Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Ford tutup kilang di Brazil selepas beroperasi 100-tahun; 3 kilang ditutup untuk capai margin EBIT 8%

    Ford tutup kilang di Brazil selepas beroperasi 100-tahun; 3 kilang ditutup untuk capai margin EBIT 8%

    Ford telah mengumumkan bahawa operasi produksinya di Brazil akan ditamatkan tahun ini. Pengeluar automotif dari Amerika Syarikat berkenaan mengatakan bahawa langkah ini diambil sebagai salah satu strategi bagi mencapai margin operasi global sebanyak 8%.

    Langkah tersebut dilihat agak mengejutkan kerana kilang-kilang Ford di Brazil ini telah beroperasi lebih dari satu abad. Operasi produksi akan ditutup serta merta di Camcari dan Taubate, namun berberapa produksi komponen akan terus berjalan untuk berberapa bulan bagi membekalkan alat ganti dalam pasaran. Manakala kilang yang memproduksi Ford Troller di Horizonte akan terus beroperasi sehingga suku keempat 2021.

    Penutupan operasi-operasi tersebut akan menyebabkan jualan untuk model seperti EcoSport, Ka dan Troller T4 akan dihentikan selepas kehabisan stok akhir. Namun pusat pembangunan Ford di Bahia, litar ujian di Tatui, Sao Paulo dan ibu pejabat wilayah juga di Sao Paulo akan terus beroperasi. Manakala kilang-kilang di negara Amerika Selatan yang lain termasuk di Argentina dan Uruguay tidak terjejas dengan langkah ini.

    “Dengan lebih satu abad di Amerika Selatan dan Brazil, kami tahu ini adalah keputusan sukar, tetapi perlu dibuat untuk mewujudkan perniagaan yang sihat dan lestari. Kami akan berhijrah ke model perniagaan dengan aset yang nipis, ringan dengan menghentikan produksi di Brazil dan menawarkan model yang terbaik dan paling mengujakan dalam portfolio global kami kepada pelanggan,” kata Presiden dan CEO Ford, Jim Farley.

    Ford tutup kilang di Brazil selepas beroperasi 100-tahun; 3 kilang ditutup untuk capai margin EBIT 8%

    “Pasukan Amerika Selatan kami yang dedikasi telah membuat kemajuan yang signifikant dalam merombak operasi kami, termasuk menghentikan pengeluaran produk yang tidak menguntungkan dan keluar dari perniagaan trak berat. Sebagai tambahan untuk mengurangkan kos keseluruhan dalam perniagaan, kami telah melancarkan Ranger Storm, Territory dan Escape, serta memperkenalkan perkhidmatan yang inovatif untuk pelanggan kami,” kata presiden Ford Amerika Selatan dan Kumpulan Pasaran Antarabangsa, Lyle Watters.

    “Sementara usaha-usaha ini memperbaiki hasil pada empat suku kebelakangan ini, keadaan ekonomi yang kekal tidak menguntungkan dan tambahan beban dari pandemik jelas bahawa lebih langkah yang perlu diambil bagi mewujudkan masa hadapan yang mampan dan memberikan pulangan,” jelasnya lagi.

    Menurut Ford, mereka secara aktif membuat penilaian terhadap perniagaannya di seluruh dunia, termasuk di Amerika Selatan, membuat pelbagai pilihan dan mengagihkan modal bagi membolehkan syarikat mencapai margin EBIT 8% yang telah ditetapkan serta menjana aliran tunai yang kuat secara konsisten.

    Ford tutup kilang di Brazil selepas beroperasi 100-tahun; 3 kilang ditutup untuk capai margin EBIT 8%

    Jenama tersebut turut menyatakan bahawa mereka mahu ‘bersaing seperti pesaing” dalam masa yang sama meringkaskan dan memodenkan semua aspek dalam syarikat, serta bertumbuh dengan menggunakan kekuatan sedia ada, menyisih perniagaan automotif konvensional dan bekerjasama dengan pihak lain bagi meningkatkan kepakaran dan keberkesanan.

    “Kami akan bekerja bersungguh-sungguh dengan kesatuan, pekerja, dan pemegang kepentingan yang lain bagi membangunkan cara untuk menghadapi impak yang sukar dengan pengumuman ini. Saya mahu tekankan bahawa kami komited kepada rantau ini dalam masa yang lama dan akan terus menawarkan jualan penuh, servis dan sokongan waranti kepada pelanggan. Ini adalah benar kerana kami memasarkan pilihan kenderaan SUV elektrifikasi, pikap dan kenderaan komersial yang menarik dari dalam dan luar wilayah,” jelas Watters lagi.

    Dengan langkah ini, Ford dijangka akan merekodkan caj pra-cukai barangan istimewa sekitar $4.1 bilion (RM16.65 bilion), termasuk sekitar $1.6 bilion (RM6.5 bilion) caj bukan tunai yang berkait dengan penghapusan cukai tertentu dan untuk mempercepatkan penyusutan dan pelunasan. Dan selebihnya untuk pembayaran pemisahan, penamatan, penyelesaian dan pembayaran lain akan dibayar secara tunai. Ford juga akan mencari pembeli untuk kilang-kilangnya yang ditutup berkenaan.

     
     
  • Agong isytihar darurat hingga 1 Ogos 2021 — tiada perintah berkurung, tambahan larangan pergerakan

    Agong isytihar darurat hingga 1 Ogos 2021 — tiada perintah berkurung, tambahan larangan pergerakan

    Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah mengisytiharkan darurat sebagai langkah proaktif untuk membendung penularan Covid-19. Tempoh pelaksanaannya adalah sehingga 1 Ogos 2021, ataupun lebih awal sekiranya pandemik dapat dikawal.

