Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Kerajaan tiada masalah dengan tindakan DRB-Hicom jual kepentingannya dalam Proton – Menteri

    Kerajaan tiada masalah dengan tindakan DRB-Hicom jual kepentingannya dalam Proton – Menteri

    Susulan kenyataan yang dikeluarkan oleh DRB-Hicom mahu menjual 51% kepentingannya dalam Proton menerusi pemilihan rakan strategik asing (FSP) yang dilihat mampu memacu syarikat pengeluar kereta nasional utama ini agar lebih sukses di masa hadapan, kerajaan mengakui tiada sebatang masalah mengenainya.

    Menurut Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, kerajaan menganggap perkembangan itu baik untuk Proton dan membolehkannya muncul sebagai jenama antarabangsa yang dikenali berbanding hanya bertumpu di peringkat tempatan dan menjual antara 200,000 dan 300,000 unit kenderaan yang disifatkannya sebagai tidak memadai, laporan Bernama.

    “Kunci utama adalah untuk membawa masuk lebih ramai pelabur ke Malaysia dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan,” ujarnya kepada pihak media.

    Sambungnya lagi, Proton juga bukan lagi milik kerajaan dan ia tidak berhasrat mempunyai sebarang kepentingan dalam pengeluar kereta nasional berkenaan. Maka tidak timbul sebarang masalah untuk Proton meneruskan rancangannya kerana ia milik persendirian dan sebarang usaha mencampuri urus niaganya adalah tidak wajar.

    Walau bagaimana pun, kerajaan akan terus memberi pandangan terhadap Proton.

    “Jika Proton sekadar berdiri sendiri, ia tidak boleh berkembang di persada antarabangsa. Justeru, Proton memerlukan rakan strategik asing untuk membolehkan usaha penerapan teknologi baharu selain memperkenalkan kereta lebih baik dan boleh dibeli di peringkat global,” ujar Johari lagi.

    Sambungnya lagi, Proton merupakan jenama yang baik dan perlu mampu menjual keluarannya ke luar negara serta memperkenalkan lebih banyak model baharu.

    Kerajaan tiada masalah dengan tindakan DRB-Hicom jual kepentingannya dalam Proton – Menteri

    “Kita hanya membuat kereta hanya untuk pasaran Malaysia sahaja, dan sekiranya ia terus berlaku, sukar untuk Proton bertahan kerana populasi rakyat Malaysia hanya ada sekitar 31 juta sahaja. Dan kita juga ada Peroda dan banyak jenama lain yang turut memproduksi kereta di sini. Bagi saya, ini melibatkan aspek jumlah serta kualiti dan teknologi selain reka bentuk yang baik. Ini semua pelengkap bagi menghasilkan kereta yang bagus dan akan dibeli pengguna,” katanya.

    Katanya, jenama kereta lain yang dominan juga memerlukan rakan asing.

    “Malah terdapat satu atau dua rakan tempatan yang turut menyuarakan hasrat untuk bekerjasama dengan Proton menerusi pemilikan kepentingan kurang 50%,” ujarnya yang enggan mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.

    Walau bagaimanapun, kerajaan tidak berhasrat untuk mencampuri urus niaga sektor swasta dan akan terus memberi perhatian terhadap Proton yang mewujudkan ribuan pekerjaan.

    “Kita perlu memastikan aspek jaminan pekerjaan serta vendor itu dilindungi. Bagi kemajuan masa depan, kerajaan perlu membiarkan sektor swasta melakukan usaha niaga mereka sendiri tanpa turut sama terbabit. Bagaimanapun, kita akan melakukan perniagaan strategik seperti pembangunan Transit Aliran Massa (MRT) dan Sistem Transit Aliran Ringan (LRT).”

    “Anda tidak mungkin dapat melibatkan sektor swasta melakukan usaha sedemikian kerana membabitkan pelaburan besar. Tiada siapapun dalam sektor swasta yang mahu mengambil risiko itu,” katanya.

    Menurutnya Johari, dalam keadaan tertentu, kerajaan juga perlu menyediakan kemudahan untuk awam tanpa mendapat keuntungan dan pada masa sama memberi subsidi bagi kos pengangkutan berkaitan.

     
     
  • Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

    Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

    Tahun 2017 merupakan tahun yang agak mencabar untuk rakyat Malaysia. Manakan tidak, harga minyak petrol RON 95 dan juga RON 97 naik dengan drastik bermula 1 Januari lalu, dan terus naik hingga bulan ini, dijual pada kadar RM2.30 seliter untuk 95 dan RM2.60 untuk 97. Tidak cukup dengan itu, ada juga penganalisis berpendapat bahawa harga bahan api ini akan terus meningkat bagi tempoh dua hingga tiga bulan akan datang.

    Seperti biasa, apabila harga bahan api ini naik pada kadar yang sangat tinggi, rakyat Malaysia mula dahagakan petua-petua untuk menjimatkan penggunaan petrol. Ini termasuklah tularnya teori kononnya anda akan menikmati penjimatan dan lebih bijak sekiranya anda menggunakan petrol RON 97 yang lebih mahal, kerana didakwa mampu memberikan pembakaran yang lebih efisien.

    Benarkah dakwaan ini? Untuk cuba mencari jawapan terhadap perkara tersebut, kami tidak akan melakukan perkara seperti sekadar menunjukkan sekeping kertas dengan jalan kerja matematik, tetapi melakukakan ujian jalan raya sebenar terhadap kedua-dua jenis bahan bakar ini.

    Sebenarnya, sebelum ini pasukan Paultan.org versi bahasa inggeris telah pun melakukan ujian yang sama menggunakan dua unit Volkswagen Polo Sedan dan juga dua unit Volkswagen Jetta TSI pada tahun 2014. Namun ada suara-suara yang mengatakan penggunaan dua model tersebut terlalu canggih, dan tidak berapa relevan dengan penggunaan rakyat biasa yang rata-rata menggunakan kenderaan jenama nasional.

    Oleh itu, untuk ujian yang dijalankan sendiri pasukan Paultan.org/BM kali ini akan menggunakan kereta yang lebih marhaen iaitu dua buah Proton Saga 1.3L CVT dari varian Premium. Untuk ujian kali ini juga, saya dan Durrani turut ditemani dan mendapat kerjasama rakan-rakan media dari Segmen Auto – Buletin Utama TV3 bagi menyaksikan sendiri fakta yang bakal didedahkan.

