Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • ETCM lancar bilik pameran dalam talian Nissan

    ETCM lancar bilik pameran dalam talian Nissan

    Pasti ramai yang sedia maklum, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilanjutkan sehingga 28 April 2020 sebagai mempertingkatkan usaha untuk memutuskan rantaian penularan COVID-19. Justeru, masih banyak premis perniagaan terpaksa terus ditutup, ini termasuklah bilik pameran.

    Walau bagaimana pun, ada beberapa pengeluar kenderaan memutuskan untuk melancarkan bilik pameran maya, sebagai cara untuk pelanggan boleh menempah kenderaan secara dalam talian. Ini termasuklah Edaran Tan Chong Motor Sdn. Bhd. (ETCM) yang turut mengambil inisiatif yang sama.

    ETCM lancar bilik pameran dalam talian Nissan

    Bagi pelanggan yang ingin menempah mana-mana model terkini Nissan, bolehlah melayari laman web rasmi syarikat tersebut di www.nissan.com.my, untuk mengetahui promosi terkini. Malahan laman web berkenaan telah dipertingkatkan dengan memperkenalkan bilik pameran dalam talian Nissan. Ia bertujuan membolehkan para pelanggan untuk menghantar borang tempahan secara dalam talian.

    Dalam tempoh 24 jam selepas borang tersebut dihantar, wakil jualan Nissan akan menghubungi pelanggan terbabit. Malah turut boleh membuat temujanji bagi sesi pandu uji selepas berakhirnya PKP. Menurut ETCM, semua urusan pendaftaran dan penghantaran kenderaan yang ditempah akan dilakukan selepas tamat PKP.

    Untuk maklumat lanjut mengenai perkara berkaitan, bolehlah terus melayari laman web rasmi Nissan atau pun menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Nissan di talian 1800-88-3838.

     
     
  • Sektor tambahan yang terpilih akan dibenarkan untuk mula beroperasi — termasuk industri automotif

    Sektor tambahan yang terpilih akan dibenarkan untuk mula beroperasi — termasuk industri automotif

    Petang tadi, di dalam ucapan berkaitan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hingga 28 April, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan, beberapa sektor tambahan akan dibenarkan untuk memulakan operasi mereka bertujuan untuk menggerakkan ekonomi negara.

    Terkini, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) telahpun mengedarkan pekeliling menjelaskan perkara itu dengan beberapa perincian lanjut. Menurut MITI, pihaknya telah memperhalusi sektor-sektor tambahan berkenaan dan menggariskan beberapa perkara yang melayakkan sektor berkenaan untuk beroperasi:

    • tahap kepentingannya di dalam rantaian bekalan global (global value chain atau GVC) dan eksport negara. Langkah ini adalah untuk menjamin kestabilan aktiviti eksport
    • aktiviti ekonomi sektor yang mempunyai gandaan nilai tambah (value-added multiplier) yang tinggi
    • impak ke atas kelangsungan PKS dalam sektor ekonomi khususnya pembuatan dan perkhidmatan
    • jumlah tenaga kerja yang terlibat

    Sektor tambahan yang terpilih akan dibenarkan untuk mula beroperasi — termasuk industri automotif

    Automotif merupakan antara sektor tambahan yang terlibat, tetapi hanya terhad kepada beberapa aktiviti utama seperti eksport unit siap pasang sepenuhnya – CBU, peralatan dan komponen, serta perkhidmatan selepas jualan, contohnya penyelenggaraan.

    Bagaimanapun, syarikat dalam sektor-sektor yang dinyatakan ini perlu membuat permohonan beroperasi kepada MITI bermula hari Isnin, 13 April 2020, dari jam 9.00 pagi. Semua permohonan perlu dibuat secara atas talian melalui laman www.miti.gov.my. Hanya permohonan yang menepati syarat dan lengkap sahaja akan diproses.

    Dan, syarikat-syarikat yang dibenarkan untuk beroperasi itu pula wajib mematuhi syarat-syarat Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan, termasuk syarat-syarat yang ditetapkan oleh KKM dan garis panduan oleh lain-lain agensi penguatkuasaan yang berkaitan dari semasa ke semasa. Sebarang perlanggaran peraturan berkenaan akan dikenakan tindakan undang-undang. Bagaimanapun, tempoh masa permohonan dan untuk memulakan operasi yang akan diberi kelulusan tidak dinyatakan.

