Search in Bahasa Malaysia:

Proton X50 2025 - Executive vs Premium vs Flagship



Artikel Terkini

  • Bangkok 2019: Honda Accord 1.5L Turbo dan Hybrid generasi baharu, dijual pada harga bermula RM193k

    Bangkok 2019: Honda Accord 1.5L Turbo dan Hybrid generasi baharu, dijual pada harga bermula RM193k

    Hari ini, rakan kami dari paultan.org bahasa inggeris, Danny Tan berada di Bangkok International Motor Show (BIMS) 2019 bagi memberikan liputan kereta-kereta yang dipamerkan di sana, terutamanya model-model yang relevan dengan pasaran Malaysia. Buat permulaan, kami sajikan untuk anda Honda Accord generasi ke-10 yang baharu sahaja dilancarkan di Thailand minggu lalu.

    Model generasi baharu ini muncul buat pertama kali di Amerika Syarikat pada Julai 2017, dan untuk pasaran ASEAN, ia nampaknya tidak lagi dijana oleh enjin NA 2.0 liter dan 2.4 liter generasi sebelumnya. Dua pilihan janakuasa ditawarkan di Thai, di mana varian asas dikuasakan dengan enjin 1.5 liter turbo, manakala versi paling tinggi diberikan kuasa hibrid petrol menampilkan enjin 2.0L kitaran Atkinson baharu bersama sistem dua motor elektrik Sport Hybrid i-MMD (Intelligent Multi-Mode Drive).

    Oleh itu, harga asas untuk Accord di pasaran berkenaan kini lebih mahal berbanding Toyota Camry dan Nissan Teana, serta transmisi automatik konvensional lima-kelajuan tidak lagi ditawarkan. Bagi varian 1.5 liter Turbo, ia ditala bagi menghasilkan kuasa yang sama seperti pada enjin turbo CR-V iaitu 190 PS dan tork maksima 243 Nm, berbanding enjin sama pada Civic yang hanya menjana 173 PS/220 Nm.

    Model pasaran ASEAN juga nampaknya tidak menampilkan penukar gear menggunakan butang, sebaliknya hanya menggunakan tombol gear biasa kerana tiada pilihan kotak gear automatik 10-kelajuan ditawarkan dan model turbo 1.5 liter ini dipadankan dengan kotak gear CVT automatik.

    Untuk versi hibrid pula, enjin 2.0 liter i-VTEC kitaran Atkinson tersebut mampu menjana 145 hp/175 Nm, manakala sistem i-MMD dengan dua motor elektrik berkenaan pula menghasilkan 184/315 Nm. Menurut Honda, kuasa keseluruhan untuk Accord Sport Hybrid ini adalah 215 hp, dan kesemua kuasa berkenaan memacu roda hadapan dengan transmisi CVT automatik.

    Honda juga telah menghasilkan pek bateri Lithium-ion yang lebih kompak untuk Accord ini, bagi membolehkan kedudukannya dialih dari ruang but belakang ke lantai kabin belakang, seterusnya membuatkan ruang kargo model ini sama luas dengan versi janaan petrol biasa.

    Bangkok 2019: Honda Accord 1.5L Turbo dan Hybrid generasi baharu, dijual pada harga bermula RM193k

    Varian Turbo EL merupakan model paling asas untuk Accord dalam pasaran Thailand, diberikan rim 17-inci bersama tayar 225/50R17. Manakala versi Sports Hybrid pula adalah varian tertinggi dan menerima rim 18-inci dengan tayar 235/45R18. Selain itu, Accord Hybrid juga dilengkapkan dengan pakej bantuan pemanduan Honda Sensing, terdiri dari Sistem Brek Pengelak Pelanggaran, Amaran Keluar Lorong, Pengelak Keluar Jalan Raya serta Adaptive Cruise Control dengan Low-Speed Follow.

    Kesemua varian Accord dilengkapi dengan ciri-ciri seperti paparan Head-up, paparan pelbagai-info TFT tujuh-inci dan pengecas telefon pintar tanpa wayar. Model Turbo EL dijual pada harga 1.5 juta baht (RM192,844), manakala model Hybrid dijual pada harga 1.65 juta baht (RM212,129).

    Honda Thailand juga menawarkan varian Hybrid Tech pada pasaran tersebut, dilengkapi pelbagai lagi kelengkapan termasuk bumbung suria, lampu pintu luaran, spoiler belakang, balutan kulit pada tempat duduk berwarna merah atau hitam (bergantung warna badan yang dipilih), HUD, penderia parkir empat-poin, bantuan parkir belakang dengan empat penderia, kamera parkir 360-darjah, monitor lintasan belakang, serta Sistem Bantuan Parkir Pintar.

    Butang “boss” turut dapat dilihat pada tempat duduk penumpang hadapan, seperti yang ditawarkan pada Toyota Camry. Dengan kesemua ini, Honda Accord Hybrid Tech dijual pada harga 150k baht (RM19,282) lebih mahal dari varian Hybrid biasa. Model dengan kit Modulo juga ada dipamerkan di BIMS ini, dan kami akan paparkan kemudian nanti.

    Di Thailand, Accord Hybrid berhadapan dengan Toyota Camry Hybrid yang dijana enjin 2.5L, dijual pada harga bermula 1.639 hingga 1.799 juta baht (RM210,659 hingga RM231,223). Sudah pasti Accord ini juga bakal tiba di Malaysia, dan seperti biasa Honda Malaysia akan menggunakan strategi memasang sendiri (CKD) model tersebut di Melaka bagi memastikan harganya kekal kompetitif, dan ia mungkin akan mengambil sedikit masa.

