Search in Bahasa Malaysia:

Proton S70 - Sedan segmen C tapi harga Vios?



Artikel Terkini

  • Proton Putra WRC – mitos yang pernah wujud

    Proton Putra WRC – mitos yang pernah wujud

    Walaupun boleh dianggap muda berbanding pengeluar-pengeluar kereta yang lain dari seluruh dunia, Proton diakui mempunyai warisan sejarah sukan permotorannya tersendiri. Mungkin pada awal kewujudannya banyak berkongsi teknologi dengan Mitsubishi, Proton mempunyai DNA yang begitu kuat dalam disiplin rali.

    Petronas EON Racing Team (PERT) adalah entiti yang bertanggungjawab untuk membangunkan jenama Proton sebagai satu kuasa besar dalam dunia rali, khususnya di rantau Asia Pasifik. Pasukan tersebut telah membina pelbagai jentera rali dari Saga generasi pertama, sehingga ke era Proton Waja.

    Pelbagai jentera hebat telah dihasilkan oleh pasukan tempatan ini dengan bantuan teknikal Mitsubishi Ralliart, antaranya Proton Saga Group S yang dijana oleh enjin 4G63T berkuasa lebih dari 300 hp. Malah dengan pasukan ini juga, pemandu rali lagenda negara, Karamjit Singh telah bergelar juara Rali Asia Pasifik (APRC) pada tahun 2001, 2002 dan 2004. Malah pada tahun 2002, Karamjit turut menempa sejarah setelah dinobatkan sebagai Juara Kejohanan Rali Dunia (WRC) dalam kategori Group N atau dikenali juga sebagai kelas Produksi.

    Proton Putra WRC – mitos yang pernah wujud

    Namun tahukah anda, Proton sebenarnya pernah cuba untuk menyertai kategori utama dalam WRC bagi memberikan saingan terus kepada pasukan seperti Subaru World Rally Team (SWRT) dan Mitsubishi Ralliart? Proton Putra yang anda lihat ini (gambar ehsan dari laman Facebook Jay’s Speed-graphy) adalah hasil dari percubaan tersebut, namun ia tidak pernah sempat untuk berlumba.

    Tidak ada dokumentasi lengkap berkenaan kereta ini, tetapi dipercayai ia telah dibina sekitar tahun 1997-1998 oleh pihak sama yang bertanggungjawab mengendalikan SWRT iaitu Prodrive dari Banburry, UK. Mengapa tiba-tiba Proton mahu ke WRC?

    Untuk pengetahuan anda, selepas rali Group B diharamkan pada penghujung 1986 setelah berberapa orang penonton dan pemandu yang terkorban kerana kereta-kereta yang bertanding terlalu berkuasa, FIA telah menggantikan kelas berkenaan dengan kelas Group A sebagai kategori tertinggi dalam WRC.

    Proton Putra WRC – mitos yang pernah wujud

    Secara asas, Group A ini merupakan kelas ‘Production Modified‘, atau katagori di mana pasukan yang bertanding perlu menggunakan kereta-kereta produksi sebenar yang dijual di bilik pameran, dan kemudian diubahsuai mengikut had-had yang telah digariskan dalam undang-undang.

    Atau secara spesifiknya, FIA menetapkan bahawa mana-mana pengeluar yang mahu bertanding dalam WRC, mestilah menghasilkan sekurang-kurangnya 5,000 unit versi produksi ‘homologation special’ (kemudian diturunkan hanya 2,500 unit pada tahun 1993) menggunakan enjin, sistem pacuan dan rupa luaran yang sama dengan kereta yang mahu digunakan pada perlumbaan sebenar, seperti Mitsubishi Lancer Evolution dan Subaru Impreza WRX.

    Walau bagaimanapun, Group A hanya bertahan sehingga tahun 1996. FIA mahukan kereta yang lebih berkuasa tanpa sekatan-sekatan tertentu dan memudahkan banyak pengeluar lain untuk menyertai WRC. Oleh itu, bermula pada 1997 undang-undang WRCar mula diperkenalkan dan bertahan sehingga sekarang.

    Menerusi undang-undang WRCar ini, tidak ada lagi syarat homologasi produksi seperti Group A diperlukan. Jadi pengeluar bebas untuk menggunakan kerangka asas sebuah kereta produksi, dengan teknologi prototaip pada jentera lumba mereka. Secara tidak langsung, ini memberikan peluang buat Proton untuk pergi lebih jauh dalam saingan WRC.

    Walaupun model produksi Proton Putra hanya dijana enjin 4G93 1.8 liter NA pacuan roda hadapan, undang-undang WRCar membolehkan kereta tersebut disuap dengan pengecas turbo serta diberikan sistem pacuan empat roda, dan yang paling penting tiada model ‘homologation special’ perlu dihasilkan Proton untuk dijual ke pasaran.

    Oleh itu, Prodrive telah menala enjin 4G93T 1.8 liter (mungkin sesarannya telah ditingkatkan kepada 2.0 liter bagi memenuhi undang-undang WRCar) turbo berkenaan bagi menghasilkan sekitar 300 hp, dan memandankan kotak gear sequential enam-kelajuan dari Hewland, serta sistem pacuan empat roda sepenuh masa kepada Putra WRC ini.

    Seperti kereta-kereta WRCar lain pada zaman tersebut, badan Putra ini dilebarkan lagi bagi membolehkan sistem suspensi dengan geometri lebih mesra rali dipadankan serta memenuhi dimensi maksima yang dibenarkan undang-undang. Ia turut menerima sistem brek perlumbaan dari AP Racing, serta rim O.Z Racing berdiameter 18-inci, dibaluti tayar rali tarmac Pirelli P-Zero.

    Prodrive turut mereka semula bampar hadapan, memberikan liang udara pada bonet, skup kemasukan udara pada bumbung dan juga spoiler belakang bersaiz besar. Secara keseluruhan, rupa Putra WRC ini seakan sebuah lagi jentera sentuhan Prodrive iaitu Subaru Impreza WRC 1997.