    Sektor tambahan yang terpilih akan dibenarkan untuk mula beroperasi — termasuk industri automotif

    Sektor-sektor tambahan lain yang layak memohon untuk diberi kelonggaran operasi adalah:

    • Industri mesin dan peralatan
    • Industri aeroangkasa
    • Projek-projek pembinaan dan perkhidmatan berkaitan pembinaan
      (i) Projek di mana Kontraktor G1–G2 sebagai kontraktor utama
      (ii) Projek yang telah disahkan mencapai kemajuan fizikal 90% ke atas
      (iii) Kerja-kerja terowong
      (iv) Kerja-kerja penyelenggaraan
      (v) Kerja-kerja cerun
      (vi) Kerja-kerja kecemasan yang termaktub dalam perjanjian kontrak
      (vii) Kerja-kerja penyelenggaraan, pembersihan dan pengeringan air
      bertakung, penyemburan racun serangga di tapak bina bagi mengelakkan
      pembiakan nyamuk Aedes dan lain-lain haiwan perosak
      (viii) Kerja-kerja lain yang jika tidak disempurnakan boleh mendatangkan
      bahaya
      (ix) Projek bangunan dengan 70 IBS score ke atas
      (x) Projek pembinaan dengan fasiliti/ kemudahan tempat tinggal untuk pekerja
      seperti Kuarters Pekerja Berpusat atau kem pekerja
      (xi) Perkhidmatan profesional yang terlibat dalam industri pembinaan termasuk
      arkitek, jurutera perancang bandar, juru-ukur tanah, juru ukur bahan, pengurus projek, pengurus fasiliti dan lain-lain berkaitan.
    • Perkhidmatan sains, profesional dan teknikal termasuk penyelidikan dan pembangunan (R&D)
      – (hanya terhad kepada: perkhidmatan berkaitan guaman; perkhidmatan berkaitan minyak & gas; aktiviti-aktviti R&D berkaitan Covid-19; makmal- makmal ujian bagi sektor-sektor yang dibenarkan beroperasi sahaja.
    • Perkhidmatan kesihatan sosial termasuk perubatan tradisional yang berdaftar (hanya terhad kepada Traditional and Complementary Medicine or TCM practitioners)
    • Perkhidmatan kedai hardware, kedai barangan elektrik dan elektronik dan kedai cermin mata sahaja dalam pemborongan dan peruncitan
    • Perkhidmatan gunting rambut asas (gunting sahaja)
    • Perkhidmatan dobi (servis penuh dan bukan layan diri)
     
     
  • Polis korban masa dan bersengkang mata, masyarakat masih cipta pelbagai alasan untuk keluar dari rumah

    Polis korban masa dan bersengkang mata, masyarakat masih cipta pelbagai alasan untuk keluar dari rumah

    Walaupun pihak Polis DiRaja Malaysia bersengkang mata dan berkorban masa meninggalkan keluarga pada sebelah malam bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dipatuhi sepenuhnya, masih ada lagi segelintir masyarakat yang sengaja keluar dari rumah dengan alasan yang tidak munasabah, lapor wartawan Bernama yang menyertai operasi PKP dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai di sekitar daerah itu malam tadi.

    Operasi selama empat jam tersebut turut disertai oleh Ketua Polis Daerah Nilai Supt Mohd Nor Marzukee Besar, dan menurut beliau setakat ini pematuhan arahan PKP semakin baik dan telah mencapai 98 peratus, walau masih ada segelintir yang ingkar.

    Bernama mendapati segelintir individu bukan sahaja ingkar, malah ‘bijak’ mencipta 1001 alasan untuk tidak berada di kediaman masing-masing, meskipun jumlah mereka tidak begitu besar.

    Antara alasan yang diberikan ketika ditahan seperti baru pulang bekerja walau bukan tergolong dalam kumpulan perkhidmatan penting seperti yang digariskan kerajaan selain ada memberi alasan menguruskan restoran, sedangkan ketika itu jam menunjukkan pukul 10 malam, sudah melebihi waktu dibenarkan beroperasi iaitu hingga 8 malam sahaja.

    Polis korban masa dan bersengkang mata, masyarakat masih cipta pelbagai alasan untuk keluar dari rumah

    Ada juga memberi alasan keluar mengisi minyak kenderaan sedangkan stesen minyak diarah tutup pukul 8 malam sepanjang tempoh PKP malah ada juga yang berada di perhentian bas dengan alasan menunggu kawan.