    Jadi, apa yang perlu diketahui tentang tempoh darurat ini? Antara yang paling utama ialah tiada perintah berkurung serta tiada pilihan raya yang akan berlangsung sepanjang tempoh berkenaan. Pemerintahan negara juga akan berjalan seperti biasa, dan tentera tidak akan mengambil alih kuasa — melainkan tentera dan lain-lain akan dikerah untuk membantu dalam sebarang usahan untuk memerangi pandemik. Selain itu, sidang parlimen juga digantung.

    Tentang larangan pergerakan, tiada tambahan terbaru melainkan seperti apa yang telah diumumkan semalam, tentang pelaksanaan semula PKP di enam buah negeri termasuk Selangor, Johor, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan bermula 13 Januari hingga 26 Januari 2021.

    Bagi tempoh sama, beberapa negeri lain diletakkan di bawah PKPB, melibatkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan sementera PKPP pula dikenakan di Perlis dan Sarawak.

    Agong isytihar darurat hingga 1 Ogos 2021 — tiada perintah berkurung, tambahan larangan pergerakan

    Setakat semalam, berikut perkara dan larangan yang perlu anda tahu sebagai pematuhan tempoh PKP terbaru ini. Sama seperti sebelum ini, denda sehingga RM1,000 boleh dikenakan bagi mereka yang melanggar perintah berkenaan.

    • Perjalanan rentas negeri adalah dilarang di seluruh negara
    • Perjalanan rendah daerah Tidak dibenarkan bagi negeri di bawah PKP
    • Semua aktiviti sosial atau sukan yang melibatkan perhimpunan besar tidak dibenarkan di negeri PKP
    • Pergerakan dalam 10 km sahaja untuk membeli barangan keperluan di negeri PKP
    • Hanya dua orang satu kereta dibenarkan untuk tujuan membeli barangan keperluan
    • Tiada makan di kedai; premis makanan hanya boleh menjalankan urusan bungkus bawa balik dan penghantaran

    Semoga kita dilindungi. Kekal selamat, semua.

     
     
  • SPYSHOT: SUV MG HS dikesan di Juru, Pulau Pinang

    SPYSHOT: SUV MG HS dikesan di Juru, Pulau Pinang

    MG HS telah pun dikesan sedang diuji di Juru Autocity, Perai, Pulau Pinang oleh pembaca paultan.org, Faiz SMJ. Adakah ia memberikan petanda bahawa SUV segmen-C ini bakal memasuki pasaran kita tidak lama lagi?

    Di beberapa pasaran yang telah pun menerima kemasukan MG HS ini, termasuk Australia, SUV ini dilengkapi dengan enjin 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder petrol yang mampu menghamburkan kuasa hingga 160 hp dan tork 250 Nm, serta dipadankan dengan transmisi automatik dwi-klac tujuh-kelajuan. Ia mampu memberikan persaingan buat SUV yang sama segmen dengannya di pasaran Malaysia termasiuk Volkswagen Tiguan dan Proton X70.

    Dengan ciri kelengkapan tersebut, membuatkan MG HS lebih padu berbanding kuasa yang dihasilkan oleh crossover ZS EV janaan elektrik sepenuhnya, dengan hamburan 150 PS tetapi memiliki lebih tork iaitu 350 Nm hasil pacuan motor elektrik, yang menjanakan bateri lithium-ion 44.5 kWh yang menawarkan sehingga 335 km bagi pemanduan.

    SPYSHOT: SUV MG HS dikesan di Juru, Pulau Pinang

    Setakat ini, hanya ciri luaran yang kita nampak, tetapi kalau mengikut laman web MG Australia, model ini dilengkapi dengan Android Auto dan Apple CarPlay, yang boleh diakses menerusi skrin infotainmen warna sepenuhnya bersaiz 10.1-inci. Selain itu, ia turut dilengkapi dengan port bagi USB, dan juga sistem enam-pembesar suara.

    Versi pasaran Australia juga menerima kelengkapan MG Pilot, yang merangkumi AEB, kawalan kelajuan adaptif, bantuan menukar lorong, pengesan titik buta, amaran ketibaan lorong, bantuan kelajuan pintar, dan bantuan kesesakan trafik, menurut laman web jenama berkenaan. Turut diberikan ialah pencahayaan dalaman boleh dikonfigurasi dan juga bumbung suria panoramik penuh.

    Untuk makluman, MG HS di Australia ditawarkan dengan lima varian dan harganya bermula dari AUD29,900 (RM93,455) untuk varian asas, meningkat hingga AUD40,690 (RM127,181) untuk model spesifikasi penuh.

     
     
  • PKP dilaksanakan semula di S’gor, P.Pinang, KL, Putrajaya, Johor, Sabah dan Melaka mulai 13-26 Jan

    PKP dilaksanakan semula di S’gor, P.Pinang, KL, Putrajaya, Johor, Sabah dan Melaka mulai 13-26 Jan

    Atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di enam buah negeri yang tersenarai dalam zon merah, mulai 13 hingga 26 Januari 2021. Negeri yang terbabit ialah Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Johor, Sabah dan Melaka.

    Sepanjang tempoh yang sama, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) turut dilaksanakan iaitu melibatkan Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan. Sementara Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.

