Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Honda Civic Hatchback Orange Edition untuk Australia

    Honda Civic Hatchback Orange Edition untuk Australia

    Honda Australia telah mengumumkan kehadiran Honda Civic Hatch Orange Edition, yang hanya ditawarkan sebanyak 100 unit di negara berkenaan. Berbanding dengan model Civic Hatch standard, versi Orange Edition ini ditawarkan dengan warna Crystal Black Pearl dengan kekemasan Tucson Orange.

    Orange Edition ini turut menerima aloi Jet Black 17-inci yang dipadankan dengan warna badan hitam, bersama front lip, spoiler bawah belakang, skirt sisi dan pelekat yang kesemuanya berwarna jingga. Malahan jaluran jingga juga didapati pada cermin sisi dan juga grafik pada warna yang sama bagi pintu. Didapati pada varian VTi, VTi-S, VTi-L dan VTi-LX, pek Orange ini ditawarkan dengan harga tambahan sebanyak A$2,998 (RM9,617) bersama harga normal Civic.

    Honda Civic Hatchback Orange Edition untuk Australia

    Pernah melihatnya sebelum ini? Civic Hatch Orange Edition pada asasnya adalah Civic Hatchback dengan kit Modulo yang pernah kami rakamkan fotonya di Bangkok International Motor Show 2017 pada Mac lalu, dengan pelekat tambahan dan rim berlogo Honda bagi kereta pertujukan edisi Modulo di Thai.

    Di Australia, Civic Hatch boleh didapati dengan enjin 1.8L SOHC i-VTEC dengan kuasa 141 PS/174 Nm atau 1.5L VTEC Turbo (173 PS/220 Nm dari 1,700 hingga 5,500 rpm). Seperti di Thai, tiada pilihan bagi transmisi manual enam-kelajuan, sebaliknya hanya CVT automatik bersama pedal penukar gear bagi varian turbo. Di Malaysia, setakat ini tiada perancangan untuk membawa masuk varian Civic Hatch ke pasaran tempatan.

    GALERI: Honda Civic Hatchback dengan aksesori Modulo di BIMS 2017

     
     
  • Mercedes-Benz GLA dalam ‘teaser’, dilancar 25 Mei

    Mercedes-Benz GLA dalam ‘teaser’, dilancar 25 Mei

    Hujung minggu lalu, Mercedes-Benz Malaysia menaikkan sebuah teaser di laman Facebook rasminya, memamarkan gambar kelam dengan wajah hadapan sebuah kenderaan. Profil yang kelihatan itu mencadangkan ia sebuah Mercedes-Benz GLA yang diperbaharui.

    Model facelift versi X156 itu bakal menyertai A-Class W176 dan CLA-Class C117 untuk pasaran tempatan, melengkapi barisan model utama dengan platform MFA yang ditawarkan di negara ini. Berdasarkan iklan ringkas itu juga, pengenalan rasminya adalah pada 25 Mei nanti.

    Sama seperti sebelum ini, tiga varian dijangka akan ditawarkan di sini; GLA 200, GLA 250 dan GLA 45 4Matic yang mula diperkenalkan di sini sejak November 2014. Output bagi dua varian awal itu juga kekal sama; enjin 1.6L pada GLA 200 menghasilkan 154 hp/200 Nm manakala enjin GLA 250 pula dengan 208 hp dan 350 Nm.

    Enjin M133 2.0 liter pada GLA 45 4Matic pula akan menampilkan kuasa dari versi kemaskini dari tahun 2015, dengan angka 375 hp dan 475 Nm (pertambahan 20 hp dan 25 Nm). Selain daripada perubahan luaran padanya, ciri lain yang turut ditambah ialah Apple CarPlay dan Android Auto, kamera undur, sistem kamera 360 darjah serta skrin paparan lapan inci.

    Mercedes-Benz GLA facelift di Hungary

     
     
  • Mazda buka muzium kereta klasiknya di Jerman

    Mazda buka muzium kereta klasiknya di Jerman

    Mazda secara rasminya telah membuka muzium untuk mempertontonkan barisan model-model klasiknya di Eropah. Muzium yang terletak di Augsburg, Jerman berkenaan merupakan muzium pertama Mazda di benua tersebut, dan merupakan satu-satunya muzium jenama itu yang dibuka di luar Jepun.

    Dinamakan sebagai Muzium Kereta Klasik Mazda Frey, ia sebenarnya projek yang diusahakan oleh pengedar Mazda di Jerman – Auto Frey – dan mendapat kerjasama dari Mazda Jerman.

    Muzium tersebut dibangunkan untuk menyorot kembali revolusi Mazda yang hampir mencecah 100 tahun, mempamerkan 45 buah kereta vintaj yang dijual secara rasmi pada pasaran Jerman dan juga model yang dijual pada pasaran lain – termasuk berberapa model ‘rare‘ milik keluarga Frey sendiri.

    Muzium ini mempamerkan model-model Mazda yang dijana enjin Rotary Wankel bermula dari model pertama Mazda dengan enjin berkenaan iaitu Mazda Cosmo Sport 1967, Mazda Luce 929 atau dikenali juga sebagai RX-4 1969, Mazda RX-7 SA22C 1978 dan juga Mazda RX-7 FD-3S 1992.

    Selain itu, ia juga turut mempamerkan model-model penting Mazda lain termasuk Mazda R360 (kereta penumpang pertama jenama tersebut yang diproduksi secara besar-besaran), trak ringan tiga-roda Mazda K360 1962, Mazda Familia 1000 coupe 1966, Mazda 616 1976 (model pertama dijual di Jerman secara rasmi pada tahun 1973), dan juga kereta sport kei berenjin tengah Mazda AZ-1 1992.

    Seleksi pameran ini akan terus berubah dengan tambahan dari koleksi Frey serta lebih dari 120-buah kereta lagi yang akan dihantar dan dipamerkan secara bergilir-gilir.