    GALERI: Honda Accord 1.5L Turbo 2019

    GALERI: Honda Accord Hybrid 2019

     
     
  • BMW X1 xDrive25Le iPerformance dipertingkat bakal muncul di Shanghai – jarak naik 83%, 1.3 l/100 km

    BMW X1 xDrive25Le iPerformance dipertingkat bakal muncul di Shanghai – jarak naik 83%, 1.3 l/100 km

    Tak main-main kemaskini yang BMW buat untuk model X1 xDrive25Le yang akan ditunjuka ketika pameran Auto Shanghai nanti. Model plug-in hybrid berkenaan akan menerima pertambahan jarak perjalanan elektrik sepenuhnya dengan kecekapan tenaga yang lebih baik.

    Apa yang dimaksudkan ialah, versi terbaru ini nanti akan menggunakan bateri lithium-ion yang dipertingkat, memberikan pertambahan jarak sehingga 83%, dan dalam masa yang sama mengurangkan penggunaan minyak sehingga 72% menjadikannya pada kadar hanya 1.3 liter bagi setiap 100 km.

    Model yang dipasang di kilang BMW Brilliance Automotive di Tiexi, Shenyang, China ini dilengkapi enjin 1.5 liter turbocaj tiga-silinder petrol dengan gandingan kotak gear Steptronic enam-kelajuan ke roda hadapan. Motor elektrik pula membantu roda belakang. Output sistem ini ialah 231 PS dan 382 Nm, dengan pecutan 0-100 km/j dalam masa 7.4 saat.

    BMW menyatakan, sel bateri yang diperkemas itu menggunakan nisbah 8:1:1 bagi nickel, cobalt dan manganese pada material anode. Jumlah nickel yang lebih memberikan pertambahan kuasa, sementara pengurangan dalam komponen cobalt bermaksud kurangnya penggunaan bahan nadir bumi yang diperlukan.

    Perincian lain masih belum didedahkan, termasuklah gambar rasminya. Namun, jika berdasarkan model sebelum ini, baterinya berkapasiti 10.7 kWh; bateri baru ini tentunya akan lebih lagi. Saiz baterinya dijangka sama, cuma berat akan bertambah sebanyak 2.5 kg lagi.

     
     
  • Audi A3 Sedan 1.4 TFSI facelift kini di Malaysia – hanya satu varian, 150 HP/250 Nm, harga RM239,900

    Audi A3 Sedan 1.4 TFSI <em>facelift</em> kini di Malaysia – hanya satu varian, 150 HP/250 Nm, harga RM239,900

    Selain dari barisan SUV Q2, Q5, Q7 dan Q8 serta sedan besar A5 Sportsback, Audi kini turut menampilkan model A3 Sedan versi facelift untuk pasaran Malaysia. Hadir dengan hanya satu varian iaitu 1.4 TFSI, model ini dijual pada harga atas jalan tanpa insuran RM239,900 termasuk waranti selama lima tahun tanpa had perbatuan.

    Model facelift ini menampilkan gril yang lebih lebar dan tajam, bersama lampu hadapan LED yang direka semula. Begitu juga di belakang, rombakan rupa diberikan pada lampu LED (diberikan lampu isyarat membelok dinamik), dan juga bampar yang lebih menyerlah terutamanya di bahagian bawah. Model pasaran Malaysia ini juga diberikan rim 18-inci lima jejari berkembar, dibaluti tayar 225/40R18 secara standard.

    Pada bahagian dalaman pula, skrin infotainmen bersama sistem navigasi MMI yang boleh disorokkan kini bersaiz tujuh-inci dan direka dengan bingkai sekeliling lebih nipis berbanding unit 5.8-inci sebelum ini,dan dihubungkan kepada sistem bunyi dengan lapan-pembesar suara. Manakala untuk pemandu, instrumen digital sepenuhnya Audi Virtual Cockpit akan memberikan segala maklumat menerusi skrin 12.3-inci.

    Ciri-ciri lain yang turut dilengkapkan pada A3 ini termasuk sistem penghawa dingin bersama liang udara belakang, roda stereng dan upholsteri balutan kulit, tempat duduk hadapan larasan berkuasa dengan empat larasan sokongan lumbar, kemasan Micrometallic, pakej lampu, Audi Drive Select, Comfort Key, dan juga sistem kunci pintar bersama butang penghidup enjin.

    Manakala untuk sistem keselamatan, Audi A3 facelift hadir bersama enam-beg udara, Kawalan Kestabilan Elektronik (ESC) dan cagak tempat duduk kanak-kanak Isofix di belakang.

    Model ini dijana oleh enjin petrol empat silinder 1.4 liter turbo yang mampu menghasilkan kuasa 150 hp bermula 5,000 hingga 6,000 rpm serta tork maksima 250 Nm bermula 1,500 rpm hingga 3,500 rpm. Ia digandingkan dengan kotak gear tujuh-kelajuan klac berkembar automatik S Tronic memacu roda hadapan membolehkan A3 memecut dari 0-100 km/j dalam masa 8.2 saat sebelum mencapai kelajuan maksima 224 km/j. Penggunaan bahan api pula didakwa mencatatkan 4.9 l/100km dan emisi CO2 pula adalah berkadar 114 g/km.

     
     
  • Audi A5 Sportback 2.0 TFSI quattro F5 dipertonton di Malaysia – 252 hp, 370 Nm dengan harga RM339,900

    Audi A5 Sportback 2.0 TFSI quattro F5 dipertonton di Malaysia – 252 hp, 370 Nm dengan harga RM339,900

    Audi A5 baru bakal menjadi tambahan terbaru bagi segmen kenderaan coupe premium di Malaysia. Model generasi kedua ini sedang dipertontonkan di bilik pameran Audi dalam bentuk Sportback lima-pintu.

    Hanya ada satu varian sebagai pengenalan awal; 2.0 TFSI quattro yang diimport sepenuhnya. Harga jualannya pula ialah RM339,900 atas jalan tidak termasuk insurans dan disertai dengan jaminan lima-tahun tanpa had perbatuan.