    Walau bagaimanapun, tinjauan agensi berita tersebut bersama anggota polis di kawasan lot kedai, stesen minyak dan taman perumahan pula mendapati kebanyakan daripada mereka mematuhi sepenuhnya arahan PKP.

    “Pelbagai alasan yang tidak boleh diterima akal. Kita tidak boleh terima alasan tersebut dan kita terpaksa buat tangkapan terhadap orang yang melanggar perintah,” kata Marzukee. Setakat ini jumlah tangkapan dibuat IPD Nilai setakat ini adalah seramai 40 orang.

    Polis korban masa dan bersengkang mata, masyarakat masih cipta pelbagai alasan untuk keluar dari rumah

    Beliau turut merayu kepada masyarakat agar terus mematuhi PKP dan kekal di kediaman masing-masing. “Kita hendak rantaian COVID-19 ini cepat putus, kita kena ikut apa yang diarahkan oleh kerajaan…duduklah di rumah dan hanya keluar apabila keadaan yang memerlukan sangat… ini pesanan saya,” katanya.

    Sehingga petang ini, sebanyak 4,346 kes positif jangkitan Covid-19 ini dikesan, di mana 70-orang dari mereka sudah pun meninggal dunia kerana wabak ini. Jadi sangat penting untuk kita tidak keluar rumah bagi memutuskan rantaian jangkitan wabak tersebut.

    Hari ini masuk hari ke-24 PKP berlangsung, dan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi, PKP fasa dua yang sepatutnya akan berakhir 14 April ini telah dilanjutkan lagi dua minggu sehingga 28 April nanti.

     
     
  • Harga minyak 11-17 Apr – RON95 turun ke RM1.25, RON97 jadi RM1.55, diesel juga turun RM1.46

    Harga minyak 11-17 Apr – RON95 turun ke RM1.25, RON97 jadi RM1.55, diesel juga turun RM1.46

    Genap sebulan harga runcit bahan api utama di negara ini dilaporkan turut. Malah untuk minggu bertarikh 11 hingga 17 April 2020, Kementerian Kewangan telah memaklumkan, harga runcit petrol RON 95 turun sebanyak lima sen, menjadi RM1.25 seliter, berbanding RM1.30 seliter minggu sebelum ini.

    Sementara petrol RON 97 juga turun sebanyak lima sen, menjadi RM1.55 seliter, dari RM1.60 seliter minggu sebelum ini.

    Untuk diesel Euro 2M pula menyaksikan penurunan sebanyak 12 sen, kini RM1.46 seliter (sebelum ini RM1.58). Ini bermakna diesel Euro 5, lebih mahal 10 sen daripada diesel Euro 2M, iaitu RM1.56 seliter.

    Semua harga baharu ini efektif bermula 12 tengah malam ini sehingga Jumaat hadapan, 17 April 2020.

    Seperti faktor yang mendorong penurunan harga runcit bahan api ini, Kementerian Kewangan berkata, ia adalah disebabkan trend harga minyak mentah dunia tidak menentu ekoran ekonimi global yang meruncing akibat penularan wabak pandemik COVID-19. Walau bagaimana pun, kerajaan juga akan terus memantau kesan perubahan harga minyak mentah dunia serta mengambil langkah yang bersesuaian bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

     
     
  • Tempoh PKP dilanjutkan dua minggu, hingga 28 April

    Tempoh PKP dilanjutkan dua minggu, hingga 28 April

    Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan selama dua minggu lagi, bermula 15 hingga 28 April 2020. Ini selari dengan saranan WHO yang menggesa negara-negara seluruh dunia agar tidak menamatkan PKP dengan segera, dan berusaha membanteras wabak berkenaan secara menyeluruh.

    Walaupun statistik harian kes baru mereka yang dijangkiti Covid-19 beberapa hari sebelum ini menunjukkan sedikit penurunan dengan graf yang telah berjaya diratakan dan keadaan lebih stabil, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagaimanapun menjangkakan akan perlakunya gelombang ketiga penularan wabak ini yang berpunca daripada kelompok warga Malaysia yang kembali ke tanah air dalam waktu terdekat kebelakangan ini.