    “Unik dan mengagumkan, muzium pertama Mazda di luar Jepun ini melambangkan impian keluarga Frey yang telah menjadi kenyataan untuk berkongsi dengan orang awam koleksi Mazda vintaj yang tersendiri dari seluruh dunia,” kata naib presiden eksekutif Mazda Motor Corporation Akira Marumoto. “Semua orang di Ibu Pejabat Mazda berbangga bahawa Frey merupakan sebahagian dari organisasi kami dan telah mewujudkan sesuatu yang luar biasa,” tambahnya.

    Fasiliti ini sebenarnya merupakan depoh tram Ausburg yang telah wujud pada tahun 1897. Selain dari ruang pameran,ia turut dilengkapi dengan kawasan acara, restoran dan juga kedai cenderamata. Pihak pengurusan muzium ini juga berharap tempat ini akan dijadikan hab pertemuan kelab-kelab Mazda vintaj dan juga acara kereta klasik am.

     
     
  • Rapid Rail sediakan bas perantara untuk KL Monorail

    Rapid Rail sediakan bas perantara untuk KL Monorail

    Mulai hari ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) telah menyediakan bas perantara bagi melengkapkan perkhidmatan KL Monorail iaitu bagi waktu kemuncak pagi dan petang.

    Bas perantara itu disediakan antara Stesen KL Sentral di hadapan NU Sentral dan Stesen Raja Chulan iaitu antara setiap tujuh dan 15 minit di beberapa stesen yang sibuk antara pukul 7 dan 9 pagi serta 5 petang hingga 7 malam, laporan Bernama.

    “Bas perantara itu juga disediakan antara Stesen Chow Kit dan Bukit Bintang di hadapan Plaza Sungei Wang, serta antara Stesen Hang Tuah dan Raja Chulan,” kata Datuk Zohari Sulaiman, CEO Rapid Rail, dalam kenyataannya semalam.

    Beliau berkata tambang RM1 dikenakan kecuali di stesen bersepadu Hang Tuah bagi penumpang dari Laluan Sri Petaling/Ampang di mana mereka dikecuali daripada tambang.

    Rapid Rail sediakan bas perantara untuk KL Monorail

    “Sebagai tambahan kepada perkhidmatan bas perantara itu, penumpang juga boleh memilih bas percuma Go KL khususnya Laluan Biru Go KL antara Chow Kit dan Bukit Bintang, serta Laluan Hijau Go KL antara KLCC dan Bukit Nanas. Kami akan memantau corak perjalanan penumpang serta keperluan mereka dan akan menyusun semula jadual bas jika diperlukan,” katanya.

    Beliau berkata bas perantara itu diperkenalkan sebagai pilihan kerana KL Monorail beroperasi menggunakan dua tren sahaja bagi satu-satu perjalanan setiap lapan minit sehingga diberitahu kelak, berikutan pemberhentian perkhidmatan empat tren setiap perjalanan sejak Jumaat lepas.

    “Kami telah mengenal pasti beberapa perkara berkaitan keselamatan berkaitan perkhidmatan menggunakan empat tren dan telah meminta Scomi, pengeluar tren itu, untuk melakukan kerja penambahbaikan serta menilai semula sama ada ia layak digunakan. Ini bagi memastikan tren itu sesuai beroperasi dan keselamatan awam tidak diketepikan,” katanya.

    Dalam masa yang sama, Zohari turut berkata, lebih ramai tenaga kerja termasuk polis bantuan dan staf operasi akan ditempatkan di stesen bagi membuat kawalan orang ramai serta membantu penumpang.

    Bagi mengetahui status perkhidmatan tersebut, sila layari Facebook @myrapid dan Twitter @AskRapidKL atau @MyRapidKL.

     
     
  • GALERI: Toyota C-HR dipertontonkan di Malaysia

    GALERI: Toyota C-HR  dipertontonkan di Malaysia

    UMW Toyota Motor hari ini mempertontonkan buat pertama kali di Malaysia model yang dinanti-nantikan, Toyota C-HR. Bakal menyaingi model-model seperti Honda BR-V dan Mazda CX-3 di pasaran tempatan. Unit yang dipamerkan ini adalah dari versi 1.2L turbo dengan spesifikasi unit dari pasaran Australia.

    Untuk pasaran Malaysia, masih belum disahkan versi mana yang akan dipasarkan atau bila ia akan diperkenalkan. Di pasaran Australia, hanya model dengan enjin 1.2L turbo dipasarkan (enjin 8NR-FTS dengan janaan kuasa 115 PS dan 185 Nm tork). Sementara itu, pilihan enjin 1.8L hibrid juga ditawarkan untuk pasaran Jepun sebagai tambahan kepada pilihan enjin yang lebih kecil itu.

    Selain Jepun dan Australia, pasaran Indonesia pula ada ura-ura akan turut menerima enjin 1.5 liter – dengan unit yang turut dipasang di sana. Apa yang pasti, untuk pasaran Malaysia, pilihan enjin 1.2L turbo tidak akan diperkenal.

    Toyota C-HR merupakan model kedua yang dibangun menggunakan platform modular Toyota New Global Architecture (TNGA) selepas Prius versi terkini. Pengeluarnya menjanjikan prestasi pemanduan yang responsif, hasil daripada penalaan suspensi dan ujian global yang dijalankan. Platform berkenaan juga disifatkan 65% lebih kukuh berbanding platform pada model segmen C Toyota sebelum ini.

    Versi hibrid pula disifatkan mampu memberikan bacaan penggnunaan petrol 30.2 km/l bagi kitaran ujian Jepun (15.4 km/l bagi 1.2L). Unit utamanya menggunakan enjin 1.8 liter VVT-i Atkinson Cycle empat silinder, motor elektrik dan kotak gear CVT – gandingan yang sama melengkapi Prius. Versi ini hanya datang dengan sistem pacuan 2WD.

