pusingan kali ini ia akan dilangsungkan pada sebelah malam di Litar Antarabangsa Sepang (Litar Selatan) untuk mengenang kembali asal-usul MSF yang sebelum ini dikenali sebagai ‘Saturday Night Fever'(SNF), di mana kali terakhir ia dilangsungkan 10 tahun lalu!

    Sesuai dengan tema ‘SNF Revival’ perlumbaan ini akan dilangsungkan pada 1 Jun 2024 iaitu pada hari Sabtu malam minggu ini. Ia bakal disertai lebih dari 200 pelumba yang bersaing dalam 10 kelas berbeza, dengan tumpuan diberikan kepada empat kelas utama iaitu Super Touring; Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup; Super Production; dan Rennplatz Standard Production.

    “Untuk pemandu dan penonton ini adalah satu pengalaman yang luar biasa untuk dapat berlumba selepas matahari terbenam, dan selepas aksi perlumbaan sengit Pusingan 1 pada bulan Mac, kami cukup pasti persaingan akan menjadi sama jika ia tidak lebih menarik selepas berehat selama dua bulan,” kata Prinsipal MSF Superturismo, Adian Yein Khalid.

    “Pusingan 2 juga akan menyaksikan elemen baharu diperkenalkan iaitu hanya penggunaan Trek Selatan (2.609km) berbanding keseluruhan 5.543km jarak litar. Ia sememangnya resipi untuk perlumbaan yang lebih pantas dan sengit dari awal hingga akhir dan kelebihannya ialah penonton boleh menyaksikan keseluruhan perlumbaan berlangsung dari tempat duduk mereka di kawasan paddock grandstand,” tambah Adian lagi.

    Untuk penonton yang datang, anda bukan sahaja akan menikmati pertarungan yang akan disajikan oleh pelumba yang bertanding, malah sejumlah besar kereta dan peralatan prestasi kenderaan turut akan dipamerkan, bersama barangan cenderahati yang bakal dijual di kawasan hospitaliti.

    Dalam perlumbaan pusingan kedua ini, kelas Super Touring dijangka akan menampilkan saingan sengit antara Mohamed Hafez Kamarudin yang memandu Toyota GR Yaris dan juga Umar Abdullah yang memandu Honda Civic Type R FD2R. Hafez menang dalam pusingan pertama sebelum ini dengan menamatkan perlumbaan 53 saat di hadapan Umar. Manakala sebuah lagi Type R FD2 yang dipandu pasangan Wu Junyi Ken dan Russell Tan turut menjadi antara pesaing utama dalam kategori ini.

    MSF Superturismo 2024 Pusingan kedua – kehangatan ‘Saturday Night Fever’ kembali ke Sepang minggu ini!

    Untuk Vision HKS GT86 x BRZ Racing Cup pula, tumpuan akan diberikan kepada Ng Teck Ming dari pasukan Rennplatz Racing Team dan juga Muhd Khairul Nizam Yaacob dari pasukan EXN-JR Speed Sucimuci. Khairul Nizam perlu berusaha lebih kuat untuk pusingan kedua ini untuk memintas kedudukan mata Ng Teck Ming kerana dia tewas dalam pusingan pertama dengan Ng mendahului di hadapan dengan kelebihan 32 saat.

    Bagi kategori Super Production, walaupun ia disertai oleh pelbagai jentera produksi jalan raya yang diubahsuai seperti Proton Satria Neo, Toyota Vios, Proton Gen.2, Proton Iriz dan Perodua MyVi, ia seolah-olah dikuasai oleh segerombolan Honda Jazz/Fit.

    Pada pusingan pertama podium bagi kategori ini dihuni sepenuhnya oleh tiga buah Honda Jazz/Fit dengan Jonathan Xie berada di hadapan, menewaskan Teo Hong Zhou 29 saat di belakang, manakala Nurul Husna Nasharuddin berada di tempat ketiga.

    Honda Jazz/Fit GK5 juga menguasai kategori Rennplatz Standard Production. Dalam pusingan sebelum ini, kategori tersebut di menangi oleh Ng Chong Chin yang bersaing rapat dengan Aiman Asyraaf dan Hayden Haikal dari pasukan Piston Project di mana jarak yang membezakan kedua-dua GK5 ini hanyalah 3 saat.

    Hafez Kamarudin turut bertanding dalam kelas ini memandu Fit RS GK5 pasukan Fawster 55Twelve, menghabiskan pusingan pertama di tempat ketiga. Jentera bukan Honda paling pantas dalam kategori ini buat masa sekarang adalah Suzuki Swift Sport yang dipandu Stewart Hine yang menduduki tempat keempat dalam pusingan pertama.

    Teruja nak tonton perlumbaan? Tiket untuk akses ke paddock akan dijual di pintu masuk Litar Selatan SIC pada hari perlumbaan bermula 7 pagi hingga tengah malam dengan harga RM35, manakala bayaran parkir pula adalah RM10. Anda juga boleh menonton perlumbaan ini secara percuma menerusi grandstand utama Litar Antarabangsa Sepang.

     
     
  • Rapid KL lancar van DRT untuk Sri Rampai, Wangsa Maju, Taman Bahagia, Taman Paramount; via Kumpool

    Rapid KL telah memperluaskan perkhidmatan van Demand-Responsive-Transit (DRT) untuk beberapa kawasan di sekitar Kuala Lumpur dan Petaling Jaya baru-baru ini.

    Untuk yang menetap di sekitar Sri Rampai dan Wangsa Maju, van DRT laluan T221 akan menghubungkan anda dengan stesen LRT Sri Rampai. Laluan baharu T221 itu meliputi kawasan komersil dan pusat membeli-belah termasuk Aeon Big Wangsa Maju, Dataran Wangsa Maju, Melawati Mall dan perumahan Wangsa Budi, serta beberapa lokasi berhampiran.

    Manakala untuk penduduk di sekitar PJ, perkhidmatan yang sama juga telah diperkenalkan untuk Taman Bahagia dan Taman Paramount. Dengan van DRT laluan T785 bagi Taman Paramount, ia akan menghubungkan anda dengan stesen LRT Taman Paramount dan melalui beberapa kawasan termasuk perumahan SS1 dan Star Grocer Taman Paramount. Manakala van DRT laluan T783 untuk Taman Bahagia akan menghubungkan anda dengan stesen LRT Taman Bahagia. Ia turut melalui UNITAR, SMK Sri Permata dan banyak lagi.