    Sehari sebelum ujian ini, kedua-dua kereta yang sama tersebut telah dikosongkan tangkinya. Kemudian Saga berwarna kelabu diisi sedikit dengan petrol RON 97, manakala yang hitam diisi dengan RON 95. Ini bertujuan untuk memastikan kotak komputer enjin kereta-kereta berkenaan sudah sedia ditala secara automatik untuk menyesuaikan jenis petrol yang bakal diisi esok. Kesemua tayar juga dilaras tekanannya mengikut spesifikasi yang dikeluarkan oleh Proton iaitu 220 kPa.

    Kedua-dua ruang kargo kereta ini juga telah kami kosongkan, tanpa membawa apa-apa beban tambahan. Suhu dan kelajuan motor penghawa dingin kedua-dua Saga ini juga kami laras pada tahap yang sama. Kami bermula di stesen Petronas Taman Tun Dr Ismail Damansara. Kedua-dua Saga ini dipenuhkan tangkinya dengan kaedah tiga klik (tunggu sehingga nozel pam berhenti secara automatik, ulang sebanyak tiga kali). Sama seperti semalam, Saga kelabu menggunakan RON 97 manakala Saga hitam menggunakan RON 95.

    Dari TTDI, kami menuju ke pusat bandaraya Kuala Lumpur pada waktu pagi, bagi memberikan simulasi sebenar penggunaan pada kesesakan di dalam bandar. Perjalanan dalam bandar ini dilakukan dalam jarak sekitar 30 km, di mana kami bertukar kereta pada jarak 15 km sebagai timbal-balas untuk faktor gaya pemanduan yang berbeza. Kedudukan depan dan belakang juga bertukar bagi mengelakkan kesan drafting, atau bahasa mudahnya ‘curi angin’ untuk kereta yang berada di belakang.

    Dari Kuala Lumpur, kami menuju ke Hulu Yam menerusi Gombak, dan kemudian ke Batang Kali serta Tanjung Malim tanpa melalui lebuhraya. Dalam laluan untuk memberikan simulasi perjalanan melalui jalan lama ini juga, pertukaran pemandu turut dilakukan dalam jarak 50 km manakala kedudukan pendahulu bertukar setiap 20 kilometer.

    Dari Tanjung Malim, kami pulang menuju ke Kuala Lumpur menerusi Lebuhraya Utara Selatan. Pertukaran pemandu dan kedudukan pendahulu juga masih dilakukan pada jarak sama sepanjang simulasi perjalanan lebuhraya ini. Ujian ini berakhir di tempat yang sama kami bermula iaitu stesen Petronas TTDI. Saga Ron 95 mencatatkan bacaan meter trip 171.4 km, manakala Saga Ron 97 mencatatkan 171.8 km, memberikan purata perjalanan kedua-duanya 171.6 km.

    Kemudian, kami memenuhkan semula kedua-dua tangki dari pam yang sama, menggunakan kaedah tiga klik yang sama – jumlah isian penuh tersebut memberikan jumlah penggunaan petrol pada setiap kereta ini. Keputusannya? Saga RON 95 menggunakan petrol sebanyak 11.701 liter, manakala Saga Ron 97 mengunakan sebanyak 12.24 liter.

    Setelah dikira, Saga yang menggunakan RON 95 mencatatkan penggunaan bahan api 14.65 km untuk setiap liter petrol atau 6.8 liter petrol untuk perjalanan 100km. Dari segi jumlah perbelanjaan pula, kos keseluruhan adalah RM26.91 atau 15 sen untuk setiap satu kilometer.

    Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

    Manakala untuk Saga yang diisi oleh RON 97 pula, ia mencatatkan penggunaan bahan api 14.04 kilometer untuk setiap liter atau 7.1 liter untuk perjalanan 100 kilometer. Ia bersamaan kos keseluruhan RM31.82 atau 18 sen untuk setiap kilometer. Kesimpulannya mudah yang boleh di buat daripada ujian ini – penggunaan RON 95 adalah 3 sen lebih jimat untuk perjalanan satu kilometer berbanding RON 97.

    Dari segi prestasi juga, kami tidak merasakan sebarang perbezaan ketara antara kedua-dua Saga ini, di mana karekter pecutannya yang agak seiras. Keputusan ini agak sama dengan ujian pada Volkswagen sebelum ini, di mana penggunaan RON 97 adalah sedikit lebih banyak berbanding RON 95, pada enjin yang sama dan perjalanan yang sama.

    Jadi, apa penjelasan teknikal disebalik keputusan yang kami terima dari ujian ini? Saya percaya, ramai dari kalangan masyarakat berpendapat, semakin tinggi RON, petrol berkenaan mampu terbakar lebih efisien dengan memberikan kuasa letusan yang lebih kuat. Tidak kurang juga yang menyatakan kualiti petrol RON lebih tinggi turut mempengaruhi kadar ‘kebersihan’ petrol tersebut.

    Namun hakikat yang sebenarnya adalah, RON atau Research Octane Number ini berkaitan ketahanan petrol berkenaan daripada meletup sendiri tanpa percikan api dari palam pencucuh ketika ia diberikan mampatan (compression) yang kuat. Fenomena petrol meletup sendiri sebelum diberikan nyalaan api ini digelar knocking (mengeluarkan bunyi ketukan luar biasa dari kebuk pembakaran enjin), dan ia akan menyebabkan enjin menghasilkan haba yang lebih tinggi serta kuasa yang diekstrak secara tidak optimum.

    Knocking akan terhasil atas berberapa faktor, antaranya deposit karbon yang telah terhasil di dalam enjin yang sudah lama tidak dirombak rawat, menyebabkan ia menyala dan menyebabkan pembakaran campuran bahan api dan udara berlaku lebih awal dari yang sepatutnya. Satu lagi sebab mengapa knocking terjadi adalah kerana petrol dengan RON rendah digunakan pada enjin yang direka dengan kebuk pembakaran yang akan menghasilkan nisbah mampatan yang tinggi – ini berkaitan dengan apa yang terjadi dalam ujian yang kami lakukan.

