Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kerjasama Volkswagen Group dan Tata Motors batal – tiada ‘Skoda mampu milik’ untuk pasaran India

    Kerjasama Volkswagen Group dan Tata Motors batal – tiada ‘Skoda mampu milik’ untuk pasaran India

    Mac lalu, CEO Volkswagen Group Matthias Muller dilaporkan menandatangani memorandum persefahaman antara syarikatnya dengan pengeluar kenderaan dari India iaitu Tata Motors. Kerjasama berkenaan adalah usaha Volkswagen untuk memperkasakan jualannya ke pasaran India dan bakal dibuat menerusi jenama Republik Czech yang berada di bawah naungannya iaitu Skoda, yang bakal membangunkan model-model mampu milik bersama Tata.

    Namun menerusi kenyataan ringkas terbaharu yang dikeluarkan oleh Skoda, kedua-dua pihak nampaknya tidak mencapai kata sepakat dan kerjasama tersebut akan ditamatkan. Namun keputusan terbaharu ini tidak akan melibatkan apa-apa keputusan lain sekiranya ada perbincangan yang akan dibuat pada masa akan datang.

    “Skoda Auto telah membuat pentaksiran dan penilaian terhadap kerjasama strategik yang berpotensi dengan Tata Motors Ltd selama berberapa minggu dan bulan kebelakangan ini. Dalam langkah tersebut, kedua-dua pihak membuat kesimpulan pada tahap ini, tiada aspek teknikal atau sinergi ekonomik yang dapat dicapai bagi meneruskan minat kedua-dua pihak. Oleh itu, kerjasama strategik yang dirancang tidak lagi akan diteruskan buat masa ini. Kedua-dua pihak ingin menegaskan bahawa berikutan perbincangan yang intensif dan konstruktif dalam beberapa bulan kebelakangan ini, ia tidak memutuskan kemungkinan kerjasama pada masa hadapan,” kata kenyataan yang dikeluarkan tersebut.

    Walaupun telah dinobatkan sebagai pengeluar terlaris di dunia tahun lalu dan sangat kuat di pasaran China, Volkswagen agak bermasalah di India kerana pasaran tersebut amat sensitif dengan harga. Kerjasama yang dirancang dengan Tata ini pada asalnya untuk membina model-model khas di bawah jenama Skoda, mengabungkan teknologi Kumpulan VW dan juga kepakaran Tata dalam menghasilkan produk yang lebih rendah kos bagi pasaran India.

    Kedua-dua syarikat telah menjalankan rundingan struktur kerjasama ini lebih dari setahun sehingga Mac lalu. Pada peringkat awal, VW mahukan platform MQB-A miliknya untuk digunakan untuk projek ini, tetapi ia akan melibatkan kos yang tinggi dan bakal menghasilkan produk dengan harga yang tidak kompetitif pada pasaran India.

    Selepas itu, Tata Motors pula menawarkan untuk menggunakan Advanced Modular Platform (AMP) yang telah dibina untuk model-model mereka untuk masa hadapan, yang lebih efektif dari segi kos serta lebih fleksibel untuk menghasilkan produk yang lebih pelbagai. VW agak skeptikal dengan tawaran ini pada awalnya, tetapi bersetuju setelah hasil ujian terhadap platform berkenaan yang memberangsangkan oleh firma kejuruteraan bebas Jerman, EDAG.

    Tata pula bersetuju untuk menggunakan teknologi elektrikal VW untuk produk-produk yang bakal dihasilkan dari platform AMP ini kerana ia jauh lebih baik berbanding sistem elektrikal mereka dan ia masih lagi efektif dari segi kos. Tata juga akan mengetuai pembangunan enjin kerana unit janakuasa VW agak sukar untuk dihasilkan dengan menggunakan kandungan komponen tempatan yang banyak, dan bakal meningkatkan kos serta menjadikan harganya tidak kompetitif di India.

    Namun segala yang dirancang ini nampaknya tidak akan menjadi kenyataan setelah kerjasama tersebut sah dibatalkan. Sebelum ini juga Volkswagen sangat berharap kerjasama berkenaan akan berjaya kerana mereka pernah gagal untuk berunding dengan Suzuki Motor Co. (Maruti Suzuki di India) kerana isu budaya – kedua-dua syarikat mempunyai budaya yang jauh berbeza.

     
     
  • Perodua anjur program motivasi CEO Talk 2017 untuk 200 vendor dan pengedar automotif bumiputera

    Perodua anjur program motivasi CEO Talk 2017 untuk 200 vendor dan pengedar automotif bumiputera

    Perodua telah menganjurkan satu program motivasi, Perodua CEO Talk 2017 untuk membimbing 200 vendor dan pengedar automotif bumiputera Perodua menghadapi keadaan pasaran yang mencabar.

    Program yang berlangsung selama satu hari ini telah menyaksikan lima tokoh korporat, usahawan yang berjaya dan tokoh motivasi berkongsi pengalaman serta nasihat dalam mengatasi pelbagai cabaran yang dihadapi terutama sekali dalam keadaan penguasaan pasaran kenderaan nasional di bawah 50%.

    “Terdapat peningkatan dalam penguasaan pasaran jenama kenderaan nasional kepada 49.1% untuk 7 bulan pertama tahun ini berbanding 47.9% pada jangka masa yang sama tahun lepas. Akan tetapi angka ini masih lagi rendah untuk menampung ekosistem automotif tempatan,” ujar Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh berkata.

    Sambungnya lagi, program ini juga merupakan platform kepada vendor dan pengedar sah Perodua untuk berkongsi pendapat dan mencari jalan penyelesaian daripada mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing.