    Kuasa dari enjin 2.0 liter turbocaj yang digunakan pula ialah sebanyak 252 hp pada 5,000 hingga 6,000 rpm dan 370 Nm tork dari 1,600 rpm hingga 4,500 rpm. Ia digandingkan dengan transmisi klac-berkembar S tronic tujuh-kelajuan dan sistem pacuan semua roda kekal quattro.

    Audi A5 Sportback 2.0 TFSI quattro F5 dipertonton di Malaysia – 252 hp, 370 Nm dengan harga RM339,900

    Untuk perbandingan, BMW 430i Coupe dan Mercedes-Benz C 300 Coupe – kedua-duanya dengan dua pintu – dijual pada harga melebihi RM400k. Bagaimanapun, kedua-dua model ini masing-masing dilengkapi dengan tingkat kelengkapan M Sport dan AMG Line.

    Dari luaran, ia masih mengekalkan rekaan yang sinonim dengan A5, dari garis bumbung serta garis bahu pada badan kereta. Sedikit sentuhan pembaharuan diberikan, misalnya pada bahagian gril kerangka tunggal yang lebih mendatar serta lampu utama dan belakang rekaan trapezoid.

    Audi A5 Sportback 2.0 TFSI quattro F5 dipertonton di Malaysia – 252 hp, 370 Nm dengan harga RM339,900

    Lampu utama LED sepenuhnya dengan dua DRL merupakan ciri standard, begitu juga dengan rim 19-inci aloi yang digunakan. Di dalam, corong pendingin hawa luas dengan rekaan yang sama seperti pada Audi A4 B9, serta set teknologi lengkap Audi. Ini termasuk Audi virtual cockpit dengan instrumen paparan digital 12.3-inci. Sistem infotainmen MMI Navigation Plus pula ada tambahan skrin 8.3-inci dan tombol rotari MMI untuk kawalan.

    Kemasan dalaman menggunakan material kulit dengan padanan perincian Silver Aluminium Ellips. Ciri standard lain termasuk sistem tanpa kunci, butang Push Start, pendingin hawa tiga zon automatik, tempat duduk sport larasan elektrik, penyerap hentak adaptif dan sistem audio 180-watt dengan 10 pembesar suara. Bagaimanapun, tiada ciri AEB untuk versi ini.

     
     
  • Penilaian semula Dasar Automotif Nasional akan ada kerangka kawal selia bagi kereta terbang, autonomous

    Penilaian semula Dasar Automotif Nasional akan ada kerangka kawal selia bagi kereta terbang, autonomous

    Institut Automotif Robotik dan IoT Malaysia (MARii) mendedahkan, Dasar Automotif Nasional (NAP) yang sedang dinilai semua akan merangkumi kerangka kawal selia bagi “kereta terbang”, lapor Bernama. Dasar yang dikemaskini itu dijangka akan diumumkan tidak lama lagi – ia sepatutnya sudah diumumkan hujung tahun lalu, sebelum dianjakkan kepada suku pertama tahun ini.

    Menurut CEO MARii, Datuk Madani Sahari, peraturan dan undang-undang wajib untuk mengawal selia industri automotif kini sedang dirangka dan akan merangkumi aspek pengangkutan peribadi, termasuk kenderaan elektrik dan pemanduan autonomous.

    “Ia bukan hanya untuk ‘kereta terbang’ tetapi untuk hal-hal lain seperti pemanduan autonomous dan kereta pemanduan sendiri yang memerlukan penilaian semula terhadap peraturan dan undang-undang yang sedia ada, termasuk aspek insurans. Kami akan mengkaji dan bangunkan sebuah kerangka perundangan yang komprehensif,” jelas beliau.

    Malaysia dijangka memperkenalkan prototaip kereta terbang tahun ini. Projek berkenaan, yang diumumkan bulan lalu oleh Menteri Pembangunan Keusahawanan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof yang mendakwa aakan mempertemukan kepakaran dalam bidang aeroangkasa, drone, unmanned aerial vehicle (UAV) dan sektor automotif.

    Katanya lagi, prototaip berkenaan sudah tersedia, dan memerlukan kos lebih RM1 juta untuk dibangunkan. “Tahun ini merupakan sasaran yang boleh dicapai untuk memperkenalkan prototaip kereta terbang kerana semua teknologi terlibat sudah ada. Kini hanya bergantung kepada berapa cepat pelaksanaannya boleh dilakukan.”

     
     
  • SPYSHOT: Nissan sedang uji Almera generasi baharu?

    SPYSHOT: Nissan sedang uji Almera generasi baharu?

    Buat pertama kalinya, Nissan dilihat sedang menguji model generasi baharu Versa Sedan, atau pada berberapa pasaran termasuk Malaysia dikenali sebagai Nissan Almera. Jurugambar pengintip kami mengesan kehadiran sedan segmen-B generasi seterusnya ini sedang diuji di atas jalan raya awam di Amerika Syarikat.

    Berbanding model sedia ada yang kelihatan pelik, model generasi baharu ini nampaknya menampilkan bentuk badan yang lebih gagah seakan abang besarnya, Nissan Altima generasi terkini. Bukan itu sahaja, lampu hadapan dan belakang juga mungkin akan menyerupai Altima dengan rekaan lebih tirus, bersama gril V-Motion sama seperti model-model terkini Nissan.

    Manakala untuk bahagian dalaman pula, rekaannya masih belum jelas. Tetapi apabila dizum, nampaknya sedan segmen-B yang akan berhadapan dengan Honda City dan Toyota Vios ini menampilkan skrin sesentuh sistem infotainmen NissanConnectSM pada papan pemuka yang diletakkan di bawah liang penghawa dingin dengan rekaan lebih melintang, serta roda stereng dengan rekaan sama model-model terkini Nissan.