     
     
  • Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD facelift tampil di M’sia – 1.5 DOHC i-VTEC, hibrid baharu, DCT 7-kelajuan

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD <em>facelift</em> tampil di M’sia – 1.5 DOHC i-VTEC, hibrid baharu, DCT 7-kelajuan

    Setelah tempahannya dibuka 11 Mac lalu, hari ini Honda Malaysia telah mendedahkan Jazz Sports Hybrid untuk diprebiu bagi pasaran Malaysia. Buat pengetahuan anda, Malaysia merupakan pasaran luar Jepun pertama di dunia yang menerima model ini, dan ia tampil dalam versi facelift yang baharu sahaja didedahkan di Jepun baru-baru ini, serta hanya akan dilancarkan di Jepun pada bulan hadapan. Boleh dikatakan juga, pendedahan Jazz Hybrid facelift pada hari ini merupakan kemunculan sulungnya untuk peringkat dunia.

    Jazz dengan teknologi hibrid baharu menggunakan unit janakuasa yang berbeza dari model generasi sebelumnya. Unit janakuasa yang digelar Sports Hybrid i-DCD berkenaan menggunakan enjin 1.5 liter DOHC i-VTEC kitaran Atkinson bersama motor elektrik dengan suapan kuasa dari bateri lithium-ion yang diletakkan di bawah lantai kargo (bermaksud ia tidak akan mengganggu konfigurasi tempat duduk Ultra). Gabungan berkenaan menghasilkan kuasa akhir 137 PS, sama seperti kemampuan yang dihasilkan oleh enjin 1.8 liter, menurut Honda.

    Jazz Sport Hybrid i-DCD (Intelligent Dual Clutch Drive) menggunakan kotak gear klac berkembar tujuh-kelajuan, bukan lagi kotak gear CVT seperti teknologi IMA pada Jazz Hybrid sebelum ini. Transmisi berkenaan bukan sahaja memberikan aliran kuasa yang lebih responsif, malah dengan sistem i-DCD ini, Jazz Hybrid kini boleh dipandu dengan mod elektrik sepenuhnya. Mod EV Drive, Hybrid Drive dan Engine Drive akan berubah secara automatik berdasarkan situasi pemanduan ketika itu.

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD <em>facelift</em> tampil di M’sia – 1.5 DOHC i-VTEC, hibrid baharu, DCT 7-kelajuan

    Menurut Honda Malaysia, unit janakuasa Sports Hybrid i-DCD ini telah diuji di Malaysia selama dua tahun – diletakkan pada badan Jazz sedia ada bagi tujuan ujian (sebab itu kehadirannya di Malaysia langsung tidak dapat dikesan). Ini bagi memastikan sistem berkenaan benar-benar sesuai dengan situasi dan keadaan cuaca di negara ini.

    Bagi sistem mekanikal untuk versi petrol pula, Jazz facelift bakal dikuasakan oleh unit janakuasa sama seperti sebelum ini iaitu enjin 1.5 liter SOHC i-VTEC berkuasa 120 PS pada takat 6,600 rpm dan tork maksima 145 Nm pada takat 4,600 rpm bersama transmisi CVT Earth Dreams.

    Selain itu, sistem stereng Jazz kini juga kini menerima talaan lebih sporty, disamping diberikan tingkat taraf lain seperti kamera undur paparan pelbagai sudut dan tempat duduk separa kulit (ciri ini turut diberikan pada Jazz petrol varian lebih tinggi). Bermula model facelift 2017 ini juga, kesemua varian Jazz termasuk varian asas akan diberikan sistem kunci pintar dengan butang penghidup enjin.

    Walau bagimanapun, bahagian luar Jazz facelift untuk pasaran Malaysia ini menampilkan rupa berbeza dari model pasaran Jepun yang telah didedahkan sebelum ini. Ia diberikan gril dan bampar baharu dengan kemasan seperti liang kemasukan udara sisi direka lebih besar, tetapi tampil dengan kemasan dengan bentuk berbeza. Berbanding model JDM yang menerima lampu kabus berbentuk bulat, model pasaran Malaysia diberikan lampu kabus yang lebih bersegi.

    Ia juga turut diberikan lampu hadapan bersama lampu nyalaan siang baharu. Untuk keseluruhan, versi pasaran Malaysia ini dilihat tidak tajam seperti Jazz facelift JDM kerana tidak diberikan lip spoiler yang panjang.

    Perbezaan lain yang turut dilihat berbanding versi JDM adalah pada lampu belakang (pasaran Malaysia masih menggunakan lampu sama seperti sebelum ini), dan juga rekaan pada rim aloi yang dibekalkan, menampilkan corak dan kemasan yang langsung tidak sama.

    Honda Jazz Sport Hybrid i-DCD <em>facelift</em> tampil di M’sia – 1.5 DOHC i-VTEC, hibrid baharu, DCT 7-kelajuan

    Malangnya, sama seperti prebiu model-model Honda terdahulu, Jazz ini diberikan filem penapis haba yang tebal untuk melindungi bahagian dalamannya dari kelihatan. Tetapi menerusi pendedahan di Jepun sebelum ini, Jazz facelift diberikan tempat duduk dengan penyokong sisi hingga ke bahagian atas, serta kemasan jalur tengah seperti pada Civic FC.

    Model hibrid diberikan tuil penukar gear yang direka berbeza dengan tuil normal pada versi petrol – menampilkan rekaan bersegi bersama batang tuil lebih pendek.

    Jazz Sport Hybrid bersama versi petrol facelift bakal dilancarkan di Malaysia pada suku kedua tahun ini, manakala pelanggan akan menerima kereta mereka pada Ogos 2017. Honda Malaysia juga masih lagi belum memberikan sebarang maklumat berkenaan julat harga.

    GALERI: Honda Jazz facelift 2017 varian Sports Hybrid i-DCD pasaran Malaysia

    GALERI:Honda Jazz/Fit Hybrid facelift 2017 pasaran Jepun

     
     
  • GALERI: Toyota Hilux 2.4G dengan aksesori TRD

    GALERI: Toyota Hilux 2.4G dengan aksesori TRD

    Pengedar kereta Toyota di Malaysia, UMW Toyota Motor telah mempamerkan sebuah Toyota Hilux 2.4G yang dipasang dengan pelbagai aksesori TRD. Seperti yang dilihat pada cermin hadapan kenderaan ini, terdapat pelekat yang tertulis Wing Hin, dan itu adalah nama syarikat (yang juga adalah pengedar rasmi barangan TRD) yang melaksanakan pemasangan kit ini.