    Pada bahagian dalaman, Prodrive memadankan rollcage penuh, tempat duduk bucket perlumbaan bersama tali pinggang keledar lima-poin, roda stereng perlumbaan Sparco, pedal box, tuil brek tangan rali, komputer trip, serta kemasan-kemasan gentian karbon sebenar.

    Tidak diketahui mengapa Proton tidak meneruskan projek Putra WRC ini, dan selepas itu juga ia seakan dirahsiakan oleh Proton sendiri. Seperti biasa, pasti ada khabar angin bertiup selepas projek tersebut dihentikan.

    Ada desas-desus mengatakan bahawa Prodrive tidak mengaku telah menghasilkan Putra WRC berkenaan. Tidak hairanlah kerana mereka mempunyai jalinan kerjasama yang telah lama dengan Subaru, dan projek ini mungkin akan mendatang konflik antara mereka.

    Terdapat juga khabar angin yang agak merepek iaitu Prodrive telah menjual ‘blueprint’ Putra WRC ini kepada Subaru untuk menghasilkan Impreza WRC setelah Proton tidak bersetuju untuk meneruskan projek tersebut.

    Kenapa merepek? Kerana Impreza dan Putra merupakan dua buah kereta yang berbeza dari segenap sudut walaupun rupanya hampir sama, tidak mungkin boleh berkongsi satu blueprint yang sama. Dan untuk pengetahuan anda, Subaru Impreza WRC 1997 adalah kereta pertama di dunia yang memenuhi undang-undang WRCar, dan pembinaannya telah bermula seawal bulan Februari 1996.

     
     
  • Citroen 19_19 Concept dapat inspirasi dari kapal terbang, ruang tamu – tork 800 Nm, boleh pergi 800 km

    Citroen 19_19 Concept dapat inspirasi dari kapal terbang, ruang tamu – tork 800 Nm, boleh pergi 800 km

    Selepas menayangkan Ami One Concept Februari lalu, Citroen sekali lagi mahu menunjukkan kemampuan mereka dengan mendedahkan sebuah lagi kereta konsep yang dinamakan sebagai 19_19 Concept. Seperti yang anda boleh lihat, kereta konsep ini mempunyai saiz yang lebih besar, dipanggil oleh Citroen sebagai UFO sebenar dalam sektor automotif.

    Sudah tentu, sebagai sebuah kereta konsep, ia lebih sebagai pameran teknologi dan rekaan yang mungkin boleh digunakan pada masa hadapan, dan hampir semua bahagiannya mempunyai keistimewaan tersendiri. Untuk bahagian luar, ia banyak mendapat inspirasi daripada sektor penerbangan.

    Sebab itulah bahagian badan utama kenderaan mempunyai bentuk bujur seperti kabin kapal terbang, sementara bahagian roda yang dibangunkan bersama dengan Goodyear menampilkan rekaan bersepadu rim 30 inci dan tayar 255/30. Walaupun menggunakan tayar yang nipis, rekaan khas dengan lengkuk roda yang terasing daripada badan serta suspensi istimewa, keselesaan dalam kenderaan ini dapat dijamin.

    Bahagian dalam pula dijadikan seperti ruang santai. Ada empat tempat duduk yang disediakan, dan pintu dibuka secara suicide untuk memudahkan keluar masuk kenderaan. Istimewanya berkenaan pintu belakang yang berwarna biru itu, penumpang di dalam boleh melihat suasana di luar, tetapi orang di luar tidak boleh melihat penumpang di dalam.

    Bahagian kawalan untuk pemandu adalah minimal kerana ini adalah sebuah kereta yang mempunyai kemampuan bergerak sendiri dan stereng serta pedal itu juga boleh menyorok sendiri untuk memberi lebih ruang bergantung kepada mod pemanduan. Di atas papan pemuka, terdapat satu botol silinder yang sebenarnya adalah pembantu persendirian pintar (PA) yang boleh berhubung dengan orang di dalam kenderaan dan melakukan pelarasan.

    Disebabkan badannya yang besar dan panjang, Citroen 19_19 Concept dapat dilengkapkan dengan pakej bateri yang besar, iaitu 100 kWh, berserta dua motor elektrik yang terletak satu untuk setiap gandar, menghasilkan sistem pacuan empat roda. Kuasa yang mampu dihasilkan adalah sebanyak 340 kW dan 800 Nm tork, manakala untuk jarak, ia boleh pergi sehingga 800 km di bawah protokol WLTP.

     
     
  • Pas perjalanan tanpa had My100, My50 tingkatkan jumlah penumpang sehingga 14% – CEO Prasarana

    Pas perjalanan tanpa had My100, My50 tingkatkan jumlah penumpang sehingga 14% – CEO Prasarana

    Sejak diperkenalkan pada Januari lalu, pas perjalanan tanpa had My100 dan My50 telah berjaya menarik lebih ramai pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana). Ini terbukti dengan jumlah peningkatan pengguna sehingga 14% sekaligus membuktikan pas bulanan terbabit berjaya menggalakkan lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam di Lembah Klang termasuk Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas.

    Memetik laporan Berita Harian, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berkata lebih 120,000 pengguna sudah mendaftar sebagai pengguna pas bulanan My100 dan My50, dengan Prasarana kini mengendalikan lebih 1.2 juta pengguna setiap hari bagi semua pengangkutan awam dikendalikan syarikat itu.

    “Jumlah pengguna untuk perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana meningkat sebanyak 14 peratus setelah kita perkenalkan My100 dan My50 pada Januari lalu. Perkhidmatan paling ketara yang mengalami peningkatan pengguna adalah untuk MRT yang menyaksikan lonjakan jumlah pengguna sehingga 31%. Berdasarkan maklumat itu, kita rasakan pas bulanan ini popular dalam kalangan pengguna MRT,” katanya kepada pemberita semalam.

    Langganan bagi pas ini boleh dibuat menggunakan MyKad, MyKid dan MyTentera di kiosk dan fungsi Touch and Go bagi memastikan perkhidmatan itu hanya dinikmati oleh rakyat Malaysia sahaja. Menerusi pas My100, pelanggan boleh menikmati semua perkhidmatan rel dan bas RapidKL termasuk Transit Aliran Massa ( MRT), LRT, Monorel, transit aliran bas BRT Sunway, bas RapidKL dan bas pengantara MRT tanpa had dalam tempoh 30 hari dengan hanya RM100.