    SPYSHOT: Nissan sedang uji Almera generasi baharu?

    Masih tidak diketahui unit janakuasa yang menggerakkan model generasi baharu ini, tetapi dijangka ia mungkin menerima unit dari generasi sedia ada. Di Amerika, Versa sedan dikuasakan oleh enjin petrol empat silinder NA 1.6 liter HR16DE bersama pilihan tiga kotak gear – lima-kelajuan manual, empat-kelajuan automatik atau CVT automatik.

    Manakala di Malaysia serta pasaran Asia Tenggara lain, Nissan Almera sedia ada dijana oleh enjin petrol empat silinder NA 1.5 liter HR15DE berkuasa 101 hp dan tork maksima 139 Nm, digandingkan sama ada dengan kotak gear empat-kelajuan automatik atau lima-kelajuan manual.

     
     
  • Kia K3 – Cerato pasaran China dengan gril Maserati

    Kia K3 – Cerato pasaran China dengan gril Maserati

    Kia Cerato yang anda lihat ini bukanlah versi tiruan. Ia sebenarnya adalah versi yang dikeluarkan sendiri oleh Kia untuk pasaran China, dan dipanggil sebagai K3, sama seperti di Korea Selatan. Ia akan dilancarkan tidak lama lagi di sana, dan laman web Sina Auto News telah mendapat gambar awal yang menunjukkan keistimewaan model ini.

    Paling jelas adalah di bahagian depan, di mana K3 pasaran China ini menggunakan gril “tiger nose” yang lebih besar dan ia didatangkan dalam dua pilihan iaitu satu yang mempunyai corak segi tiga kecil manakala satu lagi dengan jalur menegak. Digabungkan dengan bampar yang juga mempunyai kemasan krom di bawah, kereta ini sedikit menyerupai Maserati Quattroporte.

    Kia K3 – Cerato pasaran China dengan gril Maserati

    Pada bahagian belakang, walaupun bentuk lampunya masih lagi sama, grafik dalamannya telah diubah dan mempunyai jalur merah yang menyambungkan antara lampu kiri dan kanan. Bampar juga telah direka semula dan kini tidak lagi mempunyai lampu undur dan penunjuk arah padanya (telah dimasukkan semula pada unit utama lampu belakang).

    Menurut laman web tersebut, pilihan enjin untuk K3 ini juga nanti dirombak semula. Sementara pasaran lain cuma mendapat pilihan enjin petrol NA 2.0 liter dan 1.6 liter TGDI turbo untuk varian GT, pasaran China pula akan mendapat enjin 1.5 liter NA 115 hp dan 1.4 liter turbo 130 hp. Turut dimasukkan dalam senarai adalah versi plug-in hybrid yang menggabungkan enjin petrol 1.6 liter 105 hp dengan motor elektrik.

     
     
  • Land Rover Discovery Mobile Malaria Project – SUV ubahsuai khas untuk kajian penyakit malaria di Afrika

    Land Rover Discovery Mobile Malaria Project – SUV ubahsuai khas untuk kajian penyakit malaria di Afrika

    Land Rover Special Vehicle Operation telah menghasilkan sebuah Land Rover Discovery khas yang bakal digunakan oleh kumpulan ekspedisi penyelidikan Mobile Malaria Project. Kenderaan itu dihasilkan setelah kumpulan dari Universiti Oxford berkenaan memenangi Land Rover Bursary 2018 dengan kerjasama Royal Geographical Society.

    Model rekaan khas ini bakal dipandu sejauh 6,300 km merentasi Namibia, Zambia, Tanzania dan Kenya dalam masa lapan minggu oleh pasukan yang diketuai oleh Dr George Busby, bagi kerja-kerja bagi mengkaji cabaran yang dihadapi oleh penyelidikan terhadap penyakit malaria serta menyiasat potensi teknologi penjujukan DNA mudah alih di Afrika – tempat yang menyumbang statistik 90% dari jumlah keseluruhan yang dijangkiti penyakit tersebut.

    Oleh itu, Land Rover Discovery Mobile Malaria Project ini dilengkapi dengan pelbagai peralatan. Ruang kargo sebesar 1,137 SUV ini dijadikan sebagai makmal penjujukan genetik bergerak lengkap dengan unit peti sejuk bagi menyimpan peralatan saintifik dengan selamat, konfigurasi sistem kerangka ruang penyimpanan istimewa bagi membawa kotak-kotak peralatan khas dan juga bateri ekspedisi on-board.

    Manakala pada bahagian luaran, ia diubahsuai bagi membolehkan SUV ini dipandu pada permukaan lasak, serta diberikan pelbagai kelengkapan mengembara. Discovery ini dilengkapkan dengan dua awning yang boleh dibuka/tutup dengan pantas pada kedua-dua sisi. Ia juga menerima peralatan-peralatan menyelamat, unit winch, trek pasir/lumpur, rak bumbung ekpedisi, lampu memandu malam LED, serta tayar off-road.

    Pasukan ekspedisi ini turut akan mendapat kerjasama rakan bantuan kemanusiaan global Land Rover iaitu what3words, bagi membantu mereka merancang perjalanan, serta mengemudi pergerakan darat dan mendokumentasi penemuan pada masa sebenar.

     
     
  • Royal Enfield Interceptor 650 dan Continental GT 650 dilancar untuk Malaysia – harga RM46k dan RM48.5k

    Royal Enfield Interceptor 650 dan Continental GT 650 dilancar untuk Malaysia – harga RM46k dan RM48.5k

    Dua model baru dari Royal Enfield iaitu Interceptor 650 dan Continental GT 650 kini sudah pun tiba di Malaysia. Ia dijual masing-masing pada harga RM45,900 dan RM48,500 (tidak termasuk insurans dan kos pendaftaran) bagi versi Standard.