    Antara panel penyampai Perodua CEO Talk 2017 termasuklah Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah (personaliti TV dan pakar motivasi), Dato’ Hussamuddin Yaacub, Pengasas Karangkraf, Tuan Haji Ali Hassan, Pengasas Al-Ikhsan, Dato’ Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, Timbalan Presiden Pemasaran, Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) dan Tan Sri Abdul Wahid Omar, Pengerusi Kumpulan, Permodalan Nasional Berhad (PNB).

    “Kami percaya program seperti ini dapat memberi kesan yang mendalam kepada rakan niaga kami dan bercadang untuk meluaskan skop program ini kepada semua vendor dan pengedar sah kami di masa hadapan. Di Perodua, kami komited untuk 1,457 rakan niaga kami dalam ekosistem automotif negara. Daripada jumlah 1,457 ini, seramai 176 adalah vendor, 215 merupakan pengedar sah kami, 90 adalah kontraktor dan selebihnya adalah pembekal dan agensi-agensi yang dilantik,” tambah Aminar.

    Katanya lagi, komitmen ini boleh dibuktikan dengan perbelanjaan RM2.9 juta antara tahun 2014 dan 2016 untuk program pembangunan vendor dan RM5.5 juta untuk pengedar sah Perodua.

    Program CEO Talk 2017 telah dirasmikan oleh Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin dan turut dihadiri oleh beberapa agensi kerajaan berkaitan dengan agenda Bumiputera serta pihak pengurusan Perodua.

     
     
  • GIIAS 2017: Datsun Go Live Concept tunjuk potensi

    GIIAS 2017: Datsun Go Live Concept tunjuk potensi

    Kawasan pameran Datsun di acara GIIAS 2017 seperti kurang meriah, pertamanya kerana mereka tiada sebarang model baru yang dibawa, dan kemudiannya, di hadapan kawasan mereka adalah ruang Mitsubishi, yang dipenuhi orang kerana mahu melihat MPV terbaru Expander.

    Oleh itu, Datsun cuba membuat tarikan sendiri dengan mempamerkan Go Live Concept sebagai menunjukkan model Go mereka mempunyai potensi untuk diubah suai menjadi lebih agresif. Datsun Go sebenarnya sudah berada dalam pasaran negara itu selama beberapa tahun dan sepatutnya sudah dinaik taraf dengan model baru.

    “Jika mahu menggambarkan Datsun Go Live ini dalam satu perkataan, ia adalah ‘freestyle‘. Kereta ini menunjukkan keseronokan, ekspresi serta sikap bebas penggemar kenderaan dalam negara ini terhadap kereta mereka. Jakarta adalah satu tempat yang menarik dan kami mahu menawan kuasa serta semangat bandar ini ke dalam kereta,” kata pengarah eksekutif rekaan Datsun, Kei Kyu.

    GIIAS 2017: Datsun Go Live Concept tunjuk potensi

    Grafik camouflage yang digunakan pada kenderaan ini diasaskan daripada warna dan corak yang digunakan dalam fesyen semasa dan kemasan kuning menjadikan kereta ini lebih menonjol. Pada bahagian hadapannya terdapat gril yang besar dan berbentuk heksagon, manakala lampu utama pula lebih nipis. Ia juga tampil lebih tegap dengan adanya lengkuk roda yang lebar dan rim 17 inci. Pada bahagian belakang pula terdapat sayap yang besar.

    “Walaupun ini hanya adalah sekadar latihan penggayaan – sesuatu yang memberi gambaran kepada rekaan masa hadapan model Datsun – ia adalah sesuatu yang boleh menjadi rakan baik kepada pemiliknya, dengan membawa gaya serta rekaan yang digemari,” tambah Kyu.

    Datsun Go dikuasakan oleh enjin empat silinder 1.2 liter berkuasa 68 PS dan tork 104 Nm, dan ia dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan. Dalam pasaran Indonesia, kereta ini bersaing terus dengan Daihatsu Ayla/ Toyota Agya dan dipasarkan pada harga Rp112,900,000 (RM36,305).

     
     
  • Polis keluarkan 11,368 saman dalam Ops Bersepadu Had Laju selama tiga hari di seluruh negara

    Polis keluarkan 11,368 saman dalam Ops Bersepadu Had Laju selama tiga hari di seluruh negara

    Polis DiRaja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan saman sebanyak 11,368 dalam Ops Bersepadu Had Laju yang dijalankan selama tiga hari sejak Khamis hingga Sabtu di seluruh negara.

    Menurut Ketua Penolong Pengarah Penguat kuasa Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Supt Mustafa Bakri Salleh, saman yang dikeluarkan melibatkan kesalahan seperti memandu melebihi had laju dan tiada lesen memandu.

    Beliau berkata kesalahan tidak mematuhi had laju yang ditetapkan di lebuh raya adalah kesalahan yang paling banyak dilakukan pengguna, laporan Bernama.

    “Kita dapati kesalahan had laju masih tinggi, biarpun pelbagai amaran dan peringatan diberikan, pengguna masih gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan di kawasan tertentu. Operasi ini khusus untuk mendidik pengguna jalan raya agar lebih berdisiplin,” katanya kepada pemberita.

    Mustafa Bakri berkata Ops Bersepadu Had Laju itu disertai oleh 64 pegawai dan 583 anggota daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan PLUS.

    “Operasi sebegini akan dilaksanakan setiap masa dan ia dapat mengurangkan kadar kemalangan maut,” kata Mustafa Bakri.