    Kebanyakan barang TRD yang dipasang berada di bahagian hadapan, bermula dengan gril dan penghadang bampar yang berwarna kelabu, penghadang bawah enjin berwarna merah serta jalur pelekat TRD di atas hud depan. Dari sisi pula, anda akan dapat melihat tambahan pada lengkuk roda berwarna kelabu matte, rim 18 inci, pemijak tepi pintu, jalur pelekat di pintu dan palang besi sports di ruang barangan belakang.

    Pergi ke bahagian belakang, terdapat pula bebola cangkuk penarik pada bamparnya dan muncung ekzos gentian karbon keluar ke bahagian kanan trak. Kebanyakan barangan ini mempunyai cop unik TRD dan bagi rim, skrunya juga adalah daripada TRD.

    Sebagai sebuah kenderaan varian 2.4G, kelengkapan pada kenderaan ini masih sama iaitu ia mempunyai lampu utama halogen, sistem pemasukan tanpa kunci, butang pemula enjin, filem penapis haba Premium Security & Solar Film, lampu dan pengelap cermin automatik, tempat duduk yang boleh dilaras, tempat duduk kulit, perakam video digital, sistem hiburan dan informasi dengan skrin sesentuh 6.1 inci, kamera undur dan enam pembesar suara.

    Tiada sebarang perubahan pada bahagian enjin, di mana ia masih lagi menggunakan 2.4 liter 2GD-FTV turbodiesel, berkemampuan 150 PS pada 3,400 rpm dan 400 Nm antara 1,600 hingga 2,000 rpm. Enjin ini dipadankan bersama transmisi automatik dan sistem pacuan empat roda separuh masa, bersama pilihan mod Eco dan Power. Untuk aspek keselamatan, varian 2.4G ini dilengkapi dengan tiga beg udara, ABS dengan EBD dan BA, stability control dan cagak ISOFIX di belakang.

     
     
  • Subaru Forester 2.0i-S dipertontonkan di Malaysia

    Subaru Forester 2.0i-S dipertontonkan di Malaysia

    Motor Image Malaysia telah pun mempertontonkan varian baharu bagi SUV Forester iaitu 2.0i-S 2017. Ia dijangka akan menyertai varian sedia ada iaitu 2.0i, 2.0i-P dan 2.0 XT, yang dilancarkan pada tahun lalu, tidak lama lagi.

    Forester 2.0i-S ini menerima sedikit peningkatan berbanding varian lain yang telah pun berada di pasaran. Bagi bahagian luarannya, 2.0i-S ini ditampilkan dengan kit badan termasuklah spoiler bawah (dengan kekemasan logam) bagi bampar hadapan dan belakang. Selain itu, ia turut menampilkan rekaan gril hadapan yang sedikit berlainan dengan kemasan hitam, serta perumah cermin sisi logam.

    Menjengah bahagian kabinnya pula, kini ia menampilkan kekemasan gentian karbon tiruan pada panel pintu, keliling pemilih gear dan papan pemuka. Selain itu, ia turut ditawarkan dengan tempat duduk upholstery kombinasi kulit dan suede (seperti mana varian 2.0 XT) dengan jahitan kontras merah, alas lantai spesifik-model (dengan jalinan merah) untuk menyerlahkan gaya dalamannya.

    Lain-lain elemen yang ditampilkan pada bahagian kabinnya sama seperti pada varian 2.0i-P, termasuklah lampu utama LED bersama lampu nyalaan siang LED, roda 17-inci yang dibaluti tayar 225/60, sistem pendingin hawa dwi-zon, bukaan pintu belakang secara berkuasa dan unit utama skrin sesentuh Kenwood 7-inci.

    Seperti mana model Forester lain, ia turut dijana oleh enjin FB20 bentangan boxer 2.0 liter DOHC tanpa sistem induksi paksaan berkuasa 150 PS pada takat 6,200 rpm dan 198 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin baharu dengan rekaan strok yang lebih panjang dan blok enjin yang lebih ringan membolehkan ia mencapai penggunaan petrol 7.9L untuk setiap 100 km.

    Untuk sistem keselamatan, Forester dilengkapi dengan tujuh beg udara (dua di hadapan, sisi dan langsir, lutut pemandu), Kawalan Dinamik Kenderaan (VDC), Bantuan Mula Mendaki, kerangka diperkuat dengan bentuk-cincin, sistem ABS lengkap dengan EBD dan BA, Brake Override, dan sistem pedal keselamatan. Kesemua ciri keselamatan ini adalah standard untuk semua varian.

    Buat masa ini, harganya masih belum didedahkan. Kami akan membawakan informasi selanjutnya apabila ia dilancarkan secara rasmi kelak. Untuk mengetahui ulasan pandu ujianya, sila KLIK DI SINI.

    GALERI: Subaru Forester 2.0i-P

     
     
  • GALERI : Toyota Vios 2017 dipertingkat – kamera undur 360-darjah, dash cam, pemain DVD-AVN

    GALERI : Toyota Vios 2017 dipertingkat – kamera undur 360-darjah, <em>dash cam</em>, pemain DVD-AVN

    April lalu, UMW Toyota telah pun mengumumkan penambahan aksesori yang diberikan secara standard bagi model Vios. Varian yang dipertingkatkan ini telah pun berada di pasaran.

    Ia merupakan model yang dipertingkatkan dari varian G, yang kini menerima cermin sisi boleh lipat automatik, pemain DVD-AVN baharu yang memaparkan imej panoramik menunjukkan pemandangan 360 darjah kenderaan menerusi empat kamera di bahagian luar, dan juga Dash Cam untuk merakam pemanduan. Ciri ini bukan sahaja standard untuk G, malah ia juga standard untuk varian GX dan TRD Sportivo.