    Untuk menggunakan perkhidmatan van DRT ini, anda hanya perlu menempahnya menerusi aplikasi Kumpool dengan kadar bayaran RM1 untuk setiap perjalanan. Sebelum ini, perkhidmatan tempahan van e-hailing dimulakan di Johor Bahru, sebelum ia diperluaskan pula di sekitar Lembah Klang termasuk Subang Jaya.

     
     
  • JPJ eBid: Siri JXD dan QS_U dibuka bidaan

    Kali ini giliran siri nombor pendaftaran terkini dari Johor dan Sarawak dibuka untuk bidaan menerusi platform dalam talian, JPJ eBid.

    Menurut Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), siri nombor pendaftaran terkini dari Johor, JXD dibuka bidaan bermula hari ini, 31 Mei 2024. Bidaannya akan berakhir jam 10 malam pada 4 Jun. Keputusannya akan dikeluarkan sehari selepas bidaan ditutup iaitu pada 5 Jun 2024. Keseluruhan proses kini secara dalam talian, dan pembida akan menerima berita baik (atau buruk) menerusi e-mel.

    Manakala siri nombor pendaftaran terkini Sarawak, QS_U, bakal dibuka bidaan mulai 8 Jun 2024. Tempoh bidaannya berlangsung selama lima hari dan akan ditutup pada 12 Jun, tepat jam 10 malam. Seperti biasa, keputusannya akan keluar pada keesokan harinya, 13 Jun 2024.

    Disebabkan sekarang ini banyak urusan yang boleh dibuat secara dalam talian, jadi kalau nak dapatkan nombor pendaftaran kenderaan terkini, anda boleh lakukan sendiri tanpa menggunakan khidmat pihak ketiga (termasuk runner), malah boleh menjimatkan kos serta masa. Anda boleh rujuk artikel kami sebelum ini berkenaan dengan JPJ eBid termasuk cara-cara yang diperlukan untuk membida nombor pendaftaran yang diingini.

     
     
  • Subaru akhiri operasi CKD di Malaysia, pasaran Asia Tenggara lain tahun depan – tukar ke CBU dari Jepun

    Subaru akhiri operasi CKD di Malaysia, pasaran Asia Tenggara lain tahun depan – tukar ke CBU dari Jepun

    Dalam pemfailan dengan Bursa Saham Hong Kong, Tan Chong International Limited (TCIL) dan Subaru Corporation telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan operasi pemasangan tempatan (CKD) di Asia Tenggara.

    “Selepas membuat pertimbangan yang teliti, TCIL dan Subaru Corporation telah bersama-sama memutuskan untuk menjalani transformasi perniagaan yang proaktif dengan menamatkan perniagaan model CKD sedia ada secara berperingkat, kerana ia dipercayai tidak lagi mampan dalam jangka panjang.

    “Mulai tahun depan, pasaran CKD di Thailand, Vietnam, Malaysia dan Kemboja akan beralih kepada model import sepenuhnya (CBU) dari Jepun. Walaupun langkah itu terpaksa diambil, namun kedua-dua pihak akan terus meneroka jalan perniagaan tambahan yang berdaya maju bersama-sama dalam pasaran ini,” dalam kenyataan kemas kini terbabit.

    Bagi Malaysia, Tan Chong Motor Assemblies (TCMA) anak syarikat bagi Tan Chong Motor Holdings (TCMH) di Segambut bertanggungjawab memasang XV generasi kedua untuk pasaran tempatan dan eksport. Sebelum ini, syarikat terbabit juga memasang Forester generasi ke-empat, dan selepas itu model generasi kelima dipasang pula di Thailand. TCIL dan Subaru Corporation telah membentuk usahasama iaitu Tan Chong Subaru Automotive (Thailand), atau TCSAT pada Februari 2017 untuk memasang kenderaan Subaru di Thailand.

    “TCIL dan Subaru Corporation yakin keputusan strategik ini akan meletakkan Subaru untuk terus berjaya dalam pasaran dinamik ini. Ketika TCIL memulakan lembaran baharu ini bersama-sama dengan Subaru Corporation, kedua-dua TCIL dan Subaru Corporation kekal teguh dalam komitmen mereka untuk menyampaikan nilai luar biasa kepada pelanggan, rakan kongsi dan pihak berkepentingan,” kata kenyataan itu lagi.

     
     
  • Proton perkenal inisiatif Penarafan 5 Bintang untuk jaringan pusat servis bagi tambahbaik perkhidmatan

    Proton perkenal inisiatif Penarafan 5 Bintang untuk jaringan pusat servis bagi tambahbaik perkhidmatan

    Bagi meningkatkan lagi tahap perkhidmatan selepas jualan untuk pelanggan di semua cawangannya di seluruh negara, Proton hari ini telah melancarkan program baharu yang digelar sebagai initiatif penarafan 5 bintang. Ini merupakan lanjutan daripada inisiatif Proton Operational Excellence (POE) yang telahpun berjalan sebelum ini bermula pada 6 Mac 2023.

    Menurut Proton dalam kenyataan yang dikeluarkan, pengiktirafan baharu ini akan diberikan berdasarkan skor POE dan kualiti perkhidmatan bagi menggalakkan semua cawangan untuk mencapai dan mengekalkan tahap perkhidmatan dan kepuasan pelanggan yang tinggi.

    Manakala kualiti perkhidmatan akan dinilai dalam dua kategori iaitu kelajuan dan pematuhan SOP, dan ini kemudiannya dinilai dalam 6 bidang tumpuan, di mana matlamat akhirnya adalah untuk menguruskan keprihatinan pelanggan di cawangan dengan berkesan dan untuk memberikan pengalaman pelanggan yang terbaik, kata Proton.