     
     
  • Infiniti Prototype 9 – kereta lumba klasik kuasa elektrik

    Infiniti Prototype 9 – kereta lumba klasik kuasa elektrik

    Nissan Motor Corporation, melalui jenama mewahnya iaitu Infiniti, cuba menggambarkan semula kereta lumba klasik mereka pada tahun 1940 melalui pembinaan sebuah model konsep digelar Prototype 9, dan ia dipertontonkan di acara Concours d’Elegance di Pebble Beach, California hujung minggu lalu.

    Pada mulanya, ia sekadar satu lukisan yang dihasilkan oleh timbalan presiden kanan rekaan global Infiniti, iaitu Alfonso Albaisa namun setelah tersebar di dalam syarikat, pekerja lain mula menyumbabngkan idea dan bahagian pengeluaran bersetuju untuk membina prototaip bagi kereta tersebut.

    Seperti yang boleh dilihat, Prototype 9 ini menggunakan bentuk bumbung dan tayar terbuka, untuk satu pemandu sahaja dan ia mendapat banyak inspirasi daripada kapal terbang. Badannya dibina daripada besi mentah dan memerlukan kerja tangan yang teliti, serta cara yang lebih tradisional digunakan.

    Infiniti Prototype 9 – kereta lumba klasik kuasa elektrik

    Bahagian kokpit kenderaan ini dibalut dengan kulit berwarna hitam serta jahitan kontras berwarna merah, sementara di bahagian penyandar kepala terdapat jahitan bendera Jepun. Roda stereng kereta ini berpusing di sekeliling satu hab yang tetap, yang juga menempatkan panel meter.

    Walaupun daripada aspek rekaan kereta ini mengambil asas daripada jentera klasik, punca kuasanya pula adalah moden, iaitu unit motor elektrik 120 kW (148 hp) dan 320 Nm tork, yang menghantar kuasa ke tayar belakang. Motor elektrik prototaip ini membolehkan Prototype 9 memecut 0-100 km/j dalam masa 5.5 saat dan mencecah kelajuan maksimum 170 km/j. Dalam penggunaan ekstrem di litar, baterinya dikatakan boleh bertahan selama 20 minit.

    Berat keseluruhan kereta ini hanya 890 kg dan ia dibahagikan 43% di hadapan dan 57% di bahagian belakang. Rim 19 inci berjejari wayar 19 inci pada kereta ini mempunyai hanya satu skru di bahagian tengah dan di sebaliknya terdapat brek cakera 252 mm untuk depan dan belakang. Setakat ini, masih tiada keputusan yang diberitahu sama ada kereta ini akan dikeluarkan untuk pasaran ataupun tidak.

     
     
  • VIDEO: Mercedes-Benz siar aksi jentera lagenda DTM 190 E Evo II, rai ulangtahun kejayaan 25 tahun lalu

    Mercedes-Benz 190 E sememangnya dikenali sebagai pilihan alternatif kepada BMW E30 3 series. Dengan saiz badan yang tidak kecil dan tidak besar serta diberikan pakej pemanduan antara yang terbaik di zamannya, ia kekal diminati sehingga ke hari ini. Seperti juga E30 yang mempunyai versi berprestasi tingginya iaitu M3, 190 E W201 turut dihasilkan dalam versi yang lebih liar iaitu 190 E 2.3-16 Cosworth dan 2.5-16 Cosworth.

    Jentera berkenaan bukan sahaja hebat sebagai model produksi, ia turut mempamerkan prestasi memberangsangkan sebagai jentera perlumbaan sebenar – untuk perlumbaan Touring Car Jerman atau Deutsche Tourenwagen Masters (DTM), ia dijelmakan sebagai model 190 E 2.5-16 Evo (Evo I pada tahun 1989, versi tingkat taraf Evo II pada tahun 1990) menampilkan rupa lebih agresif dengan spoiler belakang besar serta fender yang lebih lebar.

    VIDEO: Mercedes-Benz siar aksi jentera lagenda DTM 190 E Evo II, rai ulangtahun kejayaan 25 tahun lalu

    Eifelrennen auf dem Nürburgring, 19.04.1992. Kurt Thiim (Startnummer 18), gefolgt von Roland Asch (Startnummer 17), beide mit AMG Mercedes-Benz Rennsport-Tourenwagen 190 E 2.5-16 Evolution II.
    Eifelrennen auf dem Nürburgring, 19.04.1992. Kurt Thiim (Startnummer 18), gefolgt von Roland Asch (Startnummer 17), beide mit AMG Mercedes-Benz Rennsport-Tourenwagen 190 E 2.5-16 Evolution II.

    Tahun 1992 merupakan kemuncak kejayaan 190 E Evo II dalam kejuaraan DTM dengan kejayaan pemandunya, Klaus Ludwig sebagai juara kategori pemandu sementara Mercedes-AMG dinobatkan sebagai juara kategori pengeluar. Bermula dengan memenangi perlumbaan pertama dan kedua pusingan Nürburgring pada 18 Jun 1992, Evo II terus mendominasi DTM musim berkenaan dengan menjuarai 16 perlumbaan dari 24 perlumbaan keseluruhan – sebagai mengenang kembali kejayaan tersebut, Mercedes-AMG menyiarkan semula detik-detik berkenaan menerusi video di atas.

    Bukan itu sahaja, Roland Asch dan Bernd Schneider turut memandu Evo II pada musim tersebut, menamatkan musim perlumbaan berkenaan pada tempat kedua dan ketiga. Manakala Ellen Lohr yang turut memandu jentera yang sama sehingga kini kekal sebagai satu-satunya pelumba wanita yang pernah menjadi juara dalam perlumbaan DTM (24 Mei di pusingan Hockenheimring).