    Dua model yang mendapat inspirasi daripada model tahun 50 dan 60-an ini sebenarnya mempunyai asas yang sama, dikuasakan oleh enjin dua silinder penyejukan udara/minyak 648 cc SOHC suntikan bahan api dengan gabungan kotak gear enam kelajuan, mampu menghasilkan kuasa 47 hp pada 7,250 rpm dan 52 Nm tork pada 5,250 rpm.

    Beza pada keduanya cuma bentuk, di mana Continental GT lebih kepada sebuah cafe racer manakala Interceptor lebih kepada cruiser. Anda boleh melihat bentuk tempat duduk, tangki bahan api (Interceptor 13.7 liter, Continental GT 12.5 liter) serta kedudukan pemegangnya ada sedikit berbeza. Lain daripada itu semuanya sama.

    Untuk bahagian suspensi, motosikal ini menggunakan fork teleskopik 41 mm di hadapan dan dua penyerap hentak dengan tabung gas di belakang, manakala untuk brek terdapat sistem cakera di depan dan belakang yang menggunakan angkup Bybre dan ia dilengkapkan sekali dengan sistem ABS.

    Dalam keadaan kosong tanpa minyak, motosikal ini mencatat berat 202 kg bagi Interceptor dan 198 kg bagi Continental GT, dan kelengkapan lain yang ada padanya termasuk rim 18 inci, tayar 100/90 di hadapan dan 130/70 di belakang, meter analog dan ekzos berkembar.

     
     
  • Porsche Cayenne Coupe ditunjuk – gaya aerodinamik

    Porsche Cayenne Coupe ditunjuk – gaya aerodinamik

    Porsche kini telah mendedahkan model Cayenne Coupe, dengan menampilkan versi bumbung yang lebih tirus dan rendah di belakang bagi model SUV dengan nama sama yang ada sebelum ini. Ia menjadikan pertambahan terbaru bagi kenderaan dengan rekaan coupe yang sama diperkenalkan oleh Volkswagen Group sebelum ini, antaranya melalui Audi Q8 dan Lamborghini Urus.

    “Rekaan bahagian bumbung yang lebih tirus di belakang menjadikan Cayanne Coupe tampil lebih dinamik, dengan imej paling sporty untuk segmennya,” jelas Naib Presiden Style Porsche, Michael Mauer.

    Perbezaan estetika yang paling ketara pada model ini ialah bumbungnya yang direndahkan sebanyak 20 mm, sementara pintu belakang yang direka semula serta bagaian fender yang dilebarkan sebanyak 18 mm. Bahagian bumbungnya juga memiliki spoiler adaptif yang menjadi sebahagian daripada Porsche Active Aerodynamics (PAA), yang boleh dipanjangkan 135 mm pada kelajuan 90 km/j ke atas untuk menambahkan kesan downforce.

    Porsche Cayenne Coupe ditunjuk – gaya aerodinamik

    Cayenne Coupe ini turut hadir dengan bumbung kaca panoramik sebagai ciri standard. Ciri ini hadir sekali dengan tirai khas yang menawatkan penebat haba dan sejuk sekali gus. Barisan keduanya pula menempatkan dua tempat duduk berasingan untuk penumpang, 30 mm lebih rendah berbanding model versi biasa.

    Kapasiti ruang barang yang tersedia pula ialah 625 liter dengan semua tempat duduk ditegakkan. Ia boleh ditambah menjadi 1,540 liter dengan kerusi belakang direbahkan. Bagi variat Turbo, ia memiliki 600 liter atau 1,510 liter sementara Cayenne bersi saiz penuh mempunyai 770 liter. Ciri standard lain termasuk Power Steering Plus, rim aloi 20-inci, Park Assist dan kamera undur, Porsche Active Suspension Management (PASM) dan Sport Chrono.

    Ia juga memiliki semua peningkatan yang diberikan kepada Cayenne generasi ketiga; Porsche 4D Chassis Control, suspensi udara tiga-ruang dan Porsche Dynamic Chassis Control (PDCC). Selebihnya, ia juga datang dengan Porsche Communication Management (PCM) dengan skrin sentuh 12.3-inci.

    Pilihan enjin yang ditawarkan untuk Cayenne Coupe ini ialah 3.0 liter turbocaj V6 dengan janaan 340 PS dan 450 Nm, dengan kadar penggunaan minyak 9.4 l/100 km dan kadar pembebasan sisa pembakaran 215 g/km. Satu lagi piliha ialah enjin 4.0 liter biturbo V8 (550 PS/770 Nm); masing-masing dengan kadar 11.4 l/100 km dan 261 g/km.

    Cayenne Coupe yang asas boleh memecut 0-100 km/j dalam masa enam saat dan 243 km/j maksimum, semetara versi turbo dalam masa 3.9 saat dan laju maksimum 286 km/j.

     
     
  • Land Rover menang kes mahkamah lawan ‘Evoque palsu’ China – Land Wind X7 perlu segera dihentikan

    Land Rover menang kes mahkamah lawan ‘Evoque palsu’ China – Land Wind X7 perlu segera dihentikan

    Setelah tiga tahun berjuang di mahkamah, akhirnya Jaguar Land Rover berjaya untuk menyaman pembuat kereta dari China, Jiangling Motors Corp yang menghasilkan Land Wind X7 menampilkan rupa seiras dengan Range Rover Evoque.

    Menurut laporan Autoblog, Mahkamah Daerah Beijing Chaoyang mengatakan bahawa Land Wind X7 mempunyai lima ciri unik sama dengan Evoque yang mengelirukan pengguna. Oleh itu, mahkamah tersebut mengarahkan agar semua jualan, penghasilan dan pemasaran Land Wind X7 perlu dihentikan serta merta serta Jiangling Motors perlu membayar pampasan kepada Jaguar Land Rover.