    Dalam inisatif POE sebelum ini, Proton menekankan pematuhan kepada syarat-syarat seperti proses perkhidmatan, kecekapan juruteknik, inventori stok dan pengurusan pelanggan. “Matlamat utamanya adalah untuk meningkatkan prestasi perniagaan cawangan dan menambah baik kecekapan operasi pusat perkhidmatan di seluruh negara,” tegas Proton.

    Menerusi inisiatif ini juga setiap cawangan diberi penilaian pada setiap bulan dan hasilnya dikongsi dengan semua cawangan lain untuk menunjukkan dengan jelas kedudukan mereka dalam rangkaian. Manakala bahagian selepas jualan Proton turut akan bekerjasama rapat dengan cawangan untuk meningkatkan perkhidmatan mereka secara proaktif menerusi jelajah suku tahunan yang diadakan untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian terbaik serta mengukuhkan prestasi dengan perkongsian amalan terbaik.

    Proton juga menjelaskan dengan permulaan inisiatif penarafan 5 bintang, lima pengedar Proton akan dianugerahkan pengiktirafan tertinggi setiap bulan, menandakan mereka sebagai pusat kecemerlangan selepas jualan dan perkhidmatan pelanggan.

    Dan bagi memastikan pariti dan penerimaan daripada rangkaiannya, KPI untuk inisiatif itu ditetapkan berdasarkan maklum balas daripada semua cawangan serta penandaarasan amalan terbaik daripada OEM lain, jelas Proton lagi.

    Program Inisiatif 5 bintang ini secara rasminya bermula selepas acara pelancaran telah diadakan di Melinau Auto di Kuching, iaitu salah satu daripada tiga cawangan Proton yang diberi pengiktirafan baharu selepas memenuhi semua syarat.

    Proton perkenal inisiatif Penarafan 5 Bintang untuk jaringan pusat servis bagi tambahbaik perkhidmatan

    Proton menyatakan bahawa selepas pelancaran inisiatif 5-bintang, senarai cawangan yang diiktiraf akan diterbitkan di laman web korporat Proton iaitu di www.proton.com, dan disertakan dengan lencana tersendiri untuk pengiktirafan pengedar.

    “Proton percaya bahawa penyampaikan perkhidmatan selepas jualan tahap tinggi kepada pelanggan akan membantu membezakan kami daripada jenama saingan. Oleh itu, kami akan terus melabur dalam perkhidmatan pelanggan dan operasi selepas jualan di semua cawangan untuk memastikan kakitangan yang berurusan dengan pelanggan mampu menyampaikan tahap kepuasan tertinggi kepada pelanggan,” kata CEO Proton Edar, Roslan Abdullah.

    “Kami akui penawaran rangkaian model premium spesifikasi tinggi pada harga kompetitif mampu menarik pelanggan ke bilik pameran, tetapi menyampaikan perkhidmatan pelanggan yang bertaraf tinggi dan menyediakan layanan selepas jualan akan memberi peluang untuk membina kesetiaan pelanggan kepada jenama dan membuka pintu untuk pembelian berulang, tambahnya lagi

     
     
  • Suzuki GSX-8R dilancar di Malaysia – RM53,800

    Suzuki GSX-8R dilancar di Malaysia – RM53,800

    Pertama kali diperkenalkan kepada dunia hujung tahun lalu, Suzuki GSX-8R kini tiba di Malaysia dengan harga jualan RM53,800 tidak termasuk insurans. Ini sekaligus menjadikan ia RM3,000 lebih berbanding versi naked yang menggunakan asas sama, iaitu GSX-8S (dilancar di Malaysia Jun tahun lalu pada harga RM50,800).

    Sebagai sebuah sportsbike, GSX-8R menggunakan panel badan dengan fairing penuh ke bawah, tetapi masih mengekalkan konsep rekaan sama pada bahagian lampu, dengan menggunakan jenis LED yang bertingkat, sementara di tepinya terdapat bukaan udara. Bahagian tangki, tempat duduk dan lampu belakang semua kelihatan sama seperti GSX-8S.

    Kuasa penggerak GSX-8R datang daripada enjin dua silinder selari 776 cc DOHC dengan sistem penyejukan cecair dan suntikan bahan api elektronik, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan untuk menghasilkan 82 hp pada 8,500 rpm dan tork 78 Nm pada 6,800 rpm.

    Pada bahagian kokpit, informasi penting dipaparkan oleh panel instrumen TFT-LCD lima inci berwarna penuh, sementara untuk mod tunggangan, ada tiga pilihan disediakan, dengan Mode A yang paling agresif, diikuti Mode B, dan Mode C yang lebih seperti mod hujan.

    Menggunakan sistem pendikit ride-by-wire, motosikal ini turut datang dengan kawalan cengkaman tiga tahap, bantuan rpm rendah untuk memudahkan pergerakan awal serta quickshifter secara standard. Memegang rodanya ke atas jalan adalah suspensi daripada Kayaba, dengan fork USD di hadapan, sementara sistem brek pula terdiri daripada cakera berkembar 310 mm di hadapan, dan cakera 240 mm di belakang.

    Dengan tambahan panel badan penuh, GSX-8R mencatat berat keseluruhan 205 kg (lebih 2 kg berbanding GSX-8S), manakala tinggi tempat duduk dan kapasiti tangki bahan api iaitu masing-masing 810 mm dan 14 liter masih adalah sama. Ia datang dalam pilihan warna Metallic Triton Blue, Pearl ignite Yellow, Metallic Mat Sword Silver dan Metallic Mat Black No 2.

     
     
  • KTMB sediakan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha – KL Sentral-Tumpat, 14 & 19 Jun

    KTMB sediakan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha – KL Sentral-Tumpat, 14 & 19 Jun

    Sempena dengan Hari Raya Aidiladha yang bakal disambut pertengahan bulan hadapan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal menyediakan sejumlah 992 tiket bagi perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) untuk perjalanan dari Stesen KL Sentral ke Stesen Tumpat dan sebaliknya.

    Menurut KTMB, jualan tiket akan mula dibuka jam 10 pagi esok (31 Mei) dengan harga bermula daripada RM55 sehingga RM83 bagi perjalanan sehala, laporan Berita Harian.