    Mercedes-Benz 190 E sebenarnya telah mula bertanding dalam DTM bermula pada tahun 1985, dalam kategori Group A dan Group N dengan menggunakan model 2.3-16 Cosworth sebagai asas. Evo I yang muncul pada tahun 1989, ia dijana enjin 2.5 liter 16 injap yang menjana 330 hp, bersama komponen-komponen badan yang di bina dari material gentian-sintetik tahan koyak bagi tujuan meringankan dan ketahanan. Model Evo II pula tampil pada tahun 1990, kuasanya ditambah menghasilkan 373 hp secara keseluruhan.

    Bagi tujuan homologasi perlumbaan DTM pada era tersebut, Evo I dan Evo II turut dihasilkan dalam bentuk produksi dengan bentuk yang seiras. Mengikut homolagasi berkenaan juga, produksi setiap versi berkenaan perlu dihasilkan sebanyak 502 unit untuk dijual pada pasaran umum.

    Selain mengukir nama di pentas DTM, 190 E turut dikenali sebagai ‘Mercedes Ayrton Senna’. Gelaran tersebut diberikan setelah Senna (yang ketika itu baru berumur 24 tahun) mengejutkan dunia buat pertama kali dengan memenangi perlumbaan di Nürburgring pada 12 Mei 1984, yang disertai oleh pelumba-pelumba senior seperti Jack Brabham, James Hunt, Niki Lauda, Klaus Ludwig, Stirling Moss, Alain Prost, Keke Rosberg, Jody Scheckter dan John Surtees. Kesemua pelumba ini menggunakan kereta yang sama iaitu 190 E 2.3-16, menggambarkan betapa hebatnya kemahiran memandu Senna pada ketika itu.

     
     
  • LPT1, LPT2 laksana ETC mulai hari ini – lengkap semua lebuhraya di M’sia laksana sistem yang sama

    LPT1, LPT2 laksana ETC mulai hari ini – lengkap semua lebuhraya di M’sia laksana sistem yang sama

    Seperti yang pernah diuar-uarkan, mulai jam 12 tengahari ini, kesemua 19 plaza tol di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan 2 bakal mengimplementasikan sistem kutipan tol secara elektronik (ETC) sepenuhnya. Sekaligus menjadikannya sejumlah 177 plaza tol di 31 lebuhraya di seluruh negara yang tidak lagi menggunakan kaedah tunai sebagai transaksi.

    Menurut syarikat pemegang konsensi LPT1, Anih Berhad (Anih), persediaan rapi telah dibuat sejak awal lagi untuk memastikan semua sembilan plaza tol di lebuh raya tersebut iaitu Karak, Lanchang, Temerloh, Chenor, Maran, Sri Jaya, Gambang, Kuantan dan Jabor bersedia dengan sistem kutipan baharu itu, laporan Bernama.

    Naib Presiden II dan Timbalan Ketua Pengurusan Tol Anih Ismaliza Ibrahim berkata, kesemua 57 laluan di plaza tol terbabit sudahpun dilengkapi sistem ETC sama ada Touch ‘n Go mahupun SmartTAG.

    Katanya lagi, Anih turut memastikan kesemua warga kerjanya bersedia untuk berdepan dengan segala kemungkinan termasuk golongan pengguna jalan raya yang ‘alah’ dengan penggunaan teknologi baharu itu.

    “LPT1 ini merupakan lebuh raya utama yang menghubungkan kawasan pantai timur dengan ibu negara dan ia akan menjadi sesak terutamanya pada musim cuti sekolah dan musim perayaan. Contohnya pada perayaan Aidifitri lepas, purata harian penggunaan Lebuh Raya Karak (KLK) dan LPT1 pada waktu puncak meningkat sebanyak 73.8% kepada 245,000 buah kenderaan berbanding kira-kira 141,000 kenderaan pada hari biasa.

    LPT1, LPT2 laksana ETC mulai hari ini – lengkap semua lebuhraya di M’sia laksana sistem yang sama

    “Sehubungan itu, pelaksanaan ETC ini adalah cara terbaik melancarkan lalu lintas dan mengelakkan kesesakan. Bagi peringkat permulaan kita meletakkan kakitangan Anih di setiap lorong untuk membantu pengguna jalan raya yang sebelum ini gemar membayar tol secara tunai,” katanya.

    Pelaksanaan sepenuhnya sistem ETC ini membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas 15 hingga 20% yang secara langsung turut membantu mengurangkan kemalangan dan pencemaran alam sekitar. Ini kerana transaksi secara Touch ‘n Go untuk sebuah kereta hanya mengambil masa enam saat, manakala SmartTAG tiga saat sedangkan sebuah lorong tunai ambil masa 15 saat.

    “Kita tahu ada dalam kalangan pengguna lebuh raya terutama di Chenor dan Maran yang lebih selesa melakukan pembayaran tunai kerana risau dengan baki duit yang tidak habis digunakan dalam kad Touch ‘n Go mereka.

    “Sebenarnya baki duit itu tidak akan hilang kerana tiada terma tamat tempoh untuk kad dan ia boleh digunakan pada bila-bila masa,” kata Ismaliza lagi.

    Menceritakan sejarah migrasi ETC di LPT1, Ismaliza berkata ia bermula pada 2005 ketika lebuh raya itu mula beroperasi dengan 10 lorong Touch ‘n Go, tujuh lorong SmartTAG, enam lorong mod campur (tunai dan ETC) serta 22 lorong tunai.