    JLR telah mengemukakan saman terhadap JiangLing Motors pada tahun 2016 setelah Land Wind X7 diperkenalkan dengan rupa hampir sama terutamanya pada bahagian tingkap sisi dan bumbung, lampu belakang serta garis-garis karekter pada bahagian sisi.

    Land Rover menang kes mahkamah lawan ‘Evoque palsu’ China – Land Wind X7 perlu segera dihentikan

    Jenama dari Britain tersebut tetap mengambil langkah berkenaan walaupun peluang untuk menang rendah serta reputasi mereka di China mungkin turut terjejas kerana tindakan sedemikian dilihat seperti sebuah gergasi automotif dunia yang sedang membuli pengeluar kereta tempatan.

    Kes diciplak ini jelas meninggalkan kesan yang agak mendalam terhadap Land Rover. Pengeluar SUV mewah tersebut kini tidak lagi mendedahkan model-model konsep dan prototaip produksi mereka – Range Rover Velar misalnya yang terus diperkenalkan kepada umum – kerana gusar ia akan berlaku lagi.

    Ketua rekaan Land Rover, Gerry McGovern menjelaskan bahawa ia adalah untuk melindungi pelaburan besar yang dibuat bagi menghasilkan model baharu iaitu antara £500 juta dan £1 bilion, bergantung pada projek.

    GALERI: Land Wind X7

    GALERI: Range Rover Evoque generasi pertama sebenar

     
     
  • Yamaha Y15ZR V2 tiba di M’sia – empat pilihan warna

    Yamaha Y15ZR V2 tiba di M’sia – empat pilihan warna

    Semasa pusingan pertama Cub Prix yang berlangsug di Jasin, Melaka, Hong leong Yamaha Motor (HLYM) telah mempertontonkan secara rasmi buat kali pertama di Malaysia Y15ZR versi baru atau lebih dikenali sebagai V2.

    Harga untuk motosikal yang ditunggu ramai ini masih belum ada, dan hanya akan didedahkan bulan hadapan, tetapi HLYM telah menunjukkan empat pilihan warna yang akan ditawarkan dipanggil sebagai Striking Cyan, Blazing
    Red, Storm Blue
    dan Dynamic Grey. Selain itu, pembeli motosikal ini juga akan diberikan kunci brek cakera bernilai RM100 secara percuma.

    Seperti ramai yang sudah maklum, perubahan utama Y15ZR V2 ini adalah pada bahagian lampu hadapannya, di mana ia menggunakan bentuk baru dan merupakan nyalaan LED, manakala pada bahagian meter pula ia sekarang menggunakan paparan LCD.

    Jika mengikutkan versi yang sudah pun dilancarkan di beberapa negara luar, Y15ZR V2 ini juga mengalami perubahan dimensi, di mana panjang dan tingginya bertambah masing-masing 15 mm dan 20 mm, tinggi tempat duduk bertambah 15 mm, manakala berat juga bertambah 2 kg.

    Berkemungkinan besar ini adalah kerana ia menggunakan tayar hadapan lebih besar (bersaiz 90/80), dan suspensi belakang juga telah ditala semula. Kelengkapan lain pada motosikal ini adalah termasuk fender lebih besar untuk memuatkan tayar yang kini lebih besar, butang lampu tinggi (passing light) dan butang mematikan enjin (kill switch)

    Bahagian lain masih lagi sama termasuk enjin, iaitu dikuasakan satu silinder SOHC penyejukan cecair 150 cc, bersama padanan kotak gear lima kelajuan, mampu menghasilkan 15.4 PS pada 8,500 rpm dan 13.8 Nm tork pada 7,000 rpm. Tangki bahan api masih 4.2 liter dan tayar belakang menggunakan saiz 120/70R17.

     
     
  • Denda pembatalan tempahan Grab tidak beri kesan kepada sebahagian besar pelanggan, elak salah guna

    Denda pembatalan tempahan Grab tidak beri kesan kepada sebahagian besar pelanggan, elak salah guna

    Susulan daripada berita yang beredar berkaitan Grab yang bakal melaksanakan polisi pembatalan yang dikemaskini bermula 25 Mac ini, banyak kekeliruan dan salah faham telah berlaku. Untuk itu, satu sesi taklimat rasmi dilakukan hari ini oleh Grab bagi menjelaskan duduk letak perkara yang sebetulnya.

    Ada dua situasi di mana denda antara RM3 hingga RM5 itu akan dikenakan. Pertama, sekiranya penumpang membuat pembatalan di saat akhir, dan kedua sekiranya penumpang tidak muncul selepas pemandu tiba di lokasi yang diminta. Kedua-dua situasi ini akan dihuraikan di bawah. Kenapa Grab perkenalkan polisi ini? Jawapannya mudah; untuk mengelakkan salah guna yang dilakukan dengan sengaja (intentional abuse) dan bagi melindungi komuniti platform berkenaan.

    Jadi, sepatutnya tak ada perkara yang menjadi rumit atau menimbulkan ketidakpuasan hati dalam isu ini. Kerana menurut Grab, sejumlah besar pengguna sedia ada kini tidak akan terkesan dengan polisi baru berkenaan. Dari data Grab, ia hanya akan melibatkan peratusan pengguna yang sangat kecil sahaja – 0.5% daripada jumlah tempahan harian yang diterima setiap hari di seluruh Malaysia.

    Grab menakrifkan pembatalan saat akhir seperti berikut; sekiranya pelanggan telah membuat tempahan, dan sistem atau aplikasi telah mengesahkan pemandu yang ditugaskan untuk sesebuah perjalanan, pelanggan masih boleh membuat pembatalan tanpa sebarang denda dalam tempoh lima minit selepas itu.