    Untuk kereta penumpang biasa, enjin-enjin yang dibekalkan kebiasaannya mempunyai kadar nisbah mampatan yang rendah – dalam kes Saga 1.3L vvt ini nisbah mampatannya adalah 10.1:1. Penggunaan petrol RON 95 tidak akan menyebabkan langsung masalah knocking. Jadi, jika anda menggunakan petrol RON 97, ia tidak akan mendatang sebarang kesan, malah mungkin akan menyebabkan sedikit impak jika enjin berkenaan ditala di kilang bagi mendapatkan kuasa optimum menggunakan petrol RON 95.

    Ibaratnya, jika anda seorang manusia normal yang bekerja di pejabat tanpa terlibat dengan apa-apa aktiviti sukan, tiba-tiba diberikan makanan tambahan dan juga supplement lengkap seorang atlit pelari pecut. Adakah tindakan tersebut akan menjadikan kerja anda di pejabat menjadi lebih produktif? Tentunya tidak.

    Enjin bagaimana yang mempunyai nisbah mampatan tinggi ini? Kebiasaanya, enjin yang mempunyai nisbah mampatan tinggi adalah enjin berprestasi tinggi tanpa diberikan suapan induksi paksaan seperti pengecas turbo atau supercharger (Naturally Aspirated atau NA), contohnya enjin K20A DOHC i-VTEC dari Honda Civic Type-R FD2 yang mempunyai nisbah mampatan setinggi 11.7:1.

    Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

    Enjin-enjin moden yang dilengkapi sistem suntikan bahan api juga kebiasaanya dilengkapi penderia yang diletakkan pada bahagian blok untuk mengesan berlakunya masalah knocking ini, digelar sebagai knock sensor.

    Jika penderia ini mengesan berlakunya knocking dalam kebuk pembakaran atas apa akibat sekalipun, ia akan menghantar isyarat ke kotak komputer enjin, seterusnya pemasaan percikan api dari palam pencucuh akan dilaras semula untuk melenyapkan masalah tersebut – inilah punca mengapa enjin-enjin yang direka untuk menggunakan petrol dengan RON tinggi tidak menghasilkan kuasa yang optimum sekiranya menggunakan petrol dengan RON lebih rendah.

    Enjin turbo dan supercharger kebiasaanya juga mempunyai nisbah mampatan yang rendah – contohnya enjin 2.0 liter TSI Volkswagen Golf GTI yang mempunyai nisbah mampatan 9.6:1 – kerana kuasa tekanan positif atau boost yang diberikan bakal memendekkan jangka hayat enjin sekiranya ditala dengan nisbah mampatan tinggi.

    Satu lagi contoh enjin dengan nisbah mampatan tinggi ini adalah enjin NA yang telah diubahsuai dengan ‘memotong’ untuk memendekkan kepala silinder enjin (head skimming) bagi tujuan mendapatkan nisbah mampatan yang lebih tinggi, membolehkan kuasa lebih optimum di capai – lazimnya dilakukan oleh mekanik-mekanik ubahsuai kereta dan motosikal.

    Ujian RON 95 Vs RON 97 terhadap Proton Saga – benarkah yang mahal lebih bagus dari yang murah?

    Selain dari teori teknikal ini, kami turut mendapatkan komen dari Eksekutif Teknologi Bahan Api Petronas Dagangan Berhad, Mohamad Hafiz Abd Aziz, berkenaan hasil keputusan ujian yang kami jalankan tersebut. Menurut Hafiz, banyak faktor yang akan mempengaruhi tahap penggunaan petrol sesebuah kenderaan.

    “Untuk menentukan tahap penggunaan petrol semasa sesebuah kenderaan, ada banyak faktor-faktor lain yang akan mempengaruhinya, selain daripada petrol yang digunakan. Sebagai contoh, sistem enjin kenderaan, beban yang dibawa, tekanan tayar, keadaan trafik dan sebagainya. Secara umumnya, jika menyentuh tentang penjimatan kos, saya percaya RON95 tetap mempunyai kelebihan.

    “Bacaan yang diperoleh daripada pemerhatian terhadap dua buah Proton Saga 1.3 ini, dengan perbezaan 3 sen bagi setiap kilometer antara unit yang menggunakan RON95 dan RON97 boleh disifatkan sebagai suatu bacaan yang normal dan memang dijangkakan daripada kedua-dua jenis petrol berkenaan,” jelasnya.

    “Tentang tanggapan yang menyatakan bahawa penggunaan RON97 akan memberikan prestasi pemanduan lebih baik dan juga jarak perjalanan yang lebih jauh, itu ada kebenarannya. Dari segi prestasi, memang betul. Tetapi, jika dilihat dari segi kos wang ringgit yang dibelanjakan bagi setiap kilometer jarak, RON95 akan memberi lebih penjimatan kepada pengguna, terutama dengan perbezaan harga runcit 30 sen seliter di antara keduanya waktu ini,” tambah Hafiz lagi.

     
     
  • Harga Ducati untuk tahun 2017 – turun sehingga RM14,000, model baharu akan tiba pada bulan Mei

    Harga Ducati untuk tahun 2017 – turun sehingga RM14,000, model baharu akan tiba pada bulan Mei

    Siapa yang akan menyangka perkara ini akan berlaku? Sedang kebanyakan pengeluar kereta dan motosikal menaikkan harga berikutan kesan pertukaran mata wang asing dan suasana ekonomi yang mencabar, Ducati Malaysia pula melakukan sesuatu yang memeranjatkan apabila senarai harga setiap model untuk tahun 2017 dikeluarkan. Bermula pada harga RM49,999, anda sudah boleh memiliki sebuah Ducati iaitu model Scrambler Sixty2 dan paling mahal adalah Panigale S 1299, pada RM190,000.

    Bagi barisan Monster, model Monster 821 boleh dimiliki pada harga RM66,999, turun RM9,000 berbanding pada tahun 2016 manakala model Monster 1200 S dijual pada harga RM119,999, iaitu penurunan sebanyak RM1,000 berbanding harga pada tahun 2016.

    Untuk Multistrada 1200 pula, harga model asas menurun RM5,000, menjadi RM114,999 manakala model lebih tinggi yang dilengkapi dengan suspensi Skyhook dan lampu membelok LED, Multistrada 1200 S dijual pada harga RM139,999, turun RM14,000 berbanding harga sebelum ini RM125,999.