    Beberapa perkembangan terbaru dalam minggu ini juga menunjukkan keadaan dibanyak lokasi masih merbahaya dan belum reda. Ini dapat kita lihat daripada pergerakan oleh pihak berkuasa dan agensi kerajaan yang terlibat. Yang terbaru, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) turut mula membantu operasi PDRM dan tentera yang berlangsung ketika ini.

    Selain itu, jumlah jalan utama yang ditutup dan jumlah sekatan jalanraya yang dilakukan juga semakin bertambah. Di Petaling Jaya misalnya, lima jalan utama ditutup dalam tambahan terbaru itu dalam usaha untuk mengetatkan lagi pergerakan di kawasan terlibat.

    Tempoh PKP dilanjutkan dua minggu, hingga 28 April

    Jumlah mereka yang melanggar peraturan PKP juga semakin bertambah; mereka yang ditahan dan disabitkan dengan kesalahan itu juga boleh dikenakan kompaun RM1,000 yang bermula 8 April lalu. Denda berkenaan perlu dijelaskan dalam tempoh dua minggu, atau pesalah akan dihadapkan ke mahkamah. Semua ini boleh dibaca sebagai langkah-langkah untuk mengetatkan lagi kawalan, terutama bagi mereka yang masih berdegil dan tidak ambil serius tentang penularan wabak Covid-19 ini.

    Di Malaysia, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini mula dikuatkuasakan pada 18 Mac lalu. Fasa pertama yang sepatutnya tamat pada 31 Mac bagaimanapun dilanjutkan kepada fasa kedua dari 1-14 April 2020. Sepanjang tempoh berkenaan, semua hal-hal perkaitan keselamatan dan sebarang keputusan mengenainya di waktu-waktu luar biasa dan kecemasan seperti sekarang ini berada di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara (MKN).

    Sepanjang tempoh PKP, semua warga tidak dibenarkan untuk membuat sebarang pergerakan seperti kebiasaannya melainkan sekiranya ia melibatkan urusan-urusan penting – makanan, kesihatan dan urusan rami penting – sahaja. Memasuki fasa kedua, senarai perkhidmatan penting yang ada dihadkan kepada hanya 10 perkhidmatan sahaja.

     
     
  • Vyrus Alyen – suspensi seperti Bimota, enjin Ducati

    Vyrus Alyen – suspensi seperti Bimota, enjin Ducati

    Vyrus Motorcycle adalah sebuah syarikat pengeluar motosikal buatan khas premium yang berpusat di Remini, Itali. Pernah dikenali sebagai pengeluar motosikal paling pantas di dunia, Vyrus sekarang lebih menumpukan perhatian kepada penghasilan motosikal eksklusif yang menunjukkan kemampuan kejuruteraan dan rekaan mereka.

    Hasil terbaru syarikat ini dinamakan sebagai Alyen. Ia menampilkan rekaan futuristik tersendiri, dengan banyak garisan serta panel badan yang tajam. Kalau dilihat betul-betul dari hadapan pula ia mirip seperti Ducati Hypermotard atau MV Agusta Stradale, tetapi dengan tafsiran sendiri Vyrus.

    Perincian teknikal motosikal ini tidak didedahkan sepenuhnya, dan selain gambar serta beberapa video pembikinan, Vyrus cuma mengarahkan sesiapa yang berminat untuk mendaftar di laman web dan kemudian barulah akan dihubungi oleh pihak mereka.

    Motosikal keluaran Vyrus bukanlah murah dan melalui model yang dikeluarkan sebelum ini, harganya boleh mencecah ratusan ribu ringgit dan dijelaskan dengan penggunaan bahan-bahan serta kelengkapan yang berkualiti tinggi. Model Alyen ini contohnya menggunakan enjin v-twin 1,285 cc daripada Ducati, brek Brembo dan banyak bahagian gentian karbon termasuklah rim.

    Apa yang lebih menarik sebenarnya adalah suspensi, di mana pada bahagian ia menggunakan tetapan stereng hab tengah seperti motosikal Bimota. Sebenarnya Vyrus sebelum ini memang mempunyai kerjasama dengan Bimota tetapi suspensi yang digunakan oleh Vyrus adalah versi yang sudah dipertingkat lagi. Suspensi belakang juga agak unik, di mana kedudukan penyerapnya adalah melintang dan mempunyai beberapa penyambung ke lengan ayun.