    Denda pembatalan tempahan Grab tidak beri kesan kepada sebahagian besar pelanggan, elak salah guna

    Namun, sekiranya selepas lima minit – ketika ini pemandu memang dalam perjalanan ke lokasi untuk mengambil pelanggan, tanpa sebarang halangan – dan penumpang dengan sengaja ingin membatalkan tempahan, ketika itu akan ada notifikasi yang terpapar dalam aplikasi Grab untuk bertanyakan adakah penumpang benar-benar ingin membatalkan tempahan dan makluman jelas tentang kadar denda yang akan dikenakan.

    Ini bagi menyemak sekali lagi niat (intention) penumpang. Sekiranya mereka masih ingin membatalkannya, maka barulah sah denda akan dikenakan (kadar adalah bergantung jenis perkhidmatan, misalnya Grabcar, JustGrab, GrabCar Premium Grabshare dsb).

    “Kami memahami, memang selalu ada keperluan untuk penumpang membatalkan tempahan yang dibuat, misalnya jika tiba-tiba berlaku kecemasan, terlupa dompet dan sebagainya. Ini sangat difahami. Dan, biasanya dalam keadaan demikian, penumpang atau pelanggan tidak akan menunggu lama untuk membatalkannya. Jika situasinya begini, ia tidak menjadi masalah dan tiada denda dikenakan,” jelas Ketua Operasi Grab Malaysia, Rashid Shukor.

    Situasi kedua ialah apabila pemandu sudah tiba ke lokasi seperti yang dinyatakan dalam tempahan, dan memaklumkan kepada penumpang, melalui ruangan “Chat” dalam aplikasi atau menelefon pelanggan. Tetapiseperti , pelanggan tidak muncul-muncul dan tidak dapat dihubungi (no-show). “Dalam situasi ini, sangat jelas penumpang tahu dan sedar yang pemandu sudah bergerak ke arahnya dan sudah tiba, tetapi memilih untuk ‘hilang’ dengan sengaja. Jika begini, kami terpaksa mengenakan denda berkenaan,” tambah Rashid.

    Denda pembatalan tempahan Grab tidak beri kesan kepada sebahagian besar pelanggan, elak salah guna

    Dalam keadaan seperti itu, pemandu sebenarnya berhak untuk membatalkan tempahan berkenaan (dan pelanggan akan dikenakan denda) setelah menunggu lima minit selepas memaklumkan kepada pelanggan yang mereka sudah berada di lokasi. “Namun, amalan kebiasaan sebahagian besar pemandu Grab, mereka akan tetap menunggu penumpang asalkan penumpang berkomunikasi dengan mereka dalam tempoh itu, misalnya untuk memaklumkan mereka akan sedikit lewat.

    “Ini kerana, pemandu sudah meluangkan masa untuk perjalanan, yang turut melibatkan kos bahan api yang telah digunakan. Jadi, pemandu tentunya ingin mengambil penumpang untuk mendapatkan caj bayaran perjalanan berkenaan bagi menampung kos yang terlibat,” jelas Rashid lagi.

    Sebaik saja polisi ini dilaksanakan nanti, jika ada pelanggan yang didenda kerana melanggar tetapan seperti dinyatakan ini, mereka hanya akan diberikan notis makluman dan denda yang dikenakan itu akan di mansuhkan bagi kesalahan pertama. “Tujuan polisi ini adalah untuk mendidik pelanggan dan juga pemandu sendiri untuk saling menghormati.

    “Sekiranya penumpang melanggar polisi ini berulang-kali, maka itu adalah petunjuk bahawa mereka melakukannya dengan sengaja. Ini yang ingin kami elakkan, salah guna platform ini dengan sikap yang tidak bertanggungjawab,” tambah Rashid.

    Denda pembatalan tempahan Grab tidak beri kesan kepada sebahagian besar pelanggan, elak salah guna

    Bagaimanapun, penumpang yang merasakan berlaku ketidakadilan (kerana setiap situasi berbeza) sekiranya dikenakan denda, mereka tetap boleh melaporkannya melalui aplikasi Grab Help Centre yang akan menilai situasi secara berasingan. Jika memang berlaku kesilapan dan penumpang memang tidak melakukan kesilapan itu dengan sengaja, denda mereka akan dipulangkan kembali dalam tempoh dua hari bekerja.

    Bagaimana pula jika pemandu lewat tiba ke lokasi? Selepas tempahan dibuat dan pemandu sudah ditugaskan, anggaran masa ketibaan (ETA) akan dinyatakan. Namun, jika pemandu tiba lewat disebabkan misalnya keadaan trafik yang sesak, atau sistem tunjuk arah yang tidak tepat, dan sekiranya melebihi waktu ehsan tambahan selama 10 minit selepas masa ETA itu (buffer time) tetap juga pemandu belum tiba, maka penumpang boleh membatalkan tempahan tanpa sebarang denda dikenakan.

    Adakah dengan polisi ini, hanya penumpang yang akan dikenakan denda? Bagaimana pula dengan pemandu yang sengaja mencari helah untuk memaksa penumpang membatalkan tempahan? “Sebenarnya tidak, untuk pemandu memang sudah tersedia SOP dan hukuman dalaman yang akan dikenakan sekiranya mereka bertindak dengan cara yang tidak sepatutnya. Sistem kami berkeupayaan untuk merekodkan data-data penting dengan cekap, misalnya laluan perjalanan pada satu-satu masa.

    “Setiap kes yang dilaporkan akan dinilai, dan sekiranya pemandu didapati bersalah, bereka boleh digantung tugas atau bahkan dilucutkan daripada terus berkhidmat dengan Grab,” begitu penjelasan Rashid tentang hukuman yang boleh dikenakan terhadap pemandu.

    Denda pembatalan tempahan Grab tidak beri kesan kepada sebahagian besar pelanggan, elak salah guna

    Penting juga untuk dinyatakan, setiap denda yang dikutip itu 100% akan diberikan kepada pemandu yang terlibat tanpa sesen pun diraih oleh Grab. Ini sebagai “pampasan kecil” di atas kerugian masa dan bahan api yang telah mereka alami disebabkan penumpang yang membatalkan tempahan atau terus tidak muncul.