    “Perkhidmatan tren khas ini antara satu inisiatif KTMB bagi menghargai penumpang setianya, di samping menawarkan pengangkutan alternatif kepada penumpang yang akan pulang ke Pantai Timur sempena Aidiladha ini. Ia juga sebagai tanda sokongan kepada pihak kerajaan dalam mengatasi penggunaan jalan darat yang sering kali sesak dengan kadar trafik yang tinggi, khususnya di musim perayaan,” katanya.

    Tambahnya, inisiatif ini juga khusus buat mereka yang ingin pulang ke kampung dengan selesa, selamat dengan tambang yang berpatutan.

    KTMB sediakan perkhidmatan Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha – KL Sentral-Tumpat, 14 & 19 Jun

    Tren khas itu melibatkan dua perjalanan sahaja iaitu dengan jadual bermula pada 14 Jun bagi laluan KL Sentral-Tumpat dengan masa berlepas jam 11 malam, manakala pada 19 Jun membabitkan perjalanan Tumpat-KL Sentral dengan masa berlepas jam 10.45 malam.

    Tren Khas ELA ini akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab,Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

    Tren khas ini juga dilengkapi dengan koc katil, koc tempat duduk premier, koc tempat duduk superior, koc buffet, dan koc chillax. Pengguna disarankan membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) boleh dimuat turun melalui Play Store, Appstore dan App Gallery atau menerusi laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my.

     
     
  • Volvo kembali ke Gran Turismo: 240 GL Wagon dan V40 T5 R-Design tampil dalam kemaskini baru GT7

    Sejak diperkenalkan pada Mac 2022, siri terkini untuk simulator pemanduan Gran Turismo 7 yang dimainkan menerusi pelantar Play Station 4 dan 5 tidak menampilkan mana-mana jenama automotif di bawah payung Geely Holding, berbeza edisi-edisi sebelum itu yang turut menyertakan Volvo dan Lotus untuk dipilih oleh pelumba maya permainan tersebut.

    Namun untuk kemaskini terkini yang mula boleh dibuat hari ini, 30 Mei 2024, Volvo telah ditampilkan semula dalam Gran Turismo 7. Sebanyak dua model permulaan ditawarkan untuk Volvo kali ini iaitu model wagon bagi Volvo 240 dalam versi produksi terakhir iaitu 1993, dan juga hot-hatch Volvo V40 T5 R-Design 2013.

    Selain dari dua model keluaran jenama Sweden ini, kemaskini terbaharu tersebut turut menampilkan tiga lagi model lagenda JDM iaitu jentera juara All-Japan GT Championship kelas GT500 tahun 2000 iaitu Honda Castrol Mugen NSX pasukan Mugen X Dome Project, Honda Civic EG6 SiR 1993 dan juga Nissan Skyline R31 GTS-R 1987.

    Dalam kemaskini ini juga Gran Turismo menyediakan menu baharu iaitu [Extra Menu No. 39] Collection: Racers of the Japanese GT (Collector Level 48 dan ke atas) untuk dilengkapkan oleh pemain serta beberapa perlumbaan baharu disediakan dalam World Circuit, dan mod kamera baharu untuk kurasi dalam mod Scapes.

     
     
  • BMW S1000XR 2024 dilancar di Malaysia – RM129,500

    BMW S1000XR 2024 dilancar di Malaysia – RM129,500

    Selain R1300 GS, F900 GS dan CE 02, BMW Motorrad juga melancarkan S1000 XR terbaru untuk pasaran Malaysia, dengan harga jualan RM129,500 tidak termasuk insurans. Sama seperti model BMW Motorrad yang lain, model ini juga datang dengan jaminan tiga tahun serta bantuan tepi jalan selama tiga tahun.

    S1000 XR 2024 ini menerima pelbagai peningkatan, dengan yang utama adalah enjin empat silinder sebaris 999 cc padanya kini menghasilkan kuasa lebih tinggi, iaitu 170 hp pada 11,000 rpm dan tork 114 Nm pada 9,250 rpm. Transmisi adalah unit enam kelajuan, dengan Shift Assistant Pro (quickshifter).

    Rupa secara keseluruhan motosikal yang terletak dalam kategori sport touring ini masih lagi sama tetapi beberapa panel diubah termasuk di bahagian tepi dan belakang. Kemudiannya, lampu hadapan Headlight Pro (adaptif) kini diberikan secara standard.

    BMW S1000XR 2024 dilancar di Malaysia – RM129,500

    Turut diperbaiki pada model baru ini adalah bentuk tempat duduk, dan sekarang ia mencatat tinggi 850 mm dalam keadaan standard. Sudah tentu, tempat duduk yang lebih rendah atau tinggi ada dijual sebagai pilihan tambahan.

    S1000 XR 2024 pasaran Malaysia ini juga datang secara terus dengan suspensi elektronik Dynamic ESA Pro, yang disambungkan kepada fork USD 45 mm di hadapan dan monoshock belakang, untuk melaras lantunan, mampatan serta pra beban.

    Sistem elektronik lain yang disediakan pada S1000 XR ini adalah termasuk empat mod tunggangan, Dynamic Traction Control (DTC), DTC Wheelie Control, ABS Pro, Hill Start Control Pro serta sistem kunci pintar Keyless Ride.

    Secara keseluruhannya, S1000 XR mencatat berat 227 kg, dan ia datang dengan tangki bahan api berkapasiti 20 liter. Rim menggunakan unit 17 inci, manakala brek terdiri daripada set cakera berkembar 320 mm dengan angkup Brembo empat piston di hadapan dan cakera tunggal 265 mm dengan angkup dua piston di belakang.

     
     
  • Peraduan menamakan EV Proton — 22k sertai teka nama jenama berasas Geely Galaxy E5, tamat 5 Jun

    Peraduan menamakan EV Proton — 22k sertai teka nama jenama berasas Geely Galaxy E5, tamat 5 Jun

    Bagi yang hendak menyertai peraduan menamakan jenama kenderaan elektrik (EV) yang bakal dikeluarkan oleh Proton, anda masih punya kesempatan. PRO-NET telah mengumumkan panggilan terakhir untuk menyertai peraduan ini yang hanya berbaki enam hari lagi, sebelum berakhir pada 5 Jun 2024.