    Perkara ini telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin petang ini. Menurut beliau, keputusan ini diambil disebabkan peningkatan kes harian COVID-19 di negeri terbabit sejak akhir Oktober 2020. Bahkan bermula penghujung November 2020, fenomena kes harian empat digit bagi COVID-19 direkodkan setiap hari sehinggalah rekod tertinggi yang telah dilaporkan pada 7 Januari 2021, iaitu sebanyak 3,027 kes.

    “Berdasarkan nilai R-naught semasa yang berada pada paras 1.1 bagi kadar kebolehjangkitan COVID-19 di Malaysia, unjuran kes harian di negara ini dijangka boleh mencecah sehingga 5,000 kes sehari pada minggu kedua bulan April 2021 dan akan melonjak kepada 8,000 kes sehari pada minggu keempat bulan Mei 2021.

    PKP dilaksanakan semula di S’gor, P.Pinang, KL, Putrajaya, Johor, Sabah dan Melaka mulai 13-26 Jan

    “Justeru, berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, MKN serta pelbagai kementerian dan agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara, Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus COVID-19,” ujar beliau.

    Beliau turut menambah, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh KKM dan tahap keupayaan perkhidmatan kesihatannya telah hampir mencapai kapasiti maksimum. KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat.

    “Bagi mengurangkan risiko jangkitan dan memutuskan rantaian COVID-19 ini, aktiviti sosial yang melibatkan perkumpulan beramai-ramai seperti kenduri kahwin, persidangan, perarakan keagamaan termasuk Thaipusam, mesyuarat, seminar, kursus dan sukan berkumpulan adalah tidak dibenarkan sama sekali.

    “Selain itu, pergerakan rentas negeri adalah tidak dibenarkan di seluruh negara manakala bagi kawasan PKP, pergerakan rentas daerah juga tidak dibenarkan. Susulan itu, operasi sekatan jalan raya (SJR) akan mula berkuatkuasa pada jam 12.01 tengah malam, 13 Januari ini,” jelasnya lagi.

    Tambah beliau, bagi negeri yang dilaksanakan PKP, pergerakan orang ramai adalah terhad di dalam 10 kilometer radius sahaja. Bagi tujuan membeli barangan keperluan dari pasar raya atau kedai runcit yang berdekatan, hanya dua anggota isi rumah yang dibenarkan untuk keluar dan berada di dalam kenderaan yang sama. Mana-mana individu yang melanggar larangan ini boleh dikenakan kompaun maksimum RM1,000.

    “Pasar raya, perkhidmatan kesihatan termasuk klinik, hospital dan farmasi, serta bank dibenarkan beroperasi di kawasan PKP pada tahap berjaga-jaga. Patuhi SOP ketika berada di tempat- tempat ini seperti memakai pelitup muka dengan betul, jaga penjarakan fizikal dan kerap gunakan hand sanitizer. Sekiranya tidak ada keperluan segera atau mendesak, tidak perlulah keluar rumah. Stay at home,” katanya.

    Dalam masa yang sama, beliau turut mengingatkan seluruh rakyat untuk terus mematuhi semua SOP yang telah ditetapkan. “Ya betul kita akan menerima bekalan vaksin tidak lama lagi tetapi itu bukan satu-satunya langkah pencegahan dan pastinya bukan untuk penyembuhan.

    “Pencegahan paling utama adalah dengan diri kita sendiri melakukan amalan mencuci tangan menggunakan sabun dengan kerap, gunakan hand sanitizer sekiranya tiada punca air yang berdekatan, pakai pelitup muka ketika berada di tempat-tempat awam, jaga jarak fizikal dan elakkan dari bersentuhan,” ujarnya.

     
     
  • Petronas bawakan trak pam minyak ROVR ke Temerloh pula – kini di dua lokasi berbeza, hingga 15 Januari

    Petronas bawakan trak pam minyak ROVR ke Temerloh pula – kini di dua lokasi berbeza, hingga 15 Januari

    Minggu lalu, Petronas telah menggerakkan trak pam minyak ROVR ke Kuala Lipis, Pahang, yang teruk dilanda musibah banjir besar. Trak ROVR biasa mampu membawa kapasiti sebanyak 3,000 liter bahan api, dan boleh melakukan pengisian minyak dari kedua-dua belah bahagian.

    Kali ini, Petronas menggerakkan jentera yang sama ke satu lagi daerah yang turut terjejas teruk dengan banjir iaitu di Temerloh. Hampir kesemua stesen minyak di Pahang tidak dapat beroperasi, walau pun keperluan untuk mendapatkan bahan api ini kian terdesak di sana.

    Menurut Petronas, trak pikap ROVR ini telah berada di daerah berkenaan sejak Jumaat lalu, dan akan berada di sekitar Temerloh sehingga 15 Januari ini. Ia ditempatkan di dua lokasi berbeza iaitu di hadapan balai bomba dari jam 11 pagi hingga 3 petang (bergantung pada keadaan) dan di Hospital Sultan Hj Ahmad Shah dari jam 4 petang hingga 7 malam.

    Tambah Petronas lagi, inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen bagi membangunkan solusi inovatif ketika berhadapan dengan situasi yang sukar sebegini. Malahan syarikat petroleum negara ini turut berharap langkah ini dapat membantu pihak berkuasa tempatan dan barisan hadapan dalam operasi mencari dan menyelamat.