     
     
  • Kompaun RM1,000 terhadap pesalah PKP mungkin dinaikkan jika masih ramai yang ingkar – Ismail Sabri

    Kompaun RM1,000 terhadap pesalah PKP mungkin dinaikkan jika masih ramai yang ingkar – Ismail Sabri

    Biar pun dua hari lalu, kerajaan telah mengumumkan individu yang mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan mula dikenakan kompaun sebanyak RM1,000, namun ternyata masih ramai yang memandang remeh penguatkuasaan ini.

    Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, kompaun tersebut mungkin rendah kerana masih ada yang ingkar perintah itu.

    Justeru, beliau berkata kerajaan mungkin akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berbincang dengan pihak Jabatan Peguam Negara jika perlu untuk menaikkan lagi denda, kompaun atau tempoh penjara yang boleh dikenakan.

    Kompaun RM1,000 terhadap pesalah PKP mungkin dinaikkan jika masih ramai yang ingkar – Ismail Sabri

    “Saya tidak tahu mengapa masih ramai ingkar PKP, tidak pasti. Kemungkinan juga kompaun RM1,000 itu terlalu rendah. Kalau kita lihat di luar negara, di Singapura misalnya mulai 17 April ini, hukuman pesalah pertama (PKP di Singapura) adalah 10,000 dolar Singapura, manakala kesalahan kedua 20,000 dolar Singapura,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Mengikut rekod yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN), sehingga semalam, sebanyak 392 kompaun PKP dikeluarkan, dengan 666 pesalah ditahan dan 263 daripadanya telah direman dan 11 lagi individu dibebaskan dengan jaminan.

    Mereka yang ingkar PKP didakwa mengikut Peraturan 6 dan 11 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

     
     
  • Menteri sahkan rempuhan di Tambak Johor adalah berita palsu, individu terlibat sudah dikenalpasti

    Menteri sahkan rempuhan di Tambak Johor adalah berita palsu, individu terlibat sudah dikenalpasti

    Anda ada terima atau sebar video yang menunjukkan sedang berlaku rempuhan beramai-ramai di Tambak Johor menerusi media-media sosial? Dalam sidang media harian Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi, beliau sendiri telah mengesahkan bahawa ia sebenarnya adalah berita palsu.

    Ismail menyatakan bahawa video yang menggambarkan seolah-olah rakyat Malaysia balik beramai-ramai di sempadan Malaysia-Singapura itu disebarkan oleh individu tidak bertanggung jawab, dan menurut Jabatan Imigresen, ia sebenarnya adalah video lama bertarikh 18 Disember 2018, di mana ketika itu Jabatan Bomba sedang menjalankan latihan pencegahan kebakaran.

    Beliau turut menyebut, kerajaan menerusi Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) memandang serius berkenaan penyebaran berita palsu yang boleh mencetuskan suasana panik ini. Ujarnya lagi, PDRM telah pun mengenal pasti individu-individu yang terlibat dan tindakan undang-undang akan diambil.

    Menteri sahkan rempuhan di Tambak Johor adalah berita palsu, individu terlibat sudah dikenalpasti

    “Sesiapa sahaja yang terlibat dengan penyebaran berita palsu ini tidak akan terlepas begitu sahaja walau apa kedudukan mereka sekalipun,” tegasnya.

    Terdahulu, Ismail turut memaklumkan bahawa sehingga semalam, PDRM dan juga SKMM telah membuka sebanyak 207 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu Covid-19. Dari jumlah teresebut, 27-kes telah didakwa di mahkamah.

     
     
  • Polis PJ dibantu FRU dalam sekatan jalan raya Op COVID-19; masih ramai bagi alasan remeh – KP IPD

    Polis PJ dibantu FRU dalam sekatan jalan raya Op COVID-19; masih ramai bagi alasan remeh – KP IPD

    Mulai hari ini, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menerima bantuan daripada Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) untuk penugasan sekatan jalan raya Op COVID-19 sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Nik Ezanee Mohd Faisal, seramai 80 anggota dan empat pegawai FRU ditempatkan di daerah itu.

    “Kami telah menggunakan kekuatan maksimum melibatkan 930 anggota dan pegawai. Pertambahan dua lagi sekatan jalan raya di daerah ini, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak sembilan sekatan, juga memerlukan kami untuk mendapatkan kekuatan tambahan daripada FRU,” ujarnya seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

    Tambahnya lagi, pihaknya juga bercadang untuk melaksanakan duty point atau pos kawalan bergerak bagi menempatkan peronda pejalan kaki di lokasi tertentu di daerah ini.