    Kesemua varian Vios 2017 kini turut menerima satu slot pengecas USB yang terletak pada bahagian depan tapak tombol gear untuk memudahkan pengguna, manakala untuk varian E pula, ia turut menerima pemain DVD-AVN baharu bersama kamera undur 360 darjah.

    Selain itu, varian J juga boleh dilengkapi dengan monitor berkenaan sebagai sebahagian daripada pakej infotainmen DVD-AVX dengan kos tambahan RM4,441.90. Manakala untuk pembeli Vios 1.5E, ciri cermin sisi automatik boleh dimiliki dengan harga RM318.

    Harga pula kekal seperti sebelumnya; Vios 1.5J dijual pada RM76,500; 1.5J Auto pada harga RM79,800; 1.5E auto pada RM83,900; 1.5G pada RM89,800; 1.5GX pada harga RM92,800 dan TRD Sportivo pula dijual dengan harga RM96,400.

    Tiada perubahan mekanikal diberikan di mana Vios masih lagi dijana oleh enjin empat silinder 2NRFE 1.5 liter Dual VVT-i berkuasa 107 PS pada takat 6,000 rpm dan tork maksima 140 Nm pada takat 4,200 rpm. Enjin tersebut kini dipadankan dengan transmisi CVT bersama mod tujuh-kelajuan maya, manakala varian asas J masih diberikan pilihan transmisi manual lima-kelajuan.

    GALERI:Toyota Vios 1.5L G 2017

     
     
  • Masjid Perodua dirasmikan oleh Sultan Selangor – mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa

    Masjid Perodua dirasmikan oleh Sultan Selangor – mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa

    Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj berkenan berangkat merasmikan Masjid Perodua yang merupakan masjid pertama dibina oleh syarikat korporat di daerah Hulu Selangor.

    Dikategorikan sebagai masjid pengurusan, masjid ini menawarkan pelbagai kemudahan kepada kakitangan Perodua dan penduduk sekitar termasuk bilik kuliah, bilik pengurusan jenazah dan kawasan khas untuk ibadah sembelihan korban.

    “Masjid Perodua mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu-satu masa dan direka bentuk dengan fungsi dan kecekapan yang terancang,” Pengerusi Perodua, Tan Sri Asmat Kamaludin berkata.

    Pembukaan rasmi masjid ini turut dihadiri oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh serta wakil agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

    Pada majlis itu, Tan Sri Asmat turut mewakafkan masjid ini kepada Perbadanan Wakaf Selangor yang diterima oleh DYMM Tuanku Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Al-Haj.

    Masjid Perodua dirasmikan oleh Sultan Selangor – mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa

    Masjid ini juga turut ditadbir oleh ahli profesional yang dipengerusikan oleh Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk (Dr) Aminar Rashid Salleh, juga disertai pegawai agama yang berkaliber untuk memastikan fungsi masjid ini diuruskan dengan cekap.

    Perodua telah memperuntukkan kira-kira 8.86 ekar atau 38,850 meter persegi untuk pembinaan masjid ini dan kemudahannya digunakan oleh kakitangan Perodua serta masyarakat setempat. Ia menelan belanja sebanyak RM19 juta termasuk pembinaan Pusat Perkembangan Kanak-Kanak Perodua (PCDC).

    Kompleks masjid ini dibahagikan kepada empat bahagian; yang mana bangunan utama masjid berkeluasan 3,567 meter persegi dengan peruntukan sebanyak RM10 juta. Bersebelahan masjid ialah PCDC, dengan keluasan tanah 2.7 ekar dan kompleks bangunannya seluas 2,099 meter persegi berjumlah RM9 juta.

    “PCDC merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab korporat kepada kakitangan kami dalam menyediakan kemudahan terbaik buat mereka,” kata Tan Sri Asmat.

    Masjid Perodua dirasmikan oleh Sultan Selangor – mampu menampung 3,000 jemaah dalam satu masa

    Selain itu, Perodua turut membelanjakan RM20 juta untuk membina jalan raya bagi menghubungkan ibu pejabat dan masjid sekaligus untuk kegunaan masyarakat setempat.

    “Perodua telah membelanjakan sebanyak RM39 juta secara keseluruhan untuk membina masjid, PCDC dan jalan raya demi manfaat kakitangan kami dan komuniti setempat,” kata Tan Sri Asmat lagi.

    Masjid Perodua memulakan pembinaan pada Ogos 2014 dan siap sepenuhnya pada Julai 2016.

    Sejak Ogos 2016, Masjid Perodua telah mengadakan pelbagai aktiviti antaranya ibadah korban dan mengedarkan daging korban tersebut kepada fakir miskin dan masyarakat setempat.

    Pihak Jawatankuasa masjid turut mengadakan kuliah agama berterusan untuk masyarakat yang merupakan sebahagian daripada proses pendidikan kepada komuniti.

     
     
  • VIDEO: ANCAP uji pelanggaran berdepan buat pertama kali – Toyota Corolla 1998 vs. Corolla 2015

    Program Penilaian Kereta Baharu Australasian (ANCAP) telah menyiarkan hasil ujian pelanggaran secara berdepan antara kereta-dengan-kereta pertamanya, yang turut menunjukkan peningkatan keselamatan kenderaan dari dua era berbeza. Ujian ini turut menunjukkan kelebihan kereta baharu yang lebih selamat.

    Kereta yang terlibat dalam ujian berkenaan kedua-duanya merupakan Toyota Corolla hatchback, tetapi sebuah merupakan model 1998 dan sebuah lagi model dari tahun 2015. Kedua-dua kereta ini diuji dengan berlanggar antara satu sama lain secara berdepan, dalam kelajuan 64 km/j – seperti yang anda lihat, Corolla yang lebih lama menunjukkan kesan pelanggaran yang lebih teruk.

    Bacaan yang direkodkan pada patung ujian menunjukkan risiko yang sangat tinggi untuk kecederaan serius pada kepala, dada, dan kaki pemandu, dengan markah hanya 0.4 dari 16 markah penuh (sifar-bintang) untuk Corolla 1998. Manakala untuk Corolla 2015 pula, ia berjaya mendapat markah 12.93 dari 16 markah penuh, cukup untuk diberikan penarafan lima-bintang.