    Harga Ducati untuk tahun 2017 – turun sehingga RM14,000, model baharu akan tiba pada bulan Mei

    Dalam barisan model sports, Panigale 959 ditetapkan pada harga RM99,999 manakala bagi model retro moden Scrambler, harga setiap versi adalah seperti berikut: RM49,999 untuk Scrambler Sixty2 (turun RM3,000), RM52,499 untuk Scrambler Icon (turun 11,500) dan RM62,999 untuk Scrambler Urban Enduro, Classic dan Full Throttle (turun RM7,000).

    Menjelang Mei nanti, Ducati Malaysia akan membawa beberapa lagi model baru untuk pasaran Malaysia termasuk Multistrada 950, Monster 797, Supersport, Scrambler Cafe Racer dan Scrambler Desert Sled.

    Semua harga ini adalah termasuk GST, tetapi tanpa insurans, pendaftaran dan cukai jalan.

     
     
  • Hyundai Accent 2018 – video teaser pendek disiarkan

    Sementara banyak pengeluar memilih Geneva Motor Show dan Chicago Auto Show untuk memperkenalkan kenderaan terbaru, Hyundai pula memilih Canadian Auto Show pada 16 Februari untuk model Accent terbaru.

    Sebelum itu, satu video teaser kenderaan ini telah dikeluarkan dan ia boleh dilihat masih mempunyai bentuk sama seperti sebelum ini, tetapi lebih ‘tajam’ dengan lampu depan dan belakang trapezoid, lampu siang LED, dan gril terkini Hyundai.

    Tetapi sebenarnya, Accent ini boleh dikira sudah ditunjukkan kepada umum kerana kereta yang sama, diberikan nama Solaris untuk pasaran Rusia dan ia menawarkan kuasa 100 hp melalui enjin petrol 1.4 liter Kappa dan 123 hp daripada enjin 1.6 liter Gamma. Pilihan yang disediakan untuk kotak gear adalah automatik enam kelajuan atau manual enam kelajuan.

    Di bahagian dalam, Solaris menggunakan papan pemuka dengan rekaan menyerupai Tucson terbaru, dengan skrin di tengah, berukuran hampir 7 inci, dengan sistem hiburan dan informasi yang mampu disambung dengan aplikasi Android Auto dan Apple CarPlay. Pemanas yang disediakan pada cermin hadapan dan tempat duduk menjadikan kenderaan ini sesuai dengan tempatnya, dan ia lengkap dengan ciri keselamatan seperti beg udara berkembar (boleh dipilih menjadi enam), dan kawalan cengkaman.

    GALERI: Hyundai Solaris

     
     
  • Pagani Huayra Roadster – bahagian belakang ditunjuk

    Pagani Huayra Roadster – bahagian belakang ditunjuk

    Siri gambar teaser untuk Pagani Huayra Roadster diteruskan lagi apabila kini, bahagian belakang pula ditunjuk. Dalam gambar ini boleh dilihat perubahan yang diberikan oleh Pagani untuk menghasilkan model bumbung boleh buka, dan di belakang bahagian kokpitnya terdapat ruang enjin yang lebih jelas, bersama bumbung yang boleh dibuka dan lampu baru.

    “Dari awal lagi kami sudah meletakkan sasaran yang tinggi. Pertamanya, daripada aspek teknikal, adalah untuk menghasilkan roadster yang lebih ringan daripada model coupe, yang mana sudahpun merupakan hypercar paling ringan,” kata Horacio Pagani. “Kami juga berharap usaha selama enam tahun ini akan memberi kesan kepada anda, secara rasional dan emosional,” tambah beliau.

    Huayra versi hardtop mempunyai berat hanya 1,350 kg, dan apabila Pagani mendakwa versi roadster akan menjadi lebih ringan, ia boleh menunjukkan bahawa Huayra cukup tegap sehingga tidak memerlukan bahagian sokongan untuk menguatkan kembali badan tanpa bumbung.

    Bos Pagani juga mendedahkan bahawa teknologi daripada Huayra BC akan diserap ke dalam roadster ini. Turut boleh dijangka adalah peningkatan kuasa pada enjin AMG 6.0 liter V12 bi-turbo yang digunakan. Pada Huayra BC, enjin ini menghasilkan 750 hp dan 1,000 Nm tork.

    GALERI: Pagani Huayra Coupe

     
     
  • Proton Persona dan Saga baharu bakal sertai Iriz, bersaing dalam pasaran Indonesia tahun ini

    Proton Persona dan Saga baharu bakal sertai Iriz, bersaing dalam pasaran Indonesia tahun ini

    Selepas pelancaran Proton Iriz pada pasaran Indonesia minggu hadapan, Proton turut akan menampilkan Persona dan Saga pada republik berkenaan tahun ini, menurut laporan Auto Bild Indonesia.

    Laporan tersebut turut menyebut ketua serantau bahagian jualan antarabangsa Proton ASEAN Shahidin Sahamid sebagai berkata, “selepas ini, akan lebih banyak kereta akan dilancarkan di Indonesia, Persona dan Saga.” Perkara ini didedahkan oleh Shahidin ketika sesi pandu uji media Iriz di sana.

    Spesifikasi kedua-dua model berkenaan untuk pasaran Indonesia dijangka sama seperti penawaran pada pasaran Malaysia. Untuk Saga, tiga kemasan ditawarkan iaitu Standard, Executive dan Premium, kesemuanya dijana dengan enjin 1.3 liter empat-silinder VVT berkuasa 94 hp/120 Nm. Varian Standard diberikan pilihan kotak gear lima kelajuan manual atau CVT, manakala varian lebih tinggi hanya diberikan transmisi CVT.

    Proton Persona dan Saga baharu bakal sertai Iriz, bersaing dalam pasaran Indonesia tahun ini

    Persona turut ditawarkan dalam tiga kemasan, dan hanya dijana oleh enjin 1.6 liter VVT berkuasa 107 hp/150 Nm. Transmisi manual juga hanya ditawarkan untuk model Standard, manakala varian lebih tinggi hanya menerima transmisi CVT.

    Menurut undang-undang di Indonesia, sedan dikenakan cukai jualan sebanyak 30% berbanding kenderaan lain yang hanya dikenakan 10%. Ini bermakna, Proton bakal berhadapan cabaran yang lebih besar untuk memasarkan Persona dan Saga di sana berbanding Iriz. Persona juga dijangka terpaksa dijual dengan harga yang lebih mahal berikutan kapasiti enjinnya yang lebih besar. Walau bagaimanapun, model-model sedan ini mempunyai kelebihan untuk memasuki pasaran teksi di sana.