    Bagaimana denda ini dikenakan? Untuk tempahan tunai, ia akan dikenakan secara automatik pada tempahan berikutnya oleh pelanggan berkenaan, dan dibayar kepada pemandu B yang ditugaskan berikutnya itu. Sistem dalaman Grab akan menguruskan selebihnya; Grab akan terlebih dahulu membuat bayaran kepada pemandu A yang terlibat dengan pembatalan tempahan.

    Bagi pelanggan yang menggunakan bayaran cara e-Wallet, ia lebih mudah dan telus; transaksi akan dibuat terus ke akaun pelanggan. Bagi kes pelanggan yang ingin membuat laporan bagi mendapatkan tuntutan semula, Grab akan melakukan siasatan dalam tempoh dua hari berkerja dan jika didapati pelanggan tersebut mempunyai kes yang jujur dan tidak bersalah, maka nilai tuntutan semula denda itu akan diberikan kembali dalam bentuk kod promosi dan boleh digunakan untuk tempahan berikutnya.

    Ini sedikit sebanyak apa yang dimaksudkan dengan kemaskini polisi pembatalan tempahan oleh Grab. Jika anda ada pandangan peribadi tentang hal ini? Sila kongsikan.

     
     
  • Harga minyak bagi 23-29 Mac – RON 97 naik lagi

    Harga minyak bagi 23-29 Mac –  RON 97 naik lagi

    Bermula esok, harga petrol RON 97 bakal menyaksikan kenaikan lagi. Kali ini ia melibatkan peningkatan tujuh sen berbanding minggu lalu, dan akan dijual pada harga RM2.61 seliter.

    Bagi petrol RON 95 pula, ia kekal pada kadar RM2.08 seliter – had maksimum yang akan dibayar oleh pengguna seperti kali terakhir diumumkan dahulu.

    Selebihnya, tiada perubahan harga bagi bagi bahan api diesel. Diesel Euro 2M kekal pada harga RM2.18 seliter, manakala diesel Euro 5 pula sentiasa 10 sen lebih mahal, dijual pada kadar RM2.28 seliter.

    Harga terbaru ini akan sah sehingga sehingga Jumaat depan, 29 Mac 2019.

     
     
  • Prolintas umum ada laluan di AKLEH ditutup mulai 23 Mac-7 April untuk pembinaan Jambatan Saloma

    Prolintas umum ada laluan di AKLEH ditutup mulai 23 Mac-7 April untuk pembinaan Jambatan Saloma

    Projek Lintasan Kota Sdn Bhd (PROLintas), syarikat konsesi bagi Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), telah mengumumkan terdapat beberapa laluan di lebuhraya berkenaan akan ditutup secara berperingkat bermula esok (23 Mac) sehingga 7 April ini. Ia adalah bagi memberi laluan kepada pembinaan jambatan penghubung Saloma oleh Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB).

    Menurut Prolintas, penutupan sementara akan dilaksanakan di lorong, laluan masuk dan laluan keluar yang ditentukan di lebuh raya itu. Di KM1.1 menghala Kuala Lumpur, penutupan sehingga 29 Mac ini melibatkan lorong laju dan trafik akan dihalakan ke lorong kiri. Pada 29-30 Mac pula, laluan KM1.1 menghala Ampang, lorong kiri dan lorong tengah akan ditutup, sementara trafik akan dilencongkan ke lorong kanan.

    Pada 30 Mac pula, penutupan selama sejam dari jam 2 pagi akan dilakukan di KM1.1 juga menghala ke Ampang, dan trafik akan dilencongkan ke Jalan Ampang. Manakala laluan menuju dari/ke Persimpangan Jalan Sultan Ismail, lorong laju dan lorong tengah menghala ke Kuala Lumpur akan ditutup selama sejam bermula jam 3 pagi pada 30 Mac. Justeru, trafik menuju ke Ampang akan dilencongkan ke Jalan Raja Abdullah. Sementara trafik menuju ke Kuala Lumpur akan dilencongkan ke Jalan Ampang.

    Prolintas umum ada laluan di AKLEH ditutup mulai 23 Mac-7 April untuk pembinaan Jambatan Saloma

    Juga pada 30 Mac, penutupan selama sejam melibatkan lorong laju/tengah di KM1.1 menuju ke Kuala Lumpur, dan hanya lorong kiri sahaja dibuka untuk trafik. Kemudian pada hari yang sama, penutupan sepenuhnya melibatkan laluan KM1.1 arah Kuala Lumpur dari jam 6 pagi hingga 8 malam. Laluan kontra akan dibuka di Ampang untuk ke Kuala Lumpur.

    Manakala dari jam 10 malam pada 30 Mac hingga 10 malam, 5 April, laluan KM1.1 arah Ampang akan menutup lorong laju sepenuhnya, dan trafik hanya dibuka di lorong kiri. Sehubungan itu, AKLEH menasihati pengguna agar berhati-hati dan mematuhi papan tanda arahan trafik bagi perjalanan yang lancar.

    Untuk info lanjut, para pengguna boleh menghubungi Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu di talian 03-26926733, 03-26935733 atau talian bebas tol AKLEH 1-300-88-10 atau ikuti Twitter di @AKLEHtrafik atau laman web www.prolintas.com.my.

     
     
 
 
 

Latest Fuel Prices

PETROL
RON 95 RM2.05 (0.00)
RON 97 RM3.13 (-0.04)
RON 100 RM5.00
VPR RM6.00
DIESEL
EURO 5 B10 RM2.90 (-0.04)
EURO 5 B7 RM3.10 (-0.04)
Last Updated Aug 14, 2025