    Menurut analisis oleh program penilaian prestasi keselamatan, hanya terdapat 20% kenderaan lama (yang dibina pada tahun 2000 dan sebelumnya) dari keseluruhan kenderaan yang didaftarkan di Australia, dan 33% daripadanya terlibat dalam kemalangan maut.

    Sebaliknya, kenderaan yang lebih baharu (dibina antara 2011 dan 2016) yang mewakili 31% dari jumlah keseluruhan kenderaan setakat ini hanya terlibat dalam kemalangan maut sebanyak 13%. “Yang menjadi kegusaran adalah jumlah kemalangan maut adalah empat kali lebih banyak untuk kereta lama berbanding kereta baharu,” kata CEO ANCAP, James Goodwin.

    “Keselamatan bukan kemewahan dan kami mahu semua orang kekal selamat di atas jalan, jadi pengguna perlu mencari kereta paling selamat yang mereka mampu dan kereta paling selamat yang memenuhi keperluan mereka. Hasil ujian ini adalah benar dan industri automotif, pembiayaan dan insuran boleh memainkan peranan mereka untuk membantu menggalakkan orang ramai bagi mendapatkan kereta yang lebih baharu, lebih selamat,” tambah beliau.

    Sebelum ini, Program Penilaian Kereta Baharu Eropah (Euro NCAP) turut menjalankan ujian pelanggaran lama vs. baharu seperti ini. Ujian berkenaan membabitkan Rover 100 (atau Metro) dan juga Honda Jazz 2015, berlanggar sesama sendiri secara berdepan dengan kelajuan sama iaitu 64 km/j.

     
     
  • Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    Pilihan yang terhampar bagi peminat pengubahsuaian atau modifikasi kenderaan sangat luas. Ia tidak terhad hanya kepada barangan aftermarket yang dikeluarkan oleh pelbagai pihak.

    Satu aspek modifikasi yang kerap juga mendapat perhatian di Malaysia ialah dengan menukar penampilan kenderaan dari yang asal. Pendekatan oleh pengeluar, yang memperkenalkan sesebuah model di dalam variasi yang berbeza, untuk pasaran-pasaran yang berbeza – sedangkan ia diasaskan pada satu model yang sama – meluaskan lagi kemungkinan ubahsuai penampilan sesebuah kenderaan.

    Tentunya ramai sudah maklum, sebagai contoh, model-model kereta kompak seperti Perodua Myvi mempunyai “saudara kembar tak serupa” dipasaran Jepun, yang dikenali sebagai Toyota Passo. Begitu juga dengan Proton Wira yang mempunyai pertalian dengan Mitsubishi Lancer terdahulu. Senarai ini sudah tentu saja boleh jadi lebih panjang.

    Dengan adanya pertalian antara model begini, ramai yang panjang akal dan terdetik untuk mengubah penampilan luar kereta mereka kepada model-model yang berkongsi kerangka yang sama itu. Anda juga pasti tidak asing lagi dengan perkara seperti ini; terlalu banyak kenderaan di atas jalan raya di Malaysia yang melakukan hal seperti itu.

    Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    Yang menjadi persoalan, dari sudut undang-undang, adakah hal ini tidak melanggar apa-apa peraturan sedia ada? Jika menurut Pengarah Jabatan Kejuruteraan Automotif, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk IR. HJ. Mohamad Dalib, perkara itu melanggar undang-undang sedia ada.

    “Semua kenderaan yang didaftarkan di Malaysia ada identitinya tersendiri. Siapa pengeluarnya, apa modelnya, bagaimana rekaan dan lain-lain. Perkara-perkara yang sudah diluluskan, terutamanya ketika proses Vehicle Type Approval (VTA) untuk sesebuah kenderaan itu digunakan di atas jalan raya Malaysia, tidak boleh ditukar sesuka hati” ujar beliau.

    Apa yang dimaksudkan dengan identiti kenderaan? Ada dua perkara yang diberi penekanan ketika membicarakan hal ini; iaitu logo atau lambang pengeluar serta modelnya dan kedua, panel badan kenderaan. “Walaupun pemilik hanya menukarkan logo jenama kenderaan mereka. Misalnya, dari Perodua kepada Daihatsu, atau kepada Toyota – semua itu tetap salah,” jelasnya.

    Tukar logo jenama dan panel badan kenderaan salah?

    Beliau juga sempat memberi contoh terhadap model-model yang lebih baru, seperti Proton Perdana, yang direka semua daripada model Honda Accord generasi kelapan. “Walaupun kita sedia maklum Perdana memang menggunakan Honda Accord sebagai asasnya, sekiranya lambang pengeluar atau modelnya ditukar kepada Honda Accord, ia tetap salah,” tambah beliau.

    Mungkin ada yang bertanya, apa kesalahan yang dilakukan sebenarnya? Beliau menjelaskan; “Menukar identiti kenderaan tanpa kebenaran dan boleh dikenakan saman serta-merta.” Ini turut termasuk bagi model-model lain yang jatuh di dalam situasi seumpama ini, misalnya seperti Proton Inspira.

    Jadi, sebagai langkah berjaga-jaga, sekiranya masih ada pemilik yang ingin berbuat demikian, adalah lebih elok untuk merujuk kepada pihak JPJ terlebih dahulu sebelum melakukan apa-apa perubahan, walaupun seringkas menukar logo pengeluar pada kereta anda.

    Ikuti juga artikel berkaitan maklum balas JPJ terhadap penggunaan sayap belakang besar (rear wing) dan lampu HID pada kenderaan yang pernah kami ketengahkan sebelum ini.