    GALERI: Proton Persona 1.6 Premium CVT 2016

    GALERI: Proton Saga 1.3 Premium CVT 2016

     
     
  • Hyundai Elantra GT 2018 – i30 diperkenalkan untuk US

    Hyundai Elantra GT 2018 – i30 diperkenalkan untuk US

    Hyundai telah mendedahkan model Hyundai Elantra GT 2018 untuk pasaran Amerika Syarikat (US). Seperti Elantra GT sebelum ini bagi Amerika Utara, model ini dibangunkan berasaskan Hyundai i30 untuk Eropah. Generasi ketiga i30 dibangunkan untuk dipamerkan di Paris Motor Show pada September tahun lalu.

    Elantra GT baharu ini adalah 40 mm lebih panjang (4,340 mm) dan 15 mm lebih lebar (1,795 mm) tetapi 20 mm lebih rendah berbanding sebelum ini . Sementara jarak rodanya masih kekal iaitu pada 2,650 mm.

    Hyundai Motor America mengesahkan dimensi luaran bagi Elantra GT adalah setanding dengan kebanyakan hatchback kompak yang lain, tetapi memiliki ruang dalaman yang lebih luas mengikut piawaian US EPA yang mengklasifikasikan hatch lima-pintu sebagai kereta ‘besar’ dengan keunikan di dalam segmennya.

    Hyundai Elantra GT 2018 – i30 diperkenalkan untuk US

    Ia telah menerapkan banyak imej i30 termasuk menampilkan rekaan gril baharu. Bukan itu sahaja, lebih separuh daripada strukturnya (53%) diperbuat daripada keluli berketahanan tinggi, memberikan jentera ini 22% lebih bagus bagi ketegarannya.

    Elantra GT ini didatangkan dengan dua pilihan penjana kuasa. Ia adalah enjin 2.0 liter suntikan terus dengan kuasa 162 hp yang dipadankan sama ada transmisi manual atau automatik enam-kelajuan. Manakala bagi model GT Sport pula digandingkan dengan enjin 1.6 liter T-GDi (201 hp/264 Nm), dipadankan sama ada kotak gear manual enam-kelajuan atau automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Tiada model janaan diesel untuk US.

    Hyundai sangat berbangga dengan pengendalian Elantra GT ini, di mana menurut syarikat ini, ia telah pun diuji ratusan kali di trek Nurburgring. Hasil ujian tersebut mendapati talaan suspensinya lebih mantap tetapi masih kekal selesa, meminimakan olengan badan serta menyerap impak geseran roda, dakwa Hyundai. GT Sport pula telah menukar palang torsion bagi suspensi belakang untuk pelarasan multi-link yang lebih mantap, serta digandingkan dengan roda aloi standard 18-inci dan rotor brek hadapan/belakang yang lebih besar.

    Di dalamnya, Elantra GT menerima Infinity Premium Audio dengan Clari-fi, Apple CarPlay, Android Auto dan pengecas telefon pintar tanpa wayar. Selain itu, ia turut ditampikan paparan audio lapan-inci dan aloi 17-inci. Bagi keselamatan, ia hadir dengan Kawalan Kelajuan Pintar bersama keupayaan ‘berhenti/mula’, Brek Kecemasan Automatik dengan Pengesan Pejalan Kaki, Bantuan Kekal Lorong, Bantuan Perhatian, Bantuan Lampu Tinggi dan Pengesan Titik Buta bersama Kepekaan Trafik Lintasan Belakang, sama seperti model Ioniq Hybrid di negara kita.

    Hyundai berkata pelanggan Blue Link kini telah menggunakan remote start sebanyak 25 juta kali sejak ia diperkenalkan pada tahun 2011. Walau pun Remote Start dengan Kawalan Suhu ketika panas merupakan elemen hebat, namun ia menjadi tiga kali ganda lebih popular ketika musim sejuk. Malah fungsi aplikasi mobiliti kini turut didatangkan dengan cermin sisi haba dan nyah-beku di belakang. Elemen yang dipertingkatkan ini juga akan ditampilkan pada model Hyundai yang akan datang.

    Elantra GT 2018 ini juga menampilkan sistem infotainmen AVN 5.0 akan datang, dengan prosesor yang dipertingkatkan, termasuk skrin lapan-inci. Ia juga menampilkan menggabungkan saluran AM, FM dan SiriusXM dalam satu skrin. Bukan itu sahaja, ia juga menampilkan peta navigasi yang lebih meluas dan pemandu kini boleh mengetahui aliran trafik dan data insiden tanpa melanggan menerusi HD Radio.

     
     
  • Renault Megane RX dibangunkan oleh Prodrive untuk perlumbaan FIA World Rallycross Championship 2018

    Renault Megane RX dibangunkan oleh Prodrive untuk perlumbaan FIA World Rallycross Championship 2018

    Prodrive adalah sebuah syarikat kejuruteraan automotif yang berasal dari United Kingdom, dan sejak wujud pada tahun 1984, ia dikenali dengan pencapaian mengagumkan dalam pelbagai perlumbaan di seluruh dunia. Terbaru, syarikat ini bekerjasama dengan atlet Monster Energy, Guerlain Chicherit untuk menghasilkan sebuah jentera lumba Renault Megane RX, untuk perlumbaan FIA World Rallycross Championship 2018.

    Asas yang diambil untuk jentera lumba ini adalah model Renault Megane generasi keempat, dan Prodrive akan mengubah suai segala aspek termasuk enjin 2.0 liter turbo yang berada di bawah hudnya. Semua ini akan dilakukan di ibu pejabat Prodrive di Banbury, United Kingdom.

    Disebabkan Prodrive mempunyai kemampuan untuk menghasilkan pakej enjinnya yang tersendiri, Megane RX boleh jadi menggunakan enjin lain berbanding model produksinya. Untuk memberi jangkaan, kerana bertanding dalam kelas Supercar, ia mungkin dipadatkan dengan kuasa yang boleh mencapai 600 hp dan 900 Nm tork. Sistem keselamatan seperti kawalan cengkaman juga mungkin dibuang.