    Setakat ini, PRO-NET telah menerima lebih daripada 22,440 penyertaan dari seluruh Malaysia. Di mana respons dalam peraduan ini sungguh memberangsangkan dengan jumlah penyertaan yang terus meningkat dan ini menunjukkan sokongan dan harapan besar rakyat terhadap Proton ke arah mobiliti elektrik.

    “Respons yang luar biasa terhadap Peraduan Menamakan Jenama Proton EV adalah bukti semangat dan
    keterujaan yang dikongsi oleh rakyat Malaysia ketika kita sedang memasuki ke arah era baru kegemilangan
    automotif.

    “Dengan tarikh tutup yang semakin hampir, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta dan bagi mereka yang masih belum menyertai, inilah peluang keemasan anda untuk menajdi sebahagian daripada sejarah baru untuk industri automotif negara,” kata Zhang Qiang, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET.

    E5 dibangun menggunakan Global Intelligent New Energy Architecture (GEA) baharu, yang merupakan sebahagian daripada Sustainable Experience Architecture (SEA), yang menyokong tidak hanya EV tetapi juga kenderaan dengan teknologi range extender, plug-in hybrid dan metanol. Ia juga didakwa menjadi casis “AI digital chassis” yang pertama di dunia, yang menyepadukan teknologi janaan kuasa, casis dan bantuan pemandu.

    Dikategorikan sebagai SUV di bawah segmen-C, E5 ini lebih besar dari X70, dengan ukuran 4,615 mm panjang, 1,901 mm lebar, 1,670 mm tinggi dan jarak roda 2,750 mm. Perincian teknikal masih belum didedahkan, namun ada laporan yang menyebut kereta berkenaan akan dipacu oleh motor elektrik tunggal yang menghasilkan 218 PS (160 kW), dengan laju maksimum 175 km/j. Ia digandingkan dengan bateri lithium iron phosphate (LFP).

    Bagi mereka yang berminat untuk ikut serta dalam peraduan ini, sila isi borang pendaftaran ini dan cadangkan nama yang sesuai serta padankan gambar yang ada. Mungkin anda bakal dinobatkan sebagai pemenang utama yang bakal membawa pulang hadiah bernilai RM5,000 tunai, manakala tempat kedua pula bakal menerima hadiah bernilai RM1,500, hadiah ketiga RM1,000 serta RM100 bagi lima nama dalam senarai tertinggi berikutnya.

    GALERI: Geely Galaxy E5

     
     
  • Royal Enfield Shotgun 650 tiba di Malaysia – RM35k

    Royal Enfield Shotgun 650 tiba di Malaysia – RM35k

    Model Royal Enfield yang dihasilkan dengan mendapat inspirasi daripada dunia ubah suai motosikal, iaitu Shotgun 650 kini dilancarkan untuk pasaran Malaysia, pada harga RM34,900 tidak termasuk insurans, dalam pilihan warna Stencil White, Plasma Blue, Green Drill dan Sheet Metal Grey.

    Menggerakkan motosikal ini adalah enjin dua silinder selari 648 cc dengan sistem suntikan bahan api, penyejukan minyak/udara dan SOHC sama seperti Super Metor 650, Interceptor 650 dan Continental GT, menghasilkan kuasa 46 hp pada 7,250 rpm dan tork 52.3 Nm pada 5,650 rpm. Menyampaikan kuasa kepada roda belakang adalah transmisi enam kelajuan serta sistem pacuan rantai.

    Sistem suspensi Shotgun 650 ini menggunakan perkakasan daripada Showa, yang terdiri daripada fork SFF-BP 43 mm (tanpa pelarasan) di hadapan dan dua penyerap RSU di belakang. Ia kemudiannya disambungkan kepada rim 18 inci dengan tayar 100/90 di hadapan dan 17 inci dengan tayar 150/70 di belakang.

    Meskipun datang dengan reka bentuk klasik, Shotgun 650 diserapkan dengan teknologi terkini termasuk lampu hadapan LED, meter gabungan analog dan digital serta sistem Tripper yang boleh membuat sambungan kepada telefon pintar dan memaparkan navigasi.

    Brek menggunakan tetapan cakera, dengan unit 320 mm tunggal bersama angkup dua piston di hadapan dan 300 mm tunggal dengan angkup dua piston di belakang – ABS dual-channel datang secara standard. Tangki bahan api pula berkapasiti 13.8 liter dan motosikal ini mencatat berat 240 kg.

     
     
  • Ford Ranger Stormtrak dilancarkan di Malaysia – RM181,888, hanya 200-unit, lebih sporty dari Wildtrak

    Ford Ranger Stormtrak dilancarkan di Malaysia – RM181,888, hanya 200-unit, lebih sporty dari Wildtrak

    Selepas Thailand, kini pasaran Malaysia pula menerima Ford Ranger Stormtrak yang dilancarkan secara rasmi pagi ini. Secara ringkas model ini merupakan Ranger Wildtrak yang lebih sporty tetapi dengan perincian sedikit kurang mewah berbanding Ranger Platinum, dan ia diumumkan dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM181,888. Namun untuk pasaran Malaysia, Sime Darby Auto Connexion (SDAC) menawarkan Stormtrak ini sebagai model edisi terhad, dibawa hanya 200-unit.

    Jadi berbanding Ranger Stomtrak ini adalah RM11,000 lebih mahal berbanding Ranger WildTrak (RM170,888), tetapi masih RM5,000 lebih ,murah berbanding Ranger Platinum (RM186,888). Untuk pelanggan di Sabah, Ford Ranger Stormtrak ini ditawarkan pada harga RM188,288. Sementara di Sarawak pula ia dijual pada harga RM188,288.

    Ranger Stormtrak masih dijana oleh unit rangkaian kuasa yang sama seperti Wildtrak iaitu enjin diesel turbo 2.0 liter EcoBlue versi bi-turbo yang menghasilkan kuasa 210 PS pada 3,750 rpm dan tork maksima 500 Nm antara 1,750 hingga 2,000 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear automatik torque converter 10 kelajuan bersama sistem 4WD separa masa.