     
     
  • Banyak stesen minyak terpaksa ‘gulung tikar’ akibat harga siling bahan api secara mingguan – PDAM

    Banyak stesen minyak terpaksa ‘gulung tikar’ akibat harga siling bahan api secara mingguan – PDAM

    Sejak penetapan harga siling bahan api diimplementasikan secara mingguan. terdapat banyak rungutan daripada para pengusaha stesen minyak di seluruh negara. Sebelum ia dilaksanakan, terdapat ramai di kalangan pengusaha yang tidak bersetuju dengan langkah tersebut memandangkan ia dijangka tidak memberikan keuntungan yang memberangsangkan, sebaliknya hanya lebih menguntungkan para pengguna.

    Presiden Persatuan Pengedar Petrol Malaysia (PDAM) Datuk Khairul Annuar berkata, sejak mekanisma penetapan harga siling bahan api dilakukan secara bulanan mulai Disember 2014, antara 30 hingga 40 stesen pelbagai jenama terpaksa menamatkan operasi mereka.

    “Malahan jumlah ini semakin bertambah sejak harga tersebut ditetapkan secara mingguan mulai 1 April lalu. Kami berasa sangat khuatir sekiranya perkara ini berterusan,” ujarnya kepada The Star semalam.

    Khairul juga berkata, pengusaha stesen minyak seluruh negara dilihat terjejas dengan masalah ini termasuk di Sabah dan Sarawak.

    Banyak stesen minyak terpaksa ‘gulung tikar’ akibat harga siling bahan api secara mingguan – PDAM

    “Terutamanya yang melibatkan kawasan yang memiliki banyak stesen minyak, dan juga kawasan luar bandar yang mana hasil jualan mereka rendah dan hanya mempunyai stesen minyak yang berkapasiti kecil,” ujarnya lagi.

    Tambahnya lagi, jika perkara ini menjejaskan kos operasi, ia juga memberikan risiko terhadap kakitangannya. Di Malaysia, ada sejumlah 3,500 stesen minyak dengan jumlah keseluruhan pekerja seramai 14,000 orang yang berhadapan dengan risiko kehilangan pekerjaan. Terdapat kajian yang dijalankan oleh PDAM ke atas 840 buah stesen minyak mendapati, hanya 21% sahaja melibatkan pekerja asing, selebihnya adalah warga tempatan.

    Bukan setakat masalah melibatkan para pekerja, bahkan stok bahan api yang berada dalam simpanan juga turut menjadi isu.

    “Apabila stok bahan api yang masih ada dalam simpanan tidak dapat dijual habis apabila harga baharu diumumkan, kebarangkalian ia boleh menyebabkan kerugian yang agak besar. Terutamanya melibatkan petrol RON 97 dan diesel di mana jualannya rendah tetapi memiliki stok yang agak tinggi.

    Banyak stesen minyak terpaksa ‘gulung tikar’ akibat harga siling bahan api secara mingguan – PDAM

    “Bagi petrol RON 95, jika ada lebihan stok dalam tiga hingga lima hari selepas tengahmalam harga baharu diumumkan, pengusaha perlu menjualnya dengan margin yang kosong bagi tempoh tiga ke lima hari minggu berkenaan,” ujarnya yang turut mengakui penurunan harga sebanyak 10 sen sahaja boleh menyebabkan kerugian yang besar dalam tempoh tiga hingga lima hari.

    PDAM menjangkakan pengusaha stesen minyak boleh berhadapan dengan kerugian antara RM3,000 hingga RM5,000 seminggu, malah ada sesetengah pengusaha yang hanya untung sekitar RM5,000 sebulan.

    Dalam masa yang sama, Menteri di Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Hamzah Zainudin menggesa pengusaha-pengusaha stesen minyak di negara ini untuk menjadi lebih kreatif untuk menjana pendapatan dan tidak semata-mata bergantung kepada hasil jualan bahan api sahaja.

    Beliau menjelaskan, sebagai contoh, pengusaha stesen minyak boleh menjalankan perniagaan sampingan di stesen mereka untuk tujuan itu. “Terserah kepada pengusaha stesen minyak untuk mencari alternatif bagaimana untuk menjana keuntungan. Kreativiti mereka boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan sampingan lain dipremis sama,” ujarnya.

     
     
  • Nissan rai ulangtahun ke-60 model ikonik Skyline dengan poster Hokusai – tampil setiap generasinya

    Nissan Skyline, nama yang begitu ikonik dalam industri automotif Jepun. Nama berkenaan telah bermula sejak tahun 1957 lagi, ketika itu Skyline dibina oleh pengeluar asalnya iaitu Prince Motor Company (PMC). Tahun ini, nama Skyline telah pun genap 60-tahun, dan Nissan meraikannya dengan menerbitkan siri poster yang menampilkan generasi pertama Skyline, hingga ke generasi sedia ada.

    Poster-poster ini disiarkan oleh laman Jepun, LeVolant Boost, menampilkan setiap generasi Skyline dengan latar belakang tempat-tempat terkenal di Jepun seperti Pergunungan Fuji dan hasilkan seperti karya pelukis silam Jepun – Hokusai. Laman berkenaan turut menyebut bahawa poster ini akan dipamerkan di lokasi-lokasi pertandingan gusti Grand Sumo sekitar Jepun bermula 14 hingga 28 Mei ini.

    Untuk pengetahuan anda, siri poster ini adalah untuk meraikan jenama Skyline sahaja, tanpa melibatkan nama GT-R yang telah dipisahkan bermula dari model R35. Seperti yang disebutkan tadi, generasi pertama Skyline dibina oleh PMC pada tahun 1957 dengan kod casis ALSI. Setelah berberapa perubahan dilakukan dan melahirkan pelbagai versi, model generasi pertama ini dihentikan pada tahun 1964.

    Generasi kedua Skyline masih lagi dibina di bawah payung PMC. Dengan diberikan kod casis S50, model ini direka oleh ‘The Godfather of Skyline‘ Shinichiro Sakurai pada tahun 1963. Pada tahun 1964 pula, Sakurai mula memadankan enjin enam silinder pada Skyline ini, digelar Skyline GT – model yang dibina untuk membolehkannya berlumba di Grand Prix Jepun, bersaing dengan Porsche 904. Disebabkan enjin yang lebih panjang, Sakurai terpaksa memanjangkan lagi bahagian hadapan jentera berkenaan sebanyak 200 mm dari model biasa.