    Renault Megane RX dibangunkan oleh Prodrive untuk perlumbaan FIA World Rallycross Championship 2018

    Walaupun lebih terkenal dengan pembangunan jentera lumba rali dan litar, Prodrive telah menimba pengalaman dalam rallycross dengan penghasilan Mini WRX pada tahun 2013 yang bersaing dalam perlumbaan Global Rallycross Championship (GRC).

    “Sudah lama kami memasang cita-cita untuk bersaing dalam FIA World Rallycross Championship. Ia adalah satu siri sukan permotoran yang paling pantas berkembang di dunia dan memberikan kami peluang untuk mengunakan segala kepakaran kejuruteraan yang ada untuk membangunkan sebuah kereta yang mampu memenangi gelaran dunia. Guerlain pula adalah seorang pelumba yang berbakat,” kata pengerusi Prodrive, David Richards.

    Renault Megane RX akan membuat penampilan pertama semasa World Rallycross 2017 pusingan di Lohéac, Perancis 1 September ini dan ia seterusnya akan diuji semasa musim luruh untuk memastikannya bersedia untuk perlumbaan musim tahun 2018.

     
     
  • SPYSHOT: Trak pikap Mercedes-Benz X-Class ditemui mula jalani ujian jalan raya musim sejuk sebenar

    SPYSHOT: Trak pikap Mercedes-Benz X-Class ditemui mula jalani ujian jalan raya musim sejuk sebenar

    Setelah muncul dalam bentuk model konsep tahun lalu, trak pikap Mercedes-Benz X-Class dalam bentuk prototaip produksi kini dilihat sedang menjalani ujian musim sejuk sebenar. Walau bagaimanapun, dengan pelekat penyamaran meliputi kebanyakkan bahagian badannya, gambaran sebenar rupa bentuk trak pikap ini masih lagi samar.

    Seperti yang diketahui sebelum ini, Mercedes X-Class dibina berasaskan trak pikap Nissan Navara NP300. Bahagian sisi kabin X-Class ini masih kelhatan seiras dengan Navara, namun ruang roda X-Class direka lebih minimalis berbanding Navara yang direka lebih menyerlah. Secara keseluruhan juga, X-Class direka lebih ringkas dengan menghilangkan garis badan bahagian atas Navara yang bermula dari fender hadapan hingga bahagian permulaan pintu hadapan.

    Pada bahagian belakang pula, lengkuk pada pintu ruang kargo Merc ini juga kelhatan seiras dengan Navara. Perbezaan dlihat pada bahagian sisi ruang kargo dimana X-Class direka landai, manakala Navara direka tegak dan rata.

    SPYSHOT: Trak pikap Mercedes-Benz X-Class ditemui mula jalani ujian jalan raya musim sejuk sebenar

    Walaupun berkongsi platform, X-Class bakal menggunakan enjin diesel dari Mercedes sendiri. Varian tertinggi trak pikap Merc ini bakal dijana enjin diesel V6 3.0 liter. Masih belum disahkan angka kuasa kudanya, namun pada versi kereta penumpang, enjin berkenaan mampu menjana 258 hp dan tork maksima 620 Nm.

    Manakala untuk varian lebih rendah, X-Class bakal diberikan enjin diesel empat-silinder, tetapi masih belum dapat dipastikan adakah ia akan menggunakan enjin dari Merc sendiri atau dari pengeluar lain. Bagi transmisi pula, X-Class bakal diberikan kotak gear tujuh- atau sembilan-kelajuan automatik Mercedes-Benz sendiri, digabungkan dengan sistem pacuan empat roda 4Matic.

    Sebelum ini, Mercedes mendakwa X-Class mampu membawa beban sehingga 1.1 tan dengan kapasiti menunda 3.5 liter. Trak pikap ini dijangka bakal melakukan kemunculan sulungnya dalam bentuk produksi sebenar tahun ini.

     
     
  • Proton Iriz dibuka tempahan di Indonesia – hanya 1.3 standard, di bawah RM67k, dilancarkan 18 Feb ini

    Proton Iriz dibuka tempahan di Indonesia – hanya 1.3 standard, di bawah RM67k, dilancarkan 18 Feb ini

    Sudah hampir dua tahun Proton merencana untuk membawa masuk model Iriz ke pasaran Indonesia, baru kini ia dapat direalisasikan. Malah tempahan bagi Iriz telah pun dibuka dan dijangka dilancarkan pada 18 Februari ini, menurut Auto Bild Indonesia.

    Walau bagaimana pun, hanya satu varian sahaja yang akan ditawarkan buat masa ini iaitu model standard 1.3 yang dijanakan oleh enjin 1.3 liter VVT dengan kuasa 94 hp pada 5,750 rpm dan tork 120 Nm pada 4,000 rpm, dipadankan sama ada dengan kotak gear manual lima-kelajuan atau CVT. Ia dijangka akan dijual di bawah Rp 200 juta (RM66,700), dan bersaing dengan Perodua Myvi (dengan logo Daihatsu Sirion di sana), yang berharga dari Rp 162.5 juta (RM54,200).

    Menjelaskan tentang ketiadaan model varian tertinggi 1.6 liter untuk pasaran di sana, ketua serantau bagi Proton ASEAN International (bahagian jualan) Shahidin Sahamid berkata, “Kami melihat skim cukai di Indonedia, di mana kenderaan dengan kapasiti enjin melebihi 1.5 liter melibatkan cukai yang lebih tinggi. Justeru kami melancarkan model 1.3 liter terlebih dahulu.”

    Model spesifikasi Indonesia ini lebih seiras dengan yang dipasarkan di sini, didatangkan dengan lampu utama projektor, roda 14-inci, lampu belakang LED, pemegang pintu dan perumah cermin sisi berwarna hitam. Di dalamnya, ia juga dipadankan dengan tempat duduk balutan fabrik dan unit utama dua-DIN bersama sambungan Bluetooth. Bagi aspek keselamatan, ia dilengkapi dengan dua beg udara, ABS dengan EBD bersama bantuan brek dan kawalan kestabilan, yang tidak ditawarkan oleh model pesaingnya di sana.