    Ford Ranger Stormtrak dilancarkan di Malaysia – RM181,888, hanya 200-unit, lebih sporty dari Wildtrak

    Sekali imbas, Stormtrak masih nampak dan dibekalkan dengan kelengkapan yang sama seperti Wildtrak. Apa yang berbeza, Stromtrak menerima tambahan lampu LED tiga bintik (dua unit) pada gril bersama kemasan di sekeliling gril yang ditarik sehingga ke bahagian bawah bampar, diwarnakan hitam berkilat bersama satu jalur merah pada bahagian bawah. Manakala tulisan ‘RANGER’ pula diletakkan di atas bonet.

    Selain itu Ranger Stormtrak ini turut menerima rim aloi 20-inci (berbanding hanya 18-inci pada Wiltrak) dalam kemasan hitam berkilat serta serlahan merah pada salah satu jejari, dibalut dengan tayar 255/55R20. Kemasan hitam berkilat turut diberikan pada kemasan overfender dan penutup cermin sisi, manakala lencana Stormtrak dilekat pada bahagian bawah pintu serta pintu tailgate di belakang.

    Juga tidak seperti Wildtrak, Ranger Stormtrak ini menerima sports bar fleksibel (atau digelar sebagai rak fleksibel oleh Ford) pada bed belakang di mana dia boleh dialih ke hadapan atau kebelakang menerusi rel yang disediakan, dan juga rel bumbung dengan bar boleh-ayun yang boleh dialih posisi dengan mudah. Namun untuk pintu tailgate belakang, ia hanya disokong dengan tali logam, tidak seperti Ranger Platinum yang menerima sokongan peredam.

    Ford Ranger Stormtrak dilancarkan di Malaysia – RM181,888, hanya 200-unit, lebih sporty dari Wildtrak

    Lagi kelebihan Stormtrak ini berbanding Wildtrak adalah ia dilengkapi dengan lampu sokongan bagi memberikan lebih pencahayaan ketika meredah laluan off-road, sistem lampu pencahayaan zon yang memberikan cahaya pada sekeliling badan trak pikap ini, serta lampu kargo yang membantu ketika memuatkan atau memunggah barang pada bed belakang.

    Stormtrak ini juga masih diberikan kamera pemantau 360-darjah seperti Ranger Wildtrak, namun ia ditambah dengan fungsi bantuan parkir aktif 2.0 seperti yang ada pada Ranger Platinum.

    Dalam kabin, Ranger Stormtrak ini menerima upholsteri kulit hitam yang digandingkan bersama fabrik sued Miko serta serlahan jahitan Merah Race dan sulaman logo Stormtrak berwarna merah pada tempat duduk. Ia juga menerima tombol penukar gear e-shifter seperti yang ada pada Ranger Platinum dan Ranger Raptor.

    Untuk infotainmen, Stormtrak masih dibekalkan dengan sistem Ford SYNC bersama skrin sesentuh 12-inci bersama sokongan Android Auto dan Apple CarPlay hubungan tanpa wayar, disambungkan kepada enam-pembesar suara. Walaubagaimana pun, berbanding Stromtrak pasaran Thailand yang menerima paparan instrumen digital dengan skrin 12.4-inci, model pasaran Malaysia ini masih kekal dengan skrin lapan-inci.

    Perincian-perincian lain dari Wildtrak terus disadur pada Stormtrak ini seperti tempat duduk pemandu larasan elektrik, sistem penghawa dingin automatik dua zon, kawalan menurun cerun dan pelbagai lagi. Untuk keselamatan pasif, ia diberikan tujuh-beg udara serta empat penderia parkir hadapan dan empat di belakang.

    Manakala sistem keselamatan aktif dan sistem bantuan pemanduan pula ia didatangkan dengan brek kecemasan automatik bersama bantuan pengelak stereng, cruise control adaptif dengan fungsi stop & go, lampu tinggi automatik dan amaran lintasan trafik belakang.

    Ford Ranger Stormtrak pasaran Malaysia ini ditawarkan dalam tiga warna badan iaitu Arctic White, Meteor Grey dan Absolute Black – kurang satu warna berbanding model pasaran Thailand iaitu Sedona Orange. Ia dilindungi waranti pengeluar selama lima tahun atau 160,000 km, yang mana sampai dulu, dan pelanggan boleh memilih untuk memanjangkan tempoh waranti ini sehingga tambahan dua tahun atau 40,000 km dengan başaran tambahan.

    Untuk menempah Ford Ranger Stormtrak ini atau varian-varian lain trak pikap tersebut, SDAC kini telah menyediakan pilihan tempahan atas talian menerusi laman khas yang boleh anda kunjungi pada PAUTAN INI. Pelanggan yang menempah Ranger Stromtrak menerusi kaedah ini bakal menerima jaket Windbreaker yang sedondon dengan trak pikap ini.

    Brosur rasmi Ford Ranger Stormtrak 2024

     
     
  • Leapmotor T03 di Malaysia — EV asas saiz Perodua Axia, 95 PS, jarak perjalanan 280 km WLTP

    Leapmotor T03 di Malaysia — EV asas saiz Perodua Axia, 95 PS, jarak perjalanan 280 km WLTP

    Selain model SUV Leapmotor C10 yang mula ditunjukkan di Malaysia sebelum ini, Stellantis Malaysia turut mempamerkan model kompak elektrik T03 ketika Malaysia Autoshow yang berlangsung minggu lalu.

    Walaupun hanya mendedahkan perancangan untuk membawa masuk model C10 terlebih dahulu untuk pasaran tempatan, namun model T03 lebih kena dengan hasrat Stellantis Malaysia yang ingin membawakan EV mampu milik ke sini.

    Model ini memiliki saiz yang hampir sama dengan Peordua Axia, sekaligus menjadikannya EV paling asas dengan harga Rahmah yang mampu milik. Namun, ketika ini belum dimaklumkan perancangan pengenalannya di sini, kerana Leapmotor akan memperkenalkan SUV C10 terlebih dahulu untuk pasaran tempatan sebelum hujung tahun ini.