    Bagi pas My50 pula, penumpang boleh menaiki semua bas RapidKL dan bas pengantara MRT (tidak termasuk BRT) tanpa had sepanjang 30 hari dengan bayaran RM50.

     
     
  • Suzuki SV650X masuk pasaran Malaysia – RM44,800

    Suzuki SV650X masuk pasaran Malaysia – RM44,800

    Walaupun nampak seperti sudah lesu dalam pasaran, Suzuki Malaysia sebenarnya masih lagi beroperasi dan cuma memberi tumpuan kepada model berkapasiti tinggi yang diimport terus (CBU). Antara yang paling baru tiba di Malaysia adalah SV650X. Harga jualan asas yang dikeluarkan adalah RM44,800.

    SV650X sebenarnya menggunakan asas daripada SV650 biasa yang juga dikenali sebagai Gladius di beberapa negara, tetapi bentuk luarnya dijadikan lebih kepada sebuah cafe racer. Antara bahagian yang berbeza adalah panel lampu hadapan, panel di tepi tangki minyak, tempat duduk dengan jahitan bertekstur dan penutup tempat duduk belakang.

    Untuk enjin, ia masih lagi menggunakan unit dua silinder 645 cc DOHC yang berkuasa 75 hp dan 64 Nm tork, dipadankan bersama kotak gear enam kelajuan. Untuk bahagian meter, ia menggunakan panel LCD yang memaparkan segala informasi penting motosikal.

    Motosikal ini dilengkapi dengan rim 17 inci bersama tayar 120/70 di hadapan dan 160/60 di belakang, manakala untuk suspensi bahagian hadapan menggunakan fork teleskopik biasa dan di belakang menggunakan monoshock. Kuasa membrek datang daripada tetapan cakera berkembar 290 mm serta angkup dua piston di hadapan manakala di belakang terdapat cakera 240 mm dengan angkup satu piston. Kedua-duanya disambung dengan sistem ABS>

    Perincian lain untuk SV650X adalah termasuk berat 198 kg, tangki bahan api 14.5 liter, tinggi 790 mm dan jarak roda 1,445 mm. Ia tiba di Malaysia dalam dua warna iaitu Glass Sparkle Black/Pearl Glacier White dan Glass Sparkle Black/Metallic Grey

     
     
  • Ditanya berjuta kali berkenaan Toyota Supra A90 manual, ini jawapan ketua Jurutera Tetsuya Tada

    Ditanya berjuta kali berkenaan Toyota Supra A90 manual, ini jawapan ketua Jurutera Tetsuya Tada

    Ketua jurutera pembangunan Toyota Supra A90, Tetsuya Tada mendakwa beliau telah ditanya sebanyak “100 juta kali” di seluruh dunia berkenaan adakah Supra generasi baharu ini akan dilengkapi dengan transmisi manual pada masa akan datang? Soalan ini telah ditanya sejak sebelum Supra A90 didedahkan secara rasmi lagi, namun kali ini apa bila ditanya soalan sama oleh DriveTribe ketika model berkenaan dilancarkan di Eropah, jawapan Tada sedikit berbeza.

    “Orang ramai perlu terlebih dahulu mencuba kotak gear automatik ini. Tetapi perlu mengujinya dengan minda yang terbuka. Jika telah memandunya dan orang ramai masih mahukan manual, sudah tentu sebagai sebuah kereta sport normal ia akan dikemaskini setiap tahun – dan kami akan memperkenalkannya,” kata Tada.

    Menurutnya, sebelum ini ada sebuah laman web yang membuat undian bagi bertanyakan orang ramai apa yang mereka mahu ada pada Supra A90, dan transmisi manual sentiasa berada pada senarai permintaan tertinggi. Jadi selepas kereta tersebut didedahkan, Tada mahu orang ramai mencubanya dahulu kemudian berikan semula respon sama ada mereka masih mahukan kotak gear manual atau tidak.

    “Kami akan mempertimbangkannya dan ia sudah pun diuji,” jelas Tada. Sebelum ini, pembantu ketua jurutera Masayuki Kai juga pernah mendedahkan bahawa Supra A90 dengan kotak gear manual sebenarnya sudahpun dihasilkan dan ia dari versi pemanduan sebelah kanan.

    “Ia masih belum diputuskan [pengenalan transmisi manual], dan ia akan bergantung kepada maklum balas dari pasaran, kami akan membuat keputusan adakah kami patut memperkenalkan transmisi manual,” kata Kai.

    Toyota Supra generasi kelima ini mendapat pelbagai reaksi dari seluruh dunia kerana ia berkongsi platform dan enjin yang sama dengan BMW Z4. Walau bagaimanapun, dunia ubahsuai di Jepun sendiri nampaknya tidak ada masalah untuk menerima kehadiran kereta sport tersebut.

    Awal tahun ini, dua buah Supra A90 telahpun diubahsuai bagi digunakan dalam kejohanan drift D1GP Jepun. Manakala tuner ‘otai’, HKS bersama ikon Supra JZA80, Manabu ‘Max’ Orido juga sudah mula menguji berberapa peralatan prestasi aftermarket untuk Supra generasi baharu tersebut.

     
     
  • Engine of the Year 2019 – Ferrari dinobat sebagai juara

    Engine of the Year 2019 – Ferrari dinobat sebagai juara

    Ferrari sekali lagi dinobat sebagai International Engine of the Year (IEOTY) dengan unit F154 CB/CD bagi tahun 2019. Ini merupakan kali ketiga berturut-turut enjin 3.9 liter turbo berkembar V8 berkenaan merangkul gelaran yang sama.

    Sepanjang 21 tahun sejarah penganjuran anugerah berkenaan, enjin Ferrari ini berkongsi “takhta” yang sama diangkat sebagai pemenang untuk IEOTY sebanyak tiga kali. Satu lagi enjin yang memegang rekod sama ialah unit Ford EcoBoost 1.0 liter, bagi tahun 2012-2014.