    Pada masa itu kadar penggunaan ETC hanya 16 peratus, namun sehingga hujung tahun lepas kadar penggunaan ETC dalam kalangan pengguna LPT1 meningkat sehingga 70.1 peratus dengan bilangan lorong Touch ‘n Go dan SmartTAG ditambah kepada 12 dan sembilan lorong masing-masing.

    Sehingga Mei lepas, kadar penggunaan ETC di kesemua sembilan plaza tol LPT1 meningkat kepada 74.1%, sekali gus memberi keyakinan pelaksanaan sepenuhnya ETC tersebut akan disambut baik oleh pengguna lebuh raya itu.

    “Untuk kemudahan pengguna LPT1, kita turut menyediakan khidmat penjualan kad Touch ‘N Go dan tambah nilai di Plaza Tol Karak, Temerloh dan Kuantan, selain di stesen-stesen minyak di kawasan Rehat dan Rawat Temerloh dan Gambang, katanya.

     
     
  • Rapid KL sediakan bas ulang-alik khas mulai hari ini ekoran kekangan perkhidmatan tren monorel

    Rapid KL sediakan bas ulang-alik khas mulai hari ini ekoran kekangan perkhidmatan tren monorel

    Disebabkan perkhidmatan monorel yang buat masa ini beroperasi dengan tren dua gerabak sahaja, mulai hari ini Rapid KL akan menyediakan bas ulang-alik khas untuk para pengguna.

    Menurut kenyataan yang turut disiarkan menerusi laman Facebook rasminya, Rapid KL berkata perkhidmatan bas itu akan bermula 7 pagi hingga 10 malam setiap hari kecuali pada hujung minggu dan hari cuti umum.

    Perkhidmatan bas ulang-alik ini akan melalui sepanjang jajaran monorel dari KL Sentral ke Titiwangsa dengan hentian di semua stesen monorel, pada kekerapan antara 15 dan 20 minit bergantung kepada keadaan trafik.

    Bagaimanapun, dalam perjalanan pulang dari Titiwangsa ke KL Sentral, bas terbabit tidak akan berhenti di Tun Sambanthan dan AirAsia-Bukit Bintang disebabkan jajaran jalan sehala di Brickfields dan Bukit Bintang.

    Notis-notis pemberitahuan juga akan diletakkan di lokasi-lokasi perhentian bas ini bagi memudahkan pengguna. Sebarang pertanyaan, bolehlah diajukan ke pusat perkhidmatan pelanggan Rapid KL.

     
     
  • Toyota Gazoo Racing Festival 2017 – adrenalin di litar, sorakan dan banyak lagi jadi tarikan di Batu Kawan

    Toyota Gazoo Racing Festival 2017 – adrenalin di litar, sorakan dan banyak lagi jadi tarikan di Batu Kawan

    Sejak semalam, perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang menjadi tumpuan warga di Utara. Hari pertama ketika perlangsungnya siri pertama Toyota Gazoo Racing Festival 2017 pada Sabtu, seramai 11,000 pengunjung membanjiri kawasan sekitar yang menyediakan pelbagai acara dan aktiviti.

    Menjadi tarikan utama tentulah siri perlumbaan one-make race, Vios Challenge yang menampilkan saingan dalam tiga kategori, Promotional, Sporting dan Super Sporting yang menyaksikan pusingan kelayakan dan pusingan pertama bagi dua kategori awal yang dinyatakan.

    Litar Batu Kawan juga menjadi medan perlumbaan yang tersendiri dan sangat mencabar untuk para pelumba. Dengan panjang keseluruhan hanya 1.7 km, ia juga agak sempit untuk membolehkan pelumba memotong antara satu sama lain kerana ruang yang sangat terhad, serta kebarangkalian untuk terlibat kemalangan juga sangat tinggi, walaupun hanya melakukan kesilapan kecil.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2017 – adrenalin di litar, sorakan dan banyak lagi jadi tarikan di Batu Kawan

    Dalam keadaan ini, tabik hormat perlu diberikan kepada semua peserta, terutama bagi lapan pemandu selebriti yang terlibat kerana secara keseluruhan, ia memerlukan kecekapan tersendiri untuk mengendalikan jentera lumba Vios yang dipandu.

    Kami sempat bertanyakan kepada Diana Danielle, seorang daripada selebriti yang turut berlumba, tentang pandangannya berkaitan pengalamannya terlibat di dalam perlumbaan ini, dan sebelumnya ketika mengikuti Vios Challenge Racing School sebagai syarat persediaan untuk berlumba.

    “Banyak perkara yang saya belajar tentang pemanduan dan perlumbaan melalui program ini secara keseluruhan. Banyak di antaranya perkara-perkara yang tidak saya sedari sebelum ini. Misalnya tentang understeer dan oversteer, dan lebih penting apa yang menjadi puncanya serta bagaimana untuk membetulkan situasi itu,” ujarnya.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2017 – adrenalin di litar, sorakan dan banyak lagi jadi tarikan di Batu Kawan

    Melihat kepada kemampuan pemanduan Diana pada pusingan pertama sahaja, segala ilmu yang diceduk sebelum ini dipraktikan sebaiknya; Diana mendahului senarai pemandu wanita dan berada di kedudukan keempat secara keseluruhannya bagi kategori selebriti (rujuk galeri gambar untuk kedudukan akhir pusingan pertama).