    Sebagai sebuah kereta kompak, Leapmotor T03 mempunyai ukuran 3,620 mm panjang, 1,652 mm lebar dan 1,605 mm tinggi, dengan jarak rodanya 2,400 mm. Sebagai perbandingan, model C10 pula berada dalam segmen D SUV, dengan ukuran 4,739 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,680 mm tinggi dengan jarak roda 2,825 mm — SUV ini hampir dengan saiz Proton X90.

    Sistem janaan kuasanya pula terdiri daripada motor elektrik di depan yang menghasilkan 95 PS, dengan jarak mampu mencapai 280 km (kitaran WLTP). Tiga mod pemanduan disediakan — Standard, Sport dan Eco — dengan tiga juga mod bagi maklum balas stereng: Comfort, Standard dan Sport.

    Ciri yang ada untuk T03 antaranya termasuklah brek parkir elektrik dengan Auto Hold, bumbung panoramik, pelindung matahari elektrik serta operasi jarak jauh untuk pra-pemanasan bateri, pendingin, parkir kendiri dan lokasi kenderaan. Sama seperti C10 yang dipamerkan di sini, T03 ini juga merupakan unit pemanduan sebelah kiri.

     
     
  • Gentari sediakan 25 unit motosikal elektrik kepada Lazada, mempromosi mobiliti hijau komersial

    Gentari sediakan 25 unit motosikal elektrik kepada Lazada, mempromosi mobiliti hijau komersial

    Gentari melalui anak syarikatnya Gentari Mobility Green Mobility telah menjalinkan kerjasama dengan Lazada untuk merintis penggunaan kenderaan elektrifikasi bagi operasi penghantaran platform e-dagang tersebut, melibatkan 25 motosikal elektrik untuk digunakan bagi penghantaran jarak akhir.

    Ini merupakan usaha Gentari untuk terus mempromosi penggunaan pengangkutan mesra alam melalui penyelesaian pajakan jangka panjang dan mudah yang diwujudkan khusus untuk pengendali barisan kenderaan komersial di bawah tawaran Vehicle-as-a-Service (VaaS).

    Gentari telah terlibat di dalam perniagaan VaaS ini sejak 2022, dan telah menyerahkan lebih daripada 3,400 kenderaan kepada perniagaan di seluruh Malaysia, India dan Indonesia yang ingin menyah-karbon operasi barisan pengangkutan mereka dan mengantikannya dengan kenderaan elektrik sepenuhnya. Syarikat ini juga mendakwa kini telah menjadi pengendali terbesar bagi pengecasan pantas di Malaysia, dengan 120 pengecas pantas DC tersedia di lebih daripada 400 stesen pengecas EV ketika ini.

    Gentari sediakan 25 unit motosikal elektrik kepada Lazada, mempromosi mobiliti hijau komersial

    Sementara itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang hadir untuk merasmikan kerjasama itu berkata: “Kami sangat berbesar hati untuk melihat adanya syarikat yang menyumbang secara aktif untuk mencapai sasaran di bawah Cetak Biru Mobiliti Rendah Karbon dan juga Pelan Induk Industri 2030.”

    Kerjasama Gentari-Lazada ini turut menjadi bukti usaha yang boleh berlaku dalam industri untuk membantu mempromosi mobiliti elektrik dan hijau dan membantu peralihan negara ke arah pengangkutan mapan. Model pajakan barisan kenderaan seperti ini, yang selari dengan Skim Promosi Penggunaan Motosikal Elektrik (MARiiCas) oleh MITI merakyatkan lagi EV dan mempromosi keterangkuman dan kemapanan pemilikan kenderaan elektrik yang memberi manfaat kepada lebih ramai pengguna.

    Gentari sediakan 25 unit motosikal elektrik kepada Lazada, mempromosi mobiliti hijau komersial

    Pendaftaran MARiiCAS bermula Disember tahun lalu dan menawarkan rebat RM2,400 bagi pembelian motosokal elektirk untuk warga Malaysia dengan pendapatan tahunan di bawah RM120,000. Seramai 3,000 pemohon telah diluluskan setakat ini.

    Gentari juga menyifatkan usaha untuk mempromosi elektrifikasi barisan kenderaan komersial ini adalah selari dengan sasaran kerajaan yang ingin mencapai emisi sifar karbon menjelang 2050. Ini termasuklah perkara yang digariskan di bawah Rancangan Peralihan Tenaga Kebangsaan yang mensasarkan 80% pengguna motosikal adalah dari jenis elektrifikasi menjelang 2050.

     
     
  • LRT Pulau Pinang ditambah kekerapan ikut keperluan mungkin guna sistem ‘low to medium capacity’

    LRT Pulau Pinang ditambah kekerapan ikut keperluan mungkin guna sistem ‘low to medium capacity’

    Kerajaan Pulau Pinang bersama Mass Rapid Transit Corp Sdn Bhd (MRT Corp) sedang meneroka sistem ‘low to medium capacity’ bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara Pulau Pinang.

    Menurut Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari, Lembaga Perolehan Kementerian Pengangkutan pula akan memilih jenis di bawah sistem LRT berkenaan berdasarkan unjuran penumpang dan keperluan negeri, laporan Bernama.

    “Apabila kita bincang mengenai LRT, ramai bayangkan LRT seperti di Laluan Kelana Jaya, ia ‘medium high-capacity’ iaitu 15,000 hingga 30,000 penumpang sejam sehala dan ini sistem yang tidak sesuai untuk Pulau Pinang.

    “Kita pun memang tidak akan pilih satu sistem seperti Laluan Kelana Jaya. Kita akan memilih sistem yang scalable. Boleh mula dengan kekerapan lebih kurang tren dua gerabak supaya apabila kita hendak tambah di masa hadapan, kita boleh letak tiga atau empat gerabak,” katanya.

    Beliau berkata demikian ketika menggulung ucapan perasmian Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam.

    LRT Pulau Pinang ditambah kekerapan ikut keperluan mungkin guna sistem ‘low to medium capacity’

    Tambah beliau, pemilihan mod pengangkutan bersesuaian akan diputuskan selaras dengan keperluan unjuran penumpang dan kos pembangunan serta operasi yang berkadaran dengan kemampuan kewangan. Justeru, bagi mengoptimum kos pembangunan infrastruktur, beliau berkata, kerajaan mempertimbang pembinaan secara modular dengan mengambil kira keperluan semasa dan akan datang.