    Enjin Ferrari berkenaan, seperti yang digunakan pada 488 GTB dan 488 Spider dalam versi CB serta pada 488 Pista dan F8 Tributo dalam bentuk CD, menerima 425 mata untuk mengatasi unit janakuasa elektrik Jaguar Land Rover (328 mata) yang digunakan pada model I-Pace dan unit M178 4.0 liter V8 Mercedes-AMG (280 mata).

    Engine of the Year 2019 – Ferrari dinobat sebagai juara

    Enjin dari pengeluar Itali itu juga turut memenangi kategori enjin dengan prestasi terbaik dan 650 PS ke atas terbaik, sama seperti tiga anugerah yang diraih tahun lalu. Sedikit perubahan untuk tahun ini, keseluruhannya terdapat 12 kategori yang dipertandingkan, dengan kelas yang ada diperkemas untuk mengambil kira janaan output berbanding hanya kapasiti enjin yang dinilai.

    Bagi kategori di bawah 150 PS, enjin Ford EcoBoost 1.0 liter muncul juara mengatasi enjin B38 BMW 1.5 liter tiga-silinder turbo dan enjin PSA Peugeot melalui Citroen 1.2 liter tiga-silinder turbo. Bagi segmen 150 PS hingga 250 PS pula, Audi menyandang gelaran teratas melalui enji 2.0 liter TFSI, yang turut digunakan oleh pelbagai model di bawah Volkswagen Group.

    Pemenang bagi kategori 250 PS hingga 350 PS pula ialah unit 2.5 liter turbo oleh Porsche, yang digunakan pada model seperti Boxster S dan Cayman S, sementara kategori 350 hingga 450 PS menjadi milik Jaguar Land Rover melalui janakuasa elektrik sepenuhnya yang dipertaruhkan, yang turut merangkul anugerah Enjin Baru dan Enjin Elektrik Terbaik.

    Engine of the Year 2019 – Ferrari dinobat sebagai juara

    Mercedes-AMG M178 pula mengungguli anugerah bagi 450 PS hingga 550 PS, mengatasi Porsche dan BMW. Sementara itu bagi segment 550 PS hingga 650 PS pula Ferrari sekali lagi meraih kemenangan melalui satu lagi variasi bagi unit F154, unit BB yang digunakan pada Portofino dan GTC4Lusso T.

    Enjin hibrid terbaik pula menjadi milik BMW, melalui sistem yang ditampilkan pada BMW i8; menggunakan unit 1.5 liter tiga-silinder yang sama, tetapi dengan tetapan K15 yang berbeza.

     
     
  • Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena Raya pada 24 Mei-2 Jun ini

    Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena Raya pada 24 Mei-2 Jun ini

    Meneruskan tradisi bagi setiap musim perayaan utama, Puspakom Sdn Bhd, sekali lagi menganjurkan kempen Pemeriksaan Kenderaan Secara Sukarela percuma kepada orang ramai sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2019. Ini merupakan tanggungjawab sosial syarikat dalam meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan kenderaan kepada rakyat Malaysia khususnya kepada pemilik dan pemandu kenderaan.

    Kempen yang berlangsung selama 10 hari bermula pada 24 Mei hingga 2 Jun ini akan dijalankan di semua 54 Pusat Pemeriksaan Kenderaan Puspakom seluruh negara (kecuali Shah Alam dan Pasir Gudang yang dikhaskan untuk kenderaan berat sahaja) sepanjang waktu operasi pusat pemeriksaan masing-masing (waktu operasi berdasarkan waktu bekerja di negeri masing-masing).

    Turut serta dalam program ini adalah unit bergerak Puspakom, yang akan menjalankan pemeriksaan kenderaan percuma di beberapa kawasan terpilih iaitu di Pasar Awam Berapit, Pulau Pinang dan AEON Mall Nilai pada 26 Mei, BHP Petrol, Karak (27 Mei), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNDHEP), Putrajaya (28 Mei), Petronas Kerteh, Kuala Terengganu (28 hingga 29 Mei), Unisel Bestari Jaya, Selangor (29 Mei) dan Wisma DRB-HICOM, Shah Alam (30 Mei).

    Berdasarkan statistik Puspakom, sebanyak 51% jumlah kenderaan persendirian yang hadir pemeriksaan termasuk Pemeriksaan Kenderaan secara Sukarela di Puspakom tidak mencapai tahap piawaian pemeriksaan yang ditetapkan. Pemeriksaan yang paling tinggi yang tidak mencapai tahap piawaian ialah brek iaitu sebanyak 35% diikuti dengan gelincir sisi, 30% dan pelepasan asap sebanyak 10%.

    Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena Raya pada 24 Mei-2 Jun ini

    Ini amat membimbangkan kerana komponen utama kenderaan seperti brek yang tidak berfungsi dengan baik dan keputusan pemeriksaan gelincir sisi yang tidak memuaskan, terdedah kepada risiko kemalangan jalan raya. Tambahan pula, pelepasan asap yang tidak mengikut piawaian Jabatan Alam Sekitar akan menyebabkan pencemaran udara.

    Selain daripada ujian brek, pemeriksaan ini juga melibatkan 25 peringkat pemeriksaan lain termasuk pemeriksaan tayar, gelincir sisi, suspensi, pelepasan asap, pemeriksaan bahagian atas dan bawah, pemeriksaan cermin gelap dan lain-lain.

    Laporan pemeriksaan akan digunapakai sebagai rujukan pemilik kenderaan sebelum menyelenggara kenderaan tersebut di bengkel-bengkel kenderaan. Fi sebenar Pemeriksaan Kenderaan secara Sukarela ini adalah RM50 bagi sebuah kenderaan. Namun dalam tempoh kempen berlangsung, permeriksaan ini adalah percuma.

    Dalam masa yang sama, Puspakom turut akan menderma sebanyak RM2 kepada beberapa rumah kebajikan terpilih bagi setiap kenderaan yang menjalani Pemeriksaan Kenderaan secara Sukarela percuma sepanjang tempoh kempen berlangsung. Ini bagi menggalakkan lagi pemilik kenderaan persendirian menyertai kempen ini dan pada masa yang sama membuat amal jariah kepada golongan yang kurang bernasib baik.