     
     
  • Toyota, Honda, Nissan, Ford & FCA terkesan masalah kekurangan cip semikonduktor; produksi kini terjejas

    Toyota, Honda, Nissan, Ford & FCA terkesan masalah kekurangan cip semikonduktor; produksi kini terjejas

    Nampaknya pandemik Covid-19 menyebabkan satu lagi masalah yang tidak terjangka dalam industri automotif – disebabkan semakin ramai yang terpaksa bekerja dari rumah, permintaan terhadap komputer riba meningkat, begitu juga dengan komputer peribadi dan konsol permainan video, secara tidak langsung menyebabkan bekalan cip semikonduktor untuk penghasilan sistem elektronik kenderaan terjejas!

    Disember lalu, Volkswagen adalah pengeluar automotif pertama yang terjejas berkenaan masalah ini apabila produksi dikilangnya terganggu akibat kekurangan bekalan cip semikonduktor. Dan sekarang, lebih banyak syarikat automotif yang berhadapan masalah yang sama.

    Toyota, Nissan, Ford dan Fiat Chrysler Automobiles (FCA) menyatakan minggu lalu bahawa mereka akan menghentikan sebahagian produksi kenderaan pada Januari ini berikutan kekurangan bekalan cip semikonduktor, lapor Reuters. Honda turut menyatakan bahawa mereka telah mula nampak impak daripada kekurangan bekalan komponen tersebut, dan bakal mengurangkan produksi Honda Fit (Jazz) untuk pasaran domestik di kilang Suzuka kira-kira 4,000 unit bulan ini, menurut Nikkei.

    Toyota pula menyatakan bahawa produksi trak pikap Tundra di kilang San Antonio, Texas juga akan dikurangkan tetapi jumlah sebenar tidak dinyatakan. Manakala untuk Nissan, produksi Nissan Note di kilang Oppama, Jepun sedang dirancang untuk dikurangkan. Laporan awal oleh Nikkei turut melaporkan bahawa jumlah pengeluaran Note akan dikurangkan kira-kira 5,000 unit pada bulan ini berbanding 15,000 unit yang dirancang.

    Toyota, Honda, Nissan, Ford & FCA terkesan masalah kekurangan cip semikonduktor; produksi kini terjejas

    Di Amerika Utara, Ford menyatakan bahawa produksi di kilang Louisville, Kentucky akan dihentikan sementara. Kilang berkenaan yang menghasilkan SUV seperti Ford Escape dan Lincoln Corsair dicutikan selama seminggu, menggantikan cuti yang sepatutnya diberikan pada tempoh kemudian pada tahun ini.

    Manakala untuk FCA, produksi semula Jeep Compass yang sepatutnya bermula di kilang Toluca, Mexico minggu hadapan akan dianjak lebih lambat. Produksi model Chrysler 300, Dodge Charger dan Challenger di kilang Brampton, Ontario juga terpaksa dihentikan sehingga akhir bulan ini.

    Pembekal-pembekal utama cip untuk pengeluar automotif seperti NXP Semiconductor menyatakan bahawa mereka tidak menyangka bahawa produksi industri automotif akan pulih semula begitu cepat selepas terjejas akibat pandemik Covid-19, menyebabkan mereka sukar untuk membekalkan semula cip-cip berkenaan mengikut keperluan.

    Toyota, Honda, Nissan, Ford & FCA terkesan masalah kekurangan cip semikonduktor; produksi kini terjejas

    Production line of the new factory.

    Disember lalu, syarikat berkenaan turut menyatakan dalam surat kepada pelanggannya bahawa mereka terpaksa menaikkan harga untuk semua produk kerana berhadapan kos material “yang naik mendadak” dan juga bekalan cip “sangat kurang”.

    Bulan lalu Volkswagen menyatakan bahawa bekalan semikonduktor yang terjejas memaksa mereka untuk mengatur semula produksi di fasiliti yang terletak di China, Amerika Utara dan Jerman. Pembekal komponen automotif Jerman iaitu Bosch dan Continental pula memberikan amaran berkenaan kekurangan bekalan semikonduktor ini dan berkata produksinya sedang ditingkatkan, dan untuk menaikkan bekalan akan mengambil masa.

    Setakat ini General Motors dan BMW menyatakan mereka masih belum terjejas dengan masalah kekurangan cip semikonduktor ini, tetapi akan memantau sitausi berkenaan dengan lebih rapat.

     
     
  • General Motors perkenal logo baru, fokus strategi EV

    Dengan hala tuju masa depan General Motors yang lebih cenderung kepada kenderaan elektrik, syarikat itu kini melancarkan kempen pemasaran dengan nama “Everybody In” untuk merancakkan lagi penggunaan EV oleh semua. Bersempena dengan itu juga, GM turut memperkenalkan logo baru yang mencerminkan perubahan identiti berkenaan.

    “Sepanjang sejarah, akan ada detik-detik perubahan yang berlaku. Kami percaya detik seperti itulah yang sedang kita depani ketika ini, bagi menggerakkan penggunaan EV yang lebih meluas untuk semua,” ujar Ketua Pegawai Pemasaran Global General Motors, Deborah Wahl. “Tidak seperti sebelumnya, kita mempunyai penyelesaian, keupayaan, teknologi dan skala untuk melibatkan semua orang dengan EV. Identiti baru dan kempen jenama kami direka untuk mencerminkan hal ini,” tambah beliau.

    Logo baru GM menampilkan imej yang lebih moden dan vibrant, dengan penggunaan gradient warna biru yang menurut syarikat itu melambangkan “langit cerah di masa hadapan dengan sifar emisi”. Sementara itu, bucu bulat dan huruf kecil memberikan rasa yang lebih merangkum, dengan garis di bawah “m” melambangkan pertalian dengan logo lama GM.