    Jelasnya, reka bentuk terperinci bagi pembinaan LRT sememangnya mengambil kira penggunaan sumber elektrik yang mencukupi dengan setiap stesen akan saling dihubungkan dengan Traction Power Sub Station yang akan membekalkan bekalan elektrik kepada sistem tren.

    Pada 1 April lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan kerajaan memutuskan secara rasmi mengambil alih pembangunan LRT daripada kerajaan Pulau Pinang. Katanya, kerja pembinaan projek LRT Laluan Mutiara itu disasarkan bermula tahun ini dan dijangka memerlukan tempoh masa kira-kira enam tahun untuk disiapkan serta beroperasi pada tahun 2030.

    Jajaran LRT Laluan Mutiara dianggarkan lebih kurang 29 kilometer dan bakal memiliki 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen KOMTAR dan Stesen Penang Sentral. LRT Laluan Mutiara ini akan bermula dari Pulau Silikon hingga ke KOMTAR dan seterusnya menyeberang ke Penang Sentral di Seberang Perai untuk memberi ketersambungan kepada rangkaian kereta api KTM Komuter dan ETS sedia ada. Ia bakal memiliki 20 stesen termasuk dua stesen pertukaran iaitu di Stesen KOMTAR dan Stesen Penang Sentral.

     
     
  • Sebanyak 4,169 saman dikeluarkan berkaitan kesalahan ‘rempit’ di Pulau Pinang dari Jan-April 2024

    Sebanyak 4,169 saman dikeluarkan berkaitan kesalahan ‘rempit’ di Pulau Pinang dari Jan-April 2024

    EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen mengesahkan sebanyak 4,169 saman dikeluarkan bagi kesalahan berkait ‘mat rempit’ dalam operasi di seluruh Pulau Pinang, dari bulan Januari hingga April tahun ini.

    Katanya, jumlah saman yang dikeluarkan itu adalah daripada 150 operasi yang dijalankan sepanjang tempoh itu dengan 14 lokasi panas (hotspot) dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan penunggang motosikal untuk berkumpul mempamerkan aksi berbahaya serta menyalahi undang-undang jalan raya, laporan Berita Harian.

    “Antara lokasi hotspot terbabit ialah Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Bulatan Bayan Baru, Jalan Tun Dr Awang, Padang Kota Lama, Lingkaran Luar Butterworth, Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) Sama Gagah dan Jambatan Kedua Pulau Pinang.

    “Selain itu, ia melibatkan Jalan Bukit Gambir, Jalan Mayang Pasir, Jalan Sultan Azlan Shah, Butterworth-Kulim Expressway (BKE), dan Taman Ilmu yang terletak di Seberang Perai Selatan. “Dalam hal ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah melakukan operasi bersepadu bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

    Beliau berkata demikian bagi menjawab isu rempit serta perlumbaan haram yang dibangkitkan Phee Syn Tze (PH-Sungai Puyu) dan Mohamad Shukor Zakariah (PN-Pulau Betong), dalam ucapan penggulungan Mesyuarat Pertama Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 semalam.

    Beliau turut menegaskan, semua pihak memandang serius serta komited berganding bahu dalam usaha mengekang dan membanteras kes ‘mat rempit’ atau samseng jalanan terbabit.

    “Ia termasuk melakukan pemeriksaan di kedai mengubah suai motosikal dan pelbagai tindakan penguatkuasaan lain mengikut peruntukan undang-undang, antaranya mengadakan operasi bersepadu pada setiap hujung minggu, rondaan trafik serta sekatan jalan raya,” katanya.

     
     
  • Mercedes-Benz GLB facelift 2024 bakal dilancar di Malaysia – akan dapat teknologi hibrid ringkas?

    Mercedes-Benz GLB facelift 2024 bakal dilancar di Malaysia – akan dapat teknologi hibrid ringkas?

    Mercedes-Benz Malaysia (MBM) menunjukkan teaser menerusi laman media sosialnya mengenai GLB facelift baharu yang bakal tiba di negara ini tidak lama lagi. SUV yang dipertingkatkan ini mula diperkenalkan di peringkat global pada Mac tahun lalu, membawakan teknologi hibrid ringkas di samping perubahan kit kelengkapan dan penggayaan.

    Perubahan luaran yang jelas kelihatan ialah lampu nyalaan siang (DRL), yang kini menempatkan jaluran lampu di bahagian atas pada setiap kluster lampu utama. Pada model pre-facelift, DRL berada di bawah bahagian atas kanan dan kiri kluster.

    Di dalamnya pula, Mercedes-Benz User Experience (MBUX) dikekalkan dengan dwi skrin lebar 10.25-inci bersama larasan konfigurasi yang lebih tinggi, tetapi menerima tema paparan baharu dengan Intelligent Voice Assistant dan beberapa pilihan mini-games.

    Untuk penjana kuasanya, semua varian petrol termasuk GLB180, GLB200, GLB220 4Matic dan GLB250 4Matic kini didatangkan dengan teknologi hibrid ringkas 48V. Untuk varian GLB180 dan GLB200 dipadankan dengan enjin 1.3 liter pengecas turbo empat-silinder sebaris yang mampu memberikan kuasa antara 136 dan 163 PS (134 hp/100 kW dan 161 hp/120 kW).

    Sementara itu, varian GLB220 4Matic danGLB250 4Matic pula menampilkan unit 2.0 liter yang mampu memberikan kuasa antara 190 dan 224 PS (188 hp/140 kW dan 221 hp/165 kW). Bergantung pada enjin, transmisi yang diberikan sama ada dwi-klac tujuh-kelajuan atau lapan-kelajuan.

    GLB pertama kali dilancarkan di sini pada September 2020 sebagai model import sepenuhnya (CBU) yang menawarkan tiga varian, termasuk dua varian tujuh-tempat duduk (GLB200 dan GLB250 4Matic) dan varian tunggal lima-tempat-duduk (GLB35 4Matic). Kita akan mengetahui lebih banyak perincian mengenai GLB facelift ini apabila ia dlancarkan di Malaysia tidak lama lagi.