    Puspakom anjur kempen pemeriksaan kenderaan secara percuma sempena Raya pada 24 Mei-2 Jun ini

    Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom, Shukor Ismail berkata, “Kami sentiasa mengambil berat tentang keselamatan kenderaan dan pengguna jalan raya di Malaysia. Peranan kami adalah membantu pemilik kenderaan untuk memastikan tahap keselamatan secara menyeluruh kenderaan mereka dengan menjalani pemeriksaan kenderaan menggunakan peralatan pemeriksaan yang mengikut piawaian yang ditetapkan.

    “Sempena hari raya yang bakal tiba ini, saya berharap para pemandu dan pemilik kenderaan pesendirian tidak melepaskan peluang menghantar kenderaan ke Puspakom untuk diperiksa bagi mengetahui kondisi kenderaan mereka”.

    Orang ramai khususnya pemilik dan pemandu kenderaan persendirian, boleh melayari laman sesawang www.puspakom.com.my atau mengikuti Facebook Puspakom Sdn Bhd untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan Kempen Pemeriksaan Kenderaan secara Sukarela Sempena Hari Raya 2019 ini.

     
     
  • Honda Civic Type OveRland – FK8 versi rali

    Honda Civic Type OveRland – FK8 versi rali

    Selain dari Civic Type RR, Honda UK sebenarnya telah menyiapkan satu lagi kereta konsep berasaskan Civic Type R FK8 tahun ini digelar Civic Type OveRland. Seperti namanya, model ini menampilkan pengubahsuaian yang jauh berbeza dari FK8 lain – ia dijadikan sebuah jentera yang boleh bergerak laju pada permukaan off-road.

    Civic Type R yang kelihatan seperti sebuah kereta rali ini dihasilkan dengan kerjasama dari Ralph Hosier. Masih mengekalkan enjin 2.0 liter VTEC Turbo berkuasa 320 PS/400 Nm, Type OveRland ini menerima pengubahsuaian yang begitu ekstensif pada bahagian suspensi dan ditala bagi membolehkan bahagian belakangnya membuang setiap kali pedal pendikit diangkat.

    Bersama rim rali Compomotive yang ringan dan juga tayar off-road dari BFGoodrich, Civic Type OveRland ini adalah 4-inci lebih tinggi dari model standard.

    Pemadanan suspensi yang mempunyai strok lebih jauh bersama tayar lebih besar pada Civic berkenaan juga memerlukan ia menerima kit badan lebih lebar. Ralph Hosier telah melebarkan kereta ini dengan memberikan fender berkotak seakan kereta-kereta rali WRC dan R5 terkini.

    Spoiler bampar hadapan dan skirt sisi ditanggalkan bagi mendapatkan kelegaan tanah lebih baik, dan gril hadapan direka semula bagi menempatkan bar lampu LED tambahan. Sepasang liang udara tambahan turut dilengkapkan pada bonet hadapan bagi memberikan rupa lebih lasak.

    Pada bahagian dalaman, jentera yang kelihatan seakan kereta Rali Dakar ini turut diberikan rollcage dan juga tayar gantian, bersama tali pinggang keledar perlumbaan lima-poin.

     
     
  • Honda Civic Type RR – 2.0L Turbo, 400 hp/500 Nm!

    Honda Civic Type RR – 2.0L Turbo, 400 hp/500 Nm!

    Sekali tengok, macam tiada apa yang berbeza antara kereta ini dengan Civic Type R FK8 yang lain, kecuali rim yang berbeza. Untuk pengetahuan anda, ini adalah model konsep milik Honda UK digelar Honda Civic Type RR, dihasilkan bersama Team Dynamic Motorsport iaitu firma yang sama menguruskan Honda Halfords Yuasa Racing Team dalam Kejohanan Touring Car British (BTCC).

    Kereta ini juga masih lagi ‘halal’ untuk digunakan di jalan raya, dan masih dijana enjin K20C1 2.0 liter VTEC Turbo bersama kotak gear manual enam-kelajuan manual. Apa yang luar biasa, enjin tersebut sebenarnya telah ditala bagi menghasilkan kuasa 400 hp dan tork maksima 500 Nm, atau lebih 80 hp/100 Nm lebih buas dari versi standard!

    Bagi mengekstrak kuasa tambahan berkenaan, unit pengecas turbo asal masih dikekalkan. Tetapi sistem kemasukan udara telah menerima kelengkapan binaan khas dari ITG, bersama unit intercooler lebih besar dari PWR. Sistem ekzos turut diubahsuai dengan pemadanan sistem baharu dari Scorpion (dengan gegelang merah unik pada tip ekzos tengah) dan catalytic converter sport dari Dream. Kemudian, sistem pengurusan enjin tersebut diperkemaskan kembali dengan kotak komputer Superchip ECU yang memberikan talaan lebih agresif.

    Honda Civic Type RR – 2.0L Turbo, 400 hp/500 Nm!

    Honda UK tidak mendedahkan prestasi pecutan 0-100 km/j Civic Type RR ini, namun kelajuan maksimanya didakwa mampu mencecah 281 km/j. Oleh itu, sistem pengendalian kereta ini turut dirombak bagi memastikan ia masih boleh dikawal dengan kuasa sekitar 25% lebih liar dari sebelum ini.

    Set suspensi asal telah ditukar kepada suspensi boleh laras Pro Sport dari Eibach, yang bukan sahaja menjadikan Civic ini 20 mm lebih rendah dari asal, malah talaannya juga dibuat untuk lebih fokus pada pemanduan litar. Dan bagi memastikan kesemua kuasa dari enjin diterjemahkan ke permukaan jalan, Civic Type RR dipadankan dengan tayar semi-slick Dunlop DZ03G, membaluti rim Team Dynamics Pro-Race yang sangat ringan berdiameter 19-inci.

    Hampir tiada perubahan ditampilkan pada bahagian luaran. Manakala pada bahagian dalaman, tempat duduk hadapan digantikan dengan tempat duduk bucket Cobra Nogaro dengan upholsteri rekaan khas Team Dynamic, sementara tempat duduk belakang pula telah dicabut.