    Polis PJ dibantu FRU dalam sekatan jalan raya Op COVID-19; masih ramai bagi alasan remeh – KP IPD

    “Rancangan itu masih di peringkat kajian dari segi kekuatan anggota, logistik dan kawasan yang sesuai,” katanya.

    Beliau turut memaklumkan, sembilan kompaun telah dikeluarkan bagi Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 (Akta 324) di daerah ini semalam.

    “Semua sembilan individu berkenaan membabitkan warga tempatan dikenakan tindakan kompaun RM1,000 selepas memberi alasan remeh termasuk berkumpul bersama rakan, dan menghantar barang selepas pukul 10 malam,” katanya.

    Polis PJ dibantu FRU dalam sekatan jalan raya Op COVID-19; masih ramai bagi alasan remeh – KP IPD

    Mulai 8 April lalu, PDRM telah menguatkuasakan tindakan kompaun sebanyak RM1,000 terhadap individu yang mengingkari PKP.

    Menurut Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani, kompaun terbabit tidak akan diberikan dalam sekatan jalan raya, sebaliknya pesalah PKP ini akan dibawa ke balai polis dan barulah kompaun terbabit diserahkan. Manakala bayaran kompaun perlu diselesaikan dalam tempoh dua minggu selepas tarikh ia dikeluarkan di mana-mana pejabat Kementerian Kesihatan atau pun balai polis berhampiran.

    Manakala semalam pula, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, kerajaan telah memutuskan supaya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membantu PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam melaksanakan sekatan jalan raya di seluruh negara sehingga tamat PKP.

     
     
  • Kompaun RM1k ingkar PKP perlu dijelaskan dalam 2 minggu, akan dihadapkan ke mahkamah jika gagal

    Kompaun RM1k ingkar PKP perlu dijelaskan dalam 2 minggu, akan dihadapkan ke mahkamah jika gagal

    Dalam sidang media harian berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlangsung semalam, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa kompaun RM1,000 yang dikenakan terhadap mereka yang ingkar arahan PKP perlu dijelaskan dalam masa dua minggu, lapor Bernama.

    “Mereka akan diberi tempoh selama dua minggu untuk bayar kompaun yang dikenakan,” katanya dan menjelaskan bahawa kompaun RM1,000 tersebut perlu dibayar di pejabat kesihatan daerah atau balai polis berdekatan. Menteri berkenaan turut menegaskan bahawa mereka yang gagal membayar kompaun dalam tempoh diberikan akan dihadapkan ke mahkamah.

    Kompaun RM1k ingkar PKP perlu dijelaskan dalam 2 minggu, akan dihadapkan ke mahkamah jika gagal

    Menurutnya lagi, pada hari pertama kompaun tersebut dikuatkuasakan, sebanyak 95 notis kompaun telah dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu yang ingkar PKP.Berkenaan kadar pematuhan PKP pula, ia kini berada pada tahap 97 peratus.

    Pada 8 April, sebanyak 769 sekatan jalan raya dijalankan di seluruh negara, melibatkan pemeriksaan ke atas 433,988 kenderaan. Seramai 300 individu telah di tahan di sekatan jalan raya dan rondaan PDRM kerana melanggar PKP, menurun 34 peratus berbanding 454 tangkapan pada hari sebelumnya.

     
     
  • Audi buat cabaran Four Rings di media sosial, Mercedes-Benz balas dengan aksi donut AMG C 63

    Sementara banyak negara di dunia ini melaksanakan perintah berkurung, Audi telah mengajak peminatnya menunjukkan kreativiti dengan memuat naik intrepretasi mereka terhadap empat gelung yang sudah menjadi tanda unik jenama itu (seperti pada logonya).

    Audi juga telah mengumpul beberapa penyertaan awal cabaran yang dipanggil sebagai #FourRingsChallenge ini dan memuat naiknya sebagai satu video. Ramai juga yang menyertainya, dan semakin hari semakin banyak muat naik yang dibuat menggunakan hashtag tersebut.