    GALERI : Proton Iriz 1.3 standard MT

     
     
  • Suzuki Ertiga Diesel dilancar di Indonesia – enjin 1.3 liter disokong sistem hibrid ringkas, harga RM73,296

    Suzuki Ertiga Diesel dilancar di Indonesia – enjin 1.3 liter disokong sistem hibrid ringkas, harga RM73,296

    Suzuki Ertiga Diesel akhirnya dilancarkan di Indonesia, dengan harga 219,500,000 rupiah, bersamaan RM73,296. MPV ini, yang diimport untuk pasaran Indonesia dari India akan menyertai Ertiga standard yang dijual pada harga antara 184,000,000 rupiah (RM61,442) dan Ertiga Dreza berharga 217,900,000 rupiah (RM72,762).

    Di bawah hud Ertiga Diesel terdapat enjin 1.3 liter D13A empat silinder turbodiesel DDiS yang menyediakan 89 hp pada 4,000 rpm dan 200 Nm tork pada 1,750 rpm. Enjin suntikan terus ini dipadankan dengan kotak gear manual lima kelajuan dan seperti yang dilaporkan sebelum ini, ia juga disambung bersama sistem Smart Hybrid Vehicle (SHVS) oleh Suzuki sendiri.

    Tetapan hibrid ringkas ini menampilkan Integrated Starter Generator (ISG), menggantikan alternator dan bateri 12V 70 Ah yang lebih besar. ISG ini bertindak memberikan keupayaan penjanaan semula kuasa brek untuk mengecas semula bateri, memberikan bantuan kepada enjin semasa baru mula memecut, serta menyokong sistem start/stop semasa berhenti. Suzuki mendakwa Ertiga Diesel boleh mencatat penggunaan bahan api 22.6 km/l, berdasarkan kajian Balai TMP (Termodinamika Motor dan Propulsi).

    Dari aspek penggayaan, Ertiga Diesel kelihatan hampir sama seperti versi petrol (selain Dreza), tetapi mempunyai tambahan kemasan seperti krom di gril, lampu kabus, cermin sisi yang boleh dilipat secara elektronik, lencana hibrid dan rim aloi.

    Di dalam, pembeli akan mendapat tempat duduk fabrik dengan corak yang berlainan, cermin pandang belakang larasan manual untuk dimalapkan, pendingin hawa dengan fungsi anti kabus di belakang, penunjuk gear, roda stereng dan tombol gear berwarna beige, dan sistem audio standard.

    Di Malaysia, Ertiga hanya boleh didapati dalam versi yang dipacu enjin K14B 1.4 liter petrol N/A, dan pelanggan boleh memilih varian Executive (MT dan AT) atau Executive Plus (AT sahaja). Jika anda berharap versi diesel ini akan datang ke Malaysia, Proton telah memberitahu, ia tidak akan berlaku, sekurang-kurangnya dalam masa terdekat ini.

    “Kami masih belum ada perancangan untuk membawa Ertiga Diesel ke Malaysia. Kami mempunyai sasaran jualan 1,500 unit kenderaan ini, dan ia adalah satu jumlah yang berpatutan untuknya, dan boleh dilaksanakan model sedia ada ini,” kata bekas ketua pegawai eksekutif Proton Edar, Rohime Shafie.

     
     
  • Kerajaan pertimbangkan siling bagi harga bahan api

    Kerajaan pertimbangkan siling bagi harga bahan api

    Kerajaan mengesahkan penetapan siling antara pilihan yang sedang dipertimbangkan untuk menangani isu harga minyak meningkat, laporan Bernama

    Menurut Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani, di beberapa negara maju, kerajaan akan membiarkan harga minyak terapung, dan penggiat industri minyak dan gas akan menentukannya.

    “Apabila kami (kerajaan) telah membuat keputusan mengenai harga siling, sama ada mereka (penggiat industri minyak dan gas) mahu menjual minyak pada harga rendah bagi tujuan promosi, kami menyerahkannya kepada mereka. Ini antara pilihan yang kami sedang teliti,” katanya.

    Beliau berkata kerajaan juga perlu berhati-hati sama ada dasar itu menjadi masalah kepada mereka yang tinggal di luar bandar. “Kami bimbang penggiat industri akan lebih memberi tumpuan untuk mendapatkan hasil daripada pengguna di bandar, dan tidak mahu melakukan perkara yang sama kepada mereka yang di luar bandar. Kami perlu berhati-hati mengenai ini juga,” katanya.

    Mengenai pengenalan semula subsidi bahan api, Johari berkata, ia tidak baik kepada ekonomi Malaysia dan tidak mampan. “Kami sedar mengenai harga minyak. Kami akan memantaunya. Jika ia terus meningkat dan jika ada pendapatan tambahan, saya rasa kerajaan boleh mempertimbangkan bentuk bantuan kepada kumpulan berpendapatan rendah, tetapi bukan golongan berada,” katanya dan mengesahkan kerajaan akan mengeluarkan satu mekanisme.

    Kerajaan pertimbangkan siling bagi harga bahan api

    “Bagaimanapun, buat masa ini tiada formula lagi, tetapi kerajaan telah memutuskan bahawa ia tidak boleh mengembalikan dasar ini (subsidi),” katanya.

    Johari berkata kerajaan mengambil kira kos sara hidup dan mengenal pasti tekanan kumpulan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40). Menurut Laporan Ekonomi 2015/2016, kumpulan B40 terdiri daripada isi rumah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

    Beliau berkata jika Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) tidak mencukupi, kerajaan akan mempertimbangkan untuk meningkatkannya bagi mengurangkan kesan kenaikan harga minyak. “Bagaimanapun, jika harga minyak merosot pada masa akan datang, kerajaan perlu mengambil semula BR1M. Ini adalah pembolehubah dan formula yang kerajaan perlu ambil,” katanya.

    Katanya dari segi harga minyak, negara lain berkongsi nasib yang sama. “Kami tidak dapat mengawal harga, dan apabila harga meningkat, harga minyak Malaysia alami kenaikan yang sama,” katanya.

     
     
  • Audi RS3 Sportback – guna enjin 2.5L TFSI 400 hp

    Audi RS3 Sportback – guna enjin 2.5L TFSI 400 hp

    Audi telah memperkenalkan RS3 Sportback baru, yang kini menyertai versi sedan yang ditampilkan semasa Paris Motor Show 2016. Model ini akan akan muncul di khalayak ramai buat pertama kali semasa Geneva Motor Show bulan depan, dan pelancaran untuk jualannya akan berlaku pada bulan Ogos nanti.