    Honda Civic Type RR – 2.0L Turbo, 400 hp/500 Nm!

    Honda Civic Type R baharu sahaja kehilangan mahkotanya sebagai kereta pacuan roda hadapan terpantas di litar Nürburgring minggu ini, adakah Type RR boleh digunakan untuk merampas kembali gelaran berkenaan dari Renault Megane RS Trophy-R? Secara teori, tidak boleh kerana ini adalah kereta konsep ‘one-off’ dan tidak dijual kepada umum.

    Lain pula cerita kalau tiba-tiba Honda membuat keputusan untuk menjadikan ia sebuah model produksi edisi terhad, seperti apa yang Renault buat pada Megane RS yang menghasilkan versi Trophy-R berkenaan hanya berberapa ratus unit, dengan berberapa pengubahsuai ekstrem dari Megane RS Trophy standard.

     
     
  • Prasarana umum tiga stesen LRT ditutup awal pagi pada 9,16 dan 23 Jun ini untuk naik taraf landasan

    Prasarana umum tiga stesen LRT ditutup awal pagi pada 9,16 dan 23 Jun ini untuk naik taraf landasan

    Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengumumkan pada 9,16 dan 23 Jun ini, terdapat stesen perkhidmatan Aliran Transit Ringan (LRT) Laluan Sri Petaling iaitu stesen LRT Bandaraya, stesen LRT Sultan Ismail dan stesen LRT PWTC akan ditutup sementara dari pukul 6 pagi hingga 9 pagi. Ia adalah bertujuan untuk kerja-kerja menaik taraf landasan.

    Sepanjang tempoh itu, tren dari Ampang dan Putra Heights akan berakhir di Stesen LRT Bandaraya, manakala tren dari Sentul Timur akan berakhir di Stesen LRT PWTC. Di mana perkhidmatan bas perantara percuma akan disediakan di antara stesen LRT Bandaraya dan stesen LRT PWTC dengan kekerapan 15 minit. Bagaimanapun ia tertakluk kepada keadaan trafik.

    Kemudahan ini bagi memastikan pengguna yang terlibat dapat meneruskan perjalanan dengan lancar dan selesa. Manakala pengguna yang ingin ke stesen LRT Sultan Ismail dinasihat mendapatkan perkhidmatan bas percuma di stesen LRT Bandaraya atau stesen LRT PWTC.

    Dalam masa yang sama, Prasarana turut memaklumkan, pada tarikh berkenaan juga, sebahagian daripada Jalan Merpati yang terletak berdekatan stesen LRT Sultan Ismail akan ditutup dari jam 12 tengah malam hingga 5 pagi sebagai langkah keselamatan kerana terdapat peralatan berat digunakan untuk kerja naik taraf.

    Justeru, penduduk sekitar Jalan Merpati dinasihatkan memarkir kenderaan mereka di kawasan letak kereta awam yang bertentangan dengan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Kwok. Pengguna boleh melayari laman sesawang www.myrapid.com.my atau berinteraksi dengan petugas MyRapid menerusi menerusi Facebook dan Twitter @Myrapid untuk maklumat lanjut.

     
     
  • Hotwheels bakal tampil Honda Civic EG, Subaru Impreza 22B, Mazda Miata MX-5 NA untuk siri mainline

    Hotwheels bakal tampil Honda Civic EG, Subaru Impreza 22B, Mazda Miata MX-5 NA untuk siri mainline

    Tahun ini, peminat Hotwheels khususnya penggemar model-model klasik JDM bergembira kerana pembuat kereta besi tuang tiga-inci dari Amerika berkenaan telah menghasilkan berberapa model ikonik seperti Nissan Skyline GT-R R32 dan Honda CRX EF dalam siri model asas (mainline) mereka. Sebenarnya, bukan itu sahaja kerana pelbagai lagi model-model sedemikian akan muncul di rak-rak jualan (sebelum kena sapu dengan scalpers) selepas ini.

    Menerusi akaun Instagram pasukan pereka Hotwheels iaitu Hotwheels Dream Team, tiga lagi prototaip model klasik JDM telah dihasilkan dan bakal diproduksi tidak lama lagi iaitu Mazda Miata MX-5 generasi pertama (NA), Subaru Impreza 22B STI dan juga Honda Civic EG tiga-pintu – yang pastinya akan membuatkan air liur anda meleleh sekarang.

    Seperti yang anda lihat pada gambar, walaupun kesemuanya adalah dari siri mainline yang akan dijual pada harga runcit RM9.90, ia dihasilkan dengan perincian-perincian halus seperti warna yang betul pada lampu-lampu, gril dan ada yang disertakan dengan emblem.

    Miata MX-5 NA adalah antara kereta sport paling laris pernah dihasilkan oleh Mazda, diproduksi dari tahun 1989 sehingga 1997. Walaupun agak kurang berkuasa dengan dijana oleh pilihan enjin empat-silinder dari 1.6 liter sehingga 1.8 liter, konfigurasi pacuan belakang bersama badan yang ringan membuatkan ia mempunyai karekter seakan Toyota Corolla AE86.

    Subaru Impreza 22B STI pula adalah model terhad yang dihasilkan sebanyak 424 unit, sempena ulang tahun ke-40 Subaru dan kejayaan mereka mempertahankan gelaran juara pengeluar dalam WRC tiga tahun berturut-turut (1995,1996 dan 1997). Selain enjin EJ22 (EJ20 pada model biasa), badan 22B ini juga lebih lebar dan ia adalah adaptasi terus dari jentera WRC sebenar Subaru untuk musim 1998.

    Manakala untuk Honda Civic EG tiga-pintu, rasanya model ikonik tidak lagi perlu diperkenalkan lagi – terkenal dengan nama “Civic Bullet”, model generasi kelima ini sangat popular digunakan dalam perlumbaan tidak kira dalam litar atau jalanan. Versi tertinggi pernah ditawarkan Honda terhadap badan ini adalah EG6 SiR, yang dijana oleh enjin 1.6 liter DOHC VTEC B16A menghasilkan kuasa lebih dari 160 HP tanpa bantuan pengecas turbo.