    Model SUV kompak Toyota C-HR turut membuat penampilan sulung di Utara. Selain dipamerkan secara statik, kelibat model ini juga boleh dilihat sebagai kenderaan pengiring ketika di dalam litar sebelum perlumbaan bermula. Model ini juga mengetuai perarakan barisan Toyota 86 klasik sebagai tambahan kepada tarikan utama.

    Pengunjung juga berpeluang menyaksikan pertunjukan drift oleh pemandu profesional dari Jepun, juara dunia D1 Grand Prix, Masato Kawabata yang turut disertai oleh Hideyuki Fujino. Mereka memandu dua buah Toyota 86 generasi terkini dan memberikan persembahan yang jarang-jarang dapat disaksikan, terutama di Malaysia.

    Toyota Gazoo Racing Festival 2017 – adrenalin di litar, sorakan dan banyak lagi jadi tarikan di Batu Kawan

    Selain daripada acara berkaitan automotif, pengisian lain yang berteraskan seisi keluarga juga banyak tersedia. Hiburan pentas di utama, sudut makanan dengan pelbagai pilihan, sesi artis bertemu peminat, ruang pameran di luar dan dalam khemah, pandu uji dan banyak lagi.

    Jadi, jika anda berada di Utara, acara ini masih berlangsung untuk hari kedua. Memandangkan ini juga berupakan usaha sulung UMW Toyota untuk penganjurkan acara seumpanya di Malaysia, anda juga tak ingin ketinggalan untuk merasakan kemeriahannya.

     
     
  • Volkswagen Fest 2017 – dapatkan VW serendah RM30k

    Volkswagen Fest 2017 – dapatkan VW serendah RM30k

    Kami menghadiri Volkswagen Fest 2017 untuk pelancaran dua buah model Volkswagen baharu iaitu Jetta Allstar dan juga Beetle Edisi Merdeka ke-60. Kesempatan berkenaan juga kami gunakan untuk mencuci mata di gerai-gerai pengedar Volkswagen yang mengambil bahagian, menyediakan unit-unit yang telah dipra-daftar dan pra-milik untuk dijual.

    Sepanjang permerhatian kami, unit paling murah boleh anda dapatkan disini ialah Polo Sedan 1.6 tahun 2011 yang dijual pada harga serendah RM30,000. Ada juga model yang ‘boleh tahan’ dengan harga ‘boleh dengar’ dijual di sini seperti Jetta 1.4 TSI 2011 CBU berharga RM48,000, Tiguan 2.0 TSI 2011 berharga RM51,250 dan juga Passat B7 1.8 TSI 2011 berharga RM58,000.

    Model-model yang masih baharu dalam pasaran juga ada dijual di Volkswagen Fest 2017 misalnya Polo Hatchback 1.6 2016 yang dijual pada harga RM56,000 (RM20,000 lebih murah), Vento Highline 1.2 TSI 2016 berharga RM68,150 (RM25,738 lebih murah), Golf 1.4 TSI Highline 2015 berharga RM109,000 (RM50,888 lebih murah) dan juga Passat B8 2.0 TSI Highline 2016 berharga RM167,980 (RM31,010 lebih murah).

    Sebuah Beetle Dune 1.4 TSI (model yang hanya dihasilkan sebanyak 50 unit di Malaysia) turut dijual di sini, dengan harga RM129,000 atau RM50,000 lebih murah dari harga ketika dilancarkan sebelum ini.

    Anda turut dihidangkan dengan pilihan kereta-kereta berprestasi tinggi pada Volkswagen Fest kali ini. Volkswagen Golf GTI 2013 dapat anda miliki pada harga bermula RM145,000. Manakala untuk mereka yang mahukan pilihan yang agak lain dari yang lain, sebuah Passat CC R-line 3.6 liter NA V6 berkuasa 300 PS dengan catatan perbatuan hanya 14,000 km boleh dimiliki dengan harga RM138,000.

    Volkswagen Fest 2017 diadakan di tempat kereta B Pusat Konvensyen Setia City (SCCC) bermula hari ini sehingga Ahad, 13 Ogos 2017. Ia dibuka dari 10 pagi hingga 12 tengah malam untuk hari ini dan esok, manakala Ahad, ia hanya dibuka sehingga 10 malam. Bukan sahaja jualan kereta, anda turut berpeluang memandu uji model-model baharu VW dan juga pemilik Volkswagen sedia ada boleh mendapat pemeriksaan 20 perkara secara percuma.

    Peminat Volkswagen klasik khususnya Type-1 Beetle dan juga Type-2 (T1/T2/T3) Kombi Van, anda juga perlu datang kerana model-model tersebut turut dipamerkan bersama kehadiran trak-trak makanan dan juga persembahan muzik secara langsung.

     
     
  • GIIAS 2017: Suzuki Baleno 1.4L import dari India

    GIIAS 2017: Suzuki Baleno 1.4L import dari India

    Suzuki telah melancarkan secara rasmi Suzuki Baleno untuk pasaran Indonesia semasa pameran permotoran GIIAS 2017 di di sana. Baleno ini adalah diimport terus dari India dengan beberapa perubahan kecil seperti kedudukan lebih tinggi (170 mm) untuk menyesuaikan ia dengan keadaan tempatan.

    Baleno merupakan hatchback lima pintu yang diletakkan atas daripada Swift di India dan ia dikuasakan oleh enjin sama seperti MPV Ertiga dan sedan Ciaz iaitu unit K14B dengan sistem DOHC dan VVT. Enjin ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 93 PS dan tork 130 Nm, dan dipadankan dengan sama ada transmisi manual lima kelajuan atau automatik empat kelajuan. Beratnya pula adalah di bawah 1,000 kg.