    Ia dikuasakan oleh enjin sama seperti RS3 Sedan, iaitu unit 2.5 liter TFSI lima silinder, dengan kuasa sebanyak 400 hp (33 hp lebih berbanding model sebelum ini) dan 480 Nm tork pada 1,700 hingga 5,850 rpm. Untuk melakukan pecutan 0-100 km/j, RS3 Sportback hanya memerlukan 4.1 saat dan kelajuan maksimumnya adalah 250 km/j (boleh dijadikan 280 km/j jika diminta).

    Audi menyatakan bahawa enjin ini adalah 26 kg lebih ringan, hasil daripada pelbagai peningkatan termasuk penggunaan crankcase aluminium. Enjin ini juga menggunakan sistem dual injection pada bahagian intake manifold seterusnya ke dalam ruang pembakaran, manakala sistem valvelift berada pada manifold ekzos.

    Audi RS3 Sportback – guna enjin 2.5L TFSI 400 hp

    Digabungkan padanya adalah transmisi automatik klac berkembar tujuh kelajuan Audi S Tronic, yang menyampaikan kuasa kepada sistem pacuan empat roda Quattro. Di dalamnya terdapat klac multi-plate untuk membahagikan tork secara berasingan kepada dua gandar yang ada.

    Sistem pacuan ini juga bekerja bersama sistem kawalan dinamik kenderaan, yang boleh mengubah tindak balas stereng, S Tronic, pengurusan enjin, flap ekzos boleh laras dan suspensi RS Sport Plus (pilihan tambahan) dengan kawalan penyerap boleh laras.

    Pemandu disediakan dengan tiga mod pemanduan – Comfort, Auto dan Dynamic. Seperti juga versi sedan, ciri ESC kenderaan ini diubah untuk memasukkan kawalan tork boleh pilih untuk setiap tayar dan mod sport yang membolehkan kenderaan membuat drift, pada model RS.

    Ubah suai casis yang dilakukan pula termasuk tetapan suspensi 25 mm lebih rendah berbanding A3 dan jarak di antara roda hadapan lebih lebar 20 mm, disertakan dengan lengkung roda yang lebar untuk memuatkan rim 19 inci (dengan tayar 235/35) dan brek cakera 310 mm (pilihan brek gentian seramik turut disediakan).

    Audi RS3 Sportback – guna enjin 2.5L TFSI 400 hp

    Selain semua ini, RS3 juga boleh dibezakan berbanding A3 biasa dengan melihat kepada gril jenis Singleframe yang digunakan, bersama honeycomb berwarna hitam berkilat, logo Quattro di bahagian bawah dan ruang salur udara lebih besar. Pada bahagian belakang, terdapat pula spoiler bumbung RS, diffuser pada bampar dan sistem ekzos RS dengan muncung yang lebih besar. Lampu LED datang secara standard manakala lampu LED Matrix disediakan sebagai pilihan.

    Di dalam, anda akan disambut dengan suasana gelap, menampilkan tempat duduk yang dibalut kulit Nappa (boleh dinaik taraf kepada tempat duduk sport RS), roda stereng RS yang rata di bahagian bawah, kokpit virtual, serta skrin RS.

    Barangan lain yang boleh didapati adalah termasuk Audi MMI Navigation Plus dengan sistem sesentuh MMI, sambungan LTE, Apple CarPlay dan Android Auto, Audi Phone Box, sistem bunyi Bang & Olufsen 705-watt serta pelbagai sistem bantuan pemandu.

     
     
  • Imej Tata Tigor disiarkan, bakal muncul Mac ini

    Imej Tata Tigor disiarkan, bakal muncul Mac ini

    Pengeluar automotif dari India, Tata, telah mendedahkan imej teaser untuk model lima pintu terbaharunya yang bakal dlancarkan Mac ini di negara berkenaan, digelar Tata Tigor. Imej berupa lukisan lakaran ini disiarkan oleh IndianAutoBlog, dan menurut mereka Tigor merupakan versi sedan Tata Tiago, iaitu hatchback segmen A yang bersaing dengan Honda Amaze (Brio) di India.

    Namun, Tigor menampilkan bahagian belakang yang agak unik berbanding pesaingnya dengan menampilkan but belakang 420 liter seperti sedan dengan tiang-C yang landai seperti fastback, serta pintu tailgate yang boleh dibuka seperti hatchback. Menurut Tata, mereka menggelar rekaan ini sebagai ‘Styleback’ lima-pintu.

    Seperti juga Tiago, Tigor bakal dijana dengan dua pilihan enjin iaitu enjin petrol 1.2 liter Revotron dan juga enjin diesel 1.05 liter Revotorq. Transmisi manual lima kelajuan akan dilengkapkan secara standard, manakala transmisi automatik dengan mod manual lima-kelajuan bakal ditawarkan secara opsyen semasa dilancarkan atau kemudian dalam tahun ini juga.

     
     
  • Malaysia telah dimaklumkan berhubung pemansuhan cakera cukai jalan kenderaan Singapura – LTA

    Malaysia telah dimaklumkan berhubung pemansuhan cakera cukai jalan kenderaan Singapura – LTA

    Malaysia telah dimaklumkan berhubung pemansuhan cakera cukai jalan bagi kenderaan Singapura bermula 15 Februari 2017, ujar pihak berkuasa Pengangkutan Darat Singapura (LTA), menurut laporan yang disiarkan oleh Bernama.

    Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, LTA memaklumkan, pihak berkuasa Malaysia juga telah dimaklumkan yang pemilik kenderaan bernombor pendaftaran Singapura tidak lagi perlu memaparkan cakera cukai jalan tersebut pada cermin depan kenderaan mereka.

    Di mana pihak berkuasa Malaysia boleh memeriksa kesahihan cukai jalan sesebuah kenderaan menerusi laman sesawang One.Motoring.

    Bagaimanapun, LTA menasihati pemandu yang mahu memasuki Malaysia agar membawa bersama cetakan cukai jalan kenderaan masing-masing. Pemilik kenderaan juga harus pastikan sijil insurans permotoran yang sah sentiasa disimpan di dalam kenderaan mereka.

    LTA mengumumkan langkah itu pada Ogos tahun lepas sebagai sebahagian proses penyelarasan. Malah pihak terbabit juga turut mengingatkan bahawa penggunaan kenderaan yang memiliki tunggakan cukai jalan adalah satu kesalahan di Singapura dan boleh dikenakan denda maksimum S$2,000.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025