    Menariknya, cabaran Audi ini bukan sahaja disahut oleh orang ramai, tetapi juga pesaing dekat mereka iaitu Mercedes-Benz. Sudah tentu, video yang dinaikkan oleh Mercedes-Benz bukanlah biasa-biasa seperti menyusun bawang atau makanan, tetapi mereka menunjukkan AMG C 63 melakukan aksi donut.

    Pusingan donut itu menghasilkan kesan tayar di atas jalan dan selepas semua asap hilang, ia akhirnya menghasilkan empat gelung bersambung seperti logo Audi. Ia dinaikkan bersama ayat yang setelah diterjemah, berbunyi seperti, “Hey Audi, cabaran #FourRingsChallenge diterima! Memandangkan kita mempunyai semangat yang sama, ini adalah sumbangan kreatif kami. Kami harap anda suka dan boleh tunjuk pula tulisan tangan anda.”

     
     
  • Yamaha Thailand sumbang 100 motosikal kepada pekerja kesihatan negara itu – jumlah cecah RM791k

    Yamaha Thailand sumbang 100 motosikal kepada pekerja kesihatan negara itu – jumlah cecah RM791k

    Di Thailand, pengeluar dan pengedar motosikal Yamaha di negara itu telah menyumbangkan sebanyak 100 buah motosikal kepada kementerian kesihatan untuk diagihkan kepada petugas kesihatan di 77 daerah dalam negara itu.

    Ini adalah bagi memudahkan pergerakan mereka waktu menangani pandemik Covid-19 ini, dengan tugas-tugas seperti mengesan pesakit, menghantar ubat kepada pesakit dan pelbagai lagi. Dengan motosikal ini juga, pergerakan mereka dapat menjadi lebih pantas dan cekap.

    Model yang disumbangkan kebanyakannya adalah skuter, dengan model-model seperti Fino, Freco, Aerox dan Finn. Jumlah keseluruhannya adalah sekitar 6 juta baht (RM791k). Kesemua motosikal tersebut diserahkan terus kepada timbalan perdana menteri dan menteri kesihatan negara itu semalam.

     
     
  • Lampu automatik kini menjadi mandatori di Jepun

    Lampu automatik kini menjadi mandatori di Jepun

    Menurut laporan oleh Driving Vision News, semua pengeluar kereta kini diwajibkan untuk memasang lampu utama automatik pada semua kenderaan baharu yang dipasarkan di Jepun, sekaligus menjadi negara pertama di dunia yang menjadikannya sebagai mandatori. Penguatkuasaan baharu ini disebabkan beberapa kes pejalan kaki dan penunggang basikal di kalangan warga emas yang dilaporkan terlibat dengan kemalangan jalan raya pada waktu senja kerana kebanyakan pemandu tidak menghidupkan lampu utama kenderaan mereka.

    Langkah ini mewajibkan lampu utama pada kereta baharu dengan fungsi automatik bermula pada 1 April 2020, sementara model yang telah diperkenalkan sebelum tarikh berkenaan, masih dibenarkan untuk dijual tanpa lampu automatik sebelum Oktober 2021. Selain itu, bas dengan lebih 11 tempat duduk dan trak melebihi berat 3.5 tan juga perlu mengikut mandat berkenaan bermula April 2021. Sementara semua bas dan trak pula mulai Oktober 2023.

    Ciri ini kemudiannya akan menjadi lanjutan pada jenis lampu automatik sedia ada pada sesebuah model, kerana secara automatiknya akan menyala apabila tahap pencahayaan ambien berada pada atau di bawah tahap tertentu, tidak kira sama ada pemandu menghidupkannya atau pun tidak.

    Mandat ini menepati piawaian UN Regulation 48, yang menyatakan lampu utama perlu dihidupkan antara dua saat apabila tahap pencahayaan ambien kurang daripada 1,000 lux – iaitu lebih kurang 15 minit sebelum matahari terbenam ketika hari cerah. Atau pun, apabila pencahayaan ambien mencapai 7,000 lux, lampu utama tersebut akan menyala secara automatik antara lima hingga 300 saat.

    Pemandu di Jepun perlu untuk mematuhi peraturan baharu ini; mengikut adat tempatan, lebih sopan jika pemandu mematikan lampu utama dan hanya menggunakan lampu posisi apabila menunggu di persimpangan lampu isyarat. Walau bagaimana pun, jika pemandu terlupa untuk menyalakan lampu hadapan sebaik sahaja lampu isyarat bertukar hijau, ada yang percaya mereka masih boleh melihatnya walau pun keadaan kian gelap.