     
     
  • Land Rover Discovery Sport 2020 – luaran nampak sama, tapi platform dan sistem dalaman jauh berbeza

    Land Rover Discovery Sport 2020 – luaran nampak sama, tapi platform dan sistem dalaman jauh berbeza

    SUV peringkat kemasukan dari pengeluar British ini, Land Rover Discovery Sport, tetap mempunyai tarikan tersendiri jika dibandingkan dengan barisan kenderaan keluarga Range Rover yang lain. Sebagai SUV tujuh-tempat duduk, ia meminjam banyak persamaan dari model Evoque.

    Bagi Discovery Sport 2020 yang terbaru ini, ia turut menggunakan platform Premium Transverse Architecture (PTA) yang ada pada Evoque; sebuah platform modular dengan bahan campuran yang direka untuk teknologi dan sistem janaan kuasa dengan ciri elektrikfikasi seperti mild hybrid serta plug-in hybrid dari awal lagi.

    Bagaimanapun, sekiranya dilihat pada luaran semata, seperti tak ada banyak kelainan yang diberikan berbanding versi sedia ada. Bahkan, dimensi binaan model ini juga sangat mirip; 4,597 mm panjang, 2,069 mm lebar dan 1,727 mm tinggi. Versi terbaru berkenaan hanya dua mm pendek dan tiga mm tinggi – jarak antara roda juga masih sama seperti yang lama, 2,741 mm.

    Land Rover Discovery Sport 2020 – luaran nampak sama, tapi platform dan sistem dalaman jauh berbeza

    Antara pembaharuan yang dibuat pula ialah penggunaan lampu utama LED dengan DRL bentuk U berkembar yang turut berfungsi sebagai lampu isyarat sequential. Grafik yang sama juga boleh dilihat di belakang. Selain itu, gril juga diberi rekaan baru, sementara bahagian bampar kini menampilkan bukaan udara yang lebih kecil dan kemas. Bampar belakang tidak ketinggalan untuk diberi rekaan baru – dengan perincian R-Dynamic yang sporty. Rim pula bersaiz 21-inci.

    Bahagian dalam pula menampilkan perubahan yang lebih banyak – suasana ruang kabinnya meminjam banyak unsur dari Evoque dan Velar. Misalnya papan pemuka yang lebih kemas dengan permukaan berkilat serta tuil gear ala pistol yang menggantikan dail bulat sebelum ini. Bagaimanapun, model ini tidak dipasangkan dual-skrin bagi sistem Touch Pro Duo.

    Terletak di atas ialah skrin 10.25-inci, manakala sedikit di bawah ia menggunakan sebaris butang sensitif terhadap sentuhan sebagai gantinya. Tombol fizikal bagi volume dan kawalan tetap dikekalkan. Di depan pemandu, paparan digital 12.3-inci turut ditawarkan sebagai pilihan.

    Land Rover Discovery Sport 2020 – luaran nampak sama, tapi platform dan sistem dalaman jauh berbeza

    Banyak ciri lain yang diwarisi dari Evoque. Antaranya pengecas telefon tanpa wayar, hotspt Wifi 4G, cermin pandang belakang ClearSight dan sistem ClearSight Ground View. Kerusi urut juga ada ditawarkan dan boleh menggunakan balutan Luxtec yang diperbuat daripada gentian mikro polyester yang dikitar semula.

    Terdapat juga pertambahan sebanyak 25% terhadap kapasiti ruang barangan kecil kepada 48 liter semuanya. Pemegang tablet Click & Go turut ditawarkan sebagai pilihan di belakang, Activity Key dari Jaguar F-Pace serta ciri Advanced Tow Assist yang memudahkan kenderaan untuk naik mengundur ke atas lori penunda.

    Land Rover Discovery Sport ini didatangkan dengan beberapa piliha enjin petrol dan diesel Ingenium, semuanya berkapasiti 2.0 liter turbocas empat-silinder. Bagi petrol, ada piliha janaan enjin 200 PS dan 249 PS sementara bagi enjin diesel terdiri daripada janaan 150 PS, 180 PS dan 240 PS. Hanya varian diesel 150 PS paling asas didatangkan dengan sistem pacuan depan serta kotak gear manual enam-kelajuan – semua yang lain menggunakan transmisi automatik sembilan kemajuan.

    Land Rover Discovery Sport 2020 – luaran nampak sama, tapi platform dan sistem dalaman jauh berbeza

    Model pacuan semua roda juga dilengkapi dengan sistem mild hybrid 48-volt yang menampilkan penambahan generator penghidup dengan tali sawat bersepadu untuk menangkap semula tenaga kinetik pada kelajuan di bawah 17 km/j.

    Platform PTA ini membolehkan bateri lithium-ion 200 Wh disimpan di bawah lantainya tanpa mengurangkan ruang dalaman dan barangan. Ketahanannya juga dipertingkatkan sebanyak 13%. Selain itu, model ini turut dilengkapi dengan sistem Terrain Response 2. Ciri keselamatan seperti Adaptive Cruise Control dengan Steering Assist, Lane Keep Assist, Autonomous Emergency Braking serta pemantau keadaan pemandu.

     
     
  • Mercedes-Benz GLE580 4Matic V167 didedah dengan enjin V8 biturbo 4.0L serta sistem hibrid ringkas

    Mercedes-Benz GLE580 4Matic V167 didedah dengan enjin V8 biturbo 4.0L serta sistem hibrid ringkas

    Mercedes-Benz telah memperkenalkan satu lagi varian untuk model GLE, yang dipanggil sebagai GLE 580 4Matic, dan ia akan menyertai varian lain seperti GLE 450 4Matic dan GLE 53 4Matic+ yang lebih kepada prestasi. Varian baru ini datang dengan enjin V8 berserta bantuan elektrik, sama seperti GLS 580 4Matic.