    Barangan lain yang diberikan secara standard pada Baleno adalah lampu utama projector HID, lampu kabus, lampu belakang LED, rim 16 inci, pengesan jarak empat penjuru, sistem kemasukan tanpa kunci dengan butang pemula enjin, pendingin hawa automatik, paparan pelbagai informasi berwarna, Bluetooth dan roda stereng kulit dengan butang pengawal audio. Untuk keselamatan pula, ia dilengkapi dua beg udara, ABS dan EBD.

    Pengguna juga ditawarkan dengan aksesori tambahan seperti penghadang angin tepi tingkap, hiasan tepi berhampiran tayar dan skrin sesentuh berwarna. Suzuki Baleno dijual di Indonesia pada harga Rp 195,000,000 (RM62,645) untuk model manual dan Rp 207,000,000 (RM66,506) untuk model automatik yang mempunyai spesifikasi hampir sama.

     
     
  • GIIAS 2017: Suzuki Ignis – tiga model konsep ditunjuk

    Suzuki Ignis adalah sebuah kereta kecil yang cukup menarik. Ia kecil tetapi membawa keaslian tersendiri dengan gaya yang cukup ranggi. Model yang dipasarkan di Indonesia ini diimport dari Thailand, tetapi di pasaran Jepun yang merupakan tempat asalnya, penampilannya tidak banyak berbeza.

    Antara aspek rekaan unik yang ada pada kenderaan lima tempat duduk ini adalah lampu hadapan LED besar seperti watak kartun, hud hadapan yang mempunyai salur udara tepi hiasan, tiga jalur pada tiang paling belakang dan warna bumbung yang tidak sama dengan warna badan. Ketinggian asal Ignis adalah 180 mm dan menggunakan rim 15 inci.

    Jika ini tidak cukup ranggi, Suzuki cuba memberi gambaran bagaimana Ignis boleh diubah suai dan kemampuannya dengan membawa tiga model konsep ke acara pameran permotoran GIIAS 2017 di Indonesia. Salah satu daripadanya mungkin boleh menarik perhatian anda.

    Model yang berwarna kuning dengan rim TE37 emas dan grafik ‘liar’ itu adalah dipanggil sebagai “Motocrosser Style”, tetapi satu lagi model iaitu S-Urban tidak kurang garangnya di mana ia juga ditinggikan dan dipasang dengan kemasan lengkuk roda lebih lebar dan penghadang bawah enjin. Bampar yang digunakan juga lebih berpetak dan kelihatan seperti bampar trak yang sering dibawa offroad.

    Satu lagi model yang dinamakan sebagai G-Urban kelihatan lebih senang untuk ditiru oleh pemilik Ignis. Kereta yang berwarna biru ini mempunyai rim lebih besar, tayar nipis, kit badan dan spoiler belakang. Ia diasaskan daripada model permulaan GL (paling tinggi adalah GX) dan tidak mempunyai lampu siang LED.

    Suzuki Ignis dikuasakan oleh enjin 1.2 liter VVT dan ia mampu menghasilkan sebanyak 83 PS kuasa dan 113 Nm tork, dipadankan dengan sama ada transmisi manual lima kelajuan atau automatik dengan mod manual AGS lima kelajuan. Harga jualan di Indonesia adalah dari Rp 139,500,000 (RM44,849) hingga Rp 169,500,000 (RM54,494).

    GALERI: Suzuki Ignis S-Urban Concept


    GALERI: Suzuki Ignis G-Urban Concept

    GALERI: Suzuki Ignis Motocrosser Style Concept

     
     
  • Volkswagen Beetle Edisi Merdeka ke-60 dilancarkan – imej seperti ‘Herbie’, terhad hanya 16 unit, RM136,888

    Volkswagen Beetle Edisi Merdeka ke-60 dilancarkan – imej seperti ‘Herbie’, terhad hanya 16 unit, RM136,888

    Selain dari Jetta Allstar, Volkswagen turut melancarkan sebuah lagi model pada Volkswagen Fest hari ini iaitu Volkswagen Beetle Edisi Merdeka ke-60. Seperti namanya, model ini dihasilkan sempena hari kemerdekaan negara yang ke-60 tahun dan hanya dibina terhad kepada 16 unit sahaja.

    Sekali imbas, imej luaran Beetle edisi terhad ini kelihatan seperti watak ikonik filem ‘The Love Bug’ iaitu Herbie, menampilkan warna keseluruhan putih (juga hadir dengan pilihan warna Silver White) bersama jalur badan biru-merah dari hadapan kebelakang serta pada bahagian sisi. Namun, nombor perlumbaan ’53’ Herbie digantikan dengan angka ’60’, sempena usia kemerdekaan Malaysia.

    Model ini diasaskan dari varian Beetle Design, jadi ia turut diberikan kelengkapan yang sama seperti lampu utama halogen, tempat duduk upholsteri balutan fabrik “Pepita” dengan tempat duduk hadapan yang boleh dilaras ketinggiannya, sistem pendingin hawa manual dan paparan sesentuh “komposisi berwarna” 5.8 inci untuk radio, CD, MP3 dengan fungsi USB, kad SD dan Bluetooth bersama lapan-pembesar suara. Istimewa untuk versi Merdeka ini, ia turut diberikan roda stereng pelbagai fungsi balutan kulit.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan dan Beetle edisi terhad ini masih dijana enjin 1.2 TSI pengecas turbo empat-silinder berkuasa 105 PS dan tork 175 Nm, digandingkan bersama transmisi klac-berkembar automatik DSG tujuh-kelajuan. Begitu juga ciri keselamatan, ia diberikan sistem brek ABS dengan EBD, ESC, bantuan mula mendaki, kawalan jarak parkir (hadapan/belakang), empat beg udara dan cagak Isofix.