     
     
  • Jacob & Co. Bugatti Chiron Tourbillon – jam tangan dengan enjin W16 yang bergerak di dalam, RM1.2 juta!

    Jacob & Co. Bugatti Chiron Tourbillon – jam tangan dengan enjin W16 yang bergerak di dalam, RM1.2 juta!

    Seumur hidup anda, jam tangan apa yang anda rasa paling tak masuk akal? Cuba bandingkan dengan jam baru dari Jacob & Co yang dibuat untuk Bugatti ini – seperti namanya, Bugatti Chiron Tourbillon, ia adalah jam yang dihasilkan berdasarkan hypercar Bugatti Chiron, dan ia mempunyai enjin W16 yang bergerak di dalamnya!

    Tekan butang di bawah jam tersebut, anda boleh lihat dengan jelas bagaimana kesemua 16 omboh dalam blok enjin W berkenaan bergerak dengan lancar, bahkan ia turut dihubungkan kepada satu aci engkol yang berputar di tengah, bersama sepasang turbin dengan kipas yang turut berpusing.

    Enjin jam bersama replika enjin Chiron tersebut duduk di dalam perumah yang diperbuat dari kristal Sapphire, dan ia kelihatan seperti disokong oleh empat “penyerap hentak” pada setiap sudut. Ia juga diberikan satu tolok seakan penunjuk aras bahan api, tetapi sebenarnya ia berfungsi sebagai penunjuk aras kuasa bateri yang boleh bertahan selama 60-jam.

    Harganya? Seutas jam tangan ini dijual pada harga US$280,000 atau sekitar RM1.2 juta! Kita mungkin rasa mahal dan tak masuk akal, tapi bagi mereka yang mampu beli Bugatti Chiron yang berharga RM12 juta, apalah sangat RM1.2 juta tu kan?

     
     
  • Proton hasilkan PPE untuk pejuang barisan hadapan

    Proton hasilkan PPE untuk pejuang barisan hadapan

    Selain dari memberikan bantuan logistik dengan memberikan 50 unit Proton X70 untuk digunaka petugas kesihatan yang sedang berperang dengan wabak Covid-19, Proton dengan kelengkapan pengilangannya di Shah Alam kini akan menghasilkan 60,000 pelindung muka, iaitu komponen penting Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) untuk membantu tugas barisan hadapan negara.

    Menurut Proton, operasi pengeluaran dijangka akan bermula pada 13 April ini, di mana peralatan tersebut akan dihasilkan oleh kakitangan syarikat secara sukarela. Proton menyasarkan untuk menghasilkan sebanyak 60,000 pelindung muka berkenaan dalam tempoh kira-kira 20 hari.

    “Sebagai sebuah jenama automotif kebangsaan, usaha Proton ini didorong oleh tanggungjawabnya untuk membangunkan industri kereta tempatan dan juga untuk menyokong negara dan rakyat Malaysia sekiranya mereka memerlukan sebarang bantuan”, kata Dato’ Radzaif Mohamed, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton.

    “Syarikat mempunyai kepakaran untuk menghasilkan kereta jadi kami menggunakan kelebihan tersebut untuk menghasilkan peralatan PPE dalam usaha menyokong wira-wira barisan hadapan negara dalam membendung penyebaran COVID-19.

    “Pelindung muka yang dihasilkan akan dihantar secara berperingkat dan kami akan bekerjasama rapat dengan pihak Kementerian untuk mengedarkan peralatan tersebut mengikut tahap keperluan di setiap daerah,” tambahnya lagi.

    Menurut jenama automotif nasional itu lagi, mereka telah telah mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa untuk membenarkan sekumpulan kecil kakitangannya bekerja dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghasilkan pelindung muka tersebut di Shah Alam. Pergerakan dan waktu kerja mereka akan dipantau untuk memastikan mereka mematuhi peraturan ditetapkan.

    “Bagi memastikan Syarikat mematuhi peraturan PKP, PROTON telah mengehadkan bilangan kakitangan yang terlibat dalam proses pengeluaran tersebut. Keselamatan mereka adalah penting, jadi kami akan mengamalkan jarak sosial dan melakukan sanitasi setiap masa di kawasan pengeluaran peralatan tersebut,” jelas Dato’ Radzaif.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated May 02, 2024