    Di bawah bonetnya terdapat enjin V8 biturbo 4.0 liter yang mampu menghasilkan kuasa 483 hp dan 700 Nm tork, dipadankan bersama transmisi automatik 9G-Tronic sembilan kelajuan dan sistem pacuan semua roda 4Matic. Meskipun ini bukan model AMG, enjin V8 tersebut masih mampu menghasilkan lebih kuasa berbanding enjin enam silinder turbo 3.0 liter berserta bantuan elektrik pada GLE 53 (429 hp dan 520 Nm).

    Membantu enjin V8 biturbo 4.0 liter ini adalah sistem hibrid ringkas dengan starter generator bersepadu (ISG). ISG ini bertanggung jawab untuk fungsi seperti EQ Boost, di mana 21 hp dan 249 Nm kuasa tambahan dapat diberi kepada pemandu, serta sistem penjanaan semula kuasa. Sistem yang menggunakan tetapan 48 volt ini juga berfungsi untuk sistem lain seperti pam air dan compressor pendingin hawa.

    Sebagai tambahan, kenderaan ini juga dilengkapi dengan sistem E-Active Body Control, yang boleh mengawal kadar serapan dan spring untuk setiap roda, bagi memastikan perjalanan yang lebih selesa serta prestasi baik atas jalan offroad. Buat masa ini, Mercedes-Benz masih belum mendedahkan prestasi penuh serta penggunaan bahan api model baru ini.

    GLE 580 4Matic akan mula dijual di Amerika Syarikat hujung tahun ini, dengan tanda harga yang bermula USD76,800 (RM322,068). Kelengkapan yang diberikan standard adalah suspensi udara Airmatic dengan penyerapan adaptif, balutan kulit dan pakej luaran AMG Line. Pada papan pemuka juga terdapat skrin paparan 12.3 inci, yang disambungkan kepada sistem Mercedes-Benz User Experience

     
     
  • Kawasaki KLX 230 buat kemunculan pertama di dunia – enjin kini gunakan sistem suntikan bahan api, RM12k

    Kawasaki KLX 230 buat kemunculan pertama di dunia – enjin kini gunakan sistem suntikan bahan api, RM12k

    Media permotoran di Indonesia semalam menerima kejutan di acara Ekspo Antarabangsa Jakarta (JIE). Mereka sudah tahu Kawasaki akan melancarkan sesuatu, dan ramai yang menyangkakan ia adalah model sports, tetapi akhirnya yang didedahkan adalah KLX 230 dalam pilihan empat warna.

    Model ini nanti akan mengisi ruang antara KLX 150 dan KLX 250, dan daripada gambar ini, sudah tentu anda boleh melihat perbezaan rekaannya. Namun, itu bukan keistimewaan utama motosikal ini, tetapi adalah enjin satu silinder SOHC barunya yang berkapasiti 233 cc dan menggunakan sistem suntikan bahan api.

    Ia adalah satu perubahan yang besar bagi siri model KLX dari Kawasaki dan penampilan di Indonesia ini adalah kemunculan pertama KLX 230 di seluruh dunia. Enjin baru ini boleh menghasilkan 19 PS pada 7,600 rpm serta 19.8 Nm tork pada 6,100 rpm dan walaupun jumlah ini sedikit rendah berbanding KLX 250, Kawasaki menjanjikan operasi yang lebih lancar dan menjimatkan.

    Sebenarnya bukan setakat enjin, keseluruhan bahagian motosikal ini adalah baru, termasuklah bahagian casis. Kelengkapan lain pada KLX 230 adalah termasuk fork teleskopik biasa di hadapan, meter jenis digital, rim 21 inci di hadapan dan 18 inci di belakang, brek cakera, tangki bahan api 7.5 liter dan berat 132 kg.

    Bersempena pelancaran ini, Kawasaki Indonesia menjual KLX 230 dengan harga promosi iaitu 39.9 juta rupiah (RM11,546) untuk versi standard, manakala versi Special yang menggunakan kombinasi warna hitam/biru dan hitam/oren dijual pada harga 42.3 juta rupiah (RM12,241). Di Malaysia, Kawasaki KLX 150 BF pun sudah mencecah harga sekitar RM13k.

     
     
  • Hyundai Grand Starex 2.5 CRDI VGT Executive kini berharga RM151,888 – naik sehingga RM3,000

    Hyundai Grand Starex 2.5 CRDI VGT Executive kini berharga RM151,888 – naik sehingga RM3,000

    Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) telah mengumumkan senarai harga baharu bagi semua modelnya di Malaysia. Berdasarkan senarai tersebut, harga yang masih kekal melibatkan model Hyundai Ioniq Hybrid (HEV RM99,888, HEV Plus RM115,888), Tucson facelift (Nu 2.0 MPI Elegance RM123,888, Gamma 1.6 T-GDI Turbo RM143,888) dan Elantra facelift (Nu 2.0 MPI Executive for RM109,888).

    Walau bagaimana pun, Hyundai Grand Starex 2.5 CRDI VGT Executive kini ditawarkan dengan harga baharu, melibatkan peningkatan sebanyak RM3,000 iaitu daripada RM148,888 menjadi RM151,888. MPV 11-tempat duduk yang cukup sesuai untuk kegunaan keluarga ini telah dilancarkan pada November lalu dalam penganjuran Kuala Lumpur International Motorsport 2018.

    Starex facelift ini turut dilengkapi dengan unit utama skrin sesentuh dengan navigasi, enam corong pendingin hawa yang dipasang di bumbung bagi tiga barisan tempat duduk di belakang pemandu, pengesan parkir hadapan dan belakang, kamera undur, pemain DVD dengan monitor lapan-inci yang terpasang di bumbung, kawalan kelajuan, rim aloi 16-inci, empat beg udara dan ESC.

    Ia dijanakan oleh enjin 2.5 liter turbodiesel dengan hamburan kuasa 170 PS dan tork 441 Nm. Motor VGT ini dipadankan dengan transmisi automatik lima-kelajuan dengan mod manual, yang menyalurkan kuasanya ke roda belakang.

    GALERI: Hyundai Grand Starex facelift

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.47 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.20
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.15 (0.00)
EURO 5 B7 RM2.35 (0.00)
Last Updated Apr 25, 2024