    Walaupun hadir dalam jumlah terhad, Volkswagen Beetle Edisi Merdeka ke-60 masih dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM136,888, sama seperti Beetle Design standard. Ia turut diberikan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa perbatuan terhad. Istimewa untuk model ini, pelanggan turut akan diberikan cukai jalan percuma selama 60-bulan bersama beg Beetle edisi terhad.

     
     
  • Jangan letak kaki atas papan pemuka – ini sebabnya

    Adakah anda antara orang yang suka meletakkan kaki di atas papan pemuka apabila duduk sebagai penumpang? Jadi, kisah ini mungkin boleh dijadikan teladan supaya anda boleh menghentikan tabiat buruk tersebut. Meskipun ia bukan berlaku di negara kita, kesannya tetap sama.

    Audra Tatum adalah seorang wanita yang suka meletakkan kaki di atas papan pemuka, dan pada satu hari, tanpa dijangka, kereta yang dipandu oleh suami beliau (dan dia di tempat duduk penumpang) telah terlibat dalam kemalangan. Beg udara yang meletup pada papan pemuka tersebut telah menolak kaki beliau (yang berada di atas papan pemuka) terus ke arah muka dalam kelajuan tinggi.

    Jangan letak kaki atas papan pemuka – ini sebabnya

    Akibatnya, tulang hidung beliau hancur, dan pergelangan kaki serta tulang peha pula patah (empat bahagian pada tulang peha). Menurut doktor yang merawat beliau, kecederaan ini boleh dielakkan sekiranya Tatum meletakkan kaki di atas lantai, dan bukannya atas papan pemuka.

    Kini, kaki Tatum tidak sekuat dulu, dan mengganggu kerja harian beliau seperti mengangkat barang atau berdiri lama. Anda juga pasti tidak mahu perkara sama berlaku kepada diri sendiri. Jadi, walaupun ada yang menganggap meletakkan kaki di atas papan pemuka itu lebih “selesa”, ingatlah, apabila kemalangan berlaku, keadaan boleh jadi lebih teruk dengan kaki anda akan terus menghentam muka.

     
     
  • Volkswagen Jetta Allstar dilancarkan pada pasaran Malaysia – pelbagai aksesori tambahan, RM109,990

    Volkswagen Jetta Allstar dilancarkan pada pasaran Malaysia – pelbagai aksesori tambahan, RM109,990

    Mei lalu, Volkswagen Cars Passengger Car (VPCM) telah memperkenalkan model segmen-B hatchback Polo Allstar dan sedan Vento Allstar. Hari ini sempena Volkswagen Festival 2017, sebuah lagi versi Allstar dilancarkan iaitu sedan segmen-C Volkswagen Jetta Allstar.

    Seperti juga versi-versi sebelum ini, Jetta Allstar diberikan perincian-perincian unik bagi membezakannya dengan versi standard. Dibina berasaskan Jetta dari varian pertengahan Comfortline, model ini ditambah dengan pelbagai aksesori yang bernilai RM3,000. Aksesori berkenaan termasuk pedal sport aluminium, spoiler belakang dan juga aksesori lain dengan logo ‘Allstar’ merangkumi karpet kaki, plat pelindung sisi dan juga emblem pada tiang-B.

    Jetta Allstar masih dilengkapi ciri lain yang diberikan pada Comfortline standard termasuk lampu hadapan halogen, rim 16-inci Navaro, roda stereng pelbagai fungsi, tempat duduk hadapan larasan manual, upholsteri dengan fabrik “Sienna”, sistem pendingin hawa dua zon Climatronic dengan liang untuk penumpang belakang, sistem audio dengan skrin sesentuh utama RCD 330G dan enam pembesar suara.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan pada model istimewa ini dimana ia masih lagi dijana enjin empat-silinder 1.4L TSI suntikan-terus dengan pengecas turbo tunggal berserta teknologi BlueMotion berkuasa 150 PS dan tork maksima 250 Nm bermula 1,500 hingga 3,500 rpm. Enjin tersebut juga masih lagi dipadankan dengan kotak gear klac berkembar DSG tujuh-kelajuan, memacu roda hadapan.

    Kelengkapan keselamatan model ini juga masih sama seperti sebelum ini, dibekalkan dengan enam beg udara, ABS, Bantuan Brek (BA), Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC), Intelligent Crash Response System (ICRS) dan Hill-hold Control. Ia juga dilengkapi dengan sistem keselamatan yang dipertingkatkan termasuklah penggera anti-curi bersama sistem pemantauan dalaman, tingkap kuasa anti-pinch dan cagak tempat duduk kanak-kanak ISOFIX.

    Walaupun dengan aksesori lebih banyak diberikan, Jetta Allstar dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM109,990 – RM8,000 lebih rendah berbanding varian Comfortline standard. Ia hadir dengan empat warna seperti Jetta biasa iaitu putih (Candy White), kelabu (Platinum Grey), perak (Reflex Silver) dan hitam (Deep Black). VPCM menawarkan waranti pengeluar selama lima tahun tanpa had perbatuan, serta bantuan tepi jalan untuk tempoh yang sama untuk setiap pembelian model ini.

    GALERI:Gambar rasmi Volkswagen Jetta Allstar

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025