    Perancangan EV bagi GM termasuklah pelaburan berjumlah USD27 bilion untuk membangunkan produk yang relevan, dengan 30 EV global baru direncanakan pengenalannya menjelang penghujung 2025. Platform Ultium menjadi kunci utama kepada perkembangan ini, kerana ia akan menjadi asas kepada pelbagai kenderaan, termasuk GMC Hummer EV dan Cadillac Lyriq. Seni bina modular ini juga membolehkan pembinaan kenderaan berbeza saiz, bentuk dan harga, dengan jarak perjalanan mencecah 724 km (450 batu).

     
     
  • Aprilia Tuono 660 masuk pasaran UK – kuasa 94 hp, berat 183 kg, sistem elektronik sama seperti RS660

    Aprilia Tuono 660 masuk pasaran UK – kuasa 94 hp, berat 183 kg, sistem elektronik sama seperti RS660

    Semasa Aprilia RS660 didedahkan buat pertama kali, ramai yang sudah mengetahui ia akan diikuti pula oleh versi naked, Tuono. Kini, ia telah pun didedahkan sepenuhnya, dengan perbezaan biasa bagi model naked iaitu pemegang jenis lebih tinggi serta offset fork yang telah diubah untuk menjadikan tunggangan lebih selesa.

    Asas model ini masih sama seperti RS660, termasuklah rangka serta lengan ayun aluminiumnya, dan juga suspensi boleh laras Kayaba di depan dan belakang. Menurut Aprilia, fairing hadapan Tuono 660 juga telah diuji dalam terowong angin seperti RS660, dan lampu hadapannya menggunakan unit LED dengan DRL. Berat keseluruhan model ini adalah 183 kg.

    Ia digerakkan oleh enjin dua silinder selari 660 cc dengan sistem penyejukan cecair dan menepati tahap emisi Euro 5. Kuasa maksimum yang mampu dihasilkan adalah 94 hp, sedikit rendah berbanding 100 hp pada RS660, tetapi nisbah akhirnya lebih pendek untuk menghasilkan maklum balas serta pecutan lebih baik.

    Sistem elektronik yang diberikan pada Tuono 660 juga adalah sama seperti RS660, termasuk kawalan cengkaman beberapa tahap, wheelie control, cruise control, engine brake control, ABS yang boleh ditutup serta pilihan mod tunggangan.

    Menurut Aprilia, terdapat lima mod tunggangan yang disediakan oleh Tuono 660, dengan tiga daripadanya untuk kegunaan atas jalan biasa dan dua lagi untuk kegunaan di dalam litar. Panel instrumen menggunakan skrin TFT berwarna sama seperti RS660. Tuono 660 sudah mula dijual di United Kingdom, dengan harga £9700 (RM53,145) dan ditawarkan dalam warna Acid Gold, Concept Black dan Iridium Grey.

     
     
  • Tiada penjana hibrid untuk Honda Civic Type R generasi baru, kekal sebagai kereta sport mekanikal

    Tiada penjana hibrid untuk Honda Civic Type R generasi baru, kekal sebagai kereta sport mekanikal

    Selain dari penggunaan pengecas turbo dan suspensi adaptif, Honda Civic Type R FK8 adalah antara kereta sport yang paling ‘asli’ ditawarkan dalam pasaran buat masa sekarang.

    Ia masih menggunakan konfigurasi pacuan roda hadapan tanpa sistem AWD yang rumit, masih dibekalkan dengan LSD mekanikal dan bukan sistem torque vectoring, malah sehingga sekarang Honda masih tidak menawarkan kotak gear manual bagi memastikan pembeli Type R masih lagi seorang yang sangat suka memandu.

    Nampaknya semua karekter ini masih akan dibawa kepada model generasi seterusnya – walaupun benua Eropah, UK dan juga Jepun bakal mengharamkan kereta dengan kuasa petrol sepenuhnya dalam masa lebih kurang 10 tahun lagi, Honda akan terus menghasilkan Civic Type R tanpa sebarang bantuan teknologi elektrifikasi, menurut laporan Autocar.

    Portal berkenaan menyatakan bahawa, Honda Civic Type R generasi baharu tersebut akan tiba di pasaran UK pada separa pertama tahun hadapan, dan ini mungkin “edisi terakhir” dengan DNA asli Type R.

    Model prototaip Honda Civic generasi ke-11 versi sedan (kiri) dan versi hatchback yang sedang diuji (kanan)

    Honda telah pun mendedahkan rupa Honda Civic generasi ke-11 November lalu, dalam bentuk sedan sebagai prototaip dan ia dijangka menghampiri rupa produksi sebenarnya. Model Type R generasi baharu pula masih akan dihasilkan dalam versi hatchback lima pintu.

    Walaupun Civic generasi baharu dalam versi asas kelihatan lebih ‘sopan’ berbanding generasi FC sedia ada, model Type R nanti dilaporkan masih akan diberikan penampilan dengan kit aerodinamik yang agresif. Varian tanpa sayap belakang yang besar seperti model Type R Sport Line pada model sedia ada juga dijangka masih akan ditawarkan di UK.

    Enjin K20C 2.0 liter VTEC Turbo pada model generasi sedia ada juga dilaporkan akan terus digunakan pada model generasi baharu nanti. Kuasa yang dihasilkan juga mungkin lebih kurang sama, namun ia diperhalusi bagi memberikan respon dan penghantaran tork yang lebih baik.