    Versi paling berkuasa Skyline generasi kedua ini dikenali dengan kod casis S54B menampilkan penggunaan tiga karburator perlumbaan Weber DCOE 40 bersama omboh, rod penghubung dan aci engkol yang diperkuat, transmisi manual lima-kelajuan nisbah-rapat dan juga LSD pada gandar belakang.

    Skyline mula dikenali sebagai sebuah model keluaran Nissan menerusi model generasi ketiganya setelah PMC disatukan dengan Nissan. Model ini hadir dalam pasaran pada tahun 1968 dengan kod casis C10. Model ini juga merupakan generasi pertama Skyline yang diberikan lencana GT-R, menampilkan enjin S20 2.0 liter DOHC enam-silinder sebaris dengan tiga buah karburator perlumbaan sebagai ciri standard. C10 juga sering dirujuk dengan nama ‘Hakosuka’ di mana hako bermaksud kotak dan suka sebenarnya sebutan Sky (dari nama Skyline) dalam pelat Jepun.

    Pada 1972, generasi keempat Skyline membuat penampilan. Model ini mula direka dengan bentuk badan ‘botol coke’, cuba menyaingi rekaan kereta-kereta American Muscle ketika itu seperti Dodge Charger dan sebagainya. Dikenali dengan kod casis C110, model ini juga turut digelar sebagai ‘Kenmeri Skyline’ – merujuk kepada watak Ken dan Mary yang dicipta untuk mempromosikannya. Versi GT-R juga hadir pada generasi ini menggunakan enjin S20 yang sama, tetapi produksinya terpaksa dihentikan dalam masa yang singkat kerana krisis bahan api yang melanda pada era tersebut (hanya 197 unit dihasilkan, menjadikan ia GT-R paling rare dalam sejarah!).

    Skyline terus dihasilkan pada tahun 1977 (C210/Skyline Japan), 1981 (R30/Paul Newman Skyline/Iron Mask) dan 1985 (R31), tetapi ketiga-tiga generasi ini tidak lagi diberikan lencana GT-R. Hanya model 2000 GT-S diberikan sebagai varian paling berkuasa. Model R32 hadir pada tahun 1989. Variasi model GT-S masih lagi kekal, tetapi Nissan telah mengambil keputusan untuk membawa semula GT-R dalam barisan model Skyline.

    R32 mula menggegar dunia perlumbaan bukan sahaja kerana enjin RB26DETT 2.6 liter turbo berkembar yang sangat berkuasa, tetapi kemampuan sistem pacuan semua roda Attesa ETS-Pro yang dilengkapkan membuatkan ia hampir mustahil untuk dikejar di dalam litar – akhirnya ia diharamkan terus dari menyertai perlumbaan Australian Touring Car Championship (ATCC) pada tahun 1993 setelah menjuarai kejohanan tersebut tiga tahun berturut-turut dari 1990 hingga 1992.

    Nissan rai ulangtahun ke-60 model ikonik Skyline dengan poster Hokusai – tampil setiap generasinya

    Versi GT-R terus hadir bersama Skyline generasi seterusnya iaitu R33 pada tahun 1993 dan juga R34 pada tahun 1998. Namun untuk generasi ke-11 pada tahun 2001, Skyline dan GT-R mula dipisahkan. Skyline dikenali dengan kod casis V35 (hadir dengan bentuk badan coupe 2-pintu dan sedan 4-pintu), manakala GT-R dikenali dengan kod casis R35, tetapi hanya membuat kemunculan sulung pada tahun 2007. V35 juga dijual diluar Jepun secara rasmi tetapi dengan nama Infiniti G35.

    Generasi ke-12 Skyline terus dihasilkan pada tahun 2006, kali ini dengan kod casis V36 dan nama Infiniti G35 terus digunakan untuk pasaran luar Jepun. Skyline generasi terakhir pula hadir pada tahun 2014 dengan kod casis V37. Pasaran Malaysia turut menerima model V37 ini, tetapi sama juga seperti pasaran luar Jepun lain, ia dikenali sebagai Infiniti Q50 pada pasaran tempatan.

     
     
  • Kawasaki anjur siri jelajah “Always Close To You”

    Kawasaki anjur siri jelajah “Always Close To You”

    Kawasaki Motors (Malaysia) Sdn Bhd (KMSB) hari ini mengadakan siri jelajah tunggang uji yang terbuka kepada umum, bertempat di Bulatan Bazarena, Stadium Melawati, Shah Alam dari pukul 10 pagi hingga 6 petang. Dikenali sebagai siri Jelajah “Always Close To You”, ia menampilkan barisan model 2017 jenama itu.

    Ketika acara ini berlangsung, Kawasaki akan mempamerkan model-model seperti Kawasaki Z650 ABS, Ninja 650 ABS, Z900 ABS dan Versys-X 250. Pengunjung berpeluang untuk menunggang uji semua model berkenaan untuk mengetahui pengalaman sebenar bersama barisan jentera terbaru keluaran syarikat itu.

    Laluan khas juga telah direka untuk memberi peluang kepada penunggang merasakan aspek-aspek berlainan yang ada jenteranya, termasuk ketangkasan tunggangan dan keupayaan membelok. Pemilik Kawasaki sedia ada juga boleh membawa motosikal mereka untuk pemeriksaan dan servis – dengan caj buruh percuma. Ia akan diselia oleh juruteknik profesional dari Kawasaki Exclusive Service Centre (KESC) Glenmarie.

    Acara ini turut disertai oleh beberapa pihak lain seperti Alpinestar Malaysia, Shoei Malaysia, serta Bridgestone yang turut akan mempamerkan barisan produk masing-masing. Selain itu, AEON Credit Services dan Tokio Marine Insurance akan turut berada di sana dengan tawaran pembiayaan kepada yang berminat.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.21 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.21
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.93 (0.00)
EURO 5 B7 RM3.13 (0.00)
Last Updated Sep 25, 2025