    Autocar turut menyebut bahawa sistem suspensi dua paksi pada bahagian hadapan yang berkesan menangani torque steer, serta senjata mekanikal lain seperti LSD, suspensi multilink di belakang dan pelbagai lagi akan terus di bawa pada Honda Civic Type R generasi baharu ini.

     
     
  • Honda Wave 110i 2021 dilancarkan di Thailand – enjin suntikan bahan api 110 cc, tangki 5 liter, lampu LED

    Honda Wave 110i 2021 dilancarkan di Thailand – enjin suntikan bahan api 110 cc, tangki 5 liter, lampu LED

    Selain PCX 160, Honda Thailand juga telah melancarkan Wave 110i 2021 untuk pasaran negara itu. Ini adalah sebuah model baru yang menggunakan enjin suntikan bahan api dan diberikan peningkatan di beberapa bahagian.

    Enjin yang digunakan adalah versi terbaru daripada barisan Honda Smart Engine, berkapasiti 109.5 cc, dengan sistem SOHC, suntikan bahan api PGM-FI dan penyejukan udara. Ia dipadankan bersama transmisi empat kelajuan dan dikatakan mampu memberi penggunaan bahan api sehingga 76.9 km/l.

    Walaupun boleh dikatakan sebagai sebuah model asas dan mampu milik, Wave 110i 2021 turut dinaik taraf dengan lampu jenis LED, ruang simpanan bawah tempat duduk 35% lebih besar, tangki bahan api lima liter dan panel meter baru dengan gabungan skrin LCD.

    Kerangka model ini juga adalah baru, sekaligus mampu memberikan kawalan yang lebih mudah dan membantu lagi penjimatan bahan api. Ada beberapa varian yang diperkenalkan di Thailand dan kelengkapan juga boleh jadi berbeza.

    Varian yang lebih rendah cuma akan mendapat pemula enjin jenis tendang, padanan brek cakera di hadapan dan dram di belakang serta rim jenis lidi sementara varian lebih tinggi pula mendapat pemula enjin jenis elektrik, brek cakera depan dan belakang serta rim jenis sport lima cabang.

     
     
  • Toyota GR Supra dapat padanan enjin 2.0 liter empat-silinder untuk pasaran UK, harga bermula RM252k

    Toyota GR Supra dapat padanan enjin 2.0 liter empat-silinder untuk pasaran UK, harga bermula RM252k

    Pasaran United Kingdom (UK) bakal menerima kehadiran Toyota GR Supra dengan padanan enjin 2.0 liter empat-silider. Ini menandakan impak terhadap pelaksanaan Brexit yang mendorong Toyota yang terpaksa mengalah dan menawarkan kereta sport ‘entry-level’ atau pun model asas untuk pembeli di sana.

    Supra dengan enjin empat-silinder ini sebenarnya hampir sama dengan model enam-silinder sebaris. Ia mampu menghamburkan kuasa hingga 254 hp dari 5,000 hingga 6,000 rpm dan torn 400 Nm antara 1,500 hingga 4,500 rpm, membolehkannya dipecut dari titik sifar ke 100 km/j dalam 5.2 saat (mengikut perbandingan, model 3.0 liter boleh melakukannya dalam 4.1 saat). Manakala kelajuan maksimumnya dihadkan hingga 250 km/j.

    Enjin ini juga dipadankan dengan kotak gear automatik lapan-kelajuan ZF dan dengan angka bahan api kombinasi penilaian-WLTP adalah sekitar 7.3 liter per 100 km, dengan pelepasan karbon dioksida sekitar 167 gram per kilometer. Tidak seperti Amerika Syarikat, model asas Supra di UK ini akan terus ditawarkan dengan active locking rear differential dan adaptive dampers, tetapi ia adalah lebih ringan sebanyak 100 kg berbanding model 3.0 liter.

    Toyota GR Supra dapat padanan enjin 2.0 liter empat-silinder untuk pasaran UK, harga bermula RM252k

    Toyota berkata pengurangan berat masih mampu memberikan pemanduan yang menyeronokkan biar pun kuasanya juga berkurangan. Enjin yang lebih kecil ini didakwa menjadikannya lebih mudah untuk mencapai keseimbangan berat 50:50 dan mengurangkan inertia. Seterusnya, ia meningkatkan respons dan pengendalian yang lebih lincah serta meningkatkan keyakinan pemandunya.

    Selain itu, model 2.0 liter turut menerima brek yang sama seperti varian 3.0 liter, bukannya seperti brek bagi pasaran USA yang dikecilkan. Cakera brek tersebut berukuran 348 mm untuk hadapan dan 345 mm di belakang, diapit dengan empat-omboh di hadapan dan kaliper omboh-tunggal di belakang.

    Malahan Active Yaw Assist turut menciptakan pergerakan tambahan dengan menggunakan daya brek bebas – seperti sistem vektor tork aktif yang dibangunkan oleh pembuat kereta lain – untuk meningkatkan ketangkasan.

    Ciri standard yang turut diberikan termasuklah roda aloi dua-tona 18-inci, skrin sesentuh infotainmen yang lebih kecil bersaiz 8.8-inci, Alcantara upholstery dan sistem bunyi 100-wat dengan empat-pembesar suara. Selain itu, ia turut didatangkan dengan Toyota Safety Sense+ untuk bantuan pemanduan yang merangkumi brek kecemasan sendiri dengan pengesan pejalan kaki dan pengayuh basikal, bantuan kekal lorong, pengesan isyarat trafik dan lampu tinggi automatik.

    GR Supra 2.0 turut ditawarkan dengan varian Fuji Speedway Edition, terhad dengan 45 unit untuk UK. Ia ditambah dengan warna badan putih metalik, perumah cermin sisi rona merah dan juga roda aloi 19-inci yang sama seperti model 3.0 liter dengan kemasan matte black.

    Di dalamnya, ia ditampilkan dengan kemasan gentian karbon dan kombinasi upholstery ALcantara hitam dan kulit merah. Harga yang ditawarkan adalah £45,995 (RM252,100), atau £47,395 (RM259,700) bagi varian Fuji Speedway Edition.

     
     
  • Proton Suprima S, Gen2 2021 — imej render hatchback

    Proton Suprima S, Gen2 2021 — imej render hatchback

    Ramai ke yang dah mula rindu Proton Suprima S? Sebagai sebuah hatchback empat-pintu yang dihasilkan oleh Proton, ia sebenarnya tampil dengan imej yang sangat menyenangkan. Tambahan pula, pengendaliannya juga tidak mengecewakan; siapa yang pernah bawa atau masih memilikinya pasti faham. Tetapi, usianya sudah sangat lama. Ada kemungkinan model baru hadir sebagai pengganti.

    Theophilus Chin ada hasilkan satu rekaan digital untuk membayangkan model baru berkenaan. Tetapi, ia mengambil asas dari Ford Focus Mk4. Ini dapat dikesan pada bahagian tingkap yang ada serta cermin sisi, serta apron depan dan rekaan bampar belakang. Beberapa unsur pada wajah depan pula sangat jelas dipinjam daripada X50, misalnya bahagian lampu, gril Infinite Weave dan logo. Angkup brek merah SUV berkenaan pun turut disertakan sekali.

    Di belakang, rekaan lampu LED yang digunakan jelas diambil daripada X50, sementara nama Proton dalam kemasan krom itu dibawa dari model Suprima S. Bawah sedikit, anda akan dapat lihat rekaan diffuser yang besar (rekaan dari Focus Mk4) dengan empat muncung ekzos.

    Proton Suprima S, Gen2 2021 — imej render hatchback

    Lain-lain kelengkapan termasuk DRL LED pada bampar depan, bumbung hitam dengan kaca panoramik, antena “shark fin”, spoiler belakang dengan lampu brek dan lapan sensor parkir. Sebetulnya, rekaan ini agak jauh lari daripada imej render Suprima S yang pernah kita lihat tahun lalu, kan?

    Theo memberi nama H50 kepada kereta ini. Geely pula tak ada model hatchback untuk menggantikan penawaran Suprima S ini, dan kebarangkalian untuknya kembali dikeluarkan oleh Proton ketika ini bolehlah kita anggap tidak ada. Jadi, mungkin akan terus jadi impian sajalah, sambil membayangkan rekabentuk yang ada ini.

    Seperti yang ramai tahu, Proton ketika ini sedang menumpukan perhatian terhadap pertumbuhan jualan pasaran tempatan dan memperkukuhkan barisan model dengan SUV-SUV baru. Tetapi, sekiranya ada harapan untuk Suprima S kembali nanti, adakan rekaan ini cukup meyakinkan?

     
     
  • Ken Block tamatkan kerjasama dengan Ford – Hoonigan akan kembali bersama Subaru selepas ini?

    Ken Block tamatkan kerjasama dengan Ford – Hoonigan akan kembali bersama Subaru selepas ini?

    Selepas 11 tahun membawa nama Ford untuk berlumba dan menghasilkan pelbagai video Gymkhana, pemandu sensasi Youtube, Ken Block mengumumkan kini sudah tidak lagi bersama jenama Blue Oval berkenaan. Menurut Block dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, bermula Januari 2021 dia adalah agen bebas dan kini mempunyai pilihan untuk memandu pelbagai jentera yang lebih luas.

    “Berkerja dengan Ford lebih sedekad yang lalu adalah sangat hebat,” kata Ken Block. “Dari berlumba ke seluruh dunia, sehingga mendapat tontonan setengah bilion dari Gymkhana THREE hingga Gymkhana TEN, menghasilkan siri Gymkhana Files yang mendapat pencalonan Emmy untuk Amazon Prime – bersama membina banyak jentera Ford termasuk Mustang Hoonicorn dan F-150 Hoonitruck yang ikonik – ia adalah kerjasama yang hebat.

    “Ia adalah impian menjadi kenyataan untuk bekerjasama dengan syarikat yang membina trak yang ayah saya pandu ketika saya remaja. Saya sangat menghargai sokongan dari Ford selama ini, tetapi saya turut melihat kehadapan apa yang ada pada 2021 yang tiada had, dan kemampuan saya untuk melebarkan sayap lebih besar dan bermain dengan lebih banyak permainan,” jelas Block lagi.

    Sepanjang bersama Ford, Ken Block berjaya memenangi 19 perlumbaan bersama 17 podium, dua medal X Games, dan juga menjadi rakyat Amerika pertama yang memperolehi mata dalam kejohanan rali dunia (WRC). Tahun 2020 juga mencatatkan pelbagai kejayaan untuk Ken Block bersama Ford di mana dia menjadi juara di Rally Barbados dengan Ford Fiesta R5, menang dalam kelasnya (dan ketiga keseluruhan) dalam Rally Legend di San Marino bersama Ford Escort Cossie V2, dan memenangi perlumbaan pertama Projekt E untuk FIA World RallyCross Championship di Holjes, Sweden, dengan Ford Fiesta.

    Ken Block dan Hoonigan juga telah melancarkan siri video viral baharu iaitu Hoonicorn Vs. The World. Siri dengan 11 episod berkenaan menampilkan Ken Block berlumba dengan Ford Mustang RTR Hoonicorn 1956 menetang pelbagai jentera termasuk Mclaren Senna. Siri berkenaan telah ditonton lebih dari 34 juta kali sejak dilancarkan pada lewat November lalu.

    Ken Block tamatkan kerjasama dengan Ford – Hoonigan akan kembali bersama Subaru selepas ini?

    Sempena perpisahan ini, Ken Block turut menghasilkan satu video khas iaitu pemanduan jentera kegemarannya – Ford Mustang Hoonicorn V2 1,400 hp AWD – buat kali terakhir yang telah pun disiarkan di Youtube. Block turut menyatakan bahawa Hoonigan Racing Division akan mengumumkan kerjasama baharu tidak lama lagi

    Dalam satu video sempena perpisahan ini yang disiarkan oleh Ken Block di Facebook, dia memulakan ucapan dengan latar belakang jentera-jentera Ford yang dibina sepanjang kerjasama berkenaan, namun diakhiri dengan Subaru Impreza WRX STI yang digunakan dalam video Gymkhana TWO. Malah pada tahun lalu, Hoonigan menghasilkan video Gymkhana terbaharu tanpa Ken Block, tetapi digantikan oleh sahabatnya iaitu Travis Pastrana yang memandu Subaru WRX STI. Adakah ini bayangan bahawa Ken Block akan kembali semula dengan Subaru?

     
     
  • Banjir di LPT 1: Laluan kedua-dua hala antara KL dan Pantai Timur kini kembali dibuka kepada lalu lintas

    Banjir di LPT 1: Laluan kedua-dua hala antara KL dan Pantai Timur kini kembali dibuka kepada lalu lintas

    Pengendali Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT 1), ANIH Berhad, telah memaklumkan bahawa lorong laju di KM126.3 iaitu antara Persimpangan Chenor ke Persimpangan Temerloh kini telah dibuka (kedua-dua hala) kepada lalu lintas sejak 4 petang semalam. Ini bermakna semua laluan di LPT 1 itu telah boleh dilalui oleh semua kenderaan.

    Walau bagaimana pun, ANIH menasihati semua pengguna lebuhraya berkenaan untuk mematuhi papan tanda di lokasi dan berhati-hati ketika memandu.

    Seminggu yang lalu, beberapa bahagian laluan Temerloh-Lanchang iaitu KM 113 dan KM 115 bagi kedua-dua arah ditenggelami banjir dan tidak boleh dilalui oleh trafik. Ini membuatkan ramai pengguna lebuhraya terbabit terkandas dan perlu berpatah balik atau pun menggunakan laluan alternatif untuk ke Kuala Lumpur mahu pun Pantai Timur.

     
     
  • Banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) masih belum surut, laluan Chenor-Temerloh ditutup dua-dua arah

    Banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) masih belum surut, laluan Chenor-Temerloh ditutup dua-dua arah

    Keadaan banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) belum surut, dan sambungan laluan utama antara pantai barat dan pantai timur Semenangjung itu masih belum boleh dilalui oleh trafik di beberapa bahagian.

    Pengendali lebuhraya berkenaan, Anih Berhad dalam taklimat kemaskini status tengah hari tadi memaklumkan, ada laluan lain yang kini turut dinaiki air, di KM 126.3 antara Chenor dan Temerloh. Di kawasan berkenaan, lebuhraya telah ditutup sepenuhnya bagi kedua-dua arah sejak 2.30 pagi tadi. Ini merupakan tambahan terbaru kepada laluan Temerloh-Lanchang (KM113 ke KM 115) yang masih lagi ditutup kepada trafik bagi kedua-dua arah.

    Bagi laluan Lanchang ke Karak (KM 84.6), tiada berubahan setakat ini di mana laluan arah KL telah dibuka sejak pagi 5 Januari lalu. Laluan bertentangannya bagaimanapun masih ditutup. Dengan E8 ditutup sebahagiannya, laluan alternatif yang dicadangkan melibatkan lencongan ke Negeri Sembilan. Ini kerana jalan lama (Route 2) juga telah dinaiki air dari Maran ke Lanchang.

    Banjir di Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) masih belum surut, laluan Chenor-Temerloh ditutup dua-dua arah

    Bagi yang ingin bergerak dari KL ke Kuantan, anda boleh menyusur keluar lebuhraya itu di Karak dan menuju ke Simpang Pertang di Negeri Sembilan, sebelum meneruskan perjalanan ke Muadzam Shah dan kemudian ke tol Gambang.

    Jika dari pantai timur ke KL pula, anda boleh melalui laluan sama dan menuju ke Bahau dari Karak. Ini kemudian akan menyusul ke Kuala Pilah dan Seremban, sebelum anda boleh menggunakan Lebuhraya PLUS atau LEKAS untuk ke KL. Apa pun, kekalkan tumpuan ketika memandu dan sentiasa pastikan keselamatan terjaga di dalam keadaan cuaca tidak menentu ini.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (0.00)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.10
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.85 (-0.05)
EURO 5 B7 RM3.05 (-0.05)
Last Updated Aug 21, 2025